Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Damai di Taman Wetlands Putrajaya
- Pulau sepi yang kaya potensi
- Aura klasik Jambatan Golden Gate
- Taruhan terbaharu pakar kereta kompak
- Toyota Prius c TRD Sportivo
- PEUGEOT 2008: Crossover Urban!
- Hidang teh dalam aksi kung fu
- Manfaat daripada zat daun
- Tradisi menjinak lembu jantan
- Penangan nasi lemak cili bilis
- Terapi solat bantu mengubah sikap
- Fara Fauzana Sedia Hidup Bermadu
- Johan Bakal Muncul Dalam MLM2012 Malam Ini
| Damai di Taman Wetlands Putrajaya Posted: 18 Jan 2013 05:56 PM PST
LELAKI itu leka memerhatikan air tasik yang terbentang luas di hadapannya. Warnanya agak keruh, mungkin disebabkan musim tengkujuh yang sedang melanda seluruh negara sejak akhir-akhir ini. Sesekali matanya melihat dua rod pancing miliknya yang diletakkan di tebing tasik itu. Belum ada tanda-tanda menunjukkan umpan dedak pada mata kailnya sudah mengena. "Memancing selalu macam inilah, ikut nasib. Kadang-kadang letak saja umpan ikan dah sambar, jika tidak tunggulah berjam-jam sekali pun, nak dapat seekor pun payah," kata Suffian Zulkarnain, 27. Lelaki yang menetap di Putra Perdana dekat Puchong, Selangor itu sememangnya minat memancing. Boleh dikatakan hampir seluruh tasik dan kolam ikan di sekitar Puchong sudah ditawannya Cuma kali ini, dia mahu mencuba nasib di Taman Wetland Putrajaya. Itu pun selepas rakan-rakan pemancingnya memberitahu, lokasi yang terletak di Presint 13, Putrajaya itu terkenal dengan pelbagai spesies ikan air tawar seperti seperti lampam, belida, toman dan jelawat. Biarpun dikenakan caj sebanyak RM20 bagi setiap rod pancing yang dibawa, namun baginya ia tetap berbaloi. Lebih-lebih lagi kawasan sekitarnya dilengkapi kemudahan tempat meletak kenderaan, tandas awam, surau, kafe serta wakaf bagi memberi keselesaan kepada pengunjung. "Biarpun baru pertama kali memancing di sini, saya sangat seronok dan selesa. Sambil memancing saya dan keluarga boleh berkelah di tepi tasik sambil menikmati panorama flora dan fauna di sekitarnya," kata kakitangan Mahkamah Persekutuan Malaysia itu. Sejarah Wetland ![]() AKTIVITI rekreasi air antara tarikan yang ditawarkan di Taman Wetland Putrajaya. Menyusuri sejarahnya, Taman Wetland Putrajaya dibangunkan pada Mac 1997 sebelum dibuka secara rasmi pada 2 Februari 1999 iaitu sempena Hari Wetland Sedunia. Mempunyai keluasan 197.2 hektar, ia merupakan taman buatan manusia yang pertama di Malaysia serta antara kawasan tanah lembap yang terbesar di rantau ini. Timbalan Pengarah Bahagian Operasi dan Pendidikan Taman Jabatan Landskap dan Taman Perbadanan Putrajaya, Mohd. Tajuddin Idris berkata, umum mengetahui Putrajaya direka berkonsepkan bandar yang dikelilingi tasik-tasik buatan manusia. Justeru katanya, ia memerlukan satu sistem penapisan air yang cekap bagi mengelakkan air tasik itu daripada tercemar sekali gus menjejaskan keindahannya. "Di sinilah peranan utama taman ini. Umpama 'buah pinggang', ia merawat dan menapis pelbagai bahan enap cemar dan toksik yang disalirkan dari sungai-sungai berhampiran secara semula jadi sebelum memasuki Putrajaya. "Pada masa yang sama, ia juga menjadi habitat kepada pelbagai pelbagai jenis tumbuhan dan hidupan akuatik bagi membentuk asas rantaian makanan serta mengekalkan biodiversiti tanah lembap," ujarnya. Tambah Mohd. Tajuddin, Taman Wetland Putrajaya terbahagi kepada dua komponen utama iaitu kawasan tanaman dan pusat rekreasi air yang menawarkan aktiviti rekreasi serta pembelajaran yang menarik minat pengunjung. "Antara tarikan utama ialah menara pandang jauh setinggi 80 meter yang menawarkan panorama taman dan sebahagian besar Putrajaya dari udara. Bagi peminat haiwan pula terdapat pelantar tinjau burung yang menempatkan pelbagai spesies burung seperti undan putih, angsa putih, angsa mesir dan bangau. Terdapat juga kolam flamingo yang terletak dalam kawasan itu," jelasnya. Katanya, ketika ini pelbagai kemudahan yang disediakan agak lengkap seperti dewan seminar, dewan makan, surau, bilik serba guna dan tapak perkhemahan. "Taman ini bukan sahaja sesuai untuk pengunjung yang mahu beriadah sambil menikmati panorama alam semula jadi, malah sesuai juga dijadikan lokasi untuk acara seperti mesyuarat, hari keluarga, bina semangat, majlis perkahwinan dan sebagainya," ujarnya.
Salah satu tarikan terbaharu di Taman Wetland Putrajaya ialah Pusat Penghayatan Alam yang beroperasi pada Ogos tahun lalu. Pusat pembelajaran Penolong Pegawai Tadbir Pusat Penghayatan Alam, Nur Ayuni Liana Abd. Razak berkata, pengunjung ke pusat itu berpeluang mendapatkan maklumat mengenai ekosistem tanah lembap dengan lebih dekat. Katanya, ruang dan galeri pameran di pusat itu dibahagikan kepada lapan zon berbeza. "Bermula dari zon pertama sehingga ke zon lapan pengunjung akan dibawa mengenali ekosistem tanah lembap di Malaysia dan di Putrajaya serta pelbagai hidupan yang menghuni di dalamnya. "Semua maklumat disampaikan dalam bentuk interaktif lengkap dengan audio visual, imej tiga dimensi dan model ekosistem tanah lembap. "Ia menjadikan penjelajahan yang dilakukan tidak membosankan kerana pengunjung khususnya kanak-kanak boleh bermain dan mencuba pelbagai aktiviti yang disediakan," jelasnya. Setinggi tiga tingkat, beliau berkata pusat itu turut menempatkan bilik tayangan, perpustakaan, bilik perbincangan, kafetaria dan kedai cenderamata. Ujarnya, pusat itu dibuka setiap hari Selasa hingga Ahad bermula dari pukul 9 pagi hingga 5 petang. Sementara itu, seorang pengunjung, Zuraida Mat Kilau, 28, berkata, Taman Wetland Putrajaya bukan sekadar pusat pelancongan atau rekreasi orang ramai semata-mata. "Ia lebih kepada pusat pembelajaran yang membolehkan pengunjung memahami, menghayati dan menikmati alam semula jadi khususnya ekosistem tanah lembap dengan lebih dekat," ujarnya. Gadis yang menetap di Seri Kembangan, Selangor itu berkata, pelbagai tarikan yang terdapat di taman itu turut menjadikan ia antara destinasi yang wajib dilawati di Putrajaya seperti Taman Putra Perdana, Taman Botani, Taman Alam Rimba, Taman Cabaran dan taman-taman lain di sekitarnya. "Saya pernah beberapa kali ke sini, namun tidak pernah jemu kerana ia menawarkan aktiviti berbeza yang jelas tidak membosankan. "Pengunjung bukan sahaja boleh memancing, menunggang basikal, menaiki kayak dan bot, malah jika bernasib baik berpeluang melihat pelbagai spesies burung penghijrah yang memenuhi ruang angkasa," ujarnya. ![]() PADANG Merbuk menjadi lokasi peminat aktiviti permainan kapal terbang kawalan jauh berkumpul saban minggu. Bagi Mohd. Azmi Darman, 45, pula, lokasi itu merupakan tempat dia dan rakan-rakannya daripada Kelab Wetlands EP Geng berkumpul saban minggu untuk bermain kapal terbang kawalan jauh. "Kami memilih lokasi di Padang Merbuk yang lapang dan luas sebagai lokasi pertandingan kerana kesesuaiannya. "Sejak dimulakan pada 2006 sehingga kini, sedikit sebanyak ia menjadi daya penarik kepada pengunjung sekali gus mempopularkannya," katanya. | ||||
| Posted: 18 Jan 2013 05:55 PM PST ![]() TERLETAK di Lautan Hindi, Kepulauan Comoros terasing daripada ledakan pembangunan pelancongan ekoran sejarah pulau tersebut yang banyak masalah. KEWUJUDANNYA 'bertaburan' di Lautan Hindi antara Madagascar dan Mozambique. Empat buah pulau kecil Comoros itu dikenali dalam kalangan penduduk tempatan sebagai Moroniwhose iaitu 'bulan' dalam bahasa Arab. Nama tersebut agak pelik, namun ia sesuai memandangkan pulau-pulau itu terasing daripada ledakan pembangunan pelancongan di Lautan Hindi. Seperti jirannya Zanzibar, kepulauan itu menerima pengaruh tamadun Arab dan Afrika. Warisan kebudayaan Arab dapat disaksikan di bangunan masjid berwarna putih di pulau berkenaan. Comoros juga seperti satu lagi jirannya Seychelles, mempunyai ciri-ciri sebagai pulau fantasi, cuaca tropika yang panas, air laut membiru dan pokok-pokok kelapa yang menghijau. Bagaimanapun, tiada sesiapa yang datang melawat Comoros, meskipun mereka telah mendengar namanya. Ia disebabkan sejarah pulau tersebut yang banyak masalah. Sejak mendapat kemerdekaan daripada Perancis pada tahun 1975, Kesatuan Comoros tetap bersatu walaupun salah sebuah pulau, Mahore mengundi untuk kekal di bawah kekuasaan Perancis. Ketiga-tiga pulau lain pula sejak itu sering kali berlaku rampasan kuasa iaitu tidak kurang daripada 20 kali. Tragedi rampasan yang terbaru adalah pada tahun 2008 diketuai oleh pembunuh upahan terkenal dari Perancis, Bob Denard. Kawasan terpencil Justeru, tidak hairanlah ketika saya mendarat di kawasan pantai utama, Ngazidja, ia merupakan kawasan yang terpencil tetapi aman. Jalan rayanya juga dipenuhi lubang, kambing-kambing menggeledah sampah di tepi jalan, teksi-teksi usang, hotel bajet dengan hanya sebuah air paipnya berfungsi 24 jam. Begitupun, kekurangan pelancong asing membuatkan penduduk tempatan menjadi mesra dan gembira untuk berbual bersama anda. Setelah saya melawat beberapa pantai yang cantik dan menghabiskan masa petang dengan berkaraoke di salah sebuah restoran terbaik di Moroni (ibu kota), saya mulai merasa bosan dengan aktiviti karaoke tersebut. Ekoran itu, hanya satu pengembaraan yang tinggal, mendaki gunung berapi Karthala. Gunung berapi Terletak di kedudukan 2,361 meter di atas pelabuhan Moroni, hutan hujan tropika itu diselubungi kepulan awan. Karthala merupakan antara gunung berapi yang aktif di dunia iaitu telah 20 kali meletus pada abad yang lalu. Bagaimanapun, sejak dua tahun lalu, gunung berapi tersebut tidak meletus, jadi pendakian saya berjalan lancar dan selamat. Saya mengupah seorang jurupandu kerana treknya yang mengelirukan dan kurang panduan pendakian. Pada hari pendakian, jurupandu tersebut menjemput saya dengan menaiki teksi di hotel seawal 5 pagi. Kemudian kami menjemput pula seorang warga Perancis bernama Ludovic dan kemudian kami meneruskan perjalanan ke kawasan kampung yang memakan masa kira-kira sejam. Jurupandu itu memakai pakaian tidur yang kelihatan seperti seluar trek, sweater berkain lembut serta kasut but terpakai, manakala Ludovic dan saya hanya memakai pakaian biasa dan sepasang kasut sukan. ![]() CUACA tropika yang panas dan air laut membiru sesuai untuk aktiviti pelancongan. Mereka berdua kerap berhenti menghisap rokok. Jadi, penduduk kampung banyak memintas kami yang memulakan pendakian dari kawasan ladang pisang melalui wangian pokok cengkih dan pokok vanila. Vanila menjadi sumber pendapatan utama kepada penduduk kampung. Jurupandu yang saya upah tersebut kurang pengetahuan tentang kehidupan binatang liar. Apabila ditanya 'ada ularkah di sini?', dia sekadar menjawab 'ya, ada'. Apabila ditanya, 'apakah jenis burung kakak tua itu?', lalu dia menyahut 'ya, ia burung kakak tua'. Suasana indah Selepas sejam berjalan, kami keluar dari hutan dan merentasi laluan tanah berwarna merah hitam. Kami dapat menyaksikan keseluruhan Pulau Comoros yang indah dengan air laut yang membiru. Kami berhenti seketika dan memetik strawberi liar yang cair di dalam mulut dengan rasanya sangat manis. Kemudian kami meneruskan perjalanan mendaki dengan memijak pokok-pokok mati menuju ke kawasan tanah berwarna kelabu. Kami memanjat tebing terakhir dan terbentanglah pemandangan yang indah di hadapan mata. Kami memacak khemah di situ. Kawasan padang luas pula berwarna hitam abu dengan batu-batu yang bertaburan. Kami melintasi kawasan tersebut menuju ke bahagian paling hujung iaitu kawasan seperti kawah dipanggil caldera. Beratus-ratus meter di bawah kami, kelihatan dua fumarol yang kecil. Fumarol merupakan lohong kecil dalam kerak bumi pada kawasan gunung berapi iaitu tempat gas dan wap keluar pada suhu tinggi. Dari puncak itu kami hanya mendengar bunyi tiupan angin yang sepoi-sepoi bahasa. Kami bersantai seketika menikmati suasana indah berkenaan, Ludovic menulis di atas pasir, la vie est belle (kehidupan yang indah). Selepas itu, kami berpatah semula ke tapak perkhemahan. Keesokan harinya, kami menuruni kawasan gunung dan menuju ke sebuah kampung. Kanak-kanak kelihatan teruja menunjuk ke arah kami sambil melaungkan 'mzungus' bermaksud orang putih. Saya menempuh hari yang menyeronokkan di kampung berkenaan dan berfikir, jika kawasan ini lebih membangun pasti akan menarik ramai pengunjung. Manalah tahu suatu hari nanti, kanak-kanak di pulau ini tidak lagi menganggap orang luar atau pengunjung sebagai suatu yang pelik. | ||||
| Aura klasik Jambatan Golden Gate Posted: 18 Jan 2013 05:53 PM PST ![]() JAMBATAN Golden Gate menjadi laluan buat 120,000 kenderaan setiap hari. SESUAI dengan statusnya sebagai sebuah metropolitan, San Francisco sememangnya mempunyai pelbagai keunikan. Terkenal dengan sejarah pelombongan emasnya satu ketika dahulu, kota yang berpusat di California, Amerika Syarikat (AS) itu menawarkan pelbagai pengalaman gastronomi, seni, budaya dan tarikan pelancongan yang mempesonakan para pengembara dari seluruh dunia. Sebut apa sahaja, Pulau Alcatraz, Fisherman Wharf, San Franciso Zoo, Chinatown, North Beach, Golden Gate Park, California Academy of Sciences dan sebagainya, semua menjanjikan keistimewaan tersendiri. Bagaimanapun, kunjungan ke San Francisco seakan tidak sempurna sekiranya tidak melawat salah satu mercu tandanya yang paling terkenal di dunia iaitu Jambatan Golden Gate. Dibangunkan dalam konteks bandar dan dalam gaya moden berstruktur, jambatan sepanjang hampir tiga kilometer itu menghubungkan kota itu di hujung utara Semenanjung San Francisco ke Marin County merentangi Golden Gate, bukaan Teluk San Francisco dari Lautan Pasifik. Direka oleh arkitek, Joseph B. Strauss, jambatan itu mengambil masa selama lima tahun untuk disiapkan iaitu dari tahun 1933 hingga 1937 dengan kos sekitar AS$35 juta (RM107 juta). Mengaplikasikan binaan kerangka logam dan kabel logam sebagai bahan asas binaanya, ia turut diiktiraf sebagai jambatan kabel terpanjang dan tertinggi di dunia sehingga 1964 sebelum diambil alih oleh Jambatan Verrazano-Narrows di New York. Sebaik siap, jambatan itu pantas mengundang perhatian masyarakat dari seluruh dunia. Keunikan Jambatan Golden Gate terletak pada dua buah menara unik setinggi 250 meter yang merentanginya di samping penggunaan warna jingga sebagai tema keseluruhan strukturnya yang memukau pandangan mata. Pada masa yang sama, ia juga diserlahkan dengan keindahan panorama di sekitar jambatan itu yang berlatarbelakangkan Lautan Pasifik yang membiru. Jambatan itu direka dengan spesifikasi keselamatan tinggi dan mampu menampung bebanan sehingga 25 juta kilogram. Terdapat plaza tol yang disediakan bagi pengguna jalan raya yang ingin merentasi jambatan itu. Menyediakan laluan kenderaan enam lorong, dianggarkan ia dilalui kira-kira 120,000 kenderaan setiap hari. Di samping kenderaan, jambatan itu juga turut menyediakan laluan pejalan kaki untuk orang ramai dan pengguna basikal di kedua-dua arah. Biarpun direka untuk menampung berat yang ekstrem, namun satu malapetaka hampir berlaku di atas jambatan itu pada 1987 apabila lebih 400,000 penduduk kota itu berkumpul di atasnya bagi meraikan sambutan ulang tahunnya yang ke-50. Biarpun tiada tragedi buruk yang berlaku, struktur jambatan yang tiba-tiba bergoyang akibat lebihan muatan dan angin kencang turut mencemaskan orang ramai. Sejak itu pihak berkuasa tidak lagi mengadakan perhimpunan besar-besaran di atasnya demi keselamatan. | ||||
| Taruhan terbaharu pakar kereta kompak Posted: 18 Jan 2013 05:50 PM PST
SETELAH sekian lama menunggu, pengedar kenderaan jenama Suzuki di Malaysia, Suzuki Malaysia Automobile Sdn. Bhd. (SMA) akhirnya melancarkan kompak sporty popularnya, Swift pada minggu lalu. Kalau hendak diikutkan, kehadirannya memang agak lambat memandangkan Swift generasi ketiga itu sudah pun berada di pasaran luar sejak 2010 lagi. Tidak mengapa, barang baik kenalah tunggu lama sedikit, betul tak? Sejak dahulu lagi, Swift memang menjadi model penting buat Suzuki. Selaku pengeluar kenderaan yang tidaklah sebesar Honda atau Toyota, menghasilkan produk yang popular dan boleh dijual dalam tempoh lebih lama amat penting. Berbeza dengan pemain industri dari Jepun yang lain, kitaran hayat Swift adalah selama enam tahun. Sehingga kini, Swift telah dipasarkan di lebih 100 buah negara dan cukup terkenal di pasaran Eropah serta Asia. Bukan setakat popular, Swift juga mendapat sebanyak 63 pengiktirafan Car of the Awards di 19 buah negara termasuk Malaysia. Berbeza dengan Swift sebelum ini yang dihasilkan di kilang milik DRB-Hicom di Pekan Pahang, Swift baharu dibawa masuk ke pasaran tempatan dalam bentuk import sepenuhnya (CBU) dari Thailand. Bukti kesungguhan Lebih tepat lagi, sebanyak 900 unit Swift ditawarkan sebelum jentera itu dikilangkan secara tempatan atau CKD. Tarikhnya dijangka bermula Mac depan. Selain harga yang mungkin sedikit rendah (bergantung kepada berapa banyak komponen tempatan yang digunakan), program CKD membolehkan lebih banyak varian ditawarkan kepada pengguna. Pengarah Kumpulan, Automotif dan Pertahanan DRB-Hicom, Datuk Abdul Harith Abdullah menyatakan Swift yang ditawarkan pada harga RM77,888 seunit termasuk insurans menjadi bukti kesungguhan pihaknya untuk memperoleh peratusan pasaran lebih signifikan di Malaysia. "Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Suzuki mengalami pertumbuhan kukuh di pasaran antarabangsa dan Malaysia. Bagi tahun kewangan 2011/2012 misalnya, SMA telah menjual sebanyak 7,595 unit kenderaan, peningkatan sebanyak tujuh peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. Swift merupakan penyumbang terbesar apabila mewakili 73 peratus daripada jualan keseluruhan. ![]() TEMPAT duduk belakang boleh dilipat untuk meningkatkan kapasiti ruang kargo. "Kami menjangkakan 2013 kekal positif buat Suzuki. SMA juga menyasarkan untuk meningkatkan jualan kenderaannya sebanyak sepuluh peratus untuk tahun kewangan kali ini," tambah Abdul Harith. Sekali pandang, mungkin ramai yang beranggapan bahawa Swift baharu tidak jauh bezanya dengan model terdahulu. Memang betul, jentera itu masih mengekalkan imej Swift generasi kedua secara keseluruhannya. Apa yang berbeza adalah bahagian belakangnya sedikit bulat, selain lampu hadapan dan belakang tampil lebih menarik. Walaupun begitu, harus diakui bahawa rupa itu kelihatan seperti tidak ketinggalan zaman. Itu secara kasarnya, kalau diteliti lebih mendalam, model serba baharu itu sebenarnya sudah menerima banyak penambahbaikan. Dari segi saiznya, ia lebih besar berbanding model terdahulu. Keseluruhan dimensinya sudah berubah. Sebagai contoh, panjangnya bertambah kepada 3,850 milimeter (mm), sebelum ini hanya 3,755mm). Lebar menjadi 1,695mm (1690mm) dan tapak rodanya juga telah berubah kepada 2,430mm (2,390mm) sebelum ini. Dimensi itu bukan sekadar membuatkan kompak sporty tersebut berasa lebih luas, malah meningkatkan kestabilan dan keseronokan pemanduan yang sememangnya cukup sinonim dengan Swift. Rahsia sebenar dinamik pemanduan Swift terletak pada kerangkanya yang rigid, lebih lebar dan ringan. Kelebihan tersebut juga membolehkan sesaran enjin diturunkan menjadi 1.4 liter berbanding 1.5 liter sebelum ini. ![]() SWIFT memang sesuai untuk golongan muda yang mementingkan gaya. Tidak timbul isu kekurangan kuasa kerana nisbah berat kuasa berjaya dimanfaat sepenuhnya. Malah, bahan api juga dapat dijimatkan sebanyak lima peratus, selain emisi lebih rendah. Swift yang hanya seberat 1,000 kilogram itu dipasang enjin K14B dengan sistem variable intake-valve timing (VVT). Ia mampu menjana kuasa mencecah 95PS @ 6,000rpm (kurang 6PS berbanding enjin 1.5 terdahulu) dan tork puncak 130Nm @ 4,000rpm. Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear empat kelajuan serba baharu. Hanya ditawarkan dalam satu varian iaitu GLX, Swift tampil lebih menawan apabila dipasang dengan pelbagai ciri menarik pada kabinnya. Suzuki menggunakan warna hitam sebagai rona utama ruang kabin Swift. Ia diserikan dengan kemasan perak untuk menyerlahkan imejnya yang sporty dan mewah. Sistem kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin merupakan ciri standard Swift. Sementara konsol tengah dihuni oleh unit audio double DIN yang boleh memainkan muzik daripada format cakera padat dan MP3, selain sambungan USB. Swift hadir dalam dua kategori warna itu warna aktif dan warna berasaskan kelabu. Antara warna yang dimaksudkan ialah merah, biru, putih, kelabu dan hitam. Bagi mereka yang mengharapkan varian lebih berkuasa iaitu Swift Sport, anda perlu bersabar kerana ia bakal dilancarkan. Namun, masanya masih belum diputuskan oleh SMA. "Moto ketika Swift serba baharu dibangunkan adalah 'More Swift!' Moto itu bertujuan menjadikan jentera ini lebih sporty dari aspek prestasi dan pengendalian. Selain dinamik dari segi gayaan, kemasan dan lebih seronok untuk dipandu," jelas Ketua Pegawai Serantau ASEAN, Suzuki Motor Corporation Japan, Shuji Oishi. | ||||
| Posted: 18 Jan 2013 05:49 PM PST ![]() AKSESORI TRD Sportivo untuk Prius c tidak dijual secara berasingan. UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. (UMW Toyota) baru-baru ini memperkenalkan varian terbaharu kenderaan kompak hibrid dalam rangkaian Prius iaitu Toyota Prius c TRD Sportivo untuk pasaran tempatan. TRD (Toyota Racing Development) merupakan unit dalam Toyota Motor Corporation yang bertanggungjawab membangunkan komponen berkualiti dan berprestasi tinggi untuk model Toyota. Bagi model Prius c, transformasi membabitkan kit TRD Sportivo. Bampar hadapan Prius c TRD Sportivo dipasang bersama lampu LED DRL (Daytime Running Lights). Elemen sporty turut dipaparkan menerusi gril yang nampak besar berikutan penggunaan warna hitam pada bahagian tengah bampar. ![]() BAHAGIAN belakang varian ini menggunakan set lampu dengan rekaan baharu. Kit badan pada bahagian sisi pula membuatkan jentera hibrid itu kelihatan lebih rendah. Ini sekali gus menyerlahkan imej sportynya. Penampilan bahagian belakang diserikan menerusi penggunaan bampar dengan set lampu belakang rekaan baharu. Ruang kabin masih mengekalkan rekaan standard Prius c. Tambahannya cuma jahitan benang biru pada pelapik lantai. Ia mencerminkan warna tema Toyota hibrid. Semua aksesori TRD Sportivo Prius c tidak dijual secara berasingan. Spesifikasi mekanikal Prius c TRD Sportivo iaitu enjin petrol 1.5 liter bersama motor elektrik dan Electronically Controlled Continuously Variable Transmission (E-CVT) dikekalkan. Rangkaian kuasa itu dijana oleh sistem Toyota Hybrid Synergy Drive. ![]() RUANG kabin Prius c TRD Sportivo tidak menerima perubahan besar. Sebagai tambahan, semua varian Prius c kini didatangkan dengan sistem audio Double-DIN dan sambungan Bluetooth. Pilihan sambungan lain meliputi AUX-Jack dan USB. Turut didatangkan sebagai ciri standard bagi model 2013 ialah penyangkut beg pada perehat kepala kerusi penumpang dan bekas ruang bagasi. Prius c TRD Sportivo didatangkan dalam empat pilihan warna iaitu putih mutiara, hitam, perak metalik dan merah. Ia ditawarkan pada harga RM103,990 seunit (di atas jalan termasuk insurans). Jaminan yang diberikan adalah selama tiga tahun atau jarak perbatuan 100,000 kilometer (mana-mana tiba dahulu). | ||||
| PEUGEOT 2008: Crossover Urban! Posted: 18 Jan 2013 05:48 PM PST ![]() MUNGKIN ramai yang berharap supaya model ini memasuki pasaran tempatan. SAMA ada kita sedar atau tidak, kereta jenama Eropah semakin mendapat tempat dalam kalangan pembeli tempatan. Jika dahulu kereta jenama Eropah hanya dikaitkan dengan produk mewah buatan Mercedes-Benz atau BMW, kini pasaran mula mengenali jenama pertengahan seperti Volkswagen. Namun kini, ada satu jenama yang sedang meningkat naik dengan produk kereta entry-level hinggalah kepada model premiumnya. Hasil penjenamaan semula oleh Kumpulan Naza, Peugeot yang satu masa dahulu pernah gah dan melalui zaman-zaman suram nampaknya kembali bangkit. Bermula dengan Naza Bestari atau Peugeot 206, jumlah kenderaan jenama dari Perancis itu kian bertambah di atas jalan raya. Kini, sudah tidak susah untuk berselisih dengan model-model baharu Peugeot seperti 308, 3008, 408 dan 5008. Mungkin kebanjiran semula model-model tersebut banyak disumbang oleh faktor harga yang setara dengan model buatan Jepun di samping rangkaian khidmat lepas jualan yang nampak meyakinkan. Baru-baru ini, Peugeot melancarkan model baharu 2008, sebuah jentera crossover yang berada dalam segmen B. Kemajuan dunia yang semakin cepat berkembang melahirkan generasi baharu yang sentiasa bergerak. Mereka mahukan produk yang mewakili personaliti diri. "Dengan 2008, Peugeot mempunyai satu produk yang akan menerajui segmennya di pasaran Eropah. Seterusnya akan memenangi hati para pelanggan baharu di Asia dan Amerika Latin," kata Pengurus Besar Peugeot, Maxime Picar. Berdasarkan kepada laporan agensi berita Newspress, 2008 menggabungkan karakter pemanduan kereta hatchback dengan kelebihan ruang dan keselesaan sebuah SUV. Wajah hadapan 2008 adalah kesinambungan identiti Peugeot baharu. Bonet diperincikan sebagai lambang kekuatan, perlindungan dan ringan. Profil atletik Gril hadapan yang terapung adalah refleksi aerodinamik dan efisien. Lampu utama pula direka sebagai pelengkap wajah hadapan yang ekspresif dan mempunyai karakter. Bahagian tersebut dimodenkan lagi menerusi penggunaan lampu LED siang hari. Crossover baharu itu turut memiliki sisi sofistikated yang menampakkan profil atletik. Bahagian belakang menggabungkan elemen dinamik dan kekuatan. Ruang butnya yang rendah membolehkan pengisian barang dengan mudah. ![]() REKAAN 2008 memang menarik perhatian. Garisan bumbungnya mempunyai lenggokan yang dinamik. Lebih menarik lagi, ia seolah-olah memiliki bumbung double-bubble seperti yang terdapat pada Peugeot RCZ Sports Coupé. Lampu belakang nampak seperti terapung di dalam perumahnya. Sementara tiga bahagian pada lampu tersebut dinyalakan di bawahnya oleh butiran LED yang nampak tergantung. Bahagian bumbung yang berombak dan elegan itu nyata menyerlah. Garisan beralun tersebut berada di atas bahagian tempat duduk belakang dan merupakan karakter tersendiri model 2008. Garisan tersebut mengeksploitasi sepenuhnya fungsi aerodinamik dengan penggunaan spoiler but. Galang bumbung pula menyerlahkan lagi imej dinamik dan keseronokan yang ingin ditampilkan oleh crossover itu. Peugeot 2008 menggunakan enjin baharu iaitu e-HDi Diesel dan petrol tiga silinder sebagai pelengkap kepada reka bentuk menarik, demi menjadi sebuah crossover yang jimat bahan api serta mesra alam. Peugeot akan menghasilkan model baharu itu di lokasi strategik dunia iaitu Mulhouse, Perancis; Wuhan, China dan Porto Real, Brazil. Masih terlalu awal untuk mengetahui sama ada 2008 akan dipasarkan atau tidak di Malaysia. Crossover urban seperti ini sudah lama ditinggalkan oleh pengeluar kenderaan. Satu ketika dahulu, kita penah dihidangkan dengan Perodua Kembara dan Nautica, selepas itu pasaran dibiarkan kosong. Jika dipasarkan kelak saya yakin 2008 akan menjadi crossover buatan Eropah yang paling murah di pasaran. Jika Peugeot telah dan sedang membuktikannya, kenapa jenama Eropah lain tidak boleh melakukannya? | ||||
| Posted: 18 Jan 2013 05:46 PM PST
KEDUA-DUA tangan lelaki berbadan tegap itu kejap memegang 'senjata' istimewanya iaitu teko tembaga yang panjang muncung penuangnya mencecah satu meter. Dalam kilas aksi akrobatik, dia tangkas menghayunkannya secara berganti-ganti di kiri dan kanan tangannya. Pesona atur langkah lelaki yang mempunyai ketinggian 175 sentimeter itu mengingatkan penulis kepada watak Wong Fei Hong dalam filem-filem aksi seni bela diri yang mampu membuatkan penonton tergamam. Segak dengan persalinan tang zhuang yang merupakan busana zaman Dinasti Tang, 'senjata' yang dihayun itu kemudiannya diacu ke arah lelaki yang sedang duduk tenang di hadapannya. Aliran deras air teh memancut keluar mengisi sebiji mangkuk porselin yang kosong lalu ia sedia untuk diminum. Begitulah rutin harian empunya nama Shan Wen Tao, 36, yang menggalas gelaran Tea Master di Chynna Restaurant, Hotel Hilton Kuala Lumpur sejak dua tahun lalu. Mungkin kerjaya sebagai Tea Master begitu asing di Malaysia tetapi tidak di tanah kelahirannya, Qingdao, Shangdong, China. "Tea Master sama seperti pelayan bar yang boleh menampilkan aksi menjugel botol atau bekas-bekas minuman. "Seseorang Tea Master yang mahir mampu melakukan pelbagai aksi menggunakan teko tradisional muncung panjang sebelum ia dituang ke dalam cawan," katanya. Mula menjinakkan diri untuk menjadi seorang Tea Master pada usia 23 tahun, Wen Tao kemudian bekerja di hotel di China dalam masa yang sama mempelajari kemahiran dan selok-belok kemahiran daripada Tea Master yang lain selama 10 tahun sebelum merantau ke Malaysia mencari rezeki. Ujian khusus "Tempoh masa untuk menjadi seorang Tea Master yang mahir sebenarnya terpulang kepada seseorang individu, tetapi biasanya ia mengambil masa selama dua tahun. "Seperkara lagi, untuk menjadi seorang Tea Master anda perlu lulus peperiksaan bertulis dan praktikal," ujarnya mengenai peperiksaan yang menyentuh aspek teknikal, kesusasteraan dan pengetahuan mengenai teh itu. Dalam ujian aksi, setiap gerakan perlu diiringi lagu dan pemberian markah diberikan berdasarkan aksi yang seirama dengan rentak lagu. Tambahnya, fleksibiliti sangat penting dan untuk menjadi Tea Master yang hebat, seseorang itu perlu menjalani latihan fizikal yang mengambil masa lebih daripada setahun. "Tea Master bukan dalam kalangan lelaki sahaja, tetapi kaum wanita turut berkecimpung dalam bidang kerjaya ini. "Sungguhpun begitu, gerakan Tea Master wanita tidak setangkas lelaki kerana gerakannya lebih perlahan, lembut dan sopan," ceritanya yang turut mendedahkan bahawa pendapatan Tea Master lebih lumayan pada lapan tahun lalu berbanding kini. Walaupun mempunyai pengalaman bertahun-tahun, Wen Tao mengakui mempunyai masalah apabila beraksi pada ruang yang sempit kerana ia akan membataskan pergerakannya. Sambil menunjukkan muncung teko, Wen Tao memberitahu panjang muncung sesebuah teko bergantung kepada ketinggian seseorang Tea Master. "Ukuran panjang muncung teko tidak boleh diletakkan sewenang-wenangnya kerana ia akan menyebabkan muncung terseret ke lantai. "Ukuran yang paling panjang mencecah ukuran 1.2 meter dan teko sebegini digunakan di Szechuan," katanya yang tidak terlepas daripada mengalami kemalangan kecil ketika melakukan latihan di China.
Pelbagai jenis gerakan dipersembahkan oleh Wen Tao ketika menyambut kunjungan Kosmo!. Antaranya ialah gerakan shu qin bo jian (gaya menghayun pedang), guo shan liu shui (gaya air dari gunung yang tinggi) dan hui di lao yue (gaya mencapai bulan dari laut). Wen Tao telahpun menguasai 18 gerakan yang diajar oleh sifunya. Ramuan istimewa Air di dalam teko tidak boleh diisi penuh ketika melakukan setiap gerakan kerana khuatir terkena kepada pelanggan. "Setiap gerakan ada namanya dan jika anda perasan ia mempunyai kombinasi wusyu, akrobik dan tarian," ujarnya sambil memberitahu, kandungan dua per tiga air dalam teko teh boleh dihidangkan kepada 10 orang pelanggan. Wen Tao seterusnya menuangkan teh yang dinamakan teh Eight Treasure (Lapan Khazanah) itu ke dalam mangkuk porselin. Dia santun mempelawa tetamu merasai kemanisan hasil gabungan lapan ramuannya iaitu kurma merah, longan kering, asam keping, beri goji, buah luo han guo, teh jasmin, bunga kekwa, ginseng dan gula batu. "Kesemua ramuan tersebut dimasukkan ke dalam teko dan kemudian dituangkan air panas ke dalamnya. Tunggu beberapa minit hingga ia mengeluarkan aroma kemudian ditapis dan dituang ke dalam teko tembaga muncung panjang," kata Wen Tao. Tambahnya, teh dibancuh dalam bekas lain sebelum dimasukkan ke teko muncung panjang bagi mengelakkan bahan-bahan teh tersumbat lalu menjejaskan aliran air yang keluar daripada lubang muncung penuang yang selebar biji sagu bersaiz kecil. Wen Tao tidak menafikan amalan meminum teh mempunyai khasiat tertentu, namun ia terpulang kepada jenis teh yang diminum. Sebagai contoh, teh Eight Treasure dipercayai baik untuk kesihatan, menyejukkan badan dan menghilangkan keletihan. Menggalas tanggungjawab sebagai Tea Master, Wen Tao perlu melakukan latihan setiap hari untuk memberikan aksi yang lebih menarik. "Buat masa ini saya akan terus menjadi seorang Tea Master dan mahu mengajar anak lelaki saya mengikut jejak bapanya," ujarnya tentang anaknya, Shuang Long, 10, yang kini di bawah jagaan isterinya di China ![]() SUI TIONG memberitahu setiap jenis teh mempunyai khasiatnya yang tersendiri. Singkir toksin Sementara itu, Lim Sui Tiong, 43, yang menceburi bidang kepakaran teh lebih daripada 20 tahun sejak tahun 1991 memberitahu, masyarakat Cina di negara ini gemar minum teh kerana ia merupakan tradisi ribuan tahun selain mampu meningkatkan tahap kesihatan. Pemilik premis Qiu Xiang Tea yang berasal dari Ulu Yam, Selangor itu berkata, teh mampu membuang toksin di dalam badan dan mengurangkan tekanan darah. Menurutnya, di Malaysia sudah semakin ramai peminum teh berikutan kesedaran mengenai khasiat dan kegunaannya. "Dahulu hanya orang dewasa dan golongan berusia yang gemar minum teh tetapi pada zaman sekarang, golongan muda juga sudah mula minum teh Cina. "Selain membuang toksin, teh juga dikatakan mampu mengurangkan kolesterol, melancarkan perjalanan darah dan mampu mencegah strok. Walaupun dianggap sebagai minuman berkhasiat, ia tetap tidak boleh menggantikan ubat," katanya yang bagaimanapun mengiyakan kepercayaan bahawa amalan minum teh boleh membantu menambahkan kecantikan dan mengurangkan berat badan. Tambahnya, pengambilan teh bagus untuk kesihatan jika diamalkan dalam jangka masa panjang tetapi jangan berlebihan. Katanya, ada segelintir individu tidak boleh tidur selepas minum teh secara berlebihan tetapi masalah tersebut boleh diatasi dengan mengambil makanan atau minuman yang manis. "Pengguna juga boleh minum teh berdasarkan keperluan, contohnya jika mahu hilangkan kepanasan badan, seseorang itu perlu minum teh jenis sejuk seperti hijau. "Jika badannya sejuk, dia boleh mengambil teh jenis suam seperti pu'er," ujarnya sambil memberitahu teh wu long dan pu'er menjadi pilihan popular dalam kalangan pelanggan. Sui Tiong menambah, Qiu Xiang Tea menjual lebih 100 jenis teh termasuk teh di bawah kategori utama seperti teh shui xian, teh tie guan ying, teh da hong pau yang diimport dari China. Pakar teh itu berpesan, teh jenis aromatik perlu disimpan di dalam peti sejuk bagi mengelakkan rasa dan bau wanginya hilang. Begitupun, teh pu'er tidak perlu disimpan di dalam peti sejuk kerana bau dan rasanya tidak akan hilang. "Setiap jenis teh diimport dari tempat-tempat yang berlainan. Contohnya, teh tie guan ying dari An Xian dan Hokkien, manakala teh pu'er pula dari Yunnan. "Trend pembelian teh dalam kalangan pelanggan tidak tetap. Ada yang beli teh dalam tin dan ada yang beli teh dalam bentuk kepingan (pu'er)," katanya sambil memberitahu teh di premisnya dijual pada harga antara RM10 hingga RM200 mengikut pek bungkusan. | ||||
| Posted: 18 Jan 2013 05:43 PM PST ![]() WANITA yang mengambil teh dikatakan mempunyai tulang yang kuat. TEH telah ditanam selama berabad-abad lamanya bermula di India dan China. Hari ini, teh merupakan minuman yang paling banyak diminum selepas air kosong. Beratus-ratus juta warga dunia minum teh dan kajian menunjukkan bahawa minuman teh khususnya teh hijau mempunyai banyak manfaat untuk kesihatan. Terdapat tiga jenis teh yang utama iaitu teh hijau, hitam dan wu long (oolong). Ia dibezakan melalui cara teh diproses. Teh hijau tidak melalui proses fermentasi dan mengandungi kepekatan antioksidan iaitu polifenol yang tinggi. Antioksidan merupakan bahan-bahan yang bertindak melawan radikal bebas yang merosakkan sel-sel dalam badan, merosakkan asid deoksiribonukleik (DNA) dan menyebabkan kematian sel. Ramai saintis percaya bahawa radikal bebas menyumbang kepada proses penuaan dan menyebabkan beberapa masalah kesihatan termasuk kanser dan penyakit jantung. Antioksidan seperti polifenol dalam teh hijau boleh meneutralkan radikal bebas dan membantu mencegah sesetengah kerosakan yang disebabkan oleh radikal bebas. Dalam perubatan tradisional Cina dan India, pengamal perubatan menggunakan teh hijau sebagai perangsang, diuretik (untuk menyingkirkan cecair berlebihan dalam badan), astrigen (untuk mengawal pendarahan dan membantu menyembuhkan luka) dan meningkatkan kesihatan jantung. Selain itu, teh hijau dikatakan mampu merawat masalah angin dalam badan, mengawal suhu badan dan gula dalam darah, bagus untuk pencernaan dan meningkatkan proses mental. Teh hijau telah dikaji secara meluas ke atas manusia, haiwan dan eksperimen makmal. Kajian tersebut menunjukkan teh hijau mampu membantu merawat keadaan kesihatan seperti aterosklerosis, kolesterol tinggi dan kanser.
Satu kajian kecil mendapati bahawa minum teh hijau membantu mencegah kaviti gigi. Sungguhpun begitu, lebih banyak kajian perlu dilakukan bagi membuktikannya. Ia juga dikatakan bermanfaat dalam penyakit radang seperti artritis. Dalam isu penyakit itu, teh hijau boleh membantu mengurangkan keradangan dan melambatkan kerosakan tulang rawan. Bahan kimia dalam teh hijau juga boleh membantu merawat ketuat kemaluan dan mencegah gejala-gejala selesema dan flu. Lebih bagus daripada kopi Akademi Perubatan New York yang mengadakan simposium mengenai kesan farmakologi dan fisiologi teh pada tahun 1955 mendapati bahawa teh tidak seperti kopi yang menyebabkan jantung berdebar, insomnia, keletihan dan memberi masalah pada perut jika diminum berlebihan. Teh merupakan ejen yang baik dalam melegakan kelesuan dan keletihan, membantu proses pemikiran serta pencernaan. Pelbagai kajian penyelidikan dijalankan ke atas teh memberikan kita kefahaman tentang manfaat teh yang boleh menghindarkan penyakit jantung. Menurut laporan jurnal Archives of Internal Medicine, wanita di Belanda yang minum satu hingga dua cawan teh mengurangkan risiko aterosklerosis. Ia merujuk kepada penyakit pada arteri apabila plak-plak berlemak berkembang pada dinding dalam lalu menyebabkan penyekatan aliran darah) yang teruk. Ia merupakan faktor utama yang menyumbang kepada penyakit jantung koronari. Wanita yang minum lebih daripada lima cawan teh setiap hari mempunyai risiko paling rendah menghidap aterosklerosis.
Melawan kanser Penyelidik di Institut Penyelidikan Pusat Kanser Saitoma, Jepun mendapati bahawa sel kanser yang menyerang nodus limfa berkurangan dengan amalan mengambil teh hijau secara kerap. Sementara itu, dalam senario lain, wanita penghidap kanser payudara kurang kritikal yang meminum lebih daripada lima cawan teh hijau sehari, mempunyai 50 peratus kemungkinan masalah tersebut tidak berulang kembali. Menurut Dr. John Weisburger daripada American Health Foundation, minum teh dengan sedikit susu sebenarnya meningkatkan perlindungan terhadap kanser payudara. Dalam pada itu, kajian di Britain mendapati bahawa wanita yang minum teh mempunyai tulang yang lebih kuat berbanding mereka yang tidak mengambil teh. Teh juga mampu meningkatkan metabolisme dan membantu seseorang membakar lebih banyak kalori selain mencegah tanda-tanda penuaan. | ||||
| Posted: 18 Jan 2013 05:42 PM PST ![]() LELAKI ini sedaya upaya cuba berpaut pada bonggol lembu jantan ini. JIKA Sepanyol masih teguh dengan tradisi 'permusuhan' matador dan lembu jantan, India juga mempunyai tradisi yang hampir sama. Begitupun, dalam acara yang dijalankan di India khususnya di daerah Tamil Nadu itu, peserta tidak menggunakan sebarang senjata manakala lembu jantan langsung tidak dicederakan. Sejak era klasik Tamil kira-kira 400 tahun dahulu, pertandingan menjinakkan lembu jantan atau Jallikattu diadakan setiap tahun sempena festival Ponggal. Ia sebenar-benar pertembungan kudrat manusia dan haiwan. Sejarahnya mengimbas kisah keperwiraan dan keperkasaan para pahlawan lelaki yang mampu menundukkan tenaga lembu jantan liar. Sukan tersebut bukan sahaja menjadi acara adu tenaga yang menghiburkan suatu ketika dahulu, malah gelanggang Jallikattu menjadi medan buat golongan wanita mencari calon suami yang paling hebat. Secara asasnya, terdapat tiga kategori pertandingan. Pertama ialah dengan melepaskan lembu jantan ke dalam kawasan gelanggang berpagar. Peserta yang menguji lembu itu akan melompat ke atasnya dan berpaut pada bonggol di belakang badan haiwan itu. Haiwan itu akan berlari, melompat dan menyentak tubuhnya agar peserta itu terjatuh dan markah dikira mengikut tempoh berpaut yang paling lama. ![]() SALAH satu kategori Jallikattu adalah percubaan menundukkan lembu jantan secara berkumpulan. Kategori kedua adalah melepaskan lembu secara bebas tanpa sekatan pagar. Sesiapa sahaja dari kalangan peserta boleh mengejarnya dan cuba menundukkannya. Bagi kategori ketiga pula, lembu tersebut ditambat dengan tali sepanjang 15 meter. Lembu itu bebas bergerak dalam lingkungan tambatan tersebut sementara sekumpulan lelaki cuba mengatasi kekuatan haiwan itu sebelum 'menumbangkannya' ke tanah. Begitupun, sukan tersebut tidak terlepas daripada kontroversi dan bantahan daripada aktivis serta pertubuhan pencinta haiwan. Meskipun lembu jantan yang terlibat dalam festival itu tidak dicederakan, banyak laporan telah dibuat oleh para pemerhati kepada pihak berkuasa. Sesetengah peserta dikatakan menyapu serbuk lada ke mata haiwan tersebut sebelum ia dilepaskan ke gelanggang. Begitu juga dengan perbuatan memaksa lembu jantan itu meminum alkohol dan menyakiti organ pembiakannya sebelum pertandingan bermula. ![]() BAWAH: Pelbagai aksi lasak dan mendebarkan penonton dapat dilihat di dalam gelanggang. Semua itu adalah untuk menjadikan lembu jantan itu lebih liar dan ganas seterusnya menghasilkan lebih banyak aksi mendebarkan. Para peserta kemudiannya mengejar kemegahan dengan sedaya upaya 'menjinakkan' haiwan yang dalam keadaan amuk tersebut. Sepanjang Jallikattu diadakan, ramai orang telah menjadi korban. Pada kurun ke-21 sahaja, kira-kira 12 kematian dilaporkan sementara lebih seribu orang mengalami kecederaan akibat kemarahan lembu jantan tersebut. | ||||
| Penangan nasi lemak cili bilis Posted: 18 Jan 2013 05:41 PM PST
RASA nasi yang kurang lemak tetapi enak dan aroma sambal tumisnya sudah cukup untuk menambat selera sesiapa sahaja yang pertama kali mencuba nasi lemak air tangan Hashim Ismail, 50. Gerainya, Nasi Lemak Cili Bilis di Medan Selera Persiaran Gurney, Pulau Pinang bukan calang-calang kerana hidangan itu dinobatkan sebagai Juara Nasi Lemak pada Pertandingan Penang Hawker Masters 2012 pada November lalu. Pertandingan yang julung-julung kali diadakan itu menghimpunkan para penjaja yang diiktiraf makanannya sedap oleh orang ramai sahaja dan diadili para juri profesional sebelum peserta terbaik berentap di pentas akhir. Bagi kategori nasi lemak, sebanyak 11 penjaja bersaing tetapi hanya tiga yang dipilih untuk merebut gelaran. Walapun baru tiga tahun berniaga, keenakan nasi lemak Hashim berjaya menewaskan dua pencabarnya untuk membawa pulang wang tunai RM2,000 seterusnya tersenarai dalam buku pelancongan negeri sebagai nasi lemak yang wajib dirasai. Beliau yang pertama kali menyertai pertandingan seumpamanya sama sekali tidak menyangka muncul sebagai pemenang. Menurut Hashim, rahsia keenakan nasi lemaknya ialah kerana menggunakan santan kelapa sawit dan bukannya santan kelapa. Memasak cara itu menjadikan nasinya sedap dan tidak mudah basi selain kandungan kolesterolnya rendah.
Sambalnya pula disediakan secara tradisional iaitu menggunakan cili yang digiling dengan lesung. Hasilnya sambal yang dimasak lebih sedap dan tahan lama. "Sambalnya pula dimasak dengan bahan-bahan campur resipi keluarga. Ia menjadikan sambal tumis cili bilis ini lain daripada yang lain. "Ayam pula digoreng bersalut tepung menjadikannya garing dan sedap dikunyah. "Sebelum berniaga, saya beberapa kali membuat kajian dan penyelidikan bagi mendapatkan ramuan bagi menghasilkan nasi lemak yang bukan sahaja menepati cita rasa, malah menggunakan bahan-bahan yang lebih sihat," ujarnya. Setiap hari, Hashim dibantu isterinya, Suriyati Sutan, anak jati Tanjung Tokong yang adakalanya tidak menang tangan melayan pelanggan yang ingin mencuba nasi lemak mereka selepas pertandingan tersebut. Ujarnya, selepas menyertai pertandingan itu, jualan nasi lemaknya meningkat sekali ganda, termasuklah daripada pelanggan bukan Melayu selain pelancong asing yang mahu mencuba menu tradisi tersebut. Pelanggan boleh memilih tiga set hidangan berbeza iaitu nasi lemak sambal yang hanya berharga RM2.50, nasi lemak telur goreng berharga RM3 atau nasi lemak ayam goreng, RM5. Gerai Nasi Lemak Cili Bilis dibuka setiap hari bermula pukul 5 petang hingga 12 malam dan orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari laman web www.cilibilis.com.my. | ||||
| Terapi solat bantu mengubah sikap Posted: 18 Jan 2013 05:40 PM PST ![]() IBADAH solat seperti yang diajarkan oleh Rasulullah SAW merupakan salah satu medium yang membentuk akhlak mulia. - Gambar hiasan MINDA yang dikurniakan oleh Allah lazimnya digunakan oleh manusia yang bijak dan memikirkan tentang usaha membangunkan diri serta masyarakatnya. Namun, semua itu hanya boleh terlaksana dengan syarat minda dilatih untuk berfikir ke arah kejayaan. Ibadah solat, seperti yang diajarkan oleh Rasulullah SAW merupakan salah satu medium yang membentuk akhlak mulia. Tanpa disedari, kuasa minda melalui solat yang khusyuk mampu mengubah mental individu terbabit. Menyedari pentingnya kuasa minda itu, Pusat Perundingan dan Latihan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (PPLI IKIM) menganjurkan bengkel Kuasa Minda : Ubah Sikap Melalui Solat pada 23 Februari 2013. Bengkel yang akan diadakan di Dewan Besar IKIM itu turut memberi pendedahan tentang potensi minda dan cara-cara menggunakannya. Pada masa yang sama, bengkel ini mengajak peserta membaiki solat ketika musafir agar ibadah tersebut dapat dilaksanakan dengan berkesan. Antara tajuk-tajuk yang akan dibincangkan ialah Falsafah Solat, Ibadah Solat Ketika Bermusafir dan Ibadah Solat Ketika Sakit. Penceramah terdiri daripada Pengarah Eksekutif, GI Motivation & Training Sdn. Bhd., Zul Ramli Mohamed Razali dan Ustaz Mohd. Arif Abdul Samat. Bengkel ini terbuka kepada semua lapisan masyarakat terutama kepada mereka yang berminat memperbaiki, mempelajari dan mendalami ibadah solat. Yuran penyertaan ialah RM250 seorang termasuk sarapan dan makan tengah hari. Potongan sebanyak lima peratus akan diberi kepada penyertaan berkumpulan seramai tiga orang dan ke atas. Maklumat lanjut sila hubungi Urusetia Program, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), No. 2, Langgak Tunku melalui Jalan Duta, 50480 Kuala Lumpur. Anda juga boleh hubungi talian 03-6204 6200/323/324/325 atau 016- 279 6410 atau e-mel program@ikim.gov.my atau jie@ikim.gov.my. | ||||
| Fara Fauzana Sedia Hidup Bermadu Posted: 17 Jan 2013 11:30 PM PST Fara FauzanaFara atau nama sebenarnya Farah Fauzana Mohd Fadzil, 33, berkata, dia tidak mempunyai masalah untuk hidup berpoligami sekiranya tidak mendapat halangan daripada bakal madunya itu. "Benar, saya tidak kisah untuk hidup berpoligami. Tetapi dengan syarat, isteri lelaki itu yang perlu datang untuk pinang saya. "Perkara itu menjadikan perkahwinan saya nanti tiada masalah kerana tidak ada unsur-unsur mahu berselindung," katanya kepada mStar Online ketika ditemui pada pelancaran program-program baru slot 9X TV9 di Marche, The Curve, di sini, pada Khamis. Tambah Fara, dia mengakui sedang berusaha mencari lelaki sesuai untuknya, namun pada masa sama dia tetap berhati-hati agar dapat memilih individu yang benar-benar bertanggung jawab. Fara yang pernah berlakon dalam filem Jin Notti itu berkata, walaupun masih tiada calon suami, dia telah membuat beberapa persiapan perkahwinan sebagai persediaan untuk menempuh alam itu. "Bunyinya agak kelakar. Tetapi, memang saya dah buat persiapan perkahwinan lebih awal kerana saya seorang yang suka merancang dan membuat persediaan awal tidak kira apa-apa hal sekali pun. "Silap-silap, saya pula yang meminang orang. Maklumlah, saya ada darah keturunan Minang tau," selorohnya lagi. Sementara itu, ketika sibuk di set penggambaran mengendalikan program Nona bersama Neelofa serta melaksanakan tugas sebagai penyampai radio, Fara turut membabitkan diri dalam perniagaan 'homestay'. Kata Fara, dia telah membeli tiga buah lot rumah di Shah Alam di sini untuk dijadikan sebagai rumah sewa kepada sesiapa sahaja yang mempunyai urusan di lokasi tersebut. "Sebenarnya ia merupakan pelaburan yang boleh memberi pulangan secara diam. Buat masa ini saya hanya membeli sebuah rumah teres dan dua kondominium untuk dijadikan sebagai 'homestay' yang diberi nama MyRumah. "Ia khusus buat orang yang datang ke Kuala Lumpur bagi urusan perkahwinan, konvokesyen atau hal-hal lain yang mencari rumah sewa berkos rendah. "Saya baru memulakan perniagaan ini sejak awal tahun lalu dengan bantuan ibu. Insya-Allah, saya akan membuka sebuah lagi 'homestay' di Port Dickson, Negeri Sembilan," ujarnya. | ||||
| Johan Bakal Muncul Dalam MLM2012 Malam Ini Posted: 17 Jan 2013 11:30 PM PST Johan (kanan) dikhabarkan bakal muncul di pentas akhir Maharaja Lawak Mega bersama Zizan pada malam ini di Stadium Tertutup Johor Bahru, Johor.Pengurus Zizan Razak, Marina Juki berkata, pihaknya berharap pasangan Zizan iaitu Johan akan muncul pada malam Jumaat seperti yang diluahkannya ketika dihubungi pihaknya pada Khamis. "Ketika Zizan menghubungi Johan semalam (Khamis), dia memang teringin untuk beraksi pada malam ini. Kami masih belum dapat sahkan sama ada Johan benar-benar akan muncul atau tidak. "Kalau diikutkan doktor tidak benarkan dia berjalan jauh kerana keadaan kesihatannya tetapi Johan mahu beraksi pada pentas akhir," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat. Prestasi komedi Zizan didakwa merosot sejak ketiadaan Johan dua minggu lalu kerana kecederaan ligamen sehingga memaksa dia menjalani pembedahan pada bahagian lutut pada 26 Disember lalu. Pentas akhir MLM 2012 akan diadakan di Stadium Tertutup Johor Bahru, Johor dan bersiaran secara langsung pada pukul 10 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Astro Mustika HD (saluran 134). Marina berkata, sebagai persediaan, Zizan sudah menyediakan dua set komedi iaitu untuk aksi solo dan berkumpulan jika Johan muncul secara mengejut pada saat-saat akhir. "Sebelum ini, Zizan memang susah hati dan bimbang untuk beraksi sebab tiada Johan. "Mereka berbual dalam telefon dan Johan ada memberikan idea dan kata-kata semangat. "Zizan sudah siapkan pilihan komedi A dan B untuk aksi solo dan berkumpulan," katanya. Tambahnya, kemunculan Johan pada saat-saat akhir adalah tidak mustahil dan tidak menjejaskan persiapan kerana keserasian mereka mampu menghasilkan komedi spontan. "Kalau betul Johan akan muncul seperti yang dikatakan, ia tidak mustahil kerana mereka boleh hasilkan komedi secara spontan. "Sama ada benar atau tidak Johan akan muncul, ia belum dapat disahkan lagi kerana saya masih menunggu jawapan daripada pihak Johan," katanya. Dalam pada itu, Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani berkata, pihaknya masih tidak dapat mengesahkan sejauh mana kesahihan kononnya Johan bakal muncul bersama Zizan pada pertandingan akhir, malam ini. "Kami tidak pasti sama ada dia (Johan) akan beraksi malam ini atau tidak. Ia mungkin juga strategi mereka, kita tidak tahu. "Apa pun, kami tidak mahu bertanyakan kepada Johan kerana mahukan kejutan pada malam nanti," katanya. Sementara itu sumber memberi tahu Johan sedang berusaha untuk mendapatkan kebenaran pihak hospital bagi membenarkan beliau menyertai pentas akhir MLM2012 malam Jumaat. Jozan merupakan naib juara Maharaja Lawak (ML) pada 2011. |
| You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |






























0 ulasan:
Catat Ulasan