Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Misi Imam Muda 3
- Pertahan kubu
- Simpson dedah wajah anak
- Cabaran Daisy tawar hadiah RM65,000
- Lemang popular pada Hari Gawai
- Kempen Romney malu besar salah eja America
- Lelaki bunuh 5 orang tembak diri sendiri
- 14 juta hidangan untuk Sukan Olimpik London 2012
- Penduduk mogok harga petrol naik
- Anjing ada peguam, simpanan RM5,693
- Rekod bersejarah negara baharu
- Dari butik maya ke butik realiti
- Festival Menuai Sedunia warnai Bumi Kenyalang
- Warga emas belajar IT
| Posted: 31 May 2012 07:41 PM PDT ![]() KESEMUA 10 orang peserta program realiti Imam Muda 3 bersedia memulakan cabaran untuk merebut gelaran juara Imam Muda yang baharu. Sepanjang dua musim diterbitkan, program realiti Imam Muda yang mencungkil bakat dalam misi pencarian pendakwah muda telah menjadi sebuah program berbentuk keagamaan yang turut mendapat perhatian di peringkat antarabangsa. Setelah melahirkan Imam Muda Asyraf dan Hassan selaku juara pada musim pertama dan kedua, kali ini program tersebut kembali menemui peminat apabila 10 orang peserta bakal bersaing bagi merebut gelaran juara Imam Muda 3. Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar berkata, program tersebut semakin mendapat sambutan yang menggalakkan berdasarkan jumlah penyertaan yang diterima pada sesi uji bakat. "Pada musim ini, seramai 927 orang yang telah menyertai uji bakat pencarian Imam Muda 3 dan ia mencatatkan peningkatan sebanyak 32 peratus berbanding penyertaan musim lalu. "Selain itu, buat pertama kali Astro Oasis turut menjalankan uji bakat secara dalam talian. Menariknya, tiga peserta yang melakukan uji bakat secara dalam talian ini layak bersaing ke peringkat akhir," ujarnya dalam satu sidang akhbar baru-baru ini. Kesemua 10 calon yang bertanding ialah Mohammad Ramadhan Subky (Kuala Lumpur), 25, Fakhrulrazi Ibrahim (Pulau Pinang), 25, Omar Mohd. Mokhtar (Pahang), 21, Syed Mohd. Faris Syed Roslan (Perak), 26, Mohammad Hafiz Abdul Kadir (Kuala Lumpur), 27, Abdul Jabbar Mohammed Kahar (Selangor), 28, Megat Mohd. Zaid Megat Azmuddin (Perak), 26, Mohd. Azri Nami Mohd. Kamal (Johor), 21, Muhammad Nasir M. Yakub Ismail (Indonesia), 26, dan Abdul Rahman Naufal Mohd. Hatta (Johor), 21. Juara akan membawa pulang wang tunai RM100,000, manakala naib juara akan meraih RM35,000 dan peserta yang mendapat tempat ketiga pula membawa pulang RM15,000. Menurut Izelan, pembaharuan yang turut dilakukan untuk musim terbaharu ini adalah pelantikan Imam Muda Asyraf dan Hizbur sebagai murshid (mentor) dan akan dibantu oleh barisan naqib (tenaga pengajar) yang bertanggungjawab membimbing para peserta. Ujarnya, pihak Astro Oasis juga turut memperkenalkan konsep mentor-mentee yang bermakna setiap peserta yang bersaing akan dibimbing oleh seorang mentor yang terdiri daripada bekas peserta Imam Muda dua musim lalu. Peserta tunggal Jika pada musim lalu dua orang peserta luar negara iaitu dari Brunei dan Singapura bersaing dalam program Imam Muda 2, saingan kali ini menyaksikan hanya seorang peserta luar negara yang bertanding. Peserta tunggal tersebut ialah Muhammad Nasir M. Yakub Ismail atau lebih dikenali sebagai M. Nasir, seorang guru mengaji yang berasal dari Pengakalan Susu, Sumatera Utara, Indonesia. Menurut M. Nasir, dia langsung tidak menyangka dapat layak sehingga ke peringkat akhir dan akan menggunakan peluang yang diperoleh dengan sebaik-baiknya serta mahu mendapatkan lebih banyak pengalaman. "Apabila berjaya menyertai program ini, kemenangan bukanlah menjadi sasaran utama. Bagi saya, apa yang lebih penting setiap ilmu yang diperoleh itu akan digunakan sebaik-baiknya untuk melaksanakan kerja-kerja dakwah," ujarnya. Bakal memulakan siaran pada 1 Jun ini di Astro Oasis (saluran 106) setiap hari Jumaat pukul 9 malam, para penonton juga dapat menyaksikan program Imam Muda 3 di Astro Mustika HD (saluran 134). | |
| Posted: 31 May 2012 07:40 PM PDT
MEREKA tidak pernah menyangka diberi kebebasan bereksperimentasi dengan muzik dan bersaing dalam satu pentas yang sama. Program realiti Versus di TV9 menjadi platform kepada lima band hebat iaitu Hujan, Sofazr, 6ixth Sense, Black & Parallax dan Go Gerila! untuk mencabar diri mengubah muzik malar segar menjadi muzik baharu buat peminat Malaysia. Selama lapan minggu bertempur tanpa sebarang penyingkiran, malam ini adalah penentuan siapakah yang bakal dinobatkan sebagai juara program realiti Versus sekali gus membawa pulang wang tunai berjumlah RM200,000. Tepat pukul 9 malam di TV9, 6ixth Sense, Black & Parallax, Go Gerila!, Hujan dan Sofazr bakal mengegarkan Space U8, Shah Alam, Selangor dengan konfrontasi terakhir mereka. Jika setiap minggu mereka diberi cabaran untuk mengubah dua buah lagu lama menjadi baharu, tetapi untuk malam final, mereka diberi tugasan menggubah empat buah lagu yang bakal memicu adrenalin peminat Malaysia. Hujan mahu cuti Berdepan dengan cabaran yang getir, Dimas yang mewakili kumpulan Hujan mengakui terpaksa mengenepikan semua urusan lain untuk praktis dan mengubah empat buah lagu lama menjadi baharu pada malam final ini. "Memang mencabar dan tidak cukup masa. Selain fokus untuk Versus, kami juga sedang menyiapkan album baharu Hujan. Jika sebelum ini kami memperuntukkan empat atau lima hari untuk program ini dan selebihnya untuk album baharu Hujan, tetapi untuk malam final, kami terpaksa mengambil masa seminggu semata-mata menggubah empat buah lagu," ujarnya mengenai kumpulan Hujan yang bakal tampil dengan satu kejutan pada malam itu nanti. Hujan bakal membawakan sebuah lagu baharu iaitu Ke Selatan dan dua buah lagu medley iaitu Lamunan Terhenti serta Dan Bila Esok pada malam final. Tidak cukup dengan itu, Hujan dan juga empat kumpulan lain juga perlu bersedia dengan sebuah lagu untuk final battle Versus. Ditanya mengenai penampilan Hujan dengan muzik joget dalam persembahan sebelum ini, ungkap Dimas, kumpulan Hujan mahu peminat tahu sisi lain yang terdapat pada Hujan. "Kami menyertai Versus kerana ia merupakan platform yang bagus untuk kami muncul mengadakan persembahan buat peminat setiap minggu di kaca TV. Bukan itu sahaja, kami juga mahu peminat tahu sisi lain yang terdapat pada Hujan yang mereka tidak tahu selama ini. "Hujan juga teruja berkongsi pentas yang sama dengan empat kumpulan hebat lain untuk mengubah lagu," ujarnya ketika ditemui di Hardware Cafe, Space U8. Mengakui peluang kemenangan boleh berpihak kepada salah sebuah daripada lima kumpulan yang bertanding, tutur Dimas, paling utama Hujan berharap dapat terpilih untuk membuat persembahan pada battle final nanti. "Memang kami berharap untuk menang, tetapi semua kumpulan ada peluang kerana masing-masing ada kelebihan. Cuma, Hujan paling berharap dapat pergi sampai ke battle terakhir," jelasnya. ![]() Ditebak dengan soalan, jika menang, apa yang bakal mereka lakukan dengan duit sebanyak RM200,000, kongsi Dimas, paling utama mereka akan pergi bercuti, kerana sudah berhempas-pulas bekerja untuk Versus dan menyiapkan album baharu Hujan. "Ya, kami mahu bercuti. Dalam tahun ini sahaja, hidup kami begitu tertekan. Hujan bukan sahaja muncul dengan konsert akustik tetapi juga terlibat dengan Versus dan album baharu. Selain bercuti kami juga akan peruntukkan duit itu untuk studio rakaman dan perniagaan baju Hujan dalam talian," katanya lagi. Jika Hujan dengan agenda mereka, bagi band Go Gerila! pula, mereka belum menentukan sama ada bakal kekal dengan kumpulan Go Gerila! selepas tamat Versus. Go Gerila! tak gentar "Kami tidak buat keputusan lagi. Sebabnya, selepas ini saya dan Aizat ada projek muzik sendiri. Amir pula ada album solo, tetapi, Insya-Allah kalau tiada aral melintang mungkin Go Gerila! akan keluar dengan single dulu," ujar Anas yang merupakan mastermind dalam pembentukan semula lagu-lagu pertandingan pada setiap minggu. Berkongsi perasaan menyertai Versus, ujar Anas, Go Gerila! tidak menyangka mampu menarik peminat yang ramai meskipun mereka adalah kumpulan yang baru ditubuhkan semata-mata untuk menyertai pertandingan tersebut. "Sebelum ini kami tidak pernah berharap dapat masuk battle sebab tahu ia adalah 100 peratus daripada undian peminat. Tapi, tak sangka pula kami berjaya masuk battle sebanyak empat kali. Alhamdulliah, peminat dapat terima muzik yang Go Gerila! bawa dalam program ini," ujarnya. Mengakui idea menubuhkan Go Gerila! datang daripada dirinya, Anas memberitahu, mereka tidak gentar untuk bermain dengan muzik yang tidak pernah dicuba selama ini. "Kami mahu suntik sesuatu yang baharu untuk peminat muzik Malaysia. Versus memang merupakan platfom yang baik untuk kami memuntahkan semua kreativiti yang ada," jelasnya. Mengulas mengenai kemenangan pula, ujar Anas, jika Go Gerila! menang, mereka akan memperuntukkan duit kemenangan itu untuk pembinaan studio dan mungkin merancang perjalanan yang lebih jauh untuk kumpulan Go Gerila!. Eksperimen 6ixth Sense Bagi kumpulan 6ixth Sense pula, walaupun menyedari mempunyai peminat yang ramai, mereka tidak pernah meletakkan harapan boleh menang dalam pertandingan Versus. ![]() Akui ketua kumpulan 6ixth Sense, Adi, walaupun Go Gerila! kumpulan yang baharu mereka mampu memberi muzik yang begitu maju, berkualiti dan bagus. "Kami masuk Versus sebab kami suka bermain dengan pelbagai jenis muzik. Kalau ikutkan, kami mahu buat muzik yang variati untuk album 6ixth Sense, tetapi terpaksa akur dengan pengurusan yang mahukan kami buat sesuatu yang pendengar suka. Versus merupakan platform untuk kami bereksperimen dengan muzik," ujarnya mengenai 6ixth Sense yang bakal muncul dengan lagu baharu berjudul Hossi untuk malam final nanti. Keseimbangan Sofazr Bagi Zimi dari band Sofazr pula, dia mengakui, Sofazr pada mulanya agak gentar untuk bereksperimen dengan muzik dan terlalu berhati-hati dalam mengubah lagu lama menjadi lagu baharu. Malah, mereka terpaksa mengimbangi selera juri dengan selera peminat. "Juri mahu kami tampil dengan muzik yang lebih berbeza, manakala penonton juga mempunyai pandangan tersendiri. Mereka lebih suka mendengar muzik yang sedap. Kami cuba seimbangkan kehendak juri dan penonton. Sebab itu, dalam persembahan Sofazr setiap minggu ada bahagian-bahagian muzik yang kami tidak ubah demi peminat," ujarnya. Mengakui berada dalam tekanan lebih-lebih lagi untuk malam final, apa yang mampu dilakukan Sofazr adalah mereka akan tampil dengan kelainan dan memberi yang terbaik pada malam ini. "Kami sedar kami berada dalam kedudukan paling bawah dalam senarai undian peminat. Tetapi, kami berharap lagu baharu Sofazr iaitu Berakhir dan dua lagu medley iaitu Basikal Tua daripada Allahyarham Sudirman dan Inilah Nasibku daripada kumpulan Nico dapat memuaskan hati juri dan peminat pada malam nanti," katanya yang berharap untuk muncul sebagai juara. Jika Sofazr pernah muncul dua kali dalam persembahan battle, Black & Parallax pula sekadar mampu membuat persembahan battle sekali sahaja. Ujian Black & Parallax Menurut Taja yang merupakan 'kepala' kumpulan Black & Parallax, dia mengakui berasa sedikit kecewa kerana berpeluang hanya sekali sahaja muncul dalam persembahan battle. ![]() Sedar setiap persembahan battle yang dipilih adalah menerusi undian peminat, jelas Taja, mungkin persembahan yang ditonjolkan Black & Parallax tidak cukup padu bagi peminat. "Memang ada rasa kecewa sebab battle ini penting untuk kami sebagai kumpulan muzik membuktikan tahap kreativiti kami mengubah muzik sampai ke tahap mana. Tetapi, kami juga bersyukur kerana dapat menyertai battle sekali pada minggu ketiga dan menang menentang kumpulan 6ixth Sense pada malam itu," jelasnya. Bakal muncul dengan lagu baharu yang tajuknya masih lagi dalam perbincangan untuk final Versus, Taja memberitahu, lagu tersebut merupakan lagu yang benar-benar akan menguji tahap vokal Black. Malah, lagu itu lebih sukar dinyanyikan daripada lagu Drama King yang pernah Black bawa sebelum ini. "Selain itu, Black & Parallax juga akan menyanyikan dua lagu medley iaitu Sekadar Di Pinggiran dan Merisik Khabar," ujarnya. Menyentuh tentang perjalanan karier kumpulan itu selepas tamat Versus, ujar Taja, mereka belum membuat sebarang keputusan sama ada Black dan Meet Uncle Hussien (MUH) akan bersatu atau tidak. "Kami adalah dua entiti yang berbeza. Baik Black mahupun MUH masih lagi tidak buat keputusan untuk bersatu sebagai Black & Parallax selepas tamat Versus. Memang ramai peminat mahu lihat kami bersatu. Kemungkinan, kami cuma akan buat projek khas Black & Parallax sahaja," ujarnya lagi. | |
| Posted: 31 May 2012 07:37 PM PDT
JESSICA SIMPSON baru melahirkan anak pertamanya sekitar sebulan yang lalu. Namun, selama sebulan selepas dilahirkan, penyanyi itu tidak mendedahkan wajah anaknya yang diberi nama Maxwell Drew Johnson kepada umum. Namun, Simpson akhirnya mendedahkan wajah anaknya menerusi kulit muka depan majalah People sebagai perjanjian eksklusif beliau dengan majalah tersebut yang dilaporkan bernilai lebih RM5 juta. Simpson yang kini bertukar kerjaya sebagai seorang pereka busana dilihat mendokong Maxwell dalam sesi fotografi tersebut. | |
| Cabaran Daisy tawar hadiah RM65,000 Posted: 31 May 2012 07:36 PM PDT ![]() CHEF LIZA (tengah), Stella (kiri), Baharom (dua dari kanan) bersama wakil penaja Pang Tieh Yee (dua dari kiri) dan Lo Wye Kan (kanan) pada majlis pelancaran Cabaran Daisy Sehebat Chef 2012 di Kuala Lumpur semalam. KUALA LUMPUR - Pertandingan mencipta kek dan biskut Cabaran Daisy Sehebat Chef 2012 dengan kerjasama akhbar Kosmo! kembali menemui pembaca dan peminat dunia masakan dengan tawaran hadiah yang lebih lumayan. Pemenang-pemenang bakal memenangi hadiah berupa wang tunai serta barangan Corningware dan Corelle yang keseluruhannya bernilai RM65,000. Pengurus Pengiklanan Utusan Media Sales, Stella Abdullah berkata, peserta yang menjuarai peringkat akhir pertandingan bagi kategori kek dan biskut akan memenangi hadiah wang tunai RM5,000 serta barangan Corningware dan Corelle bernilai RM5,000. "Naib juara pula bakal meraih RM3,000 serta barangan Corningware dan Corelle bernilai RM3,000 manakala pemenang tempat ketiga bakal membawa pulang hadiah wang tunai serta barangan Corningware dan Corelle yang masing-masing bernilai RM2,000. "Tiga penerima hadiah sagu hati juga berpeluang memenangi hadiah wang tunai RM500 serta hadiah barangan Corningware dan Corelle bernilai RM500," katanya pada majlis pelancaran Cabaran Daisy Sehebat Chef 2012 di Akademi Chef Liza di Jalan Ipoh di sini semalam. Turut hadir Pengarang Kosmo!, Baharom Mahusin; Pengurus Besar Bahagian Pemasaran Makanan Lam Soon Edible Oils Sdn. Bhd., Lo Wye Kan; Pengurus Produk Bahagian Makanan Lam Soon, Cecilia Lee dan Pengurus Besar Perwira Nadi Trading Sdn. Bhd., Pang Tieh Yee. | |
| Lemang popular pada Hari Gawai Posted: 31 May 2012 07:35 PM PDT
KUCHING - Kebiasaannya lemang dikaitkan sebagai makanan popular orang Melayu terutama apabila tiba hari kebesaran seperti Hari Raya atau dijadikan hidangan pada majlis-majlis tertentu. Namun, lemang atau Pogang dalam bahasa Bidayuh turut menjadi hidangan popular pada sambutan Hari Gawai di Sarawak yang disambut selama dua hari bermula hari ini. Seorang peniaga lemang dari Kampung Grogo, Bau dekat sini, Laiyah Ajin, 50, memberitahu, lemang Sarawak telah lama menjadi hidangan popular setiap kali Hari Gawai tiba. "Tidak ada bezanya dengan lemang masyarakat Melayu dan ia sudah menjadi hidangan yang mesti ada setiap kali tiba Hari Gawai," katanya kepada Kosmo! di sini semalam. | |
| Kempen Romney malu besar salah eja America Posted: 31 May 2012 07:34 PM PDT ![]() APLIKASI 'With Mitt' untuk telefon pintar iPhone yang tersalah eja perkataan 'America' menjadi 'Amercia'. WASHINGTON, Amerika Syarikat (AS) - White House berharap calon presiden AS yang akan mewakili Parti Republikan, Mitt Romney lebih berhati-hati menggunakan slogan kempennya. Ia ekoran satu aplikasi untuk telefon pintar iPhone, 'With Mitt' yang diperkenalkan oleh pasukan kempen Romney membuat kesalahan ejaan yang serius. Masalah timbul apabila salah satu slogan itu mempunyai kesilapan bodoh dengan ucapan "A Better Amercia" dan bukannya "A Better America". Kesalahan ejaan tersebut kemudian tersebar di laman sosial Twitter lewat Selasa lalu dan orang ramai mula mengejek dengan menunjukkan mesej 'Amercia'. "Beberapa orang pereka aplikasi itu akan diikat di dalam sebuah sangkar, diletakkan di atas bumbung kereta dan diarak ke seluruh negara malam ini," kata seorang pengguna Twitter. Aplikasi 'With Mitt' turut dipromosikan di laman web rasmi kempen Romney di mittromney.com. "Kesilapan berlaku. Saya tidak fikir para pengundi peduli dengan kesalahan ejaan seperti itu," kata jurucakap kempen Romney, Andrea Saul kepada stesen televisyen MSNBC. Tambahnya, versi kemaskini aplikasi itu telah dihantar kepada Apple Inc bagi membetulkan ejaan tersebut. | |
| Lelaki bunuh 5 orang tembak diri sendiri Posted: 31 May 2012 07:33 PM PDT
SEATTLE, Amerika Syarikat (AS) – Seorang lelaki bersenjata membunuh lima orang dalam satu insiden tembakan di bandar raya ini kelmarin. Lelaki berkenaan menembak mati empat orang di sebuah kafe di sini, sementara seorang lagi mangsa dalam satu kejadian rampasan kereta. Dia kemudian menembak dirinya sendiri selepas dikepung oleh pasukan polis. Seorang jurucakap hospital, Susan Gregg berkata, suspek meninggal dunia di Pusat Perubatan Harborview lewat kelmarin. Polis yang melancarkan operasi memburu suspek di sekitar kafe berkenaan, dekat Universiti Washington, bergegas ke lokasi kejadian selepas mereka dikejutkan dengan satu lagi kejadian tembakan. Polis berkata, seorang lelaki membunuh seorang wanita yang menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan merampas kereta mangsa. Menurut polis, mereka percaya lelaki yang sama bertanggungjawab melakukan kedua-dua serangan kejam itu. "Ketika itu, kami yakin akan dapat menangkap suspek," kata Timbalan Ketua Polis Seattle, Nick Metz. Menurutnya, suspek memandu SUV berkenaan ke bahagian barat Seattle, sebelum meninggalkan kenderaan tersebut. Selepas polis menemui kenderaan curi itu, mereka mengadakan operasi besar-besaran untuk memburu suspek di sekitar lokasi berkenaan. Suspek yang ditemui tidak lama kemudian bertindak mengacukan sepucuk pistol dan melepaskan tembakan pada kepalanya. Akhbar Seattle Times melaporkan bahawa suspek ialah penduduk tempatan yang dikenali sebagai Ian Lee Stawicki, 40, berdasarkan sumber pihak berkuasa. Seorang lelaki, Andrew Stawicki, 29, memberitahu akhbar tempatan, Times bahawa penyerang tersebut ialah abangnya, Ian yang mengalami sakit mental. "Saya tidak terkejut dengan kejadian ini. Kami sekeluarga sudah menjangka perkara seperti ini akan berlaku. Perkara tidak baik akan berlaku apabila diri anda penuh dengan kemarahan," kata Andrew. | |
| 14 juta hidangan untuk Sukan Olimpik London 2012 Posted: 31 May 2012 07:32 PM PDT ![]() SUKAN Olimpik London 2012 bakal membawa rezeki melimpah ruah kepada peniaga makanan terutama di London. LONDON - Pihak penganjur Sukan Olimpik kelmarin mengumumkan rancangan menyediakan sejumlah 14 juta hidangan makanan semasa Sukan Olimpik London 2012 sekali gus digelar operasi katering pada waktu aman terbesar di dunia. Menurut jawatankuasa penganjuran, Jawatankuasa penganjuran Sukan Olimpik London (LOCOG), pilihan makanan itu mencerminkan warisan, kepelbagaian produk dan resipi masyarakat Britain. Selain itu, ia juga memastikan menu-menu yang disediakan beretika dan mesra alam. Satu menu ringkas seperti pai dan kentang lenyek tradisional Britain serta sepinggan hidangan fish & chips masing-masing dijual pada harga AS$12.50 (RM39.78). Minuman bir akan dijual pada harga AS$6.50 (RM20.68), sebotol air mineral ditetapkan pada harga AS$2.50 (RM7.96) dan sebotol Coca-cola berharga AS$3.60 (RM11.46). Pihak penganjur menyatakan harga makanan dan minuman untuk sebuah keluarga yang terdiri daripada empat orang ditetapkan tidak lebih AS$62 (RM197). "Kami sedaya upaya cuba mencari kualiti terbaik dan makanan yang enak bagi meraikan Britain. "Kami percaya tawaran harga ini lebih berpatutan berbanding di temasya-temasya sukan besar lain," kata Ketua Eksekutif LOCOG, Paul Deighton. Menurut LOCOG, pelbagai hidangan asli seluruh dunia seperti dari Asia, Afrika, kepulauan Caribbean dan kawasan laut Mediterranean juga akan ditawarkan. Dalam pada itu, sejumlah 1.2 juta hidangan akan disediakan kepada para atlet di Perkampungan Olimpik. | |
| Penduduk mogok harga petrol naik Posted: 31 May 2012 07:32 PM PDT ![]() PENUMPANG menunggu di sebuah terminal bas yang kosong di Bangalore semasa mogok besar-besaran diadakan di India semalam. NEW DELHI - Bandar raya ini hampir lumpuh ekoran penduduknya mengadakan mogok untuk membantah kenaikan harga petrol di India. Protes tersebut yang dianjurkan oleh parti pembangkang dan beberapa kesatuan sekerja menyebabkan banyak premis perniagaan ditutup dan sistem pengangkutan awam turut tergendala. Jurucakap parti pembangkang, Parti Bharatiya Janata (BJP), Prakash Javdekar mendakwa mogok mereka telah berjaya apabila jutaan rakyat membantah kenaikan harga petrol. "Harga petrol kini melambung tinggi. Pemerintah pula seperti sedang tidur tetapi hari ini kita akan mengejutkan mereka," kata seorang pemilik kedai runcit di sini Ravikant Sahai. Harga petrol termasuk cukai naik AS$0.13 sen (RM0.41 sen) minggu lalu dengan bahan tersebut dijual pada harga sekitar 77.53 rupee (RM4.35) seliter di beberapa bandar raya utama di India. Pemerintah sebelum ini menyatakan, kenaikan tersebut tidak dapat dielakkan ekoran penurunan nilai mata wang rupee. | |
| Anjing ada peguam, simpanan RM5,693 Posted: 31 May 2012 07:31 PM PDT ![]() GAMBAR menunjukkan anjing bernama Blue di Albuquerque, New Mexico kelmarin. ALBUQUERQUE, Amerika Syarikat (AS) - Seekor anjing tidak bertuan di negeri New Mexico, memiliki simpanan bank sebanyak AS$1,800 (RM5,693), laman Facebook dan sebuah kandang anjing berhawa dingin. Sebuah akhbar AS melaporkan anjing jantan tersebut, Blue turut mempunyai seorang peguam yang berusaha supaya haiwan tersebut tidak diikat dan boleh terus berkeliaran di sebuah kawasan tasik di sini setelah ditinggalkan sedekad lalu. Majlis Perbandaran Albuquerque dijadualkan bertemu para penyokong Blue pada 13 Jun depan bagi menentukan nasib anjing tersebut. Pemilik bersama sebuah pasar raya di sini, Janice Conner berkata, kisah Blue bermula sekitar 10 tahun lalu. Anjing tersebut yang ditinggalkan di sini katanya, telah dipelihara oleh seorang individu sehingga 'tuannya' meninggal dunia dua tahun lalu. Selepas itu, Blue berkeliaran di pasar raya berkenaan dengan anjing tersebut diberi makan dan hidup bersama komuniti tempatan hingga musim bunga lalu apabila seorang wanita berusia 48 tahun dilaporkan mati digigit beberapa ekor anjing pitbull dekat pasar raya tersebut. Menurut Connor, seorang wanita telah membuat aduan bahawa Blue pernah menderam terhadapnya selepas insiden tersebut. Seorang peguam di sini Hilary Noskin, memberitahu, dia sedang berusaha supaya Blue dibenarkan tinggal berhampiran pasar raya tersebut tanpa diikat. "Anjing ini ialah klien kesayangan saya, Blue seekor anjing yang baik dan tidak ganas," katanya. Conner berkata, penduduk di sini mendermakan lebih AS$1,800 untuk kos perubatan dan perundangan Blue selain membina sebuah kandang lengkap dengan pendingin hawa dan alat pemanas untuk anjing tersebut. Menurutnya, dia juga mengumpulkan lebih 1,100 tandatangan sokongan terhadap Blue di akaun Facebook Bluedog EB-Mascot untuk anjing berkenaan. | |
| Rekod bersejarah negara baharu Posted: 31 May 2012 07:30 PM PDT
KEMERDEKAAN Sudan Selatan yang dikecapi pada bulan Julai tahun lalu merupakan hasil perjuangan melalui pemberontakan. Negara terbaharu di dunia itu masih menyimpan sejarahnya di dalam sebuah khemah. Khemah coklat yang usang itu terletak di tepi jalan di pekarangan pusat pentadbiran di Juba. Namun, kewujudannya tidak disedari oleh kebanyakan pemandu dan pejalan kaki yang melalui kawasan tersebut. Bau hapak yang terbit dari dalam khemah itu cukup melemaskan. Di situ tersimpan kertas-kertas, fail-fail, buku-buku dan pelbagai gambar yang sebahagiannya menjadi sarang anai-anai. Namun, koleksi kertas yang tidak bernilai di mata umum itu menyimpan sebahagian besar memori sejarah negara baharu di dunia yang merentasi Nil Putih dan paya Sudd. Segala dokumen kelihatan bersepah di atas lantai konkrit dan meja, manakala sebahagiannya terkeluar daripada karung guni. Dokumen-dokumen dalam khemah tersebut merupakan rekod-rekod yang wujud sejak awal tahun 1900 ketika Sudan dan bahagian selatannya di tadbir Inggeris dan Mesir. Kertas-kertas yang terperuk di bawah kanvas selama beberapa tahun sejak perjanjian damai Utara-Selatan 2005 itu terselamat daripada kebakaran, peperangan dan cuaca. Ia akan menjadi teras kepada Arkib Sudan Selatan apabila dokumen-dokumen tersebut diselamatkan. Khabarnya, ia akan ditempatkan di bangunan baharu yang dijanjikan oleh Norway sebagai hadiah kemerdekaan negara tersebut. Inspektor Kanan Muzium dan Monumen, Kementerian Kebudayaan dan Warisan Sudan Selatan, Youssef Fulgensio Onyalla, 48, memberitahu, tidak akan ada sebuah negara tanpa sejarah. Onyalla terpaksa 'mengejar' masa dan anai-anai bagi memelihara dan memulihara arkib tersebut. "Syukur kepada Tuhan kerana memberi peluang kepada kami menghidupkan arkib ini," kata pemegang ijazah dalam bidang arkeologi di Lebanese-American University di Beirut, Lebanon sebelum kembali ke tanah kelahirannya. ![]() Negara baharu Arkib Negara merupakan sebahagian daripada projek pilihan yang masih pada peringkat awal. Penubuhannya bertujuan melengkapkan institusi warisan budaya seperti Muzium Negara, Perpustakaan Negara, Pusat Kebudayaan dan Teater Negara. Ia mungkin dianggap mustahil dengan kelahiran sebuah negara Afrika baharu yang mempunyai lebih daripada lapan juta penduduk walaupun mempunyai sumber minyak yang kurang membangun. Pada masa yang sama, lebih 70 peratus populasi penduduknya buta huruf. "Anda tidak boleh menguatkan sesebuah negara tanpa mengukuhkan minda dan hati rakyat," kata Setiausaha Rendah Budaya, Jok Madut Jok yang merupakan seorang intelektual paling dihormati di negara itu. Bagi menjalin kesedaran kebangsaan di Sudan Selatan, ada cabaran kecil yang perlu dilalui seperti permusuhan etnik kerana perebutan lembu, air dan hak padang ragut. Ia diburukkan lagi dengan perang saudara yang mencetus dan meledakkan pertumpahan darah. "Ia akan mengambil masa satu generasi untuk pulih, negara tidak dilahirkan tetapi ia dibentuk," kata Jok yang mempunyai Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Antropologi dari University of California, Los Angeles (UCLA). Semangat patriotik yang tinggi dapat dilihat dalam kalangan rakyat di Juba. Kemerdekaan yang dikecapi merupakan hasil perjuangan kemerdekaan sejak tahun 1963. Namun, ada harga yang perlu dibayar. Bagi memperjuangkan kemerdekaan tersebut, lebih dua juta orang terkorban. "Cabarannya adalah untuk berubah menjadi bangsa sesebuah negara bangsa dan bukannya seorang warganegara kumpulan etnik. Kebanyakan orang setia kepada kumpulan etnik mereka," ujar Jok. Juba dipenuhi dengan orang Kenya, Uganda dan rakyat dari negara-negara jiran yang lain tetapi kebanyakannya merupakan penduduk tempatan. Apabila ditanya berasal dari mana, dengan bangganya mereka menjawab: "Saya dari Sudan Selatan". Bagaimanapun ramai yang akan melalui kesulitan untuk menyanyikan lagu kebangsaan baharu dalam bahasa Inggeris. Setiap ucapan pasti diselitkan dengan cerita pertumpahan darah pejuang perang yang terkorban dan potret lelaki berjambang, hero kemerdekaan, Dr. John Garang. Beliau merupakan pahlawan Dinka yang juga pengasas Pergerakan Pembebasan Rakyat Sudan (SPLM). Wajahnya terpampang di dinding-dinding di kebanyakan pejabat kerajaan. ![]() Wajahnya juga menghiasi wang kertas Sudan Selatan yang baharu. "Apa yang menyatukan Sudan Selatan ialah kemerdekaan yang mereka kecapi, tetapi apa yang berlaku sebelum ini akan tetap berulang selepas ini," kata Pakar Program Budaya, Elke Selter yang berkhidmat dengan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di Sudan Selatan. Salah Khaled, Ketua Pejabat UNESCO Sudan Selatan percaya, dengan menembusi sesuatu tradisi budaya seperti pengkebumian dan perkahwinan serta sejarah lisan merupakan salah satu cara mencari ciri-ciri umum dan adat resam dalam kalangan rakyat berbilang kaum di sesebuah negara. "Kita perlu mencari titik persamaan antara mereka," kata Khaled. Sebagai salah satu cara untuk mewujudkan satu identiti kolektif, Jok telah merangka idea mempamerkan perjalanan artifak budaya seperti memasak, peralatan ladang, senjata dan alat-alat muzik. Rekod bersejarah "Ia umpama embrio di muzium negara. Anda letakkan semua benda bersama dan berkata, 'peralatan ini mereka gunakan untuk'. Dari situ orang bukan sahaja akan melihat persamaan tetapi juga kepelbagaian," kata Jok. Walaupun keadaan panas terik boleh menjejaskan khemah arkib, pemeriksaan sepintas lalu menunjukkan kekayaan rekod bersejarah di situ umpama lombong emas mempunyai potensi untuk rujukan sejarawan, penyelidik, pelajar dan pelancong. Sejumlah besar dokumen dalam khemah tersebut merujuk pada tahun 1970-an iaitu tempoh Sudan Selatan ditadbir oleh Majlis Tinggi Eksekutif ketika pemerintahan Presiden Jaafar Nimeiri di Khartoum. ![]() LONGGOKAN dokumen yang tersimpan di bawah khemah ini umpama lombong emas yang berpotensi menjadi bahan rujukan utama mengenai Sudan Selatan. Lukisan potret Nimeiri yang berdebu tersandar di atas meja di tengah-tengah khemah. Gambar-gambar rasmi hitam putih yang pudar berselerak menunjukkan kunjungan kerabat diraja termasuk mendiang Maharaja Habsyah, Haile Selassie dan Puteri Britain, Puteri Anne. Di sebalik timbunan pelbagai dokumen, terdapat beberapa dokumen sensitif. Dokumen tersebut ialah fail-fail yang menyimpan maklumat operasi tentera Sudan di Selatan ketika berlakunya perang saudara selama bertahun-tahun, peta dan risalah mengenai deposit minyak serta mineral. Semuanya menjadi bukti penting dalam pertikaian berterusan antara Sudan Selatan dan Utara mengenai sempadan dan pihak yang lebih berkuasa untuk mentadbir minyak. Satu pertiga daripada arkib tersebut telah pun dipindahkan melalui inisiatif yang disokong oleh Norway dan AS. Kedutaan AS menyediakan dana untuk membekalkan fail kadbod arkib dan pengimbas elektronik bagi membolehkan proses penyalinan dokumen. Namun, terdapat keperluan mendesak bagi mendapatkan lebih banyak wang. Sungguhpun begitu, keadaan menjadi sukar apabila bantuan belanjawan dikurangkan dan kerajaan Sudan Selatan perlu mengeluarkan wang bagi pembiayaan infrastruktur, kesihatan, pendidikan dan pertahanan. | |
| Dari butik maya ke butik realiti Posted: 31 May 2012 07:29 PM PDT
MERANGKAK, bertatih, berjalan dan barulah berlari. Demikian gambaran realiti mengenai kelahiran Sugarscarf pada mata wanita yang tidak lokek dengan senyuman ini. Jika dahulu, tidak ramai mengenali nama Sugarscarf yang merupakan kedai dalam talian menjual pelbagai jenis tudung dan selendang, kini ia mempunyai kelompok peminat tersendiri. Sebut sahaja Sugarscarf, kebanyakan wanita yang gemarkan gaya segar berhijab mengetahuinya, malah ada antara mereka akan mengunjungi laman Sugarscarf setiap minggu untuk melihat koleksi terbaharu yang ditawarkan. Perniagaan dalam talian yang pada mulanya dikendalikan secara suka-suka oleh Nur Atiqah Sulaiman, 27, ketika masih menuntut di Universiti Multimedia, Cyberjaya sudah membuahkan hasil yang membanggakan. Kini, dia yang lebih senang dipanggil Eyqa boleh tersenyum puas kerana kewujudan Sugarscarf bukan sebuah butik dalam alam maya sahaja, malah dia telah melunaskan impiannya membuka sebuah butik di dunia realiti. "Untuk merealisasikan hasrat membuka butik ini bukan sesuatu yang boleh dilakukan semberono kerana ia memerlukan perancangan yang teliti. "Mengikut perancangan asal, Eyqa mahu membuka butik Sugarscarf ini pada bulan Januari 2011, namun memandangkan banyak perkara yang lebih utama perlu diselesaikan, maka ia hanya dapat dibuka pada 11 Januari lalu," katanya. Eyqa yang memulakan perniagaan tersebut bersama rakan kongsinya, Muhammad Zulkarnaen Mohd. Ali yang kini sudah secara rasmi menjadi teman hidupnya tanggal 9 September tahun lalu tekad mengambil risiko membuka butik tanpa sebarang pinjaman daripada pihak bank. Berbekalkan modal sendiri hasil keuntungan perniagaan dalam talian, akhirnya pasangan suami isteri itu membeli sebuah premis di alamat 12A, Jalan Plumbum Q7/Q, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan. "Hasrat untuk membuka butik Sugarscarf ini adalah untuk menambahkan keuntungan. "Mengikut perancangan asal, motif utama pembelian premis ini hanya untuk bilik pameran dan pejabat tetapi impaknya mengagumkan kerana ramai pelanggan yang datang ke sini untuk membuat pembelian," ujarnya. ![]() RUANG butik yang luas membolehkan para pelanggan membeli-belah dengan selesa dan berpeluang mencuba tudung yang berkenan di hati. Alternatif pembelian di butik Walaupun sudah membuka butik, namun Eyqa menyifatkan perniagaan utamanya masih bertumpu pada perniagaan dalam talian yang mempunyai pelanggannya sendiri. "Kebanyakan pelanggan yang datang ke butik ini tidak mengetahui bahawa kami menjual produk Sugarscarf dalam talian. "Buat masa ini, sambutan sangat memuaskan hingga ada pelanggan yang sanggup datang dari Terengganu untuk mengunjungi butik ini," katanya yang bercadang membuat pinjaman pada masa akan datang untuk meluaskan perniagaannya dengan membuka beberapa cawangan butik di Kuala Lumpur, Johor dan Melaka. Sebanyak RM60,000 dilaburkan untuk proses pengubahsuaian premis, sistem pos dan kelengkapan kamera litar tertutup (CCTV). "Hiasan dalaman premis ini merupakan idea Zul sendiri dengan bantuan daripada rakan-rakannya arkiteknya yang bertanggungjawab terhadap reka bentuk premis. "Dengan bantuan rakan-rakan, butik yang menggabungkan elemen moden, santai, elegan dan selesa ini dapat direalisasikan," jelasnya. Menurut Zul, pada asalnya, dia dan Eyqa merancang untuk membuka butik di Bangi, tetapi melihat dominasi pelanggan lebih kepada kawasan Shah Alam, perancangan pun bertukar. "Kebanyakan pelanggan kami terdiri daripada wanita berkerjaya yang banyak membeli produk seperti tudung dan selendang, manakala golongan remaja pula lebih kepada pilihan busana yang menampilkan fesyen-fesyen terkini. "Uniknya, produk yang dijual dalam talian dan butik tidak sama. Ada yang dijual dalam talian tidak dijual di butik dan sebaliknya," celah Zul. Zul memberitahu, sebelum produk-produk dijual dalam talian, ia akan dijual seminggu lebih awal di butik. Walaupun Zul dan Eyqa sudah bergelar 'tauke' butik Sugarscarf, istilah goyang kaki tidak pernah terpahat dalam diari harian mereka. "Memang tidak menang tangan untuk menguruskan kedua-dua butik ini dan kami ingin mencari pekerja tetap yang sanggup memberikan komitmen untuk membantu kami. "Kami memerlukan empat orang pekerja untuk menguruskan butik ini dan membantu dalam proses pembungkusan pesanan," ujarnya. Busana Sugarscarf Tidak hanya mempertaruhkan variasi tudung untuk jualan, Sugarscarf juga tampil dengan rangkaian baju dan seluar hasil rekaan pasangan suami isteri ini sendiri. ![]() TUDUNG yang dijual di Sugarscarf bermula dari harga RM18 hingga RM89 sehelai. Setiap rekaan dilahirkan melalui hasil rujukan laman-laman web dan pertunjukan fesyen dengan mengambil idea kemudian diberikan nafas baharu. Ditanya mengenai keunikan yang ada pada butik Sugarscarf berbanding butik-butik menjual tudung yang lain, Eyqa memberitahu, Sugarscarf menawarkan pelbagai pilihan tudung bercorak yang jarang didapati di tempat lain. "Butik Sugarscarf menjual tudung yang coraknya terhad dan akan menawarkan pelbagai corak berlainan setiap minggu. "Pemilihan fabrik dilakukan sendiri dan begitu juga dengan rekaan tudung. Kita tidak akan mengambil stok yang sama untuk tudung," kata Eyqa sambil memberitahu ada pihak luar yang meniru produk Sugarscarf. Mahu memberikan banyak pilihan kepada para pelanggan, pasangan suami isteri itu terpaksa memerah idea untuk rekaan terbaharu. Dalam tempoh seminggu mereka biasanya tampil dengan dua hingga tiga idea baharu dan setiap minggu pasti ada tudung baharu yang dikeluarkan. "Sungguhpun memerah idea setiap minggu, namun tidak semua idea tersebut 'wow'. Dalam sebulan mungkin dua idea yang mendapat sambutan yang hangat dan menggalakkan. "Sebanyak 30 rekaan tudung bercorak akan ditawarkan kepada pelanggan setiap minggu dan kami perlu mencari material baharu dua bulan sekali," ujarnya yang memberikan suntikan kontemporari pada rekaan busana supaya dapat digayakan oleh wanita semua peringkat umur. Tudung-tudung Sugarscarf dijual bermula pada harga RM18 hingga RM89 iaitu di bawah RM100, manakala koleksi busana pula dijual bermula dengan harga RM55 hingga RM200. Bagi penjualan dalam talian, Eyqa akan membuat kemas kini pada setiap Isnin atau Selasa dan bagi menjimatkan kos, model serta jurufoto menggunakan khidmat rakan-rakan dan adakalanya Eyqa sendiri yang akan menjadi modelnya. ![]() SELENDANG panjang yang dijual di butik Sugarscarf mempunyai reka corak yang unik serta warna-warna menarik sesuai digayakan oleh anak remaja. Melihatkan perniagaannya semakin menunjukkan perkembangan yang positif, Eyqa dan Zul mengendalikan perniagaan tersebut sepenuh masa. Tudung-tudung jenama Sugarscarf juga pernah dipakai oleh beberapa pelakon dalam beberapa siri drama antaranya Tentang Dhia, Pelangi Kasih dan Suria Di Cordoba. Butik Sugarscarf dibuka pada hari Selasa hingga Ahad bermula pukul 11.30 pagi hingga 8.30 malam. Mereka yang berminat menjamu mata melihat pelbagai koleksi tudung, boleh layari laman web http://www.sugarscarfbyriqa.com atau http://www.facebook.com/sugarscarf. | |
| Festival Menuai Sedunia warnai Bumi Kenyalang Posted: 31 May 2012 07:28 PM PDT ![]() ORANG ramai tidak melepaskan peluang bergambar di studio mini Kosmo!. KEMERIAHAN sambutan Festival Menuai Sedunia (WHF) 2012 yang berlangsung di Kampung Budaya Sarawak (SCV) melabuhkan tirai dengan mencatatkan memori manis kepada para pengunjung dan pelancong yang berkunjung ke festival itu. Lebih 10,000 pengunjung hadir ke SCV yang menjadi lokasi utama pelbagai aktiviti sempena sambutan Hari Gawai yang disambut di Sarawak pada 1 Jun setiap tahun. Kali ini, pengunjung berpeluang menyaksikan pertandingan Badang yang menampilkan 13 orang lelaki perkasa beradu kekuatan dan kehebatan masing-masing dalam cabaran mendaki gunung, mengupas kelapa dan menarik kereta. Sepanjang festival tersebut, orang ramai dihiburkan dengan persembahan kebudayaan daripada kumpulan Sanggar Giring-Giring Bamboo yang dibawa khas dari Indonesia, tarian istimewa daripada masyarakat Orang Asli Mah Meri dari Pulau Carey, Klang, Selangor dan persembahan daripada Kumpulan Budaya Sungai Asap. Selain itu, acara menarik yang dihidangkan kepada orang ramai ialah sesi bermain dram Ledam Ledum, persembahan drama tari, konsert muzikal etnik Kaban Ka'au, festival kraf dan makanan istimewa orang Dayak. ![]() FINALIS Ratu Menuai Sedunia cukup manis dalam busana tradisi kaum Iban ketika sesi menguji minda. Acara kemuncak pada hari tersebut ialah pengumuman Miss WHF 2012 yang menobatkan gadis berketurunan Kayan dan Iban, Magrina Awing George, 19, sebagai juara. Magrina Awing berjaya mengalahkan 13 finalis lain. Lebih istimewa, pada pertandingan Miss WHF 2012 ialah kemunculan Ratu Cantik Malaysia Dunia 2010/11, Nadia Heng Min Dern yang diterbangkan khas dari Kuala Lumpur sebagai salah seorang juri. Majlis penutup WHF 2012, disempurnakan oleh Menteri Pelancongan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg. Turut serta ialah isteri Abang Johari, Datin Amar Jumaani Tuanku Bujang, Menteri Muda Pelancongan Sarawak, Datuk Talib Zulpilip serta Pengurus Besar SCV, Jane Lian Labang. Aktiviti pelancongan Bagi seorang penuntut di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Che Noriah Che Ismail, 22, dia cukup teruja dengan sambutan WHF 2012 yang cukup meriah dan berharap program tersebut menjadi sebahagian aktiviti pelancongan terbaik di negeri itu. ![]() PESERTA pertandingan Badang Aminzani menolak tong yang berisi air seberat 130 kilogram pada acara menggelek tong. "Saya yakin WHF akan menjadi acara yang wajib disertai oleh seluruh rakyat Malaysia," kata pelajar jurusan pengurusan kesenian itu. Seorang peserta Badang yang berasal dari Kuching, Halid Lalip, 33, mengakui program tersebut berjaya meletakkan Sarawak sebagai sebuah destinasi pelancongan terbaik di negara ini. "Sarawak kaya dengan adat budaya sekali gus menjadikan program ini sebagai satu daripada acara penting yang perlu diberi perhatian semua pihak," ujar pendidik itu. WHF 2012 anjuran SCV dengan kerjasama One Drop Perfumes yang merupakan jenama haruman terkenal di Malaysia menjadi penaja utama Miss WHF manakala akhbar kompak Kosmo! sebagai rakan media. ![]() JANE LIAN LABANG (empat dari kanan) bersama 14 finalis Badang. Kosmo! menemui pembaca di Sarawak sejak 7 Mei lalu. Acara itu mendapat sokongan Kementerian Pelancongan Negeri Sarawak, Tourism Malaysia, Lembaga Pelancongan Sarawak dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak. Pengunjung disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik terutama pertandingan akhir Badang yang menyaksikan Jury Amrullah Ibrahim dari Kuching dinobatkan sebagai juara. Beliau berjaya dalam cabaran melempar guni seberat 20 kilogram dan mengguling tayar gergasi. | |
| Posted: 31 May 2012 07:23 PM PDT ![]() SEBAHAGIAN pelajar komunikasi USM bergambar dengan pelajar 'emas' di PTPM USM. SATU demi satu papan kekunci diketuk dengan berhati-hati. Sesekali jari tua itu menekan beberapa kali butang backspace kerana silap menekan huruf atau angka. Ada juga yang kelihatan berkerut untuk membaca paparan pada skrin komputer sambil membetulkan cermin mata. Melihat gelagat beberapa warga emas mempelajari tatacara mengakses internet, mengimbas kembali adegan kelas orang dewasa membaca dalam filem Pendekar Bujang Lapok karya seniman agung Tan Sri P. Ramlee. Bukan cuba berjenaka, tetapi memang sukar apabila mendedahkan diri kepada sesuatu yang asing seperti menggunakan komputer. Namun, inisiatif sekumpulan pelajar tahun akhir Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi program sosial mereka iaitu Kempen Teknologi Maklumat Sebagai Penghubung (IT4 Connecting) baru-baru ini wajar diberi penghargaan. Kumpulan pelajar itu bersama pensyarah Profesor Madya Khor Yoke Lim dan Dr. Nor Hazlina Hashim cuba memupuk dan membina keyakinan kepada warga emas itu akan kepentingan teknologi maklumat (IT) dalam kehidupan harian. Bengkel dua hari itu berlangsung dalam dua sesi bertempat di Makmal Pusat Teknologi Pengajaran Multimedia (PTPM USM) di bawah bimbingan Profesor Madya Zarina Samsudin. Beliau sendiri berpengalaman 25 tahun dalam proses pembelajaran dan pengajaran berkaitan IT untuk masyarakat. Bekerjasama dengan PTPM USM, sebanyak 30 para pelajar tahun akhir program komunikasi USM bertindak selaku pembimbing kepada kira-kira 50 peserta warga emas yang rata-ratanya berusia sekitar 50 hingga 60 tahun. Mereka terdiri daripada ahli-ahli Jawatankuasa Penduduk Bayan Lepas, Persatuan Nelayan Seberang Perai dan Ujong Batu, Persatuan Pesara Kerajaan Pulau Pinang serta kakitangan USM. Kebanyakannya tidak mempunyai asas dan pengetahuan tentang teknologi maklumat. Penyelaras Bengkel, Ireena Nasiha Ibnu berkata, bengkel tersebut bertujuan mendedahkan warga emas terhadap kepentingan teknologi maklumat dalam kehidupan harian. ![]() RAMAI peserta yang teruja apabila mengetahui kelebihan internet. Katanya, ia merupakan platform untuk golongan itu menggunakan media sosial, cara-cara mengakses enjin pencari termasuklah panduan melakukan transaksi perbankan dalam talian. "Peserta begitu bersemangat dan berminat kerana mereka sebelum ini tidak berpeluang mempelajari asas-asas rangkaian dalam talian. "Selain mendekatkan peserta berhubungan dengan keluarga, rakan-rakan dan komuniti secara maya, ia juga bertepatan dengan hasrat kerajaan merapatkan lagi jurang digital dalam masyarakat," ujarnya. Selain mempelajari asas-asas rangkaian dalam talian seperti e-mel, para peserta juga didedahkan kepada laman sosial Facebook, perniagaan dan transaksi serta sidang televideo melalui Skype. Salah seorang peserta, Hamzah Bakar, 58, memberitahu, dia cukup teruja apabila dapat mengetahui fungsi sebuah komputer yang bukan sahaja untuk menulis tetapi mengakses pelbagai maklumat menerusi internet. "Saya tahu apa komputer, tetapi tidak tahu bagaimana internet itu berfungsi. Rupa-rupanya banyak perkara yang boleh dilakukan dengan hanya menekan butang-butang di papan kekunci," ujarnya. |
| You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |



























0 ulasan:
Catat Ulasan