RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Stew, sup ala Barat

Posted: 04 Mar 2012 09:02 PM PST


Stew daging dan barli dengan cendawan.


ADA yang bertanya kepada saya apakah keistimewaan bekerja sebagai seorang pensyarah. Sebenarnya banyak keistimewaan menjadi seorang pensyarah dalam bidang kulinari ini.

Antaranya ia membolehkan saya mencuba pelbagai resipi sepanjang pengajaran saya dengan pelajar-pelajar di sini.

Pada minggu ini saya ingin berkongsi satu resipi yang dinamakan stew yang boleh dikategorikan sebagai sejenis sup dari negara Barat yang berkuah pekat.

Bahan-bahan yang digunakan untuk membuat stew kebanyakannya bertekstur keras.

Ia akan dimasak dengan perlahan bersama air sehingga kuahnya menjadi pekat.

Ramuan bahan-bahannya adalah pelbagai seperti daging, ayam, ikan, tumbuhan berubi seperti kentang, sayuran dan bijirin.

Perasa tambahan akan diletakkan untuk menambah rasa stew. Cara yang biasa memasak stew adalah menggunakan api yang perlahan supaya segala rasa bahan-bahannya terutama jus dan rasa dari daging dapat dikeluarkan sepenuhnya dan rasa dagingnya lebih kuat.

Daging yang selalu digunakan adalah daging yang keras dan liat kerana stew yang dimasak perlahan dan lama akan melembutkan daging.

Bagaimanapun daging yang tidak terlalu lembut lebih sesuai digunakan dan teknik mereneh perlahan akan membuatkan dagingnya lebih empuk.

Kuah stew boleh dipekatkan dengan membiarkan ia mereneh sehingga ia pekat atau boleh menambahkan pemekat daripada tepung. Tepung boleh dimasak semasa anda menumis bawang pada mula-mula proses memasak stew.

Selain itu anda juga boleh menggunakan roux iaitu tepung yang dimasak bersama mentega.

Sebenarnya tidak ada banyak perbezaan antara sup dan stew, cuma yang memberi sedikit perbezaan adalah cara memasak stew serta konsistensi kuahnya sahaja.

Stew dimasak dengan perlahan dan lama. Kuahnya lebih pekat dan sedikit berbanding sup biasa.

Kuahnya yang pekat menjadikan ia lebih sesuai disajikan di dalam pinggan yang melengkung atau leper.

Kuahnya juga sesuai dijadikan sos untuk dihidangkan dengan daging yang dimasak bersama sebab itu ia sesuai disajikan di dalam pinggan.

Proses membuat stew memang mudah, cuma perlu meletakkan semua bahan-bahan dalam sebuah periuk dengan cecair dan perasa dan mereneh semuanya sehingga mencapai tahap kemasakan yang diingini.

Kos membuat stew tidaklah begitu mahal jika anda bijak membeli. Menggunakan periuk keluli tahan karat yang berat adalah sebaik-baiknya apabila membuat stew supaya ia dapat direnehkan secara perlahan dan tidak cepat meruap.

Gunakanlah stok yang berkualiti baik sama ada dibuat sendiri atau mengunakan stok segera. Potonglah semua bahan-bahan seperti daging menjadi satu saiz yang seragam agar ia masak dengan sama.

Antara rahsia utama apabila membuat stew adalah anda perlu membiarkan bahan-bahan yang ditumis menjadi perang.

Bawang dan bawang putih di dalam periuk itu, akan menambah kepada 'karamel' dan mengadunkan perisa sebelum menambah bahan-bahan perisa tambahan.

Kemudian cebisan-cebisan perang dari daging yang ditumis yang melekat pada dasar periuk itu akan memberi rasa daging yang kaya dan sedap.

Jika anda meletakkan sayur-sayuran seperti lobak merah, sayur berdaun atau kentang, sepatutnya tambah ke dalam stew setelah daging menjadi empuk supaya ia tidak terlalu lembik sesudah dimasak.

Jadi masukkan mengikut kelembutan sayur itu seperti kacang pis, tidak patut ditambah sehingga 5 untuk 10 minit terakhir.

Jika anda bercadang membuat stew makanan laut saya menyarankan agar isi ikan juga dimasukkan pada beberapa minit terakhir proses memasak kerana isi ikan mudah hancur. Manakala makanan laut yang lain seperti sotong dan udang akan menjadi liat jika ia dimasak lama.

Resipi segar di Willow Tree

Posted: 04 Mar 2012 09:00 PM PST


Udang bersama sos Marie Ros 'Willow Tree'.


SEKALI pandang, tiada ada yang membezakannya dengan restoran-restoran lain yang menyediakan hidangan Mediterranean di ibu kota.

Selain menggunakan bahan asli, segar dan terpilih dalam setiap hidangan, cara penyediaan, layanan mesra dan hiasan dalaman yang menambat hati pelanggan antara perkara yang pasti menjadi keutamaan.

Namun bagi yang suka mencuba kelainan berganda, pasti anda sependapat jika berkunjung ke Willow Tree Bistro yang terletak di Lot 22, Wisma Rapid, Jalan 30/70a, di Sri Hartamas, Kuala Lumpur.

Ini kerana hampir kesemua hidangan disediakan sendiri pemiliknya, Chef El Hadi, 46, yang begitu cintakan dunia masakan pada setiap hari.

Idea dan kreativiti Chef El Hadi dalam menyediakan resipi tidak pernah terbatas, sebaliknya sentiasa tercetus melalui pemerhatian, kajian dan pengalaman dalam kehidupan hariannya di negara ini.

Ini dibuktikan apabila setiap resipi dan hidangan yang disediakan, beliau cuba menggabungkan sayur-sayuran dan buah-buahan tempatan seperti kacang panjang, bayam dan lain-lain.

Berkongsi cerita, anak kelahiran Nador, di bahagian utara Maghribi ini mengakui keputusannya untuk ke Malaysia hujung tahun lalu semata-mata ingin berkongsi minat dan bakatnya dengan masyarakat di negara ini.

Katanya, walaupun dia telah mencipta nama di kota London lebih sedekad dalam bidang masakan, entah mengapa hati kecilnya begitu terpanggil untuk mencuba nasib di sini.

''Saya melihat Malaysia adalah destinasi terbaik untuk saya berkongsi pengalaman yang sedia ada. Saya jatuh cinta dengan keindahan alam semulajadi, keramahan masyarakat dan kepelbagaian sumber alam di sini,'' ujarnya yang menganggap pelawaan dua rakan kongsinya untuk membuka restoran di negara ini tahun lalu diibaratkan sebagai bulan jatuh ke riba.

Willow Tree Bistro yang dibuka sejak lebih dua bulan lalu menyediakan lebih 20 jenis hidangan berkhasiat bermula daripada pembuka selera, salad, hidangan utama, pencuci mulut dan minuman untuk pelanggan yang ingin merasai pengalaman menjamu selera.

Pelanggan boleh memulakan hidangan dengan sembilan jenis pilihan pembuka selera, antaranya tat krim cendawan bawang putih bersama keju di hidang di salad dan kek ikan salmon buatan sendiri yang dihidangkan bersama tomato, bawang besar dan herba salsa.

Selain pembuka selera itu, Willow Tree menyediakan pelbagai jenis salad seperti udang bersama sos Marie Ros 'Willow Tree'.

Untuk makanan utama , Chef El Hadi mencadangkan kaki kambing New Zealand dengan cendawan dan tomato kering yang dihidang bersama kentang dauphinoise.

Jika mahu menguji sejauh mana usaha Chef El Hadi untuk mengenali budaya negara ini, anda harus mencuba teatarik pie yang resipinya diilhamkan melalui minuman teh tarik kegemaran masyarakat tempatan.

Khusus golongan si kecil, Willow Tree tidak pernah melupakan dengan turut menyediakan set untuk mereka.

Dibuka bermula pukul 11 pagi hingga 12 tengah malam, kunjungan anda ke sini tentu memberi makna tersendiri kerana tugas Chef El Hadi tidak terhad di dapur sahaja, tetapi sedia bertemu dengan pelanggan bila-bila masa untuk mendapatkan maklum balas setiap apa yang dihidangkan.

Tunang rupa-rupanya suami orang

Posted: 04 Mar 2012 08:56 PM PST

MENANAM tebu di bibir... Ungkapan yang sering dikaitkan dengan lelaki yang bijak menggoda dan 'mengayat' gadis untuk jatuh cinta kepada mereka.

Pun begitu tidak semua cinta perlu 'diayat' malah ada juga cinta yang terbit dari hati yang ikhlas untuk dicintai dan mencintai.

Lantaran itu setiap gadis atau wanita perlu berhati-hati apabila digoda lelaki - bimbang cinta yang datang tidak telus dan ada agenda yang tersembunyi di sebaliknya.

Begitu kisah yang dikirim oleh Fifi (bukan nama sebenar) kepada saya untuk dikongsi dengan pembaca.

Kata Fifi, apa yang dia alami menjadi pengajaran penting dalam hidupnya agar tidak mudah terpedaya dengan cinta lelaki.

Ingin tahu apa yang terjadi kepada Fifi, kita ikuti kisah ini.

"Saya berusia 24 tahun, seorang eksekutif di sebuah bank. Setahun lalu saya berkenalan dengan seorang lelaki berusia awal 30-an, Iqbal (bukan nama sebenar) bekerja sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat iklan.

"Hubungan kami mendapat restu keluarga dan kerana cinta saya yang mendalam terhadapnya, saya menerima lamarannya untuk menjadikan saya suri hidupnya.

"Dia seorang lelaki yang baik, penyayang dan mengambil berat. Keluarga amat menyukainya kerana kebaikan dan kesopanannya itu terutama apabila bertemu dengan orang tua.

"Tempoh pertunangan adalah setahun, maknanya kami sepatutnya bernikah bulan Jun akan datang. Saya telah membuat persiapan ke arah itu sedikit demi sedikit kerana tidak mahu kelam- kabut di saat-saat akhir.

"Pada masa yang sama saya cuba mengenal hati budinya secara mendalam, tentang apa kesukaannya, sikapnya dan keluarganya yang menerima saya sebagai ahli keluarga mereka.

"Sepanjang tempoh kami bertunang saya tidak nampak dia curang terhadap saya. Setiap hujung minggu kami berjumpa, keluar bersama menonton, makan-makan dan sesekali balik ke kampung saya.

"Pendek kata saya tidak nampak kelemahannya sebagai tunang dan saya yakin dia adalah calon suami yang terbaik Allah berikan kepada saya.

"Tapi takdir Allah tidak siapa dapat menolak. Suatu hari saya dikejutkan dengan panggilan telefon daripada seorang wanita yang mendakwa isteri kepada Iqbal. Katanya dia membuat panggilan dari selatan tanah air.

"Saya amat terkejut dengan panggilan daripada wanita itu tetapi saya tidak terus percaya kerana saya yakin wanita itu tersalah orang.

"Kami tetapkan temu janji untuk bertemu di satu tempat. Dia berjanji akan membawa bukti yang tunang saya adalah suaminya.

"Selepas meletak telefon saya menangis sepuas hati mengenangkan apa yang telah berlaku. Saya jadi keliru, perlukah saya beritahu tunang saya atau saya diamkan dulu perkara tersebut.

"Setelah berfikir saya mengajak teman baik saya untuk menemani saya bertemu wanita yang mendakwa dia isteri Iqbal. Tapi saya minta teman saya itu tidak datang bersama saya sebaliknya duduk berhampiran tempat kami bertemu.

"Pada hari dijanji saya pergi ke tempat yang ditentukan. Alhamdulillah saya dapat mengawal perasaan dalam pertemuan itu kerana wanita itu juga datang secara damai.

"Orangnya kecil molek, manis dipandang dan menjaga penampilan. Kami bersalaman dengan mesra. Saya tidak tahu kenapa saya tidak ada rasa marah kepadanya. Dia menghulurkan gambar perkahwinannya dengan Iqbal sebaik saya memulakan isu yang hendak kami selesaikan.

"Terketar-ketar saya dibuatnya kala menatap gambar itu. Memang sah itu Iqbal yang sekarang menjadi tunang saya.

"Menurut Mira (bukan nama sebenar) mereka sudah bernikah setahun lalu, Iqbal tinggal di sini dan dia di selatan sebab tidak dapat bertukar ke sini.

"Kata Mira lagi dia mendapat khabar tentang pertunangan kami daripada anak saudara Iqbal yang tidak sampai hati melihat Iqbal menipu saya dan dia.

"Mira juga mempelawa saya mengunjungi rumahnya kerana Iqbal akan pulang sebulan sekali ke sana. Lalu saya teringat, Iqbal selalu memberi alasan tidak dapat keluar dengan saya hujung bulan kerana terpaksa balik kampung untuk bertemu keluarganya.

"Saya setuju dengan pelawaan itu kerana saya mahu membuat perhitungan dengan Iqbal mengenai masa depan kami. Khabar yang dibawa oleh Mira menghancurkan hati saya.

"Pulang ke rumah saya maklumkan berita itu kepada ayah dan mak serta keluarga. Saya tidak mahu bersembunyi apa-apa daripada mereka kerana ini soal masa depan saya.

"Walaupun kecewa saya reda jika jodoh saya tidak ada dengan Iqbal. Saya tidak mahu menghancurkan hati Mira yang ternyata seorang isteri dan wanita yang baik. Berdosa saya jika menyakiti hatinya.

"Ayah dan mak terkejut yang amat sangat. Abang mengamuk dan mahu bertemu Iqbal untuk selesaikan masalah itu, tapi ayah mahu ikut cara saya, biar ada bukti dan kita selesaikan mengikut adat.

"Saat yang ditunggu akhirnya tiba. Di rumah Iqbal, ayah menyelesaikan segala masalah yang timbul. Iqbal mengaku dia menipu kerana dia amat mencintai saya dan mahu mengahwini saya dengan cara baik.

"Ayah membantah. Hati saya juga sudah tawar. Akhirnya bersaksikan keluarga kedua-dua pihak, ayah memulangkan cincin pertunangan saya kepada keluarga Iqbal.

"Semua tergamam dan terkejut macam mana rahsia tunang saya suami orang boleh terbongkar. Tapi saya dan Mira hanya mendiamkan diri. Keluarga saya kecewa dan malu.

"Saya langsung hilang kata-kata dan hanya air mata menjadi teman setia. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Saya kesal dengan apa yang terjadi. Saya kecewa sebab Iqbal dan keluarganya menipu keluarga saya. Mereka tidak ikhlas dan bersubahat untuk melamar saya sedangkan mereka tahu Iqbal sudah ada isteri.

"Apa pun saya ambil iktibar atas kejadian ini. Biarlah malu sekarang daripada malu dan menanggung derita sepanjang hayat. Saya berdoa saya akan pulih dari kejutan ini secepat mungkin dan membina hidup baru.

"Kata mak, Allah menguji saya kerana mahu memberi lelaki yang lebih baik untuk saya. Pesanan mak adalah satu doa, mudah-mudahan Allah makbulkan doa saya dan mak!

"Kepada anda di luar sana, hati-hati apabila memberi hati kepada lelaki. Periksa latar belakang mereka terlebih dahulu supaya tidak menjadi seperti saya," pinta Fifi menamatkan cerita.

Saya amat bersimpati dengan apa yang berlaku kepada Fifi. Sikap Fifi dalam menangani masalah ini amat saya kagum. Inilah sikap yang harus ada pada semua wanita yang dilanda masalah.

Bangkit dan teruskan kehidupan secara positif. Terima semua yang berlaku dengan hati terbuka kerana ujian itu mengajar kita menjadi lebih cekal untuk terus hidup.

Fifi patut bersyukur kerana ibu bapa dan keluarga sentiasa di sisinya untuk memberi sokongan. Mudah-mudahan Fifi akan dilindungi dan diberkati hidup dunia dan akhirat.

Menamatkan catatan, pesanan saya, cinta tidak semestinya sampai ke jenjang pelamin, kerana ada juga cinta yang sekadar singgah untuk menguji kesabaran manusia dalam menilai erti kejujuran dan ketelusan dalam sebuah perhubungan.

Salam

Muaz kaki gajet

Posted: 04 Mar 2012 08:55 PM PST


Aksi Muaz ketika sibuk menggunakan gajet miliknya.


KE MANA sahaja jejaka ini pergi, pasti segala gajet yang dimiliki akan sentiasa berada dalam genggamannya.

Bukan mahu berlagak atau pun menunjuk-nunjuk tetapi bagi penyampai Nasional FM ini, gajet merupakan salah satu keperluan dalam kehidupan sehariannya.

Tambahan pula empunya nama Muazanazzudin Mohamed atau lebih mesra disapa Muaz ini sememangnya sentiasa ingin mengikuti perkembangan semasa dengan pantas.

"Bagi saya kepesatan teknologi daripada segi tablet dan juga pemain muzik sedikit sebanyak membantu dalam memudahkan urusan dalam kehidupan seharian.

"Contohnya, saya gunakan iPod untuk mendengar muzik, Galaxy Tab pula berkomunikasi dengan rakan-rakan melalui laman sosial Twitter atau Facebook mahu pun untuk melayari internet di mana-mana sahaja.

"Sementara Playstaion Portable (PSP) pula saya gunakan untuk bermain permainan video ketika waktu lapang dan juga ketika ingin melepaskan tekanan," katanya ketika ditemui di Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam masa yang sama, anak muda berusia 28 tahun juga gemar membaca novel grafik dan juga buku motivasi.

"Kalau saya rasa ingin membaca sesuatu yang santai dan ringan saya akan baca novel grafik.

"Tetapi untuk bacaan serius, saya lebih meminati buku motivasi kerana dalam masa yang sama ia dapat memberi keyakinan kepada saya untuk berhadapan dengan situasi harian," jelasnya.

Selain itu, anak kelahiran Johor ini juga mengakui turut mengikut perkembangan semasa setiap gajet yang dimilikinya.

Namun dalam kegilaannya mengumpul gajet, terselit juga kisah sedih dan juga pengajaran kepada orang lain agar perkara yang sama tidak berulang.

"Sebelum ini saya pernah memiliki iPad 2 dan juga iPod tapi malangnya barang-barang berkenaan telah dicuri di sebuah pusat membeli belah sekitar Petaling Jaya.

"Menyesal sangat rasanya apatah lagi ia berlaku ketika saya sedang berada di pusat beli belah berkenaan. Tapi salah saya juga kerana meletakkan gajet berkenaan di bonet belakang kereta.

"Perkara tersebut saya jadikan iktibar agar tidak berulang kembali.

"Seboleh-bolehnya kalau kita ingin meninggalkan kereta walaupun sekejap, pastikan tiada barang berharga yang ditinggalkan di dalam kereta. Risau kalau berlaku apa-apa nanti, memang menyesal," kata Muaz dalam nada sedih.

Melangkah dari bawah

Sememangnya meminati bidang penyiaran daripada bangku sekolah lagi, akhirnya kini Muaz sudah boleh berbangga dengan apa yang berjaya dikecapinya sekarang.

Bermula sebagai pengacara untuk rancangan Landskap setelah menamatkan pengajiannya dalam bidang penyiaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM), rezeki Muaz dalam bidang tersebut sentiasa ada.

Namun untuk mencapai ke tahap yang dikecapinya sekarang, kata Muaz, jalan yang dilalui bukan mudah.

"Jujurnya saya sangat meminati bidang penyiaran terutamanya sebagai penyampai radio. Untuk dikenali sehingga ke tahap sekarang, sememangnya kena banyak bersabar.

"Pada mulanya memang ada pihak tidak yakin dengan kebolehan saya menjadi pengacara rancangan.

"Tapi setelah saya diberi peluang untuk menjadi pengacara kepada rancangan Diva@1 di saluran TV1, peluang untuk menjadi pengacara rancangan mula datang.

"Alhamdulillah, saya bersyukur dengan apa yang saya kecapi ketika ini. Apa yang penting bagi saya, jika kita minat sesuatu perkara itu, lakukannya dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh.

"Insya-Allah, lama-kelamaan orang akan nampak hasil kerja yang kita lakukan dan jangan sekali-kali mudah lupa diri," kata anak sulung daripada tiga beradik ini yang merancang untuk mendirikan rumah tangga pada awal tahun hadapan.

Jiwa Melayu Salikin Sidek

Posted: 04 Mar 2012 08:53 PM PST




KEDIAMAN pereka fesyen terkemuka Salikin Sidek yang terletak di pinggiran Kuala Lumpur menggamit ketenangan.

Tidak hairanlah Salikin gemar menghabiskan masa hujung minggu bersama keluarga di rumah.

Melangkah masuk sahaja dapat dirasakan suasana rumah tradisional lengkap dengan perabot dan panel-panel kayu di setiap gerbang pintu.

Hampir keseluruhan ruang kediaman dua tingkat itu berkonsepkan budaya Melayu tetapi diberi sentuhan moden.

"Sama seperti minat saya dalam rekaan fesyen tradisional Melayu, begitu juga dengan konsep rumah saya. Walaupun tinggal di kawasan sibuk seperti Setiawangsa, saya mahukan suasana kedesaan Melayu," kata anak kelahiran Kluang, Johor ini.

Bapa kepada tiga cahaya mata iaitu Ariq Siddiq Salikin, 10, Asila Sofea, 8, dan Ajwa Saliha, 5, ini begitu peka dengan hiasan dalaman dan susun atur perabot.

Misalnya, dinding di antara ruang makan dan ruang tamu ditebuk bagi memudahkan beliau dan isteri melihat anak-anak ketika melakukan kerja-kerja di ruang dapur atau menikmati hidangan.

"Kebanyakan material perabot yang saya pilih tahan lasak. Maklum sahaja, anak-anak saya sedang membesar dan mereka memerlukan ruang yang selesa untuk bermain," ujarnya.

Satu ruang yang menarik perhatian penulis, bahagian rehat di depan kediamannya.

Ruang yang dihiasi dengan elemen kayu jati ini menjadi tempat Salikin berehat atau meluangkan masa bersama anak-anak. Landskap kolam buatan menambah ketenangan ketika duduk bersantai di situ..

Bahagi masa

Bagi memastikan anak-anaknya mendapat kasih sayang yang secukupnya, Salikin cuba membahagikan masa antara keluarga dan kerjaya dengan bijak.

Beliau menggunakan waktu senggang secara maksimum bersama keluarga.

"Kami akan bersarapan di beberapa restoran secara bergilir setiap Ahad. Nasi lemak di Taman Muhibah, Ampang antara menu kegemaran kami. Selepas pukul 9, saya dan isteri akan meluangkan masa bersama anak di rumah.

Selepas anak lelaki saya selesai mengikuti kelas taekwando pada sebelah petang, kami akan keluar untuk makan malam bersama," ujarnya yang akan meminimumkan waktu di butiknya pada hujung minggu.

Begitupun, Salikin bersyukur kerana urusan anak-anak banyak dibantu oleh isteri tersayang, Anita Anuar.

Tanggungjawab menjaga dan mendidik anak-anak diserahkan kepada isterinya yang bijak menguruskan mereka sementara Salikin sebagai ketua keluarga bertanggungjawab memberi kehidupan yang selesa kepada keluarga.

"Kasih sayang akan hilang tanpa wang ringgit begitu juga sebaliknya. Kami berbincang akan peranan masing-masing dan kami setuju dengan tanggungjawab kami,'' kata Salikin yang tidak mengupah pembantu rumah untuk melakukan kerja-kerja rumah.

Rekaan tradisional

Bercerita tentang rekaan fesyen, Salikin memang terkenal dengan potongan klasik yang melambangkan budaya Melayu, Cina dan tradisional India. Nama beliau juga biasa disebut apabila membicarakan majlis-majlis perkahwinan selebriti tempatan yang banyak mengupah Salikin untuk rekaan pakaian pengantin.

"Hari ini orang sudah memandang tinggi kain songket, berbanding 20 tahun dahulu.

"Saya tidak pernah kering idea untuk mereka fesyen dengan menggunakan songket, jadi semakin meriahlah industri songket," tambah Salikin.

Walaupun mempunyai jadual kerja yang padat, Salikin jarang membawa balik kerjanya ke rumah. Baginya, kediaman adalah tempat untuk keluarga.

"Idea rekaan kadang-kadang datang secara tiba-tiba. Jika benar-benar memerlukan, saya hanya melakukan lakaran kemudian membawanya ke butik. Proses jahit dan menyiapkan pakaian semuanya saya lakukan di butik," kata penulis buku Busana Fesyen Tradisional dan Busana Pengantin ini.

Gayong perkukuhkan perpaduan Melayu

Posted: 04 Mar 2012 08:51 PM PST


Perdana Menteri yang juga Imam Khalifah Agong Silat Seni Gayong Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak yang ditemani oleh Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Besar selaku Timbalan Imam Khalifah Agong, Datuk Seri Mohamad Hasan menjadi tetamu kehormat dalam acara istimewa Persatuan Silat Seni Gayong Malaysia.


BAGAI isi dengan kuku, ilmu persilatan cukup terkenal dan tidak dapat dipisahkan daripada adat budaya masyarakat Melayu.

Berdasarkan bukti penemuan tinggalan sejarah yang terdapat di Candi Borobodur dan Candi Prambanan di pulau Jawa, Indonesia, seni mempertahankan diri ini telah sebati dengan orang Melayu sejak abad ke-8 lagi.

Sehingga kini, pencak silat dijadikan platform penyatuan masyarakat Melayu untuk membentuk jati diri dan disiplin terhadap pengamalnya.

Oleh itu, tidak hairanlah mengapa ramai daripada kalangan kita menjadi pesilat dan tidak kurang pula ibu bapa menghantar anak-anak mereka untuk mendalami seni warisan itu.

Biarpun wujud beratus-ratus perguruan silat yang setiap daripadanya mempunyai gaya dan caranya yang tersendiri, secara umum asas silat dibahagikan kepada dua iaitu 'bunga' dan 'buah'.

Seni bunga adalah gerak tari yang lembut dan gemalai sebagai gerak untuk mengelirukan lawan. Manakala buah pula adalah gerak langkah yang keras, padu dan padat untuk menumpaskan lawan.

Salah satu pertubuhan silat yang cukup terkenal di negara ini ialah Persatuan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM).

Diasaskan oleh Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman Mohd. Hashim yang merupakan cucu kepada Daeng Kuning, PSSGM semakin berkembang sehingga dikenali sebagai perguruan Gayong paling utama oleh penuntut silat Gayong.

Hal ini dapat dibuktikan dengan penyertaan kira-kira 8,000 peserta yang menyertai Sambutan Perayaan Jubli Emas PSSGM dan Perdana Gayong Malaysia Sedunia 2012 baru-baru ini di Padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS).

Sebagai warisan yang cukup unik, seni mempertahankan diri itu bukan sekadar alat persembahan pada sesebuah majlis mahupun untuk tujuan mempertahankan diri kerana ia mencerminkan identiti masyarakat Melayu.

Selaras dengan tuntutan ajaran Islam, seni ini juga mendisiplinkan pengamalnya secara langsung untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Dalam persilatan, ia sebenarnya mempamerkan adat dan cara menghormati lawan ataupun kawan, guru dan pemimpin itu sendiri selain perantaraan untuk mengeratkan perpaduan di kalangan orang-orang Melayu.

Semangat perpaduan

Melihat akan kepentingan perpaduan di kalangan umat Islam, PSSGM mengajak anak-anak Gayong untuk mengeratkan silaturrahim di kalangan saudara seagama melalui ilmu persilatan Gayong.

Yang Dipertua PSSGM, Datuk Adiwijaya Abdullah berkata, masyarakat Melayu perlu disatukan bersandarkan kekuatan perpaduan untuk mencapai kedudukan tertinggi dan semulia-mulianya.

"Perpaduan Melayu dalam wadah perjuangan untuk agama, bangsa dan negara amat penting kerana ia adalah sendi utama kepada perpaduan nasional berbilang kaum di negara ini," jelasnya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau berkata, perjuangan Gayong bermula sejak zaman Allahyarham Datuk Onn Jaafar ketika beliau menyandang jawatan sebagai Penasihat Undang-Undang Tubuh PSSGM.

"UMNO dan Gayong amat berkait rapat kerana ia didaftarkan oleh Datuk Onn Jaafar pada masa yang sama.

"Maka tidak hairanlah mengapa nombor pendaftaran UMNO (360) dan PSSGM (361) berdekatan antara satu sama lain sehingga wadah perjuangan mendaulatkan bangsa Melayu dan negara diperjuangkan berdasarkan perpaduan di kalangan ahli-ahlinya," katanya.

Adiwijaya berkata, seni silat Gayong merupakan kesinambungan perjuangan untuk menyatupadukan orang Melayu sejajar dengan kehendak pengasas seni silat itu.

"Perjuangan bangsa Melayu yang diperjuangkan orang Melayu melalui seni silat Gayong ini adalah sebahagian daripada perpaduan.

"Oleh itu, pengamal silat sejati perlu menginsafi perjuangan sejak turun-temurun yang menuntut keluhuran akhlak berdasarkan kepada ilmu dan kesungguhan mengotakan janji untuk mempertahankan negara tercinta," ujarnya.

Menurutnya, perpaduan di kalangan pengamal silat perlu dipertahankan agar ia tidak hilang ditelan zaman.

"Bangsa lain amat berbangga dengan ilmu mempertahankan diri mereka. Seperti yang kita ketahui, orang Korea bangga dengan taekwando, orang Cina bangga dengan kung-fu dan orang India berbangga dengan silambam.

"Biarpun orang kita berbangga dengan silat, tetapi untuk menyatupadukan semua pesilat dibawa satu perguruan amatlah sukar," jelasnya.

Daripada pecahan Gayong, timbul pelbagai perguruan silat yang ada di negara ini malah ada di kalangan pengamal Gayong yang keluar membawa diri turut menubuhkan pelbagai persatuan pesilat lain.

"Kalau kita sayangkan perpaduan dan ingin mewujudkan perpaduan di kalangan pengamal Gayong mengapa perlu anak-anak Gayong ini mewujudkan persatuan lain.

"Pengasas Gayong, Meor Abdul Rahman ingin menguatkan perpaduan tetapi dalam masa yang sama ada yang cuba untuk memecahkan perpaduan di kalangan pengamal silat Gayong sendiri.

"Sebab itu, kalau kita ingin berbicara jangan guna emosi, kalau tidak berpuas hati kenapa perlu mewujudkan badan lain. Kalau betul hendakkan perpaduan, mengapa tidak bersatu di bawah Gayong Malaysia sahaja" katanya.

Selaku Yang Dipertua PSSGM, Adiwijaya mengingati rakan-rakan yang terlupa dengan janji yang telah dikotakan.

"Sebelum kita belajar silat gayong, kita telah diperlimaukan oleh tok guru kita dan pada masa yang sama kita berjanji bersaksikan al-Quran sebagai ikutan dan garis panduan ahli Gayong.

"Tetapi bila kita sudah pandai bersilat, ikrar untuk taat setia menjadi ahli Gayong dilupai sehingga ada yang mengingkari janji yang dilafazkan.

"Ironinya, guru tersebut pula memperlimaukan anak murid baru dan beliau ingin anak didiknya itu mengotakan janji untuk taat setia namun pada masa yang sama guru tersebut sendiri tidak melaksanakan janji itu.

" Adakah dia merupakan seorang guru yang baik sedangkan dia bercakap tidak serupa bikin," ujarnya.

Kata orang dahulu kala, amanat guru perlu dijaga dan sejak Adiwijaya menyertai silat Gayong pada usia 14 tahun, beliau masih kekal bersama PSSGM biarpun kini berusia hampir 60 tahun.

Baginya, amanat tersebut perlu dijaga dan janji perlu dilaksanakan barulah ilmu yang dipelajari direstui guru terdahulu.

Sehingga kini, PSSGM mempunyai ahli yang aktif seramai 70,000 orang dan secara keseluruhan yang berdaftar sebanyak hampir tiga juta pesilat.

PSSGM berharap untuk menambah bilangan keahlian aktif sehingga 100,000 orang pada pertengahan tahun ini.

"Anak Gayong tidak ada yang menjadi samseng kerana dalam ilmu persilatan Gayong kami terapkan mereka dengan amalan mulia.

"Kalau nak jadi pendekar biarlah kena dengan caranya seperti contoh Laksamana Hang Tuah. Mereka yang suka menunjuk-nunjuk kehebatan bukan pendekar sejati.

"Pengamal ilmu persilatan perlu ada keperibadian yang baik dan kesabaran dalam hati. Bagi yang mempunyai sifat bongkak dan hipokrit tidak perlulah belajar ilmu persilatan agar tidak memalukan bangsa sendiri," katanya.

Mahu Ekspo Buku Islam sehebat PBAKL

Posted: 04 Mar 2012 08:48 PM PST


PEGAWAI pemasaran syarikat penerbit As Sohwah, Siti Norfatin Mesron gigih mempromosi buku-buku karya pakar motivasi Islam terkenal, Dr. Muhaya Muhammad.


"Cuba dapatkan buku ini di Ekspo itu, buku itu bagus sekali untuk rujukan mengenai Sirah Nabi, terbitan Must Read Sdn. Bhd.," kata pendakwah muda popular Ustaz Don Daniyal Don Biyajid suatu hari kepada penulis.

Buku yang dimaksudkan adalah Biografi Agung Rasulullah Sallallahu Alayhi Wassalam karya penulis tempatan, Rusydi Ramli Al Jauhari berkulit tebal dengan harga RM65.

Lalu pada hari ketiga, penulis mengunjungi Ekspo Buku Islam 2 yang sedang berlangsung di Dewan Cempaka Sari, Bangunan Perbadanan Putrajaya, Presint 3 Putrajaya bagi mencari buku tersebut.

Namun alangkah terkejutnya apabila mendapati tidak ada satu pun lagi buku tersebut dijual di gerai pameran Penerbit Must Read Sdn. Bhd.

Apabila ditanya jawatan yang diberikan ialah: "Buku itu telah habis atau lebih tepat begitu laris terjual."

Habis? Lantas penulis menghubungi pihak penerbit sendiri bagi 'melahirkan' rasa tidak puas hati yang menyebabkan tidak berpeluang memilikinya kerana tentulah buku tersebut diletak dalam jumlah yang sedikit.

Maka tidak menghairankan jika buku itu cepat habis!

"Minta maaf, buku tersebut benar-benar telah habis di pasaran. Bukan sahaja di ekspo tersebut malah di mana-mana gedung-gedung jualan buku. Kami kehabisan stok buku itu sekarang. Kami letak 500 naskhah, alhamdulillah dalam tempoh tiga hari ekspo, semuanya habis dijual," kata Pengarah Urusan Must Read Sdn. Bhd, Mohd. Sharudin Dawam.

Ayat terakhir dari Mohd. Sharudin membuatkan penulis tergamam, 500 naskhah, habis dalam tempoh tiga hari? Kulit tebal dengan harga RM65 senaskhah? Percayakah anda?

Malah dikatakan buku itu kini terpaksa diulang cetak dan pembaca perlu menunggu bagi mendapatkan buku tersebut.

Maka wajarlah kini kita menerima dengan penuh syukur kepada Allah bahawa buku-buku Islam kini berjaya mencetuskan fenomena besar dan berpengaruh serta mampu menguasai pasaran buku-buku tempatan.

Perlu diingat, bahawa bukan dimaksudkan fenomena tersebut hanya melibatkan buku-buku genre novel atau lebih tepat novel Islami yang dikatakan lebih dibeli oleh para pembaca.

Sebaliknya, buku-buku yang penuh dengan pelbagai maklumat mengenai Islam dalam pelbagai topik itulah yang kini menjadi pilihan pembaca.

Walaupun ada kebimbangan termasuk pendapat mengatakan ada buku membidaahkan sesetengah amalan zikir dan selawat yang sebenarnya menurut sebahagian besar ulama Islam tidak bercanggah, malah selari dengan perlembagaan al-Quran dan al-sunnah.

Malah ada yang bertanya adakah setiap penerbit buku-buku Islam itu mempunyai panel mereka sendiri bagi menentukan kesahihan dan ketetapan setiap inci bahan yang diterbitkan.

Walau apa pun persoalannya, kita telah menempa sejarah baru dalam dunia Islam bagi rantau sebelah sini apabila buat pertama kalinya berjaya mengumpulkan hampir 100 gerai pameran daripada hampir 40 penerbit buku-buku Islam dalam apa yang kita panggil sebagai Ekspo Buku Islam 2 yang disifatkan sebagai 'pesta buku' Islam yang terbesar pernah diadakan di negara ini.

Disifatkan satu kejayaan ekoran penganjuran yang sebelum ini iaitu Ekspo Buku Islam 1, 2011 di KL Sentral berjaya menarik perhatian 80,000 pengunjung yang ketika itu hanya melibatkan 20 gerai pameran.

Kali ini diadakan selama 10 hari yang bakal berakhir pada hari Ahad ini, pihak penganjur menyediakan pelbagai acara menarik sepanjang ekspo selain pameran dan jualan buku-buku itu sendiri.

Namun yang uniknya, penganjuran ekspo seperti itu dianggap sebagai satu langkah berani kerana ia bukan anjuran pihak kerajaan.

Tetapi ia dianjurkan pihak swasta yang menyahut seruan kerajaan bagi merancakkan lagi industri buku di negara ini.

Pihak swasta yang dimaksudkan adalah Syarikat Sinergi Ilmu Resources, 100 peratus milik bumiputera yang memulakan Ekspo Buku Islam di KL Sentral tahun lalu.

Pengarah Urusannya, Mohd. Jaini Mohd. berkata, penganjuran ekspo buku itu dilihat oleh sesetengah pihak umpama pipit yang ingin terbang bersama enggang kerana cuba menyaingi kehebatan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang diadakan saban tahun.

Malah tidak lama lagi akan berlangsungnya PBAKL itu iaitu pada 27 April hingga 6 Mei 2012.

"Lazimnya, pastilah pipit itu akan kalah tetapi terkadang untuk berjaya itu kita perlu menongkah arus.

"Kami mengadakan juga Ekspo Buku Islam ini walaupun ia penuh dengan pelbagai rintangan dan cabaran yang boleh membuatkan kita kadangkala rasa berputus asa.

"Bayangkan bukan mudah untuk memanggil para penerbit buku-buku Islam untuk sama-sama menyertai Ekspo Buku Islam ini.

"Ini kerana mereka sendiri seolah-olah sudah berputus asa dan tidak pernah menaruh keyakinan akan sebarang kejayaan apabila menyertai pesta buku seumpama ini.

"Cuba namakan pesta buku mana sebelum ini yang memberi kesan yang kuat kepada pengunjung dan pembaca untuk membeli buku-buku?

"Hanya PBAKL dan Pesta Buku Selangor sahaja. Pesta-pesta buku lain jika tidak pun sampai tahap merugikan tetapi tidak memberi sebarang pulangan kepada penerbit," katanya.

Qada zakat yang terabai

Posted: 04 Mar 2012 08:47 PM PST


membayar zakat bukan sahaja membersihkan harta tetapi juga membuka peluang kepada para asnaf memulakan perniagaan untuk membangunkan ekonomi mereka.


SELAMA ini saya tidak pernah membayar zakat. Jika dihitung, kira-kira 30 tahun saya langsung tidak membayar zakat, sama ada zakat pendapatan atau mana-mana zakat harta.

Hanya zakat fitrah sahajalah yang saya tunaikan. Saya hanya pernah memberikan terus sedekah dan zakat kepada golongan asnaf, kerana merasakan ia lebih memberi kepuasan secara individu.

Justeru, saya berzakat secara terus dengan kiraan saya sendiri dan tidak tetap. Saya yakin apa yang saya keluarkan masih belum setimpal dengan apa yang saya perolehi.

Saya pernah menerima teguran Allah, namun saya masih leka dengan kemewahan yang saya nikmati. Sehinggalah kini, perniagaan yang saya bina sejak tahun 2000 mula merudum.

Saya cuba menginsafi dan memperbaiki diri. Namun keadaan masih sukar dan terkadang hampir putus asa kerana puas mencari dimana silapnya.

Saya hanya akur bahawa ini mungkin hukuman keatas sikap kealpaan saya selama ini. Sehinggalah saya mendengar sebuah kuliah zakat, lalu saya sedar dan saya insaf bahawa saya tidak menunaikan zakat pendapatan seperti yang diperintahkan-Nya.

Kini keadaan kewangan syarikat berada dalam dilema. Justeru, bagaimana harus saya mula menunaikan tanggung jawab zakat tersebut.

Bagaimana caranya hendak saya mula membayar zakat? Bila dan bagaimana saya hendak mula qada zakat yang tertunggak?

Saya amat berharap ustaz dapat memberi huraian penyelesaian atas kekusutan persoalan saya ini agar saya dapat melaksanakan perintah-Nya sebaik mungkin.

JAWAPAN:

Semoga Allah SWT sentiasa memberikan pertunjuk-Nya dan membimbing kita menuju kejayaan. Alhamdulillah jika sudah ada cetusan perasaan dan kesedaran dalam kewajipan zakat.

Hakikatnya, bisikan ini datangnya daripada Allah SWT. Maka pesan saya, kuatkan tekad dan azam. Kemudian teruskan niat untuk mengqada zakat yang telah terabai itu.

Ingatlah, kala ini saya yakin pada diri saudara telah datangnya pelbagai bisikan daripada segenap penjuru agar saudara menimbang-nimbang kembali niat mahu melangsaikan hutang-piutang itu dengan Allah SWT.

Ini kerana, Allah SWT sudah menjelaskan bahawa inilah bisikan daripada iblis dan konco-konconya, firman Allah yang bermaksud: Syaitan (itu sentiasa) menjanjikan (menakut-nakuti) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (kikir atau kedekut); sedang Allah menjanjikan untukmu ampunan daripada-Nya dan kurnia. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui. (al-Baqarah: 268)

Kini, apa yang paling utama, semoga ada jalan penyelesaian terhadap dilema yang sedang membelenggu saudara.

Dalam hal ini, suka saya sebutkan, memang dalam aspek hukum wujud khilaf dalam kalangan fuqaha mengenai harta zakat yang binasa dek kerana kelalaian seseorang.

Ada yang menyatakan, orang itu masih wajib berzakat dan ada yang menyatakan, sudah terlepas zakatnya kerana hartanya sudah binasa.

Namun saya sendiri menyetujui pandangan bahawa adalah wajib orang berkenaan menggantikannya apabila sudah ada harta kembali.

Inilah yang tepat dan sudah pasti ia dinamakan qada. Bahkan jumhur ulama menyatakan, berdosa besar bagi sesiapa yang sudah cukup syaratnya namun melengahkan zakat.

Bahkan, pihak pemerintah Islam sebenarnya berhak mengenakan tindakan takzir kepada pengingkar zakat, termasuklah bagi mereka yang melengah-lengahkannya.

Maka, apa yang perlu dilakukan oleh mereka yang baharu insaf atau tersedar atas kesilapan, adalah seperti berikut:

l Menghitung kembali segala kekayaan cukup syaratnya yang lalu dan menunaikan zakatnya hari ini juga.

l Jika dia mampu, maka diqada secara tunai. Jika tidak mampu, qadalah secara berdikit-dikit

l Dalam masa yang sama, wajib baginya memohon ampun (bertaubat) atas kealpaannya

l Menjaga agar tidak teralpa lagi dalam zakatnya pada setiap tahun

Dalam kes saudara, saya dapat membayangkan sedikit-sebanyak kekangan yang ada. Namun, percayalah, ambillah gesaan Allah SWT: Dan apabila engkau telah mempunyai ketetapan hati (keazaman) maka berserah dirilah kepada Allah (akan natijahnya). (ali-'Imran: 159)

Harta milik Allah

Ingatlah, harta dan diri kita ini milik Allah SWT. Apabila kita cuba mendekatkan diri kepada Allah, sudah pasti Allah membukakan pintu-pintu keberkatan ke atas kita.

Ingatlah pesan Allah: Jika seluruh penduduk sebuah negeri itu beriman dan bertakwa, nescaya kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi. (al-A'raf: 96)

Ingat juga, jika kita merasa bimbang menjadi fakir kerana berzakat, maka Allah boleh menambahkan kebimbangan dalam hati, menambahkan beban atas diri sehingga kita merasa sempit kanan dan kiri.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Jangan engkau jadikan tangan engkau terbelenggu ke leher engkau dan jangan pula engkau lepaskan selepas-lepasnya (jangan bakhil dan jangan pemboros, nanti kamu akan duduk tercela dan menyesal. (al-Israk: 29)

Bahkan nabi turut berpesan, daripada Abu Hurairah r.a yang maksudnya: Sedekah tidak mengurangkan harta. Allah tidak melebihkan seseorang hamba dengan kemaafan-Nya melainkan kemuliaan dan tidak merendahkan diri seseorang melainkan Allah mengangkatnya. (riwayat Muslim, ad-Darimi dan Ahmad)

Akhirnya, mari kita lihat janji Allah ini: Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah). Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan rasul-Nya serta orang-orang yang beriman itu (sebagai) penolongnya, (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada agama) Allah, itulah (golongan) yang tetap menang (beroleh kejayaan). (al-Maidah: 55-56)

Dan juga firman-Nya: Tidak ada sesuatu yang melata di bumi melainkan ke atas Allahlah rezekinya dan Dia mengetahui tempat kediamannya dan tempat menyimpannya. Segala yang tersebut itu ada di dalam Kitab yang nyata. (Hud: 6).

Kesimpulannya, tunaikan qada zakat itu walaupun dengan jumlah RM50 sebulan, insya-Allah, jika saudara ikhlas dengan benar-benar mengharapkan keampunan dan keberkatan daripada Allah, maka Allah SWT Maha Berhak memberikannya tanpa sesiapa pun lagi dapat menahannya.

Semoga dengan berzakat, perniagaan saudara kembali pulih dan mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda, insya-Allah. Wallahu a'lam.

Travelog Pesta Buku Antarabangsa Mesir

Posted: 04 Mar 2012 08:44 PM PST


Penulis bergambar di hadapan laluan masuk utama Pesta Buku Antarabangsa Mesir.


Pesta Buku Antarabangsa Mesir ke-43 merupakan antara pesta buku di dunia yang ada keunikannya tersendiri. Namun, penyertaan tahun ini agak kurang sedikit berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Selain menghimpunkan 745 penyertaan dari 29 negara dengan majoriti (67 peratus) penyertaan adalah dari Mesir, ia turut disertai oleh penerbit-penerbit dari lebih 30 negara Arab lain seperti Arab Saudi, Lubnan, Syria, Maghribi, Iran, Tunisia, Algeria, Emiriah Arab Bersatu dan sebagainya. Ada juga penerbit dari Eropah seperti Itali, Jerman dan Perancis.

Jumlah buku yang dipamerkan pula daripada pelbagai genre seperti perubatan, sastera, ilmu-ilmu sains, kanak-kanak, sejarah, kraftangan, pengurusan, falsafah, novel, pendidikan dan macam-macam lagi dengan genre terbesar adalah agama dalam pelbagai topik dengan sebahagian besar (80 peratus) adalah dalam bahasa Arab.

Pesta buku itu diadakan di pusat pameran terbuka dan berpagar yang seluas hampir saiz tiga atau empat padang bola.

Setiap pelawat perlu membayar tiket 10 Pound Mesir atau RM5 sekali masuk. Pelawat juga perlu melalui pintu kawalan keselamatan yang ketat seperti di pintu masuk berlepas lapangan terbang.

Dalam kawasan pesta buku itu ada tidak kurang 20 dewan pameran yang diperbuat sama ada daripada kanvas atau papan. Setiap dewan besar ini mengandungi tidak kurang 50 gerai pameran kecil.

Ada juga penerbit yang menempah tapak pameran dan mendirikan pusat pameran mereka sendiri seperti sebuah kedai buku dengan pelbagai saiz keluasan.

Bagi negara Arab Saudi mereka ada dewan sendiri yang agak mewah dengan dihiasi dan dibina mengikut identiti negara itu.

Dewan Arab Saudi menempatkan lebih 30 gerai penerbit dari negara terbabit, termasuk penerbit pusat-pusat pengajian mereka.

Difahamkan, disebabkan kerana luasnya tapak pesta buku ini, pihak penganjurkan menyediakan perkhidmatan pengangkutan ulang-alik atau shuttle untuk mengelilinginya. Walaupun dengan menaiki shuttle, lawatan sehari belum cukup untuk 'menziarahi' keseluruhan gerai buku yang ada.

Antara kemudahan lain adalah dua medan selera dan sebuah masjid untuk kemudahan solat fardu dan solat Jumaat.

Terpaksa guna troli

Bagi mereka yang pertama kali melawat pesta buku Mesir, mungkin agak pelik melihat pelawat yang datang membawa troli kecil atau beg galas yang besar.

Ini kerana kebanyakan pengunjung terutama pelajar datang membeli buku dengan jumlah yang banyak.

Apatah lagi kebanyakan buku bahasa Arab adalah berkulit tebal, maka beg beroda atau troli adalah satu keperluan. Malah kemungkinan besar belum sempat melawat separuh daripada tapak pesta buku, troli sudah dipenuhi dengan buku.

Jika tidak larat memikul buku kerana terlalu banyak yang dibeli, pengunjung boleh mendapatkan perkhidmatan tidak rasmi daripada anak-anak muda Arab untuk mengangkut dengan membayar sedikit upah.

Sekiranya hendak mengirim buku terus ke negara asal, pihak penganjur juga menyediakan perkhidmatan kargo sama ada melalui udara atau laut.

Di sebalik kehebatan pesta buku tersebut, sebenarnya ia lebih kepada pesta menjual buku dan bagi urusan pelesenan atau jual beli hak penterjemahan.

Bagi para penerbit atau agen penerbitan yang datang atas tujuan utama membeli dan melesen hak penterjemahan, ia sebenarnya masih banyak kekurangan.

Kita perlu berbincang di gerai pameran dengan tuan punya syarikat penerbitan yang terkenal dan mempunyai buku-buku terlaris.

Tidak ada tempat khas yang lebih selesa untuk berbincang.

Cuma ada sebilangan kecil penerbit besar yang profesional akan menjemput ke pejabat mereka.

Sekiranya hendak membeli atau memberikan hak untuk menterjemah, kita perlu membayar secara tunai dalam menggunakan dolar Amerika Syarikat. Ini untuk mendapatkan hak judul pula perlu membayar jumlah keseluruhan secara tunai.

Apabila sudah langsai barulah mereka akan mengeluarkan surat perjanjian.

Ia memang agak berbahaya dari segi keselamatan, namun 'pak-pak Arab' itu hanya akan percaya apabila melihat duit tunai depan mata mereka.

Rombongan dari Malaysia hanya berkesempatan melawat pesta buku ini selama lima hari. Ketika Hari Kemarahan, pesta buku ini ditutup selama dua hari. Tidak ada sebarang kekecohan berlaku.

Mereka sempat 'memborong' buku-buku, sama ada untuk bacaan peribadi atau untuk tujuan penyelidikan.

Sebahagian dibawa pulang bersama, manakala sebahagian lagi dikirim melalui kargo yang diuruskan oleh pelajar Malaysia di Universiti Al-Azhar.

Pengalaman singkat itu amat bermakna kerana selain dapat menjalin hubungan dengan penerbit Mesir, ia juga dapat membina jalinan persahabatan dengan pelajar-pelajar Malaysia melalui Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).

Bagi mereka yang berkesempatan melawat Mesir, selain daripada menziarahi tempat bersejarah, amat menarik sekiranya dapat singgah ke pesta buku ini.

Sekalipun tidak membeli buku kerana kebanyakannya buku dalam bahasa Arab, sekurang-kurangnya kita dapat melihat betapa budaya ilmu di Mesir tersemai sejak kecil lagi.

Apabila menziarahi Pesta Buku Islam di Putrajaya baru-baru ini, terasa amat gembira.

Sekurang-kurangnya, selain Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di PWTC, negara kita akan ada acara buku tahunan yang besar seperti negara jiran yang setiap tahun sekurang-kurangnya ada tiga penganjuran pesta buku besar, termasuk Pesta Buku Islam.

Umrah seringgit sejuta nilai

Posted: 04 Mar 2012 08:41 PM PST


Zainal Abidin Sakom (dua dari kiri) dan Abdullah Abdul Hamid memasukkan RM1 ke dalam tabung USSI pada majlis pelancaran program Umrah Seringgit Sejuta Nilai, baru-baru ini.


APALAH sangat ada pada wang seringgit..." Begitulah mungkin tanggapan ramai daripada kita dek kerana tidak nampak nilaian RM1 dalam kehidupan seharian kita.

Sehinggakan untuk menjadikan ia sebagai wang saku anak-anak ke sekolah pun dirasai tidak wajar atau tidak sampai hati.

Pun begitu, tahukah kita RM1 yang mungkin kecil bagi kita tetapi memberi makna yang besar buat insan lain.

Lantas mengambil ibarat sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit telah mengilhamkan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) bersama Karyawan Bestari Sdn. Bhd. satu idea unik yang dikenali sebagai program Umrah Seringgit Sejuta Nilai.

Program yang menggunakan singkatan USSI ini adalah suatu usaha amal yang bermatlamat untuk mengumpulkan dana bagi menunaikan hajat insan terpilih menunaikan ibadat umrah.

Berkonsepkan menggerakkan hati orang ramai menyumbang RM1 yang kebiasaannya dibelanjakan untuk tujuan kurang penting agar insan yang kurang bernasib baik seperti; golongan fakir miskin, mualaf, warga emas, anak-anak yatim, ibu tunggal dan orang kelainan upaya (OKU) merasai aura Tanah Suci Mekah.

Hakikatnya, berada di tanah kelahiran junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW serta menyelami sirah Rasulullah serta perkembangan syiar Islam adalah impian setiap daripada kita, waima menerusi ibadat umrah ataupun haji.

Bila sahaja bergelar Muslim, pasti sekelumit rasa keinginan agar dapat mengadap Kaabah sepuas-puasnya dan menitiskan air mata di makam Rasulullah, kuat terpateri dalam azam diri. Sayangnya realiti yang terpaksa ditelan oleh segelintir mereka yang dikekang oleh masalah kemiskinan, cita-cita atau impian itu terpaksa dikuburkan.

Walau bagaimanapun, Allah SWT itu Maha Mengetahui segala yang di langit dan di bumi. Malah apa yang ada di dalam hati manusia itu juga adalah dalam genggaman-Nya. Atas kuasa yang dimiliki-Nya itu, Dia mampu memperkenankan dan memakbulkan doa hamba-hamba-Nya.

"Alangkah bertuahnya kita sekiranya dipilih oleh Allah menjadi saluran kepada termakbulnya doa seseorang itu. Dalam perkara ini, anggaplah kita adalah sebahagian daripada insan pilihan-Nya untuk menjayakan hajat mereka yang tidak berupaya melakukan ibadat umrah tetapi dengan ikhtiar hari ini, maka tertunailah hajat mereka.

"Untuk projek percubaan dua orang telah dipilih untuk menunaikan umrah dan insya-Allah mereka akan bertolak pada bulan Mei ini.

"Saya juga merasakan kita bakal menghantar lebih ramai bergantung kepada respons yang diterima," kata pengerusi YBK, Datuk Zainal Zainal Abidin Sakom.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan pelancaran USSI di Restoran Rebung, Bangsar Park, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kata Zainal Abidin, selain mengharapkan derma orang perseorangan, pihaknya juga amat mengalu-alukan sumbangan daripada syarikat korporat, sekali gus dapat merealisasikan impian lebih ramai golongan sasaran untuk ke Mekah.

Sementara itu, Abdullah Abdul Hamid yang juga pengarah projek berkata, idea diwujudkan USSI bertitik tolak daripada pertemuan krew penggambaran dokumentari yang diketuai olehnya di sebuah perkampungan Orang Asli di Pekan, Pahang.

"Ia berlaku pada tahun lepas sewaktu kami melakukan paparan mengenai seorang ibu tunggal yang hidup serba kekurangan tetapi amat berhajat melakukan umrah.

"Apabila sekali lagi kami bertemu dengan beliau, kini ibu tunggal itu telah menunaikan haji menerusi satu bantuan yang diterima.

"Daripada situlah idea itu saya peroleh dan alhamdulillah apabila dipanjangkan kepada datuk dan datin, lebih menggembirakan saya tidak bertepuk sebelah tangan.

"Bermula dari situ, beberapa siri perjumpaan, perbincangan dan kertas kerja dirancang rapi. Alhamdulillah menerusi Sukarelawan daripada YBKN serta sokongan banyak pihak terutamanya media dalam menyampaikan maklumat, segala yang baik itu akan pasti berjaya," jelasnya kepada pihak media pada petang itu.

Mereka yang berminat menghulurkan derma, boleh menyumbang melalui akaun Bank Al Rajhi bernombor 107001881930103 atau melalui tabung yang digerakkan oleh sukarelawan YBK. Setiap sumbangan juga akan dikecualikan daripada cukai pendapatan.

Maklumat lanjut bolehlah menghubungi YBK di talian 03-7875 0036 atau pejabat Karyawan Bestari Sdn. Bhd. di talian 03-6140 6799 ataupun menerusi laman sosial facebook umrahseringgit dan twitter rasmi Program USSI di @UmrahSeringgit atau twitter YBK di @ybkselangor

Dua peserta yang terpilih menjadi perintis program USSI ini ialah Omar Ravi Abdullah, 42, seorang mualaf yang bekerja sendiri sebagai pendawai elektrik.

Seorang lagi adalah bapa kepada 12 anak dari Pekan, Pahang, Abdul Samad Sapie, 59, yang langsung tidak menyangka doanya termakbul dengan cara yang cukup unik.

Kedua-dua peserta yang ditemui di penghujung majlis berasa terharu dan bersyukur dengan tawaran dan pelawaan yang diterima.

Malah ia merupakan sesuatu yang tidak disangka-sangka serta menanggap pemergian ini adalah rezeki Allah SWT yang paling bermakna di dalam kehidupan.

Belajar menjahit untuk berdikari

Posted: 04 Mar 2012 08:38 PM PST


Nuratikah Martha menunjukkan pakaian yang dijahitnya menggunakan mesin jahit yang dibekalkan oleh Lembaga Zakat Selangor.


BERCITA-CITA membesarkan anak sehingga menjadi seorang al-hafiz (penghafal al-Quran) terus bersemi jauh di lubuk hatinya. Cita-cita itu juga tumbuh subur seiring dengan usaha untuk membebaskan diri dan keluarganya daripada belenggu kemiskinan.

Baginya, kejayaan perlu dirintis, biar susah tetap juga perlu diraih. Dengan keyakinan itulah, Nuratikah Martha, 38, mengayuh keyakinannya membuka laluan yang lebih cerah dalam relung-relung kehidupannya.

Ikutilah catatan Jejak Asnaf kali ini, kisah kecekalan seorang ibu tunggal untuk hidup berdikari.

"Saya berasal dari Kuching, Sarawak. Namun saya sudah menetap di Semenanjung Malaysia sejak tahun 1996 lagi.

"Sebut fasal kesusahan, saya memang sudah lama merasai keperitan hidup. Sejak belum berpisah dengan suami lagi, saya memang sudah sedia payah. Namun, apa yang penting ialah saya mahu merubah apa yang susah dan tidak tinggal dalam pasrah," demikian Atikah memulakan bait-bait bicaranya.

Jelas dia tidak pernah sesal dengan liku-liku tragis yang pernah melanda usia kehidupannya. Biarpun perkahwinannya gagal sejak enam tahun sudah, dia tidak kalut. Mungkin ada hikmah di sebalik semua itu yang perlu dia rebut.

"Selepas berpisah pada tahun 2007, saya cuba mencari pekerjaan. Saya pernah bekerja di syarikat swasta. Namun itu tidak lama. Anak-anak saya seramai tiga orang itu susah untuk ditinggalkan.

"Perancangan Allah selalunya luar biasa. Siapa duga, dalam kesusahan itulah, saya ditakdirkan bertemu dengan sebuah keluarga yang amat pemurah dan penyantun.

"Merekalah yang bertanggungjawab memberikan biaya dan galakan agar saya belajar menjahit, agar dengan itu saya mampu berdikari," kata Atikah.

Ibu tunggal dengan tiga anak yang berusia di antara lima hingga 13 tahun ini terus ghairah bercerita.

Menyelak kembali helaian kesusahan zaman silam, Atikah tidak lokek menceritakan, kala itu kesusahan amat mencengkam perasaan.

"Bayangkan, rumah sewa saya sudah enam bulan tidak berbayar. Apa yang lebih menyedihkan, kala usia perkahwinan sudah di hujung dahan, bekas suami saya tidak memberikan apa-apa sebagai bekalan.

"Dek kerana masalah hutang juga, saya sering menerima kunjungan beberapa pihak yang menagih wang mereka. Rimas saya dibuatnya. Masakan saya mampu membayar, jika hidup pun ala kadar.

"Mujurlah, kala itu juga ada pihak akhbar yang simpati dan mereka memasukkan kisah saya ke dalam media. Lanjutan dari itulah, tidak lama kemudian pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) datang dan membuat bancian.

"Saya didapati layak sebagai asnaf zakat dan pihak LZS pun segera menguruskan beberapa keperluan," tambahnya.

Atikah masih ingat, LZS memberi bantuan segera menjelaskan tunggakan sewa rumah selama enam bulan.

Selain itu, LZS juga menyediakan keperluan lain, antaranya bantuan sara hidup dan pendidikan anak-anak.

"Baharulah saya terasa nikmatnya hidup dengan adanya zakat," ujar Atikah lagi.

Menyentuh mengenai pendidikan anak-anaknya, Atikah memang amat menekankan aspek itu agar mereka tidak terabai.

Kala susah, beliau tetap berusaha memberikan apa yang termampu kepada mereka. Demi melihat masa hadapan anak-anaknya terjamin, beliau sanggup berpisah dengan anak sulungnya, Muhammad Wafi, yang dihantar belajar di sebuah sekolah tahfiz sejak usianya tujuh tahun.

"Alhamdulillah, kini anak sulung saya itu sudah berusia 13 tahun dan sedang menyambung pelajaran menengahnya di sebuah madrasah di Mesir. Beliau ke sana pun atas tajaan pihak-pihak tertentu," ujarnya bangga.

LZS bagi modal

LZS melihat kerajinan dan kesungguhan Atikah ini memang perlu dibantu. Untuk itu, LZS menyediakan modal perniagaan demi memastikan beliau tidak tersangkut di pertengahan jalan.

Hakikatnya Atikah amat berterima kasih kepada LZS, kerana banyak membantu. Antaranya, dua mesin jahit dibekalkan di samping banyak lagi bantuan modal ketika dia mula-mula menceburi perniagaan jahitan ini.

"Pokoknya, sejak tahun 2008 hingga kini, sudah lima tahun perniagaan saya bertapak dan LZS sentiasa memantau perkembangan saya. "Alhamdulillah, sambutan masyarakat juga nampaknya memberangsangkan. Insya-Allah, tidak lama lagi saya akan dapat mengecapi kebebasan dan keluar dari kumpulan asnaf," katanya.

Bagi Atikah, zakat amat berperanan membangunkan kalangan asnaf kerana telah terbukti ia membantu merealisasikan impiannya selama ini.

"Terima kasih kepada LZS dan semua pembayar zakat. Saya akan terus berusaha, kerana saya tahu, satu masa nanti saya mahu menjadi pembayar zakat.

"Itulah cita-cita saya dan saya akan berusaha menjadikannya satu kenyataan," katanya menutup bicara.

Nota: Untuk menempah pakaian, Nuratikah Martha boleh dihubungi di emel anum.mekar@yahoo.com atau talian 019-2505041.

Ann wanita lasak

Posted: 04 Mar 2012 08:37 PM PST




SELEPAS menamatkan alam persekolahan, Ann bertekad membantu menambah pendapatan keluarga melalui bidang dandanan rambut.

Namun bukan kemahiran peringkat diploma miliknya itu yang membawa tuah kepada Ann sebaliknya kepetahan bicara yang memberikannya jawatan eksekutif pemasaran di sebuah syarikat swasta.

" Ketika saya ditawarkan kerja dalam bidang pemasaran, saya tiada masalah. Mendandan rambut dan pemasaran memerlukan kemahiran untuk berinteraksi dengan orang ramai. Ia memang sebati dengan jiwa saya," jelasnya ketika ditemui pada majlis anjuran jurusolek, AnnaSha, baru-baru ini.

MinatTidak seperti kegemaran lazim wanita dalam bidang kecantikan, Ann lebih gemar menghabiskan masanya mendaki bukit atau ke gimnasium pada hujung minggu.

"Saya memang suka aktiviti lasak. Sebutlah apa sahaja aktiviti sukan, saya pasti mahu mencubanya. Terbaru, saya belajar main golf," ujar anak kelahiran Kuala Lumpur ini.

Ingin dikenali sebagai seorang yang periang atau happy go lucky, Ann meminati fesyen yang ringkas, elegan dan moden.

Mungkin kerana sifat lasaknya, Ann sentiasa mahu tampil dengan imej moden dan kontemporari.

2 wanita hebat

Posted: 04 Mar 2012 08:35 PM PST


Wajah tegas Thatcher semasa pemerintahannya.
(kiri) dan Streep (kanan) ketika melakonkan watak Thatcher dalam filem The Iron Lady.


UNTUK membawakan watak biografi memerlukan kemampuan istimewa daripada biasa. Apatah lagi, jika watak yang dibawakan itu cukup popular dan masih lagi hidup. Tetapi bagi kebanyakkan pelakon, membawakan watak biografi menjadi idaman mereka. Selain dapat mencabar kreativiti sebagai seorang anak wayang, ia juga dianggap sebagai laluan mudah untuk merangkul anugerah berprestij.

Antara pelakon yang dilihat berjaya menghidupkan watak biografi ialah pemenang Anugerah Akademi ke-84 atau Oscar 2012 Meryl Streep, 63.

Streep membawakan watak bekas Perdana Menteri Britain, Margaret Thatcher menerusi filem The Iron Lady.

Penonton dapat merasakan aura luar biasa lakonan Streep sebagai Perdana Menteri wanita pertama Britain dalam filem tersebut.

Mereka tidak melihat bayangan Streep di layar lebar tetapi seolah-olah Thatcher muncul kembali dan mendominasi perjalanan filem yang memakan masa selama satu jam 45 minit itu.

Penonton seakan tertarik dengan lakonan Streep yang membawakan watak seorang tokoh politik yang pernah mencetuskan kontroversi sewaktu era kepimpinannya.

Thatcher terkenal kerana memulihkan ekonomi Britain melalui penswastaan dan pembatalan kawal selia yang dilihat sebagai ekonomi separa sosialis.

Namun beliau juga digelar diktator ekoran tindakan keras ketika berdepan dengan mogok oleh pekerja arang batu pada 1984 dan rusuhan pada 1990 berhubung pengenalan cukai.

Thatcher kini berusia 87 tahun menderita penyakit demensia dan tidak berdaya.

VersatilIni bukanlah kali pertama Streep membawakan watak biografi sehingga berjaya tercalon untuk Oscar.

Antara watak yang pernah dibawakannya termasuklah Roberta Guaspari dalam filem Music of the Heart dan Julia Child (Julie & Julia).

Bahkan lakonannya sepanjang tiga dekad ini tidak mengecewakan. Lakonannya tetap menjadi pujaan Hollywood walaupun pelakon baru silih berganti.

Beliau boleh membuat pelbagai aksi dalam dalam filem muzikal komedi, Mamma Mia.

Walaupun secara zahirnya Streep dilihat mampu memegang apa sahaja watak, beliau tidak pernah mengambil mudah dalam kerjayanya.

Untuk membawakan watak seorang pemimpin dalam filem The Iron Lady, Streep melalui pelbagai pengalaman yang cukup memenatkan.

"Penat yang saya alami untuk menzahirkan Margaret bukan kecil kerana ia melibatkan persiapan dalam aspek fizikal dan mental.

"Apatah lagi saya sendiri perlu disolek lebih dua jam setiap hari.

"Tetapi, bagi saya, perkara yang paling mencabar adalah untuk mengubah suara saya mengikut fasa dalam perjalanan karier Margaret," jelasnya.

OptimisDi sebalik kejayaannya membawa watak Margaret Thatcher, ia turut mendapat tentangan rakyat British yang kurang bersetuju kerana merasakan pelakon Amerika seperti Streep tidak layak untuk membawakan watak tokoh penting dari negara mereka.

Sentimen kerakyatan itu bagaimanapun langsung tidak mengubah pendirian penerbit dan pengarah filem berkenaan untuk terus memilih Streep.

Streep tetap optimis walaupun menjadi satu-satunya pelakon Amerika dalam filem tersebut.

"Saya mengambilnya sebagai sesuatu yang positif dan belajar daripada mereka yang ada sebahagiannya tidak pernah saya ketahui sebelum ini. Membintangi filem The Iron Lady hakikatnya telah membuka lembaran baru untuk saya," jelasnya.

Azlina simpan puntianak

Posted: 04 Mar 2012 08:34 PM PST


KAIN rentang saiz sebenar Edward Cullen setinggi 1.82 meter antara koleksi Twilight kesayangan Azlina. Adlina.


UMPAMA mengunjungi muzium Twilight, peminat filem puntianak pasti teruja melihat koleksi milik Azlina Mahbob. Daripada poster bersaiz sebenar puntianak idaman ramai, Edward Cullen hinggalah pelbagai replika barang kemas yang dipakai watak filem Twilight seperti cincin pertunangan Bella Swan dan rantai Alice Cullen, semuanya tersimpan rapi di dalam bilik khas.

Lebih 100 barang berunsurkan kisah percintaan puntianak dan manusia biasa nukilan penulis novel Stephenie Meyer ada dalam simpanan Azlina.

"Kebanyakannya saya dapat dari luar negara melalui jualan dalam Internet dan ada yang dihantar oleh rakan di Amerika Syarikat kerana barangan Twilight yang asli sukar diperolehi di sini.

"Nasib baik saya sudah berkahwin, Kalau tidak, pasti saya akan mereka pakaian pengantin seperti dipakai Bella!" ujar Presiden Kelab Twilighters Malaysia berseloroh.

Antara aktiviti kelab tersebut, menganjurkan tayangan istimewa siri filem itu serta memberikan maklumat sebarang perkembangan filem tersebut serta di mana boleh mendapatkan barangan Twilight.

Mengakui meminati Twilight kerana 'jatuh cinta' dengan watak Edward yang kacak dan romantik, mujurlah suaminya memahami kegilaannya itu malah menyokongnya dengan membantu setiap kali Azlina mengadakan majlis berkaitan Twilight.

Barangan lain yang dikumpul Azlina sejak awal 2009 adalah kesemua novel Twilight Saga, VCD, album runut bunyi, payung, barang kemas, bekas air, baju, poster pawagam, majalah, topi, bekas bertih jagung serta bermacam-macam lagi yang jumlahnya dianggarkan beribu-ribu ringgit.

Menurut Azlina, kegilaannya bermula selepas menonton DVD filem Twilight pada awal 2009 dan terus memburu novel-novelnya pula kerana tertarik dengan jalan ceritanya yang berbeza dengan kebanyakan filem puntianak yang lain.

Menghabiskan keempat-empat novel dalam masa seminggu sahaja, cintanya kepada watak-watak Twilight yang menebal menemukan dia dengan peminat tegar lain sehingga mereka sepakat menubuhkan Kelab Twilighters Malaysia.

Malah, Azlina bersama seorang lagi rakannya pernah terbang ke Jepun hanya untuk bersua pemegang watak Edward iaitu Robert Pattinson ketika tayangan perdana New Moon di Shinagawa, Jepun pada November 2009.

Dia yang sarat mengandung merancang ke Los Angeles pada November depan bagi menghadiri Tayangan Perdana The Twilight Saga: Breaking Dawn Part 2 di sana.

Pilihan Coach selebriti

Posted: 04 Mar 2012 08:21 PM PST


Jessica Alba - dia nampak sibuk tetapi elegan dengan beg Coach biru gelap di tangan kanan dan bekas minuman di sebelah kiri ketika melangkah keluar dari kereta.


Mungkin sudah menjadi kebiasaan bagi bintang Hollywood untuk memiliki beg berjenama. Ia mampu menambah gaya kepada penampilan mereka. Mendapatkan beg edisi terhad pula bagai suatu kemestian untuk nampak trendy sepanjang masa.

Coach antara jenama yang masih menjadi kegemaran ramai selebriti terutamanya dari Hollywood. Ia mengungguli senarai barangan aksesori yang digayakan semasa menghadiri majlis keramaian, pelancaran filem baru atau sekadar keluar membeli-belah di Beverly Hills.

Perhatikan cara mereka membawa diri di khalayak ramai yang nampak lebih yakin dengan aksesori Coach ini.

Apa tidaknya, jenama yang sudah berada di pasaran sejak 1941 ini menjadi lambang gaya wanita yang sudah mencapai suatu tahap membanggakan dalam hidup dan kerjaya!

Fesyen ibu mengandung pilihan Dynas

Posted: 04 Mar 2012 08:20 PM PST


MEMASTIKAN kelancaran butiknya Dynas akan mengambil bahagian di dalam setiap rangka promosi.


BERCAKAP tentang fesyen kita akan dihujani dengan pelbagai pendapat yang berbeza, senang kata pandangan fesyen seseorang itu sukar diramalkan. Namun lain pula buat selebriti tinggi lampai yang kini sedang sarat mengandung lima bulan, Dynas Mohtar atau nama sebenarnya Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar.

Pengalaman sebagai ibu serta pengetahuannya dalam bidang fesyen membuka peluang buat ibu muda berusia 29 tahun ini untuk membantu para ibu hamil mendapat fesyen pakaian yang mesra menyusu.

Bagi Dynas walaupun perkara itu dianggap remeh oleh sesetengah pihak, ia mampu memberi kesan kepada tumbesaran kanak-kanak.

Menurut Dynas, dengan keadaan tempat awam yang kebanyakannya masih belum mampu menyediakan kawasan khas untuk para ibu menyusukan bayi, dia kini berusaha untuk membantu golongan tersebut.

Ini dilakukan melalui rekaan pakaian yang sesuai dan memudahkan golongan ibu menyusukan bayi masing-masing tidak kira di mana tanpa ada perasaan malu dan kurang senang.

"Kadang-kadang keadaan di tempat awam tidak mengizinkan seorang ibu itu menyusukan anaknya dengan selesa dan sempurna. Ini sekali gus melemahkan semangat ibu-ibu ini untuk terus memberikan susu badan kepada anak masing-masing.

"Seharusnya perkara ini tidak berlaku memandangkan susu merupakan makanan penting buat bayi khususnya yang masih belum mencapai umur enam bulan," katanya ketika di temui di butik miliknya di The Curve, Damansara, Selangor.

Menurut Dynas, sebagai seorang artis dan usahawan yang sibuk, dia sentiasa berada di kawasan awam dan dia sendiri melalui pengalaman yang sama.

Jika dahulu dia agak sukar untuk menyusukan anak namun dengan rekaan baju miliknya, dia kini lebih mudah menjalankan tanggungjawab tersebut.

Malah dia berharap, melalui rekaan pakaian itu akan dapat membantu para ibu di luar sana terus memberikan susu badan kepada anak mereka khususnya di khalayak.

"Saya faham akan perasaan yang dilalui ibu-ibu di luar sana itu setiap kali berada di kawasan awam.

"Saya mahu melalui rekaan baju yang saya hasilkan ini dapat memberi kelebihan untuk ibu-ibu memberikan susu badan kepada anak-anak walau di mana jua mereka berada," katanya dalam nada lembut.

Gaya prestij Tumi

Posted: 04 Mar 2012 08:14 PM PST


KOLEKSI beg dan bagasi Tumi menggoda penggemarnya tidak kira lelaki atau perempuan.


MENGGALAS beg berjenama prestij tidak dinafikan sedikit sebanyak menyuntik keyakinan pada si pemakainya apatah lagi jika melangkah ke majlis-majlis rasmi.

Bukan sekadar memenuhi fungsinya sebagai ruang menyimpan barang sama ada beg bagasi untuk perjalanan jauh mahupun sekadar tas tangan, beg-beg Tumi merupakan luahan fesyen dan gaya.

Sempena koleksi musim bunga 2012 , jenama terkenal dari Amerika Syarikat itu menggoda penggemarnya dengan warna dan rekaan yang lebih bergaya.

Tidak kira sama ada koleksi untuk lelaki mahupun wanita, koleksi terbaru ini diterjemahkan dengan begitu teliti bagi keselesaan pemakainya tanpa berkompromi dengan penampilan sedia ada.

Pilihan untuk mereka yang ingin membuat perjalanan jauh musim ini tumpuan pada aspek penggunaan bahan-bahan yang sangat ringan dan tahan lasak.

Diinspirasikan daripada individu yang sentiasa bergerak, pilihan beg direka seiring dengan kepelbagaian keperluan bagi membuatkan peralihan dari suasana pejabat ke rumah berjalan lancar.

Ini termasuk ruang-ruang penyimpanan dokumen, pakaian, iPad dan pelbagai gajet lain yang tersusun.

Untuk lelaki, Tumi tampil dengan rangkaian Bedford yang klasik dan sofistikated; Bravo, koleksi kasual dengan warna-warna semula jadi; Alpha yang merupakan koleksi signature Tumi Vapor, koleksi anugerah; Ducati, dengan gaya lebih sporty, dan Beacon Hill, yang diperkenalkan buat pertama kali.

Dalam pada itu, pilihan untuk beg-beg wanita sempena keceriaan musim bunga ini ditampilkan dalam pilihan warna-warna yang lebih terang.

Rangkaian beg tote Boulevard misalnya, tampak elegan dengan warna oren lobak merah, putih gading dan biru laut.

Paling ketara potongannya yang licin, klasik dengan bentuk yang ringkas serta mudah untuk digunakan.

Turut ditampilkan rangkaian Villa yang elegan; Sloane, dengan dua warna metallic linen dan quartz, yang cukup bergaya bagi peralihan dari tempat kerja ke suasana hujung minggu yang meriangkan; Moorland, koleksi beg untuk siang hari; Georgetown, untuk wanita bergelar ahli perniagaan; Bellevue, yang menggabungkan urusan rasmi seharian dengan gaya sofistikated; dan akhir sekali Voyageur, rekaan semula yang lebih lengkap untuk beg nilon yang ringkas hinggalah ke beg yang lebih penting dan bergaya dengan sentuhan moden seperti zip tarik, cermin yang dibaluti kulit dan sebagainya.

Semua koleksi terbaru ini boleh didapati di semua butik Tumi di pusat-pusat beli-belah utama.

SBP gah di peringkat dunia

Posted: 04 Mar 2012 08:13 PM PST


Empat pelajar SBP Integrasi Tun Abdul Razak yang mewakili dua pasukan negara bersama guru pembimbingnya mempamerkan pingat emas yang dimenangi pada pertandingan IYIE 2012 di Tainan, Taiwan baru-baru ini.


Nama Malaysia sekali lagi harum di peringkat antarabangsa apabila kesemua empat pasukan yang mewakili negara pada pertandingan Pameran Reka Cipta Belia Antarabangsa (IYIE) 2012 di Tainan, Taiwan membawa pulang pingat emas dalam pelbagai kategori yang dipertandingkan baru-baru ini.

Empat pasukan itu terdiri daripada pelajar-pelajar dari tiga buah sekolah berasrama penuh (SBP) iaitu Sekolah Menengah Sains (SMS) Tuanku Syed Putra Kangar, Perlis; SMS Sultan Mohamad Jiwa, Sungai Petani, Kedah dan SBP Integrasi Tun Abdul Razak, Pekan, Pahang.

Pengarah Bahagian Pengurusan SBP dan Sekolah Kecemerlangan, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Rosland Hussein berkata, pertandingan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) seperti ini merupakan pendedahan awal kepada pelajar untuk melihat dunia luar serta mencari pengalaman di peringkat antarabangsa.

SK Dalam Ru anjur Program Kitar Semula

Posted: 04 Mar 2012 08:12 PM PST


WARGA guru melancarkan kempen kitar semula barangan terbuang untuk menjana pendapatan PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Dalam Ru di Pasir Puteh, semalam.


PASIR PUTEH 4 Mac - Guru dan murid-murid Sekolah Kebangsan Dalam Ru dekat sini hari ini melancarkan kempen 'Program Kitar Semula dan Selamatkan Bumi Kita' sebagai sebahagian usaha menanam sikap menghargai barangan terbuang dan tidak menganggapnya sebagai sampah-sarap yang tidak berharga.

Guru Besar sekolah itu, Wan Hamidah Wan Daud berkata, kempen itu akan memantapkan disiplin murid terhadap kebersihan alam sekitar dengan tidak membuang sampah di merata-rata tempat.

Beliau berkata, program itu diharapkan mencapai matlamat sekolah sifar sampah dengan amalan kitar semula dan tabiat 'ringan tulang' untuk mengumpul barangan terbuang di tempat yang dikhaskan.

Guru perlu kreatif, inovatif

Posted: 04 Mar 2012 08:11 PM PST


Jailani Ludin (kiri) melihat kereta solar ciptaan pelajar SMK Seri Tualang selepas merasmikan Majlis Pelancaran Produk dan Program Sains dan Teknologi di sekolah itu di Temerloh, Pahang, baru-baru ini.


Guru sains dan matematik perlu kreatif serta menggunakan pendekatan yang menarik bagi mengatasi masalah kemerosotan minat pelajar terhadap kedua-dua mata pelajaran tersebut.

Ketua Sektor Pembangunan Akademik, Jabatan Pelajaran Negeri Pahang, Jailani Ludin berkata, kedua-dua mata pelajaran itu penting kerana ia merupakan tunjang bagi melahirkan pelajar sebagai modal insan yang kreatif dan inovatif.

Katanya, bagi mencapai status negara maju, rakyat negara ini perlu menguasai dan meneroka kemajuan sains dan teknologi.

"Ini merupakan satu cabaran buat warga pendidik, khususnya guru-guru yang mengajar mata pelajaran sains dan matematik bagi meningkatkan semula minat pelajar terhadap kedua-dua mata pelajaran tersebut.

"Guru perlu menyahut cabaran ini kerana kemajuan dan masa depan negara terletak di bahu kita bagi melahirkan pelajar yang mampu menguasai teknologi serta pakar dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D)," kata Jailani.

Beliau yang mewakili Pengarah Pelajaran Pahang berkata demikian semasa berucap merasmikan majlis Pelancaran Produk dan Program Sains dan Teknologi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Tualang di Temerloh, Pahang baru-baru ini.

Turut hadir Pegawai Pelajaran Daerah, Aishah Hamzah dan Pengetua SMK Seri Tualang, Hussin Hamid.

Menurut beliau, mata pelajaran sains dan matematik juga memerlukan transformasi serta penambahbaikan seiring dengan perkembangan ilmu dan teknologi supaya para pelajar tidak berasa bosan semasa mengikuti subjek tersebut.

Jailani juga menasihati para pelajar supaya menanam cita-cita untuk berjaya dalam kerjaya berasaskan teknologi serta R&D dan bukannya bekerja dalam sektor kerajaan apabila tamat pengajian daripada universiti.

"Kita perlu membuang minda untuk makan gaji dengan kerajaan semata-mata.

"Hal ini kerana jawatan dalam kerajaan adalah terhad tetapi sebaliknya dunia kerjaya hari ini lebih terbuka kepada mereka yang mampu menguasai kemajuan sains dan teknologi," ujar Jailani.

Beliau menambah, kerjaya dalam bidang berkaitan sains, matematik dan teknologi menawarkan gaji yang lumayan dan ini yang menjadi cita-cita kerajaan untuk membolehkan rakyat meraih pendapatan tinggi.

Kesusahan hidup insafkan siswa

Posted: 04 Mar 2012 08:10 PM PST


Roni Affendi mengimamkan solat Maghrib bersama anak angkatnya dari Malaysia yang menyertai Program Pertukaran Belia dan Program Pembelajaran 2012 di Padang, Sumatera Barat, baru-baru ini.


Kesusahan yang dialami penduduk miskin yang disaksikan sukarelawan-sukarelawan mahasiswa pada Program Pertukaran Belia dan Program Pembelajaran 2012 di Padang Sumatera Barat, Indonesia baru-baru ini mendorong mereka untuk menjadi anggota masyarakat yang lebih prihatin dan penyayang.

Perasaan tragis sedih dan hiba akibat musibah gempa bumi terus melekat di hati mahasiswa yang pertama kali menjejak kaki di Padang, meskipun sudah tiga tahun ia berlalu.

Rata-rata mahasiswa merasai perasaan kesedihan penduduk yang mempunyai pengalaman ngeri berdepan dengan gempa bumi sehingga meragut lebih daripada seribu nyawa.

Fairview, USH meterai MoU

Posted: 04 Mar 2012 08:09 PM PST


MOHD. Sham Mohd. Sani (dua dari kiri) menandatangani dokumen dengan Cliff Allan (dua dari kanan) sambil disaksikan oleh Rujhan Mustafa (tengah) di Kuala Lumpur baru-baru ini.


SEKOLAH Antarabangsa Fairview (Fairview) terus mengukuhkan status sebagai sekolah cemerlang pendidikan tinggi dengan menjalinkan lebih banyak kerjasama dengan universiti antarabangsa.

Terbaru, Fairview bersama Universiti Sheffield Hallam (USH) dari United Kingdom menandatangani memorandum persefahaman ( MoU ) bagi program penyelidikan di peringkat sarjana dan pertukaran penuntut antara kedua-dua universiti berkenaan.

Antara kerjasama yang dijalankan meliputi bidang penyelidikan dan pendidikan inovatif yang berdaya saing di peringkat antarabangsa yang ditawarkan kedua-dua pihak.

Pengerusi Lembaga Pengarah Fairview, Professor Emeritus Datuk Dr. Mohd. Sham Mohd. Sani berkata, antara skop kerjasama itu termasuk mempromosikan pertukaran pelajar dan penyelidik kedua-dua institusi itu.

UPM bangun landskap Putrajaya

Posted: 04 Mar 2012 08:09 PM PST


MOHD Saleh Jaafar (tiga dari kiri) bertukar dokumen dengan Samsudin Osman pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UPM dan PPj di Putrajaya baru-baru ini.


FAKULTI Reka Bentuk dan Seni Bina (FRSB), Universiti Putra Malaysia (UPM) mengadakan kerjasama pintar dalam penyelidikan landskap serta alam sekitar di Putrajaya.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof. Datuk Dr. Mohd Saleh Jaafar berkata, ia merupakan kerjasama UPM dan Perbadanan Putrajaya (PPj) dalam bidang penyelidikan, perkongsian sumber dan latihan pelajar yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak.

Katanya FRSB akan menerajui kepakaran seni bina, reka bentuk, seni bina landskap dan reka bentuk produk bagi membantu PPj mengeluarkan model terbaik.

UTHM, Sukaguam jayakan sekolah angkat jadi pusat kecemerlangan pendidikan

Posted: 04 Mar 2012 08:07 PM PST


Khairul Anwar Rahmat menyampaikan sumbangan dan bantuan kepada murid cemerlang dan miskin di Sekolah Kebangsaan Kampung Melayu, Kluang, kelmarin.


KLUANG 2 Mac - Sukarelawan Peguam Untuk Semua (Sukaguam) akan bekerjasama dengan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dalam menjalankan projek sekolah angkat bagi dimantapkan sebagai pusat kecemerlangan pendidikan.

Pengerusinya, Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, pihaknya sedang mengenal pasti sukarelawan peguam terutamanya daripada Sukaguma, penuntut dan tenaga pakar UTHM untuk terlibat menjayakan projek itu.

"Buat permulaan, kita akan memilih sebuah sekolah di Kluang sebagai sekolah angkat untuk kita sama-sama membantu meningkatkan prestasi akademik, kokurikulum dan memantapkan keperibadian pelajar-pelajar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah bertajuk Pembentukan Keperibadian dalam Kepimpinan Menuju Kecemerlangan Kerjaya pada Kongres Kepimpinan di UTHM di sini, semalam.

Dalam ceramahnya, beliau yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sukarelawan Siswa Kementerian Pengajian Tinggi menarik perhatian pelajar apabila menyarankan golongan itu menerapkan prinsip PESTA iaitu politik, ekonomi, sosial, teknologi dan agama sebagai panduan untuk menjadi pemimpin pelapis negara.

"Pelajar mesti mempunyai hubungan baik dengan manusia dan Tuhan (politik); mempersiapkan diri dalam bidang ekonomi dengan menjana pendapatan sendiri.

''Mereka turut perlu bersama teman dan rakan yang mampu membawa diri ke arah kejayaan positif (sosial),'' katanya.

Khairul Anwar menambah, para pelajar juga perlu menggunakan teknologi tepat termasuk media sosial dalam menentukan hala tuju diri dan ia harus berpandukan agama yang melindungi umat manusia.

Pelengkap gaya, keperluan mobiliti

Posted: 04 Mar 2012 08:06 PM PST


CAPAIAN data dan memori pengkomputeran menjadi lebih mudah melalui pemacu USB.


KEHADIRANNYA sekitar awal tahun 2000 dahulu menimbulkan banyak persoalan di kalangan pengguna teknologi tentang apakah sebenarnya fungsi dan keunikan produk pemacu USB.

Ketika itu, tidak ramai yang menyedari bahawa gajet berkenaan mempunyai peranan cukup besar dalam membantu manusia melakukan kerja-kerja pengkomputeran harian.

Hari demi hari, inovasi yang lebih kenali sebagai thumbdrive itu semakin dilihat mampu memberi dimensi baru dalam operasi penyimpanan data mobiliti.

Secara teknikalnya, pemacu USB merupakan peranti simpanan atau storage ingatan kilat yang mengaplikasi pacuan teknologi antaramuka Bas Bersiri Universal (USB) bagi pelaksanaan fungsi membaca dan menulis pelbagai jenis fail.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan