RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


AWSV perkampungan sukan air lengkap

Posted: 01 Jun 2012 07:18 PM PDT



TATKALA diberitahu salah satu tentatif program Splash and Fun 2012 anjuran Tourism Malaysia Selangor (TM Selangor) baru-baru ini merupakan lawatan ke sebuah tapak bekas lombong bijih timah di Puchong, penulis sedikit hairan.

Mengapa dalam banyak-banyak lokasi pelancongan di Selangor, lokasi yang terletak Taman Tasik Prima itu yang dipilih? Apakah keistimewaannya?

Keterujaan untuk membongkar misterinya menyebabkan penulis merasakan bas yang membawa rombongan terdiri daripada wakil media, penulis blog pelancongan dan wakil agensi pelancongan bergerak terlalu perlahan, sedangkan jarak dari Shah Alam ke Puchong hanya mengambil masa sekitar 30 minit sahaja.

Bas yang dinaiki hanya berhenti tatkala melewati sebuah kawasan perumahan yang sedang rancak dalam pembinaan. Di hadapannya terbentang luas sebuah tasik yang dikatakan antara yang terbesar di Puchong.

"Ok, kita akan turun di sini sebelum menyeberangi tasik dengan menaiki bot. Anda semua diminta berhati-hati dan sentiasa memakai jaket keselamatan," beritahu seorang kakitangan TM Selangor yang turut mengikuti lawatan itu.

Peserta-peserta kemudiannya dibawa ke sebuah kawasan lapang menghadap persekitaran tasik seluas kira-kira 81 hektar.

"Selamat datang ke Asian Water Sports Village (AWSV). Macam mana pengalaman menaiki bot tadi, seronok?" sapa Ketua Pegawai Esekutif AWSV, Yong Chen Hui, tatkala menyambut ketibaan para peserta.

Chen Hui berkata, tapak bekas lombong bijih timah itu dipilih kerana kedudukannya yang strategik dan tidak jauh dari Lembah Klang.

"Pada asalnya, lokasi ini merupakan tempat saya melepaskan gian bermain jet ski bersama rakan-rakan, lagi pun ia terletak tidak jauh dari rumah saya di Taman Tasik Prima.


PELBAGAI permainan sukan air yang lasak, esktrem dan jarang ditemui di negara ini menanti pengunjung di AWSV.


"Lama-lama saya terfikir, mengapa ia tidak dikomersialkan untuk aktiviti sukan air seperti yang sering ditemui beberapa pusat peranginan terkenal seperti di Port Dickson, Batu Feringgi atau Pulau Langkawi," ceritanya yang memberitahu lokasi itu juga popular dalam kalangan kaki-kaki pancing.

Bermodalkan RM500,000, Chen Hui berjaya merealisasikan impiannya untuk membuka sebuah pusat riadah sukan air di Lembah Klang.

Dibuka secara rasmi pada 1 Mei lalu, AWSV menawarkan pelbagai pilihan sukan air kepada pengunjung yang sentiasa dahagakan debaran adrenalin dan ekstrem.

Tambah Chen Hui, antara permainan yang disediakan ialah jet ski, banana boat, kayak selain beberapa permainan sukan air ekstrem yang jarang ditemui di negara ini seperti storm, turbo blast dan evo pro yang diimport dari Amerika Syarikat.

"Di sini, pengunjung boleh bermain apa sahaja tanpa had mengikut pakej-pakej yang disediakan iaitu sesi pagi, sesi tengah hari atau sesi petang.

"Pada masa hadapan, kami merancang untuk menambah beberapa permainan baharu yang lebih ekstrem seperti pro X2, aquafly, thermo 3, r3 dan r4 serta aktiviti menyelam dalam tasik," katanya.

Pantai buatan

Umpama sebuah pantai buatan, AWSV dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti gazebo, kios, tandas awam dan kerusi rehat.

Ketika ini katanya, pengunjung hanya dibenarkan mengakses lokasi itu dengan menaiki bot yang disediakan oleh pihak pengurusan AWSV.

"Ia secara tidak langsung memberikan pengunjung lebih privasi untuk melakukan pelbagai aktiviti lain seperti berkelah atau barbeku bersama teman atau keluarga," ujarnya yang turut menawarkan pakej khas bagi tujuan itu.

Jelas Chen Hui, pengunjung tidak perlu bimbang mengenai keselamatan kerana semua aktiviti yang disediakan di situ telah diuji dan disahkan selamat.


PENGUNJUNG perlu menaiki bot yang mengambil masa kira-kira lima mnit perjalanan sebelum tiba di AWSV.


Katanya, di samping itu pengunjung juga turut dilindungi insurans di samping kehadiran beberapa kakitangan terlatih yang sentiasa memantau sekiranya berlaku kecemasan.

"Kami amat bertegas dalam soal keselamatan. Pengunjung diwajibkan memakai jaket keselamatan setiap kali berada di atas air di samping mengikut arahan-arahan yang ditetapkan," ujarnya.

Seorang peserta, Nur Syamimie Ahmad, mengakui cukup teruja saat pertama kali berkunjung ke AWSV.

Berasal dari Kapar, Klang, gadis berusia 22 tahun itu berkata, sebelum ini aktiviti sedemikian hanya terbatas di kawasan pantai semata-mata.

"Saya pernah menaiki jet ski dan banana bot ketika berkunjung ke Port Dickson beberapa tahun lalu.

"Bagaimanapun, AWSV agak berbeza kerana beroperasi di kawasan tasik yang terbentang luas berbanding kawasan pantai yang sentiasa sesak dengan pengunjung dan pastinya sentiasa terdedah kepada risiko," katanya.

Katanya, pengunjung boleh memilih untuk bermain permainan sukan air biasa seperti banana boat atau kayak sehinggalah ke permainan yang lebih ekstrem seperti storm dan turbo blast.

Jelasnya, pengalaman bergerak di atas tiub pada kelajuan pada kelajuan tinggi sememangnya sukar diungkapkan dengan kata-kata.


KAWASAN tasik yang luas dan tidak sesak seperti di kawasan pantai membolehkan pengunjung menikmati pelbagai permainan sukan air yang disediakan sepuas-puasnya.


"Hentaman pada permukaan air tasik menyebabkan badan terlambung-lambung, percikan air yang mengenai muka pula dirasakan seperti tusukan jarum, namun peliknya semua kesakitan itu mengundang keseronokan sebaik sahaja ia berakhir.

"Ia bukan sekadar aktiviti lasak semata-mata, sebaliknya direka untuk turut menguji keberanian dan keyakinan diri seseorang di samping satu jalan mudah untuk melepaskan tekanan," katanya.

Sementara itu, Nurul Izzati Roslan, 24, berkata, dia tidak menyangka tapak bekas lombong bijih timah itu mampu dikomersialkan menjadi salah sebuah destinasi pelancongan dan aktiviti riadah sukan air popular di Selangor.

"Kedudukannya yang strategik di Puchong memudahkan pengunjung menikmati aktiviti lasak dan ekstrem dalam suasana penuh privasi," katanya.

Menimba ilmu di kota dua tamadun

Posted: 01 Jun 2012 07:17 PM PDT


AKMAL dapat menimba pengalaman belajar di dalam kelas bersama pelajar tempatan di Universiti Fatih.


SESIAPA sahaja yang menjejakkan kaki di kota Istanbul pasti akan terkasima dengan keindahannya.

Kota yang sarat dengan peninggalan sejarah kerajaan Islam Uthmaniyyah itu masih segar walaupun sistem pemerintahan khalifah selama lebih 620 tahun itu runtuh pada tahun 1929 atas alasan untuk memodenkan Turki.

Menurut dokumen yang disahkan, empayar Uthmaniyyah menguasai sejauh Maghribi, Budaphest, Iraq, Yemen dan tiga kota suci, Mekah, Madinah serta Baitulmuqaddis.

Walaupun sudah hampir 100 tahun berlalu, peninggalan empayar Uthmaniyyah masih segar dalam setiap aspek kehidupan masyarakat Turki, malah bangunan-bangunan lama di negara itu masih kuat berbau sejarah.

Justeru, tidak hairanlah apabila Istanbul menerima jolokan Kota Dua Tamadun kerana ia sarat menyimpan kebudayaan dari seluruh empayar pentadbirannya.

Bangunan-bangunan dan artifak-artifak keseniannya merupakan percampuran dari kebudayaan asli Turki, Byzanti dan Rom.

Penulis yang diberi peluang untuk menyertai lawatan sambil belajar ke Universiti Fatih di Istanbul, Turki baru-baru ini turut merasai aura kerajaan Uthmaniyyah dalam pelbagai aspek kehidupan para mahasiswanya.

Sejurus menjejakkan kaki di bumi Turki, kepenatan selama 12 jam berada di dalam perut kapal terbang lenyap dengan sekelip mata kerana penulis dihidangkan dengan permandangan yang memukau perasaan.

Tujuan lawatan ini diadakan adalah untuk menimba pengalaman menuntut ilmu di bumi asing.

Seramai empat orang pelajar dan dua orang pensyarah dari Fakulti Komunikasi dan Media (FKM), Universiti Selangor (Unisel) telah memilih mengadakan lawatan peribadi sambil menimba ilmu ke Universiti Fatih, Istanbul.

Rombongan selamat menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Ataturk pada pukul 3 petang waktu Turki bersamaan 9 malam waktu Malaysia.

Kedatangan kami disambut dengan senyuman lebar oleh dua orang pegawai dari Universiti Fatih.

Selepas berjumpa dengan mereka, kami terus dibawa ke tempat penginapan yang diberi nama Basya Yurdu dengan menaiki kenderaan Mercedes Vito berwarna hitam.

Belajar dalam kelas

Jarak ke tempat penginapan kami dari Lapangan Terbang Ataturk kira kira 15 kilometer.


MUZIUM Topkapi menyimpan pelbagai khazanah berharga terutamanya artifak sejarah awal Istanbul.


Pada keesokan harinya, kami mengadakan lawatan ke kampus Universiti Fatih yang terletak kira-kira lima kilometer dari tempat kami menginap.

Walaupun kali pertama berjumpa, namun keadaan itu tidak menjadi penghalang kepada kami untuk beramah mesra dengan pensyarah dan pelajar tempatan.

Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh rombongan kami apabila belajar bersama-sama mereka di dalam kelas.

Perbualan kami di dalam kelas dimulakan dengan ucapan Gunaydin (selamat pagi) diikuti Merhaba bermaksud hello atau hai, kemudian kami menanyakan nama menggunakan bahasa Turki yang berbunyi adin ne? (siapa nama?), adim Azrul (nama saya Azrul).

Belajar bersama-sama dengan pelajar yang berlainan kewarganegaraan merupakan satu pengalaman yang tidak ternilai bagi kami kerana mereka bukan sahaja duduk bersama, malah turut mengajukan beberapa soalan kepada pensyarah Unisel.

Hagia Sophia yang terletak bertentangan dengan Masjid Sultan Ahmed merupakan satu tarikan pelancong di kota Istanbul.

Jadi kami tidak melepaskan peluang untuk melihat sendiri masjid yang penuh bersejarah itu. Ia dibina sewaktu zaman pemerintahan Byzantine dan fungsinya pada ketika itu adalah sebagai gereja, tanpa empat menara yang mengelilinginya.

Seusia kemenangan tentera Uthmaniyyah, Sultan Fatih terus sahaja mengarahkan pembersihan gereja tersebut dan menukarkan ia kepada sebuah Masjid Ayasofya.

Ia pernah terbakar beberapa kali dan jika diperhatikan, terdapat tiga jenis menara berbeza daripada sudut seni binanya. Ia kekal berfungsi sebagai masjid selama 482 tahun sebelum diwartakan sebagai muzium oleh Kamal Ataturk.

Setibanya kami di perkarangan Masjid Biru (Blue Mosque), saya terkesima dengan seni bina serta reka bentuk masjid itu.

Masjid yang berusia lebih 100 tahun itu masih tersergam indah dan manusia tidak putus-putus mengunjungi masjid bersejarah tersebut.


AKMAL gembira dapat bermain salji buat pertama kali di Turki.


Ia mula dibina sekitar tahun 1609 hingga 1616 semasa pemerintahan Ahmed L-Bakthi dan permukaan lantai masjid ini 100 peratus dipenuhi dengan batu marmar berwarna kelabu.

Kami juga dibawa melawat Masjid Suleyman, sebuah masjid yang dibina oleh arkitek tersohor, Mimar Sinan atas perintah Sultan Suleyman Al-Qanuni atau Sultan Suleyman The Magnificient.

Keindahan dan kecanggihan seni binanya telah memukau seorang arkitek moden Barat sewaktu ia melawat masjid itu.

Beliau dikatakan pernah duduk di tengah-tengah masjid sambil merenung ke kubah selama 5 minit sambil berkata, "I thought I was not an architect".

Begitulah dapat diilustrasikan kecantikan seni bina Mimar Sinan itu untuk menggambarkan kehebatan Sultan Suleyman Al-Qanuni yang berjasa dalam mengatur semula undang-undang Turki pada ketika itu.

Di samping lawatan sambil belajar, kami juga turut membuat lawatan ke tempat-tempat bersejarah yang lain seperti Muzium Topkapi, Panorama 1453, Galata Tower dan juga Empangan Yerebatan Cistern.

Antara tempat bersejarah yang menarik perhatian kami untuk singgah ialah Muzium Topkapi kerana janggut dan pedang Rasulullah SAW dipamerkan di situ.

Terserlah kesayuan pada wajah kami sejurus masuk ke muzium melihat janggut serta pedang Rasullah S.A.W.

Seorang pelajar FKM, Saiful Razlan sambil terpegun menjelaskan: "Aku sedih sangat bila tengok janggut dan pedang Rasulullah, teringat pula dekat sejarah kisah perang Rasulullah semasa hendak menyebarkan Islam dahulu, Rasulullah memang pemimpin yang agung dan sayang akan umatnya," terang Saiful dengan nada yang sayu.

Seterusnya kami ke The Journalist and Writers Foundation sebuah agensi Kewartawanan dan Penulisan di Istanbul.

Kunjungan disambut mesra oleh Penolong Pengarah agensi itu iaitu Fatih Ceren.




Pada masa yang sama, Fatih turut menerangkan kepada kami tentang sejarah dan tujuan penubuhan agensi ini.

"Untuk maklumat anda, di Turki terdapat tiga kefahaman iaitu Ottamanisme, Nasionalisme and Islamicnisme.

"Selain itu, Kamal Ataturk membangunkan negara Turki pada tahun 1923 dan Turki juga mempunyai tiga kumpulan penganut iaitu Muslim, Kristian dan Yahudi yang tinggal dalam satu kawasan seperti di Synagogue dan Kuzguncuk," tambahnya.

Uludag

Uludag merupakan kawasan pergunungan yang terletak kira-kira 200 kilometer dari Kota Istanbul.

Untuk ke Uludag, ia mengambil masa lebih kurang tiga jam dari Istanbul dengan menaiki feri.

Kami tidak melepaskan peluang untuk menjejakkan kaki di Uludag sebaik sahaja mengetahui bahawa terdapat salji di sana.

Perjalanan selama tiga jam berbaloi apabila mata terkesima sebentar memandang kesucian dan keputihan salji yang turun dari langit.

Walaupun berada pada keadaan suhu -4 darjah celsius, kesejukan bagai tidak terasa kerana kami dihidangkan dengan pemandangan yang memukau seperti langit yang membiru dan pokok-pokok hijau yang dilitupi salji.

Walaupun kami berada selama 14 hari di Turki, tetapi kami dapat merasakan tempoh dua minggu itu terlalu singkat kerana banyak tempat yang telah menarik perhatian kami untuk tinggal lebih lama di situ.

Bangunan 'UFO' tarikan di Rio de Janeiro

Posted: 01 Jun 2012 07:16 PM PDT


KEUNIKAN reka bentuk muzium ini menyebabkan ia dikunjungi jutaan pengunjung saban tahun.


ADAKAH anda merancang untuk melawat Rio de Janeiro, Brazil?

Jika, ya, jangan lupa melawat ke bandar Nateroi dan singgah ke Niteroi Contemporary Art Museum atau MAC.

Terletak di atas tebing bukit berlatarbelakangkan Teluk Guanbura, pusat peranginan popular di bandar itu, MAC tampak unik kerana bentuknya seakan-akan sebuah piring terbang atau 'Unidentify Flying Objek' (UFO).

Reka bentuk futuristik dan bentuk geometri unik itu merupakan hasil kreativiti arkitek terkenal Brazil, Oscar Niemeyer dan pembantunya, Bruno Contarini, seorang jurutera yang sering bekerjasama dengannya dalam beberapa projek sebelum itu.

Pembinaan MAC dimulakan pada tahun 1991 dan siap sepenuhnya lima tahun kemudian.

Secara keseluruhan, bangunan setinggi empat tingkat itu mempunyai ketinggian 16 meter dan dibina di kawasan seluas 2,500 meter persegi.

Bagi memberikan suasana lebih nyaman di sekeliling bangunan, Niemeyer turut membina kolam air seluas 817 meter persegi.

Pengunjung boleh mengakses muzium melalui laluan pejalan kaki yang disediakan. Di dalamnya terdapat dewan utama yang mampu memuatkan kira-kira 60 pengunjung.

Di bahagian luar dewan itu, terdapat ruang legar yang membolehkan pengunjung melihat panorama Tasik Guanabara dan Gunung Sugarloaf yang indah di sekelilingnya.

Di samping itu, muzium itu juga mempunyai galeri pameran yang memaparkan pelbagai koleksi seni kontemporari di Brazil.

Bagi kemudahan pengunjung terdapat beberapa kemudahan yang disediakan di muzium itu. Antaranya, sebuah kedai buku, bar, restoran manakala ruang auditorium pula sesuai untuk aktiviti mesyuarat dan seminar yang berskala kecil.

Diiktiraf antara bangunan paling elegan di dunia serta salah satu mercu tanda di Rio de Janeiro, MAC berjaya menarik jutaan pengunjung saban tahun yang mahu menikmati keunikan seni binanya.

Selesa di Marina Island

Posted: 01 Jun 2012 07:15 PM PDT


BEST Western Marina Island Resort Pangkor dibina menghadap pemandangan laut.


MEREKA yang pertama kali menjejakkan kaki ke suite penginapan Best Western Marina Island Resort Pangkor di Perak pasti akan terpesona dan teruja melihat ruangnya yang luas dan selesa untuk percutian seisi keluarga.

Tidak seperti ruang bilik kebanyakan hotel yang kecil sekali gus mengehadkan pergerakan, suite penginapan di resort itu ibarat sebuah kondominium mewah. Ia memberi kebebasan kepada penghuninya untuk menikmati keindahan ruangnya.

Apatah lagi, tatkala pintu gelongsor yang menemukan tetamu dengan balkoni yang luas dibuka, angin sejuk segera menerobos masuk memberikan kesegaran dalam ruang bilik.

Justeru, suite penginapan berkenaan pastinya memberikan kepuasan kepada tetamu untuk tidur lebih lena. Pasti sayang untuk meninggalkan kediaman bak rumah idaman itu.

Best Western Marina Island Resort Pangkor terletak di luar pantai Teluk Muroh atau Teluk Batik dan bertentangan dengan Pulau Pangkor.

Ia amat sesuai dijadikan persinggahan bagi mereka yang bercadang untuk berkunjung ke pulau-pulau berdekatan atau sebagai lokasi bersantai bersama keluarga.

Terdapat sebanyak 170 buah suite penginapan yang menawarkan pemandangan menghadap laut.

Katil disediakan dalam saiz king atau berkembar bagi setiap bilik. Alat membuat teh dan kopi juga disediakan, selain keperluan lain seperti pengering rambut, internet percuma, pendingin hawa dan televisyen.

Sekiranya tidak mahu memerap di bilik, pelbagai kemudahan luar turut disediakan seperti gim, tenis, kolam renang, memancing, snorkeling dan menyelam.


RUANG kafenya cukup luas untuk memberi keselesaan kepada pengunjung saat menikmati makan malam.


Mereka yang gemar bermain golf boleh menunaikan keseronokan menghayun kayu golf di kelab-kelab golf yang terletak berhampiran.

Selain itu, aktiviti lasak yang digemari masa kini seperti menunggang ATV, paintball, berkanu atau sekadar mengambil angin segar dengan menaiki basikal yang boleh disewa dengan harga murah.

Penginapan di situ pastinya akan disertai dengan perkhidmatan tetamu yang cekap dan kemudahan seperti penghantaran dengan limosin, koordinator percutian, dobi, surau dan servis bilik.

Mesyuarat dan konvensyen juga boleh dianjurkan di Best Western Marina Island Resort Pangkor kerana terdapat sebanyak lima buah bilik mesyuarat yang mampu menampung kapasiti hingga 1,500 orang.

Terletak di tepi laut, Best Western Marina Island Resort Pangkor pastinya mempunyai kepakaran dalam menyediakan hidangan makanan laut termasuk pelbagai hidangan aneka resipi Melayu, Cina dan antarabangsa.

Perjalanan ke sana dari bandar raya Kuala Lumpur memakan masa selama dua jam setengah dengan memandu melalui plaza tol Damansara.

Pengunjung perlu keluar melalui plaza Tol Batu Gajah atau Gopeng, seterusnya mengikut arahan papan tanda jalan menuju ke Lumut, kemudian ke Teluk Batik sebelum sampai ke Best Western Marina Island Resort Pangkor.

Dalam jarak perjalanan kaki dari resort itu juga, terdapat kompleks jeti yang menawarkan keseronokan karaoke keluarga, restoran makanan laut dan stimbot, kedai cenderamata dan snek.

Seni bina seabad pekan lama Ipoh

Posted: 01 Jun 2012 07:14 PM PDT



PEKAN lama Ipoh dibarisi monumen berstruktur lama dan seni bina yang unik. Bagi yang bijak menghargai nilai sejarah, ia bukanlah bangunan usang yang hanya terdapat dalam diari percutian segelintir individu. Di sinilah, zaman kegemilangan perlombongan bijih timah yang memasyhurkan Tanah Melayu ke seluruh dunia mengukir sejarahnya.

Apa yang pasti, kunjungan ke pekan lama Ipoh bakal membangkitkan imaginasi mengenai peristiwa zaman lampau.

Seakan-akan tergambar di fikiran, keriuhan dan kesibukan penduduk pekan lama itu terutama orang Cina yang membanting tulang melombong bijih timah tidak kira siang dan malam atau orang kaya yang mengunjungi bar bersama wanita simpanan mereka.

Ternyata, itu bukan andaian semata-mata, kerana di pekan lama Ipoh itu wujudnya bekas penempatan dua tingkat di Lorong Panglima atau Concubine Lane yang dikatakan pernah menjadi kediaman perempuan simpanan peniaga-peniaga kaya semasa Ipoh menjadi pusat pengeluaran bijih timah dunia.

Berkembang kerana bijih timah

Menurut Pengurus Persatuan Pemandu Pelancong Negeri Perak, Roselyn Lim Siew Leng, Concubine Lane suatu ketika dahulu pernah menjadi sarang pelacuran dan perjudian dalam kalangan orang kaya.


CONCUBINE Lane masih berpenghuni walaupun sebahagian besar perumahan di situ telah dikosongkan.


"Mereka turut mempunyai perempuan-perempuan simpanan yang ditempatkan di sini, tetapi kini yang tinggal hanyalah bangunan lama yang menyimpan pelbagai kisah menarik untuk dikongsi," katanya.

Roselyn mengiringi lawatan peserta Kembara Cuti-Cuti 1Malaysia (KCC1M) 2012 - Jom Terokai Perak! yang diadakan di Perak awal bulan ini.

Concubine Lane hanyalah salah satu daripada 24 monumen penting di pekan lama Ipoh yang harus diterokai. Rata-rata bangunan yang dibina berusia sekitar 100 tahun kerana mula dibina pada awal tahun 1900-an.

Untuk mengenal pasti monumen-monumen yang dimaksudkan, pengunjung boleh menghubungi Tourism Perak kerana banyak pakej lawatan yang ditawarkan untuk pelancong yang ingin mengenali Ipoh dengan lebih dekat.

Walaupun perjalanan kaki hanya berdurasi dua jam, dengan cuaca yang panas pengunjung digalakkan mengambil bas pelancong kerana sewa yang dikenakan bagi setiap orang amat berpatutan.

Pengunjung akan dibawa mengenali monumen bersejarah di sekitar Jalan Belfield, Jalan Cross, Jalan Leech, Jalan Treacher, Jalah Datoh, Jalan Mesjid, Jalan Kelab, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, Jalan Dewan, Jalan Datuk Maharajalela, Jalan Sultan Yussuf dan Jalan Bijih Timah.

Dalam lawatan itu, pengunjung berpeluang mengenali dengan lebih dekat 24 buah monumen iaitu Stesen Keretapi Ipoh, War Memorial, Majlis Bandaraya Ipoh, Mahkamah Tinggi Ipoh, Kelab Ipoh Diraja, Gereja St. John The Divine dan St. Michael's Institution.

Seterusnya ialah Masjid Padang Kota, F.M.S. Bar & Restaurant, Hongkong dan Shanghai Bank, Bangunan S.P.H. De Silva, Bangunan Chung Thye Phin, Straits Trading Building (OCBC), The Chartered Bank, Mercantile Bank, Residen dan pejabat peguam Seenivasagam Brothers dan Bangunan Tenaga Nasional Ipoh.

Monumen lain yang dapat disaksikan ialah Memorial Birch, pejabat Jan Sahib, Mikasa Photo Shop, asrama dramatis (Dramatists' Hostel), Pertubuhan Ku Kong Chow Perak, Han Chin Pet Soo dan juga Lorong Panglima (Concubine Lane).

Salah satu monumen penting yang ditemui di Jalan Dewan ialah Birch Memorial. Sekiranya dilihat dengan jarak dekat, terdapat lakaran-lakaran individu-individu terkenal dalam sejarah manusia, termasuk Nabi Muhammad SAW.


MASJID Padang Kota ini mempunyai sentuhan Mogul kerana dibina oleh jutawan India yang berhijrahke Tanah Melayu.


"Lakaran Nabi Muhammad telah dipudarkan dan menjadi seperti bayang-bayang sahaja. Semasa ia mula dilakarkan di sini dahulu, terdapat bantahan daripada penduduk Muslim yang marah dengan tindakan itu.

Antara restoran tertua

"Sebab itulah, ada satu lakaran seperti bayang-bayang sahaja, tidak menampakkan bentuk wajah dan susuk badan sebenar, tetapi ia adalah bekas lakaran tersebut," ujar seorang lagi pemandu pelancong daripada Persatuan Pemandu Pelancong Negeri Perak, Abdul Majid Fazaldin.

Abdul Majid memberitahu, Memorial Birch yang merupakan sebuah menara jam itu dibina pada tahun 1909 sebagai memperingati Residen British pertama di Perak, J.W.W. Birch yang dibunuh di Pasir Salak pada tahun 1875.

Sementara itu, salah satu monumen dekat Jalan Sultan Yussuf pula ialah F.M.S. Bar & Restaurant yang dibina pada tahun 1906 oleh imigran Hainan.

"F.M.S. (Federated Malay States) didakwa sebagai antara restoran tertua di Malaysia di mana pelanggannya terdiri daripada pelombong Eropah dan pekerja ladang.

"Restoran ini tidak lagi berfungsi dan sudah ditutup sejak tahun 1923 kerana dipindahkan ke lokasi lain," katanya.

Keunikan seni bina masjid pula dapat dilihat pada reka bentuk Masjid Padang Kota yang terletak di Jalan S. P. Seenivasagam yang dibina dengan gaya Mogul.

"Masjid ini dibina oleh Shaik Adam, seorang Tamil Muslim kaya pada tahun 1908. Pembinaan masjid ini pernah menimbulkan pertikaian dengan komuniti Muslim dalam kawasan sekitar," katanya.

Gereja St. John The Divine pula katanya, merupakan gereja terbesar di Malaysia ketika ia dibina pada tahun 1912.

"Semasa pendudukan Jepun, gereja ini diubah suai menjadi kilang memproses mi, tetapi hanya sementara sahaja," katanya.




Dalam pada itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Ahmad Fathil Abd. Ghani, monumen-monumen dalam pekan lama Ipoh diselenggara oleh Majlis Bandaraya Ipoh dan mendapat peruntukan daripada Kementerian Pelancongan Malaysia.

"Statistik Kementerian Pelancongan Malaysia menunjukkan jumlah pelancong yang datang ke Perak pada tahun lalu ialah 2.41 juta orang, manakala tahun sebelumnya 2.22 juta orang.

"Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 8.54 peratus di mana data diperoleh berdasarkan jumlah penginap hotel di Perak," katanya.

Sambutan kota terindah di Eropah

Posted: 01 Jun 2012 07:14 PM PDT


OLD Town Square mempunyai banyak monumen lama yang unik dan menjadi salah satu lokasi wajib dikunjungi di Prague.


SELEPAS meninggalkan kota London dengan menaiki pesawat easyJet selama lebih kurang dua jam setengah, saya selamat tiba di lapangan terbang Ruzyne, Prague, Republik Czech.

Prague atau Praha diangkat sebagai salah sebuah bandar raya paling cantik di Eropah, yang menjadikan antara tarikan utama untuk saya datang dan melihat sendiri kota ini.

Dari lapangan terbang Ruzyne, saya menaiki teksi yang dicadangkan oleh pihak berkuasa, AAA Taxi.

Lebih kurang 40 minit perjalanan melalui kawasan perumahan yang bersih dan bandar-bandar kecil, saya selamat sampai di Deminka Palace Hotel yang terletak di tengah-tengah kota Prague.

Petang Khamis, 24 Mac 2011 itu agak suram. Cuaca masih lagi dingin dan ditambah pula saya sedikit malas untuk mula menyesuaikan diri dengan Prague.

Sambil membelek-belek peta, saya hanya berehat di dalam bilik yang dihias dengan sentuhan mewah seperti sebuah istana moden.

Kota Prague tidaklah begitu besar, dari dataran utama Wenceslas, merentas Old Town sehinggalah ke Lesser Town, semuanya boleh dilawati hanya dengan berjalan kaki. Begitupun, sistem pengangkutan awam yang cekap seperti teksi, bas, tram dan metro boleh dinaiki.

Waktu malam di kota Prague sungguh indah. Bangunan-bangunan bersejarah dilimpahi cahaya yang cukup dramatik dan mempesonakan.

Ramai pengunjung lalu-lalang di sekitar Wenceslas Square sehinggalah ke kompleks Astronomical Clock Tower, manakala sebahagian daripada mereka memenuhi bar-bar dan restoran yang banyak terdapat di sepanjang jalan.


RASHIDY sempat merakamkan gambar kenangan dengan berlatarbelakangkan persekitaran Istana Prague.


Ada sederetan bazar tradisional di hadapan Palladium Mall yang menjual pelbagai jenis makanan. Saya sendiri tidak melepaskan peluang merasai sejenis kuih tempatan yang dipanggil trdlo.

Trdlo ialah doh manis yang digulung tipis sebesar penumbuk dan digelek ke atas taburan serbuk gula halus dan serbuk kayu manis serta kekacang kemudian dipanggang di atas bara. Rasanya sedap seperti cinnamon roll.

Selepas berjalan di kawasan sekitar Námstí Republiky, saya singgah di sebuah restoran India Utara yang terletak sekitar 200 meter dari Palladium Shopping Mall untuk menikmati nasi beriyani dan hidangan berempah, lamb rogan josh.

Penduduk Muslim

Cuaca di Prague pada keesokan harinya sangat bagus. Matahari bersinar cerah dan tidak begitu dingin seperti hari sebelumnya.

Saya menuju ke sebuah masjid kecil yang tidak jauh dari kedudukan hotel. Kebetulan, untuk santapan tengah hari, terdapat sebuah restoran Turki iaitu Istanbul Restaurant di hadapan masjid tersebut.

Di situ, saya bertemu beberapa orang warga Malaysia yang turut bersolat Jumaat. Kebanyakan daripada mereka ialah penuntut universiti yang mengambil jurusan perubatan.

Ramai orang Muslim di kota Prague. Rata-rata mereka datang dari wilayah bekas Soviet Union seperti Kazakhstan, Uzbekistan, Tajikistan dan Afghanistan serta beberapa orang berketurunan Arab.

Sejurus selepas itu, saya menyambung perjalanan menyusuri jalan-jalan kecil dan lorong sempit dari Wenceslas Square sehingga ke Josefov yang merupakan penempatan lama kaum Yahudi yang masih terpelihara.

Selain penempatan kaum ini, masih terdapat beberapa synagogue atau rumah ibadat kaum Yahudi, tanah perkuburan mereka dan beberapa monumen penting masyarakatnya.


TRAM menjadi pilihan pengangkutan yang cekap di Prague.


Ternyata kota ini mempunyai ratusan buah bangunan lama dari Zaman Pertengahan yang tinggi nilai seni binanya. Ia masih kukuh dan menarik lantaran dijaga dengan sempurna.

Kedai cenderamata

Kawasan persekitaran pula sungguh bersih. Deretan kedai menjual cenderamata mudah ditemui dan rata-ratanya menjual kaca kristal berkualiti tinggi serta mewah.

Hampir semua cenderamata di sini dihasilkan oleh pengusaha tempatan. Jarang sekali dapat melihat yang 'Made In China', lalu menjadikan cenderamata di Prague agak mahal berbanding di kota-kota besar Eropah lain.

Saya tidak melepaskan peluang membeli beberapa kristal kegemaran saya iaitu kristal Bohemia dan kraftangan kayu seperti kotak muzik.

Petang Jumaat itu, saya sengaja untuk tidak melintas Charles Bridge yang menghubungkan Old Town dan Lesser Town. Saya bersiar-siar di sepanjang tebing Sungai Vlata, melihat keindahan bangunan-bangunan di seberang sungai termasuk Istana Prague.

Saya berhenti dan duduk di sebuah kerusi menghadap sebuah taman yang berlatarbelakangkan sebuah bangunan lama yang indah. Sempat juga saya berkenalan dan berbual-bual dengan seorang pelajar warga tempatan yang kebetulan sedang bersantai di situ.

Kota selamat

Di sekitar Wenceslas Square yang bertentangan dengan National Museum, ada pondok menjual kebab halal yang diusahakan penjual berketurunan Turki.

Sebungkus kebab ayam yang lazat dan secawan besar kopi dari Starbucks sudah cukup mengenyangkan saya pada malam itu. Berjalan-jalan seorang diri di lorong sempit dan sunyi di Prague tidak sama sekali membuatkan saya merasa takut atau cemas.

Kota ini selamat, walaupun ada ketikanya bertembung dengan warga kulit hitam yang kelihatan seperti penyangak, kaki-kaki mabuk, pengemis dan golongan gelandangan.

Selalunya saya tidak membawa kamera atau wang yang banyak ketika berjalan-jalan pada waktu malam. Wang hanya cukup untuk makan dan minum, membeli barangan serta tambang pengangkutan.

Sabtu pagi, saya menuju ke Wenceslas Square untuk bertemu dengan kenalan bernama Adi, seorang pelajar warga Malaysia yang sedang menuntut kursus perubatan di sebuah universiti di luar kota Prague.

Sudah hampir tiga tahun kenalan saya itu menuntut di Republik Czech atas tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Banyak cerita suka duka dikongsi oleh Adi, khususnya mengenai kehidupan sebagai penuntut di sebuah negara bekas jajahan Russia.

Bersamanya, saya dibawa melihat beberapa buah tempat menarik termasuklah berlegar-legar di Malostranska sambil membeli cenderamata di sepanjang Mostecka sehingga ke Charles Bridge.


SEBAHAGIAN bangunan dalam bandar lama yang dikenali sebagai Josefov menjadi bukti penempatan Yahudi sejak abad ke-10.


Ada sebuah kedai yang menjual barangan kaca kristal menyatakan bahawa ramai pelancong Malaysia datang ke kedainya kerana harga yang berpatutan. Saya juga terlihat sekeping not kertas RM1 di sudut juruwang.

Cuaca yang sangat sejuk dan berangin pada petang hari itu membuatkan kami mudah lapar, maka beberapa kali berhenti untuk minum dan makan. Malam terakhir di kota Prague kami habiskan dengan bersantai di beberapa buah kafe.

Seawal pagi keesokannya, saya sudah bersiap sedia untuk meninggalkan kota Prague. Banyak kenangan manis dirasai sepanjang berada di kota indah ini.

Sebenarnya amat mudah mengunjungi tempat-tempat menarik di Prague. Oleh kerana kota ini tidak begitu besar, kebanyakan tempat pelancongan berada dalam radius yang mudah dilawati.

Lotus Temple inspirasi kelopak teratai

Posted: 01 Jun 2012 07:13 PM PDT


LOTUS Temple dibina serba indah dengan reka bentuk unik menimbulkan kekaguman kepada mata yang memandang.


TAJ MAHAL yang merupakan salah sebuah hasil arkitektur Islam terindah di dunia, menjadi tarikan utama pelancong saat ke Agra, India.

Bagaimanapun, selain Taj Mahal, India juga mempunyai satu mercu tanda yang tidak kurang hebatnya dan diiktiraf sebagai salah sebuah binaan menakjubkan dalam sejarah bangunan moden pada hari ini.

Dikenali sebagai Lotus Temple, ia merupakan kuil bagi penganut kepercayaan Bahai. Terletak di Kalkaji, New Delhi, bangunan itu dibina pada tahun 1980 dan siap sepenuhnya enam tahun kemudian.

Berbentuk seperti kelopak bunga teratai, ia mempunyai 27 kelopak yang disusun dalam tiga barisan bagi membentuk sembilan sisi yang berbeza. Kelopak bunga yang kelihatan separuh terbuka itu, dibina daripada konkrit putih dan di mana bahagian luarnya dilapisi batu marmar Greek berwarna putih.

Secara keseluruhan sebanyak 800 pekerja digunakan untuk membina kuil bangunan itu. Mereka terdiri daripada jurutera, artis, juruteknik dan pekerja pembinaan.

Secara falsafahnya, kelopak bunga teratai itu memberi manifestasi kepercayaan beragama kepada penduduk di negara itu.

Simbolik bunga teratai

Dikatakan, bunga teratai merupakan simbol keamanan, kebersihan, kasih sayang dan abadi. Keistimewaan bunga itu juga menyebabkan ia menjadi ikon penting dalam budaya dan masyarakat di India sehingga ke hari ini.

Di samping bentuknya yang unik, kuil itu turut dilengkapi sistem pengudaraan menarik berdasarkan sistem seni bina purba.

Udara panas dari dewan pusat mengalir keluar melalui bukaan dalam kubah, manakala udara sejuk mengalir masuk ke dalam melalui sistem tangki air dan binaan terasnya.

Bagi yang mahu melawat kuil itu, pengunjung digalakkan melawat dalam kumpulan yang kecil.

Di dalam kuil, pengunjung dilarang bercakap, mengambil gambar atau video. Terdapat sebuah kubah setinggi 40 meter di dalamnya yang menyimpan simbol gergasi penganut kepercayaan Bahai.

Terdapat beberapa baris kerusi yang disediakan di situ yang boleh digunakan untuk duduk sambil bermeditasi.

Mampu memuatkan kira-kira 2,500 pengunjung, lokasi itu juga sering digunakan untuk upacara-upacara keagamaan dan ritual.

Mewah di Pullman Kuching

Posted: 01 Jun 2012 07:11 PM PDT


BILIK yang luas dengan dekorasi moden membuktikan Pullman tidak pernah berkompromi dengan keselesaan tetamunya.


DILATARI panorama ruang angkasa di sekitar bandar raya Kuching, Sarawak, Pullman Kuching merupakan destinasi percutian bertaraf lima bintang yang terletak di atas bukit di Jalan Mathies di bandar raya itu.

Kedudukannya yang terletak di tengah-tengah Segi Tiga Emas di Kuching membuatkan hotel itu tidak pernah sunyi sama ada siang atau malam.

Di situ, pengunjung bebas membeli-belah mengunjungi pusat hiburan, menikmati makanan lazat, berurusan di institusi kewangan dan pejabat berhampiran.

Justeru tidak hairanlah, sejak dibuka pada tahun 2009, hotel itu sentiasa menjadi tumpuan golongan ahli perniagaan dan pelancong yang mahu merasai pengalaman bercuti di kota dalam suasana penuh santai dan mewah.

Mengetengahkan konsep moden dan kontemporari, hotel itu menawarkan 389 bilik secara keseluruhan.

Terdapat beberapa jenis bilik yang ditawarkan bergantung kepada bajet pengunjung bermula daripada superior, deluxe, junior suites, family, executive, premier suite dan golden suite yang mewah bercirikan eksklusif bersesuaian dengan status penghuninya.

Menariknya, pengunjung yang menginap hotel itu bakal disajikan dengan keindahan Sungai Santubong yang mengasyikkan serta panorama sekitar bandar raya yang pesat membangun di sekelilingnya.

Bagi keselesaan pengunjung, setiap bilik dilengkapi pelbagai kemudahan. Antaranya kemudahan pendingin hawa, televisyen satelit, perkhidmatan bilik, jalur lebar berkelajuan tinggi, peti ais mini, peti keselamatan dan peralatan aktiviti kecergasan.


BERLOKASI di tengah-tengah ibu kota Kuching, ia memudahkan pengunjung untuk melawat lokasi-lokasi menarik di bandar raya itu.


Pullman Kuching juga sentiasa memahami keperluan individu pelanggannya dengan menyediakan bilik khas seperti bilik tidak merokok dan bilik untuk orang kelainan upaya (OKU).

Kuisin antarabangsa dan Asia

Kunjungan ke hotel itu seakan tidak lengkap sekiranya tidak mencuba pelbagai gastronomi yang ditawarkan oleh rangkaian kafe dan restoran bercita rasa tinggi di situ.

Di Puzzle, pengunjung berpeluang menikmati hidangan bufet dan ala carte dalam suasana santai dan penuh eksklusif.

Mengetengahkan menu antarabangsa bersama kuisin Asia, pengunjung pasti teruja menikmati hidangan sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam yang sediakan oleh chef-chef berpengalaman.

Bagi mereka yang menggemari masakan tradisional Cina pula, konsep dapur terbuka di restoran Nui Er Hong boleh dijadikan pilihan.

Sementara itu, jika mahu bersantai bersama teman-teman sambil menikmati snek ringan, Cafe Ch@t adalah jawapannya. Nikmatilah, aneka pilihan kopi, teh, jus segar atau hidangan pencuci mulut seperti ais krim buatan sendiri, roti dan pastri.

Pullman Kuching juga menyediakan beberapa pilihan bar dan lounge bagi pengunjung, yang mahu menikmati minuman pilihan sambil berhibur mendengar alunan muzik pada waktu malam. Ia boleh dinikmati tatkala berkunjung di Deja Vu atau di Liquid.

Tidak sekadar itu, pengunjung boleh mencuba pelbagai kemudahan dan aktiviti riadah yang disediakan di hotel itu. Pengunjung boleh bersenam di gimnasium yang lengkap dengan pelbagai peralatan terkini serta khidmat jurulatih peribadi.

Di samping itu, terdapat juga kemudahan bilik jakuzi, sauna dan kolam renang.

Pengunjung yang mahu menghilangkan tekanan sambil membelai tubuh bolehlah berkunjung ke Fit Spa Lounge. Ia menyediakan bilik rawatan eksklusif dan spa berkonsepkan Bali yang kembali menyegarkan selepas dibelai oleh pakar-pakar terapi bertauliah di situ.


PULLMAN Kuching menawarkan keselesaan untuk tetamu yang berkunjung ke sana.


Persekitaran dan kemudahan yang dimiliki turut membolehkan pengunjung memilih tempat yang sesuai untuk mengendalikan mesyuarat, seminar, konvensyen dan lain-lain kegiatan perniagaan.

Dewan Ballroom seluas 1,615 meter persegi mampu memuatkan kira-kira 1,500 hingga 3,000 pengunjung pada satu-satu masa.

Di samping itu, ia turut mempunyai sembilan bilik serba guna untuk acara berskala kecil. Ia dilengkapi sistem audio, visual dan pencahayaan yang berteknologi tinggi.

Bosan menginap di hotel semata-mata, apa kata berkunjung ke Hills Shopping Mall yang terletak bersebelahan.

Jika tidak, ambil teksi dan lawatilah beberapa tarikan pelancongan menarik di sekitarnya seperti Kampung Budaya Sarawak, Pantai Damai, Taman Negara Bako dan Pusat Hidupan Liar Semenggok sambil bermesra dengan orang utan.

Salasilah Kesultanan Kedah

Posted: 01 Jun 2012 07:07 PM PDT



MENGIKUT Hikayat Merong Maha Wangsa, Kedah diasaskan oleh Merong Maha Wangsa dengan gelaran Sultan Mudzaffar Shah. Baginda memerintah dari tahun 1136 hingga 1179. Apabila menyentuh sejarah kesultanan yang panjang, ia pasti berkait rapat dengan salasilah keturunan diraja itu hingga ke hari ini.

Setelah dihitung dari kurun ke-11 hingga abad ke-20, Kedah mempunyai 28 Sultan dengan pemerintah ketika ini ialah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-14 menggantikan Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 13 Disember lalu.

Sebelum keberangkatan Tuanku Abdul Halim sebagai Yang di-Pertuan Agong, baginda berkenan melantik Jemaah Pemangku Sultan yang terdiri daripada adinda dan anakanda baginda.

Jemaah itu dipengerusikan oleh adinda baginda Tunku Bendahara, Datuk Seri Tunku Annuar Sultan Badlishah.

Tiga lagi ahli jemaah ialah adinda baginda, Tunku Temenggong, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah, Tunku Laksamana, Datuk Seri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan anakanda baginda, Tunku Panglima Besar, Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim.

Seri Paduka ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 11 April lalu secara gilang-gemilang di Istana Negara yang baharu di Jalan Duta, Kuala Lumpur manakala hari ini, 2 Jun, merupakan tarikh sambutan rasmi keputeraan Seri Paduka. Tuanku Abdul Halim dilahirkan pada 28 November 1927 di Istana Anak Bukit, Alor Setar.

Tuanku Abdul Halim bertemu jodoh dengan Almarhumah Tuanku Sultanah Bahiyah pada Mac 1956 dan istiadat perkahwinan berlangsung di Istana Seri Menanti, Negeri Sembilan.

Almarhumah merupakan puteri sulung Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Abdul Rahman Muhammad yang juga Yang di-Pertuan Agong pertama Persekutuan Tanah Melayu.


TUANKU Abdul Halim (dua dari kiri) bersama ayahanda dan bonda serta adik-beradik. Foto ini dirakam pada tahun 1930-an.


Baginda berangkat ke England pada bulan Februari 1949 hingga 1955 bagi melanjutkan pelajaran di Wadham College, Oxford dalam bidang Sains Kemasyarakatan dan Pentadbiran Awam.

Menurut tokoh sejarah Kedah, Datuk Wan Shamsuddin Mohd. Yusof, baginda berkenalan dengan Almarhumah ketika belajar di England.

Katanya, proses perkahwinan baginda berdua mengikut adat istiadat silam yang dimulai dengan majlis merisik, meminang, hantar belanja dan mas kahwin, akad nikah seterusnya kenduri kahwin.

"Proses itu sama seperti kebiasaan yang dibuat rakyat dengan menghantar rombongan meminang. Seperti lazimnya, beberapa barang hantaran berupa cenderamata termasuk cincin dan tepak sirih berisi buah pinang melambangkan majlis meminang," katanya.

Wan Shamsuddin memberitahu, kemuncak istiadat ialah pada hari ketiga apabila berlangsung upacara mandi-manda iaitu aktiviti simbah-menyimbah air. Acara diadakan di pentas khas yang dipanggil Panca Persada.

"Pada istiadat itu, baginda berdua saling menyiram air antara mereka selain turut dimeriahkan dengan kehadiran pembesar negeri dan rakyat jelata," ujarnya membuat kajian tentang sejarah Kesultanan Kedah mulai tahun 1956.

Hasil perkahwinan diraja ini, Tuanku berdua dikurniakan tiga puteri iaitu Tunku Soraya, Tunku Sarina (mangkat) dan Tunku Puteri Intan Safinaz.

Pada 26 Ogos 2003, Tuanku Sultanah Bahiyah mangkat di Istana Kuala Chegar, Anak Bukit.

Istiadat perkahwinan

Pada 9 Januari 2004 telah berlangsung satu istiadat gilang-gemilang permasyhuran Che Puan Haminah Hamidun pula sebagai Sultanah Kedah yang baru dengan gelaran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah Kedah.

Tuanku Sultanah Haminah dilahirkan di Bagan Serai, Perak dan berkahwin dengan Tuanku Sultan Abdul Halim pada 25 Disember 1975.

Mengimbas perkahwinan ayahanda Tuanku Abdul Halim, Sultan Badlishah Sultan Abdul Hamid pula, baginda menikahi Tunku Sofiah Tunku Mahmud pada tahun 1943 di Istana Anak Bukit.

Menurut Wan Shamsuddin, istiadat perkahwinan baginda berdua berlangsung penuh meriah selama tiga hari dengan dihadiri pembesar negeri dan rakyat jelata.


AYAHANDA bonda Tuanku Abdul Halim, Sultan Badlishah dan Tunku Sofiah.


"Istiadat perkahwinan baginda mengikut adat resam dan turun-temurun sejak Sultan Abdul Hamid. Upacara mandi-manda ini turut dibuat pada istiadat perkahwinan baginda berdua," kata pengkaji sejarah berusia 79 tahun ini.

Hasil perkahwinan Sultan Badlishah dan Tunku Sofiah, baginda dikurniakan tiga putera, Tunku Abdul Hamid, Tunku Abdul Halim dan Tunku Mansor selain dua puteri Tunku Hamidah dan Tunku Sakinah.

Menurut salasilah Kesultanan Kedah, Tunku Sofiah adalah anak saudara Tunku Abdul Hamid kerana Tunku Mahmud merupakan adinda Tunku Abdul Hamid.

Bagi Wan Shamsuddin, perkahwinan Tunku Sofiah dan Sultan Badlishah yang merupakan sepupu adalah bagi mengukuhkan hubungan dalam kalangan institusi kekeluargaan kerabat diraja Kedah.

Sultan Badlishah juga pernah berkahwin dengan Tunku Asma Sultan Sulaiman iaitu kerabat diraja Terengganu dan dikurniakan tujuh anak iaitu Tunku Husna, Tunku Kamariah, Tunku Anuar, Tunku Bishariah, Tunku Badriyatul Jamil, Tunku Abdul Hamid Thani dan Tunku Salehuddin.

Lapan kali kahwin

Berlainan pula bagi nenda Tuanku Abdul Halim, Tuanku Abdul Hamid Halim Shah yang merupakan Sultan Kedah Ke-26 dalam institusi beraja Kedah yang memerintah dari tahun 1882 hingga 1943.

Baginda adalah anakanda Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah atau Halim Shah yang merupakan Sultan Kedah Ke-24 yang memerintah dari tahun 1854 hingga 1879.

Sultan Ahmad Tajuddin dicatatkan dalam salasilah mempunyai dua orang isteri iaitu Wan Jah Long Nik Abidin dan Wan Hajar Wan Ismail. Sultan Abdul Hamid adalah anak kepada Wan Hajar manakala Sultan Kedah yang Ke-25 ialah Sultan Zainal Rashid Muadzam Shah II (1879 hingga 1881) pula adalah anak Wan Jah.

Menurut salasilah Kesultanan Kedah, Sultan Abdul Hamid berkahwin sebanyak lapan kali dengan menikahi wanita Siam dan keturunan Sharifah selain wanita bernama Che Sofiah.


TUANKU Abdul Halim Mu'adzam Shah bersama Tuanku Haminah Hamidun ketika berangkat pulang selepas sambutan penuh istiadat di Dataran Parlimen tahun lalu.


Isteri baginda ialah Che Spachendra, Che Laraseh, Che Samanirat, Che Manjalara, Sharifah Meriam, Sharifah Seha, Sharifah Fatimah dan Che Sofiah.

Menurut Wan Shamsuddin, perkahwinan dengan wanita keturunan Siam merupakan perkahwinan politik bagi mengeratkan hubungan antara kerajaan Kedah dan Siam.

Katanya, Sultan Abdul Hamid mempunyai 45 anak iaitu 23 putera dan 22 puteri. Sultan Badlishah merupakan anak daripada isteri baginda bernama Che Sofiah.

"Menariknya dalam salasilah ini ialah Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang merupakan Perdana Menteri Malaysia pertama adalah adik-beradik Sultan Badlishah dan bapa saudara kepada Tuanku Abdul Halim sekarang.

"Tunku Abdul Rahman merupakan anak Sultan Abdul Hamid daripada isteri baginda, Che Manjalara," katanya.

Mengenali keperibadian Tuanku Abdul Halim

Posted: 01 Jun 2012 07:03 PM PDT


GALERI Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah ini pada asalnya merupakan Mahkamah Tinggi Alor Setar.


MASYARAKAT umum khususnya rakyat negeri Kedah berpeluang mengenali Sultan Kedah lebih dekat dengan berkunjung ke Muzium Diraja Kedah atau Galeri Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah di Alor Setar.

Di muzium dan galeri itu, para pengunjung boleh melihat carta yang menunjukkan susur galur keluarga Diraja Kedah. Dianggarkan kedua-dua lokasi tersebut menyimpan hampir 2,000 barangan koleksi peribadi Sultan Kedah.

Lebih menarik, di Galeri Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah orang ramai berpeluang melihat pelbagai koleksi gambar Tuanku Abdul Halim semasa kecil, dewasa sehinggalah baginda menempuh alam perkahwinan.

Turut dipamerkan koleksi barangan peribadi Tuanku Sultan seperti pakaian rasmi, kasut, tali leher, kaca mata, beg kerja, pen, kamera serta pelbagai jenis kenderaan Diraja.

Muzium Diraja Kedah pula terletak berhampiran dengan Galeri Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dan lokasi tumpuan pelancong lain seperti Balai Nobat, Balai Besar, Masjid Zahir dan Balai Seni Negeri.

Penolong Kurator muzium, Rahimah Mat berkata, rata-rata pengunjung berminat untuk mengetahui tentang susur galur Sultan Abdul Hamid Halim Shah dan Sultan Kedah sekarang, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.


PELAMIN diraja yang menjadi tempat persandingan majlis perkahwinan diraja yang dipamerkan di Muzium Diraja Kedah.


"Di muzium ini, para pengunjung boleh melihat carta susur galur keluarga Diraja Kedah dengan lebih jelas dan mereka boleh memahaminya dengan mudah," katanya ketika ditemui di Muzium Diraja Kedah baru-baru ini.

Antara koleksi gambar baginda yang dipamerkan di Muzium Diraja termasuklah ketika Sultan Abdul Hamid menganggotai Persatuan Geografi di Kolej Sultan Abdul Hamid dan gambar baginda bersama keluarga sebelum berangkat ke England pada tahun 1949.

Selain itu, muzium tersebut mempamerkan gambar Tuanku Sultan bersama ayahanda saudara, Perdana Menteri Pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Perdana Menteri Kedua Malaysia, Tun Abdul Razak Hussein.

Rakyat teruja

Menurut Rahimah, ada kalangan pengunjung yang begitu teruja tentang Sultan Kedah dan mahu mengetahui lebih lanjut apabila baginda dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-14 oleh Majlis Raja-Raja pada satu mesyuarat di Istana Negara pada 14 Oktober lalu.


BILIK BERADU. Ruang ini dijadikan bilik beradu untuk pasangan pengantin diraja dan dipamerkan di Muzium Diraja Kedah.


"Ini merupakan kali kedua Sultan Abdul Halim ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong selepas kali pertama pada 21 September 1970 untuk tempoh lima tahun, berakhir pada 20 September 1975," katanya.

Kata Rahimah, beliau gemar memberitahu pengunjung tentang keperibadian Sultan Kedah yang mempunyai tutur bicara yang lemah lembut ketika bertitah di hadapan rakyatnya.

"Apa yang menarik, bukan warga Kedah saja yang mahu mengenali Sultan Kedah dengan lebih dekat bahkan rakyat dari negeri lain di Malaysia termasuklah rakyat negara jiran, Thailand," jelasnya.

Sepanjang tahun ini sehingga bulan lalu, muzium menerima kunjungan seramai 17,524 orang termasuk pelancong dari luar negara.

Dalam pada itu, seorang pengunjung, Tengku Ammar Shafiq Tengku Amir, 15, berkata, dia amat berminat untuk mengenali Sultan Kedah lebih dekat. Impiannya untuk berkunjung ke muzium tersebut juga tercapai.


ANTARA koleksi kereta antik, model Crossley tahun 1920 Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah yang dipamerkan di Galeri Sultan Abdul Halim.


"Saya datang dengan saudara-mara dari Singapura dan mereka juga berminat dengan susur galur keluarga Diraja Kedah dan Sultan Kedah yang ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14," katanya.

Sepupunya, Maria Liyana Mohd. Mokhti, 14, dari Singapura pula berkata, sebelum ini dia hanya mengetahui tentang Tunku Abdul Rahman sahaja.

"Kunjungan ke muzium ini memberi pengetahuan lanjut apabila ada maklumat di muzium ini yang menyatakan bahawa Tunku Abdul Rahman ialah ayahanda saudara kepada Sultan Kedah sekarang," tambahnya.

Cipta hala tuju sendiri

Posted: 01 Jun 2012 07:03 PM PDT

MENGETENGAHKAN hala tuju rekaan terbaharu Mazda iaitu KODO - Soul of Motion Design.


KETIKA pengeluar lain sibuk dengan kenderaan hibrid dan elektrik (EV), pembuat kereta dari Jepun yang satu ini mengambil pendekatan berbeza. Itulah Mazda. Ia jarang mengikut trend semasa, sebaliknya melakukan apa yang difikirkan sesuai demi meneruskan survival jenamanya.

Faktor itu jugalah yang membuatkan Mazda pengeluar kenderaan unik. Walaupun tidak menjual setiap produk keluarannya dalam volum berjuta-juta unit, namun jenama itu masih mampu terus hidup sehingga sekarang.

Perbezaan arah itu dibuktikan sekali lagi menerusi teknologi SKYACTIV. Menurut Mazda, SKYACTIV merupakan jawapan kepada keperluan pengguna yang mahukan kenderaan jimat minyak dan mesra alam, tanpa mengabaikan aspek keselamatan, prestasi serta dinamik pemanduan.

Apa alasan Mazda untuk membangunkan teknologi SKYACTIV? Ia dibangunkan kerana Mazda percaya enjin pembakaran dalaman (ICE) akan terus digunakan untuk tahun-tahun akan datang. Lagi pun, bukan semua pasaran sesuai untuk menggunakan teknologi kenderaan canggih seperti hibrid dan EV.

Teknologi SKYACTIV meliputi seluruh aspek pembinaan sebuah kereta iaitu enjin, transmisi dan kerangka tubuh. Semua elemen tersebut dibangunkan agar lebih ringan, cekap dan mampu bekerjasama dengan harmoni.

Produk pertama yang menerima semua kelebihan itu ialah SUV crossover CX-5. Lebih menarik lagi, CX-5 dibina atas falsafah dan hala tuju rekaan terbaharu Mazda yang dikenali sebagai KODO - Soul of Motion Design. Sebab itu jugalah ramai yang mengakui bahawa penampilan CX-5 memang menarik perhatian.

Berita baik untuk pengguna tempatan, CX-5 sudahpun mula dijual secara rasmi oleh pengedar kenderaan Mazda di Malaysia iaitu Bermaz Motor Sdn. Bhd. (Bermaz) dan Prima Merdu Sdn. Bhd. sejak minggu lalu. Ditawarkan dalam dua varian iaitu pacuan dua roda (2WD) dan semua roda (AWD), anda boleh memiliki CX-5 pada harga RM159,500 dan RM169,760 seunit (termasuk insurans).


MAZDA memang bijak dalam menghasilkan ruang kokpit yang kemas, sporty dan dapat berfungsi sebaiknya.


Crossover paling ringan

Crossover itu bakal bersaing dengan model-model seperti Honda CR-V, Kia Sportage, Hyundai Santa Fe dan Volkswagen Tiguan. Sebelum anda melihatnya sebelah mata, apa kata teliti dulu apa yang mampu ditawarkan oleh CX-5.

Percaya atau tidak, ia antara crossover paling ringan dalam kelasnya. Secara tepatnya, 15 peratus lebih ringan berbanding model terdahulu. Terima kasih kepada kerangka/casis SKYACTIV. Ketegaran struktur tubuhnya telah ditingkat sebanyak 30 peratus dan lapan peratus lebih ringan.

Kerangka itu jadi semakin istimewa apabila pasukan jurutera Mazda melakukan ubah suai sepenuhnya ke atas sistem suspensi dan fungsi stereng. Matlamatnya adalah untuk menawarkan keseronokan pemanduan yang membuatkan pemandu seolah-olah 'bersatu' dengan kenderaan. Orang Jepun kata, Jinba Ittai.

Kerangka itu bukan sekadar menawarkan pemanduan dinamik. Malah kualitinya ditingkatkan menerusi keselesaan dan keselamatan ketika berada di dalam kabin. Maka, anda boleh mengharapkan kabin yang senyap ketika memandu dan maklum balas stereng yang tajam apabila mengambil selekoh.

CX-5 dijana oleh unit enjin bersesaran 2.0 liter empat silinder yang turut digunakan pada model Mazda3 tahun 2012. Harus tahu bahawa ia merupakan enjin petrol pertama di dunia yang mampu mencapai tahap nisbah mampatan 14.0:1. Itu merupakan kadar mampatan paling tinggi untuk enjin yang dikeluarkan secara massa.

Sebenarnya, mampatan itu lebih tinggi berbanding enjin-enjin popular lain seperti 1.4 TSI buatan Volkswagen, Mazda MZR 2.0 DISI dan Ferrari 458.

Operasi enjin SKYTACTIV-G disempurnakan dengan sistem ekzos 4-2-1 injap kaviti dan penyuntik berbilang lubang. Hasilnya, ia berupaya menjana kuasa sehingga 114kW @ 6,000rpm dan tork puncak 200Nm. Penggunaan bahan apinya juga 15 peratus lebih jimat. Mazda mendakwa untuk 100 kilometer (laluan bandar dan lebuh raya), hanya 7.3 liter petrol diperlukan.


ENJIN bersesaran 2.0 liter dengan nisbah mampatan paling tinggi iaitu 14.0:1.


Tujahan kuasa tersebut diagih menerusi kotak gear automatik enam kelajuan. Jangan tidak tahu, SKYACTIV-Drive itu adalah gabungan kelebihan transmisi automatik konvensional, continuously variable transmission (CVT) dan klac berkembar. Kira macam tiga dalam satulah.

Transmisi itu menjanjikan penukaran gear yang pantas dan tepat. Tanpa membazirkan tenaga dengan meletakkan gear pada kedudukan dan masa yang kurang betul.

Saya sempat memandu uji CX-5 dalam sesi yang dianjurkan oleh Bermaz menuju ke Pulau Pinang. Secara peribadinya, saya lebih menggemari varian 2WD kerana ia berasa lebih responsif berbanding versi AWD.

Namun begitu, versi AWD menawarkan cengkaman lebih baik di atas jalan raya. Saya sebenarnya tidak fikir pacuan sebegitu perlu untuk sebuah kenderaan yang 95 peratus masa berada di atas jalan tar dan bukannya laluan berlumpur. Tetapi, percaya atau tidak, masih ada pengguna yang mahukan pacuan roda sebegitu.

Menyentuh mengenai ruang dalamannya pula, Mazda terus mengaplikasikan tona hitam ke atasnya. Menekankan aspek sporty, anda tidak akan jumpa terlalu banyak butang kawalan pada papan pemuka. Sementara butang kawalan audio pada stereng adalah ringkas dan mudah dioperasi.

Papan pemukanya menggabungkan permukaan material yang lembut dan sedap dipegang. Bahagian tengahnya pula diletakkan dengan unit audio dengan skrin sentuh bersaiz 5.8 inci.


REKAAN lampu belakang yang ringkas dan tidak berlebih-lebihan.


Ia juga memiliki sambungan AUX-in, USB, Bluetooh dan iPod Playback. Bagi mereka yang menghargai kualiti bunyi muzik, CX-5 dipasang dengan Bose Centerpoint Surround Sound System, meliputi sembilan unit pembesar suara.

Seperti biasa, CX-5 diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun. Bagaimanapun, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Bermaz, Datuk Ben Yeoh menyatakan sekiranya sambutan terhadap CX-5 memuaskan, pihaknya bersedia untuk memasangnya secara tempatan (CKD).

Sejak membuat penampilan pertama pada Pameran Motor Frankfurt 2011, CX-5 tidak putus-putus menerima pengiktirafan di seluruh dunia.Jadi, sudah bersedia untuk zoom-zoom dengan Mazda?

Pesaing baharu sedan segmen C

Posted: 01 Jun 2012 07:02 PM PDT


NISSAN optimis 408 akan meningkatkan jumlah jualan kenderaan Peugeot pada tahun 2012.


SEDAN yang sudah lama ditunggu-tunggu, Peugeot 408 akhirnya dilancarkan di premis Peugeot Blue Box baharu di Glenmarie Shah Alam, Selangor pada malam Isnin dua minggu lalu.

Bersaing dalam segmen C, 408 ditawarkan menerusi dua varian enjin iaitu 2.0 liter dan 1.6 turbo. Enjin 2.0 liter itu mampu menghasilkan kuasa sehingga 145hp dan tork 200Nm. Enjin turbo pula dilihat lebih berkuasa dengan 163hp dan tork 240Nm. Kedua-dua enjin tersebut dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan.

Dengan prestasi, ruang dalaman luas, reka bentuk elegan dan sistem keselamatan canggih, 408 dilihat bakal mengubah landskap segmen sedan tersebut.

"Peugeot 408 serba baharu ini sesuai untuk golongan profesional muda yang inginkan sebuah kereta yang luas, berprestasi dan elegan," kata Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza, SM Nasarudin SM Nasimudin.

Jentera ini nyata memiliki penampilan luaran yang bertenaga. Bahagian hadapannya menyerlah dengan logo Peugeot yang besar di samping sepasang lampu utama lebar dan lampu kabus.

Anda pasti berpuas hati dengan ruang kabin 408. Menggunakan warna hitam sebagai latarnya, ia hadir bersama pelbagai ciri seperti sistem pendingin hawa dua zon, sistem bunyi World In Peugeot Sound dengan enam unit pembesar suara, sambungan USB dan Bluetooth, panel instrumen LCD serta banyak lagi.

Menyentuh aspek keselamatan pula, 408 dilengkapi beg udara, ABS, EBD dan EBA. Bagi varian 408 Turbo, senarai itu ditambah dengan Electronic Stability Program (ESP) dan Anti-Skid Regulation (ASR).

408 dipasang di kilang Naza Automotive Manufacturing (NAM) di Gurun Kedah dan bakal dipasarkan ke pasaran dengan pemanduan sebelah kanan. Ini termasuklah Thailand, Indonesia, Singapura, Brunei dan Australia.


KONSOL tengah dihuni oleh butang kawalan pendingin hawa dan tombol gear.


Harus tahu bahawa 408 merupakan produk global Peugeot. Ia dijangka meningkatkan lagi jualan kenderaan Peugeot. Jangkaan itu nyata berasas kerana pada tahun 2011, sebanyak 81,000 unit 408 telah berjaya dijual.

Untuk pasaran tempatan, pengedar rasmi kenderaan Peugeot di Malaysia. Nasim Sdn. Bhd. (Nasim) yakin 408 akan menjadi penyumbang utama kepada sasaran jualan syarikat sebanyak 9,300 unit pada tahun ini.

Ketua Pegawai Operasi Nasim, Datuk Samson Anand George memberitahu, pihaknya menyasarkan jualan sebanyak 400 unit 408 sebulan sehingga akhir tahun 2012.

Harga atas jalan termasuk insurans bagi varian 1.6 turbo ialah RM125,888 seunit. Model 2.0 liter pula ditawarkan pada harga RM109,888 sebuah.

408 hadir dengan tawaran menarik iaitu jaminan selama lima tahun tanpa had perbatuan. Malah, pelanggan juga diberikan perkhidmatan Peugeot Assistance 24 jam sepanjang hayat dan keahlian Peugeot Privilege yang eksklusif. Semua itu demi menyediakan pelanggan dengan pengalaman pemilikan Peugeot yang terbaik kepada semua pembelinya.

Maklumat lanjut mengenai 408, sila layari laman web www.peugeot.com.my atau peugeotmobile.com.my yang boleh dilayari menggunakan komputer tablet dan telefon pintar.

Lexus GS 350 F SPORT

Posted: 01 Jun 2012 07:01 PM PDT




DI Malaysia, Lexus nampaknya sudah dikenali oleh kalangan mereka yang mahukan kenderaan mewah bukan dari pengeluar Eropah. Bernaung di bawah Toyota, Lexus dilihat sebagai alternatif terbaik berikutan produk yang dihasilkannya memang mampu menepati kehendak pelanggan.

Jenama itu pada awalnya berada dalam liga tersendiri apabila cuma ia sahaja yang menawarkan jentera mewah dari Jepun. Namun, segmen itu kini dikongsi oleh kehadiran jenama Infiniti daripada Nissan.

Bagi memastikan ia kekal relevan dan terus mampu menarik perhatian pasaran, Lexus Malaysia dilihat aktif menawarkan produk-produk terbaharu. Contohnya, pada bulan Mac lalu Lexus Malaysia memperkenalkan sedan eksekutif mewah yang dikenali sebagai Lexus GS.

Kali ini, lima varian Lexus GS ditawarkan. Sama ada Lexus GS 250, Lexus GS 250 Luxury, Lexus GS 250 F SPORT, Lexus GS 350 Luxury atau Lexus GS 350 F SPORT semuanya memiliki kelebihan tersendiri serta menyasarkan kelompok pembeli yang berbeza.

Lexus GS serba baharu itu sebenarnya sudah memasuki generasi keempat. Mula dipasarkan sejak tahun 1993, Lexus GS sentiasa dikenali sebagai sebuah sedan yang memiliki karekter pemanduan dinamik.

Bagi mereka yang kurang tahu mengenai Lexus GS, ia sebenarnya diposisikan antara model IS dan LS. Di sini, Lexus GS mula menemui pengguna tempatan pada tahun 2007 apabila Lexus Malaysia beroperasi secara rasmi.

Memandu Lexus GS 350 F SPORT sememangnya memberikan satu pengalaman berbeza kepada saya. Pendek kata, ia memang layak dipanggil sebagai sedan mewah kerana segala ciri yang ada padanya mungkin membuatkan anda mahu terus memandu tanpa jemu.

Perasaan itu banyak didorong oleh kuasa yang mampu dijana unit enjin V6 bersesaran 3.5 liter. Dengan kuasa sebanyak 312hp dan tork 378Nm, sukar untuk anda sedar bilakah ia kekurangan kuasa.

Mood berlumba

Tujahan tenaganya jelas terasa tanpa perlu menekan pedal minyak dengan keras. Agihan kuasa juga lancar melalui kotak gear enam kelajuan super ECT dengan ciri A.I Shift Automatic. Berbeza dengan transmisi Continuously Variable Transmission (CVT) atau gear berkembar, kotak gear itu masih memberikan senggukan ketika gear ditukar. Tetapi, percayalah itu adalah senggukan yang anda dambakan.

Jentera, ia dibina untuk semua corak pemanduan. Sekiranya anda seorang pemandu yang suka bersantai dan pentingkan penjimatan bahan api, pilih sahaja mode ECO. Tetapi jika mood berlumba sudah datang, putar sahaja dial kawalan pada bahagian konsol tengah ke mode Sport (S) atau Sport + (S+). Semua gaya pemanduan tersebut boleh ditukar dengan mudah menerusi ciri Drive Mode yang ditawarkan oleh Lexus GS 350 F SPORT.


BUTANG kawalan yang tersusun kemas membarisi ruang papan pemuka.


Walaupun saya merasakan sterengnya sedikit ringan, kestabilan pengendalian jentera itu banyak dibantu oleh ciri Dynamic Rear Steering Vehicle Dynamics Integrated Management (VDIM). Malah, suspensi hadapan dan belakang varian F Sport telah ditala demi meningkatkan kecekapan sistem Adaptive Variable Suspension (AVS). Ia juga memaksimum kawalan tubuh kenderaan dan maklum balas stereng.

Apa faedahnya? Anda boleh melayan selekoh dan memandu pada kelajuan tinggi dengan lebih yakin. Penumpang juga dapat menikmati perjalanan dengan selesa.

Sudah namanya pun F SPORT, jadi jentera itu menawarkan karekter pemanduan yang dinamik dan sporty. Bukan sekadar kualiti pengendalian, malah penampilan luarannya dipastikan supaya benar-benar sporty.

Kalau tidak percaya, lihat sahaja kepada aksesori yang dipasang padanya. Bampar dan gril hadapan serta belakang, rim aloi sembilan jejari premium berwarna gelap serta brek hadapan yang dipertingkatkan.

Ruang kokpit Lexus GS 350 F SPORT meneruskan tema rekaan generasi baharu Lexus yang mula-mula diperkenalkan pada model hibrid CT200h. Tidak dapat dinafikan bahawa bahagian dalamannya dibina dengan penuh teliti bagi menyerlahkan keseimbangan di antara kemewahan, fungsi teknologi terkini dan emosi.

Mata pasti tertarik ke arah paparan skrin Electronic Multi-Vision (EMV) beresolusi tinggi bersaiz 12.3 inci pada bahagian tengah papan pemuka. Ia mempamerkan pelbagai maklumat yang boleh dipilih oleh pemandu menerusi kawalan Romote Touch Controller.

Bertindak seperti tetikus komputer, Romote Touch Controller membolehkan pemandu dan penumpang memilih pelbagai menu sistem yang ada. Misalnya, mencari siaran radio atau menaip alamat destinasi yang dicari melalui navigator.


PENUKARAN mode pemanduan bole dibuat menggunakan dial kawalan ini.


Mungkin atas sebab keselamatan, jangan harap anda boleh menggunakan tetikus itu ketika sedang memandu. Sebabnya, kemungkinan tangan menekan ruang menu yang salah cukup tinggi.

Maka, cara terbaik dan selamat untuk menukar frekuensi radio selepas memasuki ruang udara negeri lain adalah dengan berhenti di tepi jalan. Jangan bimbang, ia tidak akan mengambil masa yang lama kerana sistem itu mudah untuk dioperasi.

Bagi menambah ciri mewah dan premiumnya, telinga pemandu dan penumpang Lexus GS 350 F SPORT dihidangkan oleh kualiti bunyi sistem audio jenama Mark Levinson.

Dengan 17 unit pembesar suara dan ciri CD/DVD changer sehingga enam keping pada satu-satu masa, sistem audio itu juga boleh memainkan muzik dalam format MP3, WMA selain menawarkan sambungan AUX dan USB.

Sekarang, sudah faham kenapa saya kata sesiapa sahaja boleh memandu Lexus GS 350 F SPORT tanpa rasa jemu?.

Hyundai i20: Pengganti Hyundai Getz

Posted: 01 Jun 2012 07:00 PM PDT


ENJIN diesel 1.1 liter yang dipasang pada model kompak Hyundai mendahului pasaran dengan kadar emisi karbon paling rendah.


HYUNDAI i20 mungkin asing untuk kita. Masakan tidak, walaupun telah mula dijual sejak tahun 2008, namun model itu tidak pernah sampai ke Malaysia. Walau bagaimanapun, kita senasib dengan Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan kerana model itu juga tidak dipasarkan di sana.

Di kedua-dua buah negara tersebut, Hyundai Accent hatchback digunakan sebagai penutup vakum segmen model itu. Ingin saya kongsi bahawa i20 sebenarnya lebih dekat dengan kita. Ini kerana model itu sebenarnya adalah pengganti kepada Hyundai Getz.

Tidak dapat dipastikan kenapa i20 tidak dibawa masuk ke Malaysia. Sehingga kini, segmen itu masih dibiarkan kosong oleh Sime Darby selaku pengedarnya. Kalau diteliti, model itu merupakan pesaing yang agak bagus untuk model-model seangkatannya seperti Honda Jazz, Suzuki Swift atau mungkin juga Perodua Myvi Extreme.

Di Eropah, segmen kereta super-mini sebegitu memang lumayan. Maka tidak hairanlah jika i20 merupakan antara model penting untuk Hyundai. Sekiranya tidak dijual di negara kita pun apalah sangat jika dibandingkan dengan saiz pasaran sebuah negara Eropah.

Baru-baru ini, i20 baharu diperkenalkan di United Kingdom (UK). Ini merupakan satu lagi perkembangan Hyundai dalam portfolio produk mereka. Model itu menerima beberapa perubahan pada bahagian luara dan dalaman dengan opsyen enjin diesel kecil iaitu hanya bersesaran 1.1 liter.

Luaran kereta menerima perubahan kosmetik yang lebih kontemporari serta selari dengan varian i Hyundai. Pada bahagian kabin pula, material plastik yang lebih baik digunakan dan konsol tengahnya direka semula. Tempat duduknya juga menerima kemasan baharu.

Opsyen enjin

Antara opsyen rangkaian kuasa enjin yang ditawarkan ialah enjin baharu 1.1 liter, tiga silinder 'U-II' diesel berkuasa 75PS. Digabungkan dengan teknologi Blue Drive Hyundai, emisi karbon dioksida (CO2) hanya 84g/km. Ini sekali gus menjadikannya enjin diesel dengan emisi paling rendah dijual di pasaran.

Enjin tersebut dibangunkan jauh dari Korea Selatan iaitu di Pusat Kecemerlangan Diesel Hyundai yang merupakan sebahagian daripada fasiliti penyelidikan dan pembangunan Eropah Hyundai di Russelsheim, Jerman.

Enjin kecil itu ditawarkan bersama enjin 1.4 liter 'U-II' berkuasa 90PS dengan 96g/km CO2, juga dengan teknologi Blue Drive. Bagi mereka yang tidak gemarkan enjin diesel, Hyundai turut memberi dua opsyen enjin petrol iaitu 1.2 liter berkuasa 85PS dan 1.4 liter berkuasa 100PS.

i20 baharu boleh didapati dalam tiga kemasan iaitu Classic, Active dan Style. Varian Classic mempunyai peralatan standard. Antaranya, ialah enam beg udara, ESP dan buat pertama kali untuk model i20 iaitu Vehicle Stability Management (VSM).

Bagi varian Active pula, peralatan standard ekstra disediakan yang merangkumi roda aloi 15 inci, Bluetooth dengan ciri pengecaman suara, lampu kabus hadapan, stereng dan tombol gear dibalut kulit.


SEPERTI biasa, papan pemuka Hyundai nampak sibuk dengan pelbagai butang kawalan.


Varian Style, iaitu model dengan spesifikasi penuh dilihat lebih ekstra dengan lampu utama automatik, pengilap cermin depan dengan alat pengesan (sensor) hujan, kawalan suhu serta cermin pandang belakang dengan pemalap yang disatukan dengan kamera undur.

Lazimnya, ciri-ciri standard tersebut hanya boleh didapati pada kereta-kereta yang lebih besar dan mewah. Namun, seperti biasa taktik Hyundai adalah melambakkan semua peralatan tersebut di dalam kereta biasa demi mewujudkan pakej yang lebih nilai untuk wang.

Bagi pembeli yang mahukan lebih teknologi dan peralatan canggih, mereka boleh memesan Convenience Pack yang terdiri daripada sistem kemasukan tanpa kunci (keyless entry), butang START/STOP, pemegang pintu krom dan kluster penyeliaan.

Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Hyundai Motor UK, Tony Whitehorn menyatakan bahawa i20 baharu ialah sebuah lagi model dalam barisan produk dengan imej baharu Hyundai. Ia pasti dapat menarik perhatian pelanggan sedia ada. Di samping menjadi satu pilihan menarik untuk pembeli muda yang belum pernah menyenarai pendek Hyundai sebagai pilihan mereka.

"Model ini menerima pembaharuan pada ruang dalaman dan luarannya. Dengan spesifikasi yang begitu tinggi, ia bakal menarik perhatian pelanggan yang mahukan sesuatu yang bernilai untuk wang tanpa berkompromi dengan kualiti.

"Sebagai tambahan, i20 didatangkan dengan enjin diesel paling bersih dengan CO2 cuma 84g/km. Ini membuktikan usaha Hyundai dalam mengoptimumkan teknologi sedia ada untuk mengurangkan penggunaan minyak dan emisi pada barisan kereta Hyundai," kata Whitehorn.

Harga i20 tiga pintu varian Classic dengan enjin 1.2 petrol bermula daripada £P9,995 manakala varian tertingginya iaitu 1.4 CRDi Style berharga £14,295. Jika ditukar kepada kadar semasa harganya ialah kira-kira RM49,000 hingga RM70,000. Tiada masalah untuk diterima pasaran jika julat harga tersebut ditawarkan.

Walau bagaimanapun kita tidak tahu kerja belakang tabir dan mungkin banyak faktor lain yang menyebabkan model itu tidak dibawa masuk ke sini.

Abarth 695 Maserati Edition

Posted: 01 Jun 2012 07:00 PM PDT


JENTERA ini dipasang dengan rim Neptune bersaiz 17 inci dan tayar berprestasi tinggi.


JENTERA kompak mewah, Abarth 695 Maserati Edition (Edizione Maserati) akan ditawarkan pada harga £32,000 (RM157,607) seunit apabila ia dijual di pasaran United Kingdom (UK) menjelang akhir tahun ini.

Pengenalan Abarth 695 Maserati Edition dibuat berikutan kejayaan projek Abarth 695 Tributo Ferrari tiga tahun lalu. Kolaborasi dengan Maserati itu mengetengahkan keselesaan dan gaya elegan jentera Gran Turismo.

Abarth hanya menghasilkan 499 unit model tersebut yang dijana oleh unit enjin turbo 1.4 liter berkuasa 180bhp. Antara peralatan standard ialah material kulit Tramontano yang eksklusif.

Kereta itu menampilkan perincian gaya dan ciri teknikal khas yang dibangunkan oleh para jurutera Abarth untuk Maserati. Enjin 1.4 Turbo T-Jet 16v dipadankan bersama kotak gear manual Abarth Competizione yang dioperasi secara elektrik.

Kerangkanya juga telah dibina untuk disesuaikan dengan kuasa enjin. Sistem brek merangkumi brek dan angkup jenama Brembo. Sementara sistem suspensi pula menggunakan penyerap hentak Koni.

Restorasi jentera klasik Opel Manta

Posted: 01 Jun 2012 06:59 PM PDT



OPEL bukanlah pembuat kereta yang popular di Malaysia. Kereta apa yang mereka jual sekarang di pasaran tempatan? Ya, sudah tidak ada. Kalau tidak silap, kenderaan terakhir yang menggunakan lencana Opel ialah model Frontera.

Opel ialah sebuah syarikat yang diasaskan di Jerman dan memulakan bisnes mesin tenunan pada peringkat awalnya. Portfolio perniagaannya kemudian berkembang kepada penghasilan kereta. Kini, saham Opel dimonopoli sepenuhnya oleh pengeluar kereta berpengaruh dari Amerika Syarikat (AS), General Motors (GM).

Berapakah usia kereta itu? Tahun depan, genaplah umurnya 40 tahun. Boleh tahan juga tuanya kereta tersebut. Opel menamakan sedan itu sebagai Manta. Ketika ia mula-mula dikeluarkan pada tahun 1970 dahulu, saingan terdekatnya ialah Ford Capri. Rasa-rasanya, lebih ramai yang mengenali Capri berbanding Manta model A itu.

Pada hari ini, di tahun 2012 janganlah buat pasal hendak restore kereta sebegini secara suka-suka. Mendapatkan alat ganti untuk Manta bukan senang. Ini merupakan model versi 1.6 empat selinder OHV yang dipacu oleh kotak gear manual empat kelajuan. Kira lajulah masa zaman itu, lagipun beratnya tidak sampai satu tan pun. Kuasa enjinnya pada ketika itu adalah 75PS.

Tukar enjin

Pemiliknya, Fazli membeli kereta tersebut beberapa tahun lalu selepas terserempak dengannya yang sudah hampir menjadi seperti reban ayam. Kalau sudah peminat kereta lama, tengok tepi kereta pun boleh bayangkan apabila ia dicat, masuk enjin, pasang rim dan tahu akan jadi lawa.

Tanpa membuang masa, Fazli membelinya sebelum diperam di dalam bengkel. Lama juga masa yang diambil untuk membuat keputusan sama ada hendak melakukan proses overhaul enjin lama atau ambil jalan pintas dengan memasukkan sahaja enjin kereta Jepun.


WALAUPUN sudah berusia hampir 40 tahun, penampilan luaran Opel Manta masih menarik perhatian.


Akhirnya, keputusan yang diambil adalah untuk menggunakan enjin kereta Jepun. Antara sebab utama Fazli memilih enjin kereta Jepun adalah kerana susah hendak mendapatkan alat ganti enjin asli kereta itu.

Memasukkan enjin bukanlah kerja mudah. Namun, tugas itu masih mampu direalisasikan. Ini kerana enjin moden CA18DET (Nissan Silvia) memiliki ruang yang banyak untuk digantung dalam bay Manta. Setelah diukur dengan teliti, enjin tersebut berjaya dimasukkan tanpa sebarang kesan sampingan.

Kemudian, apa yang memeningkan kepala ialah pemacu belakang. Selepas membuat beberapa penyelidikan, maka gandar paling sesuai ialah gandar yang ada pada model Toyota AE86. Patutlah gandar belakang model yang turut dikenali sebagai Hashiroku itu semakin payah untuk dijumpai. Setelah siap dipasang, beberapa ujian pecutan dijalankan dan ternyata kereta itu boleh dipandu di atas jalan raya tanpa masalah.

Apabila kuasa enjin telah bertambah, maka proses modifikasi beralih ke bahagian lain. Perkara paling utama tentulah suspensi. Pertama, ia mestilah cukup rendah. Bagi merendahkan sebuah kereta lama yang barang aftermarket sudah tidak ada pastinya bukan kerja senang.

Suspensi hadapannya tidak lagi menggunakan sistem penyerap hentak Opel, sebaliknya digantikan dengan suspensi Nissan Silvia. Sementara suspensi roda belakang yang saya fikir menggunakan pegas gegelung jenis leaf turut direndahkan.

Sistem breknya mengaplikasikan formula yang hampir sama. Roda hadapan menggunakan sistem brek Nissan Silvia dan belakang, brek Toyota AE86. Untuk mengukuhkan lagi casis kereta, bar penstabil depan S13 dipasang.

Memilih rim yang sesuai bermula dengan penukaran hub keseluruhan roda. Memandangkan bahagian roda dan breknya menggunakan sistem daripada pengeluar kereta Jepun, maka roda PCD 114.3 itu amat mudah untuk dicari. Kereta itu menggunakan rim K-Speed 17 inci dengan tayar Nankang bersaiz 205/40. Bentuk badan kereta itu tirus, jadi rim 17 inci kelihatan cukup besar.

Sekarang, tengok bahagian dalamannya pula. Pertama sekali, bahagian lantai kereta dibalut dengan karpet baharu berwarna hitam yang memang merupakan tona wajib kereta klasik. Terkejut juga saya apabila melihat tempat duduk Sparco jadi-jadian kuning dengan tali pinggang keledar empat point tu. Sterengnya OMP jenis deep dish. Sementara papan pemuka dikerat separuh bagi memuatkan meter-meter Nissan Silvia. Bahagian-bahagian lain dibiarkan standard sahaja.


REKA bentuk bahagian belakang sebuah kereta sport zaman 1970-an yang masih kelihatan seksi.


Kalau melihat pada garis badan kereta itu memang tidak dapat dinafikan bahawa ia memang menarik perhatian untuk sebuah kereta klasik. Reka bentuk coupe kereta itu yang berjalur lembut dari hud depan ke belakang dan punggungnya yang 'labuh' memang tipikal untuk kereta-kereta sports pada eranya.

Jangan sesekali menambah kit yang tidak patut. Dalam kes Manta itu, Fazli hanya menambah lips kecil custom pada bahagian hadapan yang pada mulanya saya sangka ia standard dari kilang.

Kereta Lokal Untuk Global!

Posted: 01 Jun 2012 06:58 PM PDT


Menampilkan rekaan moden yang tidak dimakan usia.


PREVÉ bermaksud 'to envision' atau untuk membayangkan sesuatu pada masa depan. Justeru, Proton ingin menunjukkan kepada ramai bahawa model terbaharu itu adalah bukti kemampuannya untuk menghasilkan sebuah kereta dengan ciri-ciri global.

Maksud kedua pula, Proton ingin membayangkan kepada orang ramai, beginilah standard kenderaan Proton pada masa akan datang. Ia bukan sekadar produk, malah merangkumi standard perkhidmatan yang ditawarkan kepada pasaran.

Kiranya Prevé adalah suatu yang besar dan amat penting untuk Proton. Suka juga untuk saya kongsi, perkataan Sepanyol yang dipilih bukanlah sesuatu yang asing untuk Proton.

Contoh signifikan ialah Persona yang perkataan Inggeris itu sebenarnya berasal daripada bahasa Sepanyol! Lebih ironik, tiada maksud khusus Persona dalam bahasa Melayu. Apa yang ada adalah perkataan pesona yang bermaksud guna-guna, mantera, sihir dan fitnah. Mujurlah Proton menggunakan nama Persona, jika pesona yang dipilih pasti haru-biru jadinya.

Pada penghujung April lepas, saya berpeluang memandu uji Proton Prevé 1.6 CFE dari Cherating, Pahang ke Kuala Lumpur. Terus-terang saya katakan kereta dengan kos total projek RM540 juta itu mempunyai karakter berbeza dengan kereta buatan Jepun atau Korea Selatan.

Prevé 1.6 CFE terasa berat dan itu tidak bermakna lembap. Maksudnya kereta itu stabil pada kelajuan tinggi dan tidak terapung-apung. Rasa Prevé lebih kepada kereta buatan Eropah. Maka tidak hairanlah jika ada rebiu daripada media lain yang mendakwa mereka memandu jauh lebih tinggi daripada had kelajuan lebuh raya.

Output daripada enjin 1.6 turbo itu agak bertenaga. Padanan transmisi CVT tujuh kelajuan Protonic menjadikan jentera tersebut lancar ketika dipandu. Walau bagaimanapun, daripada maklum balas dalam dunia maya, ada yang mengatakan Prevé 1.6 CFE tidak seagresif Proton Exora Bold.

Iya, Prevé 1.6 CFE agak melahu dari kelajuan pegun. Namun itu hanyalah untuk beberapa saat sebelum prestasi sebenarnya menjelma di atas jalan. Menurut jurutera enjin Proton, karakter sebegitu memang sengaja dibuat untuk disesuaikan dengan rata-rata pemandu berkeluarga. Jika kereta bergerak secara menggelupur, itu namanya kereta drag dan bukan sedan keluarga.

Jika diperhatikan di atas jalan mahupun lebuh raya, ramai ketua keluarga yang memandu sedan mereka dengan laju. Menyedari hakikat itu, apa yang Proton buat adalah meningkatkan ciri-ciri keselamatan.

Hasilnya, Prevé dilengkapi dengan struktur kukuh hasil penggunaan Hot Press Forming (HPF) pada 12 bahagian kereta dan menamakannya sebagai Reinforced Safety Structure (RESS) sebagai ciri standard.

Bukan itu sahaja, Prevé 1.6 CFE turut dilengkapi empat beg udara, ABS, EBD dan tali pinggang praregangan. Satu ciri yang istimewa ialah ESC atau Electronic Stability Control sebagai bantuan pemandu untuk mengelakkan gelinciran sewaktu mengambil selekoh atau pun dalam keadaan jalan licin.

Harus tahu bahawa tidak semua pemandu sukakan ESC kerana berpendapat sistem itu hanya menutup kelemahan sebenar pemandu. Ada pemandu yang sukakan sedikit gelinciran pada selekoh supaya mereka tahu had pemanduan mereka.

Tetapi, jika anda tergolong dalam kategori niche itu, usah risau kerana sistem tersebut boleh dimatikan hanya dengan menekan butang. Biarpun begitu, ESC akan dihidupkan kembali secara automatik apabila kelajuan melebihi 160km/j dan dimatikan semula di bawah kelajuan tersebut.

Bab pemanduan dan pengendalian (R&H), Proton memang handal. Saya tidak pasti sama ada Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) yang terkenal kerana jalan yang berombak sudah dibaik pulih atau R&H Prevé memang betul-betul bagus. Sebabnya, saya tidak rasa kereta beralun-alun malah agak selesa.

Bagi yang sudah terbiasa dengan pengendalian tajam pula, mereka akan berasa Prevé sedikit 'loose'. Ia bukanlah suatu yang negatif kerana Preve dibina untuk pasaran massa dan bukan untuk kelompok pemandu terpencil.


PREVE menjadi taruhan Proton untuk mendapatkan kembali kepercayaan pengguna tempatan.


Dari segi estetik, ada yang jatuh cinta kepada Prevé 1.6 CFE dan tidak kurang yang memberi pelbagai komen pedas. Produk rekaan Proton|Design, jabatan yang bertanggung jawab mereka bentuk Prevé mengambil pendekatan rekaan tidak dimakan waktu.

Konsep rekaan tersebut terdapat pada model Proton lain seperti Waja dan Satria GTi. Maknanya, rekaan dua produk itu masih segar walaupun sudah lama dikeluarkan. Ada yang kata Prevé meniru kereta buatan Jepun, Korea Selatan dan Jerman.

Hakikatnya apa yang dibuat adalah mengikut trend bentuk kotak 2.5 (2.5 box), rupa tunggal (single face) dan sebagainya. Walaupun rekaan belakang Prevé menerima reaksi yang pelbagai, jika dilihat dari arah sisi kereta itu nampak seperti skulptur yang bergerak. Sewaktu berada dalam keadaan statik, Prevé nampak seperti sedang bergerak.

Kesimpulannya, jika disenaraikan peralatan serta ciri-ciri yang ada pada Prevé 1.6 CFE bolehlah dikatakan ia bernilai untuk wang. Ruang kabinnya luas dan bonetnya besar. Ditambah pula dengan kuasa dan ciri-ciri keselamatan yang ada, ia sangat sesuai untuk dijadikan kereta keluarga.

Cuma yang menjadi masalah ialah Proton sudah ada bukti yang mereka komited untuk menjadi lebih baik, namun tidak ramai percaya Prevé 1.6 CFE adalah suatu yang lain daripada Proton.

Apa boleh buat, kadang-kadang persepsi itu lebih penting daripada realiti. Proton perlu berusaha lebih keras untuk membuktikan kepada umum, mereka sememangnya komited sebagai peneraju industri automotif negara!

Azim terima kembali Proton Satria miliknya

Posted: 01 Jun 2012 06:58 PM PDT


AZIM (dua dari kiri) gembira apabila melihat hasil kerja Unit R3 Proton Motorsport ke atas kereta kesayangannya.


PEMENANG kelima peraduan My Proton Makeover, Amirul Azim Mohd. Hussain, 36, baru-baru ini ditemukan semula dengan kereta Proton Satria miliknya di Pusat Kecemerlangan Proton (COE) di Subang Jaya, Selangor.

Kereta hatchback yang dimiliki Amirul Azim sejak 11 tahun lalu sudah diberi talaan dan pembaharuan oleh Unit R3 Proton Motorsport yang diketuai oleh Ketua Juruteranya, Tengku Djan Ley Tengku Mahaleel.

Tengku Djan memberitahu, antara kerja-kerja baik pulih yang dilakukan adalah membabitkan bahagian enjin, pengendalian, pemasangan sistem brek cakera pada roda belakang, kit badan Satria GTI dan aksesori edisi terhad R3.

"Bahagian kabin menggunakan tema warna merah seperti yang terdapat pada model Satria Neo R3. Kami juga memasang satu set rim berukuran 15 inci yang sesuai dengan kuasa pecutan enjin 1.3 liter," kata Tengku Djan.

Maklumat lanjut mengenai peraduan My Proton Makeover boleh didapati menerusi laman web www.protonvip.com atau laman sosial www.facebook.com/ProtonCars.

Dua selebriti duta baharu Xes

Posted: 01 Jun 2012 06:51 PM PDT


JASON (kiri) menyampaikan sumbangan bernilai RM10,000 kepada Setiausaha Kehormat Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Selangor, Noor Yasmin Abdul Karim (kanan) sambil diiringi kanak-kanak dari rumah kebajikan tersebut.


MULA membuka pintu perniagaannya pada tahun 2002, ketika itu Xes hanya mempunyai 10 orang pekerja. Butik sepatu yang diusahakan oleh syarikat Shellys Marketing Sdn. Bhd. itu bagaimanapun, tidak memerlukan masa yang lama untuk menambat hati pencinta fesyen Malaysia.

Disebabkan itulah, selepas hampir 10 tahun di persada fesyen tanah air, syarikat tempatan itu berkembang pesat dengan mempunyai 90 rangkaian butik perniagaan di seluruh negara.

Pengarah eksekutif syarikat tersebut, Jason Tan memberitahu, selepas sedekad penubuhannya, kini jumlah kakitangan Xes sudah melebihi 400 orang.

"Kami akan terus menghasilkan kasut yang berkualiti dan selesa untuk dipakai oleh rakyat Malaysia. Setiap produk Xes juga menawarkan harga yang berpatutan dan ia mampu untuk dimiliki oleh segenap lapisan masyarakat," katanya.

Untuk terus melonjakkan lagi label Xes dalam industri fesyen, butik itu melantik dua duta baharu dalam satu majlis khas di ruang legar pusat beli-belah Festival City Mall, Taman Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur pada pertengahan Mei lalu.

Dua duta baharu yang diperkenalkan ternyata bukan calang-calang lantaran memiliki resume diri yang versatil dalam dunia kecantikan.

Merupakan pemenang Miss World Malaysia 2008 dan mewakili Malaysia di pertandingan Miss World di Afrika Selatan pada tahun itu, Soo Wincci diberi kepercayaan untuk memikul tugas sebagai duta Xes.

Tidak ketinggalan, dalam meneroka pasaran luar negara, seorang lagi duta yang terpilih ialah pemenang rancangan televisyen realiti Singapura, Anugerah 2011, Rahayu Ridwan.

Dengan tema Trendy Family Shoe Store, usaha Xes memperkenalkan Soo Wincci dan Rahayu sebagai duta terbaharu label tersebut merupakan salah satu kerjasama pihak Shellys Marketing dengan artis berbakat.

Syarikat itu juga berharap penglibatan artis baharu dengan jenama berkenaan dapat menonjolkan bakat mereka sekali gus membawa nama Xes selari dengan perkembangan aktiviti seni mereka.

Sumbangan amal Xes

SOO WINCCI (kiri) dan Rahayu dilantik sebagai duta bagi sepatu Xes.


Aturcara majlis itu berlangsung ringkas yang dimulakan dengan persembahan tarian oleh juara program realiti Showdown 2010, Wakaka Crew.

Sesi memperkenalkan duta menyaksikan Soo Wincci melangkah bergaya ke tengah pentas mendendangkan tiga buah lagu. Soo Wincci yang juga seorang penyanyi dan pelakon ternyata memukau orang ramai dengan lontaran vokalnya.

Semasa persembahan, Soo Wincci sudah semestinya mengenakan kasut jenama Xes sambil memuji keselesaan kasut tersebut yang memberikan kebebasan untuknya bergerak ketika beraksi di pentas.

Rahayu yang muncul selepas persembahan Soo Wincci turut berjaya menambat hati rakyat Malaysia menerusi persembahan nyanyian bertenaga, malah mengajak beberapa pengunjung menari bersamanya.

Pada majlis yang sama, Xes turut memberi sumbangan RM3,000 kepada Sheperd Center Malaysia dan RM10,000 kepada Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Selangor sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat.

Selain daripada sesi pengenalan duta produk, Xes turut mengadakan jualan murah produk keluaran syarikat tersebut dari 10 hingga 13 Mei lalu.

Pengunjung berpeluang membeli produk kasut keluaran Xes pada harga yang amat berpatutan.

Dengan pembelian sepasang kasut Xes, pengunjung juga dapat membeli pada harga RM1 bagi sepasang kasut yang kedua.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan