Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Tidak Perlu Kontroversi Untuk Popular - Zara Zya
- Penerbit Mohon KBS Sokong 'Projek Kahwin'
- 'Jangan Pernah' Taruhan Kedua VelvetBand
- Tiada hubungan dengan sesiapa – Hans
- Dua cabaran hebat finalis Ikon Siarawan
- Pertandingan fesyen gaun pengantin kertas tandas
- Tulang belakang filem aksi
- Dulu nelayan kini bilionair
- Sauna misteri Tok Bok
- Pasangan jutawan Melayu baharu
- Hot FM Mohon Maaf Isu 'Hamil' Panggilan Hangit
- Erin Malek Sahkan Bakal Bertunang 21 Jun Ini
- Farhan Kahwin Hujung Tahun Ini
- Tuduhan Berlakon Kerana Terpaksa Cari Duit Nafkah Mengarut - Aidil Zafuan
Tidak Perlu Kontroversi Untuk Popular - Zara Zya Posted: 13 Jun 2014 08:38 PM PDT | |
Penerbit Mohon KBS Sokong 'Projek Kahwin' Posted: 13 Jun 2014 08:37 PM PDT | |
'Jangan Pernah' Taruhan Kedua VelvetBand Posted: 13 Jun 2014 08:36 PM PDT | |
Tiada hubungan dengan sesiapa – Hans Posted: 13 Jun 2014 08:34 PM PDT GOSIP hubungan cinta pelakon jelita, Neelofa atau lebih mesra disapa Lofa dengan penerbit, Hans Isaac sudah bertebaran sejak dua tahun lalu. Namun begitu, tiada pengesahan lanjut mengenai hubungan yang terjalin daripada mulut kedua-duanya. Baik Hans, 43, mahupun Neelofa, 25, masing-masing lebih senang mengunci mulut dan membiarkan orang ramai menilai sendiri hubungan mesra mereka. Bagaimanapun, melalui artikel sebuah akhbar semalam, Neelofa tampil memberi kenyataan bahawa hubungan cintanya dengan penerbit teater Supermokh itu sudah berakhir sejak awal Februari lalu. Malah, pengacara program MeleTOP itu juga mengakui memberikan kenyataan kerana tidak mahu terus dibayangi dengan nama Hans. Kosmo! terus menghubungi Hans untuk mendapatkan maklum balas mengenai kenyataan Neelofa itu. Bagaimanapun, Hans yang sedang bercuti di sebuah pulau itu lebih senang menjawab mengenai hal itu menerusi kiriman Whats App. Kosmo!: Neelofa ada memberikan kenyataan akhbar bahawa hubungan Hans dengan dia sudah putus sejak Februari lalu. Benarkah begitu? HANS: Well, better Lofa yang comment my dear. I have nothing much to say (Saya rasa lebih baik Lofa yang komen. Tiada apa yang perlu saya katakan). Apabila saya menghubungi Lofa, dia beritahu terpaksa jelaskan mengenai hal ini (putus cinta) kerana tidak mahu dikaitkan dengan anda lagi. Apa yang menjadi persoalan mengapa Lofa membuat kenyataan tersebut sedangkan sebelum ini dia sendiri tidak pernah mengaku bercinta dengan anda? Betul begitu. And I have never said (Dan saya tidak pernah cakap) saya ada hubungan dengan siapa-siapa. Jadi, tidak ada apa hendak dicakapkan. Saya tidak ada di Kuala Lumpur sekarang, tengah menyelam di pulau (tempat dirahsiakan). Jika tiada hubungan mengapa Lofa perlu beri kenyataan seperti itu (putus cinta)? Saya rasa apa yang Lofa bagi itu sudah cukup. | |
Dua cabaran hebat finalis Ikon Siarawan Posted: 13 Jun 2014 08:33 PM PDT SERAMAI enam peserta program realiti TV terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Ikon Siarawan bakal menempuh dua cabaran berkonsepkan program hiburan pada malam kemuncak program tersebut, Sabtu ini di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur. Enam peserta yang berjaya ke peringkat akhir terdiri daripada Mohd. Ismail Adnan, 24, Nurul Hidayah Md. Nawai, 26, Nurul Nurdalilah Abdul Kadir, 28, Zaira Sri Zakaria, 27, Mohd. Faris Izzat Shaharudin, 24, dan Sim Sui Yee, 25. Tidak menyangka ke peringkat akhir, Mohd. Faris atau dilabelkan sebagai IS Faris mengakui dia gemuruh dan dalam masa yang sama teruja menanti malam kemuncak Ikon Siarawan. Memilih Tasha Manshahar untuk cabaran di malam kemuncak Ikon Siarawan, Faris memberitahu, pemilihan bintang YouTube itu dibuat berdasarkan kesesuaian tajuk yang bakal dibentangkan pada malam tersebut. "Sejujurnya, saya tidak menyangka berjaya ke final Ikon Siarawan. Sebabnya, saya pernah berada di kedudukan tiga paling bawah ketika di episod pertama program ini. Alhamdulillah, berkat sokongan daripada kawan-kawan ia menaikkan semangat saya untuk buat yang terbaik dalam Ikon Siarawan. "Saya sudah berbincang dengan tenaga pengajar dan penerbit mengenai pemilihan artis untuk cabaran malam kemuncak nanti. Tasha Manshahar dipilih kerana ia bersesuaian dengan tajuk saya," jelasnya ketika ditemui pada majlis sidang akhbar malam kemuncak Ikon Siarawan di Angkasapuri, Kuala Lumpur baru-baru ini. Satu-satunya peserta Cina yang berjaya ke peringkat akhir, Sim Sui Yee atau IS Sim pula mengakui sudah bersedia menyahut cabaran akhir Ikon Siarawan dan membuktikan kehebatannya bertutur dalam bahasa Melayu. "Walaupun saya merupakan satu-satu peserta Cina yang berada di peringkat akhir namun, itu tidak bermakna saya mudah ditewaskan. Pengalaman sebagai seorang pemidato bahasa Melayu ketika belajar dulu akan saya praktikkan ke dalam pertandingan realiti ini," luah peserta berasal dari Batu Pahat, Johor itu. Tiga peserta wanita yang berjaya melangkah kaki ke peringkat akhir iaitu Nurul Hidayah, Zaira dan Nurul Nurdalilah pula mengakui sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk melangkah ke peringkat akhir Ikon Siarawan. Tidak mahu mendedahkan artis yang dipilih untuk cabaran akhir nanti, Nurul Hidayah memberitahu tidak sabar menyudahkan cabaran akhir dan menempuh alam realiti dunia penyiaran dan kewartawanan. Memiliki vokal paling unik, bagi Nurul Nurdalilah pula, segala ilmu yang diberi tenaga pengajar akan digunakan dalam cabaran akhir nanti. "Bagi saya segala tunjuk ajar yang diberi tenaga pengajar sudah memadai untuk saya gunakan dalam cabaran akhir nanti. Mereka (tenaga pengajar) lebih tahu kekuatan dan kelemahan yang dimiliki setiap peserta," ujar peserta berusia 28 tahun itu. Sementara itu, bagi seorang lagi peserta akhir iaitu Mohd. Ismail, dia pula tidak sabar membuktikan bakat terpendam yang dimiliki di cabaran akhir Ikon Siarawan. "Malam kemuncak Ikon Siarawan nanti saya akan menonjolkan sesuatu yang berlainan. Saya cuba untuk melakukan cabaran itu nanti secara spontan tanpa berpandukan skrip semata-mata," ulas pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu. Ikon Siarawan menawarkan hadiah bernilai RM100,000 untuk juara, naib juara RM50,000, tempat ketiga sebanyak RM30,000 manakala tempat keempat dan kelima pula masing-masing bakal memperoleh wang tunai RM5,000. Sepanjang menyertai program realiti itu, peserta-peserta dapat mempelajari pelbagai aspek antaranya etika kewartawanan, teknik berhadapan dengan kamera, penyampaian berita, pengacaraan serta latihan dalam melaporkan berita dari lokasi secara langsung. Program realiti yang akan disiarkan secara langsung di TV2 pada pukul 9 malam itu nanti juga tidak menggunakan medium undian menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), sebaliknya peserta dinilai seratus peratus berdasarkan penjurian profesional. | |
Pertandingan fesyen gaun pengantin kertas tandas Posted: 13 Jun 2014 08:27 PM PDT NEW YORK - Seorang peserta, Susan Brennan dari Orchard Lake, Michigan memenangi pertandingan menghasilkan gaun pengantin dengan menggunakan kertas tandas kali ke-10 di Midtown, di sini kelmarin. Brennan memenangi hadiah wang sebanyak AS$10,000 (RM32,212) pada pertandingan yang diadakan di sebuah hotel. Para peserta diminta untuk menghasilkan gaun pengantin yang diperbuat daripada kertas tandas keluaran Charmin Ultra Strong. Sebanyak sepuluh orang peserta menyertai pertandingan itu. Tempat kedua dimenangi oleh Katrina Chalifoux dari Knoxville yang memperoleh sekeping cek bernilai AS$5,000 (RM16,106.50). Amber Hills dari Hurst, Texas berada di tangga ketiga dengan memperoleh sekeping cek bernilai AS$2,500 (RM8,053.25). | |
Posted: 13 Jun 2014 08:25 PM PDT SETIAP kali berada di lokasi penggambaran untuk melakukan aksi lagak ngeri, Ayez Shaukat Fonseka, 26, berada dalam keadaan bersedia sepenuhnya. Kekuatan mental dan fizikal dipastikan seiring bagi membolehkan beliau melakukan aksi berani tanpa sebarang masalah. Baginya, filem-filem aksi tempatan seperti Langgar, Castello, Juvana dan seumpamanya tentu tidak akan berjaya tanpa kehadiran pelagak ngeri seperti beliau yang menjadi tulang belakang untuk menghidupkan beberapa babak dalam filem tersebut. Pelagak ngeri merupakan individu yang melakonkan aksi berbahaya dan berisiko tinggi bagi melengkapkan keperluan babak tertentu dalam plot filem atau drama mengikut kehendak dan imaginasi pengarah. Terjun atau jatuh dari tempat tinggi, dilanggar kenderaan, tubuh dibakar atau melompat dari satu bangunan ke bangunan lain merupakan antara aksi berbahaya yang menjadi asam garam golongan tersebut. Menurut Ayez Shaukat yang merupakan Pengarah dan Koreografer Aksi Laksamana Stunt Team Sdn. Bhd. (LST), semua risiko itu perlu ditanggung sendiri tanpa perlindungan insurans peribadi. "Kebanyakan syarikat insurans tidak beri perlindungan insurans kepada pelagak ngeri kerana bekerja dalam keadaan berisiko tinggi. "Kerana minat yang mendalam terhadap bidang ini (aksi ngeri), saya mengatasi rasa takut ketika bekerja . "Kemalangan boleh dielak dengan melakukan latihan intensif selama beberapa hari bagi meminimumkan semua risiko yang mungkin wujud sebelum penggambaran sebenar," ujarnya. Mengimbau pengalaman pertama sebagai pelagak ngeri, Ayez Shaukat berkata, dia melakonkan watak hantu yang terbang dari sebuah pokok ke pokok lain menggunakan kabel yang diikat pada badan bagi memenuhi keperluan filem The Passenger arahan Khabir Bhatia pada tahun 2006. Kejayaannya menyempurnakan aksi tersebut telah menjadi pemangkin bagi anak muda tersebut untuk terus menceburi bidang itu dengan lebih serius. "Pada mulanya, saya menawarkan diri untuk mencuba selepas yakin dapat melakukan babak itu dengan selamat ekoran langkah-langkah keselamatan yang diambil. "Walaupun percubaan pertama gagal dan menyebabkan saya jatuh dan terseret di atas tanah sejauh beberapa meter, saya berasa seronok dan memperbaiki langkah. Aksi itu berjaya disempurnakan selepas diulang sekali lagi," katanya semasa ditemui di Studio LST yang terletak di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Selangor baru-baru ini. Ketika ditanya mengenai guru aksi beliau, Ayez Shaukat memberitahu, dia banyak mendapat tunjuk ajar daripada pelagak ngeri berpengalaman, Rubindran Nair sejak memulakan karier pada 2006. Turut menimba ilmu daripada beberapa pelagak ngeri berpengalaman yang lain, beliau semakin aktif melibatkan diri dalam produksi tempatan seperti filem Kongsi, Bini-Biniku Gangster, Taikun, Budak Pailang, KL Gangster 2, Kriptik, Lu Gua Bro, Apokalips X dan Sniper. Pengalaman kukuh yang diperoleh telah mendorong anak muda itu mengasaskan LST pada tahun lalu. Menurutnya, ia bertujuan menyediakan lebih ramai pelagak ngeri untuk memenuhi kehendak industri perfileman tempatan yang pesat berkembang. "Pada masa sama, kami di LST mengadakan kerjasama erat dengan Australian Stunt Academy dan Persekutuan Gusti Malaysia untuk mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran," kata beliau. Mengulas mengenai kepuasan sebenar yang ingin dicapai dalam bidang itu, Ayez Shaukat berkata, dia mengimpikan peluang beraksi bersama idolanya iaitu pelakon terkemuka Jackie Chan, Sammo Hung, Donnie Yen, Datuk Michelle Yeoh dan pelakon dari Thailand, Tony Jaa yang melakonkan lagak ngeri mereka sendiri. Ketika ditanya mengenai persepsi keluarga terhadap kerjayanya, Ayez Shaukat berkata, kedua-dua ibu bapa beliau iaitu Sofiah Shauket Md. Hashim, 65, dan Mohd. Farid Abdullah, 75, serta isterinya, Najiyah A. Rahim semakin menerima risiko harian yang beliau hadapi. Petua pendekar Dalam pada itu, Riki Rikando Idris, 25, pula berkata, penglibatannya dalam bidang tersebut bukan untuk menempah nama dalam industri perfileman. "Biasanya, pelagak ngeri tidak dikenali walaupun memainkan peranan penting untuk menghidupkan filem. "Pelagak ngeri sering mengambil alih peranan pelakon utama untuk melakonkan aksi berisiko dan membuatkan babak itu hebat di mata penonton," ujarnya. Riki Rikando menambah, pelagak ngeri kebiasaannya mencipta nama dalam kalangan penggiat industri perfileman, tetapi tidak popular di dunia luar. "Untuk mencipta nama dalam industri, pelagak ngeri wajar menjaga disiplin supaya orang lain senang bekerja dengan kita," katanya yang kini terlibat dalam pembikinan filem Juvana 2 bersama Ayez Shaukat. Berkongsi rahsia, dia memberitahu, amalan para pendekar Melayu sebelum keluar bertempur di medan medan peperangan sering menjadi ikutan dirinya sebelum bertugas. Katanya, amalan itu boleh membantu mempersiapkan diri sebelum terlibat dalam sebarang aksi lasak. Ia termasuk merasa lelangit dalam mulut dengan menggunakan hujung lidah sama ada berasa kebas atau geli bagi mengetahui tahap kesediaan tubuh. "Kalau lelangit terasa geli, ia bermaksud tubuh kita berada dalam keadaan normal dan bersedia menghadapi bahaya. "Tetapi kalau lelangit berasa kebas, adalah lebih baik tidak melakukan perkara berbahaya kerana ia menandakan kita mengalami tekanan sehingga boleh mengganggu daya tumpuan," jelas beliau. Aspek keselamatan Menurut Pengarah filem terkenal, Datuk Yusof Haslam, pelagak ngeri diperlukan untuk melengkapkan babak-babak yang tidak mampu dilakukan pelakon kerana ketiadaan kemahiran atau berisiko tinggi. "Bilangan pelagak ngeri yang diperlukan bagi sesuatu babak juga bergantung kepada kehendak plot. Ada kalanya kita hanya memerlukan seorang, malah ada juga sehingga 10 orang," katanya ketika dihubungi Kosmo! Yusof menambah, bagi filem KL Gangster 2 dan Abang Long Fadil contohnya, ramai pelagak ngeri digunakan terutama dalam babak pergaduhan. Ujar beliau, syarikat penerbitannya, Skop Production Sdn. Bhd. (Skop Production) juga sentiasa mengutamakan keselamatan para pelagak ngeri sebelum melakukan penggambaran. "Ini termasuk menimbang berat badan mereka terlebih dahulu supaya sesuai dengan kekuatan kabel yang akan digunakan bagi mengikat tubuh mereka. "Ini bertujuan untuk mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini daripada berlaku," katanya. Yusof juga menegaskan, semua individu yang terlibat dengan Skop Production termasuk krew dan pelagak ngeri diberi per lindungan insurans sepanjang menjalani penggambaran. | |
Posted: 13 Jun 2014 08:24 PM PDT TANPA sebarang kelulusan akademik selepas meninggalkan sekolah tinggi sebagai remaja disleksia, sejenis penyakit yang menyebabkan penghidapnya mengalami kesukaran membaca, menulis dan mengeja sejak kecil, Kjell Inge Roekke tidak pernah menjadikan ia sebagai alasan untuk hidup sebagai manusia biasa-biasa. Sebaliknya, Roekke mengambil keputusan menyeberangi Lautan Atlantik untuk berhijrah dari tempat kelahirannya di Molde, Norway ke Seattle, sebuah bandar pelabuhan di Washington, Amerika Syarikat (AS) untuk menjadi seorang nelayan. Pada usia 18 tahun, rutin hariannya dipenuhi dengan menangkap ikan dan ketam di Alaska. Hasil pendapatan yang dikumpulkan kemudian dilabur dengan membeli beberapa buah bot lama dan diubah suai menjadi kapal pukat tunda. Dari situlah Roekke membina kekayaannya dengan memiliki dan menguruskan American Seafoods Company. Pada awal tahun 1990-an, dia kembali ke Norway untuk menggegarkan dunia perniagaan di negara sendiri. Roekke dan rakan kongsinya menetapkan impian untuk berada dalam salah satu konglomerat terkemuka di Norway, Aker yang telah berusia 173 tahun penubuhannya ketika itu. Pada tahun 1996, mereka berjaya membeli 40 peratus saham dalam firma gergasi itu dan menggabungkan ia dengan syarikat milik mereka, Resources Group International yang kemudian dikenali sebagai Aker Solutions (Aker). Empat tahun kemudian, Roekke terus meluaskan empayarnya mengambil alih Kvaerner, sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan kejuruteraan dan pembinaan yang telah wujud sejak tahun 1853. Kini, pada usia 55 tahun, Roekke merupakan salah seorang daripada tujuh individu paling kaya di Norway dengan jumlah kekayaan melebihi NOK12.5 bilion (RM6.7 bilion). Terbaharu, Roekke melalui firmanya, Det Norske telah membayar NOK2.1 bilion (RM1.12 bilion) secara tunai kepada Marathon Oil Corporation untuk mengambil alih operasi di Norway sekali gus menjadikan ia syarikat pengeluar minyak kedua terbesar di negara itu di belakang Statoil. "Dia merupakan individu pertama yang membawa perniagaan kapitalisme agresif gaya AS ke Norway dan berani menggunakan kuasa pemegang saham untuk mendapatkan apa yang dimahukan," ujar Steinar Dyrnes, wartawan dari Aftenposten yang menulis biografi taikun minyak itu. Ketika Roekke mengambil alih Aker, ramai pihak bimbang dia akan bertindak seperti penceroboh korporat yang menggunakan syarikat untuk mendapatkan wang tunai. Tetapi, itu bukan apa yang dilakukan Roekke. "Dia telah menunjukkan bahawa dia berfikir untuk tempoh jangka panjang apabila melakukan sesuatu pelaburan dan membeli sesebuah firma," kata Erik Haugane, bekas Ketua Eksekutif di Det Norske yang juga rakan sekutu perniagaan Roekke. Menurut bekas Menteri Pertahanan Norway, Kristin Krohn Devold pula, Roekke dianggap sebagai seorang pembina. "Dia memperoleh kepuasan daripada pembinaan sesuatu perkara. Dia gemar membina syarikat, membina industri dan mencari produk-produk baharu untuk diketengahkan," jelas Devold yang merupakan salah seorang anggota lembaga pengarah Aker. Kapal pukat Dalam sebuah negara demokrasi sosial yang bermazhab Kristian Protestan, Roekke mencipta gelombang dengan teman-teman wanita glamornya, jet peribadi dan rumah-rumah mewah. Malah, terdapat juga lagu pop ditulis mengenai kejayaan perniagaannya dan gaya hidup berparti. Namun, apa yang pasti keghairahan Roekke terhadap bot yang terdiri daripada pelbagai bentuk dan saiz masih kekal membara dalam jiwanya, tetapi kebanyakan pilihannya bersaiz besar. Roekke telah membina kapal pukat tunda terbesar di dunia dan menjadi tajuk utama dalam media massa dengan mempamerkan kekayaan berupa kapal layar bernilai NOK90 juta (RM48 juta) sepanjang 66 meter. Ironinya, aset itu digunakan untuk dilanggar dalam perlumbaan bot laju. Di sebalik kegemilangan yang dilalui dalam susur masa kehidupan, nama Roekke turut dicemari sisi hitam apabila disabitkan bersalah atas tuduhan memberi rasuah bagi mendapatkan lesen operasi bot. Akibatnya, Roekke dipenjarakan selama 23 hari. Bagaimanapun, anak kepada pasangan Norman Roekke dan Gunnvor Roekke ini mempamerkan karisma tersendiri sewaktu dibebaskan. "Dia memesan lebih 3,000 keping piza untuk dinikmati oleh rakan-rakannya yang berada di penjara. Roekke seorang yang sangat sensitif dan menunjukkan emosinya dengan jelas. "Dia seorang rakan yang baik dan menawan. Tetapi, dia juga boleh menjadi sangat marah hingga tidak dapat dibayangkan kemarahannya," kongsi Haugane. Pada tahun 2009, sasaran kemarahannya ialah Menteri Industri Norway, Sylvia Brustad, yang mendakwa Roekke telah membeli dan menjual aset dengan cara yang memberi manfaat kepada dirinya sendiri tetapi tidak kepada pemegang saham Aker Solutions termasuk kerajaan. Permintaan media Lantaran itu, Roekke membalasnya dengan mengadakan sidang media secara langsung dan mendakwa Brustad menerima fakta yang salah. Siaran yang disiarkan selama satu jam itu akhirnya bertukar peribadi apabila Roekke bertindak mengecam Brustad. Namun, empat tahun kemudian, Brustad telah diambil bekerja oleh salah satu syarikat Roekke untuk menguruskan hubungan dengan kerajaan. "Kekuatan yang ada dalam diri Roekke ialah memiliki banyak idea strategik. Bagaimanapun, dia perlukan seseorang untuk memberitahunya mana satu daripada idea-idea tersebut yang bijak dan sebaliknya," tambah Dyrnes. Di Aker, lelaki yang banyak membantu Roekke membuat keputusan terhadap idea yang diilhamkan ialah Ketua Eksekutif, Oeyvind Eriksen. "Memang benar, kami mempunyai skil tambahan. Hubungan dan kolaborasi kami berdua sangat unik," kata Eriksen. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Roekke yang enggan memenuhi permintaan media untuk sebarang temu bual, hanya berkomunikasi melalui surat kepada pemegang saham yang disiarkan di dalam laporan tahunan Aker. Melalui satu surat yang diterbitkan dalam laporan pada tahun 2011, Roekke mengakui kegemarannya terhadap sesuatu yang luar biasa dan terlampau besar. "Isteri saya, Anne Grete sangat betul apabila mengatakan bahawa saya mengalami penyakit yang tidak boleh diubati iaitu kegilaan terhadapan barangan bersaiz besar. Dia cuba menyembuhkan saya, tetapi akhirnya berputus asa. "Kami telah bersetuju untuk membina kapal layar sepanjang 66. Dia (Anne Grete) bermaksud 66 kaki (20 meter), saya pula memikirkan sepanjang 66 meter. Ia berakhir dengan 66 meter." Roekke juga dikenali kerana penglibatan beliau dalam persatuan bola sepak dan terlibat aktif dengan menaja pasukan Molde FK pada tahun 1993. Malah, beliau juga bertindak membiayai stadium baharu kelab itu yang diberi nama Rokkelokka atau The Rokke Park. Ada pihak mengatakan, Roekke telah membelanjakan kira-kira NOK400 juta (RM214 juta) untuk pembiayaan kelab Molde FK. | |
Posted: 13 Jun 2014 08:22 PM PDT SEGEROMBOLAN anak muda berkopiah berjalan kaki beramai-ramai melalui sebatang jalan di Kampung Rengas, Machang, Kelantan petang itu memegun pandangan penulis. Tidak lama kemudian, sekumpulan lain yang berpenampilan serupa datang dari arah berbeza turut menuju ke kampung sama. Dalam kalangan mereka ada yang berkain pelikat, menggalas beg dan tuala tersangkut di bahu. Jurugambar Irwan Majid sudah siaga dengan lensa kameranya. Kami yang berada di dalam kereta tertanya-tanya: Mereka hendak ke mana? Tiada airkah? Selepas beberapa ratus meter mengikuti mereka, terjawablah segala-galanya. Rupa-rupanya mereka ialah pelajar dari beberapa buah sekolah tahfiz sekitar kawasan itu yang merupakan pengunjung setia Kolam Air Panas Tok Bok yang semakin dikunjungi ramai. Walaupun empat hingga lima tahun lalu, kawasan tersebut pernah dilaporkan 'sendu' dan terbiar, kini keadaannya jauh berbeza. Setelah dinaik taraf kira-kira setahun lalu dan usaha penjagaannya dipertingkat, kolam yang menakung air panas semula jadi bersuhu antara 38 hingga 42 darjah Celsius itu nampak 'menggelegak' popularitinya sebagai pusat rekreasi setempat. Pelbagai lapisan masyarakat berkunjung di situ. Lelaki, wanita dan kanak-kanak, orang muda mahupun orang tua dan yang sakit bertongkat atau dipapah juga boleh dilihat. Bukan sahaja dari Machang, tapi sehingga ke Kuantan, Pahang berkunjung dan ada juga orang Kota Bharu yang hari-hari bertandang. Kawasannya tidaklah besar namun setelah diperindah dan dilengkapi pelbagai kemudahan seperti bilik persalinan, air pancuran, taman permainan, surau, tandas, wakaf dan gerai makanan, ia boleh dikatakan turut menjadi pilihan keluarga bersantai. Berdinding Kolam air panas terdiri daripada kolam sebesar kira-kira 72 meter persegi yang diasingkan oleh pembahagi berdinding untuk dua jantina dengan bahagian wanita tertutup. Terdapat juga kolam kecil berair lebih cetek yang dibina untuk kanak-kanak. Menurut sejarahnya, kolam air panas ini ketika ditemui oleh pemilik asal tanah berkenaan yang merupakan seorang Penggawa Daerah Labok, Mohd. Taib Ibrahim adalah sekadar pancutan air panas yang wujud di tengah-tengah sawah padi. Beliau mula memajukan tapak berkenaan pada awal tahun 1950-an sehinggalah meninggal dunia pada tahun 1962. Pada masa itu, kos sebanyak RM9,000 dibelanjakan untuk menimbun tanah di kawasan itu untuk membuat kolam. Pihak kerajaan tempatan telah mengambil alih daripada pemilik asal pada awal tahun 1980-an. Seorang penduduk kampung, Ariff Ismail, 53, berkata, kolam air panas di kawasan itu pada asalnya terdiri daripada satu telaga dan satu kolam serta kewujudannya masih misteri. "Sampai sekarang tidak diketahui bagaimana boleh wujud air panas di sini yang terletak di kawasan berpaya dan bersawah padi. Ahli kaji bumi juga setakat ini tidak tahu lagi puncanya ia berada di sini. Kalau di Kelantan, ada dua sahaja kolam air panas, satu di sini dan satu lagi di Jeli, di atas bukit," katanya. Mengimbas memori silam, Ariff berkata, apabila melihat kolam air panas tersebut dia terkenangkan waktu kecilnya yang turut menjadikan kolam air panas itu sebagai tempat 'permainannya'. "Saya masih ingat, sejak kecil lagi saya dah turun berenang dalam kolam air panas itu. Dahulu kawasan ini tak cantik dan ada macam-macam kemudahan sekarang," katanya. Ariff memberitahu, beberapa penduduk kampung di situ termasuk dirinya sudah lama mengambil inisiatif sendiri untuk membantu Majlis Daerah Machang menjaga tempat tersebut. Seorang lagi penduduk, Mohamad Daud, 56, berkata, sambutan pengunjung ke kolam tersebut yang dibuka 24 jam begitu menggalakkan kebelakangan ini terutama pada hujung minggu. "Dahulu, memang tak ramai datang tapi sekarang lepas ia dicantikkan dan dilengkapi kemudahan sangat ramai yang datang. Kalau hari Jumaat dan Sabtu, orang datang bertali arus. Pukul 1 pagi atau 2 pagi pun saya kadang-kadang datang jenguk memantau," katanya. Mohamad berkata, antara tarikan utama orang datang ke kolam tersebut adalah untuk melegakan penyakit lenguh-lenguh, urat saraf, kulit dan turut dikatakan boleh mengurangkan masalah angin ahmar. "Seorang warga emas dari Kadok yang menghidap strok datang setiap hari ke kolam ini sejak dua tahun lalu. Ketika mula-mula datang, dia diusung oleh anak-anaknya, sekarang boleh datang sendiri dengan menunggang motosikal," ujarnya. Dalam pada itu, bagi menguruskan kolam air panas itu, pihak Majlis Daerah Machang telah meletakkan seorang kakitangannya secara sepenuh masa sejak awal tahun ini. Pengunjung setia Seorang pembekal batik dari Kota Bharu, Nik Kamaruzaman Nik Jaafar, 58, merupakan pengunjung setia kolam tersebut berkata, dia ke kolam tersebut sejak tahun 1984, "Boleh dikatakan setiap hari kalau ada masa terluang saya datang ke sini. Biasanya, saya habiskan dalam empat ke lima jam di sini. "Bagi saya, di kolam panas ini saya temui tenaga baharu dan ketenangan," katanya. Bagi Fadli Abdul Manan, 30, pula berkata, kolam air panas itu boleh diibaratkan seperti sauna bagi masyarakat di situ. "Bila kali pertama mandi kolam air panas, biasanya selepas itu kita akan rasa perit-perit dan tak selesa badan sedikit. "Tapi selepas dua tiga kali datang, jadi ketagih pula. Selepas berendam, tidur malam jadi nyenyak dan mudah lena," ujarnya. Bagi Suzila Hashim, 29, dari Kampung Banggol Judah, Machang yang datang bersama keluarganya buat kali pertama ke kolam air panas itu berhajat untuk datang semula setelah melihat pelbagai kemudahan di situ. Dia datang bersama suaminya, Mohd. Saiful Nizam Haizan, 34, dan tiga anak mereka, Akmal Hakim, 9, Nur Ain, 7 dan Akmal Ashraf, 6 bulan. "Selama ini, saya tahu tentang kolam air panas ini tetapi baru hari ini berpeluang untuk datang. Saya rasa suka dan akan datang lagi. Memang sesuai jadi lokasi bersantai bersama keluarga pada hujung minggu. "Taman permainan untuk kanak-kanak juga turut disediakan," katanya. | |
Pasangan jutawan Melayu baharu Posted: 13 Jun 2014 08:19 PM PDT TIDAK pernah terfikir oleh bapa kepada empat anak berusia antara lima bulan hingga sembilan tahun ini untuk bergelar jutawan memandangkan sebelum ini dia hanya menjalankan perniagaan kecil-kecilan dengan pendapatan tidak seberapa. Bagaimanapun, nasib Ridzuan Zakaria, 33, berubah sekelip mata selepas dia menyertai sebuah syarikat jualan langsung, Classic Worldwide Corporation (M) Sdn. Bhd. (CWC) apabila mampu membuat jualan tertinggi sehingga dia dan isterinya, Nik Nur Murnihati Mohd. Nasir, 32, dinobatkan sebagai jutawan. Pusat Konvensyen CIDB, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur menjadi saksi bagi pasangan tersebut yang diraikan sebagai jutawan Melayu baharu pada Majlis Malam Legasi Jutawan dan Meraikan Usahawan Islam serta 100 anak yatim baru-baru ini. Pasangan tersebut dipilih selepas membuat jualan tertinggi iaitu Ridzuan sebanyak RM1.7 juta manakala Nik Nur Murnihati sebanyak RM1.1 juta dalam tempoh setahun selepas menjadi peserta sejak 9 Januari 2013. Mereka membawa pulang kereta mewah iaitu Mercedes A250 dan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire yang berjumlah hampir RM500,000. Ridzuan memberitahu, rahsia kejayaannya mendapatkan jualan tertinggi tersebut bukanlah hanya bersandarkan kepada usaha semata-mata tetapi dia mempelajari ilmu mengenai selok-belok perniagaan pemasaran pelbagai peringkat (MLM). Katanya, seseorang itu akan bertambah yakin, fokus, berani bertindak jika mempunyai ilmu yang betul terhadap sesuatu perkara. "Selain itu, saya sentiasa berusaha mencari ahli-ahli baharu. Jika ada yang menolak saya jadikan sebagai pembakar semangat dan bukannya alasan untuk saya berundur atau berhenti. "Sebelum ini saya buat macam-macam seperti berniaga di pasar pagi dan pasar malam tetapi selepas bertemu dengan syarikat ini melalui rakan-rakan, ternyata ia telah membuatkan kehidupan saya sekeluarga berubah 360 darjah," katanya ketika dihubungi baru-baru ini. Tambahnya, mengenai perancangan masa hadapan, dia ingin membantu rakan-rakan lain untuk sama-sama berjaya sepertinya kerana kehidupan yang bebas hutang dan masa merupakan suatu nikmat yang tidak ternilai. Menurut Ridzuan, apa yang penting, seseorang itu perlu mempunyai ilmu dan keyakinan untuk berjaya dalam apa bidang yang diceburi mereka. Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi CWC, Dr. Zaini Hasan berkata, pasangan tersebut merupakan peserta di bawah program ARBA (Abdul Rahman Bin Auf). Katanya, peserta perlu membayar antara RM1,000 hingga RM500,000 untuk mendapat keuntungan sehingga RM1.1 juta dalam tempoh 12 bulan. Difahamkan, objektif penubuhan program tersebut ialah menekankan aspek-aspek Islam dan menjadikan tokoh-tokoh peniagaan agama tersebut sebagai sumber inspirasi untuk berjaya selain ingin mewujudkan 50 jutawan Melayu. "Syarikat ini telah lapan tahun ditubuhkan, manakala program ARBA pula diperkenalkan dua tahun lalu. Kita telah melahirkan seramai lima jutawan dengan hanya menjual produk kesihatan dan kecantikan keluaran syarikat kita sendiri. "Pelan yang disediakan membolehkan kita melahirkan ramai jutawan Melayu dalam tempoh yang singkat jika benar-benar mahukan kejayaan kerana ia program yang diinspirasikan dari zaman kegemilangan Islam. "Abdul Rahman bin Auf merupakan sahabat Nabi Muhammad SAW dan dia juga seorang ahli perniagaan yang berjaya dengan hanya menjual unta dan talinya. Tidak salah jika kita menggunakan formula beliau untuk mencipta kejayaan kita pula," katanya. Tambahnya, pada majlis meraikan pasangan tersebut, pihaknya telah melancarkan produk terbaharu iaitu Kopi Pak Belalang yang diperbuat daripada gabungan makanan sunnah iaitu madu dan habatus sauda di mana ia mempunyai pelbagai khasiat untuk mengekalkan kesihatan pengguna. Menurut Dr. Zaini, pihaknya bercadang untuk mengembangkan perniagaan di Jakarta, Indonesia pada September ini dan beberapa negara Asia lain sebagai perancangan masa hadapan. Langkah itu katanya dijangka melonjakkan pendapatan tahunan syarikat sebanyak dua kali ganda berbanding kira-kira RM4 juta setahun sekarang. Berkenaan produk keluaran Classic Worldwide Corporation, ia dibuat berasaskan buah-buahan dan sayuran-sayuran yang sesuai dimakan oleh semua peringkat umur. Antara produk keluaran syarikat itu termasuk jus Classic Royal Ladies 18, Cleansing and Slimming Factor, Booster Factor, Cell Factor dan Trigger Factor yang dibuat daripada rumusan buah beri acai, goji dan maqui, ganoderma dan lain-lain yang dipilih sebagai bahan terbaik di dunia. Untuk maklumat lanjut, layari laman web www.cwc.com.my atau hubungi talian 04-4213 217. | |
Hot FM Mohon Maaf Isu 'Hamil' Panggilan Hangit Posted: 13 Jun 2014 04:24 AM PDT | |
Erin Malek Sahkan Bakal Bertunang 21 Jun Ini Posted: 13 Jun 2014 04:24 AM PDT | |
Farhan Kahwin Hujung Tahun Ini Posted: 13 Jun 2014 04:23 AM PDT | |
Tuduhan Berlakon Kerana Terpaksa Cari Duit Nafkah Mengarut - Aidil Zafuan Posted: 13 Jun 2014 04:22 AM PDT |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan