Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Salam Musik lali kritikan
- Roslan Shah enggan dedah identiti bakal isteri
- Debaran Memey, Norman
- Perbankan internet miliki 12.8 juta orang
- Kutip barang lusuh untuk hidup
- Suami didakwa pukul isteri
- Pengawal ditawan, RM20,000 lesap
- Bekas Pengarah Veterinar bebas tuduhan palsu surat
- Tiada pekerja asing di pam minyak
- Hogan saman institut perubatan kerana kerjayanya musnah
- Armstrong mengaku guna dadah
- Aktivis haiwan selamatkan lebih 1,000 ekor kucing
- Nahas kereta api di Mesir
- Kyogen bukan sekadar teater
- Peringatan cegah penyakit pneumokokal
- Amal Popmycase dan Boboi
| Posted: 15 Jan 2013 07:04 PM PST
SEBUAH gabungan antara muzik moden dan rentak tradisional disulam lirik sarat makna tersirat lalu menghasilkan sebuah komuniti pejuang muzik yang dikenali sebagai Salam Musik. Pengenalan yang amat ringkas, imej unik dan ideologi muzik untuk rakyat diperjuangkan sejak awal penubuhan kumpulan yang kini sudah mengandungi 10 orang anggota tetap. Salam Musik barangkali masih asing kepada telinga yang biasa mendengar lagu-lagu bergenre pop, rock atau muzik underground sementelah punk. Ini kerana hala tuju kumpulan itu sebenarnya memperjuangkan muzik bersifat reggae dan santai. Bercerita mengenai matlamat Salam Musik, ujar vokalisnya, Ashraaf Salam A. Azlan atau lebih dikenali dengan nama Salam, kedua-dua buah album kumpulan itu yang telah diterbitkan memberi fokus yang sama iaitu mencipta muzik untuk rakyat. "Memandangkan usia kebanyakan ahli kumpulan Salam Musik hampir sama, kami lalu menumpukan kepada elemen unification (kesatuan). Apabila menghasilkan sesebuah album, objektif kami adalah untuk menghasilkan lagu untuk rakyat dan paling tinggi harapan kami semoga seluruh masyarakat mendengar lagu-lagu kami. "Jika ditanya mengenai anugerah atau apresiasi seperti Anugerah Industri Muzik ke-19 (AIM 19) baru-baru ini, kami bersyukur sekiranya rezeki kami masih ada lagi untuk tahun ini. "Sejujurnya, kami tidak mengharapkan penghargaan kerana kami ikhlas memperjuangkan lagu untuk rakyat," katanya yang ditemui pada sidang akhbar pelancaran album kedua Salam Musik berjudul, O di The Bee, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur baru-baru ini. Ditanya mengenai impak selepas pengiktirafan Album Terbaik AIM 19 tahun lalu itu, tambah Salam, kumpulannya kini lebih dikenali dan muzik mereka lebih kerap didengari umum. "Apabila lebih banyak pendengar, kami boleh memohon geran daripada kerajaan untuk membuat album ketiga, klip video dan siri jelajah kelak," ujar Salam penuh berharap. Siri jelajah Eropah Menghuraikan lebih lanjut perancangan Salam Musik pada masa akan datang, katanya, kumpulan itu bakal menjayakan konsert siri jelajah di beberapa negara di Eropah sebagai persediaan awal menembusi pasaran antarabangsa. ![]() SALAM MUSIK mempertaruhkan album keduanya berjudul O yang berkisar mesej dan muzik yang lebih padu. "Insya-Allah, pada bulan Julai ini kami akan membuat konsert siri jelajah di beberapa negara di Eropah antaranya London dan Belanda. Alasan kenapa mahu ke sana adalah kerana negara mereka lebih kecil dan pengangkutan di sana, tidak seperti di Amerika Syarikat serta ada rangka perjalanan yang sesuai untuk konsert kami. "Tambahan, genre kami sangat asing di sana dan mereka lebih tertarik dengan produk yang kami persembahkan walaupun mereka tidak biasa mendengar muzik yang diselitkan dengan bunyi irama tradisional seperti alat muzik gamelan, tabla dan gambus," kata Salam yang pernah membuat persembahan bersama seorang anggota kumpulan itu iaitu Pisang di Belanda pada bulan Julai tahun lalu. Bercerita mengenai progres Salam Musik, ujar Salam, kumpulannya telah berkembang daripada tiga orang ahli dan kini menjadi 10 anggota tetap, malah kadang-kadang boleh melibatkan sehingga 15 orang ahli pada satu-satu masa. "Salam Musik ini ibarat sebuah komuniti yang terdiri daripada ahli-ahlinya berlatar belakang berbeza contohnya pelukis, penari dan penulis. Hasrat kami adalah satu - memperjuangkan muzik irama tradisional yang menjadi akar umbi kita tapi diselitkan dalam notasi moden," ujar Salam yang memulakan kerjaya seninya sebagai penari latar sebelum ini. Selain Salam, kumpulan itu dianggotai oleh Talal Zahnan (keyboard), Eyza Bahra (penyanyi), M. Irhas (trompet), Bulya (dram), Firdaus Aziz (trompet), Ferdaus Nadzir (bass), Ammar Habir (gitar) dan Kamal Razali (gitar). Sejajar dengan perjuangan muzik rakyat seperti yang disifatkan Salam sebelum ini, album kedua mereka itu juga menerapkan penekanan serupa sepertimana prinsip Salam Musik. Kata Salam: "Album kedua kami ini berdasarkan kisah sebenar dalam bentuk metafora, diharapkan pendengar boleh menjalinkan makna itu sendiri." Album O Memperincikan penjelasan tentang kenapa huruf O dipilih sebagai judul album kedua Salam Music itu, ujar Salam, ia merupakan simbol yang menginterpretasikan banyak maksud, antaranya sifat universal huruf itu sendiri yang berorientasikan kesatuan. "Simbol O mewakili metamorfosis kehidupan yang bercorak sebuah pusingan, sesebuah bulatan itu tidak akan berhenti berpusing dan akan statik dalam kedudukan yang sama selamanya. Lebih jelas juga O itu mewakili maksud kesatuan dan kebarangkalian infiniti serta diterjemahkan sebagai satu unsur yang bebas," jelasnya. Sangat mendalam dan mempunyai justifikasi tersendiri yang terkandung makna, begitu juga lagu-lagu yang dimuatkan dalam album itu. Ia mengandungi 12 buah lagu yang dikumpulkan daripada ratusan karya ahli kumpulan Salam Musik sejak tahun 2006. Kata Salam, mereka tidak akan berhenti berkarya menghasilkan pelbagai lagu setiap hari dan hasilnya tidak mustahil untuk memiliki sejumlah lagu yang sangat banyak untuk dipilih. "Kami konsisten hasilkan lagu setiap hari. Timbul sahaja idea pasti akan diterjemahkan ke dalam lagu. Oleh kerana koleksi lagu sudah banyak, maka kami hanya perlu memilih yang terbaik untuk dikompilasikan ke dalam sebuah album. ![]() AHLI kumpulan Salam Musik sentiasa berubah-ubah tetapi antaranya terdiri daripada (dari kiri) Payung, Kamal, Djambul, Bulya, Salam, Ammar, Eyza, Ezzad dan Adri) "Album kedua ini juga sebenarnya lebih kurang sama usianya dengan album pertama kami," katanya yang menyifatkan muzik mereka sentiasa berevolusi mengikut peredaran waktu. Album tersebut, tambah Salam, sebenarnya dihasilkan tahun lepas namun hanya sempat diterbitkan oleh syarikatnya sendiri iaitu Salammusik pada tahun ini. Antara lagu yang dimuatkan dalam album itu termasuklah Arus, Rela, Kotor, Aku Pelat (feat Zion Dread), Your Place, Penawar (feat Pita Hati & Sayla), Jangan Nangis dan Bangkit (feat Altimet). | ||
| Roslan Shah enggan dedah identiti bakal isteri Posted: 15 Jan 2013 07:02 PM PST ![]() ROSLAN, Syed Ali dan Atu kini muncul sebagai satu pakej khusus untuk persembahan pada majlis-majlis korporat. PENGACARA dan penghibur yang menjadi peserta pertama tersingkir (bersama pelakon Azam Pitt) daripada program realiti televisyen, Fear Factor Selebriti Malaysia, Roslan Shah tampil dengan imej baharu tahun ini sempena hari lahirnya pada 17 November yang lalu dengan berkepala botak. Sibuk dengan undangan majlis-majlis korporat, selebriti berusia 41 tahun itu juga mempunyai azam untuk menamatkan zaman bujang pada tahun ini dengan gadis pilihannya. Bermacam-macam reaksi diterima daripada orang ramai dan peminat mengenai hasrat dirinya untuk mendirikan rumah tangga. Pasti ramai yang terkejut dengan keputusan yang dibuat oleh Roslan. Adakah ini satu realiti atau sekadar kontroversi yang sengaja dibuat-buat Roslan bagi menarik perhatian masyarakat umum? Ikuti temu bual Kosmo!, bersama dengan pengacara dan penghibur yang berasal dari Singapura ini ketika dia hadir untuk sesi fotografi di Studio Utusan Malaysia, Chan Sow Lin, Kuala Lumpur bersama pelakon Syed Ali dan Atu Raja Lawak. Kosmo!: Bolehkah Roslan ceritakan sedikit tentang imej baharu ini? Mengapa pilih untuk tampil dengan imej sebegini? ROSLAN: Imej baharu ini sebenarnya adalah nazar yang sudah lama saya simpan dengan membotakkan kepala sempena hari jadi saya pada 17 November yang lalu. Selama ini saya sudah lalui bermacam-macam kontroversi, hinaan, fitnah serta kejian daripada masyarakat dan ini adalah cara saya untuk menonjolkan diri saya yang baharu sempena tahun 2013 ini. Benarkah Roslan merancang untuk menamatkan zaman bujang pada tahun ini? Ya, berkat doa keluarga dan juga peminat serta sokongan dan semangat yang diberikan, saya akan mendirikan rumah tangga pada hujung tahun ini, tetapi saya tidak boleh dedahkan siapakah calonnya. Apa yang saya boleh beritahu, dia berasal dari Kelantan dan sudah tiga tahun saya mengenali dia. Dia adalah peminat saya dan kali pertama kami berjumpa, dia jemput saya datang ke rumahnya untuk makan tengah hari bersama keluarganya. Semenjak itu kami mula berhubung dan mengenali antara satu sama lain dengan lebih rapat. Mengapakah Roslan mahu sorok bakal isteri daripada pengetahuan umum? Saya bukan nak sorok tetapi tidak mahu perkara lalu berulang. Saya pernah bertunang tetapi sudah putus pada tahun 2004. Ketika itu saya terlampau mendedahkan bekas tunang kepada khalayak sehingga berlaku perkara-perkara yang tidak sepatutnya terjadi. Biarlah ini menjadi pengajaran buat saya supaya tidak lagi mengulangi kesilapan lalu. Selain itu, saya menghormati permintaan keluarga dia supaya tidak mendedahkan identiti dirinya kepada umum. Saya juga tidak mahu dia tertekan dengan kutukan dan hinaan orang yang pandang serong terhadap kami. Bagaimanakah penerimaan dia dan keluarganya terhadap Roslan? Dia menerima saya seadanya walaupun saya seorang yang panas baran. Paling penting, dia kenal siapa saya yang sebenarnya. Saya sudah bercakap dengan kedua-dua ibu bapa serta adiknya mengenai hasrat saya untuk melamar dia dan mereka setuju. Saya dah anggap mereka macam keluarga angkat. Keluarga dia terima Roslan dengan tangan yang terbuka, tetapi bagaimanakah pula reaksi orang ramai setelah mendapat tahu Roslan akan berkahwin? Banyak yang memberikan maklumbalas. Ada yang mengutuk, menghina dan mengeji, tetapi ada juga memberikan semangat dan perangsang terhadap saya dan memberikan sokongan untuk saya terus berkahwin. Bagaimanakah persiapan majlis perkahwinan itu buat masa ini? Setakat ini, saya sedang mengumpul duit untuk mengukuhkan lagi kewangan saya. Bukan tiada duit, tetapi untuk menambah lagi simpanan yang ada sekarang. Kemungkinan pada bulan Mac nanti saya akan berkunjung ke rumahnya sekali lagi untuk berbincang mengenai hal-hal perkahwinan kami dan saya bercadang untuk mengadakan majlis itu secara sederhana dengan menjemput rakan-rakan dan keluarga terdekat sahaja serta media. Adakah dengan perkahwinan ini dapat menutup persepsi negatif orang ramai terhadap Roslan selama ini? Mulut orang kita tidak boleh nak tutup, orang akan tetap mengata sepanjang masa. Apa yang saya harapkan hanyalah doa daripada peminat dan sesiapa yang mengenali diri ini untuk menjadi manusia yang lebih baik. Kalau orang mengata, saya akan diamkan diri sahaja. Jika saya melawan semula nanti, boleh jadi pergaduhan pula dan saya tidak mahu ia berlaku. Saya buat benda baik orang mengata, saya buat perkara yang tidak baik lagi orang akan menghentam saya. Jadi, saya akan buat tidak tahu sahaja. Selain perancangan untuk berkahwin, apakah pula perkembangan terbaharu karier Roslan pada tahun ini? Tahun ini saya sibuk dengan persembahan pentas untuk majlis-majlis korporat di seluruh negara bersama dengan Syed Ali dan Atu Raja Lawak. Sebenarnya saya ada menawarkan pakej persembahan bersama mereka untuk memberi kelainan dalam persembahan dengan bakat terpendam Syed Ali yang boleh menyanyikan lagu 60-an dan Hindustan ditambah dengan lawak Atu. | ||
| Posted: 15 Jan 2013 07:01 PM PST
BIARPUN usia kandungan pelakon Memey Suhaiza sudah mencecah lapan bulan, namun dia dilihat masih begitu setia menemani suami tercinta iaitu aktor Norman Hakim ke acara hiburan. Baru-baru ini pelakon tersebut muncul bersama suaminya ke acara pratonton episod akhir drama bersiri Adam Dan Hawa yang diadakan di The Garden, Mid Valley, Kuala Lumpur minggu lalu. Menurut Memey, sejak kandungannya mencecah usia lima bulan dia sudah mula menghentikan aktiviti lakonannya dan kini sekadar menghitung hari untuk melahirkan anak sulung. "Kali terakhir saya berkesempatan berlakon dalam dua telefilem iaitu Aku Bukan Julaibib dan Anakku Kahwin Lagi. Selepas itu, saya tidak lagi berlakon memandangkan perut pun sudah semakin membesar. "Sepanjang tidak terlibat dalam dunia lakonan saya lebih banyak menghabiskan masa di rumah atau menemani suami ke acara-acara hiburan seperti sekarang ini," ujarnya. Mengenai persiapan menanti kehadiran cahaya mata sulung pula, Memey memberitahu, segala persiapan sudah dilakukan sejak beberapa bulan lalu dengan bantuan suami. Ujarnya, menjelang menunggu kelahiran anak sulungnya yang dijangka pada pertengahan Februari ini dia berasa sangat teruja, tetapi tidak menyembunyikan perasaan berdebarnya. "Kalau diikutkan perasaan takut itu memang ada kerana ini pengalaman pertama melahirkan anak, namun suami banyak memberikan nasihat memandangkan dia sudah mempunyai pengalaman. "Setakat ini, keadaan kesihatan saya juga sangat memuaskan dan selepas tujuh bulan mengandung, saya tidak lagi mengalami sebarang masalah termasuk alahan," jelasnya yang akan bersalin di Pusat Perubatan Kohilal, Taman Melawati, Hulu Klang, Selangor. Mengenai jantina anak pula, pelakon berkenaan memberitahu, dia dan Norman tidak kisah mengenainya. Bagaimanapun, mereka bersyukur apabila doktor mengesahkan jantina anak dalam kandungan Memey adalah lelaki. Sementara itu, Memey menyatakan sepanjang berehat dia sangat merindui dunia lakonan dan sudah merancang untuk kembali berlakon semula selepas bersalin. Menurutnya, dia beruntung kerana masih diberikan keizinan oleh suami untuk meneruskan kerjaya lakonan. Cuma sebagai pelakon yang sudah bergelar seorang ibu, kata Memey, dia akan lebih selektif dalam memilih tawaran berlakon. "Walaupun suami tidak kisah saya terus berlakon saya tetap perlu menghormati kepercayaan yang diberikan olehnya. "Apa yang penting saya perlu menjaga kelakuan dan penampilan sebagai seorang isteri dan ibu," ujarnya. Tidak halang Norman yang turut ditemui semasa majlis berkenaan berkata, permulaan tahun 2013 ini sangat positif buat dirinya apabila dia meraih tawaran dua drama bersiri sekali gus. Ketika ini Norman sedang sibuk menjalani penggambaran drama berjudul Arka dan Tanah Merah, manakala dia juga akan turut membintangi drama KL Drift The Series untuk musim kedua pada bulan Mac ini. "Meskipun gembira dengan rezeki yang diperoleh ini, perasaan risau itu tetap ada apabila terpaksa meninggalkan isteri yang ketika ini sedang sarat mengandung. "Apatah lagi kebanyakan penggambaran dilakukan di luar Kuala Lumpur dan disebabkan itu saya sentiasa menghubungi isteri sepanjang masa. Namun begitu, saya bernasib baik kerana isteri mampu menguruskan dirinya sendiri," ujarnya. Pada masa yang sama, Norman menjelaskan dia langsung tidak menghalang isterinya untuk terus berlakon memandangkan mereka berdua menceburi bidang kerjaya yang sama. "Saya tidak boleh halang apa yang isteri saya minat termasuk berlakon. Cuma apa yang saya harapkan supaya dia dapat membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga," ujarnya. | ||
| Perbankan internet miliki 12.8 juta orang Posted: 15 Jan 2013 07:00 PM PST ![]() ABDUL WAHID (kanan) bersama Abu Hassan Alshari (tengah) dan Amirudin melancarkan kempen kesedaran e-perbankan di Kuala Lumpur semalam. KUALA LUMPUR - Bilangan pengguna berdaftar perbankan internet di negara telah meningkat kepada 12.8 juta orang pada bulan September tahun lalu berbanding hanya 3.2 juta orang pada tahun 2006. Seiring perkembangan pesat sektor berkenaan, 29 buah bank yang terdiri daripada ahli Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia telah menawarkan perkhidmatan perbankan internet kepada pelanggan. Pengerusi Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, pertambahan statistik itu menunjukkan saluran elektronik dan internet pada masa ini jelas menjadi pilihan pengguna untuk memudahkan urusan mereka. "Sektor perbankan kini telah berkembang sebagai satu perkhidmatan merentasi sempadan, membolehkan pelanggan mengakses perkhidmatan yang diperlukan pada bila-bila masa dan lokasi," katanya pada majlis pelancaran kesedaran perbankan elektronik (e-perbankan) 2013 di sini semalam. | ||
| Kutip barang lusuh untuk hidup Posted: 15 Jan 2013 06:59 PM PST ![]() SITI JARIAH (kanan) menunjukkan antara barangan lusuh yang dikutip untuk dijual bagi menyara tiga anaknya ketika ditemui di rumahnya di Flat Sri Stulang, Johor Bahru semalam. JOHOR BAHRU – Setiap hari, penduduk di Flat Sri Stulang dan sekitar Permas Jaya dekat sini melihat kelibat Siti Jariah Yusuf, 57, mengayuh basikal mencari barangan lusuh. Kata Siti Jariah, sejak ditinggalkan suaminya sejak enam tahun lalu, dia melakukan pekerjaan itu demi menyara tiga anaknya yang salah seorang daripada mereka berpenyakit mental selepas terbabit kemalangan beberapa tahun lalu. Dia kini bimbang kerana pendapatannya terjejas ekoran penyakit asmanya yang teruk hingga dia tidak mampu berjalan jauh mencari barangan lusuh. "Jika sihat, saya mampu menjual botol terpakai, tin dan surat khabar dengan pendapatan RM200 sebulan. Jika tidak, saya hanya dapat sekitar RM90 sahaja," katanya di sini semalam. Tinjauan di rumahnya mendapati, bukan sahaja tidak dihiasi dengan perabot, malah sebuah bilik di kediaman itu dijadikan stor menyimpan barangan lusuh. | ||
| Posted: 15 Jan 2013 06:58 PM PST
KANGAR – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan membelasah isterinya yang masih dalam pantang hingga mengakibatkan wanita itu cedera parah pada 5 Januari lalu. Bagaimanapun, Kamaruddin Hassan, 41, mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan di hadapan Majistret Zuhair Rosli. Mengikut pertuduhan, Kamaruddin didakwa telah mencederakan Anira Aziz (gambar kecil), 28, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Repoh Seberang Sungai di sini pada pukul 4 pagi, 5 Januari lalu. Dia mencederakan isterinya itu dengan menggunakan bingkai gambar, lesung batu dan belakang pisau. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda atau sebatan jika sabit kesalahan. Zuhair kemudian membebaskan tertuduh dengan jaminan sebanyak RM2,500 selepas mendengar rayuan bapa kepada dua anak itu dan menetapkan 28 Februari ini untuk sebutan semula kes. Tertuduh yang bekerja sebagai pekerja kontrak di Kuala Lumpur membayar denda tersebut. Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Amir Irwan Yaakob manakala tertuduh diwakili peguam, Rabiatul Adawiyah Ramli. | ||
| Pengawal ditawan, RM20,000 lesap Posted: 15 Jan 2013 06:58 PM PST
GEORGE TOWN – Pelanggan dan kakitangan Hong Leong Bank di pasar raya besar Tesco di Gelugor di sini semalam cemas dan kecoh seketika apabila diceroboh seorang perompak bertopeng yang bersenjatakan dua bilah parang. Dalam kejadian pada pukul 11.45 pagi, suspek lelaki yang datang seorang diri dan masuk ke bank terbabit terus mengacu parang ke arah seorang pengawal keselamatan di situ yang kemudian diarah membawanya ke kaunter bank. Ketika itu, terdapat seorang lagi pengawal keselamatan yang bertugas di situ, enam pelanggan dan lima kakitangan yang bertugas. Perompak itu memegang kedua-dua bilah parang tersebut. Sebaik suspek dibawa masuk ke salah satu kaunter oleh pengawal keselamatan yang ditawan dengan diacukan parang, penjenayah itu kemudian menyuruh pengawal keselamatan terbabit menghulurkan satu beg kepada juruwang yang sedang bertugas. Menyedari ada penjenayah yang mahu merompak, suasana di dalam bank menjadi kecoh menyebabkan suspek terpaksa menghentak parang ke atas meja kaunter sambil memaksa pekerja bank memasukkan wang ke dalam beg yang diberikan. | ||
| Bekas Pengarah Veterinar bebas tuduhan palsu surat Posted: 15 Jan 2013 06:56 PM PST
SEREMBAN - Bekas Pengarah Veterinar Negeri, Datuk Dr. Noor Soeraya Norsham dilepas dan dibebas oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam atas empat tuduhan memalsukan dokumen bagi tujuan kenaikan gred jawatan antara tahun 2009 hingga tahun 2011. Hakim Datin Nursinah Adzmi membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pembelaan berjaya membuktikan kes prima facie mengenai kes itu. Mengikut pertuduhan, Noor Soeraya, 39, didakwa menyerahkan dokumen palsu bagi tujuan penyelarasan gaji dan elaun untuk pegawai Gred G48, G52 dan G54 itu kepada Pegawai Pembantu Tadbir di Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan, Siti Norhayati Md. Yusof antara 16 Mac 2009 dan 24 Julai 2011 yang kesemuanya melibatkan wang sebanyak RM50,314.69. Dia didakwa melakukan kesalahan itu ketika memangku jawatan Gred G44 di pejabat Jabatan Veterinar Negeri Sembilan, Jalan Pantai dan di Bahagian Pentadbiran Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan di Lot 1504, Mukim Pantai, Batu 6, Jalan Jelebu di sini. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua tahun hingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan. | ||
| Tiada pekerja asing di pam minyak Posted: 15 Jan 2013 06:53 PM PST
BANGI - Semua stesen minyak dijangka melaksanakan sepenuhnya Sistem Khidmat Layan Diri (SKLD) mulai bulan ini sekali gus menyaksikan khidmat hampir 50,000 pekerja warga asing bakal ditamatkan secara berperingkat-peringkat. Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan berkata, langkah tersebut bertujuan mengurangkan kos pekerja berikutan penguatkuasaan peraturan gaji minimum RM900 pada 1 Januari lalu. "Apabila gaji pekerja naik disebabkan peraturan gaji minimum, majikan mahu mempertingkatkan SKLD di premis masing-masing untuk mengurangkan kos pekerja. "Oleh itu seramai 50,000 pekerja asing yang bekerja di stesen minyak bakal diberhentikan kerja oleh pengusaha disebabkan langkah ini," katanya pada sidang akhbar sempena majlis perasmian Bengkel Kehidupan Tanpa Bantuan Amah anjuran Kementerian Sumber Manusia di sini semalam. | ||
| Hogan saman institut perubatan kerana kerjayanya musnah Posted: 15 Jan 2013 06:52 PM PST ![]() HOGAN CLEARWATER, Florida - Bintang gusti, Hulk Hogan menyaman Institut Tulang Belakang Laser di sini kerana dia mendakwa pusat perubatan itu membuat pembedahan yang tidak perlu sehingga menjejaskan kerjayanya. Hogan, 59, menuntut ganti rugi berjumlah AS$50 juta (RM149.2 juta). Akhbar Tampa Bay Times melaporkan, Hogan atau nama sebenarnya, Terry Bollea memfailkan saman itu kelmarin. Menurut portal hiburan TMZ.com, penggusti itu yang pernah terlibat dengan skandal seks didakwa mendapatkan rawatan di pusat perubatan tersebut pada tahun 2009 kerana dia mengalami masalah tulang belakang. Skandal seks itu terdedah selepas klip video yang menunjukkan dia tidur dengan isteri seorang rakannya tersebar di internet. Sementara itu, pihak institut tersebut enggan memberi sebarang komen bagi melindungi privasi pesakit. | ||
| Posted: 15 Jan 2013 06:51 PM PST ![]() GAMBAR fail menunjukkan Armstrong (tengah) mewakili pasukan Radio Shack pada satu pertandingan lumba basikal di Adelaide, Australia pada 15 Januari 2011. AUSTIN, Texas - Pelumba basikal terkenal Amerika Syarikat (AS), Lance Armstrong, akhirnya mengaku menggunakan dadah terlarang untuk memenangi pertandingan Tour de France. Sebelum ini dia berulang kali menafikan menggunakan dadah. Armstrong membuat pengakuan itu semasa diwawancara oleh Oprah Winfrey yang dirakamkan pada Isnin lalu dan akan disiarkan esok. Winfrey dalam akaun Twitter miliknya berkata: "Baru selesai bersama @lancearmstrong lebih dua setengah jam. Dia datang dalam keadaan bersedia." Armstrong, 41, dilucutkan tujuh kejuaraan Tour de France miliknya selepas dia didapati menggunakan dadah yang terlarang. Dia memenangi Tour de France pada tahun 1999 sehingga 2005. Armstrong juga telah digantung seumur hidup dalam sukan berkenaan selepas Agensi Antidadah AS menuduhnya mengetuai skim pengambilan dadah. Nilai pelumba sukan semasa dia aktif berlumba ialah AS$100 juta (RM301 juta). Ekoran pengakuan itu, Kesatuan Berbasikal Antarabangsa semalam meminta Armstrong memberi bukti tentang penggunaan dadah itu. Kerajaan negeri Australia Selatan juga menyatakan akan meminta ganti rugi daripada Armstrong ekoran pengakuannya tentang pengambilan dadah. Pelumba itu pernah menyertai pertandingan lumba basikal di negeri tersebut. | ||
| Aktivis haiwan selamatkan lebih 1,000 ekor kucing Posted: 15 Jan 2013 06:50 PM PST ![]() BEBERAPA aktivis haiwan mengangkat kurungan kayu yang mengandungi kucing di sebatang jalan raya di Changsa kelmarin. CHANGSA, China - Sebuah trak yang membawa lebih 1,000 ekor kucing terlibat dalam nahas di sebatang jalan raya di sini kelmarin. Kucing itu yang diletakkan dalam sejumlah kurungan kayu akan dijual di restoran-restoran di Guangdong untuk dijadikan makanan. Kira-kira 50 aktivis haiwan dan sukarelawan kemudian bertindak menyelamatkan kucing tersebut daripada disembelih untuk dijadikan makanan. Kucing-kucing itu kelihatan lapar semasa para aktivis tersebut melihat haiwan berkenaan. Para aktivis itu kemudian menghantar kucing tersebut ke sebuah klinik haiwan untuk dirawat. | ||
| Posted: 15 Jan 2013 06:49 PM PST
KAHERAH - Sebuah kereta api yang membawa lebih 1,300 anggota tentera Mesir tergelincir dan merempuh sebuah kereta api barang menyebabkan 19 askar mati semalam. Ketua Pihak Berkuasa Kereta api Mesir, Hussein Zakareya berkata, nahas itu berlaku kira-kira 30 kilometer ke selatan bandar raya ini. Presiden Mesir, Mohammed Morsi meluangkan masa melawat mangsa-mangsa di sebuah hospital tentera di sini. "Hari ini (semalam) merupakan hari yang sedih untuk rakyat negara ini. Saya menyampaikan ucapan takziah kepada ahli-ahli keluarga mangsa yang mati syahid semasa dalam perjalanan untuk memenuhi tugas negara. Saya berdoa buat mangsa yang cedera supaya mereka cepat pulih," kata Morsi. Seramai 107 orang cedera dalam nahas tersebut. Perdana Menteri, Hisham Qandil melawat tempat kejadian itu. Kereta api yang membawa askar itu menuju ke sebuah kem latihan tentera di sini selepas bertolak dari selatan negara ini. Nahas itu berlaku di kawasan perumahan Giza di Badrashin. Berpuluh-puluh orang berkumpul di stesen kereta api di Kaherah selepas kemalangan berlaku sambil melaungkan slogan anti-Morsi dan menunjuk perasaan bagi membantah kelemahan pentadbiran pemerintah. | ||
| Posted: 15 Jan 2013 06:42 PM PST
BERSANDAR pada kekuatan tiga pelakon dan seorang pembantu pentas, persembahan teater klasik Jepun, Kyogen bertajuk, Busu berlangsung penuh sederhana di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Kesemua pelakon hanya memakai persalinan tradisional khas ketika beraksi. Tanpa bergantung pada set pentas yang gah seperti yang diperlukan bagi sesebuah penghasilan teater, mereka sebaliknya hanya menggunakan kipas tangan dan sebuah bekas kayu hitam dengan sedikit corak rona emas sebagai prop. Ironinya, teater itu juga dipersembahkan dalam bahasa Jepun seratus peratus dan tiada terjemahan yang dapat membantu penonton memahami butir bicara setiap pelakon. Namun, lontaran suara dan mimik muka ternyata menjadi kunci kekuatan pada persembahan tersebut sekali gus berjaya mengundang tepukan gemuruh daripada penonton sebaik ia berakhir. "Saya amat teruja menyaksikan persembahan teater Kyogen ini. Walaupun tidak memahami dengan jelas apa yang diperkatakan, tetapi melihat reaksi dan wajah mereka sudah cukup membuatkan saya dan semua penonton ketawa," ujar Catherine Walter, seorang pelancong dari Australia. Hakikatnya, penonton bukan sekadar berpeluang menyaksikan persembahan, malah turut didedahkan dengan syarahan dan demonstrasi berkaitan seni teater tradisional Jepun. Program yang dinamakan Laughter of 600 Years: Mansai Nomura Kyogen Lecture & Demonstration itu dibawakan khas oleh Yayasan Jepun Kuala Lumpur (JFKL) dengan kerjasama Kedutaan Jepun di Malaysia sempena Sambutan Ulang Tahun ke-30 Dasar Pandang ke Timur. Kyogen merupakan salah satu daripada empat wakil seni teater klasik Jepun di samping Noh, Bunraku dan Kabuki. Ia merupakan satu bentuk komedi popular era pertengahan yang muncul di kawasan Kyoto dan sezaman dengan Noh pada awal abad ke-14. Sifat positif Jika teater Noh memberi tumpuan pada ingatan, meditasi, dosa dan penyelamat, Kyogen pula menegaskan sifat positif manusia menggunakan keindahan jenaka atau humor. Pada tahun 2001, Noh dan Kyogen telah diiktiraf sebagai Warisan Kemanusiaan Lisan dan Tidak Ketara oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) diikuti dengan Bunraku pada tahun 2003 dan Kabuki pada 2005. Diketuai oleh Mansai Nomura selaku penggiat teater Kyogen terkenal, syarahan dan demonstrasi tersebut turut dijayakan oleh sekumpulan pelajar jurusan seni dari beberapa institusi pendidikan di Malaysia. ![]() LONTARAN suara dan mimik muka ternyata menjadi kunci kekuatan pada persembahan teater Busu. Nomura, 46, merupakan salah seorang daripada 100 aktor Kyogen berdaftar di dunia. Dilahirkan sebagai generasi kelapan dalam keluarga pelakon Kyogen terkemuka, Nomura telah membuat penampilan sulung beraksi di pentas pada usia tiga tahun. Datuknya, Manzo VI dan ayahnya, Mansaku telah diiktiraf sebagai Khazanah Hidup Nasional lantaran sumbangan besar yang diberikan dalam menjulang seni teater Kyogen di negara Matahari Terbit itu. Menurut Mansai, memandangkan ini kali pertama membuat persembahan di Malaysia, beliau gembira kerana Busu mendapat perhatian penonton walaupun ia dilakukan sepenuhnya dalam bahasa Jepun. "Penonton begitu terhibur terutama bila babak kami mengipas udara untuk menjauhkan bau Busu yang dikatakan berbahaya dan ketika babak Taro Kaja serta Jiro Kaja sedang memakan Busu iaitu sejenis makanan manis. "Melalui kisah ini, kami ingin menunjukkan bahawa samurai sebenarnya mempunyai sisi jenaka mereka. Ia berbeza seperti apa yang sering dilihat di filem iaitu bersifat tegas dan garang dengan pedang terselit di pinggang," jelasnya mengenai persembahan Busu yang diharap menjadi permulaan untuk hubungan kebudayaan yang lebih erat antara Jepun dan Malaysia. Bakat pelakon Meskipun sudah menceburi bidang ini selama 43 tahun, namun masih banyak yang perlu dipelajari kerana ruang lingkup teater Kyogen terlalu luas. "Secara umum, terdapat 254 karya atau penceritaan Kyogen yang boleh dipersembahkan kepada penonton. Setiap cerita mempunyai keistimewaan tersendiri manakala setiap pelakon pula memiliki bakat dan kemahiran tertentu dalam memainkan peranan atau watak dalam sesuatu penceritaan," ungkapnya sambil memberitahu pemakaian stokin amat penting dalam persembahan Kyogen untuk mengawal pergerakan setiap pelakon. Di dalam Kyogen, kaedah pembelajaran kata memberi penekanan kepada pergerakan badan terlebih dulu. Ia disusuli dengan aspek spiritual dan diakhiri dengan elemen emosi. Sehubungan itu, Mansai menjelaskan, motivasi untuk pergerakan adalah sama penting dalam Kyogen. Contohnya seperti tindak balas otot terhadap kemarahan. "Ekspresi dan nada suara boleh menerangkan tentang keadaan marah, tetapi terdapat juga reaksi fizikal kepada kebangkitan kemarahan termasuk tekanan darah, mengetatkan otot dan peningkatan kadar nadi," terang Mansai sambil menunjukkan cara-cara melakukan teknik berkaitan. Sementara itu, Kazunari Takano yang membawakan watak Master dalam teater Busu memberitahu, di dalam Kyogen terdapat variasi ketawa yang perlu dipelajari. Justeru, seseorang itu perlu menghabiskan masa bertahun-tahun untuk menjadi pelakon Kyogen yang mahir dan profesional. ![]() SESEORANG perlu menghabiskan masa bertahun-tahun untuk menjadi pelakon Kyogen yang mahir dan profesional. "Saya sendiri sudah lebih dua dekad menceburi seni teater ini, namun hanya baru beberapa tahun yang lalu saya berpeluang menjadi antara pelakon utama di pentas Kyogen. Apa yang penting, minat dan kesungguhan untuk mendalami setiap kemahiran yang ada," kata Kazunari yang gembira melihat semangat pelajar untuk mempelajari teknik dalam teater ini. Perkara ini diakui oleh sahabatnya, Hiroharu Fukata dan Shuichi Nakamura yang pertama kali membuat persembahan di Malaysia. "Teater Kyogen sebenarnya penuh dengan emosi. Ia menuntut satu komitmen yang tinggi daripada setiap pelakon. Apa pun, saya seronok bersama kalian di sini. Walaupun ia satu lawatan yang amat singkat, tetapi kenangan berada di negara ini tidak akan kami lupakan," jelas Hiroharu. Bagi Suichi pula, dia teruja melihat para pelajar yang duduk mengikuti sesi syarahan dan demonstrasi oleh Mansai secara melutut seperti cara orang Jepun. "Ia seolah-olah menunjukkan mereka menghormati budaya kami dan mengalu-alukan kedatangan kami ke negara ini," tutur Shuichi yang masih dalam peringkat awal menimba ilmu dalam teater Kyogen dengan menjadi pembantu pentas. | ||
| Peringatan cegah penyakit pneumokokal Posted: 15 Jan 2013 06:40 PM PST
PENYAKIT pneumokokal merupakan kumpulan penyakit kompleks disebabkan oleh bakteria Streptococcus pneumonia. Bakteria itu boleh menyebabkan jangkitan serius seperti jangkitan bakteria dalam darah, meningitis, pneumonia dan otitis media (jangkitan telinga). Menyedari kesan buruk penyakit pneumokokal iaitu sejenis penyakit serius yang lazimnya membawa maut dan menyebabkan kehilangan upaya, Pfizer Malaysia telah memulakan beberapa inisiatif beberapa bulan lalu. Tujuannya tidak lain tidak bukan untuk meningkatkan kesedaran terhadap penyakit tersebut dan bagi menonjolkan betapa pentingnya usaha mencegahnya dalam kalangan rakyat Malaysia. Salah satu daripada inisiatifnya ialah Ball of Life atau Bola Kehidupan. Bola Kehidupan ialah bola zorb (bola angin yang mempunyai ruang pada bahagian dalam) yang dibawa ke beberapa tempat di ibu kota dan lokasi berhampiran dalam masa tiga minggu. Kehadiran bola itu menyeru orang ramai membuat ikrar untuk menyokong usaha mencegah penyakit pneumokokal. Pada masa yang sama, mereka dididik mengenai pelbagai aspek tentang penyakit tersebut. Memulakan perjalanannya pada 18 Oktober di pusat beli-belah 1 Utama, bola zorb itu bergerak ke Lot 10, Kuala Lumpur pada minggu berikutnya dan kemudian ke lokasi terakhir di Sunway Pyramid, Petaling Jaya pada 1 November lalu. Bagaimana ia boleh membantu? Bola Kehidupan memberi peluang pendidikan kepada orang ramai dengan meningkatkan kesedaran mereka terhadap penyakit pneumokokal yang masih belum mendapat perhatian sewajarnya. Orang ramai hanya perlu menurunkan tandatangan pada Bola Kehidupan dan membuat ikrar untuk menyokong usaha menentang penyakit tersebut. Bagi setiap tandatangan yang tertera, Pfizer Malaysia akan memberi sumbangan kepada Yayasan Paru-Paru Malaysia dan ia akan digunakan untuk penyelidikan bagi membantu mencegah penularan penyakit pneumokokal. Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada kempen Moment That matter yang dilancarkan oleh Pfizer untuk menyerlahkan kepentingan melindungi detik-detik berharga antara golongan tua dan muda. Luar dugaan Perjalanan Bola Kehidupan dari satu lokasi ke satu lokasi akhirnya berjaya mengumpul lebih daripada 3,000 tandatangan yang disasarkan. Sokongan luar dugaan tersebut menghasilkan 11,476 ikrar yang menunjukkan sokongan orang ramai terhadap usaha menentang penyakit pneumokokal. Setiap satu tandatangan itu membawa ikrar sumbangan RM5. "Kami benar-benar teruja dengan sambutan positif daripada orang ramai dan sokongan mereka kepada usaha meningkatkan kesedaran terhadap penyakit ini. "Sumbangan Pfizer Malaysia menerusi ikrar orang ramai ini akan membantu usaha penyelidikan penyakit pneumokokal," kata Pengerusi Yayasan Paru-Paru Malaysia, Datuk Dr. Zainudin Md. Zin. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan bahawa penyakit pneumokokal membunuh kira-kira kira-kira 700,000 hingga sejuta kanak-kanak berumur di bawah usia lima tahun setiap tahun di seluruh dunia. Di peringkat global pula, kelaziman penyakit pneumokokal serius dianggarkan 14.5 juta kejadian dalam kalangan kanak-kanak bawah umur lima tahun. Orang tua juga tidak terkecuali daripada penyakit pneumokokal kerana mereka merupakan golongan paling teruk diserang pneumonia setiap tahun. Pada tahun 2002, hampir 65,000 orang meninggal dunia akibat pneumonia, 90 peratus daripada kematian tersebut membabitkan mereka yang berumur 65 tahun ke atas. Asia mencatatkan kes penyakit pneumokokal paling tinggi termasuk beban penyakit invasif dan bukan invasif di dunia dengan separuh daripada kes penyakit pneumokokal berlaku di Asia sahaja. Meskipun angka ini amat membimbangkan, penyakit membawa maut ini masih tetap kurang mendapat perhatian. Justeru, adalah penting untuk meningkatkan kesedaran terhadap kesan penyakit dan menggalakkan setiap orang membantu memastikan semua rakyat Malaysia dapat hidup bebas daripada penyakit pneumokokal. "Kami sedar beratnya beban penyakit pneumokokal di negara ini dan kami benar-benar komited untuk terus meningkatkan kesedaran supaya lebih ramai rakyat Malaysia boleh dilindungi. "Inisiatif Bola Kehidupan mendapat sokongan yang sangat memberangsangkan dan rakyat Malaysia semakin menyedari pentingnya usaha mencegah penyakit ini," kata Pengarah Hal Ehwal Awam Pfizer Malaysia, Singapura dan Brunei, Noor Yang Azwan Kamarudin pada Majlis Pelancaran Vaksin Konjugat Pneumokokus keluaran Pfizer. Turut sama pada majlis tersebut ialah Pengarah Institut Perubatan Respiratori Kuala Lumpur, Datuk Abdul Razak Muttalif dan Doktor Perubatan Pfizer, Dr. Vicknesh Welluppillai. Vaksin tersebut disyorkan untuk orang dewasa berumur 50 tahun ke atas sebagai pelalian bagi mencegah penyakit pneumokokal invasif. | ||
| Posted: 15 Jan 2013 06:39 PM PST ![]() RAKYAT Malaysia sememangnya prihatin terhadap nasib penduduk Palestin yang berdepan dengan tekanan rejim Zionis. WALAUPUN serangan rejim Zionis Israel ke atas Gaza sudah lebih sebulan berlalu, namun bayangan kesengsaraan penduduk Palestin masih segar dalam ingatan kita. Rentetan daripada itu, pelbagai organisasi dan individu tertentu tampil memberikan bantuan kepada mereka. Terbaru, kumpulan pelawak Boboi bekerjasama dengan peneraju rekaan dan pengubahsuaian sarung telefon pintar serta tablet dengan cetakan 3D, Popmycase mengumumkan pelancaran kutipan dana untuk Palestin melalui tiga karya seni terbaharu, Boboi Palestine. Kolaborasi ini bertujuan untuk menyalurkan sumbangan kewangan kepada mangsa-mangsa peperangan di Gaza dan menyatakan sokongan padu untuk membebaskan bumi Palestin dari cengkaman Zionis Israel. Amat menyedihkan apabila melihat kediaman, harta benda, masjid dan sekolah mereka dijahanamkan sedemikian rupa dalam perang selama lapan hari itu. Dengan bekalan ubat-ubatan yang masih berkurangan dan kemudahan infrastruktur yang terhad, penduduk Palestin sangat-sangat mengharapkan bantuan dunia terutamanya negara-negara Islam untuk membolehkan mereka membina semula Gaza. Persepsi adalah realiti. Itulah yang terjadi kepada pelakon, pengacara dan pengarah terkenal, Afdlin Shauki. Beliau telah melihat sendiri keperitan dan kepayahan rakyat Palestin melalui rombongan misi kemanusiaan ke Gaza Disember lalu. Rombongan tersebut telah mengubah perspektif Afdlin terhadap Gaza. Sesuatu perlu dilakukan untuk mengurangkan beban rakyat Palestin yang tertindas. Idea terus tercetus. Dana untuk Palestin melalui karya seni pada sarung telefon pintar yang unik dan bergaya mungkin boleh membantu. "Boboi adalah watak yang direka oleh saya, Harun Salim Bachik dan Nabil. Kami menyasarkan lebih kurang 1,000 sarung telefon pintar dengan rekaan Boboi Palestine dapat dijual. Kami berharap dengan hasil karya ini, ia dapat mengurangkan beban rakyat Palestin. "Kita perlu bersuara dalam hal ini. Boboi dan Popmycase percaya bahawa penindasan terhadap rakyat Palestin perlu dihentikan segera dan rejim Zionis Israel perlu dihukum secukupnya di muka pengadilan. Kita tidak boleh membiarkan konflik ini terus berlanjutan," terang Afdlin. |
| You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |





















0 ulasan:
Catat Ulasan