Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Wallenda Berjaya Menyeberangi Niagara Falls Menggunakan Tali
- Keajaiban di sebalik ibadah solat
- Taksub kuasa tilikan binatang
- Penjenamaan semula Passat CC
- Sedan eksekutif selesa
- Kemeriahan Japan GT 2012 di Litar Sepang
- Rangkaian tayar GT Radial
- Bidong 'diserbu' penyelam muda
- Sembilan hari jelajah Jepun
- Calet atas sawah
- 'Bakul besar' ikon Ohio
- Intai khazanah Darul Ridzuan
- Hadiah lumayan Teka Minyak Jagung
- Selera Johor asli di Jo'hoe Taste
- Wanita penghidap kanser payudara perlukan sokongan
| Wallenda Berjaya Menyeberangi Niagara Falls Menggunakan Tali Posted: 15 Jun 2012 09:31 PM PDT ![]() NIAGA FALLS: Nik Wallenda telah menyeberangi wilayah Kanada dalam percubaannya untuk menjadi orang pertama berjalan di atas tali tegang pada ketinggian 1,800 kaki merentasi kabus tebal air terjun Niagara. Ahli dari generasi ketujuh 'Flying Wallendas' yang terkenal ini telah lama mengimpikan melakukan aksi berbahaya ini yang belum pernah dicuba sesiapa. Mereka yang berani seperti Wallenda pernah berjalan di atas dawai merentasi Sungai Niagara tetapi tidak setinggi itu dan tidak ada lagi yang mencubanya sejak 1896. Seramai 125,000 orang dianggarkan memenuhi bahagian Kanada dan 4,000 orang di sebelah Amerika menyaksikan aksi ngeri Wallenda, Jumaat malam. Saluran televisyen ABC menyiarkan aksi berjalan kakinya dan berkeras meminta Wallenda menggunakan tali tambatan yang dapat menahannya daripada jatuh dalam sungai. Wallenda berkata dia bersetuju kerana dia tidak sanggup kehilangan peluang dan memerlukan tajaan ABC untuk membantu mengimbangi sebahagian daripada $1.3 juta kos yang menyaksikan pertunjukan. | ||||
| Keajaiban di sebalik ibadah solat Posted: 15 Jun 2012 06:08 PM PDT
DALAM tempoh empat hari lagi bulan Rejab akan melabuhkan tirai bagi memberi laluan kepada bulan Syaaban dan seterusnya bulan Ramadan. Bulan Rejab, cukup sinonim dengan peristiwa agung dalam sejarah Islam iaitu Israk dan Mikraj . Ia merupakan sebuah perjalanan kilat Rasulullah S.A.W menghadap Allah S.W.T, pada malam hari. Kisah perjalanan baginda bermula dari Masjidil Haram, Mekah menuju ke Masjidil Aqsa, Baitulmuqaddis. Baginda kemudiannya dibawa ke langit sehingga ke Sidratulmuntaha, lalu kembali ke Mekah pada malam yang sama. Sidratulmuntaha digambarkan sebagai pohon bidara yang tumbuh di langit keenam dan ketujuh. Peristiwa itu berlaku pada 27 Rejab 662 Masehi pada usia baginda 52 tahun. Peristiwa Israk dan Mikraj memberikan pelbagai hikmah dan kelebihan. Pada peristiwa itu, Allah S.W.T telah memfardhukan solat lima waktu iaitu solat Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak ke atas semua umat Islam. Solat sehari semalam itu merupakan rukun Islam yang kedua. Peristiwa Israk dan Mikraj membawa peringatan dan pengajaran yang wajib dilaksanakan oleh seluruh umat Islam di dunia ini, terutamanya amalan solat yang merupakan tiang agama yang wajib ditunaikan. "Sebelum bertudung, saya terlebih dahulu menyucikan hati dan membaiki solat. Saya sentiasa berusaha menunaikan solat lima waktu walaupun sibuk dengan bermacam-macam aktiviti. Amalan solat tidak boleh dipandang remeh kerana ia perkara pertama akan dihisab pada hari akhirat," luah selebriti Wardina Saffiyah Fadhlullah Wilmot, 33. Beliau menyatakan, adalah lebih bermakna sekiranya seseorang muslimah itu bukan sekadar menutup aurat dan bertudung litup, tetapi turut menjaga solatnya. Tegas wanita berdarah campuran Australia (sebelah bapa) dan Aceh (sebelah ibu) itu, dengan mendirikan solat ia membantu mengukuhkan hati dan iman para muslimin. Pada masa yang sama, orang yang bersolat itu jelas menunjukkan bahawa mereka tidak sombong kepada Allah, Yang Maha Mengetahui dan Maha Pencipta. "Jika tidak bersolat, ini bermakna kita sombong dengan Allah. Justeru, jika kita bersikap bongkak dengan-Nya, maka tidak mustahil kita akan sombong terhadap manusia dan hidupan lain," kata Wardina yang mendidik tiga orang anaknya, Amna Ikhwan Johari, 9, Azra, 6, serta Imran, 3, solat berjemaah pada waktu Subuh, Maghrib dan Isyak. Solat membentuk akhlak ![]() SEHARUSNYA amalan solat disemai dalam diri individu sejak zaman kanak-kanak. Sementara itu, Syahmi Hakim Kechnter Sha, 13, mengakui transisi kehidupannya hari ini lebih bermakna. Pada zaman kanak-kanaknya, dia tidak terlalu memikirkan soal solat dan mengaji al-Quran kerana beranggapan amalan tersebut akan dilaksanakan apabila dewasa kelak. "Biasalah masa zaman kanak-kanak terlalu asyik dengan pelbagai aktiviti sehingga saya lalai. Kalau solat pun ikut mood, padahal solat itu perlu dilaksanakan mengikut waktu yang ditetapkan. Jenuh jua keluarga menasihati, tetapi saya tetap leka. "Setelah mencapai usia 12 tahun, saya mula berubah dan berusaha untuk tidak meninggalkan solat lima waktu," terang anak bongsu daripada lima orang adik-beradik itu yang bercita-cita bergelar pendidik dan pakar motivasi. Dia kini menuntut di Akademi Tahfiz Al-Hidayah (ATAH) yang beroperasi di Jalan Gurney, Kuala Lumpur. Luah anak kelahiran Juasih, Negeri Sembilan itu lagi, sememangnya amalan bersolat membawa 1,001 keajaiban yang sukar untuk diterjemahkan dengan kata-kata. Apa yang pasti, solat membantunya membentuk akhlak dan budi pekerti. Menghafaz al-Quran Bagi Wan Abdul Hakim Wan Zulkifli, 11, dia menyifatkan tanggungjawab menunaikan solat seharusnya dididik sejak kecil lagi. Sebagai umat Islam yang sentiasa mendambakan keberkatan Allah untuk hidup di muka bumi ini, bersolat adalah platform yang terbaik dan lebih afdal. "Setiap hari, saya memperuntukkan masa antara dua hingga tiga jam untuk membaca dan mempelajari ayat suci berulang kali supaya ingat dalam ingatan. Selain itu, bagi menguatkan lagi proses menghafaz ayat-ayat al-Quran beserta tajwid dan nahu yang betul, saya akan membacanya ketika mengimamkan solat jemaah," kata anak sulung daripada lima orang adik-beradik yang selalu menjadi imam untuk kumpulan pelajar tahap satu. Setakat ini, Wan Abdul Hakim, sudah mampu menghafal lima juzuk al-Quran dengan lancar. Erti perpaduan dalam solat Salah seorang tenaga pengajar di ATAH, Hatim Nabihah Mohamad Khairi, 21, memberitahu, amalan solat memiliki fadilat secara tersurat dan tersirat. Selain mendekatkan diri kepada Allah, solat juga salah satu cara terbaik untuk mengajar umat Islam erti perpaduan dan keseragaman dalam menjalani kehidupan seharian. "Di ATAH, kami menekankan para pelajar terutamanya yang berusia 12 tahun ke bawah menunaikan solat secara berjemaah yang diketuai seorang imam. ![]() WARDINA (kanan) dan suami sentiasa menunaikan solat jemaah bersama tiga orang permata hati mereka. "Hubungan antara imam dan makmum ketika melunaskan solat jemaah bertujuan mempamerkan situasi bersatu hati dalam kalangan orang Islam ketika menghadap Ilahi," tutur anak kelahiran Ampang, Selangor yang turut bertindak sebagai guru bahasa Inggeris di sekolah berkenaan. Tambah Hatim, sememangnya solat jemaah itu dituntut dalam Islam. Mengikut mazhab Shafie, hukum solat berjemaah ialah fardu kifayah meskipun sesetengah pendapat menyatakan hukumnya sunat muakad. "Selain itu, keunikan solat jemaah bukan saja menawarkan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda, malah ia medium terbaik untuk merapatkan ukhwah sesama umat Islam yang terdiri daripada pelbagai bangsa, pangkat dan umur," terang Hatim yang sebentar tadi meminta para pelajar memperkemaskan diri dan membetulkan saf sebelum melakukan solat Asar. Istinjak perlu betul ![]() PADA peristiwa Israk dan Mikrak, Allah S.W.T telah memfardukan solat lima waktu yang wajib dilaksanakan oleh semua umat Islam di muka bumi ini. Dalam pada itu, pengasas ATAH, Roslailawati Mohamad atau lebih mesra disapa Ibu Laila, menyifatkan bahawa solat itu merupakan tiang agama yang perlu kukuh dalam diri setiap umat Islam. Tidak dinafikan kebanyakan muslimin segera menunaikan kewajipan solat sebaik saja kedengaran laungan azan, namun persoalannya, adakah sebelum mengambil wuduk dan bersolat, individu telah melakukan istinjak dengan sempurna? "Istinjak atau menyuci memerlukan kita membersihkan dubur dan kemaluan sesudah buang air kecil atau besar serta perlu dilakukan sebelum berwuduk. Proses ini wajib dititikberat bagi memastikan tubuh badan bebas daripada rasa, bau dan warna kotoran atau najis. "Selesai beristinjak barulah berwuduk dan pastikan aliran air rata pada seluruh anggota wuduk seperti muka, tangan sehingga siku, kepala dan bahagian kaki. Kemudian, disusuli dengan solat yang perlu dijaga tata tertibnya," terang Ibu Laila, 52, yang turut menyatakan apabila tiga perkara asas seperti istinjak, wuduk, dan tertib solat dijaga, ia secara tidak langsung membuka peluang kepada individu memperoleh solat berkualiti. Tambah ibu kepada tujuh cahaya mata dan sembilan orang cucu berkenaan solat yang berkualiti membantu membentuk akhlak yang mulia. Pada masa yang sama, amalan solat mampu menghalang umat Islam daripada melakukan perkara yang mungkar dan dilaknati Allah. "Namun, jangan terkejut sekiranya berjumpa dengan sekelompok individu yang jarang meninggalkan solat, tetapi mereka antara umat yang tegar melakukan maksiat. Mengapa? Jawapannya mudah saja kerana perkara asas solat belum dilunaskan dengan baik," jelas Ibu Laila yang menyokong usaha kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang melancarkan kempen Jom Solat dan Kem Solat. | ||||
| Posted: 15 Jun 2012 06:06 PM PDT
SEBELUM pemasyhuran Sepanyol sebagai juara kejohanan akhir Piala Dunia 2010 kira-kira dua tahun lalu, sotong kurita yang diberi nama Paul telah mendapat perhatian awal daripada seluruh peminat bola sepak dunia. Paul yang dipelihara di akuarium Sea Life Centre di Oberhausen, Jerman, mula mendapat tumpuan ramai kerana dikatakan mempunyai 'kuasa' untuk membuat tilikan tepat. Sotong yang berasal dari Weymouth, England itu meramal tepat tujuh keputusan perlawanan pasukan Jerman, termasuk kekalahan mengejut kepada Serbia ketika saingan di peringkat kumpulan pada temasya yang berlangsung di Afrika Selatan itu. Pada perlawanan akhir, Paul sekali lagi menjadi tumpuan apabila meramalkan kemenangan pasukan Sepanyol yang ditabal menjadi juara selepas menewaskan Belanda dengan jaringan 1-0. Semasa ramalan dilakukan, dua kotak yang tertera bendera pasukan bertanding, diletakkan di dasar akuarium. Sambil disaksikan masyarakat di seluruh dunia, Paul akan berenang ke arah satu kotak, mengembangkan tentakelnya dan melekap pada kotak tertera bendera pasukan yang diramal dan akan memenangi satu-satu perlawanan. Usia Paul, bagaimanapun tidak panjang. Beberapa bulan selepas 'persaraannya', sotong kurita berusia dua tahun setengah itu ditemui mati di akuarium peliharaannya. Namun, fenomena Paul tidak pernah berakhir. Tumpuan peminat-peminat bola sepak dunia kini terarah kepada spesies haiwan manakah yang mampu mewarisi keistimewaan dan kuasa tilikan Paul pada kejohanan bola sepak Eropah (Euro) 2012 yang berlangsung serentak di Ukraine dan Poland baru-baru ini. Ketika ini terdapat empat kategori haiwan telah dipilih oleh sebuah kelab peminat, Kharkiv Fan Zone yang berpusat di Ukraine untuk menjadi 'tukang tilik' sepanjang kejohanan. Antaranya, Citta the Elephant, Funtik the Pig, Yvonne the Cow, Fred the Ferret dan beberapa haiwan lain. Fenomena Paul yang dilahirkan di England dan mendapat status kewarganegaraan di sebuah perkampungan di Sepanyol, menyebabkan rakyat di Jerman seakan-akan taksub dengan haiwan peramal. Sebelum itu, Sissi the Munich, spesies anjing dachshund dan sotong kurita dikenali sebagai Rosi dari Rosenheim menjadi pujaan rakyat di negara itu kerana dipercayai mempunyai kuasa tilikan seperti Paul. Tersilap ramalan Bagaimanapun, kedua-duanya terpaksa bersara awal selepas tersilap membuat ramalan menyatakan pasukan Bayern Munich akan menewaskan Chelsea pada kejohanan Liga-Liga Juara pada bulan lalu. Sebaliknya pasukan Chelsea menang secara agregat 4-3 melalui tendangan penalti. ![]() SOTONG kurita, Paul mencipta fenomena tilikan selepas haiwan itu berjaya meramal dengan tepat pada perlawanan akhir Piala Dunia 2010. Seperti juga Sissi dan Rosi yang terpaksa bergelut membuat ramalan mereka, barisan haiwan-haiwan terpilih yang rata-ratanya dibesarkan di zoo, turut berdepan tugas sukar. Fred the Ferret (Fred), yang menetap di Zoo Kharkiv, Ukraine merupakan pilihan terbaik setakat ini selepas Paul. Dia dipilih dalam kalangan peminat-peminat pasukan bola sepak tempatan, Metalist Kharkiv yang juga dikenali dengan gelaran Ferret. Ahli kelab pasukan itu juga menjadikan feret sebagai maskot mereka. Pengurus projek Kharkiv Fan Zone, Sergei Kharkov berkata: "Poland mempunyai gajah untuk membuat tilikan, jika tidak salah dinamakan Citta." "Moscow pula mempunyai marmoset (Callithrix jacchus salah satu spesies monyet), Kiev mempunyai Khryak, seekor khinzir, tetapi kami mempunyai haiwan yang paling comel dan jinak, iaitu seekor feret. "Fred mempunyai masa selama 15 minit di Fan Zone dan dalam tempoh itu ia akan meramal pasukan mana yang akan menang." Kehadiran Fred dalam dunia ramalan bola sepak bagaimanapun masih belum teruji sepenuhnya. Ketika perlawanan peringkat pertama antara tuan rumah, Poland dan Greece, Fred meramalkan ia berakhir dengan keputusan seri. Ramalan itu memang tepat. Pengendalinya menyimpulkan berdasarkan tingkah laku Fred yang enggan duduk di dalam kedua-dua mangkuk berisi daging segar di hadapannya. Bendera kedua-dua negara diletakkan berhampiran mangkuk berkenaan. Bagaimanapun, ketika perlawanan di antara Rusia dan Republik Czech, Fred turut membuat ramalan yang sama iaitu seri, biarpun keputusan berakhir dengan kemenangan berpihak kepada Rusia dengan jaringan 4-1. Namun, Fred berjaya menebus kesilapannya apabila meramalkan dengan tepat kemenangan Jerman ke atas Portugal dan kemenangan Denmark ketika menentang Belanda baru-baru ini. Seperti Fred, haiwan-haiwan lain juga kini bergelut mencipta kemasyhuran seperti yang pernah dikecapi oleh Paul kira-kira dua tahun lalu. Citta the Elephants dari Zoo Krakow, Poland turut gagal dalam percubaan pertamanya. Gagal percubaan Gajah betina berusia 33 tahun itu sebelum ini meramalkan tuan rumah, Poland bakal memenangi perlawanan pembukaan Euro 2012 ketika menentang Greece pada Jumaat lalu. Bagaimanapun, ramalan itu tidak tepat apabila kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga ke akhir perlawanan. Terdahulu, Citta, gajah berasal dari India mula menjadi sebutan peminat bola sepak dunia selepas meramalkan kemenangan pasukan Chelsea di pertandingan akhir Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich pada bulan lalu. Kejayaan itu membolehkan Citta mengalahkan kedua-dua pesaingnya iaitu Katherine the Donkey dan Jacko the Parrot. Sementara itu, kemampuan Yvonne the Cow, lembu yang keras kepala dari Jerman juga masih dipertikaikan. Diletakkan harapan tinggi untuk menggantikan tempat Paul, Yvonne membuat keputusan yang kurang popular di negaranya apabila meramalkan pasukan Jerman kalah kepada Portugal pada perlawanan malam Sabtu lalu. Bagaimanapun, pasukan Jerman berjaya menewaskan Portugal 1-0. ![]() KEMAMPUAN Yvonne the Cow, lembu yang keras kepala dari Jerman juga masih dipertikaikan. Yvonne, mula terkenal selepas media melaporkan kisah haiwan itu yang berjaya mengelak daripada disembelih dengan melarikan diri dari Austria sehingga ke Bavaria pada Mei tahun lalu. Selepas bergelut melepasi pagar elektrik, lembu betina itu bersembunyi di hutan kecil selama hampir empat bulan sebelum ditangkap semula dalam satu operasi besar-besaran. "Ia mempunyai karakter dan personaliti," kata penyampai radio Bayern 3, Ulli Wagner, stesen radio yang bertanggungjawab menghebahkan ramalan Yvonne. Sementara itu, Funtik the Pig, babi yang berasal dari Ukraine agak bernasib baik kerana berjaya meramal dengan tepat empat daripada enam keputusan perlawanan di peringkat kumpulan pada kejohanan berkenaan. Haiwan itu membuat ramalan dengan memilih antara dua mangkuk makanan yang diletakkan berhampiran bendera kedua-dua pasukan yang bertanding. Sehingga kini, Funtik atau dikenali juga sebagai Khryak berjaya meramalkan kemenangan pasukan Rusia, Denmark, Jerman dan Croatia. Funtik juga tidak terkecuali melakukan kesilapan apabila meramalkan pasukan Perancis menewaskan England dan Sweden kalah kepada Ukraine. Apa pun, masih terlalu awal untuk menentukan haiwan manakah yang bakal membuat ramalan paling tepat sekali gus mampu menyaingi kemampuan Paul. Adakah, Paulus the Octopus, sotong kurita yang dilahirkan di Jerman dan kini tinggal di sebuah akuarium di Porto, Portugal serta disebut-sebut bakal menjadi Paul II mampu mengatasi rekodnya itu. Kita tunggu dan lihat. | ||||
| Posted: 15 Jun 2012 06:05 PM PDT
JIKA diamati perjalanan Volkswagen di Malaysia pada tahun ini, tidak keterlaluan jika saya katakan, jenama Jerman itu memang agresif untuk mengukuhkan kedudukan dalam pelbagai segmen pasaran automotif tempatan. Mengimbas kembali peralihan masa sepanjang enam bulan lalu, Volkswagen Group Malaysia (VGM) sudah memperkenalkan enam model dalam pasaran. Ini termasuk model yang diimport sepenuhnya (CBU) dan model pemasangan tempatan (CKD). Model-model CBU yang diperkenal sejak awal tahun ini ialah Volkswagen Sharan, Passat CC R-Line, Golf R, Scirocco R dan Polo Sedan. Produk CKD tidak lain dan tidak bukan model Passat keluaran kilang milik DRB-HICOM di Pekan, Pahang. VGM menerusi anak syarikatnya, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM), turut memasarkan beberapa produk lain termasuk Polo, Polo GTI, Golf, Golf GTI, Jetta, Cross Touran, Passat, Scirocco, Eos, Tiguan dan Touareg. Momentum VGM tidak terhenti di situ sahaja. Buktinya, satu lagi model CBU dari Jerman iaitu Volkswagen CC dilancarkan baru-baru ini di Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur (KL Pac), Sentul di ibu negara. Jentera mewah itu mula dipertontonkan kepada umum sewaktu pameran Los Angeles Auto Show 2011. Di situ, model berkenaan dikenali sebagai Volkswagen CC 2013. Sebenarnya, Volkswagen CC menggantikan prapemasangan Volkswagen Passat CC. Maksudnya, perkataan Passat dikeluarkan daripada namanya. Rasional di sebalik tindakan itu adalah untuk menjadikannya sebuah model yang berdiri dengan identiti dan nama tersendiri. ![]() MODEL ini mungkin boleh menjadi pilihan ideal bagi mereka yang sedang mencari sebuah sedan berharga kurang RM250,000 sebuah. Pengarah Urusan VGM, Ricky Tay berkata, Passat CC mencatat kejayaan ekoran konsep eksklusifnya. Jelasnya, model baharu itu bakal menyambung peranan untuk memuaskan selera premium kelompok pelanggan tertentu. Tidak seperti pasaran negara lain yang menawarkan pilihan enjin berbeza untuk Volkswagen CC, VGM hanya membawa masuk satu model dengan enjin 1.8 liter TSI dengan dua versi iaitu Sport dan Comfort. Enjin petrol empat silinder suntikan terus dengan pengecas turbo itu diberi padanan kotak gear tujuh kelajuan Direct Shift Gearbox (DSG). Ia mampu meledakkan kuasa 160PS @ 5,000rpm. Tork maksimum pula sebanyak 250Nm pada 1,500rpm hingga 4,200rpm. Dari kedudukan titik pegun ke 100 kilometer sejam (km/j), ia mengambil masa selama 8.5 saat. Kelajuan maksimum ialah 223km/j. Sentuhan rekaan baharu Berhubung penggunaan bahan api, jentera itu menggunakan sebanyak 7.2 liter bagi setiap 100km. Kadar emisi pula ialah 167 gram bagi setiap km. Dilihat dari arah hadapan, model coupe empat pintu itu diberi sentuhan baharu oleh pasukan pereka yang diterajui oleh Ketua Reka Bentuk Jenama Volkswagen, Klaus Bischoff. Antara transformasi yang dilakukan membabitkan bahagian hadapan, belakang dan pengemaskinian ruang kabin kenderaan dengan suntikan DNA Volkswagen. ![]() Jurutera Volkswagen memadankan gril radiator, lampu hadapan jenis bi-xenon dengan lampu DRL LED pada bampar hadapan dan bonet baharunya. Lampu belakang jenis LED dengan corak perumah merah baharu dan rim aloi Phoenix 17 inci melengkapkan penampilan keseluruhan Volkswagen CC. Melangkah masuk ke dalam kabin, perkara pertama yang menarik perhatian ialah jam analog pada bahagian atas konsol tengah papan pemuka. Jam itu sebenarnya mendiami lokasi butang kecemasan jika dibandingkan dengan model Passat CC sebelum ini. Butang kecemasan dialihkan di bawah skrin sentuh sistem audio RCD 510. Tidak lupa juga panel kawalan baharu Climatronic. Pemanduan pada waktu malam diserikan dengan suasana pancaran lampu pencahayaan yang diselitkan pada bahagian pintu kereta. Bagi memudahkan pengoperasian fungsi tanpa perlu mengalihkan tangan, stereng yang disalut kulit itu dilengkapi butang kawalan DSG, Multi Function Display (MFD) dan radio. Tempat duduk bahagian hadapan yang dibaluti kulit Nappa boleh dilaras secara elektrik. Kemudahan simpanan memori tetapan tempat duduk turut disediakan. Seperti biasa, Volkswagen CC sarat dengan pelbagai teknologi keselamatan untuk pemandu dan para penumpang. Antaranya termasuklah enam beg udara, EPS, ABS dan BA. Tidak ketinggalan, sistem bantuan yang berkeupayaan mengesan keletihan pemandu iaitu Rest Assist. Volkswagen turut menambah sistem pengawasan tekanan tayar, alat pengesan (sensor) hujan dan cermin pandang belakang dengan pemalap automatik. ![]() TEMPAT duduk belakang yang dibalut kulit dan menawarkan keselesaan optimum kepada penumpang. Kelebihan varian Sport membabitkan beberapa komponen tambahan seperti hiasan aluminium pada bahagian papan pemuka dan panel pintu, sistem audio dengan sepuluh pembesar suara, rim aloi Interlagos 18 inci, sistem kemasukan tanpa kunci Kessy, bumbung panaromik dan kamera pandang belakang Rear Assist. Harga atas jalan tanpa insurans untuk Volkswagen CC Sport ialah RM244,967.20 seunit. Varian Comfort pula ditawarkan pada harga RM226,967.20 sebuah. Jaminan adalah selama lima tahun. Perjalanan VGM untuk memperkenalkan model-model baharu bagi tahun ini masih belum sampai titik noktahnya. Memetik kata Tay, VGM dijangka memperkenalkan sekurang-kurangnya 10 model kenderaan Volkswagen di Malaysia untuk tahun ini. Sama-sama kita nantikan. | ||||
| Posted: 15 Jun 2012 06:04 PM PDT ![]() UNTUK sesi pandu uji, saya sebenarnya lebih gemar memilih kereta sporty atau berprestasi. Bukan apa, kemahiran saya sebenarnya lebih terasah dalam bidang modifikasi yang sinonim dengan prestasi. Mengenal pasti kelebihan dan kekurangan sesebuah kereta berprestasi lebih senang berbanding kereta keluarga, apatah lagi sebuah sedan mewah. Beberapa minggu lalu, saya diberi peluang oleh Edaran Tan Chong Motors (ETCM) untuk memandu uji Nissan Teana 2.5 V6. Sewaktu mengambil Teana di bilik pameran, saya tidak tahu apa yang hendak dijangka dengan kereta sebegitu. Walau bagaimanapun, pengalaman bersama Teana selama empat hari tiga malam dan perjalanan melebihi 800 kilometer berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru memberi perspektif baharu dalam melihat fungsi sesebuah kereta. Nissan mengambil pendekatan yang berbeza dengan Teana. Jika dilihat dari segi reka bentuknya, kereta itu hadir dengan prinsip yang berlawanan dengan pesaing lain seperti Honda Accord atau Toyota Camry. Kedua-dua model itu mempunyai suntikan imej sporty, sedangkan Teana langsung tidak ada sifat tersebut. Teana ialah sedan yang benar-benar menghayati makna eksekutif. Kereta itu tidak janggal untuk tuannya duduk di belakang dan dikemudi oleh pemandu. Duduk di hadapan, pemandu dan penumpang boleh melaras kedudukan tempat duduk secara elektrik sama ada ke atas atau bawah dan ke depan atau belakang. Sebagai sebuah sedan mewah, adalah wajib untuk mempunyai tempat duduk yang selesa dan Teana lulus dalam aspek itu. Penumpang di belakang nyata selesa dengan kaki yang boleh melunjur ke hadapan. Sebagai pemandu, amat penting untuk mendapatkan pelarasan yang harmoni antara stereng dan badan. Dengan ciri kerusi yang boleh dilaras melalui pelbagai arah, saya tidak mempunyai masalah untuk duduk dengan stail kereta lebih sporty. Perehat pada konsol tengah pula menyokong lengan semasa lenguh memandu jauh. Format mewah Ruang dalaman Teana 2.5 V6 berwarna cerah, sesuai dengan format mewah sedan itu. Tempat duduknya dibalut kulit, manakala papan pemuka ada efek kemasan kayu.
Pada meter, dipaparkan visual digital seperti penggunaan minyak, jarak perjalanan dan informasi penting lain untuk pemandu. Sistem multimedia pula lengkap dengan GPS, pemain cakera, kamera undur dan sistem sambungan telefon secara bluetooth. Selain itu, Teana dilengkapi sensor hadapan yang akan membunyikan amaran jika kereta menghampiri objek hadapan atau sisi. Sebagai sebuah sedan yang besar, peralatan itu amat penting kerana bukan senang untuk menggagak apa yang ada di depan dengan bonet yang panjang. Kamera undur pula banyak membantu untuk keluar dan masuk parkir. Saiz kabin yang luas membuatkan angin sejuk agak lambat untuk dirasai oleh penumpang belakang. Nasib baik Teana mempunyai dua slot penyaman udara tersedia khusus untuk mereka di bahagian belakang konsol tengah. Ada beberapa perkara yang saya kurang gemar berkaitan ruang kabin Teana. Pertama, kurangnya tempat meletak bekas minuman, baik untuk pemandu atau penumpang. Kedua, butang-butang kawalan untuk bidai belakang, sensor depan dan gugusan lain yang berada di bawah stereng nampak seperti kurang kelas untuk sebuah sedan mewah. Teana juga tidak mempunyai slot kad untuk tol dan seumpamanya. Namun itu bukanlah isu besar kerana lain orang lain pula citarasanya. Apa yang membuatkan saya seronok memandu Teana ialah enjin 2.5 liter V6. Mereka yang biasa dengan enjin bersesaran besar serta konfigurasi V pasti seronok dengan ngauman enjinnya. Sekali pedal minyak ditekan bunyinya yang mengaum menangkap telinga. Dengan badan Teana yang besar dan berat, tiada masalah untuk enjin tersebut yang dipadankan dengan transmisi CVT untuk menggerakkan kereta itu. Di lebuh raya pula, untuk lebih selesa gunakan sahaja auto cruise yang mudah dicapai pada stereng tanpa bersusah-payah menggerakkan kaki untuk menekan pedal minyak. ![]() BOLEH menempatkan tiga orang dewasa dengan selesa. Tentang penggunaan minyak pula, kadar paling ekonomikal yang dapat saya capai ialah 8.9 kilometer per liter yang saya kira padanlah dengan saiz enjin dan badannya yang besar. Dari segi pemanduan dan pengendalian pula, sinonim dengan kereta Jepun, memandu laju bukanlah suatu yang menyeronokkan kerana kereta terasa ringan. Tetapi apa yang saya tidak jangka ialah tindak balas sterengnya. Pengemudian Teana agak mudah kerana badan kereta patuh kepada input putaran stereng pemandu. Suspensinya pula sedap dan selesa, setakat melalui lopak dan lubang jalan raya itu kacang goreng sahaja untuk Teana. Sepanjang empat hari bersama Teana, apa yang boleh saya simpulkan ialah kereta ini selesa, bernadikan enjin V6 yang memuaskan hati serta mampu memenuhi citarasa mereka yang mahukan sebuah sedan benar-benar eksekutif, tanpa suntikan sporty atau seperti hendak berlumba. Faktor penarik lain adalah reka bentuknya yang konvensional berbanding pesaing sekelasnya. Rekaannya yang besar lebih menjurus kepada kereta ala-ala pasaran Amerika Syarikat (AS), walaupun di pasaran sana, model itu dinamakan sebagai Altima dengan rekaan berbeza. | ||||
| Kemeriahan Japan GT 2012 di Litar Sepang Posted: 15 Jun 2012 06:04 PM PDT ![]() PASUKAN Kunimitsu. Dari kiri: Takahashi, pemandu Naoki Yamamoto, Takya Izawa dan Matsumoto bersama jentera HSV-010 GT. HUJUNG minggu lalu, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) meriah dengan deruman enjin jentera berkuasa tinggi sempena perlumbaan Japan GT 2012. Sebagaimana diketahui, ia merupakan satu-satunya perlumbaan Japan GT yang diadakan di luar Jepun. Lebih menarik lagi, ia bukan sekadar perlumbaan. Penganjurnya, JPM Motorsport telah menyajikan pelbagai aktiviti menarik untuk memeriahkan suasana. Sudah semestinya, para pengunjung berpeluang melihat pelbagai jenama kereta yang dipamerkan. Antara kenderaan yang dipamerkan termasuklah Honda, Nissan, Toyota, Subaru dan jenama di bawah naungan Sime-Darby Motors seperti MINI, BMW, Alfa Romeo, Hyundai. Sudah puas melihat kereta berkenaan secara dekat, orang ramai juga boleh berkunjung ke bandar Akihabara dan menyertai permainan video Playstation Gran Turismo 5 Super GT. Bagi mereka yang ingin berbicara secara dekat dengan para pelumba Japan GT pula, sesi temubual disediakan. Apa yang pasti, tiada siapa yang mengadu kebosanan di sana. Apatah lagi apabila kawasan tersebut dipenuhi oleh ratu-ratu litar. Dua hari sebelum perlumbaan Japan GT 2012 berlangsung, Honda Malaysia Sdn. Bhd. (Honda Malaysia) telah mengadakan satu parti. Ia bagi memperkenal dan memberi sokongam moral kepada lima pasukan HSV-010 GT yang mengambil bahagian dalam Japan GT 2012. Lima pasukan tersebut ialah Autobacs Racing Team Aguri yang merupakan juara Super GT Series 2007, Weider Honda Racing yang mendapat tempat ketiga pada pelumbaan sama pada tahun 2011, Keihin Real Racing, Nakajima Racing dan Team Kunimitsu. ![]() PASUKAN Audi memastikan jentera mereka berada dalam keadaan terbaik sebelum masuk ke litar. Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Yoichiro Ueno memberitahu, sukan bermotor dan perlumbaan sudah menjadi sebahagian daripada DNA Honda. "Perlumbaan meningkatkan kesungguhan kami untuk terus belajar serta mencapai kemajuan baharu dalam teknologi. "Menerusi perlumbaan Super GT, semua Pasukan Honda Racing akan terus mencabar diri masing-masing. Ia juga menjadi lambang kepada Challenging Spirit Honda kerana setiap perlumbaan adalah peluang untuk Honda menguji teknologi ke tahap paling tinggi," jelas Ueno. Pada majlis sama, Honda Malaysia turut mengumumkan bahawa satu pasukan Honda Racing tempatan akan mengambil bahagian dalam perlumbaan 1,000km Sepang pada akhir tahun ini. HSV-010 GT membuat penampilan pertama pada tahun 2009. Pada ketika itu, Honda ingin membina sebuah jentera berprestasi tinggi yang senang dikendalikan dan mampu mengatasi model NSX-GT. HSV-010 GT dikuasakan oleh unit enjin bersesaran 3.4 liter V8. Enjin itu memberi penekanan terhadap kelajuan, kestabilan dan lebih ringan berbanding enjin NSX. Untuk makluman, HSV itu bermaksud Honda Sports Velocity. ![]() ATAS: GT Queen, Toshimi Takahashi (kiri) dan Lushan membuat persembahan pada malam memperkenalkan lima pasukan HSV-010 GT yang bersaing dalam Japan GT 2012. Bagi melihat sendiri persediaan pasukan Honda, sekumpulan media dibawa melawat ke SIC dan menyertai satu sesi taklimat bersama anggota Team Kunimitsu. Japan GT 2012 merupakan tahun ketiga pasukan tersebut menggunakan jentera HSV-010 GT. Penambahbaikan yang dilakukan kali ini melibatkan enjin, bahagian hadapan dan belakang kereta serta radiator sisi. Menyentuh tentang setting khas yang dibuat untuk perlumbaan di SIC, Ketua Projek Honda Super GT 2012, Masahiko Matsumoto menyatakan pihaknya ada menambah pendingin hawa di dalam kenderaan bagi mengatasi masalah litar dan cuaca Malaysia yang panas. Ditanya mengenai tahap kompetitif Honda berbanding pasukan lain pula, pengarah pasukan, Kunimitsu Takahashi mengakui bahawa Nissan memberi saingan sengit kepada pasukannya. | ||||
| Posted: 15 Jun 2012 05:48 PM PDT ![]() Pengurus Pemasaran-Pengiklanan dan Promosi GT Radial, Adrian Thio, jurulatih pemanduan, Joel Neilsen dan Pengurus Besar-Pemasaran GT Radial, Arijanto Notohardjo sewaktu pelancaran tayar GT radial di ibu negara baru-baru ini. GT Radial, jenama tayar antarabangsa kini menawarkan empat produk baharu dalam pasaran tempatan untuk kegunaan kenderaan penumpang. Tayar yang dimaksudkan ialah Champiro HPY, HPX, BAX-2 dan Eco. Model GT Radial Champiro HPY dan HPX merupakan produk prestasi paling tinggi (ultra). Sementara BAX-2 ialah tayar untuk prestasi tinggi. Tayar Champiro Eco pula lebih mementingkan aspek alam sekitar. Champiro HPY memiliki rekaan bunga tayar tidak simetri baharu dengan empat jejalur lebar. Produk silika penuh itu menawarkan cengkaman optimum di atas permukaan kering dan basah dengan tahap penghasilan bunyi rendah sewaktu kenderaan dipandu laju. Tayar HPX dengan rintangan guling rendah pula mempunyai jejalur bentuk eliptik. Dihasilkan daripada material silika penuh termaju, tayar itu didakwa memberikan prestasi pengendalian dan kawalan stereng luar biasa sewaktu mengambil selekoh. Prestasi maksimum turut dirasai ketika berada di atas jalan basah. Champiro BAX-2 memberikan kawalan baik dan keselesaan dalam pelbagai situasi pemanduan. Rekaan bunga tayar tidak simetri yang berasaskan kompaun silika penuh memberikan kestabilan sewaktu mengambil selekoh. Jejalur lebar pada bahagian tengah tayar menyalur air keluar secara optimum. Produk mesra alam Eco pula membantu mengekalkan tekanan udara dalam tayar dalam jangka masa panjang dan membantu penggunaan bahan api secara efisien. Ia sekali gus meminimumkan kadar emisi karbon. Berbekalkan tiga jejalur simetri, ia membantu mengelakkan masalah akuasatah. Tayar HPY ditawarkan daripada saiz 17 inci hingga 20 inci dan HPX bermula sekecil 15 inci hingga 20 inci. Model BAX-2 merangkumi saiz 14 inci hingga 16 inci, manakala Eco sesuai untuk rim kenderaan berukuran 12 inci ke 16 inci. Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman web www.gtradial.com.my/gtradial/malaysia. | ||||
| Bidong 'diserbu' penyelam muda Posted: 15 Jun 2012 05:47 PM PDT
LAUT di Pulau Bidong, Terengganu tiba-tiba bergelora dengan kocakan air. Tidak diketahui secara jelas apakah yang menyebabkan suasana itu terjadi. Lebih lama diperhatikan, kocakan itu semakin jelas, lebih-lebih lagi di kawasan selam skuba Pusat Penyelidikan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Pulau Bidong di mana menjadi lokasi tenggelamnya sebuah traktor ekoran cuaca buruk pada satu masa dahulu. Kini, ia bersemadi menjadi tukun tiruan di situ. Apapun sebenarnya, kocakan itu terhasil daripada tendangan penyelam skuba muda SSI Scuba Rangers dari Kelab ED Scuba yang menyertai Kem Marin ED Scuba-UMT-Tourism Malaysia pada cuti persekolahan baru-baru ini. Musim cuti persekolahan sering menjadi platform kepada ibu bapa membawa anak-anak mereka bercuti. Ini sebagai antara 'upah' kepada anak-anak mereka selepas menelaah buku pelajaran ketika musim persekolahan. Namun, tidak semua ibu bapa mempunyai masa untuk membawa anak-anak mereka bercuti dan ada juga ibu bapa yang agak memilih untuk menghantar anak-anak mereka mengikuti percutian yang dianjurkan oleh individu atau kelab. Ini semua memberi ilham kepada Pengarah Projek ED Scuba, Nor Azlan Zain untuk menganjurkan satu percutian musim cuti persekolahan yang bertemakan alam marin dan dinamakan Kem Marin ED Scuba. Kini, kem cuti persekolahan itu sudah mencapai tahun kelima kewujudannya sejak dimulakan di Pulau Perhentian, Terengganu pada tahun 2008. Apa yang menarik kali ini ialah, ia diadakan di Pulau Bidong, juga di Terengganu, pulau yang dipenuhi dengan pelbagai sejarah menarik dan diberi tema Eksplorasi Keajaiban Alam. ![]() KAWASAN traktor yang tenggelam di Pulau Bidong menjadi antara lokasi wajib kepada penyelam muda ED Scuba di Pulau Bidong. Menurut Azlan, kem marin di Pulau Bidong itu turut mendapat kerjasama erat daripada UMT yang turut menyediakan prasarana bagi kemudahan peserta di Pusat Penyelidikan UMT, Pulau Bidong. "Pada mulanya, kami agak keberatan untuk mengadakan program kem marin di Pulau Bidong. Maklumlah, tempat ini bukan merupakan destinasi pelancongan dan yang pastinya kami khuatir tentang keadaan tempat itu. "Program ini disertai oleh kanak-kanak yang berusia antara tujuh hingga 17 tahun termasuk ibu bapa mereka. Namun selepas mengadakan pertemuan dengan UMT, kami merasakan ini merupakan tempat terbaik untuk diadakan kem cuti persekolahan. "Pulau Bidong merupakan satu-satunya pulau di Terengganu ini yang tidak diusahakan untuk pembangunan dan ia juga mempunyai sejarahnya yang tersendiri," kata Azlan ketika ditemui pada program itu baru-baru ini. Pengisian menarik Program selama empat hari tiga malam itu dihadiri oleh lebih 50 kanak-kanak sekolah dan dilihat bukan hanya semata-mata program cuti sekolah namun ia mempunyai pengisiannya yang tersendiri. Antara yang menarik perhatian semasa program itu berlangsung ialah, ia diselitkan dengan pelbagai aktiviti termasuk ceramah kerjaya dalam bidang marin oleh UMT, penyemaian batu karang, pelepasan anak penyu dan lawatan ke bekas penempatan pelarian hanyut Vietnam. Kem marin yang mendapat sokongan Tourism Malaysia itu turut menganjurkan aktiviti mencerap matahari dan planet yang diadakan oleh Kelab Astronomi SaiwaGazer dari Subang Jaya. ![]() SELAIN aktiviti menyelam, peserta Kem Marin ED Scuba-UMT-Tourism Malaysia turut diperkenalkan dengan pelbagai spesies marin termasuk penyu. "Kami sering mengadakan program kem marin dengan aktiviti sokongan. Kami berharap setiap peserta mendapat nilai tambah selain mampu menimba pengetahuan baharu dalam setiap kem marin yang dianjurkan," kata Azlan lagi. Pencerapan matahari dan planet yang dilakukan oleh Sairin Salleh itu berjaya menambah minat kepada peserta yang merupakan pelajar skuba muda ED Scuba dan juga anak-anak kakitangan UMT sendiri. Buat permulaan, Sairin yang juga merupakan ahli jawatankuasa Persatuan Falak Negeri Selangor mempersembahkan tayangan video interaktif mengenai kejadian alam semesta dan bumi kepada para peserta. "Kita sering dimomokkan dengan Barat mengenai kajian mereka tentang wujudnya alam semesta ini. Namun bagi umat Islam, alam semesta merupakan ciptaan Allah. "Jadi video saya banyak menerangkan dengan jelas tentang penciptaan alam semesta mengikut al-Quran yang turut diselitkan dengan aspek sains," jelas Sairin. Sesi pencerapan matahari dan planet itu berjaya memberikan satu dimensi baharu kepada para peserta selepas mereka berjaya melihat matahari dan planet Zuhal secara dekat menggunakan teleskop Orion 90mm. "Dengan teleskop ini, kami berjaya mencerap matahari dengan menggunakan penuras matahari, dan juga melihat Zuhal. Kebetulan keadaan cuaca agak mengizinkan," kata Sairin lagi yang juga merupakan Penolong Pengurus Besar, TM Research & Development Sdn. Bhd. ![]() DENGAN tema 'Eksplorasi Keajaiban Alam', ED Scuba, UMT dan Tourism Malaysia berjaya memberikan kelainan kepada kem marin kali ini. Selain pencerapan matahari dan planet, semua peserta juga diajar kaedah menyemai batu karang. Sama ada batu karang itu merupakan yang patah secara semula jadi atau dipatahkan manusia, ia boleh diambil untuk 'ditanam semula'. Tujuan pemuliharaan Aktiviti yang mendapat bantuan daripada pakar Institut Oseanografi dan Sekitaran UMT itu memberi pengalaman berharga kepada peserta yang turut sama membantu menyemai batu karang. Mereka nanti akan dibawa ke Pulau Redang untuk aktiviti Merdeka Dive 2012, juga anjuran ED Scuba, pada September ini. Peserta Kem Marin ED Scuba-UMT-Tourism Malaysia itu juga dikejutkan dengan kehadiran 20 ekor anak penyu yang dibawa khas oleh Unit Penyelidikan Penyu (SEATRU) UMT yang diketuai oleh Dr. Juanita Joseph dan penasihat, Prof. | ||||
| Posted: 15 Jun 2012 05:46 PM PDT ![]() PENULIS (tengah) tidak melepaskan kesempatan bergambar dengan beberapa warga Jepun yang lengkap berpakaian tradisional ketika di Kyoto. SEJAK sistem penerbangan tambang murah diperkenalkan di negara ini, penulis akui mula menjadikan aktiviti melancong sebagai satu hobi. Tidak hairanlah, pantang ada promosi penerbangan murah yang ditawarkan, pasti ada sahaja rancangan yang diatur bersama teman-teman untuk bercuti sama ada di dalam atau di luar negara. Pada Mac lalu, saya berpeluang menjejakkan kaki ke Osaka, bandar raya ketiga terbesar di Jepun. Seronok? Itu sudah pasti memandangkan sudah agak lama juga saya memasang impian untuk mengenali budaya dan masyarakat di Negara Matahari Terbit itu dengan lebih dekat. Lebih-lebih lagi, percutian saya kali ini turut ditemani si buah hati, Michael Goodwin dan dua orang rakan, Linda dan Necia. Penerbangan dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai mengambil masa tujuh jam. Setibanya kami si sana, kami memilih untuk menginap di Shin Osaka. Biarpun agak kecil, hotel bertaraf tiga bintang itu selesa dengan pelbagai kemudahan. Pengembaraan kami hanya bermula keesokan harinya. Destinasi pertama yang dilawati ialah Umeda Sky Building. Dari puncaknya yang setinggi 173 meter itu, pengunjung berpeluang menyaksikan panorama di sekitar bandar Osaka. Satu yang saya perhatikan, pembangunan di Osaka tidaklah serancak dan semoden di Tokyo, sebaliknya ia lebih tenang dan santai dengan kehadiran banyak bangunan lama. Pengangkutan utama di bandar raya itu sudah pastinya perkhidmatan tren bawah tanah. Saya akui, masalah bahasa begitu mencabar khususnya kepada pelancong asing seperti kami. Selain tidak ramai penduduk di Osaka yang fasih berbahasa Inggeris, laluan tren-trennya juga sedikit mengelirukan. ![]() ZOJOJI Temple terkenal dengan keindahan reka bentuk dan sejarah silamnya yang terus terpelihara sehingga kini. Bayangkan untuk ke sesebuah destinasi sahaja, kami terpaksa bertukar tren sebanyak tiga hingga empat kali. "Lagi lama kita dekat sini, lagi pening dibuatnya. Sudah lah tulisan pun dalam bahasa Jepun," kata saya, tatkala kami berpusing-pusing di sekitar stesen untuk mencari arah tren seterusnya. Istana lama Namun, mujurlah penduduknya sangat mesra, biarpun bercakap seperti 'ayam dan itik', kami selamat tiba ke destinasi seterusnya iaitu di Osaka Castle, sebuah istana lama yang dibina pada tahun 1593. Istana itu pernah musnah dalam satu perang saudara sebelum dibina semula pada tahun 1620. Bagaimanapun, salah satu bahagian menaranya telah musnah dan terbakar akibat disambar petir. Dikelilingi pintu gerbang, tembok-tembok tinggi, menara, rumah ibadat dan kawasan taman seluas hampir dua kilometer persegi, kunjungan ke situ nyata cukup berbaloi biarpun sedikit memenatkan. Keesokan harinya merupakan masa yang paling ditungu-tunggu iaitu lawatan ke Universal Studio Osaka. Ia sememangnya taman tema yang ideal untuk para peminat tegar Sesame Street, seperti saya. Keseronokan bermain pelbagai permainan yang ditawarkan membuatkan masa berlalu pantas. Di sebelah malamnya, kami menaiki bas menuju ke Tokyo yang mengambil masa perjalanan sekitar lapan jam. Di Tokyo, kami menginap di sebuah hotel berhampiran Ueno Business Park. Benar tekaan saya, Tokyo tidak pernah mati. Kota itu sentiasa hidup dengan pelbagai aktiviti warganya tanpa mengira siang atau malam. ![]() PENULIS tidak melepaskan peluang bergambar dengan Cookie Monster watak dalam rancangan Sesame Street ketika berkunjung ke Universal Studios Osaka. Kami kemudiannya, melawat Tokyo Tower yang terletak di Shiba Park, Minato. Berdiri kukuh setinggi 333 meter, ia merupakan bangunan kedua tertinggi di Jepun. Kami berpeluang melihat landskap pencakar langit bandar raya Tokyo dari pelantar puncaknya. Keseronokan taman tema Kunjungan ke Tokyo seakan tidak sah sekiranya tidak melawat salah satu tarikannya iaitu Disneyland Tokyo. Kunjungan ke sini ternyata tidak sia-sia. Keseronokan yang diperolehi membuatkan kami berempat seolah-olah kembali ke zaman kanak-kanak. Selain mencuba pelbagai permainan yang disediakan, saya juga dapat bertemu watak-watak animasi popular Disneyland. Apa yang saya perhatikan, warga Jepun begitu taksub dengan watak Mickey Mouse. Di mana-mana sahaja kita boleh melihat pengunjung memakai kostum legenda Disneyland itu, termasuk bagi mereka yang sudah berkeluarga. Kami juga sempat melawat beberapa tempat bersejarah seperti Zojoji Temple dan bersiar-siar di sekitar Akihabara, yang terkenal dengan jolokan bandar elektrik. Selain sentiasa bercahaya dengan lampu berwarna-warni, di situ juga pengunjung boleh mendapatkan pelbagai gajet terkini. Puas menjelajah Tokyo, kami kembali semula ke Osaka. Kali ini, kami menginap di Orchard Road. Ya, seperti juga Orchard Road di Singapura, kawasan sekitarnya meriah dengan gedung beli-belah yang pastinya membuat kaum wanita rambang mata. Pengembaraan kami diteruskan ke Kobe keesokan harinya. Untuk kes itu, kami perlu menempuh perjalanan selama 40 minit dari Osaka dengan menaiki kereta api. Bandar seni Kobe boleh diumpama seperti sebuah bandar seni yang kaya dengan landskap indah dan arca-arca yang menghiasi di kiri dan kanan jalan. Di situ juga, pengunjung boleh melihat artis-artis jalanan membuat persembahan. Antara yang sempat kami lawati di Kobe ialah Rumah Sherlock Homes. ![]() CUACA sejuk dan hujan berterusan tidak menghalang orang ramai daripada melawat Universal Studios Osaka. Pengembaraan kami di Jepun berakhir di Kyoto. Mungkin ramai yang tidak tahu, bandar itu merupakan bekas ibu negara Jepun satu ketika dahulu sebelum ia dipindahkan ke Tokyo. Ibarat sebuah bandar tradisional, Kyoto meriah dengan kewujudan kuil-kuil dan istana lama yang masih kekal terpelihara sehingga kini. Sejarah di Kyoto terlalu bernilai sehinggakan pada Perang Dunia Kedua dahulu, tentera Amerika Syarikat (AS) dilarang untuk mengebom atau melakukan sebarang kerosakan di bandar itu. Sepanjang di situ juga, kami menemui gadis-gadis berpakaian kimono, termasuk golongan geisha yang cantik dan memukau pandangan. Ternyata, tempoh sembilan hari yang dilalui berlalu dengan pantas, rasanya seperti tidak puas melawat Jepun yang sememangnya menjanjikan pelbagai keistimewaan kepada pelancong. | ||||
| Posted: 15 Jun 2012 05:43 PM PDT ![]() * Kadar penginapan di calet milik Mohd. Yatim: RM110 semalam * Web: doranihomestay.blogspot.com * Tel: 013-607 7025 * E-mel: doranihomestay@yahoo.com HIRUK-PIKUK kota sering mengganggu ketenteraman jiwa. Lampu-lampu silau jalanan yang tanpa henti mengiringi deruman enjin kenderaan yang bertali arus 24 jam mungkin hanya menyesakkan fikiran. Suasana di bandar raya lazimnya sukar memberikan ketenangan. Apabila hujung minggu tiba, ramai penduduk kota pulang ke kampung halaman yang berdekatan ataupun mencari lokasi desa dan alam semula jadi yang mampu memberi kedamaian. Bagi para pelancong asing yang ingin merasai kehidupan tradisional di negara ini mahupun segelintir warga kota yang merindui suasana kampung tentu sekali akan merencana percutian homestay. Untuk tujuan itu, usah ragu-ragu memilih Homestay Sungai Haji Dorani yang terletak di Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor. Warga kampung di situ pasti akan menyambut kehadiran anda dengan senyuman dan layanan mesra. Mengambil masa kira-kira 2 jam perjalanan dari pusat bandar raya Kuala Lumpur, keletihan memandu pasti terubat selepas mata dijamu dengan kehijauan bendang sawah yang luas. Inisiatif sendiri Seorang penduduk kampung itu, Mohd. Yatim Basri, 59, ialah antara yang aktif menghidupkan program inap desa yang dilaksanakan di kampung itu. Atas inisiatif sendiri, Yatim turut mendirikan dua buah rumah berfungsi sebagai calet di tengah-tengah sebuah petak sawah. Di atas tapak berkeluasan 20x20 meter, calet yang dibina sejak lebih setahun lalu itu sengaja didirikan di atas sawah agar ia mendapat ilusi terapung'. Setiap calet pula mempunyai dua buah bilik yang dihias cara kampung.
Apabila jendela kayu dikuak, terbentang pemandangan indah alam ciptaan Tuhan. Waktu senja adalah momen paling indah apabila penghuni calet itu berpeluang menyaksikan latar langit jingga, kawanan burung berterbangan rendah pulang ke sarang dan dendangan serangga malam yang mula berkumandang. "Calet ini dibuat menggunakan modal saya sendiri. Ia bukan sebahagian daripada perancangan komuniti homestay tetapi pada saya, ini antara peluang bagi menarik minat orang untuk datang bertandang ke kampung kami. "Alhamdulillah, setakat ini calet ini tidak pernah kosong untuk tempoh yang lama. Dalam sebulan, pasti ada dua atau tiga pelawat yang tidur di sini. Kebiasaannya, ia menjadi pilihan keluarga besar atau kumpulan pelancong yang kecil. "Penuntut kolej dan universiti juga sangat tertarik dengan konsep calet ini. Pada mereka, ia satu tempat sempurna bagi menyudahkan tugasan dan mencari idea bagi bahan-bahan berkaitan," tutur lelaki yang hayatnya mahu diabdikan di kampung itu sahaja. Bunga-bungaan Menyusuri jambatan kecil menuju ke calet itu, pandangan pasti tertambat pada bunga-bunga pelbagai warna yang mengelilingi rumah kayu tersebut. Biarpun tidak begitu besar, namun pengalaman yang ditawarkan sudah mampu menandingi kehebatan tinggal di hotel-hotel mewah. Bagi mengisi masa lapang sepanjang berada di homestay itu, pengunjung boleh menyertai pelbagai aktiviti yang ditawarkan berdasarkan pakej yang disediakan. Alang-alang bertandang ke kampung orang, apa salahnya merasai budaya yang ditawarkan.
Berjalan malam di bendang diterangi obor sudah tentu memberi perasaan berbeza. Jika dahulu, ramai yang berasa takut untuk keluar malam di desa, di homestay itu, ia mengajar pengunjung untuk menikmati kesegaran angin malam yang tidak terdapat di bandar-bandar besar. Pada waktu petang, siapkan diri untuk menjejakkan kaki ke dalam sawah. Ikan haruan menjadi habuan buat mereka yang menyertai cabaran menggagau ikan. Tiada tangguk atau pancing disediakan, hanya tangan diperlukan bagi menjayakan aktiviti menarik itu. Perut pula tidak akan kosong dengan sajian masakan kampung yang menyelerakan. Memandangkan majoriti warga desa itu ialah orang Melayu berketurunan Jawa, buat saja permintaan istimewa dengan memesan nasi ambeng. Menu tersebut melengkapkan pengalaman anda di homestay yang didiami lebih 30 buah keluarga itu. | ||||
| Posted: 15 Jun 2012 05:42 PM PDT ![]() BASKET BUILDING ini dilengkapi dua tangkai pemegang di bahagian atasnya yang diperbuat daripada tembaga. SEKIRANYA anda merancang berkunjung ke Ohio, Amerika Syarikat (AS) dalam masa terdekat ini, jangan ketinggalan melawat ke ibu pejabat sebuah syarikat pembuat bakul, Longaberger Basket Company yang terletak di Longaberger Town, Newark. Cadangan itu mungkin kedengaran tidak menarik, namun percayalah, anda pasti kagum tatkala melihat reka bentuk bangunannya lantaran ia diiktiraf sebagai antara yang paling kreatif, unik dan menakjubkan di AS. Sejarah bangunan yang dikenali sebagai Basket Building itu bermula apabila pengasas syarikat itu, Dave Longaberger memasang impian untuk membina sebuah pejabat berbentuk sebuah bakul gergasi. Ketika dia menyuarakan idea tersebut, banyak pihak yang beranggapan ia sebagai satu gurauan memandangkan Dave sendiri seorang yang suka berlawak. Bukan sahaja pihak institusi kewangan, arkitek, syarikat pembinaan tidak menganggapnya sebagai serius, malah dalam kalangan kakitangan syarikat itu juga. Bagaimanapun, beliau tetap dengan pendiriannya atas alasan, Basket Building berupaya menarik perhatian masyarakat di samping mengukuhkan jenama syarikat itu. Mengambil masa dua tahun untuk disiapkan, impian Dave akhirnya terlaksana pada Disember 1997, apabila bangunan itu diperkenalkan buat pertama kali kepada umum. Berkeluasan sehingga 16,722 meter persegi dan dibina di atas tapak seluas 10 hektar, bangunan itu mempunyai berat sekitar 8,000 hingga 9,000 tan. Ia turut dilengkapi dua tangkai pemegang di bahagian atasnya yang diperbuat daripada tembaga seberat kira-kira 150 tan. Sebaik sahaja ia siap, ibu pejabat Longaberger Basket mula menarik perhatian bukan sahaja dalam kalangan warga AS malah para pelancong dari seluruh dunia yang kagum dengan keunikan rekaannya. Pada tahun 1998, ia telah menerima Anugerah Pembinaan Ohio disebabkan sistem plaster sintetik yang digunakan. Di bahagian dalamnya juga menitikberatkan tata rias dalaman yang moden dan kontemporari. Sebuah tangga besar, piano dan lantai marmar yang berkilau hanyalah sebahagian daripada tarikannya. Di samping itu, lukisan-lukisan mewah dan galeri yang memaparkan sejarah keluarga Longaberger yang mengusahakan perniagaan itu sejak tahun 1919 turut dipamerkan. | ||||
| Posted: 15 Jun 2012 05:38 PM PDT ![]() KOLEKSI kamera lama yang mengimbas nostalgia lampau. JIKA golongan muda mahu mendalami sejarah lama dan menyaksikan sendiri artifak-artifak lama pada zaman lampau, ternyata keinginan itu bersambut tatkala berkunjung ke muzium-muzium yang terdapat di Perak. Bukan sahaja kepelbagaian aspek sejarah dapat diketahui, ternyata kesemua koleksi unik dan bernilai tinggi itu dapat didekati. Empat buah muzium popular iaitu Muzium Negeri Perak, Muzium Geologi, Muzium Siput Teluk Batik dan Sitiawan Settlement Museum masing-masing mengujakan pengunjung dengan pelbagai kisah suka duka kebangkitan negeri itu. Contohnya di Muzium Darul Ridzuan, ruang pameran Perak di Persada Dunia telah dibuka kepada orang ramai sejak awal bulan lalu. Pengunjung yang datang dapat mengetahui mengenai sumbangan Perak kepada pembangunan pensejarahan dunia melibatkan fakta-fakta peralihan zaman prasejarah, Orang Asli, lukisan gua, Kesultanan Melayu Perak, seni bina dan budaya. Pelancong yang datang boleh mendapatkan maklumat asas mengenai sejarah Perak melalui poster dan video yang dipaparkan. ![]() MESIN taip lama ini sudah berusia puluhan tahun. Pembukaan ruang pameran baharu berkenaan turut memaparkan bukti penemuan penempatan masyarakat prasejarah di Lenggong sejak 1.83 juta dahulu. Mungkin tidak ramai mengetahui bahawa masyarakat prasejarah bermula di Bukit Bunoh, Lenggong sejak 1.83 juta tahun dahulu, malah di kawasan itu juga pernah berlaku bencana meteorit. Manusia terawal di dunia dibuktikan wujud di Afrika dua juta tahun dahulu, tetapi di Lenggong, ia tertua di luar Afrika. Spesimen fosil Di Muzium Geologi yang ditubuhkan pada tahun 1957 pula, koleksi menarik pelbagai spesimen fosil, batuan, mineral dan batu permata yang kebanyakannya dikutip dari dalam negara dalam tempoh beberapa tahun. Muzium tersebut turut memaparkan koleksi sampel kasiterit iaitu bijih timah yang ditemui dalam lombong timah di Malaysia. Selain itu, pengunjung boleh menyaksikan diorama perlombongan bijih timah di dalam negara termasuk kaedah perlombongan yang dijelaskan secara terperinci. Input dan sumbangan geologi terhadap pembangunan infrastruktur utama, peningkatan taraf sosioekonomi dan promosi geopelancongan dalam negara turut dipamerkan di galeri muzium itu. Bangunan muzium itu sendiri adalah sebahagian daripada Kompleks Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia dan menjadi pusat pendidikan dan pembelajaran geologi dan geosains dalam negara.
Koleksi siput Seterusnya itu, mereka yang merencana percutian ke Teluk Batik jangan lepaskan peluang berkunjung ke Muzium Siput kerana ribuan koleksi haiwan cangkerang itu daripada pelbagai spesies utama dunia dipamerkan. Keunikan dan kecantikan bentuk-bentuk siput eksotik yang terdapat dalam pelbagai warna menarik serta sukar ditemui di pesisiran pantai mampu membuatkan ramai orang berasa kagum. Selain dipamerkan dalam rak-rak kaca bersama maklumat mengenai spesies siput tersebut, salah satu ruang pameran dibina menyerupai suasana dalam zon terumbu karang. Di situ, ratusan siput daripada pelbagai spesies ditempatkan. Pencahayaan kuning dan dekorasi menarik dalam ruang pameran ini juga menyerlahkan warna-warna asli siput-siput berkenaan yang bersinar-sinar apabila disimbah cahaya. Budaya masyarakat ![]() BAGI penggemar alam semula jadi, muzium ini amat disyorkan untuk dilawati. Kunjungan ke Sitiawan Settlement Museum pula pastinya membangkitkan kenangan zaman kanak-kanak bagi mereka yang lahir dalam kawasan pedalaman atau kampung. Rumah kayu dua tingkat yang dijadikan muzium ini dibina pada tahun 1935 dan merupakan muzium pertama dan satu-satunya muzium persendirian di Perak. Ia menyimpan kira-kira 500 koleksi dokumen sejarah, rekod dan gambar-gambar lengkap tinggalan penganut Kristian yang berhijrah dari Foochow, China Selatan. Artifak yang dipamerkan mengembalikan memori kebudayaan, seni, kebijaksanaan dan kepercayaan orang China dalam sulaman, cetakan dan kesusasteraan. Pelbagai artifak yang menggamit kenangan antaranya radio lama, basikal tua, seterika dan alat muzik lama turut dipamerkan. | ||||
| Hadiah lumayan Teka Minyak Jagung Posted: 15 Jun 2012 05:38 PM PDT
JIKA anda tiada perancangan ke mana-mana pada hujung minggu ini, luangkan masa mengunjungi pusat beli-belah AEON AU2, Setiawangsa, Kuala Lumpur kerana acara Cabaran Daisy Sehebat Chef 2012 peringkat Zon Tengah akan berlangsung di kompleks itu. Pada pertandingan itu, para peserta yang terpilih akan menampilkan biskut dan kek dengan tema warna-warni. Sepanjang program tersebut berjalan, pelbagai aktiviti telah disusun khas untuk pengunjung pada program sehari itu. Antaranya, pertandingan Teka Minyak Jagung anjuran Kosmo!. Hadiah utama bagi pertandingan ini ialah sebuah TV LCD 42 inci, diikuti sebuah ketuhar gelombang mikro dan 50 baucar berbuka puasa di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) yang bernilai RM75 setiap satu. Beli minyak Daisy Bagaimanapun, orang ramai yang berminat menyertai pertandingan Teka Minyak Jagung perlu membeli pek khas minyak jagung Daisy yang bernilai RM9.50 sahaja. "Pek tersebut mengandungi minyak jagung Daisy seberat satu kilogram (kg), dua buku resipi masakan dan minyak jagung Daisy comel 90 gram (g). "Dengan pembelian pek itu, orang ramai boleh menyertai pertandingan berkenaan dan memenangi hadiah-hadiah menarik itu," kata Eksekutif Iklan Kosmo!, Nizam Baharudin. Acara yang dianjurkan dengan kerjasama akhbar Kosmo!, minyak jagung Daisy dan peralatan memasak Corningware serta Corelle yang bertindak sebagai rakan strategik menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM65,000. Bagi setiap kategori kek dan biskut, juara akan memenangi wang tunai RM5,000 berserta barangan Corningware dan Corelle yang bernilai RM5,000. ![]() EMPAT jenama perkakas dapur kaca edaran Perwira Nadi Trading iaitu Visions, Corelle, Corningware dan Pyrex. Naib Juara pula akan membawa pulang wang tunai RM3,000 dan barangan Corningware dan Corelle bernilai RM3,000, tempat ketiga menerima wang tunai RM2,000 dan barangan Corningware dan Corelle bernilai RM2,000. Sementara itu, tiga penerima saguhati akan mendapat wang tunai RM500 serta hadiah barangan Corningware dan Corelle bernilai RM500. Mengulas lanjut mengenai pertandingan tersebut, Nizam berkata, 15 peserta dalam setiap kategori kek gulung Daisy dan biskut kacang Daisy wajib menyertai acara sampingan yang dinamakan Daisy Challenge. Bagi peserta yang menyertai kategori kek, mereka perlu membuat kek gulung Daisy, manakala peserta kategori biskut perlu menyediakan biskut kacang Daisy. Para peserta akan dinilai oleh 200 pengunjung pertama ke pertandingan itu dari segi keaslian resipi dan kreativiti dalam pembuatan kek atau biskut yang dihasilkan. "Mereka (200 pengunjung) diberi peluang menjadi juri dalam acara Daisy Challenge," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Selain itu, seramai 200 pengunjung turut berpeluang mendapatkan minyak jagung Daisy 500gram secara percuma dengan hanya menukarkan dua kepala akhbar Kosmo! di kaunter gerai yang akan dibuka bermula pukul 10.30 pagi. Selain pertandingan kek dan biskut, orang ramai berpeluang menyaksikan demonstrasi Chef Liza Zainol membuat kek yogurt mangga dan biskut tart nanas Daisy. Acara terus dihangatkan dengan persembahan kumpulan Spider dan Zarina Zainoordin Akademia Fantasia 2 (AF2). Jadi, jangan lepaskan peluang merebut hadiah lumayan dan menimba pengalaman menjadi juri masakan dalam pertandingan Cabaran Daisy Sehebat Chef 2012. | ||||
| Selera Johor asli di Jo'hoe Taste Posted: 15 Jun 2012 05:35 PM PDT ![]() JO'HOE Taste kini boleh ditemui di lima lokasi berbeza setiap hari di sekitar Lembah Klang. BARANGKALI ramai dalam kalangan kita yang sudah lama tidak menikmati sajian terkenal dari selatan tanah air seperti nasi ambeng dan nasi beriani. Lebih-lebih lagi di Kuala Lumpur, tidak banyak restoran atau pengusaha makanan yang menyediakan masakan Johor asli sebagai menu utama mereka. Bagaimanapun warga kota kini berpeluang merasai sendiri keenakan kedua-dua hidangan pemikat selera yang kaya dengan aroma dan rempah ratus itu dengan berkunjung ke gerai bergerak Jo'hoe Taste. Berkonsepkan mudah, cepat dan murah, gerai bergerak Jo'hoe Taste hadir di lima lokasi berbeza setiap hari di sekitar Kuala Lumpur bermula dari pukul 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang khusus untuk memenuhi permintaan penggemar-penggemarnya. "Gerai kami dibuka pada hari Isnin di Menara TM, Jalan Pantai Baru, Selasa di Kompleks Bangunan Kerajaan Jalan Duta, hari Rabu di pejabat Utusan Melayu (M) Bhd., Jalan Chan Sow Lin, hari Khamis di Bukit Aman dan hari Jumaat di Masjid Al Muhsini, Taman Desa," kata Pengusaha Jo'hoe Taste, Ahmed Shahel Adil, 32. Memulakan operasi kira-kira dua bulan lalu, Ahmed Shahel mengakui cara perniagaan seperti itu mudah dan cepat, selain menjimatkan perbelanjaan pelanggan-pelanggannya. Menurutnya, dia cuba menjual makanan pada harga yang berpatutan supaya tidak menyusahkan orang ramai yang kini dibebani dengan peningkatan kos hidup yang tinggi. Jual secara terbuka "Kami tidak berdepan dengan kos yang tinggi kerana tidak perlu menyewa bangunan, membayar bil air dan elektrik, pekerja dan kos-kos lain yang berkaitan. "Di samping menjual secara terbuka kepada orang ramai kami juga menawarkan penghantaran kepada pelanggan melalui tempahan yang dibuat," katanya yang menggunakan kenderaan Proton Juara untuk mengangkut pelbagai peralatan perniagaannya. Tambah Ahmed Shahel, konsep itu membolehkannya mengembangkan perniagaan Jo'hoe Taste di samping mempromosikan kedua-dua hidangan yang berasal dan popular di negeri Johor itu kepada masyarakat. Anak jati Johor Bahru itu memberitahu, penyediaan hidangan itu merupakan resipi turun temurun keluarga isterinya, Hayati Kasiman, 36, yang turut aktif dalam bidang perniagaan makanan di sekitar Johor. Katanya, keistimewaan nasi ambeng terletak kepada bahan-bahannya yang terdiri daripada nasi dengan ayam masak kicap, sambal goreng dan serunding kelapa yang sering dihidangkan ketika majlis keramaian dimakan beramai-ramai khususnya dalam masyarakat Jawa. "Sebagai orang Johor, kami berdua mahu pengunjung berkongsi masakan di sini sama seperti yang dihidangkan di rumah. "Kami juga mahu mereka tahu betapa enaknya masakan Johor asli terutama apabila dimasak dengan ramuan serta rempah asli yang dibawa khas dari Johor. Ujarnya, bagi mengukuhkan jenama Jo'hoe Taste, dia bercadang untuk membuka sebuah gerai di sebuah medan selera di Jalan Klang Lama yang bakal menghidangkan aneka makanan seperti mi bandung, lontong, laksa johor dan sebagainya dalam masa terdekat ini. "Kami juga merancang untuk menambah sebuah lagi gerai bergerak pada masa hadapan. Ini sekali gus memberi pilihan kepada warga kota untuk menikmati kepelbagaian makanan Johor asli," katanya. | ||||
| Wanita penghidap kanser payudara perlukan sokongan Posted: 15 Jun 2012 05:31 PM PDT
SALAH satu kebimbangan utama wanita Malaysia jika disahkan menghidap kanser payudara adalah kemungkinan mereka ditinggalkan atau diabaikan oleh lelaki dalam hidup mereka. Kebimbangan itu lazimnya menyebabkan mereka keberatan untuk menjalani pemeriksaan kanser payudara secara berkala. Justeru, diagnosis dibuat hanya di peringkat akhir. Dalam keadaan itu, kejahilan nyata membawa mudarat. Kanser payudara terus menjadi kanser paling utama dalam kalangan wanita di Malaysia. Seorang daripada 19 wanita disahkan menghidap kanser payudara apabila mencecah usia 85 tahun dan kira-kira 4,000 wanita disahkan sebagai penghidap setiap tahun, kebanyakannya berusia antara 35 hingga 60 tahun. Satu jalan penyelesaian tidak lain dan tidak bukan menjalani pengesanan di peringkat awal, malah penyelidikan tempatan menunjukkan bahawa wanita Malaysia kemungkinan besar menjalani pemeriksaan payudara jika pasangan hidup mereka memberi sokongan. Lantaran itulah, Projek MenCare yang dilancarkan pada 2006 oleh Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) dan syarikat farmaseutikal, Pfizer merupakan satu inisiatif luar biasa yang melibatkan kaum lelaki. MenCare digerakkan atas idea untuk melibatkan penyertaan dan menyeru kaum lelaki agar memberi sokongan kepada wanita dalam hidup mereka. Ia dilihat jalan untuk meningkatkan peluang menyembuhkan penyakit menerusi pengesanan awal. Terbaru buku terbitan khas MenCare bertajuk Don't Let Her Stand Alone menandakan satu lagi kejayaan penting dalam perjuangan berterusan kempen MenCare selama lima tahun. Buku tersebut memaparkan setiap pencapaian projek berkenaan setakat ini. Ia diterbitkan untuk bacaan ringan dan santai bagi membolehkan isu berkaitan kanser payudara dibentangkan dengan cara yang mudah difahami. Buku tersebut merakamkan pengalaman wanita yang berjaya keluar daripada belenggu kanser dengan sokongan suami, maklumat mengenai pemeriksaan kanser payudara dan juga tanda atau gejala kanser yang perlu diperhatikan. Matlamatnya adalah untuk merobohkan sempadan yang selama ini menghalang perbincangan mengenai kesihatan payudara antara lelaki dan wanita. Dalam pada itu, blog MenCare (www.mencare-bc.blogspot.com) pula dilancarkan serentak sebagai landasan sokongan dalam talian bagi kaum lelaki dan wanita dalam hidup mereka. Ia berfungsi sebagai forum bagi lelaki, wanita, belia dan pesakit yang berjaya menangani penyakit itu untuk berkongsi pengalaman, maklumat serta kisah inspirasi. Menurut Timbalan Presiden NCWO, Datuk Ramani Gurusamy, kaum lelaki Malaysia perlu memainkan peranan dalam usaha murni menyokong wanita yang mungkin berdepan dengan kanser payudara. "Memang tiada jalan lain. Sokongan lelaki terhadap pemeriksaan kanser payudara wanita amat penting dan perlu. "Kita perlu mengubah sikap kita, kanser payudara bukan sahaja bertumpu kepada pesakit. Kami di NCWO percaya bahawa wanita perlu diperkasakan lagi menerusi sokongan daripada keluarga, masyarakat dan rakan-rakan," katanya pada majlis pelancaran buku Don't Let Her Stand Alone. Sementara itu, Pengurus Negara Pfizer Malaysia dan Brunei, Angel Choi memberitahu, pelancaran buku dan blog tersebut membuka lembaran baharu bagi MenCare yang menggalakkan usaha berterusan melawan kanser payudara. "Ini merupakan komitmen Pfizer untuk bersama-sama berusaha membina dunia lebih sihat dan kami menyeru organisasi korporat untuk menyahut seruan ini seperti mana IBM, Felda, Kesatuan Pekerja Ladang Kebangsaan (NUPW) dan MCIS Zurich yang merupakan organisasi perintis," katanya. Turut hadir pada majlis tersebut ialah penyokong MenCare, Henry Golding, Kid Chan, Sharizan Borhan, Chan Fong dan Hansen Lee yang meluangkan masa untuk memberikan sokongan masing-masing. Malah menariknya, pengacara program 8TV, Without Boundaries, Henry sempat menunjukkan demonstrasi bagaimana membuat pemeriksaan payudara kepada hadirin. |
| You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |







































0 ulasan:
Catat Ulasan