Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Misi Gaza Rabbani
- Nabil Ahmad Belum Bersedia Kongsi Gambar Anak
- Asheed (Def Gab C) Teruja Jadi Bapa Semula Selepas 7 Tahun
- Shiro Tidak Berniat Elak Wartawan
- Jaclyn gugup jumpa Az Yet
- Hans Isaac rahsiakan calon isteri
- 6 bayi, 3 kanak-kanak diselamat
- Stor diesel di Segamat diserbu
- Bimbang retak menunggu belah
- Pengawal disko mati ditembak
- 21,000 bilah pisau diberikan kepada wanita di negeri India
- Williams pecahkan raket selepas kalah
- Letup gerabak untuk kajian
- Rangka tulang badak air dilelong
- Jepun serang bot Taiwan dengan meriam air
- Pelari maraton berusia 101 tahun akan bersara
- Trauma mangsa rogol
- Jaguh yang luput gelaran dan kepercayaan
- Kurang sabar ancam jantung
- Cikgu Eeda cetuskan minat belajar
- Hukum berimamkan orang solat sunat
| Posted: 24 Jan 2013 06:35 PM PST ![]() RABBANI prihatin dengan nasib rakyat Palestin. KEKEJAMAN rejim Zionis terhadap rakyat Palestin di Gaza telah mengorbankan banyak nyawa yang tidak berdosa khususnya wanita dan kanak-kanak. Tindakan yang tidak berperikemanusiaan itu telah dikecam oleh banyak pihak dari segenap pelosok dunia tidak mengira bangsa, agama dan usia. Mengenangkan nasib rakyat Palestin di sana yang menderita saban hari, pelbagai pihak tampil ke depan menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka. Golongan artis juga tidak terkecuali mengorbankan masa, tenaga dan harta mereka bagi membantu rakyat Palestin yang ditindas tentera Israel. Kumpulan nasyid terkenal tanah air, Rabbani tidak melepaskan peluang untuk menghulurkan bantuan dengan mengutip sumbangan bagi mengumpul dana yang akan disalurkan ke Gaza. Berganding bahu dengan Majlis Perundingan Persatuan Islam Malaysia (Mapim), Rabbani akan melakukan beberapa siri jelajah di seluruh negara dengan mengadakan majlis makan malam amal dan konsert yang bermula pada 26 Januari ini. Projek yang diusahakan bersama Mapim itu adalah bertujuan mengumpul dana bagi membina sebuah hospital materniti dan pediatrik di Gaza bagi membantu golongan wanita dan kanak-kanak khususnya di wilayah bergolak itu. Salah seorang anggota Rabbani, Azadan Abdul Aziz berkata, projek yang dikenali sebagai Hospital For Gaza (H4G) itu telah melantik Rabbani sebagai duta bagi membantu mengutip dana dengan mengadakan Majlis Makan Malam Amal H4G yang akan berlangsung di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya, Selangor sebagai permulaan. "Kita akan memulakan kempen mengutip dana ini dengan majlis makan malam di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya pada 26 Januari ini, pukul 8.30 malam, diikuti dengan konsert pada 29 Mac di Pulau Pinang yang akan diberitahu kelak lokasinya. "Selain daripada Rabbani, kita juga ada menjemput Datuk Sharifah Aini pada majlis makan malam tersebut bagi menghiburkan tetamu yang hadir," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini. Tambah Azadan, selain dua lokasi tersebut, Rabbani juga akan menjayakan konsert di Kelantan dan Johor serta konsert penutup di Stadium Melawati, Shah Alam, Selangor pada 29 Jun nanti. "Konsert terakhir yang akan diadakan pada bulan Jun itu nanti akan menampilkan ramai artis dan juga penampilan khas daripada Ustaz Don Danial. "Pemilihan artis pada konsert itu nanti kita akan buat bukan sahaja dalam kalangan yang boleh membuat persembahan tetapi juga mereka boleh menarik orang ramai untuk menderma. "Sasaran utama kami adalah untuk mengutip sebanyak mungkin dana di samping mencari penyumbang tetap kerana hospital ini memerlukan dana yang berterusan daripada rakyat Malaysia untuk beroperasi," katanya. Terdapat tiga pakej pembelian meja yang ditawarkan pada harga RM5,000, RM2,000 dan RM1,500 dan bagi sesiapa yang berminat boleh menghubungi Rabbani Production menerusi talian 03-6272 1225 untuk maklumat lanjut. "Kita juga ada mewujudkan akaun khas untuk H4G bagi sesiapa yang tidak dapat hadir ke acara berkenaan tetapi ingin memberikan sumbangan ikhlas. "Mereka boleh berbuat demikian dengan membuat pembayaran terus melalui akaun CIMB Yayasan Itmam H4G Rabbani bernombor 14270011413052. "Buat masa sekarang, inilah yang mampu kami lakukan untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat Palestin. Hasrat untuk ke sana memang ada cuma kami menumpukan kepada acara ini terlebih dahulu kerana kos untuk bawa kami ke sana lebih baik diberikan kepada mereka. "Jika ada penaja yang bermurah hati untuk membawa kami ke sana, kami akan menerima dengan hati yang terbuka dan sangat teruja sekiranya dapat menghiburkan para remaja di situ," ujarnya yang akan menerbitkan sebuah single khas untuk mengenang nasib dan perjuangan rakyat Gaza berjudul, Mawar Berdarah. | ||
| Nabil Ahmad Belum Bersedia Kongsi Gambar Anak Posted: 24 Jan 2013 06:34 PM PST Nabil tunggu masa yang sesuai untuk dedahkan gambar rasmi anak perempuannya.Ujar Nabil, 30, keputusan itu diambil bagi memenuhi permintaan isterinya Nazirah Ayub, 25, yang enggana berbuat demikian memandangkan bayi bernama Naira Mikayla itu baru berusia tiga bulan. "Kami belum paparkan gambar anak secara rasmi. Mana yang sudah terkeluar di Internet bukan secara rasmi daripada kami. "Isteri saya kata relakslah dulu sebab anak masih terlalu kecil," katanya ketika ditemui mStar Online di sini. Naira dilahirkan pada pukul 8.40 pagi menerusi pembedahan Caesarean di Klinik Umra, Shah Alam, dekat sini pada 25 November lalu. Pasangan itu diijabkabulkan pada 30 September 2011 di Masjid Sultan Mizan, Putrajaya. Nabil dan isteri, Nazirah ketika menyambut kelahiran anak perempuan mereka Naira Mikayla pada 25 November 2012."Setiap kali keluar bekerja, memang rasa hendak cepat balik sahaja untuk tengok anak. "Malah, saya juga menjadi lebih rajin sejak ada anak. Kalau dulu, jadual kerja pun saya minta pengurus yang semak tetapi sekarang saya mula buat sendiri," jelasnya. Nabil berkata, tumpuannya kini adalah pada lakonan sejak mengundurkan diri daripada stesen radio Suria FM, hujung tahun lalu. Katanya, dia juga bakal muncul dalam filem Lawak Ke Der 2 yang diterbitkan daripada rakaman pementasan yang sama di Istana Budaya pada Februari 2012. Filem yang turut membariskan Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik, Harith Iskander, Zizan Razak dan Johan itu bakal ditayangkan pada 7 Mac depan. | ||
| Asheed (Def Gab C) Teruja Jadi Bapa Semula Selepas 7 Tahun Posted: 24 Jan 2013 06:33 PM PST Asheed sudah tidak sabar bergelar bapa semula selepas tujuh tahun tidak menimang anak kecil.Asheed atau nama sebenarnya Mohd Ashid Ahmad, 39, berkata, keseronokan itu kian dirasai memandangkan isterinya Hafiza Ramli, 24, yang dikahwini pada Jun 2012 sedang hamil lima bulan. "Rasa seronok sangat sebab sudah lama tidak ada anak kecil. Anak lelaki saya hasil perkahwinan terdahulu sudah berumur tujuh tahun. "Saya menduda selama tiga tahun setengah jadi apabila isteri baharu hamil lima bulan, perasaan seronok itu susah nak gambarkan," katanya ketika ditemui mStar Online, baru-baru ini. Asheed bernikah dengan Hafiza yang merupakan seorang ahli perniagaan selepas tiga tahun setengah menduda. Sebelum ini, Asheed pernah mendirikan rumah tangga dengan Sharifah Noor Shima dan bercerai pada 11 Jun 2009. Mereka dikurniakan anak lelaki Megat Al-Dhamin Sufi yang kini berusia tujuh tahun. Asheed berkata, dia kini lebih bersiap sedia menjelang kelahiran bayi itu pada Mei depan berbekalkan pengalaman lalu. "Kali ini saya semakin berpengalaman dan buat persiapan yang lebih baik untuk bergelar bapa semula," katanya. Beralih pada kerjaya, penyanyi yang popular dengan lagu Cinta Sakti itu berkata, dia mahu bergiat aktif semula dalam nyanyian selepas empat tahun berehat. Katanya, 2013 menyaksikan permulaan yang baik apabila dapat mengeluarkan album khas berjudul Projek 3D (3 Duda: Dadidu) yang sudah dirancang sejak tiga tahun lalu bersama penyanyi Radhi (OAG) dan CD Naz (Silkhanaz). "Sebelum ini, saya cuba menceburi bidang perniagaan tetapi jiwa dan keinginan untuk menyanyi tidak pernah hilang. "Saya cuba membuat album bersama kumpulan baharu pada Julai 2012 tetapi kurang menjadi. Saya berharap album 3 Duda ini dapat diterima peminat," katanya. | ||
| Shiro Tidak Berniat Elak Wartawan Posted: 24 Jan 2013 06:31 PM PST Shiro memberitahu berasa rendah diri apabila berhadapan dengan pihak media kerana berasa mereka tidak popular. Shiro yang dianggotai oleh Shahrol dan Ajak sebaliknya memberitahu mereka berasa rendah diri setiap kali berhadapan dengan wartawan kerana menganggap diri tidak popular. "Bukan larikan diri tetapi kami menganggap diri tidak popular selain tiada bahan untuk diceritakan kepada pihak media. "Atas alasan itu juga selepas selesai sesuatu majlis meibatkan pihak media kami akan terus balik," jelas Shahrol kepada mStar Online. Shiro ditemui selepas pertandingan akhir MLM 2012 yang diadakan di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Baru (MBJB) pada Ahad malam lalu. Pada pertandingan itu, kumpulan Jozan yang dianggotai oleh Johan dan Zizan dinobatkan sebagai juara manakala kumpulan Jambu (Yus dan Tauke) ditempat kedua. Shahrol dan Ajak membawa pulang wang tunai RM150,000 berserta trofi. Gandingan mereka telah dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga program Maharaja Lawak Mega 2012 baru-baru ini. Malah kata Ajak, mereka menjangkakan akan tersingkir pada minggu ke empat pertandingan. "Dapat masuk final adalah satu kejayaan besar buat kami berdua kerana semua peserta yang masuk hebat-hebat belaka. "Malah kami langsung tidak tertekan menghadapi peringkat akhir kerana tidak menyasarkan untuk menang. "Bagaimanapun kami berdua bersyukur dengan rezeki yang diberikan kepada kami," ujarnya. Ditanya mengenai hadiah kemenangan mereka, Ajak berkata, dia bercadang untuk menghadiahkan jubah dan songkok kepada pelajar-pelajar Sekolah Kampung Hj Manan, Kluang, dekat sini. Sementara itu, Shahrol berkata, mereka berdua berharap dengan kemenangan itu akan membuka lebih banyak peluang kepada mereka sebagai pelawak. | ||
| Posted: 24 Jan 2013 06:29 PM PST
![]() ANGGOTA Az Yet terdiri daripada (dari kiri) Shawn Rivera, Claude Thomas, Kenny Terry dan Dion Allen. TEKA-TEKI mengenai kolaborasi penyanyi bersuara lantang, Jaclyn Victor dengan sebuah kumpulan popular tahun 1990-an dari Amerika Syarikat (AS) yang selama ini dirahsiakan oleh Jaclyn mahupun pihak pengurusan kerjaya seni suaranya iaitu KRU Studios, akhirnya terjawab. Kosmo! baru-baru ini diundang ke penggambaran klip video lagu Magical Moment nyanyian Jaclyn bersama kumpulan popular tersebut di Studio B Sync, Kuala Lumpur. | ||
| Hans Isaac rahsiakan calon isteri Posted: 24 Jan 2013 06:26 PM PST
MELIHAT kepada perkembangan kerjaya sepanjang 20 tahun selaku pengarah, pelakon dan penerbit, sudah pelbagai kejayaan yang pernah diraih oleh Hans Isaac. Bagaimanapun, dengan usianya yang bakal mencecah 42 tahun, sudah ramai peminatnya yang ingin mengetahui bilakah Hans bakal menamatkan zaman bujangnya setelah beberapa kali gagal dalam percintaan. Sementelah buat masa ini, dia sering dikaitkan mempunyai hubungan istimewa dengan pelakon dan pengacara, Neelofa sehinggakan pernah digosip bercuti bersama-sama di luar negara pada tahun lalu. Hans yang ditemui pada majlis pelancaran filem Lawak Ke Der 2 di Hotel Premiera, Kuala Lumpur baru-baru ini mendedahkan, dia mahu mendirikan rumah tangga pada pertengahan tahun hadapan. Kini, yang menjadi persoalannya adakah penerima Anugerah Pengarah Harapan Terbaik dan Lakon Layar Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-21 itu bakal mendirikan rumah tangga dengan pelakon yang sering digosipkan dengannya itu? Kosmo!: Bagaimanakah hubungan Hans dengan Neelofa sekarang? Dengarnya kini kalian berdua sudah tidak rapat lagi seperti dahulu? HANS ISAAC: Apa yang boleh saya katakan hubungan kami masih tetap seperti biasa sebagai teman rapat. Namun, saya tidak dapat hendak menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai sejauh mana hubungan kami. Apakah komen Hans apabila terus diajukan pertanyaan mengenai hubungan rapat dengan Neelofa? Sejujurnya, saya memang dah bosan apabila asyik diajukan mengenai perkara ini dan lebih selesa untuk berdiam diri daripada terus memberi sebarang kenyataan. Lagipun, filem yang menampilkan kami bergandingan bersama iaitu Lemak Kampung Santan akan ditayangkan pada 29 Mei ini. Jadi, saya tidak mahu kisah saya dan Neelofa dijadikan sebagai publisiti murahan untuk menarik minat orang ramai menonton filem ini nanti. Pada usia yang sudah mencecah 42 tahun, adakah Hans terfikir mahu mendirikan rumah tangga? Sebenarnya saya pernah terfikir untuk berkahwin sejak tiga tahun yang lalu, tetapi pada masa itu saya perlu memberi sepenuh perhatian kepada mendiang ibu saya, Carmina Anciano Isaac yang sedang sakit. Kini, setelah ibu saya meninggal dunia barulah saya tergerak hati untuk melakukan suatu perubahan dalam hidup, termasuk mengenai perkahwinan. Lagipun, sasaran saya paling awal untuk mendirikan rumah tangga pada pertengahan tahun 2014. Dengan kenyataan yang dibuat ini seolah-olah Hans sudah mempunyai calon isteri sekarang. Adakah ia benar? Berkenaan dengan calon isteri, saya tidak mahu memberikan sebarang komen buat masa ini kerana ia terlalu peribadi untuk diceritakan. Biarlah buat masa ini, saya tidak berkata apa-apa mengenainya. Bagaimanapun, saya akan tetap memberikan kenyataan apabila sudah tiba masa yang sesuai untuk menceritakannya. Sekarang ini, lebih baik saya mengunci mulut tanpa memberikan sebarang kenyataan kepada mana-mana pihak. Kenapakah Hans seperti mahu berahsia pula? Semuanya disebabkan pengalaman saya yang lepas terutamanya mengenai percintaan. Apabila hubungan saya dengan seseorang wanita itu tidak menjadi, kebanyakan pihak akan menyalahkan saya seorang. Lagipun, saya perlu pastikan wanita yang dipilih untuk menjadi teman hidup adalah pilihan yang tepat. Ini kerana saya inginkan hubungan yang berkekalan dan bukannya bercerai selepas beberapa tahun berkahwin. | ||
| 6 bayi, 3 kanak-kanak diselamat Posted: 24 Jan 2013 06:24 PM PST
GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang melumpuhkan satu sindiket penjualan bayi terbesar di negara ini ekoran penahanan 33 individu sebelum berjaya menyelamatkan enam bayi dan tiga kanak-kanak yang sudah dijual kepada keluarga angkat masing-masing dalam beberapa serbuan bermula Disember tahun lalu sehingga kelmarin. Ahli sindiket menjual bayi yang ditahan berusia antara 23 tahun dan 62 tahun dan ada antara mereka merupakan kakitangan awam di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta doktor di pusat perubatan swasta. Enam bayi dan tiga kanak-kanak yang diselamatkan itu terdiri daripada tiga lelaki dan enam perempuan. Mereka pula dipercayai melibatkan tujuh warga Thailand dan masing-masing seorang rakyat tempatan dan seorang lagi warga Bangladesh. Difahamkan, kesemua bayi dan kanak-kanak berkenaan dijual kepada pasangan yang tidak mempunyai zuriat pada harga RM18,000 hingga RM30,000 setiap seorang. Bayi yang dijual pada harga RM30,000 mempunyai sijil kelahiran, MyKid dan surat kesihatan. Bagaimanapun, penetapan harga bayi juga boleh ditentukan mengikut rupa paras, warna kulit dan jantina bayi terbabit. Kegiatan sindiket yang didalangi seorang wanita Cina tempatan berusia 50-an yang turut ditahan itu mendapat bekalan bayi untuk dijual dengan menyasarkan wanita Indonesia dan Thailand yang hamil anak luar nikah atau mengalami kesempitan wang. Ibu yang mengandung dan bekerja di negara ini dikatakan sanggup menjual bayi masing-masing bagi mendapatkan wang. Sindiket terbabit disyaki mendapatkan maklumat mengenai wanita hamil termasuk yang mahu menggugurkan kandungan daripada doktor di sebuah klinik swasta di sini. Dalang dan doktor di klinik swasta itu akan bekerjasama dalam urusan pengumpulan maklumat ibu mengandung warga asing yang mendapatkan rawatan susulan di klinik tersebut. Kakitangan di JPN yang mengurus proses pengeluaran sijil kelahiran turut diberi sejumlah wang. Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, kegiatan sindiket itu dikesan selepas polis menerima laporan pada awal Disember 2012 mengenai penjualan seorang bayi berusia 40 hari pada harga RM4,300 oleh seorang wanita warga asing. "Daripada maklumat itu polis melalui Ops Pintas Sayang membongkar satu sindiket jual bayi yang bergerak aktif sejak tahun 2009 sebelum berjaya menyelamatkan lapan bayi dan seorang kanak-kanak yang berada di negeri ini, Kedah dan Perak," kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam. Menurut beliau, seramai 33 orang yang terdiri daripada 22 suspek berketurunan Cina, enam India, seorang Melayu, seorang rakyat Thailand dan tiga warga Indonesia itu diberkas. "Sindiket ini hanya membayar kepada ibu mengandung yang tidak mahu bayi mereka antara RM2,500 hingga RM4,500," katanya. Mereka yang diberkas ada yang bekerja sebagai ahli perniagaan, pekerja kilang dan seorang kakitangan JPN. Abdul Rahim memberitahu, dalam siri serbuan itu, polis merampas 19 buah telefon bimbit, dua buah kereta, lima MyKid, 14 sijil kelahiran, 18 kad perubatan dan wang tunai berjumlah RM15,000. Kesemua yang ditahan direman sehingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan jika sabit kesalahan, kesemua mereka boleh dipenjara maksimum sehingga 20 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. | ||
| Stor diesel di Segamat diserbu Posted: 24 Jan 2013 06:23 PM PST ![]() DUA daripada tiga buah tangki yang diletakkan di stor di Jalan Segamat-Kuantan, Segamat. SEGAMAT – Hanya seminggu selepas serbuan sebuah stor menyimpan minyak diesel di Pengerang, kegiatan penyeludupan minyak subsidi itu rupa-rupanya sudah merebak ke sebuah kawasan lapang di Jalan Segamat-Kuantan di sini. Rahsia tersebut terbongkar apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu markas pengumpulan minyak diesel itu yang dipercayai sudah aktif beroperasi di situ kira-kira setahun lalu. Semasa serbuan pada pukul 5 petang Selasa lalu, KPDNKK menemui sejumlah 250,000 liter minyak diesel yang berharga RM450,000 yang dikumpul di markas itu dalam tempoh dua minggu lalu. Kesemua minyak diesel itu disimpan dalam tiga buah tangki dan ia dalam proses diseludup ke negara jiran. Pemeriksaan di tanah lapang yang dikelilingi zink dan dijaga oleh beberapa tonto itu dipercayai didalangi seorang lelaki berusia 30-an. Lelaki itu masih bebas. Satu sumber berkata, modus operandi sindiket itu dikatakan menggunakan beberapa buah lori ais dan treler bagi mengangkut minyak diesel yang dibeli di stesen-stesen minyak di sekitar daerah ini. Seperti kegiatan penyeludupan minyak di Pengerang yang terletak kira-kira 250 kilometer dari daerah ini, sindiket itu juga menggunakan cara sama iaitu membeli minyak diesel pada harga RM1.85 setiap liter berbanding dengan harga asal RM1.80. Kegiatan membeli diesel itu pula dilakukan pada waktu malam hingga awal pagi dan kerja-kerja menyimpan diesel dari lori ke dalam tangki di stor itu dilakukan pada waktu pagi hingga petang. Setiap buah kenderaan yang mampu menampung 6,000 liter minyak diesel itu dikatakan akan memunggah bekalan minyak ke stor itu sebanyak tiga kali sehari. "Pekerja di stesen minyak di daerah ini menerima komisen lima sen bagi setiap liter diesel yang dijual kepada sindiket itu tanpa had," kata sumber itu. Selepas tiga tangki di stor itu penuh, sindiket itu akan memunggah minyak itu ke kawasan persisir pantai di beberapa lokasi di Johor Bahru untuk dihantar ke kapal dan diseludup ke negara jiran. Jelas sumber itu lagi, sindiket itu memilih daerah ini sebagai lokasi membeli minyak diesel subsidi kerana beberapa daerah lain di Johor Bahru sudah dimonopoli oleh sindiket lain yang lebih berkuasa. Sementara itu, Ketua Penolong Kanan Penguasa SPRM Putrajaya, Mohd. Yusof Zakaria yang mengetuai operasi tersebut berkata, semasa pemeriksaan di stor itu, mereka menahan pekerja lelaki berusia 26 tahun. Menurut beliau, lelaki itu yang terkejut dengan kemunculan pihak berkuasa bertindak menghubungi dalangnya. Bagaimanapun, dalang sindiket itu tidak muncul. "Dalam serbuan itu kami menyita dua buah lori dan 30,000 liter diesel yang disimpan di stor itu," kata beliau lagi. Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Operasi dan Pembangunan KPDNKK, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, serbuan Selasa lalu merupakan antara sindiket penyeludup minyak diesel yang dipantau pihaknya. Menurut beliau, kegiatan penyeludupan diesel banyak dilaporkan di Johor kerana faktor geografinya yang berdekatan dengan laut dan negara jiran menyebabkan bekalan minyak diesel mendapat permintaan tinggi. Difahamkan, diesel seludup yang dijual oleh sindiket ke Singapura, Thailand atau Indonesia pada harga antara RM2.20 hingga RM2.40 satu liter. | ||
| Posted: 24 Jan 2013 06:22 PM PST
SHAH ALAM - Kira-kira 1,000 penghuni Pangsapuri Indahria di Seksyen 22 di sini dilanda kebimbangan ekoran masalah rekahan tanah yang menyebabkan struktur kediaman mereka retak sejak setahun lalu. Penduduk mendakwa ia berpunca daripada beberapa batang tiang struktur bangunan letak kereta bersebelahan blok pangsapuri 15 tingkat itu patah awal tahun lepas diikuti rekahan tebing akibat hakisan tanah di tepi Sungai Damansara. Tinjauan Kosmo! semalam mendapati, jalan raya di tepi pangsapuri itu yang menghala ke kawasan letak kenderaan turut retak dan hanya ditutup dengan plastik oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sejak September lalu. Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri Indahria, Anuar Pin berkata, pihaknya telah merujuk masalah itu kepada pemaju, Shanghai Realty (M) Sdn. Bhd. tetapi setakat ini tiada tindakan diambil. Dakwanya, pemaju sebaliknya menyalahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kerana menjalankan projek mendalamkan anak sungai yang terletak bersebelahan pangsapuri itu pada bulan Mac tahun lalu. ![]() LALUAN di tempat letak kenderaan yang retak hanya ditutup dengan plastik. "Pemaju sebenarnya tahu masalah keretakan bangunan pangsapuri telah berlaku sebelum kerja-kerja mendalamkan sungai dijalankan. "Sebenarnya projek JPS ini telah berjaya menghalang keretakan lebih besar berlaku selepas mereka membina tembok penghadang hakisan," katanya di sini semalam. Anuar berkata, penduduk kecewa dengan kegagalan MBSA menyelesaikan masalah itu walaupun beberapa perbincangan dilakukan sejak Mei tahun lalu. Seorang penduduk, Hishamudin Ali, 39, berkata, masalah serupa pernah berlaku pada tahun 2010 namun ia telah diselesaikan pemaju setelah mendapat perhatian media. Dakwanya, syarikat pemaju telah diberitahu oleh syarikat perunding yang mereka lantik sendiri mengenai pergerakan tanah yang boleh menjejaskan struktur bangunan itu. "Sekarang bukti sudah di depan mata. Mengapa pemaju dan MBSA masih gagal menyelesaikan masalah ini sedangkan ia sudah setahun berlaku. "Kami harap mereka mengambil langkah segera untuk menyelesaikan isu ini dan tidak memperjudikan nyawa penduduk," tegasnya. Sementara itu, Timbalan Pengarah Korporat MBSA, Shahrin Ahmad ketika dihubungi menjelaskan, pihaknya akan memaklumkan masalah itu kepada kerajaan negeri pada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor pada minggu hadapan. "MBSA akan memastikan sebarang tindakan yang diambil hasil mesyuarat tersebut akan dapat mengatasi masalah tersebut secepat mungkin demi keselamatan penduduk," ujarnya. | ||
| Posted: 24 Jan 2013 06:20 PM PST ![]() ANGGOTA polis membawa seorang suspek (depan) yang dipercayai terlibat kes tembak mati di Lorong Desa Murni, Seberang Perai Utara semalam. GEORGE TOWN - Seorang pengawal sebuah kelab malam ditemui mati dengan kesan satu das tembakan di rusuk kiri menembusi dada selepas terlibat dalam pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki di sebuah kedai alat tulis di Lorong Desa Murni, Seberang Perai Utara (SPU) di sini semalam. Dalam kejadian pukul 5 pagi itu, mangsa Fauzi Husin, 24, dilaporkan mati di tempat kejadian setelah ditembak dari jarak dekat oleh seorang daripada 10 suspek yang berada di lokasi kejadian. Premis yang menjadi lokasi pergaduhan itu merupakan sebuah stor simpanan barang alat tulis. Sebelum tercetus pergaduhan, mangsa dan kumpulan suspek itu dikatakan mengadakan perbincangan mengenai satu urusan perniagaan. Menurut seorang jurucakap polis, siasatan mendapati suspek utama yang terlibat dalam pergaduhan itu merupakan lelaki berusia 31 tahun. Lelaki itu dipercayai Ketua Kongsi Gelap 24 yang menjalankan kegiatan di kawasan Bayan Lepas di sini. Mengikut keterangan saksi, pengawal peribadi suspek itu dikatakan melepaskan tembakan ke arah mangsa. Mangsa yang terbunuh dan suspek utama mempunyai rekod berkaitan kes dadah. Sementara itu, Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat lelaki terbabit daripada orang awam yang menghubungi Balai Polis Sungai Dua. Beliau berkata, pemeriksaan pasukan polis forensik di lokasi kejadian menjumpai satu kelongsong peluru dan empat kotak mercun bola yang dipercayai digunakan sebagai bahan letupan. "Kesemua yang terlibat dalam pergaduhan itu dipercayai berada di bawah pengaruh dadah dan alkohol kerana terdapat banyak tin minuman keras ditemui di lokasi kejadian," kata beliau pada sidang akhbar di sini. Abdul Rahim berkata, setakat ini polis menahan enam suspek termasuk suspek utama kejadian itu. " Tangkapan itu membabitkan dua lelaki Melayu, dua lelaki Cina, seorang wanita Melayu dan seorang perempuan Vietnam," kata beliau. | ||
| 21,000 bilah pisau diberikan kepada wanita di negeri India Posted: 24 Jan 2013 06:16 PM PST ![]() SEORANG wanita memegang sebilah pisau yang diberikan oleh kakitangan parti Shiv Sena di Mumbai kelmarin. MUMBAI – Sebuah parti politik berhaluan kanan India mengedarkan beribu-ribu bilah pisau kepada golongan wanita di sebuah negeri di barat India untuk digunakan mereka jika diserang. Pisau-pisau itu diberikan selepas seorang pelajar wanita yang berusia 23 tahun mati akibat dirogol oleh beberapa lelaki pada Disember tahun lalu. Parti Shiv Sena itu mengedarkan senjata tersebut pada Rabu lalu pada sebuah majlis yang diadakan di sini. Pemimpin parti itu, Ajay Chowdhary berkata, wanita harus menyimpan pisau tersebut dekat dompet mereka. Sejumlah 21,000 bilah pisau itu diedarkan manakala negeri Maharashtra yang kerap berlaku kejadian rogol dan bunuh menjadi tumpuan utama pengedaran. | ||
| Williams pecahkan raket selepas kalah Posted: 24 Jan 2013 06:15 PM PST ![]() WILLIAMS memukul raketnya ke atas gelanggang selepas dia kalah pada pertandingan suku akhir Terbuka Australia di Melbourne kelmarin. MELBOURNE, Australia - Pemain tenis terkenal dunia dari Amerika Syarikat (AS), Serena Williams memecahkan raket selepas dia kalah pada perlawanan suku akhir di sini kelmarin. Williams, 31, melakukan perbuatan itu selepas dia tewas kepada pemain berusia 19 tahun, Sloane Stephens juga dari AS pada pertandingan Terbuka Australia. Dia memukul raket tersebut ke atas gelanggang bagi menunjukkan perasaan kecewa ekoran kekalahannya itu. | ||
| Posted: 24 Jan 2013 06:14 PM PST ![]() GAMBAR yang disiarkan kelmarin menunjukkan sebuah gerabak diletupkan untuk tujuan kajian oleh sekumpulan penyelidik Universiti Newcastle. LONDON - Beberapa penyelidik di Pusat Penyelidikan Rel, Universiti Newcastle, Britain meletupkan beberapa gerabak kereta api yang tidak lagi digunakan baru-baru ini. Tren itu diletupkan dengan tujuan untuk menyaksikan serpihan gerabak tersebut berterbangan. Letupan tersebut dirakamkan menerusi kamera. Kumpulan penyelidikan itu pernah menyatakan mereka mereka berjaya menghasilkan gerabak yang boleh mengurangkan bilangan kematian dan kecederaan penumpang jika berlaku serangan pengganas. Pengurangan kecelakaan itu boleh dilakukan menerusi penggunaan tingkap plastik bagi mengelak kaca berterbangan apabila gerabak dibom pengganas. | ||
| Rangka tulang badak air dilelong Posted: 24 Jan 2013 06:13 PM PST ![]() SEORANG pekerja Rumah Lelongan Bonhams menyaksikan rangka tulang seekor badak air di London semalam. LONDON - Rangka tulang seekor badak air akan dilelong di sini pada 29 hingga 30 Januari depan. Ia dijangka dilelong pada harga antara AS$16,000 (RM48,659) hingga AS$24,000 (RM72,989). Lelongan itu dianjurkan oleh Rumah Lelongan Bonhams. Turut dilelong ialah sebatang cerut buatan Cuba yang pernah dimiliki oleh bekas Perdana Menteri Britain, Sir Winston Churchill. Cerut tersebut dianggarkan akan dilelong pada harga antara AS$810 (RM2,463) hingga AS$1,100 (RM3,345). | ||
| Jepun serang bot Taiwan dengan meriam air Posted: 24 Jan 2013 06:12 PM PST ![]() SEBUAH kapal pengawal pantai Jepun melepaskan tembakan meriam air ke arah bot nelayan Taiwan dekat Kepulauan Senkaku semalam. TAIPEI - Sebuah kapal pengawal pantai Jepun melepaskan tembakan meriam air ke arah sebuah bot nelayan yang membawa beberapa aktivis Taiwan ke Kepulauan Senkaku di Laut China Timur semalam. Bot itu membawa tujuh orang penumpang selain empat aktivis itu telah disekat oleh kapal pengawal pantai tersebut kira-kira 17 batu nautika dari kepulauan berkenaan. Sebuah kapal pengawal pantai milik Taiwan turut melepaskan tembakan meriam air ke arah kapal milik Jepun itu. Ketika kejadian, para aktivis itu menuju ke kepulauan tersebut bagi meletak sebuah patung dewi laut untuk melindungi nelayan-nelayan Taiwan ketika berada di kawasan berkenaan. Tiga buah kepal peninjau China turut kelihatan dekat pulau itu ketika kejadian tersebut berlaku. Kepulauan Senkaku yang turut dikenali sebagai Diaoyu di China menjadi rebutan antara China, Jepun dan Taiwan. | ||
| Pelari maraton berusia 101 tahun akan bersara Posted: 24 Jan 2013 06:11 PM PST ![]() GAMBAR fail menunjukkan Fauja (dua dari kanan) menyertai pertandingan maraton di Mumbai, India. NEW DELHI - Seorang lelaki berusia 101 tahun, Fauja Singh akan bersara sebagai pelari maraton pada 24 Februari depan, menurut laporan media semalam. Fauja berkata, dia tidak akan bertanding lagi selepas menyertai pertandingan Hong Kong Maraton pada tarikh tersebut. Dia yang kini menjadi warga Britain akan menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-102 pada 1 April depan. Fauja kini merupakan pelari maraton paling tua di dunia. "Bagaimanapun, saya akan terus berlari sekurang-kurangnya empat jam sehari selepas pertandingan itu," katanya yang tinggal di Ilford, England. Fauja memberitahu hasratnya itu kepada akhbar Times of India semasa dia melawat negeri kelahirannya, Punjab di India. Dia mula berlari ketika berusia 89 tahun dan pernah bertanding pada pertandingan maraton di London, Toronto dan New York. Lelaki tersebut dilahirkan pada 1 April 1911 di India. Fauja menegaskan dia tidak pernah menghidap sebarang penyakit. Pelari itu menyatakan, dia juga tidak mengambil sebarang ubat-ubatan. Menurutnya, punca utama dia sihat adalah kerana senaman yang dilakukannya pada setiap hari selain mengamalkan diet yang betul. | ||
| Posted: 24 Jan 2013 06:10 PM PST ![]() TRAUMA yang perlu dilalui mangsa bukan hanya kejadian rogol itu sendiri, bahkan pandangan serong masyarakat ke atas dirinya.-Gambar hiasan SETIAP hari, apabila kita membaca laporan akhbar, kita akan menemui ada saja berita mengenai kejadian rogol. Kita yang membacanya mungkin tidak lagi menganggap ia sebagai berita yang menakutkan kerana ia seolah-olah pengulangan cerita. Bagaimanapun, satu berita rogol di India telah menggemparkan dunia. Ia tidak menjadi berita biasa lagi. Jyoti Singh Pandey, seorang pelajar fisioterapi bukan sahaja dirogol secara beramai-ramai, malah dipukul dengan teruk sehingga cedera di bahagian otak dan jantung sewaktu menaiki bas. Lebih malang, dia kemudiannya dicampak keluar begitu sahaja dari bas, seolah-olahnya gadis itu bukan seorang manusia. Mengapa ada lelaki yang begitu kejam, sehinggakan ada yang sanggup merogol wanita yang sepatutnya diberikan pembelaan? Terdapat pelbagai perspektif mengapa ada orang yang menjadi perogol. Antara yang popular ialah perogol merupakan individu yang mengalami gangguan psikotik atau mereka yang mempunyai kecelaruan personaliti. Perspektif lain pula menyatakan bahawa lelaki secara biologikalnya mempunyai sifat untuk menguasai wanita. Ada pula yang berpandangan bahawa ada individu yang terdorong oleh deviant sexual fantasies yang menyebabkan mereka cenderung untuk melakukan tingkah laku seks sesuai dengan imaginasinya yang janggal itu. Walaupun fantasi seks tidak semestinya akan menyebabkan berlakunya kejadian rogol, banyak kajian mendapati kebanyakan perogol mempunyai kejanggalan pola pemikiran. Walau apa pun penjelasan yang cuba dilakukan untuk menghuraikan siapakah perogol, ia bukanlah isu utama. Isu utama yang sepatutnya difikirkan bersama adalah mengapa dalam kebanyakan kejadian rogol, mangsa selalu dipersalahkan. Ia bukan hanya melibatkan orang awam, malah dalam kalangan profesional dan ahli politik. Pelbagai alasan dicari untuk menjustifikasi sebab berlakunya rogol. Berpakaian seksi atau berjalan seorang diri di tempat gelap misalnya telah dikatakan sebagai penyebabnya. Salahkan mangsa rogol Dalam kebanyakan kes, orang melupakan kejahatan perogol, sebaliknya wanita yang menjadi mangsa dianggap sebagai punca kejadian. Kajian-kajian psikologi yang dijalankan juga menunjukkan pola yang sama. Mangsa sering menjadi subjek yang dipersalahkan. Dalam satu kajian eksperimen menggunakan kaedah mock jury paradigm misalnya melaporkan bahawa terdapat kebarangkalian untuk juri tersilap melakukan penghakiman terhadap kejadian rogol. Manusia cenderung untuk meletakkan kesalahan di bahu mangsa dan bukan perogol itu sendiri. Kajian yang dijalankan oleh Amnesty International United Kingdom pada tahun 2005 pula menunjukkan bahawa masyarakat cenderung menyalahkan mangsa sekiranya mereka mempunyai ramai pasangan lelaki atau dalam keadaan mabuk. Kajian-kajian yang dijalankan di beberapa negara lain termasuk Australia, Turki dan Sepanyol misalnya, menunjukkan bahawa mangsa biasanya jarang diberikan simpati. Mereka dianggap sebagai 'pesalah' dan kejahatan perogol dilupakan begitu sahaja. Persoalan mengenai siapa yang bersalah juga bergantung kepada siapa yang ditanya. Golongan lelaki cenderung untuk menyalahkan mangsa dibandingkan jika soalan yang sama ditanya kepada wanita. Stereotaip bahawa 'wanita mempunyai rahsia untuk dinodai' (women have a secret desire to be raped) sebenarnya bakal memunculkan banyak masalah. Ia menyebabkan mangsa yang dirogol berasa malu untuk melaporkan kejadian rogol kepada pihak berkuasa. Persepsi negatif masyarakat juga menjadikan mangsa tidak berupaya mendapatkan sokongan yang sepatutnya diperoleh. Mereka akan dianggap sebagai pencetus kepada kejadian rogol dan bukannya pihak lelaki yang memulakannya. Sebab itulah, masyarakat perlu lebih adil dalam menghakimi kejadian rogol. Simpati kita terhadap mangsa mungkin mampu membantu mereka. Tidak ada salahnya wanita berpakaian cantik atau mempunyai teman lelaki. Bagaimanapun, ia menjadi kesalahan apabila lelaki tidak mampu menghargai maruah seorang wanita. | ||
| Jaguh yang luput gelaran dan kepercayaan Posted: 24 Jan 2013 06:09 PM PST
SIAPA boleh melupakan kecekalan Lance Armstrong, 42, bertarung dengan penyakit kanser testis apabila beliau disahkan menghidap penyakit berbahaya itu pada bulan Oktober 1996. Tambah mengharukan apabila lelaki dari Texas, Amerika Syarikat (AS) itu membangunkan Yayasan Lance Armstrong (Livestrong) bagi membantu pesakit-pesakit kanser yang senasib dengannya. Armstrong terus dijulang masyarakat di seluruh dunia selepas menjuarai Kejohanan Lumba Basikal Antarabangsa Le Tour de France pada tahun 1999. Namanya tambah gemilang apabila beliau berjaya mengekalkan gelaran yang sama setiap tahun sehingga tahun 2005. Dalam arena berbasikal, Armstrong ialah jaguh yang dipandang tinggi atlet lain. Beliau adalah perlambangan inspirasi bagi anak-anak muda yang mahu memburu kejayaan dalam kehidupan. Selain itu, Armstrong turut menjadi idola utama kepada lima cahaya matanya. Walaupun demikian, sehebat manapun seseorang individu, pasti tersimpan secebis rahsia yang mampu memusnahkan seluruh kehidupan dalam sekelip mata. Itulah realiti yang dihadapi Armstrong. Legenda sanjungan ramai itu kini sedang meniti hari-hari sepi dan pedih ekoran tindakan lampau yang akhirnya memakan diri. Selepas digantung seumur hidup dalam sukan berbasikal dan dilucutkan gelaran atas kemenangannya dalam kesemua tujuh Le Tour de France pada bulan Oktober tahun lalu, Armstrong akhirnya membenamkan egonya dan membuat pengakuan penuh dalam rancangan bual bicara yang dikendalikan mogul dunia penyiaran, Oprah Winfrey, pada minggu lepas. Tuduhan menggunakan bahan terlarang dalam setiap pertandingan bermula dari tahun 1999 sehingga 2005 yang difailkan Agensi Anti-Doping Amerika Syarikat (USADA) yang dinafikan pada awalnya, diakui sendiri Armstrong dalam rancangan yang berjaya menarik 28 juta penonton di seluruh dunia itu. Siaran eksklusif yang dipecahkan kepada dua siri itu menyaksikan Armstrong mengakui, buat kali pertama, dia pernah menggunakan bahan terlarang jenis eritropoietin (EPO), testosteron, melakukan pemindahan darah dan menipu dalam ketujuh-tujuh kejohanan Le Tour de France yang dimenanginya. "Saya malu dengan tindakan dan penipuan yang saya lakukan. Pada awalnya saya berfikir, sekiranya hal ini didedahkan, saya pasti kehilangan profesion sebagai pelumba basikal untuk selama-lamanya, ditangkap pihak berkuasa dan hal-hal lain yang tidak sanggup saya bayangkan. "Hakikatnya, jenayah utama yang saya lakukan adalah mengkhianati mereka yang selama ini yakin dan menyokong penuh kerjaya saya. Mereka telah tertipu," riak wajah Armstrong yang pada mulanya dilihat tenang berubah penuh kesal. ![]() OPRAH WINFREY (kanan) ketika menemubual Armstrong dalam rancangan terbitan stesen TV OWN yang berjaya menarik 28 juta penonton di seluruh dunia. Reaksi keluarga Winfrey kemudiannya menyentuh isu yang lebih sensitif apabila bertanyakan mengenai reaksi keluarga Armstrong terhadap situasi tersebut. Ternyata, pengakuan tentang anak-anaknya menjentik emosi Armstrong. Dengan mata yang berkaca, Armstrong berkata: "Apabila anak sulung saya, Luke yang berumur 13 tahun berkata kepada saya bahawa ramai orang bercakap tentang ayahnya, saya tahu sudah tiba masanya untuk saya memberitahunya perkara sebenar. "Saya pesan kepadanya, jika orang bercakap buruk tentang saya, jangan cuba membela saya. Beritahu mereka bahawa ayah (saya) minta maaf." Seperti bekas isteri Armstrong, Kristin Richard yang penuh kelembutan, Luke dengan mudah memaafkan bapanya tanpa sebarang prejudis dan menyatakan hal tersebut tidak akan menghapuskan sekelumit sayang terhadap bapanya itu. Winfrey turut bertanya kepada Armstrong sama ada bekas isterinya, Kristin tahu tentang penglibatannya dengan bahan terlarang dan penipuan yang diwujudkan. Armstrong mendedahkan, Kristin pernah meminta dirinya berjanji untuk kembali beraksi dalam sukan berbasikal pada tahun 2009 sebagai atlet bebas dadah. "Kristin memberitahu saya: 'Awak boleh lakukannya dengan satu syarat, awak tidak melanggar peraturan.' Saya bersetuju dan tidak pernah sekali saya melanggar perjanjian tersebut," kongsi Armstrong yang mengakui beliau bebas menggunakan dadah dalam pertandingan yang disertai bermula pada tahun 2009. Armstrong seharusnya bersyukur kerana dalam keadaan tertekan sebegitu dan ditambah lagi dengan peminat dan masyarakat dunia yang mencemuh tindakan silamnya, beliau masih disokong penuh keluarganya termasuk kekasih, Anna Hansen, yang melahirkan dua cahaya mata Armstrong. ![]() SHERYL CROW bersama tiga anak Armstrong ketika perlumbaan Le Tour de France pada tahun 2005. Akibat penipuan Sebagai balasan, hampir kesemua penaja Armstrong telah menarik diri dan dianggarkan beliau mengalami kerugian berjumlah AS$75 juta (RM228 juta). Kerugian itu tidak termasuk jumlah tuntutan yang dikemukakan beberapa penganjur pertandingan yang disertai Armstrong sepanjang tempoh dia didakwa menggunakan bahan terlarang tersebut. Bagaimanapun, detik paling menyayat hatinya adalah apabila beliau terpaksa melepaskan posisinya dalam Livestrong. Ujarnya: "Yayasan tersebut ibarat anak keenam saya dan keputusan untuk meninggalkannya memberi kesan yang mendalam. "Saya tidak dipaksa atau disuruh menarik diri tetapi saya sedar tekanan yang sedang mereka alami. Ia merupakan tindakan yang terbaik bagi yayasan tersebut walaupun pahit untuk saya terima." Dalam rancangan yang disiarkan menerusi stesen TV milik Winfrey, OWN itu, Armstrong turut menyifatkan dirinya sebagai seorang pembuli kepada ahli pasukannya yang lain. Beliau pernah mengugut mereka yang bercadang untuk mendedahkan kegiatan haramnya tetapi mendakwa, tidak pernah mengajak atau memaksa rakan sepasukannya mengikut tindakannya. Sepanjang hidup dalam penipuan, Armstrong menyifatkan ia sebagai pembohongan terbesar yang diulangi saban hari tanpa rasa bersalah. Beliau menggambarkan kejayaan lampaunya sebagai hero yang berjaya melawan kanser, menjuarai acara berbasikal, berkahwin dan dikelilingi anak-anak sebagai kisah sempurna sedangkan secara peribadi, beliau tahu bahawa ia sekadar penipuan individualistik. Peluang kedua Peluang bersiaran di kaca TV digunakan sepenuhnya Armstrong memancing simpati penonton terhadapnya. Dalam penuh harapan, Armstrong berharap agar beliau diberi kebenaran untuk kembali beraksi dalam sukan berbasikal. Beliau rela menerima hukuman atas kesalahannya tetapi tidak merasakan larangan berbasikal seumur hidup sebagai hukuman wajar ke atasnya. "Pada zaman saya, doping bukanlah isu besar dan dilakukan kebanyakan atlet lumba basikal. Ramai dalam kalangan mereka yang kini telah dikenal pasti tidak perlu menjalani hukuman seperti yang saya hadapi," sinis kenyataan yang dibutirkan Armstrong seakan-akan berbaur tidak puas hati. Benar, tekanan yang dihadapi Armstrong amat berat tetapi ia setimpal dengan tindakan masa lampaunya. Kesalahannya menggunakan bahan terlarang mungkin boleh dimaafkan tetapi penipuan yang dicipta beliau sepanjang kariernya tidak mungkin terpadam dalam lembaran sejarah arena sukan antarabangsa. | ||
| Posted: 24 Jan 2013 06:08 PM PST
SETIAP hari kita berdepan dengan pelbagai pengalaman yang mungkin boleh mencabar kesabaran. Melayan kerenah anak-anak yang degil, tersangkut dalam kesesakan lalu lintas berjam-jam lamanya, menurut kehendak bos yang keras kepala atau beratur di barisan kaunter pasar raya terlalu panjang kadangkala boleh membuat seseorang hilang rasional berfikir. Namun, mungkin ramai yang tidak tahu beberapa episod ketidaksabaran akan mencetuskan tindak balas fisiologi yang menjejaskan kesihatan anda. Menurut Dekan Program Siswazah di Pace University, New York City, Amerika Syarikat (AS), Daniel Baugher, ketidaksabaran boleh menyebabkan keresahan dan permusuhan. Beliau yang mengkaji psikologi personaliti dan sosial memberitahu, jika seseorang itu sentiasa gelisah, tidurnya boleh terjejas. "Hidup dalam persekitaran yang segalanya bergerak pantas dan taksub teknologi pada abad ke-21 ini membuatkan seseorang itu kurang sabar. "Mereka mahu segala-galanya dengan segera dan menjangkakan perkara-perkara perlu dilakukan dengan lebih cepat," katanya. Sesetengah individu memang secara semula jadi tidak sabar. "Tahap toleransi setiap orang berbeza," katanya. Personaliti jenis A berisiko tinggi Selalu mudah terasa dan bersikap kompetitif, individu berpersonaliti jenis A suka mendesak. Mereka tidak mampu bertoleransi apabila sesuatu itu tidak dilakukan mengikut cara mereka. "Individu dengan personaliti ini cenderung meluahkan kemarahan apabila mereka tidak sabar," kata Dr. Redford Williams yang merupakan Doktor Siswazah di Duke University Medical Center di Utara Carolina, AS. ![]() URUSKAN perasaan marah anda dengan betul seperti menarik nafas sedalam-dalamnya ketika itu. Williams menganggarkan lebih kurang 25 peratus warga AS mempunyai personaliti jenis A. Ia secara tidak langsung meningkatkan risiko kepada masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi dan penyakit jantung. Kajian pada tahun 2003 yang diterbitkan dalam Journal of the American Medical Association, para penyelidik melaporkan ramai individu yang tidak sabar dan pemarah berkemungkinan menghidap darah tinggi pada masa akan datang. Ketidaksabaran jadi stres Apabila seseorang kerap hilang sabar dan marah, tubuhnya bertindak balas kepada tekanan tersebut dengan melepaskan hormon seperti adrenalin atau kortisol. Paras kortisol dan adrenalin yang tinggi akhirnya boleh menyebabkan pertambahan berat badan, gula dalam darah dan tekanan darah tinggi. Dalam satu kajian, penyelidik mendapati bahawa golongan dewasa yang mempunyai paras 'permusuhan' tinggi berisiko mempunyai pembentukan plak di arteri koronari. "Hormon-hormon stres akan merangsang platelet hingga membuatkannya membeku pada arteri yang sudah mengecil kerana penyakit jantung. Ia satu proses yang boleh mengakibatkan serangan jantung. Hormon tersebut juga menyebabkan sel-sel lemak melepaskan lemak ke dalam aliran darah," ujarnya. Jelasnya, lemak tersebut akan terenap pada plak di dalam arteri yang akhirnya membesarkan plak sekali gus meningkatkan risiko arteri tersumbat. Mengatasi ketidaksabaran Beberapa kajian menunjukkan bahawa program pengurusan tekanan boleh membantu orang mudah baran. Mengajar seseorang bagaimana mengawal perasaan marah dan permusuhan boleh mengurangkan tekanan darah serta berat badan dari semasa ke semasa. "Bukti yang diperoleh daripada latihan tekanan sangat menggalakkan, namun kajian belum menunjukkan bahawa ia boleh menyelamatkan nyawa," katanya. Cara terbaik bagi orang ramai untuk mengendalikan situasi mengundang kemarahan dan respons negatif adalah dengan menarik nafas sedalam mungkin dan nilai apa yang mereka rasa. "Tanya diri anda. Adakah ini penting untuk saya? Adakah munasabah untuk saya rasa marah? Adakah ini semua berbaloi? "Secara asasnya, cuba bercakap pada diri sendiri jauh daripada perasaan marah," pesan Redford. | ||
| Cikgu Eeda cetuskan minat belajar Posted: 24 Jan 2013 06:07 PM PST ![]() PARA pelajar diajar ilmu teori dan praktikal bagi memastikan mereka memberikan servis yang terbaik kepada pelanggan masing-masing kelak.
HENDAK seribu daya, tak hendak seribu dalih. Mungkin pepatah ini yang paling sesuai bagi menggambarkan peribadi Ruzidah Ishak, 46. | ||
| Hukum berimamkan orang solat sunat Posted: 24 Jan 2013 06:06 PM PST ![]() BERIMAMKAN seseorang yang sedang solat sunat walaupun makmum mahu solat fardu bukan suatu masalah selagi caranya masih sama. DALAM solat, bolehkah orang yang mengerjakan solat sunat, menjadi imam kepada orang yang ingin solat fardu? Contoh: Setibanya saya di masjid, saya dapati imam telah habis mengerjakan solat fardu, dalam masa yang sama saya dapati ada seorang makmum sedang mengerjakan solat bakdiah, bolehkah saya menjadikan dia imam untuk solat fardu yang akan saya lakukan? JAWAPAN: Hukum makmum yang solat fardu berimamkan orang yang solat sunat adalah sah dan harus hukumnya walaupun berlainan niatnya, asalkan masih sama kaifiatnya iaitu caranya tetapi jika kaifiatnya atau caranya berbeza maka tidak sah. Sebagai contoh: Seseorang ingin mengerjakan solat fardu dan ingin berimamkan seseorang yang sedang solat jenazah, maka jelas perlakuan solatnya berlainan, sudah tentu pelik, bukan? Si makmum ingin rukuk sedangkan si imam tiada rukuk dan tiada sujud, maka jelaslah tidak sah jika orang yang solat fardu ingin berimamkannya. Walaupun begitu, jika ingin berimamkan orang yang sedang solat sunat tahiyatul masjid atau solat-solat sunat yang biasa adalah sah kerana caranya sama. Wallahu a'lam. Semoga Allah menerima amalan kita. |
| You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |




























0 ulasan:
Catat Ulasan