RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Ifa Raziah Hilang Tawaran Kerana Badan Berisi

Posted: 08 Jan 2013 02:07 AM PST

Ifa Raziah.
KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon Ifa Raziah mengakui banyak tawaran lakonan drama yang diterima terpaksa ditolak begitu sahaja gara-gara tubuh badannya yang berisi.
Ifa atau nama sebenarnya Saripah Raziah Mustapha berkata, dia terpaksa berbuat demikian kerana banyak watak yang ditawarkan tidak sesuai dengan penampilannya sehingga memaksa dia perlu menurunkan berat badannya sehingga 48 kilogram agar boleh berlakon semula.
Berat badannya kini ialah 58 kilogram dan sebelum ini pernah mencecah sehingga 65 kilogram.
"Memang azam tahun 2013 saya adalah untuk menguruskan badan supaya dapat aktif kembali di bidang lakonan.
"Banyak tawaran watak yang ditolak kerana tidak sesuai dengan tubuh badan saya sekarang ini. Bagaimanapun ia tidak akan mungkin berlaku pada tahun ini.
"Saya akan memastikan untuk kurangkan berat badan sebanyak 10 kilogram," katanya.
Tambah Ifa, kerana perkara itu juga dia enggan menambah zuriatnya bersama suami, Mohd Yani Abdul Rahman bagi mengekalkan bentuk tubuh badannya selepas mendapat berat yang ideal.
Bagaimanapun, beritahu ibu kepada Sharifah Puteri Umairah, 14 dan Muhammad Shakir Aqili, 8, ini sekiranya dikurniakan anak, dia tetap akan menerimanya dengan hati yang terbuka.
"Rezeki tidak boleh ditolak. Cuma saya tidak mahu memiliki anak pada masa ini kerana ingin aktif di bidang lakonan. Namun seandainya kami diberikan anak, itu juga bukan satu masalah.
"Lagipun dua orang anak saya sedang membesar dan mereka memerlukan perhatian daripada saya dan suami. Sudahlah kami sibuk, takut pula jika anak terabai," ujarnya.
Sementara itu, selepas sukses dengan perniagaan produk kecantikan Zenzoria, penyanyi lagu Panas ini muncul pula dengan menjual 'turban' berfesyen wanita menerusi jenamanya sendiri iaitu "Serifa Turban by Ifa Raziah."
Ifa juga membuka peluang perniagaan kepada sesiapa yang ingin memulakan perniagaan untuk menjadi ejen. Sesiapa yang berminat boleh menghubungi talian 019-3722975.

Raih Rating Tinggi, 6 Juta Tonton AJL27

Posted: 08 Jan 2013 02:07 AM PST


Gelagat penonton yang menyaksikan AJL27 di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Ahad lalu.
PETALING JAYA: Pertandingan Anugerah Juara Lagu ke 27 (AJL27) yang disiarkan di TV3 pada malam Ahad lalu ditonton oleh kira-kira 6 juta penonton mengikut ukuran dibuat Nielsen Audience Measurement.
Stesen televisyen itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Selasa berkata, jumlah itu menunjukkan penanda aras terbesar bagi sebuah acara siaran langsung kategori hiburan yang diterbitkan stesen berkenaan.
"Ia turut meliputi jumlah penonton yang menyaksikan acara berprestij itu menerusi Internet di laman web rasmi TV3 yang turut menyajikan acara karpet ungu dan Di Sebalik Tabir," kata kenyataan itu.
Aizat menggantikan Yuna.
AJL27 turut mencatat jumlah tontonan yang memberangsangkan menerusi live streaming yang mencecah hampir 225,000 penonton dengan Malaysia adalah penyumbang utama iaitu sebanyak 108,356 diikuti Singapura (8,057), United Kingdom (3,461), Jepun (1,828) dan Brunei (1,551).
Sementara itu laman web rasmi AJL27 pula berjaya mendapat lebih daripada 500 ribu tontonan (page views) iaitu sebanyak 507,000 dengan unique views berjumlah 111,350.
Dalam masa yang sama laman sosial Twitter mencatatkan 149,593 tweets yang turut dikongsi menggunakan kata kunci #AJL27 dan #AJL.
AJL27 lalu menjadi tuah buat penyanyi Yunalis Zarai atau Yuna apabila lagu tulisan dan ciptaannya iaitu Terukir Di Bintang dipilih sebagai Juara Lagu ke 27.
Black (kiri) dan RJ memenangi Persembahan Terbaik dengan lagu Teman Pengganti.
Ia membolehkan penyanyi itu membawa pulang trofi dan wang tunai berjumlah RM35,000.
Lagu berkenaan dipersembahkan oleh Aizat kerana Yuna berada di Amerika Syarikat.
Tempat kedua menjadi milik Azlan & The Typewriter yang membawa lagu Idola sementara Hafiz yang mendendangkan lagu Ku Akui menduduki tempat ketiga.
Hafiz turut diumumkan sebagai pemenang vokal terbaik manakala Black dan RJ yang menyampaikan lagu Teman Pengganti memenangi Persembahan Terbaik.
AJL27 diadakan di Stadium Putra, Bukit Jalil dekat sini.

Marsha temui pengganti?

Posted: 08 Jan 2013 02:06 AM PST


Marsha
Marsha
Guntur Triyoga
Guntur Triyoga
Kehadiran Marsha bersama jejaka kacak pada sesi tayangan Kahwin Lima, akhir tahun lalu, menarik perhatian.

Justeru, timbul pertanyaan, adakah pelantun Tentang Cinta itu sudah menemui pengganti.

"Saya akui berkawan dengannya, tapi hubungan kami tidaklah sampai tahap bercinta. Namanya Guntur Triyoga, dia pelakon dari Indonesia.

"Kebetulan kami berlakon bersama dalam telefilem Antara Bintang, Mimpi dan Cinta arahan Michael Ang dan dia berasa di sini ketika itu, serta mahu mengetahui mengenai industri kita, jadi saya bawa dia ke majlis tayangan filem Kahwin Lima.

"Hubungan kami nampak mesra, mungkin kerana kami bawa watak pasangan bercinta, jadi kerana itu saya rapat dengan dia. Saya harap tiada sesiapa yang salah sangka dengan hubungan kami," ujarnya kepada Zass.

Tumpu persiapan album

Berkongsi mengenai perkembangan seninya, Marsha berkata, dia kini cuba meminimumkan menerima tawaran lakonan kerana mahu memberi perhatian kepada pembikinan album barunya.

Marsha berkata, dia berharap album barunya itu akan dilancarkan dan menemui peminat tahun ini juga.

"Buat masa ini saya merancang untuk merakamkan lima lagu. Salah satunya adalah duet bersama Randy Pangalila, Selalu Milikmu.

"Ada juga lagu ciptaan Ajai dan ciptaan saya sendiri. Jadi dengan mengurangkan penggambaran, saya harap ada masa untuk menjalani rakaman lagu," ujarnya.

Marsha berkata, sempena tahun baru ini juga, dia berharap karier seninya akan berjalan dengan baik, dan cerita-cerita peribadi atau pun kontroversi dapat dikurangkan kerana dia mahu menjadi artis lebih bersih.

TLDM bantu selesai kes pinjam ah long

Posted: 08 Jan 2013 02:05 AM PST


TLDM bantu selesai kes pinjam ah long
Abdul Aziz beramah mesra dengan anggota TLDM yang hadir pada majlis Perutusan Tahun Baru 2013 di pangkalan TLDM, semalam
LUMUT - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengambil langkah proaktif membantu 102 anggotanya yang membuat pinjaman ah long dengan menyelesaikan kesemua nilai pinjaman terlibat iaitu RM139,000.   

Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, seramai 178 anggota dikenal pasti terlibat membuat pinjaman daripada pemberi pinjaman tanpa lesen itu.

"Seramai 76 anggota lagi dibantu melalui ceramah dan khidmat nasihat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). Kami dapat bantuan daripada agensi luar yang berbincang dengan pemberi pinjaman tanpa lesen," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan perutusan Tahun Baru kepada kira-kira 2,000 pegawai dan anggota di Pangkalan TLDM di sini, semalam.
Beliau berkata, usaha TLDM itu memberi keyakinan dan semangat kepada anggota yang terjebak serta TLDM akan membuat pemantauan terhadap anggota supaya tiada yang terlibat lagi.

"Mereka yang terlibat adalah anggota pelbagai pangkat dan pihak pengurusan TLDM mengadakan pertemuan dengan mereka untuk mengetahui punca sebenar pinjaman dibuat," katanya.

Beliau yang tidak menafikan kemungkinan masih ada anggota terlibat dengan pinjaman ah long berkata, pihaknya menugaskan pegawai untuk memberi penerangan serta mengenal pasti anggota bermasalah.

"Kita menasihatkan mereka berjimat cermat, menabung dan hanya membenarkan  pinjaman dibuat atas sebab yang betul-betul memerlukan melalui prosedur yang betul dan bukan dalam jumlah yang tinggi," katanya.
Beliau berkata, TLDM bekerjasama dengan institusi perbankan untuk memudahkan anggota membuat pinjaman berdasarkan kemampuan pembayaran balik pinjaman.
Ditanya mengenai kemungkinan segelintir anggota yang meminjam ah long terlibat dengan aktiviti perjudian mesin slot, Abdul Aziz berkata, Protela (Polis TLDM) memantau aktiviti di premis yang menjalankan kegiatan itu.

Pada majlis itu, Abdul Aziz turut melancarkan pelan strategik TLDM 2013 hingga 2020 yang merangka strategi jangka pendek dan panjang berlandaskan Pelan Strategik Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pelan Strategik TLDM yang baru merangkumi 14 objektif antaranya kesiagaan tertinggi, sumber yang dioptimumkan, kecemerlangan tadbir urus dan kesesuaian polisi dan doktrin.

Pasangan mengaku ada anak hasil hubungan sulit

Posted: 08 Jan 2013 02:01 AM PST


Pasangan mengaku ada anak hasil hubungan sulit
Anuar sedang menyoal siasat pasangan berkenaan.
KLUANG - Seorang wanita mengaku mempunyai seorang anak hasil hubungan sulit dengan pasangannya yang juga suami orang ketika ditahan dalam Operasi Cegah Maksiat di sekitar bandar Kluang, malam minggu lalu.

Wanita berusia 27 tahun itu ditahan oleh Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) bersama pasangannya berusia 35 tahun dalam satu bilik di salah sebuah hotel bajet.

Malah, lelaki terbabit yang mempunyai tiga anak hasil perkahwinannya mengaku dalam proses perceraian bersama isterinya.

Ketua Unit Penguatkuasa Agama Jaij daerah Kluang, Anuar Kosnin berkata, ketika serbuan dijalankan di hotel bajet itu, Jaij terpaksa menunggu 10 minit, sebelum pintu dibuka.

"Ketika soal siasat dijalankan, pasangan berkenaan memberi alasan mereka akan berkahwin dan menyewa hotel hanya sekadar untuk berjumpa, bagaimanapun mereka gagal untuk meyakinkan pihak Jaij dengan alasan yang diberi.

"Hasil pemeriksaan mendapati, wanita berkenaan telah melahirkan seorang anak yang kini berusia setahun hasil hubungan sulit bersama pasangannya itu," katanya.

Anuar berkata, pasangan tersebut akan didakwa di bawah Sesyen 27, Enakmen Kesalahan Syariah Johor dan boleh dikenakan denda tidak lebih dari RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Katanya, operasi yang dijalankan bersama anggota Cawangan Penyiasatan Khas dari Kem Mahkota bermula jam 1 hingga 6 pagi itu turut menahan tiga pasangan berusia antara 19 hingga 35 tahun.

"Kesemua pasangan tersebut turut didakwa di bawah seksyen sama. Bagaimanapun, pasangan terbabit telah dibebaskan setelah dijamin oleh keluarga masing-masing, namun mereka dikehendaki datang ke Pejabat Agama Daerah Kluang esok (hari ini) untuk diambil keterangan," katanya.

Anuar juga menyatakan bahawa operasi seumpama ini akan terus dijalankan dari semasa ke semasa untuk mencegah maksiat di daerah ini daripada terus berleluasa.

4 polis dibelasah tahanan, sembur serbuk lada

Posted: 08 Jan 2013 01:59 AM PST


Polis dibelasah penjenayah: Sembur serbuk lada
Orang ramai memberikan bantuan kepada seorang anggota polis yang cedera selepas dipukul sekumpulan OKT , semalam.
Polis dibelasah penjenayah: Sembur serbuk lada
Polis dibelasah penjenayah: Sembur serbuk lada
Polis dibelasah penjenayah: Sembur serbuk lada
Polis dibelasah penjenayah: Sembur serbuk lada
BUTTERWORTH - Empat anggota polis cedera dibelasah sembilan tahanan ketika dalam perjalanan ke Kompleks Mahkamah Butterworth dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi semalam.

Kesemua mereka akan menghadapi prosiding perbicaraan pagi semalam.

Tahanan berkenaan kemudiannya meninggalkan empat anggota pengiring itu di tepi jalan sebelum bertindak melarikan van polis dinaiki untuk meloloskan diri.

Dalam kejadian di susur keluar ke Pantai Bersih itu, pemandu van polis berkenaan yang dikenali sebagai Nazzwan cedera parah di kepala akibat dihentak dengan gari.

Manakala tiga lagi rakan setugasnya cedera ringan di kepala dan beberapa bahagian badan masing-masing selepas dibelasah tahanan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, kejadian itu berlaku ketika keempat-empat anggota polis dari unit pengiring Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (IPD SPU) dalam perjalanan ke Mahkamah Butterworth.

"Kesemua mereka dalam keadaan bergari diambil sebelumnya dari Penjara Pulau Pinang untuk proses reman dan pertuduhan berkaitan kes bunuh, samun dan mencederakan orang.

"Pemandu van ditemani seorang anggota duduk di hadapan manakala dua anggota pengiring duduk di bahagian hadapan tengah van mengawasi semua tahanan yang ditempatkan di bahagian belakang," katanya.

Menurut Datuk Abdul Rahim, ketika van melalui Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) berhampiran Bagan Ajam, beberapa OKT (orang kena tuduh) berpura-pura bergaduh sesama sendiri menyebabkan pemandu van memberhentikan kenderaan itu bagi meleraikan pergaduhan tersebut.

"Ketika itulah salah seorang OKT melempar serbuk cili ke arah salah seorang anggota polis menyebabkan berlaku pergelutan antara polis dan OKT.

"Pada masa yang sama, beberapa orang OKT bertindak menendang kesemua anggota polis berkenaan keluar dari kenderaan itu selain membelasah mereka di tepi jalan," katanya.

Rahim berkata, OKT terbabit kemudiannya merampas kunci gari dari salah seorang anggota polis sebelum menaiki semula van dan melarikan diri bersama kenderaan itu.

Beliau berkata demikian semasa ditemui di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dekat sini semalam ketika melawat keempat-empat mangsa berkenaan yang menerima rawatan.

Kejadian yang berlaku kira-kira dua kilometer dari Kompleks Mahkamah Butterworth itu bagaimanapun sempat dilihat oleh pengguna jalan raya yang kemudiannya memberikan bantuan kecemasan kepada anggota terbabit sebelum semuanya dihantar mendapatkan rawatan ke HSJ kemudiannya.

Menurut Abdul Rahim lagi, sejurus menerima laporan berhubung kejadian itu, polis telah melancarkan gerakan mengesan van dan OKT yang terlibat.

"Tidak sampai 30 minit selepas operasi dilancarkan, pihak kita menemui semula van itu yang ditinggalkan di Kampung Padang Cempedak, Tasek Gelugor iaitu kira-kira 20 kilometer dari lokasi kejadian.

"Semasa ditemui dua OKT masih berada di lokasi van itu dan tidak mengikuti tujuh rakan mereka yang dipercayai melarikan diri ke kawasan ladang kelapa sawit di sekitar kampung berkenaan," katanya.

Menurutnya, polis kini menjejaki Mohd Sharimy Md Nor, 28; Farid Akhtar 24; Mohd Khairul Nizam Abdul Rani, 25; Hamizani Harun, 37; Hisham Abd Rahman, 39; Mohd Fairuz Adam, 31; dan Mohd Noor Mustafa, 28.

"Kita telah melancarkan gerakan mengesan kesemua OKT yang melarikan diri termasuk mengadakan sekatan jalan raya di beberapa kawasan di sekitar Tasek Gelugor.

"Kita juga minta kerjasama orang awam melaporkan kepada polis sekiranya mereka ternampak atau mengetahui lokasi OKT ini bersembunyi dan jangan mengambil tindakan sendiri atau cuba menahan kerana mereka merbahaya," katanya.

Rahim menambah, keempat anggota polis berkenaan akan dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan kerana cuai dan Seksyen 224 kanun sama kerana membiarkan tahanan lari dari jagaan yang sah.

Manakala tujuh suspek terbabit dicari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun dan mencederakan.

Katanya, jika kelalaian menjadi puncanya hingga OKT terbabit berjaya meloloskan diri pihaknya akan mengambil tindakan ke atas empat anggota pengiring terbabit.

Terukir Di Bintang layak menang

Posted: 08 Jan 2013 01:58 AM PST



BIASANYA penganjuran sesebuah acara anugerah yang besar semememangnya tidak pernah sunyi daripada dilanda dengan pelbagai kontroversi. Itu yang dilalui ketika penganjuran Anugerah Juara Lagu ke-27 (AJL 27).
Kontroversi bermula apabila Yuna yang sepatutnya menyanyikan lagu ciptaannya sendiri di pentas AJL 27 terpaksa menarik diri pada saat akhir kerana mempunyai komitmen lain di Amerika Syarikat.
Nama penyanyi veteran Uji Rashid lantas disebut-sebut sebagai pengganti menyanyikan lagu Terukir Di Bintang, tetapi akhirnya Aizat telah diberi tanggungjawab membawakan lagu tersebut.
Biarpun pertukaran penyanyi untuk lagu itu dikecam segelintir pihak, kemenangan telah berpihak kepada Aizat apabila Terukir Di Bintang yang dipersembahkannya itu dinobatkan sebagai juara.
Pada sidang akhbar yang berlangsung selepas berakhirnya acara tersebut, Azmeer selaku ketua juri menyatakan kehebatan sesebuah lagu itu tidak boleh dinafikan, meskipun tidak dinyanyikan oleh penyanyi asal.
"Saya yakin dan percaya kontroversi yang berlaku sememangnya langsung tidak mempengaruhi para juri dan kami sudah sepakat bahawa lagu Terukir Di Bintang layak dinobatkan sebagai juara.
"Mengenai persembahan Aizat pula, saya lihat dia telah membawakan lagu ini dengan caranya tersendiri dan tidak terlalu terikut-ikut dengan gaya penyampaian Yuna," jelasnya sambil menafikan kemenangan lagu tersebut semata-mata mahu menutup kontroversi yang telah timbul.
Ketika ditanya sama ada lagu tersebut akan tetap menang sekiranya dinyanyikan oleh Uji Rashid, Azmeer menjelaskan kekuatan sesuatu lagu tidak terletak kepada penyanyi keseluruhan.

AARON Aziz membuat penampilan khas dalam persembahan Hafiz dan Aidira untuk lagu, Ombak Rindu.


Sebaliknya, persembahan penyanyi hanya merangkumi 10 peratus daripada penilaian dan selebihnya pemilihan lagu terbaik dibuat berdasarkan kepada melodi, lirik dan susunan muzik.
"Tidak kira siapa sahaja yang menyanyikan lagu ini sama ada Yuna, Aizat atau Uji Rashid, sekiranya masing-masing membuat persembahan dengan baik peluang untuk menang tetap ada," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar yang turut berada semasa sidang akhbar tersebut berkata, pihak TV3 tidak mencampuri sebarang keputusan terhadap pemilihan penyanyi.
Beliau berkata, pemilihan penyanyi yang menggantikan tempat Yuna telah ditentukan oleh pihak pengurusan penyanyi itu dan pihak TV3 perlu menghormati segala keputusan yang dibuat.
"Kami terpaksa akur apabila Yuna ada komitmen lain yang menghalangnya membuat persembahan di pentas AJL 27, tetapi dia sendiri yang telah memilih Aizat untuk menggantikan tempatnya.
"Namun begitu, saya melihat Yuna telah membuat pilihan yang tepat apabila Aizat mampu menggalas tanggungjawab yang diberikan sehingga lagu ciptaannya itu mengatasi 11 lagu yang lain," jelasnya.
Dengan kemenangan tersebut, lagu Terukir Di Bintang berjaya membawa pulang trofi dan hadiah wang tunai RM35,000, manakala lagu Idola yang dinyanyian oleh Azlan & The Typewriter membawa pulang trofi dan wang tunai RM15,000 setelah muncul naib juara.
Hafiz yang muncul sebagai pemenang AJL pada tahun lalu menerusi lagu Awan Nano sekadar berpuas hati di tempat ketiga dengan lagu nyanyiannya Ku Akui hasil ciptaan Ajai.
Bagaimanapun, penyanyi tersebut terus kekal memenangi kategori Vokal Terbaik buat dua tahun berturut-turut. Black dan RJ pula menang kategori Persembahan Terbaik menerusi lagu Teman Pengganti. Pemenang kedua-dua kategori itu membawa pulang trofi dan wang tunai RM10,000.
Selain Azmeer, antara barisan juri yang dilantik mengadili lagu-lagu di pentas AJL 27 seperti Aubrey Suwito, Helen Yap, Eddie Marzuki, Achik, Edrie Hashim, Ramli Sarip, Yasin Sulaiman, Ad Samad dan Hetty Koes Endang.
52 jam

AKSI hebat Amy (kiri) dan Hazama dalam persembahan lagu kolaborasi mereka, Simetri.


Biarpun sudah berpengalaman luas dalam bidang nyanyian, namun menjadi pengganti pada saat-saat akhir untuk sebuah pertandingan yang besar seperti AJL 27 pastinya memberikan pengalaman baharu buat Aizat.
Ketika ditemui pada sidang akhbar tersebut, Aizat mengakui agak terkejut apabila diminta menggantikan Yuna, tetapi tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya apabila lagu itu telah muncul sebagai pemenang.
"Saya telah mendapat panggilan untuk menggantikan tempat Yuna menyanyikan lagu Terukir Di Bintang kira-kira 52 jam sebelum AJL 27 berlangsung dan kemenangan ini pastinya di luar jangkaan.
"Biarpun masa yang saya ada untuk membuat persiapan agak singkat, tetapi sebagai seorang kawan saya perlu bantu Yuna. Itu yang menyebabkan saya bersetuju menerima tanggungjawab tersebut," jelasnya.
Menyedari dirinya tidak mempunyai masa yang banyak, Aizat menyatakan, dia hanya berserah kepada Allah semasa membuat persembahan. Namun, dia bersyukur kerana mendapat bantuan daripada rakan-rakan sehingga semuanya berjalan lancar.
Berkenaan dengan kontroversi tentang pemilihan penyanyi untuk lagu berkenaan, Aizat berkata, dia tahu mengenai perkara tersebut dan berasa sedikit tertekan.
"Secara jujurnya saya memang simpati dengan apa yang berlaku terhadap Uji Rashid memandangkan dia yang dipilih menggantikan Yuna, tetapi keputusan telah bertukar pada saat-saat akhir.
"Sebagai seorang penyanyi veteran yang telah lama mewarnai industri nyanyian, beliau sewajarnya dihormati oleh semua pihak. Kalau diikutkan saya mahu menyanyi bersamanya di pentas AJL 27," luahnya.
Dengan kemenangan tersebut, Aizat juga tidak menolak kemungkinan untuk menyanyikan lagu tersebut dalam mana-mana persembahan nyanyian sekiranya ada permintaan.

PERSEMBAHAN Azlan & The Typewriter menerusi lagu Idola memacu mereka untuk bergelar naib juara AJL 27.


"Saya berharap agar dapat berkolaborasi dengan Yuna seperti memintanya menciptakan lagu untuk saya. Sebelum ini perkara tersebut pernah kami bincangkan bersama, tetapi saya faham dia masih lagi sibuk serta jadualnya yang padat," ujarnya.

M-Girls bergabung selepas lapan tahun

Posted: 08 Jan 2013 01:57 AM PST


PERCAYA atau tidak, M-Girls sudah muncul dengan 100 buah album sejak mula ditubuhkan pada tahun 2001.


WALAUPUN kumpulan yang ditubuhkan mereka pernah berpecah sejak lapan tahun yang lalu, kini M-Girls yang terdiri daripada empat gadis muda - Crystal, Angeline, Queenzy dan Cassandra kembali bergabung sempena Tahun Baru Cina pada tahun ini.
Empat anak muda itu juga telah melancarkan album 'reunion' mereka sempena sambutan perayaan tersebut pada 12 Disember tahun lepas.
Mereka yang kesemuanya berumur 27 tahun ini sebenarnya telah berjaya menghasilkan lebih 100 album berbahasa Cina sejak penubuhan M-Girls pada tahun 2001.
Sebelum ini dua ahli kumpulan mereka iaitu Cassandra dan Queenzy telah keluar dari M-Girls disebabkan ingin menumpukan sepenuh perhatian terhadap pengajian di sebuah kolej swasta di ibu kota.
Disebabkan itu, Crystal dan Angeline telah merakam album M-Girls secara berduet dan berkolaborasi dengan artis lain di bawah syarikat naungannya, Star Media Distribution Sdn. Bhd.
Kini, atas permintaan peminat setia mereka, sebuah album yang dinamakan Reunion yang mengandungi 12 buah lagu bertemakan Tahun Baru Cina telah dipasarkan bagi mengubati rindu peminat mereka.
Kali terakhir kumpulan ini merakamkan album bersama pada tahun 2005.
Kata Crystal, dia benar-benar teruja untuk membuat persembahan bersama dengan tiga ahli kumpulan asal M-Girls selepas dua daripada mereka iaitu Cassandra dan Queenzy mengambil keputusan untuk berehat panjang.
"Kami tidak bergaduh pun. Memang Cassandra dan Queenzy ingin beri komitmen sepenuhnya kepada pelajaran, jadi saya dan Angeline terpaksa akur dengan keputusan mereka berdua," jelasnya.
Mengakui mereka berempat sebagai 'satu kepala', Angeline pula menambah, dia tidak sabar-sabar lagi untuk menunggu respons peminat mereka yang menantikan album mereka.
"Sangat gembira ada album bersama kembali, walaupun kami selalu berjumpa, ia tidak sama apabila tidak membuat persembahan dengan M-Girls," jelasnya.
Bagi Cassandra yang telah tidak bersama M-Girls selama lapan tahun, dia merasakan seperti ada sesuatu yang tidak kena pada dirinya.
"Apabila memikirkan banyak memori manis kami bersama, memang saya rindu untuk bersama M-Girls. Jadi dengan kemunculan album terbaharu kami ini, ia akan mengubat rindu saya sendiri dan peminat kami," ujarnya yang mengakui pasaran M-Girls termasuklah China, Indonesia, Brunei, Singapura dan Taiwan.
Mengenai album terbaharu mereka itu, Queenzy memberitahu, keunikan Reunion adalah ia merupakan album yang patut ada untuk setiap sambutan perayaan berkenaan.
"Di Malaysia sangat berlainan dengan negara China. Di China memang tiada orang terbitkan album untuk musim perayaan. Di negara ini lebih 10 album dipasarkan untuk perayaan seperti sambutan Aidilfitri juga," jelasnya.

Salman buat hal sendiri

Posted: 08 Jan 2013 01:56 AM PST


SALMAN KHAN


SALMAN KHAN memulakan tahun baharu 2013 dengan penuh positif. Aktor Terbaik 2012 pilihan ApunKaChoice.Com. yang mengalahkan dua pencabar terdekatnya, Shah Rukh Khan dan Akshay Kumar itu selama ini sememangnya digosip tidak mempunyai hubungan yang baik dengan Shah Rukh.
Namun baru-baru ini, Salman telah mengeluarkan kenyataan menafikan dia berselisih faham dengan Shah Rukh sehingga di Bollywood dikatakan wujud puak Salman dan puak Shah Rukh.
Katanya kepada ibn.live.in.com: "Tiada puak-puak tertentu dalam industri perfileman di Bollywood. Saya buat hal sendiri. Saya tidak mengikuti atau mengambil tahu tentang kehidupan orang lain."
"Jika ada yang datang berjumpa atau berbual dengan saya, dia akan dilayan dengan baik. Saya tidak kisah dia kawan siapa - ia tidak menjadi suatu masalah buat saya."

Ribut Sunamo dijangka sebabkan banjir gelombang ketiga

Posted: 08 Jan 2013 01:55 AM PST


BEBERAPA orang penduduk riang bermain air laut di Pantai Beserah, Kuantan biarpun ancaman ribut Sunamo dijangka melanda kawasan pesisir Pahang esok dan Khamis ini.


KUALA TERENGGANU - Ribut Sunamo dijangka menyebabkan angin kencang serta hujan lebat yang boleh mengakibatkan banjir gelombang ketiga di negeri ini.
Ribut tropika dengan kekuatan 112 kilometer (km) sejam itu kini berlegar di perairan Laut China Selatan, namun orang ramai tidak perlu panik kerana ia dijangka tidak akan membadai negara ini.
Sebaliknya, kekuatan ia dijangka berkurangan kepada 36km sejam dan menghampiri perairan Dungun sejauh kira-kira 600km hari ini dan esok.
Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, Tajul Ariffin Muhamad memberitahu, walaupun kekuatan sudah berkurangan namun awan yang disedut ribut berkenaan ketika ini hingga menyebabkan cuaca panas akan dilepaskan ketika kekuatan ribut itu berkurangan.
"Awan tersebut akan menyebabkan hujan lebat kemungkinan menyebabkan banjir besar yang berlaku ketika gelombang pertama dulu atau lebih besar lagi.
"Ribut ini tidak pernah berlaku di negara ini dan kita sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sering dijadikan 'karung tinju'

Posted: 08 Jan 2013 01:54 AM PST


ANIRA memangku bayinya yang berusia 40 hari sambil diperhatikan anak sulungnya, Nur Syazwani dan kakaknya, Anita ketika ditemui di Kangar semalam.


KANGAR - Seorang ibu muda yang menjadi mangsa belasahan suaminya di Kampung Repoh di sini pada Sabtu lalu mendakwa dia kerap dijadikan 'karung tinju' oleh lelaki tersebut hanya kerana kesalahan kecil seperti lambat memasak nasi atau terlepas menjawab panggilan telefon.
Anira Aziz, 27, mendakwa, kejadian pada Sabtu lalu merupakan salah satu daripada berpuluh kejadian dia dipukul selepas mendirikan rumah tangga dengan suaminya sejak tujuh tahun lalu.
Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata. Anira mempunyai seorang lagi anak hasil perkahwinan terdahulu.
"Saya dipukul hampir setiap minggu angkara sikap cemburu buta suami. Saya kini sudah serik untuk meneruskan kehidupan bersamanya selepas dia memukul saya depan orang kampung dalam keadaan yang mengaibkan.
"Dia memukul saya atas alasan yang remeh seperti lambat masak nasi atau terlepas menjawab panggilan telefon. Dia melarang saya keluar sesuka hati kerana bimbang saya akan menjalinkan hubungan sulit ketika dia bekerja di Kuala Lumpur," dakwanya ketika ditemui di rumah sewanya di Kampung Repoh di sini.

Lima suspek perogol dihadap ke mahkamah

Posted: 08 Jan 2013 01:53 AM PST

SEBUAH van polis membawa lima lelaki dipercayai perogol meninggalkan sebuah mahkamah majistret di New Delhi semalam.


NEW DELHI - Lima lelaki yang dituduh merogol dan membunuh seorang pelajar perubatan berusia 23 tahun di dalam sebuah bas secara bergilir-gilir pada 16 Disember tahun lalu dihadapkan ke mahkamah majistret di selatan Delhi semalam.
Semua mereka dituduh melakukan kesalahan itu ketika mangsa dalam perjalanan pulang selepas menonton filem di New Delhi bersama teman lelakinya.
Mangsa yang merupakan pelajar bidang fisioterapi disahkan meninggal dunia pada 29 Disember lalu selepas mendapat rawatan di sebuah hospital di Singapura.
Lima lelaki yang didakwa itu ialah pemandu bas tersebut, Ram Singh dan adiknya, Mukesh Singh.
Penjaja buah-buahan, Pawan Gupta dan seorang pencuci bas, Akshay Singh serta pengajar kecergasan, Vinay Sharma turut didakwa melakukan perbuatan itu.
Perbicaraan kelima-lima suspek yang berumur 19 hingga 35 tahun itu terpaksa diadakan secara tertutup ekoran orang ramai membuat bising.
Majistret Namrita Aggarwal memutuskan supaya orang ramai dan media tidak dibenarkan masuk sepanjang perbicaraan berlangsung.
Aggarwal berkata, pendengaran seterusnya akan diadakan pada 10 Januari ini.
Seorang pegawai polis berkata, semua tertuduh memakai penutup muka ketika memasuki mahkamah.
Menurut seorang pendakwa raya, Rajiv Mohan, seorang peguam akan membela mereka.
Kebanyakan peguam dikatakan tidak sanggup untuk mewakili mereka kerana kekejaman yang dilakukan oleh para suspek itu.
Jika sabit kesalahan, mereka akan dikenakan hukuman mati.
Seorang lagi suspek berumur 17 tahun akan dibicarakan di sebuah mahkamah juvenil kerana usianya di bawah umur.

Penggodam komputer bank ditangkap di Bangkok

Posted: 08 Jan 2013 01:52 AM PST


HAMZA (tengah) dikawal dua anggota polis pada sidang akhbar yang diadakan di pejabat Biro Polis Imigresen di Bangkok semalam.


BANGKOK - Seorang penggodam komputer warga Algeria yang diburu Biro Siasatan Persekutuan (FBI) kerana mencuri berjuta-juta dolar dari beberapa buah bank Amerika Syarikat (AS) untuk membiayai kehidupan mewahnya ditangkap di sini, kata polis Thailand semalam.
Lelaki tersebut, Hamza Bendelladj kelihatan tenang walaupun mengetahui bahawa dia bakal diekstradisi ke AS.
"Apabila ditanya apa yang dilakukan dengan wang tersebut, dia menjawab wang itu digunakan untuk melancong dan menjalani kehidupan mewah seperti menaiki penerbangan kelas pertama serta tinggal di kediaman mewah," kata Ketua Polis Imigresen, Phanu Kerdlabphol.
Menurutnya, pihak FBI menjejaki graduan sains komputer itu selama tiga tahun selepas dia mula menggodam bank-bank AS ketika berusia 20 tahun.
"Dia telah menggodam komputer beberapa buah bank AS dan pernah mencuri transaksi berjumlah AS$10 juta (RM30.4 juta) dari sebuah bank," tambah ketua polis tersebut.
Pemuda itu ditahan di Lapangan Terbang Suvarnabhumi di sini kelmarin selepas dia tiba dari Malaysia untuk menyambung penerbangan ke Kaherah.

Penduduk pakai kostum pelik di Silio

Posted: 08 Jan 2013 01:51 AM PST


SEORANG lelaki memakai kostum seperti pokok pada Festival Vijanera di Silio kelmarin.


SILIO, Sepanyol - Beberapa orang lelaki memakai kostum pelik yang menyebabkan sebahagian mereka kelihatan seperti pokok pada Festival Vijanera di Silio, utara negara ini kelmarin.
Terdapat juga penduduk yang memakai topeng muka, kulit haiwan dan pakaian yang berwarna cerah pada festival itu.
Ia merupakan festival pertama diadakan di Eropah pada awal tahun ini.
Festival tersebut berasal dari era empayar Rom.
Muka penduduk yang menyertai festival itu diwarnakan hitam dengan kepercayaan ia akan dapat mengelak kedatangan roh jahat.

Imej sotong gergasi yang dirakam di Lautan Pasifik didedahkan saintis

Posted: 08 Jan 2013 01:50 AM PST


IMEJ yang disiarkan pihak stesen televisyen NHK dan Discovery Channel semalam menunjukkan sotong gergasi di dalam laut dekat Kepulauan Ogasawara, Jepun.


TOKYO - Beberapa saintis menyatakan mereka berjaya merakamkan gambar seekor sotong gergasi sepanjang kira-kira lapan meter di dasar Lautan Pasifik.
Pendedahan itu dibuat semalam selepas pihak Muzium Sains Kebangsaan Jepun berjaya membuat penggambaran haiwan laut dalam itu di habitat semula jadi sotong berkenaan buat kali pertama.
Ia merupakan hasil kerjasama dengan stesen televisyen NHK dan saluran Discovery Channel.
Para saintis itu menemui sotong tersebut pada kedalaman 630 meter dengan menggunakan sebuah kapal selam pada Julai tahun lalu sekitar 15 kilometer ke timur Pulau Chichi di utara Lautan Pasifik.
Penyelidik muzium tersebut, Tsunemi Kubodera berkata, pasukan penyelidikannya mengekori sotong besar itu pada kedalaman 900 meter ketika haiwan berkenaan menyelam jauh ke dasar lautan.
Rakaman stesen televisyen NHK menunjukkan haiwan berwarna perak dan bermata hitam besar itu berenang melawan arus laut dengan belalainya melilit umpan sotong.
"Haiwan itu bersinar dan amat cantik," kata Kubodera.
Sebelum ini, Kubodera hanya merakamkan gambar seekor sotong raksasa yang ditangkap dan dinaikkan ke dalam botnya pada tahun 2006.

Bantu pembelajaran pelajar di luar bandar

Posted: 08 Jan 2013 01:48 AM PST



PERJALANAN ke Sekolah Kebangsaan Ladang Mutiara (SKLM), Kluang, Johor bukan calang-calang. Jarak antara bandar Kluang ke sekolah yang terletak di tengah-tengah ladang kelapa sawit itu kira-kira 60 kilometer.
Selepas melalui Felda Nitar dengan jalan yang agak baik, laluan tidak berturap terpaksa dilalui. Keadaan jalan yang sempit dan berlubang-lubang pasti menjadi cabaran bukan sedikit.
"Jika hari hujan, jalan berlecak sehingga susah untuk kereta bergerak manakala waktu panas terik pula, keadaan laluan berdebu," kata Hishamuddin Salim, 33, yang telah hampir sedekad berkhidmat sebagai guru di sekolah itu.
Guru-guru SKLM seperti Hishamuddin dan guru besar, Ali Udon, 55, yang tinggal di Kluang atau Kahang terpaksa keluar seawal pukul 6 pagi kerana perjalanan memakan masa lebih sejam.
Hujan lebat bukan sahaja menjadikan jalan berlecak tetapi air kerap naik membanjiri laluan menyebabkan ada guru terhalang untuk datang ke sekolah.
Lebih parah apabila sekolah yang mendapatkan bekalan elektrik menggunakan janakuasa terpaksa belajar tanpa kipas angin kerana bekalan minyak diesel tidak dapat dihantar.
Bagi Shahrul Semangar, 14, kanak-kanak Orang Asli dari Kampung Pucoh wajib bangun seawal pukul 5 pagi, untuk bersiap-siap ke sekolah dengan menaiki van kira-kira pukul 6 pagi dan tiba tepat pukul 7 pagi.
"Di sekolah saya boleh belajar, dapat berjumpa dengan rakan-rakan dan bermain bola sepak bersama-sama kawan-kawan," kata Shahrul ringkas ketika ditemui di SKLM, Kluang awal bulan November lalu.
Shahrul merupakan pelajar pendidikan khas di SKLM bersama Shaharil Rosli, 12, dan adiknya, Rizal, 8, juga berasal dari kampung yang sama.
Adik-beradik itu kelihatan pemalu apabila didekati untuk bertanyakan nama, mereka menjawab dengan suara yang perlahan.
Mereka menjawab soalan dengan cara menggerakkan kepala sama ada menggeleng atau mengangguk. Barangkali, kedua-duanya berasa takut atau malu dengan orang luar.
Pastinya, mereka serta-merta mengangguk kepala apabila ditanya mengenai keseronokan berjumpa dan belajar bersama rakan-rakan di sekolah.
Menurut penyelaras pendidikan khas SKLM, Rosinabi Hussein, 33, rutin harian pelajar pendidikan khas bermula dengan sesi mandi pagi di sekolah.
Terdapat pelajar yang terpaksa bangun seawal 4 pagi untuk ke sekolah. Mereka menempuh perjalanan panjang termasuk merentas kawasan yang mungkin mengotorkan mereka.

SISTEM solar hibrid di Sekolah Kebangsaan Ladang Mutiara, Kluang, Johor dibangunkan dengan kos sebanyak RM3 juta.


Perjalanan jauh itu juga membuatkan mereka berpeluh. Maka, sesi mandi pagi di sekolah perlu sebelum kelas bermula bagi memastikan mereka sentiasa bersedia dan segar.
Kemahiran
Selain pembelajaran akademik, kelas pendidikan khas SKLM turut memberi tunjuk ajar dalam bidang kemahiran seperti perniagaan.
"Pelajar akan membuat dadih sendiri pada setiap hari. Kemudian, mereka akan jua dadih pelajar lain," terang Rosinabi.
Tambahnya, hampir keseluruhan pelajar pendidikan khas di situ seramai sembilan orang terdiri daripada pelajar lembam.
Suasana bilik darjah pendidikan khas berlainan sedikit kerana lebih interaktif dan menarik dengan penggunaan objek serta warna yang pelbagai.
"Komputer barangkali tidak memudahkan proses pembelajaran pelajar tetapi dapat menarik perhatian dan minat mereka untuk belajar," katanya yang dibantu dua orang guru lain dan seorang pembantu pengurusan murid (PPM).
Keperluan bekalan elektrik dalam bidang pendidikan bukan setakat menghidupkan lampu dan memusingkan kipas tetapi alat bantu pembelajaran seperti komputer amat memerlukannya.
Ketika SKLM mula-mula dibuka pada tahun 2000, sekolah tersebut menerima tenaga elektrik dari ladang kelapa sawit berdekatan, jadi bekalan hanya diterima pada waktu pejabat dari pukul 8 pagi hingga 4 petang.
Sekolah itu hanya menerima generator sendiri pada tahun 2004 tetapi kata Hishamuddin, elektrik yang dijana tidak stabil dan masalah kehabisan minyak sering berlaku terutamanya apabila laluan masuk dilimpahi air bah.
Gangguan tenaga elektrik merupakan perkara biasa dan paling lama para pelajar SKLM pernah terputus bekalan kira-kira dua minggu disebabkan banjir besar di Johor sedikit masa lalu.

TNB Energy Services Sdn. Bhd. akan menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan setiap tiga bulan sekali.


Apabila penalaan komponen penukar arus terus kepada arus ulang-alik generator, rectifier tiba-tiba menjadi huru-hara, maka lebihan beban bekalan berlaku menyebabkan komputer, mentol dan banyak lagi barangan elektrik rosak.
Hishamuddin yang mengajar di situ sejak tahun 2004 sudah masak dengan masalah bekalan elektrik yang sering mengganggu proses pembelajaran.
Paling menjadi masalah apabila hendak menjalankan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kerana ia melibatkan banyak alat bantu mengajar dalam bentuk cakera padat, komputer dan projektor.
"Bateri komputer riba diberikan kepada guru-guru yang tinggal di Kluang untuk dicas. Cikgu pula akan mengajar menggunakan skrin komputer yang kecil untuk dikongsi dengan murid-murid," kenang Hishamuddin apabila bekalan elektrik terputus dalam tempoh panjang.
Kata lelaki yang berasal dari Felda Nitar itu, terdapat inisiatif membekalkan tenaga solar pada tahun 2005 tetapi pada pendapatnya gagal kerana bekalan elektrik yang dibekalkan terlalu sedikit.
Bilangan panel solar antara tiga hingga empat keping, cukup sekadar menghidupkan tiga buah komputer pada waktu matahari bersinar sahaja.
Kini, dia amat bersyukur kerana SKLM sudah dilengkapi Sistem Solar Hibrid pada 15 Jun 2011 sekali gus sekolah yang menempatkan pelajar seramai 143 orang itu sudah boleh menerima bekalan elektrik selama 24 jam tanpa gangguan.
Solar hibrid merupakan projek di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia yang dibangunkan dan diselenggara oleh syarikat subsidiari Tenaga Nasional Berhad (TNB), TNB Energy Services Sdn. Bhd. (TNBES).
Bencana alam
Solar hibrid di SKLM siap dengan kos kira-kira RM4 juta. Ia memakan masa setahun lapan bulan untuk disiapkan kerana lokasi yang jauh dan sering terputus hubungan akibat bencana alam.
Sistem solar hibrid beroperasi dengan kombinasi solar panel dan generator serta dikawal menggunakan Sistem Pemantauan Jarak Jauh.
Elektrik yang dijana melalui panel solar digunakan pada waktu siang dan lebihan disimpan dalam bateri untuk digunakan kala tiada sinaran matahari.
Jika berlaku kehabisan bekalan elektrik dalam bateri, generator akan berfungsi serta-merta supaya bekalan elektrik dapat dibekalkan setiap masa.
Solar hibrid menjana tenaga elektrik menggunakan nisbah 70 peratus daripada panel solar dan 30 peratus lagi dijana oleh generator serta dikendali secara automatik tanpa pengawasan pengendali.
Sistem solar hibrid merupakan kaedah yang terbaik dalam membekalkan tenaga elektrik ke kawasan pedalaman seperti SKLM kerana penggunaan generator sahaja meningkatkan risiko kerap terputus bekalan elektrik selain kehabisan diesel.
"Grid penghantaran elektrik lebih baik dan menjimatkan tetapi ia bergantung pada bilangan penduduk di sesebuah kawasan.
"Kos bagi setiap 1 kilometer grid elektrik sekitar RM1 juta dan jarak antara jalan besar ke sekolah ini lebih kurang 50 hingga 60 kilometer manakala populasi penduduk tidak mencapai jumlah minimum untuk memasang grid," kata Pengarah Urusan TNBES, Shahrir Abdul Latiff ketika ditemui di sekolah itu.

SUASANA bilik darjah pendidikan khas sedikit berbeza kerana lebih interaktif dan penggunaan objek dengan warna yang pelbagai.


TNBES akan menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan setiap tiga bulan sekali dengan beberapa pasukan turun ke SKLM bagi menjalankan pemeriksaan ringkas selain menambah diesel.
Tangki minyak generator direka bagi menampung kapasiti sepanjang tempoh tiada sesi penyelenggaraan.
Selain SKLM, terdapat lebih 18 buah sekolah lagi di Johor, Pahang, Kelantan dan Perak yang berada di kawasan pedalaman dapat berasa kenikmatan sama seperti sekolah di Ladang Mutiara.
Penyelesaian alternatif solar hibrid di SKLM itu turut memenangi Anugerah Tenaga ASEAN 2012 (AEA2012) bagi kategori Off Grid Generation sempena Forum Perniagaan Tenaga Asean (AEBF) di Kemboja.

Berbasikal merentasi tiga negeri

Posted: 08 Jan 2013 01:47 AM PST


ACARA berbasikal Malakoff ini berjaya mengumpul sejumlah RM50,000 untuk disumbangkan kepada rumah kebajikan terpilih.


MALAKOFF meraikan kedatangan tahun baharu 2013 menerusi penganjuran Berbasikal Antara Negeri yang diadakan di Pulau Pinang pada awal Januari lalu. Selama dua hari, 1,100 pengayuh berbasikal merentasi laluan sepanjang 260 kilometer (km) melibatkan negeri Pulau Pinang, Perak dan Kedah.
Program tersebut berjaya mengumpulkan kira-kira RM50,000 untuk disumbangkan kepada Rumah Didikan Akhlak dan Pertubuhan Penyayang Chi Yun Bukit Mertajam.
Rumah Didikan Akhlak merupakan pusat latihan bagi kanak-kanak yang dibesarkan ibu bapa tunggal dan mereka yang pernah didera keluarga sendiri. Pertubuhan Penyayang Chi Yun Bukit Mertajam pula ialah rumah perlindungan untuk anak-anak yatim, kanak-kanak terbiar dan mangsa penderaan.
Setiap daripada organisasi kebajikan itu menerima RM25,000 hasil kutipan yang diterima program kendalian Malakoff itu.
Untuk tahun keempat berturut-turut, Malakoff telah menganjurkan dan menaja acara sukan berbentuk kebajikan sebagai usaha tanggungjawab sosial korporat mereka.
"Selama acara ini berlangsung, ia telah berkembang daripada satu program berbasikal biasa menjadi acara tahunan yang paling dinanti-nanti. Ia turut termasuk dalam kalendar tahunan bagi pelancongan Pulau Pinang dalam kategori program sukan awam.
"Seramai 1,000 peserta melibatkan diri dengan 100 lagi peserta datangnya adalah dalam kalangan pekerja Malakoff dan rakan niaga mereka.
"Sumbangan RM50 yang diterima hasil yuran penyertaan menjadi asas kepada kutipan dana sehingga kita berjaya menerima RM50,000 tahun ini," jelas Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat Negeri Pulau Pinang, Lydia Ong.
Sejak program itu diperkenalkan, ia telah berjaya mengumpulkan kira-kira RM170,000 dan telah diagihkan kepada badan-badan awam seperti St. John Ambulance, Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom) dan Pusat Belia Penang Bahnhof.
Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff, Zainal Abidin Jalil turut mengucapkan tahniah kepada semua peserta yang terlibat dalam program tersebut dan berbangga dengan semangat luar biasa mereka berkayuh merentasi tiga negeri atas nama kebajikan.
"Saya yakin mereka mendapat pengalaman berharga dan bertemu teman baharu," tambah Zainal Abidin.
Sejak mula diperkenalkan pada tahun 2009/2010, penyertaan tahun ini menyaksikan peningkatan respons positif dari segi penyertaan. Penganjur masih menerima pendaftaran pada saat akhir, enam jam sebelum ia ditutup untuk orang ramai.
Tahun ini, para peserta dilepaskan di Jalan Lingkaran Luar Butterworth pada malam ambang tahun baharu. Mereka perlu menempuh perjalanan sejauh 180km melalui Pulau Pinang, Kedah dan Perak. Menjelang subuh, kesemua peserta meneruskan kayuhan untuk 80km di bahagian pulau Pulau Pinang.
Acara tersebut turut mendapat sokongan daripada Polis Diraja Malaysia, Delta, Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Prai.
Untuk maklumat lanjut tentang acara yang telah berlangsung itu dan acara sukan amal yang bakal diadakan tahun ini, sila layari laman web www.malakoff.com.my atau www.facebook.com/Malakoff.MCP.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan