RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Lanza si pembunuh hidap kecelaruan personaliti

Posted: 20 Dec 2012 11:49 PM PST



SUASANA tenang di Sekolah Rendah Sandy Hook, Connecticut, Amerika Syarikat pada pagi Jumaat itu tidak banyak bezanya berbanding hari-hari lain. Segala-galanya berjalan seperti biasa. Kelihatan para guru sibuk mengajar di dalam kelas masing-masing , sementara sesekali kedengaran gema suara para pelajar yang mengikut arahan guru.
Ketika itu jam menunjukkan pukul 9.30 pagi. Seorang pelajar yang dikenali dengan nama Bear membantu gurunya mengambil kedatangan pelajar-pelajar lain sebelum diserahkan ke pejabat guru besar.
Namun, ketenangan di sekolah tersebut tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi tembakan yang bertalu-talu. Seorang lelaki lengkap bersenjata api menyerbu ke kawasan sekolah dalam keadaan muka yang ganas dan marah.
Tanpa mempedulikan siapa mangsanya, Adam Lanza, 20, menuju ke sebuah kelas yang menempatkan 15 murid dan mula melakukan tembakan rambang.
Dalam kelas tersebut, cuma seorang kanak-kanak perempuan yang terselamat manakala 14 yang lain maut. Kanak-kanak itu bertindak bijak apabila dia berpura-pura mati. Bagaimanapun, bahagian kepala hingga kakinya dipenuhi dengan percikan darah.
Namun, Bear bersama beberapa rakannya yang menuju ke pejabat guru besar bernasib baik apabila ditarik seorang guru ke dalam sebuah kelas dan pintunya dikunci rapat.
"Ibu, saya okey tetapi semua rakan sekelas saya mati ditembak," kata kanak-kanak itu dalam nada cemas apabila bertemu ibunya. Perkara tersebut didedahkan seorang lelaki tempatan, Jim Solomon kepada ABC News.
Solomon memberitahu, kanak-kanak itu nampak suspek dalam keadaan yang sangat bengis dan seperti orang dirasuk.
Selepas membunuh 14 pelajar tersebut, Lanza memasuki kelas Victoria Soto dan membunuh guru berusia 27 tahun itu. Guru tersebut sempat menyorokkan anak muridnya di dalam almari tetapi dalam keadaan kelam-kabut, enam muridnya telah keluar lalu ditembak mati oleh suspek.
Lanza juga pergi ke sebuah kelas lain tetapi ia terkunci rapi dari dalam. Dia menjerit. "Beri saya masuk, beri saya masuk!" imbas Nicholas Sabillon, 9, kepada AFP.
Dalam pada itu apabila mendengar bunyi tembakan pertama, guru muzik, Maryrose Kristopik mengarahkan Sabillon dan murid lain masuk ke dalam almari besar dan mengunci pintu. Suasana menjadi sepi.
Bunuh diri
"Kami semua sangat takut, kami berdoa. Cik Kristopik memberikan kami gula-gula. Kami fikir, ia merupakan gula-gula terakhir kami," kata Sabillon lagi.
Lanza kemudiannya meninggalkan kelas berkenaan. Tidak lama selepas itu dia menembak dirinya sebelum polis sampai ke sekolah berkenaan.
Tragedi menyayat hati yang mengakibatkan kematian 20 kanak-kanak dan enam dewasa termasuk guru besar sekolah tersebut, Dawn Lafferty Hochsprun mencatatkan satu lagi sejarah hitam di AS. Ia membabitkan mangsa berumur lima hingga 10 tahun dalam dua kelas berbeza.
Sebelum itu, Lanza melepaskan empat das tembakan yang membunuh ibunya di rumah mereka di Newtown sebelum melakukan serangan di sekolah berkenaan dan kemudian membunuh diri. Jarak rumah Lanza dengan sekolah terbabit hanyalah 10 minit dengan memandu.

MANGSA-MANGSA yang terbunuh dalam tragedi di Sekolah Rendah Sandy Hook Jumaat lalu.


Menurut laporan The Times, Lanza merupakan seorang pelajar pintar tetapi pendiam. Dia didakwa mengalami gangguan personaliti tetapi tidak mempunyai rekod jenayah.
Saudara-mara dan bekas rakan sekelas Lanza turut mengakui suspek seorang yang bijak. "Dia seorang yang gila komputer," kata ibu saudaranya, Marsha Lanza.
Karakter Lanza
Bekas rakan sekelasnya, Alex Israel memberitahu, Lanza seorang pelajar pintar, peribadinya juga sangat berbeza dengan rakan-rakan lain, pendiam dan perahsia.
Sebaliknya, jiran-jirannya pula menggambarkan Lanza seorang yang bermasalah. Jirannya, Tim Dalton berkata, dia bersikap pelik sejak umurnya lima tahun tetapi bekas rakan sekelasnya tidak terkejut dengan kelakuan ganas Lanza.
Richard Novia, ketua sekuriti dan penasihat kelab teknologi sekolah berkenaan yang bertugas sehingga tahun 2008 berkata, Lanza memang mempunyai beberapa kelemahan yang ketara.
"Jika dirinya terbakar, Lanza tidak akan perasan atau terasa sakit secara fizikal. Jadi, saya perlu menumpukan perhatian kepadanya," kata Novia.
Bahkan, Novia pernah menganjurkan perjumpaan antara ibunya , Nancy Lanza, 52, bersama guru kaunseling dan pihak pentadbiran sekolah bagi mencari penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi anaknya itu. Bagaimanapun, beberapa siri krisis yang dihadapi Lanza hanya boleh diselesaikan ibunya.
Rakan Nancy yang enggan dikenali memberitahu, Lanza didakwa pernah bertindak membakar dirinya tahun lalu dan mengakibatkan beberapa bahagian tubuhnya melecur tetapi dia tidak berasa sakit.
Tambah wanita berkenaan, Nancy pernah menyuarakan kebimbangan apabila kesihatan mental anaknya itu semakin teruk dan sukar didekati.
Timbalan Pengarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Jas Laile Jaafar berkata, tragedi seumpama itu bukanlah kali pertama berlaku di Amerika Syarikat dan ia menunjukkan suspek mengalami masalah psikologi.
Dalam tragedi di Virginia Polytechnic Institute and State University (Virginia Tech) di Blacksburg, Virginia pada 16 April 2007, seorang pelajar, Seung-Hui Cho menembak mati 32 orang dengan ramai mangsa cedera. Dia kemudian membunuh diri.

LANZA sebenarnya seorang pelajar pintar.


Jas Laile yang juga pakar psikologi menambah, suspek mengalami kemurungan, tekanan diri dan gagal menyesuaikan diri dengan persekitaran di sekolah berkenaan.
Alami kemurungan
"Semua orang ada masalah namun lelaki berkenaan cacat dari segi psikologi. Dia tidak tahu cara-cara berinteraksi dengan orang, tidak dapat kasih sayang secukupnya atau sokongan moral daripada keluarga.
"Akibatnya, dia mengalami kemurungan, menjadi tidak normal dan akhirnya mengamuk," katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Satu sumber memberitahu Connecticut Post, ibu bapa Lanza memberitahu anak mereka menghidap sindrom Asperger tetapi tidak pasti sama ada dia pernah didiagnosis.
Menurut Dr. Gabriella Rosen Kellerman dan kolumnis majalah The Atlantic, penyakit autisme dan Asperger mempunyai hubung kait dengan kesukaran berkomunikasi, menjalin hubungan dan perasaan simpati kepada orang lain.
"Antara jenis-jenis kecelaruan personaliti ialah antisosial yang boleh menjurus kepada perbuatan ganas," jelasnya.
Sindrom Asperger berkembang sejak zaman kanak-kanak dan muncul pada peringkat dewasa. Ia menjejaskan persepsi dan cara seseorang berfikir.
ABC News pula melaporkan abang suspek, Ryan, 24, sebagai berkata, adiknya itu menghadapi masalah pemikiran autistik atau sindrom Asperger dan kecelaruan personaliti.
The Telegraph melaporkan, empat tahun lalu ibu bapa Lanza bercerai setelah 28 tahun mendirikan rumah tangga. Keruntuhan rumah tangga pasangan itu menyebabkan anak-anaknya trauma terutama Lanza. Ketika itu, Ryan berada di kolej manakala Lanza yang empat tahun lebih muda tinggal bersama ibunya di sebuah rumah empat bilik. Bapanya memberi nafkah tahunan sebanyak AS$250,000 (RM800,000).
Bapa Lanza, Peter, bekerja sebagai pengarah cukai dan timbalan presiden cukai di GE Energy Financial Services, di bandar raya New York.
Lanza dan ibunya Nancy tinggal di sebuah rumah berwarna putih di Newtown, Connecticut bernilai AS$1.5 juta (RM4.8 juta) yang dikelilingi kehijauan. Rumah dengan seni bina kolonial itu mempunyai empat bilik tidur dan tiga buah tandas terletak di dalam kawasan seluas 0.8 hektar.

Norzalehawaty lakukan tugas sama seperti lelaki

Posted: 20 Dec 2012 11:48 PM PST



JIKA dilihat secara rawak, kerjaya sebagai penghantar surat dan bungkusan yang biasa dipanggil despatch di negara ini dimonopoli kaum Adam. Fitrah tugas yang menuntut kepantasan, kecekapan dan ketelitian tindakan itu dirasakan sesuai untuk golongan lelaki.
Istilah Mat Despatch yang menjurus kepada pekerja lelaki juga seperti sudah sebati dalam kalangan pekerja di syarikat-syarikat yang menggunakan perkhidmatan tersebut.
Begitupun, ia bukan bermakna pintu kerjaya itu tertutup buat kaum Hawa. Bukan calang-calang wanita yang sanggup mengerah kudrat mereka bekerja sebagai despatch memandangkan mereka terpaksa bekerja di bawah panas matahari untuk menghantar surat dan bungkusan.
Namun demikian, lain pula bagi Norzalehawaty Kosni, 26, yang berani menyahut cabaran demi mencari rezeki sejak enam tahun yang lalu.
Tidak melihatnya sebagai cabaran yang sukar untuk dihadapi, Norzalehawaty yang lebih mesra dengan panggilan Uda nekad untuk menjadi lebih cekal dan tidak mengenal erti putus asa.
Menurutnya, tidak kira apa jenis pekerjaan ia perlu dilakukan dengan ikhlas dan jujur selain perlu ada minat dan kesungguhan.
Ketika diajak bersembang mengenai pembabitannya dalam pekerjaan itu, Uda tersenyum panjang dan tidak menyangka akan terjun dalam bidang itu memandangkan sebelum ini dia bekerja di kedai makan dan kilang.
Cerita anak jati Klang itu lagi, pada usia 12 tahun dia telah mula bekerja di sebuah kedai makan lantaran kehilangan peluang dan minat untuk meneruskan pelajaran.
Selepas hampir lima tahun bekerja sebagai pelayan di restoran sekitar Lembah Klang dan Shah Alam, akhirnya anak keempat daripada enam beradik itu membuat keputusan untuk bekerja di kilang bagi meningkatkan sumber pendapatannya.
Walau bagaimanapun, Uda hanya sempat bekerja selama setahun kerana terlibat dalam kemalangan motosikal. Sebaik sembuh, dia tidak pernah berhenti mencari pekerjaan.
Segala jawatan kosong yang disiarkan dalam surat khabar mahupun risalah, dia tidak pernah terlepas untuk memohon pekerjaan namun nasib tidak menyebelahinya.
Melihatkan tiada perkembangan dari mana-mana syarikat untuk mengambilnya bekerja, usaha Uda tidak terhenti setakat itu sahaja sehingga dia sanggup memohon pekerjaan sebagai despatch di TNT Express Worldwide di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor.
Tidak sampai seminggu, Uda menerima panggilan telefon daripada syarikat TNT untuk menghadiri sesi temu duga.
"Bersyukur rezeki berpihak kepada saya kerana diterima bekerja. Secara jujur, saya begitu mengharapkan pekerjaan itu kerana enggan duduk di rumah tanpa melakukan sebarang pekerjaan selain dapat membantu ayah untuk menyara keluarga," katanya sambil memberitahu dia ditawarkan gaji pokok sebanyak RM800.
Bermula dari bawah
Buat permulaan, Uda diberikan tugas di bahagian penghantaran yang dikenali sebagai Ground Service Ambassador (GSA).

WALAUPUN melibatkan diri dengan kerja-kerja yang memerlukan tenaga seperti lelaki namun Norzalehawaty membuktikan dia mampu melakukannya.


Skop tugasnya merangkumi pengagihan surat dan bungkusan untuk dihantar kepada pelanggan.
Uda perlu memulakan kerja-kerja itu dari pukul 8 pagi hingga 7 malam. Namun, dalam tempoh masa itu terdapat dua syif tugas bagi pekerja despatch iaitu bermula pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari dan sesi petang pula bermula pukul 2 petang hingga 7 malam.
Dalam pada itu, segala surat yang mahu dihantar perlu diselesaikan pada waktu-waktu itu sebelum pulang ke pejabat.
Sambung Uda, dia perlu memastikan kesemua barangan mahupun dokumen yang perlu dihantar kepada penerima sampai ke lokasi pada hari yang sama.
Dalam mengerjakan tugas hariannya, Uda mengakui tidak terlepas menjadi perhatian orang ramai.
Rata-rata pelanggan tidak percaya seorang wanita sanggup menjadi despatch kerana ia bukanlah kerja pilihan bagi kebanyakan wanita.
Sungguhpun begitu, dia tidak mengambil pusing dengan kata-kata itu dan semua itu sedikit pun tidak melenturkan semangat kentalnya.
Berbicara mengenai cabaran bekerja, siapa sangka di sebalik wajah ceria dan gembira, hakikatnya Uda mengharungi banyak cabaran.
Gadis yang tidak lekang dengan senyuman itu mengakui kerja tersebut bukan mudah kerana dia perlu menggunakan motosikal untuk menghantar dan mengambil surat hampir 20 hingga 40 tempat pada satu-satu masa.
Menurutnya, ia bukan satu tugas yang mudah kerana seseorang perlu mahir dengan selok-belok jalan raya. Ditanya sama ada dia pernah tersesat ketika bertugas, Uda mengakui perkara tersebut adalah lumrah.
Dalam kes-kes sedemikian, dia akan mendapatkan bantuan daripada rakan-rakan lain untuk memberi tunjuk arah.
Bagi mengatasi masalah itu dia terlebih dahulu akan mencari maklumat menerusi internet untuk ke sesebuah tempat bagi memudahkan perjalanan.
Cabaran kerja
Berbicara lanjut mengenai cabaran sepanjang berkhidmat di TNT, gadis itu memberitahu dia tidak terkecuali dimarahi pelanggan kerana lewat menghantar barangan. Bagaimanapun, masalah tersebut timbul bukan kerana pelanggan itu sendiri tetapi kerana mereka tidak membayar duti kastam.

NORZALEHAWATY (tengah) merupakan satu-satunya pekerja despatch wanita di TNT Express Worldwide di negara ini.


"Kami tidak boleh menyerahkan barangan tersebut selagi mereka tidak berbuat demikian (bayar duti kastam). Namun, apa yang terjadi kami pula dimaki hamun," ungkapnya sambil memberitahu kadangkala pelanggan tidak memahami tugas despatch.
Selain cabaran-cabaran itu, Uda juga berhadapan dengan masalah seperti ketiadaan lif di dalam bangunan.
"Bayangkan, saya terpaksa mengambil kotak-kotak yang berat untuk menghantar barangan dengan menaiki tangga. Ia bukan sahaja memenatkan malah menguji kesabaran," ujarnya.
Sementara itu, ketika ditanya bagaimana dia boleh menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja yang dimonopoli golongan lelaki, Uda berkata, pada mulanya agak sukar untuk dia berdepan dengan keadaan tersebut.
Namun demikian, dengan mempunyai kemahiran bergaul selain pandai membawa diri di tempat kerja, Uda hanya mengambil masa kira-kira dua minggu untuk menyesuaikan diri.
Berbekalkan berkat kesabaran dan kecekalan Uda selama ini akhirnya pada tahun lalu, dia tidak lagi menggunakan motosikal untuk melakukan tugas-tugasnya itu.
Kini, Uda membawa van untuk melakukan kerja-kerja penghantaran ke kawasan yang ditetapkan. Biarpun, tidak lagi perlu mencari tempat berteduh daripada hujan Uda mengakui tugasnya semakin mencabar.
"Jika dulu, saya boleh mencelah ketika kesesakan lalu lintas bagi mengelak daripada terperangkap dalam kesesakan namun kini tidak lagi.
"Malah, saya kini perlu membawa barangan besar dan mencari tempat meletak van untuk menghantar barangan tersebut," katanya sambil tersenyum.
Walau apa jua cabaran dalam pekerjaan itu, Uda mengakui dia gembira dengan bidang tugasnya kerana tidak perlu 'memerap' diri dalam pejabat dan menghadap komputer sepanjang masa.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai perancangan akan datang, Uda tidak berhasrat untuk berhenti daripada pekerjaan itu kerana dia gemar bekerja di luar.

Senaman cergaskan otak

Posted: 20 Dec 2012 11:47 PM PST


AKTIVITI senaman seperti berjoging, berjalan atau mendaki baik untuk kesihatan jantung dan otak.


JIKA anda telah berusia lebih daripada 40 tahun, anda mungkin pernah mengalami keadaan tidak ingat barang yang telah diambil atau mahu digunakan untuk tujuan apa?
Selain itu, anda mungkin berjalan ke dalam sebuah bilik dan lupa mengapa anda masuk ke bilik tersebut atau anda mungkin kabur tentang peristiwa masa lalu.
Bagaimanapun, sifat pelupa itu tidaklah seharusnya dilihat sebagai satu masalah yang membimbangkan. Ia mungkin kerap berlaku kerana anda tertekan atau bekerja keras.
Dalam pada itu, satu kajian pembangunan perubatan penyakit nyanyuk di Jepun mendapati individu yang aktif dalam sukan kurang berkemungkinan mengalami pengecutan otak.
Senaman yang dilakukan secara berkala bukan saja menghindari penurunan fungsi otak disebabkan peningkatan usia, tetapi membantu mengembalikan kecergasan otak.
Di samping itu, sama ada seseorang itu mempunyai sifat lupa atau tidak, mereka disarankan melakukan aktiviti fizikal yang sederhana untuk meningkatkan fungsi otak.
Berikut merupakan aktiviti yang boleh dipraktikkan dalam kehidupan seharian anda:
1. Naik dan turun tangga
Bagi yang sukar untuk memulakan senaman, dengan memanjat tangga ia dapat membantu mengepam darah ke otak.
Senaman yang mudah itu boleh dilakukan di rumah sahaja.

KEMEROSOTAN fungsi otak boleh terjadi seiring dengan peningkatan usia.


2. Meletakkan kenderaan di tempat jauh
Kebanyakan orang gemar mencari kawasan tempat letak kereta yang hampir dengan kawasan yang ingin dituju.
Apabila anda telah mendapat tempat itu, anda berasa seolah-olah menang loteri.
Bagaimanapun, tindakan itu hanya merugikan individu berkenaan. Justeru, orang ramai disarankan meletakkan kenderaan mereka lebih jauh dari tempat biasa.
Dengan berjalan ia bukan sahaja memperbaiki sistem jantung, malah menawarkan banyak manfaat kepada kesihatan.
3. Aktif
Bagi individu yang berasa diri mereka kurang aktif dalam aktiviti sukan, mereka masih boleh melakukan aktiviti yang ringkas seperti berjalan bersama rakan-rakan.
Sambil berbual dengan rakan, anda bukan sahaja dapat meluangkan masa bersama-sama, tetapi juga boleh mengeluarkan peluh.
Walau bagaimanapun, penyelidik berkata, masih banyak persoalan yang belum dijawab mengenai kesan senaman terhadap otak.
Namun demikian, mereka percaya mengamalkan gaya hidup yang sihat seperti senaman yang sederhana akan meningkatkan fungsi otak.
Selain itu, senaman sedemikian dilihat dapat mengurangkan penurunan keupayaan saraf yang biasa dilihat pada orang tua.
Sumber: http://www.myhealthnewsdaily.com

Tahun baharu, personaliti baharu?

Posted: 20 Dec 2012 11:45 PM PST

PENINGKATAN usia atau impak sesuatu peristiwa mampu memberi kesan dalam diri dan personaliti seseorang.


KITA sedang berada di ambang tahun 2013. Setiap kali menjelangnya tahun baharu, kita semua cuba untuk menetapkan azam baharu dan menjadi manusia yang lebih baik daripada apa yang sedang kita lalui hari ini.
Ada perkara yang mungkin mampu kita ubah dengan mudah, manakala ada yang tidak. Ada kelakuan atau tabiat tertentu yang dapat kita elakkan, tetapi sebahagiannya kekal sepanjang hayat.
Antara isu yang selalu didebatkan dalam kalangan ahli psikologi ialah adakah manusia mampu mengubah personalitinya? Adakah orang yang panas baran, misalnya, mampu menjadi manusia penyabar dengan semakin meningkatnya usia?
Ada antara individu yang sering cemas apabila dilanda musibah cuba untuk bersifat tenang, tetapi malangnya mereka tidak berupaya untuk melakukannya.
Sebab itulah, personaliti dikatakan sebagai the child is father of the man atau dalam bahasa mudahnya, sifat manusia ini sebenarnya tetap kekal sejak kanak-kanak.
Mereka yang periang di alam kanak-kanaknya, tidak mungkin menjadi mereka yang pendiam apabila berubah dewasa. Anak-anak yang suka mengawal orang lain ketika bermain, adalah mustahil untuk menjadi mereka yang dikawal oleh orang lain ketika dewasa.
Secara umumnya, manusia dikatakan dilahirkan dengan personaliti tertentu. Antara teori yang masyhur membincangkan personaliti manusia ialah Big Five Personality.
Kita semua sebagai manusia dikatakan mempunyai salah satu daripada personaliti ini atau gabungan beberapa daripadanya.
* Neuroticism: Orang yang tinggi dengan personaliti jenis ini biasanya mempunyai emosi yang tidak stabil, bimbang, rasa tidak selamat, celaru dan seumpamanya.
* Extraversion: Orang yang suka bersosial, suka bercakap, mementingkan manusia dan optimis.
* Openess: Suka meneroka, kreatif, berimaginasi, minat yang pelbagai dan tidak tertutup.
* Agreeableness: Orang jenis ini lebih berhati lembut, suka memaafkan, menolong, lebih dipercayai dan berterus-terang.
* Conscientiousness: Manusia yang berorganisasi, kuat bekerja, disiplin diri yang kuat dan bercita-cita tinggi.
Bagaimana dengan sifat yang ada pada diri anda? Hanya kita yang tahu hakikat diri kita sendiri.
Walaupun dikatakan bahawa personaliti utama yang ada dalam diri manusia tidak mudah berubah, namun kajian-kajian menunjukkan bahawa personaliti ini boleh berubah juga dalam tempoh yang panjang.
Malah, dikatakan personaliti juga kelihatannya lebih stabil apabila kita semakin meningkat usia, berbanding ketika kita remaja.
Kajian-kajian mendapati manusia berusia muda lebih cepat pemarah berbanding dengan orang yang berumur. Remaja belasan tahun dan awal 20-an, misalnya, dikatakan lebih beremosi dan suka memberontak, tetapi ia kelihatannya semakin berkurangan apabila usia kian meningkat.
Satu kajian ke atas kumpulan wanita telah dilakukan pada tahun 1960 di California dan ia diulang lagi ke atas kumpulan yang sama pada tahun 2000.
Didapati bahawa kumpulan itu mengalami perubahan pada personaliti neuroticism dan openess. Ini membuktikan bahawa sifat manusia berubah dengan pertambahan umur.
Adakah anda sudah berubah?
Mungkin ya dan mungkin tidak. Sebab itu, kadang-kadang apabila berjumpa dengan teman-teman lama, sesekali kita cuba menegur mereka dengan cara nakal seperti zaman kita masih bersekolah.
Malang sekali, mereka memandang kita dengan cara yang aneh sekali, menjadikan kita tertanya, adakah kita tersalah kata.
Hakikatnya mungkin tidak. Kita yang mungkin belum berubah, tetapi teman lama kita itu sudah berubah personalitinya.
Ada pula teman-teman lama kita kenal mereka sejak dari sekolah rendah, kelihatannya tetap orang yang sama. Mereka masih melayan kita dengan cara yang sama walaupun mereka kini sudah menjawat jawatan tinggi dan berjaya.
Sebab itulah, apabila ada ibu bapa yang mungkin keresahan apabila melihat ada anak-anak remaja mereka yang nakal, ia mungkin ada asasnya. Mereka mungkin bimbang tabiat itu akan dibawa sehingga dewasa sehingga merosakkan diri anak-anak tersebut.
Bagaimanapun, percayalah bahawa manusia boleh diubah dan mempunyai peluang untuk berubah. Sekiranya manusia tidak mampu diubah, kita tidak memerlukan pendidikan, ceramah agama atau bengkel motivasi.
Anak-anak remaja yang nakal mungkin akan menjadi manusia baharu ketika dewasanya. Mereka mungkin menjadi manusia yang sangat terpuji, asalkan jika mereka melalui jalan yang betul.
Kita yang sekarang ini mempunyai banyak kelemahan diri mungkin menjadi manusia yang hebat pada masa hadapan.
Walaupun sedikit sebanyak sifat 'asal' yang ada dalam diri tetap kekal, tetapi keazaman kita untuk berubah menjadi manusia sempurna adalah cara terbaik untuk kita melalui kehidupan sebagai manusia. Selamat tahun baharu untuk semua pembaca!

Tiga hari lagi untuk beli buku

Posted: 20 Dec 2012 11:42 PM PST


RUANG pameran BBW di Pusat Konvensyen Mines seluas lebih 3,500 meter persegi ini terus dibanjiri pengunjung sejak hari pertama ia dilangsungkan.


SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, penduduk di Lembah Klang seolah-olah sudah sinonim dengan salah satu acara jualan buku terbesar dan termurah di Malaysia yang dikenali sebagai Big Bad Wolf (BBW).
Dikendali oleh setor buku BookXcess yang beroperasi di Amcorp Mall, Petaling Jaya, jualan buku itu mendapat perhatian luas bukan sahaja kerana pilihan buku yang pelbagai, malah lebih nilai untuk wang yang dibelanja dengan tawaran diskaun tinggi.
Kini tinggal hanya tiga hari lagi. Pesta jualan buku antara yang paling besar dan meriah, BBW bakal menutup tirai pada 23 Disember ini di Pusat Konvensyen Mines, Seri Kembangan, Selangor.
Orang ramai tidak seharusnya ketinggalan membeli buku-buku pilihan kerana BBW menawarkan lebih tiga juta buku yang dijual pada harga sangat murah. Terdapat pelbagai pilihan bacaan di situ daripada bacaan kanak-kanak dalam pelbagai modul hingga dewasa dan pembacaan khusus.
Jualan berterusan
Lebih menarik, bagi menangani kesesakan pada waktu-waktu kemuncak, BBW menawarkan jualan secara berterusan tanpa henti selama 63 jam iaitu bermula 6.30 pagi hari pertama hingga 9 malam pada 9 Disember.
Ia sekali lagi dilanjut pada minggu kedua hari Jumaat dan Sabtu hingga Ahad (14 hingga 16 Disember) sebagai pilihan kepada pelanggan yang mahu membeli-belah buku di situ.
Para pengunjung yang datang ke tapak BBW pada hari ini hingga hari penutupnya iaitu hari Ahad (23 Disember) dijangka dikejutkan dengan pelbagai promosi dan gimik istimewa.
Mula dibuka pada pukul 9 pagi, jualan BBW akan berlangsung selama 60 jam, iaitu sehingga pukul 9 malam pada hari akhir tersebut.

SEORANG lelaki menunjukkan tanda bagus yang merujuk kepada pameran buku BBW yang menjadi tumpuan peminat buku.


"Kami percaya membaca adalah pintu kepada segala maklumat dan pengetahuan itu adalah kuasa yang paling kuat di dunia, tidak kira bagi seorang pelajar, mahupun orang dewasa," kata Pengarah Urusan BookXcess dan penganjur BBW, Andrew Yap.
Semua orang menggunakan peluang membeli buku yang mereka cari-cari selama ini pada harga yang murah. Antara genre bacaan yang dijual adalah seperti kulinari, rekaan dalaman, pemotoran, seni, anime, sastera, biografi, kesihatan dan kecantikan. Semuanya dengan diskaun daripada 75 hingga 95 peratus.
Pada tahun ini juga, sebagai mengurangkan beban orang ramai menjunjung buku sepanjang aktiviti membeli-belah buku, pelanggan diberi kotak simpanan di kaunter Khidmat Pelanggan.
Sudut kanak-kanak
Nilai tambahan yang lain turut dimuatkan pada BBW kali ini ialah ruang permainan khas untuk kanak-kanak seperti mewarna dan aktiviti seni pasir supaya dapat menghibur hati si kecil yang turut ke pameran buku itu.
Bagi mereka yang mahu mengisi perut di antara waktu membeli-belah buku, sudut makan minum dengan pelbagai pilihan makanan tempatan juga dibuka.
"Saya agak teruja melihat himpunan buku dan belum pasti lagi membeli buku yang mana. Tiada bajet khusus tetapi pasti saya akan beli sebanyak yang mungkin," demikian pula kata Alfred Chan, 32, dari Serdang yang mendapat tahu mengenai BBW melalui banting sekitar Serdang.
Pertama kali mengunjungi BBW, Firdaus Banhawi, 28, menyasarkan untuk membeli buku dalam lingkungan RM100.
"Saya percaya saya boleh membeli banyak buku di sini memandangkan harga yang ditawarkan sangat murah," katanya semasa ditemui ketika memilih buku-buku motivasi dan keagamaan.
Ramai juga pelajar, khususnya pelajar institusi pengajian tinggi, turut menggunakan peluang untuk membeli buku di jualan BBW.
Mereka akui, harga yang murah dan pilihan pelbagai memudahkan golongan pelajar.
"Saya mahu membeli beberapa buku tetapi belum buat pilihan kerana terlalu banyak buku di sini," kata pelajar dari Universiti Islam Antarabangsa, (UIA), Nurul Aiman Mohd. Amin, 18.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan