Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Aznil Nawawi Guna Sembilan Produk Kecantikan Wajah
- Jaclyn Victor Dapat Kebebasan Bernaung Bawah KRU Studios
- Jadi berani kerana Seekers
- Harun Salim Bachik Nafi Letak Jawatan Presiden Seniman
- 'Pilih Kasih 3' Program Realiti Terakhir - Rosyam
- Cantik bawa mudarat
- Steven Tyler Goda Peserta American Idol
- Angelina Jolie Rancang Mengarah Filem Sepenuh Masa
- Lepas gian
- Jac percaya kemampuan KRU
- 13,500 bekas tentera tak berpencen hidup melarat
- Forum seks Kelab Taat Suami kena serbu
- Myn murtad gara-gara konflik keluarga
- Memanfaatkan ICT untuk anak
- Khasiat tambahan untuk anak cerdas
- Pilih makanan elak obesiti
- Kesusahan keluarga kekuatan Zoher
- Rekaan Syomir tidak berlebihan
- Undangan facebook hakis silaturrahim
- Aisha bersyukur diberi peluang kedua
- Mengapa remaja Melayu layu?
- Berkahwin bila mampu
- Persiapan laksana hudud
- Kaburi pelanggan guna ayat al-Quran
- Dosa tidak berzakat
| Aznil Nawawi Guna Sembilan Produk Kecantikan Wajah Posted: 25 Jan 2012 08:45 PM PST ![]() PETALING JAYA: Pengacara Aznil Nawawi mula terdedah dengan penjagaan wajah seawal usia 12 tahun dan sehingga sekarang telah menggunakan sebanyak sembilan jenis produk kecantikan. Aznil berkata, pada usia tersebut dia sudah mula praktik menggunakan tiga jenis produk wajib iaitu pencuci, penyegar dan pelembap. "Kebanyakan lelaki selalu menganggap remeh tentang penjagaan wajah mereka. Bagi mereka itu perkara yang leceh. "Lain pula dengan saya yang sudah mula menjaga wajah pada usia muda. Jika dahulu hanya tiga produk sahaja, sekarang ini saya pakai sembilan jenis yang antaranya seperti krim mata, pemutih, serum, penegang kulit, dan pelindung matahari selain tiga pembersih utama pencuci, penyegar dan pelembap. "Rasa muka ini seperti bogel pula apabila tidak mengenakan apa-apa," katanya. Tambah pengacara rancangan Clever itu, dia akan meluangkan masa sekurang-kurangnya sejam untuk merawat wajahnya sebelum keluar rumah melakukan rutin hariannya. Dan jika tidak meletakkan sebarang pelembap wajah, risiko untuk terdedah dengan cahaya matahari lebih mudah selain kurang berkeyakinan diri apabila bertemu dengan orang ramai. "Saya percaya, sesiapa sahaja yang menjaga raut wajahnya akan berasa lebih berkeyakinan berbanding yang tidak berbuat apa-apa. Pada masa yang sama juga kita akan lebih maju daripada segi karier kerana personaliti yang dibawa itu," tegasnya. Sementara itu, pengacara itu berharap agar kariernya diangkat lebih tinggi dengan melakukan satu kelainan untuk menghiburkan peminat-peminatnya yang terdiri daripada kalangan kanak-kanak sehinggalah orang dewasa. "Saya selalu ingin membuat kelainan agar para peminat tidak bosan dengan persembahan saya tidak kira dalam bidang pengacaraan di televisyen mahupun acara konsert. "Sebab itu Konsert Hore-Hore dianjurkan kerana bagi saya ia satu kelainan apabila seorang pengacara yang membuat konsert, bukannya penyanyi. "Pada tahun ini, mungkin saya akan melakukan sesuatu di mana akan menjelajah ke setiap negeri selepas menerima respons positif tentang konsert yang dianjurkan bersama pihak Astro pada Mac tahun lalu," ujarnya. | ||
| Jaclyn Victor Dapat Kebebasan Bernaung Bawah KRU Studios Posted: 25 Jan 2012 08:44 PM PST Jaclyn Victor diberikan kebebasan untuk memberikan pandangan dan idea berkenaan konsep muziknya bersama KRU Music.KUALA LUMPUR: Penyanyi Jaclyn Victor (Jac) menganggap hasratnya untuk menjadi artis KRU Music merupakan satu gandingan ideal yang dapat memberikan kebebasan kepadanya untuk memilih konsep lagu dan idea kreatif berkaitan kerjaya nyanyiannya. Jac yang sebelum ini merupakan artis rakaman bersama Sony Music selama enam tahun berkata, kerjasama dengan KRU Music yang dimeterai bermula Rabu, akan membuka ruang untuk dia mencuba muzik baru dan berbeza. "Saya sangat teruja kerana ia memberikan perspektif dan suasana baru. Bersama KRU, saya berpeluang untuk berkongsi idea dan konsep lagu yang saya mahukan. "Ia membabitkan perbincangan dan perkongsian idea bersama," katanya yang ditemui selepas sidang media tersebut di Hard Rock Cafe, di sini, petang Rabu. Jac atau nama sebenarnya Jaclyn Joshua Thanaraj Victor, 34, mengikat kontrak selama setahun dan bakal mengeluarkan album baru terbitan komposer terkenal, Edry Abdul Halim pada April depan. Jac sempat mendendangkan lagu 'single' terbarunya, Sebelah Jiwaku ciptaan Edry Abdul Halim.Bercerita lanjut, Jac berkata tawaran yang menarik dan fleksibel itu menyuntik keyakinannya untuk menerima tawaran tersebut tanpa berfikir panjang. "Selepas lapan tahun bergelar artis rakaman, saya ingin 'lari' daripada identiti genre balada yang sinonim dengan saya sejak lagu Gemilang. "KRU menawarkan konsep, muzik dan imej yang segar dan berbeza daripada kelaziman sebelum ini. "Kreativiti dan pengalaman mereka memberikan keyakinan kepada saya untuk bekerjasama," katanya. Ketika diminta mengulas mengenai kenyataannya yang berbaur kecewa dan terkilan dengan kerjasama yang kurang berkesan ketika bersama Sony Music, Jac berkata bakat dan kemampuannya tidak dicungkil sepenuhnya sepanjang tempoh itu. "Masih banyak aspek berkaitan bakat nyanyian saya yang tidak dicungkil sepenuhnya sebelum ini. "Bagaimanapun, tempoh enam tahun bersama Sony Music banyak mengajar saya selok-belok bergelar penyanyi profesional dan dunia nyanyian. "Sebagai penyanyi yang ingin terus maju, saya perlu mencari peluang baru dan mencanai potensi untuk kekal relevan dengan perkembangan muzik semasa," katanya. Jac bersama komposer dan penerbit Edry Abdul Halim (kiri) dan Timbalan Presiden KRU Music KC Ismail (kanan).Pada majlis yang sama, Jac turut menyampaikan lagu 'single' terbaru ciptaan Edry Abdul Halim berjudul Sebelah Jiwaku. Lagu rancak itu bakal dimuatkan dalam album studio terbarunya yang dijangka akan memuatkan enam buah lagu. Turut hadir pada majlis berkenaan adalah Timbalan Presiden KRU Music, KC Ismail dan Edry Abdul Halim. | ||
| Posted: 25 Jan 2012 08:42 PM PST Rabecca Nur Islam SEJAK membawakan watak penggoda dan antagonis membuatkan pemilik nama Rabecca Nur Islam, 25, ini bagaikan sinonim dengan peranan sedemikian. Hal itu sedikit sebanyak membataskan kemampuan lakonannya. Namun begitu, Keramat barangkali tanda awal bakal mengubah persepsi penggiat seni lakon, juga peminat mengenai kebolehan wanita tinggi lampai ini. Syazura, wanita tertekan yang cuba mencari penyelesaian terhadap masalahnya menuntut pelbagai ketahanan mental dan fizikal daripada Rabecca iaitu menghayati babak dirasuk dan akhirnya menjadi pembunuh.
| ||
| Harun Salim Bachik Nafi Letak Jawatan Presiden Seniman Posted: 25 Jan 2012 08:40 PM PST Harun Salim BachikPETALING JAYA: Pelawak dan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Harun Salim Bachik menolak dakwaan dia bakal melepaskan jawatan itu kerana gagal melaksanakan perubahan besar sejak menggalas jawatan itu pada 2009. Pemilik nama sebenar Haron Aminar Rashid Salim, 52, itu berkata dia berasa hairan dan kecewa dengan khabar angin yang timbul kerana boleh menjejaskan reputasinya sebagai ketua persatuan itu pada mata umum. "Saya terkejut apabila dakwaan (meletakkan jawatan) ini timbul sedangkan saya tidak pernah berkata apa-apa atau memberikan sebarang kenyataan. "Siapalah yang membawa mulut tentang perkara ini, walhal saya sendiri tidak tahu-menahu," katanya ketika dihubungi mStar Online, Rabu. Harun dilantik sebagai Presiden Persatuan Seniman selepas menewaskan Datuk Mustapha Maarof dengan kelebihan 78 undian pada Mesyuarat Agung Tahunan pada 18 Disember 2009. Harun memegang jawatan itu bagi tempoh tiga penggal yang dijangka berakhir pada hujung tahun ini. Ketika ditanya pernah atau tidak terdetik perasaan kecewa dan terkilan sepanjang bergelar Presiden, Harun berkata perasaan kecewa apabila kepimpinannya dipertikaikan oleh ahli persatuan itu tidak pernah melunturkan semangatnya untuk terus menggalas tanggungjawab tersebut. "Sejujurnya memang ada juga perasaan kecewa dengan kepimpinan saya sendiri dan perjalanan persatuan tetapi belum lagi sampai ke tahap hendak meletakkan jawatan. "Jika sekalipun saya hendak meletakkan jawatan, ia tidak semudah yang diperkatakan kerana ia melibatkan semua ahli dan bukan keputusan individu," katanya. Harun berkata kesetiaan terhadap persatuan itu tidak akan berganjak walaupun dia lagi memegang sebarang jawatan selepas ini. "Tahun ini adalah tahun terakhir saya memegang jawatan presiden. Sekali pun saya tidak lagi menggalas jawatan presiden selepas ini, saya akan tetap sokong perjuangan Seniman. "Sama ada berjawatan penting atau ahli biasa, ia tidak akan mengubah pendirian dan kesetiaan saya pada Seniman," katanya. | ||
| 'Pilih Kasih 3' Program Realiti Terakhir - Rosyam Posted: 25 Jan 2012 08:39 PM PST ![]() SUBANG JAYA: Program realiti Pilih Kasih (PK) musim ketiga akan menjadi rancangan yang terakhir pada tahun ini selepas berjaya meletakkan ia setaraf dengan program pertandingan realiti popular yang sedia ada di Malaysia. Penerbitnya, Rosyam Nor berkata, menerbitkan PK sebanyak tiga kali berturut-turut sudah cukup membanggakan apabila program idea asal miliknya itu mampu mencetuskan fenomena dan pada masa yang sama, dapat melahirkan bakat-bakat baru dalam persada seni lakonan tempatan. "Saya dah penat untuk meneruskan program ini. Tapi, tengoklah macam mana nanti. Mungkin tahun ini adalah yang terakhir. "Sebab itu, pada tahun ini, saya akan bersungguh-sungguh melahirkan bakat-bakat baru menerusi Pilih Kasih di mana apabila mereka (peserta) keluar dari program ini, mereka mampu membina nama sendiri, walaupun tidak bergelar juara," katanya yang ditemui pada majlis sidang akhbar finalis Pilih Kasih di Hotel Holiday Villa di sini, Rabu. Seramai 16 finalis dipilih selepas mengadakan pencarian bakat di tujuh lokasi iaitu Selangor, Kedah, Johor, Sabah, Sarawak, Kuantan dan Kuala Lumpur. ![]() Tambah Rosyam, pada musim ini, pemilihan peserta lebih menekankan daripada segi rupa paras selain bakat lakonan yang ada. "Berdasarkan pengalaman sepanjang dua tahun dalam PK, saya mendapati, walaupun peserta mempunyai lakonan yang sangat hebat, mereka tidak mendapat publisiti dengan baik berbanding dengan yang mempunyai paras rupa. "Justeru itu, saya mencari kelainan sedikit di mana Pilih Kasih kali ini akan menitikberatkan soal pakej sebanyak 60 peratus di samping memiliki bakat lakonan yang hebat. "Bagaimanapun, ada juga beberapa peserta yang kurang menarik, tetapi kami cuba membentuk dirinya menjadi lebih berpersonaliti," ujar Rosyam. PK akan tampil dengan sedikit pembaharuan di mana program baru Zooom PK akan diperkenalkan, di mana bekas peserta PK akan dijejaki semula untuk melihat perkembangan baru mereka. Bersama personaliti Eisya Toh selaku pengacara, Zooom PK sebanyak 12 episod ini akan mula bersiaran pada 28 Januari hingga 14 April depan, pada setiap Sabtu pukul 9 hingga 10 malam di TV2. Beberapa program utama yang masih dikekalkan pada musim baru ini adalah Kisah PK dan Pentas PK. Kisah PK yang memaparkan diari dan aktiviti pembelajaran dan tugasan peserta akan mula disiarkan pada setiap Rabu dan Khamis bermula 25 Januari hingga 12 April depan sebanyak 24 episod. Manakala Pentas PK yang menjadi medan penting para peserta mempertaruhkan bakat masing-masing dalam menyampaikan tugasan mingguan yang diberikan akan mula bersiaran pada 5 Februari hingga 15 April depan pada setiap Ahad pukul 9 malam selama dua jam. Kesemua 16 peserta PK ini akan mendapat bimbingan secara berterusan mengenai selok-belok dunia lakonan daripada dua bintang besar Erra Fazira dan Datin Umie Aida menerusi sesi pembelajaran pada setiap minggu. Selain itu, peserta musim juga akan mendapat tunjuk ajar daripada pengarah dan penerbit terkenal Erma Fatima yang akan membimbing dari aspek lakonan drama mingguan dan pementasan teater dan aktivis teater Hamzah Tahir pula mengawasi seni lakon kesemua peserta secara terperinci. Masih lagi dipentaskan secara langsung dari Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Senawang, Seremban, Negeri Sembilan, Pentas Pilih Kasih masih mengekalkan pengacara yang sama, Reza Mohammed. | ||
| Posted: 25 Jan 2012 08:38 PM PST BERBEZA...didakwa mampu mengembalikan keremajaan kulit dengan lebih berkesan. PRODUK antipenuaan, menghilangkan garis halus, menegang dan mengembalikan keanjalan kulit, mengurangkan cela, melembap dan mencerahkan kulit wajah adalah antara bahan yang menjadi keutamaan bagi setiap wanita dalam memilih bentuk produk penjagaan kulit mereka. Malah, mereka sanggup mencuba pelbagai proses rawatan yang adakalanya kedengaran tidak masuk akal yang disediakan di pasaran bagi membolehkan diri memiliki kulit wajah lebih menarik. Terkini adalah dengan mengembalikan keremajaan kulit wajah menggunakan suntikan plasenta atau uri kambing biri-biri yang dikatakan mampu menjadikan kulit halus mulus seperti kulit bayi. Katanya, proses ini kali pertama dibangunkan makmal di Switzerland namun tidak memiliki sebarang kajian khusus dalam memastikan ia benar-benar berkeupayaan merawat punca masalah, hanya bergantung pada cakap-cakap pengguna yang lebih dikenali sebagai 'bukti anecdotel'. "Boleh dikatakan hanya beberapa tahun kebelakangan ini saja iaitu lima hingga 10 tahun lalu, cara suntikan plasenta kambing untuk kecantikan ini menjadi pilihan ramai wanita bagi 'meremajakan' kembali kulit mereka. "Namun, maklum balas sebegini tanpa kajian khusus ataupun bukti saintifik sudah pasti tidak boleh dijadikan sebagai kayu pengukur dalam memastikan keberkesanan produk terbabit," katanya. Namun, Dr Mohamed Faizal berkata, proses rawatan sel hidup ini sudah dijalankan sejak 1930-an lagi dan dipelopori Dr Paul Niehans dengan cara mengambil sel hidup daripada binatang untuk disuntik kepada pesakit bagi menggantikan sel rosak. Seperti yang diketahui, katanya kini terdapat banyak produk di pasaran yang mendakwa menggunakan cara ini sebagai sebahagian daripada bahan asas produk mereka, namun tidak dapat dipastikan cara ia diproses atau sama ada ia mengikuti piawaian diperlukan. Menurutnya, keadaan ini disebabkan tiada kawalan khusus digunakan bagi memastikan setiap produk diperoleh daripada penghasilan ekstrak berkenaan tidak akan memudaratkan pengguna. "Dengan kewujudan pelbagai produk yang didakwa menggunakan bahan ini, kita tidak boleh memberi jaminan mengenai cara ia diekstrak dan diproses. Adakah ia mengikut langkah tertentu ataupun sebaliknya? "Tetapi secara umum, ia dijalankan di dalam makmal iaitu sel hidup terbabit diambil daripada fetus kambing biri-biri yang belum lahir (hidup) kemudian melalui proses pembersihan dan seumpamanya," katanya. Di samping itu, Dr Mohamed Faizal berkata, dari segi perubatan juga tiada kajian ataupun bukti saintifik yang menyokong penggunaan suntikan plasenta kambing biri-biri ini mampu memberi manfaat kepada manusia. Ini disebabkan haiwan dan manusia adalah berlainan spesies dan disebabkan itu, kebanyakan kajian perubatan yang dihasilkan menggunakan sel yang diekstrak daripada manusia saja. "Jika menggunakan sel haiwan kepada manusia, terdapat kemungkinan sistem imun semula jadi badan akan menolak bahan yang disuntik itu. "Malah, kuman yang terdapat dalam badan haiwan berkenaan juga boleh dipindahkan kepada manusia dan ia boleh memberikan kesan lebih buruk lagi," katanya. Malah, terdapat kemungkinan berlakunya komplikasi kesihatan kepada mereka yang menggunakannya antaranya jangkitan kuman serta kesan alahan. "Jika peralatan yang digunakan tidak diselenggara dengan betul, ia boleh memberikan kesan kepada pengguna kerana melalui suntikan juga ia boleh menyebabkan jangkitan kuman. "Selain itu, bahan yang digunakan itu sendiri boleh menyebabkan pesakit mendapat alahan kerana terdapat pelbagai jenis produk berasaskan proses ini dikeluarkan dan tidak boleh dipastikan ia dilakukan dengan betul," katanya. Oleh itu, katanya setiap wanita perlu mengetahui perkara asas terpenting terlebih dulu sebelum menggunakan sebarang bentuk produk kecantikan iaitu mengetahui jenis kulit yang mereka miliki. Beliau berkata, setiap individu memiliki jenis kulit berbeza sama ada kulit kering, berminyak, cerah, ataupun sensitif dan mereka perlu mendapatkan pandangan pakar bagi memastikan produk yang digunakan itu bersesuaian dengan kulit sendiri. "Penggunaan produk yang tidak sesuai boleh menyebabkan pelbagai alahan antaranya jangkitan kuman, radang iaitu kulit menjadi kemerah-merahan, kulit bengkak, menggelupas serta jika memiliki kulit yang cerah, ia akan bertukar menjadi berbintik-bintik (hiper pigmentasi). "Sewajarnya wanita mendapatkan nasihat mereka yang bertauliah terlebih dulu sebelum membuat keputusan mendapatkan sebarang produk kecantikan dan jangan hanya bergantung kepada kelebihan perakuan (testimoni) pemasaran," katanya. | ||
| Steven Tyler Goda Peserta American Idol Posted: 25 Jan 2012 08:35 PM PST ![]() SELEPAS dikatakan cuba menggoda Jennifer Lopez dengan berbogel di depan penyanyi wanita itu, rupa-rupanya kenakalan Steven Tyler masih lagi berlanjutan apabila dia cuba memikat salah seorang peserta American Idol bernama Jennifer Diley pada satu uji bakat. Menurut laporan Aceshowbiz.com, peserta tersebut yang mengenakan baju renang 'bikini' oleh Steve amat kecewa kerana terasa ditipu dengan kata-kata manis juri berkenaan. Jennifer berkata, dia begitu yakin akan mendapat tempat untuk uji bakat seterusnya apabila Steven yang dipanggil Steve sering memuji kecantikan wajahnya selain memiliki tubuh badan yang menarik. "Selepas menyanyikan lagu With You milik Jessica Simpson dan Hero yang dipopularkan oleh Mariah Carey, tak sangka pula dia mengkritik nyanyian saya. "Malah dia sedikit pun tidak memuji saya seperti mana dia menggoda dan memuji tubuh badan saya ini," katanya. | ||
| Angelina Jolie Rancang Mengarah Filem Sepenuh Masa Posted: 25 Jan 2012 08:30 PM PST Angelina Jolie muncul dengan filem pertama arahannya In The Blood of Blood and Honey, tahun lalu.LOS ANGELES: Aktres Angelina Jolie mengakui tidak kisah untuk berhenti berlakon demi memberikan tumpuan pada kerja belakang tabir sebagai pengarah sekiranya dia tidak lagi mendapat tawaran lakonan yang memberangsangkan. "Saya masih lagi suka berlakon sekiranya saya mendapat tawaran watak yang memuaskan. Jika tidak, adalah lebih baik saya memberikan ruang kepada pelakon lain yang berbakat selain layak untuk mendapat perhatian dan populariti," katanya seperti dipetik laman web showbizspy.com. Bintang berusia 36 tahun itu muncul dengan filem arahan pertama yang berjudul In the Land of Blood and Honey, tahun lalu. | ||
| Posted: 25 Jan 2012 08:28 PM PST MELIHAT kepada proses penggambaran filem KL Gangster II, boleh dibayangkan aksi yang padat dengan lagak ngeri daripada barisan pelakon utamanya.Lebih-lebih lagi filem prekuel arahan pengarah muda, Syamsul Yusof itu menampilkan pelakon berpengalaman yang sememangnya terkenal dengan aksi lagak ngeri atau stuntman. Selain itu, pelakon lain yang digandingkan di dalam filem ini seperti Aaron Aziz, Adi Putra, Ridzuan Hashim, Syamsul Yusof dan Soffi Jikan sudah terbukti kewibawaan sebagai bintang pelapis. "Rasa gian untuk beraksi lasak sudah lama saya pendam. Kali terakhir saya muncul dengan karakter ganas menerusi filem Castello arahan Bade Azmi pada tahun 2006. Walaupun selepas itu saya masih menerima tawaran filem, namun terpaksa menolak kerana karakter itu kurang mencabar kerjaya saya sebagai pelakon, begitupun ,saya hanya menerima tawaran drama saja. "Peluang yang diberikan Skop Production Sdn Bhd (SPSB) memang tidak seharusnya ditolak kerana karakter Tailong yang diberikan kepada saya amat mencabar, secara tidak langsung, karakter itu akan memberikan impak kepada kerjaya lakonan saya yang sudah lama tidak muncul dengan genre filem aksi seperti ini," katanya. Rosyam Nor atau nama sebenarnya Mohd Noor Shamsuddin, 45, mengakui berani mengambil risiko untuk melakukan sendiri aksi lagak ngeri memandangkan dia mahu menghargai usaha pengarah menggunakan penggunaan teknologi baru di dalam pembikinan filem itu. Banyak aksi lagak ngeri yang dilakukan Rosyam mendapat pujian daripada pengarah, terutama keberaniannya duduk melutut di atas kenderaan yang sedang bergerak laju untuk melakukan aksi tembak-menambak. "Aksi itu tidak dirancang bersama pengarah, namun ketika kamera merakam babak ini timbul keberanian dan keyakinan untuk memberi aksi yang lebih meninggalkan impak kepada lakonan dan filem itu. "Jika hendak ikutkan, memanglah saya takut melakukan aksi lagak ngeri itu, namun saya harus buktikan kepada masyarakat menerusi filem ini saya seolah-olah 'comeback' untuk melakonkan aksi lasak. "Bila saya melihat Syamsul banyak menggunakan teknologi baru dalam pembikinan filemnya seperti penggunaan kamera Jimmy Jib yang memerlukan kos yang mahal, saya jadi bertanggungjawab untuk menghargai penggunaan kamera itu. Memang sayang kalau tidak mengambil peluang memberi shoot menarik dalam filem itu. Saya harus tonjolkan kemampuan saya yang sudah lama tidak beraksi," katanya yang mengakui Tailong adalah watak yang paling jahat pernah dilakonkan sepanjang menceburi bidang lakonan. Pengalaman berkerja bersama sutradara muda yang juga anak kepada produser terkenal, Datuk Yusof Haslam, Rosyam memuji usaha keras anak muda itu yang kreatif dan berani mengeksploitasi sesuatu yang baru di dalam industri perfileman. "Syamsul suka minta pandangan daripada pelakonnya sebelum melakukan sesuatu babak, secara tidak langsung pelakon dapat berkongsi idea untuk memberikan impak kepada lakonan setiap pelakon. Dia memang mempunyai idea yang banyak dan berfikiran terbuka," katanya. Sebelum ini Syamsul pernah berkata, Rosyam adalah antara pelakon yang sudah lama diinginkan terbabit di dalam projek filemnya. Komitmen dan bakatnya menarik perhatian pengarah yang menjanjikan akan kembali bekerjasama selepas berakhirnya filem KL Gangster II. "Saya berterima kasih kepada Syamsul kerana menghargai usaha saya selama ini. Saya memang tidak ada masalah untuk terus bekerjasama selepas ini. Sebenarnya perkara sama saya lakukan kepada setiap pengarah untuk memberi kepercayaan kepada mereka dengan bakat yang saya ada. "Meskipun usia saya semakin meningkat, namun berlakon dalam filem aksi seperti ini sedikitpun tidak berasa ada perbezaan daripada lakonan saya sebelum ini," katanya. Sementara itu, Rosyam yang turut dicalonkan menerusi kategori Anugerah Seri Perak dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011) menghargai usaha penganjur mengimbas kembali sejarah kegemilangan majlis itu. "Setiap penganjuran sesuatu penganugerahan harus ada idea baru agar ia tidak nampak sama seperti sebelum ini, lebih lagi tahun ini ABPBH menyambut sambutan ke-25 jubli perak penganjurannya. "Saya berasa bertuah kerana menjadi salah seorang daripada 12 artis yang disenaraikan dalam kategori khas itu, saya juga tidak melihat penganjur mewujudkan kategori itu untuk dipertandingkan, tetapi lebih kepada mengimbas Bintang Paling Popular. "Bukan saja saya, mungkin calon lain juga tidak terlalu mengharapkan kemenangan menerusi kategori itu, namun apa-apa pun saya akan hadir untuk sama-sama memeriahkan majlis paling berprestij di dalam industri hiburan tanah air," katanya. | ||
| Posted: 25 Jan 2012 08:27 PM PST JACLYN menurunkan tandatangan sebagai simbolik penyertaannya dalam kRU Music. Jika sebelum ini, juara pertama Malaysian Idol itu berada di bawah sebuah syarikat rakaman antarabangsa, sehingga September 2010, tahun ini melakarkan sejarah tersendiri buat penyanyi bersuara lantang terbabit apabila bekerjasama dengan nama yang cukup diminatinya satu ketika dulu."Jika difikirkan kembali, saya rasa seperti tidak percaya kerana saya memang meminati lagu KRU, pada zaman sekolah dulu. "Ketika menerima tawaran ini, Edry (Abdul Halim) memberitahu, dia tahu apa yang boleh mengangkat nama saya. Saya juga percaya mereka tahu apa yang saya inginkan sebagai penyanyi," katanya pada majlis menandatangani kontrak selama setahun bersama syarikat terbabit, semalam. Selain Edry sendiri, hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Presiden KRU Music, KC Ismail. Bukan sekadar selesa bernaung di bawah label tempatan berkenaan, malah Jaclyn juga berasakan syarikat itu mampu mencipta kelainan dalam perjalanan karier muziknya. "Saya tidak setuju jika selepas ini ada yang berpandangan imej saya akan tercalar kerana memilih syarikat tempatan setelah beberapa tahun bersama syarikat rakaman antarabangsa. "Bagi saya, tiada bezanya. Lagipun, KRU Music sudah menempa nama dan ketika berbincang mengenai tawaran, saya ada bertanya kenapa mereka memilih saya dan kenapa sekarang? Jawapan yang diberikan membuatkan saya yakin apabila mereka mengatakan, kini masa yang tepat kerana apa yang ditawarkan mampu direalisasikan," katanya yang bakal menyanyikan lagu Sedetik Lebih ciptaan Edry pada Anugerah Juara Lagu Ke-26, Ahad ini. Wanita ini berkata, jika satu ketika dulu, dia pernah berasakan ada lagu yang tidak sesuai dengan jiwanya, tetapi terpaksa juga dinyanyikan bagi menunaikan amanah, syarikat rakaman itu pula dilihat lebih memberikan kebebasan kepadanya untuk menentukan bentuk muzik yang diinginkan. "Di KRU, saya boleh cakap apa yang saya mahu sebab Edry yang mencipta lagu, bukannya orang luar. Lagipun, saya percaya mereka juga melalui apa yang saya pernah lalui. Dulu saya 'pak turut', apa orang minta saya ikutkan. Tetapi kini saya lebih banyak belajar untuk berdiri dalam dunia seni," katanya. Bersama label itu, Jaclyn akan tampil bersama single baru berjudul Sebelah Jiwaku, dalam jalur muzik pop kontemporari. Menurut Edry, lagu itu akan dilancarkan pada Februari ini dan mereka juga merancang penerbitan album penuh penyanyi itu, yang memuatkan lima lagu Melayu dan sebuah lagu Inggeris. "Antara lagu yang bakal dimuatkan termasuk Sebelah Jiwaku dan satu lagu tema untuk filem drama muzikal, 29 Februari, berjudul Jagalah Diri. Lagu Inggeris itu pula adalah untuk filem animasi 3D, Ribbit, arahan Chuck Powers. "Ketika kami bekerjasama untuk lagu Sedetik Lebih, saya dapat rasakan Jac boleh bawakan lagu ciptaan saya dengan gaya tersendiri. Single yang saya gubah itu memang khas untuknya. Lagu itu menceritakan kekuatan yang ada dalam diri seorang wanita ketika mengalami kegagalan dalam bercinta," katanya. | ||
| 13,500 bekas tentera tak berpencen hidup melarat Posted: 25 Jan 2012 08:24 PM PST KUCHING: Lebih separuh daripada 13,500 bekas anggota tentera yang tidak berpencen di Sarawak hidup di bawah garis kemiskinan selepas mereka gagal mendapat pekerjaan sesuai sebaik saja menamatkan perkhidmatan antara 13 tahun hingga 18 tahun.Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Sarawak, Leftenan Kolonel Monday Juhid, berkata ada antara bekas tentera terbabit sukar dikesan kerana tinggal jauh di pedalaman dan ada yang tidak mempunyai alamat tetap.Berikutan itu, katanya, banyak bantuan termasuk latihan kemahiran bersesuaian untuk membantu menjana pendapatan, sukar disalurkan kepada mereka. Ada antara bekas tentera terbabit sukar dikesan kerana tinggal jauh di pedalaman dan ada yang tiada alamat tetap. - Monday Juhid, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM Sarawak Beliau berkata, masalah timbul apabila kebanyakkan bekas anggota tentera tidak berpencen enggan mendaftar dengan Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) kerana beranggapan tiada faedah diperoleh apabila menyertai persatuan itu."Mereka silap dan tidak tahu apabila mendaftar dengan PBTM, lebih mudah JHEV mengesan mereka dan menghulurkan bantuan untuk meningkatkan taraf hidup. Ekoran sikap inilah menyebabkan 60 peratus daripada jumlah anggota tentera tidak berpencen hidup di bawah paras kemiskinan," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis majlis penyampaian bantuan kebajikan kepada veteran oleh Panglima Tiga Briged Infantri, Brig Jen Hasagaya Abdullah, di pejabat JHEV Sarawak, di sini, semalam. Monday berkata, bekas anggota tentera harus sedar tanggungjawab mengubah taraf hidup mereka selepas meninggalkan perkhidmatan dengan memanfaatkan peluang disediakan kerajaan menerusi JHEV atau Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT), bukannya membiarkan keluarga hidup dalam kesusahan. Sehubungan itu, beliau berkata JHEV dengan bantuan 18 cawangan PBTM di seluruh negeri ini akan melaksanakan program untuk mencari dan mendaftar 7,000 lagi bekas anggota tentera yang gagal dikesan selepas mereka menamatkan perkhidmatan. | ||
| Forum seks Kelab Taat Suami kena serbu Posted: 25 Jan 2012 08:18 PM PST ANGGOTA penguat kuasa JAIP menanggalkan poster yang dipamerkan pada Pelancaran Kempen Rasulullah Tokoh Seks Suci Islam oleh Kelab Taat Suami (KTS) di Ipoh, semalam. - Foto Ikhwan Munir Ketika serbuan, kira-kira 50 ahli KTS dan Global Ikhwan Sdn Bhd, iaitu syarikat yang ditubuhkan oleh bekas ahli kumpulan haram al-Arqam, tergamam apabila sepasukan anggota penguatkuasa JAIPk menyerbu mereka.Dalam serbuan kira-kira jam 4.15 petang di kawasan perumahan mewah di Persiaran Harimau itu, 10 anggota penguatkuasa JAIPk yang menaiki dua van merampas komputer riba dan poster berkaitan kempen berkenaan serta mengambil keterangan daripada peserta. Namun, serbuan dipercayai ada kaitan dengan kempen yang dikatakan merendahkan kedudukan Nabi Muhammad SAW, selain mengelirukan orang ramai khususnya umat Islam. Siasatan juga bagi menentukan kegiatan kumpulan itu ada unsur-unsur Aurad Muhammadiyah kerana keseluruhan ahli KTS dan syarikat terbabit adalah bekas ahli al-Arqam, selain ada gambar besar pengasas kumpulan itu, Ashaari Muhammad yang telah meninggal dunia dalam premis berkenaan. Sementara itu, KTS menjemput wartawan untuk menghadiri persidangan media mengenai program yang pada mulanya dijadualkan pada waktu pagi tetapi ditunda waktu petang. Namun, sesi berkenaan bertukar kepada sesi soal jawab bersama Ahli Lembaga Pengarah Global Ikhwan Sdn Bhd, Ahmad Bakhtiar Ahmad dan Hamdan serta empat ahli KTS Perak. Ahmad Bakhtiar berkata, kempen itu bermula semalam sempena 1 Rabiulawal dengan acara kemuncaknya ketika sambutan Maulidur Rasul pada 5 Februari yang bertujuan menampilkan Rasulullah sebagai tokoh hebat yang perlu dicontohi dalam semua aspek, termasuk kemampuannya memuaskan hati semua 11 isterinya. Beliau berkata, kempen yang bermula serentak di sini, Kuala Lumpur, Kuala Terengganu, Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu juga mahu menghebahkan bahawa seks dalam Islam lebih hebat daripada seks yang dicanangkan oleh masyarakat Barat dan Yahudi. "Seks suci Islam harus dibezakan dengan seks haram yang dipelopori Barat dan Yahudi. Nabi (Muhammad) adalah insan yang sangat takut kepada Tuhan, jadi Allah bagi keistimewaan diberi tenaga manusia yang kuat dalam seks dan memberi layanan terbaik kepada isteri sebagai balasan kuat ibadat kepada Allah," katanya. "Jadi, kempen ini sebenarnya untuk menaikkan darjat Nabi sehingga ke taraf `superhero' dan menjadi contoh umat manusia, bukannya untuk merendahkan kedudukan baginda," katanya. | ||
| Myn murtad gara-gara konflik keluarga Posted: 25 Jan 2012 08:17 PM PST ![]() Myn menceritakan pengalamannya yang pernah murtad gara-gara termakan pujukan pelancong asing yang ditemuinya dalam kereta api. "MEREKA berada di mana-mana dan segala pergerakan dilakukan secara senyap dan teratur." Itulah ungkapan pertama yang keluar daripada mulut Myn (bukan nama sebenar) sebaik sahaja penulis menemuinya untuk bertanyakan kisahnya yang dikatakan telah murtad satu ketika dahulu. Walaupun pada mulanya Myn agak keberatan untuk ditemui apatah lagi menceritakan kisahnya, tetapi setelah dipujuk dan diberitahu ceritanya untuk dijadikan pengajaran kepada yang lain, akhirnya dia bersetuju. Bagi Myn, walaupun kisahnya berlaku kira-kira 30 tahun lalu, ia masih segar di ingatan. Apatah lagi hari ini isu murtad sering terpapar di dada-dada akhbar. Katanya lagi, dirinya amat bernasib baik dan mungkin juga tuhan masih menyanyanginya kerana walaupun telah 'bergelen-gelen' meminum air suci agama lain, dia masih lagi tahu mengucap dua kalimah syahadah. Apa yang memeranjatkan, Myn juga telah menjalani upacara baptis (ritual pemurnian dengan menggunakan air yang melambangkan pembersihan dosa) sebanyak tiga kali. Namun, ia masih gagal untuk Myn melupakn Allah SWT "Terus terang saja katakan, saya telah dibaptiskan sebanyak tiga kali. Kemuncaknya mereka membawa saya ke laut, kononnya untuk membuang segala dosa-dosa lalu. "Pasal air suci pula usah cakaplah, tidak terkira banyaknya. Tetapi alhamdulillah, saya masih lagi ingat tuhan. Tahu lagi sembahyang dan yang paling penting, saya masih lagi tahu mengucapkan dua kalimah syahadah. "Apa yang paling mengagumkan tentang gerakan mereka. Mereka tidak pernah memaksa malah mengikut telunjuk kita sehinggalah kita benar-benar terpedaya dan akan ikut mereka secara sukarela," ujarnya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Bercerita lanjut mengenai kisahnya, jelas Myn, segala-galanya bermula sejak dia masih kecil. Ini kerana dalam keluarga, dia seolah-olah jadi 'kambing hitam' di mana boleh dikatakan semua kesalahan serta tanggungjawab terletak di bahunya. Dia juga merupakan antara anak yang tidak disukai kedua ibu bapanya dan di mata mereka pasti ada saja yang tidak kena dengan setiap pergerakan mahupun perbuatannya. Sebaik sahaja tamat menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia mengambil keputusan untuk bekerja sementara. Apabila keputusan peperiksaan keluar, Myn mendapat kejayaan cemerlang sehingga ditawarkan belajar di dalam dan luar negara. Malangnya, semua itu hanya tinggal cita-cita kerana dia dihalang sekeras-kerasnya oleh ibu dan bapanya. Akhirnya berbekalkan sijil SPM dia hanya berupaya bekerja di sebuah kilang di ibu kota dan secara tidak langsung hubungannya bersama kedua ibu bapa serta adik beradik yang lain turut menjadi renggang. Dijadikan cerita, suatu hari ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Gemas dengan kereta api untuk bercuti, Myn telah dihampiri sekumpulan anak muda (pelancong luar negara). Mulanya Myn sangkakan mereka sekadar ingin berbual-bual dan mencari teman sepanjang perjalanan. Tetapi jangkaan itu meleset kerana bermula daripada situ mereka mula berhubung antara satu sama lain. Kumpulan tersebut secara perlahan-lahan cuba menarik Myn menganut agama mereka. Bermula dengan bercerita mengenai agama mereka disusuli dengan pemberian Bible, akhirnya Myn dibaptiskan. Kata Myn lagi, segala-galanya berjalan dengan lancar hinggakan dia sendiri tidak sedar. "Bayangkan, mereka hanya bermula dengan bercerita mengenai agama mereka kepada saya. Akhirnya mereka berjaya membawa saya masuk ke gereja. "Segala bacaan dan nyanyian turut diajar sehinggalah saya hafal. Mereka juga tidak ketinggalan mengajar saya doa-doa mereka. "Saya turut membaca keseluruhan Bible yang diberikan dan pendapat saya, segala keterangan di dalamnya bukan sahaja mudah difahami tetapi bahasa serta ayat yang digunakan amat puitis dan indah," katanya lagi. Berbicara lanjut, Myn memberitahu, ketika dia melarikan diri dari rumah untuk bekerja di utara tanah air, golongan itulah yang banyak membantunya. Tambahnya lagi, dia dibantu dari semua aspek termasuk tempat tinggal dan juga kewangan. Malah Myn memberitahu, soal duit mereka tidak pernah berkira. Malah selama dirinya berada dalam kumpulan tersebut, boleh dikatakan dia mewah dengan duit yang diberikan saban hari. Tidak hanya setakat itu, Myn juga pernah tinggal di gereja dengan alasan rumah sewa yang dicari belum ditemui. Pada dasarnya, ujar Myn, dia sebenarnya 'disorok' daripada keluarganya yang ketika itu turut mencarinya. Apa yang menarik untuk dikongsi bersama ialah, menurut Myn, pergerakan mereka bukan hanya di sekitar Lembah Klang ataupun mana-mana negeri tetapi ia boleh dikatakan di seluruh dunia. "Anda bayangkan, saya berjumpa mereka dalam kereta api dan mereka bukan sahaja terdiri daripada sejenis kaum tetapi pelbagai. "Saya juga ada ketikanya dibawa ke Singapura untuk berjumpa dengan rakan-rakan lain (mereka yang telah dimurtadkan). "Yang paling mengagumkan, mereka ini berada di mana-mana sahaja. Sehingga hari ini saya dapat mengecam mereka (mubaligh) sekiranya terserempak," bicaranya lagi. Sepanjang berada di dalam kumpulan tersebut, Myn memberitahu, hatinya tidak tenang malah sering menangis kerana memikirkan dia sememangnya telah melakukan dosa besar. Alhamdulillah, Myn akhirnya berjaya dikesan oleh keluarganya seterusnya dibawa pulang semula ke Kuala Lumpur dan dibawa berjumpa dengan ustaz untuk 'memulihkan' semula dirinya. Jelas Myn, walaupun sejak kecil dia tidak dibekalkan dengan ilmu agama yang kuat, tetapi dia amat bersyukur kerana masih diizinkan tuhan untuk kembali semula menjadi umat Nabi Muhammad SAW. Dia juga telah diajar melakukan solat taubat selain 'diterima' semula dalam keluarganya. Begitu pun, jelas Myn, pergerakan tersebut masih lagi 'berkeliaran' di serata tempat dan dia meminta terutama sekali kepada golongan remaja agar berhati-hati dan tidak terjerat dengan perangkap kumpulan yang mahu memurtadkan umat Islam. "Saya amat berharap agar golongan muda hari ini tidak mengikut sangat kata hati dan mudah terpengaruh dengan pelbagai budaya yang dibawa masuk. "Apa yang dilakukan oleh kedua orang tua kita ada sebabnya yang tersendiri dan mereka sememangnya menyayangi kita. "Jadilah anak yang mendengar kata kerana saya pernah berjumpa dengan seorang rakan di Singapura, anak seorang imam yang begitu berazam dan bercita-cita ingin membawa ayahnya menganut agama Kristian," katanya mengakhiri bicara. | ||
| Posted: 25 Jan 2012 08:11 PM PST ![]() Hafiza Abdul Rahman menggalakkan anak-anaknya memanfaatkan ICT dengan membina makmal ICT mini di rumah. RASANYA semua ibu bapa sedar akan hakikat kanak-kanak zaman ini memang lebih bijak dan mahir menggunakan peralatan teknologi. Malah mereka juga pantas menguasai kemahiran membaca dan menulis jika dibanding dengan anak-anak yang lahir 20-40 tahun sebelumnya. Kanak-kanak yang dahulunya gemar bermain bola sepak, berkhemah, beriadah, ke kelas tarian dan sebagainya bertukar minat kepada menghantar pesanan teks dan permainan komputer. Malah ada yang mempunyai akaun di laman rangkaian sosial semuda usia enam tahun. Bayangkan betapa mudahnya anak-anak diberikan kemudahan teknologi maklumat (IT) seperti komputer (PC), komputer riba, tablet, permainan video Sony Playstation, Xbox, Wii dan sebagainya bagi mengisi masa terluang tanpa had dan kawalan daripada ibu bapa. Persoalannya, adakah benar teknologi telah mencederakan, membahayakan dan merobek naluri keprihatinan sebagai insan terhadap si kecil? Adakah pendedahan terlalu awal ini memberikan kesan buruk? Pengasas laman web Little Kittle, Hafiza Abdul Rahman mengakui, anak cilik zaman ini lebih mengenali alam siber di usia lebih awal dan memiliki gajet IT sendiri berbanding berinteraksi dengan dunia luar. Anak-anak kecil itu hanya perlu menggunakan jari jemari untuk mengakses dunia tanpa sempadan di Internet. "Tiada halangan atau sempadan pada pandangan lahiriah si kecil ini kerana arus permodenan telah mengaburkan dunia sebenar dan mewujudkan dunia digital. "Pada pandangan mereka cuma ada satu, iaitu dunia hasil gabungan teknologi yang bersifat lebih interaktif, mudah alih dan boleh menghubungkan jarak jauh dengan lebih singkat. "Saya tidak setuju dengan pandangan skeptikal dan stereotaip berkenaan penggunaan teknologi lebih membawa keburukan terhadap anak kecil. "Ini kerana saya dan suami percaya teknologi memberikan peluang lebih besar jika ia dipantau dan digunakan bersama. Iaitu tidak hanya meninggalkan anak-anak tersebut berdepan dengan gajet ini tanpa didikan dan kasih sayang. "Teknologi ini perlu digunakan dan dimanipulasi sebaiknya dalam setiap institusi kekeluargaan bagi manfaat jangka panjang bersama. "Ia tidak hanya terhad kepada melayari rangkaian sosial atau menghantar pesanan ringkas, bermain permainan komputer," ujar Hafiza yang lebih dikenali dengan nama webnya Mamafiza. Ujar Hafiza , bila ingin tahu tentang sesuatu, kanak-kanak terbabit boleh mengakses kepada perpustakaan dengan hanya satu klik saja. Anak-anak boleh meneroka perkara yang ingin dipelajarinya, membaca akhbar dalam talian, mencari komuniti online dan berpengalaman berdepan dengan pertembungan budaya berbeza dari seluruh pelosok dunia . Semua itu jika diambil dengan cara positif dan berhemah dapat membantu anak-anak membentuk keterampilan dan peribadi selain lebih berfikiran matang dan cemerlang. "Dengan pantauan di rumah, anak-anak saya diasuh untuk tidak mempunyai perasaan takut dalam bereksperimen dengan peranti komputer dan perisian baru. "Malah mereka turut terlibat dalam proses mereka bentuk grafik, asas rakaman dan suntingan video serta pengekodan laman web dan pembuatan perisian pintar pada usia yang lebih muda. "Dengan cara ini anak-anak dapat memahirkan diri dalam melakukan pelbagai tugas dan lebih yakin," katanya. Bagi Hafiza, isu keselamatan dan hak peribadi perlu diajar kepada anak-anak sebelum didedahkan dengan sebarang jaringan Internet. Katanya, perkara yang paling asas perlu ada ialah disiplin keluarga. Sebagai contoh, jika keluar bersama keluarga untuk bercuti atau waktu makan, tidak dibenarkan sama ada anak-anak mahu pun ibu bapa menggunakan gajet. "Bagi saya, ibu bapa adalah model mutlak. Sekiranya mereka sendiri makan malam sambil menonton televisyen dan asyik membelek telefon bimbit, ini seolah memberikan isyarat pada si kecil bahawa perbuatan itu 'boleh' dilakukan dan perlakuan itu diterima. "Ibu bapa sendiri perlu mengimbangi dunia realiti dan dunia siber sebelum memberi tunjuk ajar buat anak-anak kecil," katanya yang turut berkongsi panduan dalam laman webnya sendiri Mamafiza.com. Menurut Hafiza, ibu bapa boleh cuba mewujudkan projek makmal mini ICT yang menggunakan teknologi untuk membantu anak cilik membentuk kebolehan berfikir ke tahap lebih tinggi. Untuk membolehkan keupayaan berfikir secara terbuka, si kecil perlu mempunyai pengetahuan asas yang kukuh dalam subjek asas seperti membaca, mengira, (asas matematik, bahasa, subjek asas sains: biologi, fizik, kimia,) yakni yang membolehkan mereka berfikiran kritis serta berkemahiran dalam menyelesaikan masalah. "Dengan mewujudkan makmal IT mini di rumah, anak-anak tiada punyai alasan untuk ke kafe siber kerana wujudnya kelengkapan di rumah yang boleh dipantau oleh ibu bapa sendiri. "Senario ini dapat mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku di kafe siber yang telah disalahgunakan oleh sesetengah individu yang tidak bertanggungjawab seperti menjadikannya pusat judi haram dan juga aktiviti yang tidak sihat di kalangan remaja yang ponteng sekolah," katanya. | ||
| Khasiat tambahan untuk anak cerdas Posted: 25 Jan 2012 08:10 PM PST ![]() Mustaza Syikin Mustafa (kiri) mengiringi Pengurus Ana Muslim, Wan Mohd. Zaki Wan Zulkifli menandatangani poster SafwaKids pada pelancaran produk tersebut di Kuala Lumpur baru-baru ini. Ibu bapa sememangnya memainkan peranan penting dalam membentuk anak-anak yang cerdas dan cergas. Bukan sekadar menyediakan keperluan asas malah yang paling penting memastikan mereka mendapat khasiat penuh. Persoalannya bagaimana ibu bapa boleh mengukur sejauh mana makanan yang diberi pada anak memberikan khasiat yang diperlukan sewajarnya? Dengan memberikan makanan rutin sahaja mungkin tidak cukup. Keadaan sekeliling seperti perubahan cuaca, penyebaran kuman dan udara yang tidak sihat turut memberi kesan terhadap kesihatan terutama kanak-kanak. Sebab itu, ibu bapa perlu tahu kepentingan vitamin dan galian untuk tubuh anak dan bagaimana untuk memastikan keperluan tersebut memenuhi diet mereka. Demi memenuhi keperluan itu, Safwa Health telah melancarkan rangkaian makan tambahan SafwaKids yang terdiri dari tablet kunyah minyak ikan dan vitamin tambahan serta multivitamin mudah kunyah. Pengurus Kanan Produk Safwa Health, Mustaza Syikin Mustafa berkata, semua itu dirumus khas untuk membantu ibu bapa menambah khasiat yang kurang dalam pemakanan anak-anak mereka. Bukan itu sahaja, katanya, rangkaian Safwakids disahkan halal oleh Jabatan Kamajuan Islam Malaysia (Jakim). "Safwa Kids tablet kunyah minyak ikan dan vitamin tambahan ini diperkaya dengan 125 miligram DHA (Docosahexaenoic Acid), asid lemak omega-3 yang penting untuk perkembangan minda dan mata anak. "Selain itu ia turut mengandungi 30 miligram Eicosapentaenoic acid (EPA), iodin, vitamin B1 dan B12. "Manakala iodin pula membantu untuk penghasilan hormon tiroid, sementara vitamin B1 dan B12 pula memainkan peranan utama dalam pembangunan mental dan fizikal anak-anak," katanya. Dalam pada itu multivitamin mudah kunyah Safwa Kids pula mengandungi vitamin C dan E untuk membantu melindungi kanak-kanak dari bahaya radikal bebas. | ||
| Posted: 25 Jan 2012 08:09 PM PST
RAKYAT Malaysia makan sesuka hati dan tidak menjaga pemakanan. Akibatnya masalah obesiti kini menular di kalangan masyarakat dengan berat badan 37 peratus penduduk melampaui had sihat. Lebih membingungkan, mereka sanggup memudaratkan kesihatan dengan makan sesuka hati tanpa mengambil hirau kandungan dalam sesuatu hidangan. Bagi pengamal perubatan, Dr. Aishah Tul Radziah Lebai Hussin, 61, pengambilan makanan 'tidak sihat' sebenarnya boleh dielakkan jika mempunyai pengetahuan dan peka terhadap juadah yang dinikmati. Beliau telah berjaya menurunkan berat badan daripada 68 kilogram (kg) kepada 49 kg 10 tahun lalu dan dapat mengekalkan berat badan unggul hingga sekarang. Malah, beliau yang mengasaskan Dr. Aishah Solution Sdn. Bhd. (DAS) berkata, selain mengelakkan penyakit, pemilihan makanan yang betul juga boleh memberi 'nilai tambah' kepada tubuh badan. Mengambil kira kepentingan itulah, Dr. Aishah kini tampil memperkenalkan konsep pemakanan inovatif dan kreatif tersendiri untuk pengetahuan masyarakat umum. Dr. Aishah berkata, konsep pemakanan yang diperkenalkan itu terbahagi kepada tiga kategori utama meliputi juadah makanan aesthetic, aphrodesiac dan penyembuh. Kesemua tiga kategori makanan itu sememangnya diperakui mempunyai khasiat tinggi dan rendah kalori. Ramuan utamanya ialah teh hijau yang terkenal dengan ciri-ciri anti oksida. "Pengambilan makanan aesthetic membolehkan seseorang itu kekal sihat dan pada masa sama meningkatkan kecantikan. Contoh resipi inovatif yang diperkenalkan dalam Bengkel Transformsi Diri Kekal Langsing ialah egg tuna roll bersama sos teh hijau," katanya. Bagi pasangan suami isteri pula, hubungan kelamin yang berkesan sebenarnya turut berkait rapat dengan pengambilan makanan. Untuk itu, makanan kategori aphrodesiac boleh menjadi penyelesaian yang baik. "Makanan aphrodesiac boleh meningkatkan hubungan kelamin dan boleh mengatasi masalah kelesuan serta pada masa sama boleh meningkatkan daya hubungan intim. "Pakar pemakanan mencadangkan ramuan-ramuan yang digunakan dalam makanan jenis ini hendaklah mempunyai zat yang tinggi," kata Dr. Aishah. Beliau berkata, antara makanan yang termasuk dalam kategori tersebut ialah badam, asparagus, pisang, daun selasih (basil), coklat, tiram, buah pala, halia dan brokoli. Penyelidik percaya coklat mengandungi bahan kimia teobromine yang memberi kesan neurotransmitter dalam otak dan bahan perangsang phenylethylamine. "Makanan jenis ini kaya dengan Vitamin terutamanya B6 dan potassium yang boleh merangsang hormon seksual," jelasnya. Sementara makanan kategori penyembuh pula berupaya memperbaiki kerosakan sel dalam badan dan menjadi penawar kepada sesuatu penyakit. "Contoh makanan jenis ini adalah superfoods yogurt, bayam, kacang, kekacang, teh hijau, brokoli, telur, beri dan keledek merah," katanya. Namun begitu, Dr. Aishah berkata, penghasilan makanan memerlukan kreativiti dan resipi tersendiri. Untuk itu, beliau kini giat menjalankan bengkel masakan dan seminar bagi berkongsi rahsia dan resipi penghasilan makanan tersebut dengan umum. Contoh resipi yang diketengahkan ialah sup badam brokoli, sup barli lobak merah, avokado 8, pegaga dan lain-lain lagi. | ||
| Kesusahan keluarga kekuatan Zoher Posted: 25 Jan 2012 08:09 PM PST ![]() Zoher Mat melihat bekas-bekas suntikan ketika rawatan dialisis pada tangan bapanya sambil diperhatikan ibunya, Rokiah Ahmad di Kampung Bemban, Jitra, baru-baru ini. BAGI anak muda ini kesusahan bukanlah sesuatu yang harus diwarisi. Biarpun lahir dalam sebuah keluarga yang tidak dilimpahi kemewahan, tekad dan azam untuk mengubah nasib keluarga di samping melihat kedua ibu bapanya gembira dan hidup senang tidak pernah padam. Kesusahan menjadi pendorong kepada anak bongsu daripada enam beradik ini untuk berusaha menjejakkan kaki ke menara gading. Bukan sahaja bercita-cita untuk menjawat jawatan tinggi, malah kegigihannya meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda adalah untuk membalas budi dan jasa kedua orang tuanya yang selama ini terpaksa berkorban demi melihat dirinya berjaya. Bagi Mohamad Zoher Mat, 22, pengorbanan ayahnya, Mat Din, yang sanggup berpanas dan berhujan mengerjakan sawah saban hari tanpa mengenal penat dan lelah akan diingati sampai bila-bila. Beliau sedar, usaha gigih ayahnya itu tidak lain tidak bukan hanya untuk melihat dirinya berjaya. Tekad dan keazaman itu semakin membara, apabila ayahnya disahkan menghidap penyakit buah pinggang sejak tahun 2002. Dia tahun meskipun terpaksa menahan kesakitan dan berulang menjalani rawatan, ayahnya tetap meneruskan kerja sebagai pesawah dan kadangkala turut mengambil upah menoreh getah. Kadangkala ibunya, Rokiah Ahmad, yang menghidap penyakit darah tinggi juga terpaksa mengambil upah menoreh getah untuk meringankan bebanan kewangan. "Semua ini semakin menyemarakkan semangat saya untuk menggenggam segulung ijazah. Saya percaya, hanya dengan ilmu dan pendidikan kita dapat mengubah nasib diri dan keluarga. "Adik-beradik yang lain semuanya telah berkeluarga. Saya tidak mahu menyusahkan mereka tetapi ada kalanya kakak dan abang ada membantu," katanya ketika ditemui di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), baru-baru ini. Pada awalnya, Mohamad Zoher atau lebih senang disapa Zoher agak keberatan untuk ditemui menceritakan kisah hidupnya. Tetapi atas dasar ingin berkongsi dan memberitahu bahawa tiada yang mustahil untuk mencapai kejayaan, anak kelahiran Jitra, Kedah itu akhirnya setuju. Begitupun, menurut Zoher, apa yang dikongsi bukanlah bertujuan menagih simpati jauh sekali mengharapkan bantuan daripada mana-mana pihak. Malah dia amat berharap agar ceritanya dapat dijadikan teladan bagi para pelajar yang menghadapi situasi sama sepertinya. Bercerita lanjut mengenai penyakit ayahnya, jelas Zoher, dalam seminggu ayahnya akan membuat rawatan dialisis sebanyak tiga kali. Untuk sekali rawatan, ayahnya terpaksa mengeluarkan belanja sebanyak RM200. Bagaimanapun, sekarang ini ayahnya mendapatkan rawatan tersebut di hospital kerajaan dan ia diberikan secara percuma. Katanya lagi, istilah berputus asa tiada dalam kamus hidupnya malah dia semakin bersemangat untuk mengejar cita-citanya. Bakal menerima ijazah dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal, Zoher merupakan seorang penerima pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN). Ujarnya, dengan wang tersebut dia terpaksa berjimat cermat malah ada kalanya dia turut membeli keperluan dapur sekiranya ada wang berlebihan. Bagaimanapun menurut Zoher, di dunia ini tiada apa yang datang bergolek. Ia mestilah disusuli dengan usaha. Selain belajar bersungguh-sungguh, Zoher juga sering melakukan solat Dhuha dan alhamdulillah, setakat ini rezekinya tidak pernah putus walaupun pada zahirnya dia terpaksa bercatu. "Alhamdulillah, walaupun dilihat kadang kala wang pinjaman yang diterima tidak mencukupi untuk satu semester, saya tetap bersyukur. "Tambahan pula dengan adanya kemudahan seperti Internet yang disediakan universiti, di situlah saya dapat menjimatkan kos. "Insya-Allah, berkat kesabaran serta kesungguhan tanpa mengenali erti putus asa, kita akan memperoleh kejayaan," katanya lagi. Yang jelas, Zoher adalah seorang anak muda yang berjiwa kental dan sepanjang pertemuan berlangsung, dapat dilihat bahawa dia sememangnya tidak sabar untuk menamatkan pengajiannya. Ini kerana katanya, sudah tiba masa untuk ayah dan ibunya berehat dan menjaga kesihatan. Dan gilirannya pula sebagai anak untuk menggalas tanggungjawab memastikan orang tuanya hidup lebih senang dalam meniti sia-sia usia mereka. | ||
| Rekaan Syomir tidak berlebihan Posted: 25 Jan 2012 08:08 PM PST
SEMASA di sekolah menengah, kawan-kawan memanggilnya Sam, watak Imuda sebagai seorang pereka fesyen dalam rancangan televisyen 2+1. Namun jangan salah sangka, bukan kerana dia lembut sebagaimana watak tersebut tetapi kerana minatnya dalam rekaan fesyen. Minat tersebut telah dipupuk sejak di sekolah rendah dan terus terbawa-bawa sehingga dia berada di sekolah menengah. Malah ketika gurunya bertanya apakah cita-citanya, dia tanpa malu terus berkata ingin menjadi pereka fesyen. ''Memang dari kecil saya suka melukis gambar baju perempuan dan baju emak. Kalau emak hendak pergi kerja pun dia akan menyuruh saya memilihkan baju untuknya. ''Baju yang mula-mula saya lukis ialah baju kawan-kawan emak, iaitu baju kurung dan dres untuk pergi majlis. Masa itu saya baru dalam darjah enam,'' demikian kata pereka muda, Syomir Izwa Sen Gupta. Tambahnya, jika menonton televisyen, apa yang diperhatikan ialah baju yang dipakai oleh wanita dalam rancangan atau filem tersebut terutamanya filem-filem Hollywood. Minatnya dalam fesyen terus digilap sebaik tamat sekolah menengah dengan melanjutkan pelajaran dalam bidang rekaan fesyen di Raffles Institute of High Education dan berjaya memperoleh Diploma Rekaan Fesyen pada tahun 1997. Semasa di kolej dia sering diminta oleh rakan-rakan untuk membuat baju untuk mereka. Kini setelah memiliki butik sendiri, Syomir lebih mudah merealisasikan ilhamnya membuat rekaan baju untuk pelanggan-pelanggannya. ''Identiti rekaan saya adalah elegan dan tidak keterlaluan atau berlebih-lebihan dengan perhiasan. ''Saya ingin mendidik orang Melayu bahawa tidak perlu berlebih-lebihan meletakkan hiasan pada baju seperti manik, batu, labuci dan sebagainya. Baju akan tetap nampak cantik dan elegan, dengan kata lain, less is more. ''Tidak seperti pereka fesyen lain yang suka dengan sulaman dan perincian manik, rekaan saya berbeza kerana mesti mempunyai drapes dan pleats. Ini adalah kelainan saya. Oleh itu rekaan saya banyak menggunakan kain iaitu kira-kira lapan meter bagi satu baju. ''Drapes dan pleats bukan sahaja untuk baju ke majlis malah untuk baju kahwin juga. ''Selain itu, saya amat cerewet mengenai potongan baju kerana ia harus cantik dan selesa pada pelanggan,'' katanya ketika ditemui di butiknya, Syomir Izwa di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur baru-baru ini. Menurutnya, ada yang menganggap drapes dan pleats membuatkan seseorang itu nampak gemuk, tetapi bagi Syomir ia sebenarnya menonjolkan kelangsingan seseorang. Katanya, fabrik yang cantik tidak memerlukan rekaan yang berlebihan kerana rekaan yang ringkas sudah dapat menonjolkan keindahan sesuatu rekaan. Justeru itu, sutera dan sutera syifon merupakan fabrik kesukaan Syomir kerana kelembutannya dan cantik apabila dipakai. Warna-warna koleksi pakaian yang dihasilkan oleh Syomir terdiri daripada warna-warna kesukaan wanita seperti hijau lemon neon, merah, kelabu, hitam dan merah jambu. Bagi mendapatkan rekaan yang eksklusif, Syomir menjadikan buku, ruang hiasan dalaman, tempat yang baru dibuka, senibina, sejarah dan personaliti yang mengelilinginya sebagai rujukan. Pada masa akan datang, kata Syomir, dia bercadang untuk membuat baju wanita yang sedia untuk dipakai dan baju lelaki yang sesuai untuk kasual dan majlis rasmi. Jelasnya, bukan semua orang yang suka menempah baju kerana bimbang tidak selesa. Biasanya mereka lebih suka membeli baju yang sudah siap kerana boleh dicuba dan dibeli jika sesuai. Mengenai aliran fesyen tahun ini, Syomir berkata, pengaruh fesyen awal 90-an akan kembali semula di mana fesyen seluar berpotongan longgar akan kembali diminati dan fesyen seluar lurus ketat akan luput. ''Rekaan potongan baju nampak lebih kemas dan tidak berlebihan, tidak sarat dengan perhiasan yang lebih minimum,'' kata anak kedua daripada tiga beradik yang kesemuanya lelaki itu. | ||
| Undangan facebook hakis silaturrahim Posted: 25 Jan 2012 08:06 PM PST ![]() Kehadiran saudara-mara yang diundang pasti memeriahkan lagi majlis perkahwinan yang dilangsungkan. - Gambar hiasan BUKANLAH hendak mengata, tapi aku inikan ibu saudara mereka, tak bolehkah jemput menggunakan mulut mahupun datang ke rumah dengan cara yang lebih terhormat. Ini gunakan facebook pulak. Ibunya pun sama... tak pandai langsung nak undang kita dengan cara yang lebih sopan." Demikian keluhan seorang rakan sepejabat bagaimana keluarganya diundang ke majlis perkahwinan anak buahnya dengan hanya melalui laman sosial facebook. Jika difikirkan ada betulnya juga rungutan tersebut. Hakikatnya dalam masyarakat Melayu yang kaya dengan adat dan tatasusila, tatacara mengundang ke majlis perkahwinan atau majlis kenduri-kendara dilakukan dengan lebih bersopan. Seelok-eloknya bersemuka, kalau tinggal berjauhan mungkin boleh diucapkan menerusi talian telefon kemudian disusuli dengan kad undangan. Rasanya undangan menerusi laman sosial facebook seperti itu hanya sesuai dilakukan untuk menjemput rakan-rakan yang jauh, sama sebaya atau sekadar pemberitahuan. Dahulu beberapa minggu sebelum majlis perkahwinan diadakan ibu bapa mempelai biasanya akan 'turun padang' menjemput saudara-mara baik yang dekat mahupun jauh memeriahkan majlis. Namun kini, yang kononnya hubungan dieratkan secara atas talian (online) dan Internet serta laman sosial dan atas faktor kesibukan semua pihak, tata cara serta adab mengundang saudara-mara terdekat mahupun jiran-jiran sekampung turut berubah. Mungkin pada pendapat masyarakat hari ini, bersusah-payah untuk menjemput tidak lagi relevan cukuplah sekadar memberikan undangan dari jauh melalui kemudahan-kemudahan canggih tersebut. Menurut juru runding perkahwinan tradisional dari Melaka, Raja Andak Raja Hussin, dalam sesuatu majlis perkahwinan, setiap negeri pasti mempunyai adab tata cara undangan yang berlainan. Namun katanya, selari dengan arus teknologi moden hari ini serta budaya kerja, cara pemikiran dan sebagainya, semua berkenaan nilai tata cara dan adab kesopanan seolah-olah semakin dipinggirkan khususnya oleh generasi sekarang. ''Kalau di Johor, pada zaman 60-an sehingga 80-an dahulu kalau jemputan tidak kena pada gayanya, orang yang diundang tidak mahu hadir. ''Pada waktu itu kedua ibu bapa mempelai perlu datang ke rumah saudara yang mahu diundang dalam suasana penuh takzim dan bersungguh, tanda memuliakan orang yang ingin diundang ke majlis itu," katanya yang berpengalaman lebih 32 tahun dalam adat-istiadat perkahwinan tradisional. Katanya, selepas tahun 1990-an transformasi budaya ini telah berubah, cara mengundang tetamu menjadi terlalu ringkas apatah lagi dengan budaya Internet, telefon dan sebagainya. Raja Andak menambah, urusan undang-mengundang ini ada tertibnya sendiri. Sewaktu mengundang saudara-mara, bakal pengantin tidak perlu mengiringi ibu bapa mereka kerana ini merupakan urusan 'orang-orang tua'. Pada mulanya undangan perlu didahulukan kepada waris terdekat seperti kedua ibu bapa, mertua, adik-beradik dan ipar duai. Seterusnya barulah undangan dipanjangkan kepada saudara-mara dan sepupu, setelah itu sahabat handai yang paling rapat, serta keluarga angkat, kemudian barulah jiran tetangga dan akhirnya kenalan. Apabila ditanya bagaimana hendak melakukan jemputan terhadap waris terdekat yang berada jauh, menurutnya, talian telefon boleh digunakan sebagai penghubung dan pemberitahuan. Namun sebelum itu peristiwa pemutus kata mengenai majlis perkahwinan berkenaan telah dikhabarkan terlebih dahulu pada hari pertunangan. Ini supaya waris berkenaan tahu mengenainya dan tidak terkejut dengan undangan yang datang secara tiba-tiba dan tidak terasa hati kerana tidak dimaklumkan lebih awal. Tambahnya, boleh juga jemputan dilakukan dengan mewakilkan kepada individu tertentu yang membawa hasrat dan hajat jemputan kepada kenalan untuk memudahkan urusan. ''Apabila kita menjemput ke majlis pastikan kita melakukannya dengan berhemah biarpun terhadap adik-beradik sendiri. ''Biarpun ada yang beranggapan adik-beradik sudah mengetahui majlis berkenaan dan tidak perlu mengundang lagi, namun sebutan 'jemputlah' ke majlis...si anu-si anu tu perlu diucapkan sebagai tanda mengundang sesebuah keluarga itu. ''Orang yang tidak dijemput, tidak boleh datang ke majlis perkahwinan, hukumnya haram," katanya. Raja Andak menambah, sekiranya sesebuah majlis itu menggunakan perunding perkahwinan, urusan jemputan tidak boleh dan tidak berhak dicampuri oleh juru runding berkenaan kerana ia adalah urusan keluarga dan perlu diselesaikan oleh tuan punya majlis. Sepatutnya kata Raja Andak, adab dalam menjemput ke sesuatu majlis itu perlu dipupuk oleh ibu bapa kepada anak-anak agar generasi sekarang tidak membuat urusan jemputan itu sewenang-wenangnya. ''Apabila kita bertandang atas urusan menjemput, tidak kiralah majlis berkhatan, berkahwin, berzanji dan sebagainya , pada waktu itulah kita dapat mengeratkan silaturrahim dengan saudara-mara . ''Bagi mereka yang diundang pula, memenuhi jemputan bukanlah kerana hendak datang makan semata-mata, sebaliknya kita hadir untuk menunjukkan sokongan dan meraikan tuan punya majlis," katanya. | ||
| Aisha bersyukur diberi peluang kedua Posted: 25 Jan 2012 08:05 PM PST ![]() Aisha Azra Jemal Abdullah (tiga dari kiri) bersama saudara Muslim ketika menghadiri kursus lanjutan anjuran MAIS di Pantai Remis, Kuala Selangor. BERGELAR Muslim, itulah hasratnya sejak di bangku sekolah menengah lagi. Ditambah faktor pergaulan dengan teman-teman sekolah yang majoritinya beragama Islam. Bahkan, nilai-nilai murni yang menjadi amalan masyarakat Islam sekitarnya, menambah keterujaan untuk memeluk Islam. Sehinggakan laungan azan yang berkumandang, dirasakan bagai memanggil dirinya untuk melakukan syahadah. Demikian gejolak jiwa yang dirasai Lais anak Jemal sebaik dirinya bertekad untuk memeluk agama Islam. Apatah lagi, keinginannya itu diiringi restu ibu tercinta. Lantaran itu, penantian lebih lima tahun yang berakhir dengan lafaz kalimah syahadah tidak pelik jika diiringi air mata kegembiraan, sekali gus bertukar ke nama Aisha Azra Jemal Abdullah. "Saya mengenali Islam sejak di tingkatan empat lagi. Dalam kelas Tamadun Islam, Ustazah Syarifah Hendon yang mengajar selalu menceritakan kisah-kisah nabi. Dari situlah minat saya kepada Islam bermula. "Saya sendiri hairan bagaimana Islam boleh menjadi pilihan kerana saya juga terlibat secara aktif dengan gerakan mubaligh remaja Kristian. "Selain itu, saya juga jadi suka dengan agama Islam apabila melihat akhlak dan penampilan yang ditunjukkan oleh kawan-kawan yang beragama Islam. "Mereka ini saya lihat walaupun bertudung tetapi ia bukan kekangan untuk berjaya dalam pelbagai bidang kehidupan," akui wanita dari suku kaum Iban, kelahiran Kuching, Sarawak. Tambah Aisha, dia juga tertarik dengan Islam kerana mendapati agama tersebut mempunyai kaedah yang menarik dalam menghadapi masalah. Tiada putus asa atau mencari jalan nekad seperti membunuh diri, kekuatan keimanan dan rasa kebergantungan kepada Allah semata-mata itulah yang kata Aisha tidak ada pada agama lain. Aisha yang mula menjejakkan kaki di Semenanjung Malaysia pada 1999 kerana menyambung pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam jurusan sains politik. Dia memeluk Islam pada 10 Disember 2002 di Majlis Agama Islam di Kuching, Sarawak dengan ditemani keluarga angkat. Siapa sangka setahun kemudian, anak bongsu daripada empat adik-beradik ini dipertemukan jodoh dengan lelaki Melayu yang juga berasal dari Sarawak. Mereka melangsungkan pernikahan pada 2003. Pada pertemuan di Pusat Islam, baru-baru ini Aisha yang kini berusia 34 tahun membuat pengakuan dia hilang bimbingan sepanjang tempoh perkahwinannya. Namun, bergelar ibu tunggal, ibu kepada dua cahaya mata iaitu Syahira Natasha, 8, dan Danial Mustaqim, 7, menganggap dirinya mendapat hidayah kedua. Kedua-dua anak Aisha kini menuntut di sebuah sekolah tahfiz di Jalan Kebun, Klang, Selangor sejak hampir dua tahun. "Selepas bercerai saya mula bermuhasabah diri. Saya rasa hidup ini ada kekurangan. Ini kerana selama saya bergelar Muslim, saya tidak berpeluang mendalami agama Islam. Apatah lagi bila melihat anak-anak semakin membesar. Sampai bila saya harus Islam sekadar pada nama sahaja. "Satu lagi yang mendorong saya mendalami ilmu agama adalah pembantu rumah yang banyak memberikan tunjuk ajar terutamanya kepada anak-anak. "Dialah yang mengajar anak-anak saya mengaji. Dialah pembakar semangat untuk saya hijrah keluar daripada kejahilan," kata Aisha bersyukur. Kini dia sering mengunjungi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim). Kata Aisha, selain mengikuti kelas-kelas pengajian pagi dan petang anjuran Jawi dan Perkim dia juga tidak akan melepaskan peluang untuk menghadiri kursus anjuran MAIS. Jelasnya, setelah belajar secara istiqamah barulah dia lebih memahami bahawa ajaran Islam itu benar-benar serta amat selari dengan fitrah manusia. | ||
| Posted: 25 Jan 2012 08:05 PM PST ![]() Sekolah harus mampu membangunkan potensi insani para remaja. - Gambar hiasan KEMERDEKAAN yang kita terima dan isi sepatutnya menjadikan remaja lebih bertenaga dan berwibawa. Sebaliknya proses pembangunan dan perubahan sosial tidak dapat dimanfaatkan oleh kebanyakan para remaja. Terdapat sebahagian remaja Melayu dalam jumlah yang agak membimbangkan terjebak dengan ketirisan jati diri dan menjalani hidup dalam keadaan keliru dan celaru. Ini boleh menyebabkan kelangsungan generasi Melayu menjadi 'layu'. Abad ini adalah abad persaingan yang menuntut remaja yang berilmu dan mempunyai etika yang tinggi. Masalah sosial yang terjadi, penyalahgunaan dadah yang bertambah, kegiatan rempit yang berlaku, kadar penceraian yang tinggi serta amalan zina dan pembuangan bayi yang meningkat bukanlah suatu gambaran menarik kepada generasi muda. Generasi inilah yang bakal mengambil alih tampuk kekeluargaan, kemasyarakatan dan kepimpinan negara. Ia adalah gambaran suram yang menyebabkan Melayu itu bertambah 'layu'. Ia bermula dalam pendidikan keluarga yang tidak seimbang. Anak-anak tidak dibina dalam suasana yang fitrah. Keciciran banyak terjadi dalam pembinaan keluarga dan ia menyebabkan keciciran berterusan di sekolah dan dalam masyarakat. Remaja Melayu amat terdedah dengan simpang siur, silang budaya yang kehilangan arah. Ia menyebabkan remaja Melayu mengalami sindrom ketagihan terhadap hiburan, gemar menonton filem-filem tahyul, seram dan hantu yang tidak mampu meningkatkan akal budi insani dan mudah cair dengan cabaran nafsu nafsi dan akhirnya menjerumuskan remaja Melayu ke kancah kerosakan. Terlihat oleh kita sistem perubahan sosial berlaku dalam dua ekstrem. Di satu pihak cuba membentuk pemikiran generasi muda kearah kebaikan dan kemakrufan. Di sisi lain terdapat usaha dan kegiatan menjadikan mereka orang-orang yang lagha, cuai, dan lalai terhadap amanah keremajaan. Ia menyebabkan konflik sikap dan pemikiran terjadi. Akhirnya menyebabkan sebahagian remaja Melayu menjadi 'layu'. Sindrom 'kelayuan' ini boleh menyebabkan remaja Melayu hilang pedoman dan arah dalam hidup dan akhirnya menjadi mangsa kepada persekitaran. Persekitaran yang tidak baik bakal membentuk pola berfikir dan binaan sikap yang lemah. Ia tidak akan menghasilkan pemikiran kreatif yang berpotensi untuk membawa perubahan dan pemikiran kompetitif untuk berdepan dengan cabaran dan saingan. Minda remaja Melayu akan menjadi lemah, suka bergantung kepada orang lain dan menjadi pengikut kepada agenda orang lain. Oleh itu, amat penting generasi muda Melayu membina jati diri atas prinsip perubahan ke arah sesuatu. Remaja Melayu patut menginsafi bahawa ianya tidak boleh berlaku tanpa ilmu, kemahiran serta akhlak. Remaja Melayu yang jauh daripada pendidikan Islam dan tidak menjadikan Islam dan etikanya sebagai pedoman bakal terdedah menjadi mangsa zaman. Sifat zaman yang pantas berubah mengingatkan kita dengan kata-kata Saidina Umar r.a yang menyebutkan "Didiklah generasi muda dengan ilmu yang sezamannya". Ilmu yang sesuai dengan zaman, pada hemat penulis ialah ilmu yang integratif, yang menyepadukan ilmu akal dengan ilmu wahyu (ilmu aqliah dan ilmu naqliah). Tanpa kekuatan ilmu, yang diolah secara wasatiyyah (berimbang), tidak mungkin kita mampu menyaingi terjahan globalisasi yang berlaku dengan hebatnya. Reflektif terhadap tamadun Islam yang silam boleh membawa kepada proses integrasi dan islamisasi ilmu yang mampu mencetuskan perubahan dan tamadun. Kalau tidak, para remaja dan generasi muda akan kekal sebagai pengguna setia terhadap tamadun Barat yang belum tentu selari dengan tuntutan agama. Para remaja yang mengikuti pendidikan agama mesti mampu membentuk pemikiran yang terbuka, tidak emosional dan taksub serta berfikir secara simplistik. Melakukan perubahan terhadap sistem menuntut pemikiran yang jelas, rancangan yang bijaksana dan strategi yang berwibawa. Kalau pendidikan agama menjadikan para remaja gopoh berfikir, bersikap simplistik terhadap sesuatu, tidak bersedia mendengar pandangan orang lain ia bakal menghasilkan kejumudan dan kebekuan. Sikap jumud dan beku tidak boleh menghasilkan perubahan. Remaja bakal berada dalam kepompong berfikir yang lama dan tidak mampu melonjakkan diri dalam arus perubahan yang terarah. | ||
| Posted: 25 Jan 2012 08:04 PM PST ![]() Berkahwinlah dengan niat yang betul, itulah yang lebih digalakkan oleh Islam. - Gambar hiasan PERKAHWINAN adalah sunnah Rasulullah SAW dan juga ibadah. Ia dapat memelihara diri seseorang daripada maksiat. Dalam hadis Nabi SAW bersabda: "Apabila antara kamu ada yang mampu berkahwin, hendaklah ia berkahwin kerana nanti matanya akan lebih terjaga dan kemaluannya akan lebih terpelihara. Dan apabila ia belum mampu kahwin, hendaklah ia berpuasa kerana puasa itu mengawal nafsunya." (Sunan Abu Daud, Kitab Nikah, vol2, 2544). Hadis ini juga menerangkan bahawa berpuasa itu adalah satu cara terbaik untuk mengawal nafsu. Selain itu, syarat berkahwin adalah kemampuan segi mental, fizikal dan material. Namun, ramai hanya melihat hadis ini dari satu sudut iaitu perkahwinan adalah cara mengawal nafsu dan mengelak diri daripada melakukan maksiat. Perkara yang jarang sekali kita bincangkan ialah apakah cara untuk mengawal nafsu seseorang untuk mengelak daripada melakukan maksiat? Adakah kita ibu bapa pernah duduk bertanya kepada anak lelaki atau perempuan kita yang baru baligh bagaimana dia harus mengawal dirinya? Atau pernahkah berlaku sebaliknya? Berapa ramai generasi muda hari ini yang masih tidak dapat membezakan air mani dengan air mazi? Berapa ramai juga yang teragak-agak menjawab soalan yang melibatkan hubungan seksual atau isu melibatkan perkara-perkara yang meransang nafsu sehingga hilang kawalan. Dalam kebanyakan kes, apabila sepasang remaja yang terlanjur hingga mengakibatkannya hamil luar nikah, jalan penyelesaian yang diambil ibu bapa ialah menikahkan mereka walaupun mereka sangat muda. Lantas tidak sampai tiga bulan bercerai. Pernikahan itu tidak menyebabkan anak yang dikandung itu menjadi sah taraf kerana ia dilahirkan kurang enam bulan qamariah dari tarikh perkahiwan ibu bapanya. Yang dilahirkan lebih enam bulan qamariah (bulan Islam yang ada kalanya 29 hari dan ada 30 hari) maka anak itu dibin atau bintikan lelaki yang menyebabkan ibunya mengandung. Menurut hukum, demi kepentingan anak itu, ia adalah anak yang sahtaraf dan dinasabkan pada lelaki itu walaupun jelas anak itu dikandung melalui perzinaan. Berbalik kepada isu perkahwinan di mana perkahwinan kerana Allah semata-mata, kerana ingin hidup dalam peliharaan Allah. Namun jika ia dilaksanakan kerana pasangan telah terlanjur atau kerana takut melakukan zina, maka keperluan bahawa yang ingin berkahwin itu mesti mampu. Dalam keadaan telah atau akan berzina, yang jelas mereka hanya mampu dari segi fizikal dan seksual. Tetapi dari segi nafkah isteri dan anak pula telah diketepikan. Dalam beberapa keadaan perkahwinan itu hanya semata-mata ingin menutup malu. Saya pernah bertanya kepada seorang wanita muda (19 tahun) yang kenapa dia berkahwin. Dia seorang pelajar IPT dan telah terlanjur dengan seorang lelaki yang tidak bekerja. Dia mengandung dan melahirkan anak di rumah keluarga lelaki. Oleh kerana tidak mahu keluarganya tahu, dia telah bernikah di Thailand. Sebulan kemudian anaknya lahir. Dia duduk dengan mertua di sebuah flat di Kuala Lumpur. Dia telah mendaftarkan kelahiran anak dan memasukan nama suami sebagai bapa anak dalam butiran s13(a) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian. Dia mendapat anak lelaki dan keluarga suami sangat gembira kerana menurut bapa mertuanya anak itu membawa tuah kerana setiap kali dia mengambil loteri atau toto atau apa saja jenis judi, dia menang. Dia dan anak diberi makan wang daripada perjudian sedangkan lelaki yang dia nikahi tidak bekerja. Suaminya dan keluarga suami sangat sayangkan anaknya. Sehinggakan dia kadang-kadang tidak dapat memegang anaknya. Ada juga masanya suami mula bersikap garang dan memukulnya dan keluarganya membiarkan sahaja. Jadi dia datang untuk bertanya jika dia boleh mohon cerai. Setelah lama bertanya rupanya dia berkahwin kerana telah sarat mengandung. Dia takut didakwa di mahkamah syariah kerana melahirkan anak tanpa nikah. Lantaran tiada tempat hendak pergi dan jika dia berkahwin di Thailand kerana anak boleh dibin atau dibintikan kepada suaminya. Dia tidak pernah menyintai suaminya sebelum atau selepas berkahwin. Saya sangat terkejut. "Habis kenapa kahwin dengannya? Tidakkah kamu menyintainya sehingga melakukan zina?" Dia menjawab: "Saya sangat muda dan mudah tergoda. Mengadakan hubungan seks hanya untuk suka-suka dan mencuba. Bila mengandung, kesian pula pada anak dalam kandungan itu. Jadi saya kahwin." Saya tanya dia lagi sama ada dia tahu bahawa berzina itu dosa besar. Dia mengangguk dan tunduk. Saya menasihatkannya untuk mendaftarkan perkahwinannya di pejabat agama terdekat. Selepas didaftarkan, barulah dia boleh memohon cerai di mahkamah syariah di Malaysia. Dia menyatakan kerisauannya kerana suami pernah berkata yang dia boleh diceraikan tetapi tidak akan dibenarkan membawa anak bersama. Saya menerangkan bahawa anak itu adalah anak yang tak sah taraf kerana dilahirkan satu bulan selepas ibu bapanya berkahwin. Benar, nama bapanya telah dimasukkan dalam sijil kelahiran tetapi dengan hanya melihat di bahagian bawah sijil itu yang menulis seksyen 13, jelas menunjukan anak itu tidak sah taraf. Menurut hukum Islam, anak tidak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada bapa biologinya atau lelaki yang menyebabkan ibu anak itu mengandung. Anak tidak sah taraf adalah milik mutlak ibunya. Ibu dan keluarga ibu yang berhak kepada anak tersebut dan wajib menanggungnya. Wanita muda itu berkata, "Jadi suami saya tidak boleh buat apa-apa atau ambil anak ini? Kalau saya tahu saya tidak nikah dengannya. Saya nikah kerana saya ingat saya boleh jadikan anak saya anak sah taraf dengan bernikah sebelum anak lahir." Kali ini giliran saya terkejut. Pertama kerana kecetekan ilmu agama wanita muda pelajar IPT itu. Yang kedua, dia berkahwin atas alas an yang salah. Dia berkahwin kerana takut didakwa di mahkamah syariah! Yang jelas, walaupun anaknya itu anak tidak sah taraf dan zinanya yang bukan atas dasar cinta. Naluri keibuannya jelas menunjukkan dia sangat sayangkan anak itu. Cuma dia tidak tahu ke mana hendak pergi bersama anak itu, sedang dia masih belajar. Wanita muda tadi adalah contoh terbaik golongan yang berkahwin tanpa mengetahui hikmah perkahwinan. Pasangan yang ingin berkahwin perlulah tahu kenapa mereka ingin berkahwin. Ramai yang akan menjawab berkahwin atas dasar cinta. Ada juga yang dikahwinkan oleh ibu bapa kerana pergaulan yang terlalu bebas dan merunsingkan keluarga. Namun bila hendak dikahwinkan, yang lelaki sama ada masih belajar, mengganggur atau baru bekerja. Duit tidak ada walau hanya untuk maharnya. Ramai juga ibu bapa anak perempuan terpaksa 'beralah' dan menerima pilihan anak perempuan mereka seadanya. Jika diminta yang bukan-bukan, mereka tidak jadi berkahwin. Sedangkan anak perempuannya itu telah 'diusung' ke sana ke mari. Ada ibu bapa berkongsi menyediakan persediaan perkahwinan anak-anak kerana anak tidak mampu lagi untuk berkahwin tetapi kerana takut anak-anak terlanjur, mereka dinikahkan segera. Ada juga yang tahu anak mereka telah terlanjur tetapi tidak mengandung lagi lalu dinikahkan kerana takut kejadian berulangan. Ada juga pasangan yang datang berjumpa saya setelah 10 tahun berkahwin dan terlepas juga kata-kata suaminya: "Kami dulu dinikahkan oleh keluarga kerana kami sering keluar bersama. Sebenarnya kami belum bersedia untuk berkahwin." Jika pasangan sering keluar berdua-duaan, masakan mereka tidak pernah terfikir untuk berkahwin atau tidak bersedia berkahwin. Sedangkan hubungan telah melebihi pasangan suami isteri? Apakah yang pasangan tahu tentang cinta dan bercinta? Apakah yang dimaksudkan dengan "tidur tak lena, mandi tak basah" itu? Adakah itu semata-mata emosi yang disaluti nafsu? Kenapa hari ini pasangan bercinta bertahun-tahun, berkahwin dan lepas tiga tahun bercerai. Ke mana hilangnya cinta yang diagung-agungkan itu? Atau ia semata-mata emosi yang disaluti nafsu? Surah ar-Rum ayat 21 dan surah an-Nisa ayat 1 menunjukan bahawa Allah menjanjikan kasih sayang dalam perkahwinan untuk pasangan suami isteri hidup berkasih sayang. Allah juga menjanjikan zuriat daripada hubungan kasih sayang itu. Ini adalah janji Allah SWT. Jika kita hamba Allah yang taat dan percaya kepada-Nya, maka kita mesti bercaya bahawa jika kita berkahwin dengan niat kerana Allah, maka perkahwinan itu akan Allah rahmati denga kasih sayang berpanjangan. Pasangan perlu yakin bahawa Allah SWT sangat pemurah lagi penyayang dan dengan rahmat-Nya, kita beroleh keberkatan perkahwinan. Yang berlaku hari ini ialah ramai pasangan berkahwin di atas dasar 'cinta'. Sebelum berkahwin, tidak dengar suaranya tidak boleh tidur. Tidak dapat SMSnya tidak lalu makan. Selepas berkahwin, telefon jika ada kecemasan. Ke mana hilangnya cinta? Atau cinta yang dibalut nafsu telah hilang kerana apa yang dicari telah diperoleh? Berdoalah dan pupuklah cinta selepas berkahwin dan berkahwinlah dengan niat yang betul. | ||
| Posted: 25 Jan 2012 08:03 PM PST ![]() Suatu ketika dahulu terdapat banyak halangan dan kritikan dalam melaksanakan perbankan Islam tetapi akhirnya ia diterima juga. Begitu juga dengan pelaksanaan undang-undang hudud, ia tidak mustahil - Gambar hiasan ISU undang-undang hudud dan pelaksanaannya di Malaysia seringkali menjadi perbahasan di kalangan masyarakat. Kadangkala ia menjadi topik yang begitu kontroversi kerana disulami dengan pelbagai elemen lain seperti emosi politik dan juga realiti sebenar di Malaysia. Kebanyakan umat Islam mahu undang-undang hudud dilaksanakan di Malaysia. Namun pendekatan yang diambil berbeza antara satu sama lain. Menukar undang-undang yang sedia ada kepada undang-undang hudud bukanlah semudah memetik jari. Ruangan kali ini bukan bertujuan menongkah arus ataupun menambahkan lagi kontroversi yang sedia ada. Tetapi berbincang tentang pelaksanaan hudud dalam konteks sistem perundangan negara. Perbincangan di ruangan ini juga hanya berkisar dari sudut perundangan negara dan tidak menyentuh perkara-perkara lain seperti politik pendidikan dan juga aspek dakwah. Para ulama memberikan definisi hudud sebagai kesalahan yang mana hukumannya telah ditentukan (jumlah bilangan dan kaedah perlaksanaan) di sisi syarak dilaksanakan terhadap sesuatu maksiat yang dilakukan, yang melibatkan hak Allah Kesalahan hudud merangkumi kesalahan berzina, qazaf, meminum arak, mencuri, merompak dan juga murtad. Perbincangan tentang hudud biasanya hanya berkisar tentang hukuman itu sendiri yang sering digambarkan sebagai zalim dan tidak berperi kemanusiaan. Amat jarang masyarakat membincangkan hudud secara ilmiah yang berkait dengan falsafah hukuman beban dan tahap pembuktian kes-kes hudud. Undang-undang hudud sebenarnya merupakan benteng pencegahan kesalahan-kesalahan lain dalam masyarakat. Hukuman yang tegas berfungsi sebagai penghalang kesalahan-kesalahan hudud dan juga kesalahan-kesalahan yang lain. Pembuktian dalam hukuman hudud pula amat tinggi iaitu melampaui sebarang keraguan. Berbeza dengan tahap pembuktian kes-kes sivil sekarang ini yang hanya setakat melampaui keraguan munasabah. Ini bermakna hudud tidak boleh disabitkan jika terdapat walaupun sedikit keraguan di sisi hakim. Itu sebabnya kebanyakan kes-kes hudud disabitkan melalui pengakuan pesalah itu sendiri. Jika pesalah tidak mengakui pertuduhan yang dibawa kepadanya beban membuktikan kesalahan itu amat sukar kerana ia melibatkan hukuman yang amat berat. Namun ini tidaklah bermakna pesalah akan dilepaskan begitu sahaja memandangkan tahap pembuktian yang tinggi tersebut. Seseorang yang dilepaskan atas tuduhan hudud bukan dibebaskan begitu sahaja, tetapi masih boleh dihukum atas kesalahan bersifat taazir yang memerlukan kadar pembuktian yang lebih rendah. Penulis tidak berhasrat membincangkan satu persatu tentang tahap pembuktian kes-kes hudud di dalam ruangan ini kerana perbahasan mengenainya agak panjang dan kompleks. Cukuplah sekadar mengatakan bahawa kadar pembuktian ini adalah amat tinggi bagi mempastikan orang yang tidak bersalah tidak akan dalam mana-mana keadaan dihukum melalui hukuman hudud. Inilah jaminan yang diberikan Allah bagi menzahirkan kasih sayang Allah terhadap makhluk-Nya yang tidak melakukan kesalahan. Berbalik kepada sistem perundangan negara yang mengamalkan dwisistem perundangan. Kita akan dapati Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan membahagikan penggubalan undang-undang kepada tiga kategori berdasarkan pembuat undang-undang iaitu Parlimen dan dewan-dewan negeri. Terdapat tiga senarai yang disebut dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan iaitu Senarai Persekutuan, Senarai Negeri dan Senarai Bersama. Parlimen boleh membuat undang-undang yang perinciannya termaktub dalam Senarai Persekutuan dan Senarai Bersama. Manakala dewan-dewan negeri pula berkuasa membuat undang-undang yang terjatuh dalam Senarai Negeri dan Senarai Bersama. Meneliti senarai-senarai tersebut, kita akan dapati jenayah disebut di dalam Senarai Persekutuan manakala pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu terletak di bawah Senarai Negeri. Berdasarkan Jadual Kesembilan tersebut penulis mendapati kesalahan hudud seperti mencuri dan merompak berada di bawah Senarai Persekutuan dan jenayah hudud lain seperti zina, qazaf, meminum arak dan murtad pula terletak di bawah kuasa negeri. Dalam hal yang demikian penulis berpandangan bahawa kesalahan-kesalahan hudud ini tidak boleh dilaksanakan secara pakej dalam satu undang-undang disebabkan kesalahan tersebut terjatuh dalam kuasa dua badan perundangan yang berbeza. Oleh itu penulis berpandangan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Kelantan) 1993 dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Terengganu) 2003 tidak boleh dilaksanakan kerana sebahagian kesalahannya tidak berada di bawah kuasa Dewan Negeri. Namun demikian, apa pun kedudukannya ia tidaklah memberikan suatu tiket kepada umat Islam untuk tidak melaksanakan undang-undang Islam. Segala usaha perlu digarap dan dimantapkan bagi mencari ruang bagaimana undang-undang Islam dapat dilaksanakan di Malaysia. Penulis juga berpandangan bahawa tidak semestinya sesuatu perkara tersebut mesti dinamakan atas nama agama bagi melaksanakannya. Ia boleh juga dilaksanakan walaupun tanpa menamakannya sebagai undang-undang Islam. Oleh itu penulis berpandangan dalam kesalahan-kesalahan yang terjatuh di bawah kuasa Parlimen, kesalahan tersebut hendaklah dibiarkan kekal di bawah kuasa Parlimen kerana jika sekiranya kita ingin meminda Perlembagaan sudah pasti akan menghadapi jalan berliku. Perkara yang perlu dititikberatkan ialah membawa undang-undang berkaitan agar lebih dekat kepada Islam dalam erti kata selaras dengan undang-undang dan falsafah undang-undang. Dalam konteks ini Kanun Keseksaan, Kanun Prosedur Jenayah dan Akta Keterangan hendaklah dipinda bagi memasukkan beberapa peruntukan yang berkaitan dengan tahap serta cara pembuktian dan cara pelaksanaan hukuman diperincikan di dalam undang-undang tersebut. Peruntukan juga mestilah dibuat bagi memberi ruang kepada para hakim mengenakan hukuman bersifat takzir sekiranya hudud gagal dibuktikan. Seiring dengan hasrat melaksanakan undang-undang hudud, penulis berkeyakinan sekiranya undang-undang di atas dipinda maka kesalahan mencuri dan merompak akan dapat dilaksanakan secara hudud. Manakala bagi kesalahan hudud lain seperti berzina, qazaf, meminum arak dan murtad pula badan perundangan negeri memang mempunyai kuasa penuh untuk mengadakan kesalahan-kesalahan demikian selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Sulaiman bin Takrib melawan Kerajaan Negeri Trengganu yang memutuskan bahawa tafsiran precepts of Islam dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan itu bukan sekadar dewan negeri mempunyai kuasa mengadakan kesalahan berkaitan perlanggaran rukun Islam yang lima itu tetapi lebih luas iaitu mewujudkan kesalahan yang melanggar apa-apa perintah agama Islam. Oleh itu empat kesalahan di atas boleh menjadi kesalahan yang bersifat hudud. Walau bagaimanapun hukuman kesalahan tersebut disekat oleh Akta Bidangkuasa Jenayah (Mahkamah Syariah) 1984 yang memperuntukkan Dewan Negeri boleh mengwujudkan mana-mana kesalahan jenayah syariah dan hukumannya hendaklah tidak melebihi tiga tahun penjara, RM5,000 denda dan enam kali sebatan. Penulis berpandangan sekiranya akta ini dimansuhkan empat jenis kesalahan hudud yang terletak di bawah bidangkuasa negeri boleh dilaksanakan. Umat Islam yang mempertikai atau memperlekehkan mana-mana undang-undang Islam boleh dipertikaikan juga syahadahnya. Umat Islam seharusnya mencari jalan bagaimana hendak melaksanakan undang-undang Islam. Walaupun mungkin terdapat halangan-halangan tertentu usaha yang mantap perlulah dibuat bagi mengubah atau membuang halangan tersebut demi melaksanakan undang-undang Islam ini. Penulis sering tertanya-tanya jika suatu ketika dahulu apabila pihak kerajaan berhasrat untuk melaksanakan perbankan Islam terdapat begitu banyak halangan dan kritikan yang diterima daripada masyarakat Islam dan bukan Islam. Namun bermula dengan tingkap-tingkap perbankan tanpa faedah, kemudiannya dinamakan perbankan Islam kini sistem perbankan Islam bukan sahaja menjadi pilihan umat Islam tetapi juga orang bukan Islam kerana keadilan sistem itu sendiri. Tidak mustahil sekiranya undang-undang hudud ini dilaksanakan lama-kelamaan orang akan faham kecantikan undang-undang ini bagi menjaga lima maqasid al syariah iaitu menjaga agama, aqal, diri, keturunan dan harta. Adalah menjadi tugas setiap umat Islam untuk berusaha melaksanakan Islam dengan sewajarnya. Dari sudut perundangan jalannya sudah ada, terpulanglah kepada ahli siasah untuk melaksanakannya. | ||
| Kaburi pelanggan guna ayat al-Quran Posted: 25 Jan 2012 08:00 PM PST ![]() Mohd. Amri Abdullah (tengah) memeriksa geran perniagaan sebuah kedai makanan ketika mengadakan pemantauan Kempen Kesedaran Halal, di Taman Puchong Permai, baru-baru ini. AYAT 1000 dinar, ayat kursi, surah Yasin dan beberapa potongan surah lazim dalam al-Quran merupakan ayat yang popular digunakan untuk dipamer oleh peniaga di restoran atau kedai makan di negara ini. Apakah tujuan mereka berbuat demikian? Adakah untuk mewujudkan persekitaran Islam atau hanya sebagai penghias kedai. Bukan hanya satu, malah terdapat sesetengah kedai yang mempamerkan ayat suci bagi umat Islam itu di setiap penjuru dinding dan juga pada papan penyata kedai tersebut. Sedarkah kita yang merupakan pengguna, bahawa kaedah tersebut merupakan satu helah segelintir peniaga yang cuba mengaut keuntungan dengan menggunakan ayat al-Quran. Ayat al-Quran yang melambangkan agama Islam disalahgunakan sebagai tarikan kepada pelanggan khususnya orang Islam yang merupakan penganut majoriti di negara ini. Tanpa memikirkan sensitiviti umat Islam, peniaga yang tidak bertanggungjawab itu juga cuba mengaburi pelanggan dengan mengambil pekerja yang beragama Islam untuk menarik kepercayaan pelanggan Muslim memasuki kedai mereka. Bermodalkan persekitaran dan latarbelakang Islam palsu yang digunakan oleh peniaga tersebut menjadi landasan mudah kepada mereka untuk mengelak daripada terkecuali mengambil logo halal yang diiktiraf daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Perkara ini yang membimbangkan Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM) dan Jakim akan terus berleluasa di seluruh negara. Operasi LPKPM bersama Jakim dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di sekitar Taman Puchong Permai mendapati terdapat banyak premis makanan yang menyalahgunakan ayat al-Quran untuk menarik pelanggan Muslim. Presiden LPKPM, Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya berkata, pihaknya menerima pelbagai aduan daripada orang ramai dan hasil tinjauan sendiri mendapati pelbagai kaedah penipuan yang dilakukan oleh segelintir peniaga makanan untuk mengaburi mata pelanggan. "Peniaga restoran atau kedai makanan melakukan taktik ini kerana tidak mempunyai logo halal atau menggunakan logo yang tidak diiktiraf oleh Jakim. Oleh itu, mereka menggunakan ayat al-Quran sebagai alat untuk mengelirukan pelanggan Muslim dan mengaut keuntungan. "LPKPM sebagai badan yang bertanggungjawab tidak mahu ada peniaga yang mengambil kesempatan dan tidak akan bertolak ansur terhadap perkara ini demi menjaga kemaslahatan umat Islam," katanya. Beliau berkata demikian pada operasi Kempen Kesedaran Halal yang dilakukan baru-baru ini. Turut serta, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ). Pemeriksaan itu dijalankan hasil daripada aduan orang ramai dan pemerhatian LPKPM terhadap beberapa restoran yang didapati mengelirukan pengguna. Operasi yang diadakan hampir tiga jam itu membabitkan seramai 20 pegawai daripada agensi terbabit. Pada pemeriksaan itu, pelbagai kesalahan lain dikenalpasti. Antaranya, terdapat restoran yang diarahkan tutup oleh KKM kerana tidak mengikut tahap kebersihan yang ditetapkan, lesen perniagaan tamat tempoh dan menggunakan kaki lima pejalan kaki tanpa kebenaran. Saharuddin turut menasihatkan kepada peniaga supaya mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan dan memohon sijil halal yang dikeluarkan oleh Jakim atau Majlis Agama Islam Negeri. Saharuddin berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan agensi kerajaan untuk sentiasa memantau premis perniagaan makanan yang masih berdegil dengan melakukan pelbagai kesalahan yang bertentangan dengan undang-undang Akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011) yang dikuatkuasakan 1 Januari lalu. | ||
| Posted: 25 Jan 2012 07:59 PM PST ![]() Pembayar zakat bukan sahaja menunaikan rukun Islam keempat tetapi juga membersihkan harta daripada hak orang lain.- Gambar hiasan Hati mana yang tidak sedih melihat paparan di media berkenaan kemiskinan dan kemelaratan yang berlaku dalam masyarakat. Dalam dunia moden hari ini, masih lagi terdapat orang yang tinggal dalam kotak, menginap bawah jambatan, dalam kandang haiwan dan sebagainya. Diberitakan juga kisah-kisah pesakit kronik yang terlantar tanpa bantuan, orang kelainan upaya dan kanak-kanak terbiar tanpa perlindungan. Demikianlah episod-episod sedih dalam sebuah kehidupan di alam realiti. Bagi membendung masalah kemiskinan dan kemelaratan hidup, Islam telah mendatangkan penyelesaian yang sangat tepat dan berkesan. Islam telah menjadikan zakat sebagai kewajipan kepada umat sehingga ia termasuk dari rukun Islam. Zakat adalah ketetapan Ilahi. Ini bererti, tidak sempurna keislaman seseorang itu apabila enggan mengeluarkan zakat setelah cukup syarat-syaratnya. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Islam dibina atas lima: Bersyahadah bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad pesuruh Allah, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, berpuasa Ramadan dan haji ke baitullah bagi sesiapa yang mampu mengunjunginya. (riwayat Muslim) Sebab itu, Abu Bakar As-Siddiq r.a telah mengisytiharkan perang kepada golongan yang enggan membayar zakat walaupun mereka menunaikan kewajipan yang lain seperti solat. Walaupun tindakan Abu Bakar untuk memerangi mereka itu tidak dipersetujui oleh para sahabat di peringkat awal, tetapi akhirnya mereka bersetuju secara ijmak setelah diberikan penjelasan oleh Abu Bakar. Allah SWT sering menggandingkan kewajipan mengeluarkan zakat bersama dengan perintah mendirikan solat. Antaranya firman Allah SWT yang bermaksud: Dan dirikan solat, serta tunaikan pembayaran zakat dan rukuklah bersama orang-orang yang rukuk. (al-Baqarah: 34) Islam telah mengajar kita cara berekonomi dan penggemblengan modal menerusi pengumpulan dana sama ada yang bersifat sukarela (derma dan wakaf) atau wajib (berzakat). Sehingga Allah menjanjikan ganjaran yang amat besar sekali kepada mereka yang melakukannya dan azab yang amat dahsyat kepada yang mengingkarinya. Ia sebagaimana firman-Nya menegaskan: Dan rahmatKu meliputi segala sesuatu, sebab itu akan Aku sediakan bagi mereka yang bertaqwa, mereka yang mengeluarkan zakat dan mereka yang beriman dengan keterangan-keterangan Kami (Allah). (al-A'raf: 156) Walaupun kutipan zakat melalui pusat-pusat zakat semakin bertambah dari tahun ke tahun, namun ia masih lagi belum mencapai tahap yang memuaskan. Jumlah zakat dilihat tidak seimbang dengan bilangan masyarakat Islam yang berkemampuan di negara kita. Ini menunjukkan kesedaran tentang pembayaran zakat perlu diperluaskan dan diperhebatkan lagi untuk memberikan kefahaman dan untuk memurnikan salah faham tentang zakat. Sebagai contoh, terdapat golongan yang beranggapan bahawa zakat yang diwajibkan hanyalah zakat fitrah yang ditunaikan pada bulan Ramadan. Sedangkan banyak lagi jenis-jenis zakat yang difardukan kepada mereka yang telah memenuhi syarat-syaratnya seperti zakat pendapatan, simpanan, perniagaan, tanaman, haiwan ternakan, galian, emas dan perak. Orang yang tidak mengeluarkan zakat sedangkan mempunyai kemampuan yang cukup akan dikenakan seksaan yang amat pedih di akhirat kelak. Penderitaan tersebut dikenakan kepada mereka disebabkan sikap pentingkan diri sendiri yang ada dalam diri sehingga sanggup untuk melihat kemiskinan terhampar di hadapan matanya, padahal mereka mempunyai kemampuan dengan rezeki yang telah dikurniakan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu. (al-Taubah: 34-35) Begitu juga dengan ancaman berat yang diberikan oleh Nabi SAW terhadap mereka yang enggan mengeluarkan zakat. Hadis nabi SAW yang bermaksud: Tidak ada seorang yang mempunyai emas dan perak yang tidak menunaikan zakatnya, melainkan pada hari kiamat dijadikan hartanya itu beberapa keping api neraka. Setelah dipanaskan, digosokkan ke lambung, dahi dan belakangnya, setiap kali ia sejuk dipanaskan semula, pada satu hari yang lamanya 50,000 tahun sehingga Allah menyelesaikan segala perkara yang berkaitan dengan hamba-Nya. (riwayat Muslim) Zakat agih kekayaan Zakat dengan konsepnya yang tersendiri mampu mengatasi masalah pengagihan kekayaan dalam masyarakat. Lapan asnaf yang ditetapkan oleh Allah SWT dalam ayat di atas adalah segmen-segmen penting dalam masyarakat untuk diprioritikan bantuan kepada mereka. Mereka adalah golongan yang perlu diberi perhatian sebagai sebagai sebuah komponen yang unik dalam masyarakat. Zakat juga penting bagi tujuan pembinaan ekonomi negara. Ini adalah kerana, zakat dapat menjadi sumber kepada golongan yang tidak berkemampuan untuk mendapatkan modal. Modal ini boleh digunakan sebagai permulaan untuk perniagaan bagi menjana pendapatan. Pusat Zakat di bawah Majlis Agama Islam Negeri menyediakan pula khidmat nasihat dan pemantauan terhadap operasi perniagaan mereka dari masa ke semasa. Apabila mereka sudah mencapai tahap yang memuaskan dalam perniagaan yang dijalankan, maka tibalah giliran mereka pula untuk mengeluarkan zakat bagi membantu asnaf-asnaf lain. Namun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat di kalangan golongan asnaf yang tidak mampu untuk bekerja kerana penyakit kronik atau kecacatan anggota badan. Justeru, zakat yang dikumpulkan akan digunakan bagi menyara kehidupan mereka termasuklah makan-minum, pakaian, tempat tinggal dan kos perubatan. Kesimpulannya, zakat adalah penting sebagai sumber perekonomian masyarakat Islam. Ia bukan sahaja dapat membantu golongan yang tidak bernasib baik, bahkan ia juga dapat merancakkan kegiatan dan pertumbuhan ekonomi umat Islam. Apa yang berbaki adalah, sama ada kita yakin atau tidak. |
| You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |




























0 ulasan:
Catat Ulasan