RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Siti Nurhaliza Tukar Konsep Album Sesuai Dengan Imej

Posted: 04 Mar 2013 06:44 PM PST

Siti Nurhaliza sedang bercuti panjang sehingga penghujung Mac.
PETALING JAYA: Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza akan menukar konsep album terbaharunya bersesuaian dengan imejnya yang kini bertudung.
Siti, 34, bagaimanapun berkata, perubahan itu bukan bererti beliau hanya menumpukan kepada lagu berbentuk kerohanian sahaja sebaliknya bersikap lebih selektif dari segi lirik dan gubahan lagu.
"Perubahan ini bukanlah secara drastik kerana saya masih membawakan lagu-lagu seperti mana yang disukai peminat cuma mungkin lagu yang rancak akan dikurangkan kerana ia kurang sesuai untuk dipersembahkan dikhalayak dengan imej bertudung.
"Sebab itu saya akan lebih selektif terhadap pemilihan lagu dan lirik supaya ia bersesuaian dan dapat diterima oleh peminat," jelasnya kepada mStar Online.
Siti dijangka memulakan proses rakaman album terbarunya itu pada April depan selepas bercuti panjang kerana menjaga suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa yang mengalami kecederaan selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di New Zealand pada 13 Disember lalu.
Dalam pada itu, Siti berkata, beliau tidak melihat keputusannya menutup aurat akan menjejaskan kerjaya seninya dan peminat sangat menyokong dengan keputusannya itu.
Tambah Siti, penyanyi seperti Yuna dan Shila Amzah telah membuktikan bahawa dengan memakai tudung juga mereka mampu memikat hati peminat di luar negara.
Sementara itu, Siti berkata, buat masa ini beliau tidak merancang untuk mengeluarkan sebarang tudung dibawah jenama namanya walaupun terdapat permintaan daripada peminat.
Siti menjelaskan ada di kalangan peminat yang memintanya membuat tutorial mengenai cara pemakaian tudungnya yang semakin menjadi ikutan para peminatnya.
"Tiada cara khusus sebenarnya tetapi jika ada yang berminat boleh menghubungi pereka fesyen Siti untuk mendapatkannya," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Siti bakal tampil dalam persembahan Minggu Setiausaha di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur pada 11 April depan.
Tiket dijual pada harga RM3,500 hingga RM5,500 untuk sebuah meja dan RM350 hingga RM550 untuk seorang.
Untuk keterangan lanjut dan tempahan tiket orang ramai boleh menghubungi Farah Halim di talian 03-26889688 (sambungan 500) atau Rizal Van Geyzel di 03-26889688 (sambungan 253).

Dayang takut lelaki

Posted: 04 Mar 2013 06:41 PM PST

FIGURA yang memiliki vokal gemersik ini enggan berkongsi kisah peribadi dirinya dengan umum.


SEHINGGA kini penyanyi bersuara gemersik, Dayang Nurfaizah Awang Dowty atau Dayang, mengakui belum pernah bercinta dan tidak mempunyai kekasih.
Bukan sebab memilih atau tiada lelaki yang mendekati dirinya, tetapi ujar Dayang yang kini sudah menginjak usia 33 tahun itu, dia fobia untuk bercinta dan juga takut untuk mempunyai ikatan dengan insan bergelar lelaki.
Ditemui pada majlis sidang akhbar Pencalonan Anugerah Tribute P. Ramlee anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) bersama Kumpulan Utusan serta Syarikat Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. (Suhan Movies) di Hotel Holiday Villa, Subang, Dayang juga bercerita tentang nilai eksklusif diri serta perkembangan terbaharu karier seninya.
Kosmo!: Kenapakah Dayang fobia dengan lelaki dan takut untuk bercinta?
DAYANG: Setelah melihat dan membaca mengenai gosip percintaan rakan-rakan artis, saya jadi fobia dan takut untuk bercinta. Sebabnya, saya takut jika berkenalan dan bercinta nanti akan timbul gosip-gosip liar seterusnya memusnahkan karier nyanyian saya.
Adakah anda takut dengan gosip-gosip liar mengenai anda?
Gosip-gosip seperti itu (bercinta) tidak membantu dalam karier saya. Gosip percintaan artis menakutkan saya.
Mungkin juga anda terlalu memilih sehingga menyebabkan anda masih belum menemui lelaki dalam usia yang sudah mencecah 33 tahun?
Ya, saya akui agak memilih kerana saya percaya setiap wanita di dunia ini ada hak untuk memilih pasangan hidup. Kalau boleh saya mahu jumpa dengan seorang lelaki, bercinta dan berkahwin. Saya mahu buat semua itu sekali seumur hidup.
Apakah ciri-ciri lelaki idaman anda?
Saya tidak mahu meletakkan sebarang ciri-ciri kerana ia akan menutup peluang saya berkenalan dengan lelaki. Kalau saya letak dan tidak jumpa dengan ciri-ciri yang dimahukan, saya juga yang kecewa nanti.
Anda kini dilihat kurang muncul dalam sebarang majlis hiburan yang melibatkan media. Adakah anda meletakkan diri terlalu eksklusif?
Saya tidak pernah rasa diri eksklusif. Saya sebenarnya sibuk dengan jemputan mengadakan persembahan di majlis-majlis makan malam dan juga korporat.
Bagaimanakah peminat mahu tahu perkembangan terbaharu mengenai anda?
Saya ada Facebook dan Twitter. Jika saya ada persembahan, saya akan beritahu peminat menerusi dua medium tersebut. Saya juga baru ada Instagram dan menggunakan medium tersebut untuk lebih mendekatkan diri dengan peminat. Tetapi, perkara peribadi saya tidak akan kongsikan. Peribadi tetap peribadi bagi saya.
Beralih pada karier nyanyian, apakah perkembangan terbaharu anda?
Walaupun orang kenal saya, ia tidak bermakna saya perlu leka dan tidak mengeluarkan sebarang produk. Saya kini sedang mengumpul bahan untuk album terbaharu. Album rakaman konsert Anuar Zain bersama Dayang Nurfaizah yang berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas tahun lepas juga sudah berada di pasaran. Saya juga merancang untuk mengadakan mini showcase buat peminat-peminat pada tahun ini.

Adibah terima Halim

Posted: 04 Mar 2013 06:40 PM PST

ADIBAH dan Halim kini meluangkan masa bersama selama lima jam sehari di konti radio Suria FM.


SEBUAH majlis yang diadakan ala-ala resepsi perkahwinan sempena meraikan tempoh tiga minggu pasangan Halim Othman dan Adibah Noor digandingkan bersama di Suria FM barangkali mengundang pelbagai persepsi umum.
Ada yang menilai majlis itu umpama isyarat awal pasangan Adibah dan Halim bukan hanya mengikat janji menerusi penyatuan di dalam konti radio saja bahkan mungkin bersatu sebagai pasangan suami isteri.
Ditanya soalan nakal adakah Adibah bersetuju sekiranya ditakdirkan jodohnya bersama Halim, jawab pelantun lagu Terlalu Istimewa itu, dia akur.
"Kami meluangkan masa bersama selama lima jam sehari lebih lima hari seminggu yang tidak semua pasangan berkahwin pun mempunyai tempoh waktu berkualiti seperti kami.
"Mungkin disebabkan itu juga gandingan kami menjadi sesuatu yang luar biasa. Hubungan yang kami bina sangat menyeronokkan dan ramai yang mendoakan kami bersama.
"Kalau Tuhan kata jodoh kami berdua menjadi, maka jadilah. Takkanlah saya nak menolak kalau betul Halim itu bakal suami saya. Apapun, kami hanya berjumpa di konti saja," ujar Adibah yang menyifatkan hubungan mereka saling melengkapi.
Sementara itu, Halim yang diminta mengulas mengenai keakraban hubungan mereka tidak mahu terburu-buru memberikan kenyataan dan mengakui selesa bekerja bersama Adibah.
"Enam bulan adalah tempoh perkenalan dan selama lebih tiga minggu ini ramai yang merestui kerjasama yang kami jalinkan. Kita tengok apa yang akan berlaku seterusnya.
"Saya perlu memberikan respons dengan orang baharu yang digandingkan bersama saya. Adibah seorang yang cepat belajar dan mampu memberikan tenaga sama seperti yang saya berikan. Ia menjadi satu pusingan yang sukar dicari di tempat lain," katanya yang ditemui di Pusat Konvensyen Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Bagaimanapun tambah Halim, dia ingin menyajikan satu program radio yang tidak terlalu berat dan berlainan daripada stesen radio lain.
"Kami sentiasa mencari formula untuk menjadikan segmen kami berilmu, biasa, santai dan tidak terlalu serius. Walau kami berbeza karakter tapi kami berkongsi minat dan kecenderungan yang sama," tambah Halim lagi.
Adibah dan Halim digandingkan bersama untuk mengendalikan segmen Ceria Pagi yang ke udara pada pukul 5 hingga 10 pagi setiap hari Isnin hingga Jumaat di Suria FM.
Dalam pada itu, Adibah yang kini sedang giat berlatih untuk Teater Muzikal Chow Kit Road yang akan dipersembahkan di Istana Budaya pada bulan Mei nanti mengakui masih aktif dalam bidang nyanyian dan pengacaraan.
"Walaupun saya menjadi seorang penyampai radio sekarang, karier nyanyian, lakonan dan pengacaraan saya tidak ketepikan. Waktu terluang selain di konti saya habiskan untuk menyiapkan album saya yang akan datang.
"Tapi saya akan melancarkan single demi single yang hanya menunggu masa yang sesuai sahaja. Kemudian baru dikumpulkan untuk menjadi album," ujarnya.
Pelakon filem Nasi Lemak 2.0 itu juga tidak melihat wujud diskriminasi lagu miliknya yang diputarkan di Suria FM. Katanya jika sebelum ini lagunya jarang dimainkan di radio tiada bezanya untuk dia memilih tawaran bergelar penyampai radio.
"Saya berfikir demikian sebelum menjadi penyampai radio lagi dan sebab faktor itu saya menerima tawaran ini. Saya tidak bersama Suria FM pun orang tidak mainkan lagu saya, jadi apa bezanya sekarang?
"Saya ada lebih 20 buah lagu daripada dua buah album saya selama tujuh tahun dalam industri dan saya tidak nampak diskriminasi di Suria FM kerana sebelum ini pun lagu saya berkumandang di stesen radio ini.
"Memang betul keputusan untuk sesebuah lagu itu diputarkan di radio datang daripada orang atasan dan kini saya sudah sedikit sebanyak faham sistem putaran lagu di radio," katanya yang tidak pernah lagi memainkan lagu sendiri di Suria FM dan mendapat layanan sebagai penyanyi seperti artis lain.

Sudah maafkan Chef Riz

Posted: 04 Mar 2013 06:38 PM PST

ANA mengakui sudah memaafkan Chef Riz atas apa yang berlaku terhadap rumah tangga mereka.


PERCERAIAN bukan suatu yang mudah diterima oleh kebanyakan pasangan yang telah berkahwin.
Namun, jika sudah ditakdirkan berpisah, maka sesiapa sahaja harus menerima takdir yang telah ditentukan walaupun pahit untuk ditelan.
Begitulah kisah wanita yang bernama Diyana Mastura Jaafar atau lebih dikenali sebagai Ana Dahlia. Dia menjadi salah seorang mangsa perceraian setelah bercerai dengan bekas suaminya, Chef Riz pada hujung tahun lalu.
Namun jika melihat raut wajah Ana, tidak sedikitpun ditunjukkan kesedihan dan kepedihan yang mungkin sedang dialami olehnya kini.
Menjalani kehidupan seperti biasa, Ana mengakui dia banyak memberi tumpuan terhadap karier sebagai seorang anak seni.
"Selepas bercerai dan sebaik memasuki tahun 2013, saya banyak fokuskan terhadap kerjaya sebagai seorang pelakon.
"Kini, saya bakal muncul dalam sebuah drama yang berjudul Kerana Lelaki Itu dan seterusnya Nyiur Nan Sebatang untuk siaran RTM," tutur Ana tentang jadual kerja terkininya.
HATI Ana kini belum terbuka untuk menerima cinta daripada mana-mana lelaki.


Gunakan pengalaman
Cerita Ana, setelah sering diberi watak antagonis, sebenarnya dia kini lebih gemar untuk membawa watak wanita baik. Melalui drama Kerana Lelaki Itu, dia yang membawa watak sebagai Munirah memberitahu ia merupakan karakter yang memang digemarinya.
"Munirah merupakan satu watak wanita yang beremosi dan banyak bermain dengan air mata. Namun, watak ini punya cabarannya. Malah, ada babak yang memerlukan saya menangis seharian.
"Jadi, apabila perlu banyak menangis, saya menjadi terlalu letih dan sakit. Mujur pengarah begitu memahami dan tidak memaksa saya untuk melakukan penggambaran apabila melihat keadaan saya begitu," ujar Ana.
Kerana Lelaki Itu, jelas Ana lagi berkisah tentang keputusan seorang wanita yang berkahwin hanya selepas berkenalan dengan suaminya dalam masa yang singkat.
Mungkin secara tidak sengaja, ia juga turut terkena tempias kepada Ana sendiri yang baru sahaja mengalami pengalaman yang memeritkan dalam hidupnya. Jadi, dia banyak menggunakan pengalamannya sendiri untuk menghayati watak tersebut.
Akui rezeki terhadap dunia lakonan makin bertambah, Ana sentiasa bersyukur dan katanya, setakat ini, karier menjadi fokus utama dan dia tidak lagi mahu memikirkan tentang perkara lain.
ANA mengakui pernah terfikir untuk menelan pil tidur kerana mengalami tekanan impak perceraiannya dengan Chef Riz.


Tertekan
Hanya sempat melayari alam rumah tangga selama 11 bulan bersama Mohd. Nadzri Redzuawan atau Chef Riz dan kemudian berpisah, Ana tanpa berselindung mengaku dia sangat tertekan dengan kejadian yang menimpa dirinya.
"Saya memang rasa sangat lemah serta tidak ada semangat mahu pergi bekerja atau berjumpa dengan sesiapa.
"Dalam masa seminggu atau dua saya mengalami kejadian sukar untuk tidur. Sehinggakan ketika itu (sewaktu baru bercerai) saya rasa seperti ingin mengambil pil tidur sebagai penyelesai masalah saya.
"Namun, syukur saya masih berfikir secara positif bahawa mungkin satu hari nanti saya benar-benar akan mendapat seseorang yang lebih baik.
"Selain itu, rakan baik dan keluarga memang banyak menyokong saya terutamanya adik lelaki saya, Mohd. Zulfahmi," luah Ana yang sentiasa mengukir senyuman sepanjang ditemu ramah.
Tidak mahu dianggap sudah serik dengan lelaki, jelas Ana, jika benar dia ditakdirkan bertemu jodoh dengan seseorang, biarlah dia bertemu dengan seorang lelaki yang setia dan menyayanginya.
Bagaimanapun, buat masa ini ujarnya dia belum terbuka hati untuk menerima mana-mana lelaki dalam hidupnya.
Ujarnya: "Kini saya tidak mahu mencari atau boleh dikatakan buat masa ini, hati saya masih sukar untuk percaya dan terima lelaki. Namun, bagi saya pemulihan dan terapi terbaik sekarang ialah fokus pada kerjaya.
"Walaupun saya masih terasa dengan apa yang terjadi, namun rasanya tidak perlu saya tunjukkan kesedihan yang dialami kepada orang lain.
"Saya juga tidak mahu keluarga nampak saya tertekan dan bersedih," jelasnya yang banyak berdoa semoga semuanya berjalan dengan baik.
Tambahnya, dia sudah memaafkan bekas suami dengan apa yang telah terjadi. Malah, sewaktu diminta memberi komen terhadap gambar bekas suaminya bersama seorang wanita yang tersebar di internet baru-baru ini, Ana enggan memberi komen panjang lebar.
Dia sebaliknya hanya berkata: "Saya harap dia (Chef Riz) bahagia dengan wanita itu dan kehidupannya sekarang. Saya juga harap selepas ini jangan suka menuding jari mencari kesalahan saya lagi."

Pegawai SPRM mengaku salah cuba lakukan persetubuhan haram

Posted: 04 Mar 2013 06:19 PM PST


MISWANDI (kanan) bersama Dewi keluar dari Mahkamah Rendah Syariah, Seremban semalam.


SEREMBAN – Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pasangannya seorang wanita warga Indonesia masing-masing didenda RM1,800 oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam selepas mengaku bersalah berkhalwat di sebuah rumah di di Mantin dekat sini Jumaat lalu.
Hakim Syarie, Hamizan Mohd. Nor menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Miswandi Samin, 55, dan pasangannya, Dewi Maryanti, 23, selepas kedua-dua mereka mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan.
Terdahulu, Pendakwa Syarie, Wan Mohd. Helmi Masran yang mengendalikan kes berkenaan memohon kes tersebut dijalankan secara tertutup dengan alasan mendapat arahan daripada pihak atasan.
Bagaimanapun, Hamizan menolak permohonan pihak pendakwaan selepas Wan Mohd. Helmi gagal memberi alasan mengapa kes berkenaan perlu dijalankan secara tertutup.
Menurut kertas pertuduhan, Miswandi yang bertugas di Putrajaya dan Dewi yang bekerja di sebuah kilang di Nilai didakwa cuba melakukan persetubuhan haram dengan berkurung di sebuah rumah di Apartmen Sri Palma di Kolej Lagenda, Mantin dekat sini kira-kira pukul 5.15 petang pada 1 Mac lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 61 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan iaitu berkurung sehingga mendatangkan syak bahawa mereka melakukan maksiat dengan pasangan yang bukan mahramnya.
Jika disabitkan dengan kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Selepas mendengar rayuan kedua-dua belah pihak, Hamizan kemudiannya memerintahkan kedua-dua pasangan berkenaan masing-masing dikenakan denda RM1,800 atau satu bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda.
Pasangan berkenaan menjelaskan denda tersebut.
Mengikut fakta kes, sepasukan Penguat Kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menyerbu rumah berkenaan selepas menerima aduan awam kira-kira pukul 4.40 petang.
Ketika pemeriksaan penguat kuasa JHEAINS mendapati pintu apartmen berkenaan berkunci dan mereka terpaksa mengumpil pintu selepas penghuninya enggan memberikan kerjasama.
Dalam pemeriksaan itu, pihak JHEAINS menemui Miswandi yang memakai kemeja dan seluar panjang bersembunyi di dalam bilik air di sebuah bilik.
Dewi yang memakai baju-T dan seluar paras lutut ketika kejadian dijumpai bersembunyi di bawah katil di sebuah lagi bilik.
Pemeriksaan lanjut mendapati pasangan berkenaan tidak mempunyai sebarang hubungan yang sah dan bukannya suami isteri.

Dua kampung lagi kena ceroboh

Posted: 04 Mar 2013 06:17 PM PST

SEBAHAGIAN penduduk di Kampung Labian berkumpul di Dewan Embara Budi di Felda Sahabat, Lahad Datu semalam.


LAHAD DATU - Penduduk di Kampung Tanjung Batu dan Kampung Tanjung Labian di sini semalam gempar apabila menerima maklumat mendakwa sekumpulan 40 individu bersenjata mencurigakan yang menaiki dua buah bot mendarat di kawasan tersebut.
Kehadiran kumpulan yang didakwa mempunyai kaitan dengan pengganas Sultan Sulu tersebut kemudian dilaporkan oleh seorang penduduk berusia 36 tahun di sebuah balai polis di sini.
Sumber memberitahu, lelaki tersebut memberitahu dia menerima panggilan daripada seorang ketua kampung pada pukul 8.45 pagi semalam yang mendakwa melihat kehadiran sekumpulan lelaki yang menaiki dua buah bot besar kelmarin.
"Laporan itu juga menyebut lelaki bersenjata tersebut telah membeli makanan secara pukal sekaligus menggemparkan penduduk di dua buah kampung tersebut" katanya.
Sementara itu, seorang penduduk Kampung Tanjung Labian dikenali sebagai Ridal, 32, mendakwa, dia terdengar bunyi teriakan orang yang berlari menuju ke sebuah dewan.
"Kami kemudian nampak ada beberapa penduduk Kampung Tanjung Batu yang sama-sama menuju ke dewan. Mereka kata ternampak sekumpulan lelaki keluar dari kawasan ladang kelapa sawit menuju ke Kampung Tanjung Batu," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar ketika diminta mengulas mengenai perkara itu berkata, pihaknya sudah menghantar sepasukan anggota untuk memantau kawasan terbabit.
"Kita sedang menyiasat jika ada kumpulan yang benar-benar telah memasuki kedua-dua kampung berkenaan," kata beliau.
Bagaimanapun, menurut beliau, pada masa ini, keadaan di kedua-dua kampung itu terkawal dengan pasukan keselamatan sedang membuat kawalan rapi.
Dengan perkembangan terbaharu itu, pihak penceroboh kini telah masuk ke lima buah kampung dengan didahului Kampung Tanduo sejak 12 Februari lalu sebelum diikuti Kampung Seri Jaya, Siminul dekat Semporna dan Kunak.
Kampung Tanjung Batu dan Kampung Labian terletak kira-kira empat kilometer dari Kampung Tanduo.
Luas kawasan yang diceroboh kira-kira 500 meter persegi.
Ketika pertempuran antara pengganas Sultan Sulu dengan pihak polis di Kampung Tanduo, dua anggota polis Komando VAT 69 telah disahkan meninggal dunia. Mereka ialah Inspektor Zulkifli Mamat, 29, dan Koperal Sabarudin Daud, 46.
Zulkifli kemudian dinaikkan pangkat kepada Asisten Superintendan manakala Sabarudin pula mendapat pangkat Sarjan.
Tiga pula cedera iaitu Koperal Azman Ampong, 38, Koperal Mohd. Tarmizi Hashim, 32, dan Konstable Mohamad Qaiyumaiqal, 22.
Polis yang membuat serangan balas kemudian telah menembak mati seramai 12 orang pengganas.
Sementara itu di Kampung Seri Jaya pula, seramai enam anggota termasuk seorang pegawai disahkan meninggal dunia.
Mereka ialah Superintendan Ibrahim Lebar, 52; Lans Koperal Mohd. Azrul Tukiran, 27; Sarjan Abdul Azis Sakirun, 48; Koperal Salam Togiran, 42; Asisten Superintendan Michael Padel, 36, dan Sarjan Baharin Hamit, 49.
Jumlah pengganas yang dibunuh juga seramai enam orang.

Pengganas Sultan Sulu rancang bakar kampung

Posted: 04 Mar 2013 06:17 PM PST


PENDUDUK Kampung Seri Jaya bergegas meninggalkan
rumah selepas mendengar kampung mereka akan dibakar pengganas Sultan Sulu semalam.


SEMPORNA - Tragedi berdarah yang mengorbankan enam anggota polis di Kampung Seri Jaya, Simunul di sini menakutkan penduduk kampung selepas mereka mendengar khabar angin kumpulan pengganas itu merancang membakar kampung mereka.
Seorang penduduk, Nazmah Datugis, 40, berkata, sejak tercetus khabar angin itu, dia dan ahli keluarga membuat keputusan meninggalkan kampung itu buat sementara kerana bimbang dengan khabar angin tersebut.
"Kami terpaksa meninggalkan rumah kerana kumpulan tersebut tidak berhati perut dan sanggup melakukan apa sahaja termasuk membunuh," kata Nazmah yang sedang berkemas untuk meninggalkan kampungnya semalam.
Wandi Ipong, 52, pula berkata, khabar angin sejak kelmarin itu membuatkan dia dan penduduk kampung berasa tidak selamat walaupun menyedari pihak polis memberi jaminan keadaan di kampung tersebut masih terkawal.
"Kami dan beberapa penduduk tidak sanggup menanggung risiko untuk terus tinggal di sini," kata Wandi.
Tambah Wandi lagi, dia dan keluarga akan berpindah buat sementara waktu ke rumah kenalannya di kampung berhampiran dan hanya akan pulang semula selepas keadaan benar-benar aman.
Sementara itu, Ketua Kampung Seri Jaya, Panglima Ramlee Saraman berkata, beliau tidak dapat menghalang tindakan beberapa penduduk yang ingin berpindah ke tempat lain.
"Saya sudah menasihati semua penduduk supaya bertenang namun ada sebahagian penduduk tetap mahu pindah," kata Ramlee.
Sementara itu, tinjauan di pekan Semporna mendapati walaupun keadaan tenang namun penduduknya hidup dalam keadaan berjaga-jaga.
Beberapa kedai dilihat hanya membuka separuh premis untuk urusan perniagaan.
Selain itu, difahamkan, sebahagian nelayan turut enggan turun ke laut kerana bimbang dengan kejadian berdarah yang merebak ke sini.
Seorang nelayan, Ibrahim Jailani, 40, berkata, nelayan-nelayan terutamanya dari Kampung Seri Jaya mengambil keputusan untuk tidak menangkap ikan sejak Sabtu lalu.
"Jika esok keadaan lebih tenang, baru nelayan bercadang turun ke laut. Hasil tangkapan ikan merupakan sumber pendapatan penduduk di sini," katanya ketika ditemui semalam.
Bagi Abdullah Sapayani, 55, pula, walaupun tiada serangan terbaharu di pekan ini namun penduduk masih berada dalam ketakutan.
"Tindakan polis menyerbu dan menembak balas tindakan kumpulan pengganas yang membunuh anggota polis merupakan tindakan tepat," kata Abdullah.
Seorang suri rumah, Norpaidah Samat, 40, berkata, sejak tinggal di sini pada tahun 1970, ini merupakan insiden berdarah pertama yang dilaluinya.
Sejak tercetus pergolakan itu, Norpaidah berkata, dia sekeluarga terpaksa menggunakan tilam dan kusyen tempat duduk untuk diletakkan di dinding rumah sebagai benteng.
"Saya takut. Anak-anak saya juga ramai yang masih kecil," katanya.

Pakar sahkan DNA Muidin ada pada vagina Dirang

Posted: 04 Mar 2013 06:16 PM PST


MUIDIN dibawa ke Mahkamah Tinggi Johor Bahru untuk dibicarakan atas tuduhan membunuh Dirang semalam.


JOHOR BAHRU - Seorang pakar sains mengesahkan, analisis terhadap profil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) Muidin Maidin, 26, lelaki berketurunan Sulu sepadan dengan calitan spesimen daripada vagina dan dubur Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang yang mati dibunuh dan dibakar tahun lalu.
Bagaimanapun, Pegawai Sains dari Jabatan Kimia Cawangan Negeri Johor, Adrieanne Reeza Alwi yang juga saksi ke-18 kes pembunuhan kejam itu gagal memastikan sama ada mangsa telah dirogol atau tidak oleh buruh kontraktor tersebut.
"Profil (DNA) berkenaan ditemui pada dua putik kapas yang ditandakan sebagai E31 dan E32 yang diambil daripada kanak-kanak itu.
"DNA itu juga menunjukkan sel yang diperoleh bukan jenis spermatozoa dan air mani sebaliknya kemungkinan daripada sel kulit, air liur dan air peluh.
"Antara satu kemungkinan DNA boleh berada dalam vagina seseorang mungkin disebabkan peneterasi tanpa ejakulasi, ia juga boleh terhasil menerusi sentuhan membabitkan sel kulit, peluh atau air liur," katanya di hadapan Hakim Datuk Abdul Halim Aman.
Dalam kes tersebut, Muidin, 27, dituduh membunuh kanak-kanak itu di ladang kelapa sawit, Jalan Suria, 47, Bandar Seri Alam, Masai antara pukul 11.30 pagi pada 1 Mac dan 12 malam pada 2 Mac 2012.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Perbicaraan semalam memasuki hari kelima dan dijangka 30 saksi pendakwaan dipanggil untuk memberi keterangan di hadapan Hakim Abdul Halim.
Sementara itu, Adrieanne yang berpengalaman lapan tahun dalam kajian DNA memberitahu, analisis terhadap perbandingan ujian DNA darah milik seorang wanita yang dikenali sebagai Roselyn Alan, 27, juga sepadan dengan anaknya, Dirang.
Menjawab satu soalan yang diajukan peguam tertuduh, Mohd. Daud Ismail semasa pemeriksaan balas, pegawai sains itu menjelaskan, untuk uji kaji tersebut, hanya sampel ibu mangsa yang dianalisis memandangkan beliau tidak memperolehi sampel darah bapa mangsa, Henry Yondot.
Perbicaraan bersambung pada 20 Mac ini dan Abdul Halim serta barisan pendakwaan dan pembelaan akan dibawa ke lokasi Dirang dibunuh pada hari tersebut iaitu di sebuah rumah terbengkalai di Bandar Seri Alam, Masai.

Sindiket seludup diesel tumpas

Posted: 04 Mar 2013 06:14 PM PST


KALAI CHELVAN menunjukkan kapal tangki yang digunakan bagi mengangkut diesel bersubsidi yang diseludup oleh sebuah sindiket di Tanjung Belungkor, Pengerang, Kota Tinggi semalam.


KOTA TINGGI – Satu sindiket penyeludupan diesel bersubsidi dipercayai terbesar di negeri ini tumpas selepas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 membuat serbuan di jeti pemunggahan kargo Tanjung Belungkor, Pengerang di sini awal pagi semalam.
Timbalan Komander PPM Wilayah 2, Superintendan N. Kalai Chelvan berkata, ketika diserbu kira-kira pukul 12.30 pagi, beberapa pekerja sindiket yang didalangi rakyat Singapura itu sedang leka mengepam minyak diesel daripada sembilan buah treler ke dalam sebuah kapal tangki.
Katanya, dalam serbuan itu, pihaknya berjaya merampas sebanyak 300 tan metrik diesel bersubsidi dianggarkan bernilai RM600,000 dan menahan 20 lelaki berusia antara 20 hingga 40-an, terdiri daripada warga Indonesia, Myanmar, Singapura dan rakyat tempatan.
Mereka yang ditahan terdiri daripada sembilan pemandu treler, seorang penyelia kargo dan 10 anak kapal tangki berkenaan.
"Kejayaan ini merupakan hasil daripada intipan selama dua hari. Ketika kejadian, kami membuat serbuan dari dua penjuru melalui darat dan laut menyebabkan sindiket ini tidak sempat melarikan diri.
"Hasil siasatan awal, kami percaya sindiket ini merupakan yang besar memandangkan penyelia kargo mengaku terdapat lebih 10 buah kapal milik mereka yang sentiasa keluar masuk ke jeti ini untuk memunggah minyak diesel," katanya kepada pemberita ketika ditemui di jeti berkenaan semalam.
Menurut Kalai Chelvan, kapal tangki berkenaan mampu mengisi sebanyak 400 tan metrik minyak.
Ketika ditahan, ujarnya, hanya terdapat 200 tan metrik minyak di dalam kapal dan selebihnya 200 tan metrik) di dalam kesemua sembilan lori tangki berkenaan.
Jelasnya, siasatan mendapati, minyak diesel terbabit diperoleh dari beberapa kawasan termasuk Kulaijaya, Johor Bahru dan Mersing sebelum dipindahkan ke kapal tangki berkenaan untuk dijual kepada kapal dagang yang berlabuh di perairan Johor Timur.
"Siasatan awal juga mendapati, sindiket ini beroperasi sejak setahun lalu, manakala kapal tangki yang didaftarkan di negara ini adalah kepunyaan seorang warga Singapura.
Beliau berkata, kesemua rampasan dan tahanan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk tindakan lanjut.

Cucu Katihja Bee bersekolah

Posted: 04 Mar 2013 06:13 PM PST


SITI NURHIDAYAH (tengah) ceria dikelilingi rakan-rakan pada hari pertama dia bersekolah semula di Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Lebuh Light, George Town semalam.


GEORGE TOWN - Kisah seorang remaja, Siti Nurhidayah Abdullah, 13, yang terpaksa berhenti sekolah sejak setahun lalu kerana kemiskinan keluarganya mendapat perhatian proaktif Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang (JPNPP).
Semalam, Siti Nurhidayah mendaftar ke tingkatan satu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Lebuh Light di sini dengan diiringi Pengarah JPNPP, Tarmizi Kamaruddin ke kelas.
Siti Nurhidayah yang memakai pakaian seragam serba baharu ceria dapat bersekolah semula.
"Saya memang rindu hendak ke sekolah dan berjanji akan belajar bersungguh-sungguh bagi membantu nenek dan ibu.
"Tidak lupa juga, orang ramai membantu terutama akhbar yang menyiarkan berita tentang kesusahan kami," ujarnya yang bercita-cita menjadi seorang doktor untuk membantu orang susah.
Sementara itu, Tarmizi ketika ditemui memberitahu, pihaknya akan menyalurkan bantuan berterusan kepada remaja itu dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah berkenaan.
Katanya, JPNPP mengambil berat terhadap kes yang menimpa Siti Nurhidayah dan turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pelajar lain yang tercicir agar melaporkannya kepada jabatan itu.
"Walaupun ada yang sudah dua, tiga tahun tak bersekolah tetapi sistem pendidikan kita membenarkan mereka belajar semula serta tidak meminggirkan mereka.
"Setakat ini, JPNPP hanya menerima satu kes pelajar tercicir iaitu membabitkan Siti Nurhidayah dan kita berterima kasih kepada semua pihak yang membantu," ujarnya.
Kosmo! sebelum ini, melaporkan kesusahan keluarga Siti Nurhidayah yang bergantung harap kepada neneknya, Katihja Bee Latiff, 46, yang juga orang kelainan upaya (OKU) setelah kudung kedua-dua kaki akibat diabetes.
Katihja Bee menyara hidup dengan bantuan daripada Pusat Urus Zakat (PUZ) sebanyak RM300 dan RM150 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menyara tiga anak dan dua cucunya.
Bagaimanapun dia yang tidak mampu bekerja terpaksa membelanjakan RM200 setiap bulan untuk kos rawatannya dan anak-anaknya.
Keluarganya juga terpaksa mengalas perut dengan bubur nasi berlaukkan bawang setiap hari kerana berjimat-cermat.
Lebih memilukan keluarga tersebut bakal kehilangan tempat berteduh kerana tidak mampu membayar tunggakan sewa rumah di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Jalan Sungai, Sungai Pinang dekat sini yang mencecah RM2,000.

Enjin carian Google mengenai Sabah digodam penyokong pengganas

Posted: 04 Mar 2013 06:09 PM PST


PENGGODAM menyiarkan maklumat tentang Sabah yang bukan merupakan negeri yang sah milik Malaysia di enjin carian Google semalam.


KUALA LUMPUR - Para penyokong kumpulan pengganas Sultan Sulu yang menceroboh Sabah baru-baru ini telah menggodam enjin carian Google.
Penggodam itu menyiarkan maklumat bahawa Sabah bukan negeri yang sah di Malaysia.
Hasil keputusan carian enjin itu juga memaparkan keratan kenyataan tersebut yang diambil daripada petikan di laman web Wikipedia.
"Sabah merupakan salah sebuah daripada 13 negeri di Malaysia dan ia dikuasai secara haram," kata kenyataan tersebut dalam bahasa Inggeris.
Selain itu, sebuah laman web Kolej Stamford di Malaysia turut digodam pada hujung minggu lalu apabila muka hadapan laman tersebut diganti dengan mesej yang menyatakan: "Masanya telah tiba untuk menuntut kembali apa yang sebenarnya menjadi hak kami."
Beberapa laman berita portal Filipina mendakwa sejumlah laman web di negara tersebut telah diserang oleh para penggodam pro-Malaysia.
Sebelum itu, masyarakat Malaysia telah dikejutkan dengan serangan kumpulan pengganas yang mendakwa mereka Tentera Kesultanan Sulu.
Kira-kira 100 sehingga 300 orang pengganas tersebut mendarat di perairan Sabah pada 12 Februari lalu.
Pasukan keselamatan Malaysia berjaya membunuh sejumlah anggota penceroboh tersebut.
Bagaimanapun, beberapa anggota polis Malaysia turut terbunuh dalam insiden tembakan yang berlaku melibatkan kedua-dua pihak.
Pencerobohan itu diketuai oleh Raja Muda Agbimuddin Kiram yang merupakan adik Sultan Jamalul Kiram III yang mendakwa sebagai Sultan Sulu.

Filipina serahkan kepada Malaysia

Posted: 04 Mar 2013 06:09 PM PST

BEBERAPA penduduk Filipina tiba dari Sabah di sebuah pelabuhan di Jolo, wilayah Sulu semalam.- AP


MANILA - Pentadbiran Filipina semalam menyatakan nasib Raja Raja Muda Agbimuddin Kiram dan para pengikutnya yang merupakan adik Sultan Jamalul Kiram III di Sabah kini terletak di tangan pihak berkuasa Malaysia selepas mereka enggan meletak senjata dan menyerah diri, lapor portal berita ABS-CBNnews.com semalam
"Malaysia sudah mengambil alih. Terdapat kematian di pihak mereka. Mereka mahu menyelesaikannya mengikut cara mereka," kata jurucakap Presiden Filipina, Edwin Lacierda kepada rancangan Mornings@ANC.
Lacierda berkata, pentadbiran Filipina banyak kali merayu kepada keluarga Kiram supaya meninggalkan Sabah.
Kenyataan itu dibuat selepas beberapa anggota polis Malaysia dan para pengikut raja muda itu mati akibat pertempuran yang berlaku di Lahad Datu.
Katanya, keengganan Kiram telah mengancam kehidupan 800,000 warga Filipina yang hidup dengan aman di Sabah.
Kiram yang mendakwanya sebagai Sultan Sulu telah mengarahkan para pengikutnya pergi ke Sabah pada awal bulan lalu untuk tinggal di sebuah kawasan yang dianggapnya sebagai milik kesultanan tersebut berdasarkan sejarah.
"Kami telah meminta mereka meletakkan senjata dan menyerah diri atau menghadapi kematian. Sekarang keluarga Kiram meminta ketenangan yang sepatutnya dilakukan sebelum ini. Kiram patut membawa pulang pengikutnya dan mengadakan dialog.
"Mereka (para pengikut Kiram) enggan mendengar rayuan kami. Mereka berdegil kerana ingin menuntut hak," tambahnya.
Ditanya apa yang telah dilakukan oleh pemerintah Filipina untuk keluarga Kiram, Lacierda berkata, pihak pemerintah telah memastikan keselamatan 800,000 warganegara itu di Sabah terjamin.
Katanya, pemerintah turut memberi bantuan kepada pengikut keluarga Kiram di Tawi-Tawi dan Sulu.
Lebih 100 pengikut Agbimuddin kini berada di Sabah.
Dalam wawancara itu, Lacierda berkata, pihaknya telah menghantar utusan ke Kiram di Taguig, Manila sebagai usaha meyakinkan beliau untuk mengarahkan pengikutnya menyerah diri.
Antara mereka yang bertemu dengan keluarga Kiram termasuk Penasihat Hal Ehwal Politik Presiden, Ronald Llamas; Penasihat Keselamatan Negara, Cesar Garcia dan Gabenor Wilayah Autonomi Islam Mindanao, Mujiv Hataman.
Lacierda berkata, Kiram kerap bertukar-tukar fikiran semasa peringkat awal rundingan.
Pada satu ketika, Lacierda berkata, pemerintah dan keluarga Kiram hampir mencapai persetujuan sehinggalah satu panggilan telefon mengubah segala-galanya.
Katanya, hasil risikan mendapati terdapat pihak yang sengaja menghasut keluarga Kiram.
"Pada satu ketika kami hampir memeterai perjanjian dan secara tiba-tiba Kiram menghubungi seseorang, kemudian semuanya berubah. Kami sedang menyiasat perkara itu. Presiden berkata, kami tengah mencari siapa pihak itu tanpa menamakan sesiapa. Kamu menghantar 180 pengikut ke Lahad Datu dan menuntut Sabah. Itu tidak realistik," katanya.
Lacierda berkata, banyak pihak menuntut gelaran Sultan Sulu dan Kiram salah satu daripadanya.
Beliau berkata, isteri kepada pengasas Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro, Nur Misuari turut menuntut gelaran itu.
Jurucakap itu berkata, bapa Kiram telah dilucutkan gelaran sebagai putera mahkota oleh Sultan Sulu, Ismael Kiram.
Beliau berkata, mengikut catatan sejarah terdapat sembilan pihak menuntut gelaran itu.
Lacierda berkata, terdapat beberapa percubaan oleh pentadbiran Filipina untuk menyatukan kesemua waris dan mengukuhkan tuntutan ke atas Sabah.
Semasa Corazon Aquino menjadi Presiden, beliau cuba menyatukan semua waris tetapi Kiram merosakkan rundingan.
Ketika pemerintahan Presiden Fidel Ramos, Kiram sekali lagi menjadi dalang yang merosakkan rundingan.
Sementara itu, lebih 300 pendatang asing warga Filipina tiba dari Sabah pada malam Sabtu lalu dengan menggunakan feri di Zamboanga.
Menurut agensi berita AP semalam, sejumlah penduduk Filipina yang tinggal di Sabah tiba di sebuah pelabuhan Jolo semalam.
Jolo merupakan ibu negeri wilayah Sulu.

Wanita didakwa kerana mogok lapar selama 12 tahun di India

Posted: 04 Mar 2013 05:57 PM PST


SHARMILA (empat dari kanan) dikawal beberapa anggota polis di sebuah kompleks mahkamah di New Delhi semalam.- AP


NEW DELHI - Seorang aktivis hak asasi manusia, Irom Sharmila, 40, yang mogok lapar selama 12 tahun dihadapkan ke sebuah mahkamah di sini semalam atas dakwaan cuba membunuh diri.
Sharmila yang dipaksa makan dengan menggunakan saluran ke hidung mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut.
Beliau berkata, mogok lapar merupakan satu-satunya cara bagi menarik perhatian terhadap pencabulan hak asasi manusia di negeri kelahirannya, Manipur.
Sharmila mula mogok lapar pada November 2000 selepas menyaksikan pembunuhan 10 orang penduduk di perhentian bas berhampiran rumahnya.
"Saya bukan cuba untuk membunuh diri dan saya ingin menyatakan saya tidak bersalah," kata Sharmila kepada Majistret Akash Jain.
Pihak berkuasa telah memaksa Sharmila makan melalui satu saluran ke hidungnya bagi menghalang beliau mati.
Beliau juga kini dikurung di dalam wad di sebuah kolej perubatan di Manipur.

Volkswagen Golf dinobat kereta terbaik Eropah

Posted: 04 Mar 2013 05:56 PM PST


KETUA Pembangunan Volkswagen, Ulrich Hackenberg memegang trofi kereta untuk tahun 2013 pada Pertunjukan Kereta Geneva di Geneva semalam.


GENEVA, Switzerland - Kereta model Volkswagen Golf telah dinobatkan sebagai kereta terbaik Eropah bagi tahun 2013 oleh wartawan automotif dari lebih 20 buah negara.
Diperkenalkan pada tahun 1974, kereta yang diberi wajah baharu itu merupakan model keluaran Volkswagen yang paling laris.
Kereta itu mendapat undian sebanyak 414 undi berbanding Subaru BRZ atau turut dikenali sebagai Toyota GT-86 dengan 202 undian.
Model Volvo V40 ditempat ketiga dengan 189 undian.
Anugerah itu merupakan platform penting di Eropah untuk memberikan idea kepada pengguna mengenai kereta masa hadapan.
Model Volkswagen Golf sebelum ini pernah memenangi anugerah sama pada tahun 1992.

Pejabat syerif di AS guna helikopter kawalan jauh

Posted: 04 Mar 2013 05:54 PM PST


GAMBAR yang dirakamkan pada 31 Januari lalu menunjukkan helikopter kawalan jauh Draganflyer X6 milik Pejabat Syerif daerah Mesa dipamerkan di Landasan Terbang Gand Valley Model, Mesa.


DENVER - Pejabat Syerif daerah Mesa di negeri Colorado, Amerika Syarikat (AS) menggunakan dua buah helikopter kawalan jauh ciptaan firma Draganfly Innovations Inc.
Helikopter Draganflyer X6 itu boleh terbang setinggi 121.92 meter dan bergerak pada kelajuan 32.19 kilometer sejam.
Ia membawa kamera boleh terbang selama 15 minit.
Helikopter itu digunakan menjelang pengenalan ribuan dron tanpa juruterbang di langit Amerika Syarikat pada tahun 2015.

Zikir rahsia album dapat sambutan

Posted: 04 Mar 2013 05:52 PM PST


HAFIZ bukan sahaja mencipta lagu, malah turut terlibat dalam proses pemasaran dan jualan album.


MEMORI enam tahun lalu cukup kejap dalam ingatan anak muda ini. Semuanya kerana gara-gara wang. Air matanya tumpah kerana wang di dalam dompetnya cuma tinggal seringgit. Pada masa itu dia merupakan pelajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM). Dengan jumlah wang yang sebegitu tentulah dia tidak dapat membeli makanan. Namun untuk mengalas perut, dia membeli mi segera dan wangnya berbaki 20 sen.
"Air mata saya menitis ketika mengenangkan kisah jerih perih memulakan hidup sebagai insan seni.
"Ketika itu saya sedang menghasilkan album solo pertama. Keesokan harinya saya menelefon ibu untuk meminjam RM100 sebagai modal untuk menyara hidup pada minggu tersebut," luah pelantun album Zikir Terapi Diri, Hafiz Hamidun atau nama sebenarnya Mohammad Hafiz Hamidun.
Selepas insiden tersebut, anak ketiga daripada lima beradik itu berjanji pada dirinya untuk tidak akan membiarkan wang di dalam dompet dihuni not kertas biru sahaja.
Insiden itu menjadi pembakar semangat buat diri anak kelahiran Teluk Intan, Perak itu sehingga lahirnya album Zikir Terapi Diri pada tahun 2011. Lebih membanggakan, zikir terapinya mencetuskan fenomena dalam industri muzik negara.
Walaupun sudah meraih populariti luar biasa, figura berusia 28 tahun ini seorang yang rendah diri.
Pernah menganggotai kumpulan nasyid UNIC pada tahun 2002 ketika usianya 18 tahun, Hafiz bagaimanapun meninggalkan kumpulan tersebut kerana tamat kontrak.
Beliau mula berjinak-jinak dalam industri muzik selepas terlibat dalam industri sejak tahun 2002 ketika menuntut di Pusat Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Petaling Jaya.
Semuanya bermula secara tidak sengaja apabila kumpulan nasyid Hijjaz menjemput Hafiz menggantikan persembahan salah seorang anggota kumpulan UNIC.
Dapat sokongan
Menurut Hafiz, dia aktif menyertai pertandingan-pertandingan seni seperti dikir barat, nasyid, puisi sejak di bangku sekolah. Dia yang cenderung kepada nasyid pernah memenangi pertandingan nasyid sehingga ke peringkat kebangsaan.
"Setelah ke IPT (institusi pengajian tinggi), saya fikir saya tidak akan lagi terlibat secara aktif, tetapi keadaan menjadi lebih serius apabila di Pusat Matrikulasi UIAM kerana nasyid merupakan hiburan utama di institusi itu," katanya ketika ditemui di studionya, Arteffects International di Neo Damansara, Petaling Jaya.
Bermula dari saat itu, rakan-rakan dan keluarga tidak putus-putus memberikan sokongan termasuklah kumpulan Hijjaz sendiri.
Apakah rahsia kejayaan album zikirnya mencetuskan fenomena hingga terjual hampir 80,000 unit dalam masa 11 bulan? Hafiz percaya zikir itulah yang menjadi kekuatan album tersebut. "Tiada rahsia atau sebarang formula di sebalik kejayaan album ini. Apa yang pasti, saya meletakkan keutamaan zikir sebagai elemen teras album ini.
"Niat saya adalah mahu menyebarkan kekuatan zikir supaya orang ramai terus mencintai dan menjadikan zikir sebagai amalan harian mereka," ujarnya bahawa album Zikir Terapi Diri mengetengahkan elemen muzik terapi dengan kaedah susunan muzik yang minimalis.
Menurut Hafiz, ilham untuk menghasilkan album sebegini sebenarnya sudah lama, cuma dia menunggu masa yang sesuai untuk menerbitkannya.
Kepada beliau, seseorang pencipta lagu atau lirik lagu-lagu ketuhanan perlu ada 'rasa' bahawa lagu atau lirik yang bakal terhasil akan turut disukai ramai, bukan hanya sedap di telinga sendiri.
Mencipta lagu
Kemerduan sesebuah lagu bukan sahaja terletak pada vokal pelantun, tetapi ia harus juga disokong dengan lirik dan melodinya. Jika sesebuah lagu ketuhanan itu memerlukan elemen sedih, liriknya mestilah tepat dan tidak banyak berselindung. Melodinya juga perlu tersusun tetapi terus menangkap perasaan.
"Seseorang pencipta lagu ketuhanan perlu berhati-hati apabila mencipta lirik yang mahu dilagukan. Apabila terlalu banyak metafora, orang ramai mungkin tidak dapat memahami apa yang ingin disampaikan.
"Pemilihan kata juga harus tepat. Tidak semua perkataan sedap dinyanyikan, tetapi ada juga perkataan yang janggal disebut tetapi menarik untuk dinyanyikan," terangnya ilham boleh datang pada bila-bila masa sahaja.
Kini, dia mesti duduk di studio dan menggambarkan terlebih dahulu lagu bagaimana yang ingin dihasilkannya. Kemudian Hafiz akan menekan piano dan mencuba satu demi satu sehingga sebuah lagu terhasil.
Lelaki yang masih solo ini mengakui lirik dan lagu sangat penting dalam penciptaan sesebuah lagu kerohanian.
"Tanpa lirik yang bagus, tidak mungkin sesebuah lagu dapat menyampaikan maksudnya.
"Seseorang yang ingin mencipta lagu kerohanian perlu ada ilmu yang banyak tentang subjek yang disentuh," katanya.
Mengenai rutin hariannya, Hafiz memberitahu dia jarang berehat, makan, tidur dan bersukan.
Jika tiada persembahan, rutinnya akan bermula seawal pukul 6 pagi. Usai subuh, Hafiz akan memulakan harinya dengan melayari Facebook dan Twitter.
Sebelum pukul 9 pagi, Hafiz sudah tiba di studionya dan akan 'bertapa' seharian untuk menyelesaikan tugasan-tugasan yang penting.
Selaku penerbit, tugas lulusan muzik UiTM, Shah Alam itu bukan sahaja mencipta lagu dan melaksanakan rakaman, malah Hafiz turut terlibat dalam proses pemasaran dan jualan.
Berkat kesabaran dan kerja kerasnya, anak muda ini tampil mengadakan konsert sulungnya pada 14 November lalu yang dihadiri 2,000 penonton.
Rancangan masa depan
"Saya bersyukur dengan sambutan para peminat kerana album Zikir Terapi Diri ini telah membina hubungan rapat antara saya dengan pencinta-pencinta zikir. Ada yang tidur dengan memutarkan zikir-zikir dalam album tersebut, malah zikir itu juga menjadi peneman ketika terperangkap dalam kesesakan jalan raya dan pelbagai lagi," katanya yang menyifatkan konsert tersebut sebagai lambang terima kasih kepada para peminat.
Apakah perancangan Hafiz pada masa akan datang? Sambil mengakui perjalanannya masih jauh, namun Hafiz sudah merencana sesuatu demi masa depannya.
"Saya bercita-cita untuk membesarkan syarikat dan masuk ke pasaran antarabangsa.
"Selain itu, saya mahu mengembangkan kerjaya berteraskan syariah. Sebagai seorang pemuzik dan ahli perniagaan, keseimbangan antara kedua-duanya sangat penting," katanya yang menggemari warna ungu.
Menyifatkan dirinya seorang yang terbuka, Hafiz percaya muziknya sesuai untuk semua lapisan masyarakat.
"Pendengar muzik terdiri dari pelbagai bangsa dan agama. Ia bukan untuk diperdagangkan tetapi harus diserlahkan potensinya supaya semua orang mendapat manfaat daripadanya," ujar Hafiz yang juga berbakat pengacarakan majlis.

Politik bawang India

Posted: 04 Mar 2013 05:52 PM PST


HARGA bawang
di India meningkat sehingga dua kali ganda sejak awal tahun ini.


DI SEBUAH warung yang terletak di siar kaki Mumbai, India, seorang tukang masak dilihat sedang mencampakkan potongan lobak merah, kubis dan daun saderi ke dalam kuali yang berisi minyak panas. Dia kemudiannya memasukkan hirisan bawang ke dalam kuali yang sama.
"Saya tidak mampu untuk menambah lebih banyak bawang," ujar Govind Ram sambil memerhatikan seorang tukang masaknya menyediakan menu sayuran kering ala Manchuria, hidangan signatur warungnya yang mengandungi banyak bawang merah dan daun bawang.
Govind, pemilik warung jalanan Dragon Corner yang terletak di selatan Mumbai itu memberitahu, kebiasaannya dia menggunakan 45 kilogram (kg) bawang setiap bulan.
Bagaimanapun, ekoran kenaikan harga bahan itu sehingga dua kali ganda bermula awal tahun ini, dia terpaksa merombak semula penggunaan ramuan bagi sajian di warungnya.
Di kebanyakan warung tepi jalan dan pasar raya, pelanggan membelanjakan 28 rupee (RM1.60) sehingga 40 rupee (RM2.30) bagi sekilogram bawang. Harga itu mencetuskan rasa tidak puas hati warga India yang sebelum ini hanya membayar 10 rupee (RM0.60) sehingga 15 rupee (RM0.85) untuk amaun yang serupa.

PARA peniaga tidak dibenarkan menyembunyikan stok bawang atau mereka akan dikenakan tindakan.


Kenaikan harga
Berdasarkan data rasmi negara itu, harga bawang mencatatkan kenaikan harga paling tinggi berbanding harga makanan lain.
"Ia benar-benar memberi kesan kepada kumpulan berpendapatan rendah dan membuatkan mereka tertekan," ulas ketua ekonomi India Ratings, cawangan agensi Fitch.
Dengan kos yang tinggi berserta inflasi makanan sekitar 12 peratus yang dihadapi India, ia secara langsung menjadi masalah kepada tampuk pemerintahan yang kini dipegang Parti Kongres. Ia bakal menggugat usaha mereka dalam mengekalkan kuasa untuk tiga penggal berturut-turut menjelang pilihan raya umum awal tahun depan.
Bawang mungkin bukan sumber nutrisi terpenting tetapi ia sangat penting dalam menambah rencah kepada makanan. Namun, apabila rencah tersebut tidak dapat dipenuhi, ia berupaya menjadi bahan utama untuk dipolitikkan.
Mengimbas kembali pada Januari 1980, ketika Indira Gandhi mendapat kembali kuasanya, isu kenaikan harga bawang menjadi manifesto yang efektif. Rakyat India dikatakan tidak mahu tunduk kepada pemerintah yang gagal mengawal kos jual beli bawang.
18 tahun kemudian, masalah harga bawang kembali menghantui India. Rakyat mula hilang kepercayaan kepada tampuk pemerintahan tersebut dan mahukan pembaharuan.
"Pemerintah tidak peduli tentang kami. Jika dahulu, lauk sayur dan ikan yang dicampur bawang boleh disajikan dengan kerap. Kini, ia dicatu menjadi sekali seminggu sahaja.
"Kami menggantikan sajian nasi dan sayur kepada podi (sejenis makanan yang diperbuat daripada serbuk lentil berempah)," luah seorang suri rumah di kawasan setinggan Mumbai, Sumathi Arogyanathan, 45.

PELBAGAI jenis sajian di India menggunakan bawang dalam kuantiti yang banyak.


Penyelesaian
Para pedagang di barat Maharashtra memberitahu, kenaikan harga bahan itu adalah disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu, kelewatan ketibaan barangan, permintaan yang konsisten dan peningkatan kos pengeluaran.
Berdasarkan laporan untuk kawalan perdagangan saksama, para pedagang memberitahu, Suruhanjaya Persaingan India sebenarnya mempengaruhi kos bawang iaitu sebanyak 15 juta tan yang kebiasaannya diperoleh setiap tahun.
Krisis bawang melibatkan kenaikan harga mula meledak pada tahun 2010 sehingga memaksa Perdana Menteri India, Manmohan Singh campur tangan dengan menyekat eksport bawang, menghapuskan cukai import dan membawa masuk bahan itu dari Pakistan.
Pakar ekonomi menjangkakan, pihak pemerintah akan membuat garis panduan sebagai insentif atau pengukur dalam bajet persekutuan bagi memperbaiki bekalan, mengurangkan pembaziran sekali gus menurunkan kembali harga buah-buahan dan sayur-sayuran.
"India sangat suka menerapkan pendekatan bomba!
"Apabila terdapat kebakaran, baru mereka memadamkan api tersebut," ujar ketua ekonomis yang bertugas bersama firma Crisil, Dharmakirti Joshi.
Ketua Menteri Delhi, Sheila Dikshit telah mengumumkan bahawa jabatan bekalan awam perlu mengambil tindakan ke atas penyembunyi bekalan makanan. Menteri Kereta Api Kebangsaan India, Shri Pawan Kumar, pula berjanji untuk menambah bilangan gerabak bagi meningkatkan bekalan.
Namun tanpa penyelesaian jangka panjang yang sistematik, harga bawang berkemungkinan kekal pada paras tinggi untuk tempoh tertentu.
"Mereka tidak boleh mengabaikan masalah ini. Ia perlu diselesaikan," tegas Joshi.

Alat spa canggih di rumah sendiri

Posted: 04 Mar 2013 05:50 PM PST

PENGGUNAAN peralatan kecantikan TriPollar Pose secara konsisten berupaya menghilangkan lemak di bahagian pangkal lengan.


SELEPAS menghidupkan suis peranti kecantikan TriPollar Pose, Jacqueline Lee, 30, melabuhkan punggungnya di atas sofa empuk yang terletak di ruang tamu rumahnya.
Alat itu kemudian dihalakan di pangkal lengan kiri yang kelihatan sedikit berlemak. Beberapa siri urutan dari atas ke bawah dilakukan dengan penuh berhemah.
Selepas beberapa ketika, Jacqueline mengulangi langkah yang sama di bahagian lengan sebelah kiri pula. Sesekali dia berhenti sambil menghirup teh Cina yang terletak di atas meja sebelum menyambung kembali rutin tersebut.
Berfungsi untuk mengurangkan selulit dan kesan regangan selepas bersalin, membentuk tubuh serta menjadikan kulit lebih anjal, TriPollar Pose merupakan salah satu daripada gajet kecantikan yang dipasarkan di bawah jenama Clariancy (Private Limited).
Melalui peralatan tersebut, setiap hari Jacqueline akan meluangkan masa antara 30 minit hingga satu jam untuk melakukan rejim kecantikan sendiri di rumah. Tanpa perlu ke spa atau butik penjagaan kecantikan, wanita berusia 30 tahun itu masih mampu memiliki bentuk badan yang menarik serta kulit yang mulus.
"Saya mula mengenali produk ini sejak Ogos tahun lalu selepas Clariancy membuka butik sulungnya di Kuala Lumpur dengan menawarkan pelbagai peranti elektronik untuk kegunaan di rumah.
"Sebagai wanita, sukar untuk saya menolak sesuatu yang berkait dengan kecantikan, apatah lagi ia mudah digunakan dan boleh dibawa ke mana-mana. Justeru, saya sanggup melabur sebahagian daripada wang simpanan untuk mendapatkan beberapa peralatan yang sesuai.

ANSR: BEAM adalah revolusi alat penjagaan kulit yang menggabungkan kedua-dua LED biru dan merah ke dalam satu peranti padat bersaiz mudah alih bagi tujuan mengawal jerawat dan anti-penuaan.


"Selepas penggunaan selama beberapa minggu, kesannya sudah dapat dilihat. Contohnya ia mampu mengurangkan lemak di bahagian tertentu tubuh dan menjadikan kulit lebih halus serta bebas daripada pigmentasi," ujar Jacqueline ketika ditemui Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bagaimanapun, sejak disahkan hamil pada pertengahan November, Jacqueline menghentikan seketika pemakaian peranti kecantikan Clariancy bagi mengelak sebarang risiko terhadap pertumbuhan bayinya.
Begitupun, kata wanita itu lagi, rutin tersebut akan diteruskan sebaik dia selamat melahirkan anaknya pada bulan Ogos akan datang.
Merupakan salah satu daripada jenama terkemuka dalam peralatan penjagaan kulit dan perkhidmatan estetik di Singapura, Clariancy membuktikan bahawa perkembangan teknologi bukan sahaja merangkumi bidang telekomunikasi, malah boleh diaplikasi dalam dunia kecantikan.
Ditubuhkan pada tahun 2010 oleh sekumpulan profesional perubatan dan kecantikan, ia bertujuan memenuhi perkembangan eksponen dan permintaan tinggi bagi perkhidmatan estetik dan peralatan.
Peralatan revolusi
Pengarah Perubatan Clariancy (Pte Ltd), Dr. Lim Hock Hin, 35, berkata, sejak tiga tahun lalu, Clariancy telah menjual pelbagai peralatan revolusi mudah alih estetik untuk kegunaan di rumah.
Menurutnya, selain terbukti secara klinikal untuk keberkesanan kos, ia juga bersifat mesra pengguna dan paling penting, selamat digunakan.
"Visi kami adalah untuk menjadikan teknologi canggih estetik boleh diakses oleh semua orang. Clariancy adalah salah satu daripada perintis dalam konsep peranti estetik di rumah yang dikuasakan oleh teknologi estetik terkini.
"Alat-alat ini diperoleh dari seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Korea. Setiap peranti yang dipilih akan menjalani saringan yang ketat dan teliti sebelum ia dijual di Clariancy," kata Hock Hin yang merupakan pengasas merangkap doktor utama Klinik Estetik Clariancy di republik tersebut.
Sehingga kini, jenama Clariancy semakin dikenali dan telah memiliki enam butik di Singapura selain turut membuka cawangan di pusat beli-belah berprestij, Pavilion Kuala Lumpur pada Ogos 2012.
Tambah Hock Hin, pihaknya menyasarkan untuk menyediakan dan memperluaskan pasaran Malaysia dengan pemilihan produk penjagaan kulit halus dan peralatan peranti mudah alih yang membolehkan pengguna menikmati rawatan kecantikan dalam privasi rumah mereka sendiri.
"Clariancy membawa sesuatu yang segar dan baharu untuk pasaran Malaysia. Perkembangan dan minat terhadap peranti estetik di rumah merupakan faktor yang membawa kepada pembukaan butik pertama kami di Pavilion.

BUTIK Clariancy pertama di Malaysia mula beroperasi di pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur sejak Ogos 2012.


"Kami yakin bahawa Clariancy akan membantu pengguna mencapai impian daripada rejim kecantikan mereka. Rakyat Malaysia terutamanya wanita kini mempunyai pilihan melaksanakan standard profesional dalam rawatan kecantikan selesa di rumah sendiri tanpa keperluan untuk ke spa atau pakej kecantikan," jelas beliau.
Kesemua peranti kecantikan yang ditawarkan menggunakan kombinasi teknologi terkini seperti pemanasan haba, terapi laser tahap rendah, terapi diod pemancar cahaya (LED) mengikut warna, radio frekuensi dan Denyutan Lampu Impuls atau dikenali sebagai Intense Pulsed Light (IPL).
Selamat digunakan
Sementara itu, Pengarah Urusan Clariancy (Pte Ltd), Clara Lee, 34, memberitahu, setiap produk dan peralatan estetik yang dijual mempunyai kelulusan daripada pihak berwajib.
"Keselamatan dan kepuasan pelanggan merupakan keutamaan kami. Justeru, kami sentiasa memastikan produk yang dijual tidak akan memberi kesan negatif kepada pengguna yang memakainya.
"Kebanyakan produk mendapat pengiktirafan antarabangsa dan diluluskan oleh Pihak Berkuasa Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (FDA). Terdapat banyak kajian klinikal yang membuktikan teknologi yang digunapakai selamat, berkesan dan berkualiti," ujar Clara.
Perkara ini diakui oleh selebriti Malaysia, Shafinaz Selamat yang berpeluang menggunakan produk Face FX daripada Clariancy.
"Sebagai wanita, amat penting untuk kita mengekalkan keremajaan kulit dan kebanyakan wanita juga sudah tentu tidak mahu memilih untuk berada di bawah mata pisau atau pembedahan plastik.
"Sebaliknya, teknologi yang ada membolehkan kita menjalani rawatan serupa di rumah. Bagi saya, kunci utama untuk mendapatkan kesan terbaik ialah disiplin dalam penggunaan sesuatu produk," kata Syafinaz sambil menegaskan sifat mudah alih peranti berkenaan yang membuatkannya tertarik untuk mencuba.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai peranti profesional Clariancy, layari laman web www.clariancy.com atau Facebook di www.facebook.com/clariancymy.

Riwayat akhir sutera emas Kemboja

Posted: 04 Mar 2013 05:49 PM PST


WANITA ini asyik memintal benang sutera di Pulau Oknhatey, Kandal yang terletak 10 kilometer di timur laut Phnom Penh.


DALAM sebuah bilik kecil di ibu negara Kemboja, juruteknik makmal memakai sarung tangan getah dan selipar memeriksa ratusan kupu-kupu putih sebelum disatukan dengan pasangan bagi tujuan mengawan.
Di sebalik industri sutera yang mencatat kemerosotan, Kemboja menyemat harapan dengan 'menjodohkan' semua kupu-kupu itu dan mengawal penyakit sebagai usaha melestarikan tradisi berabad lamanya itu kekal hidup.
Lebih 30 tahun yang lalu, rejim kejam Khmer telah menghapuskan segala industri pertanian sutera dan sejak itu sektor tersebut mengalami kesukaran untuk pulih. Ia ketinggalan jauh daripada pesaing serantau yang kini menggunakan teknologi moden untuk menghasilkan kualiti sutera yang lebih baik.
Kini, ulat sutera di Kemboja sekali lagi di bawah ancaman, tetapi daripada musuh jenis lain.
"Penyakit ini membunuh lebih daripada 50 peratus ulat sutera. Ulat yang mampu hidup lama hanyalah satu pertiga daripada bilangan sebenar," kata Pengarah Makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertanian Sedunia (FAO) program sutera Kemboja, Mey Kalyan.
Tambahnya, secara ringkas, kelompok petani telah berhenti menternak ulat sutera. Penenun telah berhenti menenun dan perladangan buah mulberi yang diperlukan sebagai makanan kepada ulat sutera juga telah dihentikan.
Jumlah tanah yang diagih untuk penanaman mulberi di Kemboja menjunam daripada kira-kira 6,000 hektar pada tahun 1940-an kepada hanya 40 hektar hari ini, kata Kalyan.
PEKERJA ini sedang memberi makan kepada ulat sutera yang diternak dalam bekas khas.


Projek pemulihan
Ditubuhkan oleh FAO, Pusat Pengeluaran Telur Ulat Sutera di Phnom Penh adalah sebahagian daripada projek pemulihan bernilai A$475,000 yang dilancarkan pada September 2009.
Diatur di atas kepingan beberapa akhbar, setiap seekor kupu-kupu diperiksa oleh juruteknik yang kemudian menyatukan mereka supaya boleh membiak.
Selepas empat hingga enam hari, kupu-kupu betina akan diletakkan di atas kertas yang dirawat dengan bahan kimia dan diasingkan untuk bertelur. Kemudiannya, ia disterilkan dan disimpan dalam inkubator.
Di bawah projek tersebut, sebanyak tujuh ladang sutera telah dibuka di seluruh negara dan latihan pengeluaran sutera disediakan kepada mereka yang berminat dalam industri itu.
Malangnya, selepas tiga tahun, dana dari FAO untuk menjalankan operasi pusat pengeluaran telur akan berhenti pada bulan Mac ini. Tidak ada orang lain yang dilihat berminat untuk melabur.
Sungguhpun begitu, ia masih ada harapan.
Selepas tiga tahun berusaha, para penyelidik menemui ulat hibrid pulangan tinggi yang memakan ubi kayu khas iaitu sejenis sumber yang mudah diperoleh di Kemboja.
Kejayaan yang dicapai itu sekali gus memberi keyakinan untuk melindungi tradisi yang bermula pada abad ke-13 tersebut.
Tekstur halus dan kualiti produk yang digelar 'sutera emas' Kemboja yang dijahit oleh penenun moden dan penenun tradisional itu dapat dilihat melalui pengeluaran pakaian sutera berkualiti tinggi di Asia Tenggara.
Walau bagaimanapun, perdagangan itu juga dikhuatiri sedang pupus secara perlahan.
Pengeluaran benang sutera perlahan-lahan merosot dalam tahun-tahun kebelakangan ini, daripada lima tan pada tahun 2009 kepada kira-kira empat tan setahun.
Harga benang buatan tempatan telah meningkat lebih dua kali ganda sejak 2010 dan Kemboja kini mengimport kira-kira 400 tan setiap tahun dengan nilai hampir AS$10 juta (RM31 juta).

TELUR kupu-kupu ulat sutera ini dijaga dengan rapi agar dapat meningkatkan jumlah ulat yang bakal digunakan untuk industri tenunan.


Pulangan kecil
Ven On, penenun sutera di daerah Takeo, wilayah Prey Kabbas berusia 60 tahun yang menggunakan benang Kemboja, hanya mampu meraih pendapatan kira-kira AS$50 (RM155) sebulan dengan menjual tudung sutera dan kain sarung tradisional. Ia sudah cukup mahal bagi kebanyakan pembeli.
"Saya mendapat pulangan yang sangat sedikit dan tidak dapat menyara keluarga saya," katanya.
Kain tenunan tangan wanita tua itu mencecah antara AS$120 hingga AS$150 (RM372 hingga RM465) bergantung kepada kualiti, namun keuntungannya hanyalah 10 peratus.
Kualiti sutera buatan Kemboja secara umumnya kurang baik berbanding pengeluar serantau lain. Ia disebabkan proses tenunan tradisional yang menjadikan tekstur kain tersebut terlalu kasar untuk pasaran mewah.
Dalam kalangan pasaran sutera yang lebih maju seperti di China dan India, yang menghasilkan lebih daripada 90 peratus daripada bekalan dunia, mesin menyumbang kepada penjimatan masa dalam proses pembuatan sutera.
"Industri sutera Kemboja, khususnya pengeluaran benang sutera mengalami masalah sekarang.
"Ini adalah satu keaiban besar bagi sebuah negara yang pernah memegang reputasi hebat dengan kepompong unik kuning yang dipanggil 'sutera emas'," kata pereka pakaian kelahiran Madagascar, Eric Raisina, yang memiliki kedai di Phnom Penh dan Siem Reap.
Kedainya sendiri menggunakan kain sutera yang diimport dari Thailand dan China.

Kuisin cita rasa Milan

Posted: 04 Mar 2013 05:47 PM PST

PAI epal klasik yang dihidang bersama krim Mascarpone.


DALAM filem Eat, Pray, Love lakonan Julia Roberts, persinggahan watak utamanya, Elizabeth Gilbert, di Itali menggambarkan negara tersebut amat menggoda dengan pelbagai tarikan kulinari.
Terkenal dengan sajian pasta, Itali sememangnya boleh dianggap syurga bagi destinasi gastronomi oleh pencintanya. Tidak ketinggalan, kota fesyen, Milan yang terletak di wilayah Lombardi turut mempunyai seleksi makanan tersendiri.
Terbaharu, rangkaian restoran kasual terkemuka, Italiannies tampil dengan kuisin keemasan cita rasa Milan yang mampu membangkitkan selera pengunjung.
Melalui promosi Passport to Italy: Taste of Milan, sebanyak lima hidangan istimewa diperkenalkan sebagai pilihan selain menu sedia ada buat pengunjung.
Ketua Chef Kumpulan Restoran Italiannies, Fazil Shahreen Ahmad, 32, berkata, promosi itu merangkumi satu sajian pembuka selera, tiga sajian utama dan satu hidangan pemanis mulut.
"Seperti kebanyakan kota di Itali, kuisin Milan dipengaruhi budaya makanan serantau iaitu tipikal kuisin Lombardi. Ia menampilkan sajian berasaskan nasi seperti risotto dan masakan berasaskan mentega serta krim.
CHEF FAZIL mempelawa pengunjung merasai keenakan menu Milan di Restoran Italiannies.


"Selain itu, terdapat juga variasi menu yang dipersembahkan dalam rona kuning keemasan sekali gus menonjolkan keunikan budaya makanan di Milan," ujar Fazil Shahreen yang berpengalaman selama 11 tahun dalam dunia kulinari.
Antara menu yang boleh dinikmati ialah funghi gratinati con crema di polenta iaitu cendawan premium dari jenis porcini dan butang dipanggang berkrim, dihidang bersama jagung lecek dan kacang hazel, direnjis dengan minyak trifle serta ditaburi keju parmesan.
Ia diikuti hidangan utama iaitu risotto con pesce bianco (tumis bayam dengan filet ikan yang dihidang dengan nasi herba Arborio), ossobuco d'agnello (kaki kambing direneh lembut dan digaul dengan potongan kecil buah epal, lemon, oren, bawang putih dan selasih yang dihidang dengan kentang lecek manis) serta costole di manzo glassata (rusuk daging lembu yang dilapisi madu dan dinikmati bersama kentang lecek berkrim).
Kemudian, sajian itu akan diakhiri dengan pemanis mulut yang dinamakan crostata di mele con crema di mascarpone iaitu pai epal klasik buatan sendiri yang dihidang bersama krim Mascarpone.
Kesemua sajian tersebut mampu membuatkan pengunjung tersenyum riang dan mengusap perut tanda kenyang sejurus menikmatinya lantaran keenakan yang tiada tandingan.

UNTUK maklumat lanjut tentang Restoran Italiannies dan promosi mereka, layari laman web www.italiannies.com.my.


Percutian ke Itali
Namun, bagi menghangatkan promosi sajian Passport to Italy: Taste of Milan, pengunjung juga berpeluang memenangi percutian ke negara tersebut jika berbelanja mengikut dua kategori yang ditetapkan.
Menurut Eksekutif Pemasaran Chaswood Resources Sdn. Bhd., Shahrul Ezanee, promosi itu akan berlangsung selama dua bulan bermula 15 Februari sehingga 15 April 2013.
Untuk kategori pertama, pengunjung yang berbelanja RM50 ke atas terhadap mana-mana hidangan ala carte, akan menerima satu borang penyertaan dan jika berbelanja RM120 ke atas, mereka akan menerima dua borang penyertaan.
Kategori kedua pula, pengunjung yang memesan sajian utama Passport to Italy: Taste of Milan akan menerima dua borang penyertaan.
"Sepanjang promosi ini berlangsung, lapan pemenang mingguan akan dipilih dan mereka akan menerima minyak wangi jenama Versace. Daripada lapan pemenang ini pula, hanya satu yang akan berpeluang memenangi tiket percutian ke Itali untuk dua orang," jelas Shahrul ketika ditemui Kosmo! di Restoran Italiannies, Paradigm Mall, Petaling Jaya.
Setiap hidangan bermula daripada harga RM16.90 sehingga RM52.90. Rangkaian Restoran Italiannies boleh dikunjungi di Empire Shopping Gallery, The Gardens Mid Valley, Sunway Pyramid, 1 Utama Shopping Centre dan The Curve.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan