Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Anzalna Mahu Bergelar Penyanyi
- Yuna Anggap Isu Uji Rashid Selesai
- MLM 2012: Kemenangan Jozan Bukan Kerana Simpati
- Yus (Jambu) Guna Wang Kemenangan MLM 2012 Untuk Kahwin
- Anugerah Seri Temasek Eratkan Hubungan Malaysia-Singapura
- Usaha Zizan, pengorbanan Johan
- Anne Ngasri akui sudah mual-mual
- Paramore kembali ke KL
- Pemain terhebat negara
- Ananda orang terkaya di Malaysia
- Pengguna rokok e-elektronik terdedah kepada penyakit
- Rakyat Malaysia dikhuatiri mati
- Penghibur jalanan kena ada permit
- Beli produk Omar Ali secara online
- Tulis sajak lebih susah daripada melukis
- Aliran Alia curi perhatian
- Gaya lasak aura semasa
- Spa kecantikan dan urutan
- Berkuda tajamkan fokus minda
- Zain serius nikahi Che Ta
- UiTM Lendu berhantu?
- Cinta tiga dasawarsa Anuar
- Diana Amir Bimbang Malu Jika Tiada Jodoh Dengan Tunang
- Izreen Azminda Mudah Melenting Gara-Gara Hamil
- Rita tetap saman suami
| Anzalna Mahu Bergelar Penyanyi Posted: 20 Jan 2013 08:41 PM PST Anzalna mahu bergelar penyanyi suatu hari nanti. Anzalna, 24, berkata, dia ada menerima tawaran untuk bergelar penyanyi daripada beberapa syarikat rakaman namun merasakan masanya belum sesuai untuk berbuat demikian. "Saya memang boleh menyanyi namun rasanya belum sampai masanya untuk pergi ke arah itu kerana ingin memberikan tumpuan kepada bidang lakonan. "Bagaimanapun saya mahu bergelar penyanyi suatu hari nanti apabila masanya sesuai," katanya kepada mStar Online. Tambah Anzalna, selain menyanyi, dia juga mencuba bidang pengacaraan yang disifatkan sebagai mencabar dan dapat membina keyakinan diri. Dalam pada itu, Anzalna berkata, dia sedang dalam perancangan untuk mengambil lesen memandu bagi memudahkan dia menguruskan sendiri karier seninya tanpa perlu meminta bantuan sesiapa jika perlu ke lokasi penggambaran. Anzalna berkata, selama ini dia terlalu banyak bergantung kepada kekasihnya iaitu Hanif Zaki, 24, jika mempunyai urusan kerja. "Walaupun dia tidak pernah merungut kerana perlu menghantar saya ke lokasi penggambaran atau sesi fotografi tetapi saya sedar yang saya tidak boleh terlalu bergantung harap kepadanya. "Sebab itu saya merancang untuk mengambil lesen memandu secepat mungkin," katanya. Sementara itu, Anzalna berkata dia kini sedang sibuk dengan beberapa projek lakonan dan gembira apabila filem pertamanya iaitu Sepah The Movie mendapat sambutan dan pujian daripada penonton. | |||||
| Yuna Anggap Isu Uji Rashid Selesai Posted: 20 Jan 2013 08:40 PM PST Yuna memberitahu isu melibatkan penyanyi Uji Rashid tidak perlu lagi dipanjangkan kerana menganggap ia telah pun selesai apabila pihak TV3 tampil memberikan penjelasan untuk menjernihkan suasana. Yuna, 27, berkata, isu tersebut tidak perlu dipanjangkan selepas pihak TV3 memberikan penjelasan dalam program Melodi yang disiarkan pada Ahad (semalam). "Rasanya perkara itu tidak perlu lagi dipanjangkan kerana saya rasa ia telah pun selesai apabila pihak TV3 tampil memberikan penjelasan bagi menjernihkan suasana. "Malah saya tidak mahu melihat perkara yang terjadi ini sebagai sesuatu yang negatif dan pastinya ada hikmah disebalik," ujarnya ketika ditemui pada majlis kesyukuran lagu Terukir Di Bintang yang dinobatkan sebagai Juara Lagu di AJL 27 pada Ahad malam. Sebelum ini, pengguguran Uji atau nama sebenarnya Fuziah Haroun Al-Rashid itu telah digantikan oleh Aizat dan Uji mendakwa perbuatan TV3 itu tidak berhemah kerana mereka telah memalukan beliau di depan orang ramai. Dalam pada itu, Yuna berkata, dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan penyanyi lagu Ku Ingin Di Samping Mu itu malah katanya dia ada berhubung dengan Uji untuk bertanya khabar. Malah Yuna memberitahu, dia ada menjemput Uji ke majlis kesyukuran itu namun penyanyi berkenaan tidak dapat hadir kerana mempunyai undangan nyanyian. Yuna teruja dengan pembikinan album terbarunya di Amerika Syarikat selain dapat bekerjasama dengan gitaris kegemarannya iaitu Mike dari kumpulan Incubus. "Malah dia memahami kejadian yang berlaku adalah di luar kawalan saya kerana tiada di Malaysia," jelasnya. Tambah Yuna, pada awalnya dia memang memilih Uji untuk menyanyikan lagu tersebut di AJL 27 kerana menyukai suaranya yang mempunyai elemen klasik namun terpaksa akur dengan situasi dan memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada pengurusnya, Wawa dan pihak TV3 untuk mencari pengganti Uji pada saat akhir. Sementara itu, Yuna berkata, dia kini sedang dalam proses awal merakamkan album pertamanya bersama syarikat rakaman The Verve/Universal Music dan memberitahu teruja dapat bernaung di bawah sayap komposer dan penerbit terkenal, David Foster. Menurut Yuna, menerusi syarikat rakaman barunya itu, dia berharap dapat memperluaskan lagi kerjaya seninya apabila album tersebut dijangka akan dipasarkan pada pertengahan tahun ini di seluruh dunia. "Sebenarnya David telah lama ingin mengambil saya bernaung di bawah label itu tetapi ketika itu dia bukan presiden syarikat berkenaan namun apabila beliau mengambil alih The Verve, hasrat itu terus disampaikan ke pihak pengurusan saya selepas mengetahui kontrak saya bersama The Fader telah pun tamat. "David memberi kebebasan kepada saya untuk berkarya dan menentukan genre muzik yang ingin saya bawa dan setakat ini saya telah merakamkan tiga buah lagu ciptaan sendiri," jelasnya. Yuna turut memberitahu dia mengikat kontrak dengan label tersebut untuk tiga buah album dan menyangkal dakwaan sebelum ini bahawa dia dibayar USD1 juta (RM3 juta) untuk bersama syarikat tersebut. Tambahnya lagi, dia juga cukup teruja apabila dapat bekerjasama dengan gitaris kumpulan Incubus yang cukup diminatinya sejak dibangku sekolah iaitu, Mike Einziger untuk album berkenaan. Dalam perkembangan lain, Yuna berkata, dia juga baru selesai merakamkan sebuah lagu runut bunyi untuk filem animasi terbitan Dream Works iaitu The Croods berjudul Shine Your Way. Filem berkenaan dibintangi oleh Nicolas Cage, Ryan Reynolds, Catherine Keener, Emma Stone, Clark Duke, dan Cloris Leachman dan akan ditayangkan pada Mac tahun ini. | |||||
| MLM 2012: Kemenangan Jozan Bukan Kerana Simpati Posted: 20 Jan 2013 08:39 PM PST Johan memberitahu kemunculannya dalam keadaan sakit pada pertandingan akhir MLM 2012 bukan untuk meminta simpati tetapi tanggungjawab dan janji kepada Zizan. Johan ketika ditemui berkata, kemunculannya pada pertandingan akhir yang berlangsung di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Baru (MBJB) pada Jumaat lalu itu adalah sebagai rasa tanggungjawabnya untuk bersama-sama memenangi MLM 2012. "Saya muncul selepas dua minggu tidak bersama Zizan bukan untuk meraih simpati atau sebagai satu strategi memancing undi peminat tetapi semangat dan janji saya kepada Zizan untuk memenangi MLM 2012. "Saya tidak dapat berkata apa-apa jika orang menganggap kemunculan saya itu sebagai satu 'drama' untuk meraih undi," jelasnya kepada mStar Online. Pada pertandingan itu, Jozan membawa pulang wang tunai RM500,000 dan sebuah trofi manakala gelaran naib juara pula dimenangi oleh kumpulan Jambu yang disertai oleh Yus dan Tauke. Mereka berkongsi hadiah wang tunai sebanyak RM250,000 berserta sebuah trofi. Zizan dan Johan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM500,000 pada pertandingan akhir MLM 2012 yang berlangsung di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Baru (MBJB) pada malam Jumaat lalu. Tambah Johan, walaupun doktor melarangnya untuk mengadakan persembahan pada malam itu namun dia sedaya upaya menyembunyikan kesakitan dan tidak menggunakan tongkat ketika berada di pentas. "Saya tidak mahu orang melihat kesakitan saya kerana enggan kemunculan saya dipandang berbeza dan mahu penonton memberikan perhatian pada persembahan kami dan bukannya perkara lain, ujarnya. Dalam pada itu, Zizan berkata, dia berasa sebak dengan kesungguhan Johan yang sanggup menjayakan pertandingan akhir walaupun kesihatannya tidak mengizinkan. Tambah Zizan, walaupun kekurangan dari segi latihan namun semangat untuk tidak menghampakan peminat telah membuatkan mereka kental untuk menghadapi pertandingan akhir itu. "Jujur saya katakan persembahan kami bukan yang terbaik kerana kurang membuat latihan bersama-sama kerana keadaan kesihatan Johan tetapi gabungan kami dan semangat Jozan nyata telah menambat hati juri dan peminat," jelasnya. Sementara itu, Johan berkata, kemenangan tersebut cukup berbaloi dengan usaha mereka berdua selama ini yang mahu melihat industri lakonan komedi diangkat ke tahap yang lebih tinggi. | |||||
| Yus (Jambu) Guna Wang Kemenangan MLM 2012 Untuk Kahwin Posted: 20 Jan 2013 08:38 PM PST Yus berhasrat berkahwin selewat-lewatnya penghujung tahun ini. Yus, 36, berkata, dia berhasrat untuk melangsungkan perkahwinan bersama wanita pilihannya selewat-lewatnya pada penghujung tahun ini. "Setakat ini saya tiada mempunyai sebarang perancangan untuk membelanjakan wang kemenangan sebanyak RM125,000 itu tetapi sebahagiannya akan digunakan untuk persiapan perkahwinan saya," jelasnya kepada mStar Online. Yus bagaimanapun enggan mendedahkan identiti wanita yang berjaya menambat hatinya itu dan memberitahu mereka telah berkenalan selama beberapa tahun. Pada pertandingan akhir itu, Jambu yang turut dianggotai oleh Zamatul Amri Zakaria atau Tauke, 36, dinobatkan sebagai naib juara MLM 2012 dan mereka berjaya berkongsi wang tunai sebanyak RM250,000 dan sebuah trofi. Manakala kumpulan Jozan (Johan dan Zizan) muncul juara Jozan dan melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM500,000 dan trofi. Jambu bercadang untuk mengadakan kenduri kesyukuran atas kemenangan mereka di MLM 2012 bagi meraikan peminat dalam masa terdekat. Dalam pada itu, Tauke berkata, mereka juga merancang untuk mengadakan majlis kesyukuran bersama penyokong dan Kelab Sahabat Tauke bagi menghargai sokongan semua peminat sepanjang pertandingan itu. Kata Tauke, majlis berkenaan berkemungkinan akan diadakan di Perlis namun masih belum menetapkan tarikh sebenar kenduri tersebut. "Seminggu dua ini kami mahu bercuti terlebih dahulu untuk merehatkan minda dan selepas itu baru kami merancang untuk majlis berkenaan. "Yus akan bercuti di Perlis manakala saya akan menghabiskan masa untuk memancing," ujarnya. Mengulas mengenai kemenangan pada MLM 2012, Tauke berkata, mereka berpuas hati dengan kedudukan naib juara yang disandang mereka dan menganggap ia sebagai rezeki dari Tuhan. Tambah Tauke, antara faktor lain kemenangan mereka mungkin disebabkan persembahan mereka pada musim ini konsisten sejak minggu pertama. "Berbanding musim lalu, persembahan kami kurang menyengat namun mengambil pengalaman untuk memperbaiki untuk pertandingan tahun ini. "Alhamdulillahlah semua lawak yang ditonjolkan berjaya menambat hati peminat dan juri," jelasnya. Tambahnya lagi, mereka akan meneruskan perjuangan Jambu sebagai kumpulan selagi diterima peminat. | |||||
| Anugerah Seri Temasek Eratkan Hubungan Malaysia-Singapura Posted: 20 Jan 2013 08:34 PM PST Datuk Mustapha Ma'arof (dua dari kanan) bersama-sama Pengarah Hann's Entertainment, Hans Rawie, Timbalan Ketua Pengarah Finas, Fatimah Ahmad, Datuk Aziz Satar dan Datuk Yusof Haslam ketika majlis perasmian Anugerah Seri Temasek yang akan berlangsung di Hotel Fairmont, Singapura pada 2 Februari depan, dekat sini pada Ahad. Penasihat Anugerah Seri Temasek, Datuk Mustapha Ma'arof berkata, selain dapat mengerat silaturahim kedua-dua negara ia juga dapat menghargai dan mengiktiraf sumbangan Seniman dan Seniwati dalam industri filem kedua-dua negara. "Jika dilihat pada sejarah industri perfileman di Malaysia bermula di Singapura dan penganjuran anugerah ini adalah untuk merapatkan lagi hubungan yang telah wujud sejak sekian lama. "Anugerah ini sememangnya berkait rapat dan signifikan dengan sejarah perkembangan filem Melayu yang satu ketika dulu giat dijalankan di Singapura sekitar tahun 1950-an hingga 1960-an," ujarnya pada sidang media mengenai anugerah itu di sini pada Ahad. Anugerah Seri Temasek dianjurkan oleh Hann's Entertainment dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan diadakan pada 2 Februari depan di Hotel Fairmont, Singapura. Dalam pada itu, Mustapha berkata, selain mengeratkan hubungan dua hala kedua negara, penganjuran anugerah itu juga dilihat dapat memberi tambah nilai kepada filem-filem tempatan apabila dapat membuka ruang lebih berkesan kepada karya tempatan untuk ditayangkan di Singapura. Kata Mustapha, menerusi beberapa program pameran oleh FINAS dan diskusi mengenai filem pada anugerah itu nanti ia dapat membuka peluang untuk penggiat tempatan memperkenalkan produk mereka di sana. "Pada masa ini pawagam di Singapura tidak banyak menayangkan filem-filem Malaysia kerana kurang permintaan dna sambutan daripada masyarakat. "Dengan acara seperti ini ia dapat meningkatkan kesedaran masyarakat di sana tentang filem buatan Malaysia menerusi pameran, perbincangan dan aktiviti promosi," jelasnya. Sementara itu, Mustapha berkata, sebanyak 25 penerima akan menerima anugerah dalam pelbagai kategori termasuk Anugerah Lagenda Seri Temasek, Anugerah Pencapaian Seri Temasek dan Anugerah Khas Seri Temasek. Mustapha berkata, penerima anugerah akan dinilai pencapaian dan sumbangan mereka terhadap industri perfileman dan penerima anugerah akan dirahsiakan sehingga malam itu nanti. Antara artis yang bakal memeriahkan majlis itu nanti adalah Jamal Abdillah, Datuk Sharifah Aini, Bob Tutupoli, Taufik Batisah, Didie Alias dan sebagainya. | |||||
| Usaha Zizan, pengorbanan Johan Posted: 20 Jan 2013 08:30 PM PST
KEGAGALAN kumpulan Jozan untuk bergelar juara sewaktu menyertai rancangan Maharaja Lawak setelah tumpas kepada Sepah, dua tahun lalu tidak bermakna mereka gagal menambat hati peminat komedi di Malaysia. Buktinya, pada Jumaat lalu kumpulan yang dianggotai oleh Yazid Lim Mohamad Aziz atau Johan dan Mohd. Razizan Abd. Razak telah dinobatkan sebagai juara pertandingan Maharaja Lawak Mega (MLM) 2012. Dalam saingan yang berlangsung di hadapan kira-kira 5,000 penonton yang membanjiri Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Jozan berjaya mengetepikan saingan terdekat mereka iaitu kumpulan Jambu untuk bergelar juara. Ketika ditemui pada sidang akhbar selepas acara berakhir, Zizan berkata dia sememangnya tidak menjangka sama sekali dengan kemenangan tersebut, meskipun mereka sudah mendominasi tangga teratas sejak dari minggu pertama lagi. "Pada malam ini kami tidak terlalu yakin untuk menang kerana kumpulan-kumpulan lain yang turut bersaing di pentas akhir ini memang kuat dan mereka turut menampilkan persembahan yang mantap. "Namun begitu, saya bersyukur apabila usaha gigih kami selama 10 minggu bersaing dalam pertandingan ini begitu berbaloi dan ia bukan sahaja kemenangan buat Jozan, malah ia merupakan kejayaan istimewa buat para peminat yang banyak menyokong kami," ujarnya. Ditanya tentang perasaannya atas kemenangan yang diraih, Zizan mengakui sangat sebak dengan kembalinya Johan setelah dua kali terpaksa beraksi secara solo menjelang saingan final. Ujarnya, dia sangat terharu dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh rakan gandingannya itu, meskipun berada dalam keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan. "Saya ada bertanya kepada Johan supaya tidak memaksa diri sekiranya tidak mampu, namun dia kelihatan bersemangat untuk turut serta. Tidak dinafikan persiapan yang kami lakukan sekadar ala kadar dan saya anggap kemenangan ini adalah rezeki daripada Allah," ujarnya. Sementara itu, Johan yang terpaksa berkerusi roda ketika hadir pada sidang akhbar tersebut menyatakan sikap kental diri Zizan yang berseorangan untuk mempertahankan kedudukan Jozan sehingga layak bersaing ke peringkat akhir sesuatu yang wajar dipuji. Ujarnya, dengan kejayaan kumpulannya itu mara ke pentas akhir MLM 2012 sememangnya telah menjadi pembakar semangat buat dirinya untuk turut beraksi bersama-sama dengan Johan. "Kalau diikutkan doktor memang tidak mengizinkan kerana keadaan saya yang belum benar-benar sembuh sepenuhnya. Namun begitu, saya tetap berkeras dan akhirnya doktor memberikan kebenaran dan dia berpesan supaya saya tidak bergerak terlalu aktif.
"Sebenarnya ini merupakan pengorbanan yang paling besar harus saya lakukan sehingga terpaksa menanggung risiko. Apa yang lebih penting saya lakukan ini semata-mata untuk keluarga, rakan gandingan saya dan para peminat Jozan yang banyak memberikan sokongan," ujarnya yang sudah menjalani pembedahan di Hospital Prince Court, Kuala Lumpur pada 29 Disember lalu. Menurut Johan, setengah jam sebelum memulakan persembahan dia terpaksa meletakkan ais di bahagian lututnya itu supaya tidak mendatangkan sebarang kesakitan dan bersyukur kerana masih mampu menampilkan persembahan yang baik. "Mungkin ramai yang perasan saya memang tidak menggunakan tongkat dan itu saya lakukan kerana tidak mahu mendapat undi simpati daripada orang ramai. Apapun saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua peminat yang tidak putus-putus memberikan sokongan kepada kami," ujarnya. Keputusan akhir MLM 2012 menyaksikan Jozan mengungguli kedudukan teratas dengan markah sebanyak 22.9 peratus dan diikuti Jambu yang muncul selaku naib juara dengan markah sebanyak 21 peratus. Shiro yang berada di kedudukan ketiga pula memperoleh markah sebanyak 19 peratus. Boboi pula sekadar berpuas hati di tangga keempat dengan 18.8 peratus, manakala Saywho pula meraih markah sebanyak 18.3 peratus untuk berada di kedudukan kelima. Dengan kemenangan tersebut Jozan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM500,000 serta trofi, Jambu (RM250,000), Shiro (RM150,000), Boboi (RM50,000) dan Saywho (RM15,000). Konsisten Biarpun gagal menyaingi Jozan dalam persaingan merebut gelaran juara MLM 2012, namun kumpulan Jambu tetap meluahkan kegembiraan dengan kedudukan naib juara yang diraih. Menurut Taukeh atau nama sebenarnya Zamatul Amri Zakaria, mereka menerima keputusan berkenaan dan mengakui Jozan sememangnya layak untuk dinobatkan sebagai juara. "Secara keseluruhannya kami sangat berpuas hati dan layak beraksi di pentas akhir merupakan satu kejayaan yang cukup istimewa. Lagipun persaingan lain-lain kumpulan juga sangat sengit dan ia agak merisaukan kami sedikit. "Cuma kelebihan yang ada kepada kumpulan Jambu ini apabila kami kekal dengan persembahan yang konsisten dari minggu pertama sehingga terakhir, berbanding ketika kami bersaing di pertandingan Maharaja Lawak dua tahun lalu," ujarnya. Mengenai hadiah kemenangan yang diterima pula, seorang lagi ahli kumpulan Jambu iaitu Yusry Edoo atau lebih sinonim dengan panggilan Yus berkata, dia dan Taukeh sudah sepakat yang sedikit wang berkenaan akan digunakan untuk mengadakan majlis bersama para peminat. Ujarnya, majlis berkenaan diadakan sebagai penghargaan kepada mereka yang terlalu banyak memberikan sokongan sehingga mereka berada pada kedudukan sekarang ini. "Insya-Allah, saya juga akan menggunakan wang yang dimenangi ini untuk belanja perkahwinan saya. Namun begitu, saya tidak pasti bila akan mendirikan rumah tangga, sama ada tahun ini atau tahun hadapan," ujarnya, Yus yang mengakui sudah mempunyai kekasih hati. Tersingkir awal ![]() BARISAN finalis Maharaja Lawak 2012 sudah memberikan persembahan berdaya saing hebat pada malam final yang berlangsung di Johor Bahru, kelmarin. Sementara itu, kumpulan Shiro yang dianggotai Mohamad Hanaffi Razak (Ajak) dan Shahrol Azizie Azmi (Shahrol) yang meraih kedudukan di tempat ketiga pula menganggap kejayaan mereka merupakan sesuatu yang di luar jangkaan. Menurut Ajak, mereka menjangkakan menjadi kumpulan pertama yang akan tersingkir iaitu pada minggu keempat, namun rezeki ternyata berpihak kepada mereka apabila berjaya layak ke final. "Meskipun Shiro pernah menjuarai pertandingan Raja Lawak 6 pada tahun lalu, namun kami anggap masih lagi baharu dalam industri hiburan tempatan dan perlu bersaing pula dengan pelawak yang lebih berpengalaman. "Jadi, dapat bersaing sehingga ke pentas akhir pastinya sudah kami anggap sebagai satu kemenangan. Lebih istimewa lagi saingan akhir telah diadakan di Johor yang juga merupakan negeri kelahiran kami," ujarnya. Mengenai perancangan mereka selepas berakhirnya MLM 2012, Ajak berharap mereka akan mendapat lebih banyak peluang berlakon dalam usaha untuk mengembangkan lagi kerjaya seni pada masa akan datang. | |||||
| Anne Ngasri akui sudah mual-mual Posted: 20 Jan 2013 08:29 PM PST
SIAPA tidak kenal dengan nama Anne Ngasri atau nama sebenarnya Nasriah Ngasri, yang suatu ketika dahulu pernah menceriakan program televisyen Malaysia menerusi drama arahan Aziz M. Osman, Cili Padi. Baru-baru ini dunia hiburan tempatan telah digemparkan dengan tindakan ibu kepada tiga orang anak itu apabila dia mengambil keputusan untuk bertunang dan mengakhiri zaman jandanya dengan seorang ahli politik atau lebih tepat Setiausaha Kerja Pemuda Umno, Mohd. Sumali Reduan, 41, pada 22 Disember lalu. Keputusan Anne, 29, itu sekali gus juga telah menutup segala kontroversi kisah perkahwinan terdahulu serta hubungan cintanya dengan penyanyi muda dan tampan Alif Aziz. Setelah menempuhi pelbagai onak dan duri kehidupan, Anne masih tetap bertahan sehingga ke hari ini dalam dunia seni, malah pada Rabu lalu dia dan dua lagi anak seni tempatan telah dipilih untuk mengacarakan satu program baharu menerusi slot Raudhah untuk siaran TV9. Anne, pelakon Diana Amir dan seorang model berhijab yang terkenal, Shabana, bakal muncul dalam program terbaharu TV9 Semangat Intelek Swadaya atau SIS pada 26 Januari ini. Ikuti temu bual Kosmo! bersama Anne pada sidang akhbar program tersebut di Kuala Lumpur baru-baru ini. Bagaimanakah kehidupan Anne setelah bergelar isteri kepada ahli politik kelahiran Pontian, Johor? Alhamdulillah, saya bahagia. Akhirnya saya telah jumpa seseorang yang saya cari-cari selama ini. Anne sudah tahu apakah selera makanan suami? Kami berdua keturunan Jawa, jadi selera pun sama. Bab memasak makanan kegemarannya tidak menjadi sebarang masalah kerana ia adalah menu makanan yang sama saya masak. Bolehkah bertanya, setelah hampir sebulan berkahwin, sudah adakah tanda-tanda bakal mendapat cahaya mata baharu? Saya ada rasa mual-mual, tapi takut pula nak pergi buat pemeriksaan. Saya rasa macam ada. Kenapa pula takut? Adakah Anne tidak bersedia? Saya sentiasa menerima rezeki dari Allah. Saya pasti bayi itu nanti akan menambah seri dan membahagiakan lagi hidup saya. Setelah sekian lama bergelar anak seni, adakah suami Anne membenarkan untuk terus bergiat dalam dunia hiburan ini? Ya, dia seorang yang sangat memahami akan kerjaya saya, malah pada hari ini dia turut datang bersama bagi memberi sokongan kepada isterinya ini. Adakah Anne juga akan memberi sokongan dengan kerjaya dunia politik suami? Sudah tentu saya akan menyokong cara suami saya mendapatkan rezeki kami sekeluarga dan sentiasa memberi dorongan kepadanya. Melihat kepada kerjaya suami dalam politik, adakah Anne mahu mengikut jejak langkahnya? Tidak. Walaupun banyak persamaan dan persefahaman antara kami, namun bila ia melibatkan bidang kerjaya, ia sama sekali berlainan . Saya tidak minat bidang politik, lagipun saya lebih cintakan dunia seni saya. Adakah Anne selalu menemani suami pergi ke jamuan-jamuan korporat atau yang melibatkan dunia politiknya? Kalau saya ada masa, saya akan temankan dia. Namun, memandangkan anak sulung saya akan memulakan alam persekolahannya tidak lama lagi, saya rasa tidak dapatlah temankan dia selalu. Apakah perkembangan terbaharu Anne dalam dunia seni? Saya ada berlakon dalam filem di bawah Grand Brilliance berjudul Pengapit. Tunggulah kemunculan filem itu di pawagam nanti. Saya bersama kakak saya, Darling, juga akan menerbitkan rancangan kanak-kanak, Nujum Kenit yang bakal disiarkan menerusi saluran TV1, RTM. Selain itu, sebagai pengacara program baharu, SIS, yang menggandingkan saya bersama Diana Amir dan Shabana. Saya amat berharap para peminat akan sama-sama memberi sokongan kepada saya. Saya akan cuba berikan yang terbaik. Program itu akan bermula pada 26 Januari ini, pukul 11 pagi di TV9. Program bual bicara itu nanti banyak mengupas isu-isu yang sering dialami kaum wanita, terutamanya remaja. | |||||
| Posted: 20 Jan 2013 08:28 PM PST ![]() PARAMORE bakal membuat kemunculan buat kali kedua di Malaysia. PARA peminat kumpulan rock alternatif terkenal Paramore pasti ternanti-nanti kehadiran mereka ke Malaysia sekali lagi. Band yang terkenal dengan lagu, The Only Exception itu bakal mengadakan konsert untuk kali kedua di negara ini pada 17 Februari depan di Stadium Negara, Kuala Lumpur. Konsert yang diadakan sempena dengan pelancaran album terbaharu yang mengambil tajuk sempena nama band mereka menjadikan Malaysia antara tiga negara Asia yang bertuah untuk destinasi persinggahan selain Thailand dan Filipina. Pada konsert di Malaysia tiga tahun lalu, mereka berjaya menarik lebih 12,000 peminat membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil, namun tahun ini, para peminat terpaksa bekerja keras untuk mendapatkan tiket disebabkan tempat yang dihadkan kepada 6,000 sahaja. Walau bagaimanapun, konsert kali ini akan menjanjikan kepuasan yang lebih berbanding tiga tahun lalu dengan durasi yang lebih panjang dan lagu yang lebih banyak. Konsert yang dibawakan oleh Tune Talk dan BlackBerry itu turut digamatkan dengan persembahan pembukaan band tempatan, One Buck Sort atau OBS dan kumpulan rock indie AS, MewithoutYou. Ketua Pegawai Eksekutif Tune Talk, Jason Lo berkata, pihaknya amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan band tersebut untuk mengadakan konsert mereka buat kali kedua di sini. "Kami memulakan tahun 2013 ini dengan The Return of Paramore Live in Kuala Lumpur dan ia adalah satu keseronokan bagi kami untuk bekerjasama sekali lagi dengan band yang sangat berbakat dan kreatif ini. "Selain itu, kami juga ada merancang sesuatu yang besar pada bulan Mei ini untuk peminat industri hiburan tanah air, tetapi saya tidak dapat dedahkan lagi apakah rancangan tersebut, cuma tunggu dan lihat sahaja," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di Bangsar Village baru-baru ini. Para peminat juga berpeluang memenangi 30 pas percuma untuk sesi beramah mesra dengan band tersebut melalui peraduan anjuran Tune Talk dan BlackBerry yang akan diumumkan melalui Facebook dan Twitter mereka. Tiket yang berharga RM270, RM200, RM150, RM130 dan RM110 boleh di dapati secara online di www.ticketpro.com.my atau hubungi talian hotline 03-7880 7999 untuk maklumat lanjut. | |||||
| Posted: 20 Jan 2013 08:27 PM PST
PEMAIN No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei muncul sebagai pemain terbanyak merangkul gelaran juara pada Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Malaysia. Semalam, Chong Wei membuktikan statusnya selaku pemain terhebat negara apabila merekodkan kejuaraan buat kali kesembilan pada Terbuka Malaysia 2013. Kejayaan itu hadir selepas dia melakar kemenangan ke atas pemain Indonesia, Sony Dwi Kuncoro 21-7, 21-8 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil. Lebih membanggakan, dia berjaya melepasi rekod legenda badminton negara, yang sebelum ini merekodkan lapan kejuaraan pada Terbuka Malaysia. "Saya sangat bangga dengan kejayaan ini. Terima kasih kepada para penyokong kerana sanggup hadir ke stadium bagi menyaksikan final serta memberi sokongan kepada saya. "Sebenarnya saya berasa sedikit tertekan kerana harapan yang diletakkan untuk saya bergelar juara kali ini agak tinggi. "Mungkin orang tidak nampak kenapa saya menang mudah ke atas Sony tetapi itulah yang saya rasakan. "Mujur, setiap kali Sony melakukan serangan saya boleh mengatasinya. Saya memang mahu menghabiskan perlawanan dengan cepat," kata Chong Wei pada sidang akhbar sejurus tamat perlawanan semalam. Tahun lalu, Chong Wei telah meletakkan namanya sebaris dengan Peng Soon apabila merangkul kejuaraan buat kali kelapan di gelanggang yang sama. Sebagai rekod, Chong Wei mula bergelar juara Terbuka Malaysia pada 2004 diikuti 2005, 2006, 2008, 2009, 2010, 2011, 2012 dan 2013. Ini merupakan kejuaraan kedua berturut-turut buat Chong Wei selepas membuka tirai kalendar 2013 penuh bergaya dengan meraih gelaran juara pada Terbuka Korea 13 Januari lalu. Menurut Chong Wei, dia akan cuba untuk melakukan yang terbaik untuk bergelar juara Terbuka Malaysia buat kali ke-10 pada edisi tahun depan. Hasratnya itu adalah untuk menyamai rekod kejuaraan yang dimilikinya selaku juara kebangsaan. "Saya akan cuba tetapi semua kena sedar bahawa Sirkit Kebangsaan dan Terbuka Malaysia adalah dua kejohanan yang berbeza," kata Chong Wei yang kini akan memberi fokus sepenuhnya kepada persiapan menghadapi Seluruh England Mac depan. Chong Wei telah dua kali bergelar juara pada Seluruh England iaitu edisi 2010 dan 2011. Dengan kemenangan semalam, Chong Wei membawa pulang hadiah wang tunai AS$30,000 (RM90,389). | |||||
| Ananda orang terkaya di Malaysia Posted: 20 Jan 2013 08:25 PM PST
KUALA LUMPUR – Bilionair telekomunikasi, T. Ananda Krishnan kini bergelar orang terkaya di Malaysia apabila memintas 'Raja Gula', Tan Sri Robert Kuok dengan mengumpul kekayaan bernilai RM30.56 bilion. Menurut kaji selidik akhbar berbahasa Cina Nanyang Siang Pau, Ananda mendapat lonjakan baharu dari segi kekayaan apabila saham Astro Malaysia Holdings Bhd. disenaraikan di Bursa Malaysia pada tahun lepas. Menurut kaji selidik itu, Kuok yang memiliki pelaburan dalam sektor perhotelan dan resort, perladangan serta syarikat perkapalan tercicir daripada kedudukan orang terkaya di Malaysia dengan nilai harta berjumlah RM29.4 bilion. Kuok dinobatkan sebagai orang terkaya di Malaysia pada tahun lalu berdasarkan ranking majalah Malaysian Business dengan harta bernilai RM45.7 bilion tetapi kekayaan itu susut sebanyak RM16.3 bilion pada tahun ini. Tempat ketiga pula dikuasai tokoh perbankan dari Public Bank, Tan Sri Teh Hong Piow dengan nilai aset berjumlah RM15.1 bilion, meningkat sebanyak RM2.36 bilion berbanding RM12.64 bilion pada tahun lalu. | |||||
| Pengguna rokok e-elektronik terdedah kepada penyakit Posted: 20 Jan 2013 08:25 PM PST ![]() ANTARA rokok e-elektronik yang terdapat di pasaran. - Gambar hiasan BENTONG - Penjualan rokok e-elektronik bukan sahaja salah di sisi undang-undang, malah pengguna produk itu turut terdedah kepada pelbagai penyakit kronik. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, penjualan bahan dan produk itu adalah salah mengikut Akta Racun 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. "Mereka yang didapati bersalah menjual dan mengedar produk itu dan cecair nikoton untuk kegunaan rokok e-elektronik boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-dua sekali," katanya. | |||||
| Rakyat Malaysia dikhuatiri mati Posted: 20 Jan 2013 08:24 PM PST ![]() PARA tebusan berlutut dengan tangan diangkat ke atas semasa mereka ditawan di kompleks minyak dan gas di In Amenas, Algeria baru-baru ini. KUALA LUMPUR - Seorang daripada dua rakyat Malaysia yang gagal dikesan selepas kumpulan militan menawan sebuah loji gas di In Amenas, Algeria pada Rabu lalu dikhuatiri terkorban berikutan kejadian serangan tersebut. Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dalam satu kenyataan berkata, perkara itu dimaklumkan oleh wakil majikan rakyat Malaysia terbabit, JGC Construction Pte. Ltd. kepada Kedutaan Besar Malaysia di Algeria. "Wakil syarikat memaklumkan kepada kedutaan seorang daripada dua rakyat Malaysia yang masih hilang dikhuatiri terkorban manakala nasib seorang lagi rakyat Malaysia belum diketahui. "Kedutaan Besar Malaysia di Algeria bagaimanapun akan berusaha dan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Algeria serta JGC Construction Pte. Ltd. bagi mengesahkan maklumat terkini mengenai nasib dua rakyat Malaysia terbabit," katanya. | |||||
| Penghibur jalanan kena ada permit Posted: 20 Jan 2013 07:14 PM PST ![]() PENGHIBUR jalanan perlu memohon permit daripada DBKL sebelum membuat pertunjukan di sekitar Kuala Lumpur. KUALA LUMPUR - Penghibur jalanan dinasihati supaya memohon permit kebenaran sekiranya ingin membuat persembahan di sekitar ibu kota. Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sosio Ekonomi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Mohd. Amin Nordin Ab. Aziz berkata, permohonan permit itu telah dibuka dan mereka boleh berbuat demikian melalui bahagian Kebudayaan dan Sukan DBKL. Beliau berkata, beberapa perbincangan telah dijalankan bersama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan bagi mengenal pasti garis panduan yang perlu dipatuhi oleh golongan penghibur itu. | |||||
| Beli produk Omar Ali secara online Posted: 20 Jan 2013 07:13 PM PST
KUALA LUMPUR - Syarikat pembuat pakaian tradisional Melayu terkenal di negara ini, Omar Ali Holdings Sdn. Bhd. (Omar Ali) akan melancarkan laman beli-belah dalam talian pada bulan Mac ini. Pengarah Urusannya, Azizah Omar berkata, kewujudan laman www.OmarAli.com.my itu bertujuan untuk mengikuti aliran semasa yang menggunakan teknologi internet sebagai pemacu kepada operasi perniagaan. "Jenama Omar Ali telah wujud sejak ayah saya, Omar Ali, membuka kedai pertamanya di Bazaar Melayu yang kini dikenali sebagai Wisma Yakin, Jalan Masjid India pada tahun 1935. "Sungguhpun jenama ini dikenali ramai termasuk golongan kenamaan, namun kami percaya penggunaan internet akan mampu meningkatkan lagi perolehan syarikat dan seterusnya mengukuhkan lagi perniagaan ini," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini. Menurut Azizah, laman beli-belah itu akan menyediakan rangkaian lengkap pakaian siap Omar Ali, di samping jenama khusus untuk wanita yang dikenali sebagai Miss Omar dan aksesori berkaitan. | |||||
| Tulis sajak lebih susah daripada melukis Posted: 20 Jan 2013 07:00 PM PST
JARI-JEMARINYA begitu tangkas melukis, namun hasil lakaran burung yang terbentuk pada kertas putih begitu halus dan penuh kesenian. Ternyata bukan calang-calang orang mampu menghasilkan karya daripada dakwat hitam dan warna air. Mungkin ramai yang mahir dalam tulisan kaligrafi Cina atau lukisan gaya Cina yang menekankan penggunaan dakwat hitam dan warna air, namun tidak ramai yang mahir dalam kedua-dua bidang tersebut. Apatah lagi untuk menggabungkan keunikan kedua-dua tradisi Cina dalam satu lukisan, ia memerlukan kemahiran yang tinggi. Cheng Haw Chien, 64, yang mempunyai gaya lukisan tersendiri menegaskan lukisan dakwat air perlu disertai dengan penulisan sajak bagi menjadikan karya yang dihasilkan berbeza daripada pelukis lain. Berpegang kepada prinsip tersebut, dia akan menulis sebuah sajak dalam tulisan kaligrafi Cina supaya hasil karya yang dicipta mempunyai keunikannya tersendiri. Menceritakan kembali bagaimana dia memperoleh idea tersebut, Haw Chien yang berasal daripada sebuah keluarga peladang berkata, pertemuannya dengan seorang sami dari China yang dikenali sebagai Chuk Mo telah memberikannya pemahaman baharu terhadap dunia seni. Menggelarkan Chuk Mo sebagai tok guru, Haw Chien berkata, gurunya itu sering berpesan kepadanya bahawa seorang pelukis bukan sahaja perlu menguasai cara dan teknik yang betul untuk melukis malah perlu mempunyai pengetahuan yang luas. "Tok guru mendorong saya menimba pengetahuan dan belajar bersajak bagi 'menghidupkan' lagi lukisan yang dihasilkan. Jika tidak, lukisan tersebut umpama tidak mempunyai jiwa," ujar anak kelima daripada lapan adik-beradik. Pameran kaligrafi Haw Chien Ternyata nasihat yang diberikan oleh gurunya membolehkan Haw Chien mencapai tahap yang lebih tinggi dalam bidang seni.
Menceburi bidang itu sejak di peringkat sekolah menengah lagi, pelukis yang berasal dari Balik Pulau, Pulau Pinang itu telah mengadakan pameran solonya yang pertama di negeri kelahirannya ketika berusia 19 tahun. Kini dia telah berjaya mengadakan lebih daripada 140 pameran di seluruh dunia. "Saya berminat dalam seni lukisan sejak kecil lagi. Saya pernah belajar melukis daripada enam orang guru dari Taiwan dan China dalam tempoh berpuluh-puluh tahun ini. Namun, Chuk Mo merupakan tok guru yang memberi tunjuk ajar paling lama. "Beliau masih memberi tunjuk ajar kepada saya walaupun saya telah habis belajar di peringkat universiti, sehinggalah beliau meninggal dunia kira-kira 10 tahun lalu," kata bapa kepada tiga orang anak tersebut. Mengulas lanjut katanya, hubungannya dengan Chuk Mo sangat rapat sehingga beliau akan melawatnya dahulu setiap kali kembali ke Pulau Pinang sebelum kembali ke rumah sendiri. Tambahnya, nasihat dan pesanan daripada tok guru kesayangannya tetap diingati sehingga hari ini. Ditanya mengenai proses pembelajaran katanya, proses untuk belajar menulis sajak jauh lebih sukar berbanding proses melukis. Ini kerana banyak buku yang perlu dibaca bagi meningkatkan cara penulisan. "Proses belajar melukis memang sukar tetapi proses untuk belajar menulis sajak lebih susah terutamanya bagi menghasilkan sajak yang mempunyai bunyi yang sama pada pengakhirannya. "Banyak masa perlu digunakan untuk membaca supaya mendapat ilham dan idea untuk menulis sajak yang padan dengan lukisan dihasilkan," katanya. Tambahnya, selain itu, beliau juga sering melancong ke luar negara bagi mendapatkan ilham untuk menghasilkan lukisan terutamanya dari segi pemandangan dan haiwan. "Contohnya saya akan melancong ke negara China untuk mendapatkan ilham lukisan pemandangan ataupun melancong ke Australia untuk melukis kanggaru. "Lebih unik, walaupun lukisan saya bertemakan haiwan seperti penguin dan burung unta atau buah-buahan, saya tetap akan menulis sajak dalam tulisan kaligrafi yang sepadan dengan lukisan tersebut," katanya. Mengimbau kembali masa silam, jelas Haw Chien yang kini menyandang jawatan sebagai Presiden Central Research Academy of Art Malaysia, minatnya sebelum ini dibantah keras oleh ibu bapanya yang bekerja sebagai pekebun. "Bagi mereka, melukis hanya boleh dijadikan sebagai hobi dan bukan sebagai satu pekerjaan tetap. "Bagaimanapun, saya tetapkan pendirian dan minat saya sehinggalah saya mencapai kejayaan hari ini. Syukur, ibu bapa saya semakin memberi sokongan setelah melihat kejayaan yang saya kecapi sehingga ke peringkat antarabangsa," ujarnya. ![]() SAJAK yang dihasilkan oleh Haw Chien berdasarkan pengalaman dan pembacaannya. Berkongsi pembelajaran Jelas Haw Chien, ketika mula-mula menceburi bidang seni kaligrafi Cina, dia sukar mencari rakan-rakan sebaya yang boleh berkongsi pengalaman dan pengetahuan. "Kebanyakan remaja tidak berminat dengan seni kaligrafi Cina. Jadi saya terpaksa berkongsi pembelajaran dengan orang yang lebih tua daripada saya," ujarnya. Kongsi Haw Chien lagi, dia juga terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran sebelum menempa nama sebagai seorang pelukis yang berjaya. "Bukan senang untuk melangsungkan sesuatu pameran terutamanya di luar negara. "Kenalan yang ramai diperlukan bagi merealisasikan sesebuah pameran," katanya. Selain itu katanya, kos perbelanjaan untuk mengadakan sesuatu pameran juga penting kerana ia ditanggung oleh dirinya sendiri. "Sumber pendapatan saya bergantung kepada hasil jualan lukisan pada sesuatu pameran dan hasil pendapatan melalui pameran itu akan digunakan untuk rancangan seterusnya seperti mengadakan pameran di tempat lain," jelas Haw Chien. Tambah mencabar, harga lukisan bergantung kepada pasaran dan permintaan. "Contohnya, pameran di Britain dan Brazil mendapat sambutan baik berbanding di Australia. Bagaimanapun, saya tetap akan menghasilkan lukisan berdasarkan gaya tersendiri walaupun kesemua kos tersebut perlu ditanggung sendiri," katanya. Ditanya mengenai ketiga-tiga anaknya pula, kata Haw Chien, hanya anak lelaki tunggalnya yang mewarisi minatnya untuk melukis. "Anak lelaki saya yang bekerja sebagai pereka perindustrian sahaja yang berminat melukis, manakala dua lagi anak perempuan saya masing-masing bekerja sebagai pakar pemakanan dan doktor. "Kadangkala saya dan anak lelaki saya akan melukis bersama-sama. Saya akan memberi tunjuk ajar kepadanya ketika itu," tambahnya. Menceritakan tempoh masa yang diperlukan untuk menghasilkan sebuah lukisan, katanya, ia bergantung kepada saiz lukisan dan apa yang dilukis. "Kebiasaannya lukisan jenis gaya bebas seperti buluh lebih senang dan mengambil jangka masa yang lebih pendek berbanding lukisan pemandangan. Ini kerana lukisan pemandangan lebih kompleks termasuk proses mewarnanya lebih sukar.
"Selain lukisan pemandangan, lukisan haiwan juga memerlukan masa yang banyak terutamanya melukis harimau yang strukturnya lebih rumit. Jelasnya, lukisan yang mengambil masa paling lama untuk dihasilkan sepanjang tempoh beliau menceburi bidang seni itu ialah karya Gunung Himalaya yang dihasilkan pada tahun 1988. "Saya mengambil masa selama tiga bulan untuk menghasilkan lukisan sepanjang 3.6 meter tersebut. "Bukan mudah, tetapi inilah cabaran yang saya mahukan dalam bidang kesenian," katanya yang turut menjadi guru kepada ramai pelajar kaligrafi muda. Ditanya mengenai trend lukisan di Malaysia pula, kata Haw Chien, kebanyakan pameran yang diadakan di negara ini adalah lukisan gaya Barat. "Tidak banyak pameran lukisan gaya Cina yang diadakan di negara ini dan pendedahan dalam bidang tersebut adalah kurang. "Saya berharap pameran lukisan gaya Cina dapat diadakan dengan lebih kerap dengan kerjasama semua pihak bagi mempromosikan lukisan gaya Cina sekali gus menarik lebih ramai peminat lukisan Cina," katanya. | |||||
| Posted: 20 Jan 2013 06:59 PM PST
TANPA semena-mena, nama Alia Bastamam terpalit dengan kehangatan kontroversi seni tanah air apabila busana hitam yang digayakan aktres muda, Nabila Huda, ketika menghadiri Anugerah Blockbuster 2012 mencetus reaksi pelbagai dari penggiat seni hiburan dan fesyen Malaysia. Walau ramai yang mencemuh dan tidak kurang juga yang memuji, nama Alia terus terpatri kukuh. Ramai mula mengenalinya sehingga membawa kepada pengenalan koleksi Evening Cruise 2012/2013 yang menggunakan khidmat Nabila sebagai model fesyen. "Saya tidak melihat kontroversi tersebut sebagai sesuatu yang negatif. Ia tidak langsung meninggalkan titik hitam dalam perjalanan karier saya, malah sedikit sebanyak membantu membuka ruang dan peluang buat saya," ujarnya optimis. Kesungguhannya dalam dunia seni dan rekaan terserlah sejak dalam zaman persekolahan. Menurut anak kelahiran Kuala Lumpur itu, darah kreatif mengalir dari nenda tersayang yang dahulunya terkenal dengan kehalusan jahitan tangan melalui busana-busana tradisional hasil sentuhannya. "Ketika bersekolah dahulu, saya banyak membuat jahitan-jahitan manik pada bekas pensil. Ada yang masih tersimpan rapi dan digunakan sehingga kini. "Kawan-kawan yang melihatnya tertarik lalu menempahnya sebagai koleksi mereka sendiri," imbas Alia. Mesin jahit ibunya juga turut dijadikan medan eksperimen untuk mengasah bakatnya. Atas kecintaan pada dunia rekaan, anak sulung daripada tiga beradik itu mahu sahaja melanjutkan pelajaran dalam bidang yang bersesuaian namun atas nasihat ibu bapanya yang mahukannya mengambil jurusan yang lebih profesional, Alia akur. "Tempoh setahun saya sebagai pelajar kejuteraan, terasa diri ada kekosongan dan mendesak untuk menceburi dunia rekaan fesyen. Lantas saya beranikan diri untuk beralih arah," ujarnya, bersyukur kedua ibubapa menyokong dan sentiasa memberi kata semangat sehingga ke hari ini. Usai belajar di Rafflesia Design Institute, Alia tidak terus memegang profil sebagai pereka fesyen. Dia masih mahu menuntut ilmu dan memahami dunia perniagaan fesyen secara lebih mendalam. "Selama tujuh tahun, saya mencuba pelbagai cabang kerjaya yang masih merangkumi dunia fesyen. Dalam tempoh masa itu, saya bekerja di bawah beberapa pereka fesyen tempatan seperti Jovian Mandagie dan label Sofira. "Selain itu, saya turut menjadi perunding gaya untuk beberapa program televisyen sehinggalah digesa oleh teman-teman rapat untuk mencuba nasib sebagai seorang pereka menggunakan label nama sendiri," jelas wanita berumur 29 tahun itu lagi. Hasilnya, pada April 2011, khalayak dikenalkan dengan jenama Alia Bastamam melalui koleksi Resort sempena pertunjukan fesyen, Debut Showcase yang memperlihatkan keunggulannya sebagai pereka. Bercerita lebih lanjut mengenai inspirasi fesyen, kongsi Alia, idea bisa diserap melalui keadaan sekeliling juga keindahan cita rasa fesyen terdahulu yang klasik dan malar segar. "Ketika menghasilkan koleksi khas raya yang lepas, saya sangat terinspirasi melalui lagu Arjunaku nyanyian figura legenda, Datuk Maria Menado," jelasnya. Maria Menado yang lebih dikenali sebagai pelakon klasik era 50-an juga sebenarnya pernah hadir dengan beberapa deretan lagu pada zaman kegemilangannya. Suara lunak pelakon yang signifikan dengan watak puntianak itu boleh didengari melalui lagu-lagu seperti Menanti Fajar, Merenung Rindu dan Subang Merah. Koleksi rekaannya juga diibaratkan sebagai dedikasi setulus hati Alia kepada nenda yang banyak membantu memperkenalkan fesyen dalam kamus hidupnya. Chic dan berani Kelibat Alia mula dirasai oleh segenap penggemar fesyen tanah air sebagai pereka yang harus diberi perhatian kerana tampil dengan rekaan yang effortless tapi masih chic dan berani. Lihat sahaja persalinan selebriti-selebriti tempatan yang tampil anggun dalam busana rekaan Alia antaranya Tiz Zaqiyah, Liyana Jasmay, Scha Al-Yahya dan yang paling meninggalkan impak, si gadis sensasi, Nabila Huda. Kehadiran Alia dalam peta fesyen Malaysia turut disertai sekelompok pereka muda yang kebanyakan dari kalangan wanita. Jika sebelum ini, jurubusana wanita profesional dan kekal relevan hingga kini boleh dibilang dengan jari. Tom Abang Saufi, Melinda Loi dan Farah Khan antara sebilangan kecil pereka kaum Hawa. Industri fesyen tempatan ramai dipelopori oleh kaum Adam yang tampil dengan rekaan yang teliti dengan sarat perincian mewah. Lihat sahaja busana rekaan Rizman Ruzaini, Hatta Dolmat dan Zerry Zamry yang tampil avant-garde dalam kebanyakan persalinan mereka.
"Memang tidak dinafikan kehebatan rekaan daripada pereka lelaki, malah saya sendiri menjadi penggemar mereka. "Namun bagi saya, hanya wanita tahu apa yang sesuai dengan diri mereka. Rasa prihatin terhadap gaya dan cita rasa lebih memihak kepada pereka wanita kerana mereka jelas dengan sensiviti tubuh badan sendiri," jelasnya. Kemunculan pereka-pereka wanita melalui label Nurita Harith, Mimpikita dan AzuraAzwa jelas memperlihatkan kesungguhan untuk memartabatkan industri fesyen dengan sentuhan peribadi seorang wanita asli. Walau bilangan mereka semakin ramai, terutamanya pereka yang tampil dengan ilham Muslimah, Alia tidak gentar untuk terus berkarya dalam aliran rekaannya. "Fesyen bukan landasan untuk bersaing sesama sendiri tetapi lebih kepada sandaran untuk berkongsi minat yang sama dalam dunia fesyen," ujarnya. Kehadiran pereka-pereka muda merancakkan lagi industri fesyen negara agar lebih maju. Memulakan perjalanan pada tahun 2013, Alia sedang gigih untuk menyiapkan koleksi istimewa yang bakal menjengah bulan Mac kelak. Tidak berpaksi pada rasa yang sama, koleksi tersebut boleh dianggap sebagai aras baharu jenama Alia Bastamam kerana ia bakal memperlihatkan kebolehannya dalam rekaan busana pengantin. "Sebelum ini, saya ada juga mereka beberapa busana pengantin namun ia hanya memenuhi permintaan pelanggan dan teman-teman. "Oleh kerana itu, koleksi terbaharu itu nanti akan mempersembahkan rekaan yang lebih fokus terarah kepada persalinan ratu sehari," jelasnya. | |||||
| Posted: 20 Jan 2013 06:58 PM PST ![]() SEMUA pakaian Jeep musim ini sesuai disarungkan ketika melakukan aktiviti lasak. MENGAMBIL konsep elemen alam sekitar, koleksi baharu Jeep Apparel menyeru penggemarnya untuk menghargai dan meraikan keindahan yang terdapat di sekeliling kita. Koleksi itu hadir lengkap untuk seisi keluarga termasuk lelaki, wanita dan kanak-kanak. Ia dicipta khas buat mereka yang cintakan cabaran dan menikmati gaya hidup ibu kota. Selain itu, koleksi itu bersesuian untuk digayakan ketika bekerja dengan cuaca tropika di negara kita. Penggemar boleh menjangkakan rona-rona seperti jingga, kuning, biru, hijau dan warna-warna asas. Ia dipecahkan kepada baju-baju T, baju polo, jaket, denim, seluar kargo, seluar chino dan skirt. Koleksi baharu lelaki dicipta untuk menarik minat si jejaka yang selari dengan cita rasa terkini. Rekaan seluar kargo dan jean dipertingkatkan melalui fabrik, tona warna dan gaya yang lebih menarik. Kemeja kotak diberi nafas baharu dengan corak terkini dengan pilihan rona-rona khaki, kelabu dan perang. Baju polo dan leher bulat dicetuskan dengan pilihan rona terang seperti biru, hijau dan kuning. Deretan baju untuk kaum Hawa dicipta sesuai untuk wanita moden dan berkeyakinan serta yang mahukan cabaran. Pada masa yang sama, cita rasa fesyen tidak dipinggirkan. Koleksi baju diberi kesegaran corak flora dengan warna terang dan dres rona gelap seperti biru, hijau, merah, kelabu, perang dan kuning cair. Jeep Kids musim kali ini menampilkan cita rasa lasak untuk kanak-kanak aktif. Baju T dan kemaja kotak dengan warna natural diberi padanan seluar pendek kargo dan jean. Baju polo untuk kanak-kanak lelaki dan perempuan hadir dengan corak jalur dan grafik berwarna ceria dengan perlambangan alam sekitar. Koleksi kanak-kanak perempuan juga diberi penekanan melalui dres denim dan korduroi dan baju corak flora yang bersesuaian dengan tema, Love the Earth. Label Jeep Apparel boleh didapati pada harga yang berpatutan iaitu antara RM69 hingga RM399 di beberapa pusat beli-belah utama seperti AEON Cheras Selatan, KL Festival City, AEON Tebrau City dan City Square. | |||||
| Posted: 20 Jan 2013 06:57 PM PST
LEBIH daripada rawatan kecantikan, apa kata berkunjung ke pusat urutan bagi mengendurkan kembali urat-urat yang tegang akibat bebanan kerja seharian. Usah membuang masa dengan terkejar-kejar berkunjung dua destinasi untuk memanjakan diri kerana anda dapat merasai kehebatan urutan tradisional dalam masa yang sama mendapatkan rawatan spa kecantikan di bawah premis yang sama. Spa Mum's Heaven Beauty & Health milik Anis Syaza Ahmad, 26, menawarkan spa rawatan kecantikan yang turut dilengkapi khidmat urutan tradisional daripada ibunya, Rokiah Abdullah, 51, yang terletak di Sri Gombak, Batu Caves, Selangor. Konsep: Menampilkan konsep ringkas dengan penggunaan perabot yang minimalis menjadi ruang yang terhad kelihatan tidak terlalu sesak. Menurut Anis, ruang yang lebih selesa akan diubah suai sedikit masa lagi bagi menampung kelengkapan yang lebih banyak. "Kami akan mengembangkan lagi operasi spa ini dengan mengambil pelatih daripada kolej-kolej komuniti," ujar Anis ketika ditemui baru-baru ini. Menawarkan: Spa Mum's Heaven Beauty & Health memberi pilihan rawatan kecantikan asas sehinggalah dandanan dan solekan. Antara pakej yang ditawarkan adalah sauna, skrap badan, rawatan resdung wajah, spa kaki, rias kuku, mandian susu, mandian garam dan mandian bunga. Keistimewaan: Berbeza dengan spa kecantikan yang lain, Mum's Heaven Beauty & Health menawarkan urutan tradisional daripada pakar terlatih. Antara jenis rawatan yang ditawarkan adalah rawatan sendi, rawatan tulang patah, refleksologi, terapi keharmonian rumah tangga dan sport injuruy. Menurut Rokiah, permintaan yang semakin ramai daripada pelanggan menyebabkan dia mengambil inisiatif menyediakan khidmat urutan dengan akses lokasi yang tetap dan mudah dikunjungi. "Pelanggan hanya perlu membuat tempahan awal dan berkunjung ke spa Mum's Heaven Beauty & Health berbanding sebelum ini terpaksa menunggu lebih lama untuk urutan," ujarnya. | |||||
| Posted: 20 Jan 2013 06:56 PM PST
SUDAH menjadi persepsi ramai bahawa sukan berkuda sering dikaitkan dengan status sosial seseorang kerana kuda sinonim sebagai lambang kemegahan. Bagaimanapun, hari ini persepsi seperti itu seharusnya dikikis memandangkan semakin banyak pusat sukan berkuda boleh disertai orang ramai pada harga berpatutan. Apatah lagi, sukan berkuda bukan sahaja menjadi satu rekreasi yang menyihatkan tubuh, bahkan mental seseorang. Disebabkan itu, Kelab Ekuestrian Asia (AEC) dan sebuah syarikat berpengkalan di United Kingdom, Oxcell Inspire mengasaskan program kepimpinan berkuda yang pertama di Asia. Program Kecemerlangan Kepemimpinan Berkuda Al-Muharib (KKBA) itu dicetuskan bagi memecahkan batasan keupayaan manusia menerusi penguasaan kawalan pergerakan kuda dan komunikasi antara penunggang dengan haiwan pantas itu. Presiden AEC Malaysia, Datuk Dr. Nek Abd. Rahman Saleh berkata, program tersebut menerapkan pelbagai nilai tambah bagi menyerlahkan sifat khalifah dalam diri pesertanya. "Apabila anda menunggang kuda, fikiran akan menjadi lebih fokus kerana minda akan dilatih untuk menumpukan perhatian terhadap cara menstabilkan diri agar tidak jatuh dan pada masa yang sama berupaya mengawal pergerakan kuda. "Kuda mengajar penunggangnya untuk tidak berputus asa dan teruskan mencuba sehingga berjaya. Ia diibaratkan semangat juang seorang pahlawan," katanya ketika ditemui di Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (Mardi), Serdang, Selangor baru-baru ini. Latihan tersebut berjaya melatih individu berkenaan untuk lebih bersemangat dengan tindakan dan keputusan yang perlu diambil pada masa akan datang. Pada masa sama, aktiviti menunggang kuda turut menerapkan nilai kerjasama berkumpulan, semangat juang ketika bekerja, kaedah berinteraksi yang berkesan dan pergaulan rapat dalam kalangan peserta program. "Kuda juga boleh membantu seseorang membina keyakinan diri menerusi kejayaan mereka mengawal pergerakan kuda yang sukar pada awalnya. Kombinasi pergerakan badan, rentak tunggangan kuda dan suhu sekeliling pula membantu keupayaan tubuh memulihkan sistem saraf dalam badan si penunggangnya," katanya. Pendiam jadi periang Individu yang pendiam dan sukar menyesuaikan diri dengan individu lain boleh mencuba rawatan terapi terkini menggunakan kuda. Mereka akan diajar cara untuk berkomunikasi dengan kuda bagi mendapatkan keserasian antara penunggang dengan seekor kuda. Lama-kelamaan, peserta yang mengalami masalah pendiam atau lebih dikenali sebagai introvert ini berubah menjadi seorang yang mudah bergaul dengan orang lain. Menurut Pensyarah Sosiologi dan Antropologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Dr. Fatimah Daud, seorang yang introvert suka memendam perasaan dan bersikap mendiamkan diri. "Masyarakat boleh mengajak individu yang pendiam untuk bergaul seperti berborak dan menjalankan aktiviti bersama-sama. Perkara tersebut dapat membantu mereka berubah sedikit demi sedikit," katanya ketika dihubungi baru-baru ini. Kepimpinan berkuda Di Eropah, program kepimpinan berkuda diwujudkan untuk menunjukkan betapa kelakuan seseorang mempengaruhi tindak balas sebenar haiwan atau individu lain dalam dunia nyata. Latihan tersebut membolehkan pesertanya mengamalkan tingkah laku yang lebih konstruktif, seterusnya membantu mereka membina hubungan yang lebih akrab dengan orang lain serta menggalakkan peningkatan prestasi di tempat kerja. Berbeza dengan manusia, seekor kuda tidak memiliki niat tersembunyi di sebalik setiap perlakuannya. Kuda akan bertindak balas terhadap apa yang dilihatnya. Ia menggunakan emosi dan pergerakan fizikal bagi menunjukkan perasaannya kepada situasi yang dialaminya pada ketika itu. Jurulatih kepimpinan berkuda di Eropah mempercayai sikap seseorang terhadap kuda mencerminkan sikap mereka bergaul dengan makhluk lain. Lazimnya, latihan bersama kuda dapat membantu seseorang meningkatkan keupayaan berkomunikasi secara berintegriti, jelas dan mudah mendapat perhatian. Sikap kepekaan kuda mengajar penunggangnya cara untuk menjadi ketua yang mampu berkomunikasi dengan efektif dan membentuk kerjasama antara anggota bagi mencapai kecemerlangan pentadbiran sesebuah organisasi. Dalam pada itu, KKBA yang mula bertapak di Malaysia pula menggunakan khidmat jurulatih bertaraf antarabangsa bagi memastikan peserta program tersebut menerima pendedahan terbaik tentang prinsip yang hendak diterapkan. "Al-Muharib mempunyai seorang ketua jurulatih yang berpengalaman melatih kuda dalam sukan Olimpik manakala lima orang lagi merupakan jurulatih tempatan yang memiliki sijil pengiktirafan antarabangsa," katanya. Badan korporat atau organisasi yang berminat boleh menghubungi AEC di talian 03-4142 7958 untuk sebarang maklumat lanjut. | |||||
| Posted: 20 Jan 2013 04:26 AM PST Zain Saidin - Rozita Zain berkata, jika ada rezeki dan jodoh, dia dan Rozita atau lebih dikenali sebagai Che Ta akan melangsungkan perkahwinan hujung tahun ini. "Saya sudah berbincang dengan Che Ta berkaitan perkara ini dan dia menyerahkan segalanya kepada saya. "Jadi saya perlu membuat persiapan dengan menyimpan wang yang cukup untuk majlis perbelanjaan perkahwinan kerana saya adalah lelaki. "Bagaimanapun, semuanya terletak kepada rezeki, jika ada rezeki, kami akan berkahwin mengikut perancangan," katanya kepada Sinar Harian Online, kelmarin. Jejaka kacukan Melayu-Inggeris ini berkata, dia berharap pengakuannya ini akan menutup segala cerita negatif berkaitan Che Ta, termasuk mempunyai hubungan dengan lelaki lain. "Saya dan Che Ta memang serius. Jadi saya harap, tidak ada lagi cerita mengarut mengaitkan dia dengan lelaki itu dan ini, kerana dia dan saya memang serius sekarang," katanya. Bukan cerita murahan Zain yang terkenal dengan watak Cikgu Henry Middleton dalam program Oh My English menafikan segala pengakuan yang dibuatnya ini adalah untuk mencari publisiti murahan. Malah, dia turut menegaskan segala yang dimaklumkan ini adalah perkara serius. "Buat apa saya nak main-main. Kalau saya sudah maklumkan kepada wartawan, maknanya itulah yang saya mahu dan saya serius dengan perkara yang saya cakapkan. "Untuk apa saya mahu mainkan perasaan peminat atau sesiapa sahaja. Lagipun jika saya senyap, orang akan berkata juga. Jadi baik saya berterus terang. Sama ada orang lain boleh terima atau tidak, itu terpulang," katanya. Menyentuh mengenai perhubungannya dengan dua anak bujang Che Ta, Zain berkata, sejak awal lagi, dia dan anak-anak Che Ta tidak mempunyai sebarang masalah. "Saya dan anak keduanya berkongsi minat yang sama dalam permainan bola sepak. Malah, dari awal lagi, tidak sukar mendekati kedua-dua anaknya kerana mereka peramah seperti ibu mereka," jelas jejaka berusia 29 tahun ini. Tidak bimbang populariti jatuh Ditanya tidak bimbangkah andai popularitinya akan jatuh selepas berkahwin, Zain berpendapat, tiada guna jika dia dilimpahi populariti namun tidak mempunyai kehidupan yang sempurna. "Inilah kehidupan dan perkahwinan itu salah satu matlamat hidup. Jadi, kalau saya terpaksa hilang populariti untuk kahwin, tak apalah. Bagi saya perkahwinan ini jauh lebih penting daripada populariti," jelasnya. Zain berkata, biarpun populariti itu penting buat seorang selebriti, namun dia percaya, rezeki itu datangnya dari ALLAH SWT. "Populariti penting untuk kerjaya saya sebagai seorang pelakon tetapi saya tak boleh mengaturkan kehidupan saya mengikut populariti. "Saya percaya kalau berkahwin, Insya-ALLAH , ALLAH SWT akan buka lebih banyak pintu rezeki. Kalau bukan dari segi lakonan, mungkin dari segi lain," katanya mengakhiri perbualan. Sementara itu, Rozita yang dihubungi melalui sistem pesanan ringkas (SMS), enggan beri sebarang komen berkaitan hal itu. | |||||
| Posted: 20 Jan 2013 04:24 AM PST Kewujudan makhluk halus di Kampus UiTM Lendu hangat diperkatakan dalam laman blog, Twitter dan Facebook. Kelibat penari Mak Yong yang diperkatakan dalam sebuah laman blog. Isu itu menjadi bertambah hangat apabila ada pihak turut mendakwa berlakunya kejadian pukau dan kehilangan barangan pelajar. Malah, terdapat beberapa laman blog termasuk yang dipercayai dikendalikan pelajar institusi berkenaan turut memuatkan foto menunjukkan kelibat wanita seolah-olah penari Mak Yong di belakang salah seorang pelajar ketika mengambil gambar. Cerita berkenaan kini hangat diperbincangkan di laman Twitter menerusi beberapa 'hash tag' yang diwujudkan khas untuk isu berkenaan termasuk #HantuDiUiTMLendu dan #PrayForLendu. Yang pastinya, dakwaan mengenai makhluk halus berkenaan bukan saja mencetuskan ketakutan lebih 9,000 pelajar di kampus berkenaan, tetapi turut mengakibatkan perdebatan antara mereka yang percaya dan tidak dengan cerita mistik berkenaan. Akui pernah berlaku histeria Walaupun cerita mengenai wujud hantu di UiTM Lendu sedang hangat diperkatakan, namun bagi pelajar universiti berkenaan, kebanyakan pelajar tidak mengambil kisah mengenai perkara itu. Walaupun mereka akui pernah berlaku kejadian histeria di kampus berkenaan dan adakalanya mereka risau dan takut, namun setakat ini belum ke tahap membimbangkan seperti mana dilaporkan dalam laman siber. Seorang pelajar yang hanya dikenali sebagai Nurul Amalina, 20, berkata, walaupun terdapat dalam laman blog, Twitter dan Facebook mengenai kewujudan hantu di UiTM Lendu, namun ia masih boleh dipertikaikan. "Saya sendiri tidak pasti akan kesahihannya. Bagaimanapun, memang ada pelajar yang balik ke rumah mereka kerana takut," katanya ketika ditemui Sinar Harian di kampus berkenaan, semalam. Menurut pelajar Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media itu, gangguan histeria berlaku di kalangan pelajar sebelum ini mungkin disebabkan teka-nan dihadapi atau lemah dari segi kerohanian. Bagaimanapun, seorang pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai Ika, 20, berkata, kejadian histeria tidak mustahil boleh berlaku di mana-mana saja. Sebagai pelajar, katanya, aspek ibadah dan rohaniah perlu mantap bagi memastikan pelajar tidak lemah semangat berhadapan pelbagai bebanan tugas sebagai seorang pelajar. "Memang benar perkara ini kecoh diperkatakan kini. Saya rasa rakan-rakan perlu berhati-hati," katanya. Belum ada bukti dipukau Selain kemunculan makhluk halus yang heboh diperkatakan ini, dakwaan berlakunya kejadian pukau dan kehilangan barangan pelajar turut menjadi antara topik perbualan hangat. Pihak pentadbiran universiti terbabit bagaimanapun menafikan dakwaan berkenaan kerana menurut mereka, setakat ini, belum ada bukti wujudnya kejadian seperti yang dilaporkan itu, sekaligus mendakwa kemungkinan ia dilakukan pelajar kampus itu sendiri. Walaupun demikian, sebagai langkah berjaga-jaga, pihak universiti dikatakan telah memasang kamera litar tertutup (CCTV) di setiap blok asrama pelajar sebagai langkah berjaga-jaga. Mana-mana pelajar yang didapati terlibat dengan sebarang kes kecurian boleh didakwa di bawah Akta 174 Tatatertib atau sekiranya serius, akan dirujuk kepada polis untuk tindakan. UiTM sifatkan kejadian sebagai kes terpencil Sementara itu, pihak pengurusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, di sini mengakui wujud kejadian pelajarnya yang tinggal di kampus berkenaan diganggu histeria. Bagaimanapun, mereka mendakwa, keadaan kampus berada dalam keadaan baik dan terkawal dan turut berharap semua pihak mengelak dari membuat komen peribadi, terutama di alam siber kerana dibimbangi akan mencetuskan rasa kurang senang terutama di kalangan ibu bapa. Koordinator Unit Komunikasi Korporat UiTM Melaka, Muhammad Anwar Fahmi Abdullah berkata, kejadian histeria , penemuan makhluk halus dan laporan kehilangan barangan pelajar di asrama adalah kes terpencil dan peristiwa berlaku secara berkala. Bagaimanapun, katanya, setakat ini tiada kes kronik sehingga menyebabkan pelajaran mahasiswa terganggu atau terpaksa berhenti pengajian berikutan masalah itu. "Pengurusan UiTM menerusi Pusat Islam, Pegawai Pembangunan Pelajar Kolej, pihak masjid, polis bantuan dan seluruh warga kampus berhadapan dengan isu ini buat jangka masa lama. "Secara zahirnya, kebanyakan pelajar diganggu histeria adalah dari kalangan pelajar wanita dan memulakan pengajian dari semester satu hingga tiga," katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam. Justeru, beliau menasihatkan hampir 9,000 pelajar di kampus berkenaan, selain kira-kira 5,000 pelajar yang ditempatkan di kampus cawangan bandar Melaka menumpukan kepada pelajaran dan tidak terpengaruh dengan cerita menakutkan. Sementara itu, mengenai dakwaan pelajar berhubung kejadian pukau dan duit pelajar yang hilang, Muhammad Anwar Fahmi berkata, ia dipercayai disebarkan pelajar yang menyalah gunakan wang diberikan ibu bapa untuk perkara tidak bermanfaat. "Laporan kejadian pukau, kononnya pelajar hilang wang masih belum ada kejadian serius berlaku," katanya. Beliau turut berharap ibu bapa tidak perlu bimbang dengan khabar yang dilaporkan dalam laman blog, Facebook dan Twitter mengenai kejadian itu yang turut mendapat perhatian Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam selain pihak tertinggi universiti berkenaan. | |||||
| Posted: 20 Jan 2013 04:21 AM PST
"SAYA sangat seronok walaupun penat. Saya senang dengan setiap sesi terutama bila diminta beraksi secara santai-santai. Ya, ini (Rabu) hari yang paling memenatkan buat saya, hari fotografi paling banyak dalam sejarah yang pernah saya lakukan selama ini," desis pelantun Lelaki Ini itu saat mengizinkan dirinya didasari seadanya. Anuar Zain lelaki yang mewah dengan senyuman. Seharian beralih dari studio ke studio demi publisiti, dia tegar. Sepetang di Studio Utusan memenuhi sesi fotografi untuk empat penerbitan berbeza, kami selesai sekitar lewat senja. Bersambung pula untuk sesi santai bersama peminat secara maya pada sebelah malam, semuanya mahu Anuar lakukan menjelang hari bahagia yang bakal berkunjung. Detiknya akan tiba selang tak sampai pun satu purnama lagi. "Saya ialah penghibur para selebriti dan selebriti yang sentiasa terpahat di hati saya ialah peminat yang mahu menikmati momen bahagia bersama-sama nanti," katanya bersantun. Dalam dada Anuar Zain ada berbilang rasa, separuh teruja, separuh lagi berdebar. Ada tersisip juga perasaan terharu mengenangkan akan tibanya sebuah masa dan segunung rezeki yang tidak disangka-sangka akan turun buatnya dalam waktu terdekat ini. "Apa yang perlu saya lakukan nanti ialah membuat persembahan, ia bukan setakat nyanyian semata-mata. Ia menjanjikan keseronokan buat semua peminat dan sesiapa sahaja yang akan hadir. Saya juga tidak cuba untuk membuatkan orang berasa kagum tetapi ada sedikit kejutan khususnya kepada peminat yang telah mengikuti kembara saya selama ini," susunnya membuat pengisahan konsert sulung berskala mega, Konsert Anuar Zain 3 Dekad Muzik, Cinta & Sanubari. Akan berlangsung pada 16 Februari nanti di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hakikatnya konsert itu sendiri diakui penyanyi lagu Sedetik Lebih itu sebagai sejarah terindah yang bakal hadir dan akan kekal menjadi epik kembara seni serta kecintaannya terhadap muzik. "Ini kerja paling besar yang pernah saya lakukan. Konsert sulung saya ini akan menjadi sejarah buat saya dan sejarah buat peminat," katanya menyifatkan tajuk konsert itu sendiri membawa makna besar kepada dirinya. Dari segi persiapan muzik sehinggalah rekaan cenderahati sebagai kenang-kenangan untuk dibawa pulang, segala fokusnya kini tertumpu kepada acara yang memberi amanah kepada Jennifer Thompson sebagai pengarah konsert itu. Selain Jennifer, nama-nama seperti Mac Chew akan bertindak sebagai pengarah muzik dan Ambri Gina (pengarah artistik) begitu juga dengan Jenny Chin, Aji (gitar) Wan Gigi (gitar), Steve Thornton (perkusi) dan John Thomas (drum) sudah masuk barisan antara tentera muzik Anuar menjelang konsert nanti. "Alhamdulillah, semua yang bekerjasama dengan saya ialah kawan-kawan yang selalu bersama dengan saya selama ini. Saya bersyukur sebab dapat memanggil nama-nama terbaik dalam industri muzik termasuklah penyanyi latar yang akan mengiringi saya nanti," katanya membuat susunan semula kepada hampir semua lagu yang dipersembahkan nanti. Tambah Anuar, lagu-lagu yang sudah berbelas tahun mesra di telinga pendengar seperti Bila Resah akan diberi jiwa baharu secara total tetapi untuk lagu-lagu yang masih belum mesra sepenuhnya di kalangan peminat, susunan muziknya masih dikekalkan. "Tolak tepi segala kepenatan dan adrenalin saya ketika ini ialah untuk bekerja tapi dalam masa yang sama, tahap kesihatan amat penting," ujarnya masih tidak menganggap konsert besar itu sebagai momentum tertinggi sebagai kemuncak karier buatnya. Kata Anuar: "Saya harap ia bukan kemuncak, selepas ini akan ada lagi album dan album yang seterusnya. Harus ada ada penambahbaikan. Saya kena terus membuat rujukan dan mendengar kemahuan peminat. Penambahbaikan itu pula bukan sahaja dari segi muzik dan nyanyian bahkan dari segi penampilan, harus ikut trend."
Bukan artis eksklusif Mengakui bukan kategori artis yang menerima semua kerja sembarangan, Anuar sedar dia hanya melakukan sesuatu perkara yang selesa dengan dirinya. Faktor itu juga diandaikan banyak pihak sebagai rahsia kemasyhuran namanya yang masih berkekalan. "Kadang-kadang ada program-program yang tidak bagus untuk kemudian hari nanti. Saya tahu pasti ada pihak yang berkecil hati dengan saya tetapi saya percaya satu perkara bahawa keterbukaan melampau boleh membunuh karier," katanya optimis. Anuar yang tidak terpengaruh dengan laman sosial seperti Twitter mendakwa dia lebih gemar berkongsi apa sahaja di laman Instagram. Dia cuma memiliki akaun rasmi Facebook iaitu www.facebook.com/anuarzainnetwork. Itulah satu-satunya platform yang membuka ruang temu Anuar bersama peminat di laman sosial. Dia seorang yang kemas menyimpan rutin peribadinya daripada pengetahuan ramai. "Dari segi realitinya, saya masih keluar dengan kawan-kawan cuma saya tidak berkongsi barang-barang peribadi milik saya dengan peminat. Saya akui juga, laman sosial seperti Twitter sangat bagus, untuk kita belajar dan meningkat pengetahuan, tetapi dalam masa yang sama ia boleh jadi kejam," ulas Anuar yang masih boleh ketawa saat ditunjukkan gambar belakang tabir bersamanya yang telah dimuat naik ke dalam Instagram. Kahwin karier Masih membujang saat usianya menginjak angka 43 tahun pada tanggal 15 Februari nanti, itu isu wajib yang harus dijawab oleh adik Ziana Zain itu. Seperti tahu soalan tidak akan terlepas daripada jawapannya, jawapan Anuar masih seperti yang diketahui umum. "Terima kasih atas perhatian yang diberikan. Saya pegang kepada kata-kata, jodoh biarlah ditemukan jangan dicari. Selama ini saya sudah pun berkahwin dengan karier selama 30 tahun yang bahagia dan kecewa. Dahulu saya pernah rasa kecewa dan tak mahu lagi menyanyi, sekitar 16-17 tahun ketika suara saya mulai pecah. Selama 10 tahun saya berhenti menyanyi. Saya bermula semula daripada kosong pada 1995 apabila kembali menandatangani kontrak dan melancarkan album pada tahun 1998," ceria Anuar bercerita tentang susur masa. Anuar Zain 3 Dekad Muzik, Cinta & Sanubari, kisah itu menjadi dambaan Anuar untuk diberi dan dikongsikan dari puncak kedalaman hatinya untuk peminat. Gema itu harus datang daripada dirinya untuk dirasai seluruh stadium. "Apabila kita memberi dengan keikhlasan, kita akan menerima semula," katanya mengusung kekuatan yang dikutip daripada peminat untuk merealisasikan rasa cintanya terhadap muzik selama tiga dasawarsa ini. | |||||
| Diana Amir Bimbang Malu Jika Tiada Jodoh Dengan Tunang Posted: 20 Jan 2013 04:20 AM PST Diana Amir berharap untuk mendirikan rumah tangga segera. Pemilik nama sebenar Nurdiyana Amir Hashim, 27, ini berkata, dia dan keluarga akan menanggung malu jika pertunangan dengan Mohd Habib Bullah A. Rahman, 20-an, tidak berakhir ke jinjang pelamin. "Saya tidak mahu kecoh-kecoh atau terlalu dedahkan mengenai tunang sebab kalau tidak jadi nanti buat malu sahaja. "Biarlah ia berjalan seperti biasa. Kalau memang ada jodoh, insya-Allah kami akan berkahwin," katanya ketika ditemui, baru-baru ini. Diana dan petugas di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, Kedah itu berkenalan menerusi seorang teman kira-kira setahun lalu. Mereka melangsungkan pertunangan di kediaman aktres itu dekat sini, pada September tahun lalu. Diana berkata, dia juga berharap majlis pernikahan itu akan berlangsung dengan secepat mungkin jika ada jodoh antara mereka. "Belum ada tarikh tertentu (pernikahan) tapi lebih awal lebih bagus. Saya hanya mendoakan yang terbaik untuk ikatan kami," katanya. Mengenai perkembangan semasa, Diana berkata, dia sedang giat menyiapkan buku motivasi dan biografi, selain sibuk dengan komitmen lakonan. "Saya masih berlakon seperti biasa. Selagi watak yang diberikan tidak memalukan keluarga saya akan terus berlakon. "Saya juga mahu berkongsi pengalaman hidup dalam buku motivasi dan biografi yang saya tulis sejak empat bulan lalu," katanya yang turut teruja untuk menghasilkan skrip berunsur Islamik kelak. | |||||
| Izreen Azminda Mudah Melenting Gara-Gara Hamil Posted: 20 Jan 2013 04:19 AM PST Izreen kini hamil hampir empat bulan. Pemilik nama penuh Izreen Azminda Aznam, 28, ini berkata, bagaimanapun sikap buruk itu berjaya dikawal dan beransur hilang selepas tiga bulan hamil. "Saya tidak tahu kenapa selalu naik hantu ketika awal kehamilan dulu? Ada sahaja yang tidak kena di mata dan saya cepat marah. "Mungkin faktor hormon tidak stabil tetapi alhamdulillah sikap buruk itu semakin hilang kerana saya dapat kawal (kemarahan) kebelakangan ini," katanya kepada mStar Online. Izreen kini hamil anak pertama hasil perkahwinannya dengan jurukamera Muhd Riza Baharudin, 30, pada 30 Ogos tahun lalu. Ditanya mengenai pengalaman hamil buat kali pertama, Izreen berkata, dia bersyukur kerana tidak mengalami alahan atau mengidam yang teruk. Izreen akan mula berehat panjang bagi memberikan tumpuan pada kandungannya bermula awal Mac depan."Saya masih aktif bekerja di dua set penggambaran sekarang iaitu drama Sehangat Asmara dan Tanggang Ayu," katanya. Tambah Izreen, dia terpaksa bekerja keras ketika ini selagi terdaya sebelum berehat panjang bermula awal Mac depan. "Sementara masih larat biar saya kerja untuk kumpul duit. Nanti bermula awal Mac saya akan berehat terus sehingga tarikh bersalin yang dijangka pada Julai depan. "Namun, saya selalu berhati-hati dan tidak lasak sangat di lokasi. Saya mesti habiskan penggambaran sebelum pukul 12 tengah malam sebab badan mudah letih akhir-akhir ini," katanya. Izreen berkata, dia juga terpaksa menolak banyak tawaran lakonan ekoran perubahan ketara pada fizikalnya kerana memiliki kandungan bersaiz besar. Terbaharu, drama lakonannya Sehangat Asmara akan mula ditayangkan pada 21 Januari ini, setiap Isnin hingga Rabu pukul 10 malam di Astro Mustika HD (saluran 134). | |||||
| Posted: 20 Jan 2013 04:18 AM PST ![]() RITA RUDAINI bersama dua orang anaknya lelakinya, Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna, 2. RITA RUDAINI sudah lali biarpun setiap kali muncul di hadapan media, pasti gelora rumah tangganya menjadi bahan bicara. Ibu anak dua itu juga langsung tidak terjejas emosinya saat bercerita tentang drama terbaharu lakonannya, Sehangat Asmara bersama Adi Putra. Dia yang masih dibelenggu isu perebutan hak jagaan anak bersama suami, Aidil Zafuan Abdul Radzak. "November lalu saya sudah berjaya membatalkan perintah kembali taat atau nusyuz yang difailkan oleh Aidil (suami). Sekarang ini, saya ada satu lagi saman ke atas Aidil berkenaan bayaran nafkah bulanan diri saya dan anak-anak. "Tapi, lepas dia gagal dengan tuntutan kembali taat di Petaling Jaya, Aidil ada failkan semula kes baharu di Mahkamah Rendah Syariah Seremban. Kali ini dia kemukakan permohonan cerai dan penjagaan anak. "Bagi saya, fail sahajalah kes itu seluruh negara sekali pun, saya akan ikut rentak dia dan pertahankan hak saya. Sebagai ibu, saya akan pertahankan anak-anak saya dan sebagai isteri saya akan pertahankan hak saya. Sebelum ini dia tarik balik permohonan cerai, sekarang dia ingin bercerai pula. Kalau mahu bercerai, saya akan persoalkan apa salah saya. Saya berani sebab saya tahu bahawa saya tidak buat salah," tegas Rita tanpa banyak emosi yang tumpah usai sidang drama Cinta Terhalang di Publika, Mont Kiara, Selalu. Rita memfailkan tuntutan nafkah daripada Aidil pada 8 November lalu dan kes itu akan disebut semula pada 23 Januari ini (Rabu). Pada November lalu juga, Rita berjaya dalam permohonannya untuk membatalkan perintah kembali taat yang difailkan oleh Aidil Zafuan di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya. Krisis rumah tangga Rita dengan pemain bola sepak kebangsaan itu bermula apabila lelaki berusia 26 tahun itu bertindak keluar dari rumah mereka di Damansara, Kuala Lumpur ketika aktres itu pulang ke kampung halamannya di Arau, Perlis bersama anak-anak. Rita dan Aidil bernikah di Songkhla, Thailand pada 28 Februari 2008 tanpa pengetahuan keluarga pihak lelaki sehingga menyebabkan perkahwinan tersebut timbul pelbagai masalah. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang putera iaitu Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna, 2. Berbalik kepada statusnya kini yang secara rasminya masih bergelar isteri kepada Aidil, Rita tidak pernah menghukum semua lelaki sebagai sama. "Bukan semua lelaki tidak baik. Pasti ada di luar sana yang bertanggungjawab dan menyayangi isteri masing-masing sepenuh hati. Jika pada masa akan datang ditakdirkan bertemu lelaki lain, orang itu mesti lebih menyayangi anak-anak berbanding diri saya," katanya sambil menyuarakan rasa kagum terhadap karakter Zainal Arief (Adi Putra) menerusi drama Sehangat Asmara yang akan memulakan siaran di saluran Mustika HD bermula esok. "Walaupun mendapat tentangan keluarga, Zainal sangat cintakan isterinya Kamelia. Dia sanggup tunggu sehingga lapan tahun untuk memenangi semula hati Kamelia. Saya juga mahukan lelaki seperti Zainal Arief," katanya. Menjadi Kamelia Najwa, Rita melakonkan watak wanita yang berdepan krisis rumah tangga dan berlawan kes perebutan anak dengan suaminya, Zainal. Seolah-olah melakonkan realiti sendiri di kaca televisyen, Rita diasak tentang keterbukaannya itu. "Saya wanita dan ibu yang mengalami situasi yang dialami Kamelia, sudah tentu ia memudahkan saya untuk menghayati karakter. Bagaimanapun, saya mulanya sedikit kekok dengan Adi. Saya risau takut-takut dilabel gatal pula bila pegang-pegang Adi, manalah tahu," katanya ketawa tanpa menafikan kaitan karakter Kamelia dengan dirinya. Tambah Rita: "Dalam drama itu, kami cuma bahagia masa bercinta sahaja, masuk episod kahwin, saya terus kena menangis di lokasi." Dalam perkembangan terbaharu, Rita kini kembali berkongsi lokasi dengan pelakon Lisdawati setelah mereka bergaduh di satu lokasi penggambaran, tujuh tahun lalu. Timbul sedikit isu, apabila Rita dibidas oleh Fauzi Nawawi (suami Lisdawati) sebagai bersifat tidak matang kerana membuat permintaan agar lelaki itu tidak berada di lokasi jika ada penggambaran membabitkan Rita. Dalam drama Kerana Sarah itu, Rita melakonkan watak heroin manakala Lisdawati watak pembantu. "Pernah ada satu babak, saya dan Lisda kena berlaga bahu. Kami tetap buat sebab Lisda dan saya sudah tiada apa-apa masalah. Masing-masing buat hal sendiri di lokasi. Tentang Fauzi, saya memang tak mahu dia ada di lokasi ketika saya ada," tutup Rita enggan membuka kisah lama. |
| You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |

































0 ulasan:
Catat Ulasan