RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Lisa Surihani Buat Repot Polis Berhubung Kes Tipu

Posted: 11 Jan 2013 10:43 PM PST

Lisa Surihani
PETALING JAYA: Pelakon Lisa Surihani membuat laporan di Balai Polis Bangi dekat sini pada Jumaat selepas menyedari ditipu berhubung kait dengan wang.
Lisa, 27, berkata, dia membuat laporan itu dengan ditemani suami Yusry Abdul Halim dan ibunya Amira Ahmad, kira-kira pukul 2 petang Jumaat.
"Saya mengaku telah membuat laporan polis berhubung kes penipuan tetapi saya tidak dapat untuk menjelaskan kes itu secara terperinci.
"Bukan saya tidak mahu bekerjasama tetapi buat masa ini ia masih dalam siasatan pihak polis," katanya ketika dihubungi mStar Online lewat petang Jumaat ketika berada di Ipoh, Perak kerana menjadi juri pertandingan Maharaja Lawak Mega 2012.
Lisa berkata, sekiranya pihak polis selesai membuat siasatan, barulah dia bersedia untuk berkongsi kisah itu agar peristiwa berkenaan menjadi pengajaran kepada orang ramai.
"Saya tidak boleh mengulas panjang kerana ia masih dalam siasatan polis," jelasnya.
Dalam perkembangan lain Lisa juga sedang sibuk dengan penggambaran drama bersiri Maskara arahan Nizam Zakaria di samping Nasha Aziz dan Anzalna Nasir.

Terlepas Hukuman Gantung, Zack Kekal Ahli New Boyz

Posted: 11 Jan 2013 10:42 PM PST

Zack (kanan) bersama rakannya Tomok. Gambar fail Utusan Malaysia.
PETALING JAYA: Pemain bes kumpuan New Boyz iaitu Zack tidak pernah disingkirkan daripada kumpulan itu walaupun dia pernah ditahan di penjara selama tiga tahun akibat tuduhan mengedar dadah.
Ketua kumpulannya iaitu Shah Indrawan Ismail, 29, atau Tomok berkata, pihaknya masih lagi memerlukan tenaga Zack untuk menjadi ahli New Boyz walaupun dia dikaitkan dalam isu berkenaan.
"Saya tidak pernah buang Zack. Saya masih memerlukan dia untuk bersama kumpulan New Boyz. Malah kumpulan ini juga masih kekal seperti band muzik lain," kata Tomok kepada mStar Online ketika dihubungi di sini petang Jumaat.
Selain Zack, New Boyz turut disertai dua ahli baru iaitu Afiz (pemain gitar) dan Ristoe (dram).
Tomok berkata, sepanjang Zack berada di penjara, dia bersama ahli Newz Boyz sering melawat pemuda itu untuk memberi sokongan moral sementara menanti kesnya dibicarakan di mahkamah.
Malah kata Tomok, dia turut dihubungi oleh Zack pada tengah hari Jumaat bagi memaklumkan yang dia sudah terlepas daripada hukuman gantung.
Gambar fail menunjukkan Zack dibawa oleh anggota polis ke mahkamah berhubung kes pengedaran dadah pada tahun 2010.
"Saya gembira dengan perkembangan terbaru Zack itu dan memberi peluang untuk dia bertemu dengan keluarganya terlebih dahulu sebelum kami berjumpa untuk membincangkan soal penghasilan album," katanya.
Dalam laporan Bernama pada Jumaat Zack bersyukur kerana terlepas daripada hukuman itu selepas hampir tiga tahun di reman di Penjara Sungai Buloh, dekat sini.
Zack atau nama sebenarnya Radin Irwan Dzul Karnain Isagani dilepas dan dibebaskannya oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Jumaat daripada tuduhan mengedar kanabis seberat 1,321 gram, tiga tahun lepas, tanpa dipanggil membela diri.
Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas mendapati terdapat banyak kelemahan dalam siasatan polis yang membawa kepada kegagalan pihak pendakwaan membuktikan kes prima facie.
Dia didakwa mengedar kanabis di satu unit sebuah kondominium di Persiaran Surian, Petaling Jaya di sini, pada 9.20 malam, 26 Januari 2010.
Bapa kepada dua orang anak itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Zack bagaimanapun gagal dihubungi bagi mendapatkan perkembangan lanjut mungkin kerana sibuk dengan urusan keluarga.

Arrora Salwa Tukar Nama Kerana Bimbang Timbul Masalah

Posted: 11 Jan 2013 10:41 PM PST

Arrora Salwa kini mahu dikenali sebagai Salwa Razak.
PETALING JAYA: Penyanyi yang sebelum ini dikenali sebagai Arrora Salwa mengambil keputusan untuk menukar namanya kepada Salwa Razak selepas mendapati nama lamanya itu lebih banyak menimbulkan masalah dalam hidupnya.
Salwa atau nama sebenarnya Salwa Md Razak, 28, berkata, dia mengambil pendekatan itu kerana mahu memulakan hidup baharu sempena kedatangan tahun 2013 selain ingin melupakan kisah hitam yang dilaluinya sepanjang bergelar artis sejak empat tahun lalu.
"Hari ini saya adalah manusia yang baru iaitu seorang wanita yang kuat semangatnya selepas mengharungi segala pancaroba hidup terutamanya pada tahun lalu. Saya ingin mahu dikenali sebagai Salwa Razak dan bukan Arrora Salwa lagi," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Jumaat.
Salwa berkata 2012 merupakan tahun yang amat menyedihkannya kerana pelbagai isu terpaksa dilalui termasuklah tuduhan dia bersekedudukan serta krisis hubungan dengan keluarga teman lelakinya iaitu bekas anggota kumpulan Max:247, Mohd Fairuz Shaari (Alloi).
Kata Salwa, kisah-kisah itu telah memberi persepsi negatif peminat sehingga menyebabkan kerjaya seni yang baru diciptanya tercalar.
"Sesuatu yang lebih bermakna, saya sekarang sudah "bebas." Saya tidak lagi berkawan dengan Alloi dan saya mahu meneruskan hidup ini tanpa gangguan daripada sesiapa lagi sebaliknya ingin memberi fokus kepada dunia seni," katanya.
Salwa yang pernah popular dengan lagu Ahmad berkata, selepas lima bulan memutuskan cinta, dia tidak dapat menafikan kesakitan hatinya sukar untuk diubati tetapi berkat semangat dan kekuatan moral yang dimilikinya, dia berjaya menempuh ujian itu dengan baik.
Nasihatnya, sesiapa yang ingin bercinta elaklah untuk menyayangi seseorang itu seratus peratus kerana perasaan tersebut boleh memusnahkan diri.
"Saya seorang yang kuat kerana pekerjaan saya sebelum menjadi penyanyi ialah seorang anggota polis. Sebab itulah kesakitan yang saya alami dapat saya lalui dengan baik walaupun ia benar-benar memeritkan," jelasnya.
Dalam perkembangan lain Salwa berkata dia tidak lagi bernaung di bawah syarikat rakaman Sony Music sebaliknya bergerak secara individual untuk mempromosikan "single" terbaharunya iaitu Hidup Baru.
Tambahnya, "single" tersebut yang berentak balada di jangka akan dilancarkan pada 14 Mac depan.
"Sesuai dengan penghijrahan saya untuk menjadi lebih positif, Hidup Baru adalah lagu yang menceritakan bagaimana cerianya saya selepas berjaya mengetepikan masalah yang melanda diri saya sebelum ini," katanya.
Sebagai persediaan bagi mempromosikan lagu itu, Salwa banyak melakukan aktiviti bagi menguatkan staminanya dengan berjoging pada waktu pagi dan berenang pula pada sebelah malam.
Dia juga mengamalkan pengambilan vitamin C dan kolagen sekurang-kurangnya tiga kali sebulan agar kelihatan lebih bertenaga.

Shah Iskandar Pasang Strategi Mahu Menang ABPBH2012

Posted: 11 Jan 2013 10:40 PM PST

Shah Iskandar
PETALING JAYA: Pelakon baru Shah Iskandar tidak mahu berbohong sebalik mengimpikan harapan untuk memenangi pencalonan Artis Baru Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012 (ABPBH2012) yang bakal berlangsung pada 7 April depan.
Shah atau nama sebenarnya Shah Iskandar Mahfuz, 31, berkata, walaupun agak terkejut dengan pencalonan itu, namun dia telah menetapkan beberapa strategi untuk memenangi hati peminat bagi meraih peluang berkenaan.
"Saya sudah merancang beberapa perkara agar pencalonan saya dalam ABPBH2012 pada kali ini mendapat sokongan tidak berbelah bagi daripada peminat," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Jumaat.
Dalam ABPBH2012 kali ini pelakon tersebut akan beradu nasib dengan Aiman Hakim Ridza, Izzue Islam, Jimmy Palikat dan Taiyudin Bakar bagi merebut kemenangan sebagai Artis Baru Lelaki Popular.
Tambah bintang kelahiran Singapura ini, antara strategi yang perlu dia lakukan ialah banyak berinteraksi dengan peminat untuk mengambil hati mereka menerusi medium laman sosial iaitu Twitter dan juga Facebook yang dimilikinya.
Buat masa ini pengikut di Twitternya mencatatkan lebih 30,000 pengikut sementara akaun Facebook pula sudah penuh.
Selain itu dia juga berjanji untuk kerap turun padang dalam setiap siri jelajah yang akan diadakan agar usaha mendekati kelompok peminatnya dapat dilakukan.
Ditanya tidakkan dia mahu mengambil pendekatan mengundi diri sendiri dengan mengisi borang pencalonan yang disiarkan di akhbar, kata Shah, pendekatan itu tidak wajar kerana hasratnya adalah untuk mengukur sejauh manakah dia popular di kalangan peminat.
"Kalau saya yang mengundi diri sendiri, saya tak akan tahulah saya ini popular ataupun tidak di kalangan peminat-peminat saya. Adalah lebih baik strategi saya dengan menggunakan media sosial yang saya ada," katanya.
Shah juga tidak menolak kontroversi kononnya dia bercinta dengan Rozita Che Wan sehingga menimbulkan rasa kurang senang Zain Saidin antara faktor penyumbang kepada peningkatan popularitinya.
Sementara itu dalam perkembangan lain Shah bersama pelakon Kilafairy berangkat ke India pada Sabtu dan dijangka pulang pada 23 Januari ini untuk menjalani penggambaran drama bersiri 13 episod berjudul Cinta Agra terbitan Zeel Productions.

Edcoustic cuba nasib di Malaysia

Posted: 11 Jan 2013 10:38 PM PST

ALBUM kelima Edcoustic bakal dilancarkan sekitar bulan Mei tahun ini.


INDUSTRI nasyid tanah air suatu ketika dahulu h pernamenjadi fenomena apabila kumpulan Raihan berjaya dikenali di seluruh dunia.
Sehingga kini, Raihan masih memegang rekod jualan album tertinggi di pasaran Malaysia menerusi jualan album, Puji Pujian yang mencecah 750,000 unit.
Sementara, jualan album Raihan di seluruh dunia sepanjang 17 tahun pembabitan mereka dalam dunia seni sudah mencecah 3.5 juta unit.
Selepas Raihan, muncul kumpulan-kumpulan nasyid seperti cendawan tumbuh selepas hujan termasuklah Rabbani, Hijjaz, Brothers, In-team dan UNIC.
Walaupun sekarang ini muzik nasyid tidak gah seperti zaman awal kemunculan kumpulan-kumpulan tersebut, namun kehadiran artis baharu dari luar negara sedikit sebanyak mewarnai industri muzik nasyid tanah air.
Jika sebelum ini, muncul beberapa karyawan nasyid dari negara seberang yang cuba menembusi pasaran di negara ini seperti Opick, terbaharu, kumpulan nasyid dari Indonesia yang menggelarkan diri mereka, Edcoustic turut berusaha untuk melebarkan sayap mereka di Malaysia.
Edcoustic yang dianggotai Aden Supriadi, 33, selaku vokalis dan Eggie Gustaman, 29, sebagai pemain gitar mula bertapak di negara ini sejak tahun lalu menerusi album kompilasi, Hits Satu Dekade.
"Kami berharap dengan kehadiran kami di Malaysia dapat mewarnai lagi industri nasyid negara ini lantas menaikkan semula populariti lagu-lagu nasyid serantau dan antarabangsa.
"Situasi muzik nasyid di Malaysia sama seperti di Indonesia yang kurang mendapat sambutan, namun ia tetap mempunyai peminatnya yang tersendiri," ujar Aden yang sudah tujuh kali berkunjung ke Malaysia.
Walaupun duo yang membawakan lagu bergenre pop inspirasi itu baru bertapak di negara ini, namun di Indonesia mereka telah mula bergiat aktif sejak 10 tahun yang lalu dengan kemunculan album pertama berjudul, Masa Muda.
Ditanya mengenai pencapaian yang paling membanggakan sepanjang tahun 2012, menurut Aden, memasuki pasaran Malaysia merupakan detik manis yang tidak dapat dilupakan.
Perjalanan muzik Edcoustic bakal lebih rancak lagi dengan penghasilan album terbaharu yang juga album kelima mereka pada bulan Mei tahun ini di Indonesia.
"Kami berharap album baharu yang masih dirahsiakan lagi judulnya itu dapat diterima oleh masyarakat dan akan lebih ramai lagi yang akan meraih inspirasi dengan lagu kami.
"Selain album baharu, saya juga akan menerbitkan sebuah novel yang berjudul, Azalia sebelum bulan Mac ini di Indonesia dan jika diizinkan Allah, buku ini juga akan dijual di Malaysia," jelas Aden mengenai perancangan Edcoustic dan dirinya pada tahun 2013 ini.
Duo yang meminati penyanyi nombor satu Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza itu menambah, seiring dengan kemunculan Edcoustic di Malaysia, mereka turut berkolaborasi dengan kumpulan nasyid tempatan, In-team menerusi lagu ciptaan Aden, Kau Ditakdirkan Untukku. Lagu itu juga bakal dimuatkan dalam album terbaharu In-team.

Persatuan lain tidak faham kepayahan kami - DJ Dave

Posted: 11 Jan 2013 10:37 PM PST


DJ DAVE di samping pelawak tersohor negara, Jamali Shadat pada acara Majlis Penyampaian Sumbangan Kebajikan Artis 2012 di Finas, Hulu Klang, Selangor baru-baru ini.


SEBAGAI presiden dan pemegang amanah dana RM2 juta Yayasan Artis 1Malaysia hasil sumbangan daripada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk DJ Dave baru-baru ini telah mengadakan sebuah majlis untuk menyampaikan sumbangan kepada seniman dan seniwati negara.
Acara dikenali sebagai Majlis Penyampaian Sumbangan Kebajikan Artis 2012 telah pun berlangsung di Dataran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Klang, Selangor baru-baru ini yang mana seramai 142 orang artis veteran telah pun menerima sumbangan sebanyak RM2,000 setiap seorang.
Namun isunya, wujud suara sumbang yang mempersoalkan mengapa DJ Dave memegang dana ini terlalu lama dan ada juga yang menimbulkan persoalan tentang bantuan yang sepatutnya diberi kepada Datuk Yahya Sulong.
Antara karyawan seni veteran yang hadir pada majlis tersebut termasuklah Datuk Aziz Satar, Datuk Jamali Shadat, dan Karim Latif.
Selesai majlis tersebut, Kosmo! sempat menemu ramah DJ Dave untuk menjelaskan isu yang wujud dalam kalangan artis-artis veteran ini.
Kosmo!: Datuk, boleh jelaskan isu tentang kes Datuk Yahya Sulong itu. Kenapa dana Yayasan Antis 1Malaysia tidak membayar sepenuhnya bayaran sewa rumah yang didiami pelawak veteran berbanding dengan sekadar memberi lagi sumbangan wang kepadanya?
DJ Dave: Saya sedang membuat satu inisiatif yang mana surat sudah dihantar kepada menteri (Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim) supaya dapat membantu Datuk Yahya. Mungkin mereka boleh beri pelepasan kepadanya atau satu skim supaya mengurangkan ansuran pembayaran rumah tersebut.
Saya sudah buat usulnya dan kami memang sedang mencuba sedaya upaya kerana memang saya rasa artis 60-an banyak berjasa dan telah berkhidmat dan membantu negara secara tidak langsung.
Ingin saya beritahu, selain Yahya, Maimon Mutalib juga pernah menerima sumbangan sebanyak RM4,000 dan penghawa dingin untuk rumahnya. Untuk Yahya Sulong kami telah menyampaikan sumbangan sebanyak RM6,000 secara keseluruhannya dan begitu juga dengan Azean Irdawaty ada juga sumbangan yang diberikan kepadanya.
Adakah untuk menerima sumbangan ini, mereka perlu untuk jadi ahli Yayasan Artis 1Malaysia ataupun sebaliknya?
Buat masa ini, mereka tidak perlu mendaftar untuk menjadi ahli atau sebagainya. Asalkan mereka ini merupakan seniman atau seniwati yang telah banyak menabur jasa terhadap industri seni.
Tidakkah perlu disalurkan dana bantuan melalui persatuan artis atau yang seumpamanya?
Tidak perlu. Datang terus kepada saya kerana saya payungnya. Ada persatuan yang buat bising tetapi saya tidak mahu dedahkan beritahu persatuan manakah yang dimaksudkan itu. Mereka mempersoalkan kenapakah ambil masa terlalu lama untuk agihkan dana ini.
Ingin saya jelaskan di sini, mereka tidak tahu tentang kepayahan yang telah kami lalui. Kami perlu mencari semua individu yang layak meraih agihan dana ini kerana bukan kesemua mereka masih tinggal di alamat yang kita tahu ini. Kita perlu berusaha untuk mencari mereka. Ingin saya tegaskan di sini, walaupun kami tidak jumpa mereka, tetapi semua akan dipastikan menerima sumbangan ini.
Sumbangan dilakukan secara tahunan ataupun sekali sahaja?
Jika kita punya dana, apa salahnya? Jadi, kami harus bina dana ini dan saya perlu lakukan sesuatu yang mana saya ingin mencari seorang pengurus besar untuk menguruskan dana dan segala perancangan di bawah Yayasan Artis 1Malaysia. Kami yang ada sekarang ini adalah sebagai pemegang amanah. Kami juga akan wujudkan satu polisi dan pengurus tersebut akan menjalankan tugas.
Adakah pengurus tersebut akan dipilih dan dilantik dalam kalangan artis juga?
Tidak kisah sesiapapun sebenarnya, asalkan dia layak memegang jawatan itu, tidak salah untuk dia mencuba. Namun, kami memerlukan minimum seorang pemegang ijazah dan punya pengalaman dalam bidang ini.
Apakah yang diharapkan daripada badan kerajaan dan pihak-pihak tertentu?
Harapan saya memang besar. Kami telah usulkan kepada kerajaan tentang pengecualian cukai. Di mana, kepada pihak yang menderma, mereka akan mendapat pengecualian cukai. Jika kita berjaya mendapatkan usul tersebut, nescaya kami akan mendapat bantuan banyak pihak.

Amran Ismail miliki syarikat rakaman

Posted: 11 Jan 2013 10:36 PM PST

MINAT yang mendalam terhadap muzik membuatkan Amm kini melebarkan sayap dengan menjadi penyanyi.


MUNGKIN belum ramai yang mengenali jejaka yang bernama Amran Ismail ini. Namun pada hakikatnya, Amran atau lebih mesra disapa sebagai Amm, sudah pun bergelumang dalam industri seni sejak berumur 17 tahun lagi.
Namun begitu, cerita jejaka berbadan sasa ini, walaupun sudah hampir 10 tahun menceburi bidang lakonan, dia mula fokus terhadap bidang tersebut hanya bermula pada tahun 2011.
Antara drama yang menaikkan namanya termasuklah Cinta Buat Emelda yang telah bersiaran di slot Akasia saluran TV3 pada Mac tahun lepas.
Selain itu, dia pernah juga berlakon di samping Azam Pitt dan Roslan Shah menerusi drama pendek kontroversi arahan Shuhaimi Lua, Chukang.
Drama lakonannya di samping pelakon Shakilla Koriri, Erna Shuraya pula mula ditayangkan di TV2 pada 1 Januari lalu. Tidak ketinggalan, Amm juga terlibat dengan program kanak-kanak yang disiarkan TV3 iaitu School Attack dan Voice Out.
Apa yang pasti, di samping meneruskan langkah dalam dunia lakonan, Amm rupa-rupanya berminat untuk melebarkan sayap dalam dunia muzik dengan menjadi penyanyi.
Ia bukan sekadar cakap-cakap kosong tetapi sesuatu yang telah diusahakan selepas melakukan perancangan yang rapi.
"Saya mengakui menyepikan diri seketika daripada lakonan kerana mahu memberi fokus terhadap nyanyian pula. Saya menghadiri kelas vokal, komunikasi serta mendalami serba sedikit ilmu muzik.
"Saya tidak banyak ilmu tentang muzik, jadi dengan pembelajaran tersebut, sekurang-kurangnya saya dapat informasi baharu," cerita Amm yang berharap peminat dapat menerima apa yang diusahakannya ini.
Satu lagu, empat versi
Minatnya terhadap nyanyian dan tarian membuatkan Amm tampil dengan single yang berkonsepkan pop.
Apa yang menariknya, single yang berjudul Ini Janjiku itu dihasilkan dalam empat versi genre yang berbeza.
Menurut anak kelahiran Johor ini lagi, single yang ditulis dan digubah sepenuhnya oleh dirinya sendiri itu dihasilkan dalam empat versi berlainan kerana ingin menampilkan kelainan.
Single ini juga dihasilkan oleh syarikat rakamannya sendiri yang diberi nama Amran Ismail Productions.
"Single ini saya hasilkan dalam empat versi iaitu pop, R&B, dance dan dub mix. Pada hakikatnya, saya memang risau dengan penerimaan orang ramai kerana rasanya belum pernah kita disajikan dengan lagu yang genre dub mix di sini.
"Walaupun begitu, saya perlu mencuba dan menghadapi kemungkinan yang terjadi. Saya memang ingin mencuba untuk menjadi lain daripada yang lain.
"Lagu saya ini berentak catchy dan sasaran pendengar saya ketika ini ialah golongan remaja dan kanak-kanak. Liriknya juga sangat ringkas," Amm sopan menyusun bicaranya pada sesi temu ramah di Studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambahnya, jika tiada aral melintang, single baharunya ini bakal dilancarkan pada 17 Januari ini.
Menganggap ia rezeki yang diterima, kemungkinan single tersebut akan digunakan sebagai runut bunyi drama terbaharu lakonannya yang berjudul, Mencintaimu. Drama itu bakal ditayangkan.
"Saya ingin berterima kasih kepada peminat, dan jika saya senang, saya pasti akan bercuti atau bersantai bersama peminat dari kelab peminat saya iaitu AIFC (Amran Ismail Fan Club),"
"Saya akui, tanpa mereka siapalah saya. Saya juga berharap orang ramai khususnya peminat saya dapat menerima sisi baharu Amran Ismail ini," akhiri Amm.

Artis masuk perangkap SPRM

Posted: 11 Jan 2013 10:35 PM PST

RUSTAM AFFANDI (kanan) dan Addy Sany berjalan keluar dari Mahkamah Sesyen Ipoh semalam.


IPOH - Perbuatan seorang bekas ahli kumpulan rock tanah air sekitar tahun 1990-an dan rakannya yang cuba menipu pengurus sebuah kolej swasta di sini berbalas apabila mereka didenda RM10,000 dan dipenjara sehari oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.
Hakim Julie Lack Abdullah turut memerintahkan bekas ahli kumpulan rock Scan, Rustam Affandi Abdul Majid, 40, dan Addy Sany Ariffin, 42, dipenjara tiga bulan lagi jika gagal menjelaskan denda berkenaan. Mereka membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, kedua-duanya didakwa cuba menipu seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nor Azlizan Mohd. Ali, 29, yang menyamar sebagai pembiaya dan rakan kongsi lelap Kolej Crew Skills International (M) Sdn. Bhd.
Kolej berkenaan menawarkan latihan teori dan praktikal untuk tukang masak pelajar-pelajar luar negara.
Kedua-dua tertuduh didakwa cuba memperdayakan mangsa dengan kononnya boleh membantu mendapatkan kelulusan Lesen Pusat Bertauliah daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran bagi kolej berkenaan.

12,000 orang bantah teroka hutan Tasik Pedu

Posted: 11 Jan 2013 10:34 PM PST

DERETAN 238 buah bas yang membawa lebih 12,000 orang untuk menyaksikan sendiri tapak perhutanan yang gondol di Tasik Pedu, Kuala Nerang semalam.


KUALA NERANG - Lebih 12,000 orang berhimpun secara aman di Charok Batang Padi berhampiran Tasik Pedu di sini semalam bagi membantah penerokaan kawasan hutan yang mengundang bencana alam dan menjejaskan sumber air negeri ini pada masa depan.
Kumpulan itu yang menaiki 238 buah bas dari seluruh negeri Kedah, selain penduduk Perak, Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor berhimpun selama tiga jam di kawasan tersebut bermula pukul 3 petang.
Mereka turut menyatakan kebimbangan terhadap aktiviti pembalakan di situ menerusi sepanduk tertera tulisan Pembalakan Tanpa Kawalan Kerajaan Negeri Akibatkan Hakisan, Pertanian di Kawasan Takungan Akibat Rakyat Minum Air Racun dan Baja serta Kawasan Tasik Pedu Untuk Tadahan Hujan, Bukan Untuk Pembalakan.
Selain berhimpun secara aman, peserta bantahan itu turut meninjau kawasan hutan yang telah digondol atas alasan untuk melaksanakan projek ladang buah-buahan.
Pengerusi Gerakan Protes Aman Pembalakan Tasik Pedu, Datuk Mohd. Yusof Ismail berkata, perhimpunan itu mencapai matlamat menerusi sambutan luar biasa dalam kalangan penduduk negeri ini dan luar yang mahu meninjau sendiri kerakusan kerajaan negeri menjalankan aktiviti pembalakan di kawasan tersebut.

Zack bebas tuduhan edar ganja

Posted: 11 Jan 2013 10:34 PM PST


ZACK New Boyz (tiga dari kiri) ceria bersama isteri (dua dari kiri) dan peguamnya selepas dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Pemain bass kumpulan New Boyz, Radin Irwan Dzul Karnain Isagani atau Zack New Boyz dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini daripada tuduhan mengedar ganja seberat 1,321 gram, tiga tahun lepas tanpa dipanggil membela diri.
Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas mendapati terdapat banyak kelemahan dalam siasatan polis yang membawa kepada kegagalan pihak pendakwaan membuktikan kes prima facie.
Zack, 33, didakwa mengedar dadah jenis ganja seberat 1,321 gram di satu unit sebuah kondominium di Persiaran Surian, Petaling Jaya dekat sini, pada pukul 9.20 malam, 26 Januari 2010.
Bapa kepada dua orang anak itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Kenderaan JPJ diterbalik, dibakar

Posted: 11 Jan 2013 10:31 PM PST


KEADAAN kenderaan yang terlibat dalam kemalangan yang didakwa berpunca daripada Toyota Fortuner dinaiki penguat kuasa JPJ.


SITIAWAN – Sebuah kenderaan pacuan empat roda Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) remuk dan rentung angkara tindakan agresif orang awam yang berang selepas kenderaan itu didakwa menjadi punca kepada kemalangan membabitkan lapan buah kenderaan lain di Jalan Ipoh-Lumut dekat Pekan Ayer Tawar di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 12.30 tengah hari itu, beberapa saksi mendakwa Toyota Fortuner dinaiki tiga anggota penguat kuasa JPJ yang dalam perjalanan dari arah Sitiawan secara tiba-tiba menyeberangi pembahagi jalan untuk menahan sebuah lori membawa muatan buah kelapa sawit di laluan bertentangan.
Tindakan yang diambil pemandu kenderaan JPJ itu menyebabkan lapan buah kenderaan lain yang mengekori dan berada di tepi lori membawa buah kelapa sawit berkenaan berlanggar semasa sendiri selain ada kenderaan yang terbabas kerana panik dengan kemunculan mendadak kenderaan JPJ itu.
Lapan buah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu ialah Proton Waja, Proton Wira, pacuan empat roda Suzuki Jimmy, Perodua Kancil, sebuah motosikal, dua buah bas sekolah dan sebuah lori lain.

Pemandangan unik bilik tandas

Posted: 11 Jan 2013 10:29 PM PST


GAMBAR menunjukkan sebuah bilik tandas di tingkat 69 bangunan itu.


LONDON - Bangunan paling tinggi di Eropah Barat, Shard menyediakan bilik tandas yang unik kepada para pengunjung, menurut beberapa laporan kelmarin.
Bangunan setinggi 309 meter itu mengandungi bilik tandas yang mempunyai pemandangan bandar raya London.
Tingkap besar diletakkan di dalam bilik tandas tersebut supaya para pengguna boleh menyaksikan pemandangan di ibu kota United Kingdom ini.
Menurut akhbar dalam talian, MailOnline, tandas tersebut terletak di tingkat 68 dan 69.
Bangunan berkenaan mempunyai 95 tingkat.
Ia akan dibuka kepada para pengunjung pada bulan depan.
Terdapat 10 unit apartmen di dalam bangunan tersebut yang setiap sebuah berharga £50 juta (RM243 juta).
Bangunan tersebut juga menempatkan ruang pejabat, restoran dan Hotel Shangri-La dijangka dibuka pada musim panas ini.

Buaya kawal ganja di dalam rumah

Posted: 11 Jan 2013 10:28 PM PST


GAMBAR menunjukkan buaya yang menjaga ganja seberat 15.4 kilogram di dalam bilik sebuah rumah di Lembah Castro.


ALAMEDA, Amerika Syarikat - Anggota-anggota pihak berkuasa di California Utara telah membuat penemuan yang mengejutkan dalam serbuan dadah di bilik sebuah rumah di Lembah Castro di sini pada Selasa lalu.
Mereka menemui seekor buaya sepanjang 1.53 meter yang mengawal 15.4 kilogram ganja yang bernilai AS$100,000 (RM302,000).
Buaya spesies Caiman itu diletakkan di dalam sebuah tangki untuk menjaga ganja tersebut.
Haiwan itu pada kebiasaannya ditemui di kawasan berpaya di Amerika Selatan dan Amerika Tengah.
"Pada kebiasaannya, kita akan melihat anjing digunakan untuk mengawal dadah yang disembunyikan di dalam rumah," kata seorang pegawai Pejabat Syerif Alameda, Sarjan J.D. Nelson kelmarin.
Pemilik reptilia itu, Assif Mayar telah ditangkap pada Selasa lalu dan dituduh memproses ganja untuk dijual.
Mayar, 32, tidak membuat pengakuan semasa perbicaraannya berlangsung di Mahkamah Tinggi Alameda.
Dia kini ditahan dengan ikat jamin sebanyak AS$20,000 (RM60,400).
Mayar akan dibicarakan semula pada 15 Januari ini.
Buaya itu kemudian dihantar ke sebuah zoo.

Ribut debu merah di Australia Barat

Posted: 11 Jan 2013 10:27 PM PST


RIBUT debu merah itu yang sempat dirakamkan oleh seorang pekerja kapal tunda dekat Australia Barat.


SYDNEY - Ribut debu merah berlaku di laut dekat pantai Australia Barat pada Rabu lalu.
Debu itu ditiup angin kencang dari Lautan Hindi semasa ia bergerak dekat pantai bandar Onslow, Australia Barat.
Seorang pekerja sebuah kapal tunda, Brett Martin sempat merakamkan gambar-gambar ribut debu merah itu yang bergerak 25 batu nautika dari pantai bandar tersebut.

Lelaki kudung pertama menyelam di kolam renang paling dalam

Posted: 11 Jan 2013 10:26 PM PST


GAMBAR menunjukkan Croizon memakai sirip renang. Croizon (kiri) menyelam di dalam kolam renang paling dalam di dunia di Brussels kelmarin.


BRUSSELS, Belgium - Seorang pengembara dari Perancis, Philippe Croizon menjadi manusia pertama di dunia yang kudung kaki dan tangan menyelam ke dalam sebuah kolam renang paling dalam di dunia kelmarin.
"Ini merupakan detik-detik yang amat gembira buat saya," katanya selepas dia menyelam di dalam kolam renang tersebut di sini.
Dia diiringi lebih 24 penyelam yang berusia 63 hingga 86 tahun di dalam kolam renang sedalam 33 meter itu.
Croizon yang merupakan seorang pekerja kilang besi, kehilangan semua kaki dan tangannya selepas dia terkena renjatan elektrik pada tahun 1994.
Ketika kejadian, dia cuba mengalihkan sebuah antena televisyen di atas bumbung.
Lelaki berusia 44 tahun itu menggunakan sepasang sirip renang pada kaki palsunya.
Croizon akan berenang di Tasik Titicaca.
Tasik tertinggi di dunia itu terletak di sempadan Peru dan Bolivia.

Fun fair masih di hati orang Malaysia

Posted: 11 Jan 2013 10:24 PM PST

WALAUPUN jumlah tapak fun fair hari ini tidaklah sebanyak dahulu, namun ia masih tetap dikunjungi ramai.


DARI kejauhan bunyi alunan lagu dan kerlipan cahaya lampu bagaikan menarik perhatian ramai. Semakin didekati kawasan itu, roda gergasi atau lebih dikenali ferris wheel antara yang paling jelas kelihatan dan berdiri gagah.
Sememangnya ferris wheel sejak sekian lama dan hampir di seluruh dunia menjadi identiti utama kepada sebuah tapak pesta ria atau lebih popular dengan panggilan fun fair.
Melengkapkan lagi sebuah fun fair yang bukan sahaja akan menarik kehadiran pengunjung daripada golongan kanak-kanak, bahkan orang dewasa termasuklah permainan kuda pusing, kereta langgar, rumah hantu, roller-coaster mini dan kereta api.
Tidak ketinggalan kebiasaannya fun fair di Malaysia turut mempunyai permainan berkonsepkan tikam dan menang yang menawarkan pelbagai hadiah seperti patung, beg dan rantai kunci.
Antara permainan tikam popular di fun fair termasuklah baling tin, baling dart, pancing itik, baling gelung dalam botol, bingo dan tembak peluru. Tidak cukup dengan itu, lagu-lagu rancak yang dimainkan juga menarik perhatian orang ramai untuk berkunjung ke tapak fun fair.
Itulah antara gambaran keseronokan yang terdapat di sebuah tapak fun fair.
Walaupun hari ini bilangan tapak fun fair mungkin boleh dibilang dengan jari dan beroperasi di pekan atau bandar kecil, namun hakikatnya sekitar tahun 80-an, ia satu fenomena dalam kalangan masyarakat.
Perkara itu turut diakui Zulhelmy Ahmadrafai, 31. Menurut kakitangan kerajaan itu sejak berusia lapan tahun lagi, dia sudah mengenali fun fair. Ketika itu, dia mengunjungi fun fair bersama-sama ibu bapa dan adik-beradik yang lain.
Cerita anak jati Cheras itu lagi, fun fair sudah menjadi lokasi yang wajib dikunjungi setiap kali ia dibuka di kawasan perumahannya.
Mengimbas kembali zaman kanak-kanaknya, dia tidak pernah ketinggalan mengunjungi pesta tersebut lagipun ketika itu ia satu-satunya tempat yang popular disebabkan bayaran menaiki permainan yang murah.
"Seingat saya, satu token untuk kanak-kanak berharga RM1, manakala dewasa RM2. Apabila berkunjung di situ, saya rasa ayah akan menghabiskan kira-kira RM50 kerana kesemua adik-beradik yang lain dibawa sama.
"Sebaik tiba di fun fair, kami seolah-olah rambang mata dengan permainan di situ," ujar bapa kepada dua cahaya mata itu.
Fun fair sememangnya kawasan tumpuan golongan ibu bapa mahupun remaja untuk bersuka ria, apatah lagi suatu ketika dahulu ia dimeriahkan dengan konsert artis terutamanya kumpulan rock seperti XPDC, Wings, Search, May dan Kristal.

ZULHELMY membawa isteri dan anak-anaknya untuk bermain permainan tikam menangkap itik.


Sejarah fun fair
Mengimbau asal usul fun fair, kemunculan tapak pesta itu sebenarnya telah bermula selepas berita ekspo Columbia Dunia yang bakal diadakan pada tahun 1893.
Ketika itu, pengarah ekspo berkenaan di Illinois mengeluarkan satu cabaran kepada semua jurutera di Amerika Syarikat untuk menghasilkan satu monumen yang unik dan berani.
Cabaran itu disahut George Washington Gale Ferris lalu melontarkan cadangannya untuk mereka bentuk sebuah roda gergasi yang dilengkapi dengan 36 buah gondola.
Pada mulanya, cadangannya ditolak atas faktor keselamatan kerana dikhuatiri tidak selamat sewaktu ia berputar. Namun, akhirnya selepas membuat rundingan dengan pelbagai pihak termasuk jurutera akhirnya projek itu diluluskan.
Projek yang mengambil kira-kira dua tahun dengan perbelanjaan AS$250,000 (RM759,875) itu kemudian dibuka kepada orang ramai dan mendapat sambutan ramai.
Sejak hari itu, kebanyakan jurutera di seluruh pelosok dunia telah mula mencipta roda gergasi dan pada kebiasaannya digunakan di pesta-pesta besar.
Seperti mana simbolik berputarnya ferris wheel, begitulah juga nasib dengan fun fair. Zulhelmy mengakui, fun fair dahulu dan kini sudah sedikit berbeza serta tidak sepopular dulu.
"Fun fair hari ini sememangnya telah melalui banyak transformasi misalnya kewujudan buaian dan beberapa jenis permainan baharu lain. Jumlah pengunjung ke fun fair juga tidaklah seramai dulu.
"Bayaran yang dikenakan juga agak mahal berbanding sedekad lalu. Jika dahulu RM1 kini sudah mencecah sehingga RM4 untuk satu-satu permainan," ujarnya sambil memberitahu sesekali akan tetap bersama isteri dan anak-anak ke fun fair.
Dilema pengusaha
Sementara itu, seorang pengusaha fun fair dari Ipoh yang hanya mahu dikenali sebagai Tee memberitahu, bayaran untuk satu-satu permainan terpaksa dinaikkan seiring dengan perkembangan ekonomi sekarang.
Tee menjelaskan, industri fun fair bakal pupus jika pengusaha-pengusaha berkenaan tidak mengambil langkah drastik seperti itu.

SEHINGGA hari ini fun fair masih mengekalkan rumah hantu atas permintaan pengunjung.


Berbicara lanjut mengenai industri hiburan itu, Tee yang sudah berkecimpung dalam bidang tersebut sejak 15 tahun lalu berkata, pengusaha fun fair tidaklah mengaut keuntungan yang besar seperti satu ketika dahulu.
Apatah lagi, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) hanya membenarkan pesta berkenaan beroperasi selama sebulan di satu-satu lokasi.
Dengan bayaran permit RM30 sehari serta tempoh operasi yang singkat sememangnya ia tidak memadai kerana orang ramai kini beralih kepada taman-taman tema lain yang lebih gah seperti di Genting Highlands, Sunway Lagoon dan I-City.
Begitupun, tuturnya, sewaktu fun fair diperkenalkan dahulu, memang kebanyakan rakyat Malaysia gemar mengunjungi fun fair kerana permainan yang menarik dan harganya yang murah.
"Jika dahulu, lebih 1,000 orang akan berkunjung ke fun fair dalam sehari, bahkan jumlahnya akan lebih meningkat jika ada konsert artis. Namun, kini tidak sampai 200 orang yang berminat datang ke sini," ujarnya.
Selain itu, bapa kepada dua orang anak tersebut mengakui, 10 tahun lalu dia mampu mengaut keuntungan lebih RM80,000 untuk sebulan operasi kerana permainan seperti ferris wheel, kereta langgar, roller coaster, cawan berpusing, kereta api kanak-kanak, kuda pusing dan rumah hantu sememangnya mendapat sambutan yang menggalakkan.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai kerja-kerja penyelenggaraan, Tee memberitahu, ia menelan belanja puluhan ribu ringgit kerana pihaknya tidak boleh berkompromi mengenai faktor keselamatan.
"Kerja-kerja penyelenggaraan akan dilakukan oleh jurutera yang khas menyelenggara peralatan itu kerana ia melibatkan keselamatan orang ramai. Selepas mendapat tapak untuk beroperasi, jurutera akan memastikan kesemua peralatan itu dipasang dengan baik kerana tidak mahu sebarang kemalangan berlaku," jelasnya.

PERMAINAN tembak peluru menuntut ketelitian tinggi walaupun ia nampak mudah.


Atas faktor kos yang tinggi itulah, ujar Tee kebanyakan pengusaha terpaksa berundur diri kerana tidak mampu menanggung belanja yang besar.
Di sebalik wajah lelaki yang sudah berusia itu, tampak jelas kebimbangannya terhadap masa depan industri fun fair di Malaysia. Apatah lagi, ia satu-satunya sumber rezeki Tee sejak sekian lama.
"Walaupun terpaksa mengeluarkan kos hampir puluhan ribu, saya cuma bimbang satu hari nanti fun fair tidak akan dijejak oleh generasi muda sekarang," ungkapnya.
Sementara itu, jurucakap Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) berkata, penganjur perlu memohon lesen daripada PBT dan polis sebelum boleh memulakan operasi fun fair.
Ini kerana, jika ia mahu diadakan di kawasan perumahan, pihaknya akan memaklumkan kepada penduduk di sekitar kawasan pesta.
"Jika tiada halangan daripada mana-mana pihak, barulah kami akan meluluskan permohonan penganjur," ujarnya.

Mencari keadilan untuk wanita

Posted: 11 Jan 2013 10:24 PM PST



KETIKA seluruh masyarakat dunia sedang bersiap sedia untuk melabuhkan tirai tahun 2012, kita dikejutkan dengan berita tragis dari India apabila seorang wanita 23 tahun dirogol beramai-ramai oleh lima orang lelaki dalam sebuah bas bergerak. Kepiluan hati bertambah parah apabila mangsa turut dipukul dan dihumban ke tepi jalan selepas diperkosa.
Ketua Polis Delhi, Neeraj Kumar dalam keterangannya kepada media menjelaskan mangsa dan rakan lelakinya sedang dalam perjalanan menaiki bas di Munirka, selatan Delhi.
"Rakan lelaki mangsa cuba melawan lima perogol yang menyerang mereka, tetapi dia dipukul dengan teruk. Kedua-dua mereka dihumban keluar dari bas yang sedang bergerak selepas mangsa dirogol," ujarnya.
Memburukkan lagi keadaan mangsa yang dalam keadaan kritikal tidak terus dikejarkan ke hospital oleh pihak polis, malah hanya dibiarkan ibarat seekor anjing yang jijik untuk disentuh.
"Pihak polis yang datang, bertengkar sesama sendiri selama 45 minit kerana tidak tahu mahu menghantar kami ke mana," ujar rakan lelaki mangsa ketika ditemu ramah oleh sebuah stesen televisyen tempatan.
Birokrasi polis India dalam menangani masalah rogol adalah sesuatu yang tidak mengejutkan bagi masyarakat setempat kerana mereka beranggapan jenayah rogol hanyalah kes terpencil yang tidak perlu diperbesarkan.
Segalanya berpaksi kepada adat tradisi di negara kedua populasi terbesar dunia yang mengagungkan kuasa kaum lelaki sehingga sanggup mematikan peranan ahli wanita secara mental dan lahiriah. Ia terbukti melalui penurunan ratio antara gender dengan hanya 914 perempuan untuk 1,000 lelaki pada tahun 2011.
Kenyataan itu disokong oleh Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, Krishna Tirath yang menyatakan kadar pengguguran janin perempuan yang tinggi dalam kalangan wanita India berkait rapat dengan adat mengutamakan anak lelaki.
"Ia diburukkan dengan amalan dowri dan kebimbangan keselamatan anak perempuan mereka yang berdepan dengan masalah eksploitasi penderaan," ujarnya.
Di India, identiti mangsa rogol dan keluarga tidak boleh didedahkan kepada umum bagi menjaga aib keluarga yang akan mendapat malu besar atas kesilapan yang hakikatnya bukan dilakukan oleh mangsa.

GOLONGAN wanita bangkit mempertahankan hak mereka yang selama ini tidak diendahkan.


Mangsa rogol akan terus dipersalahkan kerana tidak menjaga peribadi diri sehingga mendapat perhatian daripada kaum lelaki. Pendedahan kepada umum akan mengakibatkan masalah yang lebih besar bakal dihadapi oleh mangsa.
Sebagai contoh seorang guru spiritual India yang dikenali sebagai Asharam Bapu turut menyalahkan mangsa rogol yang berlaku pada 16 Disember lalu itu kerana tidak merayu untuk dilepaskan daripada perogol. Tambahnya, mangsa boleh terselamat jika dia melaungkan nama Tuhan dan memegang kaki mereka.
"Kesilapan tidak berlaku pada satu pihak sahaja," ujarnya yang terus mendapat kecaman hebat daripada masyarakat disebabkan kelancangannya memberikan pendapat yang tidak berperikemanusiaan.
Akibat daripada situasi-situasi sebegini, jenayah rogol terus berleluasa dengan jumlah rogol yang meningkat sehingga 875 peratus sepanjang 40 tahun. Untuk tahun 2011 sahaja sebanyak 24,206 dilaporkan.
Kes rogol di New Delhi hakikatnya, bukanlah perkara baharu di bandar raya itu yang mencatatkan jenayah rogol sebanyak 661 kes pada tahun 2012. Malah 40,000 lagi sedang menunggu untuk dibicarakan di mahkamah.
Kebangkitan rakyat
Namun, kematian anak perempuan Badri Singh Pandey itu menjadi titik tolak kepada kebangkitan rakyat yang selama ini terpendam dan diabaikan terutamanya daripada suara-suara halus golongan wanita.
Ribuan penduduk India bersatu hati keluar ke jalan-jalan raya utama, bangun memprotes ke atas ketidakadilan undang-undang yang menyelubungi negara tersebut selama ini. Ia memaksa pihak polis mengambil beberapa langkah seperti menyekat jalan menuju ke Istana Presiden dan ibu pejabat kerajaan.



Kekecohan yang berlaku membuatkan kerajaan pimpinan Manmohan Singh itu mengambil inisiatif dengan menjanjikan jaminan keselamatan yang lebih baik kepada kaum wanita.
Antaranya rondaan polis pada waktu malam, pengharaman bas dengan cermin gelap dan pemasangan langsir selain pemeriksaan kerap ke atas pemandu bas.
Dalam masa sama, kerajaan turut menunjukkan kesungguhan dengan menaja sepenuhnya pembiayaan rawatan susulan mangsa di Hospital Mount Elizabeth, Singapura. Namun, sayangnya usaha itu menemui jalan buntu apabila mangsa yang hanya dikenali sebagai Jyoti, meninggal dunia selepas dua minggu bertarung nyawa.
Menurut kenyataan Ketua Eksekutif Hospital Mount Elizabeth, Kelvin Loh, kecederaan teruk pada tubuh dan otak menyebabkan organnya gagal berfungsi. Laporan media mengatakan mangsa turut dipukul dengan sebatang besi.
Perbicaraan ke atas suspek masih dijalankan atas desakan rakyat yang mahukan kes diselesaikan dalam kadar yang segera. Pendakwa Raya, Rajiv Mohan memfailkan tuduhan merogol, memusnahkan bukti, menculik, membunuh dan tuduhan-tuduhan lain. Kelima-lima perogol telah ditahan bersama pemandu bas tersebut.
Walaupun mendapat kecaman hebat, tiga daripada pesalah diwakili oleh peguam bela, V. K. Anand dan Manohar Lal Sharma yang beranggapan mereka juga mempunyai hak untuk mendapatkan keadilan.
"Menidakkan hak pembelaan kepada pesalah membuatkan mahkamah lebih mudah menggugurkan kes satu hari nanti jika pesalah membuat rayuan," jelas Manohar.
Dibelenggu kemiskinan
Masalah kemiskinan yang membelenggu rakyat menyumbang kepada masalah jenayah di India. Walaupun negara tersebut dikatakan bakal menjadi kuasa besar ekonomi dunia melalui kepesatan pembangunan hasil daripada dasar liberalisasi ekonomi tahun 1990-an, namun kekayaan yang diperoleh tidak dibahagikan secara sama rata ke seluruh negeri. Kekayaan jutawan terus bertambah dan rakyat marhaen terus dirundum kemiskinan.

KERAJAAN Manmohan memperkenalkan gerabak kereta api khas untuk wanita bagi menjamin keselamatan kaum Hawa di India.


Hampir dua per tiga daripada jumlah penduduk India berdepan dengan masalah kemiskinan yang merangkumi 30 peratus populasi luar bandar. Ia mengakibatkan berlakunya permasalahan baharu dengan peningkatan kadar jangkitan HIV/AIDS seramai 5.7 juta orang pada tahun 2005.
Punca utama kemiskinan adalah disebabkan kekurangan aset produktif dan sumber kewangan. Kebanyakan mereka hanya bergantung hidup sebagai petani atau nelayan. Kemerosotan sumber-sumber bumi akibat pencemaran dan risiko ancaman bencana alam memudaratkan lagi kehidupan mereka. Dianggarkan 150,000 petani mati akibat masalah kemiskinan yang melampau.
Masalah korupsi yang tinggi juga menyumbang kepada kadar kemiskinan yang nyata di negara kelahiran Mahatma Gandhi itu. Imej yang teruk terus kekal untuk tahun 2012 apabila berada dalam kedudukan ke 94 daripada 176 negara melalui senarai yang dikeluarkan oleh Indeks Persepsi Rasuah (CPI).
Ia menyulitkan India untuk keluar daripada masalah kemiskinan akibat dana-dana kewangan yang sepatutnya disumbangkan untuk pembangunan negeri-negeri miskin seperti Rajasthan, Madhya Pradesh, Uttar Pradesh, Bihar, Jharkhand, Orissa dan Chhattisgarh tidak disalurkan secara telus.

Pengalaman artis di sebalik tirai besi

Posted: 11 Jan 2013 10:23 PM PST



Setiap negara memiliki undang-undangnya sendiri. Apabila telah disabitkan kesalahan, tidak kira siapa pun individu tersebut, semua pasti tidak akan terlepas daripada genggaman undang-undang termasuklah beberapa artis tempatan yang juga pernah menjadi penghuni di sebalik tirai besi.
Walaupun sememangnya tiada siapa pun dalam kalangan mereka yang mahu menjadi penghuni bilik kurungan kecil tersebut, namun kerana kesalahan yang telah dilakukan, mereka harus akur dengan hukuman yang dijatuhkan.
Ikuti pengalaman beberapa orang artis tempatan yang pernah menjadi penghuni di sebalik tirai besi atas kesalahan yang disabit dan dijatuhkan hukuman mengikut undang-undang.
Mereka termasuklah vokalis kumpulan Iklim, Saleem; penerbit filem kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman, penyanyi utama Spring, Ameng dan kes yang terbaharu, model dan pelakon Zarina Anjoulie.
1SALEEM IKLIM
Penyanyi legenda bersuara serak-serak basah, Saleem yang pada asalnya merupakan vokalis sensasi kumpulan Iklim pernah menggegarkan industri muzik tempatan pada era tahun 1990-an.
Dia kini masih lagi bergelar penyanyi tetapi secara solo.
Pemilik nama sebenar, A.M Salim Abdul Majeed suatu ketika pernah melalui detik gelap dalam hidupnya.
Oleh kerana terlalu ketagih dengan najis dadah, Saleem pernah beberapa kali menjadi penghuni di penjara dan pusat pemulihan.
Penyanyi ini juga mengakui kesilapannya memilih kawan pada masa lampau menyebabkan dia terjebak dalam kancah najis dadah.
Pada 12 Mac 2005, anak jati Kampung Permaisuri, Setiu, Terengganu ini didapati bersalah memiliki satu paket plastik yang mengandungi 0.06 gram campuran heroin dan monoacetlymorphine serta satu lagi paket plastik mengandungi 0.06 gram dadah yang serupa pada Julai 2004.
Saleem terpaksa menjalani hukuman penjara selama lapan bulan bermula 13 Disember 2004.
Dia juga diletakkan di bawah pengawasan polis selama setahun selepas dibebaskan.
Menyedari kesilapannya dan ingin berubah, Saleem akui membiarkan dirinya dikawal oleh isteri untuk kebaikan dirinya sendiri.
Walaupun dilihat seperti dikongkong, Saleem kini bahagia bersama isteri, Juriah Bachok dan anak lelaki mereka, Mohd. Amirul Mukminin yang kini telah pun berusia 9 tahun.
"Dia merupakan satu-satunya insan yang datang membantu pada saat tiada siapa di sisi.
"Saya berani katakan begitu kerana sebab dialah saya menjadi manusia semula dan tidak terus terumbang-ambing sehingga orang boleh menganggap saya seumpama sampah," tegas Saleem tentang isterinya itu.
2 AMENG SPRING
Penyanyi terkenal dari kumpulan Spring, Wan Aminuddin Wan Ismail atau lebih dikenali sebagai Ameng, kini sedang menjalani hukuman di penjara.
Sejak tahun 2005, Ameng telah terbabit dengan kes dadah yang mana dia telah beberapa kali dijatuhi hukuman penjara.
Pada Oktober 2005, Ameng mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Besut, Terengganu atas tuduhan menagih dadah jenis methamphetamine di Kampung Batang Gergaji, Besut pada 3 September tahun tersebut.

AMENG ketika ini sedang menjalani hukuman di Penjara Kluang, Johor.


Pada bulan Disember tahun yang sama, Ameng atas kesalahan yang diakuinya, dia dijatuhi hukuman denda RM3,000 atau penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret Besut, Terengganu setelah mengaku salah menagih dadah pada awal September 2005.
Sekali lagi Ameng ditahan dan dijatuhi hukuman penjara dua bulan dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas dia didapati bersalah terhadap tuduhan memasukkan ganja ke dalam badannya di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Sentul, Kuala Lumpur.
Namun, terbaharu, pada 12 April 2011, Ameng dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan 10 kali sebatan di Mahkamah Sesyen Melaka manakala isterinya, Sabariah Zakariah pula dibebaskan.
Hukuman sebatan bukanlah mudah untuk diterima. Ini kerana biar pun satu sebatan sahaja sudah memadai untuk membuatkan individu tersebut lemah.
Ameng turut mengakui perkara tersebut dengan mengatakan peritnya hukuman tersebut membuatkan dia insaf dan amat menyesal.
Sehubungan dengan itu, Ameng banyak terlibat dengan aktiviti kerohanian dan keagamaan semasa menjalani hukuman di Penjara Kluang, Johor.
Buktinya, kumpulan Voices of Prison yang diketuai olehnya, muncul johan Pertandingan Nasyid ke-6 Peringkat Penghuni Jabatan Penjara Malaysia 2012 yang berlangsung di Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan.
Dia bersama empat lagi rakan banduan berjaya menewaskan 11 kumpulan lain menerusi lagu Insafi Diri.
3 RAJA AZMI
Penerbit filem paling kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman atau lebih dikenali sebagai Raja Azmi, sering menaikkan termometer kontroversi dengan filem-filem terbitannya yang dikatakan berunsur seks dan salah satunya sudah tentu … Dalam Botol. Namun, bukan itu kisah tentang dirinya yang ingin diceritakan.
Oleh kerana gagal menghadirkan diri di mahkamah seperti mana yang diminta iaitu dengan tidak tidak menghadiri prosiding mahkamah sebanyak tiga kali, Raja Azmi telah ditahan ketika dia pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang, Selangor untuk membuat satu laporan polis.
Dia didapati mempunyai waran tangkap daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana tidak hadir perbicaraan pada 21 Julai 2010 bagi satu kes pertikaian komersial.
Dalam kes tersebut, Raja Azmi didakwa terlibat dengan satu kes tuntutan jual beli tanah beberapa tahun lalu.
Ekoran daripada itu, pada 19 Ogos tahun yang sama, Raja Azmi terpaksa bermalam di lokap Balai Polis Pandan Indah, Kuala Lumpur sehingga keesokan harinya.
Namun hakikatnya, lokap dan penjara merupakan dua perkara berbeza yang mana lokap merupakan tahanan sementara manakala penjara pula, untuk individu yang telah disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman.

SALEEM kini mengakui sudah insaf dan enggan lagi terbabit dengan najis dadah.


Walaupun hanya ditahan di lokap hanya satu malam, ia sudah cukup untuk membuatkan Raja Azmi serik.
Sementelah, kejadian yang menimpa dirinya itu berlaku pada bulan Ramadan yang mana semua umat Islam termasuk Raja Azmi sedang menjalani ibadah puasa.
Dia juga tidak segan untuk berkongsi kisah hitamnya itu dengan pihak media.
Raja Azmi malah meluahkan betapa dirinya telah mengalami trauma selepas tidur di dalam lokap yang gelap berlantaikan simen sejuk dan tiada sebarang alas.
"Ia suatu pengalaman yang amat menyedihkan," akuinya.
Dia lantas menegaskan selepas ini dirinya akan lebih berhati-hati dan tidak akan mengambil mudah terhadap undang-undang mahkamah lagi pada masa hadapan.
4 ZARINA ANJOULIE
Kes yang masih segar dan panas, iaitu membabitkan pelakon yang saban tahun pasti lekat dengan kontroversi - siapa lagi kalau bukan Zarina Anjoulie.
Mungkin pada awalnya, dia terlibat dengan kontroversi gambar bogelnya, namun terbaharu, dia masuk penjara untuk disiasat selepas dikaitkan dengan satu kes dadah.
Realitinya, ini bukan kali pertama Zarina Anjoulie Lavocah atau nama ringkasnya, Anju terlibat dengan siasatan berkaitan kes dadah.
Pada tahun 2010, pelakon yang dikenali menerusi drama bersiri Anak Pontianak ini pernah ditahan dalam satu operasi yang dijalankan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Sepang, Selangor.
Bagaimanapun, ujian air kencingnya menunjukkan dia negatif dan bebas daripada pengaruh dadah.
Setelah muncul dengan kontroversi lain khususnya percakaran dengan seorang lagi artis yang mirip wajahnya iaitu Lufya AF, dia sekali lagi ditangkap bersama teman lelakinya, Mohamad Fakhruzaim pada 30 Disember lalu atas dakwaan memiliki dua biji pil Eramin 5.
Anju mengaku tidak bersalah dan dibenarkan diikat jamin oleh ahli keluarga. Namun kegagalan ahli keluarganya untuk membayar jaminan Anju telah terpaksa dimasukkan ke Kompleks Penjara Kajang, Selangor.
Sehubungan dengan itu, pelakon ini telah direman selama tiga hari di lokap polis. Bagaimanapun, selepas tiga hari, Zarina dibebaskan dengan diikat jamin oleh adik perempuan tirinya sebanyak RM2,000.

KES Raja Azmi masuk lokap pernah menggemparkan negara pada tahun 2010.


Kes itu akan disebut semula 8 Februari nanti. Dakwaan ke atas Zarina dan rakannya dikemukakan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
"Betul saya ditahan, kena dua malam dalam penjara dan lega sekarang dibebaskan. Maaf saya tak dapat berbual panjang, telefon saya kehabisan bateri," katanya dalam nada biasa.
Ini merupakan beberapa sahaja senarai artis yang pernah melalui pengalaman di dalam penjara mahupun lokap. Apa yang pasti, sesiapa pun individu tersebut, sebesar mana pun nama mereka, jika kesalahan yang dilakukan itu berat, pasti hukuman setimpal juga menanti mereka.

Malaysia rumah kedua Lotus

Posted: 11 Jan 2013 10:22 PM PST



SEWAKTU menghadiri majlis perasmian bilik pameran sulung Lotus di Sungai Penchala, Kuala Lumpur Selasa lalu, saya tertarik dengan ucapan Penasihat Proton Holdings Bhd. (Proton), Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Antara intipatinya termasuklah Group Lotus plc. (Group Lotus) pernah menjadi beban kepada Proton. Lebih menyedihkan lagi apabila sepanjang pemilikannya dalam tempoh 15 tahun, entiti perniagaan itu gagal menjana keuntungan kepada Proton.
Mantan Perdana Menteri Malaysia juga mengesahkan Proton berdepan kesukaran untuk mengendalikan Group Lotus selepas kematian pengasas dan bekas Pengerusi DRB-HICOM Bhd. (DRB-HICOM), Tan Sri Yahaya Ahmad.
Yahaya ialah tokoh korporat bumiputera yang menjayakan pembelian syarikat jenama ikonik United Kingdom itu pada tahun 1996. Beliau meninggal dunia dalam satu kemalangan helikopter di Kuala Lipis, Pahang pada 3 Mac 1997.
Turut terkorban dalam nahas itu ialah Puan Sri Rohana Othman, 49, (isteri Yahaya) dan juruterbang Mejar (B) Azlizan Abdul Manas, 32.
Nama Proton kembali hangat pada tahun lalu ekoran bidaan empat penjuru untuk mengambil alih syarikat pengeluar kenderaan nasional itu. DRB-HICOM diumumkan sebagai pemilik baharu Proton.

SISTEM pembesar suara ditempatkan di belakang tempat duduk pemandu dan penumpang.


Ini bermakna, Group Lotus secara tidak langsung sudah berpindah tangan kepada DRB-HICOM. Konglomerat itu perlu membuat keputusan kritikal sama ada mahu menyimpan syarikat 'lesu' itu atau menjualnya semula kepada pihak yang berminat.
"Banyak tawaran diterima untuk pembelian Group Lotus sewaktu DRB-HICOM mengambil alih syarikat tersebut. Tetapi DRB-HICOM tidak mahu menjual dan hendak membuatkan Lotus kembali menjana keuntungan," kata Mahathir.
Keputusan menyimpan dan memulihkan semula jenama berkenaan memang satu cabaran yang cukup besar. Jika salah percaturan, kesannya pasti amat mendalam buat DRB-HICOM.
"Ia bukan sesuatu yang mudah. Harapan saya adalah untuk memulihkan Group Lotus dalam tempoh dua tahun. Inilah cabaran buat pengurusan kami," kata Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM dan Pengerusi Eksekutif Proton, Datuk Seri Mohd. Khamil Jamil pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran bilik pameran Lotus di Sungai Penchala.
Pusat pameran sulung

ENJIN Exige S menggunakan khidmat pengecas lampau Harrop HTV 1320.


Sebelum ini, kereta dan barangan Lotus menumpang ruang di dalam kompleks Proton Centre of Excellence di Subang Jaya, Selangor.
Maaf kata, nampak macam sebuah muzium Lotus pun ada.
Kini, Group Lotus sudah ada premis sendiri. Pembukaan pusat pameran Lotus Cars Malaysia di atas tanah seluas 10,520 meter persegi tepat pada masanya.
Premis itu terbahagi kepada tiga bangunan utama. Pertama, bilik pameran serta jualan seluas 1,060 meter persegi yang menempatkan kenderaan baharu dan terpakai.
Blok kedua ialah pusat servis Lotus. Berkeluasan 1,009 meter persegi, ia berupaya menampung sehingga 20 buah kereta pada setiap hari.
Ketiga, pusat pelanggan interaktif yang menyemarakkan gaya hidup Lotus. Ruang seluas 372 meter persegi itu juga digunakan untuk acara Lotus termasuk konvoi, perlumbaan serta tempat latihan pemanduan lanjutan dan defensif.
"Terdapat sebanyak 140 buah bilik pameran Lotus di seluruh dunia dengan 65 peratus daripadanya merupakan pusat 3S (jualan, servis dan alat ganti)," tambah Mohd. Khamil.

SUSUN atur dalam kokpit Exige S cukup ringkas dan penggunaan material aluminium ternyata mudah dilihat ketika berada dalam kabin.


Sempena pembukaan pusat pameran yang menelan belanja RM7 juta itu, Proton turut memperkenalkan dua model baharu Lotus untuk pasaran tempatan iaitu Exige S dan Elise S.
Jentera sport Exige S didatangkan dalam dua varian iaitu roadster dan coupe. Kerangka kedua-dua model itu diperbuat daripada aluminium.
Exige S dengan reka bentuk aerodinamik dilengkapi pakej kit iaitu pemisah angin bahagian hadapan, peresap dan spoiler belakang.
Kedua-dua varian mengguna pakai enjin melintang DOHC V6 dual VVT-I 3.5 liter dengan pengecas lampau Harrop HTV 1320 berserta teknologi Eaton TVS.
Kotak gear enam kelajuan transmisi manual menjadi pelengkap rangkaian kuasa tersebut. Jentera dua pintu itu berupaya mencecah kelajuan maksimum 274 kilometer sejam (km/j).
Keupayaan memberhentikan jentera disandarkan kepada sistem brek AP-Racing empat omboh yang akan mencengkam cakera brek pada keempat-empat roda.
Elise S pula dilengkapi enjin melintang DOHC empat silinder sebaris DVVT-I dengan pengecas lampau Magnuson R900 berserta teknologi Eaton TVS. Transmisi yang dipadankan adalah manual enam kelajuan.

BARISAN kenderaan Lotus kini ditempatkan dalam satu blok khas di bilik pameran berkenaan.


Model itu berupaya memecut dari titik pegun hingga 100km dalam tempoh 4.6 saat. Kuasa maksimum dapat dihamburkan adalah 217hp@6,800rpm. Tork puncak adalah 250Nm@4,600rpm.
Harga jualan varian roadster Lotus Exige S adalah RM452,030 seunit. Versi coupe pula berharga RM467,230 sebuah.
Lotus Elise S ditawarkan pada harga RM332,300 sebuah. Jaminan diberikan untuk kenderaan Lotus adalah selama tiga tahun atau jarak perbatuan 100,000km (mana-mana tiba dahulu).
Harga bagi ketiga-tiga produk baharu itu tidak termasuk insurans, cukai jalan, yuran pendaftaran, yuran pemeriksaan dan lain-lain.
Apa yang pasti, Lotus kini bukan Lotus yang lama. Jenama itu sedang melalui proses pemulihan. Hala tuju Lotus kini terletak pada kebijaksanaan Proton dan DRB-HICOM. Semoga berjaya!

Spacy lebih selesa

Posted: 11 Jan 2013 10:21 PM PST


KANAN: Spacy berwarna oren ternyata pilihan tepat bagi mereka yang mahukan kelainan.


MENEMPUH kesesakan lalu lintas dalam kawasan bandar ternyata antara situasi yang cuba dielakkan oleh ramai pengguna jalan raya. Pelbagai cara digunakan untuk lari daripada situasi berkenaan.
Ada beberapa rakan saya yang merujuk aplikasi dalam peranti mudah alih seperti Waze dan mendengar laporan trafik menerusi radio dalam kenderaan masing-masing untuk mengetahui status semasa keadaan trafik.
Ikut sahaja jalan raya atau laluan alternatif, anda tetap berhadapan dengan masalah sama. Kesesakan itu satu fenomena biasa apatah lagi dalam kawasan bandar.
Kesesakan lalu lintas bukannya masalah besar buat pemilik jentera dua roda. Manakan tidak, itulah kenderaan paling menyenangkan untuk menuju ke sesuatu destinasi.
Lebih mudah lagi, jika anda menunggang sebuah skuter. Tidak perlu bermain gear atau klac tangan. Pulas sahaja pendikit minyak, jentera sudah mula meluncur.
Baru-baru ini, Boon Siew Honda menambah skuter baharu dalam rangkaian produknya iaitu Spacy. Skuter itu dilancarkan bersama Honda PCX150 pada bulan Oktober lalu di Kuala Lumpur.

ENJIN juga boleh dihidupkan dengan menggunakan penendang kaki.


Sebut sahaja namanya, sudah pasti anda tahu apa kelebihan Spacy. Jentera kecil itu menawarkan ruang simpanan barangan yang cukup besar iaitu seluas 18 liter di bawah tempat duduk.
Spacy juga dilengkapi tangki minyak yang boleh menyimpan 5.2 liter petrol. Jadi, anda tidak perlu terlalu kerap mengunjungi stesen petrol bagi pengisian semula bahan api.
Enjin pada model itu didakwa mampu mencatat perjalanan sejauh 41.5 kilometer (km) bagi setiap liter. Data itu dipetik daripada spesifikasi yang diberikan Boon Siew Honda.
Saya peluang untuk menunggang uji Spacy baru-baru ini. Lokasi tunggangan sekitar bandar Kuala Lumpur dan Selangor.
Sistem pengoperasiannya sama seperti skuter konvensional lain. Tarik tuli brek kiri dan tekan butang penghidup enjin. Cara lain, guna sahaja penendang kaki yang disediakan.
Sewaktu tunggangan dari premis Boon Siew Honda di Kepong menuju Jalan Chan Sow Lin, pendikit minyak diperah sehingga maksimum.
Kedua-dua tapak kaki saya ternyata terasa gegaran hasil daripada enjin empat lejang bersesaran 108cc. Keupayaan kuasa kilas Spacy masih memuaskan.
Meter minyak yang penuh kemudiannya sudah menurun satu per empat setelah tunggangan antara 80 km sejam (km/j) hingga 100 km/j sejauh kira-kira 16km. Kelajuan maksimum hanyalah 100 km/j.
Spacy bukannya dibina untuk kelajuan. Jentera itu bertujuan tunggangan harian yang santai dengan keselesaan.

RUANG simpanan barangan di bawah pelana boleh memuatkan sebuah topi keledar full-face tanpa sebarang masalah.


Hamburan kuasa sememangnya sudah cukup untuk tunggangan dalam bandar. Pelananya bersaiz sederhana dan empuk pastinya satu keselesaan jika anda menunggang bagi tempoh sedikit panjang.
Meskipun seberat 99 kilogram, saya tidak berasa kekok untuk mengambil lap pada selekoh dengan kelajuan munasabah atau memotong kenderaan berat.
Kestabilan Spacy dibantu dengan padanan sistem suspensi teleskopik hadapan manakala tugas imbangan belakang ditampung penyerap hentak tunggal (pada bahagian kiri).
Tugas memberhentikan jentera diserahkan kepada set brek cakera hadapan dan jenis drum di belakang. Kedua-dua memainkan tugas dengan cemerlang.
Tiga solekan warna ditawarkan untuk Spacy iaitu hitam, merah dan putih. Jika inginkan warna oren, anda perlu bersabar sehingga bulan Mac ini.
Harga atas jalan termasuk insurans adalah sebanyak RM4,999 seunit. Jaminan diberikan selama dua tahun atau jarak perbatuan 20,000km (yang mana tiba dahulu).

Myvi Passo

Posted: 11 Jan 2013 10:20 PM PST


WAJAH hadapan ternyata kelihatan cukup kemas selepas melalui transformasi kosmetik.


DI Malaysia, kalau dalam satu hari tidak jumpa Perodua Myvi memang tak sah. Malah di negeri yang kebanyakan kenderaannya ialah trak pikap seperti Sabah, ada juga Myvi 'terselit' di tengah-tengah bandar. Di kampung jangan ceritalah. Memang Myvi yang boleh kita jumpa.
Antara faktor penyumbangnya adalah kebanyakan pelajar kolej atau universiti apabila tamat sahaja pengajian dan dapat kerja terus beli Myvi. Ditambah pula sekarang ada skim beli kereta untuk graduan, lagi senang untuk mereka memilikinya.
Myvi yang dipaparkan dalam kolum Modifikasi minggu ini bukan calang-calang. Maksud saya, untuk berada pada tahap kereta yang diubah suai sehingga begini rupa, dia punya duit sudah mengalir macam air terjun, bukan tahap air paip lagi.
Walaupun alat ganti Myvi semakin hari semakin murah terutamanya bodypart, masih ada sebilangan aksesori tetap mahal harganya. Namun, ada kalangan orang yang main kereta itu memang duitnya banyak. Jadi, setakat hendak beli barang berharga beribu-ribu ringgit bukan masalah besar untuk mereka.
Kereta itu milik seorang kawan yang enggan namanya dikenali. Dia membeli Myvi kerana hobinya mengubah suai kereta. Macam biasa, kereta itu adalah sebuah Myvi standard. Tetapi anda faham-faham sahajalah kalau duduk dalam kelompok peminat tegar model Japan Domestic Market (JDM), takkan hendak guna bodykit Bumifiber? Memang kena gelaklah.

BREK jenis Brembo Skyline GTR 4Pot digunakan bagi memberhentikan jentera ini.


Myvi itu keluaran tahun 2007. Apa yang tinggal sekarang hanyalah casisnya yang berdaftar dengan geran Perodua. Barang-barang lain semua sudah ditukar dengan bahagian Passo yang datang daripada bermacam-macam versi.
Enjin K3VET
Baiklah. Kita mulakan dengan bahagian enjin. Enjin asal kereta itu dikeluarkan dan digantikan dengan enjin K3VET. Enjin K3VET asalnya daripada Myvi seorang rakannya yang memang berada dalam keadaan sangat baik.
Kepala silindernya telah siap diganti dengan kepala silinder Alza 1.5, turbo jenis bearing dan throttle body 1.5 Vios. Aksesori enjinnya boleh tahan banyaknya iaitu blow-off HKS SSQV, bubble tank, oil catch tank Cusco, hos-hos Samco dan akhir sekali E-Manage.
E-Manage memang sangat berguna untuk tetapan enjin tidak kira sama ada enjin berkuasa atau kurang berkuasa. Ia juga digunakan untuk menjimatkan minyak atau disesuaikan dengan kualiti petrol RON95.
Kotak gear adalah daripada model Daihatsu YRV tiptronik. Ekzos digantikan oleh HKS Hi Power Super Silent. Sudahlah berkuasa, senyap pula. Disebabkan oleh kuasa tadi, pemiliknya tidaklah malu hendak memasangkan brek hadapan jenis Brembo Skyline GTR 4Pot.
Kalau main Myvi, orang takkan tanya ada berapa kuasa kuda, berapa boost dan berapa laju boleh pecut. Sebaliknya, main Myvi mesti ada gaya. Justeru, dari segi aksesori dan kosmetik, dia memilih bodypart Passo Racy TRD Sport M yang merupakan darjat tertinggi Passo sebelum tahun 2007.

LAMPU sportlight menjadikan wajah hadapan Myvi kelihatan lebih sporty.


Memang terbaik
Walaupun sudah ada versi facelift, tetapi masih ramai yang setuju bahawa bodykit itu nampak lebih sporty dengan spotlight bulat di bahagian bawahnya. Peralatan lain yang turut dipasang pada kit depan kereta ialah parking pole dan lips karbon Sport M. Panel batang yang melintang di belakang nombor plat itu rupa-rupanya jenama Modellista. Memang terbaik.
Melihat bahagian sisi kereta, anda boleh lihat cermin sisi model facelift sebab ada lampu isyarat membelok, skirting model Racy, visor Passo OEM, penutup tempat isi minyak dan banyak lagi.
Percaya atau tidak, semua cermin dan hendal krom adalah daripada Passo. Bahagian belakang menggunakan Spoiler TRD jenis karbon replika, bampar belakang Racy dan apron aftermarket untuk disesuaikan dengan bampar Racy tadi. Sekali pandang nampak macam bampar OEM dari kilang dan seperti konsep Move RS.
Rim? Ya. Apa yang membezakan Myvi biasa dengan Myvi peminat tegar JDM pastinya rim yang bagus. Tidak ada apa yang lebih bagus melainkan TE37, empat lubang dengan lebar 7.5 inci, offset depan belakang dan PCD100.

RIM TE37 menjadi pilihan tepat jika inginkan konsep modifikasi JDM.


Harganya tak usah tanyalah. Paling penting boleh dapat atau tidak. Rim itu dipadankan dengan tayar Bridgestone Adrenalin bersaiz 205/40/17. Apabila sudah guna rim 17 inci, maksudnya sangatlah Mitsubishi Pajero kalau tidak direndahkan. Kereta itu menggunakan suspensi jenis boleh laras jenama TEIN.
Bahagian dalaman sudah tentu macam-macam benda boleh pasang. Benda wajib ialah papan pemuka TRD lengkap dan meter RPM daripada model sebelum facelift. Tidak lupa kemasan pintu jenama Racy, kolum shift jenis tombol krom, tempat duduk red dot Racy, perehat tangan Passo, karpet Racy dan stereng Momo yang payah nak jumpa itu. Meter tambahan adalah jenis Defi tulen.
Kalau sudah sampai tahap seperti ini, ia boleh dikatakan sebagai sebuah Myvi Passo yang lengkap. Cakap banyak tak guna, kalau kena terserempak dengan orang kaya silap-silap boleh dapat harga luar biasa.

Gold Wing, CB500F, CB500X dan CBR500R!

Posted: 11 Jan 2013 10:20 PM PST


TONA merah hitam menjadikan jentera jelajah mewah Honda Gold Wing F6B kelihatan lebih garang.


DUA tahun kebelakangan ini, industri motosikal berkuasa tinggi tempatan semakin meriah. Ledakannya bermula dengan penjualan Kawasaki ER-6 dan Ninja 250 yang masing-masing ditawarkan pada harga kompetitif iaitu sekitar RM30,000 dan RM18,000 seunit.
Susulan itu, beberapa model motosikal yang sebelum ini tidak terjangkau oleh kebanyakan rakyat dipasarkan dengan strategi harga lebih masuk akal.
Harga-harga tersebut boleh ditawarkan kerana ia dipasang di negara Asean dengan duti cukai yang lebih rendah selain kemudahan pinjaman peribadi.
Pada tahun 2013, pasaran motosikal berkuasa tinggi dijangka semakin meriah. Jika 2012 boleh dianggap sebagai tahun Kawasaki, maka pada tahun ini pengeluar jenama lain akan memberi saingan lebih sengit.
Honda misalnya telah mengumumkan sejumlah model baharu antaranya Gold Wing F6B, CB500F, CB500X dan CBR500R.
Honda Gold Wing F6B
Siapa yang tidak kenal dengan Honda Gold Wing? Sama ada untuk menjelajah antara negeri atau merentas dunia, motosikal ini mempunyai pelbagai ciri-ciri sokongan yang diperlukan.
Enjin yang menguasakannya bersesaran 1,832cc enam silinder didatangkan bersama teknologi suntikan bahan api.
Enjin tersebut adalah satu keunikan Honda. Bentangan silindernya melintang dan berdepan, sekali gus merendahkan titik gravitinya. Reka bentuk tersebut dengan rangka aluminium dan sistem suspensi yang sofistikated membolehkan Gold Wing F6B mudah ditunggangi.
Bahagian motosikal berwarna hitam dengan garisan panjang dan rendah memberi imej agresif. Beg tepi besar, pelana gayaan penembak dan sistem audio premium menambah nilai kepada motosikal itu.
Honda Gold Wing F6B didatangkan dalam dua varian iaitu standard dan deluxe dengan dua warna iaitu merah atau hitam. Pembeli juga boleh memilih pelbagai aksesori yang ditawarkan Honda. Harganya bermula AS$19,999 (RM60,856) untuk model standard dan AS$20,999 (RM63,899) bagi model deluxe.
Honda CBR500R

CBR500R ditawarkan kepada mereka yang ingin naik taraf motosikal bersesaran 250cc.


Jika diikutkan, permintaan motosikal mewah seperti Gold Wing tidaklah sebanyak mana di tempat kita. Pasaran lebih tertumpu kepada kategori motosikal sport seperti Honda CBR500R.
Dengan pengenalan model itu, dakwa Honda, mereka telah mendefinisikan semula motosikal kelas pertengahan. Selain menambah keterujaan penunggang yang mencari motosikal yang menyeronokkan dengan nilai tinggi.
Motosikal itu dibangunkan untuk mereka yang mahu menaik taraf daripada model asas seperti CBR250R.
Motosikal itu dikuasakan oleh enjin suntikan bahan api 500cc parallel-twin DOHC. Fairing CBR500R diinspirasikan daripada dua model Honda iaitu CBR600RR dan CBR1000RR.
Badan yang aerodinamik pada motosikal itu membolehkan aliran udara diurus dengan berkesan untuk tunggangan lebih selesa.
Kerangka dengan suspensi belakang tunggal Pro-Link (R), fork 41 milimeter (mm), rim 17 inci, brek cakera pada roda hadapan berukuran 320mm dan brek cakera roda belakang (240mm) pula menyempurnakan pakej yang ditawarkan Honda. Honda CBR500R standard ditawarkan pada harga sekitar AS$5,999 (RM18,254) dan AS$6,499 (RM19,786) untuk model ABS.
Honda CB500F
Model motosikal naked CB500F jika kena pada harga mampu memberi saingan sengit kepada Kawasaki ER6N. Ia bukan sahaja membawa imej bergaya, malah prestasi dan versaliti sama ada untuk kegunaan harian atau pun bersiar-siar.



Profailnya yang langsing dan posisi duduk yang neutral membolehkan penunggang berasa selesa. Sementara suspensi Pro-Link Honda dan fork bersaiz 41mm menyumbang kepada tunggangan selesa dan pengendalian yang lincah.
Opsyen warna untuk model standard ialah hitam atau putih mutiara, manakala warna tunggal untuk model ABS ialah hitam. Model standard ditawarkan pada harga AS$5,499 (RM16,744) dan model ABS berharga AS$5,999 (RM18,254).
Honda CB500X
Model itu pula dilihat mampu memberi saingan kepada Kawasaki Versys. Dakwa Honda, model itu bukan sahaja sekadar menawarkan tunggangan yang bagus, malah mempunyai pelbagai ciri-ciri yang versatil.
Ketinggian cermin depan boleh dilaras, manakala tangki minyak dengan kapasiti besar direka untuk posisi tunggangan tanpa rintangan. Hendal lebar pula membantu penunggang untuk input yang lebih mudah.
Pembeli turut ditawarkan pelbagai aksesori tulen Honda untuk sentuhan peribadi pada motosikal tersebut. CB500X untuk mengembara mahupun tunggangan harian. Warna yang ditawarkan ialah hitam Metalik Matte untuk model standard dan ABS. Harganya akan diumumkan kelak.

Teknologi canggih Ford Kuga

Posted: 11 Jan 2013 10:19 PM PST


MODEL Kuga kini menjadi taruhan Ford di Eropah.


FORD Kuga dilihat bakal mengetepikan mitos bahawa sebuah SUV tidak boleh bersifat hijau, berteknologi canggih dan memiliki kemampuan tinggi pada satu masa.
Jentera itu menjadi sebahagian daripada strategi Ford untuk meluaskan penguasaan dalam pasaran SUV di Eropah yang pesat berkembang.
Justeru, Ford Kuga dibekalkan dengan barisan ciri dan teknologi terbaik seperti sistem pacuan semua roda pintar Ford, Curve Control, enjin EcoBoost, Ford SYNC dan Emergency Assist.
"Pengguna di Eropah benar-benar dapat menerima Ford Kuga terbaharu dengan hati terbuka. Ford Kuga mengekalkan karismanya bersama tambahan pelbagai teknologi, ciri terkini dan kemampuan lebih baik," kata Naib Presiden Pembangunan Produk Ford, Barb Samardzich.
Ford meletakkan sasaran untuk menjual lebih sejuta unit SUV di Eropah dalam tempoh enam tahun akan datang. Jumlah itu merangkumi 10 peratus volum keseluruhan Ford menjelang 2016.

Pasaran terus dibanjiri produk baharu

Posted: 11 Jan 2013 10:18 PM PST

MODEL kompak V40 dilihat mampu menjadi agen pengubah yang signifikan untuk jenama Volvo di Malaysia.


RASANYA masih belum terlambat untuk saya mengucapkan selamat tahun baharu kepada pembaca setia Garaj! Tahun 2012 telah berlalu dengan beberapa sejarah penting telah tercatat dan bakal memberi kesan kepada industri automotif tempatan pada masa akan datang.
Peristiwa paling signifkan yang berlaku pada 2012 pastinya pengambilalihan Proton oleh DRB Hicom. Selain pembelian enjin buatan Petronas bernilai lebih RM60 juta, juga melibatkan pengeluar kereta nasional, Proton.
Tahun lepas turut menyaksikan banyak model menarik diperkenalkan dan mendapat sambutan hangat daripada pengguna tempatan. Biarpun orang ramai dikatakan mengambil pendekatan tunggu dan lihat berikutan pilihan raya umum bakal diadakan tidak lama lagi.
Apa yang pasti, 2013 dijangka lebih meriah dengan kehadiran banyak model baharu yang ditunggu-tunggu ramai. Minggu ini, Garaj! mengumpulkan beberapa model yang bakal diperkenalkan dan harus anda tunggu!

MAZDA6 dikatakan bakal dilancarkan oleh Bermaz Motor pada bulan Februari.


Honda
Honda akan mengujakan pasaran menerusi sekurang-kurangnya tiga model menarik pada tahun ini. Diramal menemui pengguna seawal suku pertama, anda pasti tidak sabar untuk melihat atau memiliki model-model seperti SUV popular Honda, CR-V, hibrid kompak dua pintu yang cukup sporty, CR-Z dan sedan segmen D, Accord.
CR-V generasi keempat itu akan menggantikan model sedia ada yang sudah begitu lama di pasaran. Memiliki kualiti pengendalian mengagumkan, penggunaan minyak yang jimat dan rekaan luaran sporty, maka tidak hairanlah CR-Z terus mengumpul peminatnya di Malaysia. Model naik taraf CR-Z dikatakan lebih berkuasa, selain menerima banyak penambahan lain.
Sedan segmen B bukan nasional paling popular, Toyota Vios akan tampil dengan model serba baharu. Selain Vios, UMW Toyota juga dijangka memperkenalkan model Altis dan sedan mewah Lexus IS250.
Setelah sukses dengan model SUV CX-5, Mazda menerusi pengedarnya Bermaz Motor Sdn. Bhd. akan meneruskan kesinambungan teknologi SKYACTIV menerusi model sedan segmen D, Mazda6.
Bakal menemui peminat Mazda tidak lama lagi, Mazda6 hadir dengan pelbagai teknologi terbaik SKYACTIV. Misalnya, sistem i-ELOOP yang berfungsi menjimatkan penggunaan bahan api.
Edaran Tan Chong Motor (ETCM) pula dijangka membawa masuk kenderaan elektriknya (EV), Nissan LEAF. Sudah pun menjalankan program perintis pada tahun lalu, ETCM nampaknya sudah bersedia untuk menawarkan EV kepada rakyat Malaysia. Bukan setakat LEAF sahaja, tunggu juga beberapa model-model lain yang akan ditambah baik terutama Sylphy.
Sebaik sahaja 'gambar risikan' model itu tersiar di Internet, maklum balas yang diterima begitu hebat. Proton dikatakan bakal mengetengahkan varian hatchback yang dibina berasaskan kepada sedan Preve. Adakah ia akan dipasang dengan enjin Petronas? Sama-sama kita nantikan.
LEXUS IS250 mahu mencabar monopoli BMW 3 Series dan Mercedes-Benz C-Class.


Jenama dari Korea iaitu Kia dan Hyundai tidak kurang hebatnya. Kia didakwa akan memasarkan model kompak Rio tidak lama lagi. Jauh berbeza dengan model terdahulu, Rio baharu nyata menawan hasil rekaan pasukan reka bentuk Kia yang diketuai oleh Presiden baharu Kia Motors, Peter Schreyer.
Memandangkan sekumpulan media tempatan telah dijemput untuk memandu uji Forte di Dubai (Kosmo! tidak tersenarai), tidak mustahil model baharu Forte akan menjadi sebahagian daripada tawaran Kia untuk tahun ini.
RENAULT Clio yang menawan kalbu.


Hyundai yang baru sahaja memperkenalkan model coupe tiga pintunya, Veloster mungkin akan menawarkan SUV Santa Fe kepada pengguna di Malaysia. Bagaimanapun, varian enjinnya masih tidak dapat dipastikan.
Volkswagen meneruskan pendekatan agresif melalui beberapa model menarik pada 2013. Antara model yang menjadi sebutan ialah hatchback Golf MKVII dan trak pikap Amarok.
Peminat kereta berprestasi tinggi pasti tidak kecewa dengan tawaran daripada Renault.
Nantikan sahaja kemunculan Clio generasi keempat dan Megane 265. Lepas ini, aktiviti pemilik jentera Renault di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mesti lebih meriah dengan peserta yang bertambah ramai.
2012 merupakan tahun yang agak senyap untuk Volvo. Diharapkan dengan pengenalan model V40 akan memberi sedikit kerancakan kepada pengeluar dari Sweden itu.
Ini hanyalah sebahagian daripada model-model baharu yang mungkin diperkenalkan pada tahun 2013. Pastinya akan ada penambahan atau pengurangan daripada senarai ringkas yang saya sediakan ini. Apa yang jelas, 2013 ialah tahun yang meriah buat industri automotif tempatan.
Bagi anda yang merancang untuk membeli kereta baharu, saya ucapkan selamat memilih!

Warga emas gagahi pendakian

Posted: 11 Jan 2013 10:17 PM PST

SALLEH (tengah) mengabdikan kenangan mendaki Gunung Everest bersama anggota rombongan lain.


BEKAS Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, Tan Sri Dr. Salleh Mohd. Nor, 72, bukan calang-calang orang.
Beliau yang juga Pro-Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) merupakan warga tertua yang pernah sampai Kem Pangkalan Everest (EBC), di gunung tertinggi dunia itu.
Pendakian selama sembilan hari bersama dua petugas dan lima siswazah UTM pada 2 November lalu bermula di Kathmandu, ibu kota Tibet yang disifatkannya sebagai suatu ujian ketahanan. Berikut ialah catatan perjalanan beliau:
Langkah pertama
Selepas membuat persiapan dan membeli peralatan mendaki, kami meninggalkan Kathmandu pada dua hari selepas itu menaiki pesawat 18 tempat duduk, Dornier 228-200, milik Tara Airlines. Penerbangan selama setengah jam itu menuju Lukla.
Jika bernasib baik, cari tempat duduk di sebelah kiri pesawat kerana anda akan menyaksikan pemandangan indah banjaran gunung Himalaya yang diselaputi salji serta Gunung Everest. Pemandangan itu sungguh menakjubkan.
Kami mendarat di lapangan terbang Lukla yang mempunyai landasan yang cerun dan sempit., malah kerana itu ia dianggap sebagai lapangan terbang paling bahaya di dunia.
Semasa tiba di Lukla, kami berjumpa dengan jurupandu Sherpa yang akan membawa kami ke EBC. Dari situ, kami mula berjalan - pengembaraan berjalan kaki yang terpanjang dalam hidup saya.
Dari Lukla, kami menuju ke utara. Di sepanjang laluan batu-batuan yang sempit, jelas kelihatan ia merupakan laluan yang kerap digunakan pendaki. Laluan itu tidak rata, berbatu-batan tetapi sesak dengan pendaki dari kedua-dua arah.
Sekumpulan yak berbulu hitam yang sarat membawa pelbagai bagasi, daripada peralatan pendaki hinggalah tong gas, makanan dan minuman juga boleh disaksikan.
Jeritan penggembala Sherpa yang cuba meyakinkan kumpulan yaknya, memecah kesunyian petang itu.

BERAMAH mesra dengan pelajar Sekolah Tinggi Khumjung selepas menyampaikan sumbangan panel solar dan buku di sekolah berkenaan.


Selepas pendakian selama enam jam setengah, kami sampai di Phakding pada pukul 7.50 malam. Kami bermalam di Buddha Lodge Restaurant and Bar.
Awal pagi esoknya, kami memulakan pendakian lagi. Kami melepasi banyak kumpulan yak sambil menyaksikan keindahan hutan pain pinus patula. Ketika berhenti, kami tidak melepaskan peluang untuk minum dan makan sedikit coklat bagi mengembalikan tenaga.
Selepas makan tengah hari di rumah persinggahan Mount Kailash Lodge, Monzu, kami bergerak semula memasuki Taman Negara Sagamartha yang berada pada ketinggian 2,865 meter atas paras laut.
Di pusat pemeriksaan tentera, kami melihat papan tanda 'No Photography' (dilarang mengambil gambar) yang jelas terpampang. Di situ, dua askar Gurkha berwajah tegas menyambut kedatangan kami.
Sejuk ekstrem
Dari pusat pemeriksaan itu, perjalanan kami setiap hari memakan masa selama enam hingga tujuh jam dengan menjejaki trek sempit berbatu dan berdebu.
Kami melepasi Somare, Dingboche Khumbu Resort, Champa, Thukle, dan akhirnya sampai di Gorak Shep (5,180 meter) pada 11 November. Hari-hari yang dilalui amat sejuk dengan suhu sekitar 5 hingga 10 darjah Celsius sementara suhu pada waktu malam turun 11 darjah Celcius di bawah paras beku.
Saya sudah mula hilang selera makan dan terasa mual serta hendak muntah setiap pagi. Saya memilih makan epal hijau dan garam. Pada pukul 7.25 pagi keesokannya, kami berlepas untuk penerokaan peringkat akhir ke EBC. Saya masih tidak mempunyai selera makan tetapi jurupandu Sherpa mendesak supaya saya menghabiskan semangkuk bubur untuk memberi tenaga.
Suhu ketika itu adalah 4 darjah Celsius dan jari-jari saya terasa kebas dan membeku. Sherpa kami terpaksa mengurut jari-jari itu untuk memastikan darah mengalir. Ia merupakan pendakian cerun berbatu yang curam dan saya sangat berterima kasih kepada jurupandu Sherpa dan Penolong Pendaftar UTM, Sabri Ahmad, yang kedua-duanya membantu dan memberi galakan sehingga kami akhirnya sampai ke EBC pada pukul 10.50 pagi.
Ketinggian ketika itu ialah 5,364 meter. Ia cukup melegakan dan saya menangis teresak-esak kerana bersyukur atas kejayaan tersebut selain teringat kepada semua yang mendoakan keselamatan saya.
Ia satu kejayaan kecil tetapi sukar dicapai. Untuk rekod, pada usia 72 tahun, saya menjadi warga Malaysia tertua sampai ke EBC, yang disahkan kemudian oleh Kedutaan Malaysia di Kathmandu.

PARA pendaki berhenti rehat bagi melepaskan lelah sebelum meneruskan pendakian.


Cuaca memang sejuk dengan glasier di sekeliling kami. Saya dipujuk untuk mencuba crampon (kasut dengan tapak berpasak) dan menggayakannya untuk bergambar di tubir curam berais.
Setiap pendakian ke puncak Everest mesti melalui EBC dan pasukan sokongan untuk mendaki yang berpangkalan di pusat tersebut. Ia mengambil masa sekurang-kurangnya dua bulan untuk mendaki ke puncak Everest (8,848 meter) dan pendaki mesti menyesuaikan diri dengan iklim di setiap beberapa ratus meter untuk keselamatan mereka.
Selepas merakamkan kejayaan kami dengan bergambar, kami meninggalkan EBC pada pukul 12.50 tengah hari dan perlahan-lahan berjalan turun melepasi semua rumah persinggahan yang kami lalui sebelum itu.
Hidung saya mula berdarah dan masih menghadapi masalah dengan selera makan saya. Kami akhirnya sampai di Lukla pada 18 November dan saya memilih makan nasi goreng sayur dan cili hijau mentah.
Sajian dan mandian panas
Kami akhirnya dapat menempah penerbangan keluar dari Kathmandu sebelum bermalam di Hotel Holy Malaya. Kami berkumpul di Restoran Halal Anatalya. Buat pertama kali selepas 18 hari, kami menikmati hidangan yang lengkap iaitu nasi beriani dan ayam tandoori. Ini diikuti dengan mandi pancuran air panas yang menyegarkan badan.
Fadli Adilah, Konsul Malaysia di Kathmandu meraikan kami dengan jamuan makan malam di sebuah restoran berkonsep taman iaitu The Garden of Dreams. Inilah pelengkap kepada keseluruhan pengembaraan itu.
Pengalaman tersebut merupakan sesuatu yang sukar dilupakan. Ia tuntas, memenatkan tapi sungguh memuaskan. Kaki saya masih terasa beban 18 hari mendaki secara berterusan. Berat badan saya susut sebanyak lapan kilogram tetapi kenangan mendaki itu akan terus segar dalam ingatan saya.
Saya gembira kerana sihat sepanjang pengembaraan cuma saya jatuh sakit apabila kembali ke rumah. Serangan demam dan selesema menyebabkan saya terpaksa berjumpa doktor sebanyak dua kali.
Atas kejayaan itu, saya ingin merakamkan penghargaan tulus ikhlas kepada Lembaga Amanah UTM atas kebenaran dan sokongan terhadap lawatan tersebut termasuk Naib Canselornya, Prof. Datuk Ir. Dr. Zaini Ujang.

BEGINILAH rupa penginapan di EBC yang dilatari pemandangan yang mengasyikkan.


Tidak lupa kepada Sabri dan Siti Salamah, Penolong Pendaftar Kanan, UTM kerana menemani saya dan memberi galakan sepanjang pengembaraan tersebut.
Begitu juga kepada jurupandu Sherpa, Deep (Hasta) Bahadur Tharpa Magar, Pasang Nuru Sherpa dan Da Nurbu Sherpa atas bantuan mereka membuatkan impian itu menjadi nyata.
Ia benar-benar satu ujian ketahanan bagi saya dan saya bersyukur kerana lulus.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan