Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Randy pendatang berlesen
- Megan lahirkan bayi lelaki
- Pelajar UTeM berdaya saing
- Karnival Sukan Anak Perantau meriah
- 10,000 sertai BSN Putrajaya Night Marathon
- Hukuman mati pesalah dadah mungkin ditangguh
- Pelanggan UniFi kempunan tonton bola
- Syria didakwa bunuh ketua perisik Lebanon
- Tentera Israel serbu kapal ke Gaza
- Pasangan pengantin pakai kostum Klingon
- Disemadi selepas 67 tahun
- Permainan video bawa maut
- Sepak bola api
- Gimnasium dalam air
- Koboi seksi jual lembu korban
- Antibiotik jadi racun
- Doa Bangsamoro termakbul
- Dekorasi barangan tempatan
- Kekasih Lana model Republik Czech
- Indra Putra julang Kelantan
- Makin matang makin laris
- Luna Maya sebak ditanya tentang Ariel
- Lelaki paling tinggi di AS dapat kasut baharu
- Objek berwarna cerah ditemui di Marikh
- Restoran di Gaza dikendalikan pekerja bisu
Posted: 20 Oct 2012 08:07 PM PDT
KEDEWASAANNYA terserlah, bukan sahaja daripada sudut lakonan tetapi penampilan fizikalnya. Ketampanan Randy yang dilihat semakin matang menyebabkan dia menjadi perhatian ramai. Ramai mulai jatuh cinta dan semakin ramai juga yang mula suka melihat penampilannya kini yang sudah meninggalkan sisi cilik. Kini, Randy Pangalila kembali menerjah mata khalayak. Usai dia berdampingan dengan Elfira Roy untuk Mimpi Sampai Ke Bintang, gandingan yang direstui peminat ini kembali untuk drama dengan tajuk Dalam Hati Ada Taman. Drama arahan Michael Ang dan Amor Rizan ini bakal ditayangkan pada 29 Oktober ini pada pukul 9.30 malam di saluran Astro Ria (104). Selain daripada Randy dan Elfira, drama 13 episod terbitan Cube Film Sdn. Bhd. ini turut menampilkan barisan artis terkemuka seperti Amy Mastura, Riezman Khuzaimi, Amar Asyraf, Hanez Suraya, Sharifah Sakinah dan Didie Alias. Menurut Randy, faktor keselesaan membuatkan dia gembira bekerja dengan tenaga produksi Cube Films di bawah pimpinan Michael. "Saya rasa lebih tenang bekerja dengan Michael kerana dia melayan pelakonnya seperti kawan-kawan dan kita juga bebas memberi idea. "Jika di Indonesia, hari ini kita lakukan penggambaran, esok sudah ditayangkan di televisyen dan saya sendiri memang tidak pernah lihat hasil lakonan saya. "Peminat dan media di sini juga lebih tenang dan tidak agresif seperti di sana (Indonesia)," ujar anak kelahiran Surabaya itu. Randy memberitahu, dia memperoleh pendapatan yang lebih lumayan di Indonesia. "Jika mengikut bayaran pula, bayaran yang diterima di Indonesia lebih lumayan kerana kami menerima bayaran setiap hari. Ini kerana penggambaran dilakukan dalam tempoh yang lama sehingga boleh mencecah setahun atau dua tahun," katanya. Menyentuh tentang isu kerja, nama Randy tidak terkecuali diusik dan menjadi pertikaian Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi. Kehadiran Randy yang berpeluang muncul di program khas Randy! Oh My Raya yang didakwa dilakukan tanpa prosedur yang betul. Menghadap isu tersebut buat Randy, dia tidak sedikit pun berkecil hati dan menganggap segala yang berlaku sebagai satu salah faham. "Saya melihat isu ini sebagai satu salah faham sahaja. Jadi saya tidak mahu memperbesarkan isu ini. Sebenarnya, Micheal telah mendapatkan semua kelulusan untuk saya berlakon di sini kerana bagi saya itu perkara paling utama buat diri saya. "Sebelum hadir ke Malaysia untuk berlakon, soalan pertama yang saya ajukan ialah berkenaan keizinan (untuk) berlakon di sini (Malaysia). "Ini kerana saya sedar saya pelakon luar dan tidak mahu menjadi seperti pendatang. Saya rasa semuanya telah jelas dan permasalahan ini hanyalah salah faham," jelas Randy mengirai kekusutan ramai. | ||
Posted: 20 Oct 2012 08:03 PM PDT
SETELAH hampir sebulan menyimpan rahsia mengenai kelahiran bayi pertamanya, pelakon filem Transformers, Megan Fox akhirnya mengumumkan bahawa dia kini bergelar ibu sejak minggu lalu. Megan melahirkan seorang bayi lelaki, Noah Shannon Green, hasil perkongsian hidup dengan Brian Austin Green. "Kami berasa beruntung kerana dapat menikmati hujung minggu yang tenang di rumah, tetapi saya mahu mengumumkan berita ini sebelum dibocorkan oleh orang lain. Saya melahirkan Noah Shannon Green, pada 27 September. Dia sangat sihat, gembira dan sempurna," kata Megan di akaun laman sosial Facebook. Wanita berusia 26 tahun itu sebelum ini tidak pernah berkongsi mengenai kisah kehamilannya kepada umum. Bagaimanapun pada Jun lalu dia mula terbuka dan menunjukkan perutnya yang besar kepada umum. Megan menikah dengan Brian sejak dua tahun lalu. Brian pernah berkahwin dengan Vanessa Marcil dan memiliki seorang anak bernama Kassius Lijah. | ||
Posted: 20 Oct 2012 08:01 PM PDT ![]() SEBAHAGIAN graduan UTeM meraikan kejayaan menamatkan pengajian selepas majlis konvokesyen UTeM ke-8 di Melaka semalam. MELAKA – Sejumlah 72 peratus pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berjaya memperoleh pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas mereka tamat pengajian. Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Ahmad Yusoff Hassan berkata, kadar peratusan berkenaan membuktikan pelajar UTeM berdaya saing dalam pasaran pekerjaan. "Walaupun kadar peratusan ini tinggi, kita menyasarkan ia terus meningkat sehingga mencecah kadar lebih 80 peratus. "Pelbagai inisiatif telah diambil bagi mencapai sasaran ini antaranya, program Pusat Penempatan Pekerjaan dengan beberapa industri di negara ini, menjemput wakil-wakil industri ke universiti dan mendedahkan para pelajar tahun akhir dengan kemahiran insan," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Konvokesyen ke-8 UTeM di Kampus Induk Durian Tunggal di sini semalam. | ||
Karnival Sukan Anak Perantau meriah Posted: 20 Oct 2012 08:00 PM PDT ![]() ANTARA aksi menarik yang dipamerkan peserta pertandingan futsal pada Karnival Sukan Anak Perantau Lembah Klang 2012 di Putrajaya semalam. PUTRAJAYA - Tirai program Karnival Sukan Anak Perantau Lembah Klang 2012 di Kompleks Futsal 1Malaysia, Presint 18, Putrajaya yang bermula semalam berlangsung dengan penyertaan golongan belia dari luar Lembah Klang. Kira-kira 50,000 anak muda hadir memeriahkan suasana di lokasi penganjuran itu semalam yang menyediakan pelbagai pengisian yang menarik. Pegawai Perhubungan Awam Kanan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Idris Husin berkata, antara yang menjadi tumpuan dalam program anjuran KBS itu adalah perlawanan futsal kategori lelaki dan wanita terbuka yang membabitkan penyertaan seramai 180 pasukan lelaki dan 32 pasukan wanita. "Mereka bertarung dalam konsep perlawanan liga sebelum layak menyertai peringkat kalah mati yang berlangsung hari ini (semalam)," katanya di sini semalam. Selain itu, menurut Idris, penganjuran program turut meriah dengan perlawanan bola jaring yang membabitkan penyertaan seramai 40 pasukan. | ||
10,000 sertai BSN Putrajaya Night Marathon Posted: 20 Oct 2012 07:58 PM PDT ![]() SEBAHAGIAN daripada peserta memulakan acara BSN Putrajaya Night Marathon 2012 di Putrajaja malam tadi. MARATHON. Seramai 10,000 pelari marathon dari seluruh negara menyertai acara BSN Putrajaya Night Marathon 2012 yang berlangsung di Presint 3, Putrajaya malam tadi. Para peserta program larian yang dianjurkan oleh Perbadanan Putrajaya dengan kerjasama Bank Simpanan Nasional (BSN) itu bermula di hadapan Istana Kehakiman. Memasuki tahun ketiga penganjuran program tersebut, acara larian sambil beramal itu akan menyalurkan dana yang berjaya diperoleh kepada rumah kebajikan Persatuan Glaukoma Malaysia dan Woman's Aid Organization. Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk M. Saravanan hadir bagi melakukan upacara lepas mula bagi kategori 42 kilometer (km).Kategori-kategori lain yang dipertandingkan ialah kategori 21km, 10km dan 5km. | ||
Hukuman mati pesalah dadah mungkin ditangguh Posted: 20 Oct 2012 07:57 PM PDT KUALA KANGSAR - Pelaksanaan hukuman mati mandatori terhadap pesalah dadah kemungkinan akan ditangguh sehingga kerajaan mencapai keputusan muktamad berhubung cadangan memansuhkan hukuman mati terhadap pesalah terbabit. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, beliau akan berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai permohonan moratorium, iaitu penangguhan pelaksanaan hukuman terhadap pesalah dadah yang telah dijatuhi hukuman mati. "Hukuman ganti untuk kes pemilikan dadah itu sedang dikaji Pejabat Peguam Negara... untuk kes mereka (pesalah dadah) yang dijatuhi hukuman (mati), kita nak minta moratorium... kita sedang meneliti (semula) hukuman (mati) sedia ada," katanya kepada pemberita selepas majlis Pemimpin Bersama Rakyat Peti Undi Jenalik di Sauk di sini semalam. | ||
Pelanggan UniFi kempunan tonton bola Posted: 20 Oct 2012 07:56 PM PDT ![]() PELANGGAN UniFi menerima notis mohon maaf ketiadaan siaran langsung perlawanan akhir Piala Malaysia 2012 malam tadi. KUALA LUMPUR - Harapan para pelanggan perkhidmatan jalur lebar UniFi untuk menyaksikan perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia 2012 antara Kelantan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertukar hampa apabila mereka sekadar melihat skrin kosong di televisyen masing-masing. Telekom Malaysia (TM) selaku pengendali UniFi, tidak dapat menayangkan perlawanan secara langsung itu di saluran TV1 menerusi HyppTV kerana tidak mempunyai hak penyiaran. Pelanggan hanya diberi notis berbunyi: 'HyppTV memohon maaf kerana tidak dapat menyiarkan perlawanan bola sepak Piala Malaysia 2012 kerana tidak mempunyai hak penyiaran'. Usaha untuk mendapatkan reaksi pihak pengurusan TM bagaimanapun tidak berjaya. UniFi yang beroperasi sejak dua tahun lalu, kini mempunyai lebih 400,000 pelanggan di seluruh negara. | ||
Syria didakwa bunuh ketua perisik Lebanon Posted: 20 Oct 2012 07:53 PM PDT
BEIRUT - Para penunjuk perasaan membakar tayar dan membuat sekatan jalan di Lebanon semalam bagi membantah pembunuhan ketua perisik pasukan keselamatan dalam negeri, Brigedier Jeneral Wissam al-Hassan kelmarin yang didakwa didalangi Presiden Syria, Bashar Al-Assad. Wissam, 47, terbunuh apabila sebuah kereta yang mengandungi bom seberat 30 kilogram diletupkan dengan menggunakan alat kawalan jauh di daerah Ashrafieh yang didiami ramai penduduk beragama Kristian. Selepas mengetahui kematian Wissam yang merupakan pengikut aliran sunah, para penunjuk perasaan tersebut membakar tayar dan menyekat jalan raya dari bandar Tripoli di utara Lebanon sehingga ke sempadan Syria. Kejadian itu berlaku ketika para pengikut sunah di Syria menentang kepimpinan Bashar yang merupakan pengikut Syiah Alawi. Bekas perdana menteri Lebanon yang kini menjadi ketua pembangkang, Saad Hariri mendakwa Bashar terlibat dalam serangan tersebut. Seorang lagi pemimpin pembangkang, Walid Jumblatt turut menuduh rejim Bashar membunuh Wissam. Ekoran kejadian itu, para pengikut sunah di Lebanon mendesak Perdana Menteri, Najib Makati meletakkan jawatan. Mikati kemudian menawarkan peletakan jawatannya tetapi Presiden Michel Suleiman memintanya terus memegang jawatan itu bagi satu tempoh yang belum ditetapkan. Sebelum letupan bom itu berlaku, Wissam telah menjangkakan beliau akan menjadi sasaran pembunuhan menyebabkannya menghantar isteri dan anak-anaknya ke Paris. Kebanyakan pemerhati menyatakan serangan itu mempunyai kaitan dengan perang di Syria yang kini sudah berlanjutan selama 19 bulan dan menyebabkan lebih 30,000 orang mati. Wissam mengetuai siasatan yang menyebabkan bekas menteri penerangan Syria dan penyokong Bashar, Michel Samaha ditangkap. Samaha kini ditahan di penjara Lebanon atas dakwaan merancang kempen serangan bom dan pembunuhan dengan tujuan untuk menyebabkan perbalahan antara mazhab Islam di negara ini merebak. Turut ditangkap ialah seorang pegawai tentera Syria, Brigedier Jeneral Ali Mamlouk. Wissam juga memainkan peranan penting dalam siasatan pembunuhan bekas perdana menteri Lebanon, Rafik Hariri pada 2005 di sini. Hariri mati apabila sebuah trak meletup. Siasatan yang diketuai Wissam itu menemui bukti penglibatan kumpulan Hezbollah dan Syria. | ||
Tentera Israel serbu kapal ke Gaza Posted: 20 Oct 2012 07:52 PM PDT ![]() GAMBAR yang disiarkan Pasukan Pertahanan Israel menunjukkan kapal MV Estelle berada dekat Genting Gaza semalam. BAITULMUQADDIS - Tentera Laut Israel semalam menyerbu sebuah kapal yang membawa para aktivis Palestin termasuk wakil rakyat Eropah untuk memecahkan sekatan ke Gaza. Menurut satu kenyataan tentera rejim Zionis, anggota-anggota tentera laut itu menaiki kapal MV Estelle yang dalam pelayaran ke Genting Gaza. Kenyataan itu menyatakan, kapal tersebut yang mengibarkan bendera Finland diarah berlabuh di Pelabuhan Ashdod, Israel. "Tiada sebarang keganasan (tindakan yang dilakukan anggota tentera laut)," kata seorang jurucakap tentera Israel. Menurutnya, para penumpang kapal tersebut tidak melawan semasa serbuan itu dilakukan. Pengumuman itu dibuat selepas pihak penganjur menyatakan kapal berkenaan 'diserang' ketika berada 35 batu nautika dari pantai Gaza. Apabila tiba di pelabuhan tersebut, para penumpang akan diserahkan kepada polis sebelum dihantar untuk diuruskan pihak imigresen. Kapal yang dimiliki Sweden itu berlepas dari Naples, Itali pada 7 Oktober lalu dengan membawa 30 orang dari lapan buah negara. Ia membawa beberapa wakil rakyat dari Norway, Sweden, Greece, Sepanyol dan seorang aktivis Israel berusia 79 tahun dari Kanada. Kapal itu membawa dua pokok zaitun, 41 tan simen, 300 biji bola sepak, peralatan perubatan dan buku kanak-kanak. Ia turut membawa peralatan muzik, radio dan wayang gambar. | ||
Pasangan pengantin pakai kostum Klingon Posted: 20 Oct 2012 07:52 PM PDT ![]() GUSTAVSSON (kiri) dan Sockertopp memakai kostum watak Klingon pada majlis perkahwinan mereka di Pusat ExCel, timur London kelmarin. LONDON - Satu pasangan pengantin, Sonnie Gustavsson dan Jossie Sockertopp memakai kostum watak yang terdapat dalam filem Star Trek, Klingon pada majlis perkahwinan mereka di sini kelmarin. Sockertopp, 23, dan Gustavsson, 29, sanggup datang dari Sweden ke sini semata-mata untuk berkahwin dalam majlis tersebut di Pusat ExCel, timur London. Pusat itu menjadi lokasi tempat Persidangan Star Trek diadakan buat kali pertama yang dihadiri para peminat filem itu, pelakon dan penulis. Klingon merupakan watak pahlawan dalam filem tersebut. "Saya menjadi peminat Star Trek sejak kecil lagi. Majlis ini amat menyeronokkan," kata Gustavsson. | ||
Posted: 20 Oct 2012 07:51 PM PDT
PAGI itu, suasana tenang yang menyelubungi Tanah Perkuburan Tentera Komanwel Cheras, Kuala Lumpur dikocak emosi pilu sebaik sahaja tujuh anggota Skuadron Ratu yang mengusung keranda mengandungi 80 cebisan tulang mangsa nahas tentera udara 67 tahun lalu memasuki kawasan perkuburan. Dengan beralaskan dua batang kayu, keranda yang dilitupi bendera Union Jack kemudian diletakkan di atas lubang kubur. Sebaik sahaja paderi Tentera Udara Diraja Britain (RAF), Jonathan Beach memulakan bacaan doa yang sesekali diiringi tiupan bengol dengan lagu The Last Post oleh tentera Gurkha, Prakash Rai dari Brunei, kesayuan jelas terpancar di wajah Geoffrey Dovey, 83, adik kepada salah seorang mangsa nahas iaitu pemandu arah William Kenneth Dovey. Tepat pukul 7.50 pagi, keranda diturunkan perlahan-lahan ke satu liang kubur yang mempunyai lapan batu nisan. Selepas itu, tetamu kehormat terdiri daripada Pesuruhjaya Tinggi British, Simon Featherstone, Penasihat Pertahanan Britain, Kapten Kenneth Taylor, waris-waris dan wakil daripada kerajaan Malaysia dijemput untuk memberi penghormatan terakhir kepada mangsa nahas. Ketika Geoffrey bersama adiknya, John, 74, berjalan beriringan bersama jambangan bunga segar di tangan, mudah untuk menebak kesayuan yang beraja di hati mereka. "Sangat lega apabila jasad abang saya dapat disemadikan dengan sempurna hari ini," ujar Geoffrey. Walaupun hampir 70 tahun terpisah, dia masih mengingati perwatakan abangnya yang disifatkan sebagai pandai menikmati kehidupan dan meminati tumbuh-tumbuhan. Tinggal sejarah "Dia pernah bercita-cita menjadi veterinar," ujar Geoffrey yang berusia 16 tahun ketika pesawat yang dinaiki abangnya hilang dalam nahas udara 23 Ogos 1945. "Saya pernah mendengar pesawat tersebut ditemui sekitar tahun 60-an tetapi tiada langkah lanjut diambil sehinggalah ada internet pada tahun 2000. ![]() KERANDA yang mengandungi 80 cebisan tulang lapan anggota tentera yang terkorban di Langkap, Negeri Sembilan disemadikan dalam satu lubang kubur di Tanah Perkuburan Tentera Komanwel, Cheras. "Dengan bantuan anak saya, Andrew, saya sering berutus e-mel dengan Kumpulan Sejarah Malaya (MHG) bagi mengikuti perkembangan penemuan pesawat tersebut. "Usaha kami berbaloi. Selepas 67 tahun menanti, hari ini, William dapat disemadikan dengan tenang," ujarnya yang terbang bersama John dari East Anglia, Britain ke Kuala Lumpur untuk menghadiri upacara pengebumian abang mereka. Bagi Nick Bromfield pula, dia hadir untuk memberi penghormatan terakhir buat bapa saudaranya, pengebom udara John Trevor Bromfield. "Saya lahir 13 tahun selepas nahas yang menimpa pak cik. Saya hanya pernah mendengar sekali cerita mengenainya daripada mendiang bapa," ujar lelaki berusia 54 tahun ini. Walaupun tidak pernah bertemu dengan bapa saudaranya itu, Bromfield akui, dalam upacara itu, dia dapat merasai kesedihan datuk, nenek serta ahli keluarganya yang lain. "Bapa mempunyai empat orang adik-beradik lelaki. Tiga orang daripadanya merupakan anggota RAF manakala seorang lagi pegawai perubatan tentera. Bapa saudara yang terkorban itu ialah anak bongsu dalam keluarga. "Dia berusia 20 tahun pada waktu itu dan baru sahaja menamatkan latihan ketenteraan," terangnya yang berasal dari Surrey, England. Kini, kesemua adik-beradik John Trevor telah meninggal dunia. Bapa Bromfield juga meninggal dunia akibat sakit tua lapan tahun lalu. Gelang tangan "Keluarga kami sudah lama menganggap nahas yang berlaku puluhan tahun lalu sebagai sejarah sehinggalah pada tahun 2008, bangkai pesawat Liberator yang membawa pak cik saya ditemui semula. "Sebagai waris, saya bersyukur mendiang mendapat majlis persemadian yang sempurna namun sedikit terkilan kerana bapa pergi tanpa sempat menyaksikan upacara pengebumian ini," ujarnya. ![]() WARIS ini mengambil peluang merakamkan kenangan terakhir di pusara mangsa nahas sebelum pulang ke Britain. Sementara itu, Featherstone, turut melahirkan penghargaan tinggi kepada pihak terlibat menjayakan misi penyelidikan dan ekskavasi bangkai pesawat B24 Liberator KL654 R yang terhempas di Gunung Telapa Buruk, Langkap, Kuala Pilah, sehingga menemukan 80 cebisan tulang milik lapan kru pesawat RAF yang terhempas pada 23 Ogos 1945. Mengimbas semula nahas yang berlaku 67 lalu itu, pesawat B24 Liberator KL654 R terhempas setelah berlepas dari pangkalan udara British di Kepulauan Cocos, Australia bagi misi menghantar bekalan kepada gerila Force 136. Pesawat tersebut berlepas bersama tiga pesawat lain menyeberangi Pulau Sumatera untuk ke Tanah Melayu tetapi tidak kembali ke pangkalan. "Selepas gagal dikesan, RAF mengandaikan KL654 R terhempas dan bangkainya dijumpai pada tahun 1996," ujar ketua penyelidik MHG, Shaharom Ahmad, 38. Dia bersama beberapa rakan kemudian mengatur beberapa eskpedisi penyelidikan ke Hutan Langkap. "Bangkai pesawat ditemui berhampiran dengan laluan balak. Sepanjang ekspedisi tersebut, kami temui ekor pesawat, dua enjin dan sayap. Selain itu, ada juga cebisan baju, serpihan tulang, dua bentuk cincin, rantai dan gelang tangan. "Hanya pada ekspedisi kedua, barulah kami berjaya menjumpai nombor siri pesawat iaitu KL654. "Pada tahun 2007, kami menjalankan ekspedisi bersama Ketua Penyelidik Ekspedisi Garis Waktu Muzium Tentera Darat, Kapten Zuraiman Abd. Ghani. "Ketika itu, kami menjumpai plat nombor enjin bertulis KL654. Ini mengesahkan lagi bahawa ia datang dari bangkai pesawat yang sama. Kami juga menemui simbol Snake yang merujuk kepada nama kod pesawat," jelasnya. Untuk menyempurnakan misi ekskavasi tersebut, kumpulan ini berulang-alik selama 10 kali ke lokasi bangkai ditemui. ![]() PADERI Jonathan Beach yang mengetuai upacara pengebumian diterbangkan khas dari Britain. Ada masanya mereka berkampung di dalam hutan tebal itu selama berbelas hari demi memastikan proses ekskavasi yang dijalankan berjalan lancar. "Semasa melakukan kerja-kerja ekskavasi, kami temui seutas gelang tangan yang tertulis nama Marjorie Hall. "Setelah diselidik, ia adalah nama isteri salah seorang mangsa nahas. Dengan bantuan seorang rakan sukarelawan di United Kingdom, kami dapat mengesan wanita tersebut. "Dia yang kini berumur 90-an masih mengingati suaminya yang terkorban dalam nahas pesawat di Malaya," ujar Shaharom. Penemuan bangkai KL654 ini adalah kejayaan kedua MHG selepas badan itu membantu Muzium TD membongkar misteri pesawat Dakota DC-3 yang terhempas di tengah hutan tebal di Gua Musang, Kelantan empat tahun lalu. | ||
Posted: 20 Oct 2012 07:50 PM PDT ![]() IBU BAPA perlu mengawasi jenis permainan video yang dimainkan oleh anak-anak. - Gambar hiasan REMAJA yang bermain permainan video berunsur ganas untuk tempoh beberapa tahun didapati cenderung berkelakuan kejam terhadap orang lain, menurut satu kajian terbaharu oleh sepasukan penyelidik dari Universiti Brock di Kanada. Penyelidik berkata, kajian itu adalah yang pertama menunjukkan kaitan jelas antara tempoh pendedahan kepada permainan video berunsur ganas secara berterusan dengan peningkatan kelakuan ganas. Kanak-kanak perempuan yang bermain permainan komputer seperti itu semasa zaman persekolahan mereka juga didapati cenderung berkelakuan seperti kanak-kanak lelaki. Keputusan kajian itu agak membimbangkan. Pada masa yang sama, ia mengukuhkan lagi tanggapan bahawa permainan ganas dipercayai mewujudkan perbuatan ganas yang bertujuan menangani konflik dan kemarahan. Bukti menunjukkan bahawa mereka yang telah lama bermain permainan video itu cenderung untuk bertindak balas secara fizikal terhadap provokasi yang tidak disengajakan seperti terlanggar kereta lain. Hasil kajian itu dibuat setelah seorang koroner, John Pollard, menggesa ibu bapa supaya menghentikan tabiat membenarkan permainan video yang biasa digunakan oleh golongan dewasa kepada anak-anak mereka. Desakan itu dibuat ekoran kematian Callum Green, 14, dari Stockport, Kanada yang membunuh dirinya selepas bermain permainan video, Call of Duty yang memaparkan adegan ngeri iaitu tentera saling berbunuhan antara satu sama lain. Ngeri Callum dari Brinnington, Stockport, kerap bermain permainan itu dengan bapa tirinya, David White walaupun ia memaparkan adegan mengerikan tentera cuba untuk membunuh antara satu sama lain. Selepas mendapati tingkah laku budak itu semakin teruk, ibunya bertindak mengurungnya sehinggalah dia ditemui tergantung di katilnya dengan tali leher sekolah menjerut lehernya. John berpendapat, had umur perlu diletakkan pada pelbagai permainan komputer yang ada di pasaran sekarang. "Saya sudah melihat bukti ada permainan komputer yang tidak sesuai. "Perkara ini sangat penting. Remaja tidak boleh bermain atau mempunyai akses kepada bentuk permainan dewasa. "Sekiranya ibu bapa membenarkan, mereka perlu memantau apa yang anak mereka pelajari daripada permainan video itu," ujarnya. ![]() PERMAINAN video ganas memberi kesan kepada psikologi pemain. - Gambar hiasan Ibu Callum, Emma Green, mengakui dia mengetahui tentang saranan had umur permainan tersebut tetapi masih membenarkan anaknya itu bermain. "Callum sudah berumur 14 tahun dan dia sangat matang. Kanak-kanak lain bermain permainan yang lebih teruk daripada itu. "Saya membenarkannya bermain Call of Duty tetapi tidak permainan lain. Dia dibenarkan duduk di hadapan komputer selama beberapa jam sahaja. "Adakah itu membuat saya menjadi seorang ibu atau bapa yang teruk?" ujarnya pada sesi inkues anaknya itu. Callum pernah bertindak lari dari rumah selepas bertengkar dengan ibu bapanya apabila dia meminta kebenaran berulang kali untuk mempunyai anak bersama teman wanitanya yang berusia 13 tahun. Pada hari sebelum kematiannya, Callum telah dikurung oleh ibu bapanya kerana dia pulang lewat dari rumah teman wanitanya. Pada sebelah petang pula, dia balik ke rumah dengan buku lali yang terseliuh dan bergaduh dengan adiknya. Callum kemudian pergi ke bilik tidur untuk menggunakan komputernya, walaupun keluarganya percaya dia hanya melayari laman sosial Facebook dan YouTube. "Adakah dia ada niat untuk membunuh dirinya atau hanya untuk memberi anda kejutan, kita tidak tahu," jelas John. Ibunya memberitahu, Callum tidak pernah memberikan sebarang petunjuk dia mahu membahayakan dirinya atau berasa tidak puas hati dengan keluarga. Dia juga tidak dibuli di sekolah. Pada awal tahun ini, media massa melaporkan pelampau Kristian, Anders Behring Breivik yang membunuh 77 orang di Norway mendakwa dia telah bermain permainan video yang berunsur ganas bagi melatihnya melakukan serangan berdarah itu. Di Perancis, pengganas Mohammed Merah juga bermain permainan video sebelum membunuh tiga askar dan empat orang awam termasuk tiga kanak-kanak di Toulouse pada Mac lalu. | ||
Posted: 20 Oct 2012 07:49 PM PDT ![]() PEMAIN perlu berpuasa selama 21 hari sebelum boleh bermain permainan pelik ini. BIAR betapa hebat sekali pun bintang bola sepak dunia seperti Lionel Messi dan Ronaldo, mereka belum tentu mampu menyentuh bola berapi yang menjadi permainan tradisi pelajar sekolah pondok di Indonesia. Ia kedengaran seperti satu lagi versi filem Shoalin Soccer tetapi permainan yang popular di sekitar Yogjakarta, Bogor, Tasikmalaya dan Papua itu menjadikan buah kelapa yang telah diubahsuai sebagai bola. Mereka menendang dan menimang bola yang sedang terbakar dengan berkaki ayam. Permainan lima sebelah atau lebih itu dikaitkan dengan ilmu persilatan dan dimainkan di atas tanah lapang berukuran 25x25 meter. Ia dipanggil sepak bola api oleh penduduk tempatan. Sepak bola api menggunakan bola khas yang diperbuat daripada buah kelapa. Buah kelapa yang paling baik ialah yang sudah tua dan kering. Sebahagian kulit kelapa itu akan dihiris dengan pisau sehingga menjadi bentuk bulat seperti bola. ![]() BUAH kelapa direndam dalam minyak tanah selama dua hari. Airnya dibuang selepas tempurung kelapa itu ditebuk dengan hujung pisau. Ia kemudian ditutup dengan kain, diisi dengan minyak tanah dan dibiarkan selama dua hari. Menurut seorang penganjur pertandingan, Ali Khyar, perlawanan itu diadakan bagi menguji ketahanan pelajar. "Memang ada perasaan bimbang tentang keselamatan mereka tetapi berkat doa tertentu yang dibaca ditambah selepas badan mereka dilumur dengan garam dan sirih untuk mengurangkan rasa panas di kaki, belum ada pemain yang cedera teruk setakat ini," kata Ali sambil memberitahu, permainan itu bertambah popular setiap kali menjelang Ramadan. Minyak tanah Akhbar-akhbar di Britain minggu ini menyifatkan bermain buah kelapa yang sedang terbakar dengan api bernyala-nyala jauh lebih sukar berbanding menendang bola biasa. Apatah lagi bola yang digunakan adalah buah kelapa yang sudah direndam selama dua hari dalam minyak tanah. Media di negara itu kagum bagaimana pelajar sekolah pondok terbabit mampu bermain selama 60 minit tanpa sedikit pun mengalami luka terbakar. "Pemain utama Liga Perdana England bakal hilang punca jika terpaksa bermain bola sepak api di Indonesia," tulis Daily Mail. Sementara The Sun mengatakan pemain profesional di England tidak setanding pemain bola sepak api Indonesia. "Liga Perdana England melahirkan ramai bintang sensasi dunia tetapi mereka bukan siapa-siapa apabila bermain bola sepak api," ulas The Sun. Menurut beberapa orang pelajar yang ditemu bual wartawan tempatan, bermain bola sepak api lebih menarik berbanding bola biasa. ![]() PELAJAR wanita juga bermain bola sepak api bagi menguji ketahanan mental dan fizikal mereka. Bagaimanapun, ada syarat yang perlu dipatuhi sebelum mereka turun padang iaitu mereka harus berpuasa selama 21 hari sebagai proses penyucian diri. "Mereka juga dikehendaki memakai pakaian yang menutup aurat, menghindari makanan yang dimasak menggunakan api dan berpuasa seharian tanpa tidur. "Selepas melalui proses ini, mereka tidak akan takut lagi bermain bola sepak api malah boleh menggunakan kepala dan dada untuk mengawal bola," ujarnya. Mengulas perkara ini seorang pakar motivasi, Ahmadi Baharudin berkata, beliau tidak pernah mendengar permainan bola sepak api itu. Katanya, ia mungkin ada kaitan dengan sejenis ilmu persilatan dan tidak mustahil melibatkan bantuan makhluk halus. "Jika tidak bagaimana kaki dan badan pemain tidak berasa sakit atau cedera. Lagipun penggunaan garam dan sirih mirip amalan perbomohan," tegasnya. Bagi seorang pengamal perubatan Islam, Shamsuri Shafie, beliau tidak menolak bantuan makhluk halus dalam sukan itu. "Mustahil mereka tidak mengalami sebarang kesakitan. Sifat api itu sendiri membakar dan boleh mencederakan," katanya. | ||
Posted: 20 Oct 2012 07:47 PM PDT ![]() PESERTA tidak perlu risau tentang kemungkinan akan lemas kerana keselamatan di dalam kolam menjadi keutamaan Water Aerobic Gym. JURULATIH gimnasium, David Gan, pasti bersungguh-sungguh apabila menggunakan alat senaman seperti basikal air, treadmill, moonwalker dan pendayung kayak. Segalanya kelihatan normal sehinggalah David memberitahu, kesemua senaman itu dilakukannya di dalam air! Water Aerobic Gym - tempat kerja David yang terletak di Petaling Jaya, Selangor mungkin satu-satunya di Benua Asia yang memperkenalkan gimnasium konsep berkenaan. Banyak kelebihan bersenam dalam air, kata David. Senaman itu bagus untuk kardiovaskular malah risiko mengalami kecederaan lebih rendah, beritahu beliau. Bersenam di dalam kolam tidak akan membuatkan anda lemas kerana kedalaman kolam sekitar 1.8 hingga 2.7 meter sahaja. "Walaupun baru beroperasi pada April tahun ini, sambutan yang diterima cukup menggalakkan. Konsep sebegini telah popular di Eropah dan Amerika tetapi masih baharu dalam kalangan masyarakat Asia. "Malah, ramai yang menelefon untuk bertanyakan kemungkinan mereka lemas atau cedera jika menyertai aktiviti di gimnasium ini," cerita David. Sebenarnya, seseorang tidak perlu risau tentang kesakitan otot kerana itu perkara biasa bagi mereka yang baru memulakan latihan. "Berjoging pun akan menyebabkan badan lenguh-lenguh. Biasanya tempoh rehat selama 48 jam sudah cukup sebelum beraksi semula pada sesi seterusnya. "Sebagai alternatif kepada sesi yang kerap dalam seminggu, jadual boleh diatur untuk memastikan objektif yang diingini tercapai," terang beliau yang sering memberitahu pelanggan supaya tidak menjamah makanan dalam tempoh 15 minit sebelum memulakan latihan. Sukan ini popular sejak awal tahun 80-an lagi apabila seorang perenang Australia yang memenangi pingat emas Sukan Olimpik, Murray Rose menggalakkan orang ramai bersenam di kolam peribadi milik mereka. Kesejukan ![]() KONSEP gimnasium air sudah lama terkenal di Eropah tetapi agak baharu di Asia. Senaman di gimnasium air tidak menyebabkan seseorang menggigil kesejukan. "Suhu di sini hanya sekitar 29 hingga 30 darjah Celcius. Kolam pula akan dicuci setiap minggu bagi memastikan kualiti dan kebersihannya," katanya. Senaman itu tidak mengambil masa yang lama iaitu kira-kira 30 minit sahaja. David turut menceritakan pengalamannya melatih seorang gadis berusia 20 tahun yang menghadapi masalah obesiti melampau. Wanita itu, Lai, telah melakukan pelbagai cara untuk menguruskan badan seperti berjoging, bersenam di gimnasium serta mengambil pil menguruskan badan tetapi semuanya gagal. "Dia datang kepada saya dengan wajah kepenatan selain sukar berjalan. "Tetapi dalam tempoh tiga bulan, Lai berjaya mengurangkan berat badannya sebanyak 13 kilogram (kg) iaitu daripada 93kg kepada 80kg. "Dia yang suatu ketika pernah berlatih selama tiga jam bagi satu sesi, kini boleh berjalan dengan baik selain pandai berenang," ujarnya. Bercerita mengenai kelebihan lain gimnasium dalam air, David berkata, ia tidak terdedah kepada pencemaran udara manakala ruangnya agak privasi. "Pelanggan juga boleh berkenalan antara satu sama lain," katanya. Tambah beliau, kebanyakan peserta terdiri daripada individu berumur 40-an. "Mungkin mereka memilih sukan ini bagi mengurangkan risiko kecederaan terutamanya mereka yang menghidap penyakit diabetes. Lagipun, mereka lebih mementingkan ketenangan. "Remaja dan belia bawah 40 tahun boleh jadi gemarkan aktiviti luar yang lebih lasak dan mencabar," ujarnya. Diberi peluang mencuba beberapa jenis senaman di Water Aerobic Gym, ketenangan cukup dirasakan kerana senaman ini sifar kecederaan. Anggota badan juga berasa segar dan kurang lenguh berbanding senaman biasa. Kata David, orang ramai juga sebenarnya boleh bersenam di sungai atau laut. "Oleh kerana itu, mereka yang tinggal berdekatan kawasan tersebut lebih sihat.Malangnya banyak sungai yang sudah tercemar menyebabkan aktiviti mandi sungai kian berkurangan. "Mandi sungai adalah percuma berbanding perkhidmatan kami yang dikenakan caj tertentu," tuturnya. | ||
Posted: 20 Oct 2012 07:46 PM PDT ![]() MENURUT Doni, Hari Raya Aidiladha kali ini merupakan tahun terakhir dia mengupah gadis koboi kerana idea itu sudah ditiru di daerah-daerah lain. MENJELANG sambutan Hari Raya Aidiladha pada Jumaat ini, sebuah pusat penjualan lembu korban di Depok, Jawa Barat, Indonesia menampilkan kaedah pemasaran yang berbeza. Jika kebanyakan pengusaha lain menjual lembu-lembu ternakan di kawasan ladang atau jauh dari penempatan, seorang usahawan kereta terpakai, Romdoni mengubah suai bilik pameran kereta miliknya menjadi sebuah pusat penjualan lembu korban. Lokasinya adalah di kawasan pekan Kelapa Dua iaitu jalan untuk menuju ke Universiti Indonesia yang terletak kira-kira 5 kilometer (km) dari situ. Ia tidak jauh daripada pusat komersial lain seperti kedai pakaian dan makanan. Saiz ruang yang menempatkan lembu yang ditambat mengikut barisan itu pula kira-kira sebesar dua buah gelanggang bola tampar. Jelas usahawan yang mesra disapa Haji Doni itu, dia membuat keputusan untuk mengubah suai ruang pameran kereta terpakai tersebut setelah mendengar rungutan daripada rakan-rakannya yang berdepan kesukaran membeli lembu korban. "Ideanya sudah hampir tujuh tahun tercetus. Bilik pameran kereta, PT Dian Mobil diubah suai menjadi tempat mempamer sapi (panggilan kepada lembu di Indonesia) buat sementara waktu iaitu ketika musim korban. "Dahulu saya perlu mengajak pembeli ke tempat penternakan untuk melihat lembu, tetapi ada yang merungut. Saya memilih cara ini pun kerana mahu memudahkan mereka," kata Doni, 46. Lebih menarik apabila Doni turut menggunakan khidmat gadis-gadis cantik dan seksi sebagai pegawai promosi jualan (SPG) atau terkenal dengan jolokan cowgirl. SPG mengenakan seluar jean, baju kemeja dan topi ala koboi sepanjang menjalankan tugas. Tidak ketinggalan, mereka yang kelihatan seksi melepaskan rambut turut mengenakan solekan tebal sebagai daya tarikan. Biarpun pada mulanya berasa tidak selesa bekerja di situ, Eka bersama tiga orang rakannya terpaksa menerima hakikat untuk sentiasa berada dalam suasana yang tidak selesa dan berbau demi tanggungjawab yang diberikan. "Biasanya, saya berada di pusat pameran kereta yang dimiliki Doni juga. Lokasinya tidak jauh dari sini iaitu di Taman Mini Indonesia Indah (kira-kira 15 kilometer). Tetapi oleh kerana raya korban makin dekat, saya ditugaskan ke sini," kata Eka. Untuk tahun ini, Eka dan rakan-rakannya akan berada di pusat tersebut yang dikenali sebagai Mall Qurban oleh penduduk tempatan itu sejak 5 Oktober lalu hingga 25 Oktober ini. Kereta terpakai
Untuk bulan-bulan lain dia berkhidmat sebagai pegawai pemasaran di pusat jualan kereta terpakai milik Doni. Jelas Eka, dia perlu mengetahui maklumat lengkap mengenai usia, harga dan berat setiap ekor lembu untuk memudahkan pelanggan membuat pilihan. "Setiap seorang akan diberi sebuah iPad yang mengandungi maklumat lengkap. Kami hanya perlu klik pada ikon yang mewakili setiap ekor lembu yang dijual. Itu lebih memudahkan," kata Eka. Doni memperoleh idea tersebut ketika berkunjung ke Australia yang menggunakan tenaga kerja wanita. "Saya ingin menunjukkan bahawa saya menjual haiwan yang berkualiti. Dari segi layanan pula saya dahulukan," ujar Doni. Seramai 15 orang gadis SPG memberikan khidmatnya kepada Doni untuk menguruskan pelanggan di tiga buah pusat jualan yang berbeza di daerah sama. Sempena Aidiladha tahun ini Doni menyasarkan untuk menjual sebanyak 4,700 ekor lembu seperti tahun lalu. Tambah Doni, lembu tersebut dijual berdasarkan ukuran beratnya. "Kalau sapi tempatan harganya kira-kira 98,000 rupiah (RM28) sekilogram. Jadi kalau beratnya 200 kilogram (kg), harganya sekitar 19.6 juta rupiah (RM6,232). "Berbeza pula dengan sapi import kerana harganya dinilai per ekor iaitu antara 25 juta rupiah (RM7,950) hingga 100 juta rupiah (RM31,800) seekor," katanya. Lembu yang dijual di situ terdiri daripada pelbagai jenis iaitu baka tempatan yang termasuklah lembu bali, lembu brahman dan lembu kupang, manakala yang diimport pula berasal dari Australia dan Belanda. Jelas Doni, kebanyakan pelanggannya memilih lembu jenis limosin kerana keadaan fizikalnya yang besar dan panjang seakan-akan kereta limosin. Dagingnya juga padat. Pusat jualan yang lebih selesa dan mudah diakses itu sering menjadi tumpuan golongan korporat dan selebriti seperti Ustaz Maulana yang popular dalam rancangan televisyen Islam Itu Indah yang menggemari lembu limosin. Pembeli lembu korban juga boleh menggunakan kaedah pembelian dalam talian apabila promosinya turut dijalankan menerusi laman sosial Facebook dan Twitter. Jelas Doni, tahun ini merupakan kali terakhir dia memasarkan lembu korban dengan menggunakan khidmat gadis koboi kerana ia telah ditiru oleh pengusaha lain. | ||
Posted: 20 Oct 2012 07:45 PM PDT
AWAL minggu ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengingatkan rakyat Malaysia supaya bijak dalam pengambilan antibiotik bagi mengelakkan ancaman bakteria superbug yang boleh membawa maut. Jelasnya, pengambilan ubat antibiotik secara tidak betul bakal meningkatkan kes Antimicrobial Resistance (AMR) atau kebal terhadap ubat antibiotik sekali gus membentuk bakteria superbug dalam tubuh pesakit. "Ancaman superbug yang boleh menyerang bila-bila masa berikutan peningkatan penggunaan antibiotik dalam kalangan masyarakat sejak kebelakangan ini merupakan satu situasi yang sangat membimbangkan. "Apatah lagi, ada rakyat negara ini yang mengambil antibiotik secara salah. "Mereka gunakan antibiotik tanpa merujuk doktor terlebih dahulu. Ada juga yang tidak menghabiskan antibiotik mengikut masa yang ditetapkan. "Penting untuk orang ramai tahu bahawa pengambilan antibiotik yang tidak tepat boleh menyebabkan kes AMR meningkat dan mewujudkan bakteria superbug," katanya pada sidang akhbar sempena pelancaran Kempen Pengawalan AMR Peringkat Kebangsaan di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Jelas beliau lagi, kajian Kementerian Kesihatan pada tahun lalu mendapati, penolakan bakteria superbug jenis Acinetobacter terhadap antibiotik meningkat kepada 57.4 peratus. Pantau pemberian Kajian sama turut mencatatkan peningkatam kadar penolakan bakteria superbug jenis Streptococcus pneumonia terhadap antibiotik kepada 30.9 peratus. Disebabkan peningkatan peratusan penolakan tersebut, Kementerian Kesihatan telah mengarahkan semua hospital dan klinik supaya membuat pemantauan rapi dalam pemberian antibiotik kepada orang ramai untuk mengelak ancaman superbug. Tiong Lai juga meminta doktor supaya tidak memberi antibiotik secara sembarangan kepada pesakit. "Kita dapati ada doktor atau farmasi yang memberi antibiotik kepada pesakit sebagai persediaan sedangkan pesakit tidak memerlukan antibiotik. "Harus diingat, farmasi yang memberi antibiotik kepada pesakit yang tidak memerlukannya, boleh dikenakan tindakan tatatertib," ujar beliau. Sebelum ini, sudah ada beberapa kes jangkitan daripada spesies Escherichia coli (E. coli) dan Klebsiella pneumoniae (K. pneumoniae) yang merangkumi 0.2 peratus jumlah kes jangkitan di seluruh negara. Hakikatnya, penularan bakteria superbug yang kebal kepada antibiotik di negara ini masih baharu berbanding India, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, Sweden, Australia dan Belanda. Pada tahun 2009, jangkitan bakteria superbug mula dikesan pada seorang pesakit yang dijangkiti bakteria K. pneumoniae di sebuah hospital di New Delhi. Kemunculan superbug Gram-negatif daripada kumpulan bakteria usus atau Enterobactereacea ini dikesan berbeza dengan kumpulan Gram-positif superbug Methicillin-resistant Staphylococcus aureus (MRSA) yang sering menimbulkan masalah ketahanan antibiotik sebelum ini. Menurut kajian, gen NDM-1 mampu melompat antara spesies bakteria usus. Malah tiga spesies telah dikenal pasti mampu membawa gen tersebut iaitu E. coli, K. pneumoniae dan spesies Salmonella. Evolusi gen baharu ini dikaitkan dengan pengambilan antibiotik yang tidak betul atau terlebih dosej daripada yang ditetapkan doktor. Sementara itu, seorang pakar bakteriologi, Datuk Dr. Lim Thuang Seng berkata, sejarah perubatan menunjukkan beberapa jenis superbug yang dikesan sebelum ini telah merebak dari hospital. "Disebabkan itu, amat penting supaya hospital di negara ini menjalankan proses pensterilan mengikut jadual yang ditetapkan bagi mengelakkan penularan superbug," katanya. Selepas kes tiga rakyat Australia dan 37 rakyat Britain yang pernah melawat India dijangkiti kuman NDM-1 pada tahun 2010, banyak pihak melahirkan kebimbangan bahawa superbug tersebut akan menjadi pandemik paling bahaya di dunia kerana keupayaan superbug menghasilkan enzim yang dapat menentang antibiotik. Untuk mengelak perkara sama berulang, pengambilan antibiotik perlulah mendapat nasihat daripada doktor. Tidak semua penyakit memerlukan antibiotik untuk sembuh. Ada juga ibu bapa yang terlalu menekan doktor supaya memberi antibiotik jika anak mereka demam mahu pun selesema sedangkan jikalau ibu bapa tahu betapa teruknya kesan Steven Johson Syndrome, sejenis lecuran kulit disebabkan alahan antibiotik, pasti anda lebih berhati-hati dan tidak sembarangan mengambil antibiotik. | ||
Posted: 20 Oct 2012 07:44 PM PDT ![]() TARIKH 15 Oktober 2012 memberi makna yang mendalam kepada penduduk selatan Filipina. Pada hari tersebut, dua pihak yang bersengketa selama lebih 40 tahun iaitu pejuang Barisan pembebasan Islam Moro (MILF) dan kerajaan Filipina menandatangani perjanjian damai yang merintis kepada pembentukan sebuah wilayah autonomi yang baharu yang dikenali sebagai Bangsamoro. Pergolakan sejak 1970-an itu telah mengorbankan lebih 150,000 nyawa. Bangsamoro dijangka menjadi kenyataan sebelum tempoh pentadbiran Presiden Filipina sekarang, Benigno Aquino tamat pada tahun 2016. Bangsamoro merujuk kepada umat Islam dan masyarakat minoriti bukan Islam yang tinggal di selatan negara itu. Perjanjian damai ini sekali gus membantu kepada pembubaran semua kumpulan pemisah di wilayah itu. "Ini juga bermakna tangan yang suatu masa dahulu memegang senjata akan mula bercucuk tanam dan menjual hasilnya kepada penduduk lain," kata Aquino. Menerusi Bangsamoro, wilayah penduduk Islam itu akan mendapat lebih kuasa ekonomi dan politik termasuk pelaksanaan cukai untuk mengurangkan subsidi kerajaan pusat, menerima bahagian yang lebih besar daripada pendapatan sumber asli serta peranan yang lebih aktif dalam isu keselamatan wilayah. Sumber alam Wilayah Bangsamoro meliputi Pulau Mindanao iaitu pulau kedua terbesar Filipina, Palawan, Basilan dan beberapa buah pulau kecil Kepulauan Sulu. Berkeluasan 116,895 kilometer persegi iaitu sepertiga daripada keluasan Filipina, 12 juta daripada 20 juta penduduk Bangsamoro ialah orang Islam. Sejak dahulu Pulau Moro menjadi perhatian pemerintah di Manila kerana kekayaan sumber alamnya. Seorang aktivis Malaysia yang banyak mengkaji konflik di Mindanao, Prof. Madya Dr. Kamarulzaman Askandar mengakui aspek kewilayahan itu merupakan isu yang tidak mudah selesai tanpa tolak ansur Manila. ![]() KOMITMEN Malaysia merintis jalan perdamaian antara Filipina dan pejuang MILF diperakui seluruh dunia. "Banyak tanah Bangsamoro yang dirampas sejak berkurun lamanya selain penindasan oleh Manila," kata Pengarah Unit Penyelidikan dan Pendidikan Konflik Universiti Sains Malaysia (USM) itu. Kamarulzaman turut mengkaji konflik di Aceh dan Selatan Thailand. Siapakah Bangsamoro? Mengapakah bangsa yang membentuk beberapa kumpulan pemisah terkenal di dunia sehingga Filipina dilabelkan sebagai Afghanistan Kedua ini begitu nekad memperjuangkan nasib bangsanya? Bangsamoro terbahagi kepada tiga kelompok utama iaitu Tausug/Sulu, Magindanao dan Meranau. Ketiga-tiganya mempunyai budaya dan bahasa yang berlainan. Satu-satunya perkara yang dikongsi bersama ialah agama Islam. Pergolakan di selatan negara itu telah melibatkan pejuang Moro sejak sebelum penindasan oleh Manila lagi. Perjuangan yang berteraskan JihadMoro itu bermula pada era penentangan penjajahan Sepanyol selama 377 tahun (1521-1898), diikuti siri pemberontakan 48 tahun menentang Amerika Syarikat (1898-1946). Pejuang Moro menentang Sepanyol disebabkan tindakan kuasa besar itu yang mahu mengkristiankan rakyat Bangsamoro. Pertentangan dengan kerajaan Filipina pula bermula sejak tahun 1970. Konflik yang berlarutan sehingga kini itu turut berpunca daripada perpecahan Bangsamoro sendiri. Bangsamoro sekarang mempunyai dua kelompok kepimpinan iaitu Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) yang diasaskan oleh Nur Misuari dan MILF yang diterajui oleh Murad. Selain itu, terdapat kumpulan Abu Sayyaf yang berpecah daripada MNLF pada awal 1990-an yang dianggotai ustaz-ustaz muda yang baru pulang daripada pengajian di Libya. Selain itu, terdapat satu lagi kelompok yang berlingkar dalam Bangsamoro dikenali sebagai Pentagon Group. Kumpulan itu dikatakan dianggotai tentera Filipina dan Amerika Syarikat tetapi sejauh mana kewujudannya masih diragui. MNLF ditubuhkan oleh Nur Misuari pada tahun 1972. Turut sama dalam pembentukan awal pertubuhan itu ialah Murad, Salamat Hasim dan Ghazali Jaafar. Murad dan Salamat selepas itu keluar untuk menubuhkan MILF. ![]() WILAYAH Selatan Filipina bakal berkembang maju dalam aspek politik, ekonomi mahupun sosial. Begitupun disebabkan masalah dalaman MNLF terutamanya apabila Nur Misuari dituduh menyelewengkan bantuan kerajaan Filipina semasa menyandang jawatan gabenor pertama Wilayah Autonomi Islam Mindanao (ARMM), ia perlahan-lahan mengikis kewibawaan MNLF. Akhirnya MNLF semakin hilang pengaruh sebaik sahaja Nur Misuari dipenjarakan di Manila manakala MILF meneruskan perjuangan sebelum bersetuju berunding dengan pemerintah. Selepas Nur Misuari ditahan, keadaan di Selatan Filipina tidak pernah stabil. Ia sering digegarkan dengan bunyi tembakan antara kumpulan pemberontak dan tentera Filipina yang bertempur. Antara kejadian serangan yang pernah mendapat perhatian di rantau ini ialah kematian Ghalib Andang atau Komander Robot iaitu pemimpin utama Abu Sayyaf pada tahun 2005. Selepas serangan 11 September 2011 di New York, Amerika Syarikat dan negara sekutunya melabelkan wilayah Mindanoa dan kawasan sekitarnya sebagai Afghanistan Kedua kerana ia didakwa menjadi tempat militan dari Asia Tenggara melarikan diri. Beberapa peristiwa penculikan pelancong asing oleh puak pemisah berhampiran perairan Sabah tambah memburukkan lagi persepsi itu. Apa yang pasti pemeteraian perjanjian antara MILF dan Manila baru-baru ini memberi sinar harapan kepada umat Islam Filipina. Doa dan perjuangan mereka selama berpuluh-puluh tahun hampir dimakbulkan Tuhan. | ||
Posted: 20 Oct 2012 07:43 PM PDT ![]() BUKU menu restoran turut menggunakan motif songket. MELANGKAH masuk ke pekarangan Restoran Songket yang terletak di Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur, diri seakan-akan berada di sebuah rumah Melayu yang sarat dengan ciri tradisional. Daripada bentuk luaran hinggalah dekorasi, semuanya melambangkan unsur tradisional. Pemilik bertindak bijak apabila menggunakan produk yang sememangnya digemari ramai sejak zaman-berzaman iaitu songket sebagai nama restoran ini. Menurut pemiliknya, Zamri Jemintan, songket dipilih kerana ia merupakan lambang eksklusif dan mempunyai pelbagai corak serta warna yang menarik. "Pada mulanya saya mahu meletakkan batik sebagai nama restoran tetapi tiba-tiba saya terfikir, lebih baik guna nama songket kerana nampak unsur tradisionalnya. Ia juga sesuai dengan konsep restoran ini. "Daripada buku menu sehinggalah ke napkin, semuanya menggunakan motif songket untuk menambahkan aura tradisional di sini," ujarnya yang membuka restoran ini tahun lalu. Rumah kampung Melangkah masuk ke restoran ini membuatkan penulis berasa seperti meneroka sebuah rumah kampung apatah lagi selepas melihat bumbung kayunya sama seperti yang boleh disaksikan si rumah-rumah Melayu. "Saya tidak mengupah pereka dalaman. Saya hanya mencuba idea yang diolah sendiri untuk menimbulkan suasana seperti rumah kampung. "Kesemua bahan dekorasi daripada lampu hiasan hinggalah ke napkin, saya peroleh di dalam negara, tiada satu pun yang diimport. ![]() RUANG bar minuman yang menggunakan teknik sentuhan cat. "Ini kerana songket sendiri merupakan produk Malaysia. Saya juga mahu mengekalkan aura tradisional Melayu untuk dinikmati oleh pelancong asing yang berkunjung ke restoran ini," tambahnya yang berpengalaman selama 12 tahun dalam bidang masakan. Jelasnya, dekorasi bahagian luar restoran itu yang menggunakan separuh kayu dan separuh batu turut melambangkan konsep tradisional. Lengkungan dinding berhias motif songket yang dibingkai cantik menyerikan lagi ruang di restoran ini. Di sekeliling restoran ini pula, pemilik memilih untuk menanam pokok buah-buahan seperti pisang yang banyak ditemui kampung. Di bahagian pintu masuk diletakkan beberapa lukisan yang mengambil inspirasi daripada seni bina rumah di negeri-negeri seperti rumah Negeri Sembilan, Kedah dan Johor. Konsep dalaman restoran ini dimodenkan dengan menonjolkan kesan kreativiti dalam penggunaan bahan, seni bina dan teknik cat sentuhan tangan bagi menghidupkan mood pada permukaan dinding di ruang bar minuman. Pada asasnya restoran ini terbahagi kepada dua, iaitu ruang makan di sebelah dalam yang berhawa dingin dan teres di bahagian luar. Ia bagi memberikan suasana santai kepada pengunjung yang sedang menikmati hidangan.
Pada waktu malam restoran ini tampak lebih eksklusif kerana disimbahi kerlipan cahaya dan juraian lampu yang menghias siling. Pemandangan Menara Berkembar Petronas (KLCC) turut dapat disaksikan di bahagian luar restoran ini. Restoran yang boleh menempatkan 230 orang pada satu-satu masa ini menyediakan persembahan tarian tradisional setiap hari bermula pukul 8.30 malam hingga 9.15 malam. "Persembahan tarian Melayu, India, Cina serta suku kaum lain dipersembahkan sebagai hiburan kepada pengunjung khususnya pelancong asing. "Dari situ mereka boleh melihat keunikan budaya di Malaysia," ujarnya sambil menambah, lebih 50 menu pembuka selera ditawarkan dengan harga serendah RM10 hingga RM80. Restoran Songket dibuka dari pukul 12.30 tengah hari hingga 3 petang. Ia dibuka semula pada pukul 6 petang dan berlanjutan hingga 11 malam pada hari biasa manakala pukul 4 petang hingga 11 malam bagi hujung minggu dan cuti umum. | ||
Kekasih Lana model Republik Czech Posted: 20 Oct 2012 07:38 PM PDT
SATU ayat untuk menggambarkan ekspresi terhadap pencapaian pelakon seksi, Lana Nordin atau Cik Pamela Anderson Malaysia: "Hebat kau nyah!' Mahunya tak hebat, nampak sahaja penampilannya agak kurang menyengat di kaca televisyen atau main filem sekali-sekala, tapi dalam bab mencari kekasih, Diva kagum dengan cita rasa Lana. Dalam diam sahaja, Lana kini dikatakan sedang hangat dilambung cinta seorang model antarabangsa bernama Pavel Michalec, 23, yang kini berkerja dengan sebuah agensi di Bangkok, Thailand. Bukan Lana yang buka mulut mengakui mamat yang berasal dari Republik Czech sebagai kekasihnya, sebaliknya Pavel sendiri yang secara terang-terangan menulis nama Lana dalam kotak 'In Relationship' di laman Facebook miliknya. Nampak jejaka hingusan sahaja, tapi sumber Diva kali ini pun tak kurang hebatnya sebab tahu segala latar belakang Pavel dan Lana. Katanya, Pavel tu anak tunggal dan bukan jenis model yang gila-gila. Dia hanya sempat berada di Malaysia selama tiga bulan. Dua tiga minggu lepas kenal Lana, terus kena pindah ke Bangkok sekitar pertengahan tahun baru-baru ini. Patutnya, Lana sekarang asyik rindu-rinduan. Untunglah! Dah dapat dapat pakwe 'mat saleh', baik lepas tu macam setia pula siap mengakui lagi In Relationship with Lana Nodin dalam Facebook. | ||
Posted: 20 Oct 2012 07:34 PM PDT
KELANTAN melabuhkan tirai Liga Malaysia (Liga-M) 2012 dengan penuh bergaya apabila mengungguli gelaran trebel pada musim ini. Skuad The Red Warriors merangkul trofi ketiga selepas menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-2 pada final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam tadi. Kelantan membuka jaringan menerusi penyerang berbisa, Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-44 tetapi ATM berjaya mengikat kedudukan menerusi gol Rezal Zambery Yahya pada minit ke-48. Selang dua minit kemudian, Norshahrul kembali menggandakan kedudukan tetapi penyerang import ATM, Marlon Alex James kembali menyamakan kedudukan apabila menewaskan penjaga gol No. 1 negara, Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-62. Perancang skuad The Red Warriors, Indra Putra Mahayuddin muncul sebagai wira pasukan apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-96, sekali gus melengkapkan koleksi trofi Liga-M dengan menjuarai Liga Super serta Piala FA pada musim ini. Beraksi pada separuh masa pertama di hadapan kira-kira 90,000 penyokong, Kelantan hampir berjaya untuk membuka jaringan menerusi tandukan penyerang pinjaman, Muhammad Afiq Azmi yang bijak memanfaatkan hantaran pemain pertahanan kiri The Red Warriors, Mohd. Daudsu Jamaluddin. Bagaimanapun, percubaan tersebut berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol ATM, Farizal Harun pada minit kelima. Kelantan yang terus menggandakan asakan dalam usaha untuk mendahului perlawanan apabila Norshahrul berjaya melepasi dua pertahanan ATM namun tendangan lemah itu masih gagal untuk menembusi gawang pasukan yang dikenali dengan nama jolokan The Gladiators pada minit ke-12. Begitupun, pemain kelahiran Terengganu itu meletakkan juara Liga Super itu di depan dengan menjaringkan gol menerusi tendangan leret yang gagal didakap kemas oleh Farizal, sekali gus menyaksikan keputusan 1-0 kekal di babak pertama perlawanan. Bersambung di babak kedua, ATM kembali mengatur serangan dalam misi dalam usaha untuk mengikat keputusan perlawanan namun kehebatan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi berjaya mengagalkan setiap percubaan The Gladiators. ATM akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Rezal Zambery. Begitupun, jaringan bekas pemain Negeri Sembilan itu sekadar bertahan seminit apabila Norshahrul kembali meletakkan The Red Warriors di depan dengan menewaskan Farizal untuk kali kedua menerusi rembatan leret yang kencang. The Gladiators kembali mengasak benteng pertahanan Kelantan daan hasilnya, skuad kendalian B. Sathianathan menyamakan kedudukan menerusi jaringan penyerang import, Marlon. Tersentak dengan jaringan penyamaan itu, Kelantan kembali mempamerkan corak agresif namun benteng pertahanan ATM berjaya mengekang asakan Norshahrul, Indra Putra dan Mohd. Badri Mohd. Radzi, sekali gus mengheret perlawanan ke masa tambahan selepas terikat 2-2 dalam tempoh 90 minit. Sementara itu, Anugerah Pemain Terbaik Perlawanan menjadi milik Norshahrul manakala Penjaring Terbanyak diraih Marlon. | ||
Posted: 20 Oct 2012 05:32 AM PDT
ALIRAN muzik yang serasi, mengalir bersama pembuluh darah yang mengikat Paul Kevin Jonas II (Kevin), Joseph Adam Jonas (Joe) dan Nicholas Jerry Jonas (Nick) atas nama tiga bersaudara atau lebih tepat Jonas Brothers. Jenama yang utuh dibawa menjelajah ke serata dunia menerusi saluran Disney dan sehingga ke hari ini biarpun imej remaja yang semakin terhakis daripada diri mereka, Jonas Brothers secara harafiahnya masih relevan. Dua tahun lalu menyaksikan mereka bersama-sama di atas satu pentas untuk siri konsert jelajah mempromosikan album keempat Lines, Vines and Trying Times, kemudiannya ketiga-tiganya membawa hala tuju solo. Bukan berpecah bak kata jejaka paling muda dalam grup itu, Nick, 20, mereka sentiasa bersama-sama walau tidak berpadu suara dalam tempoh tersebut. Baru-baru ini, pada sesi temu bual video di pejabat urusan The WonderLand+ yang merencanakan perjalanan konsert mereka di Kuala Lumpur pada 24 Oktober nanti, Nick menjelaskan mereka masih bersatu. "Saya tidak melihat penggabungan ini (konsert) sebagai satu kemunculan semula Jonas Brothers kerana kami sentiasa bersama. Cuma masing-masing melakukan kerja berbeza buat sementara waktu, "Sekarang, mungkin waktu terbaik untuk kembali berkolaborasi dan kami sangat teruja," ujar Nick yang sudah menubuhkan sebuah band Nick Jonas & Administration sepanjang tempoh masa tidak bersama Jonas Brothers. ![]() JONAS BROTHERS belum berpecah biarpun mereka bertiga sudah membawa haluan masing-masing. Dalam perkembangan lain, Nick juga terbabit dengan drama bersiri hit, Smash, selain pementasan Les Miserables dan How to Succeed in Business Without Really Trying on Broadway menggantikan Daniel Radcliffe yang sebelum itu merealisasikan karakter tersebut. Meet You In Paris Sepanjang dua tahun itu juga, Joe, 23, pula mencuba nasib menerusi album solo, Fastlife. Jejaka kelahiran Casa Grande, Arizona itu menyifatkan perjalanan seni dan muzik mereka berevolusi sejajar dengan perkembangan usia. "Pengalaman bergerak seketika secara solo memberikan banyak pelajaran kepada kami, mematangkan dan membuat kami lebih cekal. "Banyak perbezaan telah kami lalui. Dari segi muzik, kami kini lebih banyak mendengar pelbagai gaya muzik yang kami gemari. Ia disuntik sedikit sebanyak ke dalam aliran muzik kami," ungkapnya. Berkongsi cerita perkembangan terbaharu Jonas Brothers, kata Joe, mereka kini sedang sibuk memilih lagu-lagu terbaik untuk dimuatkan ke dalam album mereka yang kelima. Pada sesi temu bual tersebut, turut diperdengarkan sebuah lagu iaitu Meet You in Paris yang dipetik daripada album itu. "Kami mengawal hala tuju dan apa yang akan berlaku seterusnya dalam industri muzik ini datang daripada keringat kami sejak dulu," jelasnya. Miley Cyrus Dalam pada itu, khabarnya, single terbaharu daripada kumpulan itu, Wedding Bells ditujukan khas kepada pelakon Miley Cyrus selepas bintang filem Hanna Montana itu putus cinta dengan Nick. Buktinya, beberapa baris lirik dalam lagu itu dikatakan sebenarnya merujuk kepada Cyrus yang kini sudah bertunang dengan aktor filem Hunger Games, Liam Hemsworth awal tahun ini. ![]() TIGA adik-beradik Jonas ini bakal muncul untuk konsert julung-julung kali di Malaysia pada 24 Oktober ini. Nick bagaimanapun bijak memberikan jawapan yang berkias terhadap makna yang tersirat di sebalik lagu tersebut. Katanya: "Album kelima Jonas Brothers sedang menjalani sesi rakaman dan sepanjang proses itu ada perkara baik dan buruk terjadi serentak. "Saya tidak pernah menghasilkan lirik lagu yang boleh membuatkan timbul perasaan yang tidak selesa. Apa yang berlaku pada tahun lepas (putus cinta), sebenarnya memberikan kesan sehingga ke hari ini." Sementara itu, Kevin pula sempat berkongsi pengalamannya dalam rancangan realiti televisyen terbaharu, Marriage To Jonas yang diterbitkan oleh pengacara terkenal Ryan Seacrest dan disiarkan di saluran E! "Pengalaman yang sangat menarik untuk seluruh ahli keluarga kami dan rancangan itu sedang mendapat perhatian ramai di Amerika Syarikat. "Perkahwinan merupakan perkara terindah yang berlaku dan meluangkan waktu bersama teman paling akrab (isteri) adalah momen yang tidak akan dilupakan," kata Kevin. Rancangan itu memaparkan kehidupan Kevin bersama pasangannya, Danielle Deleasa, 25, yang telah berkahwin pada Disember 2009. | ||
Luna Maya sebak ditanya tentang Ariel Posted: 20 Oct 2012 05:32 AM PDT
SETELAH kisah cinta Luna Maya dan Ariel Noah terkandas, masing-masing enggan berbicara lebih lanjut berkenaan hal itu.Ketika Luna dijemput menjadi tetamu undangan rancangan televisyen Dahsyat baru-baru ini, Luna enggan menjawab mengenai kisahnya bersama Ariel apabila disoal oleh pengacara program itu, Olga dan Raffi. "Adakah Luna mahu kembali kepada Ariel?" tanya Olga. Namun, pelantun lagu Sudah Biasa itu sekadar tersenyum simpul. Olga kembali bertanya perkara yang membuatkan Luna terkenang akan Ariel: "Apa yang Luna mahukan daripada Ariel?" Cuba menghindari pertanyaan sedemikian, balas Luna: "Sudahlah! Saya sudah mahu menangis." | ||
Lelaki paling tinggi di AS dapat kasut baharu Posted: 20 Oct 2012 05:26 AM PDT ![]() VOVKOVINSKIY memegang kasutnya semasa dia diwawancara wartawan televisyen WCCO, Holly Wagner di Kelab Atlet Rochester di Rochester kelmarin. ROCHESTER, Minnesota - Lelaki paling tinggi di Amerika Syarikat (AS), Igor Vovkovinskiy memperoleh tiga pasang kasut tenis Reebok pada Khamis lalu. Kasut itu ditempah khas oleh Vovkovinskiy, 30, yang setinggi 2.35 meter dan ia mengambil masa selama lima bulan untuk disiapkan. Sepanjang ingatannya, dia hanya mempunyai sepasang kasut kerana ketiadaan saiz yang sesuai untuk kakinya. Vovkovinskiy berkata, dia telah menjalani 16 kali pembedahan pada kakinya dalam tempoh enam tahun kerana kecederaan akibat memakai kasut yang tidak sesuai. Menurut laporan akhbar The Post- Bulletin, orang pertama yang diberitahunya tentang kasut itu ialah ibunya. Kos tinggi diperlukan untuk membuat kasut yang bersaiz 24 itu. Namun, Vovkovinskiy mengutip derma di internet pada awal tahun ini. Dia berjaya memperoleh sumbangan lebih AS$32,000 (RM97,666). Selepas memperoleh wang itu, dia mengunjungi ibu pejabat Reebok di Canton, Massachusetts, AS dan menjalani beberapa siri ujian. Ujian itu dilakukan bagi membolehkan syarikat tersebut menghasilkan kasut yang sesuai untuk kakinya. Kasut tersebut telah mengubah corak kehidupan Vovkovinskiy. "Saya kini boleh pergi ke kedai runcit atau perkakasan jika saya memerlukan barang untuk melakukan kerja-kerja pembaikan di rumah ibu saya," katanya. | ||
Objek berwarna cerah ditemui di Marikh Posted: 20 Oct 2012 05:25 AM PDT ![]() GAMBAR yang dirakamkan pada 15 Oktober lalu menunjukkan satu objek kecil berwarna cerah di planet Marikh. LOS ANGELES - Kenderaan robotik Curiosity menemui satu objek kecil yang berwarna cerah di sebuah kawasan di planet Marikh, kata Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) kelmarin. Saiz objek tersebut hanya satu milimeter dan ditemui selepas kenderaan robotik milik NASA itu menggunakan peralatan penggalian. Seorang saintis projek Marikh, John Grotzinger berkata, para penyelidik pada mulanya menyangka objek tersebut berasal dari kenderaan robotik itu. Bagaimanapun, para saintis berpendapat objek itu mungkin sebahagian daripada kandungan yang terdapat di dalam tanah planet berkenaan. Objek tersebut mungkin sejenis mineral. Pada minggu lalu, NASA menyatakan satu lagi objek berwarna cerah yang turut ditemui Curiosity di planet Marikh sebenarnya serpihan plastik. Menurut NASA, plastik tersebut mungkin jatuh dari kenderaan robotik itu. Curiosity melakukan misi penerokaan di Marikh selepas ia tiba di planet tersebut pada 6 Ogos lalu. Misi penerokaan selama dua tahun itu melibatkan kos sebanyak AS$2.5 bilion (RM7.62 bilion). | ||
Restoran di Gaza dikendalikan pekerja bisu Posted: 20 Oct 2012 05:24 AM PDT ![]() BEBERAPA pekerja menggunakan bahasa isyarat di dapur restoran Atfaluna di Bandar Gaza kelmarin. BANDAR GAZA, Palestin - Sebuah restoran di sini yang dikendalikan beberapa pekerja bisu dibuka kepada orang ramai pada Selasa lalu. Restoran Atfaluna yang terletak dekat sebuah pelabuhan digerakkan para pekerjanya yang berkomunikasi sesama mereka menggunakan bahasa isyarat. Ia ditubuhkan dengan bantuan Yayasan Drosos, Switzerland bagi mempromosikan golongan bisu yang boleh bekerja. Seramai 12 orang bekerja di restoran tersebut. "Golongan bisu mempunyai keazaman dan tiada sebarang kebimbangan kecuali ketika pekerja berkomunikasi," kata seorang penyelia, Ayat Imtair. Selepas para pekerja bisu itu menghadiri latihan selama enam bulan, Ayat yakin operasi di restoran tersebut akan berjalan dengan lancar. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan