Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Stimbot panggang asam pedas
- Makan hati adik ipar suka pinjam barang
- Keserasian si pemalu dan si peramah
- Santai, selesa di Selera Laman Perdana
- Pelajar cemerlang PMR, SPM, STPM dirai
- Mendalami bahasa Perancis melalui aktiviti kesenian, masakan di Australia
- Henti sengketa
- Jiwa romantis Erma
- Dengarnya... Maman muncul semula
- Mania bintang bola
- Dah lali gosip
- Nama 900 Pesalah Rasuah Dipaparkan Dalam Laman Web SPRM
- Pertempuran Samsung, Apple
- D4 kamera untuk aktiviti lasak
- Berkarya melalui telefon bimbit
- Tok Batin kagum kegigihan penduduk
- Pil perancang untuk cantik?
- Uji tahap pendengaran anda
- Andalusia: Sejarah Islam disembunyikan?
- Khazanah Bumi Kenyalang
- Kelebihan Quinara Al-Safir
- Melayang di En Provence
- Tasha Shila tak takut
- Anzalna sahut cabaran Neelofa
- Fazurina kini bertudung
| Posted: 18 Jun 2012 10:12 PM PDT Restoran Nakhoda Malaya di Neo Cyberjaya. TERINGIN menjamah stimbot dan panggang dengan kuah asam pedas bersama nasi sewaktu makan tengahari? Cubalah ke restoran Nakhoda Malaya di Neo Cyberjaya untuk menukar selera sekali-sekala. Kuah asam pedas yang berasap ditambah dengan jejari ikan goreng, bebola ikan, fucuk, dim sum, jejari ketam, gulungan ketam, cendawan, kailan, kangkung yang direndam sungguh membuka selera. Di tepi dulang kuah, letakkan marjerin dan panggang udang, isi kerang, sotong, ayam, lembu dan hati ayam. Hmmm... aromanya memang membuka selera. Nasi yang dicurah dengan kuah asam pedas yang cukup segala perisa sudah pasti membuatkan anda terliur sebelum mula menyuap. "Inilah kelainan yang kami tonjolkan menerusi hidangan nasi serta stimbot dengan kuah asam pedas," kata pemilik restoran Nakhoda Malaya, Amru Najmi Osman. Menurut Amru, bagi mendapatkan rasa yang memikat pelanggan, beliau mendapatkan terus pes asam pedas dari Sungai Petani, Kedah. "Secara kebetulan rakan kongsi Amal Faiz Baharudin berasal dari sana. "Mula-mula memang sukar untuk membancuh pes bagi mendapatkan rasa yang dikehendaki tetapi lama kelamaan masalah dapat diatasi," katanya. Di sini pelanggan boleh memilih tiga jenis kuah stimbot iaitu tomyam, sup ayam dan asam pedas. "Buat masa ini kuah asam pedas dan tomyam mendapat permintaan yang amat menggalakkan," kata Amru. Bagi memudahkan pelanggan membuat pilihan yang menjimatkan, Nakhoda Malaya menyediakan set kelasi (untuk seorang), set nakhoda (untuk dua hingga tiga orang, set malaya, makanan laut kelasi, makanan laut nakhoda dan makanan laut malaya. Dengan harga bermula RM9.90, pelanggan boleh mendapat set stimbot dengan nasi atau pilihan mihun, yee mee atau kuetiau. Restoran yang memuatkan sehingga 50 pelanggan pada satu-satu masa menerima tempahan bagi pelbagai jamuan. Bagi minum petang, pelanggan yang menikmati stimbot boleh memesan Karipap Lori yang bersaiz XXL di rangkaian kedainya di seberang jalan. |
| Makan hati adik ipar suka pinjam barang Posted: 18 Jun 2012 10:11 PM PDT ORANG tua-tua selalu berpesan, pernikahan selain menyatukan dua hati turut merapatkan hubungan antara dua keluarga. Maknanya setelah bernikah, pasangan tersebut harus juga menerima keluarga masing-masing sebagai ahli keluarga yang baru. Namun, ada juga perkahwinan yang tidak mendapat restu keluarga sehinggakan suami isteri terpaksa membawa diri untuk membina hidup baru. Ada yang hanya berat sebelah pihak keluarga suami atau isteri sahaja tetapi keluarga sendiri diabaikan. Dalam apa juga keadaan, perkara ini masih dapat dibetulkan agar pulih dan sempurna di mata semua pihak. Tidak dinafikan masih ada pasangan suami isteri yang hidup sebumbung dengan mentua menyebabkan timbul masalah untuk mendapat privacy. Pergerakan terbatas, tingkah laku perlu dijaga sementara perasaan semua orang di dalam rumah harus diberi perhatian agar tidak tersinggung termasuk urusan harian. Seperti kebanyakan cerita yang didengar, mereka yang tinggal dengan mentua pasti akan menghadapi masalah. Begitu juga dengan Tina (bukan nama sebenar) berusia awal 20-an yang tinggal bersama mentua setelah bernikah dengan Latif (bukan nama sebenar) berusia lewat 20-an. Sebagai anak sulung, tentunya Latif ada tanggungjawab terhadap ibu dan adik-adiknya tambahan pula bapanya sudah lama meninggal dunia. Apa yang berlaku kepada Tina? Ikuti kisahnya yang dikirim kepada saya menerusi e-mel untuk tatapan pembaca semua. Begitu kisah Tina. "Saya seorang pegawai kanan di sebuah jabatan kerajaan, berkahwin dengan Latif seorang eksekutif juga anak sulung dalam adik-beradik empat orang. "Mentua saya berusia lewat 50-an dan telah kematian suami sejak 10 tahun lalu. Saya akur kehendak suami untuk tinggal bersama mentua selepas bernikah kerana tahu tanggungjawabnya terhadap ibu dan keluarga. "Salah seorang adik ipar seusia dengan saya dan bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat promosi produk kecantikan. "Bekerja dengan syarikat kecantikan tentu memerlukan dia tampil cantik sepanjang masa. "Memang adik ipar saya cantik, itu tidak saya nafikan jika tidak masakan syarikat tersebut mengambil dia bekerja. Sudahlah cantik pandai pula bergaya. "Tapi masalahnya dia bergaya dengan barang-barang milik saya. Seperti dia, saya juga suka menjaga penampilan dan gemar mencuba fesyen terkini. "Saya ada banyak koleksi tas tangan, kasut, aksesori, barang kemas, alat mekap dan sebagainya yang menjadi kegemaran wanita sekarang. "Ipar saya ini selalu pinjam barang saya. Mula-mula sekali sekala, kemudian kerap juga sehingga akhirnya dia buat seperti barangnya sendiri. "Jika saya tidak tanya dan minta balik alamat hilang terus. Telah banyak kali saya tegur sikapnya itu. Dia kata saya kedekut dan berkira. Malah mengadu kepada abang dan ibunya lagi. "Saya tidak marah jika dia meminjam kemudian tahu memulangkannya. Tetapi jangan buat macam harta sendiri. Bila pinjam sepatutnya dipulangkan setelah selesai menggunakannya tetapi ini tidak, simpan sampai saya lupa. "Apabila teringat saya minta semula, banyak pula alasan yang diberi, cari tak jumpa, hilang dan macam-macam lagi sedangkan saya juga perlu guna untuk diri sendiri. "Saya diburuk-burukkan di hadapan mentua dan suami konon kedekut dan tidak mahu berkongsi barang dengannya. Pernah juga dia tipu katanya saya yang pinjam barang dia. "Perkara ini telah berlarutan selama setahun. "Mula-mula dulu saya dapat sabar tetapi sekarang kesabaran saya sudah hilang. "Saya tidak tahu lagi apa hendak dibuat. Mengadu pada suami dia kata saya berkira. Tegur sikap adik-adik ipar, mereka tuduh saya kedekut. Keadaan ini menjadikan saya serba salah dan tidak gembira untuk tinggal bersama mereka lagi. "Saya hanya mendapat ketenangan apabila di tempat kerja. Balik rumah saya akan menjadi susah hati dan tidak senang duduk. Saya rasa macam bersalah pula sedangkan mereka yang sepatutnya merasa begitu. "Saya banyak kali cuba bercerita dengan suami, tetapi dia macam dengar tak dengar. Saya faham dia juga berada dalam kedudukan yang serba salah. Tapi saya harap sekurang-kurangnya dia dengar keluhan saya dan mencari jalan keluar. "Saya cadangkan dia tegur sikap adik-adiknya tetapi dia tidak mahu tegur bimbang adik-adiknya terasa hati dan ibunya merajuk. "Jadi bagaimana dengan perasaan saya? Sampai bila saya harus bertahan. Saya sayang barang-barang saya terutama pakaian dan aksesori. Ada yang mahal dan berjenama. "Ini bukan kerana saya sayang lebih kepada barang-barang saya melebihi mentua dan ipar-duai saya. Tapi ini soal sikap. Yang tidak elok baik ditegur. "Saya beli dengan duit hasil simpanan saya sendiri kerana teringin produk jenama. Pakai sekali dua ipar duai pula pinjam tak pulang-pulang. "Saya pernah cerita pada ibu saya. Dia suruh saya sabar dan jangan ambil hati. Saya rasa tahap kesabaran saya sudah sampai ke kemuncak. Saya tidak boleh sabar lagi. "Lagi lama saya tunggu lagi sakit hati saya. Keadaan juga tak menggembirakan saya. Daripada menjadi makin buruk saya nekad mengajak suami berpindah. Sama ada dia mahu atau tidak saya akan usahakan juga. "Saya harus pujuk suami dan minta dia faham masalah saya. Jika kami terus tinggal bersama mereka, saya pasti keadaan akan menjadi lebih buruk dan hubungan keluarga juga mungkin terjejas. "Saya harap selepas tinggal berasingan saya akan menjadi tenang tanpa gangguan lagi. Memang orang kata saya bodoh sebab ini perkara kecil tetapi saya yang menanggungnya. "Berpindah bukan sebab saya tidak suka tinggal sebumbung tetapi dengan berpindah saya yakin keadaan akan berubah menjadi lebih baik. "Saya harap suami setuju dengan tindakan saya. Saya berdoa agar Allah makbulkan permintaan saya dan semoga hubungan dengan mentua dan ipar-duai tidak terjejas," Tina menamatkan cerita penuh harap. Masalah yang Tina hadapi banyak juga berlaku kepada pasangan suami isteri lain tetapi kebanyakan mereka terus bertahan kerana tidak mahu bergaduh dan bermasam muka dengan keluarga mentua. Saya nasihatkan anda bersemuka dengan mentua dan ceritakan perkara sebenar. Apa pun nasihat saya, buat keputusan yang bijak tanpa menimbulkan rasa tersinggung mana-mana pihak. Kedua-dua pihak harus mengaku kelemahan diri dan membaikinya untuk menjadi lebih baik. Saya pasti ipar anda akan terasa hati apabila anda keluar dari rumah dan faham kenapa anda bertindak demikian. Menamatkan catatan, sepatah kata buat renungan, jika anda tersenyum sedangkan hati gundah gulana anda sebenarnya sedang meringankan beban masalah yang sedang anda tanggung serta membuka satu pintu ke arah kebahagiaan. Salam |
| Keserasian si pemalu dan si peramah Posted: 18 Jun 2012 10:09 PM PDT SHAHURAIN Abu Samah dan isteri Siti Salmah Khamis @ Kassim gemar memanfaatkan waktu terluang bersama di kediaman mereka di Seremban, Negeri Sembilan. JIKA di atas padang, kelincahan pemain sayap skuad bola sepak Negeri Sembilan, Shahurain Abu Samah, 26, pasti menjadi tumpuan ramai. Apatah lagi bagi pasukan lawan yang terpaksa berhempas pulas mengawasi kelibatnya. Namun hakikatnya, Shahurain yang popular dengan gelaran 'Kecik' di atas padang itu sememangnya memiliki karakter berbeza apabila bercerita tentang hal percintaan dan rumah tangga dengan gadis pilihan hatinya, Siti Salmah Khamis @ Kassim, 25. Menyelami saat awal pertemuan Shahurain dengan isteri tercinta, dia memberitahu, mereka mula berkenalan pada satu majlis hari jadi seorang kenalan yang juga pemain bola sepak kira-kira sembilan tahun lalu. Dalam pertemuan pertama itu, Shahurain baru berusia 17 tahun manakala Siti Salmah, 16 tahun. "Semasa di majlis itu, saya sudah mula terpikat padanya. Pada awalnya saya cuba memberanikan diri menegurnya atau erti kata lain memulakan langkah. "Tetapi sehingga habis majlis, saya masih gagal untuk mendekatinya kerana rasa gementar," kata Shahurain yang mengakui dirinya seorang pemalu. Tambah Shahurain yang pernah menyarung jersi kebangsaan di bawah kendalian jurulatih B. Sathianathan dan kini diserapkan kembali dalam skuad negara di bawah pengurusan Datuk K. Rajagobal, hasil bantuan rakannya, dia berjaya mendapatkan nombor telefon Siti Salmah. "Dari situ saya terus berhubung dengannya. Pada mulanya, saya hantar SMS (khidmat pesanan ringkas), kemudian telefon dan lama-kelamaan, kami mula berkawan rapat. "Sejak itu, kami ambil masa hampir lapan tahun berkawan dan mengenali hati budi masing-masing sebelum mengikat tali pertunangan pada Disember 2010 dan bernikah pada 22 Julai tahun lalu," ujar Shahurain. Mengenai ciri dan sifat yang membuatkan dia tertarik dengan gadis berasal dari Seremban itu, Shahurain memberitahu, Siti Salmah amat peramah berbanding dirinya, selain dia pandai menghormati orang lain. "Bukan itu sahaja, dia juga merupakan teman paling rapat. Susah senang saya dia sentiasa berada di sisi memberi semangat dan dorongan dalam semua aspek termasuk karier bola sepak. "Dia juga menjadi pembakar semangat dan inspirasi saya terus berusaha gigih meningkatkan mutu permainan, walaupun saya pernah disahkan mengalami kecederaan lutut serius sehingga terpaksa menjalani tiga pembedahan. "Akibat kecederaan itu juga, saya terpaksa digugurkan daripada skuad kebangsaan," jelasnya. Anak kelahiran Kuala Lumpur itu memberitahu, kehidupan mereka kini bertambah ceria apabila dikurniakan cahaya mata pertama, Shahleesya Qaseh Shahanny Shahurain yang baru berusia 29 hari. Sementara itu, menurut Siti Salmah, perwatakan pemalu itu salah satu faktor membuatkan dirinya terpikat dengan Shahurain. "Pada majlis hari jadi yang menjadi pertemuan pertama kami itu, dia hanya tersenyum dan tidak banyak bercakap walaupun kami duduk semeja. "Tetapi selepas mengenalinya dengan lebih rapat, Shahurain merupakan seorang individu yang mengambil berat, matang dan bertanggungjawab. "Dia bukan sahaja banyak memberi nasihat yang bernas, malah pandai merancang terutama tentang masa depan kami," katanya. Siti Salmah yang juga pernah menganggotai skuad boling remaja kebangsaan berkata, dia dan Shahurain turut mempunyai minat dan hobi yang sama. "Sebagai seorang pemain bola sepak, dia agak sibuk dengan jadual perlawanan. Sebab itu apabila ada waktu terluang, kami akan gunakan sebaik mungkin. "Biasanya, kami bermain boling dan bersiar-siar. Jika berehat di rumah, saya pasti masak makanan kegemaran suami iaitu ayam masak lemak cili api," katanya sambil memberitahu suaminya gemar makan di rumah kerana sebelum ini dia hidup bujang di Seremban kerana keluarganya tinggal di Kajang, Selangor. Siti Salmah kini sedang berpantang di kediaman pasangan tersebut di Senawang, Seremban Negeri Sembilan. Dia yang juga seorang kerani bank berkata, kini kehidupannya tertumpu kepada anak perempuan sulung mereka. "Suami saya pun sudah dipanggil semula menyertai skuad kebangsaan, mungkin ini dipanggil rezeki anak. "Tetapi apa pun, saya bersyukur kerana tuhan menjodohkan kami dan mengurniakan zuriat ini," tambahnya yang terpaksa menjalani pembedahan ketika melahirkan Shahleesya. |
| Santai, selesa di Selera Laman Perdana Posted: 18 Jun 2012 09:59 PM PDT Beberapa orang pelanggan memesan makanan di salah sebuah gerai di Selera Laman Perdana. SIAPA sangka laman yang dahulunya dihiasi pepohon hijau kini berubah konsep menjadi satu lagi destinasi menjamu selera yang wajib disinggahi di pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya. Suasana santai dan selesa, Selera Laman Perdana terletak berhampiran dengan Bangunan Putra Perdana yang menempatkan pejabat Perdana Menteri. Konsep terbuka dan berselerak menjadikan Selera Laman Perdana sesuai dikunjungi, apatah lagi dengan seni hiasan taman yang menarik, tentunya menyejukkan mata yang memandang. Selain itu, deruan air pancuran menjadikan persekitaran terutama waktu malam lebih mendamaikan, ditambah pula samar-samar sinaran lampu serta alunan muzik yang pastinya melekakan pengunjung yang sedang menikmati hidangan di situ. Tidak hairanlah dengan tarikan sedemikian, kata Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Samsudin Osman, medan selera yang beroperasi dari pukul 4 petang hingga 11 malam setiap hari itu mendapat sambutan hangat, bukan hanya dari warga Putrajaya tetapi juga orang luar. Apa yang nyata, medan selera itu turut menjadi pilihan mereka yang gemar menikmati hidangan makan malam dalam suasana langit terbuka. ''Walaupun terletak dalam kawasan seluas 2,900 meter persegi, tetapi sambutan orang ramai sejak ia dibuka pada Mac lalu amat menakjubkan. ''Sepanjang bulan pertama dibuka, jumlah pengunjung mencecah sehingga 10,000 orang dan dikatakan jualan mencapai angka RM200,000. ''Apa yang menariknya, mereka yang datang ke medan selera ini merupakan pengunjung berulang," katanya ketika ditemui S2 baru-baru ini. Antara menu yang disediakan di Selera Laman Perdana adalah roti canai, masakan Thai, aneka mi dan masakan Barat. Bagaimanapun, Samsudin berkata, kewujudan Selera Laman Perdana itu bukanlah untuk bersaing dengan medan selera berhampiran, sebaliknya merupakan alternatif kepada penjawat awam atau pelancong ke Putrajaya. Ia juga sejajar dengan matlamat Perbadanan Putrajaya yang mahu menjadikan pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu lebih 'hidup', khususnya pada waktu malam," katanya. Samsudin berkata, pihaknya beliau juga memastikan setiap gerai di menjual menu berlainan bagi membolehkan orang ramai menikmati hidangan yang berbeza. Katanya, Perbadanan Putrajaya turut menganjurkan Bazar Laman Perdana pada setiap Sabtu bagi mewujudkan kelainan kepada pengunjung. Selain itu, pengunjung berpeluang menikmati hiburan seperti muzik akustik, seni arca, persembahan silap mata, lukisan wajah dan lain-lain lagi. |
| Pelajar cemerlang PMR, SPM, STPM dirai Posted: 18 Jun 2012 09:59 PM PDT Penerima Anugerah Brand's Smart Achievers bersama replika hadiah kemenangan masing-masing selepas majlis penyampaian anugerah berkenaan di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor baru-baru ini. Seramai 35 pelajar cemerlang dan tiga buah sekolah dipilih untuk menerima Anugerah Brand's Smart Achievers kali keenam anjuran Cerebos Malaysia di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini. Timbalan Presiden dan Pengurus Besar Cerebos Malaysia, Koh Joo Siang berkata, sejak program tersebut diperkenalkan pada 2006, Brand's telah mengiktiraf lebih daripada 120 pelajar yang telah mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan dengan sumbangan wang tunai keseluruhannya berjumlah RM110,500. "Sambutan yang diterima semakin menggalakkan dan penglibatan pelajar makin meningkat dari seluruh negara setiap tahun. "Ramai juga di kalangan penerima anugerah cemerlang peringkat Penilaian Menengah Rendah (PMR) kembali untuk mengambil bahagian pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini," katanya. Brand's Smart Achievers menganugerahkan hadiah berupa wang tunai kepada pelajar cemerlang PMR sebanyak RM500, pelajar SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebanyak RM1,000 manakala pelajar yang menduduki peperiksaan di institusi pengajian tinggi sebanyak RM1,500. Menurut Joo Siang, tahun ini menyaksikan satu lagi kategori baru diperkenalkan iaitu anugerah Brand's Smart School yang memberi pengiktirafan kepada sekolah-sekolah yang mempunyai penyertaan terbanyak dari kalangan pelajarnya. "Pemenang tempat pertama kategori ini menerima hadiah wang tunai sebanyak RM3,000 yang dimenangi oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tronoh, Perak. "Tempat kedua dimenangi oleh Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Katholik Petaling Jaya yang menerima hadiah tunai RM2,000. "Manakala tempat ketiga pula menjadi milik Sekolah Tinggi Perempuan (Cina) Pulau Pinang yang membawa pulang RM1,000," ujarnya. Beliau memberitahu, keberkesanan SariPati Ayam Brand's meningkatkan prestasi mental terbukti secara saintifik dan disokong oleh kajian penyelidikan selama lebih 20 tahun. "Kami berasa amat bangga kerana Brand's telah menjadi sebahagian daripada kehidupan para pelajar ini dan membantu mereka untuk mencapai kecemerlangan yang dikecapi," ujarnya lagi. Joo Siang memberitahu, rahsia di sebalik kejayaan pelajar cemerlang anugerah ini ialah SariPati Ayam Brand's yang mengandungi bahan peptida bioaktif ProBeptigen® dan Carnosine. "Berdasarkan kajian, dengan pengambilan SariPati Ayam Brand's secara harian, prestasi kognitif akan meningkat terutamanya ketika menghadapi tekanan kerja. "Sebagai khasiat tambahan untuk menjaga kesihatan otak, SariPati Ayam Brand's terbukti mampu meningkatkan kecerdasan dan daya tumpuan minda terutamanya apabila menghadapi tugasan atau semasa membuat persediaan untuk peperiksaan," katanya lagi. |
| Mendalami bahasa Perancis melalui aktiviti kesenian, masakan di Australia Posted: 18 Jun 2012 09:57 PM PDT Pelajar SMS Selangor dan SMS Tengku Muhammad Faris Petra bersama guru pengiring yang mengikuti Program Antarabangsa Immersi Bahasa Perancis di New South Wales, Australia baru-baru ini. SERAMAI 13 pelajar dari Sekolah Menengah Sains (SMS) Selangor, Kuala Lumpur dan SMS Tengku Muhammad Faris Petra, Kelantan baru-baru ini telah berpeluang ke Maison de St. Claire di New South Wales, Australia bagi menghadiri Program Antarabangsa Immersi Bahasa Perancis. Guru pengiring delegasi, Gan Geok Choo berkata, para pelajar yang terlibat pada program selama lapan hari itu perlu mengikuti kelas bahasa Perancis selama tiga jam setiap hari sepanjang berlangsungnya program berkenaan. "Mereka juga mempelajari bahasa Perancis melalui pelbagai jenis aktiviti seperti karaoke, tayangan filem Perancis, permainan tradisional Pétanque dan memasak masakan Perancis," katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini. Delegasi Malaysia turut disertai seorang lagi guru pengiring iaitu Deng Sook Sueng. Selain mengikuti aktiviti dalam kelas, para peserta turut berpeluang merasa sajian makanan ala Perancis antaranya Ratatouille, Daube Provençale, Crème Caramel dan pelbagai juadah lain. Menurut Geok Choo, delegasi Malaysia juga dikehendaki menulis karangan bahasa Perancis pada setiap petang bertujuan memperkukuhkan penulisan dan pemahaman mereka dalam bahasa tersebut. "Di dalam kelas, peserta rombongan didedahkan kepada empat kemahiran bagi peperiksaan antarabangsa Diplôme d'Études en Langue Française (DELF), iaitu yang pertamanya Compréhension de l'oral, Production Écrite, Production Orale dan Compréhension des Écrits. "Mereka juga berpeluang bertutur bahasa Perancis dengan penutur jati iaitu Gilles André Berger yang merupakan pemilik Maison de St. Claire," ujarnya. Selain menghadiri kelas, para peserta turut mengadakan lawatan ke Wildlife Currumbin Sanctuary dan berkesempatan untuk memberi makanan kepada kanggaru serta melihat persembahan tarian tradisional Orang Asli Australia. Peserta rombongan seterusnya bertolak ke Pantai Currumbin untuk menikmati hidangan barbeque sambil beramah mesra bersama Gilles dan isterinya, Zarina Ahmad yang merupakan bekas pelajar SMS Selangor. "Rata-rata peserta berpendapat bahawa program ini banyak memberi manfaat kepada mereka yang ingin mempelajari bahasa Perancis. "Program ini juga dilihat dapat melatih peserta dari dua buah sekolah itu untuk meningkatkan lagi penggunaan bahasa Perancis dalam aktiviti harian mereka," jelasnya. |
| Posted: 18 Jun 2012 09:56 PM PDT DARI kiri, Anzalna, Tasha Shilla dan Neelofa. ISU remeh, tidak perlu dibawa ke mahkamah dan selesai cara baik. Zaman dulu bukan tidak ada artis yang bergaduh, tetapi mereka mengambil pendekatan dengan cara bersemuka. - Rosyam Nor Ada peminat berpendapat, tiga bintang baru itu melakar 'sejarah' dalam industri seni tempatan tetapi bukan disebabkan pencapaian mereka yang boleh dibanggakan, sebaliknya kisah jelek yang hanya memalukan dunia artis.Selain itu, ada peminat menyarankan Neelofa, Anzalna dan Tasha Shila bersua muka. Menurut peminat, biarpun peluang menjadi rakan baik mungkin tipis, namun sekurang-kurangnya, tiga bakat baru itu boleh bermaaf-maafan dan membuang perasaan dendam. Malah, ada peminat menganggap dunia seni tidak seluas mana dan artis terbabit pasti dipertemukan dalam mana-mana produksi pada masa depan. Komen peminat itu diterima HIP melalui laman sosial facebook, Anugerah Bintang Popular, semalam. Melalui laman sosial itu, HIP meminta pandangan peminat berhubung kemelut melanda Neelofa, Anzalna dan Tasha Shila. HIP mendapatkan pandangan dua penggiat industri iaitu Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez dan pelakon berpengalaman, Rosyam Nor berhubung kontroversi melanda tiga artis terbabit. Freddie dan Rosyam menganggap isu Neelofa, Anzalna dan Tasha Shila hanyalah isu kecil yang tidak sepatutnya dipanjangkan. Freedie menasihatkan tiga pelakon itu menyelesaikan masalah mereka di luar mahkamah tanpa perlu membabitkan kes saman menyaman. "Tindakan mereka ibarat membasuh kain di tempat awam yang pada pendapat saya, tidak perlu sebenarnya. Keputusan untuk mengambil tindakan mahkamah hanyalah satu tindakan keterlaluan kerana masalah yang timbul antara mereka membabitkan isu kecil. "Sekiranya merasakan masalah itu tidak boleh diselesaikan sendiri, gunakanlah orang tengah. Jika masalah ini berterusan, mereka boleh menjejaskan imej artis secara keseluruhan," kata Freddie. Rosyam Nor yang sudah hampir tiga dekad bergelumang dalam industri hiburan pula menganggap, kemudahan laman sosial memberi kesan besar kepada masyarakat apabila segala isi hati diluahkan tanpa memikirkan impak. Aktor yang mula menceburi dunia lakonan sejak 1985 menerusi filem Gila-Gila Remaja itu berkata, artis sepatutnya menggunakan laman sosial dengan bijak - bukan membiarkan 'kudis' mereka diketahui masyarakat. "Bagi saya kes membabitkan kata mengata, aib-mengaib, pertikaman lidah tidak perlulah dibawa sehingga ke mahkamah. Mereka (mahkamah) mempunyai banyak kes yang perlu diselesaikan, kenapa kita hendak menambahkan beban mereka dengan perkara remeh temeh? "Zaman dulu bukan tidak ada artis yang bergaduh, tetapi mereka mengambil pendekatan dengan cara bersemuka. Kes kecil tidak perlulah diheret hingga ke mahkamah kerana perkara itu boleh memalukan golongan artis. Nanti orang akan kata, artis tidak ada kerja lain, hal kecil pun hendak dibawa ke mahkamah," katanya. |
| Posted: 18 Jun 2012 09:55 PM PDT ERMA bersama pelakon drama Dejavu di Kinabalu. Erma mengakui kali ini dia mahu meneroka dunia cinta dan tanpa disangka, dalam hati rupanya masih banyak kasih dan sayang yang tidak diluah malah dirasakan boleh menjadi bahan segar drama cinta. Saya melihat kejayaan drama ini lebih kepada semangat produksi dan pelakon kerana tanpa mereka, ia akan menjadi drama yang gagal. - Erma Fatima, Pengarah "Saya tidaklah rasa tertekan menyediakan skrip ketika penggambaran kerana apa yang penting adalah jadual. Kami berada di kaki gunung itu selama dua hari dan satu hari saja untuk mengambil visual puncak gunung. Itu pun cuma lebih kurang empat jam saja kerana waktu cukup terbatas."Saya agak terkilan kerana banyak visual tidak dapat diambil. Malah beberapa orang penting produksi seperti jurugambar, pembantu pengarah, pengarah seni dan seorang pelakon tidak berdaya lagi naik ke atas membuatkan saya menggagahkan diri naik ke puncak," katanya. Erma atau nama sebenarnya, Fatimah Rahmad mengakui pertama kali mendaki Gunung Kinabalu. Dia berjanji untuk kembali ke gunung tertinggi Asia itu bagi merakamkan lebih banyak visual menarik. "Saya melihat kejayaan drama ini lebih kepada semangat produksi dan pelakon kerana tanpa mereka, ia akan menjadi drama yang gagal. Kami dapat daki Gunung Kinabalu pun disebabkan semangat untuk meneruskan perjuangan ini," katanya. Erma berkata, dia jatuh cinta kepada hero dan heroin drama arahannya kali ini iaitu Aqasha dan Tiz Zaqyah. "Mereka cukup serasi dan saya teruja melihat mereka mampu menjadi pasangan yang begitu selesa di set penggambaran," katanya. Dejavu di Kinabalu mengisi slot Akasia. Drama bersiri ini menemui penonton setiap Isnin dan Khamis jam 7 malam, mulai malam tadi. Naskhah terbaru Erma ini membariskan pelakon popular seperti Aqasha; Tiz Zaqyah; Nazim Othman; Aishah Ilias; Meor Ariff; Sharifah Nadia Yusnita; Rebecca Nur Islam dan Fadhilah Mansor. Drama bersiri ini mengisahkan kehidupan Nadira selepas melalui proses pemindahan jantung dari seorang penderma organ. Kesan dari prosedur pemindahan jantung itu, tanpa disedari, Nadira menerima sebahagian daripada sifat penderma organ berkenaan. Takdir kemudian menemukan Nadira dan Ammar, teman lelaki kepada penderma jantung terbabit. Pertemuan pertama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) antara Ammar yang baru pulang dari Australia dengan Nadira yang hendak bercuti ke Kundasang, Sabah, membawa 1,001 kisah antara mereka berdua. BIODATA: Erma Fatima Festival Filem Malaysia ke 7 - Pelakon Pembantu Wanita terbaik (1987) Festival Filem Malaysia ke 9 - Pelakon wanita Terbaik (1991) Festival Filem Malaysia ke 10 - Pelakon Wanita Terbaik (Watak Pembantu) (1992) Festival Filem Malaysia ke 11 - Pelakon Wanita Terbaik (1994) |
| Dengarnya... Maman muncul semula Posted: 18 Jun 2012 09:54 PM PDT DALAM kebanjiran penyanyi dan band baru, Cik Normah dengar ramai 'orang lama' yang nak buat kemunculan semula. Sebenarnya, sebelum ini pun sudah ramai penggiat seni yang popular pada zaman Cik Normah muda remaja dulu mendapat tempat kembali.Contohnya, kumpulan AXL yang menyerlah dengan lagu Akulah Kekasihmu. Bukan setakat pendengar lingkungan usia 30-an ke atas yang meminati nyanyian mereka, golongan muda pun berebut menjadikan lagu itu pilihan setiap kali berkaraoke. Baguslah kalau punya semangat macam tu sebab berani mempertaruhkan bakat dalam arus perdana semula walaupun penyanyi baru tumbuh macam cendawan lepas hujan. Kalau dicongak, sekarang umur Maman yang juga kelahiran Singapura itu sudah pun mencecah 40-an dan rasanya peminat yang dulu membesar dengan lagunya pun masih ingat dendangannya termasuk dua lagu Inggeris, I Wrote This Song dan Without You yang dimuatkan dalam album solonya lebih sedekad dulu. Rasanya sekitar 2009, bapa kepada cahaya mata yang sudah meningkat remaja itu juga pernah menghasilkan album baru. Kalau tak silap berjudul Hijrah. Tak tau pula sambutan terhadap album terbabit. Agaknya kemunculan Maman sekarang bersama imej baru atau masih dengan gaya lama ketika bersama Teacher's Pet dulu? Apa pun Cik Normah yang pernah mengikuti zaman kemuncaknya tak sabar nak mendengar dendangannya secara live. Maklumlah, dapat mengimbas nostalgia lalu. |
| Posted: 18 Jun 2012 09:52 PM PDT 10 pemain mashyur: Kemunculan pemain bola sepak popular dinanti peminat Euro 2012SELEPAS Sukan Olimpik dan Piala Dunia, peminat sukan di seluruh dunia terutama bola sepak cukup menantikan kemunculan empat tahun sekali Kejohanan Bola Sepak Euro. Kejohanan kali ke-14 ini sejak dianjurkan di Jerman pada 1960, menyaksikan pemenang menerima RM37 juta (£7.5 juta) manakala setiap pasukan menerima RM39.5 juta (£8 juta); juara kumpulan menerima RM9.8 juta (£2 juta) dan pasukan layak ke separuh akhir mendapat RM14.8 juta (£3 juta). Kejohanan kali ini menyaksikan 16 pasukan negara Eropah bertanding dengan 31 perlawanan berlangsung di lapan stadium masing-masing empat stadium di Poland dan Ukraine.Menurut Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), tujuh daripada 10 pasukan bola sepak utama dunia bertanding dalam kejohanan kali ini. Manakala hanya dua pasukan mempunyai kedudukan yang lebih rendah dalam senarai ranking 30 dengan Poland berada di tangga ke-65. Kejohanan kali ke-14 ini sejak dianjurkan di Jerman pada 1960, menyaksikan pemenang menerima RM37 juta (£7.5 juta) manakala setiap pasukan menerima RM39.5 juta (£8 juta); juara kumpulan menerima RM9.8 juta (£2 juta) dan pasukan layak ke separuh akhir mendapat RM14.8 juta (£3 juta). Selain tawaran hadiah menarik - aksi, ketangkasan, kelincahan serta jaringan gol akan menjadi tajuk cerita hampir sebulan kejohanan itu berlangsung. Turut mendapat perhatian adalah gelagat dan kemunculan bintang bola sepak dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) serta nama besar dalam sukan bola sepak dunia. Antara nama yang mendapat perhatian ramai tentulah kemunculan bintang kelab Real Madrid, Cristiano Ronaldo selain bintang Manchester United dan penyerang England, Wayne Rooney. Bintang bola sepak itu bukan hanya popular kerana kelincahan dan kehebatan di padang, tetapi turut disenaraikan sebagai pemain yang menerima bayaran paling tinggi sukan bola sepak dunia. Minggu ini, sempena deman Euro 2012, RONA menyenaraikan pemain Euro 2012 yang menerima bayaran paling tinggi selain beberapa bintang yang amat dinantikan kemunculannya pada kejohanan kali ini. 1. Cristiano Ronaldo - RM116 juta (29.2 juta Euro) Kemunculannya memang dinantikan peminat bola sepak antarabangsa kerana kelincahan dan kehebatannya di padang. Pada masa sama, Ronaldo juga bertuah dikurniakan wajah kacak menjadi kegilaan ramai terutama wanita dan gadis remaja. Bintang Portugal yang mewakili Real Madrid ini dibayar RM39.7 juta (29.2 juta Euro) termasuk bayaran gaji, bonus, penajaan dan duta produk. Selain itu, beliau mempunyai lebih 8.4 juta pengikut di laman sosial Twitter and 42.2 juta peminat di Facebook serta disenaraikan sebagai ahli sukan paling aktif di laman sosial. Populariti Ronaldo membolehkan beliau dipilih syarikat antarabangsa menjadi duta produk dengan nilai tajaan RM83.4 juta (21 juta Euro) diterima daripada penaja seperti Nike, Castrol, dan Pro Evolution Soccer Konami. Dengan prestasi membanggakan di padang melayakkan beliau mendapat gaji dan bonus termasuk saham 50-50 serta hak imej. Penyerang Real Madrid itu berjaya menjaringkan 100 gol dalam 90 permainan dalam La Liga sejak berpindah ke kelab berkenaan. 2. Wayne Rooney - RM81.8 juta (20.6 juta Euro) Di sebalik kontroversi yang melanda dirinya termasuk digantung dua perlawanan kerana menendang pemain Montegnegro ketika perlawanan peringkat kelayakan pada Oktober 2011, dituduh melanggan pelacur pada 2010 ketika isterinya hamil serta menggugut penyokong pasukan lawan dalam Twitter, Rooney masih mampu bertahan dan menerima bayaran tinggi dalam kariernya. Pemain berusia 26 tahun ini terus dipilih menjadi duta produk dan mendapat penajaan daripada NIKE dan EA Sports. Malah penyerang England ini kekal dibayar tinggi melalui penyambungan kontrak dengan kelab Manchester United pada 2010. 3. Fernando Torres - RM66.3 juta (16.7 juta Euro) Pemain dari Sepanyol ini dikatakan dibayar 16.7 juta Euro setahun. Dikenali sebagai penyerang untuk Chelsea dan negara kelahirannya, Sepanyol. Malah, beliau diiktiraf sebagai penyerang bertaraf dunia yang sangat licik, kuat, mengagumkan, kepakaran dan tenang ketika berada di hadapan pintu gol. Torres berpindah ke Chelsea Januari tahun lalu selepas menyertai Atlético Madrid dan Liverpool. Malah perpindahannya bernilai RM240.4 juta (€60.5 juta) untuk kontrak lima setengah tahun, melonjakkan namanya dalam senarai pemain bola sepak yang dibayar paling mahal di Eropah dan pemain Sepanyol yang paling mahal dalam sejarah. Walaupun tidak menjaringkan banyak gol untuk kelab barunya, peminatnya masih percaya bahawa Torres akan membuktikan dirinya sekali lagi. 4. Philips Lahm - RM56.84 juta (14.3 juta Euro) Dalam senarai pemain bola sepak termahal dunia, Lahm berada dalam kedudukan tangga ke-10 dengan pendapatan RM56.84 (14.3 juta Euro). Dilahirkan pada 11 November 1983, pemain berusia 29 tahun ini memulakan karier seawal usia 11 tahun dan kini diiktiraf sebagai antara pemain pertahanan terbaik dunia. Pemain berkaki kanan selalunya bermain sebagai sayap kiri-belakang. Dengan kelincahannya menggelecek bola dan berkebolehan membuat tendang yang tepat menjadikannya pencetus yang sering membantu mewujudkan peluang gol untuk rakan sepasukan. Pemain Bayern Munich ini menjaringkan gol pembukaan Piala Dunia FIFA 2006, ditambah dengan rambut kerinting yang nampak agak pelik itu menyebabkan Lahm sentiasa diingati peminat sehingga hari ini dan kemunculannya memang dinanti penyokong Jerman. 5. Zlatan Ibrahimovic - RM55.6 juta (14 juta Euro) Dilahirkan pada 3 Oktober 1981, pemain profesional Sweden keturunan Bosnia dan Croatia ini bermain sebagai penyerang untuk AC Milan dan berkhidmat sebagai kapten pasukan kebangsaan Sweden. Pada bulan Ogos 2010, beliau berpindah dari Barcelona ke AC Milan atas pinjaman untuk musim 2010-11, dengan Milan membayar semua pendapatan beliau. Perjanjian itu juga sebagai satu syarat pembelian Ibrahimovic dengan nilai RM 95.3 (24 juta Euro) pada akhir musim ini. Beliau banyak memenangi anugerah antaranya Guldbollen (2005, 2007, 2008, 2009, 2010 dan 2011), dan Series Pemain of the Year (2008, 2009 dan 2011). Ibrahimovic menghargai impian 'memenangi segala-galanya dengan Milan' dan membantu Milan memenangi Siri A 2010-11 dan Supercoppa Italiana 2011. Sering dikritik dan disamakan dengan kehebatan Cristiano Ronaldo, pemain bola sepak setinggi 195 sentimeter (sm) ini diiktiraf pemain yang mempunyai teknik hebat, berkemahiran dan mengagumkan ketika membuat jaringan seperti seekor kala jengking. >b?6. Bastian Schweinsteiger - RM55.25 juta (13.9 juta Euro) Nilai pemain dari Jerman ini dikatakan mencecah RM55.25 (13.9 juta Euro). Dilahirkan pada 1 Ogos 1984, Schweinsteiger kini bermain sebagai pemain tengah untuk Bayern Munich dan pasukan kebangsaan Jerman. Memulakan kerjayanya sebagai pemuda berbakat dan berpotensi dalam sukan ski, Schweinsteiger kemudian beralih kepada sukan bola sepak sehingga beliau menjadi tonggak utama dalam kelab dan pasukan kebangsaannya. Kemahirannya menggelecek sangat dikagumi selain tendang tepat menjadikan kehadirannya amat diperlukan untuk kelab dan pasukan di padang, sama ada dalam menyerang atau pertahanan. Schweinsteiger juga memenangi banyak trofi termasuk lima anugerah Bundesliga, lima anugerah Piala Jerman dan dua anugerah Piala Liga. Pada Disember 2010, beliau melanjutkan kontrak dengan kelab Bayern Munich sehingga 2016. 7. David Silva - RM50.85 juta (12.8 juta Euro) Pemain tengah Manchester City dan pasukan Sepanyol ini dilaporkan dibayar RM50.85 juta (12.8 juta Euro). Beliau asalnya bermain dengan pasukan Valencia di negaranya sebelum berpindah ke Manchester City pada Jun 2010 dengan nilai perpindahan RM115.2 juta (29 juta Euro). Digelar sebagai 'Messi Sepanyol', Silva, 26 tahun berkebolehan bermain dalam mana-mana posisi dan pernah membantu pasukannya memenangi UEFA Bola Sepak Eropah 2008 dan Piala Dunia FIFA 2010. 8. Steven Gerrard, Liverpool - RM46.4 juta (11.7 juta Euro) Kemunculan Kapten England pada EURO 2012 ini memang dinanti peminatnya. Beliau yang kini dibayar RM46.4 juta (11.7 juta Euro) bermain dengan Liverpool dan separuh daripada kariernya beliau bermain pada posisi pemain tengah, namun cergas sebagai penyerang kedua mahupun sayap kiri dan kanan. Gerrard mula bermain untuk pasukan kampung halamannya, Juniors Whiston, dan menandatangani kontrak pertama profesional dengan Liverpool pada 1997. Antara kejayaan beliau adalah membantu pasukannya memenangi dua Piala FA, dua Piala Liga, Piala UEFA dan Liga Juara-Juara UEFA. Gerrard juga kini menjadi duta produk Adidas malah pernah membintangi filem Will dan menjadi pemegang saham restoran milik Liverpool. Dianggarkan keseluruhan kekayaan pemegang nama, Steven George Gerrard ini mencecah RM148.3 juta (£30 juta) menurut senarai Sunday Times Rich. 9. Franck Ribéry - RM46 juta (11.6 juta Euro) Pemain Perancis yang mewakili kelab Bayern Munich ini dibayar RM46 juta (11.6 juta Euro). Dilahirkan 7 April 1983 di Perancis, Ribery biasanya bermain di bahagian sayap dan selalunya memilih untuk bermain di sayap kiri. Beliau juga begitu lincah jika diturunkan sebagai pemain tengah dan selalu mencipta peluang untuk rakan sepasukan menjaringkan gol. Pada Jun 2007, Ribéry dipindahkan dari Marseille kepada Bayern Munich dengan bayaran RM99.3 juta (25 juta Euro) untuk kontrak empat tahun. Beliau juga pernah dinamakan Pemain Perancis of the Year pada 2007 dan 2008, dan Pemain Jerman of the Year pada tahun 2008. Lucunya pemain bola sepak ini pernah mendakwa bahawa dia mungkin keturunan Jianwen Maharaja China Dinasti Ming (1368-1644). 10. Robin van Persie, Belanda - RM 35.7 (9 juta Euro) Pemain bola sepak Belanda, Robin van Persie mempunyai nilai bersih sebanyak $14 juta (£ 9m) Mei 2012, mengikut Senarai Sunday UK Times Kaya. Beliau bermain sebagai penyerang untuk Arsenal dan pasukan kebangsaan Belanda. Van Persie mempunyai asuhan yang sukar di Rotterdam, beraksi untuk Feyenoord kelab tempatan sebelum menyertai Arsenal pada 2004 pada harga £2.5 juta dengan pendapatan £1.8 juta setahun. Pada 2009 ia meningkat kepada hampir £3.5million selain tawaran but Adidas. Van Persie adalah belia antarabangsa Belanda, mewakili Belanda di bawah pasukan 17, 19 dan 21. Van Persie membuat kemunculan pertama di padang antarabangsa senior pada 2005. Pemain yang ingin dilihat pada Euro 2012 KAPTEN Pasukan Ukraine yang juga Kelab Dynamo Kiev, Andriy Shevchenko dikatakan dibayar RM63 juta (16 juta Euro). Shevchenko dilahirkan di Soviet Union dan dikatakan nilai sebenar pemain ini adalah RM143.1 juta (USD$45 juta). Lebih-lebih lagi dengan penampilannya dalam perlawanan antara Ukraine menentang Sweden baru-baru ini dengan menghadiahkan dua gol, kemungkinan nilai Shevchenko lebih tinggi selepas ini. Pemain Ukraine ini pernah mencatatkan sejarah perpindahan termahal di Eropah iaitu kira-kira RM148.3 juta (£30 juta) dari Chelsea ke AC MILAN. Kini beliau mewakili kelab Dynamo Kyev, tempat mula-mula beliau memulakan kariernya. Shevchenko pernah memenangi anugerah Ballon D'Or pada 2004 dan menerima Anugerah Bola Emas. |
| Posted: 18 Jun 2012 09:45 PM PDT PADA Ogos ini genap sembilan tahun, Rozita Che Wan memegang status janda. Malah sepanjang tempoh itu termasuk selepas memilih laluan sebagai anak seni selama enam tahun, nama ibu tunggal bertubuh kerengga berusia 39 tahun ini sering menjadi dikaitkan dengan lelaki itu dan ini, sama ada selebriti mahupun VIP. Saya selesa dan reda kalau belum bertemu jodoh. Tetapi tipulah jika saya tidak langsung mengharapkan cinta sejati untuk hadir suatu masa nanti. - Rozita Barangkali, kalau ada anugerah artis kontroversi, nama kakak kepada Ayu Raudhah ini boleh dicalonkan. Terbaru nama Rozita gempar lagi gara-gara gosip mengaitkan pula dirinya dengan pelakon bergelar duda, Beego. 'Adegan percintaan' termasuk mereka berpimpinan tangan di pusat membeli belah antara inti pati cerita yang tersebar.Terdahulu nama seperti Shahir Zawawi, Zain Saidin, pemain bola sepak Selangor, Asraruddin Putra Omar termasuk digosipkan bakal menjadi isteri baru kepada Datuk Khalid Mohd Jiwa atau Datuk K antara yang pernah terpalit sama dengan kontroversi melanda duta Safi Rania Gold itu. Petang Selasa lalu, di celah kesibukannya melunaskan baki dua penggambaran untuk produksi berbeza bagi drama 13 episod Miss Octopus arahan Jamal Khan (bersiaran di TV3 mulai 24 Jun ini) dan telefilem Rania Si Puteri Duyung (arahan Shaffi Khan, untuk Astro Ria 28 Jun), Rozita sempat mencuri masa untuk ditemubual B*POP. "Saya sudah imun (kebal) dengan hal ini. Ia bukan kali pertama pun. Bukan saya mahu mendabik dada, cuma sesetengah manusia pantas menjatuhkan hukuman tanpa usul periksa. Nama pun manusia, kita tak sempurna. Ia di luar kawalan saya dan saya bimbang masyarakat akan jadi jelak pula apabila selalu disajikan dengan cerita sebegini. "Malah di sudut hati saya, siapa pula yang akan dikaitkan dengan saya selepas ini. Asal berlakon sama saja, ada saja cerita bertebaran. Termasuk apabila kali pertama berlakon dengan Beego untuk drama Chef Cinta siaran RTM yang penggambarannya bermula sejak April lalu," kata Rozita membuka bicara. Lalu, apa saja yang dilaporkan di dada akhbar dan laman maya sebelum ini mengaitkan ada rona cinta antaranya dengan Rozita memang palsu belaka. Semua yang dilaporkan itu adalah sebahagian daripada babak drama Chef Cinta yang dijalankan di pusat membeli belah The Curve dan Pavilion. "Mungkin mereka yang terpandang itu tidak menyedari ada kamera yang merakam aksi kami. Jangankan adegan berpegangan tangan, babak berguling-guling tepi pantai pun ada. Ketika itu kami melakon babak lagu Kuch Kuch Hota Hai di Port Dickson. "Malah, dalam drama itu pun ada babak saya berkahwin dengan Mahmud Ali Bashah. Rentetan daripada pihak kru memuat naik gambar itu di laman sosial dan keluar pula cerita saya sudah sudah menamatkan zaman bujang. Tak kurang juga timbul cerita saya sudah bertunang. Macam-macam," kata Rozita sambil ketawa kecil sekali gus menafikan percintaan dengan Beego. Dengan melihat apa yang acap kali diharungi Rozita terutamanya gosip mengaitkannya dengan lelaki, jelas di satu sudut yang positif ramai sebenarnya yang mahu melihat dia menamatkan zaman solo termasuk seperti merancang perkahwinannya. Apakah jalan terbaik untuk menamatkan gosip ini hanya boleh berakhir jika Rozita berkahwin? Kenyataan Rozita sebelum ini yang secara terbuka berminat memilih 'pucuk muda' juga disalah erti hingga dia dicop tak sedar diri. Hakikatnya, Rozita lebih rela memilih lelaki yang lebih muda daripada berbanding dilabel sebagai perampas suami orang. Ironinya juga, setiap artis muda yang dikaitkan dengannya berdepan dengan badi apabila kerjaya seni mereka tidak berkembang. Rozita sendiri bagaikan menyedari situasi demikian tetapi tidak melihat ia sebagai perkara serius kerana semuanya berbalik kepada soal rezeki. Reda kalau belum ada jodoh "SAYA tidak mahu terburu-buru mencari pasangan hidup disebabkan gosip. Jika saya nak kahwin, takkan ada langsung sebab yang seakan mendesak dan membuat keputusan drastik. Hal kahwin bukan perkara mainan dan saya sendiri pernah melalui kegagalan dengan perkahwinan pertama. "Saya sendiri tak dapat menduga sampai bila saya harus berdepan dengan cerita sebegini. Hal kahwin pun tak pernah memberi tekanan kepada saya. Saya sudah biasa dan selagi saya tidak mengganggu sesiapa termasuk rumah tangga orang, itu sudah memadai. "Saya selesa dan reda kalau belum bertemu jodoh. Tetapi tipulah jika saya tidak langsung mengharapkan cinta sejati untuk hadir suatu masa nanti. "Saya juga tak perlu susah hati mengenang hal tak kahwin lagi kerana kerjaya seni dan keluarga sudah cukup menyokong," katanya yang tanpa berselindung masih berhubungan dengan Zain sebagai kawan. Diaju dengan persoalan tidakkah Rozita sepi termasuk hal membabitkan tuntutan batin, Rozita tidak pernah langsung memikirkan hal itu. Sebaliknya dengan cara menyibukkan diri mencari rezeki dengan berlakon, Rozita larut dengan dunianya sendiri. "Ikutkan memang penat jadi pelakon. Tapi mahu atau tidak, saya harus kuat kerana inilah punca rezeki. Balik rumah saja saya sudah cari bilik tidur. Luculah pada satu malam, anak saya Aniq mengajak saya menemaninya menonton perlawanan bola sepak EURO 2012 dan saya bersetuju. Tetapi selepas masuk bilik tidur, sampai ke sudah saya tidak keluar bilik disebabkan kepenatan," katanya yang kini turut beraksi dalam drama Cinta Luar Biasa disiarkan menerusi TV2. Dalam perkembangan lain, Rozita juga tetap mengambil tahu mengenai perniagaan butik tudung perkongsian keluarga dipanggil Padusi yang beroperasi di 17-1, Jalan USJ 10/1F, UEP Subang Jaya, 47630 Selangor. Ia beroperasi setiap hari waktu pejabat. |
| Nama 900 Pesalah Rasuah Dipaparkan Dalam Laman Web SPRM Posted: 18 Jun 2012 09:42 PM PDT Laman web SPRM memaparkan pangkalan data pesalah rasuah.PUTRAJAYA: Lebih 900 individu yang didapati bersalah terhadap tuduhan rasuah termasuk personaliti berprofil tinggi disenaraikan dalam laman web yang lengkap dengan gambar, data peribadi dan sejarah kes. Pangkalan data pesalah dalam versi bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris yang dipaparkan dalam portal rasmi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah bertujuan untuk mengingatkan orang ramai supaya tidak menerima atau memberi rasuah. Profil berkenaan yang diwujudkan pada 1 Januari 2010 sentiasa dikemas kini tetapi nama setiap pesalah akan dikeluarkan selepas tiga tahun. Pesalah rasuah terdiri daripada ahli politik, kakitangan awam, ahli perniagaan dan individu yang bekerja sendiri. Sejarah kes di kalangan setiap pesalah membabitkan tuduhan, hukuman, mahkamah, hakim perbicaraan, timbalan pendakwa raya dan peguam pembela. Carian boleh dilakukan berdasarkan nama atau nombor kad pengenalan pesalah. Status terkini sesuatu kes turut dinyatakan untuk menunjukkan sama ada individu yang didapati bersalah merayu terhadap hukuman tersebut. Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Abdul Razak Musa berkata: "Ada segelintir individu mengadu bahawa pangkalan data tersebut berniat untuk memalukan mereka. Pendirian kami adalah untuk mendidik orang ramai bahawa kesalahan rasuah adalah begitu serius. Kami mahu memberi kesedaran mengenai hukuman yang akan diterima jika mereka menerima atau memberi rasuah." Dalam satu temu bual, beliau berkata SPRM sejak akhir-akhir ini sentiasa menekankan bahawa menawarkan rasuah juga satu kesalahan. "Tidak akan wujud penerima jika tiada pemberi rasuah," katanya. Pada tahun lalu, peratusan kejayaan SPRM dalam mendapatkan sabitan adalah sebanyak 75% daripada 388 kes, berbanding hanya 72% daripada 309 kes pada 2010. Kira-kira 463 individu didapati bersalah tahun lalu termasuk mereka yang mengaku bersalah, berbanding 272 pada 2010. Pada Januari hingga Mei tahun ini, seramai 211 orang didapati bersalah. Jumlah mereka yang dipenjarakan tidak diketahui tetapi beliau berkata kira-kira RM10.9 juta bayaran denda diterima pada tahun lalu berbanding hanya RM9.5 juta pada 2010. |
| Posted: 18 Jun 2012 09:41 PM PDT Dua syarikat telekomunikasi gergasi Samsung Electronics Co. dan Apple Inc. kini berlumba-lumba memberikan yang terbaik untuk memikat hati pelanggan. Masing-masing menawarkan keluarga peranti dengan menggunakan platform berbeza dan kaedah pemasaran yang menarik. Persoalannya siapakah akan kekal memegang takhta untuk tahun-tahun akan datang? Seperti diketahui, Apple hanya mengeluarkan satu telefon pintar dan satu tablet setiap tahun selain menggunakan platform yang dibangunkan sendiri secara dalaman. Perkara ini memberikan Apple lebih kawalan dan pada masa sama mengoptimumkan peranti mereka dengan menyeluruh bagi telefon pintar dan juga tabletnya sendiri. Populariti iPhone dan juga iPad amat meluas, sehingga memberikan tekanan kepada pelbagai pengeluar peranti yang lain. Samsung pula menggunakan strategi berbeza dalam mengukuhkan kedudukannya dalam arena industri peranti mudah-alih. Samsung mempunyai pelbagai jenis tawaran peranti, memfokuskan bukan sahaja pada peranti dengan spesifikasi tinggi bahkan spesifikasi rendah bagi membolehkan semua pihak memiliki telefon pintar. Ia menggunakan pelbagai platform termasuk BadaOS, Android, Windows Phone dan akan datang - Tizen. Kini Android amat popular berbanding yang lain. Kedua-dua gergasi semakin popular dari hari ke hari, masing-masing mempunyai penyokong tersendiri. Selain perang antara peminat, kedua-dua gergasi ini sering bertemu di mahkamah melibatkan beberapa kes saman. Sekali lagi persoalannya, siapakah yang akan memenangi persaingan ini? Atau adakah kedua-duanya akan kekal sebagai dua nama besar dalam industri peranti mudah-alih dunia? Apple dan Samsung seharusnya jelas bahawa industri telefon pintar semakin terbahagi kepada ada atau tidak. Kedua-dua syarikat dijangka melaporkan rekod pendapatan masing-masing untuk tempoh tiga bulan pertama tahun ini, sebahagian besarnya hasil kekuatan jualan telefon pintar. Tidak syak lagi, kedua-dua syarikat gergasi ini berjaya menguasai hampir separuh pasaran telefon pintar, meninggalkan pesaing lain seperti Nokia Corp., HTC Corp. dan Research In Motion Ltd. (BlackBerry). Apple dan Samsung, musuh dari dua benua berjaya menggunakan 'senjata' yang sangat berbeza. Apple, syarikat yang paling berharga di dunia, menjual hanya satu telefon iaitu iPhone. Syarikat Cupertino, California, menekankan reka bentuk dan keuntungan ke atas jualan, selain banyak melabur dalam jenama pengguna dan kedai-kedai runcit yang dikawal ketat. Syarikat berkenaan mendapat faedah daripada ekosistem perisian dan aplikasi yang kukuh. Sementara itu, Samsung adalah syarikat teknologi terbesar di dunia mengikut skala perolehan tahun lepas. Syarikat Korea Selatan ini cepat belajar, membuat pertaruhan dengan mewujudkan versi pelbagai produk seperti telefon pintar Galaxy untuk memenuhi citarasa pengguna. Ia memaksimumkan keuntungan dengan mengawal pengeluaran sendiri. Samsung membuktikan ia mampu untuk terus mara dengan pelbagai model daripada yang ringkas kepada paling canggih seperti Galaxy Notes dan Samsung Tab. Pasaran Menurut firma penyelidikan International Data Corporation (IDC), Apple dan Samsung masing-masing hampir menguasai 25 peratus pasaran global bagi telefon pintar yang dianggarkan mencapai AS$219 bilion dalam jualan tahun ini. Bahagian pasaran Apple mencapai 23.5 peratus, meningkat 16 peratus berbanding akhir 2010. Samsung pula memegang 22.8 peratus daripada pasaran suku yang sama, meningkat daripada 9.4 peratus. Sebuah firma penyelidikan pasaran yang berpangkalan di London, Strategy Analytics melaporkan, gabungan Apple dan Samsung bakal merebut 91 peratus daripada keuntungan operasi semua pembuat telefon bimbit pada suku keempat. "Pada peringkat ini, ia tidak kelihatan seperti kedua-duanya akan beralah," kata seorang penganalisis teknologi di Credit Suisse di Hong Kong, Manish Kaun. Perjuangan untuk menjadi yang terbaik mencetuskan pertempuran antara Apple dan Samsung. Pada April tahun lalu, Apple menyaman Samsung kerana paten reka bentuk dan telefon pintar. Samsung menyerang balas dan pertempuran undang-undang mereka merebak ke mahkamah di sembilan buah negara. Bekerjasama Bagaimanapun kedua-dua gergasi juga telah belajar untuk bekerjasama antara satu sama lain. Apple adalah pelanggan terbesar bagi bahagian komponen Samsung yang membuat skrin paparan dan cip. Pertempuran dalam perundangan tidak memperlahankan jualan atau prestasi kewangan syarikat masing-masing. Kedua-duanya, Apple dan Samsung enggan mengulas mengenainya. "Ia tidak akan menjadi perlumbaan dua gergasi selama-lamanya," kata Ketua Penyelidikan bagi Bank Pelaburan Rutberg & Co, Rajeev Chand. Beliau mencatatkan bahawa pemain yang lebih kecil seperti pembuat peralatan telekomunikasi, Huawei Technologies Co. bakal berkembang walaupun pada skala kecil. "Industri telefon telah dicorakkan dengan kitaran produk yang bergerak pantas dan jika satu kitaran terlepas, menyebabkannya tergelincir. "Industri ini bergerak dalam kitaran di mana beberapa syarikat menguasai beberapa ketika dan kemudian diganti dengan yang lain," kata Pengarah Eksekutif di Strategy Analytics, Neil Mawston. "Pada tahun 1980-an, Motorola menerajui pasaran telefon bimbit, diikuti Ericsson dan menjelang 2000 Nokia mengunggulinya. Kini, masa Apple dan Samsung." Pemain industri berkenaan sedang mengambil langkah berjaga-jaga untuk bertindak balas terhadap peningkatan penguasaan kedua-dua syarikat. Momentum Samsung semakin menarik dengan penganalisis menjangkakan syarikat berkenaan, bergantung sepenuhnya kepada telefon yang dijana oleh perisian Android Google Inc., untuk menggandakan bilangan penjualan telefon pintar tahun ini. Berdasarkan maklumat IDC, tahun lepas, Samsung menjual 94 juta unit berbanding 93.2 juta unit Apple. Samsung telah dapat merebut pasaran pengganti Nokia dengan membawa pelbagai sistem operasi dan apabila muncul Android dengan meletakkan lebih banyak aplikasi yang menggunakan perisian berkenaan. Samsung menggunakan strategi yang sama apabila produk elektronik yang lain, seperti televisyen dan pemain DVD melalui peralihan teknologi. Samsung juga telah mendapat manfaat daripada keinginan menawarkan alternatif kepada iPhone, memberikan mereka lebih banyak produk untuk dipamerkan di kedai dalam beberapa kategori harga. Seperti Apple, skala Samsung membolehkan ia membayar harga yang lebih rendah bagi komponen daripada pesaing. Samsung telah mencipta lima peringkat telefon berasaskan Android yang dibezakan oleh harga dan ciri-ciri dengan setiap satunya mempunyai kelebihan tersendiri. |
| D4 kamera untuk aktiviti lasak Posted: 18 Jun 2012 09:40 PM PDT SEJAK model baru kamera Nikon D4 dilancarkan Januari lalu, ia semakin mendapat tempat di kalangan jurugambar profesional terutama mereka yang aktif dengan tugasan lasak. Model baru itu menawarkan sesuatu yang istimewa kepada jurugambar yang sentiasa berhadapan dengan keadaan tidak menentu liputan sukan, bencana alam, krisis dan pelbagai lagi. Dengan kelajuan merakamkan gambar 11 bingkai sesaat, dilengkapi dengan sensor imej bingkai penuh (36.0 x 23.9 mm CMOS sensor FX) serta saiz imej sehingga 16.2 megapiksel, menjadikan D4 antara kamera tercanggih yang dihasilkan setakat ini. Selain itu, D4 juga merupakan satu-satunya kamera yang dilengkapi dengan dua ruang kad memori berlainan jenis iaitu Compact Flash (CF) dan kad memori eXperimental Quality Determination (XQD). Rangkaian baru kad memori XQD oleh syarikat Sony berkelajuan lebih 125 Mb sesaat merekodkan imej data menyokong spesifikasi untuk kelajuan tinggi dan amat berprestij untuk rakaman imej digital. Ia boleh merakam sehingga kira-kira 100 bingkai gambar pada format RAW dalam mod pengambaran berterusan. Kad memori XQD berkeupayaan melindungi data dan imej pengguna dengan kelajuan tinggi. Sabba itu, D4 menggunakan kad memori tersebut bagi memenuhi cita rasa jurugambar profesional yang sentiasa mahukan imej berkualiti tinggi dan bersaiz besar pada tahap kecepatan yang maksimum. Selain itu, D4 juga mempunyai tahap kawalan gambar dalam bentuk High Dynamic Range (HDR), Standard, Neutral, Vivid, Monochrome, potret dan landskap. Kawalan juga boleh dilakukan mengikut kehendak jurugambar dan boleh disimpan dalam memori kamera. Kawalan warna gambar juga amat mudah dan dilengkapi dengan sistem penyerapan cahaya (ISO) tinggi iaitu dari ISO 50 (L4) hingga 204800(Hi4). Ia juga boleh diubah dari kawalan secara manual kepada Auto ISO yang membolehkan kamera berubah mengikut keadaan ketika pengambaran dijalankan. Dengan kelebihan ISO tinggi, jurugambar dapat menghasilkan gambar bermutu pada tahap piksel tinggi tanpa menggunakan sebarang lampu denyar (speedlight). Dalam keadaan cahaya minimum sekalipun sudah memadai untuk menghasilkan imej yang baik. Tambahan pula D4 dilengkapi dengan mod video 1080p Full HD pada tahap 30/25 bingkai sesaat menjadikannya antara kamera serba lengkap. Penggambaran maksimum mengambil masa 30 minit tanpa henti. D4 juga direka untuk rakaman audio yang berkualiti dengan mikrofon terbina dalam. Bagaimanapun, pengguna boleh menggunakan mikrofon luaran untuk memantau dan mengawal audio secara berasingan. Penunjuk tahap audio membolehkan pengguna memastikan tahap audio dan visual selari untuk mutu pengambaran yang baik. Kamera ini juga telah dinaik taraf menggunakan enjin pemprosesan imej terkini Expeed 3 yang dioptimumkan khusus untuknya. Prestasi enjin Expeed 3 yang mampu memproses keseluruhan fungsi kamera secara bersepadu pada kadar masa singkat memberi kepuasan. Model kamera berkenaan juga difahamkan boleh beroperasi dalam pelbagai keadaan lasak dengan kemasan badan daripada magnesium aloi ringan yang dilengkapi ciri-ciri keselamatan seperti kejuruteraan penebat haba di sekeliling rangkanya. Teknologi tinggi Nikon juga telah meningkatkan tahap kawalan melindungi kelembapan invasif, habuk dan gangguan elektromagnetik secara komprehensif. Monitor LCD di bahagian belakang kamera juga telah dinaik taraf dengan teknologi tahan calar serta dilengkapi mod automatik untuk memudahkan pengguna melihat hasil kerja mereka tanpa gangguan daripada cahaya sekitar. Pencerahan monitor secara automatik dapat menyesuaikan kecerahan LCD monitor bertukar mengikut keadaan pencahayaan alam sekitar yang diukur oleh sensor cahaya ambien, membolehkan pengesahan imej mudah dilihat di tempat-tempat yang cerah atau redup. Ia sangat berguna apabila merakamkan video dan pegun. Badan D4 direka untuk membuat operasi yang santai dalam kedua-dua orientasi mendatar dan menegak terutama pada butang dail arahan yang utama, dail sub-perintah, butang AF-on dan pemilih berbilang. Begitu juga dengan bahagian pegangan menegak juga lebih selamat dengan tempat genggaman ibu jari yang baru ditambah pada kawasan cengkaman lanjutan untuk jari tersebut. Direka dengan binaan dalaman fungsi sistem LAN berwayar IEEE802.3u standard (100BASE-TX) untuk sambungan terus ke komputer peribadi atau rangkaian berpusat. D4 juga tersedia dengan palam bagi sambungan teknologi Wireless Transmitter-5 (WT-5) untuk capaian Internet tanpa wayar (Wi-fi) berkelajuan tinggi bagi menghantar IPTC Data yang boleh ditambah secara automatik kepada imej-imej di dalam kamera. Walaupun harga jualan mencecah RM22,388 sebuah (badan sahaja) namun bagi mereka yang meminati seni fotografi berkualiti tinggi dan memahami teknologi, harga tersebut bukan halangan untuk memiliki sebuah kamera serba canggih masa kini. |
| Berkarya melalui telefon bimbit Posted: 18 Jun 2012 09:33 PM PDT Gambar ini dirakamkan menggunakan kamera telefon Nokia N8 melalui aplikasi HDR. FOTOGRAFI sememangnya satu dunia yang menghiburkan, unik dan kreatif. Kebanyakan daripada kita mungkin menganggap untuk menghasilkan gambar, perlu ada kamera yang bagus tetapi hakikatnya dengan kamera telefon bimbit juga anda boleh berkarya, biarpun tidak sehebat jika anda merakamkannya dengan menggunakan kamera sebenar. Kekurangan menggunakan kamera telefon bimbit adalah anda hanya boleh merakamkan foto mengikut kemampuan saiz sensor imejnya. Anda tidak boleh mencetak foto anda dengan saiz terlalu besar kerana kemampatan (compress) saiz imej pada kamera telefon bimbit dengan kamera biasa adalah berbeza. Namun begitu, bak kata pepatah, daripada tak ada biarlah ada. Maksudnya dalam keadaan anda tidak membawa kamera sebenar, tentulah lebihbaik jika anda masih boleh merakamkan sesuatu peristiwa sebagai kenangan terindah. Apa yang perlu anda buat adalah memahami terlebih dahulu kelebihan dan kekurangan yang ada pada kamera telefon bimbit anda. Jika ia mempunyai saiz sensor 5 Megapixel sudah memadai. Jika saiznya lebih besar lagi, tentulah lebih baik kerana ia dapat membantu penghasilan gambar yang baik. Anda juga perlu mencari kamera telefon bimbit yang mempunyai lensa bukaan besar seperti 2.8 agar rakaman boleh dijalankan dalam semua keadaan cerah mahupun redup. Anda juga boleh memperbaiki hasilnya dengan aplikasi kamera seperti kawalan kecerahan, ketajaman, kontras, saiz fail, close-up dan banyak lagi yang boleh digunakan untuk mencantikkan gambar yang dirakamkan. Fungsi-fungsi dalam aplikasi tersebut kadangkala hampir serupa dengan apa yang ada pada kamera sebenar. Terdapat juga sesetengah kamera telefon bimbit yang mempunyai kawalan penggambaran panorama dan high dynamic range (HDR). Jika anda bijak mengawal segala fungsi dalam aplikasi kamera, anda boleh berkarya dengan kamera telefon bimbit. Anda boleh menghasilkan gambar siluet (silhouette), potret, pemandangan indah, sukan dan sebagainya mengikut kehendak sendiri. Tambahan pula kamera ini juga dilengkapi dengan rakaman video yang boleh anda edit menjadi sebuah cerita menarik dengan menggunakan aplikasi edit movie yang terbina di dalam sesebuah telefon bimbit. Apa yang penting, anda perlu ada asas fotografi untuk lebih cepat memahami kemampuan kamera tersebut. Anda pastinya dapat merakamkan semua kenangan melalui kamera telefon bimbit apabila anda terlupa membawa kamera sebenar - dan yang menariknya, anda boleh terus menghantar foto rakaman anda kepada rakan taulan melalui telefon pintar anda atau memuat naik ke dalam laman sosial untuk dikongsikan!. |
| Tok Batin kagum kegigihan penduduk Posted: 18 Jun 2012 09:29 PM PDT BATIN Adeng Geboi (kiri), Batin Ibe Besah dan Linah Buta Yusuf mengambil kesempatan menyaksikan sendiri bagaimana para petani mengusahakan tanaman di Kampung Gandok, Desa Suntenjaya daerah Lembang, Bandung, Indonesia baru-baru ini. KUNJUNGAN ke kawasan pertanian berkelompok di Kampung Gandok, Desa Suntenjaya, mukim Lembang di Bandung, Indonesia baru-baru ini sangat mengesankan bagi 13 anggota rombongan Orang Asli dari Jelebu, Negeri Sembilan. Tok Batin Kampung Orang Asli Ulu Kelaka, Kuala Klawang, Adeng Geboi memberitahu, banyak pengalaman dan ilmu yang dipelajarinya dalam lawatan ke kampung berkenaan. Katanya, ini termasuk perancangan tersusun penduduk kampung mengusahakan tanaman secara berkelompok dan komersial sehingga mampu dipasarkan ke luar negara. "Saya kagum dengan mereka. Bukan saja tanam dan usahakan secara gigih malah mempunyai pusat pembungkusan sendiri dan syarikat yang menguruskan pengeksportan hasil tanaman. "Bagi saya, pendapatan mencecah lima juta rupiah atau RM1,703 bagi setiap ketua keluarga yang menyertai program berkelompok itu sangat tinggi dan berbaloi," katanya. Seorang lagi Tok Batin, Ibe Besah dari Kampung Sawah, Simpang Durian berkata, kaedah mengusahakan dua atau tiga jenis tanaman di satu-satu batas atau tapak adalah ilmu baru baginya. "Saya lihat sendiri mereka tanam tomato dengan menjadikan batang buluh diikat berbentuk X sebagai 'kayu junjung' supaya ia boleh menjalar ke atas. "Di bawah pula ditanam kubis. Kedua-dua tanaman ini iaitu tomato dan kubis hidup subur, jadi petani memperoleh pendapatan daripada dua tanaman sekali gus. "Tidak cukup dengan itu, mereka ternak ikan air tawar di dalam kolam kecil menggunakan kain kanvas. Ini juga ilmu baru bagi saya," katanya. Ketua Kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Orang Asli Batu 17, Simpang Pertang, Linah Buta sependapat dengan Adeng dan Ibe. Menurutnya, pengalaman dan ilmu yang dikutip dalam lawatan itu akan dikongsi untuk dipraktikkan anak-anak buah atau penduduk kampungnya. "Di Bandung ini kebanyakan mereka masih usahakan tanaman secara tradisi iaitu pergantungan kepada kudrat manusia. Itupun sudah boleh dapat hasil yang lumayan. "Di kampung kita di Malaysia, kalau ditambah baik dengan penggunaan alatan canggih dan kaedah pertanian moden, saya yakin hasil pendapatan akan lebih tinggi dan mampu mengubah cara hidup Orang Asli di tanah air," katanya. Sementara itu, Pengerusi Persatuan Permata Budi Klawang, Maimunah Mohd. Yusuf berharap program lawatan anjuran pihaknya ini akan memberi manfaat kepada masyarakat Orang Asli khususnya di Jelebu untuk meningkatkan taraf sosioekonomi. Pada masa yang sama, beliau juga meminta pihak lain terutama syarikat-syarikat swasta di Malaysia supaya turut membantu menganjurkan program seumpamanya. "Selama ini kita tidak pernah dengar ada rombongan sambil belajar untuk masyarakat Orang Asli. Namun kali ini Permata Budi merealisasikan matlamat itu. "Kita harap program ini tidak terhenti di sini, sebaliknya disusuli oleh pihak lain demi untuk memajukan masyarakat Orang Asli di Malaysia," katanya. |
| Posted: 18 Jun 2012 08:18 PM PDT JAWAPAN Tindakan sebegini bukanlah langkah yang bijak jika tujuan utama pengambilan pil tersebut hanyalah untuk kelihatan cantik dan mempunyai kulit yang licin, mulus serta berseri tanpa jerawat. Fungsi utama pil perancang kehamilan adalah untuk menjarakkan kehamilan. Ia bertindak menghalang proses ovulasi dan menjadikan seseorang wanita tidak subur. Di samping itu, ia juga merencatkan pertumbuhan lapisan dalam rahim (endometrium) yang akan meluluh atau gugur menghasilkan darah haid. Darah haid sememangnya dijangka menjadi sedikit berbanding sebelumnya, lebih teratur serta bilangan harinya lebih pendek. Pengambilan pil ini sesuai untuk wanita yang mengalami pendarahan haid yang banyak yang boleh mengakibatkan kekurangan darah (anemia). Dari sini jelas bahawa pil perancang kehamilan ini dapat menghalang ovulasi dan juga mengurangkan pendarahan haid dan memendekkan tempoh bagi wanita yang mengalami pendarahan haid yang banyak dan berpanjangan. Pada masa sama, ia juga dapat menjadikan kitaran haid lebih teratur. KesihatanPenggunaan pil perancang kehamilan menjamin mutu kesihatan wanita. Apabila wanita dapat merancang keluarga dengan baik, ia menyumbang kepada kurangnya kadar kematian bayi, mengelakkan gangguan haid dan pada masa sama, masalah kulit juga dapat diatasi. Penggunaan pil perancang kehamilan ini juga menyelamatkan wanita dalam banyak perkara terutama kesihatan wanita ketika hamil. Ketika hamil, banyak risiko dihadapi wanita seperti kandungan yang tidak diingini, bayi mati dalam kandungan, gejala berkaitan sista ovari, barah dan sebagainya. Dengan pengambilan pil perancang kehamilan, wanita mungkin dapat mengelakkan daripada mengalami gejala berkaitan dan kesihatan mereka juga terpelihara daripada penyakit berkenaan. |
| Posted: 18 Jun 2012 08:17 PM PDT Andrew Campbell sedang menunjukkan demo ujian pendengaran yang hanya mengambil masa lima minit. KAJIAN menunjukkan 60 peratus orang yang berusia lebih 60 tahun mengalami masalah kehilangan pendengaran. Menurut Pakar Pendengaran di Bay Audio Malaysia, Andrew Campbell, rakyat Malaysia dan penduduk di Asia kurang mengutarakan masalah pendengaran berbanding di Australia. "Lebih kurang 20 peratus pesakit yang mengalami kehilangan pendengaran akan mencari penyelesaian untuk masalah mereka. Di Malaysia, dianggarkan hanya lebih kurang 0.5 peratus akan melakukan demikian, mungkin disebabkan kurang maklumat di mana untuk mendapatkan bantuan," katanya ketika ditemui di Bay Audio, The Curve, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor. Pendengaran sihatTambah Andrew, bunyi diukur dalam unit desibel. Bunyi dari peti sejuk ialah 45 desibel, perbualan biasa adalah kira-kira 60 desibel, dan bunyi bising dari lalu lintas bandar yang sibuk boleh mencapai 85 desibel. "Sumber bunyi yang boleh menyebabkan hilang pendengaran akibat bunyi bising termasuklah daripada bunyi motosikal, mercun, dan senjata api, yang menghasilkan kekuatan bunyi daripada 120 hingga 150 desibel," ujarnya. Sementara itu, pendedahan yang lama atau berulang-ulang terhadap bunyi pada atau melebihi 85 desibel boleh menyebabkan masalah hilang pendengaran. Semakin kuat bunyi, semakin cepat masalah hilang pendengaran akibat bunyi bising berlaku. "Bagaimanapun, bunyi yang kurang daripada 75 desibel, walaupun selepas pendedahan yang lama, tidak akan menyebabkan kehilangan pendengaran," katanya. Ukuran bunyiAndrew menjelaskan, pendengaran diukur pada tahap kebolehan seseorang mendengar bunyi paling perlahan yang boleh didengar. Nada bunyi diukur dalam hertz dan kekuatan bunyi diukur dalam bentuk desibel iaitu daripada 0 ke 140 desibel. "Kami telah mencipta alat pemeriksaan pendengaran berinovatif untuk membantu pelanggan menguji keadaan pendengaran mereka dalam masa lima minit sahaja melalui skrin sentuh yang mudah. Ujian pendengaran dijalankan dengan peralatan skrin sentuh selama lima minit menggunakan iPad dan penutup telinga gred 5 (yang digunakan untuk paras kebisingan dalam persekitaran umum). Keputusan ujian ini membantu kami mengenal pasti jika seseorang itu mengalami masalah pendengaran yang ringan, sederhana atau teruk," katanya. Katanya lagi, berdasarkan keputusan, pelanggan diminta berjumpa pakar pendengaran sekiranya perlu untuk melakukan ujian pendengaran penuh dalam bilik kedap bunyi. "Periksalah pendengaran anda. Mungkin anda mengalami masalah pendengaran tanpa anda sedari. Justeru, ujian seperti ini membantu memperbaiki kesihatan pendengaran," ujarnya. |
| Andalusia: Sejarah Islam disembunyikan? Posted: 18 Jun 2012 07:55 PM PDT Mezquita-Katederal de Cordoba di Sepanyol sarat dengan sejarah tamadun Islam. APABILA disebut Eropah, majoriti dalam fikiran menggambarkan ia merupakan satu negara yang penghuninya cuma terdiri daripada warga Barat. Mungkin tidak terlintas langsung untuk menjengah secara lebih mendalam berhubung asal usulnya. Tetapi ketahuilah, di sana ada fakta sejarah iaitu di Eropah pernah terbinanya negara Islam yang paling kuat di dunia. Salah satu daripada negara di Eropah yang memiliki khazanah Islam yang terkaya adalah di Andalusia atau nama sekarangnya Sepanyol. Nama Andalusia diambil sempena istilah bahasa Arab, Al Andalus, merujuk kepada bahagian jazirah Iberia yang dahulunya berada di bawah pemerintahan Muslim. Baru-baru ini, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis di bawah Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengadakan lawatan kerja ke Andalusia. Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua MAIPs berkenan memimpin lawatan tersebut. Ketika menuju Andalusia baru-baru ini, teringat kepada lirik lagu nasyid kumpulan Far East berjudul 'Ma Assalam Ya Andalus' dan 'Alhambra', tetapi lirik sependek itu tidak dapat memberikan gambaran secara yang lebih jelas berhubung Andalusia. Sebenarnya, ada kisah amat menarik, tetapi terlalu pahit untuk ditelan buat umat Islam. Mungkin ramai yang tidak menyedari atau mengetahui sejarah hitam itu, tetapi sedikit info kali ini mungkin boleh dikongsi. "Menangislah anakku, bak kaum wanita menangis ke atas kerajaanmu yang hilang kerana kamu tidak dapat memeliharanya seperti kaum lelaki". Begitulah ucapan seorang bonda raja dalam sejarah Islam di Andalus, Sepanyol. Ia diucapkan oleh Aisyah kepada anaknya, Abu Abdullah daripada puak Bani al-Ahmar, raja terakhir kerajaan Islam Granada pada 21 Muharam 897 Hijrah yang memeterai perjanjian penyerahan kerajaannya kepada Raja Kristian Sepanyol, Ferdinand dan Isabella. Dengan itu, berakhirlah era kerajaan Islam di bumi Eropah setelah berkuasa 800 tahun. Bani al-Ahmar merupakan puak yang menguasai wilayah Islam terakhir di Sepanyol iaitu Granada dari 620 Hijrah hingga 897 Hijrah iaitu pada tahun di mana perjanjian penyerahan kerajaannya kepada Raja Kristian Sepanyol, Ferdinand dan Isabella dimeterai. Perjanjian yang melibatkan 67 perkara itu, termasuklah jaminan keselamatan orang Islam di Sepanyol, tetapi pada akhirnya ia tidak pernah direalisasikan. Malah, 300 tahun kemudian, Islam dan tanda-tandanya semakin terhakis di bumi Sepanyol, seolah-olah Islam dan tamadunnya tidak pernah wujud di negara itu walaupun ia pernah menyinari dan menerajuinya 800 tahun. Perjanjian ini akhirnya dimeterai kerana menerima banyak tekanan daripada orang Kristian Sepanyol, termasuk kejadian paling memilukan dalam sejarah Islam pada 892 Hijrah. Ketika itu, beribu-ribu umat Islam yang dijanji boleh menyelamatkan diri dengan berlayar ke Afrika dibunuh beramai-ramai secara kejam atau tanpa perikemanusiaan. Dalam tragedi tersebut, umat Islam mati bermandikan darah angkara tentera Kristian. Sebelum dibunuh, mereka bersembunyi di rumah masing-masing. Jambatan Roman digunakan oleh pelawat untuk ke Mezquita-Katederal de Cordoba, Sepanyol. Bagi membunuh penganut Islam, tentera Kristian menggunakan satu penipuan besar. Tentera Kristian membuat pengumuman bahawa orang Muslim Granada boleh meninggalkan rumah secara aman bagi menaiki kapal untuk berlayar meninggalkan Sepanyol sambil membawa barangan keperluan masing-masing. Tentera yang sama juga memaklumkan jaminan keselamatan bagi mereka yang ingin meninggalkan Sepanyol. Pun begitu, masih ramai yang meragui tawaran tersebut. Bagaimanapun, selepas umat Islam melihat sendiri kapal di pelabuhan telah disediakan untuk membawa mereka belayar, barulah mereka menerima tawaran berkenaan. Keesokan harinya, beribu-ribu warga Muslim Granada keluar membawa barang keperluan menuju pelabuhan. Pun begitu, bagi yang tidak mempercayai tawaran tentera Salib itu, mereka terus bertahan dan bersembunyi di rumah masing-masing. Sesudah umat Islam berkumpul di pelabuhan, tentera Kristian segera menggeledah rumah yang ditinggalkan, kemudian membakarnya. Umat Islam yang ada di pelabuhan pula tergamam apabila tentera Kristian membakar kapal yang dikatakan akan membawa mereka keluar dari Sepanyol. Ketika kapal ditenggelamkan, umat Islam tidak dapat berbuat apa-apa kerana mereka tidak bersenjata. Majoritinya wanita dan kanak-kanak, sedangkan tentera Kristian mengepung dengan pedang terhunus. Setelah menerima arahan ketua tentera, umat Islam di pelabuhan itu dibunuh kejam tanpa secebis simpati. Jerit tangis dan takbir terus terdengar, tetapi secara buas tentera Kristian semakin ganas membunuh warga awam yang sama sekali tidak berdaya. Seluruh Muslim Andalusia yang ada di pelabuhan ketika itu berakhir dengan maut. Darah mengalir di merata-rata. Laut yang biru di pelabuhan bertukar menjadi merah kehitamhitaman. Itulah kisah menyedihkan dalam sejarah umat Islam yang tidak boleh dilupakan. Selepas kejadian itu dan memerintah Sepanyol selama 300 tahun, apa yang pasti, tidak ada tanda atau simbol Islam yang kekal di negara tersebut. Umat Islam diugut dan diseksa oleh tentera Kristian Sepanyol dengan pelbagai ugutan dan seksaan yang sangat kejam, mengerikan dan menakutkan serta tidak ada langsung belas kasihan. Mereka (penganut Kristian di Sepanyol ketika itu) tidak mahu Islam wujud langsung. Ekoran itu, umat Islam amat tersepit, sehingga ada yang mengaku Kristian, padahal mereka masih Muslim. Ia terpaksa dibuat kerana terlalu perit ancaman yang terlalu sukar untuk diceritakan secara lisan. Sebenarnya, Islam mula masuk ke Sepanyol pada 92 Hijrah di bawah kepemimpinan Panglima Tariq bin Ziyad, Musa bin Nusair dan Abdul Aziz bin Musa. Selepas kemasukan mereka melalui Jabal Tariq (Gibral Tar) pada tahun itu, Sepanyol kemudian muncul menjadi negeri paling makmur. Pasukan Islam tidak hanya berhenti di Sepanyol, malah terus memperbesarkan empayar ke negara sekitar seperti Perancis. Kota Carcassone, Nimes, Bordeaux, Lyon, Poitou dan Tours. Walaupun pasukan Islam sangat kuat dan memiliki kekuasaan yang luas, tetapi mereka tetap mengutamakan toleransi kepada suku Goth dan Navaro di daerah sebelah barat yang juga kawasan pergunungan. Islam sudah menerangi Sepanyol dan oleh kerana sikap penguasa Islam begitu baik dan rendah diri, ia terus mendorong warga Sepanyol yang tulus dan ikhlas memeluk Islam. Mereka bukan hanya beragama Islam, namun amat mempraktikkan kehidupan secara Islam. Mereka tidak hanya membaca al-Quran, malah bertingkah laku berdasarkan al-Quran. Suasana sedemikian berlangsung hampir enam abad. Pemimpin Islam ketika itu cukup berwibawa dan digeruni. Abdul Rahman al-Dakhil sebagai contoh, adalah individu yang menyambung Kerajaan Bani Umayyah di Andalus setelah Umayyah di pusat iaitu di Damsyik telah jatuh. Abdul Rahman al-Dakhil pernah dijemput oleh pemimpin Kristian yang dibantunya ketika memerangi musuh. Beliau turut dipelawa minum arak, tetapi ditolak secara diplomasi dengan berkata: "Aku memerlukan tambahan untuk otakku bukan untuk mengurangkannya". Pun begitu, ketika Islam kian kukuh di Andalus berabad-abad lamanya, ia tetap dikeliling orang kafir Sepanyol yang sedia menanti untuk menghapuskan Islam, tetapi selalu gagal. Beberapa kali dicuba, namun tidak berhasil. Mereka kemudian menghantar perisik untuk mengkaji kelemahan umat Islam di Sepanyol. Akhirnya perisik menemui cara bagi menakluki Islam di Sepanyol, iaitu melemahkan iman dengan serangan pemikiran dan budaya. Musuh kemudian secara senyap menghantar arak secara percuma ke wilayah Sepanyol. Muzik diperdengarkan untuk memujuk golongan muda agar lebih suka menyanyi dan menari daripada membaca al-Quran. Punca lain adalah perbalahan dan permusuhan sesama sendiri sehingga mewujudkan 20 puak yang mempunyai negeri masing-masing. Antaranya Bani Jahur, Bani 'Ibad, Bani al-Aftas dan Bani Nun. Ekoran wujudnya pelbagai puak, mudahlah musuh Islam di Andalus merebut kembali tanah. Apa yang menyedihkan, ada umat Islam yang 'menjual' agama dan negara demi kepentingan peribadi. Contohnya, Gabenor Daerah Balansiah, Abu Zaid ketika berdepan dengan rakyatnya yang memberontak, dia terus membuat perjanjian dengan Raja Kristian Choinawi untuk membantu menghapuskan pemberontakan tersebut. Habuannya, Abu Zaid akan memberikan beberapa kawasan kepada Choinawi dan membayar 'jizyah' tahunan kepadanya. Jizyah dalam Islam mesti dibayar oleh bukan Islam kepada pemerintah Islam, tetapi apa yang dilakukan oleh Abu Zaid yang beragama Islam adalah terbalik, apabila berjanji membayar jizyah kepada Choinawi yang beragama Kristian. Sebenarnya, 800 tahun bukan singkat. Selepas umat Islam 'menghidupkan' Sepanyol dan menjadikannya bangsa bertamadun berbanding bangsa lain di Eropah, akhirnya seolah-olah kehebatan tersebut tidak pernah wujud. Apa yang pasti, Sepanyol sekarang bukan Sepanyol dulu. Sepanyol hari ini bukanlah Andalus pada satu masa dulu. |
| Posted: 18 Jun 2012 07:54 PM PDT BIARPUN puncak Pinnacles bukanlah puncak tertinggi di Asia Tenggara tetapi cabaran mendakinya pasti memberikan kepuasan kepada mereka yang gemar dengan aktiviti tersebut. BUMI Kenyalang amat kaya dengan khazanah alam dan kebudayaan yang unik untuk diterokai bersama ahli keluarga dan rakan-rakan. Pada umumnya, Sarawak kini sering dikunjungi orang tempatan dan asing kerana lokasi pelancongannya menawarkan pelbagai pakej-pakej percutian yang menghiburkan sambil ditemani alam semulajadi. Antara destinasi yang menjadi pilihan utama seperti Gunung Murud yang merupakan gunung tertinggi di sana, Gunung Benarat, Gunung Api dan beberapa gua yang menjadi sebab utama mengapa jumlah pengunjung semakin bertambah. Sebagai gunung kedua tertinggi di Sarawak, Gunung Mulu mempunyai saiz 2,377 meter tetapi khazanah alam yang ada padanya sukar ditandingi sekaligus meletakkan gunung tersebut lebih tinggi daripada destinasi pelancongan lain. Antaranya seperti khazanah Sarawak Chamber yang terletak berhampiran dengan gua tersebut. Ia cukup besar dan bahagian chambernya pasti memukau setiap yang melihatnya kerana keluasan kawasan tersebut dikatakan mampu memuatkan lapan jet jumbo 747. Terletak di Taman Negara Gunung Mulu (TNGM), lokasi ini sering diberi publisiti meluas secara berterusan untuk memastikan Tapak Warisan Dunia itu terus dikenali masyarakat khususnya dari luar negara. Saban tahun, kunjungan pelancong ke destinasi tersebut semakin meningkat bahkan ia mewujudkan permintaan dalam kalangan pelancong untuk berkunjung ke sana. TNGM turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas bagi memudahkan pengunjung dan jika dibandingkan beberapa tahun lalu kemudahan tersebut semakin bertambah baik. Lokasi itu dipelihara dengan cekap bagi memastikan generasi akan datang dapat menikmati keindahan dan keunikan alam semula jadinya. Sebagai contoh, jutaan kelawar keluar dari gua di Mulu merupakan satu fenomena yang unik dan hebat, justeru ekosistem itu perlu dipelihara agar ia tidak pupus begitu sahaja. Puncak Pinnacles pula menjadi mercu tanda bagi Gunung Mulu. Bagi mereka yang sukakan cabaran, hanya mereka yang berjaya berada di puncak tersebut sahaja yang tahu betapa mencabarnya puncak berkenaan. Setiap orang yang berjaya menjejakkan kaki ke puncak Pinnacles pasti berasa seperti berada di puncak tertinggi sekali di Asia Tenggara. Perasaan ini muncul kerana Pinnacles diiktiraf sebagai puncak paling mencabar di Asia Tenggara berbanding mana-mana gunung yang terdapat di negara ini mahupun disekitarnya. Puncak berbatu kapur itu jika dilihat dari jarak dekat kelihatan seolah-olah cerucuk tajam yang terhasil secara semulajadi dan ia mengambil masa jutaan tahun bagi membentuk fizikal batu tersebut. Lebih menarik di Gunung Mulu juga terdapat 1,500 spesis flora dan fauna seperti 170 spesis orkid liar, 67 spesies mamalia, 262 spesis burung dan 281 spesies rama-rama. Jika pengunjung berpeluang menerokai puncak Gunung Mulu, anda pastinya terpesona dengan landskap pemandangan yang mengagumkan. Selain itu, pengunjung juga boleh menerokai gua yang terdapat di sekitarnya seperti Gua Angin, Gua Air Jernih, Gua Hijau, Gua Rusa dan Gua Lang. Sila pastikan anda membawa botol air bersama dengan beberapa kudapan sebelum mulakan pengembaraan ke mana-mana gua tersebut. Sambil menerokai panorama bertemankan cahaya matahari dan suasana hijau hutan hujan tropika, pengunjung boleh menikmati suasana yang pastinya cukup mendamaikan. Bagi mereka yang berminat untuk mengunjungi lokasi ini, anda boleh mulakan pengembaraan dari Long Pala (pintu masuk bahagian barat) ataupun dari TNGM (pintu masuk bahagian timur). Bagaimanapun, kebanyakan pengunjung memilih untuk mengunjungi destinasi tersebut dari TNGM kerana mereka boleh ke sana dengan menaiki van selama lima minit untuk ke pintu masuk tersebut. Sampai sahaja ke lokasi itu, pengunjung perlu mengembara merentasi Kem Summit dan Kem Paku sebelum bertemu Gua Hijau, Gua Rusa dan Gua Lang. Antara halangan yang pastinya meninggalkan kenangan ialah ketika pelawat merentasi jambatan gantung yang disediakan. Sepanjang perjalanan pengunjung akan dipisahkan dengan papan penghalang yang memisahkan antara trek pendakian dengan kawasan hutan. Ketika bergerak pada trek tersebut, pengunjung perlu berhati-hati dengan ulat bulu bersaiz kecil. Walaupun saiznya kecil tetapi jika terkena badan manusia ia boleh membuatkan anda kegatalan sepanjang hari. Bentuk permukaan Gua Lang kelihatan amat biasa dan sempit tetapi formasi stalaktit batu kapurnya amat hebat. Laluan pejalan kaki turut disediakan bagi memudahkan pengunjung menerokai keindahan gua yang sangat lembap. Gua Rusa pula mendapat nama tersebut kerana rusa-rusa liar datang ke gua itu untuk menjilat air garam bukit yang terdapat pada kolam-kolam batu kapur. Ia juga boleh dipanggil sebagai Gua Kelawar kerana jutaan kelawar menjadikan gua tersebut sebagai habitat mereka. Ketinggian gua ini meningkat dari 120 hingga ke 150 meter ketika pelawat ditelan jauh ke dalam perut gua tersebut. Menariknya Gua Rusa tidak mempunyai stalaktit dan ia lebih gelap daripada Gua Lang. Bagaimanapun, setiap pengunjung yang berpeluang mengunjungi lokasi ini pastinya disambut baik oleh bayu angin yang menyegarkan di samping bunyi air terjun selepas anda mendekati pintu masuk di bahagian utara. Ketika mendekati pintu itu, pelawat berpeluang melihat sebatang sungai jauh di bawah cenuram dan taman yang lebih dikenali dengan nama Garden of Eden buat rakyat asing. Jika anda bernasib baik dan sempat pulang kembali ke pintu masuk sebelah selatan anda berpeluang melawat kawasan yang diberi nama sebagai Amphitheatre yang terletak di bawah bahagian permukaan gua. Di lokasi ini, pengunjung berpeluang melihat jutaan kelawar terbang meninggalkan gua selepas sahaja pukul 4 petang. Jika anda pernah melihat burung-burung bermigrasi terbang berhijrah ke negara lain, keadaan kelawar ini juga seperti burung tersebut bezanya haiwan ini akan pulang kembali ke gua tersebut sebelum subuh. Buat mereka yang ingin merakamkan kenangan itu perlulah membawa lensa sejauh 300mm ke atas untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas. Bagi mereka yang tidak mahu tinggal dalam keadaan gelap bolehlah pulang kembali ke tapak taman negara kerana untuk keluar dari hutan itu memerlukan masa yang agak panjang. Bagi perjalanan kedua-dua lokasi ini memerlukan pelawat berjalan sejauh beberapa kilometer. Keesokan harinya pula, pengunjung boleh menempah bot pelancong bagi melawat kawasan perkampungan orang asli yang terletak di sekitar kawasan Gua Air Jernih dan Gua Angin. Bagi yang telah berkunjung ke Gua Rusa pastinya terkejut setelah melihat kehebatan Gua Air Jernih yang jauh lebih besar dan sebahagian besar daripada kawasan tersebut masih belum dijelajahi. Gua ini sebenarnya merupakan gua terbesar di Asia Tenggara dengan keluasan kira-kira 107 kilometer. |
| Posted: 18 Jun 2012 07:53 PM PDT HOTEL Quinara Al-Safir di Jalan Tok Jembal, Kuala Terengganu dan milik anak tempatan memberi pilihan kepada pengunjung yang mahu lari dari hiruk-pikuk bandar raya. UINARA Al-Safir, namanya agak ganjil tetapi menarik bagi sebuah resort di pinggir bandar raya Kuala Terengganu yang muncul di kawasan tanah paya di perkampungan agak sunyi. Ia adalah gabungan nama paya Kuing di pinggir bandar raya Kuala Terengganu di mana resort yang baru setahun beroperasi di samping nama pasangan suami isteri selaku pengusaha bagi menampung keperluan musafir. Ia satu-satunya resort bertaraf tiga bintang dalam kawasan Parlimen Kuala Nerus yang pesat membangun dan memberikan pilihan kepada pelanggan yang selama ini tertumpu di hotel dan resort di pusat bandar raya. Jika menginap di pusat bandar raya, mereka mungkin mengambil masa 20 minit untuk berulang-alik ke kawasan itu dan mungkin berdepan dengan kesesakan terutama di Jambatan Sultan Mahmud pada waktu puncak. Quinara Al-Safir mendekatkan mereka yang berurusan di kawasan ini dengan menawarkan perkhidmatan kepada pelbagai golongan pengunjung dengan harga bilik yang cukup sederhana. Kedudukan hotel milik anak tempatan di Kampung Tok Jembal ini cukup strategik, bersebelahan dengan Kelab Golf Kuala Terengganu jika ingin melayani hobi bersama sukan itu. Juga cuma lima minit perjalanan ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud jika menanti waktu untuk berlepas atau menunggu ketibaan rakan dan keluarga serta ke pantai peranginan Teluk Ketapang atau Pantai Tok Jembal untuk bersantai dan menjamu selera. Hanya lapan atau 10 minit memandu jika anda ingin ke Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan kawasan perindustrian. Lokasi resort ini di kawasan perkampungan yang masih dikelilingi alam semulajadi malah pelanggan masih boleh menjamah kabus pagi yang jarang-jarang kelihatan di bandar. Menurut Pegawai Korporat dan Pemasarannya, Arizahamalia Ahmad, resort yang didirikan di atas tanah seluas kira-kira 3.6 hektar itu menawarkan sebanyak 48 bilik terdiri daripada jenis Superior Deluxe dan Superior. Harga yang ditawarkan pula jauh lebih murah berbanding hotel bertaraf tiga bintang lain iaitu bermula dari harga RM120 hingga RM140 termasuk sarapan untuk dua pelanggan dengan menyediakan pelbagai menu tempatan khususnya makanan negeri Terengganu dan juga makanan Barat. ''Ia tentunya sesuai untuk semua golongan dengan harga yang tidak membebankan dan membolehkan mereka menginap lebih lama jika banyak urusan di sini," ujarnya. Selain daripada itu, Quinara Al-Safir juga mengamalkan prinsip syariah di mana tiada minuman dan makanan tidak halal disediakan di resort berkenaan. "Di sini, kami amat mementingkan konsep syariah di mana setiap pekerja perlu mengambil wuduk sebelum memulakan tugas selain itu kami akan berkumpul sejam sebelum masuk waktu bekerja untuk berzikir beramai-ramai. "Kebersihan dalam penyediaan makanan akan dititikberatkan di mana semua bahan yang kita gunakan adalah dari sumber yang halal lagi bersih demi menjaga kesucian agama Islam," katanya. Tambahnya, bagi mereka yang gemarkan makanan Timur Tengah, mereka boleh singgah di Al-Marwah Cofee House yang ditempatkan di tingkat dua hotel. Ia menyajikan masakan dari negara Arab seperti nasi mandy, nasi arab dan juga ayam panggang bersama kari kambing dan manisan. Bagi mereka yang menggemari air nira, Quinara Al-Safir juga satu-satunya hotel yang menyediakan air nira kelapa segar dan enak dinikmati ketika cuaca panas. "Hanya di sini pelanggan berpeluang menikmati air nira kelapa," jelasnya. Sebagai sebuah resort, tidak lengkap sekiranya setiap bilik tidak dilengkapi dengan keperluan asas iaitu televisyen, pendingin hawa, pemanas air dan kemudahan melayari internet. Selain itu, untuk memenuhi keperluan pelanggan, beberapa fasiliti lain turut disediakan iaitu surau, bilik seminar yang memuatkan 30 orang, dewan utama yang mempunyai kapasiti 1,000 orang serta ruangan parkir. Quinara Al-Safir juga turut menawarkan pakej mesyuarat, kursus, perkahwinan dan seminar kepada pelanggannya. Menurut Arizahamalia, resort itu turut menawarkan pakej perkahwinan di mana menyediakan tiga jenis pilihan iaitu pakej Balqis, pakej Tautan Kasih dan pakej Istana Balqis bermula dari harga serendah RM25, RM35 dan RM45 untuk setiap orang dengan minimum 500 tetamu. Antara menu yang disediakan pula ialah nasi minyak, daging masak tomato, ayam kalio, dalca sayur dan buah-buahan, ayam kurma, daging masak hitam, rendang minang, ayam percik, ikan sambal tomato, udang goreng, dalca daging tetel, sayur goreng jawa dan puding. "Kita juga menyediakan makanan beradap serta kek perkahwinan bermula dengan harga RM250 hingga RM270," jelasnya. |
| Posted: 18 Jun 2012 06:40 PM PDT PENULIS bersama Ketua Editor Marie Claire Seventeen, Mindy Teh (dua dari kanan), Pengurus Perhubungan Awam L'Occitane, Clarance Boo (kanan) dan Penulis Kanan Sin Chew Jit Poh, Lee Ying Fong (kiri) ketika belon udara panas kami selamat mendarat. Pagi ini kami akan menaiki belon udara panas iaitu salah satu aktiviti rekreasi yang amat popular di En Provence, pada sepanjang musim bunga dan musim panas sekiranya terdapat permintaan daripada penduduk tempatan mahupun pelancong. Sepanjang perjalanan itu juga, hati penulis jadi tidak keruan. Sekejap rasa teruja dan ada ketikanya rasa takut dan cuak dengan faktor ketinggian yang akan dialami sebentar nanti. Kira-kira 15 minit perjalanan, van yang membawa kami sampai ke padang hijau. Suhu pada waktu itu agak sejuk lebih kurang sembilan darjah celsius. Turut serta bersama kami ialah rombongan wartawan dari Filipina, Korea Selatan dan Taiwan. Sesampainya di padang, proses memasukkan udara ke dalam belon sedang diuruskan. Terdapat dua belon udara panas yang menanti kami, satu daripadanya kepunyaan syarikat belon udara panas, France-mongolfieres.com yang boleh memuatkan 12 penumpang bersama seorang pengemudi dan satu lagi kepunyaan syarikat produk kecantikan terkenal di Peranchis iaitu L'Occitane yang memuatkan empat penumpang bersama seorang pengemudi. Selepas 15 minit proses memasukkan udara ke dalam belon pun selesai. Kini belon sudah mengembang dan boleh menegak. Pada waktu itu kami semua dinasihatkan agar segera memanjat ke dalam bakul (lebih berbentuk seperti raga rotan) dengan memijak hujung jari kaki pada ketiga-tiga lubang yang terdapat pada raga. Tiada tangga digunakan. Hanya berat badan membantu menujah tubuh badan naik dan seterusnya terjun ke dalam bakul yang berketinggian tiga setengah meter itu. Sekiranya lambat, dikhuatiri raga belon akan terangkat ke udara dengan cepat kerana muatannya masih ringan. Ketika kami naik ke dalam bakul belon udara panas berkenaan, tali yang mengikat bakul itu dipegang oleh beberapa pekerja syarikat dan salah satunya terikat pada lori yang mengangkut belon berkenaan. Setelah memastikan kami semua berada di dalam bakul, belon udara panas yang kami naiki dilepaskan daripada pengikatnya dan seketika kami pun telah berada di udara. Sepanjang perjalanan, kami akan berdiri di dalam bakul raga yang hanya berukuran muat-muat badan. Beberapa kali gas prophane dilepaskan oleh si pengemudi belon yang dinaiki penulis dikenali sebagai James . Sedikit demi sedikit belon udara panas kami naik pada ketinggian 200 meter, 400 meter, 700 meter dan seterusnya sehingga ke 1,400 meter. Melihat pemandangan yang sayup di bawah dengan kehijauan padang dan bukit-bukau yang menghijau diselang-seli warna bunga-bungaan musim bunga pada ketika itu, hati rasa terpegun. En Provence sebenarnya adalah sebuah bandar country side yang mana pertanian dan penternakan merupakan aktiviti utama di wilayah ini. Suhu di udara memang cukup sejuk. Sesekali angin sejuk menampar muka menyebabkan kami menggigil. Memandangkan tiupan angin tidak berapa kuat, kami merasakan seolah-olah belon itu tidak bergerak. Namun sebenarnya kami telah melangkaui jarak satu setengah kilometer dari kawasan padang tempat kami mula berlepas. Kesempatan itu kami gunakan untuk merakamkan pelbagai gambar dan sesekali dibingitkan dengan semburan api dari gas prophane yang dikemudi oleh James untuk mengawal arah dan aras ketinggian. James berkata, aktiviti belon udara panas tidak boleh dilakukan pada waktu tengah hari disebabkan suhu yang panas. Sebelum belon udara kami berlepas, James ada berpesan yang kami perlu menundukkan badan dan berpegang erat pada lubang yang disediakan pada bakul belon ketika proses mendarat nanti. Ini untuk memastikan penumpang tidak terasa terhentak kerana belon akan terhentak dan terapung kemudian terhentak lagi beberapa kali sebelum betul-betul mendarat. Dia juga berkata, selepas mendarat semua penumpang tidak dibenarkan turun sehinggalah belon itu kuncup dan jatuh ke tanah. Akhirnya, selepas hampir satu setengah jam berada di udara, perlahan-lahan belon udara panas dibawa turun. James cuba mengawal keadaan agar bakul belon tidak terpusing dan beralih arah. Mujurlah kami selamat mendarat tanpa perlu melakukan langkah-langkah keselamatan yang diberitahu sebelum itu. Mungkin kerana tiupan angin tidak berapa kuat, belon udara panas kami mendarat dengan hentakan yang tidak begitu kuat di sebuah padang ragut kira-kira satu setengah kilometer dari tempat asal kami berlepas tadi. Sebaik sahaja belon udara panas kami berada di atas tanah dalam keadaan kuncup, barulah kami dibenarkan keluar dari bakul. Pastinya ini juga satu seksaan. Kami terpaksa memanjat tiga lubang tadi untuk keluar dan terjun ke tanah dari ketinggian bakul itu. Di sini anda boleh bayangkan bagaimana bau daripada 'jerangkap samar' (tahi lembu) 'menyambut' kami sepanjang perjalanan kembali ke van yang mengekori dari belakang. James berkata, jarang terjadi belon udara panas akan mendarat di tempat yang sama. Pastinya ia akan mendarat di kawasan lain. Cuma sepanjang 'penerbangan' belon udara panas perlu dikemudi dengan baik agar ia tidak 'dibawa' tiupan angin ke arah bertentangan dan memastikan ketika mendarat semua faktor keselamatan dipenuhi termasuk tidak memasuki ladang-ladang tanaman. |
| Posted: 18 Jun 2012 06:36 PM PDT $entry.content.caption.value DALAM peperangan 'dua dewi' ini, tiba-tiba saja nama Tasha Shila turut menjadi sebutan. Meskipun Tasha pernah membuat kenyataan mengenai kekecewaan terhadap Neelofa mengenai pertikaian kemenangannya itu di ABP, dia bagaimanapun tidak mahu diheret sama dalam situasi tegang ini. |
| Posted: 18 Jun 2012 06:35 PM PDT Neelofa dan Anzalna Atmosfera industri hiburan minggu ini diasak dengan berita-berita peperangan antara dua dewi - Neelofa dan Anzalna yang lahir menerusi program Dewi Remaja 2010/2011. |
| Posted: 18 Jun 2012 06:34 PM PDT Fazurina kini bertudung ALHAMDULILLAH, seorang lagi pelakon wanita kini tampil dengan imej bertudung iaitu Siti Fazurina yang popular dengan drama bersiri, Dunia Anita. |
| You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |







0 ulasan:
Catat Ulasan