RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Datuk K Kagum Siti Nurhaliza Mahu Bertudung Litup

Posted: 13 Jan 2013 10:15 PM PST

Imej baru Siti Nurhaliza Tarudin.
PETALING JAYA: Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin memberitahu keputusannya untuk bertudung litup mendapat sokongan daripada suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa.
Siti berkata, suaminya benar-benar gembira selepas beliau terbuka hati untuk melakukan kewajipan sebagai Muslimah iaitu menutup rambut sepenuhnya ketika menyambut ulang tahun kelahiran yang ke 34 pada 11 Januari lalu.
"Suami saya adalah antara yang sangat gembira dengan peralihan imej Siti dan boleh dikatakan dia juga merupakan tunggak yang banyak menyokong kepada perubahan ini.
"Bagi Siti, ia adalah satu keikhlasan yang datang daripada diri dan berharap agar imej ini kekal sampai bila-bila," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Tambah Siti, dia juga menganggap perubahan yang dilakukan ini berkat daripada doa daripada dirinya sendiri, keluarga serta peminat apatah lagi selepas beliau mengerjakan haji sebelum ini.
Sementara itu, Siti berkata, walaupun sudah berhijab, ia bukanlah satu penghalang untuk beliau aktif dalam karier seni.
Malah Siti masih lagi mendapat khidmat pereka fesyen kegemarannya iaitu Rizman Ruzaini dalam membantu memadankan busana dan hijab yang sesuai untuk dipakai.
"Sebelum ini saya sudah biasa tampil berselendang dan imej sekarang ini tidak membuatkan diri berasa janggal, malah ia akan disesuaikan mengikut corak persembahan.
Siti Nurhaliza tampak manis bertudung ketika pertama kali muncul pada majlis resepsi perkahwinan ketiga penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat dan Leuniey di Hotel Royale Damansara pada Isnin.
"Buat masa ini Rizman Ruzaini akan membantu dalam menyesuaikan gaya tudung dan imej untuk muncul di pentas.
"Siti juga selesa tampil memakai 'inner' di dalam manakala di bahagian luar pula, Siti gayakan mengikut cara sendiri dengan mendapat ilham fesyen yang terkini.
"Siti juga mengambil inspirasi daripada majalah, Internet serta melihat di YouTube dan menggabungkan gaya-gaya yang sesuai mengikut keselesaan diri. Mungkin fesyennya akan berubah-ubah juga nanti," tuturnya.
Ditanya adakah sebarang perbezaan sebelum dan selepas bertudung, kata Siti dia lebih berfikiran positif dan berharap akan menjadi lebih tenang dalam menjalani kehidupan seharian.
"Saya yakin apa yang baik itu akan diterima, malah ramai yang gembira dan mendoakan, Insya-Allah," ujarnya.
Dalam perkembangan lain Siti akan berehat sehingga Mac depan untuk memberi tumpuan kepada penjagaan suaminya yang masih dirawat akibat kemalangan motosikal di New Zealand pada 13 Disember lalu.

RM50,000 Lesap Dalam Akaun Bank Lisa Surihani

Posted: 13 Jan 2013 07:13 PM PST


Lisa Surihani
Kuala Lumpur: Wang RM50,000 milik pelakon Lisa Surihani, 26 dan ibunya telah dicuri selepas kad mesin juruwang automatik (ATM) mereka ditukar.
Menurut laporan Harian Metro, ibu Lisa, Siti Amira Ahmad, 62, mula menyedari kehilangan wang itu ketika dia ingin mengeluarkan sejumlah wang pada Jumaat lalu kira-kira pukul 10.30 pagi di mesin juruwang automatik (ATM) di sebuah bank di Seksyen 9 Bandar Baru Bangi.
Sumber polis berkata, ketika membuat semakan baki simpanan Siti Amira mendapati wang dalam akaun mereka berkurangan dan mengesyaki berlaku penipuan kerana sebelum ini dia tidak membuat sebarang pengeluaran wang.
Menurutnya, apabila dirujuk kepada pihak bank dia diberitahu kad ATM miliknya sudah tidak boleh digunakan kerana sudah ditukarkan dengan kad baru oleh individu lain tanpa pengetahuannya.
"Berikutan itu Siti Amira bersama Lisa Surihani tampil membuat laporan di Balai Polis Bandar Baru Bangi pada hari yang sama," katanya.
Sumber itu berkata, selepas semakan dilakukan, rekod pengeluaran wang menunjukkan wang dalam akaun dua beranak itu dikeluarkan di beberapa tempat dan terbaru di Kuantan, Pahang, Selasa lalu.
Sementara itu, Lisa Surihani ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai kejadian itu dan menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.
"Buat masa ini saya tidak mahu menceritakan kejadian sebenar yang terjadi tambahan ia kini dalam siasatan polis dan hanya akan memberi penjelasan selepas siasatan selesai.
"Apa yang boleh saya katakan laporan yang dibuat itu berkaitan dengan kehilangan wang," katanya.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Bakal pindah ke Sabah

Posted: 13 Jan 2013 07:13 PM PST



DEBARAN bakal pengantin semakin dirasai oleh aktres dan penyanyi genit, Liyana Jasmay. Ketika ditemui pada sesi fotografi di studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini, wajah Liyana dilihat semakin berseri-seri manakala topik perkahwinan tidak lekang dari bibirnya.
Liyana, 25, bakal bernikah dengan Fathuddin Mazlan, 29, pada 2 Februari ini di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur dan majlis resepsi sebelah perempuan akan berlangsung pada sebelah malam hari yang sama di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Majlis resepsi sebelah lelaki pula akan berlangsung di Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak, Kuala Lumpur pada 9 Februari.
Terus terang kata Liyana, perasaannya kini bercampur baur antara teruja, gementar dan bahagia.
"Memang saya teruja, gembira dan tidak sabar untuk menanti majlis perkahwinan saya. Kalau boleh biarlah cepat-cepat perkahwinan berlangsung. Ini kerana selagi belum tiba majlis perkahwinan, selagi itu bermacam-macam perkara saya fikirkan tentang persiapan majlis.
"Alhamdulillah, persiapan hampir siap sepenuhnya. Tertekan itu perkara biasa untuk semua bakal pengantin tetapi saya bertuah kerana dua orang kakak saya yang telah berkahwin membantu melancarkan persiapan majlis perkahwinan saya," katanya yang telah bertunang pada 28 Mac tahun lalu.
Disoal kenapa Fathuddin menjadi lelaki pilihannya untuk dijadikan suami, dia lantas tersenyum simpul sambil memberitahu pemuda itu merupakan lelaki yang tepat untuk dirinya.
"Dia seorang yang penyabar, fleksibel dan memahami diri saya. Saya pula jenis orang yang tidak sabar, jadi apabila bersamanya saya rasa tenang.
"Sebenarnya, dia tahu saya seorang anak manja, semuanya ibu saya sediakan dan kalau di rumah saya mempunyai pembantu rumah.

LIYANA menaruh harapan perkahwinannya nanti akan kekal seumur hidupnya.


"Dia tidak kisah dan sebab itu saya bertuah dia menjadi bakal suami saya," luahnya.
Apabila ditanya persediaannya untuk bergelar seorang isteri, Liyana terdiam seketika.
Sambil tersenyum, tuturnya: "Perkahwinan bukan untuk sehari sahaja tetapi kalau boleh untuk seumur hidup. Apabila saya berkahwin dan bertukar status, bermulalah kehidupan saya pada fasa yang lain.
"Ya, saya akui selama ini keluarga sentiasa berada di belakang saya terutamanya ibu. Perubahan akan berlaku secara automatik apabila sudah berkahwin nanti kerana waktu itu saya sudah ada tanggungjawab lain.
"Selepas ini saya kena belajar buat semua sendiri dan saya tidak sabar untuk belajar hidup berdikari. Semasa belajar di New York, saya banyak membeli buku masakan kerana ingin belajar cara memasak juadah yang digemari tunang saya terutama masakan Itali," ucap Liyana penuh makna.
Selepas berkahwin kelak, Liyana memberitahu dia akan berpindah ke Kota Kinabalu, Sabah, mengikut bakal suaminya yang bekerja di sana. Meninggalkan keluarga sudah tentu suatu perkara yang berat tetapi tidak baginya.
"Saya tidak sedih tinggalkan keluarga selepas berkahwin walaupun selama ini saya memang tinggal dengan keluarga. Bukannya saya tidak berjumpa mereka langsung selepas itu. Sudah tentu saya akan berulang alik di antara Sabah dan Kuala Lumpur," katanya.
Usia yang muda tidak menghalang Liyana untuk memiliki anak dengan kadar segera selepas berkahwin. Jelasnya, tunangnya itu amat sukakan kanak-kanak, begitu juga dengannya yang telah memiliki lima orang anak buah.
"Kalau ikutkan saya tidak kisah untuk mendapat anak segera kerana ia merupakan rezeki Allah. Berapa ramai anak pun saya tidak kisah.
"Jika ada rezeki saya terima, jika ramai anak nanti apabila mereka dewasa baru rasa meriah, sama seperti keluarga saya sekarang ini," balasnya.
Enggan ditaja
Bercakap tentang majlis perkahwinan selebriti yang biasanya mendapat tajaan mencecah ribuan sehingga jutaan ringgit, berbeza pula dengan Liyana.
Majlis perkahwinannya yang menelan kos yang agak besar itu dibiayai sepenuhnya oleh Liyana dan keluarganya sendiri tanpa sebarang tajaan.
Bukan tidak ada pihak yang ingin memberikan tajaan, tetapi Liyana memilih untuk melakukan semua persiapan sendiri supaya majlis perkahwinannya lebih bermakna.
"Ramai yang datang untuk memberikan tajaan pelamin, dekorasi, fotografi dan sebagainya tetapi saya tolak dengan baik kerana ingin melakukan semuanya sendiri.
"Saya mahu sebuah majlis perkahwinan yang ringkas dan lebih dekat dengan jiwa semua yang hadir. Apabila saya buat pilihan sendiri, saya rasa puas tanpa perlu memikirkan hati atau keuntungan pihak lain," katanya penuh jujur.
Menyambung cerita tentang majlis perkahwinannya, perkara yang paling diutamakan Liyana sudah tentu gaun pengantinnya.
"Perkara lain pun penting juga tetapi bagi saya, paling penting adalah gaun pengantin. Walaupun saya sibuk belajar di New York selama enam bulan, saya sentiasa mengambil tahu perkembangan terkini gaun pengantin saya yang dibuat oleh pereka fesyen, Jovian Mandagie.
"Pelamin semuanya ringkas sahaja. Kecuali gaun pengantin saya (ketawa). Sudah lama saya idamkan gaun rekaan Vera Wang tetapi ia sangat mahal, jadi saya minta Jovian membuat gaun mengikut kehendak saya. Apa yang saya boleh katakan gaun yang dibuat Jovian itu merupakan pakaian pengantin impian saya," ujarnya.
Ke New York bersama Fathuddin
Menyentuh tentang kerjaya lakonan dan nyanyiannya, walaupun telah bergelar isteri kelak, Liyana tetap meneruskan kerjaya seninya seperti biasa.
Tiada halangan daripada pihak bakal suami, bahkan Liyana kini semakin sibuk dengan syarikat produksinya, Mermaid Studio.
"Ketika keluarga tunang saya datang merisik, ayah saya siap pesan awal-awal kepada Fathuddin bahawa saya tidak boleh berhenti berlakon kerana itu merupakan minat saya.
"Dia juga tidak menghalang, malah beberapa hari selepas berkahwin saya akan terbang ke New York untuk menjalani penggambaran telefilem khas untuk siaran Astro.
"Saya akan berada di sana selama 15 hari dan akan bawa Fathuddin sekali. Jadi, sambil bekerja kami pergi berbulan madu ekspres (ketawa)," jawabnya.
Selain itu, Liyana yang bakal muncul dengan filem Papadom 2, Tokan dan Isyarat Cinta pada tahun ini juga akan muncul dengan sebuah single terbaharu berjudul, Jujur selepas pada tahun lepas popular di corong radio dengan lagu Cinta Bersatu.
"Berlakon tetap berlakon cuma buat masa ini jadual saya sangat padat. Selepas kahwin saya akan beri fokus kepada single Jujur sebelum muncul dengan sebuah album penuh yang akan memuatkan lima buah lagu keseluruhannya," katanya.
Demi kelangsungan kerjayanya, Liyana yang baru menamatkan kursus jangka pendek selama enam bulan dalam bidang lakonan dan pengarahan filem di Akademi Filem New York, memberitahu mindanya kini lebih terbuka selepas menuntut ilmu di sana.
"Banyak perkara baharu yang saya pelajari kerana di sana saya berjumpa dengan ramai orang dari seluruh dunia. Mereka semua mempunyai pemahaman seni yang tersendiri tetapi uniknya, masalah yang berlaku dalam industri seni Malaysia turut berlaku di Hollywood.
"Apa yang mereka lakukan, berhenti merungut sebaliknya lakukan sahaja kerja kita. Alhamdulillah, dengan ilmu yang saya peroleh saya akan gunakan sebaik mungkin untuk menghasilkan karya yang boleh dinikmati semua orang," katanya yang akan mengarah filem pendek buat pertama kalinya pada tahun ini.

Elfaeza Ul Haq Lawan Perasaan Sunyi Tanpa Keluarga

Posted: 13 Jan 2013 07:12 PM PST

Elfaeza Ul Haq
KUALA LUMPUR: Pelakon dari Singapura, Elfaeza Ul Haq berkata dia terpaksa melawan perasaan sunyi kerana berjauhan daripada keluarga demi membina kerjaya di negara ini.
Elfaeza, 27, berkata, perasaan sunyi dan rindu adalah cabaran terbesar yang terpaksa dihadapi sejak dia mengembangkan kerjaya di sini hampir setahun yang lalu.
"Saya seorang diri di Malaysia. Sebab itu saya sering alami perasaan rindu dan murung kerana teringatkan keluarga.
"Malah, kadang-kadang saya berasa seram dan bimbang juga kalau apa-apa berlaku ketika saya di rumah, apa akan jadi sebab saya tinggal seorang diri.
"Mujurlah, ada beberapa kenalan artis yang rapat dan menjadi tempat berbual apabila saya tiada penggambaran," katanya ketika ditemui mStar Online, baru-baru ini.
Aktres yang meraih populariti menerusi drama Adam & Hawa itu berkata, sebagai anak rantau yang sedang menyesuaikan diri dengan kehidupan di sini dia mengakui kebanyakan waktu lapang hanya dihabiskan di rumah sahaja.
"Saya tidak keluar bersosial dan lebih selesa habiskan masa di rumah seorang diri. Kalau keluar pun dengan kawan-kawan rapat sahaja.
"Bukan apa, saya seorang yang pendiam dan tidak banyak berbual, jadi mudah segan dengan orang yang tidak rapat," kata wanita yang berasal dari Jurong ini.
Mengenai desas-desus kononnya dia berhijrah ke negara ini kerana merajuk dengan Kota Singa itu, anak kedua dalam keluarga ini berkata, dia mencuba nasib di sini bagi mengembangkan kerjaya.
"Bukan saya merajuk dengan Singapura. Saya datang Malaysia kerana tawaran kerja di sana semakin berkurangan.
"Selepas terlibat dalam produksi drama bersiri bahasa Inggeris di sana, semakin kurang tawaran drama Melayu yang saya terima.
"Kebetulan pula, industri dan peluang di sini lebih besar, apa salahnya saya mencuba tapi jika ada tawaran di sana saya tetap akan ambil," katanya yang baru menamatkan penggambaran drama bersiri Dalam Setiap Sujudnya untuk TV9.

Zed Zaidi Ditauliahkan Leftenan Kolonel (Kehormat) Rela

Posted: 13 Jan 2013 07:10 PM PST

Zed menunjukkan sijil watikah pelantikannya sebagai Leftenan Kolonel (Kehormat) Rela yang diterima pada pagi Ahad.
KUALA LUMPUR: Pelakon Zed Zaidi menyifatkan pentauliahan pangkat Leftenan Kolonel (Kehormat) Pasukan Sukarelawan Malaysia (Rela) pada Ahad lebih bernilai daripada pengiktirafan seni.
Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil, 33, berkata, dia berbesar hati apabila perjuangan secara sukarela dalam mempertahankan hak anak seni tempatan sejak tahun lalu mendapat pengiktirafan kerajaan.
"Saya tidak pernah harap anugerah seni tetapi anugerah daripada kerajaan atau negara seperti ini cukup besar nilainya. Kalau dapat anugerah seni pun nilainya tidak setinggi ini," katanya kepada mStar Online.
Zed yang juga Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) berkata demikian selepas majlis pemakaian pangkat dan watikah pelantikan Rela Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) kepada 53 individu yang berlangsung di Auditorium Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jalan Duta di sini, pagi Ahad.
Selain Zed, majlis itu turut memberi pengiktirafan kepada ahli politik, korporat dan individu-individu berpengaruh atas sumbangan dan tanggungjawab sosial mereka.
Zed menerima watikah pelantikan daripada Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.
Pemakaian pangkat dan watikah pelantikan itu dilakukan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.
Majlis yang diadakan bersempena ulang tahun Rela KL ke-41 itu turut dihadiri Pengarah Rela Negeri WPKL, Aminuddin Mohd Yusof.
Mengenai pemilihan sebagai satu-satunya anak seni yang menerima pelantikan itu, Zed berkata, ia adalah pemangkin semangat untuk dia terus memperjuangkan hak anak seni secara sukarela pada masa akan datang.
"Alhamdulillah, tanggungjawab sosial saya dalam memperjuangkan hak anak seni dan menentang kemasukan artis luar secara tidak sah mendapat perhatian.
"Tanggungjawab sebagai Presiden Seniman bukan mendapat gaji tetapi ia adalah sumbangan secara sukarela kepada bidang seni.
"Selepas ini, saya akan berjuang habis-habisan terutama dalam memantau kemasukan artis luar agar mereka mengikut saluran yang betul," katanya.
Drama bersiri lakonan Zed iaitu 5 Bujang kini ditayangkan di TV1.

Lisa Surihani Kekok Digelar Artis 'Stailo'

Posted: 13 Jan 2013 07:09 PM PST

Lisa Surihani
PETALING JAYA: Pelakon Lisa Surihani berasa kekok apabila dirinya dianggap sebagai artis yang bergaya (stailo) sehingga dicalonkan dalam kategori Artis Wanita Stailo pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2012.
Lisa, 27, berkata, hakikatnya dia adalah seorang wanita yang ringkas dalam penampilan dan tidak mempunyai pengetahuan atau naluri fesyen yang tinggi sejak dulu lagi.
"Biar betul saya seorang yang stailo (bergaya)? Saya sangat terkejut dan tersentuh juga apabila orang nampak saya sebagai artis yang stailo.
"Apa pun, ia satu penghargaan buat saya. Kalau ada yang mengundi saya untuk kategori itu, ia adalah sesuatu yang manis," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini.
Selain kategori itu, isteri kepada pengarah filem Yusry Abdul Halim ini turut tercalon sebagai Pelakon Filem Wanita Popular.
ABPBH 2012 bakal berlangsung pada 7 April depan di Stadium Putra Bukit Jalil dan akan bersiaran menerusi TV3 dan radio Hot FM.
Menyambung perbualan, Lisa berkata, pada hakikatnya dia sering menjadikan artis wanita lain sebagai sumber rujukan dalam berfesyen dan bukan pencetus kepada sesuatu imej.
"Sebenarnya, lebih ramai artis wanita mempunyai penampilan fesyen lebih baik.
"Malah, saya sendiri pun menjadikan segelintir artis wanita kita sebagai rujukan seperti Scha Al Yahya, Liyana Jasmay dan Nabila Huda.
"Saya adalah pengikut fesyen dan bukan pencetus kepada sesuatu penampilan dalam industri kita," katanya.
Terbaharu, Lisa sedang sibuk dengan penggambaran drama bersiri 13 episod berjudul Maskara arahan Nizam Zakaria.
Dalam drama berkonsepkan urban itu, Lisa berlakon di samping Nasha Aziz, Anzalna Nasir dan Adrea Abdullah.

Saya tidak disingkirkan – Kenchana Devi

Posted: 13 Jan 2013 07:06 PM PST



TINGGAL kenangan. (Dari kiri) Halim Othman, Nabil dan Kenchana sedang bertugas di konti Suria FM.



SETELAH setahun menghiburkan para pendengar Suria FM menerusi segmen Ceria Pagi Di Suria pada pukul 5 hingga 10 pagi, jodoh pelakon Kenchana Devi dengan stesen radio tersebut berakhir pada 31 Disember lalu.
Bagaimanapun, baru-baru ini tersebar cerita yang mengatakan pelakon berkenaan telah disingkirkan bersama seorang lagi penyampai iaitu Tyzo atau Tuah Zoqarnain.
Berkesempatan menemui Kenchana selepas berakhirnya acara Anugerah Juara Lagu ke-27 di Stadium Putra Bukit Jalil pada Ahad lalu, pelakon itu menafikan dirinya disingkirkan stesen radio berkenaan.
Sebaliknya, Kenchana menjelaskan kontraknya dengan Suria FM sudah berakhir dan dia sendiri yang membuat keputusan untuk tidak menyambung tugas sebagai penyampai di situ.
Kosmo!: Benarkah cerita yang mengatakan penamatan kontrak Kenchana dengan Suria FM diberitahu pada hari terakhir anda bertugas?
KENCHANA: Sebenarnya saya agak terkejut apabila cerita ini dikeluarkan dalam media. Untuk pengetahuan semua, kontrak saya memang tamat pada 31 Disember lalu dan saya sendiri yang ambil keputusan tidak menyambungnya.
Secara jujurnya, saya memang sudah lama bercadang untuk berhenti iaitu sejak dua bulan lalu.
Perkara ini sudah saya bincangkan bersama pihak pengurusan stesen dan mereka menerima keputusan saya ini.
Bagaimanakah cerita tentang penyingkiran anda ini boleh timbul?
Saya sendiri tidak pasti bagaimana perkara ini timbul memandangkan kontrak saya dengan Suria FM pun cuma setahun dan ia kini sudah berakhir setelah dibincangkan lebih awal lagi.
Lagipun tidak ada mana-mana pihak yang menghubungi saya untuk mengetahui perkara sebenar. Kalau ada yang menghubungi saya untuk mendapatkan kenyataan, sudah tentu perkara ini tidak timbul.
Apakah yang menyebabkan Kenchana mengambil keputusan tidak menyambung kontrak dengan Suria FM?
Buat masa ini saya mahu memberikan sepenuh tumpuan kepada syarikat produksi saya iaitu Kanchana Shakti Production Sdn. Bhd. yang sudah tujuh tahun ditubuhkan.
Kini, syarikat saya itu semakin banyak menerbitkan drama dan telefilem dan sudah tiba masanya saya memberikan tumpuan sepenuhnya, selain meneruskan kerjaya sebagai pelakon.
Adakah Kenchana tidak rindu setelah tidak lagi menjadi penyampai radio?
Sudah tentu saya rindu terutamanya para pendengar yang banyak memberikan maklum balas yang positif. Tidak dinafikan ramai yang terkejut apabila saya mengundur diri dan tidak lagi menjadi penyampai radio.
Apakah pengalaman yang Kenchana dapat sepanjang setahun bersama Suria FM?
Boleh dikatakan banyak benda yang saya pelajari serta dapat meluaskan lagi pengetahuan tentang pelbagai perkara yang berlaku. Bertugas sebagai penyampai radio, saya perlu tahu situasi terkini yang berlaku dan memerlukan saya membuat kajian sebelum ke udara.
Selain itu, saya juga dapat berkomunikasi terus dengan pendengar dan paling menarik, dapat mengajar mereka bahasa Tamil.
Kalau ada peluang lagi, adakah Kenchana tidak teringin untuk menjadi penyampai radio semula?
Keinginan untuk menjadi penyampai radio itu memang ada, malah bos saya di Suria FM iaitu Adiwati Zainuddin telah melayan saya dengan baik dan mengalu-alukan sekiranya saya berhasrat untuk kembali semula.

Cabaran Keroncong Untuk Ana Erma Fatimah

Posted: 13 Jan 2013 07:06 PM PST


ELEMEN muzik sarat diselitkan dalam drama Keroncong Untuk Ana yang turut menampilkan lakonan Johan (dua dari kiri) dan Qi (kanan).


DI sebalik perkembangan pelbagai genre muzik terkini yang menjadi ikutan golongan muda, seni muzik asli seperti keroncong seolah-olah dipinggirkan generasi sekarang.
Itulah antara senario yang cuba dipaparkan dalam sebuah telefilem terbaharu berjudul Keroncong Untuk Ana yang diarahkan oleh pengarah terkenal, Erma Fatimah.
Ia mengisahkan tentang kehidupan Pak Hamdi, seorang pemain alat muzik mandolin dalam sebuah kumpulan keroncong dengan anaknya, Rashdan yang dilihat lebih berminat menjadi vokalis dan pemain gitar kumpulan indie, Spam yang diasaskan oleh Amirul.
Bagaimanapun, Amirul selaku ketua kumpulan meletakkan syarat agar setiap ahli supaya memiliki alat muzik sendiri. Rashdan berusaha membeli sebuah gitar elektrik, manakala mandolin kepunyaan Pak Hamdi pula telah hilang.
Dalam majlis prebiu telefilem Keroncong Untuk Ana yang diadakan di Astro Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini, Erma yang juga selaku penerbit dan penulis skrip menyatakan intipati utama telefilem berkenaan lebih kepada hubungan antara seorang bapa dan anak.
"Ramai yang tahu Keroncong Untuk Ana merupakan sebuah lagu ciptaan Datuk M. Nasir. Saya anggap ia satu cabaran menghasilkan telefilem ini, tetapi saya membuat keputusan untuk memaparkan isu yang berbeza.
"Tidak dinafikan akan ada penonton yang anggap telefilem ini berdasarkan kepada nasib muzik keroncong sekarang, tetapi ia lebih tertumpu kepada jiwa seorang anak yang langsung tidak meminati muzik tersebut," ujarnya yang mengakui sangat meminati M. Nasir.
Berkenaan dengan keseluruhan jalan ceritanya pula, Erma berkata, akan ada segelintir penonton yang akan mempertikaikannya. Namun begitu, apa yang cuba dipaparkan berdasarkan kepada interpretasinya sebagai pengarah.
Tegas Erma, apa yang ingin disampaikan kepada penonton menerusi Keroncong Untuk Ana, seseorang individu itu tidak boleh dipaksa untuk menyukai sesuatu.
"Tentu ramai yang akan menyangka Rashdan akhirnya akan mengikut jejak langkah ayahnya menjadi peminat muzik keroncong, sebaliknya ia langsung tidak berakhir seperti yang disangka.
"Kalau saya membuat pengakhiran cerita yang sedemikian, saya seolah-olah menipu penonton. Bagaimanapun, saya tetap menekankan generasi sekarang agar tidak melupakan warisan yang semakin ditelan zaman," jelasnya.
Telefilem yang akan disiarkan di saluran Astro Prima 105 pada 14 Januari ini pukul 10 malam membariskan ramai pelakon popular seperti Datuk Rahim Razali (Pak Hamdi), Qi Razali (Rashdan), Lydiawati (Rohana), Tiz Zaqyah (Rohayu) dan Johan Asa'ari (Amirul).
Mengenai penampilan para pelakon dalam telefilem berkenaan, Erma menyatakan dia sangat berpuas hati terutamanya Rahim Razali yang dilihat sangat berusaha keras menjiwai watak Pak Hamdi.
"Dalam telefilem ini beliau telah membawakan watak yang agak berbeza dengan lakonannya sebelum ini. Memang watak yang dibawakannya itu agak berat, tetapi dia sudah memberikan yang terbaik," ujarnya.
Pada masa yang sama Erma juga mendedahkan bahawa watak Rohayu yang dipegang oleh Tiz pula sebenarnya pernah ditawarkan kepada bekas kekasih Qi iaitu Yuna.
"Pada mulanya Yuna kelihatan berminat untuk berlakon, namun dia meminta supaya diberikan sedikit masa sebelum membuat keputusan. Akhirnya, dia menolak kerana merasakan masih belum bersedia lagi ketika itu," dedahnya yang hampir-hampir berjaya mendapatkan Yuna.
Bidan terjun
Salah seorang pelakon utama telefilem Keroncong Untuk Ana, Lydiawati yang turut hadir pada majlis sama memberitahu dia sebenarnya merupakan bidang terjun untuk melakonkan watak Rohana.
Pada asalnya, watak tersebut sepatutnya dibawakan oleh Fatimah Abu Bakar, namun pada saat akhir dia terpaksa menarik diri setelah dimasukkan ke hospital.
"Saya mendapat panggilan daripada Erma Fatimah untuk berlakon dalam telefilem ini sehari sebelum berlangsungnya penggambaran. Pada mulanya saya agak tertekan kerana tidak dapat membuat persediaan sepenuhnya.
"Skrip pun saya cuma dapat masa hari pertama penggambaran dan saya akui tidak mampu memberikan yang terbaik. Bagaimanapun, saya anggap ia merupakan satu cabaran buat dirinya sebagai seorang pelakon," ujarnya.
Selain menyifatkan telefilem berkenaan sebuah naskhah yang menarik, Lydiawati juga merasakan banyak perkara yang dipelajarinya sepanjang menjalani penggambaran pada akhir tahun 2011 yang lalu.
"Dalam telefilem ini terdapat babak yang memerlukan saya menyanyi dan memang agak sukar membawakannya. Pada masa itu, barulah saya sedar bahawa bukan mudah buat seseorang pelakon untuk menjadi penyanyi," ujarnya.

749 orang sertai cabaran buru ular sawa

Posted: 13 Jan 2013 07:04 PM PST

SEEKOR ular sawa Burma dipamerkan sebelum cabaran menangkap haiwan itu bermula di Taman Negara Everglades Florida di selatan Florida pada Sabtu lalu.


MIAMI, Florida – Seramai 749 orang menyertai cabaran memburu ular sawa Burma selama sebulan yang bermula kelmarin di Taman Negara Everglades Florida, Amerika Syarikat.
Pihak berkuasa hidupan liar negeri Florida menawarkan wang tunai sebanyak AS$1,000 (RM3,020) kepada para peserta yang berjaya membunuh ular sawa yang paling panjang.
Wang tunai sebanyak AS$1,500 (RM4,530) ditawarkan kepada peserta yang berjaya membawa ular yang paling banyak.
Ramai peserta itu menghadiri latihan tentang cara untuk mengendalikan haiwan tersebut yang diadakan pada waktu pagi di Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Fort Lauderdale, Universiti Florida di Davie, dekat sini sebelum cabaran tersebut bermula.
Seorang peserta, Dan Keenan yang juga bertugas sebagai jurutera membawa pisau dan pistol sebagai persediaan untuk menangkap ular sawa Burma.
Ular itu boleh membesar sehingga enam meter panjang.
Pihak berkuasa hidupan liar tersebut berharap, bilangan ular sawa itu akan berkurangan bagi memulihara ekosistem di selatan Florida.
Beberapa saintis berkata, ular sawa itu hampir membunuh semua haiwan kecil seperti rakun di taman tersebut.
Lebih 1,800 ular gergasi telah ditangkap dan dibunuh di kawasan itu sejak tahun 2001 hingga 2011.

Lagi Boeing 787 alami masalah

Posted: 13 Jan 2013 07:03 PM PST


SEBUAH pesawat Boeing 787 Dreamliner diperiksa selepas ia mengalami kebocoran minyak di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo semalam.


TOKYO - Sebuah pesawat syarikat Japan Airlines, Boeing 787 Dreamliner mengalami kebocoran minyak buat kali kedua semalam dalam tempoh kurang seminggu.
Menurut laporan berita Jiji Press, insiden tersebut berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita di sini ketika pesawat itu sedang diperiksa oleh beberapa pekerja.
Pesawat tersebut diperiksa selepas ia mengalami masalah kebocoran minyak pada Selasa lalu di Boston, Amerika Syarikat (AS).
Pihak syarikat berkenaan tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan komen.
Pada Jumaat lalu, pihak penguat kuasa peraturan penerbangan di AS mengumumkan pemeriksaan keselamatan perlu dilakukan ke atas pesawat Boeing 787 Dreamliner selepas berlaku beberapa masalah melibatkan kapal terbang berkenaan.
Pada Isnin lalu, kebakaran berlaku di dalam kabin sebuah pesawat syarikat Japan Airlines selepas ia mendarat di Boston dari Jepun.
Syarikat Japan Airlines dan All Nippon Airways merupakan pelanggan penting syarikat Boeing kerana kedua-duanya membuat banyak tempahan pesawat tersebut.

Misteri ikan naga berterusan

Posted: 13 Jan 2013 07:02 PM PST


Empangan Teluk Bahang di Pulau Pinang tetap menarik perhatian orang ramai walaupun terdapat pelbagai cerita misteri mengenainya.


BALIK PULAU – Empangan Teluk Bahang yang merupakan empangan tadahan air terbesar di Pulau Pinang kekal dengan misteri tersendiri yang semakin membimbangkan apabila ia dikatakan menjadi habitat ikan naga dan toman yang boleh mengancam keselamatan pengunjung terutama pemancing.
Beberapa penduduk mendakwa pernah melihat kedua-dua jenis ikan bersaiz gergasi di empangan tersebut yang kini sudah diwartakan sebagai kawasan larangan bagi kaki pancing.
Selain bahaya kedalaman empangan tersebut yang menjadi punca ia diwartakan sebagai kawasan larangan bagi orang awam, cerita dari mulut ke mulut mengenai kewujudan ikan toman di empangan tersebut turut memberikan kesan tersendiri.
Seorang penduduk, Rosnani Ahmad, 37, berkata, dia pernah diberitahu rakannya yang juga seorang kaki pancing tentang penemuan ikan besar di situ sejak beberapa tahun lalu.
Kata rakannya, kali terakhir dia pernah terlihat kelibat ikan naga dan ikan toman bersaiz sebesar pemeluk sewaktu dia mengunjungi empangan tersebut pada Oktober tahun lalu.

JPJ Perak diarah sedia laporan

Posted: 13 Jan 2013 07:01 PM PST

ORANG ramai yang berang menterbalikkan sebuah kenderaan pacuan empat roda JPJ di Ayer Tawar, Sitiawan Jumaat lalu.


IPOH - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak diarah menyediakan laporan terperinci berhubung insiden sebuah kenderaan pacuan empat roda milik agensi itu yang rentung dibakar orang awam di Jalan Ipoh-Lumut berhampiran Ayer Tawar Jumaat lalu.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, laporan tersebut perlu diserahkan kepada kementeriannya dalam tempoh seminggu.
"Pelbagai versi cerita telah keluar. Apa yang terjadi di Ayer Tawar terpulang kepada pihak polis untuk siasat.
"Saya tidak melindungi sesiapa pun dan yang paling baik tunggu polis beritahu apa sebenarnya berlaku," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Beliau mengulas kejadian sebuah kenderaan pacuan empat roda JPJ yang remuk dan rentung angkara tindakan agresif orang awam yang berang selepas kenderaan itu didakwa menjadi punca kemalangan membabitkan lapan kenderaan lain.
Beberapa saksi mendakwa kenderaan Toyota Fortuner yang dinaiki tiga penguat kuasa JPJ dari arah Sitiawan itu secara tiba-tiba menyeberang pembahagi jalan untuk menahan sebuah lori membawa muatan kelapa sawit di laluan bertentangan.

Tanggung rugi angkara khianat

Posted: 13 Jan 2013 06:57 PM PST


ANGGOTA polis menjalankan siasatan di tempat enam buah kereta terbakar angkara perbuatan khianat di George Town semalam.


GEORGE TOWN - Enam pemilik kereta rugi besar apabila kenderaan yang diletakkan di tempat letak kereta di aras tiga pangsapuri Taman Jade, Bukit Gambir di sini hangus disyaki angkara perbuatan khianat pihak tertentu semalam.
Kejadian pukul 5 pagi itu mengakibatkan Honda City, Perodua Myvi dan Proton Satria hangus sepenuhnya manakala Proton Wira, Proton Waja dan Proton Iswara mengalami kerosakan kecil. Jumlah kerugian dianggarkan lebih RM200,000.
Difahamkan, penjenayah menyasarkan kereta Honda City tersebut dengan menyimbah bahan bakar ke atasnya dahulu sebelum api merebak ke lima buah kenderaan lain yang diletak secara selari dan berdekatan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, walaupun bomba mengambil masa beberapa minit untuk memadamkan api namun ia gagal menyelamatkan tiga buah kereta tersebut yang terbakar dalam tempoh singkat.

Tiru Awang Hitam tipu gadis

Posted: 13 Jan 2013 06:56 PM PST


PENGGUNA internet dinasihatkan berhati-hati berkenalan dengan orang yang tidak dikenali untuk mengelakkan daripada ditipu. - Gambar hiasan.


KUALA LUMPUR - Kes penipuan penghantaran barangan palsu yang sering didalangi warga Afrika kini dilakukan pula oleh lelaki tempatan. Perkara ini terbongkar apabila mendapati mereka meniru modus operandi Awang Hitam untuk memperdaya wang milik seorang guru Taman Didikan Kanak-Kanak (tadika) baru-baru ini.
Dalam kejadian September tahun lalu, wanita berusia 26 tahun tersebut kerugian RM2,000 selepas ditipu oleh seorang lelaki tempatan bergelar Shafik. Mereka berkenalan sebulan sebelum itu menerusi laman sembang Yahoo Messenger.
Modus operandi Shafik seakan-akan sama dengan taktik yang digunakan warga Afrika apabila berpura-pura bercinta dengan mangsa sambil mengeluarkan ayat-ayat manis sebelum memberitahu akan menghantar barangan berharga selepas memastikan wanita berkenaan telah termakan kata-katanya itu.
Antara kandungan barangan yang kononnya hendak dihantar melalui pos termasuk gajet, wangian dan barangan perhiasan wanita.
Beberapa hari kemudian, mangsa yang teruja dengan tawaran tersebut telah dihubungi oleh seorang wanita yang menyamar sebagai pekerja sebuah syarikat kurier memaklumkan yang dia dikehendaki membayar RM6,400 sebagai caj.

10,000 DVD tidak bertapis dirampas

Posted: 13 Jan 2013 06:55 PM PST


ANGGOTA Bahagian Penapisan Filem dan Penguatkuasaan Kementerian Dalam Negeri merampas DVD pelbagai tajuk tanpa sijil perakuan B di sebuah pusat beli-belah di Kuantan semalam.


KUANTAN - Sebanyak 10,000 keping cakera video digital (DVD) tidak bertapis bernilai lebih RM81,000 dirampas dalam serbuan di beberapa premis di sebuah pusat beli-belah di sini kelmarin.
Dalam Ops Cantas 2 yang dijalankan oleh Bahagian Penapisan Filem dan Penguatkuasaan Kementerian Dalam Negeri itu mendapati, premis-premis terlibat masih berdegil menjual DVD berkenaan walaupun pernah diserbu sebelum ini.
Penyelaras Ops Cantas 2 yang juga Setiausaha Bahagian, Razak Drahman berkata, hasil pemeriksaan, pihaknya mendapati premis terlibat menjual DVD pelbagai tajuk tanpa sijil perakuan B.
"Kita menahan lapan jurujual iaitu enam wanita dan dua lelaki berusia dalam lingkungan 20-an yang merupakan jurujual di premis berkenaan bagi membantu siasatan.
"Ini berikutan premis berkenaan pernah diserbu atas kesalahan sama pada tahun lalu tetapi masih berdegil dengan meneruskan perniagaan," katanya di sini.

Sejarah panjang cipta Sudoku

Posted: 13 Jan 2013 06:54 PM PST



BERMAIN teka-teki yang memerlukan seseorang meneka angka dalam grid kotak, Sudoku, seolah-olah menjadi trend dalam kalangan orang ramai tanpa mengira usia dan latar belakang.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, permainan itu perlahan-lahan mengambil tempat menerusi paparan di akhbar, majalah mahupun buku-buku yang secara meluas dijual di pasaran.
Kehebatan teka-teki yang menduga akal pemainnya dalam mencari kaitan nombor antara petak-petak kecil itu mempunyai sejarah tersendiri.
Pada mulanya, ada seorang lelaki yang percaya bahawa permainan teka-teki seperti silang kata akan menjadi popular sekurang-kurangnya sekali setiap lima tahun selepas diperkenalkan. Siapa sangka, permainan yang diperkenalkan kurang 30 tahun dahulu, mula mendapat perhatian dan menjadi antara permainan atas kertas atau skrin telefon mudah alih yang paling digemari.
Kepekaan lelaki Jepun bernama Maki Kaji apabila melihat teka-teki bernombor, Number Place, di sebuah akhbar di Amerika Syarikat pada tahun 1984 menjadi titik tolak dalam penghasilan Sudoku dan disusuli pelbagai teka-teki lain di bawah syarikat beliau, Nikoli Co. Ltd. (Nikoli).

MAKI KAJI (kiri) seronok mendekati para pemain Sudoku dalam siri kejohanan di banyak negara.


"Ketika itu, saya tidak tahu apa syarat atau peraturan permainan yang tertera dalam majalah kecil itu. Walau bagaimanapun, saya cuba selesaikan menggunakan logik dan rasional sendiri. Selepas itu, apa yang saya lakukan ialah sedikit pengubahsuaian dan tampil dengan idea baharu," kata lelaki yang menjangkau usia enam dekad itu.
Beliau yang menjadi tulang belakang 'jenama' Sudoku berkata, nama Sudoku terdiri daripada dua patah kata iaitu, su yang bermaksud nombor dan doku yang bererti tunggal.
"Ketika itu saya percaya, Sudoku ini akan menjadi trend pada suatu hari nanti di Jepun. Ini kerana sifat orang Jepun yang sukakan permainan penyelesaian yang mencabar. Namun, ia mestilah satu teka-teki yang boleh diselesaikan.
"Pada masa yang sama, saya tidak sangka Sudoku akan berjaya mempengaruhi minda antarabangsa dalam masa kurang 30 tahun ia diperkenal," ujar Maki Kaji semasa ditemui di pejabat Kosmo! baru-baru ini.
Serata dunia
Menurut perangkaan kasar Nikoli, 400 juta orang sudah mengenali teka-teki Sudoku dan 100 juta orang pula sudah berlatih permainan tersebut. Nikoli juga menganggarkan, Sudoku kini boleh ditemui di lebih 100 negara dunia dengan kira-kira 20 negara menggunakan Sudoku daripada syarikat Nikoli.
Lelaki yang berasal dari Hokkaido dan pernah menjadi antara lapan pemain tenis terbaik di Negara Matahari Terbit itu memberitahu, selepas menemui Sudoku, beliau turut menghasilkan 250 jenis teka-teki logik yang lain untuk pasaran Jepun. Permainan-permainan tersebut dibekalkan oleh Nikoli secara meluas menerusi penerbitan majalah namun, hanya Sudoku yang memiliki pengikut tersendiri dan di luar Jepun.
Sebagaimana reaksi beliau apabila pertama kali melihat permainan itu, Maki Kaji melihat generasi sekarang mempunyai sifat yang sama.
Buku Sudoku pertama Maki Kaji diterbitkan pada awal 1980-an. Ia mempunyai 28 muka surat dan mengandungi 10 teka-teki dan teka silang kata.
"Sewaktu buku tersebut diterbitkan, saya lupa meletakkan tanda harga dan orang ramai tidak membelinya malah mendapatkan secara percuma. Selepas itu, saya mendekati sebuah toko buku di Tokyo dan minta buku itu dijual pada harga 10 yen. Kira-kira 300 salinan dijual dalam tempoh dua hingga tiga bulan," ujar lelaki itu yang mengimbas percubaan pertama menjual Sudoku.

KANAN: Semakin ramai dalam kalangan rakyat negara ini yang meminati Sudoku.


Walau bagaimanapun, beliau mendapati ramai pelanggan tidak berpuas hati lantaran buku tersebut mengandungi beberapa kesilapan yang ketara hinggakan teka-teki beliau tidak boleh diselesaikan.
Akibatnya, beliau terpaksa memulangkan wang jualan untuk buku edisi pertamanya itu.
Maki Kaji walau bagaimanapun tidak berputus asa. Selepas tiga tahun, bertungkus-lumus menghasilkan teka-teki Sudoku yang bebas kesilapan, beliau tampil dengan penerbitan buku kedua. Menariknya, ia menerima respons positif dengan jualan mencapai 10,000 salinan dalam tempoh masa setahun. Sambutan itu menjadi titik mula Maki Kaji membuka syarikat Nikoli dan menghasilkan lebih banyak majalah teka-teki lain terutamanya Sudoku.
Sumbangan ramai
Ditanya tentang keunikan teka-teki berangka dan cara ia dihasilkan, Maki Kaji mengakui kesemua usaha itu dijalankan oleh pengarang Nikoli yang berkolaborasi dengan kira-kira 50,000 orang penyumbang termasuk orang perseorangan yang bermain teka-teki itu.
Katanya, oleh kerana pihak Nikoli sangat teliti dalam pemilihan teka-teki yang berkualiti, maka ia akan dirujuk dan diperiksa berkali-kali oleh sidang pengarang Nikoli.
"Terdapat teka-teki Sudoku yang dibuang walaupun ia adalah hasil rekaan pengarang Nikoli sendiri. Jika ia gagal menawarkan kepuasan permainan Sudoku yang dikehendaki, maka ia dianggap gagal.
"Oleh kerana hampir semua teka-teki dihasilkan oleh manusia, kami antara syarikat yang mengekalkan keunikan itu," katanya merujuk kepada kebanyakan Sudoku di pasaran yang dihasilkan menggunakan perisian komputer.
Lebih dikenali dengan gelaran God Of Sudoku, Maki Kaji sebenarnya seorang yang sukakan cabaran, menyelesaikan teka-teki dan cepat bosan apabila membuat satu perkara yang sama berulang kali. Itu mungkin antara pencetus dirinya mampu merintis teka-teki bernombor itu.
Pelbagai bidang
Menyorot kisah hidup Maki Kaji, beliau sebenarnya merupakan seorang pelajar bidang kesusasteraan di Universiti Keio, iaitu antara institusi pengajian tertinggi swasta berprestij di Jepun.
Bagaimanapun, beliau nekad untuk berhenti daripada pengajian itu kerana menurutnya, ia membosankan. Saat itu beliau sendiri berteka-teki dengan masa depan sendiri. Untuk melarikan diri daripada masalah tersebut, minat dan hala tujunya selepas itu lebih tertumpu untuk berjudi dan bermain tenis.
Berjudi bagi beliau adalah satu permainan yang menguji faktor kebarangkalian. Minat terhadap judi khususnya lumba kuda secara tidak langsung telah mempengaruhi nama Nikoli iaitu nama kuda yang terlibat dalam perlumbaan kuda Irish 2000 Guineas pada tahun 1980.
"Saya juga cuba bekerja di beberapa lapangan termasuk menjadi pekerja binaan, sebelum membina perniagaan penerbitan sendiri," katanya.
Populariti Sudoku Nikoli oleh Maki Kaji bertambah hebat apabila ia dibawa ke United Kingdom pada tahun 2005 selepas diterima baik di seluruh Jepun dan negara di sekitarnya. Langkah itu sekali gus menjadikan Sudoku diterima sebagai permainan teka-teki dunia.
Paling kreatif
Dalam satu artikel akhbar The New York Times, Nikoli disifatkan sebagai penerbit majalah permainan teka-teki logik yang merangsang kecerdasan otak dan paling kreatif di dunia. Ia juga mengakui Sudoku oleh Nikoli sebagai permainan teka-teki paling popular selepas teka silang kata.
Sungguhpun begitu, Maki Kaji memberitahu bahawa beliau sudah tidak bermain mahupun menghasilkan Sudoku pada masa sekarang.
"Sekarang saya hanya menikmati kehidupan ini dengan Sudoku. Misalnya dengan menghadiri kejohanan Sudoku di luar negara, menghadiri ceramah atau apa-apa pelawaan kehormat," jelas beliau.
Mencungkil sedikit cerita tentang keluarga, bapa kepada dua orang anak perempuan itu mendedahkan, tiada seorangpun daripada ahli keluarganya yang berminat dalam bermain Sudoku.
"Isteri saya akan menjadi orang terakhir di dunia yang akan bermain Sudoku," selorohnya sambil tersenyum.
Maki Kaji ditemui di Malaysia selepas beliau menjadi tetamu kehormat bagi Kejohanan Sudoku oleh Persatuan Sudoku Malaysia.
Beliau berharap semoga trend rakyat Malaysia yang mula meminati Sudoku akan meningkat supaya negara ini akan mengadakan lebih banyak kejohanan dan penglibatan antarabangsa dalam Sudoku.
Permainan teka-teki angka yang juga menjadi senaman minda kepada semua orang tanpa batasan usia itu juga diakui boleh menghindarkan pelbagai penyakit berhubung sakit tua termasuk nyanyuk dan Alzheimer.
Maki Kaji masih optimis dalam kepakarannya. Beliau mahu berkongsi wawasan untuk menghasilkan komuniti teka-teki bernombor bersama penerbit luar negara, tidak kira sama ada menerusi platform multimedia seperti permainan video, telefon bimbit atau permainan dalam talian di nikoli.com.
Akhbar Kosmo! merupakan akhbar berbahasa Melayu pilihan syarikat Nikoli untuk menyiarkan teka-teki Sudoku. Ia boleh didapatkan pada setiap hari Sabtu di muka surat 28.

Ambil pesanan guna bahasa isyarat

Posted: 13 Jan 2013 06:53 PM PST


PELANGGAN di restoran Atfaluna menggunakan bahasa isyarat atau terus menunjuk pada menu untuk membuat pesanan.


PADA pandangan pertama, restoran Atfaluna di bandar Gaza kelihatan seperti mana-mana tempat makan lain yang menyediakan hidangan yang biasa. Namun, ia sebenarnya mempunyai perbezaan. Hampir semua kakitangannya adalah mereka yang pekak dan bisu.
Di dalam restoran, pelanggan berbual antara satu sama lain dan mengimbas menu yang disediakan, tetapi apabila pesanan dibuat, permintaan mereka diambil oleh pelayan yang berkomunikasi dalam bahasa isyarat. Semua makanan yang dipesan itu juga dimasak oleh chef yang mengalami kelainan upaya yang sama.
Ia adalah satu-satunya konsep yang terdapat di Gaza dan merupakan idea yang dilahirkan oleh sebuah organisasi tempatan, Atfaluna yang bermaksud 'Anak-Anak Kita' dalam bahasa Arab, yang berfungsi untuk memperbaiki kehidupan individu pekak dan bisu di wilayah itu.
Projek tersebut mempunyai matlamat serampang dua mata iaitu meningkatkan kesedaran tentang keperluan dan keupayaan orang-orang pekak, dan dalam masa yang sama menyediakan peluang buat mereka menyara hidup di negara yang penganggurannya sebanyak 45 peratus.
Ahmed Dahman, sambil malu-malu memberitahu melalui seorang penterjemah bahasa isyarat, betapa peluang bekerja di restoran itu telah mengubah hidupnya.
"Ia membuatkan saya rasa selamat mengenai masa depan dan pergantungan diri kerana peluang pekerjaan adalah hampir tidak wujud sebelum ini.
"Kami telah mendapat banyak sokongan dan kerjasama daripada orang ramai. Ramai daripada mereka juga menunjukkan minat untuk belajar bahasa isyarat," katanya.
Bagi Ahmed Dahman dan lain-lain yang bekerja di restoran yang dihiasi dengan simbol bahasa isyarat itu, mendapat kerja di Atfaluna merupakan peluang yang jarang berlaku.

PELBAGAI menu tempatan dan luar disediakan di restoran ini oleh staf yang pekak dan bisu.


Sehingga beberapa bulan yang lalu, peluang pendidikan untuk orang pekak dan bisu di Gaza hanya sehingga ke gred sembilan dan tiada pendidikan peringkat menengah atau universiti.
Sebuah sekolah menengah baru sahaja dibuka dan Atfaluna bekerjasama dengan universiti untuk mengadakan kursus-kursus bagi orang pekak dan bisu. Begitupun, ramai orang pada usia bekerja mendapati diri mereka kekurangan kemahiran yang boleh dipasarkan.
"Terdapat kekurangan pekerjaan yang ketara untuk orang pekak di Gaza. Sudah tentu mereka juga mempunyai kekurangan dari segi pendidikan," kata Dalia Abu Amr daripada organisasi Atfaluna.
Papan tanda
Para pelanggan restoran tersebut masuk melalui pintu khas yang di atasnya tergantung papan tanda dalam bahasa Inggeris, bahasa Arab dan bahasa isyarat.
Di dalamnya, para pelayan yang berpakaian tradisi gaun bersulam Palestin mengalu-alukan mereka ke meja makan. Kraf tangan yang dibuat dalam program pekerjaan Atfaluna juga sedia untuk dijual di restoran itu.
Menu yang ditawar adalah daripada makanan Asia Barat tipikal seperti hummus dan baba ghanouj hingga ikan goreng, ayam atau hidangan kari.
"Kami datang untuk melihat tempat ini. Tempat ini hebat. Kami akan datang ke sini untuk memberi sokongan moral," kata Shahd al-Iyla, 21, yang ke restoran itu bersama rakan-rakannya.
Abu Amr berkata, 12 daripada 14 kakitangan restoran itu adalah pekak dan bisu. Pengecualian hanya diberikan kepada chef dan akauntan yang menjawab telefon untuk mengambil tempahan serta penghantaran.
"Kesemua 12 pekerja kelainan upaya itu menerima latihan kulinari dan hospitaliti. Projek ini diharapkan dapat mengasimilasi golongan berkenaan ke dalam masyarakat di Gaza dengan memberikan mereka peluang pekerjaan," kata Abu Amr.
Kira-kira 1.5 peratus daripada penduduk Gaza yang berusia lima tahun ke atas mempunyai beberapa bentuk masalah pendengaran, menurut Atfaluna, tetapi kecacatan itu masih membawa stigma.
"Tiada siapa yang mengalu-alukan idea orang pekak dan bisu untuk bekerja di Gaza," kata Niveen al-Quqa, 35, yang menyediakan makanan sebelum meninggalkan dapur.
Dia mengikuti kelas seni dan menjahit dalam usaha untuk mencari kerja, tetapi sehingga restoran dibuka, usaha dan percubaannya itu tidak berjaya.
Kini, dia merupakan salah satu daripada lima wanita yang bekerja di Atfaluna, empat di dapur dan seorang sebagai pelayan.
"Saya berusaha untuk meningkatkan kemahiran masakan saya supaya saya rakan-rakan yang lain boleh membuktikan kemampuan kami. Di samping kekurangan yang dihadapi ini, dan saya amat gembira sekarang," katanya dengan senyuman.
Chef restoran itu, Hassan Addabus, 30, sentiasa mengambil tanggungjawab untuk bersama mereka, memberi mereka petunjuk teknik bahasa isyarat mereka.
"Saya melakukan tugas ini selama 10 tahun yang lepas dan ia adalah satu pekerjaan yang saya suka, tetapi hari ini ia lebih bermakna daripada itu. Ia mempunyai kepentingan moral dan kemanusiaan," ujarnya.
Amina al-Omari, 22, juga bertungkus-lumus di dapur. Dia berkata pekerjaannya telah memberikan satu perasaan baharu dalam diri sendiri.
"Masyarakat tidak mempunyai sebarang idea tentang keperluan kami. Saya pernah berasa ketidakadilan dan penindasan kerana kekurangan ini, tetapi semua perasaan itu mula hilang selepas saya bekerja di sini.," kata Amina.

Catatan kehidupan Ruslan Khalid

Posted: 13 Jan 2013 06:53 PM PST


AUTOBIOGRAFI Ruslan mencerminkan keprihatinan beliau mengenai industri seni bina dan juga seruan kemajuan bangsa.


WALAUPUN tanpa kehadirannya, suasana Dewan Banquet, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur ketika sesi pelancaran buku Quest For Achitectural Excellence: A Malaysian Experience berjalan lancar seperti yang dijadualkan.
Pelancaran buku tersebut merupakan amanat dan wasiat seorang arkitek yang disegani di Malaysia iaitu Datuk Ruslan Khalid sebelum menghembuskan nafas terakhir ketika berumur 79 tahun pada 11 November lalu akibat jangkitan paru-paru sejak setahun sebelum pemergiannya.
Quest For Achitectural Excellence: A Malaysian Experience merupakan sebuah buku autobiografi yang ditulis sendiri oleh Allahyarham sejak empat tahun lalu.
Buku tersebut menceritakan pengalaman hidupnya dalam usaha untuk mencipta nama dalam arena seni bina bangunan di Malaysia dan kebanyakan negara Eropah.
Tidak hanya menyentuh aspek seni bina, buku autobiografi itu juga meceritakan mengenai kehidupannya sebagai seorang anak kampung yang dilahirkan pada 27 April 1933 di Perlis. Beliau kemudian berjaya melanjutkan pelajaran ke Regent Street Polytechnic di England seterusnya mempunyai firma seni bina di London pada tahun 1973 iaitu Ruslan Khalid Associates.
Tidak hanya terlibat dalam bidang seni bina, dia juga merupakan anak Melayu pertama yang dilantik sebagai pensyarah senior di Universiti Portsmouth pada tahun 1974.
Sahabat lama beliau, Richard Leete memberitahu, buku tersebut berbeza dengan buku autobiografi yang ditulis oleh kebanyakan ahli politik yang berada di pasaran.
Menurutnya, latar belakang pendidikan dan kerjaya Ruslan mampu menunjukkan bahawa beliau seorang arkitek yang disegani di Malaysia dan luar negara.
"Buku ini menerangkan mengenai realiti kehidupan seorang arkitek yang bermula daripada bawah untuk mengecapi kejayaan dalam bidang yang telah diceburinya.
"Beliau mempunyai idea yang amat bernas dan mempunyai pemikiran yang kritis dalam setiap penghasilan seni bina bangunan yang dihasilkan olehnya," ujar Leete.
Dua mesej utama yang ditekankan dalam buku autobiografi tersebut ialah untuk memberi inspirasi dan motivasi kepada golongan muda dalam mengecapi kejayaan dalam sesuatu bidang dan untuk memastikan kerajaan Malaysia memainkan peranan utama untuk merancang pembangunan negara.
Bagi cetakan pertama buku tersebut, ia dicetak sebanyak 2,000 naskhah dan ia telah berada di pasaran sejak Disember lalu. Hasil daripada jualan buku akan diserahkan kepada badan kebajikan Persatuan Chopin Malaysia.
Arkitek terkemuka, Hijjas Kasturi turut diberi penghargaan berucap dalam sesi pelancaran buku tersebut. Beliau memberitahu, autobiografi berkenaan merupakan pandangan Ruslan mengenai perkembangan sosial masyarakat di Malaysia menurut kaca matanya sendiri.
"Setiap topik yang dibincangkan dalam buku ini tidak kira sama ada hal ehwal kehidupan atau pun seni bina Malaysia dan luar negara, ia merupakan catatan ikhlas daripadanya dan ia merupakan kisah benar mengenai perkara yang berlaku terhadapnya.
"Bagi golongan muda yang terlibat dalam industri seni bina, buku ini merupakan salah satu naskhah yang harus dijadikan contoh untuk anda. Ia sedikit sebanyak memberi panduan kepada anda untuk menjadi arkitek yang mampu berdiri di atas kaki sendiri," ujarnya.

Puncak jenama dua anak seni

Posted: 13 Jan 2013 06:52 PM PST



TAHUN 2012 sudah seminggu melabuhkan tirainya. Segala cerita suka dan duka tersimpan dalam diari kehidupan yang pasti menjadi pedoman untuk terus melangkah. Lembaran baharu kini menanti untuk diisi dengan pelbagai ceritera.
Perjalanan hidup dua selebriti ini semakin luas apabila saban hari, pesona diri hadir dengan emosi yang terkesan melalui peranan dalam kerjaya seni.
Tanpa perlu disangkal, Elfira Loy dan Nazim Othman merupakan antara nama yang semakin kukuh kedudukannya dalam industri seni hingga diangkat sebagai personaliti unggul masa kini.
Pada bahu kedua-dua mereka juga tergalas tanggungjawab membawa jenama syarikat antarabangsa, sebagai wakil dan jurucakap produk-produk tersebut.
Stailo buat julung-julung kalinya menggabungkan dua personaliti muda tersebut atas kecemerlangan portfolio masing-masing.
Anak gadis kelahiran Kuala Lumpur itu ringkas orangnya. Tidak perlu memakai busana berlebihan dengan rona yang kontra yang menyakitkan mata, pemilik nama Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 19, lebih senang tampil dengan gaya yang minimalis namun masih menyerlahkan keanggunan.
"Dalam usia yang masih remaja, saya rasa tidak perlu untuk bergaya secara berlebihan. Cukup sekadar sedap mata memandang dan tidak terlalu terdedah," ujarnya.
Namun, adalah tidak mungkin bagi Elfira untuk tampil di bawah paras sederhana kala disapa pemuja bakatnya di jalanan.
Katanya: "Memang tidak dinafikan sejak nama mula dikenali, saya amat menjaga penampilan diri. Jika dahulu, boleh saja keluar tanpa sebarang alat solek dengan baju biasa, tetapi kini saya perlu peka."
Keperluan untuk menjaga imej diri perlu selari dengan kewajipan sebagai seorang jurucakap produk kecantikan antarabangsa, Maybelline.
Aura Elfira menarik perhatian syarikat antarabangsa itu sebagai wajah baharu mereka untuk tempoh setahun sejak Mei 2012 menggantikan pelakon Liyana Jasmay.
"Oleh kerana itu, saya perlu menjaga nama dan peribadi atas dasar tanggungjawab membawa jenama syarikat," jelasnya.
Tuah kening tebal
Pada awal kemunculannya, ramai kurang senang dengan bentuk semula jadi kening yang dimilikinya. Sedaya-upaya, Elfira enggan mengubah keaslian anugerah Tuhan itu daripada 'dicantas' tangan-tangan yang kononnya berpegang kepada kitab aliran fesyen semasa.
"Saya sendiri tidak faham kenapa orang terlalu mengambil berat dengan perkara remeh sebegini. Namun pada saya, ia lebih kepada prinsip yang saya cuba mengekalkannya.
"Tetapi kalau diikutkan, kenapa perlu saya mengikut kata-kata mereka sedangkan memiliki bulu kening tebal sudah menjadi trend terkini dalam fesyen antarabangsa," ujar pelakon Biar Mimpi Sampai Ke Bintang itu.

ELFIRA diangkat menjadi duta Maybelline selama setahun menggantikan Liyana Jasmay.


Kehadiran Elfira pada sesi fotografi bersama Stailo ditemani bonda tercinta, Filzah Yusoff, yang setia menemani langkahnya. Bukan tidak percaya diri katanya, tapi dia berasa lebih selesa jika dikelilingi ahli keluarga.
"Sebenarnya jika ibu ada di sisi, semua tohmahan dan gosip liar boleh dielakkan. Ini kerana ibu ada bersama saya setiap masa. Timbul gosip, anda boleh tanya terus kepada ibu saya," tuturnya penuh yakin.
Menariknya, ibu Elfira turut bertanggungjawab menjaga soal pemakaian dan imej yang dibawanya.
Tambah Elfira: "Menjaga hati keluarga lebih penting. Disebabkan itu, saya perlu mendapatkan nasihat ibu terlebih dulu dalam semua perkara, termasuk penampilan."
Kuasa Nazim
Terpilih sebagai duta jam tangan antarabangsa, Ellesse, pada Disember 2011 telah membuka lembaran baharu dalam perjalanan seni Nazim Othman. Langkah aktor berusia 29 tahun itu kian yakin apabila satu persatu rezeki dikurniakan kepadanya, baik dari segi tawaran lakonan mahupun kejayaan mencuri perhatian dalam lubuk fesyen tempatan.
Wajah Nazim terpampang dalam kebanyakan majalah fesyen, rata-rata menamakannya sebagai salah seorang ikon fesyen 2012 yang perlu diberi perhatian. Kebijaksanaan dan kredibiliti Nazim menjual jenamanya jelas membuahkan hasil sepanjang tahun lalu.
Tuah watak Bazli dalam drama bersiri Dejavu Di Kinabalu diikuti drama Kau Yang Terindah serta teater Tun Doktor Siti Hasmah memberi ruang bagi peminat label Zara dan H&M itu untuk membuktikan kepada khalayak bahawa kehadirannya dalam industri bukan untuk seketika.
"Saya telah berkecimpung dalam industri ini sejak tahun 2008 dan sepanjang tempoh itu, tidak pernah sekali pun saya berputus asa untuk menjejak puncak kerjaya.
"Penghargaan dan populariti hanyalah bonus dan saya masih mempunyai sasaran peribadi. Setiap tahun saya memiliki perancangan tersendiri bagi meningkatkan kerjaya dan tahun ini saya telah membuat keputusan untuk mengambil kelas seni bela diri," kongsi Nazim ketika ditemui Stailo pada sesi fotografi bersama Elfira Loy di Istana Budaya baru-baru ini.
Mengangkat T.O.P, ahli band popular Korea, Big Bang dan pengacara tempatan berdarah kacukan Iban dan Inggeris, Henry Golding sebagai rujukan dalam berfesyen, Nazim pada dasarnya gemar berpakaian ringkas dan memenuhi keselesaan diri.
"Setiap kali keluar rumah, saya pasti memakai kasut dan tiada alasan untuk menggantikannya dengan selipar atau sandal. Bagi saya, apa yang penting adalah kelihatan terurus dan bersih secara keseluruhan kerana orang mungkin menilai kita daripada apa yang mereka lihat pada luaran.
"Saya juga tidak mengehadkan diri terhadap sesuatu gaya asalkan ia masih mengekalkan imej yang bertepatan dengan personaliti dan tidak terlalu 'mencuba' dalam bereksperimen dengan pakaian," petah butir kata Nazim yang sangat merendah diri dalam setiap tindak-tanduknya.
Tidak tiru K-Pop
Mengulas kecenderungannya terhadap muzik dan gaya K-Pop, riak wajah Nazim berubah bagaikan tahu dia bakal diaju soalan demikian. Dalam nada positif, Nazim memberitahu, tanggapan orang terhadap minatnya pada elemen Korea telah disalahertikan.
Dia bukan sekadar cuba meniru penampilan lelaki Korea, bahkan turut menyerap semangat dari sudut disiplin, idea segar dan kesungguhan yang ditonjolkan penggiat seni negara tersebut.
"Pakai baju warna terang pun orang cakap kita tiru Korea padahal ia langsung tidak kena-mengena. Lelaki Malaysia sebenarnya beruntung kerana boleh menggayakan pakaian berwarna garang sepanjang tahun memandangkan kita tinggal di negara tanpa empat musim," ujar Nazim bersahaja.
Bercerita tentang pengalaman sebagai duta Ellesse, Nazim menyifatkan ia sebagai antara pemangkin impak lonjakan yang diterimanya sepanjang tahun 2012. Secara peribadi, Nazim melihat dirinya sebagai calon duta yang kerdil jika dibandingkan dengan orang lain, memandangkan namanya belum cukup kukuh dalam industri seni.

JAM tangan Ellesse memilih Nazim sebagai wajah baharu produk tersebut.


Namun, gabungan kecemerlangannya melontar ekspresi dalam gambar, skil komunikasi yang boleh dibanggakan dan caranya membawa diri menjadi pemutus jenama itu memilih Nazim. Lebih membanggakan, Nazim merupakan duta Ellesse pertama yang dipilih dari luar Hong Kong.
Ellesse membuka dimensi berbeza kepada Nazim, barangkali ia menjadi permulaan kepada penaklukannya sebagai wajah rasmi produk-produk kecantikan atau jenama pakaian popular.
Begitupun, Nazim enggan gelojoh dalam mengejar kelebihan itu semua. Dia perlu selektif dan memastikan jenama yang diwakilinya bertepatan dengan personaliti dirinya. Jika silap pilih, ia boleh menjejaskan kredibiliti dirinya dan jenama itu sendiri.

Serapan Bohemian H&M

Posted: 13 Jan 2013 06:51 PM PST


PILIHAN rona putih (off white) dan hitam turut melatari persalinan koleksi terbaharu H&M dengan gabungan jaket berpaten rona kontra.


STAIL Bohemian pada abad ke-21 menjadi percaturan H&M sempena koleksi musim bunga 2013. Seleksi pakaian wanita jenama tersebut difokuskan pada perincian dan potongan moden yang relaks dan sporty.
Penumpuan diberikan pada penciptaan variasi dekorasi baju panas (sweatshirt), dres, legging, skirt berambu dan jaket kulit dengan cetakan timbul. Nilai sporty ketara pada baju labuh berombak dan blazer labuh yang sengaja direka besar berbanding saiz sepatutnya.
Jaket broked menggunakan teknik tampal dan cantum (patchwork) bersama dres sebelah bahu beropol menjadi pertaruhan utama koleksi kali ini.
Rona luntur dan neutral seperti kuning, jingga, kelabu dan hijau melatari kebanyakan item untuk para wanita di H&M. Material pula banyak diolah daripada kapas, linen, kulit, broked, sutera, hem dan denim.
"Saya amat menggemari stail Bohemian yang dibawa H&M kali ini. Ia gaya yang segar dan sporty serta mudah disuaipadan bersama pelbagai jenis pakaian. Paling penting, koleksi baharu ini tidak akan lapuk walaupun selepas musim bunga berakhir," ujar ketua pereka H&M, Ann-Sofie Johansson.
Mengisi almari sang arjuna pada musim bunga akan datang, H&M memilih paduan warna terang dan cetakan penuh keyakinan bagi membuka lembaran baharu dalam koleksi persalinan.
Sut kekal sebagai item utama, menerima perubahan dari segi potongan moden, mainan warna dan tekstur. Busana rasmi lelaki itu didatangkan dalam rona hijau dan putih belak (broken white), sempurna apabila dipadankan bersama baju T boxy bercetak atau kemeja bercorak sekali gus membentuk gaya Bohemian moden secara natural.
Uniform menjadi inspirasi kepada penghasilan majoriti pakaian lelaki. Ia jelas pada pinjaman penataan jerumbai pada bahu (epaulette) dan poket berfungsi. Bayangan era 1950-an pula kelihatan pada jaket besbol, jaket biker manakala seluar slack menjadi trend baharu dalam pemilihan seluar panjang.
Skaf bercetak, kasut inspirasi etnik dan kasut kanvas (espadrille) yang digabungkan dengan topi besbol pula melengkapkan koleksi penuh elemen aktif tersebut.
Hijau, biru, kuning tua (khaki), jingga dan putih kekelabuan (off white) menjadi pilihan koleksi baharu itu. Ia dibarisi fabrik ringkas seperti linen, campuran linen, dan kapas.
Koleksi musim bunga 2013 H&M tersebut akan mula menemui orang ramai bermula bulan Januari depan secara berperingkat.

Pongu Tamil sempena Ponggal

Posted: 13 Jan 2013 06:50 PM PST

TARIAN merak adalah antara identiti seni tari klasikal India yang masih popular.


SETIAP tahun, pada hari pertama bulan Thai mengikut kalendar Hindu yang lazimnya jatuh pada pertengahan bulan Januari kalendar Inggeris, menandakan satu perayaan besar bagi penganut agama Hindu, iaitu Ponggal.
Ponggal adalah festival yang disambut sebagai tanda berterima kasih kepada elemen alam khususnya matahari, tanah, padi dan haiwan ternakan di sawah seperti lembu yang menjayakan musim menuai.
Turut dikenali sebagai Pesta Menuai, Ponggal kian disambut secara besar-besaran pada masa kini lebih-lebih lagi apabila ia diangkat sebagai perayaan kebudayaan dan seni.
Ini kerana perayaan Ponggal secara tradisinya, disambut selama tiga hari berturut-turut membabitkan Ponggal matahari, Ponggal untuk ternakan iaitu lembu dan Ponggal anak gadis sunti.
Ada sesuatu yang lebih menarik pada sambutan Ponggal, khususnya di kawasan perkampungan. Lazimnya, sambutannya lebih meriah di Tamil Nadu, Selatan India, apabila pelbagai tarian kebudayaan, makanan-makanan tradisional dan lagu-lagu rakyat turut dipentaskan.
Mengambil kira aspek yang sama, saluran berbayar Tamil, Astro Vaanavil tampil dengan satu projek komuniti khas melalui program Ponggu Tamil sempena sambutan Ponggal pada hari ini dengan mengadakan satu siri jelajah memperkenal makanan dan tarian kebudayaan kaum India.
"Dalam mengejar kemodenan dan rutin harian yang sibuk, kita banyak terlupa tentang asal-usul dan kebudayaan sendiri yang sangat kaya. Ini dibuktikan apabila muda-mudi sekarang sudah tidak mengenali beberapa jenis makanan yang pernah menjadi ruji atau makanan mesti ada dalam menu harian.

TARIAN karagahtam turut dipersembahkan pada majlis pelancaran Pongu Tamil.


"Bukan itu sahaja, sesetengah tarian juga sudah hilang identiti dan hampir pupus," kata Timbalan Presiden Kanan, Pengurusan Kandungan Astro, Dr. Rajamani Chellamuthu.
Ekoran itu, katanya, pihak saluran Tamil Astro telah memperuntukkan sejumlah besar wang untuk sesi jelajah di lima lokasi pada tarikh-tarikh yang berbeza bagi menyambut perayaan Ponggal.
Pada masa yang sama, pihaknya mahu memperkenal dan mempamerkan makanan-makanan serta tarian rakyat India.
Turut ditemui pada majlis pelancaran program Pongu Tamil ialah Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk M. Saravanan, yang mengalu-alukan usaha murni Astro Vaanavil dalam mempromosi kebudayaan dan tradisi kaum India sempena Ponggal.
Ponggu Tamil telah dilaksanakan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJK(T)) Cantuman Chaah, Jalan Kialang, Chaah, Johor pada 9 Januari dan Sri Ruthra Maha Mariamman Devasthanam (UP), Jalan Cinta Sayang, Sungai Petani, Kedah (11 Januari).
Ia juga telah berlangsung di SJK (T) Port Dickson, Jalan Dato K. Patmanaban, Negeri Sembilan (12 Januari); SJK(T) Betari Jaya, Jalan Besar, Batang Berjuntai, Selangor (13 Januari) serta Kelab Rekreasi India, Buntong, Ipoh pada hari ini, 14 Januari.
"Setakat ini, program Ponggu Tamil diadakan di empat buah lokasi. Sehingga semalam, kami menerima respons yang menggalakkan. Para peserta dan orang awam menunjukkan minat mendalam untuk mengenali kebudayaan yang semakin pupus dek zaman," kata Rajamani ketika dihubungi.
Aneka pengisian
Antara tarian yang dipentaskan pada program Ponggu Tamil Astro Vaanavil ialah kaalai aatam, aallakhamb, silambu aatam, karakaatan, puli aatam, oyilaatam, katta kaal aatam dan tapaattam.
Dari segi makanan pula, antara hidangan yang dimasak dan dipamerkan untuk dirasai ialah kollu rasam, murunggai kaai rasam, cheeyam, kambangkoozh, thulasi kaasayam dan kopi sukku malli.
Kepada mereka yang terlepas menyertai program Pongu Tamil itu di empat lokasi lain, mereka masih boleh menyertai pihak Astro Vaanavil di Buntong, pada hari ini.
Selain itu, pihak Astro Bahagian Saluran Tamil turut merakam sebuah lagu dengan tema program, Pongu Tamil, yang memuatkan semua rentak muzik rakyat India bersama tarian, makanan, pakaian dan persekitaran perayaan Ponggal yang penuh tradisi.
Memimpin klip video itu ialah pengacara dan joki radio THR Raaga yang terkenal dengan imej penuh tradisional tatkala acara berkaitan kebudayaan, M. Maaran.

Ally kucing kacak

Posted: 13 Jan 2013 06:49 PM PST



BAGI peminat kucing, bukan menjadi satu pembaziran untuk berhabis wang setiap bulan semata-mata memastikan haiwan kesayangan mereka dapat dipelihara dengan baik dan sempurna.
Itulah gelagat 95 pemilik kucing yang menyertai Pertunjukan dan Pertandingan Kucing Cantik 2012 yang diadakan pada minggu terakhir Pesta Pulau Pinang penghujung Disember lalu.
Kehadiran puluhan ekor kucing pelbagai baka, sama ada yang berbulu panjang atau pendek dengan variasi warna turut memikat hati ribuan pengunjung terutamanya kanak-kanak yang memeriahkan Tapak Pesta Sungai Nibong.
Acara anjuran Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang dengan kerjasama Kelab Kucing Malaysia itu untuk merebut pelbagai gelaran dalam dua kategori iaitu kategori kucing berbulu pendek dan kucing berbulu panjang.
Lebih menarik, pertandingan tersebut juga berjaya memikat penyertaan peminat kucing dari beberapa negeri lain termasuk Perlis, Kedah, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan.
Tuah berpihak kucing peliharaan Nazri Mohd. Feroz Khan, 31, menerusi kucingnya bernama Ally yang diumumkan sebagai Kucing Paling Kacak
Beliau yang merupakan kakitangan Universiti Sains Malaysia (USM) mengakui sangat sukakan kucing dan selalu menyertai pertandingan sedemikian bersama isterinya, Azlina Abdul Aziz, 31.
"Sejak kecil lagi saya memang sukakan kucing dan minat semakin mendalam apabila melihat kucing-kucing yang dipelihara mempunyai bulu dan warna yang menarik.
"Saya juga memelihara kucing sebagai penghibur kerana kami belum dikurniakan cahaya mata," ujarnya.
Katanya, beliau dan isteri membelanjakan RM400 setiap bulan untuk membeli makanan dan ubat-ubatan bagi 12 ekor kucing yang dipelihara.
Pengalaman pertama

MAZLAN (kanan) bersama rakannya, Azmanisham Abdul Rahim menunjukkan kucing mereka pada Pertunjukan dan Pertandingan Kucing Cantik 2012 di Tapak Pesta, Sungai Nibong.


Seorang lagi peserta Mazlan Chik Rus, 34, turut gembira dapat menyertai pertandingan itu buat julung-julung kalinya.
"Ini merupakan penyertaan pertama saya dalam pertandingan kucing cantik. Saya tentunya teruja apabila melihat kucing saya yang diberi nama Aira turut sama bersaing dengan puluhan kucing lain.
"Saya juga dapat banyak maklumat tentang penjagaan kucing daripada peserta lain yang berpengalaman dan pertandingan seperti ini menjadi platform kami bertukar-tukar pandangan," katanya.
Beliau yang mula jatuh cinta pada haiwan comel itu sejak setahun lalu kini memelihara tujuh ekor baka Parsi.
Kategori lain yang dipertandingkan pada hari itu termasuklah menghias sangkar kucing, pertunjukan fesyen dan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak.
Kesemua pemenang menerima hadiah sebuah sangkar dan produk makanan kucing sumbangan Brit Care.
Selain itu, pelbagai aksesori kucing seperti baju, sangkar, barangan kesihatan dan alat permainan kucing turut dijual kepada orang ramai pada harga yang amat istimewa.

SEBAHAGIAN kucing yang dihias cantik, malah lengkap dengan aksesori seperti topi.


Dalam pada itu, seorang lagi pemilik kucing, Faridah Tahir, 51, suri rumah dari Alor Setar, Kedah berkata, beliau membawa 11 ekor kucing Parsi berbulu panjang untuk menyertai acara tersebut.
"Anak-anak juga sudah dewasa dan rumah akan sunyi apabila mereka semua keluar bekerja. Kucing-kucing ini menjadi peneman di rumah.
"Kucing juga dapat membantu meredakan tekanan kerana ia seolah-olah faham dengan keadaan emosi tuannya," katanya.
Tambah Faridah, sesiapa yang berminat memelihara kucing mesti rajin dan bersedia untuk melayan pelbagai kerenah haiwan itu.
Kucing Faridah yang diberi nama Baby juga berjaya memenangi gelaran Kucing Paling Menawan bagi kategori bulu panjang.

Konsert meriah 2013

Posted: 13 Jan 2013 01:52 AM PST

Man Kidal (kiri), Ramli Sarip dan Nash (kanan) bakal bersatu pentas dalam konsert yang dijadual berlangsung di Stadium Tertutup MBJB, Johor Bahru, 9 Februari ini.


TAHUN 2012 meninggalkan momen-momen yang indah buat para pencinta konsert. Masing-masing mencipta kenangan dan magis tersendiri. Untuk tahun ini, beberapa konsert menarik sudah diumumkan. Masih banyak yang berteraskan rock, para peminat dan pengunjung setia konsert sudah boleh menandakan jadual diari mereka dengan konsert-konsert yang bakal berlangsung di suku awal tahun 2013.
Konsert Dimensi Rockarisma
Artis: Sweet Charity, Lefthanded, May
Tarikh: 9 Februari
Tempat: Stadium Tertutup MBJB, Johor Bahru

Berubah tiga lokasi, akhirnya Stadium Tertutup MBJB, Johor Bahru menjadi tempat muktamad untuk tiga grup legenda iaitu Sweet Charity, Lefthanded dan May bersatu pentas. Bakal berlangsung pada 9 Februari ini, tiga grup ini akan disatukan dalam sebuah konsert di bawah payung nama Konsert Dimensi Rockarisma. Akan berlangsung selama tiga jam, pastinya lagu-lagu hits tiga grup raksasa ini bakal melantun mengisi ruang stadium dan mengembalikan momen buat para peminat tegar mereka.
"Gabungan tiga grup ini adalah sebuah gabungan yang sesuai. Sweet Charity lahir pada tahun 1970-an kemudian muncul Lefthanded dan May menjadi kesinambungan," komen Ramli Sarip mewakili tiga grup ini. Melihatkan lokasi yang dipilih, kenangan 27 tahun buat Sweet Charity dihambat kembali oleh Ramli. Katanya hampir 27 tahun, grup Sweet Charity tidak mengadakan persembahan di Johor Bahru.
"Ada hikmah apabila lokasi diubah kerana sebab-sebab tertentu. Sweet Charity sudah 27 tahun tidak mengadakan konsert di sana kerana pernah diharamkan pada awal tahun 1980-an. Gara-gara pentas runtuh sewaktu konsert di Taman Pelangi," ketawa kecil Ramli mengingatkan momen tersebut.
Konsert yang bakal bermula pada pukul 8.30 malam tersebut dibawakan oleh pihak Rockarisma Capital Sdn. Bhd. Sama ada Sweet Charity mahu pun Lefthanded dan May, merekalah tentera rock yang membikin empayar rock pada tahun 1970-an dan 1980-an. Mereka juga akan mengembalikan ingatan khalayak terhadap zaman kegemilangan rock. Bak kata rockers sejati, 'rock never die!' Kamelia (Sweet Charity), Semangat Lamina (Lefthanded) dan Sendiri (May) bakal berkumandang di tanah Johor kelak. Konsep, nama dan idea untuk penyatuan tiga grup ini telah dicetuskan oleh Azhar Selamat dari Karisma Johor dengan kerjasama grup-grup tersebut.
Konsert Zikir Terapi Diri Hafiz Hamidun
Artis: Hafiz Hamidun
Tarikh: 23 Februari
Tempat: Stadium Bandaraya, Johor Bahru

HAFIZ mahu mendekatkan lagi zikir menjadi salah satu cabang kesenian dan keindahan dalam kehidupan masyarakat.


Untuk sesebuah album nasyid atau lebih tepat lagi album zikir, pencapaian yang diraih oleh Hafiz Hamidun apabila album Zikir Terapi Diri Hafiz Hamidun yang diedarkan sejak awal tahun yang kini merekodkan jualan sehingga 120,000 unit, itu merupakan satu kejayaan yang cukup besar. Atas misi untuk mendekatkan lagi zikir menjadi salah satu cabang kesenian dan keindahan dalam kehidupan masyarakat Islam moden hari ini, Hafiz menerusi syarikatnya Arteffects Sdn. Bhd. sekali lagi mengambil inisiatif mahal namun dirasakan cukup berbaloi. Selepas sambutan baik yang diterima menerusi Konsert Zikir Terapi Diri di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur yang dihadiri 2,000 penonton tahun lepas, Hafiz mahu menggegarkan zikir dalam sebuah konsert berskala lebih besar di Johor Bahru.
"Kalaulah saya terpaksa mengeluarkan duit sendiri sehingga RM100,000 pun saya sanggup jika itu bayarannya untuk realisasikan konsert itu, saya tetap ikhlas. Tiada penganjur yang tidak mahukan pulangan wang tetapi matlamat utama saya ialah untuk budayakan zikir. Setakat ini sudah ada pihak yang mahu bekerjasama sebagai penganjur tetapi kata akhir belum dibuat. Peminat boleh berkunjung ke www.konsertzikirterapidiri.com untuk maklumat lanjut dan harga tiket," jelas Hafiz yang akan meneruskan kembara album Zikir Terapi Diri ke Indonesia pula sebaik sahaja selesai konsert berkenaan.
Anuar Zain Tiga Dekad Muzik, Cinta dan Sanubari
Artis: Anuar Zain
Tarikh: 16 Februari
Tempat: Stadium Putra, Bukit Jalil

ANUAR ZAIN bakal mengubat kerinduan para peminatnya dengan konsert solo.


Penyanyi lelaki ini sentiasa membuatkan peminat wanitanya menjerit-jerit. Jeritan dan nyanyian beriringan ini bakal berkumandang lagi kelak apabila Anuar Zain akan membuka tirai tahun ini dengan konsert solonya pada 16 Februari di Stadium Putra, Bukit Jalil. Konsert tersebut diadakan juga sempena 30 tahun Anuar mendambakan dirinya sebagai penyanyi lelaki tanah air. Pada majlis pelancaran klip video terbaharu Anuar yang berjudul Ajari Aku, berita baik perihal konsert Anuar diumumkan oleh Pengarah Urusan syarikat rakaman Universal, Loan Cheong.
Menurutnya, konsert solo Anuar dengan nama Tiga Dekad Muzik, Cinta dan Sanubari bakal dipimpin oleh pengarah muzik hebat tanah air, Mac Chew. "Istimewanya konsert solo Anuar, beliau akan diiringi oleh 26 ahli orkestra. "Pastinya 16 Februari ini akan memahat satu sejarah tersendiri dan memori indah untuk seluruh peminat Anuar Zain," katanya. "Bagi saya sekarang adalah untuk berkongsi perjalanan muzikal saya dengan para peminat dan berharap agar konsert ini akan menjadi sesuatu yang istimewa untuk semua yang hadir pada malam 16 Februari nanti," ujar Anuar yang popular dengan lagu Mungkin, Lelaki Ini dan Ketulusan Hati.

Memey Tercuit Dengan Gelagat Norman Menjelang Kelahiran Anak

Posted: 13 Jan 2013 01:51 AM PST

Memey dan Norman tidak sabar menanti kelahiran anak pertama mereka pada Februari depan.
KUALA LUMPUR: Pelakon Memey Suhaiza mengakui tercuit hati dengan gelagat dan debaran yang dialami suaminya aktor Norman Hakim menjelang kelahiran bayi sulung mereka dijangka pada 20 Februari depan.
Memey atau nama sebenarnya Suhaiza Suhaimi, 27, berkata, sikap kalut Norman yang terlalu gelisah mengenai persiapan kelahiran anak lelaki mereka itu melebihi kebimbangannya sendiri yang pertama kali bakal bersalin.
"Saya okey sahaja. Tidak terfikir atau bayangkan apa-apa pun tapi abang (Norman) yang nampak lebih bimbang.
"Mungkin kerana pengalamannya bergelar bapa sebanyak tiga kali sebelum ini membuatkan dia bimbang untuk sambut kelahiran anak kami nanti," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Pasangan itu bernikah pada 24 September 2011 di kampung halaman Memey di Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi, Johor.
Ditanya mengenai persiapan terakhir menjelang kelahiran itu, Memey berkata, segala persiapan pakaian dan pemilihan beberapa nama sudah disenarai pendekkan.
"Kami sudah ada dua atau tiga nama pilihan cuma belum putuskan yang mana satu sahaja.
"Abang juga sudah selidik banyak info di Internet dan buku-buku mengenai kelahiran anak kami," katanya.
Dalam pada itu, Norman berkata, perasaan panik menjelang kelahiran itu adalah perkara lazim yang dihadapinya sejak anak pertama lagi.
"Dari anak pertama lagi saya memang berdebar dan panik. Saya rasa pengalaman menyambut kelahiran anak-anak yang membuatkan saya begitu.
"Sebab itu saya berasa tidak tenang dan takut untuk menunggu kelahiran Memey nanti kerana saya perlu bersedia," katanya yang merancang untuk menjemput keluarga Memey menemani aktres itu pada hujung Januari ini.
Menerusi perkahwinan terdahulu, Norman dan Abby Abadi dikurniakan tiga anak iaitu Mohamed Danish Hakim, 9, Marissa Dania Hakim, 7, dan Maria Danisha Hakim, 4.
Pasangan itu bercerai pada 18 Disember 2008.

Raja Nor Baizura Tidak Sunyi Menjanda 25 Tahun

Posted: 13 Jan 2013 01:50 AM PST

Raja Nor Baizura
KUALA LUMPUR: Pelakon era 80-an Raja Nor Baizura mendedahkan dia bersyukur kerana tidak berasa sunyi dan janggal dengan status janda yang digalasnya sejak 25 tahun lalu.
Pemilik nama sebenar Raja Nor Baizura Raja Shahar itu berkata, perihal berkenaan tidak mengganggu fikirannya kerana dia selesa menjalani kehidupan solo di samping anak lelakinya, Syed Mukhriz Shah Datuk Syed Norulzaman, 30.
"Tiada apa yang hendak disunyikan kerana saya selesa dengan begini (ibu tunggal).
"Kalau ada pasangan, mungkin susah juga. Apabila seorang diri, lebih mudah bekerja dan bergerak ke merata tempat," katanya ketika ditemui mStar Online di sini, baru-baru ini.
Ditanya tidakkah dia terfikir untuk berkahwin semula, Raja Nor Baizura berkata, perkara itu tidak menjadi keutamaannya selepas bercerai pada sekitar 1988.
Penampilan terbaharu Raja Nor Baizura (paling kanan) di samping barisan pelakon Adam & Hawa ketika menghadiri tayangan perdana episod terakhir drama bersiri itu, baru-baru ini.
"Mungkin tiada jodoh untuk saya tetapi saya tidak fobia atau serik pada perkahwinan.
"Sekarang, saya senang dengan kehidupan begini di mana hanya ada saya dan anak sahaja," katanya yang pernah memenangi trofi Aktres Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-8 menerusi filem Oh Fatimah (1989).
Mengenai perkembangan kerjaya lakonan, aktres berpengalaman selama 35 tahun ini berkata, dia bertuah kerana masih mendapat kepercayaan segelintir besar penggiat seni tanah air.
"Alhamdulillah, saya masih menerima tawaran lakonan yang konsisten.
"Walaupun kebanyakan produksi pada hari ini dikendalikan orang-orang baharu dan bukan daripada generasi saya, peluang itu tetap ada," katanya.
Selain drama KL Drift The Series yang kini ditayangkan di RTM, Raja Nor Baizura juga bakal muncul dengan filem berjudul Kil pada tahun ini di samping Redza Minhat dan Cristina Suzanne.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan