RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Lembu paling berat jadi tumpuan

Posted: 26 Feb 2013 08:44 PM PST



LEMBU jantan yang bernama Chabal menjadi tumpuan orang ramai pada Pameran Pertanian Antarabangsa di Paris kelmarin.


PARIS - Seekor lembu jantan berusia lima tahun menjadi haiwan paling berat yang dipamerkan pada Pameran Pertanian Antarabangsa di sini kelmarin.
Lembu jantan yang bernama Chabal itu seberat 1,790 kilogram.
Kira-kira 4,000 ekor haiwan dipamerkan pada pameran tersebut yang berlangsung pada 23 Februari lalu hingga 3 Mac depan.
Nama Chabal itu diberikan kepada haiwan tersebut sempena nama bekas pemain ragbi pasukan Perancis, Sebastien Chabal.

Menu lima bintang, gerai tepi jalan

Posted: 26 Feb 2013 08:34 PM PST



SUASANA Jalan Damanlela, Pusat Bandar Damansara, Kuala Lumpur pada waktu malam sepi tanpa deruman enjin kenderaan.
Pada waktu siang, jalan itu sibuk kerana menjadi laluan utama bagi penjawat awam dan swasta yang bekerja di bangunan-bangunan pejabat sekitar jalan tersebut.
Waktu malam pula, penduduk yang tinggal di kawasan apartmen berhampiran jalan itu lebih tertumpu di beberapa kawasan seperti di restoran McDonald's, kedai runcit 24 jam dan beberapa restoran mamak.
Begitupun, di satu sudut jalan tersebut terdapat sebuah gerai yang menjadi tumpuan orang ramai. Bukan struktur gerai mudah alih konvensional, ia sebaliknya merupakan sebuah lori kecil yang diubah suai.
Kelompok pelanggan yang memeriahkan suasana di situ boleh memilih sama ada untuk memesan makanan untuk dibungkus dan dibawa pulang mahu pun menikmatinya terus di meja makan yang disediakan.
"Ini kali pertama saya ke tempat makan yang menghidangkan menu ala Barat yang dijual di atas lori dan senario ini amat unik," ujar Nur Aina Omar, 25.
Aina dan rakannya, Sheila Shareena Mohamed Hamidi merupakan penggemar menu hidangan ala Barat seperti spageti, piza, burger, bebola daging dan lasagna.
"Saya tidak sangka akan menemui spageti yang dijual pada harga RM5 di Kuala Lumpur ini. Namun, Humble Chef telah menyangkal persepsi saya itu," jelasnya.
Kunjungan kali pertama Nur Aina dan Sheila dari Puchong ke lori Humble Chef yang terletak di Jalan Damanlela baru-baru ini ternyata berbaloi kerana makanan yang disediakan menepati cita rasa mereka.

WALAUPUN dengan sebuah lori kecil, Humble Chef menjadi tarikan orang ramai yang berkunjung ke Pusat Bandar Damansara pada waktu malam.


Tambah penjawat dalam sektor swasta itu, dia menggemari tempat makan seperti Humble Chef kerana mempunyai ciri-ciri santai dan ringkas walaupun tempat makan itu terletak di tepi jalan.
Sejak kira-kira empat tahun lalu, Humble Chef sudah dikenali sebagai gerai yang menggunakan lori kecil untuk menghidangkan makanan Barat ringkas seperti spageti, roti pita dan telur dadar (omelette).
Sesiapa sahaja yang pernah berkunjung ke Humble Chef, pasti berpuas hati dengan harga serta kualiti makanan yang ditawarkan oleh jenama tersebut.
Langkah mula
Pemilik Humble Chef, Rosman Hussin Rizal, 30 memberitahu, idea untuk menghasilkan makanan ala Barat yang dijual dengan lori itu timbul empat tahun lalu.
Ketika itu, lokasi pertama untuk mengenengahkan ideanya itu ialah di hadapan Masjid Wilayah yang terletak di Jalan Duta.
"Dengan hanya dua menu utama iaitu spageti bolognese ayam dan daging, saya nekad untuk menjalankan perniagaan saya sendiri dengan sedikit bantuan kewangan daripada ibu.
"Pada waktu itu, saya berniaga pada setiap waktu tengah hari. Saya yang mengambil pesanan dan saya juga yang akan memasak setiap hidangan.
Hari Jumaat merupakan hari yang paling mendapat sambutan. Kebanyakan yang datang ke lori saya ketika itu merupakan penjawat awam yang dalam tempoh percubaan untuk diet," ujar graduan Diploma Seni Kulinari, Kolej Legend, Kuala Lumpur itu.
Dia tidak meletakkan harapan yang tinggi dan hanya berharap mendapat pulangan harian sebanyak RM100 termasuk keuntungan dan modal.
Menurutnya, setelah beberapa bulan berniaga, dia mengambil keputusan untuk mengubah lokasi perniagaannya itu ke Jalan Damanlela kerana menyukai panorama malam di sekitar jalan tersebut.
"Sebagai seorang bekas pelajar seni kulinari, saya tahu mengenai pasaran makanan di Malaysia. Rakyat negara ini menyukai makanan yang murah dan hidangannya pula ringkas.
"Ketika mula berpindah, saya dan seorang rakan tidak memperoleh banyak pelanggan. Rata-ratanya yang datang untuk bungkus makanan untuk dibawa pulang.

ROSMAN (kanan) turut membantu Mokhtar dalam penyediaan hidangan ala Barat di restorannya.


"Namun, selepas masakan Humble Chef telah diulas baik oleh sebuah laman blog terkenal iaitu Bangsar Babe, pelanggan kami semakin bertambah. Daripada tiada kerusi dan meja untuk pelanggan, kami akhirnya menambah kelengkapan tersebut sedikit demi sedikit," ujar anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu.
Ketika ditanya mengenai penggunaan jenama Humble Chef, Rosman memberitahu, idea tersebut datang daripada bapanya yang merujuk kepada sikapnya yang suka merendah diri.
Buka restoran
Selain daripada berniaga dengan lori, Rosman telah mengembangkan perniagaannya dengan membuka restoran yang terletak di Jalan Medan Setia 2, Plaza Damansara sejak setahun lalu.
Walaupun telah membuka restoran, Rosman masih mengekalkan menu, kualiti dan yang paling penting, harga yang sama seperti yang dijual di lori.
"Setiap resipi yang disediakan untuk pelanggan merupakan resipi rahsia yang dicipta sendiri oleh saya. Penyediaan hidangan tidak menggunakan bahan pengawet dan terjamin halal dan bersih.
"Saya amat mementingkan keaslian sesuatu makanan. Setiap restoran perlu ada signatur tersendiri untuk menarik pelanggan tidak kira menjual makanan tradisional atau masakan Barat," ujarnya mengenai menu di gerainya yang turut menjadi pilihan ramai selebriti tanah air.
Sementara itu, sahabat Rosman yang bertindak selaku tukang masak di restoran Humble Chef, Mokhtar Hashim, 30, memberitahu, dia berasa gembira apabila melihat pinggan kosong dipulangkan ke dapur selepas pelanggan menjamu selera.
"Bagi saya, apabila pelanggan menghabiskan makanan, mereka suka akan hidangan itu. Itu juga merupakan salah satu motivasi kepada saya untuk terus menghasilkan hidangan terbaik kepada mereka," ujarnya.

SUASANA restoran Humble Chef semakin meriah dengan kehadiran pelanggan apabila menjelang waktu makan tengah hari.


Mengimbau kenangan yang tidak dapat dilupakan Rosman adalah apabila seorang pengkritik masakan dari Singapura pernah berkunjung ke restorannya dan memuji masakan Humble Chef.
"Saya tidak tahu bahawa dia merupakan pengkritik masakan. Usai dia menghabiskan makanan, dia mengatakan makanan ala Barat di restoran ini ringkas dan sedap," ujarnya.
Rosman memberitahu, tukang masak di restoran mahupun di lori Humble Chef mampu menyiapkan hidangan spageti dalam masa satu minit.
Selain menggunakan Facebook dan Twitter sebagai strategi pemasaran Humble Chef, Rosman juga percaya bahawa percakapan dari mulut ke mulut yang dibawa oleh pelanggan merupakan strategi pemasaran terbaik.
"Kebanyakan pelanggan setia Humble Chef merupakan pelanggan yang mendengar buah mulut rakan-rakan mereka yang pernah ke lori saya. Dengan itu, secara tidak langsung nama Humble Chef tersebar kepada pelanggan baharu," ujarnya.
Menurut Rosman, dia kini sedang merancang untuk membuka cawangan restoran Humble Chef di Shah Alam.

Wajah baharu Uptown Kota Damansara

Posted: 26 Feb 2013 08:33 PM PST


SUASANA beli-belah di Uptown Kota Damansara semakin ceria dan menyeronokkan.


WAJAH baharu Bazar Malam Uptown Kota Damansara yang lebih sistematik dan kemas dilihat mampu meningkatkan imej peniaga bazar malam di sana. Pengubahsuaian yang dibuat ke atas lot-lot kedai sedia ada juga memberi impak besar terhadap hasrat pihak pengurusan yang mahu menjadikan ia sebagai salah satu destinasi menarik untuk dikunjungi.
Tampil dengan suasana yang lebih ceria dan segar, bazar tersebut menawarkan pengalaman beli-belah yang mengujakan terutama buat kaum wanita.
Kepelbagaian barangan yang dijual di sana menyebabkan pengunjung rambang mata dalam membuat pilihan.
Pengurus Konsultan Bazar Malam Uptown Kota Damansara atau sebelum ini dikenali sebagai Uptown D'Kota, Siti Hazirah Suwito berkata, proses menaik taraf bazar tersebut sudah bermula sejak awal tahun lalu.
"Proses tersebut terdiri daripada pengubahsuaian aspek fizikal – daripada gerai yang dibina dengan khemah atau kanopi kecil kepada kedai berlantaikan simen dan dinding kaca lutsinar.
"Selain itu, pihak kami juga telah memberi nafas baharu buat medan selera yang ada di sini dengan membawa masuk variasi menu berbeza untuk dipilih oleh pengunjung mengikut kegemaran masing-masing," ujar Siti Hazirah ketika ditemui Kosmo! di Uptown Kota Damansara baru-baru ini.

PELBAGAI koleksi barangan wanita termasuk beg tangan, kasut dan aksesori boleh didapati di sini pada harga yang sangat berpatutan.


Tambah Siti Hazirah, setakat ini terdapat kira-kira 300 peniaga yang mencari rezeki di lokasi tersebut yang sentiasa dipenuhi pengunjung saban malam.
"Hasrat kami adalah untuk menaikkan imej peniaga uptown yang sebelum ini sering dianggap peniaga kelas bawahan kerana menjual barangan yang tidak berkualiti dan sebagainya.
"Justeru, kami akan memastikan produk yang dijual menepati standard sekali gus menepati cita rasa pengunjung yang datang untuk membeli-belah," tuturnya.
Tarik perhatian
Sementara itu, pemilik jenama pakaian Electra, Sya Ramly, 26, mengakui transformasi yang dilaksanakan terhadap Uptown Kota Damansara amat baik untuk peniaga kerana mampu menarik perhatian pengunjung.
Menjual baju dan aksesori wanita bertemakan vintaj dan mengikut fesyen terkini, Sya memberitahu, sambutan yang diterima sangat memberangsangkan.
"Produk yang saya jual di bawah jenama Electra menggunakan pelbagai material seperti fabrik kapas, sifon dan benang bulu biri-biri. Menariknya, ia merangkumi pelbagai saiz daripada XSS hinggalah saiz XXL yang dibeli secara borong dari beberapa negara termasuk China dan Korea. Paling penting harganya sangat berpatutan," ungkapnya sambil tersenyum.
Menjamu selera
Antara keistimewaan lain di sini ialah pengunjung boleh menjamu selera dan melepaskan dahaga selepas penat mencuci mata atau memborong sakan. Pilih sahaja jenis makanan yang digemari, semuanya tersedia di depan mata.
Burger bakar, char kuetiau, nasi ayam, makanan laut, rojak, sup, stimbot dan nasi kukus merupakan variasi menu yang boleh dicuba.

PENIAGA D'Krul Char Kuew Teow, Kamarul Isma Rizal menunjukkan sajian istimewa gerainya.


Peniaga makanan, Sukir Darman, 56, tidak ketinggalan berkongsi hidangan nasi ayam hainan yang sering menjadi pilihan pengunjung untuk dinikmati.
"Alhamdulillah, setiap hari ramai pelanggan yang datang membeli-belah akan singgah untuk mengalas perut dengan sajian ini. Selain itu, minuman istimewa, Milo dinosaur turut menjadi kegemaran mereka," katanya yang mesra disapa Wak Sukir dalam kalangan peniaga di sana.
Dalam pada itu, sebagai usaha mempromosikan destinasi tersebut, pihak pengurusan turut mewujudkan satu laman web khusus untuk bazar berkenaan.
Melalui laman web streetfashionbazaar.wix.com/damansara, orang ramai boleh melayarinya untuk melihat maklumat terkini dan produk yang ditawarkan secara dalam talian.
Pembangunnya, Junaidah Abdul Aziz, 22, berkata, laman web tersebut telah pun beroperasi secara rasmi pada pertengahan Januari lalu.

'Conteng' dinding di Genting Highlands

Posted: 26 Feb 2013 08:32 PM PST


DARI kiri: Pengarah Akedemik Kolej IACT Sdn. Bhd., Nicholas Lee; artis grafiti, Ooi Kok Chuen; Pengarah Urusan OMD Malaysia, Margaret Lim, Wei Heng dan Philip sempena pelancaran YNOT - Spark Your Creativity with Graffiti.


CONTENGAN grafiti yang banyak memenuhi dinding di sekitar ibu kota sering kali dikelaskan sebagai satu bentuk gejala vandalisme.
Biarpun hasil kerja artis grafiti tersebut sangat menarik, ia masih kurang mendapat perhatian masyarakat ekoran kekangan lokasi khas bagi mereka berkarya.
Grafiti mereka juga bukanlah sekadar lukisan biasa yang dihasilkan secara suka-suka. Kebanyakannya sarat dengan mesej bersifat peribadi ataupun mewakili suara generasi muda yang tidak dipandang serius.
Menyedari masalah yang dihadapi penggiat seni grafiti tempatan, Resorts World Genting dengan besar hati menganjurkan Pertandingan Seni Grafiti 2013, YNOT - Spark Your Creativity with Graffiti.
"Populariti seni grafiti kian melonjak sejak kebelakangan ini dan kami tahu terdapat ramai artis grafiti berbakat di luar sana. Pertandingan ini mampu bertindak sebagai platform bagi mereka mempertontonkan karya seni mereka kepada orang awam.
"Kami sedar, kawasan khusus untuk grafiti sangat terhad dan ramai yang terpaksa melakukannya secara haram. Penganjuran acara sebegini memberi mereka saluran yang betul untuk menunjukkan bakat," Jelas Naib Presiden Pemasaran Genting Malaysia Berhad, Chow Wei Heng pada satu sidang akhbar di Kolej IACT, Petaling Jaya, Selangor.
Penyertaan bagi pertandingan tersebut telahpun dibuka pada 21 Februari lepas sehingga 13 Mac depan. Mereka yang berminat dikehendaki menghantar satu visual asli berwarna lengkap dengan konsep dan idea bertemakan Keseronokan dan Keterujaan kepada laman rasmi Facebook Resorts World Genting, https://apps.facebook.com/ynot_graffiti.
Pertandingan itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu terbuka kepada artis grafiti berumur 18 tahun ke atas dan pelajar institusi pengajian tinggi. Mereka yang mendaftar di bawah kategori pelajar perlu menyertakan salinan kad pelajar bersama hasil karya yang dihantar.
Kesemua penyertaan akan dipaparkan di Facebook bagi membolehkan orang ramai mengundi karya pilihan mereka bermula 15 sehingga 28 Mac depan.
Seramai 20 peserta bagi setiap kategori yang menerima undian tertinggi dan melepasi penilaian panel juri akan bersaing di pusingan akhir. Mereka yang terpilih akan diumumkan di Facebook pada 29 Mac 2013.
Naik Genting

KEKURANGAN kawasan bagi artis grafiti tempatan berkarya mendorong pertandingan YNOT - Spark Your Creativity with Graffiti diadakan. - Gambar hiasan


Selepas kesemua peserta akhir dipilih, mereka akan dibawa ke Genting Highlands bagi bersaing merebut hadiah keseluruhan berjumlah RM40,000. Selama dua hari, iaitu 11 dan 12 April 2013, para peserta diberi masa untuk menghamparkan karya mereka pada 40 ruang dinding di Taman Tema Luar (Outdoor) Resorts World Genting.
"Dinding-dinding yang disediakan adalah berbeza mengikut saiz. Barisan juri yang akan menetapkan sebesar mana ruang yang akan diperoleh setiap peserta. Keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian awal terhadap visual asli yang dihantar ketika pendaftaran," jelas konsultan pertandingan tersebut, Philip Wong yang juga seorang artis grafiti tempatan.
Juara bagi kategori terbuka akan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM3,000 dan pakej percutian Resorts World Langkawi. Pemenang tempat kedua akan menerima wang tunai RM2,000 beserta baucar penginapan tiga hari dua malam di Hotel Awana, Genting. Tempat ketiga pula bakal memenangi wang tunai RM1,000 dan baucar penginapan tiga hari dua malam di Hotel First World, Genting.
Kategori pelajar pula menawarkan hadiah utama berupa wang tunai berjumlah RM1,000 dan baucar penginapan tiga hari dua malam di Hotel First World. Wang tunai RM800 dan baucar tiga hari dua malam di Hotel First World pula menanti pemenang tempat kedua. Tempat ketiga akan menerima wang tunai RM500 dan baucar penginapan tiga hari dua malam di Hotel First World.
Sementara itu, sebanyak tujuh hadiah saguhati berupa baucar penginapan tiga hari dua malam di Hotel First World juga akan diberikan bagi setiap kategori.
Untuk keterangan lanjut tentang pertandingan, layari laman web www.rwgenting.com atau www.facebook.com/resortsworldgenting.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan