RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Tuduhan Rampas Kekasih, Aidil Zafuan Tuntut Mohd Nazmi Mohon Maaf

Posted: 28 Jan 2013 09:19 PM PST

Mohd Nazmi (kiri) dan Tengku Fiella
PETALING JAYA: Pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abd. Radzak menuntut bintang bola sepak kelab SC Beira-Mar Portugal, Mohd. Nazmi Faiz Mansor membuat permohonan maaf secara terbuka kerana menuduhnya menjalinkan hubungan sulit dengan gadis, Tengku Fiella.
Aidil, 25, yang juga pemain bola sepak pasukan negeri Johor berkata, tuduhan Mohd Nazmi, 19, yang dibuat menerusi Twitter miliknya itu telah memburukkan lagi keadaan Aidil yang masih berhadapan masalah rumah tangga dengan pelakon Rita Rudaini.
"Masalah saya dengan Rita masih belum selesai, timbul pula hal baru yang tidak benar.
Salah satu status pada Twitter Mohd Nazmi yang mencetuskan kontroversi.
"Saya tidak menjalinkan hubungan dengan mana-mana wanita dan saya minta Mohd Nazmi memohon maaf kerana tuduhannya itu," kata Aidil kepada mStar Online yang dihubungi di sini petang pada Isnin.
Mohd Nazmi yang juga bintang bola sepak remaja kebangsaan menerusi Twitter miliknya pada Isnin telah menuduh Aidil Zafuan mempunyai hubungan dengan bekas kekasihnya sehingga sanggup memberikan wang RM1,000 untuk berbelanja.
Bagaimanapun, kira-kira pukul 9.30 pagi Isnin, Mohd Nazmi telah memadamkan komen-komennya menerusi Twitter yang telah dimuat naik tetapi sempat disalin oleh pihak mStar Online.
Tambah Aidil, dia telah menghubungi Mohd Nazmi yang kini berada di Portugal pada petang Isnin untuk mendapatkan gambaran kenapakah dia memuat naik status tersebut.
Aidil Zafuan
Katanya, Mohd Nazmi memberitahu dia berbuat demikian kerana begitu marahkan bekas teman wanitanya itu selain terlalu mendengar cakap rakan-rakan mengenai hal berkenaan.
"Nazmi menjelaskan bahawa dia tidak fikir panjang apabila mendapat tahu kononnya saya mempunyai hubungan dengan bekas kekasihnya selain tidak memikirkan kesan daripada tindakannya memuat naik status tidak benar itu.
"Dia sudah memohon maaf daripada saya dan sebagai orang yang lebih tua daripadanya, saya memaafkan dia walaupun yang nampak buruknya akan terkena pada saya. Maklumlah (dia) darah muda.
"Cuma saya mahu dia bersihkan nama saya. Lagipun kami tidak bermusuhan pun," ujarnya.
Nazmi membuat permohonan maaf menerusi Twitter miliknya pada malam Isnin.
Aidil turut memberitahu dia tidak mengenali gadis yang dimaksudkan Mohd Nazmi manakala jumlah RM1,000 yang dikatakan itu juga tidak benar.
Sementara itu Tengku Fiella yang merupakan gadis kelahiran Kelantan berkata Mohd Nazmi merupakan seorang yang kuat cemburu dan meminta semua pihak tidak mengambil serius kenyataan itu.
"Jangan ambil serius apa yang Nazmi Faiz tulis di Twitter kerana dia sendiri belum matang dan mungkin dalam keadaan tertekan dengan kelab di portugal," katanya seperti dilaporkan portal rotikaya.com. pada Isnin.
Malah gadis tersebut juga berkata dia tidak pernah mengenali Aidil Zafuan dan bersimpati kerana turut dikaitkan dalam isu itu.
Dalam perkembangan terbaharu, Mohd Nazmi telah membuat permohonan maaf menerusi Twitter miliknya kira-kira pukul 9 malam Isnin dan meminta semua pihak tidak menyalahkan Aidil.
"Saya minta maaf mengenai perkara yang lepas, jangan salahkan Aidil Zafuan. Dia tiada kaitan dalam hal ini," katanya.

Lima rockers ganti Ombak Rindu

Posted: 28 Jan 2013 09:18 PM PST


MOHAMED JUHARI (tengah) pada sidang akhbar Konsert Gegar Lima Legenda.


KONSERT Gegar Lima Legenda yang bakal berlangsung di Istana Budaya pada tarikh yang mana pementasan Ombak Rindu sepatutnya dipentaskan iaitu dari 22 hingga 24 Februari telah menimbulkan persoalan.
Adakah konsert tersebut dipilih secara tangkap muat semata-mata untuk mengisi atau menggantikan pementasan Ombak Rindu yang ditangguhkan?
Jawapannya ialah tidak. Ia sebenarnya telah dirancang sejak tahun 2011 lagi.
Namun, disebabkan secara kebetulan penangguhan teater itu telah membuka ruang untuk konsert berkenaan diadakan dengan segera bagi memenuhkan kalendar Istana Budaya dengan acara lain.
Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, perancangan untuk mengadakan konsert yang menggabungkan rockers tahun 90-an telah fikirkan sejak lama lagi dan ia bukan dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa.
"Penangguhan pementasan teater Ombak Rindu adalah kerana faktor jadual artis yang tidak selaras dengan pementasan itu menyebabkan kami terpaksa memenuhkan kalendar Istana Budaya dengan acara lain," ujarnya pada sidang akhbar di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Konsert Gegar Lima Legenda yang akan berlangsung di Istana Budaya dari 22 hingga 24 Februari ini menggabungkan rockers tahun 90-an seperti Saleem (Iklim), Aris Ariwatan, Rahmat (Mega), Zamani (Slam) dan Ali (Terra Rossa).
Ia bakal diiringi oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) dan akan dibahagi dalam dua segmen.
Tambah Mohamed Juhari, lima artis rock yang akan membuat persembahan tersebut masih mempunyai peminat manakala lagu-lagu mereka masih popular.
Sementara itu, Pengarah Persembahan, Lokman Ghani berkata, konsep konsert itu nanti akan mengangkat kenangan dan kegemilangan era rock balada yang pernah mengangkat nama mereka di kalangan peminat.
"Apa yang pasti hanya seleksi lagu terbaik akan dipilih untuk dipersembahkan kepada penonton dan pada masa ini kami masih lagi memilih lagu apakah yang akan dibawa mereka pada malam itu nanti.
"Susunan muzik juga akan diubah bagi disesuaikan dengan orkestra yang akan mengiringi mereka pada malam itu nanti," jelasnya.
Bagi Saleem, dia sudah lama mengimpikan untuk membuat persembahan di Istana Budaya kerana sebelum ini hanya menyanyi di pekarangan dewan yang gah itu.
"Saya selalu pasang angan-angan dan menyuarakan luahan hati kepada Mohamed Juhari, tidak sangka ia akan jadi kenyataan tidak lama lagi," ujarnya yang akan menghantar lapan buah lagu untuk dinilai bagi persembahan malam itu.
Tiket-tiket persembahan itu dijual pada harga RM50, RM70, RM100, RM150, RM200 dan RM250. Tempahan tiket boleh dibuat dengan menghubungi 03-4026 5508 atau 03-4026 5558 atau layari www.ticket2u.biz.

Azza (Elite) Dapat Hidayah Bertudung Ketika Berlakon Drama

Posted: 28 Jan 2013 09:17 PM PST

Imej terbaharu Azza bersama suaminya Azlan. Foto: Twitter milik Azza
PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon Azza (Elite) mendedahkan watak yang dilakonkannya sebagai wanita muslimah bertudung menerusi drama Mujahid pada tahun lalu telah membuka hatinya untuk terus menutup aurat.
Azza atau nama sebenarnya Nor Azzarima Zawari, 35, berkata, dia bersyukur kerana mendapat rahmat berkenaan ketika sedang mencari rezeki dalam dunia lakonan yang menjadi punca rezekinya selama ini.
"Itulah, orang kata, rahmat yang Allah berikan kepada setiap manusia berbeza-beza dan apabila sudah sampai waktunya, apa salahnya kita berhijrah terus.
"Sebenarnya, sebelum Mujahid, saya dah mula berselendang sepanjang penggambaran drama Kiah Pekasam bersama Rozita Che Wan di Jepun, tahun lalu.
"Alhamdulillah, menerusi bidang lakonan yang menjadi punca rezeki utama juga menyedarkan saya kepada sebuah penghijrahan yang indah dalam hidup ini," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.
Tambah Azza yang mula bertudung pada 6 Januari lalu, dia juga bersyukur apabila keluarga dan suaminya, Azlan Zulaily memberi sokongan terhadap perubahan penampilan barunya itu.
Kata Azza, suaminya juga pernah menyuarakan hasrat untuk melihat dia bertudung selepas mendirikan rumah tangga pada April tahun lalu, namun lelaki itu tidak memaksanya untuk melakukan perubahan secara drastik.
Suami Azza juga pernah menyuarakan hasrat untuk melihat dia bertudung selepas mendirikan rumah tangga pada April tahun lalu. Foto Facebook Azza.
"Kalau nak tahu, sebelum ini hanya saya seorang dalam keluarga yang tidak bertudung dan sedikit rasa janggal lebih-lebih lagi ketika seluruh keluarga berkumpul untuk menghadiri sebuah majlis perkahwinan di Pulau Pinang pada pertengahan Disember lalu.
"Kemudian saya terfikir, kasihan pula pada ibu apabila anaknya seorang ini sahaja yang tidak bertudung dalam keluarga," tuturnya yang turut diberikan hadiah pelbagai jenis tudung daripada rakan-rakannya termasuk daripada pelakon Sheila Rusly.
Sementara itu, Azza berkata, bertudung litup juga tidak menghalangnya untuk berlakon dan menyanyi seperti biasa.
Malah dia bersyukur apabila perubahan imej baru itu tidak mengganggu karier seninya.
"Ini (berlakon) adalah sumber pendapatan saya. Selama ini, lakonan saya tidak pernah melebihi batas-batas atau mengundang rasa tidak senang kepada orang ramai.
"Saya akan terus berlakon dan menyanyi seperti biasa. Cuma yang bezanya hanyalah penampilan diri sahaja.
"Apa-apa pun diharap, setiap tutur kata dan perlakuan saya lebih bersifat sederhana, Insya-Allah," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Azza bakal muncul dengan drama Mujahid, Musim Cinta Atuk dan Sepai di TV1 serta Kiah Spy di Astro Warna.

Nabil berkorban demi anak

Posted: 28 Jan 2013 09:16 PM PST



SELAIN bergelar pelawak, pelakon dan pengacara Ahmad Nabil Ahmad atau lebih sinonim dengan panggilan Nabil pernah mengembangkan bakat seninya apabila menjadi penyampai radio di Suria FM.
Bagaimanapun, jodoh Nabil bersama stesen radio berkenaan tidak panjang apabila dia mengambil keputusan untuk mengundur diri selepas kontraknya tamat pada akhir tahun lalu.
Ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Lawak Ke Der 2 di Hotel Premiera, Kuala Lumpur minggu lalu, Nabil tetap bersyukur apabila rezekinya semakin bertambah sejak dikurniakan cahaya mata.
Menurut suami kepada Nazirah Ayub itu, sekarang ini dia perlu bekerja dengan lebih keras memandangkan tanggungjawabnya sudah semakin bertambah.
Kosmo!: Apakah perkembangan kerjaya Nabil sekarang?
NABIL: Dalam tempoh terdekat ini saya akan terbabit dengan program komedi Karoot Komedia X dan Lawak Minggu Ini. Selain itu saya akan membintangi dua buah telefilem iaitu Elly Dan Epit dan Geng Bas Sekolah.
Kemudian pada bulan Mac ini pula saya berkemungkinan besar akan pergi ke Belanda untuk rakaman sebuah program Astro. Mengikut perancangan, saya akan bawa isteri dan anak ke sana, namun ia bergantung kepada keadaan.
Bagaimanakah dengan kehidupan Nabil sekarang, setelah dua bulan bergelar bapa kepada Naira Mikayla?
Kehidupan saya sekarang tidak banyak jauh berbeza berbanding sebelum ini, tetapi kehadiran Naira merupakan pelengkap kepada kehidupan kami sekeluarga.
Sepanjang bergelar bapa ini, saya dan isteri akan bergilir-gilir menjaga Naira, kadang-kadang terpaksa bangun pukul 4 pagi untuk bancuh susu dan tukar lampin pakai buang kerana kami tidak ada pembantu rumah.
Adakah anak menjadi salah satu faktor Nabil mengundur diri daripada menjadi penyampai radio?
Saya tidak nafikan kehadiran cahaya mata merupakan salah satu faktor saya tidak menyambung kontrak bersama Suria FM. Selepas memiliki cahaya mata, saya rasa perlu memberikan komitmen yang lebih kepada keluarga.
Sekiranya mata pencarian saya hanya sebagai penyampai radio saya tidak kisah, tetapi saya masih lagi berlakon dan lebih baik memberikan tumpuan kepada lakonan dan terpaksa mengorbankan kerjaya di konti radio demi anak.
Bagaimanakah perasaan Nabil sepanjang setahun menjadi penyampai radio?
Ia memberikan satu pengalaman baharu dalam kehidupan saya sebagai seorang artis. Dapat bergabung dengan Kenchana Devi dan penyampai hebat seperti Halim Othman memang sesuatu yang menyeronokkan.
Adakah Nabil tidak kisah sekiranya Naira mengikut jejak anda sendiri apabila dia sudah besar nanti?
Sejujurnya saya tidak kisah kalau suatu hari nanti Naira turut mengikut jejak saya menjadi artis. Namun begitu, saya mahu dia membesar sebagai seorang gadis yang berilmu dan berpelajaran tinggi.
Bagi saya, pelajaran itu merupakan perkara yang paling utama dan sudah tentu saya tidak mahu dia menjadi seperti saya yang tidak menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

‘Beli Lagu Guna Nama Sendiri Itu Fitnah’ - Amran Ismail

Posted: 28 Jan 2013 09:14 PM PST

PETALING JAYA: Pelakon Amran Ismail tetap mempertahankan pendirian lagu Ini Janjiku nyanyian dan ciptaannya adalah tulen dan bukan diciplak dari mana-mana karya walaupun ia nyata mempunyai persamaan dengan lagu I Heart Younyanyian kumpulan Smash dari Indonesia.
Amran atau nama sebenarnya Md Amran Ismail, 28, berkata, lagu itu diilhamkan ketika dia berlakon dalam drama Cinta Buat Emelda tidak lama dulu.
Persoalan yang timbul bagaimana Amran yang tidak mempunyai pengetahuan muzik boleh mencipta lagu selain ada desas-desus mengatakan dia membeli karya berkenaan daripada seseorang sebelum mendakwa lagu berkenaan adalah nukilannya.
"Memang lagu itu saya cipta sendiri. Saya juga tidak menyedari ia ada persamaan dengan lagu kumpulan Smash. Saya pun tak kenal kumpulan itu," katanya kepada mStar Online apabila diminta menjelaskan isu berkenaan.
Amran turut memberitahu dia mahu berbincang dengan syarikat rakaman Warner Music Malaysia selepas syarikat rakaman itu berhasrat mengambil tindakan terhadapnya kerana karya itu terang-terangan meniru lagu I Heart You.
Ikuti penjelasan Amran kepada mStar Online berhubung isu terbabit.
Bagaimana anda hasilkan lagu tanpa pengetahuan/ilmu muzik?
Memang saya tiada ilmu muzik. Saya dapat ilham buat lagu itu menerusi teknik humming bukan gitar atau alat muzik lain. Ilham datang ketika penggambaran drama bersiri Cinta Buat Emelda pada tahun lalu. Daripada situ, saya minta bantuan rakan untuk gubah muziknya, manakala lirik saya hasilkan juga. Cuma, saya berkesempatan untuk lancarkan ia pada baru-baru ini.
Reaksi anda apabila dituduh menciplak lagu kumpulan Smash?
Saya akui terperanjat dengan kontroversi itu tetapi terus-terang saya tidak pernah mendengar lagu kumpulan tersebut. Saya tidak berani cakap banyak kerana lagu itu dihasilkan tanpa pengetahuan mengenai kewujudan lagu Smash. Mungkin ia sekadar kebetulan dan saya enggan komen lanjut.
Anda didakwa tidak boleh menyanyi secara langsung. Apa komen anda?
Isu boleh menyanyi atau tidak bukan persoalannya. Kita sudah ada kecanggihan teknologi jadi apa salahnya kita memanfaatkan kemudahan itu. Bukan satu kesalahan pun saya gunakan bantuan teknologi. Takkan kita nak melekat di takuk lama, muzik sudah berubah dan pembaharuan perlu diberikan sedikit sebanyak. Apa-apa pun, setiap kritikan saya terima seadanya.
Timbul dakwaan kononnya anda ditaja oleh ahli perniagaan berpangkat Datuk untuk projek lagu itu?
Penerbitan lagu itu tidak memakan kos yang tinggi tetapi mengikut kemampuan saya. Benar ada pembabitan seorang Datuk tetapi beliau bukan menaja saya tetapi sekadar menganjurkan majlis pelancaran itu sahaja. Beliau yang saya anggap seperti pakcik sendiri hanya bantu secara kecil-kecilan sahaja.
Ada sumber mendakwa lagu Ini Janjiku bukan ciptaan anda tetapi dibeli daripada seorang komposer?
Itu fitnah. Saya merujuk kepada komposer itu untuk memperkemaskan lagu berkenaan daripada aspek komposisi muzik dan lirik, manakala selebihnya adalah idea saya sepenuhnya.
Harapan anda mengenai kontroversi yang timbul.
Saya berharap isu ini segera diselesaikan dengan cara baik. Saya tidak marah pada sesiapa walaupun terkilan dengan tuduhan yang timbul. Semoga semuanya kembali pulih seperti sedia kala kerana setiap masalah ada penyelesaiannya.

Kontrak RM28 juta Salman Khan

Posted: 28 Jan 2013 09:13 PM PST


SALMAN KHAN


AKTOR tersohor Bollywood, Salman Khan mencatat rekod baharu apabila menandatangani perjanjian bernilai Rs. 500 (RM28 juta) dengan Star TV Network untuk iklan rangkaian televisyen antara yang terbesar di India itu.
Sehingga tempoh lima tahun yang lepas, pelakon berusia 47 itu muncul menerusi filem pecah panggung, Ready, Dabangg, Bodyguard, Ek Tha Tiger dan Dabangg 2 yang mana setiap satunya mengumpul kutipan mencecah Rs.100 (RM5.6 juta).
Pengurus Besar Star Gold, Hemal Jhaveri, memberitahu portal berita India, IANS, Salman Khan adalah pilihan yang tepat memandangkan pencapaian yang telah diraih menerusi rekod filem-filem pecah panggung lakonannya.
"Salman merupakan pelakon yang konsisten dari segi kutipan pecah panggung filem-filem lakonannya. Dari segi tersebut, dia merupakan pelakon yang memiliki nilai tertinggi dalam kalangan pelakon di Bollywood," ujarnya.
Tambahnya, mengikut kepada perjanjian, saluran TV itu akan memiliki hak siaran eksklusif televisyen menerusi semua filem terbaharu Salman.
"Selepas perjanjian yang dibuat pada tahun ini, kami mempunyai hak penyiaran eksklusif terhadap kesemua filem lakonan Salman atau apa-apa penerbitan yang berkaitan dengan pelakon itu," katanya.
Salman yang mempunyai masalah kesihatan dan bakal mendapatkan rawatan di Amerika Syarikat akan memulakan penggambaran tidak lama lagi untuk filem Kick, No Entry Mein Entry dan Sooraj Barjatya.

Didie Alias Enggan Layan Jadi Punca Konflik Max 24:7

Posted: 28 Jan 2013 09:13 PM PST

Didie anggap dakwaan dibangkitkan bekas pengurus kumpulan MAx 24:7 sebagai mencari publisiti murah dan tidak wajar diendahkan.
PETALING JAYA: Pelawak dan pengacara Didie Alias akan membuat penjelasan dalam satu sidang media khas sekiranya perlu selepas dituduh menjadi punca konflik antara kumpulan Max 24:7 dengan pihak pengurusan mereka.
Pemilik nama sebenar Fadzilah Mohd Ali, 40, berkata, dia akan memberikan penjelasan kemudian kerana beranggapan isu tersebut hanyalah satu publisiti murah yang hendak diraih oleh bekas pengurusan kumpulan itu, Aesar Mustafa.
"Minta maaf saya tidak mahu beri apa-apa komen lanjut mengenai dakwaan ini. Siapa dia (Aesar) untuk saya beri komen mengenai perkara ini?
"Tunggu saya adakan sidang media nanti," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, petang Isnin.
Dakwaan terbaharu itu timbul apabila pelawak popular berkenaan dituduh menjadi punca kerana mempengaruhi Max 24:7 berundur daripada pihak pengurusan mereka pada 20 Januari lalu.
Kumpulan Max 24:7 dianggap bekas pengurus sebagai lupa diri dan terpengaruh dengan anasir-anasir luar yang mempunyai agenda tertentu.
Ditanya mengenai dakwaan Aesar bahawa Didie adalah penyebab kumpulan yang ditubuhkannya itu meninggalkan syarikat pengurusannya, pelawak itu berkata, tuduhan itu tidak berbaloi untuk dilayan.
"Saya tidak mahu melayan perkara ini kerana ia tidak berbaloi," katanya yang baharu menamatkan penggambaran drama bersiri Tanggang Ayu.
Dalam pada itu, bekas pengurus Max 24:7, Aesar Mustafa berkata, dia berasa terkilan dan tidak sangka dengan tindakan luar jangkaan 10 anak muda itu yang berundur tanpa alasan kukuh.
"Saya tidak sangka dan terkilan dengan keputusan mereka sedangkan konflik dalaman antara kami sebelum ini sudah diselesaikan, dua minggu lalu.
"Tiba-tiba seminggu kemudian mereka sebulat suara hendak undur diri dengan alasan mahu menguruskan kerjaya sendiri," katanya.
Aesar terkilan Max 24:7 menarik diri daripada pengurusannya tanpa alasan yang kukuh pada 20 Januari lalu.
Aesar berkata, dia percaya keputusan mengejut itu dipengaruhi anasir luar termasuk beberapa individu iaitu pereka fesyen dan pemandu kumpulan itu serta Didie Alias.
Katanya, kumpulan itu mula bertindak berani sejak mereka dan Didie bekerjasama dalam projek lagu terbaharu berjudul Ping.
"Saya tertanya-tanya siapa pula yang hasut mereka sedangkan kita sudah bermaaf-maafan dan selesaikan salah faham dahulu secara baik.
"Tentu ada unsur-unsur luar yang cuba 'merampas' mereka atas kepentingan tertentu walaupun mereka menafikannya," katanya.

Semangat jitu Tania

Posted: 28 Jan 2013 09:12 PM PST



NAMA Tania Nadira Hudson semakin terpinggir dan kurang mendapat liputan sejak lebih setahun lalu. Hal itu berlanjutan sehinggalah kemunculannya di set penggambaran drama Surat Dari Langit Biru di Desa Park City, pinggir bandar raya Kuala Lumpur pada petang hari Selasa lalu.
Polos tanpa olesan bahan soleken, wajah yang mirip seperti kakaknya, Natasha Hudson itu bagaimanapun nampak sugul dan kurang bermaya.
Ditanya mengenai kesihatannya, jawab Tania, 28, dia kini berada dalam keadaan yang sihat tanpa kesan sampingan selepas menjalani pembedahan sekitar empat tahun lalu.
"Alhamdulillah, saya kini lebih sihat. Cuma, saya perlu kawal corak hidup dan tekanan sekeliling dengan lebih cermat. Rawatan susulan cuma tiga tahun selepas pembedahan dan sekarang semua kembali normal, tetapi kepala ada berdenyut sekali-sekala.
"Saya bersemangat untuk kembali bekerja seperti sebelum ini. Fokus saya adalah karier lakonan yang nampak sudah semakin menyusut sejak akhir-akhir ini," katanya.
Tania sebelum ini pernah menjalani pembedahan otak akibat menghidap penyakit Arteriovenous Malformation (AVM) pada tahun 2009.
AVM adalah sejenis gumpalan urat yang tidak normal tumbuh pada bahagian otak dan penyakit yang dialami pelakon itu menjadi serius apabila berlaku pendarahan dalaman.
Tania menegaskan, ketiadaannya dalam industri selepas kemunculannya menerusi drama bersiri Tiramisu dua tahun lalu bukan kerana merajuk. Sebaliknya, tempoh itu digunakan untuk memerhatikan suasana dunia seni dan pada masa sama, masih aktif di pentas peragaan fesyen.
"Jauh sekali untuk saya merajuk kerana berlakon juga sumber pencarian saya selain peragaan. Cuma saya sengaja memberikan rehat untuk diri sendiri sebelum kembali semula dengan lebih aktif dan fokus.
TANIA perlu mengawal corak dan tekanan dalam kehidupan dengan penuh cermat.


"Saya masih aktif membuat peragaan dan berlakon iklan. Selain itu, ada juga membantu bisnes kek ibu saya (Ratna Hussin)," ujarnya.
Kahwin
Diajukan soalan nakal sama ada dirinya sudah mempunyai calon suami dan kemungkinan bakal mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat, balas pelakon kacukan Melayu-Inggeris itu, dia masih solo.
"Belum ada sebarang perancangan untuk berkahwin. Usahkan berkahwin, calon pun belum ada," kongsinya bersulam ketawa.
Tambah Tania, harapannya ingin berjaya terlebih dulu dalam kerjaya sebelum memutuskan untuk berumah tangga.
"Kalau boleh saya ingin menamatkan zaman solo sebelum mencecah usia 30 tahun tetapi susah nak cakap, sebab jodoh bukan kita tetapkan," ujar Tania.
Meletakkan beberapa kriteria lelaki yang diidamkan, kata Tania dia mahukan seseorang lelaki yang berupaya membimbingnya, matang dan lebih berusia daripada dirinya.
"Lagi tua seseorang itu lagi matang pemikirannya. Paling tidak pun dia boleh membimbing saya. Selain itu, saya mahukan seorang lelaki yang kelakar, berjaya dalam kerjaya, menghormati saya dan berpegang pada janji. Ikhlas itu penting dalam sesebuah perhubungan," jelasnya.
Jahat
Berkongsi karakternya dalam drama Surat Dari Langit Biru, kata Tania, dia terkejut ketika ditawarkan untuk melakonkan watak Lisa. Ia merupakan salah seorang pemegang watak antagonis dalam drama itu.
TANIA menafikan dirinya merajuk selepas tidak aktif berlakon sejak kali terakhir muncul menerusi drama bersiri, Tiramisu pada tahun 2009.


"Pertama kali saya diberikan watak antagonis yang bermulut jahat dan licik, malah Lisa juga bertanggungjawab memporak-perandakan keluarganya sendiri. Biarpun kemunculan saya hanya sekejap tetapi sebenarnya meninggalkan impak mendalam," katanya yang pertama kali berlakon dibawah arahan pengarah terkenal, Rashid Sibir.
Drama bersiri 15 episod terbitan Rashbir Media dan mendapat sentuhan skrip Basri Musa itu menampilkan barisan pelakon hebat seperti Johan As'ari, Yana Samsudin, Fizo Omar, Datuk Rahim Razali, Fauziah Nawi, Iqram Dinzly, Nabila Dally dan Ika Nabila.
Surat Dari Langit Biru mengisahkan ikatan persaudaraan antara Zarul (Johan) dan Salmi (Yana) yang sangat rapat dan serba sederhana. Menginjak dewasa, Salmi berjaya bergelar seorang doktor. Namun, Zarul terpaksa berkorban masa depannya demi melihat kakaknya itu berjaya.
Pada masa sama, bapa mereka, Pak Hassan (Datuk Rahim) mengahwinkan Salmi dengan anak penghulu kampung Heykal (Fizo) kerana telah banyak terhutang budi sedangkan Heykal sendiri menyimpan dendam terhadap keluarga itu.
Rumah tangga Salmi tidak bahagia ditambah pula Zarul yang diperangkap oleh Heykal dan adiknya Lisa (Tania) sehingga dihalau keluarga. Lantas Zarul pergi menghilangkan diri.
Segalanya bakal terjawab dalam Surat Dari Langit Biru yang akan disiarkan mulai 6 Februari 2013, setiap hari Selasa hingga Khamis pukul 10 malam di TV3.

Filem 'Juvana' Kutip RM1.7 Juta Empat Hari Tayangan

Posted: 28 Jan 2013 09:11 PM PST


PETALING JAYA: Hanya dalam masa empat hari, filem Juvana yang ditayangkan sejak 24 Januari lalu berjaya menarik perhatian penonton apabila kutipan tiketnya telah mencapai sehingga RM1.7 juta.
Menurut penerbitnya, Kabir Bhatia, Juvana memberi perkembangan positif bagi tahun ini selepas kemerosotan kutipan filem-filem tempatan pada tahun lalu.
"Ramai yang bertanya tentang sambungannya ini selepas menonton di pawagam dan bagi kami segala-galahnya bergantung kepada sambutan filem ini terlebih dahulu.
"Sekiranya sambutannya bagus, mungkin akan ada sekuel Juvana. Kami harapkan lebih ramai yang akan ke pawagam kerana filem ini sangat berbaloi untuk ditonton," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan kepada mStar Online di sini pada Isnin.
Kabir Bhatia
Tambah Kabir, promosi Juvana di media cetak dan elektronik masih lagi diteruskan bagi membolehkan lebih ramai penonton ke pawagam selain rangka promosi melibatkan pelakon dan peminat di beberapa lokasi terpilih.
Dalam pada itu, filem kerjasama antara Juita Viden Sdn. Bhd dan Filmscape Sdn. Bhd arahan Faisal Ishak ini diyakini mampu mencatat kutipan lebih tinggi pada minggu ini berdasarkan kepada sambutan empat hari tayangan.
"Lakonan mantap barisan pelakon juga mendapat pujian daripada penonton sehinggakan ada yang begitu teruja dengan menontonnya di pawagam sebanyak tiga kali.
"Terdapat permintaan daripada penonton yang mahukan filem ini disambung lagi," kata Kabir.
Sharnaaz menerusi watak Lan Todak berjaya membawa watak antagonis tersebut dengan cukup baik dan berkesan.
Juvana yang merupakan kesinambungan daripada drama bersiri Juvana siaran TV3 itu dibarisi pelakon Johan As'ari, Zahiril Adzim, Syazwan Zulkifly, Sharnaaz Ahmad dan Syafie Naswip.
Filem genre aksi ini memaparkan kisah Botak, Apek, Ayam, Kicap, Komeng, Panjang dan Daim yang terpaksa dipindahkan ke sebuah akhlak baru selepas seokolah Wira Bakti ditutup.
Daim yang telah dibebaskan cuba memulakan kehidupan baru dan menyambung persekolahannya.
Namun, sejarah hitam hidupnya tidak memberi laluan mudah untuk Daim membina hidup baru.

Peniaga makanan miliki syiling berusia 214 tahun

Posted: 28 Jan 2013 09:09 PM PST


RUZAMAN menunjukkan syiling AS tahun 1799 dan laporan Kosmo! mengenai lelongan syiling di New York yang hampir sama dengan syiling miliknya di Selayang semalam.


SELAYANG - Seorang peniaga makanan di sini, Ruzaman Zakaria mendakwa memiliki dua keping duit syiling perak lama yang dipercayai berusia antara 138 hingga 214 tahun.
Menurut Ruzaman, 40, syiling berkenaan diperolehnya kira-kira 12 tahun lalu yang diberi oleh seorang lelaki yang tidak dikenali ketika dia pulang daripada berniaga di Rawang, Selangor.
Katanya, pada malam itu keretanya kehabisan minyak di sekitar Taman Templer dan dia terpaksa berjalan kaki selama 30 minit ke sebuah stesen minyak berdekatan.
"Ketika dalam perjalanan ke kereta setelah membeli minyak, tiba-tiba seorang lelaki menghampiri saya dan menanyakan masalah yang saya hadapi.
"Kemudiannya, secara tiba-tiba lelaki itu menghulurkan dua keping syiling ini kepada saya dan selepas menerimanya saya terus berlari ke kereta sementara lelaki tersebut juga hilang begitu sahaja," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Patin liar signatur restoran Samudra

Posted: 28 Jan 2013 09:07 PM PST



DI dinding Restoran Samudra Exotic River Fish terpampang keratan akhbar lama bertulisan jawi yang telah pudar warnanya. Bila diamati, keratan akhbar tersebut merupakan artikel hasil tulisan Pak Sako berkaitan sebuah restoran di Pahang beberapa dekad lalu.
Rupa-rupanya, pemilik restoran di Rumah Rohas, Jalan Raja Abdullah, Kampung Baru, Kuala Lumpur itu mempunyai talian darah dengan pemilik di restoran tradisional Melayu di Pahang seperti yang dinyatakan Pak Sako.
Kamarul Ariffin Hamzah, 36, merupakan generasi kedua pengusaha masakan tradisi Melayu yang popular sekitar tahun 1980-an. Ketika itu, restoran berkenaan terletak di Jalan Kuantan, Bandar Baru Temerloh.
Ia dibuka oleh allahyarham Hamzah Kanin pada tahun 1976 dan dikenali sebagai Kedai Makan Wan Kalthom Wan Yusof atau Restoran Tradisional Samudra.
Restoran tersebut menyajikan pelbagai masakan tradisional Melayu termasuk ikan sungai dan ulam-ulaman.
Keenakan patin liar
Ekoran lokasi strategik dan masakannya yang enak, kedai tersebut berjaya menarik pelbagai latar belakang pelanggan termasuk pembesar-pembesar Pahang, menteri-menteri dan pegawai tinggi kerajaan. Antaranya, Menteri Pelancongan pada masa itu,Tan Sri Sabbaruddin Chik dan mantan Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Mohd. Sarit Yusoh.
Antara menu kegemaran pelanggan pada masa itu termasuklah ikan patin liar masak tempoyak, masak lemak kaki kerbau, burung puyuh goreng dan ulam-ulaman kampung.
"Saya tidak ketinggalan membantu arwah bapa di kedai tersebut terutama selepas pulang dari sekolah. Kerja-kerja yang saya lakukan termasuk mencuci pinggan mangkuk, melayan pelanggan dan mengemas kedai.

RESTORAN Samudra Exotic River Fish di Kampung Baru, Kuala Lumpur berkonsepkan selesa dan santai.


"Para pelanggan yang kebanyakannya pelanggan tetap memuji keenakan masakan arwah. Arwah rajin memperkenalkan menu-menu baharu seperti burung puyuh goreng. Ketika itu, tidak ada peniaga lain menjual masakan tersebut.
"Pengusaha-pengusaha Cina membunuh burung puyuh dan hanya menjual telurnya. Arwah mengambil peluang itu lalu memperkenalkan menu baharu yang akhirnya mendapat sambutan menggalakkan daripada para pelanggan," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Pada tahun 1986, restoran tersebut berpindah ke Jalan Maran untuk memberi lebih keselesaan kepada para pelanggan. Kedai baharu itu menyediakan 400 tempat letak kereta.
Sembilan tahun selepas itu, Hamzah meninggal dunia dan perniagaan itu diuruskan Kamarul bersama ahli keluarga yang lain.
Bak kata pepatah, disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Episod duka mula melanda perniagaan tersebut apabila Lebuh Raya Pantai Timur dibina dan dibuka pada tahun 2004. Pembinaan lebuh raya menyebabkan para pelanggan sukar datang ke kedai.
Apabila lebuh raya berkenaan dibuka, orang ramai lebih lebih suka menggunakan lebuh raya berbanding jalan lama. Ekoran itu, pendapatan kedai tersebut merudum sehingga 70 peratus.
Berhijrah
"Ekoran, pendapatan restoran terjejas teruk, saya mengambil keputusan berhijrah ke Selangor pada tahun 2002. Latar belakang kehidupan yang sentiasa didedahkan dengan selok-belok perniagaan membolehkan saya berdikari dengan menjalankan perniagaan makanan secara kecil-kecilan di sebuah kawasan kilang.

PARA pelanggan boleh menempah dan menikmati hidangan masakan tradisional secara ala-carte pada bila-bila masa.


"Ia bertahan selama lima tahun namun saya nekad berpindah ke Kuala Lumpur apabila seorang rakan kongsi mengajak mengusahakan perniagaan kedai makan di kawasan Desa Malawati," kata Kamarul yang mahir memasak ikan patin tempoyak ketika berumur 18 tahun.
Sejak itu, kehidupannya turun naik termasuk beberapa kali berpindah kedai. Namun, menu ikan tempoyak hasil air tangannya mula menarik selera pelanggan. Kedai makannya mula mempunyai pelanggan tetap. Para pelanggan tetap turut mempromosi masakannya kepada rakan-rakan mereka.
Pada tahun 2011, Kamarul berniaga di Menara Tinjau Ampang. Ketika itu, bisnes tersebut masih dijalankan secara usaha sama dengan pihak lain.
Rezekinya bertambah murah apabila mendapat ruang perniagaan di lokasi sekarang di Kampung Baru, dibuka sejak 26 April lalu.
"Syukur, perniagaan ini semakin berkembang dan para pelanggan tetap kembali menjamu selera di sini.
"Restoran ini berkonsep selesa dan santai, mampu memuatkan 250 orang, mempunyai empat bilik VIP dan tiga bilik boleh dibuka untuk dijadikan bilik besar," kata anak kelima daripada enam adik-beradik itu.
Restoran tersebut diusahakan bersama dua adiknya yang turut membantu sebagai tukang masak sekali gus mengembalikan semula era kegemilangan kedai makan arwah bapanya.
"Kami memilih makanan tradisional Melayu dan ikan sungai sebagai cabang perniagaan yang dihidangkan secara ala-carte. Hidangan ala-carte membolehkan pelanggan menikmati masakan ketika masih panas dan boleh dinikmati pada bila-bila masa.
"Ikan-ikan seperti ikan patin buah liar yang ditempah khas daripada pembekal di Pahang antara menu utama kami. Ikan patin liar enak dimasak asam atau gulai tempoyak. Pelanggan juga boleh menempah ikan sungai seperti kelah, sebarau dan jelawat.
"Bukan itu sahaja, kami turut menghidangkan masakan otak dan perut lembu, rebung, pucuk ubi dan cendawan sisir," katanya yang berhasrat menjadikan masakan tradisional Melayu pilihan utama masyarakat masa kini.
Seorang pelanggan, Datuk Zamri Yaakob berkata, beliau memang mengetahui keenakan masakan restoran berkenaan kerana telah menjadi pelanggan tetap di restoran arwah bapa Kamarul di Pahang dahulu.
Pelanggan tetap

SEORANG pekerja menyediakan pelbagai jenis masakan yang ditempah pelanggan.


"Saya kenal arwah bapa Kamarul ketika di Temerloh. Masakan arwah memang sedap dan dikenali ramai. Jika saya pulang ke Pahang sudah pasti saya singgah di kedai tersebut.
"Apabila mendapat tahu Kamarul membuka restoran di Kuala Lumpur, saya tidak melepaskan peluang untuk menikmati masakannya terutama ikan patin buah liar masak tempoyak.
"Sejak itu, saya bersama ahli keluarga sering datang sehingga lima kali dalam tempoh sebulan. Sekali makan untuk tiga orang antara RM200 hingga RM300," katanya yang menetap di Sentul, Kuala Lumpur.
Bagi Pegawai Pentadbiran, Mohd. Haziq Zamri, 22, keenakan masakan di restoran tersebut sukar untuk disangkal.
"Saya memang penggemar tegar ikan patin buah liar. Rasanya sangat enak hingga menjilat jari. Kebanyakan restoran lain menawarkan ikan patin sangkar dan telah siap dimasak. Di sini kita tempah baru mereka masak.
"Jika sudah cuba sekali, pasti mahu datang lagi," katanya yang dibesarkan di Pahang.

Maut terjatuh tingkat tujuh

Posted: 28 Jan 2013 08:52 PM PST


ANAK panah menunjukkan arah Mohamad Adam terjatuh dari tingkat 7 Apartmen Sutramas, Puchong Jaya semalam.


PUCHONG – Luluh hati seorang ibu apabila anak tunggal yang menjadi penyeri hidupnya selama ini ditemui mati dalam keadaan menyayat hati selepas kanak-kanak tersebut terjatuh dari rumah pengasuhnya di tingkat tujuh Apartmen Sutramas, Puchong Jaya di sini semalam.
Kejadian pukul 9.30 pagi itu mengakibatkan Muhamad Adam Zafuan, 6, maut ketika menerima rawatan kecemasan di Hospital Serdang akibat cedera parah di kepala dan badan selepas terjatuh dari bangunan yang mempunyai 12 tingkat itu.
Difahamkan, Muhamad Adam merupakan kanak-kanak hiperaktif.
Mengimbau semula kejadian itu, ibu mangsa, Siti Nur Jannah Azman, 24, berkata, Muhamad Adam dihantar ke rumah pengasuh pada pukul 9 pagi oleh neneknya dari Jalan Kuching, Kuala Lumpur.
Kata pekerja pusat kecergasan di sini itu, mangsa tinggal bersama neneknya sejak Jumaat lalu berikutan cuti panjang.
"Ibu menghantar Muhamad Adam ke rumah pengasuh kerana saya bercadang untuk mengambilnya selepas pulang kerja pada sebelah petang kerana saya tinggal di tingkat lima apartmen yang sama. Suami pula keluar bekerja.
"Namun setengah jam selepas dihantar, saya menerima panggilan daripada rakan mengatakan anak saya telah terjatuh daripada balkoni rumah pengasuh," ceritanya ketika ditemui di Hospital Serdang dekat sini semalam.

Dadah RM129,300 dirampas

Posted: 28 Jan 2013 08:50 PM PST


TOON KHUAN menunjukkan cara pengedar menyorokkan heroin di dalam plastik makanan ringan pada sidang akhbar di Kuantan semalam.


KUANTAN - Polis menahan enam lelaki dipercayai pengedar dadah dan merampas 1,919.33 gram heroin bernilai RM129,300 dalam empat serbuan berasingan di sekitar bandar ini pada Rabu dan Jumaat lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang, Superintendan Yap Toon Khuan berkata, rampasan terbesar melibatkan 1,336.98 gram heroin bernilai kira-kira RM90,000 dalam serbuan ke atas sebuah rumah dekat Taman Sri Mahkota Aman di sini pada 23 Januari lalu.
Menurut beliau, dalam serbuan pada pukul 6 petang itu, polis menahan seorang lelaki berusia 44 tahun dan pemeriksaan menemui dadah terbabit di belakang sebuah meja kecil dalam rumahnya.
"Suspek yang tidak bekerja itu dipercayai mendapatkan bekalan dadah daripada rangkaian di Kuala Lumpur untuk diedarkan sekitar bandar ini," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini semalam.

Pertandingan berlari dengan kasut bertumit tinggi

Posted: 28 Jan 2013 08:48 PM PST


BEBERAPA wanita yang memakai kasut bertumit tinggi berlari di sebatang jalan raya.


SAN SALVADOR - Satu pertandingan berlari dengan menggunakan kasut bertumit tinggi diadakan di bandar raya ini kelmarin.
Sejumlah wanita menyertai pertandingan amal itu yang diadakan buat kali kedua di negara El Salvador.
Setiap kasut yang dipakai oleh para peserta diukur oleh kakitangan pertandingan tersebut bagi memastikan ia mengikut peraturan yang telah ditetapkan.

Argo menang lagifilem terbaik

Posted: 28 Jan 2013 08:48 PM PST


SALAH satu adegan yang terdapat dalam filem Argo.


LOS ANGELES - Filem yang memaparkan kisah tebusan Iran berjudul Argo mengukuhkan peluangnya untuk memenangi Oscar apabila ia memenangi hadiah utama pada Anugerah Persatuan Pelakon Skrin kelmarin.
Ia dinobatkan sebagai filem terbaik pada anugerah tersebut.
Sebelum ini, Argo menerima Anugerah Layar Terbaik daripada Persatuan Penerbit Amerika.
Filem arahan Ben Affleck itu mengisahkan tentang misi seorang ejen Agensi Perisikan Pusat bagi menyelamatkan tebusan Amerika Syarikat semasa revolusi Islam berlaku di Iran.
Affleck turut membawa watak sebagai ejen perisik dalam filem berkenaan.
Berdurasi 120 minit, Argo berjaya mengalahkan beberapa saingannya iaitu filem Beasts of Southern Wild, Django Unchained, Les Miserables, Life of Pi, Silver Linings Playbook dan filem Zero Dark Thirty.
Anugerah Oscar akan diadakan pada bulan depan.
Filem arahan Steven Spielberg, Lincoln turut menggondol dua anugerah apabila Daniel Day Lewis terpilih sebagai pelakon lelaki terbaik manakala Tommy Lee Jones pula memenangi anugerah pelakon pembantu lelaki terbaik.
Pelakon wanita terbaik pula dimenangi oleh Jennifer Lawrence menerusi filem Silver Linings Playbook dan anugerah pelakon pembantu wanita terbaik pula dimenangi oleh Anne Hathaway menerusi filem Les Miserables.

Iran hantar monyet ke angkasa lepas

Posted: 28 Jan 2013 08:47 PM PST


IMej yang disiarkan saluran televisyen Al-Alam semalam menunjukkan roket yang membawa kapsul mengandungi monyet ke angkasa lepas dari sebuah lokasi rahsia di Iran.


TEHERAN - Iran semalam menghantar sebuah kapsul yang mengandungi monyet hidup ke angkasa lepas, lapor saluran televisyen berbahasa Arab, Al-Alam semalam.
Sebelum ini, beberapa percubaan republik Islam tersebut untuk menghantar monyet ke angkasa lepas menemui kegagalan.
"Iran berjaya melancarkan sebuah kapsul dengan kod nama Pishgam yang mengandungi seekor monyet," kata satu kenyataan daripada sebuah jabatan angkasa aeroangkasa di Kementerian Pertahanan.
Monyet itu dilaporkan kembali ke Bumi dengan selamat.
Laporan tersebut tidak menyatakan lokasi kapsul berkenaan dilancarkan.
Agensi berita Fars melaporkan bahawa monyet itu dihantar dengan kapsul yang dibawa roket Kavoshgar.
Roket berkenaan bergerak pada ketinggian lebih 120 kilometer.
Pada tahun 2011, Iran mengumumkan ia akan menghantar monyet ke angkasa lepas.
Negara-negara Barat bimbang teknologi balistik yang dimiliki Iran akan menyebabkan ia mampu melancarkan kepala peledak nuklear.
Bagaimanapun, Iran menafikan dakwaan itu dengan menyatakan ia digunakan untuk tujuan keamanan.

Keganasan terus melanda Mesir

Posted: 28 Jan 2013 08:46 PM PST

BEBERAPA penunjuk perasaan membaling batu ke arah anggota polis dekat Dataran Tahrir, Kaherah semalam.


KAHERAH - Seorang lelaki mati ditembak semalam dalam keganasan yang memasuki hari kelima di Mesir menjadikan 50 orang terbunuh setakat ini.
Lelaki itu yang merupakan seorang pejalan kaki mati akibat terkena tembakan di sini.
Bagaimanapun, masih tidak diketahui siapa yang menembaknya semasa tunjuk perasaan ganas berlaku bagi menentang pemerintahan Presiden Mohamed Morsi.
Ketika kejadian, polis melepaskan gas pemedih mata ke arah para penunjuk perasaan yang membaling batu ke arah anggota-anggota pasukan keselamatan itu dekat Dataran Tahrir.
"Kami mahu menumbangkan rejim (Morsi) dan menamatkan pemerintahan yang dikendalikan pergerakan Ikhwanul Muslimin," kata seorang tukang masak, Ibrahim Eissa yang berusia 26 tahun.
Dia memakai topeng yang mengelak terhidu gas pemedih mata.
Sejak memenangi jawatan Presiden pada pertengahan tahun lalu, Morsi diselubungi pelbagai krisis dan tunjuk perasaan ganas.
Tunjuk perasaan yang kerap berlaku itu menyebabkan dia sukar untuk menjalankan tugasnya bagi meningkatkan ekonomi negaranya.
Ia turut berlaku di beberapa buah bandar mengakibatkan Morsi terpaksa mengisytiharkan darurat di tiga buah bandar iaitu Port Said, Ismilia dan Suez.
Pihak tentera mengawal dua daripada bandar tersebut manakala Kabinet meluluskan kuasa kepada askar-askar untuk menangkap orang awam yang melakukan keganasan.
Morsi bersimpati dengan mangsa-mangsa rusuhan dan meminta dialog diadakan antara sekutu-sekutu Islamnya dan beberapa parti pembangkang.
Namun, perikatan Barisan Penyelamat kebangsaan menolak tawaran berdialog dengan menetapkan syarat seperti pembentukan sebuah kerajaan perpaduan.
Perikatan tersebut juga menuntut supaya Morsi bertanggungjawab berhubung pertumpahan darah yang berlaku di negara ini.
Keganasan itu bermula pada 25 Januari lalu semasa penduduk menyambut ulang tahun kedua kebangkitan rakyat yang menyebabkan Hosni Mubarak meletakkan jawatan sebagai Presiden.
Hosni meletakkan jawatan pada 11 Februari 2011.

Pengangkutan awam percuma di Tallinn

Posted: 28 Jan 2013 08:45 PM PST


SEORANG wanita menunggu sebuah bas awam di Tallinn pada 9 Januari lalu.


TALLINN, Estonia - Penduduk di bandar raya ini menikmati pengangkutan awam percuma termasuk bas yang diperkenalkan sejak 1 Januari lalu.
Tallinn merupakan bandar raya pertama Kesatuan Eropah yang menawarkan pengangkutan awam percuma untuk penduduknya berjumlah 420,000 orang.
Timbalan Datuk Bandar Tallinn, Taavi Aas berkata, terdapat pengurangan kesesakan jalan raya selepas pengenalan pengangkutan awam percuma itu.
Menurutnya, dalam minggu pertama pelaksanaan pengangkutan itu, kesesakan jalan raya berkurangan sebanyak 15 peratus berbanding pada bulan November dan Disember tahun lalu.

Cinta Azizah kepada tekatan

Posted: 28 Jan 2013 08:40 PM PST

SALAH satu tempahan tekat untuk set bilik pengantin yang berharga RM30,000.


TUJUH tahun lalu, Kraftangan Malaysia pernah mengaturkan pertemuan beberapa wakil media dengan Azizah Mohd Yusuf, 72, yang bergelar Adiguru Tekatan.
Pada masa itu, hasil jari-jemari emasnya sudah terkenal bukan sahaja di dalam negara malah hingga ke luar negara seperti Brunei dan Singapura.
Pertemuan di kediamannya yang terletak di Kampung Panang Changkat, Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak memberi ruang kepada penulis menatap sepuas-puasnya hasil tangan kreatif Azizah.
Ibu kepada sembilan orang anak ini masih lagi cergas dan ramah seperti dahulu. Mulutnya rancak bercerita. Beliau begitu gembira menunjukkan hasil terbaharu set bilik tidur berbaldu biru bertekat benang emas yang bernilai melebihi RM30,000 iaitu tempahan untuk majlis perkahwinan.
Dianugerahkan 40 orang cucu, Azizah masih aktif. Bahkan, jari-jemari masih tekun menekat biarpun matanya sudah kabur untuk memasukkan benang ke dalam lubang jarum.
Mengurung diri
Bagi Azizah, sejak kecil jiwa raga berkisar tentang benang emas dan kain baldu. Pada usia lapan tahun ketika kanak-kanak sebayanya bermain pondok-pondok, Azizah mengurung diri dalam rumah sambil memerhatikan ibu dan neneknya tekun di hadapan pemidang menyulam benang emas.
Adakalanya dia curi-curi membetulkan sulaman si ibu hingga menjadi corak yang lain. Walaupun dimarahi Azizah tidak pernah serik.
Melihat minat yang ditunjukkan Azizah, suatu hari, neneknya menyediakan pemidang kecil buat Azizah mencuba bakat. Hasilnya, Azizah berjaya menyiapkan sepasang tampuk bantal peluk bertekat benang emas ketika umurnya 12 tahun.
Sejak itu, Azizah tidak pernah berhenti menekat. Daripada tampuk bantal peluk, alas bantal, kipas dan cior (alas duduk semasa akad nikah), kualiti sulamannya makin meningkat dari sehari ke sehari sehingga mampu menyiapkan set bilik tidur pengantin pada hari pernikahannya sendiri.
"Tampuk bantal tersebut ibu saya simpan dan digunakan setelah saya mendapat anak," cerita Azizah mengimbau saat-saat manis dirinya bergelar seorang penekat.
Tidak terlalu bergantung kepada motif lama seperti pucuk paku, daun keladi, buah padi dan pucuk rebung, Azizah sering mencari ilham dalam menghasilkan motif baharu.
Beliau cukup terbuka dalam melakukan perubahan pada motif tekat sehingga sanggup berkereta menyelusuri jalan-jalan lama dari utara hingga ke selatan tanah air semata-mata ingin mendapatkan idea tumbuh-tumbuhan hutan.
Hasilnya, lahirlah corak anggerik hutan, bunga matahari dan pelbagai corak menarik. Bahkan beliau juga mendapat idea daripada pokok buluh dan bunga sakura hasil kunjungannya Jepun.
Sebagai generasi ketiga yang menyambung warisan keluarga, Azizah tidak pernah jemu menekat. Beliau bersyukur kerana empat anaknya iaitu Mardzian Abu Kassim, Marshitah Abu Kassim, Maizirah Abu Kassim dan Haris Abu Kassim menjadi generasi keempat mewarisi kemahiran keluarga itu. Mardzian bertindak sebagai pengurus syarikat milik keluarga mereka, Gesamas Sdn. Bhd.
Kini tumpuan penghasilan tekat benang emas bukan sahaja menggunakan sulaman tangan tetapi ditingkatkan dengan penggunaan mesin sehingga beliau mampu memiliki sebuah kedai di bandar Kuala Kangsar.

JIWA Azizah terhadap benang dan kain baldu dipupuk sejak kecil.


Menurut Azizah, tujuan mereka meneroka penggunaan mesin dalam seni tekatan bagi meluaskan pasaran. Penggunaan mesin mempercepatkan sulaman namun kualiti dan keindahan tekatan benang emas masih terus dikekalkan.
Tekat benang emas yang menggunakan mesin lebih murah berbanding sulaman tangan dengan kos pengeluaran yang lebih rendah. "Melalui cara ini, lebih ramai peminat sulaman tekat memiliki koleksi sendiri," jelas Azizah.
Sulaman mesin
Bezanya hanyalah pada penggunaan benang yang lebih lembut. Bagaimanapun bagi mengekalkan konsep tekatan dengan corak timbul, sulaman mesin dipastikan lebih tebal bagi menghasilkan kesan corak timbul seakan-akan sama dengan sulaman tangan.
Bagaimanapun, beliau masih terus mengusahakan tekatan tradisional menggunakan tangan kerana permintaan produk yang tinggi.
"Dari segi pasaran tidak ada masalah kerana sentiasa ada tempahan baik dari dalam negara, Brunei mahupun Singapura. Masalahnya ialah tenaga kerja," jelas Azizah.
Misalnya set cadar bilik pengantin yang ditunjukkan pada awal pertemuan adalah hasil tangan beberapa orang graduan Institut Kraf Negara (IKN) yang mengambil masa hampir tiga hulan untuk disiapkan. Azizah kini dibantu oleh 20 penekat mahir, yang kebanyakannya adalah suri rumah.
Sejak tahun 1980-an, Azizah menyertai Kemas sebagai tenaga pengajar seni tekatan. Beliau juga memberi latihan kepada beliawanis di sekitar Kuala Kangsar. Sesuai dengan kepakarannya, Kraftangan Malaysia turut melantik beliau sebagai tenaga pengajar dalam bidang tekatan bagi membimbing pelatih Kraftangan Malaysia.
Azizah juga turut membantu mempromosi tekatan benang emas dengan menyertai beberapa siri pameran dan demonstrasi di dalam dan luar negara seperti di Tokyo, Jepun dan Singapura.
Sebagai orang lama, Azizah ingin melihat lebih ramai pandai penekat yang lahir daripada (IKN) kerana berpendapat graduan yang dilahirkan IKN adalah graduan yang berkualiti dan benar-benar mencintai seni warisan.
"Menekat ni memang susah, tapi kalau dah minat semuanya menjadi senang. Walaupun tak larat tetapi saya masih sanggup membimbing dan menarik anak muda.
"Kerana cintakan seni warisan ini jugalah, sehingga kini saya masih menerima kunjungan pelancong ke rumah kerana merasakan ia satu tanggungjawab," sambung beliau yang tidak lokek berkongsi ilmu.

Yuna Tolak Tepi Soal Cinta

Posted: 28 Jan 2013 05:04 AM PST

Yuna memberitahu pembikinan album terbarunya di Amerika Syarikat menjadi tumpuannya berbanding soal cinta.
PETALING JAYA: Penyanyi Yunalis Zarai atau Yuna tidak meletakkan soal percintaan sebagai keutamaan kerana ingin memberikan tumpuan kepada pembikinan album terbarunya di Amerika Syarikat (AS).
Yuna, 26, berkata, pada tahap ini kepercayaan yang telah diberikan oleh pihak labelnya, The Verve untuk menghasilkan muzik yang terbaik menjadi perhatiannya dan bukannya kepada soal cinta.
"Bukannya saya sudah serik selepas pengalaman lalu tetapi tumpuan perlu diberikan kepada kerja dan pembikinan album terbaru saya kerana ini adalah peluang terbesar untuk membina kerjaya di Amerika malah di seluruh dunia," ujarnya kepada mStar Online.
Yuna menggulas dakwaan kononnya dia sedang menjalinkan hubungan cinta dengan Julian Schratter seorang jurugambar yang sentiasa mengikut penyanyi itu ketika membuat persembahan.
Malah gosip tersebut semakin kuat apabila dia sering kali dilihat memuat naik gambar bersama lelaki Inggeris itu di laman Instagram.
Yuna bersama Julian yang dikatakan kekasihnya terbarunya.
Dalam pada itu, Yuna menegaskan hubungannya dengan Julian hanya sekadar teman rapat namun tidak menolak sekiranya mempunyai jodoh dengan Julian.
Malah kata Yuna, dia tidak pernah meletakkan bangsa sebagai satu ukuran dalam perhubungan dan mengakui selesa berkawan dengan Julian.
"Bagi saya semua manusia itu adalah sama tanpa mengira bangsa dan agama tambahan pula Islam itu sendiri sebuah agama yang indah dan mudah dipelajari oleh sesiapa sahaja.
"Saya tidak mahu menghadkan pergaulan saya hanya semata-mata kita berlainan agama dan berbeza budaya," jelasnya.
Sementara itu, Yuna berkata, ibu bapanya juga bersikap terbuka dalam menentukan siapakan lelaki yang menjadi pilihannya kelak.
"Ibu bapa saya bukan seorang yang suka menilai orang lain dan perkara itu telah diajar kepada saya. Mereka juga terbuka dengan siapa pilihan saya nanti," katanya.

Tumpuan Rahmat (Mega) Pada Perniagaan

Posted: 28 Jan 2013 05:03 AM PST

Rahmat kini lebih memberikan tumpuan kepada dunia perniagaan jualan langsung yang dijalankannya sejak tahun 1999 selain turut terlibat sebagai penceraman motivasi dan perunding.
PETALING JAYA: Vokalis kumpulan Mega, Rahmat memberitahu tumpuannya kini lebih kepada perniagaan jualan langsung yang telah diusahakan hampir sepuluh tahun lalu dan menjadikan nyanyian sebagai kerjaya sampingannya.
Rahmat atau nama sebenarnya, Rahmat Tohak, 44, bagaimanapun berkata, walaupun telah lama tidak menghasilkan album baru atau muncul dikhalayak ramai namun masih ada menerima undangan nyanyian pentas atau pun acara tertutup.
"sebenarnya saya tidak pernah tinggalkan dunia nyanyian kerana undangan sentiasa ada tetapi tumpuan utama saya kini adalah kepada perniagaan yang saya lakukan sejak tahun 1999.
"Bidang nyanyian saya lakukan jika bersesuaian dengan jadual saya yang sangat padat kerana sering ke luar kawasan," jelasnya kepada mStar Online.
Rahmat juga menyangkal dakwaan dia merajuk dengan industri muzik tempatan sebaliknya berkata, kesuntukan masa menguruskan perniagaan telah membataskan aktiviti seninya.
Rahmat bakal muncul di pentas Panggung Sari, Istana Budaya untuk Konsert Gegar 5 Lagenda bersama Zamani, Saleem, Ali (Terra Rossa) dan Aris Ariwatan pada 15 hingga 17 Mac depan.
Dalam pada itu, Rahmat berkata, dia ada merancang untuk menghasilkan album terbaru dan setakat ini telah merakamkan lima buah lagu termasuk sebuah lagu duet bersama penyanyi dari Indonesia, Erin.
Bagaimanapun kata Rahmat, kesibukannya menguruskan perniagaan telah melambatkan sedikit proses rakaman album itu dan berharap dapat dipasarkan pada tahun ini juga.
"Saya mula merakamkan lagu untuk album itu sejak tahun lalu dan proses dilakukan secara perlahan kerana perlu mengikut jadual saya yang agak padat.
"Namun Alhamdulillah saya berjaya menyelesaikan proses itu dan sekarang sedang dalam peringkat akhir sebelum ia dipasarkan," ujarnya.
Sementara itu, ditanya mengenai rahsianya menjaga penampilan dan mengekalkan kemantapan vokalnya, Rahmat memberitahu dia akan memastikan akan mempunyai masa terluang untuk bersenam dan berenang sebagai rutin hariannya.
"Selain senaman dan berenang saya juga tidak merokok dan menjalani gaya kehidupan sihat. Itu mungkin antara petua saya kekal awet muda," ujarnya yang juga perunding dan penceramah motivasi.
Dalam perkembangan lain, Rahmat bakal muncul di pentas Panggung Sari, Istana Budaya untuk Konsert Gegar 5 Lagenda bersama Zamani, Saleem, Ali (Terra Rossa) dan Aris Ariwatan pada 15 hingga 17 Mac 2013.
Tiket-tiket dijual pada harga RM50, RM70, RM100, RM150, RM200 dan RM250.
Tempahan tiket boleh dibuat dengan menghubungi 03-4026 5508 atau 03-4026 5558 atau layari www.ticket2u.biz.

Aizat Akui Tiada Bakat Sebagai Pelakon

Posted: 28 Jan 2013 05:02 AM PST

Aizat mengakui selesa dengan imej bermisai yang disimpannya sejak beberapa bulan lalu.
PETALING JAYA: Penyanyi dan komposer, Aizat Amdan mengakui tidak mempunyai kebolehan sebagai seorang pelakon dan atas dasar itu dia banyak menolak tawaran lakonan yang diberikan kepadanya.
Aizat, 24, berkata, penglibatannya dalam lakonan sebelum ini sekadar mencuba sesuatu yang baru dalam kerjayanya dan mendapati tidak sesuai bergelar pelakon.
"Jujurnya saya langsung tiada bakat sebagai seorang pelakon dan penglibatan sebelum ini hanyalah sekadar untuk mencuba sesuatu yang baru.
"Saya menolak secara baik kerana merasakan masih banyak pelakon lain yang layak dan mampu menjiwai watak kerana itu memang kerja mereka," jelasnya kepada mStar Online.
Bagaimanapun kata Aizat, dia terkejut dan terharu apabila kemunculannya dalam filem Istanbul Aku Datang banyak pihak tampil untuk mengambilnya berlakon.
Dalam pada itu, Aizat berkata, dia selesa dengan imej bermisai yang disimpannya sejak beberapa bulan lalu dan akan kekal dengan gaya itu.
Aizat menjelaskan, dia merasakan imej tersebut telah membuatkan wajahnya lebih kelihatan dewasa selain mampu menutup wajahnya yang sedikit berisi kini.
"Sebenarnya keputusan saya untuk menyimpan misai dibuat secara tidak sengaja kerana ketika berada di London untuk kursus jangka pendek saya memang malas bercukur.
"Namun apabila tengok balik imej bermisai sesuai dengan susuk wajah saya biarkan sahaja dan buat masa ini ia akan dikekalkan," ujarnya.
Tambah Aizat, keluarga dan rakan-rakannya juga suka dengan imej itu yang kelihatan lebih dewasa dan matang selain kemunculannya pada Anugerah Juara Lagu 27 (AJL27) dengan gaya itu telah mendapat perhatian peminat.
Sementara itu, Aizat memberitahu dia kini sedang sibuk dengan proses rakaman album ketiganya yang dijangka berada di pasaran pada pertengahan tahun ini.
Aizat memberitahu untuk album itu nanti dia akan memuatkan 12 buah lagu dan enam daripadanya adalah lagu berbahasa Inggeris.
"Saya mahu beri kelainan kepada peminat dan inspirasi album ini sudah tentu ketika berada di London selama beberapa bulan yang saya curahkan untuk album terbaharu ini," jelasnya.

Irwansyah & Isteri Mungkin Bebas Dadah

Posted: 28 Jan 2013 05:02 AM PST


Irwansyah dan isterinya Zaskia Sungkar.
JAKARTA: Penyanyi dan pelakon Irwansyah serta isterinya Zaskia Sungkar mungkin bernasib baik apabila ujian urin yang dilakukan ke atas mereka didapati bebas daripada sebarang pengambilan dadah.
Perkara itu disahkan oleh ibu kepada Zaskia iaitu Fanny Bauty yang telah diberitahu oleh pihak Badan Narkotik Nasional (BNN) kepadanya berhubung perkara itu.
"Alhamdulillahlah... pihak BNN telah mengumumkan hasil urin tidak ada nama anak-anak saya. Kerana saya yakin anak dan menantu saya tidak mengambil dadah," katanya seperti dipetik portal inilah.com.
Dalam kejadian pada malam Ahad, seramai 17 orang telah ditangkap selepas BNN membuat serbuan di rumah pengacara rancangan Dahsyat iaitu Raffi Ahmad yang menganjurkan majlis keramaian.
Selain ketiga-tiga selebriti tersebut, turut ditahan ialah pelakon Wanda Hamidah serta rakan-rakan mereka.
Pemeriksaan awal polis menemui sejumlah dadah jenis ekstasi dan juga ganja di kediaman berkenaan yang terletak di Lebak Bulus, Jakarta Selatan dekat sini.
Sementara itu Fanny berkata, kedatangan anak dan menantunya ke kediaman Raffi adalah atas urusan pekerjaan tetapi sayang sekali ketika kehadiran mereka, kediaman itu diserbu pihak berkuasa.

Ayam miliki 10 jari kaki

Posted: 28 Jan 2013 04:57 AM PST


Ayam miliki 10 jari kaki
Ayam miliki 10 jari kaki
KUALA PILAH – Pelik dan unik. Itulah yang dapat digambarkan kepada seekor ayam berusia sebulan yang mempunyai 10 jari kaki.

Pemilik ayam tersebut, Maimon Mohd Zain, 45, berkata, pada awalnya, dia tidak sedar terdapat keganjilan pada kaki ayam betina itu.

"Namun, akibat sering membelai ayam berkenaan, barulah saya perasan ia memiliki lebih dari empat jari pada kedua-dua kakinya.

"Lebihan jari kakinya berada di bahagian belakang dan jika diamati memang tidak perasan sangat. Ayam betina ini memang sangat jinak, ke mana saya pergi, memang akan ikut dan seolah-olah memahami saya tuannya," katanya ditemui di rumahnya dekat  Kampung Kabong, Inas, di sini.

Maimon berkata, anak ayam itu dibeli daripada peniaga di Senaling dengan harga RM2.70 seekor.

"Kini saya sudah ada 50 ekor ayam dan lebih 10 ekor ternakan itik. Saya memang minat kepada bidang ternakan," katanya.

Maimon berkata, dia juga memiliki seekor itik nila yang unik kerana menetas 18 biji telur secara serentak.

"Jarang hendak jumpa, seekor itik menetas dalam jumlah telur yang banyak. Saya memang terkejut apabila lihat 18 biji telur pada masa yang sama.

"Mungkin ini rezeki saya, syukur kepada ALLAH kerana menambah pendapatan saya dan setiap kejadian ada hikmah-Nya," katanya.

Dipenjara enam bulan kerana curi lembu

Posted: 28 Jan 2013 04:55 AM PST


Dipenjara enam bulan kerana curi lembu
Tiga sekawan yang turut dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas tuduhan mencuri dua ekor lembu.
KUALA TERENGGANU- Hasrat seorang pemuda 'meraih' keuntungan besar hasil jualan dua ekor lembu yang dicuri daripada seorang tukang paip di Jalan Pusara, di sini, tidak kesampaian.
Malah, lebih malang, Azhari Bidin, 32, dari Kampung Surau Haji Daud, Pengadang Buluh, di sini, turut dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam, selepas mengaku bersalah mencuri haiwan ternakan berkenaan.

Azhari mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri lembu berkenaan bersama-sama tiga lagi rakannya termasuk seorang wanita, Che Wan Norsharinawati Che Wan Abdullah, 30; Saadon Atan, 49; Zamri Ismail @ Yunus, 46.

Dia mengaku bersalah mencuri dua ekor lembu betina di sebuah landang lembu di belakang rumah, Jalan Pusara, di sini, antara jam 6 petang hingga 4 pagi, pada 23 dan 24 Januari lalu.

Bagaimanapun, tiga lagi rakannya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas dakwaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah ketiga-tiga rakannya direkodkan, Majistret Abdul Hayyi Salim menetapkan 21 Febuari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan mereka diikat jamin sebanyak RM4,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda manakala kesemua mereka tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang sedang tidur di rumahnya telah dimaklumkan seorang lelaki dikenali Ijam bahawa ada orang mencuri lembu miliknya.

Sejurus itu, mangsa segera ke kandang lembu yang terletak di belakang rumahnya dan mendapati dua ekor lembu betinanya sudah hilang.

Bagaimanapun, semasa melewati kawasan jirat Cina di Jalan Pusara, di sini, mangsa ternampak beberapa anggota polis bersama kesemua tertuduh dan dua ekor lembu berwarna hitam dan putih yang disyaki dicuri dari kandang miliknya.  

Sebelum ini, Sinar Harian keluaran 25 Januari lalu melaporkan seorang ibu tunggal enam anak antara empat pencuri yang ditahan ketika cuba melarikan dua lembu milik penduduk kampung di jirat Cina, Jalan Pusara, di sini.

Janda berusia 30 tahun dari Kampung Paya, Balai Besar, Dungun, itu ditahan bersama kekasihnya serta dua lagi rakan lelakinya ketika cuba memasukkan haiwan itu ke dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Ria.

Siasatan awal mendapati kumpulan berkenaan mencuri haiwan ternakan itu untuk dijual dengan harga RM500 seekor bagi anak lembu betina sementara RM7 sekilogram bagi daging lembu yang siap diproses.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan