Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- 102 pelarian Rohingya ditahan dalam kelesuan
- Kedai depan pondok polis dirompak
- Dua peragut pramugari diberkas
- Beruang, kuda mati di Zoo Melaka
- Banjir kilat terburuk landa Puchong
- Saintis dakwa temui serpihan tahi bintang
- LG perkenal telefon pintar lebih 2 juta piksel
- Bayi mati selepas 'dipulau' 10 hospital
- Tyson dan Holyfield berdamai
- 4 hari duduk atas kren demi anak
- Lampu isyarat paling mengelirukan di dunia
- Khazanah Kebaya Kampung Cina
| 102 pelarian Rohingya ditahan dalam kelesuan Posted: 18 Feb 2013 11:37 PM PST ![]() SEBAHAGIAN daripada 102 orang pelarian Rohingya yang ditahan polis di Teluk Bahang, Pulau Pinang semalam. TELUK BAHANG - Hasrat kira-kira 120 pelarian Rohingya ke negara ini untuk mendapatkan perlindungan dan pekerjaan terbantut apabila 102 orang daripada mereka ditahan pihak berkuasa ketika cuba menyembunyikan diri di dalam hutan Taman Negara Teluk Bahang di sini semalam. Mereka yang terdiri daripada 64 lelaki, 20 wanita serta 18 kanak-kanak berusia dalam lingkungan setahun hingga 70-an ditemui berkeliaran di tiga lokasi berasingan iaitu di Pantai Teluk Kampi, Hutan Taman Negara Teluk Bahang dan Hutan Simpan Pantai Acheh, Balik Pulau di sini kira-kira pukul 3 petang dan 7 malam. Pelarian terbabit dikatakan mendarat di Pantai Teluk Kampi pada pukul 11 malam kelmarin setelah belayar dari Myanmar selama 13 hari dengan menaiki sebuah bot pukat tunda yang dipandu seorang rakyat tempatan. Bot yang mereka naiki dengan caj mencecah ratusan ringgit seorang itu dikatakan telah mengalami kebocoran sebelum tersadai di pantai berkenaan. Semasa ditahan, kesemua pelarian terbabit dilihat berada dalam keadaan keletihan memandangkan mereka dikatakan sudah tiga hari tidak menjamah makanan. | ||
| Kedai depan pondok polis dirompak Posted: 18 Feb 2013 11:34 PM PST ![]() BULATAN (kiri) menunjukkan pondok polis yang terletak bertentangan dengan kedai emas (dalam bulatan kanan) di Jalan 11 B, Selayang Baru yang dirompak semalam. GOMBAK – Dua penjenayah bagaikan mencabar kewibawaan polis apabila mereka bertindak berani merompak dan melarikan tiga dulang berisi sejumlah rantai leher dianggarkan bernilai RM200,000 daripada sebuah kedai emas yang terletak hanya kira-kira 20 meter dari Pondok Polis Selayang Baru di Jalan 11 B, Selayang Baru di sini semalam. Semasa kejadian pada pukul 10.15 pagi, seorang pemuda, Mohd. Zaki Alias, 23, nekad mengejar kedua-dua perompak itu sejauh 100 meter sebelum bergelut dengan suspek yang bersenjatakan parang selepas kejadian rompakan itu tidak disedari anggota polis yang bertugas di pondok polis itu. Mohd. Zaki, seorang saksi yang melihat rompakan itu berkata, sebelum kejadian dia yang berada di kedai emas milik abangnya yang terletak sebelah kedai emas yang dirompak terkejut apabila mendengar bunyi kaca pecah tiga kali sebelum diikuti jeritan meminta tolong. Curiga dengan bunyi tersebut, Mohd. Zaki menjenguk kedai emas sebelah sebelum ternampak dua lelaki bertopi keledar dengan seorang memegang parang cuba melarikan diri sambil membawa sebuah beg kecil dipercayai berisi rantai leher yang dirompak. | ||
| Dua peragut pramugari diberkas Posted: 18 Feb 2013 11:33 PM PST
PETALING JAYA - Hasrat dua pemuda berjoli selepas berjaya meragut beg tangan seorang pramugari AirAsia X warga Jepun tidak kesampaian apabila mereka bukan saja dicekup tetapi turut cedera terlibat dalam kemalangan tidak jauh dari lokasi mereka melakukan jenayah di Jalan Persiaran Kewajipan dekat sini semalam. Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, sebelum kejadian pukul 12 tengah hari, dua lelaki yang menaiki motosikal menghampiri mangsa yang berjalan kaki dari arah belakang sebelum menarik beg tangan wanita itu. "Selepas mendapat beg itu, dua penjenayah terbabit terus melarikan diri tetapi nasib mereka malang apabila motosikal yang dinaiki berlanggar dengan dua buah kereta iaitu Perodua Myvi dan Renault Kangoo hanya kira-kira 50 meter dari tempat mereka melakukan jenayah," kata beliau ketika dihubungi di sini semalam. Menurut beliau, orang ramai yang mendengar jeritan mangsa yang kehilangan beg tangannya terus menangkap kedua-dua lelaki yang cedera selepas terlibat dalam kemalangan. | ||
| Beruang, kuda mati di Zoo Melaka Posted: 18 Feb 2013 11:32 PM PST ![]() KAKITANGAN Zoo Melaka memeriksa kuda yang mati dipercayai kerana keracunan makanan di Ayer Keroh semalam. MELAKA – Zoo Melaka dan Safari Malam Ayer Keroh yang selama ini menjadi tumpuan ramai digemparkan dengan kematian seekor beruang matahari betina dan seekor kuda jantan dipercayai akibat diracun. Ia dipercayai berpunca daripada perbuatan pihak luar yang memberi makanan yang dicampur racun kepada haiwan terbabit. Dalam kejadian pertama pukul 5 petang kelmarin, kematian beruang matahari betina berusia 14 tahun itu disedari seorang pelawat yang melihat haiwan itu duduk dalam keadaan telangkup dengan seekor beruang lain menindih badannya. Pegawai Veterinar Zoo Melaka, Dr. Zubaidah Kamarudin memberitahu, selepas pelik dengan kedudukan beruang tersebut, pelawat terbabit memberitahu seorang kakitangan zoo. "Selepas dimaklumkan kejadian tersebut, kakitangan zoo yang memeriksa beruang matahari berkenaan mendapati ia sudah mati," katanya ketika ditemui di Zoo Melaka dan Safari Malam Ayer Keroh di sini semalam. | ||
| Banjir kilat terburuk landa Puchong Posted: 18 Feb 2013 11:31 PM PST ![]() BEBERAPA buah kenderaan yang terperangkap dalam banjir kilat di Bandar Puchong Jaya, Puchong semalam. PUCHONG - Beberapa buah kenderaan terperangkap selepas ditenggelami banjir kilat sedalam 1.5 meter berhampiran pusat beli-belah IOI Mall di Bandar Puchong Jaya di sini semalam. Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohamad Sani Harul berkata, hujan lebat tanpa henti sejak pukul 4.30 petang menyebabkan kawasan itu ditenggelami air. Bagaimanapun, menurutnya, kejadian itu tidak melibatkan kemalangan jiwa. "Bomba menerima panggilan pada pukul 5.30 petang dan setibanya anggota ke lokasi mendapati beberapa buah kenderaan telah ditenggelami air. "Punca air naik begitu cepat adalah disebabkan banjir kilat dan hujan lebat tanpa henti sejak pukul 4.30 petang," katanya ketika dihubungi semalam. Menurut beliau, banjir di kawasan itu surut kira-kira pukul 6 petang. "Banjir kilat sedalam 1.5 meter itu merupakan pertama kali melanda kawasan Bandar Puchong Jaya sejak beberapa tahun lalu dan ia boleh dikatakan agak teruk kerana melibatkan kerosakan beberapa buah kenderaan," katanya lagi. | ||
| Saintis dakwa temui serpihan tahi bintang Posted: 18 Feb 2013 11:29 PM PST
MOSCOW - Sepasukan saintis semalam mendakwa yang mereka telah menemui serpihan tahi bintang yang jatuh di Pergunungan Ural, Rusia selepas mencetuskan gelombang yang menyebabkan 1,200 orang cedera dan beribu-ribu buah rumah rosak. Batu angkasa lepas gergasi itu meluncur di langit bandar Chelyabinsk, tengah Rusia pada Jumaat lalu dengan tenaga bersamaan 30 butir bom atom yang digugurkan ke bandar Hiroshima, Jepun pada Perang Dunia Kedua. Tahi bintang tersebut meletup beberapa kilometer dari Bumi tetapi serpihan-serpihannya dipercayai bertaburan di serata rantau tersebut. Sebelum ini, sekumpulan petugas yang memeriksa sebuah tasik kecil di mana serpihan-serpihan tahi bintang itu dipercayai jatuh gagal membuat sebarang penemuan. Namun, sepasukan saintis Akademi Sains Rusia yang melakukan beberapa ujian kimia ke atas beberapa batu aneh kelmarin berkata, serpihan itu datang dari angkasa lepas. "Kami mengesahkan bahawa beberapa partikel yang ditemui oleh pasukan ekspedisi kami berhampiran Tasik Chebarkul benar-benar memiliki komposisi meteorit," kata saintis berkenaan, Viktor Grokhovsky menurut agensi berita RIA Novsosti. Universiti Persekutuan Ural tempat Grokhovsky bertugas turut menyiarkan gambar seorang lelaki memegang sebutir batu hitam kecil semalam. "Meteorit ini berasal daripada kondrit kelas biasa (angkasa lepas)," kata pihak universiti berkenaan dalam satu kenyataannya. Menurut Grokhovsky, batu itu mengandungi komposisi besi metalik selain krisalit dan sulfit. Kandungan besi dalam batu tersebut dianggarkan sebanyak 10 peratus. "Besar kemungkinan, batu ini akan dinamakan sebagai Meteorit Most Chebarkul," kata kenyataan. Gelombang kuat tahi bintang itu memecahkan tingkap-tingkap hampir 5,000 bangunan dan menyebabkan 40 orang termasuk tiga kanak-kanak dirawat di hospital kelmarin kerana mengalami luka dan kecederaan lebih serius. Sekitar 24,000 petugas kecemasan dan sukarelawan sibuk menggantikan tingkap-tingkap yang pecah pada hujung minggu lalu sebelum orang ramai mula bekerja. Serpihan-serpihan tahi bintang tersebut yang jatuh ke Bumi turut mencetuskan minat banyak pihak. Beberapa pengumpul serpihan angkasa lepas di Rusia telah menyiarkan iklan di internet yang menawarkan bayaran AS$10,000 (RM30,900) untuk serpihan batu tersebut. | ||
| LG perkenal telefon pintar lebih 2 juta piksel Posted: 18 Feb 2013 11:27 PM PST ![]() DUA model bergaya bersama siri telefon pintar Optimus G Pro keluaran LG Elektronik di Seoul, Korea Selatan semalam. SEOUL - Firma Korea Selatan, LG Electronics semalam memperkenalkan versi terbaharu telefon pintarnya yang menawarkan skrin beresolusi lebih tinggi bagi mengatasi saingannya termasuk Samsung. Dinamakan Optimus G Pro, gajet tersebut merupakan telefon pintar LG pertama yang menawarkan skrin resolusi tinggi (HD) penuh. Dalam satu kenyataannya, LG memberitahu, telefon pintar itu akan mula dijual di Korea Selatan esok dan berada di pasaran Jepun serta Amerika Utara pada suku kedua tahun ini. Telefon baharu itu dijana perisian Android dan berukuran 15.2 sentimeter (sm) panjang dengan lebar 7.6sm. Optimus G Pro menampilkan paparan 13.9sm (5.5 inci) dengan lebih dua juta piksel atau dua kali ganda melebihi piksel skrin HD telefon pintar biasa untuk imej lebih terang serta jelas. "Dengan saiz telefon pintar kini semakin besar, fungsi visualnya menjadi bertambah penting," kata LG dalam satu kenyataan. LG yang merupakan pengeluar televisyen skrin rata kedua terbesar di dunia dan pembuat telefon kelima terbesar telah bergelut selama beberapa tahun dalam pasaran telefon pintar untuk menyaingi iPhone dan Galaxy S. Namun, promosi beberapa model baharu menyaksikan jualan telefon pintar LG pada suku keempat 2012 melonjak 56 peratus berbanding tahun lalu untuk mencatat jualan mencecah 8.6 juta unit. | ||
| Bayi mati selepas 'dipulau' 10 hospital Posted: 18 Feb 2013 11:26 PM PST
JAKARTA, Indonesia - Seorang bayi berusia seminggu meninggal dunia akibat masalah pernafasan selepas 10 buah hospital di sini enggan merawatnya, kata bapa bayi tersebut semalam. Elias Setya Nugroho yang bekerja sebagai penjaja berkata, dia tidak mampu membayar caj yang dikenakan oleh sebahagian hospital berkenaan untuk merawat bayinya. Bayi tersebut, Dera Nur Anggraini dilahirkan tidak cukup bulan bersama saudara kembarnya, Dara pada 10 Februari lalu. Dera turut mengalami kecacatan tekak yang menghalang pernafasannya. Menurut lelaki tersebut, keluarganya cuba mendapatkan rawatan tetapi ditolak oleh pihak pengurusan 10 buah hospital. Sebahagian mereka memberikan alasan tidak memiliki peralatan yang diperlukan manakala sebahagian lagi mendakwa hospital mereka penuh. "Dera dikebumikan kelmarin tidak jauh dari rumah kami," kata Elias. Menurutnya, bayi itu meninggal dunia selepas dibawa kembali ke Hospital Zahira tempat dia dilahirkan di sini. Menurut Elias, hospital-hospital swasta di sini meminta bayaran pendahuluan berjumlah 15 juta rupiah (RM4,795) walaupun keluarganya memiliki kad kesihatan yang membolehkan rakyat berpendapatan rendah sepertinya mendapat perkhidmatan kesihatan percuma. | ||
| Posted: 18 Feb 2013 11:25 PM PST ![]() HOLYFIELD dan Tyson mempromosikan sos barbeku jenama Holyfield's Real Deal di Chicago, Amerika Syarikat. CHICAGO - Bekas juara tinju heavyweight dunia, Mike Tyson dilaporkan memeluk bekas lawannya, petinju Evander Holyfield ketika mereka bertemu di sini, lapor akhbar The Sun semalam. Dia yang berusia 46 tahun muncul di sebuah pasar raya di Chicago di mana seteru lamanya mempromosikan produk sos jenama Holyfield's Real Deal. "Saya suka Holyfield. Saya akan sentiasa dikaitkan dengannya sepanjang hidup saya," kata Tyson. Tyson pernah menggigit telinga kanan Holyfield dalam satu perlawanan tinju di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS) pada 28 Jun 1997. Petinju yang berasal dari New York, AS itu turut dihalang menyertai sebarang pertandingan tinju selepas kejadian tersebut. Sementara itu, Holyfield, 50, kelihatan gembira bertemu Tyson. "Dia menghargai bahawa saya memaafkannya," kata Holyfield. | ||
| 4 hari duduk atas kren demi anak Posted: 18 Feb 2013 11:24 PM PST ![]() SEORANG lelaki menyertai Serge Charnay (kanan) pada hari ketiga protesnya kelmarin. NANTES - Seorang bapa di Perancis, Serge Charnay mengadakan protes di puncak sebuah kren untuk hari keempat semalam kerana menuntut hak melawat anak lelakinya. Lelaki itu berkata, dia akan turun dari kren setinggi 43 meter itu selepas Menteri Kehakiman Perancis, Christiane Taubira bersetuju bertemu dengan sebuah kumpulan aktivis pembela hak bapa. Taubira dijadualkan menemui pemimpin-pemimpin kumpulan tersebut SOS Papa tengah hari kelmarin. Lelaki tersebut yang mengadakan protes di atas sebuah kren di sini, timur Perancis, mahu pemerintah mengukuhkan undang-undang perkongsian penjagaan anak. Dia pernah didapati bersalah kerana membawa anak lelakinya bercuti tanpa kebenaran selama dua bulan pada 2011. Namun, lelaki itu memberitahu, dia tidak kesal melanggar undang-undang hak penjagaan tersebut. "Jika saya tidak berbuat demikian saya tidak akan dapat bertemu dengan anak saya," katanya. Seorang lagi bapa yang berdepan masalah serupa turut menaiki kren di bandar Strasbourg pada hujung minggu lalu tetapi turun selepas dipujuk pihak polis. | ||
| Lampu isyarat paling mengelirukan di dunia Posted: 18 Feb 2013 11:23 PM PST ![]() GAMBAR pada 10 Februari lalu menunjukkan 'lampu isyarat paling mengelirukan di dunia' di Taman Tema Yangrenjie di Chongqing, China. CHONGQING, China - lebih 10,000 pelancong yang berkunjung ke Taman Tema Yangrenjie di sini keliru dengan sebuah lampu isyarat di simpang empat lokasi tersebut. Fasiliti tersebut yang memiliki 14 buah lampu dipasang di taman tema berkenaan sejak Mei tahun lalu. Lebih mengelirukan, lampu isyarat itu berkelipan dengan memaparkan nyalaan lampu berbeza pada sesuatu masa. Namun, seorang pegawai trafik di sini berkata, lampu isyarat tersebut hanya berfungsi sebagai hiasan seni ekoran jalan ke simpang empat taman tema itu kelihatan kosong. Menurutnya, lampu isyarat tersebut juga kelihatan sangat cantik apabila berkelipan pada waktu malam, Katanya lagi, para pemandu sepatutnya tidak mempedulikan lampu isyarat itu. Hiasan seni itu dikenali dalam kalangan penduduk tempatan sebagai lampu isyarat paling mengelirukan di dunia Namun, ia akhirnya dibuang oleh pihak berkuasa kerana mengelirukan pemandu ke taman tema tersebut. | ||
| Posted: 18 Feb 2013 11:22 PM PST
DALAM diari hidup wanita warga emas itu, tidak pernah terlintas perkataan cemas untuk menghasilkan pelbagai produk jahitan kepada pelanggan-pelanggannya. Sejak kecil, perasaan cintanya terhadap seni jahitan sudah tersulam rapi di hati Wee Beng Kim. Dalam kalangan penduduk di Kampung Cina, Kuala Terengganu, Terengganu, Beng Kim lebih mesra dengan panggilan auntie Kim. Seminggu sebelum menghembuskan nafas terakhirnya pada 29 September 2012 akibat sakit tua, anak kelahiran Kuala Terengganu yang berusia 86 tahun itu sempat menyiapkan sehelai sapu tangan bersulam motif bunga untuk dijadikan kenangan. Beliau merupakan Cina peranakan generasi kelima yang cukup terkenal dalam penghasilan busana tradisional kebaya atau kebaya potong kot dalam kalangan peranakan Terengganu. Hasil jahitan busana tradisional Beng Kim yang kemas, penggunaan benang penuh gerawan dan bermutu tinggi menjadikan baju kebayanya diminati pada era 1950-an. Anak kedua mendiang, Tan Teng Hong, 65, memberitahu, ibunya mula berkecimpung dalam jahitan sulaman sejak berumur 11 tahun. Minat yang mendalam terhadap jahitan sulaman berputik semasa mendiang ke Singapura pada tahun 1936, tatkala melihat seorang penyulam kebaya menggunakan mesin jahit. Sejak itu, mendiang jatuh cinta pada seni sulaman sehingga bapanya, Wee Siau Suan menghadiahkan sebuah mesin jahit. ![]() KANAN: Kebaya potong kot pakaian tradisi yang menjadi kebanggaan Cina peranakan Terengganu. "Ibu tidak menoleh ke belakang lagi dalam memenuhi cinta baharunya dalam seni jahitan sulaman," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini. Teng Hong memberitahu, ibunya bekerja dari siang hingga malam semata-mata ingin memastikan dapat menguasai jahitan sulaman. Pada mulanya, mendiang menyulam renda pada pakaian dalam, tetapi lama-kelamaan mula menunjukkan keyakinan sehingga menghasilkan baju kebaya. Semasa era 30-an dan 40-an, Beng Kim banyak melakukan eksperimentasi terhadap jahitan sulaman seperti menghasilkan alas meja, sapu tangan dan kebaya. Profesion sepenuh masa Hanya pada era 50-an, mendiang menjadikan seni jahitan sebagai profesion sepenuh masa. Ibu kepada lima cahaya mata hasil perkongsian hidup bersama suaminya, Tan Eng Leong, 88, hanya mempelajari selok-belok jahitan melalui pemerhatian dan latihan sendiri tanpa tunjuk ajar sesiapa. Mengulas mengenai potong kot, Teng Hong menjelaskan, dahulu busana tradisional itu lebih panjang dan seolah-olah seperti kimono Jepun. "Orang ramai yang menempah akan memberitahu ingin potong kot. Lama-kelamaan mengikut peredaran masa busana tersebut semakin pendek sehingga menjadi kebaya. ![]() MENDIANG Beng Kim ketika menyiapkan sulaman sapu tangan terakhirnya seminggu sebelum meninggal dunia. "Kebaya hanya mula diketahui umum sekitar tahun 1970-an apabila kebaya Bandung dari Indonesia dibawa masuk ke Terengganu," ujarnya. Bagaimanapun, ia tidak kekal lama kerana orang ramai lebih menggemari potong kot. Nama potong kot begitu sinonim sehingga hari ini dalam kalangan masyarakat Terengganu. "Busana tradisional potong kot cukup popular di Terengganu sekitar era 50-an sehingga 70-an. "Pada era 80-an, terdapat banyak fesyen baharu diperkenalkan sehingga menyebabkan busana potong kot agak ketinggalan dan tidak berapa digemari," katanya. Golongan muda juga lebih gemar memadankan pakaian fesyen terkini berbanding potong kot pada tahun itu. Busana potong kot mempunyai persamaan gaya tradisional yang boleh disesuaikan dalam cuaca lebih panas. Menurut Teng Hong, pemilihan kain kapas dalam penghasilan potong kot lebih nipis dan agak pendek berbanding kebaya Nyonya Melaka. "Disebabkan ukuran blaus lebih pendek, rekaan ikatan pinggang semula jadi yang menahan sarung dapat dilihat sekali gus menambahkan keanggunan pakaian tersebut," ujarnya. Dalam pada itu, anak keempat mendiang, Justin Tan Teng Tiong, 60, mencelah, terdapat tujuh bahagian yang membentuk sehelai blaus potong kot. "Ia terbahagi kepada dua lengan panjang, empat kepingan bahagian depan dan satu bahagian belakang dicantum untuk menghasilkan blaus potong kot.
"Lazimnya, hujung baju termasuk hujung lengan akan disulam melibatkan motif flora. Kadangkala ibu akan menyelit motif fauna dalam menambah kesenian kebaya berkenaan," ujarnya yang bermastautin di Australia. Sambil menunjukkan katalog rekaan tahun 1950-an, Justin menambah, sulaman burung layang-layang berwarna biru antara rekaan popular ibunya pada waktu itu. Selain itu, dia memberitahu, kemungkinan perbezaan ketara yang dapat dilihat pada potong kot berbanding kebaya lain ialah setiap cantuman blaus kebaya terdapat lubang-lubang kecil. Beli mesin jahit "Apabila setiap tujuh bahagian siap disulam dan jahit, ibu akan menggunakan mesin jahit yang mempunyai dua jarum mencantumkan kesemua bahagian tersebut. "Dahulu kena hantar menggunakan kapal. Memang sukar mencantum tujuh bahagian tersebut apatah lagi setiap bahagian terpaksa dihantar ke Singapura," ujarnya. Bagaimanapun, pada tahun 1952 bapanya telah membeli mesin jahit berkenaan secara terus dari Amerika Syarikat (AS) bagi memudahkan kerja-kerja ibu. Sambil menguntum senyuman, dia memberitahu, dahulu bapanya terpaksa menulis surat ke AS semata-mata ingin membeli mesin berkenaan kerana tidak ada orang menjual atau membelinya. Sehingga kini, mesin jahit jenama Singer merupakan satu-satunya yang terdapat di Terengganu masih berada di rumah mendiang. Teng Hong menambah, kesemua adik-beradiknya tidak mewarisi bakat yang dimiliki mendiang ibu mereka. Mendiang ibunya seorang yang begitu teliti dalam penghasilan potong kot malah kemahirannya ialah memotong kain tanpa renda. "Ibu juga sangat pantas melakukan sulaman untuk memastikan ia padat dan kemas sehingga mendapat permintaan tinggi," katanya. Bahkan, mendiang ibunya sama sekali tidak membenarkan kami adik-beradik memegang gunting cap mata yang didatangkan khas dari Jerman untuk memotong kain. ![]() LUBANG yang membezakan potong kot oleh Beng Kim berbanding kebaya lain. Mendiang ibunya mempunyai pelbagai koleksi gunting dalam pembuatan potong kot. Sementara itu, Setiausaha Koperasi Kampung Cina Kuala Terengganu Berhad, Yap Chuan Bin, 62, memberitahu, pemergian Beng Kim merupakan satu kehilangan besar kepada komuniti Kampung Cina. "Sehingga kini tidak ada orang yang mampu menghasilkan warisan potong kot di Kampung Cina sehebat Beng Kim. "Saya masih ingat sewaktu kecil, hampir semua penduduk setempat akan menempah potong kot dalam meraikan majlis seperti perkahwinan, Tahun Baru Cina dan majlis rasmi. "Mendiang akan bertungkus-lumus menghasilkan potong kot untuk memenuhi tempahan agar penduduk dapat memadankan busana baharu mereka," katanya. Justeru, Chuan Bin amat berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana menjadikan rumah mendiang sebagai rumah warisan. Katanya, ia sedikit sebanyak dapat memperingati mendiang dan hasil kerjanya untuk didedahkan kepada generasi baharu. |
| You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |



















0 ulasan:
Catat Ulasan