RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Shera Aiyob alah bau hanyir

Posted: 14 Jan 2013 07:33 PM PST


Zahiril Adzim dan Shera Aiyob
Zahiril Adzim dan Shera Aiyob
KEHADIRAN cahaya mata dinantikan pasangan yang sudah berkahwin.

Begitu juga dengan pasangan selebriti, Zahiril Adzim dan Shera Aiyob yang kini berdebar menanti kelahiran anak pertama apabila Shera kini sudah hamil hampir empat bulan.

Berkongsi mengenai pengalaman hamil anak pertama, Shera berkata, dia tidak mengidam makanan pelik-pelik, namun selera makannya bertambah ketika di awal kehamilan.

"Saya bersyukur kerana tidak menghadapi alahan yang teruk, muntah pun tidak teruk. Cuma saya cepat loya jika terbau makanan mentah yang hanyir seperti kupang, lala dan sebagainya.

"Pernah sekali, saya sediakan Omelette untuk Zahiril sarapan pagi, sebaik saya pecahkan telur dalam kuali, saya terus rasa loya. Sejak dari itu, saya jarang masak kerana saya juga tidak boleh bau tumisan.

"Malah, ada juga bau beberapa wangian yang saya tak boleh hidu, kalau terhidu, saya mesti akan rimas sehingga rasa nak marah," katanya ketika ditemui selepas tayangan filem Juvana, baru-baru ini.

Shera atau nama sebenarnya, Nur Syahirah Aiyob berkata, biarpun dia masih di awal trimester kehamilan, namun dia tidak mempunyai masalah untuk berlakon.

"Tawaran berlakon masih tidak putus buat masa ini, tapi kalau saya tak larat, baru saya tolak tawaran itu. Malah sekarang ini pun saya masih menjalani penggambaran bersama kak Eirma Fatimah.

"Ibu dan ibu mertua saya memang risau dan mereka ada ingatkan supaya jangan terlalu lasak sangat masa awal kehamilan ini.

"Tapi Alhamdulillah, setakat ni okey. Malah, sewaktu menjalani penggambaran di Turki baru-baru ni, saya siap boleh mendaki bukit lagi. Rasa terkejut dan macam tak percaya yang saya daki bukit sedangkan saya hamil," katanya sambil ketawa.

Menyentuh mengenai perubahan suaminya, Shera berkata, Zahiril yang sebelum ini rajin membantunya membuat kerja rumah, bertambah rajin membantunya sejak hamil.

Zahiril impi anak lelaki

Dalam pada itu, Zahiril yang ditemui berkata, dia yang sememang penggemar durian  berubah menjadi 'hantu' durian semenjak isterinya itu berbadan dua.

Ditanya mengenai jantina anak, Zahiril berkata, dia sejujurnya menginginkan anak lelaki, namun tidak kisah andai anak bakal lahir itu anak perempuan.

"Bagi saya, apa yang penting, anak yang bakal dilahirkan kelak sihat. Namun, jika anak itu lelaki, dia boleh jadi kawan baik saya dan boleh menjadi peneman Shera jika saya keluar bekerja.

"Jika anak perempuan pula, dia akan jadi kawan baik Shera dan boleh temankan ibunya membeli-belah nanti," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai lakonannya dalam filem Juvana yang memperlihatkan dia digandingkan dengan isterinya sendiri, Zahiril berkata, dia pada mulanya merasa agak sukar untuk menjayakan babak romantis dengan Shera.

"Ketika penggambaran filem itu, kami baru sebulan berkahwin dan timbul rasa segan untuk menjayakan babak sebagai pasangan kekasih.

"Tapi segala rasa yang terlahir dari jiwa saya sebagai Daim kepada dia sebagai Sara dalam filem itu adalah jujur dan ikhlas," katanya sambil ketawa.

Jajakraf ketengah hasil kraf unik

Posted: 14 Jan 2013 07:32 PM PST


Jajakraf ketengah hasil kraf unik
Laman web yang mengetengahkan pelbagai material kraf.
Jajakraf ketengah hasil kraf unik
Jaja bersama suami yang banyak memberi sokongan.
Jajakraf ketengah hasil kraf unik
Rantai kunci telefon bimbit.
Jajakraf ketengah hasil kraf unik
Kerongsang.
Jajakraf ketengah hasil kraf unik
Pemegang kad pengenalan.
MINAT membeli secara alam maya di ebay dan etsy mendorong Siti Barzah Abdul Maulah membangunkan laman blog tamujajakraf.blogspot.com sejak 2010 yang berkonsepkan katalog.

Laman web itu menjadi platform mengetengahkan hasil kerja kraf yang unik dan kontemporari kepada pembeli atas talian.

Bergelar suri rumah tidak menjadi kekangan kepada dirinya menjual material kraf yang sukar didapatkan seperti 'grosgrain ribbon' dan 'fancy buttons'.

Lebih mesra disapa sebagai Jaja, dia berkata, sehingga kini, 70 peratus pelanggannya dari Semenanjung Malaysia, 20 peratus Sabah dan Sarawak manakala 10 peratus selebihnya dari Brunei, Singapura, Indonesia, Filipina, Afrika Selatan, Itali dan sebagainya.

Bayar RM100 bangun laman web

Jaja berkata, apabila permintaan semakin meningkat, dia mengambil inisiatif membangunkan laman web dengan bayaran RM100 setahun.

Katanya, bagi mengukuhkan lagi jenama Jajakraf, dia membangunkan dua laman sosial Facebook iaiatu www.facebook.com/JajaKraf dan www.facebook.com/jajakrafandsupplies.

"Dorongan dan sokongan suami menjadi penguat semangat. Suami saya adalah individu yang bertanggungjawab dalam hal ehwal teknikal bagi membangunkan blog berkonsepkan e-dagang yang mudah dan mesra pelanggan.

"Setiap produk dibeli tidak dikenakan  kos pengurusan, tetapi pelanggan hanya perlu bayar caj penghantaran Pos Laju yang ditetapkan," katanya.

Berhasrat anjur kelas kraf

Menurut Jaja, permintaan setempat khususnya sekitar Kota Kinabalu dilihat semakin meningkat setiap hari sekali gus ia menjadi pendorong kepadanya membuka kedai di pekan Tuaran pada pertengahan Oktober 2011.

Katanya, penjualan secara alam maya lebih tertumpu pelanggan di luar kawasan. Sebaliknya, pelanggan boleh dapatkan pelbagai material dengan harga serendah RM1 hingga RM30 manakala buatan tangan bermula dari RM2.50 hingga RM25.

"Saya mahu menganjurkan kelas mengajar cara membuat hasil kraf dalam pelbagai bentuk seperti kit dan e-buku. Sebelum ini, saya pernah dijemput untuk mengajar di Johor dan Selangor.

"Pengeluaran setiap rekaan baru bergantung kepada idea. Sebagai contoh, dua hingga tiga bulan kebelakangan ini, saya keluarkan pemegang kad pengenalan daripada PVC, bingkai gambar, rantai kunci dan kerongsang," katanya.

'Scan' penyakit guna telefon bimbit, warga emas rugi RM3,500

Posted: 14 Jan 2013 07:28 PM PST


'Scan' penyakit guna telefon bimbit, warga emas rugi RM3,500
Che Rus melakonkan semula bagaimana dia diarahkan berbaring sebelum diperiksa oleh wanita yang menyamar sebagai wakil JKM.
ALOR GAJAH - Seorang warga emas rugi kira-kira RM3,500 selepas tiga barangan kemas miliknya dilarikan seorang wanita yang menyamar sebagai wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Kampung Lendu Hilir, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, mangsa, Che Rus Uda, 74, didatangi seorang wanita lingkungan usia 20-an yang memperkenalkan diri sebagai wakil JKM.

Menurutnya, ketika kejadian, dia yang tinggal sendirian sejak lebih 50 tahun lalu sedang menonton televisyen sebelum terdengar suara memberi salam berulang kali.

"Perbualan antara saya dengan wanita itu hanya dalam jarak jauh sebelum dia memaksa saya membuka pintu yang dikunci cucu yang keluar beberapa minit sebelum kejadian.

"Kemudian wanita yang memakai kemeja dan bertudung putih itu turun dari sebuah kereta menyatakan hendak melakukan pemeriksaan kesihatan sebelum mendesak saya membuka pintu rumah," katanya.

Che Rus berkata, selepas wanita itu masuk ke dalam rumahnya, dia diarahkan membuka semua barang kemas yang dipakainya dan berbaring untuk melakukan pemeriksaan.

"Walaupun dalam keadaan terpinga-pinga, saya buka juga gelang tangan, rantai leher dan anting-anting dan meletakkannya di atas lipatan baju di ruang tamu.

"Melihat keadaan saya yang tidak selesa berbaring di atas lantai, wanita itu mengarahkan saya masuk ke dalam bilik sebelum dia 'scan' seluruh badan dengan menggunakan telefon bimbitnya sahaja. Kemudian dia keluar untuk menghubungi seseorang," katanya.

Dia berkata, selesai 'pemeriksaan', wanita itu menghalangnya daripada bangun dengan alasan dia akan pitam jika berjalan.

"Sepanjang dalam bilik saya berasa tidak sedap hati memikirkan barangan kemas yang ditinggalkan di ruang tamu dan terus keluar dari bilik sebaik terdengar pintu besi di beranda rumah seolah-olah ditolak seseorang.

"Selepas itu, saya terkejut apabila melihat kesemua barang kemas sudah hilang malah kelibat wanita itu juga tiada," katanya.

Katanya, sebelum kejadian, wanita berkenaan ada datang ke rumahnya, namun beredar selepas menyedari cucunya, Hussin Abu Hasan, 31, turut berada di rumah dan datang semula 30 minit kemudian.

"Saya difahamkan oleh jiran berdekatan, kereta dinaiki wanita itu sudah berlegar-legar di hadapan rumah saya kira-kira 30 minit sebelum kejadian itu," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan menasihatkan golongan warga emas khususnya supaya lebih berhati-hati.

"Warga emas atau individu yang tinggal sendirian di rumah dinasihatkan tidak mudah terpedaya dengan pujukan individu tidak dikenali dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan," katanya.

Dikecam kerana Azie

Posted: 14 Jan 2013 07:24 PM PST



DRAMA bersiri Adam Dan Hawa yang menampilkan Aaron Aziz dan Nadiya Nisaa sejak ditayangkan pada 27 Ogos 2012 ternyata telah menimbulkan fenomena tersendiri sehingga ia diminati ramai terutama pengikut setia drama berkenaan.
Menariknya, tempias terhadap fenomena berkenaan turut dirasai oleh seorang lagi pelakon baharu yang sedang meningkat naik, Elfaeza Ul Haq Mohmed Ehsan Ul Haq yang membawakan watak sebagai Azie, rakan baik kepada Ain Hawani lakonan Nadiya.
Elfaeza yang ditemui semasa majlis pratonton episod akhir drama Adam Dan Hawa yang berlangsung di The Gardens, Mid Valley, Kuala Lumpur baru-baru ini berkata, dia sangat gembira apabila drama berkenaan mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada penonton.
"Sudah semestinya saya tidak menyangka apabila drama ini diterima sehingga menjadi sebutan ramai. Saya sangat bersyukur kerana dengan kejayaan yang diraih ia turut memberi kelebihan apabila orang sudah mula mengenali saya.
"Tidak dinafikan apabila pergi ke tempat umum kebanyakan orang akan menyapa saya dengan panggilan Azie memandangkan tidak ramai yang tahu nama sebenar saya gara-gara drama ini," ujar pelakon yang berasal dari Jurong, Singapura itu.
Meskipun berasa cukup gembira dengan kejayaan tersebut, namun Elfaeza mendedahkan disebabkan watak yang dibawakannya itu, dia pernah dikecam segelintir peminat setia drama berkenaan.
Ujarnya, dengan membawakan watak seorang gadis yang terlampau aktif dan gedik, terdapat sesetengah penonton seperti kurang gemar dengannya, apatah lagi dia merupakan seorang pelakon yang baru sahaja mencari tapak dalam dunia lakonan di negara ini.
"Saya akui memang ada yang tidak suka, tetapi apa yang saya lakukan itu merupakan hasil perbincangan dengan pengarah, Feroz Kader dan dia yang meminta saya membawakan karakter sedemikian.
"Bagaimanapun, saya hanya dikecam pada peringkat awal sahaja dan lama-kelamaan sudah ramai yang dapat menerima serta semakin menyukai watak yang saya lakonkan itu," jelasnya.
Ketika ditanya adakah perwatakannya dalam drama berkenaan sama dengan dirinya di luar lakonan, pelakon berusia 27 tahun itu menyatakan dirinya dan Azie merupakan dua individu yang berbeza.
"Secara ikhlasnya saya ini merupakan seorang gadis yang pemalu dan kurang gemar bersosial. Sekiranya tiada sebarang aktiviti penggambaran saya lebih suka duduk di rumah atau lepak dengan kawan-kawan yang saya rapat," ujarnya.

FIGURA kelahiran Singapura ini berazam untuk berusaha lebih keras demi masa depan karier lakonannya ini.


Pada masa yang sama, pelakon itu meluahkan bahawa pengorbanannya untuk tidak menerima sebarang tawaran berlakon yang lain sepanjang menjalani penggambaran drama Adam dan Hawa selama lima bulan ternyata sesuatu yang sangat berbaloi.
Ujarnya, memandangkan drama tersebut membabitkan siri yang terlalu panjang iaitu sehingga 80 episod, dia mahu memberikan sepenuh komitmen supaya mampu membawakan watak yang diberikan dengan sebaik-baiknya.
"Sebagai seorang pelakon baharu mendapat peluang berlakon dalam sebuah drama bersiri yang panjang tentunya memberikan kelebihan, tambahan pula apabila ia mendapat sambutan yang luar biasa.
"Seboleh-bolehnya saya tidak mahu leka dengan apa yang telah dikecapi sekarang ini dan akan berusaha dengan lebih keras untuk mengembangkan karier lakonan saya," ujarnya.
Menurutnya, kejayaan beberapa pelakon Singapura seperti Aaron Aziz dan Adi Putra turut menjadi inspirasi buat dirinya untuk mengecap kejayaan seperti kedua-dua pelakon tersebut.
Tidak merajuk
Mengenai pembabitan awalnya dalam bidang lakonan di Malaysia, Elfaeza memberitahu semuanya bermula apabila salah seorang rakannya memberi saranan supaya menghadiri uji bakat untuk berlakon dalam drama bersiri Adam dan Hawa pada tahun lalu.
Ternyata tuah telah menyebelahi dirinya apabila berjaya dalam uji bakat berkenaan dan ia menjadi titik permulaan kepada dirinya untuk mengembangkan kerjaya di negara ini.
"Karier saya dalam bidang lakonan di Singapura sudah bermula sejak tahun 2008 lagi. Namun begitu, selepas saya membintangi sebuah drama Inggeris berjudul The Pupil, tawaran berlakon dalam drama Melayu tiba-tiba berkurangan.
"Pada mulanya saya sendiri agak hairan perkara ini terjadi secara tiba-tiba, namun saya bersyukur apabila peluang saya untuk meneruskan kerjaya sebagai pelakon masih terbuka luas apabila diterima berlakon dalam drama Adam Dan Hawa," ujarnya.
Namun begitu, pelakon tersebut menegaskan apa yang telah terjadi kepada dirinya tidak sesekali akan membuatkannya merajuk sehingga enggan berlakon di negara kelahirannya itu.
Biarpun sudah mula mendapat tapak yang kukuh untuk mengembangkan kerjaya di negara ini, tetapi dia masih lagi bersedia menerima sebarang tawaran berlakon di Singapura.
"Buat masa ini saya bersedia menerima sebarang tawaran lakonan, asalkan ia bersesuaian dan tidak kira sama ada tawaran tersebut diberikan syarikat produksi dari Malaysia atau Singapura," jelasnya lagi.
Berjauhan
Mengenai cabaran sepanjang mengembangkan karier seni di negara ini, salah satu perkara yang terpaksa dilalui adalah berjauhan dengan ahli keluarga.
Ujar Elfaeza, apabila berhijrah ke Malaysia dia tinggal seorang diri tanpa ditemani ahli keluarga yang lain sehingga sesekali timbul rasa kesunyian.

ELFAEZA (kiri) dan Nadiya Nisaa bukan sekadar rakan baik dalam drama Adam Dan Hawa, tetapi mereka sememangnya rapat di luar dunia lakonan.


"Pada peringkat awal saya seolah-olah sukar menerima keadaan yang saya keseorangan di sini, malah perasaan sunyi yang dilalui pernah membuatkan saya menjadi lemah seketika.
"Sehinggakan saya kerap menangis apabila menghubungi ahli keluarga di Singapura. Namun begitu, mereka banyak memberikan sokongan agar saya dapat terus bertahan," ujar anak kedua daripada empat orang adik-beradik itu.
Bagaimanapun, pelakon itu menyatakan kini dia sudah biasa dengan keadaan tersebut dan sekiranya berasa sunyi dia akan keluar dengan rakan-rakan pelakon yang lain.
"Selain akrab dalam drama hubungan saya dan Nadiya juga rapat di luar lakonan dan kami selalu keluar bersama. Selain itu, saya juga menganggap pasukan produksi Adam Dan Hawa sebagai keluarga kedua memandangkan saya bersama mereka selama lima bulan," ujarnya.

Adiputra tolak sesi fotografi buka pakaian

Posted: 14 Jan 2013 07:24 PM PST


SASA, Adi Putra (tengah) dalam satu adegan filem KL Gangster.


SETIAP insan yang bernama suami pasti teruja dengan kelahiran cahaya mata yang menyerikan lagi alam rumah tangga mereka bersama isteri tercinta.
Itu perasaan yang yang turut dialami aktor bertubuh sasa, Adi Putra. Pelakon yang terkenal melalui watak Jai dalam filem KL Gangster, itu sebelum ini selesa menayangkan tubuh sasanya dalam filem tersebut baru sahaja menerima kehadiran cahaya mata, Zara Adelia Haadi dalam kehidupannya beberapa bulan lalu.
Mungkin kerana sudah bergelar bapa, sehubungan itu timbul desas-desus mengatakan Adi Putra enggan lagi melakonkan watak yang memerlukan dia membuka baju dalam babak drama atau filem.
Di sebalik kesibukan di set penggambaran produksi lakonannya, pelakon filem Akualam Terima Nikahnya itu juga dikatakan semakin mengehadkan waktu kerjanya bagi meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.
Sejauh mana kebenarannya, ikuti temu bual Kosmo! dengan Adi Putra ketika ditemui pada majlis pelancaran produksi drama-drama TV3 untuk suku tahun 2013 di Flora Terrace@ Hempshire Place, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kosmo!: Sejak mendapat anak, Adi Putra dikhabarkan enggan berlakon watak atau melakukan sesi fotografi yang memerlukan anda membuka pakaian. Benarkah?
ADI PUTRA: Bagi sesi fotografi yang memerlukan saya membuka pakaian, mungkin saya akan tolak. Ini kerana menjadi seorang bapa merupakan satu tanggungjawab yang besar dan sudah menjadi lumrah, seorang ayah menjadi ikon yang baik kepada anak. Jika tidak, anak kita kelak mungkin terpaksa menghadapi situasi yang kurang senang dan agak sukar untuk kita memberikan penjelasan secara umum kelak. Namun, untuk drama atau filem mungkin saya akan membuka pakaian jika diperlukan untuk sesuatu watak. Ini kerana ia adalah tanggungjawab saya sebagai seorang pelakon.
Adakah Adi Putra hanya akan memilih watak-watak yang sesuai sahaja setelah bergelar bapa?
Sekarang ini saya sedang menerokai pelbagai jenis watak-watak yang masih banyak lagi saya belum lakonkan dan ingin lakonkan. Buat masa ini, biarlah saya selesaikan dahulu satu persatu sebelum mencuba watak yang lain. Dalam tempoh beberapa tahun ini saya akan lebih fokus kepada watak cinta seperti cinta komedi, serius dan aksi.
Sebelum ini Adi Putra pernah memegang watak lelaki romantik dalam filem Aku Terima Nikahnya bersama Nora Danish. Adakah disebabkan filem tersebut, kini anda banyak meraih tawaran drama atau filem romantik?
Sebelum filem Aku Terima Nikahnya lagi saya ada berlakon drama atau filem cinta tetapi tidak diketengahkan dan orang tidak tahu. Saya rasa filem itu bukan penyebab kebelakangan ini saya mendapat tawaran berlakon dalam drama atau filem cinta.
Apakah perkembangan Adi Putra sekarang?
Saya sedang sibuk dengan penggambaran drama Sehangat Asmara yang menggantikan drama Adam Dan Hawa di Astro Mustika berganding dengan Rita Rudaini sebagai heroin. Selepas itu, saya akan sibuk dengan penggambaran drama bersiri untuk slot Akasia di TV3. Selain itu, filem saya yang akan ditayangkan tahun ini termasuklah KL Gangster 2, Hanyut, Langgar, Isyarat Cinta dan Balistik.
Adi Putra sekarang ini sedang sibuk dengan penggambaran drama. Adakah anda mengehadkan waktu kerja untuk meluangkan masa dengan anak?
Saya belum habis lagi kerja-kerja penggambaran untuk drama Sehangat Asmara, jadi saya tidak boleh mengehadkan waktu kerja. Namun, tahun ini saya sudah selaraskan jadual saya pada hari-hari tertentu untuk saya luangkan masa dengan anak dan juga isteri.
Apakah perbezaan yang dapat dirasai selepas kemunculan cahaya mata dalam hidup Adi Putra?
Saya mendapat keseronokan yang tidak boleh dibeli di mana-mana. Saya rasa anak saya memberikan satu inspirasi dan kekuatan untuk menubuhkan syarikat sendiri iaitu Nur ADP yang akan menerbitkan sebuah filem tidak lama lagi yang diadaptasi daripada sebuah novel berjudul, Suami Aku Ustaz.
Adi Putra turut tercalon dalam Anugerah Bintang Popular (ABP) untuk dua kategori iaitu Pelakon Lelaki TV Popular dan Pelakon Lelaki Filem Popular. Apakah strategi yang dilakukan bersama kelab peminat sebagai kempen untuk pencalonan itu nanti?
Kelab peminat saya sentiasa aktif melakukan pelbagai kempen walaupun bukan kerana ABP. Sebelum ini kami banyak mengadakan bermacam-macam aktiviti dan tidak perlu bila ada ABP baru kelab peminat ini aktif. Jika saya menang pun bukan untuk saya tetapi untuk mereka yang menyokong saya daripada mula-mula berada dalam industri sehingga sekarang.

Saif mahu saingi John Abraham

Posted: 14 Jan 2013 07:23 PM PST


SAIF ALI KHAN


AKTOR John Abraham sememangnya memiliki bentuk tubuh yang sasa sehingga digilai ramai wanita. Malah, ia dikatakan aset aktor itu telah menjadikannya antara pelakon yang semakin laris sekarang.
Laman web celebden.com melaporkan, tubuh sasa John itu turut dikagumi oleh seorang aktor terkenal iaitu Saif Ali Khan.
Kedua-duanya turut berlakon dalam filem yang sama iaitu Race 2 bersama seorang lagi aktor tersohor Bollywood iaitu Anil Kapoor.
"Dapat bekerjasama dengan John sememangnya telah memberi inspirasi kepada saya untuk memiliki tubuh sepertinya. Kalau boleh saya ingin bersaing dengannya agar mendapat bentuk tubuh yang lebih hebat," ujarnya.
Pada masa yang sama, Saif juga turut memuji Anil yang dilihatnya sebagai seorang pelakon yang hebat serta masih lagi mampu mengekalkan keterampilan pada usia yang sudah mencecah 53 tahun.

Penampar bisa bekas suami

Posted: 14 Jan 2013 07:22 PM PST


ARIFIN menunjukkan telinga kiri Aida Rohayu yang masih bernanah kesan ditampar bekas suaminya itu ketika ditemui di Pasir Puteh semalam.


PASIR PUTEH - Selepas turun naik mahkamah selama setahun, seorang wanita akhirnya mendapat pembelaan apabila Mahkamah Sesyen Pasir Mas semalam memerintahkan bekas suaminya membayar RM30,002 selepas didapati bersalah menampar jandanya itu hingga telinga kiri mangsa didakwa mengalami kecacatan kekal.
Hakim Irwan Suainbon mengarahkan Shakri Latif, 43, membayar denda tersebut kepada Aida Rohayu Mohamad, 39, selepas menilai pelbagai aspek di dalam tuntutan saman yang dikemukakan penjawat awam itu.
Aida Rohayu berkahwin dengan Shakri pada 14 Februari 1997 sebelum pasangan itu bercerai pada 16 September 2007. Sepanjang tempoh kira-kira 10 tahun itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata yang kini berusia 14 dan 15 tahun.
Wanita itu kini telah memulakan hidup baharu bersama suaminya, Arifin Abdullah, 38, yang dikahwini pada Februari 2009. Mereka dikurniakan seorang anak perempuan berusia dua tahun.

Api misteri bakar rumah

Posted: 14 Jan 2013 07:21 PM PST


Dua jiran mencari barangan berharga daripada sisa kebakaran rumah Alias (kanan) di Kampung Beris Kijal Nenas dekat Kemaman semalam.


KEMAMAN - Sebuah rumah milik seorang peniaga makanan di Kampung Beris Nenas, Kijal dekat sini hangus terbakar tengah hari semalam dipercayai berpunca daripada kemunculan api misteri sejak Khamis lalu.
Pemiliknya, Alias Ahmad, 43, mendakwa, tragedi malang itu berlaku pada pukul 11.30 pagi apabila api misteri itu membakar hangus rumahnya dalam masa 15 minit.
Lebih mencetuskan misteri ialah api tersebut muncul secara tiba-tiba dari arah bilik air rumah peniaga makanan berkenaan.
"Api misteri itu merebak dan membakar keseluruhan rumah dengan begitu cepat sekali sehingga menyebabkan saya sekeluarga panik," katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Menjelaskan lebih lanjut, Alias berkata, dia mula berasa tidak sedap hati apabila mendapati api misteri muncul pada pukul 5 pagi Khamis lalu dan membakar apron yang diletakkan di dapur.

Hairuman tekad ubah nasib

Posted: 14 Jan 2013 07:20 PM PST

HAIRUMAN sedang meneliti jadual orientasi yang akan dilaluinya selepas mendaftar di PLPP di Sungai Merab, Bangi semalam.


KAJANG – Mangsa renjatan kabel elektrik, Muhamad Hairuman Miskon yang mengalami kecederaan parah ketika mengait buah kelapa sawit di Kuala Selangor kira-kira dua tahun lalu kini berhasrat untuk merubah nasib dirinya apabila melanjutkan pelajaran di Pusat Latihan Pemulihan dan Perindustrian (PLPP) Sungai Merab di sini semalam.
Dia yang sebelum ini terlantar di katil hospital kira-kira tujuh bulan bagi merawat bahagian badannya yang melecur teruk selain kedua-dua belah tangan serta kaki kanannya terpaksa dipotong akibat kejadian itu, mendaftar bersama 130 orang kelainan upaya (OKU) fizikal yang lain dalam bidang komputer di pusat latihan itu.
"Saya berhasrat untuk memperbaiki kehidupan pada masa depan dengan menuntut ilmu di sini.
"PLPP telah memberikan saya harapan untuk berdikari," katanya ketika ditemui pada Majlis Pendaftaran Pelajar Baharu PLPP di sini semalam.
Hairuman, 24, pemuda yang berasal dari Tanjung Karang, Selangor itu pernah menggemparkan negara apabila dia mengalami kecederaan parah selepas terkena renjatan elektrik ketika mengait buah kelapa sawit di sebuah kebun di Kuala Selangor pada 26 November 2010.

Lelaki kasanova penipu diberkas

Posted: 14 Jan 2013 07:19 PM PST


ROSLEE menunjukkan jaket dan pelbagai peralatan yang dirampas daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai doktor untuk memperdaya wanita-wanita bujang pada sidang akhbar di George Town semalam.


GEORGE TOWN – Kekecewaan lebih 20 wanita bujang yang kerugian RM500,000 selepas diperdaya seorang lelaki kasanova sedikit terubat apabila suspek yang menyamar sebagai doktor di sebuah hospital swasta di sini diberkas setelah memasuki perangkap polis Jumaat lalu.
Suspek berusia 45 tahun yang menggunakan nama Dr. Shiva Nair; Dr. Ragunathan dan Keeran Raj ditangkap di rumahnya di Bukit Gambir di sini pada pukul 10 malam 4 Januari lalu selepas terpedaya dengan lakonan polis yang berkenalan dengannya menerusi laman sosial.
Difahamkan, suspek yang hidup mewah hasil penipuan sejak 2001 hingga mampu menyewa rumah teres berharga RM1,800 sebulan hanya memilih wanita India berusia antara 25 hingga 40 tahun sebagai mangsa. Suspek sudah berkahwin dan mempunyai dua anak.
Kebanyakan mangsa pula bekerja sebagai guru, jururawat dan sektor perkilangan serta berstatus bujang. Mereka dipikat menerusi laman sosial Facebook dan Tagged.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Asisten Komisioner Roslee Chik berkata, selepas berkenalan, suspek akan berpura-pura mencintai mangsa hingga sanggup bertemu dengan ahli keluarga wanita-wanita itu kononnya untuk menetapkan tarikh pertunangan atau perkahwinan.
Katanya, suspek kemudian akan memberi alasan menghadapi masalah kewangan untuk berkahwin dan meminta wanita-wanita tersebut membantunya dengan meminjamkan wang atau barang kemas bagi membuktikan cinta mereka.

Pemandu Sosilawati dipukul

Posted: 14 Jan 2013 07:17 PM PST


Pathmanabhan bersama dua tertuduh lain diiringi polis di Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam. Gambar kecil, Kamaruddin.


SHAH ALAM - Tertuduh keempat kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa N. Pathmanabhan mengarahkannya memegang pemandu jutawan kosmetik itu dari arah belakang selepas diberitahu lelaki itu hendak memukul bekas peguam tersebut.
R. Kathavarayan, 32, berkata, tindakannya memegang pemandu Sosilawati menyebabkan mereka bergelut hingga terjatuh atas kerusi dalam sebuah bilik karaoke di Ladang Gadong.
"Kemudian, tangan pemandu itu diikat guna tali pinggang sebelum dia disuruh duduk dan dipukul kira-kira tiga kali," katanya pada pemeriksaan utama oleh peguam Hasshahari Johari Mawi yang dilantik mahkamah bagi menggantikan peguam Ravi Nekoo yang telah menarik diri daripada mewakilinya.
Kathavarayan, 32, diperintah membela diri bersama Pathmanabhan, 43, Thilaiyangan, 21, dan R.Matan, 22, atas pertuduhan membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Ladang Gadong di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Penduduk minta bina pintu air

Posted: 14 Jan 2013 07:08 PM PST


ARIFIN menunjukkan air yang melimpah masuk ke pembetung air di Kampung Pisau Raut, Pengkalan Kubor semalam.


TUMPAT – Penduduk di beberapa buah kampung berhampiran Sungai Golok di Pengkalan Kubor di sini merayu pihak berkuasa agar membina dua lagi pintu air bagi menyelesaikan masalah banjir lambat surut setiap kali musim tengkujuh melanda di kawasan itu.
Penduduk mendakwa, masalah itu berpunca daripada pembinaan jalan sejauh 30 kilometer yang menghubungkan Pengkalan Kubur dengan Rantau Panjang bagi kemudahan orang ramai di 20 buah kampung sejak tujuh tahun lalu.
Keadaan menjadi lebih kritikal setiap kali tibanya musim tengkujuh apabila sebuah pintu air yang merentasi jalan berkenaan ke Sungai Golok tidak mampu untuk menampung jumlah air yang banyak menyebabkan ia lambat surut.
Antara kampung yang terjejas setiap kali banjir melanda ialah Kampung Simpangan, Jejulok, Naga Ibu, Bendang Pak Yong, Derdap, Teluk Jering, Pisau Raut dan Kubang Sawa.

Polis siasat The Straits Times

Posted: 14 Jan 2013 07:07 PM PST


CALON parti pembangkang untuk kerusi Punggol Timur, Lee Li Lian (tengah) menjawab soalan wartawan media pada sidang media di Singapura semalam.


SINGAPURA - Polis menyatakan semalam ia kini menyiasat akhbar utama tempatan, The Straits Times kerana melanggar undang-undang berhubung kaji selidik yang dilakukan untuk kempen pilihan raya kecil di pulau ini.
Pilihan raya kecil pada 26 Januari ini adalah untuk kerusi yang ditinggalkan kosong oleh Speaker Parlimen, Michael Palmer. Palmer yang sudah beristeri meletak jawatan selepas mengakui mengadakan hubungan sulit.
Jabatan Pilihan Raya memberitahu bahawa satu artikel yang disiarkan dalam akhbar itu pada 10 Januari lalu selepas pengumuman tarikh pilihan raya bagi kerusi Punggol Timur kini disiasat oleh polis.
Akhbar tersebut mendedahkan siasatan berkenaan di laman webnya lewat kelmarin dan menyatakan pihaknya akan bekerjasama dengan polis.
Artikel bertarikh 10 Januari lalu itu menyiarkan laporan kaji selidik melibatkan 50 penduduk di kawasan pilihan raya kecil tersebut berhubung sokongan mereka kepada Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah pulau ini.
PAP sudah berkuasa di pulau ini sejak 1959.
"Ini bukan kaji selidik berskala penuh (sebenar) atau berbentuk saintifik," kata ketua editor akhbar berkenaan, Warren Fernandez ketika mengulas laporan tersebut semalam.
"Tajuk berita kami membesar-besarkan kepentingan maklumat yang dikumpulkan dengan mengklasifikasikannya sebagai satu kaji selidik. Kami memohon maaf atas kesilapan ini," tambahnya.
Akhbar The Straits Times merupakan akhbar utama gergasi media Asia, Singapore Press Holdings.
Di Singapura, adalah menjadi kesalahan untuk menyiarkan keputusan kaji selidik pengundi bermula dari tarikh pengumuman pilihan raya sehingga proses penggundian tamat
Mereka yang bersalah boleh didenda sehingga Sg$1,500 (RM3,624) atau dipenjara atau kedua-duanya sekali.
Pilihan raya kecil berkenaan bakal memberikan gambaran berhubung rakyat kurang dua tahun selepas PAP mengalami prestasi terburuknya pada pilihan raya Mei 2011 apabila undi untuk parti berkenaan merosot kepada 60 peratus.
PAP masih memiliki 81 daripada 87 kerusi di Parlimen tetapi parti itu dikritik hebat berhubung cara ia menangani isu imigresen dan perkhidmatan awan selain peningkatan kos sara hidup serta jurang pendapatan di negara kota ini.

 

Lubang besar di sawah padi

Posted: 14 Jan 2013 07:06 PM PST


LUBANG besar yang terbentuk di sawah padi di China pada Sabtu lepas.


BEIJING - Pihak berkuasa China menyiasat kejadian 20 lubang besar yang terbentuk di sebuah kawasan sawah padi di negara berkenaan.
Setakat ini lebih 20 lubang misteri itu terbentuk di daerah Fukou, dalam wilayah Hunan sejak empat bulan lalu.
Menurut media tempatan, siasatan awal mendapati fenomena itu berpunca daripada industri perlombongan setempat yang menyebabkan sistem saliran bawah tanah di kawasan berkenaan musnah.
Keadaan itu membawa kepada tanah jerlus yang membentuk lubang-lubang besar tersebut.

Filem tebusan ungguli Golden Globe

Posted: 14 Jan 2013 07:04 PM PST


BEN AFFLECK menerima anugerah Pengarah Terbaik untuk filem Argo pada Anugerah Golden Globe di Beverly Hills, California kelmarin.


LOS ANGELES - Filem yang mengisahkan krisis tebusan di Iran pada tahun 1979, Argo mengungguli Anugerah Golden Globe ke-70 kelmarin apabila memenangi dua anugerah.
Anugerah berprestij itu yang diadakan sejak tahun 1944 berlangsung di Beverly Hills di sini kelmarin.
Kini giliran terkenal, Ben Affleck itu menggondol anugerah filem dramatik terbaik dan gelaran pengarah terbaik apabila menerusi Argo.
Pengarah berusia 40 tahun itu yang juga membintangi filem berkenaan sebagai seorang ejen perisik CIA, mengetepikan pengarah senior lain seperti Steven Spielberg dan Ang Lee.
Turut menyerlah pada anugerah berprestij yang berlangsung di Hotel Beverly Hilton, Beverly Hills di sini Ahad lalu adalah filem muzikal, Les Miserables lakonan aktor dari Australia, Hugh Jackman.
Les Miserables mengungguli kategori filem komedi/muzikal terbaik manakala Jackman, 44, memenangi anugerah aktor terbaik bagi kategori sama.
Aktor Daniel Day-Lewis, 55, pula memenangi anugerah pelakon lelaki terbaik bagi kategori drama menerusi penampilannya sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-16, Abraham Lincoln dalam filem Lincoln.
Sementara itu, aktres filem Zero Dark Thirty, Jessica Chastain, 35, dipilih sebagai pelakon wanita terbaik untuk kategori sama.
Seorang lagi pengarah tersohor Hollywood, Quentin Tarantino memenangi lakon layar terbaik melalui filem Django Unchained yang dibintangi aktor Leonardo DiCaprio.
Filem Brave arahan Mark Andrews dan Brenda Chapman turut memenangi kategori animasi terbaik.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan