RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Linda Hashim & Beego Nikah Pertengahan Tahun Ini

Posted: 22 Jan 2013 02:55 AM PST

Beego dan Linda Hashim
PETALING JAYA: Pelakon Linda Hashim mengesahkan akan menamatkan zaman bujangnya dengan Beego pada pertengahan tahun ini tetapi enggan mendedahkan tarikh sebenar majlis itu.
Linda atau nama sebenarnya Norhazlinda Hashim, 29, berkata, dia terpaksa berbuat demikian bagi menghormati permintaan keluarga kedua-dua belah pihak.
"Insya-Allah kami akan bernikah pada pertengahan tahun tetapi bukan Mac seperti didakwa sebelum ini. Tarikh sudah ada cuma kami tidak mahu dedahkannya dahulu.
"Persiapan sedang berjalan serba sedikit memandangkan kami berdua juga sibuk dengan komitmen lakonan masing-masing," katanya.
Pada laporan mStar Online bertarikh 19 November 2012, Linda mengesahkan sudah bertunang dengan Beego atau nama sebenarnya Md Aszerul Nizam Abdullah, 33, pada 3 November lalu.
Difahamkan, Linda dan Beego mula dikaitkan menjalin hubungan selepas mereka membintangi drama bersiri Seuntai Kasih pada Jun 2012.
Linda berkata, pada masa ini dia terpaksa bekerja keras bagi mengumpulkan wang sebelum majlis berlangsung.
"Saya memang sibuk sekarang di mana saya sedang terlibat dalam dua komitmen lakonan serentak. Kenalah cari duit lebih untuk majlis nanti.
"Mujurlah persiapan majlis diuruskan butik andaman milik kakak iaitu Erin & Erinas Wedding, jadi tidaklah kelam kabut sangat dibuatnya," katanya.
Linda memberitahu dia juga belum berkesempatan menghadiri kursus perkahwinan gara-gara tawaran lakonan yang silih-berganti.
"Jadual lakonan memang padat sampaikan hendak berehat pun susah kebelakangan ini. Bayangkan, kursus kahwin pun saya belum ambil lagi tetapi tidak apa sebab benda itu tidak rumit.
"Insya-Allah tidak lama lagi saya akan cari tarikh yang lapang dan boleh hadirinya pada hujung minggu," katanya yang sedang menjalani penggambaran telefilem Surat Untuk Dia.

Haluan muzik Yuna, Aizat

Posted: 22 Jan 2013 02:54 AM PST



YUNA dan Aizat merupakan dua nama besar yang kini sedang meniti di bibir peminat muzik tempatan. Ditambah pula dengan kejayaan yang diraih melalui Anugerah Juara Lagu ke-27 (AJL 27) baru-baru ini, kemanisan mengharungi kejayaan dalam karier yang dibina lebih bermakna.
Sememangnya sebelum ini, belum pernah Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Zarai dan Muhammad Aizat Amdan yang lebih mesra disapa sebagai Aizat berkolaborasi dalam mana-mana lagu mahupun sebarang konsert atau majlis persembahan mega.
Adakah mungkin kejayaan pada AJL 27 akan menyatukan Yuna dan Aizat kelak untuk suatu kolaborasi?
Ketika ditemui pada majlis kesyukuran Yuna dan Aizat di TAR Villas, Taman Ampang Jaya, Ampang, Selangor, kelmarin, tutur kedua-dua anak muda ini, mereka tidak mempunyai masalah untuk berkolaborasi bersama.
Namun, jadual yang padat dan tambahan pula kini Yuna sendiri telah mempunyai karier yang sibuk di Amerika Syarikat (AS) membuatkan perancangan tersebut tertangguh.
Memang tidak dinafikan, setelah Aizat membantu Yuna menyampaikan lagu ciptaan sepenuhnya Yuna, Terukir Di Bintang pada peringkat akhir AJL 27, terserlah keserasian antara mereka dan Aizat dikatakan sesuai membawa lagu Yuna itu bagi versi lelaki.
"Kami pernah rancangkan perkara ini sudah lama sebenarnya, tetapi belum punya masa untuk duduk bersama dan berbincang secara serius mengenainya. Ini kerana, Yuna memang dapat kita lihat, dia kini sedang sibuk dengan kerjayanya di AS.
"Bagi merealisasikan perkara tersebut buat masa ini, memang agak sukar. Jadi, saya tidak mahu terlalu tergesa-gesa untuk melakukannya. Saya percaya, jika ada rezeki, pasti peluang itu akan hadir kelak," ujar Aizat.
Aizat cemburukan Yuna
Buat masa ini, tutur Yuna dan Aizat, kedua-dua masing-masing sedang sibuk untuk membuat persiapan album baharu yang berkemungkinan dilancarkan tahun ini.
Menurut Aizat yang bernaung di bawah syarikat labelnya sendiri iaitu Kasi Gegar Entertainment (KGE), dia kini dalam proses menyiapkan album ketiganya.

YUNA dan Aizat ada membuat perancangan untuk berkolaborasi.


"Album ketiga saya itu sudah 10 peratus siap dan kali ini saya ingin membuat perubahan terhadap muzik. Saya mahu muzik saya kali ini dapat dinikmati oleh semua golongan peminat ketika membuat persembahan di atas pentas.
"Saya tidak mahu menjadi penyanyi yang hanya 'layan' lagu sendiri tanpa menghiraukan peminat.
"Jadi kali ini, album saya ada banyak kejutan. Dalam album terbaharu ini juga, banyak lagu yang saya buat penyusunan muzik sendiri. Jadi, saya memang teruja untuk nantikan kehadirannya kelak," jelas Aizat yang banyak belajar daripada kursus yang diikutinya selama dua bulan di London pada tahun lepas.
Tambah pelantun lagu Pergi ini, sebanyak 12 buah lagu akan diselitkan dalam album ketiganya itu termasuk yang berbahasa Inggeris.
Katanya lagi, sudah tiba masanya untuk dia berubah dan menyuntik kelainan dalam muziknya.
"Semenjak saya berada lama dalam industri dan boleh dikatakan dewasa, saya rasakan dahulu saya tulis lirik ikutkan apa yang telinga saya suka dengar.
"Namun kali ini, saya rasa pelbagai perkara lagi yang boleh dilakukan sebagai penyanyi. Saya tidak mahu lagi banyak menulis lagu tentang cinta dan perpisahan. Mungkin saya akan ke arah lain yang berkisar tentang pelbagai perkara," bicara Aizat.
Selain itu, sebagai penyanyi muda, Aizat juga jujur mengakui bahawa dia cemburu dengan peluang yang diperoleh Yuna.
Dapat bekerjasama dengan komposer dan pemuzik hebat seperti gitaris dari kumpulan legenda, Incubus iaitu Mike Einziger yang merupakan idolanya sejak kecil lagi adalah impian setiap pemuzik.
Kolaborasi Yuna, David Foster
Bukan mudah untuk menambat hati komposer atau penulis lirik malah syarikat label besar antarabangsa bagi mempercayai bakat yang ada pada diri terutamanya penyanyi dari luar.
Namun, berbekalkan bakat yang wujud dalam diri, segala usaha Yuna sebagai pemuzik tercapai kerana baru-baru ini, Yuna telah meraih kepercayaan daripada legenda muzik terkenal, David Foster untuk menandatangani kontrak dengan label Verve Music Group.
"Alhamdulillah, setelah selesai kontrak bersama The Fader, kini saya telah pun bernaung di bawah Verve Music Group yang dipengerusikan oleh David Foster.
"Mereka memang sudah lama mahu bernaung dengan syarikat itu, namun ketika itu saya masih lagi di bawah The Fader.
"Saya bakal muncul dengan sebuah album baharu pada bulan Jun atau Julai tahun ini.

YUNA dan Aizat mesra melayan tetamu yang hadir pada majlis kesyukuran anjuran mereka di Ampang Jaya, Selangor, kelmarin.


"David sangat menyokong saya dan dia faham arah tuju muzik saya bagaimana. Sebagai seorang komposer dia memberi kebebasan kepada saya," ujar Yuna.
Isu Uji Rashid
Melihat kepada kejayaan yang dicapai Yuna dalam industri muzik di AS, anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini mengakui label pertama yang menaungi karier seninya di sana iaitu The Fader sangat membantu dalam mempromosikan dirinya ketika dalam proses membina nama di situ.
Kini, dia tidak perlu lagi terlalu bertungkus-lumus untuk memperkenalkan diri walaupun telah berada di bawah label muzik baharu dan hanya memberi konsentrasi terhadap promosi muzik sahaja.
Menjawab persoalan mengenai kontroversi nama Uji Rashid yang digugurkan daripada menyampaikan Terukir Di Bintang pada AJL 27 baru-baru ini, beritahu Yuna, dia memohon agar isu ini tidak dipanjangkan lagi.
Katanya, semua persoalan telah dijawab dan dia menganggap isu tersebut sudah selesai.
"Memang saya yang membuat keputusan untuk memilih Uji Rashid kerana saya sangat meminati dirinya dan ingin tampilkan kelainan dalam persembahan.
"Namun, saya juga perlu akur dengan keputusan pihak pengurusan dan mereka yang lebih arif tentang perkara ini.
"Jika mahu penjelasan yang lebih lanjut, boleh merujuk semula kepada kenyataan yang dibuat oleh pihak pengurusannya dalam program Melodi. Semuanya ada di situ," jelas Yuna.

Radhi (OAG) Enggan Terburu-Buru Kahwin Gadis 19 Tahun

Posted: 22 Jan 2013 02:53 AM PST

Radhi (OAG) akui kekasihnya, 'A' dan keluarga menjadi nadi kekuatan dalam menhadapi proses pemulihan dadah.
KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan OAG, Radhi enggan terburu-buru untuk berkahwin semula dalam tempoh terdekat walaupun sudah memiliki kekasih baharu sejak tiga tahun lalu.
Pemilik nama penuh Muhammad Radhi Razali, 36, berkata, dia hanya akan memperkenalkan gadis yang dikenali sebagai 'A', yang berusia 19 itu kepada khalayak apabila tiba waktu yang bersesuaian.
"Semua orang hendak kahwin tetapi kalau boleh untuk kali kedua ini biarlah kekal.
"Saya selesa berkawan dengan 'A' sejak tiga tahun lalu kerana dia memahami dan banyak menyokong.
"Namun kena tunggu waktu yang sesuai untuk diperkenalkan kepada umum," katanya ketika ditemui pada pelancaran album mini Projek 3D (3 Duda: Dadidu) di sini, petang Isnin.
Sebelum ini, Radhi pernah mendirikan rumah tangga dengan Shazlin Sharif, 35, pada 1 Januari 2005 dan bercerai pada 8 Jun 2010.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan anak lelaki Muhammad Rifdhi Muslim berusia tahun.
Penyanyi lagu 60's TV itu berkata, keutamaannya pada waktu ini adalah membina semula kerjaya nyanyian bersama OAG dan pulih sepenuhnya daripada ketagihan dadah.
"Yang penting sekarang mengeluarkan album baharu bersama OAG dan mengekalkan proses pemulihan daripada ketagihan dadah.
"2013 adalah sambutan ulang tahun ke-20 bagi OAG dan sudah lima tahun OAG tidak ada album baharu. Jadi kami perlu kemunculan semula dengan sebaik mungkin," katanya.
Radhi berkata, proses pemulihan ketagihan dadah selepas keluar dari pusat pemulihan Pengasih Malaysia, kira-kira setahun setengah lalu adalah lebih mencabar.
"Proses pemulihan ini bukan terhenti selepas saya keluar sahaja. Ia berlanjutan sehingga akhir hayat.
"Walaupun sudah tidak ambil (dadah), di luar ini dugaannya lebih berat dan terlalu banyak. Sebab itu saya sentiasa berhati-hati dan perbaiki banyak aspek termasuk sikap dan pemikiran," katanya.

Aizat Akui Iri Hati Kejayaan Yuna

Posted: 22 Jan 2013 02:53 AM PST

Aizat mengakui peluang yang dimiliki oleh Yuna di Amerika Syarikat adalah impian semua pemuzik sepertinya.
AMPANG: Penyanyi dan komposer Aizat Amdan berasa iri hati dengan rakan seperjuangannya iaitu Yuna yang berpeluang merakamkan album di Amerika Syarikat (AS).
Aizat, 24, berkata, peluang yang diperoleh Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Zarai untuk bernaung di bawah sebuah label muzik terkemuka di AS iaitu The Verve/Universal Music serta bekerjasama dengan komposer terkenal seperti David Foster dan gitaris kumpulan Incubus, Mike Einziger adalah impian semua pemuzik sepertinya.
"Siapa yang tidak mahu bekerjasama dengan Mike yang memang terkenal dengan kehebatannya bermain gitar dan mencipta lagu? Beliau adalah salah seorang pemuzik kegemaran saya.
"Jujur saya iri hati dengan peluang yang Yuna miliki selain perjalanan kariernya di Amerika Syarikat semakin lancar.
"Bagaimanapun kejayaan Yuna itu saya ambil sebagai satu semangat untuk terus mengejar cita-cita di peringkat lebih tinggi," jelasnya kepada mStar Online.
Aizat ditemui ketika majlis kenduri kesyukuran kemenangan lagu nyanyian Yuna iaitu Terukir Di Bintang yang diadakan di kediamannya di Taman TAR di sini pada malam Ahad lalu
Tambah Aizat, Yuna juga bertuah kerana peralatan studio dan teknologi yang digunakan jauh lebih baik daripada produksi tempatan.
Aizat dan Yuna bergambar bersama ketika majlis kenduri kesyukuran kemenangan lagu Terukir Di Bintang di Anugerah Juara Lagu ke 27 pada 6 Januari lalu.
Dalam pada itu, Aizat berkata, dia ada merancang untuk merakamkan sebuah lagu bersama Yuna namun kesuntukan masa telah membantutkan hasrat itu.
Katanya, keinginan itu telah lama dipendamkan dan dia yakin akan menghasilkan sebuah lagu yang dapat diterima ramai.
"Saya sudah lama mengenali Yuna dan hasrat untuk merakamkan sebuah lagu bersamanya telah lama dirancang dan Yuna sendiri tidak mempunyai masalah.
"Namun kesibukannya dan sentiasa berada di Amerika telah menyebabkan projek itu tergendala," jelasnya.
Sementara itu, Aizat berkata dia kini sedang dalam proses merakamkan album ketiganya dan dijangka akan berada di pasaran pada pertengahan tahun ini.
Untuk album itu nanti, ia akan memuatkan 12 buah lagi dan enam daripadanya adalah lagu berbahasa Inggeris.
"Kelainan album baru itu nanti ia akan memuatkan enam buah lagu berbahasa Inggeris dan idea itu telah lama saya fikirkan dan mahu berkongsi dengan semua peminat.
"Proses album ini juga saya lakukan sendiri daripada proses penulisan, penciptaan lagu dan rakaman dengan bantuan pasukan penerbit. Saya teruja dengan pembikinan album ini," jelasnya.
Tambah Aizat, kesibukannya tidak terhenti disitu apabila dia juga sedang dalam proses menyiapkan album artis Amir Jahari dan kumpulan Gorilla yang bernaung di bawah syarikat rakamannya iaitu Kasi Gegar Entertainment Sdn Bhd (KGE).
Dalam perkembangan sama, Aizat berkata, pembikinan album terbaharunya itu diilhamkan daripada kursus jangka pendek yang disertainya di Garnish School of Music, London, empat bulan lalu.
"Sepanjang tiga bulan kursus berkenaan banyak perkara yang saya pelajari dan semasa di London juga saya mendapat pelbagai ilham yang kini saya curahkan untuk album terbaharu itu," katanya.

Diddy Hirdy Pelajar Cemerlang CGPA 3.8

Posted: 22 Jan 2013 02:52 AM PST


Diddy walaupun sibuk dengan kerjayanya sebagai pelakon dan penyanyi, dia tetap menjadikan pelajaran sebagai tumpuan utama.
PETALING JAYA: Kesibukannya sebagai artis, suami dan bapa kepada seorang anak tidak menghalang Diddy Hirdy untuk terus bersusah payah menuntut ilmu sehingga berjaya mengekalkan keputusan peperiksaannya di Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan cemerlang.
Diddy atau nama sebenarnya Syamsul Hirdy Muhid, 28, berkata adalah menjadi kebanggaannya kerana sejak menjadi penuntut Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) secara sambilan kira-kira tiga tahun lalu, dia berjaya mengekalkan keputusan nilai purata gred kumulatif (CGPA) 3.8 ke atas.
"Saya tidak percaya dengan keupayaan diri saya kerana berjaya mendapat CGPA sedemikian sehingga diberikan Ikon Pembelajaran Sepanjang Hayat oleh Kementerian Pengajian Tinggi," katanya kepada mStar Online.
Diddy berkata, walaupun sibuk dengan kerjayanya sebagai pelakon dan penyanyi, dia tetap menjadikan pelajaran sebagai tumpuan utama walaupun kadangkala begitu penat kerana perlu melaksanakan banyak kerja dalam satu-satu masa.
Bagaimanapun kesusahan yang dilaluinya ketika ini seharusnya menjadi pendorong kepada generasi muda serta artis-artis lain agar terus menuntut ilmu termasuklah buat anaknya iaitu Nadra Aryssa Jauza yang kini berusia hampir dua tahun.
Dalam masa yang sama, isterinya iaitu Allen Nor Azah Musa, 28, turut memberi sokongan moral terhadap pencapaiannya dalam bidang pendidikan.
"Saya bertuah kerana isteri saya menjadi penyokong kuat terhadap kerjaya saya sebagai artis dan dalam masa yang sama mahu melihat saya berjaya dalam pelajaran. Malah saya mahu susah payah saya ini akan dapat dicontohi oleh anak saya apabila dia besar kelak," katanya.
Antara petua untuk dia kekal dengan pencapaian sedemikian kata Diddy, seseorang yang belajar secara sambilan perlulah mempunyai komitmen yang tinggi terhadap apa yang dipelajari.
Sementara itu dalam perkembangan lain Diddy baru sahaja selesai menyiapkan lagu runut bunyi untuk filem Paku serta dalam proses menghasilkan single terbaharunya.

Zahiril Adzim Bercuti Panjang Kerana Isteri

Posted: 22 Jan 2013 02:51 AM PST

Zahiril memberitahu mahu berehat seketika daripada dunia lakonan kerana ingin memberi tumpuan kepada isterinya, Shera yang sedang hamil anak sulung mereka.
PETALING JAYA: Pelakon Zahiril Adzim akan berehat daripada dunia lakonan bagi memberikan tumpuan kepada isterinya, Shera Aiyob yang kini sedang hamil empat bulan.
Zahiril, 28, berkata, pada tahap ini komitmennya kepada Shera sangat penting selain ingin memastikan kandungan isterinya itu berada dalam keadaan baik.
"Tiada apa yang lebih penting selain memastikan isteri dan anak dalam kandungan berada di dalam keadaan baik.
"Sebab itu saya mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada kerjaya lakonan untuk bersama-sama isteri," ujarnya kepada mStar Online.
Zahiril dan Shera menamatkan zaman bujang mereka pada 20 November 2011 dengan sekali lafaz di Ipoh, Perak.
Dalam pada itu, Zahiril berkata, selain ingin menjaga isterinya, dia mengambil keputusan untuk berehat kerana telah terlibat dalam banyak projek drama dan filem sehingga tiada masa untuk meluangkan masa bersama keluarga.
Dia juga mahu memperlahankan seketika aktiviti lakonannya selepas beberapa tahun bekerja kuat untuk membina nama sebagai pelakon.
Zahiril dan Shera bergandingan dalam filem Juvana sebagai pasangan kekasih dan mengakui kekok ketika berada di lokasi penggambaran.
"Sejak mula saya jarang berehat dan terus bekerja untuk membina nama sebagai seorang pelakon.
"Kini tiba masanya saya memperlahankan sedikit aktiviti lakonan dan memberikan tumpuan kepada isteri dan anak sulung yang bakal lahir," katanya.
Sementara itu, Zahiril mengakui berasa kurang selesa berlakon dengan isterinya sebagai pasangan kekasih ketika digandingkan dalam filem Juvana yang akan ditayangkan pada Khamis ini.
Pun begitu dia mengakui lebih mudah untuk menghayati watak tersebut kerana setiap perkataan yang diluahkan adalah jujur dan penuh kasih sayang.
"Semasa penggambaran filem itu berlangsung kami baru sahaja berkahwin dan rasa segan memang ada tetapi yang bagusnya setiap dialog yang diluahkan adalah jujur dan terasa lebih mudah.
"Selain itu juga kami dapat meluangkan masa bersama-sama selain berbincang tentang watak kami di rumah," jelasnya.

3 Rockers Duda Gabung Hasilkan Album

Posted: 22 Jan 2013 02:50 AM PST

Tiga rockers membuktikan kehebatan mereka. Dari kiri: Asheed, Radhi dan CD Naz (duduk).
KUALA LUMPUR: Tiga penyanyi rock iaitu Radhi (OAG), Asheed (Def Gab C) dan CD Naz (Silkhanaz) memilih judul album mini Projek 3D (3 Duda: Dadidu) bersempena status duda yang mereka lalui.
Asheed, 39, berkata, walaupun dia sudah berkahwin semula pada Jun tahun lalu, perancangan berhubung album berkenaan sudah dibincangkan kira-kira tiga tahun lalu.
"Ketika projek khas ini dibincangkan kira-kira tiga tahun lalu, kami bertiga berstatus duda. Atas persamaan itu kami pilih tajuk 3 Duda untuk album mini.
"Memandangkan ia tertangguh agak lama sebelum dilancarkan, saya pun sudah berkahwin semula pada Jun tahun lalu," katanya.
Asheed ditemui pada majlis pelancaran album terbitan IMG Music Entertainment di Hard Rock Cafe di sini, petang Isnin.
Selain status duda, ketiga-tiga penyanyi ini juga mempunyai persamaan iaitu memiliki seorang anak hasil perkahwinan lalu.
Asheed berkata, dia tidak berniat untuk menyembunyikan status terkininya dengan pemilihan judul itu bagi projek tersebut.
"Bukan saya hendak sorok atau tipu peminat kerana mengekalkan judul 3 Duda tetapi projek ini lambat bermula sehinggakan saya sudah berkahwin terlebih dahulu.
"Tajuk ini kami kekalkan sebagai jenama projek kerana saya pernah bergelar duda sebelum ini manakala Radhi masih duda dan CD Naz pula bakal berkahwin semula pada pertengahan 2013," katanya.
Dalam pada itu, Radhi berkata, dia menghargai penantian dua rakannya untuk melancarkan projek tersebut walaupun ia tertangguh agak lama.
"Kalau diikutkan memang sudah lama album khas ini keluar tetapi saya berdepan kes cerai dan pemulihan dadah pula.
"Asheed dan CD Naz sanggup tunggu sampai saya keluar dari Rumah Pengasih untuk sambung projek ini.
"Malah, disebabkan penangguhan itu juga Asheed sudah berkahwin semula dan CD Naz akan berkahwin tidak lama lagi," katanya.
Bekas gitaris kumpulan Silkhanaz iaitu CD Naz pula berkata, pemilihan judul itu akan mudah diingati walaupun ia kedengaran lucu.
"Pada mata umum, mungkin status duda kelihatan kelakar tetapi bagi kami yang melaluinya ia tidak kelakar.
"Tidak seronok sebenarnya jadi duda tetapi kami pilih nama ini kerana ia menarik dan mudah diingati," katanya.
Album mini yang memuatkan empat lagu iaitu Roman Arogan, Lagu Baru, Gadis Rahsia 003 dan Pabila Hujan Turun turut diedarkan dalam bentuk digital.

Anggota polis dituduh rasuah

Posted: 22 Jan 2013 02:44 AM PST


Razali (belakang) dibawa keluar dari mahkamah.
Razali (belakang) dibawa keluar dari mahkamah.
ALOR SETAR - Dua anggota polis berpangkat sub inspektor dan lans koperal tidak mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas pertuduhan menerima rasuah wang tunai RM4,000 dua tahun lalu.

Mohd Nadzri Saad, 59, dan Razali Abdul Hamid, 44, bertugas di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mohd Rosli Osman selepas pertuduhan berkenaan dibacakan terhadap mereka.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Nadzri dan Razali dengan niat bersama meminta satu suapan iaitu wang tunai RM10,000 daripada Pua Chai Loong sebagai dorongan untuk melepaskan Chai Loong dan rakan-rakan daripada diambil tindakan atas kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. Kejadian itu berlaku kira-kira jam 10.30 pagi di sebuah hotel, di sini, pada 20 Oktober 2011.

Mereka dituduh di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan kedua, mereka dengan niat bersama secara rasuah bersetuju menerima suapan iaitu wang tunai RM6,000 daripada Chai Loong sebagai dorongan tidak melakukan sesuatu yang berhubungan hal ehwal prinsipal kerja melepaskan Chai Loong dan rakan-rakan kira-kira jam 10.40 pagi hari yang sama.

Sementara bagi pertuduhan ketiga, mereka secara rasuah memperoleh satu suapan iaitu wang tunai RM4,000 daripada Chai Loong sebagai dorongan melepaskan dia dan rakan-rakan pada jam kira-kira 2.30 petang hari yang sama.

Mereka dituduh di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mengikut Seksyen 24, mereka boleh dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang tinggi jika sabit kesalahan.

Kedua-dua mereka tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Syahrul Khuzaini Amiruddin menawarkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mohd Rosli kemudiannya mengarahkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin setiap seorang kepada Mohd Nadzri dan Razali serta menetapkan 25 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

70 tahun solat salah kiblat

Posted: 22 Jan 2013 02:23 AM PST


Muka Depan Sinar 22 Januari 2013
Muka depan Sinar Harian edisi Melaka & Negeri Sembilan hari ini. Dapatkan naskhah anda untuk lagi laporan menarik.
MELAKA - Sebuah masjid berusia lebih 70 tahun di Melaka Tengah dekat sini dikesan telah silap dalam penetapan arah kiblat.
Imam I Masjid Al-Ehsan, Bukit Baru, Sabtu Kina berkata, kedudukan arah lebih kurang 10 sentimeter terpesong dari arah kiblat sebenar, yang sepatutnya mencondong ke kiri, wujud sejak masjid tersebut didirikan.
Menurutnya, perkara itu dikesan semasa bermulanya projek penambahan bangunan masjid penghujung tahun lalu oleh pelukis pelan.
Ia turut mendapat perhatian Majlis Agama Islam Melaka (Maim).
"Kita segera atasi keadaan itu dengan memasang pita pelekat penanda arah kiblat sebenar bagi mengelak kekeliruan jemaah," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Paya Ikan, semalam.
Sabtu yang menjadi imam sejak 17 tahun lalu bagaimanapun berkata, ia kesilapan tidak disengajakan berdasarkan faktor usia masjid itu yang dibina pada tahun 1940-an.
Terdahulu, masjid warisan itu tidak dirobohkan, sebaliknya akan dinaik taraf sebahagian bangunan bagi keselesaan lebih 1,000 jemaah.
Sementara itu, salah seorang jemaah masjid tersebut, Abdul Wahab Baba, 55, berkata, dia berharap pihak bertanggungjawab dapat melakukan pemeriksaan di semua masjid lama di negeri ini.
"Semak semula arah kiblat di masjid lama kerana kita tak mahu sembahyang dengan kiblat tidak betul," katanya.
Terdahulu, Pengerusi Maim, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, beliau sudah maklum berkaitan perkara itu dan kesalahan terbabit adalah tidak disengajakan.
"Mungkin ada silap sedikit dan boleh dibaiki kecuali kita sengajakan, itu satu kesalahan. Sama juga seperti kita sembahyang di hotel luar negara yang mungkin boleh tersilap arah kiblat," katanya yang juga Ketua Menteri Melaka.
Sementara itu, umat Islam yang pernah menunaikan solat di Masjid Al Ehsan, Bukit Baru dinasihatkan tidak perlu risau dengan solat mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Datuk Yaakub Md Amin berkata, biarpun kesalahan arah kiblat berlaku, namun hukum sembahyangnya adalah sah.
Menurutnya, ia tidak menyalahi apa-apa kesalahan kerana yang penting niat untuk menunaikan solat.
"Zaman dahulu, kita tiada teknologi canggih untuk menentukan arah kiblat tepat dan hasilnya mendapat arah yang tidak terlalu tepat.
"Berbeza sekarang, kita ada alat canggih dengan pelbagai penggunaan sistem yang baru," katanya.

Saya masih lagi vokalis Kristal! - Razlan

Posted: 22 Jan 2013 02:21 AM PST


KUMPULAN Kristal menegaskan mereka tidak mempunyai masalah dalaman.


ANGIN tiada,ribut pun tiada tiba-tiba suhu termometer hiburan kembali panas. Dalam ruangan gosip Diva Kosmo!Ahad baru-baru ini, penyanyi kelahiran Akademi Fantasia, Yazer dikatakan bakal menggantikan vokalis kumpulan Kristal, Razlan atau Lan.
Semuanya gara-gara Razlan sudah didakwa sudah mempunyai bisnes sendiri dan sibuk dengan urusan lain yang harus diberikan keutamaan.
Maklumat yang diperoleh Diva daripada sumber yang tidak mahu disiarkan nama itu juga memberitahu, sebaliknya Kristal pula terpaksa menerima tawaran mengadakan persembahan sedangkan Razlan tiada untuk bertindak sebagai vokalis.
Kosmo! menghubungi Razlan untuk mendapatkan penjelasannya berhubung perkara tersebut.
Kosmo!: Adakah benar Yazer bakal menjadi vokalis kumpulan Kristal menggantikan anda?
RAZLAN: Tidak benar sama sekali. Saya masih lagi vokalis kumpulan Kristal malah kami baru sahaja selesai mengadakan persembahan di Pulau Pinang pada 25 Disember lalu.
Adakah anda pelik tiba-tiba gosip ini boleh timbul?
Ketika saya baca tajuk gosip tersebut, 'Yazer vokalis Kristal?', saya rasa pelik. Bila saya baca isi kandungan gosip itu saya lantas jadi marah. Sebabnya, ia berkaitan periuk nasi saya.
Adakah anda bergaduh dengan ahli kumpulan Kristal yang lain?
Ia adalah sesuatu yang pelik. Seolah-olah penulisan tersebut ingin melaga-lagakan kami. Sedangkan saya dan ahli-ahli kumpulan Kristal lain tidak ada masalah. Mereka juga terkejut dengan gosip ini.
Jadi, bagaimanakah gosip itu boleh timbul?
Mungkin perkara ini timbul sebab kumpulan Kristal pernah mendapatkan khidmat beberapa penyanyi termasuk Yazer dalam persembahan jika saya tidak dapat menyanyi. Bagaimanpun, perkara ini sepatutnya tidak perlu dijadikan isu sebab kami sudah sepakat tidak hanya fokus pada kumpulan Kristal tetapi ahli-ahli boleh bergerak secara solo. Kami tidak menghalang. Saya juga ada anak dan isteri yang perlu diberi fokus.
Maksud anda Kristal boleh menjemput mana-mana penyanyi untuk menjadi vokalis?
Ya, kami sudah buat perjanjian, malah saya juga kadang-kadang ada menyanyi solo untuk majlis yang hanya inginkan penyanyi solo dan bukan berkumpulan. Malah, ahli-ahli Kristal yang lain juga boleh bergerak secara solo. Contohnya, Rody muncul solo mengadakan persembahan pada Anugerah Juara Lagu ke-27 baru-baru ini.
Adakah anda akan bergerak solo selepas ini dan meninggalkan kumpulan Kristal?
Saya membesar dengan Kristal. Kalau saya tinggalkan Kristal takut dikatakan tidak mengenang budi pula. Ia mMemang tidak akan berlaku. Saya hanya akan bergerak solo jika majlis itu memerlukan hanya penyanyi solo.
Apakah bisnes yang dilakukan anda?
Syarikat saya iaitu Triple Network Solution Malaysia Sdn. Bhd. menjadi pembekal barangan seperti kertas untuk kegunaan pejabat. Saya juga menguruskan acara-acara.
Perkembangan terbaharu anda dan kumpulan Kristal?
Tahun 2012, Kristal muncul dengan album Jom Ago Go dengan syarikat Universal Music. Tahun 2013, kami merancang buat album baharu tetapi tidak pasti lagi sama ada dengan Universal Music. Sebabnya, kontrak dengan Universal Music sudah tamat dan tidak pasti sama ada kami akan sambung kontrak atau tidak.

Konsep Barbie Doll Baby Shima

Posted: 22 Jan 2013 02:20 AM PST

BABY SHIMA cuba menonjolkan kelainan supaya dirinya tidak disamakan dengan penyanyi yang sedia ada.


BAKAT yang digilap menerusi pertandingan nyanyian Bintang Idola 2010, Nor Ashima Ramli atau Baby Shima, 20, kini mempertaruhkan single sulungnya yang berjudul, Tak Sabar ciptaan Edry Abdul Halim.
Bernaung di bawah KRU Music Sdn. Bhd. bersama Wings, Mojo, Forteen dan VIP, figura berwajah comel ini cuba membuat kelainan dengan menampilkan konsep yang dinamakan sebagai Barbie Doll, happy dan catchy.
Menyemarakkan lagi kemunculan Baby Shima, bekas ahli kumpulan VIP, Fadlan Hazim tampil membuat penampilan khas menerusi single tersebut.
Menurut anak keempat daripada enam adik-beradik itu, dia tidak ingin disamakan dengan mana-mana artis KRU Music yang lain.
"Saya menampilkan konsep Barbie Doll, happy dan catchy menerusi single pertama saya yang berjudul, Tak Sabar ini kerana saya tidak mahu disamakan dengan mana-mana artis seperti Stacy. Ini kerana kami berada di bawah syarikat yang sama dan saya juga ada menyelitkan tarian menerusi klip video single tersebut.
"Bagaimanapun, saya cuba membuat perbezaan dengan melakukan pergerakan tarian yang lebih perlahan, walaupun saya sebenarnya boleh menari dengan agak lincah," ujarnya yang kini diuruskan oleh AiCO Empire Group (Aico) yang dimiliki Adam AF.
Bercerita lanjut tentang dirinya yang bernaung di bawah KRU Music, kata Baby Shima, dia sudah bersama syarikat tersebut sejak setahun yang lalu dan telah mengikat kontrak dengan Aico selama lima tahun.
"KRU Music telah melamar saya untuk menjadi salah seorang artis di bawah naungannya selepas menjuarai pertandingan Bintang Idola pada tahun 2010. Ketika itu saya membawa lagu hit Agnes Monica, Matahari yang merupakan lagu kegemaran dan idola saya.
"Saya amat bersyukur kerana telah ditawarkan untuk menjadi artis di bawah naungan KRU Music yang merupakan sebuah syarikat dengan nama yang besar dan dikenali ramai," katanya.
Makna di sebalik panggilan 'Baby'
Mengulas lanjut mengenai perjalanan kariernya pada masa hadapan, Baby Shima memberitahu, dia akan memberikan komitmen sepenuhnya dalam bidang nyanyian dan sentiasa berusaha memajukan diri sebagai pendatang baharu dalam dunia hiburan ini.
"Saya akan memberi sepenuh perhatian kepada perjalanan seni saya dan berharap akan berjaya mendapat tempat di hati para pendengar dalam negara. Selain berusaha memperbaiki dan merancang karier nyanyian, saya turut meminta tunjuk ajar daripada abang Edry, Adam dan ramai lagi untuk tampilkan yang terbaik," bicaranya.
Pada sidang akhbar yang diadakan baru-baru ini di pusat beli-belah One Utama, Damansara, Kuala Lumpur, dia turut berkongsi maklumat mengenai panggilan 'Baby' yang digunakan sebagai nama komersialnya.
"Panggilan Baby itu sebenarnya diberikan oleh Abang Edry kerana melihat kepada perawakan saya yang dikatakan manja dan lembut. Saya juga berasa senang hati dan selesa dengan nama komersial yang dicadangkan Abang Edry itu," katanya.
Dalam pada itu beberapa komposer terkenal tanah air seperti Azmeer, Cat Farish, Adam AF, Tam Spider dan Edry sendiri telah bersedia dan akan membantu Baby Shima dalam mengembangkan bakat yang dimilikinya.
"Saya berasa sangat beruntung kerana sudah ada komposer-komposer yang ingin memberikan saya lagu mereka untuk dinyanyikan nanti," katanya.
Baby Shima juga mengakui sokongan daripada ahli keluarganya menjadi penguat semangat untuk dia terus mengorak langkah dalam dunia seni ini.
"Ibu dan adik-beradik saya sentiasa memberi dorongan dan motivasi kepada saya supaya tidak mudah berputusa asa dan sentiasa berdikari.
"Pada mulanya saya sangka mudah untuk menjadi penyanyi, tetapi sangkaan saya itu meleset apabila melihat betapa susahnya untuk menghasilkan lagu yang terbaik sebelum berjaya menarik perhatian peminat," katanya.
Tak Sabar sudah mula diperdengarkan di stesen-stesen radio tempatan sejak Disember yang lalu.
Tayangan eksklusif klip video Tak Sabar yang diusahakan pada Ogos tahun, bakal menghiasi stesen televisyen tempatan dan juga di Tonton.com.my.
Bagi mengenali Baby Shima dengan lebih dekat dan mengikuti perkembangan perjalanan kariernya, boleh layari laman Facebook http://www.facebook.com/pages/Baby-Shima/181815841843404.

Dipenjara 3 tahun kerana menyamar pemungut derma rumah anak yatim

Posted: 22 Jan 2013 02:18 AM PST

MAZLI ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU - Gara-gara menyamar sebagai pemungut derma untuk rumah anak-anak yatim, seorang lelaki terpaksa meringkuk di dalam penjara selama tiga tahun setelah Mahkamah Majistret di sini mendapati dia bersalah melakukan kesalahan itu.
Tertuduh, Mazli Abd. Ghani, 38, yang bekerja sendiri, didakwa melakukan perbuatan berpura-pura dengan menyamar sebagai pemungut derma untuk rumah anak-anak yatim Madrasah Al-Fununiah Al-Tunjuniah atau Pondok Tunjong pada 15 Januari lalu.
Mazli dituduh menipu seorang lelaki, Ruhi Muzakkir Muhammad yang juga seorang pengadu kepada kes tersebut kira-kira pukul 2.15 petang pada 15 Januari lalu di Medan Selera Stadium, Jalan Bayam, dekat sini.
Majistret Mohd. Fazaly Ali Mohd. Ghazaly menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh yang berasal dari Jalan Telipot dekat sini mengaku melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 415 Kanun Keseksaan.

Wad hospital jadi mahkamah

Posted: 22 Jan 2013 02:17 AM PST


MOHD. SAIMIN (kanan) dan Mohd. Raffiq didakwa di atas katil HUSM, Kubang Kerian, Kota Bharu atas tuduhan memiliki senjata berbahaya dan menyerang anggota polis semalam.


KOTA BHARU - Dua lelaki yang sedang dirawat di hospital akibat terkena tembakan anggota polis dihadapkan ke muka pengadilan semalam atas tuduhan memiliki beberapa senjata berbahaya dan menyerang penjawat awam.
Bagaimanapun, Mohd. Saimin Ali, 34, dan Mohd. Raffiq Razuaddy Ab. Aziz, 29, mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut di hadapan Pendaftar Mahkamah Sesyen Pasir Puteh, Roszita Md. Saad ketika prosiding dijalankan di Wad 2 Zamrud, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini.
Ketika prosiding, kedua- dua tertuduh diasingkan daripada pesakit lain di wad tersebut dan ditutup dengan tirai.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa memiliki sebilah pedang, sebilah parang panjang, sebatang kayu, sebatang besi panjang dan sebilah pisau.
Bagi pertuduhan kedua, Mohd. Saimin dan Mohd. Raffiq dituduh menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang penjawat awam, Koperal Mohd. Zaki Husain dengan niat hendak menahan atau menakutkannya daripada menjalankan tugas.

Angkat kereta nampak mayat

Posted: 22 Jan 2013 02:15 AM PST


ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat Chee Keong yang tersepit selepas kereta dipandunya terjunam ke dalam longkang di Danga Bay, Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU - Sekumpulan lelaki terkejut apabila sebuah kereta jenis Hyundai yang dinaikkan selepas terjunam ke dalam longkang besar rupa-rupanya mengandungi mayat seorang lelaki yang dipercayai terperangkap dalam kejadian dekat pesisir pantai Danga Bay di sini semalam.
Mayat Choi Chee Keong, 45, ditemui tersepit di tempat duduk pemandu dan dipercayai lemas sebaik kenderaan dipandunya itu terjunam pada pukul 9 malam kelmarin.
Kereta mangsa hanya disedari berada di dalam longkang itu pada pukul 11 pagi semalam apabila sekumpulan lelaki ternampak bumbung kenderaan itu seolah-olah tersangkut pada permukaan longkang.
Lelaki berkenaan, David Pancil, 30, berkata, dia bersama tiga lagi nelayan terkejut apabila ternampak bumbung kereta berkenaan seolah-olah tersangkut di permukaan longkang berkenaan ketika mencari ketam di situ.

Makmal ekstasi bernilai RM500,000 diserbu

Posted: 22 Jan 2013 02:15 AM PST


RAHIM (kanan) melihat mesin pemampat bagi menghasilkan dadah jenis ekstasi yang dirampas dalam satu serbuan di perkampungan Air Itam, George Town semalam.


GEORGE TOWN - Satu sindiket memproses dan mengedar pil ekstasi berjaya dilumpuhkan selepas polis menyerbu sebuah makmal haram di sebuah rumah papan di perkampungan Air Itam di sini pada 18 Januari lalu.
Dalam operasi pukul 8.30 malam oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri itu, polis menahan lima lelaki dan dua wanita berusia antara 19 hingga 44 tahun.
Difahamkan, ketika serbuan kesemua mereka berada di dalam rumah berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Rahim Jaafar berkata, hasil serbuan, polis berjaya membongkar sebuah makmal haram memproses dadah jenis pil ekstasi termasuk menemui serbuk dadah ekstasi seberat 1,275 gram, ketamin (54 gram) dan syabu (22 gram).
Katanya, anggaran harga pasaran dadah yang dirampas itu bernilai RM500,000 dan pihaknya turut menyita tiga buah kereta dengan nilai RM130,000.
Jelasnya, serbuan dilakukan hasil maklumat yang diperoleh daripada orang awam dan risikan anggota JSJN.

Miros guna Quadcopter

Posted: 22 Jan 2013 02:14 AM PST


ABDUL RAHMAT (dua dari kanan) dan pegawai Miros menunjukkan Quadcopter yang digunakan untuk menyiasat kes kemalangan di Kajang semalam.


KAJANG – Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) kini menggunakan teknologi helikopter kawalan jauh bagi menyiasat kes kemalangan maut yang berlaku di negara ini dengan lebih berkesan dan menyeluruh.
Ketua Penyelidik Unit dan Rekonstruksi Kemalangan Miros, Abdul Rahmat Abdul Manap berkata, penggunaan gajet terbaharu dikenali Quadcopter dan dilengkapi bersama kamera resolusi tinggi itu mampu mengenal pasti data kemalangan maut dengan lebih mudah.
Ujarnya, analisis kes-kes seperti itu bukan hanya tertumpu kepada aspek kenderaan dan gaya pemanduan sahaja, malah ia turut merangkumi reka bentuk jalan raya, papan tanda serta elemen persekitaran.
"Miros menjalankan siasatan menyeluruh termasuk kaitan faktor keadaan jalan, papan tanda yang tidak sesuai atau halangan pokok yang mungkin menjadi penyumbang kepada kemalangan.
"Penggunaan Quadcopter dapat merakam imej menyeluruh dalam radius lebih luas di kawasan kemalangan melalui sudut yang lebih tinggi dengan dikawal oleh pegawai-pegawai Miros," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Bekas ketua IMF bayar AS1.5 juta tutup kes cabul

Posted: 22 Jan 2013 02:13 AM PST


Kiri:STRAUSS-KAHN, Kanan:DIALLO


PARIS - Bekas ketua Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Dominique Strauss-Kahn membayar AS$1.5 juta (RM4.5 juta) sebagai penyelesaian luar mahkamah kepada seorang pengemas bilik hotel di New York yang mendakwa telah dicabul olehnya, lapor akhbar Perancis kelmarin.
Memetik sumber-sumber yang rapat dengan Strauss-Kahn, akhbar Le Journal du Dimanche berkata, wanita itu, Nafissatou Diallo telah menerima bayaran tersebut di bawah satu persetujuan rahsia sebagai penyelesaian saman Diallo ke atas dirinya.
Akhbar berkenaan menyatakan, Diallo mendapat 70 peratus wang tersebut selepas membayar pasukan peguamnya.
Diallo tuurt menerima bayaran daripada akhbar New York Post yang disamannya sebelum ini kerana melaporkan dia bekerja sebagai seorang pelacur.
Insiden itu memalukan Strauss-Kahn sehingga memaksa beliau meletak jawatan sebagai ketua IMF serta memusnahkan harapannya untuk menjadi Presiden Perancis.
Strauss-Kahn ditangkap selepas Diallo mendakwa pemimpin itu memaksanya melakukan seks oral di bilik hotel penginapannya di Hotel Sofitel, New York pada Mei 2011.
Dalam insiden tersebut, Strauss-Kahn mengaku berlaku hubungan seks tetapi menegaskan bahawa hubungan itu adalah secara suka sama suka.
Siasatan jenayah terhadap insiden itu gagal selepas Diallo menukar keterangannya dengan pihak pendakwa raya menganggap kesnya sebagai lemah.
Strauss-Kahn, 63, masih berdepan siasatan di Perancis berhubung dakwaan beliau terlibat melanggan pelacur selepas sebuah mahkamah tempatan menolak permintaan agar dakwaan ke atas dirinya digugurkan.

Mama ungguli carta pecah panggung

Posted: 22 Jan 2013 02:12 AM PST


ALAH satu adegan cemas yang boleh disaksikan dalam filem Mama. Filem ini menampilkan lakonan hebat (dari kiri) Isabelle Nélisse, Nikolaj Coster-Waldau, Megan Charpentier dan Jessica Chastain.


LOS ANGELES - Filem seram berjudul Mama mengungguli carta pecah panggung di Amerika Utara hujung minggu lalu, lapor pemantau industri hiburan Exhibitor Relations kelmarin.
Ia berjaya memperoleh kutipan tiket sebanyak AS$28.1 juta (RM83.2 juta) pada minggu pertama tayangannya.
Filem yang mengisahkan dua kanak-kanak diselamatkan selepas hilang di dalam hutan apabila ibu bapa mereka mati berjaya mengenepikan filem pembunuhan Osama bin Laden, Zero Dark Thirty.
Menurut Exhibitor Relations, Zero Dark Thirty mengutip AS$17.6 juta (RM52.1 juta) pada minggu kedua tayangan.
Berada di tempat ketiga ialah filem komedi romantik, Silver Linings Playbook lakonan aktres Jennifer Lawrence yang mengaut kutipan berjumlah AS$11.4 (RM33.8 juta).
Filem Gangster Squad dan filem Broken City pula masing-masing berada di tempat keempat dan kelima dengan memperoleh kutipan tiket AS$9.1 juta (RM26.9 juta) dan AS$9.0 juta (RM26.6 juta).
Ia diikuti oleh filem komedi A Haunted House dan filem arahan Quentin Tarantino, Django Unchained yang memperoleh kutipan sebanyak AS$8.3 juta (RM24.6 juta) dan AS$8.2 juta (RM24.3 juta).
Filem muzikal Les Miserables pula berada di tangga kelapan, mengaut AS$7.8 juta (RM23.1 juta), mengenepikan filem The Hobbit: An Unexpected Journey, AS$6.5 juta (RM19.2 juta).
Penampilan aktor Arnold Schwarzenegger dalam filem terbaharunya, The Last Stand hanya sekadar berada di tempat ke-10 dengan kutipan AS$6.3 juta (RM18.7 juta) pada tayangan sulungnya hujung minggu lepas.

Bergelut dengan jerung untuk selamatkan kanak-kanak

Posted: 22 Jan 2013 02:11 AM PST


PAUL MARSHALLSEA (dalam bulatan) menarik ekor ikan jerung di tepi pantai Sunshine Coast, Queensland dalam kejadian semalam.


SYDNEY - Seorang lelaki warga Britain yang sedang menikmati percutian di Sunshine Coast, Queensland di sini bertindak berani menangkap seekor ikan jerung yang mendekati sekumpulan kanak-kanak di pesisir pantai, lapor akhbar Mail Online semalam.
Paul Marshallsea, 62, telah bergelut dengan ikan jerung berukuran 91 sentimeter itu ketika ia berenang di air cetek mendekati pantai.
Sejurus terdengar jeritan orang ramai mengenai kemunculan ikan jerung itu, Paul dengan pantas berkejar ke pantai dan menarik ekor ikan jerung tersebut sebelum ia bertindak ganas.
Ikan jerung itu hampir mencederakan kaki Paul sebelum ia ditarik ke tengah laut oleh pasukan penyelamat menggunakan jet ski dan helikopter.
"Ketika itu air di pantai cetek sedalam 5.4 meter dan ramai kanak-kanak dan bayi sedang bermain di situ. Jika saya tidak campur tangan, kejadian yang tidak diingini akan berlaku.
"Gerak hati saya menyuruh saya melakukannya dan saya terus menangkap ekor ikan jerung itu," katanya.
Menurut Marshallsea, ikan tersebut berpusing ke arahnya dan hampir menggigitnya.
"Ia hampir membaham kaki saya dalam sekelip mata. Ia sangat pantas," kata lelaki itu.

Terperengkap di kerusi gara-gara bergurau

Posted: 22 Jan 2013 02:10 AM PST


KEADAAN Curtis selepas terperangkap pada kerusi anaknya di London baru-baru ini.


LONDON - Seorang ibu terperangkap di sebuah kerusi duduk anaknya selepas bergurau dengan seorang rakan yang berkunjung ke rumahnya di sini, lapor akhbar The Sun semalam.
Ketika kejadian, Serena Curtis, 31, dilaporkan sedang meraikan majlis malam perkahwinan beliau bersama rakan wanitanya Jade Dickerson, sementara anaknya telah dihantar ke rumah pengasuh untuk dijaga.
Curtis, ibu kepada tiga orang anak tersebut yang ketika itu sedang mabuk telah mengambil keputusan untuk duduk di dalam kerusi lipat milik anaknya sebelum tersepit di antara celah ruang tempat duduk kerusi berkenaan.
Dia dan Jade, 27, telah berusaha selama sejam untuk meloloskan diri dari kerusi tersebut namun gagal sehingga menyebabkan Curtis terpaksa berhenti seketika untuk berehat.
Segala kejadian yang berlaku ini turut dirakamkan oleh Jade menggunakan telefon bimbitnya.
Jade akhirnya terpaksa memanggil pihak bomba untuk datang membantu membebaskan Curtis yang masih tersepit itu.
Serena berasa malu dengan kejadian yang berlaku apabila beberapa anggota bomba tiba di rumahnya di Oxford.
"Saya berasa sangat malu. Saya baru sahaja melangsungkan perkahwinan. Nasib baik kerusi ini telah menyembunyikan muka saya.
"Ini adalah kerusi lipat anak saya. Saya masih tidak memberitahunya lagi mengenai kejadian ini. Saya tunggu sehingga dia dewasa," katanya.

Jangan takut jalani rawatan kemoterapi

Posted: 22 Jan 2013 02:09 AM PST



SEJAK setengah kurun yang lalu, kemoterapi berperanan dalam usaha mengekang penyakit kanser. Namun, di sebalik jasa dan kepentingan kemoterapi yang agak terkehadapan dalam bidang perubatan, rawatan tersebut tidak lari daripada dimomokkan dengan kepercayaan karut dan salah faham.
Lebih mendukacitakan, hampir kebanyakan daripada kita hakikatnya tidak mempunyai pengetahuan bagaimana ia berfungsi dalam menangani penyakit pembunuh nombor satu itu. Pengalaman keluarga terdekat yang menghidap kanser payudara sedikit sebanyak mengubah persepsi negatif penulis terhadap rawatan kemoterapi.
Hasil pemerhatian penulis mendapati selepas sesi kemoterapi dijalankan, pesakit mengalami keguguran rambut selepas beberapa minggu. Pesakit juga mendakwa mudah letih, namun tidak pula mengadu sakit yang melampau akibat kemoterapi.
Tepis perasaan
Pengalaman yang sama turut dirasai seorang pesakit kanser payudara tahap dua yang hanya mahu dikenali sebagai Izzah, 44. Dia baru sahaja selesai menjalani tiga sesi kemoterapi daripada keseluruhan enam sesi.
Selepas disahkan menghidap penyakit tersebut pada bulan Julai tahun lalu, Izzah terus melakukan pembedahan diikuti dengan rawatan radioterapi, 15 sesi pada payudara dan 25 sesi pada abdomen.
Beliau kemudiannya dinasihati supaya berjumpa pakar onkologi. Pakar terbabit menyarankannya supaya menjalani rawatan kemoterapi. Namun, Izzah enggan. Beliau terkenang birasnya yang meninggal dunia ketika menjalani rawatan tersebut suatu ketika dahulu.
"Rasa takut menghantui tetapi selepas melihat pemeriksaan kesihatan yang agak stabil, saya menepis perasaan itu dan membuat keputusan menjalani kemoterapi.
"Alhamdulillah, selepas tiga sesi, saya tidak pernah mengalami muntah teruk cuma mudah rasa penat dan mudah terlelap. Rambut pula gugur selepas minggu keempat, sebaliknya emosi saya stabil. Kepala rasa agak berat pada awalnya dan saya perlu minum banyak air, tetapi kesakitan yang dirasa itu sebenarnya sementara sahaja. Jadi jangan takut untuk menjalani kemoterapi," jelasnya Izzah ketika ditemui di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur.
Selepas 12 hari menjalani rawatan kemoterapi, Izzah hanya duduk di rumah. Dalam tempoh itu, sistem ketahanan tubuhnya sangat rendah dan mudah diserang penyakit. Tiada pantang dalam pemakanan tetapi saya banyakkan makan buah-buahan dan sayuran," kongsi Izzah.
Perunding Klinikal Onkologi Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Muhammad Azrif Ahmad Annuar menjelaskan, kebiasaannya pesakit kanser payudara tahap pertama tidak memerlukan kemoterapi. Kemoterapi hanya perlu berpandukan kepada beberapa faktor.

GAMBAR rajah di atas menunjukkan perebakan sel kanser payudara ke bahagian tulang dan nodus limfa.


Penentu rawatan kemoterapi kanser payudara dinilai berdasarkan risiko yang dihadapi pesakit, tahap kesihatan tanpa mengambil kira umur dan penyakit lain yang dihidapi pesakit.
Menurut Azrif, daripada 80 peratus pesakit yang bertemu pakar onkologi, 20 peratus membuat keputusan untuk tidak menjalani kemoterapi. Selepas perbincangan, terdapat pesakit yang enggan melakukan kemoterapi dan selesa dengan radioterapi sahaja.
Bagi kanser payudara, kemoterapi perlu dijalankan sebanyak enam sesi untuk setiap tiga minggu. Ia diikuti dengan pemeriksaan semula setiap tiga atau empat bulan bagi tiga tahun pertama, setiap enam bulan untuk empat hingga lima tahun dan sekali setahun selepas lima tahun.
"Kemoterapi merupakan rawatan pilihan. Doktor hanya memberi saranan tetapi keputusan dibuat oleh pesakit selepas mempertimbangkan risiko dan perbincangan dengan keluarga.
"Ada juga pesakit yang berhenti kemoterapi di tengah jalan dan memilih rawatan alternatif l seperti perubatan tradisional atau mengikut kepercayaan agama masing-masing. Selalunya, mereka akan berjumpa doktor semula disebabkan sel kanser kembali agresif," jelas beliau.
Menurut Azrif, pada waktu itu, ia mungkin sudah terlambat untuk membunuh sel-sel kanser secara menyeluruh ekoran rawatan yang tidak lengkap sebelum itu. Jadi, kemoterapi yang diberikan adalah untuk pengawalan, bukan penyembuh. Azrif mengakui selepas menjalani sesi pertama kemoterapi, pesakit mula membiasakan diri meskipun rasa takut masih ada.
Antara punca yang kerap diterima Azrif apabila berdepan pesakit kanser yang enggan menjalani kemoterapi ialah pengaruh cakap orang yang telah terbentuk dalam diri, harapan samar selepas rawatan dan tekanan saat disahkan mendapat kanser itu masih belum hilang.
Rawatan kemoterapi sebenarnya berbeza mengikut jenis kanser. Penghidap kanser limfoma atau kanser kelenjar tahap empat, Abdul Muizz Muhammad, 26, mula disahkan menghidap penyakit itu. pada bulan Mei tahun lalu.
Memandangkan kanser dalam kes Muizz tidak boleh dibuang dengan pembedahan, dia menjalani radioterapi dan sesi kemoterapi sebanyak enam kali. Selama lima hari berturut-turut, Muizz melalui sesi kemoterapi dan kesannya mula dirasai pada hari ke-11.

UBAT kemoterapi yang disuntik akan membunuh sel kanser dalam keseluruhan badan.


Kesan berbeza
Selepas rawatan itu, rambutnya mula gugur. Dia demam, sakit mulut dan muntah-muntah.
"Nasib saya kurang baik, selepas habis kemoterapi, sel-sel kanser masih agresif dan doktor mencadangkan saya menjalani transplan. Bagaimanapun ia melibatkan pemindahan darah yang berisiko tinggi.
"Sebelum rawatan itu dijalankan, saya perlu menjalani dua lagi sesi kemoterapi dan saya agak takut dengan rawatan kali ketujuh itu. Ramai meninggal dunia ketika tempoh ini. Alhamdulillah saya berjaya bertahan dan kini sedang menunggu hasil transplan yang telah dijalankan," cerita pelajar kejuruteraan awam Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Johor itu ketika ditemui di Hospital Ampang, Selangor.
Pakar hematologi, Dr. Muhd. Zanapiah Zakaria memberitahu, setiap kemoterapi direka khas untuk kanser tertentu. Jadi, kesan kemoterapi kanser yang berbeza tidak boleh dijadikan perbandingan.
"Hematologi merangkumi kanser darah iaitu leukemia dan kanser limfoma. Terdapat pelbagai jenis leukemia dan kanser limfoma dan setiap jenis mempunyai prosedur kemoterapi yang tersendiri.
"Sebagai contoh, leukimia mieloid akut, ia perlu dilakukan setiap hari selama seminggu. Dalam tempoh tiga minggu, mereka perlu melakukan kemoterapi sekali lagi.
"Sel kanser leukemia ini mengalir dalam darah dan disebabkan itu hanya kemoterapi mampu menghapuskan sel stem yang bermasalah. Hampir 70 peratus pesakit menerima respons positif dari segi penghapusan sel stem selepas kemoterapi.

Izzah menghidapi kanser payudara tahap dua dan telah menjalani tiga sesi kemoterapi daripada keseluruhan enam sesi.


"Tetapi, hanya 30 hingga 40 peratus pesakit akan kekal sembuh menerusi kemoterapi. Jadi, pesakit leukimia disaran melakukan transplan kerana kemungkinan untuk pulih sepenuhnya sangat tinggi sekiranya sel stem bermasalah digantikan dengan yang baharu," jelas Muhd. Zanapiah yang menambah transplan selalunya melibatkan dua kaedah iaitu autologus dan alogeneik.
Menangkis kisah negatif tentang kemoterapi, Muhd. Zanapiah tidak menafikan bahawa kemoterapi mendatangkan kesan sampingan tetapi segala-galanya demi kebaikan pesakit. Doktor melihat kemoterapi sebagai rawatan jangka panjang bagi pesakit kekal pulih yang disasarkan untuk tempoh lima hingga 10 tahun.
"Pesakit perlu berkorban kesakitan dan masa untuk kemoterapi selama enam bulan hingga setahun. Ia memang agak lama tetapi faedahnya pasti datang kemudian. Mereka yang masih ragu-ragu dengan keupayaan kemoterapi disarankan bertanya terus kepada pesakit kanser yang telah sembuh dan bukannya mendengar cerita rawak daripada masyarakat," pesan Muhd. Zanapiah.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan