RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


12 Artis Ikut Didie Alias Makan Angin

Posted: 18 Oct 2012 08:56 PM PDT

Didie bakal membawa 12 rakan artis yang rapat dengannya untuk menceriakan program percutian Jom Melancong Bersama Didie Alias bermula Disember depan.
KUALA LUMPUR: Pelakon dan pelawak Didie Alias akan membawa 12 rakan artis yang ceria, bertenaga dan peramah mengikuti program Jom Melancong Bersama Didie Alias ke 12 destinasi percutian terpilih bermula Disember depan.
Didie atau nama sebenarnya Fadzilah Mohd Ali, 39, berkata, pemilihan rakan artis antaranya Erra Fazira, Sharifah Shahora, Scha Al Yahya, Awal Ashaari, Elfira Loy, Black, Mawi, Johan Asa'ri, Enot, Along (Raja Lawak) dan Dafi itu adalah berdasarkan keserasian dan hubungan rapat mereka dengannya.
Didie yang dilantik sebagai duta program pelancongan anjuran Arlief Event & Management (AEM) itu berkata, kehadiran seorang atau dua artis yang mengikutinya pada sesebuah destinasi mampu memeriahkan program itu selain memberikan kelainan daripada program-program percutian lain.
"Saya bersyukur kerana peluang dan kepercayaan diberikan AEM untuk menjadi wakil program pelancongan mereka yang akan bermula pada hujung tahun ini.
"Memandangkan, penganjur turut memberikan peluang untuk membawa rakan artis lain, jadi saya memang pilih rakan-rakan artis yang rapat dan saya kenali mengenai sikap mereka.
"Mungkin pada setiap destinasi nanti, saya akan membawa seorang atau dua artis untuk turut serta bagi memeriahkan program itu," katanya ketika ditemui pada sidang media pelantikannya sebagai duta program Jom Melancong Bersama Didie Alias anjuran AEM di Menara KL di sini, petang Khamis.
Didie memeterai perjanjian persefahaman sebagai duta program itu bersama pengasas Arlief Event & Management, Muhamad Alif Haziq Azman di Menara KL di sini, petang Khamis.
Program pelancongan terbabit menawarkan 12 lokasi percutian di dalam dan luar negara antaranya Pulau Perhentian, Terengganu, Pulau Langkawi, Kedah, Beijing, China, Kaherah, Mesir dan Seoul, Korea Selatan.
Ia bakal bermula pada Disember depan menerusi percutian pertama atas kapal peranginan ke Phuket dan Krabi, Thailand.
Didie dijangka membawa Black dan Enot untuk menyertai program pertama itu.
Mengenai pemilihannya pada program percutian tersebut Didie berkata, ia adalah tawaran yang tidak mampu ditolak kerana dia sememangnya gemar melancong bersama keluarga tetapi jarang mempunyai waktu terluang untuk merancang percutian.
"Kebetulan, saya seorang yang suka melancong tetapi jarang mempunyai waktu terluang yang panjang untuk bercuti bersama anak-anak dan suami.
"Pelantikan ini adalah peluang keemasan untuk saya membawa keluarga sambil saya bekerja menceriakan para peserta program," katanya.
Dalam pada itu, pengasas AEM, Muhamad Alif Haziq Azman berkata, Didie yang merupakan kenalan lama ibunya adalah seorang artis yang peramah, ceria dan aktif.
Sebahagian artis yang bakal mengikuti Didie antaranya Johan Asa'ri, Elfira Loy, Dafi dan Along (Raja Lawak).
Beritahunya, karakter itu akan menimbulkan suasana ceria kepada para peserta ketika delegasi melawat tempat-tempat menarik dan melakukan pelbagai aktiviti bersama.
"Sebelum ini, kita sudah membawa Awie (Wings) bercuti bersama peserta di Beijing dan Mongolia. Pada kali ini, kita melihat Didie sebagai calon paling tepat untuk program percutian terbaharu kami," katanya.
Selepas percutian atas kapal peranginan, Didie akan menyertai percutian selama 6 hari 5 malam itu ke Beijing, China pada 25 hingga 30 Januari depan dan diikuti Kaherah, Mesir pada 21 hingga 26 Februari 2013.
Untuk maklumat lanjut mengenai pakej dan aktiviti, layari www.arlief.com atau hubungi 03-61428072.

Rozita Che Wan Gemarkan Watak Komedi

Posted: 18 Oct 2012 08:55 PM PDT

Rozita Che Wan
KUALA LUMPUR: Pelakon jelita, Rozita Che Wan lebih gemar memegang watak komedi dalam sesebuah drama yang dibintanginya berbanding melakonkan watak yang lebih serius.
Rozita, 39, berkata, pada usianya sekarang dia tidak mahu membebankan dirinya dengan peranan yang berat dan berpendapat berlakon di dalam siri komedi membuatkannya lebih gembira.
"Kalau watak-watak yang berat ni tekanannya lain berbanding peranan komedi yang lebih santai dan berada di set penggambaran pun kita boleh ketawa.
"Tambahan pula usia saya semakin meningkat. Saya tidak mahu terlalu memaksa diri saya dengan mengambil watak-watak yang berat," ujarnya kepada mStar Online.
Bagaimanapun kata Rozita, itu bukan bererti dia tidak akan mengambil sebarang tawaran selain watak komedi dan akan menerima sekiranya diminta melakonkan watak yang lebih berat.
Dalam pada itu, Rozita berkata, drama bersiri lakonannya Kiah Pekasam adalah pencetus dalam meraih kepercayaan syarikat produksi untuk memerikannya peluang berlakon drama komedi.
"Pada mulanya saya hairan juga selepas kemunculan saya dalam drama tu, langsung tiada tawaran watak serius yang ditawarkan. Tapi sudah itu rezeki saya jadi kita kena ambil peluang," katanya.
Bagaimanapun kata Rozita, dia tidak kisah dan berkecil hati jika peminat melabelnya sebagai pelakon komedi dan menganggap ia sebagai satu pengiktirafan.
Barisan pengacara program bual bicara Primadona yang bakal disiarkan pada 2 November depan.
"Bukan senang hendak buat orang ketawa dengan lakonan kita dan apabila dilabel sebegitu saya sepatutnya gembira," jelasnya.
Sementara itu, Rozita turut teruja dengan peranan barunya sebagai pengacara gandingan dalam program bual bicara terbaru berjudul Primadona.
Rozita berkata, dia kini lebih banyak melayari Internet untuk mengetahui perkembangan semasa isu berkaitan wanita dan akan memastikan membaca akhbar pada setiap hari.
"Bukan mudah sebenarnya untuk menjadi pengacara kerana pengetahuan am perlu luas supaya kita tidak nampak kosong terhadap isu yang diutarakan.
"Namun pengalaman menjadi pengacara sangat menarik dan saya amat teruja dengan kemunculan program itu," katanya.
Selain Rozita Che Wan, Primadona turut menampilkan Erra Fazira, Ziela Jalil dan Raja Azura sebagai pengacara.
Ia bakal bersiaran pada setiap hari Jumaat pukul 9 malam di Astro Prima bermula 2 November depan.

Diejek Gemuk, Mel B Tampar Simon Cowell

Posted: 18 Oct 2012 08:54 PM PDT


Mel B telah menampar Simon Cowell gara-gara juri program X-Factor itu mengejeknya dengan gelaran gemuk.
BEKAS anggota kumpulan Spice Girls iaitu Melanie B telah bertindak menampar muka Simon Cowell selepas juri program X-Factor itu mengatakan dirinya seorang wanita gemuk.
Contactmusic melaporkan, Melanie B atau lebih mesra disapa Mel B telah hilang sabar dengan ejekan Simon semasa menikmati makan malam bersama.
"Saya sudah beritahu jangan berkata begitu kepada saya tetapi dia tetap berbuat demikian dan saya terus hilang sabar dengan sikapnya itu," ujarnya.
Simon Cowell memang terkenal dengan kelancangan mulutnya.
Tidak hanya dipanggil gemuk oleh Simon, Mel B memberitahu dia juga tersinggung apabila Simon mengejek selera makannya yang agak besar pada malam itu.
Namun kata Mel B, perasaan marah itu tidak lama dan hubungan mereka masih baik seperti biasa.

Pos Malaysia perkenal dua pelan baru

Posted: 18 Oct 2012 08:51 PM PDT


Pos Malaysia memperkenalkan dua pelan baru, Takaful Flexi PA dan Takaful Pemandu dan Penumpang Kende
Pos Malaysia memperkenalkan dua pelan baru, Takaful Flexi PA dan Takaful Pemandu dan Penumpang Kenderaan Persendirian.
Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia), memperkenalkan dua pelan baru, Takaful Flexi PA dan Takaful Pemandu dan Penumpang Kenderaan Persendirian.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Khalid Abdol Rahman berkata, kedua-dua pelan perlindungan motor itu telah dijual sejak Jun lalu dan 2,997 polisi dengan sumbangan bernilai RM179,820 dikeluarkan di 703 cawangan seluruh negara.

Pos Malaysia adalah ejen kepada lapan syarikat insurans dan dua pengendali takaful lebih daripada satu juta transaksi, yang sebahagian besar adalah insurans kenderaan dengan lebih RM125 juta premium dikutip bagi separuh masa pertama 2012/2013.

Takaful Flexi PA dan Takaful Pemandu dan Penumpang Kenderaan Persendirian ditawarkan dengan harga 19 sen sehari atau RM70 setahun.

Jumpa keris melekat pada akar kayu

Posted: 18 Oct 2012 08:50 PM PDT


Keris yang ditemui melekat pada akar pokok kucing galak. Gambar kecil: Nasir Othman.
Keris yang ditemui melekat pada akar pokok kucing galak. Gambar kecil: Nasir Othman.
SEBERANG PERAI UTARA - Seorang pengamal perubatan terkejut menemui sebilah keris lama berukuran 15 sentimeter (cm) terlekat pada akar sebatang pokok yang dicabutnya untuk tujuan perubatan di kawasan semak di belakang perumahan penduduk di Kampung Bagan Ajam di sini, kelmarin.

Nasir Othman, 65, yang juga pesara tentera sering menjadikan kawasan berkenaan untuk mendapatkan pokok kucing galak yang dijadikan ubat merawat pelbagai penyakit kucing sejak lima tahun lalu.

Lebih mengejutkan, katanya, keris dengan anggaran berat 10 gram itu amat sukar dipisahkan dari akar Pokok berkenaan.

"Jika nak diikutkan akar pokok ini sepertimana pokok renek lain yang mudah putus apabila ditarik kerana ia bersaiz kecil, namun usaha saya memisahkan keris dari akar pokok ini selepas menemuinya, semalam, menjadi sukar.

"Sebagai orang lama yang turut mengamalkan perubatan tradisional, saya tahu keris yang dianggarkan berusia puluhan tahun ini agak 'keras' dan istimewa," katanya.

Nasir yang pernah berkhidmat dalam angkatan tentera laut berkata, penemuan keris berlok tiga itu turut menimbulkan misteri pada dirinya, kerana sebaik dibawa pulang dan dibasuh kesihatan dirinya tiba-tiba berubah.

"Selesai membasuhnya dan sewaktu hendak dilap menggunakan kain kepala saya tiba-tiba terasa berat sebelum pening dan rasa nak muntah serta hampir pitam.

"Menghairankan, keris itu tiba-tiba kering dan turut menitiskan air dari hujungnya, walaupun lekuk dan loknya tidak ada tempat simpanan air," katanya.

Nasir, yang mempunyai sedikit pengetahuan berkaitan penjagaan barangan misteri kemudiannya mendapatkan sehelai kain kuning untuk membalut keris itu.

"Sebaik dibalut, air titisan itu berhenti dan kesihatan saya kembali normal membuatkan saya beranggapan keris ini sememangnya istimewa dan perlukan penjagaan rapi.

"Sejak malam semalam, sebaik penemuannya diketahui umum, rumah saya mula dipenuhi orang ramai yang ingin melihatnya. Malah ada antara mereka sanggup menawarkan harga tinggi untuk memilikinya," katanya yang tidak berhajat menjualnya.

Menurutnya, dia juga mengalami mimpi buruk semalam apabila diingatkan berkali-kali oleh satu suara ghaib supaya menyimpan keris itu dengan baik dan tidak menyalah gunakannya.

"Sebaik terjaga, jantung saya berdegup kencang, manakala hampir keseluruhan tubuh dibasahi peluh menyebabkan cadar yang dijadikan alas katil turut basah.

"Kejadian pelik sebaik keris itu ditemui merupakan kali pertama dialami dan saya percaya ia ada kena mengena dengan senjata penting yang digunakan oleh anggota masyarakat terdahulu ini," katanya.

Katanya, dia akan menyimpan keris itu dan tidak menolak kemungkinan ia boleh digunakan sebagai antara peralatan penting semasa menjalankan perubatan tradisional terhadap pelanggan yang datang berubat dengannya selepas ini.

Curi air untuk ubah suai rumah

Posted: 18 Oct 2012 08:48 PM PDT


Curi air untuk ubah suai rumah
Seorang penguat kuasa Sains melakukan pemotongan paip yang disambung secara tidak sah.
LUKUT – Sebuah rumah banglo satu tingkat yang sedang diubah suai di Kampung Sri Parit diserbu penguat kuasa Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) kerana disyaki terlibat dengan kegiatan curi air.

Ketua Bahagian Perkhidmatan Korporat Sains, Azlan Abdul Aziz berkata, ketika serbuan pemilik rumah itu didapati melakukan penyambungan tidak sah menggunakan paip Unplasticized Polyvinyl Chloride (UPVC).

Menurutnya, penyambungan itu dibuat bagi mendapat bekalan air untuk proses pengubahsuaian banglo tersebut.

"Sains juga menjalankan ujian klorin ke atas sampel air di lokasi dan terbukti bekalan air yang digunakan adalah air terawat milik Sains," katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Azlan berkata, Sains menyita paip UPVC tersebut sebagai bahan bukti seterusnya mengeluarkan notis memaklumkan kesalahan yang dilakukan kepada pemilik.

"Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 89 (9) yang memperuntukkan denda sebanyak RM50,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali," katanya.

Beliau berkata, Sains akan terus mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan ke atas kegiatan curi air di seluruh Negeri Sembilan tanpa mengira kes melibatkan pengguna komersial mahupun domestik.

"Tindakan tegas ini adalah salah satu langkah berterusan dalam mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil," katanya.

Dalam pada itu, Azlan turut mengucapkan terima kasih di atas bantuan dan kesedaran masyarakat yang bersama-sama Sains dalam usaha mengurangkan kes curi air di negeri ini.

"Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin melaporkan sebarang kes curi air boleh menghubungi talian bebas tol Sains 1-800-88-6982 dan pemberi maklumat dirahsiakan," katanya.

Operasi yang bermula pada jam 2 petang dan berakhir satu jam kemudian itu diketuai Pegawai Bahagian Hal Ehwal Pengguna, Pengaduan dan Penguatkuasaan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, Mohadir Hid.

Penangan Cinta Lombok

Posted: 18 Oct 2012 08:47 PM PDT


Penangan Cinta Lombok
Wanita warga Indonesia (depan) ditahan oleh pihak Imigresen selepas gagal untuk menunjukkan dokumen perjalanan sah dalam Operasi Bersepadu yang ketuai Jaipk.
TELUK INTAN - Penangan cinta lelaki Lombok mampu membuatkan seorang wanita warga tempatan hilang pertimbangan.

Wanita terbabit yang berasal daripada Bentong, Pahang, sanggup menangis teresak-esak sambil merayu pegawai Imigresen Cawangan Teluk Intan melepaskan teman lelakinya yang ditahan kerana berkhalwat di sebuah hotel, Jalan Changkat Jong, Sabtu lalu.

Wanita berusia 26 tahun itu yang bekerja sebagai kerani di Kampung Gajah, baru sembilan bulan mengenali lelaki Lombok berkenaan, telah ditahan dalam satu Operasi Bersepadu yang ketuai oleh Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) dan turut disertai oleh pihak Imigresen Cawangan Teluk Intan.

Ketua Imigresen Cawangan Teluk Intan, Khairul Anuar Sulaiman berkata, sepasukan anggotanya bersama Jaipk membuat pemeriksaan di salah sebuah hotel di kawasan berkenaan dan mendapati seorang lelaki warga Indonesia bersama-sama wanita warga tempatan.

Katanya, lelaki warga Indonesia bekerja sebagai buruh ladang kelapa sawit di Bota Kanan, ditahan di bawah Akta Imigresen selama 14 hari bagi membantu siasatan pihak Jaipk dan Imigresen.

"Jika kami mendapati, lelaki warga Indonesia itu melakukan kesalahan, pihak Imigresen mempunyai kuasa dan tidak teragak-agak untuk menghalau lelaki berkenaan ke negara asal.

"Tindakan tegas diambil oleh pihak kami sekiranya mana-mana warga asing disabitkan kesalahan akan diusir keluar daripada negara ini," katanya di Pejabat Imigresen Cawangan Teluk Intan, di sini, semalam.

Dalam perkembangan sama, Khairul Anuar berkata, anggotanya juga turut menahan seorang  wanita warga asing Indonesia turut berdua-dua dengan warga tempatan di lokasi dan operasi sama.

Katanya, wanita berusia 32 tahun itu berasal daripada Jawa Tengah, ditahan bersama pasangannya didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen1959/63.

Menurutnya, wanita itu mendakwa dia pernah berkahwin dengan warga tempatan gagal menunjukkan dokumen perjalanan apabila diminta oleh anggotanya dan ditahan untuk siasatan selanjutnya.

Beliau berkata, kedua-dua warga Indonesia itu dibawa pulang ke pejabat untuk tujuan dokumentasi dan dipercayai melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

"Kami menahan kedua-dua warga Indonesia itu dan ditempatkan di Depot Tahanan Langkap bagi tujuan siasatan dan siasatan dibuat di bawah Akta Antipermerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (pindaan 2010)," katanya.

'Biar miskin harta, jangan kasih sayang'

Posted: 18 Oct 2012 08:45 PM PDT


Fazley bersama isteri tersayang.
Fazley bersama isteri tersayang.
Keluarga adalah segala-galanya buat Fazley.
Keluarga adalah segala-galanya buat Fazley.
Setelah melakar kejayaan menerusi program masakan, MasterChef Selebriti Malaysia musim pertama, cabang kerjaya, Datuk Dr Fazley Yaacob semakin bertambah.

Jika sebelum ini beliau lebih dikenali sebagai penyanyi, pelakon dan perunding motivasi terkenal tempatan, namun kini, langkahnya mula dilebarkan ke dapur sebagai chef selebriti.

Tidak mendabik dada dengan gelaran juara, malah bagi Fazley, 34, gelaran itu bukanlah sekadar sandaran untuk dibanggakan kerana di sebalik kejayaan itu, banyak perkara yang harus digalas.

Walaupun tugas semakin mencemburui masa yang ada untuk bersama keluarga tercinta, namun kepadatan jadual tidak mampu mengubah caranya sebagai ketua keluarga.

Family First! Itulah prinsip yang sentiasa dipegang oleh pelantun lagu, Asmara Ini. Baginya, walau sesibuk mana sekalipun, keluarga tetap menjadi keutamaan.

"Saya tidak betah untuk hidup tanpa anak-anak dan isteri. Sejak dahulu lagi, saya memang tak boleh berjauhan dengan mereka.

"Lagipun, mereka sangat rapat dengan saya. Malah, anak-anak saling mencemburui jika saya mendukung salah seorang daripada mereka. Saya pernah dukung ketiga-tiga anak saya.

"Walaupun sibuk, saya akan memastikan ruang untuk bersama mereka tetap ada. Contohnya, kalau saya perlu bekerja di luar kawasan, saya akan menghabiskan masa sehari sebelum berangkat. Saya akan mandi dan tidurkan mereka," kata bapa kepada tiga cahaya mata, Ahmad Fariedz, 4, Ahmad Fieradz, 2 tahun 7 bulan dan Ahmad Fierudz, setahun.


Kasih sayang, agama

Mengakui tugas sebagai bapa bukanlah perkara enteng, Fazley amat mementingkan nilai kasih sayang dan didikan agama yang sempurna kepada anak-anaknya.

Walaupun mereka masih kecil, namun nilai itu sentiasa diterapkan mengikut kesesuaian umur mereka.

"Sejak mereka kecil, saya dan isteri mengajar mereka mengamalkan doa sebelum dan selepas makan, doa tidur dan perkara asas dalam mengerjakan solat. Saya akan beritahu mereka tentang kepentingan solat.

"Selain itu, jika berjauhan, kami akan berhubung melalui panggilan video. Saya sering mengungkap perkataan I Miss You dan I Love You. Mereka juga akan membalas perkara yang sama.

"Kalau mereka buat salah, saya akan jentik dan tidak lebih dari itu. Pun begitu, saya dengan isteri sama-sama tegas. Namun, jika saya marah, isteri akan diam dan bila isteri marah, saya pula diam," katanya yang kini sedang sibuk menjalani penggambaran program masakan
baru, Chef Surprise, untuk saluran Astro Prima.

Selain sibuk dengan rancangan masakan, Fazley juga akan muncul dengan single terbarunya, Jaga-Jaga bersama rapper terkenal Altimet dan Maaf, Ku Menyintaimu, setelah hampir empat tahun menyepi dalam bidang nyanyian.

Fazley berkata, kedua singlenya itu telah dimainkan di corong-corong radio dan jika tiada halangan, album barunya, bakal menemui peminat pada Disember ini.


Sokong penghijrahan isteri

Mendirikan mahligai cinta bersama, Datin Azrene Soraya Abdul Aziz, pada 7 November 2006, rasa cinta Fazley terhadap isterinya tiada tolok bandingnya.

Menganggap kehadiran Azrene dalam hidupnya seperti impian yang menjadi realiti, Fazley mengakui ciri-ciri yang ada pada Azrene adalah kriteria wanita dambaannya.

"Segala yang ada pada Azrene adalah apa yang saya mahukan. Dia adalah isteri dan ibu yang berdikari serta mahir dalam tugas memasak dan menjahit.

"Walaupun dia berpendidikan tinggi, namun dia tidak kekok di dapur dan berjaya menambat hati saya. Tiada apa yang membahagiakan selain memilikinya.

"Dia juga seorang ibu yang penyayang dan berjaya menjaga anak-anak saya dengan baik. Walaupun dia mempunyai kerjaya sendiri, namun dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu," katanya yang menyokong penuh penghijrahan Azrene sejak Jun lalu.

Menurut Fazley, dia tidak pernah mendesak isteri untuk berhijab, malah keterbukaannya berjaya membawa perubahan dalam diri Azrene secara rela hati.
"Semasa mengandungkan anak kedua, dia pernah menyatakan hasrat untuk bertudung kepada saya. Namun, saya tidak mendesak kerana saya tahu, dia boleh membuat pilihan sendiri.

"Namun, kami pernah berbincang mengenai perkara ini dan dia bersetuju untuk bertudung sebelum mengerjakan haji atau sebelum mencecah usia 40 tahun.

"Alhamdulillah, ia berlaku lebih awal dan saya akan sentiasa memberi sokongan kepadanya," katanya yang pernah membintangi filem, Gila Bola, Janji Diana dan Gerak Khas The Movie 2.


Tiada istilah cemburu

Bergelar isteri kepada selebriti terkenal, ia bukanlah sesuatu yang harus dijadikan mimpi ngeri buat Azrene Soraya.

Malah, bagi perunding imej bertauliah ini, dia harus menerima hakikat bahawa Fazley bukan sahaja miliknya seorang.

Bersedia untuk berkongsi Fazley bersama peminat, Azrene tidak pernah meletakkan sifat cemburu dalam hati walaupun ada kalanya tindakan peminat agak keterlaluan.

"Sejujurnya, tidak pernah timbul rasa cemburu apabila melihat gelagat peminat yang cuba mendekati abang (Fazley).

"Saya percayakan abang dan itulah yang kami amalkan dalam hubungan. Selain itu, kami saling hormat menghormati dan setia. Apa sahaja yang berlaku, kami akan kongsikan bersama malah, antara kami seperti tiada rahsia.

"Namun, tidak bermakna saya melepaskan abang begitu sahaja. Jika saya lihat sesuatu yang berlaku secara janggal dan aneh, saya akan menegur dan menasihati abang. Itu bukan bererti saya cemburu, tetapi mengingatkannya untuk lebih berhati-hati," katanya yang memiliki Master of Law dari  Nottingham University, United Kingdom.

Sejajar dengan kariernya sebagai perunding imej, Azrene amat menitik beratkan soal penampilan suaminya.

Malah, sekiranya penampilan Fazley tidak menepati cita rasa atau tema, dia akan memberi pandangan untuk memilih imej yang sesuai.

"Bagi saya, abang bijak dan tidak kalah dalam memilih padanan pakaiannya. Apa sahaja yang disarung ke badannya, mesti nampak kemas.

"Namun, ada kalanya, saya mempengaruhi penampilannya. Dia sangat terbuka dan menerima pandangan saya.

"Mungkin ramai yang tidak perasan, kini abang sudah tidak memakai rantai. Saya juga pernah menegur perkara itu dan kini dia meninggalkan imej  itu. Mungkin juga kerana faktor usia kerana dia pernah beritahu saya, tak sesuai untuk pakai rantai," katanya yang turut menguruskan perniagaan membuat kek.


Bapa bertanggungjawab

Walaupun sentiasa sibuk dengan jadual hariannya, Fazley tidak berat tulang untuk membantu Azrene menguruskan anak-anak.

Malah, tugas untuk menguruskan anak tidak pernah dibiarkan kepada pembantu rumah kerana baik Fazley mahupun Azrene, mereka lebih betah melakukannya sendiri.

"Abang sangat mengambil berat dalam soal keluarga. Walaupun dia sibuk dengan kerja di luar, namun apabila pulang ke rumah, dia akan membantu saya apa yang patut.

"Jika saya sibuk untuk menyiapkan tempahan atau kerja lain, dia akan memandikan anak dan menolong di dapur.
"Kalau malam pula, dia akan tidurkan Payish dan Piyash sementara menunggu saya menguruskan Piyush untuk tidur. Saya berbangga kerana dikurniakan suami yang tidak pernah mengabaikan tanggungjawab, malah membantu saya dalam tugas lain," katanya yang tidak pernah menghalang minat anak dalam apa jua bidang.

Perkara itu turut dipersetujui oleh Fazley dan tidak melarang sekiranya anak-anak ingin menurut jejak langkahnya sebagai anak seni.

"Apa yang saya perhatikan, Payish dan Piyash memang berminat dalam bidang seni. Payish menunjukkan kecenderungan pada keyboard dan Piyash minat dengan gitar.

"Saya tidak akan larang mereka, namun saya lebih mementingkan akademik. Nak menyanyi boleh tapi kena berjaya dalam pelajaran.

"Sekurang-kurangnya, mereka harus mempunyai ijazah dalam bidang akademik dan jika mahu berkarya, itu terpulang kepada mereka," katanya yang ingin menjadi contoh terbaik buat anak-anaknya.

Final: Helang Rimba mahu gegar Stadium Shah Alam

Posted: 18 Oct 2012 08:44 PM PDT


Aksi semangat  Helang Rimba
Aksi semangat Helang Rimba ketika membuat latihan di Institut Komunikasi dan Elektronik Tentera Darat, Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur, semalam.
Azman Talib
Azman Talib
KELAB penyokong bola sepak Angkatan Tentera Malaysia, Helang Rimba mahu menggegarkan Stadium Shah Alam ketika final Piala Malaysia, esok.

Kira-kira 20 trak akan membawa  500 anggota Helang Rimba dari Institut Komunikasi dan Elektronik Tentera Darat Kem Sungai Besi.
Menurut Ketuanya, Pegawai Waran 1, Azman Talib, persiapan menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia sedang giat dijalankan.

"'Fitness' setiap anggota mestilah baik kerana kami bukan datang sebagai penonton tapi sebagai penyokong.

"Kami akan menyokong dengan penuh semangat selama 90 minit tanpa henti sehingga permainan tamat," jelas beliau.

Azman berkata, 20 trak yang membawa 500 anggota Helang Rimba akan bertolak dari Pangkalan Sungai Besi pada jam 3 petang.
"Kami akan tiba jam 4 petang di Stadium Shah Alam dan setibanya di sana, saya akan mengumpulkan semua anggota untuk memberi sedikit taklimat.

"Di sana saya akan melakukan sesi 'memanas badan' untuk membakar semangat Helang Rimba dan menyayikan lagu keramat ATM," katanya.

Helang Rimba juga akan membawa pasukan pancaragam ATM untuk sama-sama memeriahkan lagi kehangatan perlawanan malam esok.

Azman selaku wakil Helang Rimba berharap agar ATM akan menjulang Piala Malaysia yang dinantikan sejak sekian lama.

"Saya menyeru semua anggota tentera di sekitar Lembah Klang dan seluruh Malaysia turun ke stadium untuk menyokong pasukan ATM.

"Saya harap ATM menewaskan Kelantan 2-1 dan membawa pulang Piala Malaysia tahun ini,"  katanya lagi.

Helang Rimba merupakan kelab penyokong bola sepak ATM, mewakili ketiga-tiga unit. Ia kini terletak di bawah naungan Leftenan Kolenal Ab Rahman Mahmood.

Kelab ini ditubuhkan dua tahun lalu bagi memberi sokongan dan semangat kepada pasukan ATM di pentas bola sepak Malaysia.

Tak pandai cipta gosip

Posted: 18 Oct 2012 08:40 PM PDT



DALAM kalangan pelakon wanita tanah air, dia jarang sekali menjadi bahan gosip panas - baik di dada akhbar mahupun televisyen.
Jika ada pun, ia tidak menimbulkan kontroversi besar-besaran sehingga heboh diperkatakan di peringkat nasional.
Sememangnya pada tahun lepas, namanya menjadi sedikit 'panas' ekoran kontroversi impak kemunculannya memperaga gaun kuning pendek yang dikatakan agak seksi ketika membuat kemunculan sempena acara fesyen MASiF 2011 pada 15 hingga 17 September.
Namun selepas itu, namanya seolah-olah suram sehingga timbul persoalan adakah ia disebabkan popularitinya sudah semakin pudar.
Ketika ditemui pada sesi fotografi bersama Kosmo! baru-baru ini, Wan Sharmila atau nama ringkasnya, Lala bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.
Bagi dirinya, dia lebih selesa menumpukan perhatian kepada kerjaya lakonannya berbanding gosip murahan.
"Saya ini jenis yang tidak pandai cipta gosip, lebih-lebih lagi kalau melibatkan diri saya sendiri.
"Kalau hidup saya penuh dengan gosip, mungkin saya bukan Lala yang orang kenal sekarang sebaliknya saya akan jadi orang lain," katanya yang mengakui lebih suka berdiam diri dan memberikan fokus kepada lakonan.
Diam tidak diam, penglibatannya dalam dunia lakonan sudah mencecah angka lima tahun.
Namun menurutnya, sejak hari pertama dia melibatkan diri dalam dunia lakonan, dirinya tidak putus-putus meraih tawaran berlakon walaupun kadangkala watak yang ditawarkan sekadar picisan.
"Saya rasa bersyukur hingga ke saat ini walaupun tidak diberikan watak yang besar atau popular, namun peluang untuk muncul di kaca televisyen sentiasa ada dan itu sudah memadai bagi saya sebab tidaklah saya terus tenggelam dari mata penonton," katanya.
Akuinya, kesibukan jadual harian kadangkala menyebabkan dirinya tidak mempunyai waktu rehat yang mencukupi.
"Selagi ada tawaran (berlakon), saya tidak akan tolak sebab bukan senang nak bina nama dan kepercayaan pengarah untuk menggalas sesuatu watak," ujarnya.
Dalam pada itu, seringkali apabila menonton drama Melayu yang menampilkan lakonan figura ini, pasti penonton sudah dapat meneka watak yang dilakonkannya.
Jelak jadi gedik
Namun menurut pemilik nama penuh Wan Sharmila Wan Mohamed ini, semuanya bergantung kepada rezeki meskipun kadangkala dia berasa jelak dengan watak sebegitu.
"Tidak dinafikan watak yang diberikan kadangkala memberi kesan kepada kita bila orang ingat watak yang dibawa dengan karakter sebenar saya sama sahaja," katanya.
Terbaharu, Lala, 31, tidak lagi diberi watak perempuan gedik, sebaliknya dia menghidupkan karakter yang mencabar menerusi filem arahan Faizul A. Rashid, Bisikan Syaitan.
Ia bakal mula ditayangkan pada 25 Oktober ini.

LALA dan Azam merealisasikan karakter pasangan kekasih dalam filem Bisikan Syaitan.


"Ini merupakan kali pertama saya melakonkan aksi-aksi mencabar dan ia ternyata berbeza daripada lakonan saya sebelum ini yang memerlukan saya untuk menjadi gedik.
"Sebenarnya, saya sudah lama teringin untuk membawa watak berat seperti ini, cuma tidak pernah diberi peluang.
"Apabila pengarah memberitahu saya bakal melakonkan watak ini pada tahun lepas, saya sangat teruja dan Alhamdulillah, saya mampu mengharunginya," ujarnya.
Dalam filem itu, dia yang memegang watak sebagai seorang gadis naif bernama Kamilia bergandingan dengan pendatang baharu, Azam Pitt sebagai pasangan kekasih.
Kamilia merupakan mangsa perjanjian syaitan angkara antara abangnya sendiri, Kamil (lakonan Fizz Fairuz) dan kakak iparnya, Suraya (Nabila Huda).
Bercerita tentang Azam Pitt, menurut pelakon genit ini, dia tidak mempunyai sebarang masalah apabila digandingkan bersama jejaka tersebut memandangkan sebelum ini mereka pernah bergandingan dalam drama TV.
"Saya sudah ada pengalaman bekerja dengan Azam tetapi kali ini lain sedikit memandangkan saya dan dia bergandingan sebagai sepasang kekasih.
"Namun, kami banyak berbincang untuk mendapat keserasian watak yang dibawakan," ujarnya mengakhiri bicara.

Diana Amir ada alasan

Posted: 18 Oct 2012 08:39 PM PDT


KETIDAKHADIRAN Diana Amir pada majlis tayangan perdana filem, PE3 di Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor, Isnin lalu menimbulkan pelbagai spekulasi.


KETIKA menghadiri majlis pelancaran filem, PE3 arahan Farid Kamil di Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, kelibat salah seorang pelakon utama filem tersebut iaitu Diana Amir, tidak kelihatan.
Tindakan aktres itu secara tidak langsung telah menimbulkan banyak spekulasi daripada pelbagai pihak.
Ada yang menganggap Diana Amir sudah besar kepala memandangkan pelakon filem Aku Masih Dara itu juga pernah tidak hadir ke sesi tayangan perdana filem X, beberapa bulan lalu.
Ada juga yang berpendapat ketidakhadiran Diana pada majlis tayangan filem PE3, Isnin lalu itu kerana berkecil hati ekoran gambarnya tidak turut menghiasi poster filem tersebut.
Kosmo! menghubungi Diana untuk mendapatkan komen lanjut mengenai isu tersebut.
Kosmo!: Kenapa Diana mengambil keputusan untuk tidak menghadiri majlis pelancaran filem PE3, sedangkan Diana merupakan salah seorang pelakon utama filem itu?
DIANA: Ya, saya mengaku tidak hadir ke majlis tayangan perdana filem PE3 kerana sejujurnya, saya segan. Ketika menjalani penggambaran filem tersebut, saya masih lagi tidak bertudung. Jadi, agak kekok untuk menonton semula lakonan saya tersebut.
Adakah ini bermakna disebabkan batasan imej terkini Diana yang bertudung, ia menghalang anda hadir ke majlis itu?
Memang benar dan saya juga tidak menghadirkan diri ketika majlis pelancaran filem X atas sebab yang sama.
Adakah Diana kecewa apabila gambar Diana telah dikeluarkan dari poster filem berkenaan?
Saya telah diberitahu mengenai perkara ini, malah David Teo juga menyokong tindakan mengeluarkan gambar saya dari poster filem itu. Dia juga enggan perkara ini menjadi isu yang besar setelah poster filem PE3 dikeluarkan.
Apakah komen Diana jika ada sesetengah pihak mengatakan Diana adalah seorang pelakon yang tidak profesional dan cerewet?
Sebagai seorang manusia biasa, kita memang tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Saya faham persepsi orang ramai terhadap diri ini. Saya yakin peminat juga faham prinsip baharu hidup saya sekarang.
Sebelum ini, mungkin saya tidak terlalu peka dengan keseluruhan jalan cerita atau plot sesetengah filem sebelum sesi penggambaran bermula. Walau bagaimanapun sekarang, saya harus cerewet dalam memilih skrip atau watak yang bersesuaian dengan diri saya.
Tidak gusar dilabelkan sebagai diva oleh penerbit atau pengarah lain?
Seperti yang saya katakan tadi, saya yakin semua orang faham dan hormati prinsip hidup saya. Saya kini bertudung dan saya juga pasti penerbit dan pengarah di luar sana mengerti akan batasan pergaulan diri ini ketika sesi penggambaran.
Begitu juga dengan tawaran berlakon, selagi tidak melanggar prinsip hidup serta selari dengan imej saya, Insya-Allah saya akan melakonkan watak yang diberikan sebaik mungkin.
Masih mahu meneruskan karier dalam bidang lakonan?
Saya masih mencintai bidang lakonan. Saya masih akan menerima tawaran berlakon jika watak yang ditawarkan bersesuaian dengan saya.
Perkembangan terkini Diana?
Sekarang saya sedang mengembangkan karier saya dalam bidang pengacaraan. Buat masa ini, saya agak sibuk mengacara sebuah rancangan hiburan baharu di TV9, SIS (Suara Intelek Swadarya) yang bakal disiarkan tidak lama lagi.

Isteri rayu suami dibebaskan

Posted: 18 Oct 2012 08:36 PM PDT



MAESAROH dan tiga anaknya menatap potret perkahwinannya dengan Salleh di Kuching semalam.



KUCHING - Seorang isteri merayu Kementerian Luar membantu membebaskan suaminya yang kini ditahan di sebuah penjara di Pontianak, Kalimantan Barat sejak hampir empat bulan lalu atas tuduhan memperdagangkan manusia.
Maesaroh Siti, 27, membuat rayuan tersebut memandangkan dakwaan yang dikenakan ke atas suaminya, Salleh Rambli, 44, adalah tidak benar sama sekali.
Dakwanya, sejak ditahan di penjara tersebut selama 114 hari, suaminya yang merupakan pengusaha restoran sentiasa diugut dan dipukul sekumpulan banduan bagi mendapatkan wang.
"Saya merayu kepada Kementerian Luar supaya membantu suami saya supaya dapat pulang ke negara ini kerana dia tidak bersalah. Anak-anak juga merinduinya.
"Saya buntu memikirkan nasibnya kerana sejak tahanan reman dilanjutkan enam kali, dia sering diancam dan dipukul banduan lain.
"Beberapa hari lalu, saya dapat bercakap dengannya dan saya dapat dengar nada suaranya dalam ketakutan," ceritanya kepada Kosmo! semalam.

Mati dihempap konkrit 40 tan

Posted: 18 Oct 2012 08:36 PM PDT

ANGGOTA bomba melihat bumbung konkrit yang runtuh hingga mengakibatkan seorang buruh maut manakala tujuh lagi cedera di Shah Alam semalam.


SHAH ALAM – Sekumpulan enam buruh Indonesia yang sedang melakukan kerja-kerja ubah suai di sebuah banglo mewah bernilai hampir RM4 juta bernasib malang apabila salah seorang mereka maut manakala bakinya cedera parah apabila bumbung konkrit seberat 40 tan kediaman tersebut tiba-tiba runtuh.
Kejadian pukul 4.20 petang semalam di Jalan Jed Satu 7/5A, Seksyen 7 di sini itu berlaku ketika kesemua buruh berkenaan sedang melakukan pengubahsuaian di bahagian dalam serta aras atas banglo dua tingkat tersebut.
Ekoran runtuhan itu, kesemua mangsa terperangkap di bawah timbunan konkrit hampir 40 minit.
Difahamkan, banglo enam bilik itu dipercayai milik seorang ahli perniagaan. Ia diubah suai untuk menambah bilik surau di tingkat atas dan membuat kolam mini di aras bawah.

Kampung Air 20 tahun terbakar

Posted: 18 Oct 2012 08:35 PM PDT



ANGGOTA bomba dan beberapa penduduk kampung bertungkus-lumus memadamkan kebakaran yang memusnahkan 81 buah rumah di Kampung Selamat, Simunul, Semporna, Sabah semalam.



SEMPORNA - Lebih 600 penghuni perkampungan air di sini, tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka yang terletak di Kampung Selamat, Simunul hangus dijilat api dalam satu kejadian kebakaran semalam.
Kejadian yang berlaku pada pukul 11.30 pagi itu mengakibatkan 81 buah rumah papan yang diduduki lebih 600 penghuni sejak lebih 20 tahun lalu itu musnah dijilat api.
Akibat kejadian itu, lima orang penduduk cedera kerana melecur dan mereka menerima rawatan lanjut di Hospital Semporna, Sabah.
Kampung Selamat merupakan sebuah perkampungan padat dengan jumlah penghuni sekitar 3,000 orang yang difahamkan kebanyakannya terdiri daripada pelarian Filipina semasa krisis peperangan di negara terbabit pada tahun 70-an.
Pegawai Bomba dan Penyelamat Semporna, Mohd. Razali Ag. Ahmad berkata, sebuah jentera dengan kekuatan 11 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 11.41 pagi.
Katanya, operasi memadamkan api turut dibantu sebuah jentera dan 12 anggota dari Balai Bomba Tawau selain dua jentera utiliti bersama tujuh anggota dari Kunak.
"Operasi memadamkan kebakaran mengambil masa hampir dua jam berikutan kedudukan rumah terbabit yang begitu rapat antara satu sama lain.
"Api berjaya dikawal sepenuhnya sekitar pukul 3.53 petang," katanya di sini semalam.
Tambahnya, siasatan awal mendapati, jumlah kerugian mencecah kira-kira RM938,000 dan punca kejadian masih disiasat.
Semua mangsa kebakaran terbabit akan ditempatkan sementara di Dewan Masyarakat Semporna.

Penduduk Taman City minta pembahagi jalan

Posted: 18 Oct 2012 08:33 PM PDT


SEBUAH van (kanan) keluar dari Taman City untuk memasuki Jalan Kuching yang sibuk.


KUALA LUMPUR – Penduduk di sekitar Taman City, Segambut di sini meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membina pembahagi jalan di susur keluar Taman City ke Jalan Kuching bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang teruk di kawasan tersebut.
Menurut seorang penduduk, Ng Chuan Chye, 51, ketiadaan pembahagi jalan di susur keluar taman itu menyebabkan pemandu mengalami kesukaran untuk keluar ke Jalan Kuching.
"Pengguna terpaksa menghabiskan banyak masa untuk keluar ke Jalan Kuching memandangkan jalan tersebut merupakan jalan utama dan sangat sibuk.
"Tambahan pula, sikap pengguna yang suka memandu laju memburukkan lagi keadaan sehingga menjejaskan aliran trafik dan kesesakan lalu lintas," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Penyamun kempunan tercicir gelang emas

Posted: 18 Oct 2012 08:31 PM PDT


FATIMAH menunjukkan gelang emasnya yang gagal dilarikan oleh penyamundi kedainya di Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU - Empat penyamun bersenjatakan pistol berputih mata apabila gagal melarikan seutas gelang emas kepunyaan pemilik sebuah kedai runcit dalam kejadian samun di Kampung Pantai Sabak, Pengkalan Chepa di sini kelmarin.
Kejadian pukul 8 malam itu berlaku apabila dua daripada empat suspek yang memakai topi itu masuk ke dalam kedai berkenaan dan berpura-pura membeli minuman.
Mereka kemudian tiba-tiba merentap gelang tangan mangsa, Fatimah Hussin, 50, yang ketika itu berada di kaunter kedai tersebut.
Cerita Fatimah, dia terkejut dengan tindakan lelaki itu manakala seorang lagi lelaki mengeluarkan sepucuk pistol dan mengarahkannya supaya mendiamkan diri.
"Saya tidak endahkan amaran mereka lalu menjerit dan menyebabkan anak lelaki saya, Che Mohd. Fakaruddin Che Abdul Aziz, 19, yang berada di dalam kedai meluru keluar ke arah kami.
"Menyedari keadaan itu, kesemua lelaki tersebut bergegas keluar dan sempat melepaskan tembakan ke udara sebelum melarikan diri dengan kereta Perodua Myvi," katanya di sini semalam.

Kapal didaftar di Malaysia karam

Posted: 18 Oct 2012 08:30 PM PDT

KAPAL kargo Shinline karam dekat Pulau Jeju, Korea Selatan semalam.


SEOUL - Tiga kelasi warga Filipina dan dua rakyat China terbunuh semalam apabila sebuah bot pengawal pantai Korea Selatan yang dinaiki mereka karam, kata beberapa pegawai.
Ketika kejadian, bot itu menyelamatkan mereka dari sebuah kapal kargo Shinline yang turut karam.
Seorang jurucakap pengawal pantai berkata, bot itu terbalik ketika membawa 15 anak kapal kargo itu.
Kapal kargo yang didaftarkan di Malaysia dan seberat 5,436 tan itu karam berhampiran Pulau Jeju, di selatan negara ini.
Menurutnya, sebuah lagi bot pengawal pantai yang terlibat dalam operasi menyelamat kemudian hanya berjaya menyelamatkan 10 kelasi kapal tersebut.
Kapal kargo itu membawa 13 kelasi warga China dan enam rakyat Filipina membuat panggilan kecemasan selepas kapal yang dalam pelayaran ke Singapura itu mula tenggelam.
"Sebuah bot yang digunakan dalam operasi menyelamat itu terbalik kerana ombak kuat," kata jurucakap berkenaan.
Kesemua kelasi dan pengawal pantai yang selamat itu telah dihantar ke sebuah hospital di Jeju.

Jual lembu korban dengan cara yang unik

Posted: 18 Oct 2012 08:29 PM PDT

SEORANG jurujual wanita yang berpakaian seperti koboi mengiringi pelanggan wanita di bilik pameran jualan lembu di Depok semalam


DEPOK, Indonesia - Seorang ahli perniagaan, Ramdoni mengubah suai bilik pameran kereta miliknya menjadi tempat jualan sejumlah lembu untuk dikorbankan pada sambutan Hari Raya Aidiladha di sini.
Dia turut menggaji beberapa wanita yang memakai pakaian koboi untuk menjadi jurujual lembu dan melayan pelanggan-pelanggannya.
Jurujual wanita itu turut membawa komputer tablet yang mengandungi maklumat tentang lembu seperti umur, berat badan dan baka haiwan tersebut.
Para pembeli juga boleh membeli lembu itu dengan menggunakan kad kredit dan debit.

PM Australia terjatuh di depan kamera

Posted: 18 Oct 2012 08:28 PM PDT


KOMBINASI gambar menunjukkan detik-detik Gillard terjatuh di Memorial Mahatma Gandhi, New Delhi kelmarin.


SYDNEY - Perdana Menteri Australia, Julia Gillard (gambar) terjatuh selepas beliau meletakkan kalungan bunga di Memorial Mahatma Gandhi di New Delhi, India kelmarin.
Gillard terjatuh selepas kasut tinggi yang dipakainya terbenam di kawasan berumput semasa beliau berjalan ke arah pemberita dan jurugambar media.
Bagaimanapun, beliau kemudian segera bangun dan ketawa.
Gillard mengaku bahawa kasut tinggi yang dipakainya itu boleh terbenam di kawasan berumput sehingga menyebabkannya terjatuh.
Klip video yang menunjukkan perdana menteri itu terjatuh disiarkan berulang kali di televisyen Australia semalam.
Beberapa program berita dan media sosial juga menyiarkan klip video itu.
Akhbar Daily Telegraph di negara ini turut menyiarkan berita tentang kejadian tersebut di muka depan.

Google dedah pusat data

Posted: 18 Oct 2012 08:27 PM PDT


IMEJ yang tidak bertarikh menunjukkan sebuah pusat data Google di Hamina, Finland.


SAN FRANCISCO - Syarikat Google kelmarin mendedahkan gambar beberapa pusat datanya yang menunjukkan sejumlah komputer memproses permintaan pengguna internet.
Pusat itu memproses permintaan klip video YouTube dan menghantar e-mel kepada berjuta-juta orang.
Imej pusat data itu boleh dilihat menerusi laman web yang baharu diperkenalkan Google iaitu www.google.com/about/ datacenters/gallery/.
Laman tersebut memaparkan lapan buah pusat data utama yang terletak di Amerika Syarikat, Finland dan Belgium.
Google juga akan membina pusat data baharu di Hong Kong, Taiwan, Singapura dan Chile.

Misi cipta rekod lebih laju daripada peluru

Posted: 18 Oct 2012 08:26 PM PDT


Imej yang dihasilkan dengan menggunakan komputer menunjukkan kereta roket yang akan dipandu McGlashan.


SYDNEY - Seorang pelumba Australia, Rosco McGlashan mahu mencipta rekod lebih laju daripada peluru pada 2014 dengan memandu sebuah kereta.
McGlashan percaya dia mampu mencipta rekod itu dengan memandu sebuah kereta yang dilengkapi teknologi roket pada kelajuan 1,609 kilometer sejam.
Kereta yang dipandunya akan bergerak lebih laju daripada sebutir peluru.
Kos bagi menghasilkan kereta itu ialah AS$4.2 juta (RM12.75 juta).
Kereta itu yang diberi nama Invader 5R sepanjang 16 meter.
Ia dijana kuasa roket dan menggunakan bahan bakar bio serta cecair oksigen. -
Dia dan anggota-anggota pasukannya akan menguji kereta tersebut pada tahun depan.

Sihanouk kesayangan rakyat Kemboja

Posted: 18 Oct 2012 08:25 PM PDT



LAUTAN manusia membanjiri pekarangan Istana Diraja Phnom Penh, Kemboja untuk menangisi pemergian pemimpin kesayangan mereka, Norodom Sihanouk, 89.
Situasi memilukan itu membuktikan betapa kasihnya rakyat negara itu terhadap lelaki yang digelar 'Bapa Raja' tersebut.
Sihanouk pernah mengeluarkan kenyataan: "Saya adalah Sihanouk dan semua rakyat Kemboja adalah anak-anak saya."
Tempoh perkabungan rasmi telah bermula sejak Rabu lalu dan ketiadaan kawasan khas bagi upacara itu tidak menghalang orang ramai untuk hadir ke kawasan istana bagi memberi penghormatan terakhir.
Menjelang petang, ribuan lagi orang awam memenuhi kawasan tersebut. Pihak istana terpaksa menyediakan meja bagi menempatkan bunga-bunga, lilin dan setanggi, sambil orang awam berbaris mengabadikan ucapan takziah mereka dalam sebuah buku khas.
"Saya berharap dapat melihat mendiang dan mahu menatap wajahnya buat kali terakhir," ujar Mean Pichavisa, 16, yang sedang memotong reben hitam untuk diletakkan pada baju putihnya sebagai simbol perkabungan.
Remaja itu juga membotakkan kepalanya sebagai tanda hormat di atas pemergian Sihanouk. Kepulangan pemimpin Asia Tenggara terakhir yang merebut kemerdekaan Kemboja selepas peperangan itu, diibaratkan sebagai momen paling penting dalam sejarah negara tersebut.
Difahamkan, hampir 100 sami dan rahib Buddha memulakan upacara doa sejak Selasa lalu di sebuah pagoda yang terletak berhampiran istana.
"Sebagai penganut Buddha, kami percaya doa kami dapat membantu roh Bapa Raja kesayangan kami bersemadi dengan aman dan melalui proses kelahiran semula dengan cepat," ujar Ngoun Pheadkey, sami berusia 22 tahun yang menambah, upacara itu adalah tanda terima kasih rakyat jelata kepada Sihanouk.
Sejumlah orang awam, khususnya warga emas, sanggup datang dari ceruk kampung selepas mendengar berita kematian Sihanouk.
"Semua penduduk Kampong Chhnang berdukacita dan meratapi pemergian Sihanouk. Kami sentiasa berharap beliau dapat hidup lebih lama," ujar seorang tukang masak Pen Sominea, 50.
Di bandar-bandar utama Kemboja, segenap lapisan rakyat memakai reben hitam pada baju mereka. Sekumpulan pelajar universiti pula dilihat mendendangkan lagu patriotik Kemboja dengan penuh bangga di hadapan istana.

RAKYAT Kemboja membanjiri Istana Diraja Phnom Penh bagi memberi penghormatan terakhir kepada bekas raja mereka.


"Beliau seorang raja yang baik. Beliau menjaga negara dan rakyat Kemboja dengan penuh tanggungjawab," ujar seorang penduduk Kampong Cham, Ching Sivheang, 94.
Penulis biografi rasmi Sihanouk, Julio Jeldres pernah mengungkapkan: "Sihanouk ialah Kemboja."
Permintaan terakhir
Ekspresi yang dipetik rakyat cukup memberi gambaran tentang kredibiliti Sihanouk sebagai pemimpin. Biarpun pendirian beliau sering dipersoalkan, segala keputusan yang dipilih adalah semata-mata demi kebajikan negara dan rakyatnya.
Bukti sokongan rakyat terhadapnya dapat dilihat menerusi perbarisan melibatkan kira-kira 100,000 orang yang menyambut kepulangan jenazah Sihanouk pada Rabu lalu. Mereka memenuhi jalan-jalan di sepanjang lapangan terbang sehingga ke istana.
Jenazah Sihanouk akan terus berada di istana untuk tiga bulan membolehkan orang ramai memberi penghormatan terakhir.
Pada Januari lalu, Sihanouk meminta agar jenazahnya dibakar mengikut tradisi agama Buddha. Beliau memohon supaya abunya diletakkan di dalam tempayan, seboleh-bolehnya diperbuat daripada emas dan diletakkan di dalam stupa istana.
Sihanouk yang meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Beijing, China mula menerima rawatan sejak Januari lalu. Beliau berperang dengan beberapa penyakit termasuk kanser, diabetes dan masalah jantung. Sepanjang tempoh rawatan, beliau ditemani isteri keenam yang dikahwini pada tahun 1952, Norodom Monineath atau lebih dikenali dengan nama Monique.

GAMBAR bertarikh 30 Oktober 2001 ini merakamkan aksi Sihanouk bersama Monique melambai tangan kepada orang ramai ketika menghadiri festival tahunan lumba bot di Kemboja.


Hubungan akrab Sihanouk bersama pemimpin revolusi China, Mao Zedong dan Zhou Enlai dibuktikan menerusi penghormatan bendera China yang dinaikkan setengah tiang di Tiananmen Square dan di beberapa lokasi utama pusat bandar negara itu.
"Saya sentiasa menganggap China sebagai rumah kedua. Hanya China menyokong kami walaupun ditentang Khmer Rouge dan tidak diingini oleh Kesatuan Soviet," ujar Sihanouk pada tahun 1971.
Legasi
Dilahirkan pada 31 Oktober 1922, Sihanouk melalui zaman kanak-kanak ketika era kolonial Perancis Indochina. Pada tahun 1941, Perancis menabalkan beliau sebagai Raja Kemboja walaupun baharu berusia 18 tahun.
Perancis menganggap Sihanouk sebagai seorang putera yang tidak serius dan mudah dikawal. Mereka memandang rendah kebolehan Sihanouk, namun pada tahun 1953, Perancis akhirnya berundur.
Pada tahun 1955, Sihanouk turun takhta dan memberi laluan kepada ayahandanya, Norodom Suramarit untuk menaiki takhta. Beliau menceburi dunia politik dan membentuk parti sendiri serta memegang beberapa posisi penting seperti perdana menteri dan ketua negara.
Sepanjang hidupnya, beliau cuba menjadikan Kemboja sebagai negara berkecuali ketika Perang Dingin memuncak dan menjadi pengasas kepada Pergerakan Negara-Negara Berkecuali. Pada tahun 1965, beliau memutuskan hubungan dengan Amerika Syarikat (AS) yang kemudiannya menggandakan asakan dalam Perang Vietnam.
Namun, pada tahun 1969, beliau mencipta perhubungan baharu bersama AS dan mengetepikan China kerana bimbang bahan mentah negaranya dikuasai komunis Vietnam.
Keutamaan Sihanouk adalah bagi mengelakkan Kemboja daripada terlibat dengan perang, tanpa mengira musuh atau kawan, tetapi beliau gagal. Tentera udara AS mengebom markas komunis Vietnam di Kemboja yang disangka telah dipersetujui Sihanouk menerusi persefahaman tidak bertulis.
Bagi merebut kembali takhtanya selepas dirampas Jeneral Lon Nol yang mendapat sokongan AS pada tahun 1970, beliau membuat pakatan bersama Khmer Rouge. Ketika itu beliau melalui tempoh buangan di China.
Apabila Khmer Rouge berjaya merampas kuasa pada tahun 1975, Sihanouk kembali ke Kemboja. Namun, beliau meletakkan jawatan sebagai ketua negara selepas beberapa bulan dan diarahkan menjalani hukuman mati. Campur tangan pemimpin China, Zhou Enlai menyelamatkan beliau.
Sihanouk kemudiannya ditahan di istananya sendiri sambil menyaksikan Khmer Rouge menubuhkan rejim fahaman Mao Zedang yang bersifat ultra radikal bermula tahun 1975 sehingga tahun 1979. Sepanjang tempoh itu, kira-kira 1.7 juta rakyat terbunuh termasuk lima anaknya.

SAMI-SAMI Buddha dan orang ramai memenuhi monumen kemerdekaan Kemboja menantikan konvoi perjalanan yang membawa Sihanouk dari lapangan terbang ke istana.


Vietnam kemudiannya menawan Khmer Rouge pada tahun 1978 manakala Sihanouk dibuang negeri ke Beijing dan Korea Selatan. Walaupun kurang menyukai Khmer Rouge, Sihanouk terpaksa bersama tentera itu untuk membentuk Kerajaan Campuran Demokratik Kampuchea dan menghalau tentera Vietnam.
Selepas 10 tahun, Sihanouk kembali menaiki takhta pada tahun 1993 dan membina semula reputasi sebagai pemerintah negara mengikut sistem raja berperlembagaan. Keamanan negara bagaimanapun masih belum dapat dikembalikan ekoran trauma rakyat terhadap Pol Pot sehinggalah pemimpin Khmer Rouge itu mati pada tahun 1998.
Pada tahun 2004, atas faktor kesihatan Sihanouk akhirnya menyerahkan takhta kepada anak lelakinya, Norodom Sihamoni untuk menjadi Raja Kemboja.

Art On Glass ilham Salmiah

Posted: 18 Oct 2012 08:24 PM PDT



JARI-JEMARINYA memegang lembut berus sambil mengoles warna-warna terang pada lukisan yang sedia ada di atas permukaan kepingan kaca lutsinar.
Tidak sampai 10 minit, 'wajah' kepingan kaca kosong tadi sudah menjadi naskhah seni yang mampu menyuntik perasaan bangga dan membuatkan sang pengkarya tersenyum puas.
Sudah menjadi rutin wanita berusia 45 tahun itu melihat pancaran ekspresi wajah penuh keterujaan daripada wanita-wanita yang datang menuntut ilmu seni dan kraf di premisnya, Art On Glass Biz di Jalan Dataran Selayang 2, Selangor.
Setiap kali melihat keceriaan di wajah anak-anak didiknya itu, semakin menggebu hasrat Salmiah Mohd. Norin untuk berkongsi ilmu seni lukisan kaca yang dipelajarinya empat tahun lalu.
Minatnya terhadap seni tersebut hanya terbit empat tahun lalu saat ibu kepada empat orang cahaya mata itu terbaca sebuah artikel mengenai seni tersebut di dada akhbar.
Bagai cinta pandang pertama, keunikan seni lukisan kaca telah menyunting hatinya untuk mendekati dan mendalami seni tersebut. Salmiah lantas mencari 'sifu' bagi membolehkan hasratnya menjadi kenyataan.
"Selama setahun saya belajar mendalami seni ini, sudah sampai masanya untuk berkongsi ilmu yang ada kepada wanita-wanita di luar sana terutamanya dalam kalangan suri rumah dan ibu-ibu tunggal.
"Berbeza dengan kelas-kelas seni dan kraf lain, Art On Glass Biz bukan sahaja mengetengahkan kelas lukisan kaca, malah turut menawarkan kelas sulaman reben, sulaman manik, decoupage, anyaman surat khabar dan gubahan bunga di bawah satu bumbung bermula Januari lalu," katanya yang tidak mempunyai sebarang pendidikan formal berkaitan seni itu sebelum ini.

DENGAN bayaran RM30 satu jam, segala peralatan keperluan untuk mempelajari seni kraf kaca akan disediakan, malah pelajar boleh membawa pulang hasil seni mereka.


Tambahnya, idea menghimpunkan kelas kraf di bawah satu bumbung adalah bagi memudahkan orang ramai untuk mempelajari pelbagai seni kraf tanpa perlu pergi ke merata tempat.
Salmiah juga pernah berhadapan dengan kesulitan tersebut, jadi dia mahu memudahkan wanita-wanita pencinta kraf di luar sana dengan menghimpunkan kelas kraf di bawah satu bumbung.
"Bagi seni lukisan kaca, saya sendiri akan turun padang menjadi tenaga pengajar tetapi untuk seni sulaman reben, manik dan lain-lain, khidmat tenaga pengajar luar disediakan.
"Saya mengambil khidmat salah seorang tenaga pengajar di Kolej Komuniti Selayang iaitu Rosnah Mamat, 56, apabila ada permintaan daripada orang ramai yang mahu mempelajari kraf tangan lain selain daripada lukisan kaca," ujarnya yang turut menerima tempahan cenderamata dan hadiah korporat.
Isi masa terluang
Sesiapa yang menjejakkan kaki ke Art On Glass Biz pasti terkesima dengan hasil tangan seni coretan kreativiti Salmiah.
Mungkin sesetengah orang melihatnya menganggap seni lukisan kaca sesuatu yang mudah, tetapi tak kenal maka tak cinta. Ia tidak semudah yang disangka, namun dengan latihan berulang kali, anda mampu menghasilkan sesuatu persis kerja tangan profesional.
"Jujur saya katakan, saya bukan tangan seni dan tidak minat seni pun sejak kecil.
"Apabila anak-anak sudah besar, saya tidak mempunyai aktiviti ketika mereka ke sekolah. Jadi, saya ingin lakukan sesuatu untuk diri sendiri," katanya yang pernah berkhidmat sebagai pembantu peribadi di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selama lapan tahun sebelum berhenti kerja untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada anak-anak dan keluarga.
Sejak melibatkan diri dalam seni lukisan kaca, Salmiah tidak dapat melupakan momen indah ketika membuka gerai pada Perhimpunan Agung UMNO 2010.
"Ketika itu Tun Dr. Mahathir Mohamad terus melangkah ke gerai saya walaupun peniaga-peniaga lain memanggil-manggil beliau ke gerai masing-masing.
"Ia satu penghormatan buat saya apabila Tun membeli sebuah pasu bunga hasil kerja tangan saya," katanya yang turut mendapat undangan syarikat-syarikat swasta untuk turut serta dalam program anjuran mereka.
Tidak seperti kelas kraf lain, Art On Glass Biz mengenakan bayaran RM30 untuk satu jam. Salmiah akan menyediakan segala keperluan belajar dan mereka yang berminat hanya perlu menghadirkan diri.
"Hasil kreativiti yang telah disiapkan boleh dibawa pulang. Kelas ini juga dibuka kepada para pelajar semasa cuti sekolah," ujarnya sambil memberitahu diskaun akan diberikan jika hadir dalam kumpulan 15 hingga 30 orang.
Tiada had umur atau kriteria tertentu diperlukan untuk seseorang itu menuntut seni kraf di Art On Glass Biz. Cukup sekadar minat dan tidak perlu ada latar belakang seni.
Sulaman reben

ART On Glass Biz bukan sahaja menjadi lokasi menimba ilmu kraf, malah pada masa yang sama dapat menjadi terapi meredakan stres.


Jika orang ramai tidak mahu melalui jalan-jalan yang sesak, Salmiah pula sebaliknya. Dia sanggup memandu kereta kancil anaknya yang mempunyai paparan mengenai Art On Glass Biz pada cermin belakang meredah kesesakan jalan raya semata-mata untuk tujuan promosi.
Dalam pada itu, salah seorang pelajar yang pernah mengikuti kelas sulaman reben, Nur Zaiton Mohd. Salji, 45, memberitahu selepas menghadiri kelas selama lima jam, dia sudah mampu menguasai asas sulaman reben.
"Saya sangat meminati sulaman reben, tetapi tidak tahu di mana tempat yang menawarkan kelas sebegini.
"Kerana minat, saya cuba mempelajarinya secara dalam talian melalui YouTube, namun agak sukar untuk berbuat demikian kerana tidak dapat melihat secara langsung," katanya.
Selepas mengetahui Art On Glass Biz ada menawarkan kelas sulaman reben, Nur Zaiton tidak melepaskan peluang tersebut dan mula mengikuti kelas pada Julai lalu.
Apabila sudah mempelajari asas dan menguasai beberapa teknik sulaman reben, ibu kepada tiga cahaya mata itu sanggup bersengkang mata sehingga jam 2 pagi untuk memberikan nafas baharu pada sarung-sarung kusyen lama miliknya.
"Selain sarung-sarung kusyen, saya juga menjahit sulaman reben pada bekas botol kuih raya.
"Tidak lama untuk menguasai sulaman ini. Apabila sudah faham asasnya, kita sudah boleh mencipta macam-macam mengikut kreativiti masing-masing," ujarnya yang turut mengajar kenalan terdekat.

Bantuan melawan kelaparan

Posted: 18 Oct 2012 08:23 PM PDT


BEKALAN air bersih turut disalurkan kepada kanak-kanak di Vietnam.


MENGIKUT kajian Organisasi Bantuan Kelaparan dan Menghadapi Masa Depan Amerika Syarikat sehingga bulan Mac lalu, setiap tiga saat berlaku satu kematian akibat kebuluran di seluruh dunia.
Hasil kajian itu juga mendapati, setiap tahun seramai lima juta kanak-kanak mati disebabkan faktor yang sama iaitu kebuluran.
Malah, lebih 925 juta orang dikatakan sedang berdepan konflik kelaparan di seluruh dunia.
Menyedari hakikat itu, pusat penjagaan dan rawatan rambut, 101 Hair Care bekerjasama dengan sebuah badan amal antarabangsa, World Vision untuk membantu kanak-kanak di Asia yang mengalami kebuluran.
Komited dengan tanggungjawab sosial yang perlu dicurahkan kepada golongan yang kurang bernasib baik, 101 Hair Care mengambil inisiatif untuk menaja seramai 101 kanak-kanak miskin dari Kemboja, China, India, Indonesia, Lubnan, Myanmar, Thailand dan Vietnam.
Malah sejak tahun 1997, 101 Hair Care telah mengumpulkan sejumlah RM211,800 untuk membantu kanak-kanak miskin di bawah program tahunan tajaan World Vision.
Pakej amal 101 Hair Care
Pada tahun ini, pusat tersebut telah menyerahkan sumbangan RM60,600 menerusi jualan set penjagaan rambut amal.
Justeru, melihat kepada sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan, pusat tersebut melaksanakan projek yang sama pada suku kedua tahun ini berasaskan siapa cepat didahulukan.
101 Hair Care dan World Vision menganjurkan lawatan ke Thailand dan Vietnam dan mereka yang berminat boleh membeli mana-mana pakej amal 101 untuk berpeluang menyertai Program Pembangunan Kawasan World Vision.
Para pelanggan yang telah membeli salah satu pakej amal itu akan mendapat bayaran minimum untuk pakej lawatan lima hari empat malam ke Thailand termasuk tiket penerbangan, penginapan dan makan berjumlah RM2,700, manakala lawatan ke Vietnam lima hari empat malam berjumlah RM2,600.
Kesemua hasil jualan tersebut sebahagian besarnya akan disumbangkan kepada World Vision nanti.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif 101 Hair Care, Ricky Thye berkata, pihaknya juga menawarkan edisi terhad set penjagaan rambut kepada orang ramai.
"Anda boleh menjaga rambut dengan rawatan yang berkualiti daripada 101 Hair Care di samping menghulurkan bantuan kepada kanak-kanak yang memerlukan.
"Oleh itu, kita berharap orang ramai jangan melepaskan peluang ini untuk bertemu dengan kanak-kanak istimewa tersebut," katanya sambil memberitahu set penjagaan rambut mengandungi pek penyenggaraan, nutrisi, antipenuaan kulit kepala dan nutri folikel yang dijual pada harga istimewa.
Sementara itu, melihat kepada peningkatan angka penduduk dunia yang berdepan konflik kelaparan, 101 Hair Care juga menyokong kempen 30 Jam Kelaparan sebagai langkah susulan menyokong transformasi dalam kehidupan kanak-kanak dan komuniti mereka.
101 Hair Care telah menganjurkan kempen itu di ibu pejabatnya di USJ, Subang, Selangor baru-baru ini yang disertai lebih 50 kakitangan.
Dalam program itu, pelbagai aktiviti disusun bagi membolehkan peserta menyelami penderitaan kanak-kanak di negara kurang membangun.
Antaranya membina sendiri rumah daripada kotak dan surat khabar, mengemudi belon dan bola ping pong. Mereka melakukan semua tugasan itu seolah-olah sedang berada di kawasan gempa bumi.
Menerusi aktiviti-aktiviti itu, kakitangan dapat melihat sendiri cabaran dihadapi kanak-kanak dan merasai keperitan yang dilalui mereka.
Untuk maklumat lanjut mengenai aktiviti amal 101 Hair Care layari laman www.101hair.com.my.

Agihan daging akikah dan korban

Posted: 18 Oct 2012 08:23 PM PDT


DAGING korban dan akikah haram diberikan kepada orang bukan Islam kerana tujuan penyembelihannya kerana ibadah kepada Allah.


SAYA ada kemusykilan mengenai akikah. Benarkah daging akikah tidak boleh dimakan oleh orang yang melakukan akikah? Adakah daging akikah ini boleh dimakan oleh mereka yang bukan Islam?
JAWAPAN:
Akikah adalah penyembelihan haiwan ternakan yang dilakukan untuk anak yang baru lahir sebagai tanda bersyukur kepada Allah.
Perkataan akikah daripada kata al-Iqqah bererti rambut makhluk yang baru dilahirkan, baik manusia atau binatang.
Akikah afdal dilakukan dalam tempoh seminggu selepas kelahiran. Daging akikah dan korban haram diberikan kepada bukan Islam kerana korban dan akikah merupakan amal ibadah kepada Allah.
Ia bertujuan untuk bertaqarrub kepada Allah. Ini ada disebut dalam Fatwa Syeikh Ahmad al-Fatthani.
Namun begitu, kalau bukan Islam hendak membeli satu bahagian daripada daging lembu itu untuk kegunaan peribadi, bukannya untuk korban, maka harus hukumnya menurut Syeikh Daud al-Fatthani dalam Furu'ul masaa'il.
Asalnya daging korban atau akikah adalah untuk sedekah yang mana diniatkan pahala. Maka pemberiannya perlu diberikan kepada orang yang berhak.
Dalam hadis ada menyebut bahawa elok dibahagikan daging-daging tersebut kepada tiga bahagian. Bahagian pertama dimakan oleh tuan punya akikah dan keluarganya. Bahagian kedua dihadiahkan kepada tetangga dan sahabat handai, manakala yang ketiga hendaklah disedekahkan kepada orang miskin dan memerlukan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan