RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Tidak lupa doa dapat anak

Posted: 24 Jan 2012 07:05 PM PST



BARU sahaja balik daripada bercuti menyambut hari jadi di Morocco, Marakesh dan Dubai bersama suami tersayang, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K pada 13 Januari lalu, Siti Nurhaliza Tarudin dikejutkan dengan berita daripada sebuah agensi berita mengenai tawaran berlakon untuknya dalam sebuah produksi filem Indonesia yang berjudul Kekuatan Cinta. Agensi berita tersebut melaporkan sebuah syarikat penerbitan filem Indonesia berminat untuk mengambil Siti berlakon di dalam naskhah terbaharu mereka.

Malah, syarikat berkenaan sangat senang untuk menggandingkan Siti bersama pelakon Nicholas Saputra, Christine Hakim dan Dian Sastrowardoyo di dalam filem itu.

Begitupun, Siti sendiri tidak tahu mengenai tawaran tersebut dan tidak menerima sebarang tawaran rasmi melalui syarikat terbabit. Apatah lagi, menyatakan persetujuan untuk berlakon di dalam filem itu.

"Siti tahu tawaran syarikat itu pun daripada laporan secara atas talian. Siti tidak anggap berita tersebut sebagai tawaran. Mungkin syarikat produksi itu baru berhasrat untuk melamar Siti berlakon dalam filemnya," kata Siti yang anggun dalam busana Marakesh ketika ditemui selepas sidang media majlis sambutan Maulidur Rasul 1433 Hijrah Muhammad Al-Amin Siti Nurhaliza bersama Rabbani di Cyberview Lodge & Spa, Cyberjaya.

Memang sukar untuk Siti menentukan jawapan selagi tawaran rasmi tidak dibuat oleh pihak syarikat terbabit. Tegas Siti, walau bagaimanapun dia tetap memperhalusi tawaran yang diterimanya sebelum memberi persetujuan berlakon di dalam filem itu.

"Kalau dilihat dari barisan pelakonnya memang cerita itu kelihatan menarik. Siti ada gambaran bahawa filem itu besar kerana ia menggabungkan pelakon Indonesia dan Malaysia. Tetapi, selagi tidak ada sebarang tawaran rasmi daripada syarikat itu Siti tidak berani nak cakap terima atau tidak," ujarnya kelihatan gembira menyambut ulang tahun di negara yang diminati sekali gus percutian tersebut merupakan bulan madu kedua Siti selepas berkahwin.


KEMBARA di bumi Marakesh membawa Siti singgah ke Gunung Atlas.


Mengorek cerita di sebalik percutiannya, Siti mengaku begitu seronok dan teruja melawat ke negara yang belum pernah dikunjunginya. Malah, paling mempesonakan bagi Siti merupakan negara Marakesh.

"Marakesh memang cantik. Walaupun warna bangunan yang digunakan kebanyakannya hijau dan batu-bata sahaja tetapi ukiran dalamnya memang menakjubkan. Siti juga sangat teruja dapat menikmati makan malam di puncak Burj Khalifa pada tanggal 11 Januari," luahnya yang memberitahu, Datuk K turut memberi hadiah lain sempena hari jadinya tetapi enggan mendedahkannya kepada media.

Anak

Siti turut ditanya mengenai cahaya mata memandangkan penyanyi tersohor itu sudah berkahwin selama enam tahun.

"Siti memang merancang untuk memiliki anak sejak awal perkahwinan lagi tetapi sehingga sekarang masih belum ada rezeki menimang cahaya mata. Kita cuma merancang tetapi perancangan Allah itu lagi hebat. Rezeki di tangan Dia. Mungkin satu hari nanti Siti dikurniakan zuriat.

"Mungkin juga ada hikmah Allah melambatkan Siti untuk mendapat anak. Mungkin Dia mahu Siti sesuaikan dulu kehidupan bersama suami dan anak-anak suami atau mungkin Allah mahu Siti melaksanakan kerja-kerja Siti yang masih tertangguh. Jika sudah ada anak nanti perhatian akan beralih kepadanya pula," katanya yang sentiasa berdoa kepada Allah memohon zuriat sendiri selain mengaku turut berusaha untuk memperoleh zuriat.


SITI amat mengagumi seni reka bangunan di Marakesh.


Tanpa berselindung Siti juga mengaku, biarpun tanpa kehadiran cahaya mata, Datuk K menatangnya bagai minyak yang penuh. Tuturnya, sejak di awal perkahwinan sehingga usia perkahwinannya mencecah enam tahun layanan Datuk K terhadapnya tidak pernah berubah. Siti sentiasa dimanja dan dibelai suami. Selain belaian suami dan kesibukannya dalam menguruskan kerjaya nyanyian mahupun syarikat Siti Nurhaliza Production (SNP) miliknya tidak timbul rasa sunyi dalam hidup Siti.

Dalam perkembangan lain, Siti turut berkongsi mengenai produk terbaharu Simply Siti keluaran syarikatnya.

Selain kosmetik kini Simply Siti juga mengeluarkan produk penjagaan kulit. Produk yang menggunakan pelan endorfin dan mengandungi stem sel serta advance hidrohalogen itu dikeluarkan menerusi lima produk iaitu pelembab, krim mata, serum, skrub dan topeng muka.

"Produk ini sudah dilakukan ujian ke atas beberapa wanita dan ia memang memberi kesan beberapa minggu selepas memakainya. Ia dapat mengurangkan kedutan, mencerahkan kulit dan memberi seri pada wajah," ujarnya yang turut bakal mengeluarkan tiga pewangi jenama Siti Nurhaliza selepas kelima-lima produk penjagaan kulit itu dipasarkan pada bulan Februari ini.

Penanggal naskhah cinta, bukan seram

Posted: 24 Jan 2012 07:04 PM PST


ANTARA salah satu babak cemas yang harus dilakukan aktor Azri Iskandar sewaktu penggambaran filem Penanggal di Kuala Kangsar, Perak baru-baru ini.


SEBELUM ini, nama Ellie Suriati lebih sinonim sebagai seorang pelakon drama, filem dan teater yang cukup berkaliber. Malah, dia adalah antara pelakon yang sering dijadikan rujukan oleh ramai pelakon baharu sekarang.

Kini, pelakon berkenaan telah melangkah setapak lagi dalam mengembangkan kerjayanya sebagai seorang anak seni apabila bakal muncul dalam filem pertama yang diarahkannya sendiri iaitu Penanggal.

Ditemui ketika menjalani penggambaran filem tersebut baru-baru ini di Kuala Kangsar, Perak, Ellie memberitahu, duduk di kerusi pengarah adalah satu angan-angannya sejak mula berkecimpung sebagai seorang pelakon.

"Apabila mula bertapak dalam bidang lakonan pada tahun 1998, saya sudah memasang angan-angan untuk menjadi seorang pengarah suatu hari nanti dan sentiasa berdoa agar ia dapat direalisasikan.

"Namun, selepas 14 tahun barulah apa yang saya angankan itu akhirnya menjadi kenyataan. Lebih istimewa lagi, saya juga turut bertindak sebagai penulis skrip untuk filem ini," ujarnya.

Menurut Ellie, dia sudah menghasilkan skrip filem tersebut sejak tahun 2008 dan sudah melakukan banyak rombakan serta perbincangan bersama penerbit bagi menghasilkan jalan cerita yang lebih mantap.

Ujarnya, biarpun sudah banyak perubahan yang telah dilakukan, tetapi asas penceritaan yang ditampilkan dalam filem berkenaan masih lagi dikekalkan daripada skrip asal.

Berlatar belakang pada zaman sekitar 1930-an, Penanggal berkisarkan tentang seorang gadis bernama Murni yang telah mewarisi ilmu penanggal secara tidak sengaja daripada Mak Ajeng sehingga dia terpaksa melarikan diri ke sebuah kampung untuk mencari perlindungan.

Antara barisan pelakon yang membintangi filem tersebut adalah Ummi Nazeera sebagai Murni, Azri Iskandar (Syed Yusof), Fasha Sandha (Sharifah Zaharah) dan Zul Ariffin (Syed Umar).

Ketika ditanya tentang pemilihan genre seram sebagai filem sulung arahannya, pemenang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-16 itu menyatakan ia dipilih berdasarkan minat penonton di negara ini yang gemarkan kisah-kisah mistik.

Jelasnya, kisah seram seperti Penanggal ini dilihat sesuatu yang cukup menarik untuk diterokai, namun menegaskan filemnya itu bukanlah sebuah kisah yang benar-benar seram.

"Apa yang boleh saya katakan, Penanggal yang saya hasilkan ini adalah sebuah filem cinta klasik kerana jalan ceritanya lebih menjurus kepada kisah percintaan di sebalik kisah tentang penanggal," jelasnya.

Mengenai harapannya terhadap filem arahannya itu, Ellie memberitahu dia sememangnya meletakkan harapan yang tinggi agar ia mendapat sambutan yang hangat daripada penonton.

"Penanggal adalah ujian pertama sebagai seorang pengarah dan sudah tentu saya mahukan yang terbaik untuk filem ini. Biarpun telah berdepan dengan ujian yang lebih berat sebelum ini, saya tetap bekerja keras biarpun telah dinasihatkan oleh doktor supaya berehat.

"Bagaimanapun, saya sangat beruntung kerana mendapat kerjasama yang baik daripada semua tenaga produksi serta para pelakon yang telah memberikan komitmen sepenuhnya agar filem ini dapat disiapkan dengan lancar," jelasnya.

Kerjasama dua syarikat

Apa yang menariknya tentang filem ini adalah ia membabitkan kerjasama dua buah syarikat perfileman iaitu Tayangan Unggul Sdn. Bhd. (TUSB) dan Grand Brilliance Sdn. Bhd. (GBSB).

Penerbit Eksekutif TUSB, Gayatri Su-Lin Pillai berkata, pihaknya memang sudah lama mahu menjalinkan kerjasama iaitu semenjak Ahmad Puah Onah menjadi Pengurus Besar GBSB.

"Sebenarnya kami sedang mencari skrip dan jalan cerita yang sesuai untuk jalinkan kerjasama tersebut. Kemudian Ellie berjumpa dengan saya dan memberitahu dia berhasrat untuk menghasilkan sebuah filem.

"Setelah beberapa perbincangan dibuat, akhirnya saya bersetuju untuk menerbitkan filem ini. Pada masa yang sama pihak kami turut mengundang GBSB dan ternyata mereka juga turut berminat untuk bekerjasama," jelasnya.

Menurut Gayatri, antara kerjasama yang akan dijalinkan oleh kedua-dua belah pihak adalah seperti pengagihan kos penerbitan yang sama rata serta promosi yang akan dilakukan nanti.

Memulakan penggambaran sejak 10 Disember lalu, antara lokasi yang menjadi pilihan seperti Kuala Kangsar dan Ipoh, Perak, Pulau Penarik (Terengganu) dan Kemensah di Hulu Klang, Selangor dengan kos sebanyak RM 2.1 juta.

Daniel Lee mahu bangkit

Posted: 24 Jan 2012 07:01 PM PST


DANIEL LEE kini bangkit semula selepas beberapa tahun menyepi kerana keegoannya apabila menjadi seorang artis.


SEMENJAK muncul sebagai juara rancangan realiti Malaysia Idol 2 pada tahun 2005, penyanyi Daniel Lee Chee Hun, 30, atau Daniel Lee dilihat cukup berpotensi untuk menakluk peminat yang terdiri daripada golongan Melayu.

Entah di mana silapnya, sepanjang tempoh hampir tujuh tahun bergelar anak seni, kehadirannya dalam industri ini seolah-olah tidak disedari biarpun pernah merakamkan beberapa buah lagu Melayu.

Pernah popular menerusi lagu berjudul Pasti serta pernah melahirkan sebuah album mini Melayu yang mengandungi lima buah lagu, namun lagu-lagu nyanyiannya itu agak kurang diputarkan di stesen-stesen radio.

Berkesempatan bertemunya di pejabat Sony Music baru-baru ini, penyanyi yang berasal dari Changlun, Kedah ini mengakui kegagalannya untuk muncul sebagai penyanyi popular adalah berpunca daripada kesilapan yang dilakukannya sebelum ini.

Memandangkan Daniel beragama Kristian, adakah sambutan Tahun Baru Cina semeriah seperti Hari Krismas?

Pada saya kedua-dua sambutan perayaan tersebut sama-sama meriah. Lagipun perayaan Tahun Baru Cina turut disambut oleh semua masyarakat Cina tanpa mengira agama. Seperti ahli keluarga saya, ada yang menganut agama Buddha dan Kristian serta ada yang tidak menganut sebarang agama.

Sudah tujuh tahun Daniel bergelar penyanyi, tetapi tidak ramai yang menyedari kehadiran Daniel dalam industri ini. Apakah puncanya?

Secara jujurnya sebelum ini saya seakan-akan tidak tahu arah tujuan sebagai seorang penyanyi. Walaupun pernah menjuarai rancangan Malaysia Idol 2 dahulu, tetapi saya rasa seolah-olah belum bersedia untuk menjalani kehidupan baharu.

Misalnya, saya rasa kurang selesa untuk berhadapan dengan peminat atau jarang turun padang untuk membuat promosi apabila baru menghasilkan album. Sedangkan sebagai seorang penyanyi, itu adalah perkara paling utama yang harus dilakukan.

Kemudian sekitar tahun 2008 saya mula tidak berminat untuk menjadi penyanyi selepas melihat sambutan lagu-lagu saya kurang memberangsangkan. Malah sekitar tahun 2007 juga, saya pernah cuba untuk memasuki pasaran Taiwan, tetapi ia gagal. Hal itu telah membuat saya berasa putus asa untuk menjadi penyanyi.

Apakah yang membuatkan Daniel bersikap sedemikian?

Sebenarnya saya sendiri keliru kerana beranggapan apabila menjadi penyanyi, maka segala gaya hidup saya juga perlu berubah. Sehingga saya menjadi kecewa serta pernah berputus asa dan mahu mengambil keputusan untuk berhenti menyanyi dan menyambung pelajaran. Pada masa itu juga, saya tidak nampak masa depan dengan muzik, sebaliknya saya merasakan muzik memberi tekanan dalam hidup saya.

Tapi sekarang kenapa anda kembali aktif sedangkan anda pernah berfikiran bahawa muzik tak punya masa depan?

Memang pada mulanya saya mahu membuat keputusan tersebut, tetapi apabila difikirkan semula buat apa saya perlu berputus asa. Sebenarnya dalam waktu saya keliru tentang masa depan saya, saya telah bertemu dengan seorang orang kuat agama yang saya sifatkan sebagai mentor saya yang telah membantu saya untuk memahami erti kehidupan. Selepas mentor saya mengajar saya untuk lebih menghargai kehidupan, saya mula bersemangat semula dan meninggalkan pemikiran kolot saya selama ini.

Akhirnya, saya telah mendapatkan semula kekuatan dan baru-baru ini saya telah berjaya menghasilkan album baharu saya yang berjudul Sincerely Yours, Daniel yang mengandungi 10 buah lagu berbahasa Cina dan Inggeris. Apa yang istimewanya, ada empat buah lagu dalam album ini adalah hasil ciptaan saya sendiri.

Jadi, apakah langkah Daniel untuk dikenali semula di kalangan pendengar Melayu setelah agak tenggelam sebelum ini?

Bagi saya tahun 2012 merupakan zaman kebangkitan saya sebagai seorang penyanyi. Saya menyasarkan untuk menghasilkan sebuah album Melayu pada tahun ini agar dapat menembusi pasaran muzik Melayu.

Bagaimanapun, buat masa ini saya ingin memberi tumpuan untuk mempromosikan album baharu saya terlebih dahulu.

Heidi Klum, Seal rasmi cerai

Posted: 24 Jan 2012 06:59 PM PST


SEAL dan Heidi Klum bagaimanapun masih berbaik demi masa depan anak-anak mereka.


DILABELKAN sebagai antara pasangan Hollywood paling romantik, nampaknya hal itu tidak akan berpanjangan selepas model Heidi Klum dan suaminya, penyanyi Seal rasmi bercerai.

Perkahwinan mereka selama tujuh tahun dan memiliki tiga orang anak iaitu Henry, 6, Johan, 5, dan Lou, 2, serta seorang anak Klum berusia tujuh tahun hasil hubungan terdahulu dan seorang anak angkat Seal, Leni, bagaimanapun diakhiri dengan cara yang baik.

Dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan pasangan ini, mereka memberitahu begitu sukar untuk membuat keputusan bercerai. Bagaimanapun ia terpaksa dilakukan kerana mereka kini mempunyai pandangan masa depan yang tidak lagi selari.

"Kami telah menghabiskan masa yang gembira, penuh kasih sayang dan setia sepanjang tujuh tahun berkahwin. Bagaimanapun kami akhirnya membuat keputusan untuk berpisah selepas sudah tidak memiliki persefahaman tentang masa depan kami lagi.

"Walau sudah bercerai, kami tidak akan mengabaikan anak-anak dan cukup menghormati antara satu sama lain. Terima kasih kepada semua yang menyokong dan menghormati privasi kami selama ini," ujar pasangan tersebut melalui kenyataan rasmi yang disiarkan oleh Us Weekly.

Sebelum ini, Heidi dilaporkan telah memfailkan penceraian dengan alasan mereka tidak lagi sehaluan. Malah seorang sumber memberitahu pasangan tersebut kerap bertengkar sejak kebelakangan ini yang berakhir dengan penceraian.

Bumi berdepan ribut solar terkuat

Posted: 24 Jan 2012 05:55 PM PST


GAMBAR yang dirakamkan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan pada 22 Januari lalu menunjukkan nyalaan solar di Hemisfera Utara di matahari.


WASHINGTON, Amerika Syarikat (AS) - Beberapa pegawai cuaca angkasa lepas menyatakan ribut solar paling kuat dalam tempoh lebih enam tahun akan mengenai Bumi dengan pancaran radiasi akan berlaku.

Sebelum ini, radiasi ribut solar cuma mengganggu satelit dan mendatangkan masalah kepada angkasawan di angkasa lepas.

Namun, ia juga boleh menyebabkan gangguan komunikasi pada pesawat yang berada di udara.

Pusat Ramalan Cuaca Angkasa Lepas di negeri Colorado dalam satu kenyataan mengesahkan ribut solar itu berlaku pada pukul 11 malam (waktu AS) Ahad lalu.

Ahli fizik AS, Doug Biesecker berkata, perkara paling membimbangkan mengenai ribut solar adalah radiasi yang dilepas.

Pancaran itu ,katanya, tiba di Bumi sejam kemudian.

Hentaman radiasi itu dijangka berlarutan sehingga hari ini.

Menurut Biesecker, tahap radiasi kali ini dianggap kuat tetapi radiasi lebih dahsyat pernah dikeluarkan beberapa ribut solar sebelum ini.

Radiasi kali ini adalah yang paling kuat sejak ribut solar pada Mei 2005.

Plasma yang keluar dari matahari ekoran ribut solar berkenaan pula tiba di Bumi semalam.

Ia dijangka menyebabkan gangguan pada grid elektrik di Bumi.

Tel Aviv, destinasi popular golongan gay

Posted: 24 Jan 2012 05:54 PM PST


SEORANG pondan membuat persembahan pada satu parti gay di Tel Aviv pada 7 Januari lalu.


TEL AVIV, Israel - Bandar raya Tel Aviv di sini menjadi antara destinasi paling popular yang dikunjungi golongan gay dari seluruh dunia.

Di bandar raya Israel ini, pasangan gay boleh berjalan sambil berpegangan tangan malah, mereka turut dibenarkan bercium di tempat awam.

Selain itu, iklimnya yang nyaman ditambah dengan pelbagai hiburan malam serta kempen berterusan oleh pemerintah banyak membantu menjadikan bandar raya ini sebagai syurga dunia gay.

Pihak dewan bandar raya di sini pula membelanjakan sekitar AS$100,000 (RM310,500) atau lebih dua pertiga bajet pemasaran antarabangsa bagi memancing kedatangan pelancong gay.

"Kami cuba menjadikan bandar raya ini bandar raya contoh dengan mengamalkan keterbukaan, pluralisme dan toleransi," kata Datuk Bandar Tel Aviv, Ron Huldai.

Menurutnya, puluhan ribu pelancong gay dari luar negara berkunjung ke bandar raya ini pada setiap tahun.

Tel Aviv juga diumumkan sebagai bandar raya gay paling terbaik di dunia pada 2011 selepas ia memenangi tempat pertama pada satu pertandingan antarabangsa.

Punca jualan kereta terkecil merudum

Posted: 24 Jan 2012 05:53 PM PST


GAMBAR fail menunjukkan sebuah kereta Nano terbakar pada 21 Mac 2010 di Mumbai, India.


NEW DELHI - Apabila Tata Motors melancarkan Nano pada 2009, kereta kompak termurah di dunia itu dijangka mencatat keuntungan besar di pasaran.

Nano dikatakan jalan penyelesaian kepada jutaan keluarga kelas pertengahan bawahan di India yang berhasrat memiliki kereta sendiri tanpa membebankan ekonomi mereka.

Namun, perkara sebaliknya telah berlaku.

Golongan terbabit meminggirkan kereta berharga AS$2,800 (RM8,694) itu dan memilih untuk membeli kereta lebih mahal atau kereta terpakai pada harga yang sama.

Perkembangan negatif itu dipercayai berpunca daripada persepsi masyarakat bahawa Nano adalah kereta orang miskin.

"Kereta Nano sentiasa dianggap kereta orang miskin. Tiada siapa mahu dilihat memandunya," kata Punnoose Tharyan, editor sebuah majalah permotoran India, Motown.

Menurut ketua perniagaan Tata Motors, jualan bulanan Nano adalah sekitar 10,000 unit, jauh tersasar daripada sasaran jualan 25,000 kenderaan sebulan.

Selain itu, beberapa tragedi kereta Nano terbakar sejak beberapa tahun lalu juga dilihat tidak membantu meningkatkan imej kereta kompak itu di mata masyarakat.

Ketua Tata, Ratan Tata mengaku bahawa kesilapan telah dibuat sehingga menyebabkan terdapat persepsi bahawa Nano ialah sebuah kereta untuk golongan miskin.

Justeru, bagi memperoleh jualan yang memberangsangkan, Tata telah memberikan pengubahsuaian dengan menyediakan lebih banyak warna termasuk warna oren betik.

Calon Presiden AS dedah cukainya

Posted: 24 Jan 2012 05:50 PM PST

MITT ROMNEY (kiri) dan Newt Gingrich mengambil bahagian dalam perdebatan calon Presiden Republikan di Universiti of South Florida di Tampa, Florida kelmarin.


WASHINGTON, Amerika Syarikat (AS) - Calon yang setakat ini menduduki tempat kedua dalam pemilihan bagi mewakili Parti Republikan pada pilihan raya Presiden 2012, Mitt Romney kelmarin menyiarkan dokumen percukaian yang mendedahkan pendapatan beliau, menurut akhbar Washington Post.

Perkara tersebut dilakukan selepas Romney seteru politik Romney meningkatkan tekanan supaya beliau berbuat demikian.

Washington Post melaporkan pemimpin berusia 64 tahun itu memiliki pendapatan AS$21.7 juta (RM67.3 juta) pada 2010 dan AS$20.9 juta (RM64.9 juta) tahun lalu dengan keseluruhannya dijana menerusi aktiviti pelaburan.

Pernah memegang jawatan Gabenor Texas antara tahun 2003 dan 2007, Romney merupakan antara individu terkaya pernah menyertai pencalonan untuk bertanding merebut jawatan Presiden AS.

Menurut akhbar sama, keluarga Romney turut menghulurkan sumbangan AS$7 juta (RM21.7 juta) kepada pelbagai badan amal sejak tahun 2010 dan membayar cukai persekutuan cuma AS$6.2 juta (RM19.2 juta) untuk tempoh sama.

Beliau sebelum ini menyelar pemenang tempat pertama pencalonan Parti Republikan bagi menyertai pilihan raya Presiden 2012, Newt Gingrich.

Calon yang dipilih anggota-anggota Parti Republikan akan menentang Brack Obama dari Parti Demokrat pada pilihan raya Presiden AS, November depan.

Menara Big Ben di London condong

Posted: 24 Jan 2012 05:26 PM PST


Bangunan jam Big Ben (kanan) di London kelihatan dalam gambar yang dirakamkan pada Isnin lalu.


LONDON, Britain - Menara jam yang terletak di Istana Westminster dan digelar Big Ben didapati condong manakala media tempatan kelmarin melaporkan bangunan Parlimen Britain pula semakin mengelincir ke dalam Sungai Thames di sini.

Menara setinggi 96 meter itu yang menjadi mercu tanda bandar raya ini didapati condong sekitar 46 sentimeter ke kiri puncaknya.

Perkembangan membimbangkan itu mendorong suruhanjaya Dewan Perwakilan yang bertanggungjawab menyelia bangunan Parlimen dan kawasan sekitarnya sejak kurun ke-19 mengadakan satu pertemuan pada Isnin depan bagi membincangkan isu tersebut.

Media tempatan melaporkan suruhanjaya berkenaan akan membincangkan laporan juruukur yang mencadangkan anggota-anggota Parlimen berpindah manakala kerja-kerja membaiki kerosakan tersebut dianggar mencecah £1 bilion (RM4.8 bilion).

Namun, seorang jurucakap suruhanjaya itu menafikan terdapat laporan juruukur manakala pertemuan tersebut diadakan bagi menubuhkan satu kumpulan untuk menyelidik proses membaiki dan menyelia bangunan tersebut pada masa panjang.

Jurucakap berkenaan turut memberitahu, bangunan tersebut dipercayai condong sejak ia dibina pada tahun 1859.

Mengulas tentang isu sama, seorang pakar pembinaan pula berkata, perkara tersebut tidak membimbangkan kerana ia mengambil masa 1,000 tahun sebelum Big Ben condong pada sudut yang menyebabkan menara berkenaan berisiko untuk tumbang.

Derita pesakit radang hati

Posted: 24 Jan 2012 05:21 PM PST



LULUH rasa hati Mohamad Shahriza, 21, apabila dia dimaklumkan oleh jururawat bahawa dia disahkan menghidap penyakit hepatitis C pada pertengahan tahun lalu.

Berita yang menyedihkan itu sekali gus merentap perasaan Shahriza yang begitu bersemangat untuk belajar bersungguh-sungguh bagi menamatkan pengajiannya di sebuah institusi pengajian tinggi swasta di Kelantan.

Dia yang kini sedang memasuki semester dua pengajian kejururawatan itu mula merasa rendah diri, tidak bersemangat dan hilang kepercayaan diri untuk meneruskan hidup.

"Berita mengenai penyakit hepatitis C yang saya alami ini diketahui pada bulan Jun tahun lalu selepas saya menderma darah di sebuah hospital di Kelantan.

"Seorang jururawat telah menghubungi dan memaklumkan mengenai penemuan virus hepatitis C dalam darah saya.

"Ketika itu saya baru masuk semester dua. Sejurus mengetahui mengenai penyakit saya itu, hidup saya mula berubah," katanya mengimbau kejadian tersebut.

Ekoran keadaan tersebut, pihak hospital telah merujuk kes Mohamad Shahriza kepada doktor pakar untuk rawatan.

Katanya, doktor pakar yang melakukan pemeriksaan kesihatan ke atas dirinya mendapati penyakit tersebut perlu diberi rawatan segera dan boleh dirawat sehingga sembuh kerana masih di peringkat awal.

Kecuaian

"Keadaan fungsi hati dan virus hepatitis C yang menjangkiti saya dipantau oleh pakar berkenaan untuk masa ini," ujar anak sulung daripada empat orang adik-beradik itu.


VIRUS hepatitis dapat dikesan melalui ujian darah.


Mengimbas jangkitan itu berlaku, Mohamad Shahriza mendakwa dia mungkin mendapat jangkitan virus berbahaya tersebut ketika melakukan latihan amali kejururawatan ketika di semester satu awal tahun lalu.

"Mungkin disebabkan kecuaian saya ketika mengendalikan pesakit semasa di semester satu saya dijangkiti virus berkenaan tanpa disedari.

"Namun, saya bersyukur dapat mengetahui mengenai jangkitan virus hepatitis C ini lebih awal (peringkat tiga) dan saya difahamkan 90 peratus penyakit ini boleh sembuh apabila dirawat dengan ubat khas," katanya.

Seorang lagi pesakit yang mengalami simptom kekuningan hepatitis ialah seorang pesara kerajaan, Nona Tahrin, 56.

Pada awalnya, Nona disahkan menghidapi penyakit batu karang hempedu pada awal tahun 2010.

Sejurus mengetahui mengenai penyakit tersebut dia mula berusaha mendapatkan pelbagai rawatan baik kaedah moden mahupun alternatif.

"Selepas mengetahui mengenai penyakit batu karang hempedu yang di alami, saya mula resah dan tidak tidur lena.

"Penyakit tersebut sentiasa bermain-main di fikiran dan mengganggu perjalanan hidup saya yang kini usia warga emas. Selepas berfikir panjang, saya cuba mengambil sejenis ubat herba untuk membantu memecahkan batu karang terbabit," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Pada mulanya keadaan kesihatan Nona berjalan seperti biasa, namun pada tahun 2011 badannya mula menunjukkan tanda-tanda kekuningan.

Apabila itu gejala itu berlaku, Nona mendapatkan pemeriksaan lanjut di sebuah klinik.


RISIKO golongan homoseksual dijangkiti hepatitis B adalah 10 kali ganda.


"Selepas pemeriksaan dan rawatan, doktor mendapati kekuningan yang saya alami ini mungkin berpunca daripada kesan sampingan ubat-ubatan herba yang diambil," katanya.

Justeru, doktor menasihatinya supaya berhenti mengambil ubat herba tersebut buat seketika.

"Selepas saya berhenti mengambil ubat herba tersebut, tubuh saya kembali normal dan tidak kuning lagi.

"Imbasan tomografi yang dilakukan juga mendapati batu karang hempedu yang saya alami telah hancur," kata pesara kerajaan itu.

Secara amnya, hepatitis bermaksud radang hati. Apa-apa sahaja yang boleh mengganggu fungsi hati secara asasnya boleh menyebabkan hepatitis.

"Virus hepatitis yang lazim menyerang hati secara khusus ialah jenis A, B, C, D dan E.

"Bagaimanapun, ada faktor-faktor lain yang boleh mengganggu fungsi hati," kata Pensyarah kanan dan Pakar perubatan, Jabatan Perubatan, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Nazri Mustaffa ketika dihubungi.

Bahan toksik

Antara penyebab penyakit hepatitis adalah penggunaan ubat-ubatan yang tidak teratur dan sistem imun yang tidak terkawal.


KEKUNINGAN pada kuku antara simptom hepatitis.


Pendedahan kepada bahan kimia yang berlebihan seperti alkohol, kadar lemak hati yang tinggi (steato-hepatitis) dan batu hempedu antara puncanya. Menurut Dr. Nazri, cara jangkitan hepatitis itu bergantung kepada penyebabnya. Penggunaan ubat-ubatan atau bahan kimia secara berlebihan juga boleh merosakkan sel-sel hati akibat pendedahan kepada bahan toksik.

Batu hempedu menyebabkan tekanan yang tinggi pada hati akibat aliran hempedu tersumbat boleh merosakkan organ tersebut.

"Ada banyak faktor yang mempengaruhi risiko penyakit itu antaranya termasuk umur pesakit, kesan daripada penyakit lain, tahap pendedahan kepada punca hepatitis,'' katanya.

Hepar atau juga dikenali sebagai hati berfungsi sebagai penapis bahan toksik, pengawalan berkaitan pembekuan darah dan penyingkiran sel-sel matang daripada sistem peredaran darah.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan