RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


'ON AIR' : Peserta Jangan Pakai Selipar - Aznil

Posted: 20 Jan 2012 05:31 PM PST

PETALING JAYA: Pengacara Azni Nawani menasihati orang ramai yang berhasrat menjadi pengacara menerusi uji bakat bagi rancangan ON AIR, tidak memakai selipar sebaliknya perlu menghiaskan diri agar kelihatan menarik.

Aznil yang juga ketua juri berkata, jika mereka hadir dengan imej tersebut, ia secara tidak langsung menampakkan keperibadian yang tidak serius untuk bergelar seorang pengacara.

"Saya agak sedih kerana ramai peserta yang diiji bakat di Pulau Pinang pada 14 dan 15 Januari lalu gagal kerana mereka tidak bersedia dengan imej yang menarik dan kelihatan eperti tidak serius untuk menceburkan diri dalam bidang ini," katanya kepada mStar Online dalam satu kenyataan di sini, Jumaat.

Tambah Aznil peserta juga diingatkan supaya tidak meniru gaya pengacara sedia ada sebaliknya perlu tampil dengan imej bersahaja tetapi meyakinkan.

Selain itu katanya, gaya seperti seorang pakar motivasi dan juga pendebat juga perlu dielakkan kerana ia tidak menepati kehendak program berkenaan dalam mencari pengacara pelapis.

"Saya melihat sambutan orang ramai untuk bergelar pengacara amat baik. Di Pulau Pinang, lebih 200 orang hadir untuk sesi berkenaan tetapi sayangnya mereka tidak bersedia," ujarnya.

Bagaimanapun agak menarik perhatian menurutnya, kehadiran juri jemputan, Datin Seri Normala Shamsudin pada sesi itu ternyata telah memberikan semangat kepada orang ramai untuk memberanikan diri untuk diuji bakat.

Program ON AIR ini akan memilih masing-masing tujuh wanita dan lelaki yang akan ditempatkan di lokasi terpilih bagi menjalani kursus yang telah ditetapkan dalam usaha memantapkan mereka untuk bergelar pengacara televisyen.

Peserta bertuah akan diberi tunjuk ajar, pendedahan serta tugasan tertentu selama 10 minggu yang berlandaskan format televisyen iaitu berita, majalah dan hiburan.

Juara bakal menandatangani kontrak sebagai 'Artis Residen Astro' selama tiga tahun dan pelbagai hadiah sampingan lain yang akan diumumkan kelak.

Selain bertindak sebagai juri, Aznil yang dibantu oleh pengacara Suhaimi Sulaiman juga bertanggungjawab untuk melatih dan membimbing para peserta menjadi seorang pengacara yang versatil.

Selepas Pulau Pinang, pihak produksi akan mengunjungi tiga buah lokasi lain seperti berikut:-

Johor Baru: The Puteri Pacific - (21 & 22 Januari)

Sarawak: Merdeka Palace, Kuching - (28 & 29 Januari)

Kuala Lumpur: Pusat Penyiaran Asia (Astro), Bukit Jalil - (4 & 5 Februari)

Kaunter pendaftaran bagi setiap sesi uji bakat dibuka dari pukul 9 pagi hingga 1 petang.

Peserta lelaki atau perempuan tidak kiralah sama ada bujang atau berkahwin mestilah warganegara Malaysia berumur 18 tahun hingga 30 tahun.

Mereka perlulah berkebolehan bertutur dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dengan baik selain berpersonaliti menarik.

Para peserta perlulah membawa salinan kad pengenalan, resume dan sekeping gambar berukuran 4R.

India takut watak Eve

Posted: 20 Jan 2012 05:29 PM PST

CERIA...watak Ashely Juergens melonjak nama India sebagai pelakon remaja popular.
CERIA...watak Ashely Juergens melonjak nama India sebagai pelakon remaja popular.
BUKAN SEMBARANGAN...India lebih suka fokus kepada drama televisyen.
BUKAN SEMBARANGAN...India lebih suka fokus kepada drama televisyen.

SEKALI ditanya mana yang lebih disukai antara filem dan drama, bintang remaja yang bernama unik - India Eisley - dengan terus terang akui dia rasa lebih selesa memfokus kepada drama TV.

Watak sebagai remaja, Ashley Juergens dalam The Secret Life of The American Teenager bukan saja membantu program itu mencatat 'rating' yang bagus di Amerika Syarikat, Kanada, Perancis, Belanda dan Belgium tetapi juga menggerakkan kepada penerbitan sebuah buku mengenai kehidupan karakter itu bertajuk The Secret Diary of Ashley Juergens.

Setakat ini, India Eisley sudah berlakon empat filem pelbagai genre termasuk 'thriller' dan biografi. Dia pernah berganding dengan ibunya, Olivia Hussey dalam filem Mother Teresa of Calcutta pada 2003 dan Headspace, dua tahun kemudian.

Bercakap mengenai perkembangan karier, gadis seksi berusia 18 tahun ini sedang hangat membintangi filem aksi seram Underworld: Awakening (Underworld 4) yang mula ditayangkan di seluruh dunia termasuk Malaysia.


Kata India, watak sebagai Eve, anak kepada Selene lakonan Kate Beckinsale, adalah karakter yang menakutkan dirinya.


"Karakter Eve sebagai puntianak remaja dan genetik Lycans iaitu anak kepada Selene tidak dirasakan janggal memandangkan Kate Beckinsale juga ada seorang anak remaja. Jadi, saya dapat merasakan aura yang rapat antara kami berdua.

"Lagipun, ibu saya, Olivia, banyak membantu saya dan memberi panduan profesional sepanjang berada di lokasi penggambaran Underworld 4. Kaedah itu membuat saya rasa tenang dan tidak gelabah dan terburu-buru.

"Sekalipun terpaksa melakonkan aksi lasak bertarung dengan lelaki dan banyak situasi gelap yang tidak pernah dilalui dalam mana-mana drama atau filem sebelum ini, saya dapat melakukannya dengan baik," katanya.

Sewaktu ditemuramah pada sesi previu khas filem itu di Beverly Hills, Los Angeles, baru-baru ini, nyata sifat pemalu terserlah dalam diri India.

Dia begitu teliti mendengar soalan dan menyusun kata-kata berdepan wartawan antarabangsa daripada Eropah, Amerika Selatan dan Asia yang hadir pada previu filem itu di Westfield Century City, Los Angeles.

"Saya lebih selesa memegang watak seorang berjiwa remaja dan ceria. Dalam Underworld Awakening, memang tidak dapat membayangkan babak menarik dan mencengkam kepala Lycans hingga terbelah dua dan otaknya terkeluar!

"Banyak suasana dilalui menakutkan dengan cabaran baru termasuk berlatih seni mempertahankan diri sepanjang membawa watak seorang puntianak remaja dalam filem ini. Namakan apa saja - melompat sana sini, bermain senjata dan percikan darah - semuanya ada. Buat masa ini, saya gembira melihat filem ini akhirnya muncul," kata India.

Sebagai orang baru dalam dunia lakonan, India juga meminati pelakon Britain, Carey Mulligan.

"Kalau Theo James meminati pelakon Britain Michael Caine, saya pula meminati Carey dan Janet Montgomery. Mereka juga berasal dari sana. Mereka pelakon drama televisyen yang cukup baik, memberi inspirasi dan sentiasa positif dengan apa dilakukan," katanya lagi.

Turut diajukan soalan, mengapa namanya India, dia terus menjawab: "Ibu saya, Olivia sangat suka dengan India dan berpendapat ia sebuah negara yang unik.
Lalu apabila saya lahir, dia terus memberikan nama 'India' kepada saya. Ibu juga menyukai Sri Lanka" .

Pelakon cantik ini punya latar belakang yang menarik. India adalah anak perempuan pelakon kacukan Argentina-Britain, Olivia Hussey yang terkenal dengan watak ikon, Juliet dalam filem Romeo and Juliet arahan Franco Zeffirelli.
Bapanya, David Glen Eisley adalah seorang aktor dan pemuzik.

"Saya dibesarkan dalam keadaan ibu bapa banyak berada di set dan studio bersama rakan rakan pelakon dan pemuzik. Jadi, ia secara tidak langsung menimbulkan minat mendalam terhadap filem. Sekalipun bukan jenis ke pawagam setiap minggu, saya suka menonton filem dengan pelbagai tema - dramatik, komedi romantik atau filem aksi."

Difahamkan, India mampu menghafal skrip atau dialog yang dipertuturkan dalam drama atau filem lakonannya dan mampu menyerap dengan baik setiap fakta yang ditontonnya.

Pelakon kelahiran Los Angeles ini mula menyerlah dengan watak Ashley menerusi drama TV remaja, ABC Family's Teen Choice Awards yang kini memasuki musim keempat tahun ini.



TRIVIA INDIA EISLEY

  • Ketinggian tubuh hanya 1.61 meter (5 kaki 3 inci)

  • Mempunyai dua abang tiri, Alexander Dean Martin (perkahwinan pertama ibunya. Olivia Hussey kepada Dean Paul Martin, Jr) dan Maxamillion Fuse (perkahwinan kedua ibunya kepada Akira Fuse).

  • Ayahnya, David Eisley, suami keempat Olivia, adalah pemain dram kumpulan rock, Mammoth.

  • Dia melalui sesi uji bakat dan terus dipilih memegang watak Ashley Juergens dalam The Secret Life of American Teenager.

  • Ibunya tidak membenarkannya berlakon dalam sebarang drama atau filem sehinggalah dia mencecah usia 12 tahun untuk mengelakkan 'sindrom bintang kanak-kanak'.

  • Suka beli-belah barangan aksesori klasik dan suka bergaya seperti ibunya yang juga idola lakonannya.

  • Seluar pendek paling murah untuk kegunaan seharian dipakainya berharga lebih AS$150 (RM460).

  • Ramai pemerhati filem berpendapat bibir tebal yang dimilikinya bakal mencabar bibir seksi Angelina Jolie.
  • ‘Bila-bila masa saja bas jalan’

    Posted: 20 Jan 2012 05:28 PM PST

    MAHAL...seorang ulat tiket menawarkan tiket kepada wartawan Harian Metro.
    MAHAL...seorang ulat tiket menawarkan tiket kepada wartawan Harian Metro.

    KUALA LUMPUR: Degil dan tidak gentar. Itu gambaran ulat tiket di Pudu Sentral yang 'gigih' mendekati orang ramai yang lalu lalang di kawasan berkenaan untuk membeli tiket daripada mereka.

    Malah, kedatangan cuti panjang sempena Tahun Baru Cina menjadikan kumpulan terbabit bergerak aktif lengkap dengan walkie-talkie sebagai langkah berhati-hati kerana bimbang dicekup pihak berkuasa.


    Tinjauan Harian Metro di Jalan Pudu di sini mendapati mereka tidak berani menjalankan penjualan tiket di dalam Pudu Sentral sebaliknya menjadikan lokasi berhampiran hotel dan restoran di jalan berkenaan sebagai lubuk baru mereka.

    Kebanyakan ulat terbabit menjual tiket untuk perjalanan ke Johor.


    Bagi meyakinkan orang ramai, mereka menyatakan bas ekspres berlepas pada bila-bila masa dan penumpang tidak perlu menunggu lama selain menyediakan khidmat mengangkut beg ke tempat menunggu bas yang terletak kira-kira 100 meter dari lokasi jualan berkenaan.


    Menyangkakan wartawan orang awam, seorang ulat tiket dikenali Lena (bukan nama sebenar), 30-an mendekati dan memaklumkan dia mempunyai tiket untuk ke pelbagai destinasi ke selatan tanah air.

    Menurut Lina, bagi perjalanan ke Johor Bahru tiket dijual RM35, berbanding tiket operator sah RM30, manakala ke utara tiket yang dijual masih sama dengan tiket operator sah RM30.


    Ketika wartawan bertanyakan tiket sempena Tahun Baru Cina, Lena berkata, mereka bersedia menjualnya kepada orang ramai dengan harga lebih tinggi.

    "Pasti harga Raya Cina dua kali ganda, selalunya RM70 ke Johor dan RM60 ke utara. Cakap saja mana destinasi hendak dituju, bas sudah ada dan bila-bila masa saja boleh berlepas," katanya.

    Inovasi kejut dunia

    Posted: 20 Jan 2012 05:27 PM PST

    CANGGIH...Azman (kanan) menunjukkan satu produk syarikat tempatan.
    CANGGIH...Azman (kanan) menunjukkan satu produk syarikat tempatan.

    SEJUMLAH 104 ruang inkubasi yang disediakan Technology Park Malaysia Corporation Sdn Bhd (TPM) kini sudah 80 peratus dipenuhi syarikat teknologi tempatan bagi menghasilkan produk serta perkhidmatan.

    Ketua Pegawai Eksekutif dan Presidennya, Datuk Azman Shahidin berkata, kebanyakan syarikat terbabit kini sedang melalui beberapa peringkat pembangunan daripada penciptaan idea hingga pengkomersialan.


    "Saya menjangkakan awal tahun ini akan menyaksikan beberapa syarikat mula memperkenalkan produk mereka dalam usaha memajukan pertumbuhan teknologi di negara ini," katanya.

    Menurutnya, kerjasama secara menyeluruh antara beberapa pihak mampu membantu syarikat tempatan menyediakan produk terbaik yang mampu mengejutkan dunia.


    "Contohnya, kami menyediakan ruang untuk syarikat beroperasi dengan beberapa ciri pejabat menarik manakala terdapat agensi seperti Cradle Fund Sdn Bhd yang menyediakan dana bagi merealisasikan impian mereka," kata Azman.


    Penggerak pembangunan sains, teknologi dan inovasi negara itu berkata, TPM akan memberi tumpuan dalam mengesan revolusi teknologi akan datang untuk pertumbuhan ekonomi berkekalan.

    "Penyelesaian kepada Malaysia dalam mengekalkan pertumbuhan ekonomi adalah menerusi pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan, dan oleh itu, syarikat dan usahawan Malaysia perlu meneroka teknologi dan inovasi terkini supaya berada di hadapan landskap ekonomi dunia," katanya.


    TPM ditubuhkan bertujuan menyediakan prasarana dan perkhidmatan kelas pertama untuk memangkin pembangunan syarikat.

    Rona terang, ceria

    Posted: 20 Jan 2012 05:24 PM PST

    ZONA...untuk gaya kasual gaun berbunga serta kemeja warna sedondon menyerlah keanggunan pasangan.
    ZONA...untuk gaya kasual gaun berbunga serta kemeja warna sedondon menyerlah keanggunan pasangan.

    SETIAP kali perayaan Tahun Baru Cina, merah menjadi rona pilihan sama ada dalam penggayaan atau hiasan dalaman rumah. Merah sebenarnya mempunyai makna tersendiri bagi masyarakat Cina. Warna ini menggambarkan keadaan yang terang dan ceria serta menjanjikan sinar kebahagiaan dalam kehidupan.

    Oleh sebab itu, masyarakat Cina percaya memakai pakaian merah atau rona terang pada hari pertama Tahun Baru Cina akan dilimpahi tuah serta kecemerlangan dalam kehidupan.

    • Foto

      EAST INDIA COMPANY...tampil ringkas dengan gaun rekaan corak berbunga bersama kemeja polos.

    • Foto

      SERASI...blaus bersama seluar sesuai digayakan untuk sebarang acara manakala lelaki tampil kacak berkemeja dipadankan slack.

    • Foto

      LAURA ASHLEY...pelengkap gaya dengan rekaan berbunga menyerlah keanggunan wanita.

    • Foto

      ACARA...untuk musim perayaan atau boleh digayakan ketika menghadiri sebarang majlis.

    • Foto

      KELUARGA...Cape Cod menyediakan bukan saja padanan untuk wanita tetapi juga seisi keluarga.

    Tidak kira sama ada padanan tradisi ceongsam yang menjadi simbol tradisi masyarakat Cina atau rekaan kasual masih mengekalkan rona yang sama iaitu terang dan ceria. Menyedari kemeriahan sambutan Tahun Baru Cina berlatar belakang rona merah, Metrojaya menampilkan koleksi pakaian adiwarna musim bunga 2012 dengan rekaan lebih moden dan menyerlah.

    Setiap potongan selain mengekalkan unsur tradisi dengan kolar ceongsam serta belahan di kiri dan kanan, ia juga menampilkan perincian manik serta sulaman bunga yang indah dan menawan. Kesemua rekaan ini menggambarkan wanita moden masa kini yang mementingkan penampilan namun masih mengekalkan ciri-ciri tradisional dalam perayaan.


    Cape Cod tampil dengan padanan kasual sesuai untuk percutian nan indah bersama keluarga tersayang. Hadir dengan blaus dipadankan kardigan ringkas manakala lelaki seluar sontok, berkemeja serta topi untuk gaya santai. Tidak lupa untuk kanak-kanak dengan pelbagai rekaan comel dan ceria. Untuk semua padanan, harga di antara RM49 sehingga RM179.


    Emanuelle untuk gaya lebih sensual dan sofistikated direka bukan saja meraikan musim perayaan tetapi sesuai untuk pelbagai acara. Pastinya gandingan rona merah bersama perincian manik dan sulaman menyerlahkan keanggunan si pemakai.
    Untuk lebih meyakinkan, setiap rekaan boleh dipadankan dengan skaf, rantai dan tas tangan. Harga ditawarkan bermula dari RM89.90 sehingga RM149.90.

    Bagi penggemar gaya Inggeris dengan rekaan flora pada gaun singkat dan kembang, Laura Ashley menyediakan rekaan warisan tradisi Barat yang sesuai digayakan untuk sebarang acara. Inspirasi daripada bunga-bungaan merah serta corak burung hadir dalam warna biru, krim, ungu serta merah jambu. Keistimewaan setiap rekaan pada fabrik berkualiti seperti satin, poli knits, viscose, kapas spandex dan bulu pada harga RM139 ke atas.

    Untuk wanita berkerjaya dan eksekutif muda, Zona menawarkan himpunan blaus dipadankan skirt atau seluar bersama jaket untuk gaya moden ke pejabat. Boleh disuai padan untuk musim perayaan serta gaya ranggi sebarang acara santai.
    Hadir dalam warna terang dan lembut seperti merah, krim dan khaki pada harga RM99.90 sehingga RM189.90.

    Tidak lupa East India Company yang terkenal dengan fesyen ringkas dan selesa, hadir dengan rekaan lebih versatil inspirasi daripada pelbagai karakter mistik.
    Setiap satunya diberi nafas baru daripada segi potongan serta perincian pada setiap padanan. Menggunakan fabrik kapas untuk keselesaan digabungkan dengan linen Eropah, kapas Jepun dan viscose bagi menambah kelainan.

    Semua padanan Tahun Baru Cina kini boleh didapati di gedung beli-belah Metrojaya Mid Valley Megamall, The Curve Mutiara Damansara, Plaza Bukit Bintang, Brem Mall Kepong serta Plaza Pelangi dan Danga City Mall di Johor Bahru dan Suria Sabah di Kota Kinabalu.

    Katy Perry kucup lelaki

    Posted: 20 Jan 2012 05:23 PM PST

    KATY ketika mengadakan persembahan di Jakarta.
    KATY ketika mengadakan persembahan di Jakarta.

    JAKARTA: Katy Perry menggemparkan penonton konsertnya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sentul semalam apabila dia mengucup seorang lelaki yang ditarik ke atas pentas.

    Konsert berkenaan adalah yang pertama sejak Katy berpisah dengan suaminya Russell Brand.

    Katy turut bergurau dengan menggosok dada lelaki itu.

    Penyanyi itu kemudian mengucup pipi penonton lelaki itu ketika mereka bergaya untuk diambil gambar menggunakan telefon bimbitnya.


    Katy membuat persembahan itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sentul dalam siri persembahan "California Dream" di Asia.

    Mangsa keluarga angkat durjana

    Posted: 20 Jan 2012 05:22 PM PST

    KUALA LUMPUR: Malang bagi seorang gadis apabila simpati yang dicari dengan menumpang di rumah bapa dan ibu angkat selepas berselisih faham dengan abangnya bertukar tragedi apabila menjadi hamba seks pasangan terbabit selama 19 hari, sebelum berjaya melarikan diri, Selasa lalu.

    Dalam kejadian itu, gadis berkenaan yang berusia 21 tahun berselisih faham dengan abang kandungnya pada 28 Disember lalu sebelum keluar ke rumah bapa dan ibu angkatnya yang berusia 40-an di Kajang Utamauntuk menumpang sementara.

    Menurut sumber, sebaik tiba di rumah itu, mangsa menceritakan masalah dialami kepada bapa dan ibu angkatnya itu.

    "Selepas mendengar masalah itu, mangsa diarah ibu angkatnya masuk ke dalam bilik tidur utama, tetapi mangsa enggan berbuat demikian menyebabkan dia dipukul.


    "Sebaik masuk ke dalam bilik, ibu angkatnya mengunci pintu manakala bapa angkatnya yang menunggu di dalam bilik menayangkan filem lucah," katanya.

    Nikita kalis gosip

    Posted: 20 Jan 2012 05:20 PM PST

    pix_gal0
    KERAP diasak pelbagai gosip panas sepanjang 2011 mematangkan gadis berusia 18 tahun yang sedang popular dengan watak Amira menerusi sinetron, Putri Yang Ditukar siaran TV3 ini menangani perjalanan hidupnya.

    Nikita Willy menjadikan pengalaman sebagai guru terbaiknya, tanpa pernah menyesali laluan berliku yang terpaksa ditempuhinya sepanjang tahun lalu.
    Menerima setiap dugaan dan ujian yang diberikan Tuhan mempunyai hikmah tersendiri, gadis kelahiran Jakarta, Indonesia bernama lengkap, Nikita Purnama Willy ini memilih untuk menjalani hidup seadanya.
    Enggan membiarkan dirinya didesak untuk menggapai sesuatu yang berada di luar kemampuan, Nikita santai menikmati zaman remajanya tanpa perlu dibebani keinginan melampau.

    "Saya tidak mempunyai apa-apa resolusi, cuma berdoa segala yang dicita-citakan tercapai dan lebih baik berbanding tahun sebelum ini.

    "Saya selalu mensyukuri setiap perjalanan yang dilewati, sama ada baik atau buruk pasti ia mempunyai hikmah dan pengajaran yang tersendiri," kata gadis yang mengukir nama sebagai pelakon sejak usia tujuh tahun itu.

    Bintang sinetron kelahiran 29 Jun 1994 ini sempat digempur dengan kontroversi dibuang sekolah pada permulaan 2012. Gosip itu timbul apabila Nikita dilihat lebih mengutamakan karier lakonannya berbanding penggal persekolahan yang baru bermula.
    Nikita bagaimanapun menafikan hal itu, sebaliknya memberitahu dia belajar secara persendirian sejak November tahun lalu di bawah pengawasan Ketua Dewan Pembina Komisi Nasional Perlindungan Anak (Komnas PA), Seto Mulyadi.

    Dia yang sebelum ini bersekolah di SMA 3 Setiabudi, Jakarta Selatan menegaskan, prestasi pelajarannya tidak pernah terjejas meskipun sering diburu kesibukan.

    Bagaimanapun, langkah untuk belajar sendiri terpaksa diambil kerana jadual hariannya yang terlalu padat dengan penggambaran sinetron menyukarkan dia memenuhi segala tuntutan sebagai seorang pelajar.

    "Mahu atau tidak saya memutuskan untuk mengundur diri dari sekolah itu. Keputusan ini dibuat atas persetujuan bersama kedua orang tua saya.

    "Penggambaran sering berlanjutan sehingga jam 3 pagi, sedangkan jam 6.30 pagi saya sudah harus bangun dan bersiap ke sekolah.

    "Bayangkan hanya beberapa jam saya berkesempatan melelapkan mata. Jika kurang tidur, bagaimana otak saya mahu menerima apa yang diajar kerana saya tidak mampu memberi tumpuan.

    "Akhirnya saya memilih untuk bersekolah di rumah. Selain waktu pembelajaran yang disesuaikan dengan jadual penggambaran, saya juga dapat menumpukan perhatian kerana tidak lagi perlu berkejar-kejar," katanya yang turut popular dengan sinetron, Safa Dan Marwah.

    Nikita berharap 2012 akan membawa pelbagai kejutan dalam karier seninya, selain diberikan peranan mencabar yang menguji kemampuan sebenarnya sebagai seorang pelakon.

    Bosan kerap diberikan watak hampir sama, gadis berdarah Minang ini teruja apabila dituntut menyanyi dan menari dalam sebuah sinetron yang bakal menjalani penggambaran.

    "Saya mahukan sesuatu yang berbeza. Biarpun sulit kerana tidak pandai menari, saya mencabar diri dengan menjalani latihan," kata gadis yang kembali menjadi buruan media gara-gara rapat dengan pemain bola sepak muda, Diego Micheils.


    'Usah campur hal peribadi saya'

    MASIH berbekas dalam ingatan ramai kemesraan dipertontonkan Nikita dan Bara Tampubolon selepas beberapa foto mereka berhibur di sebuah kelab malam tersebar menerusi laman maya. Bara sendiri pernah menghadiahkan Nikita cincin dan kalung ketika pelakon itu menyambut ulang tahun kelahirannya tidak lama dulu.

    Bagaimanapun kemesraan itu cuma bertahan setahun dan Disember lalu, Nikita dan Bara mengambil keputusan mengakhiri cinta mereka. Diego Michelis dikatakan punca kepada keretakan hubungan mereka. Biarpun pada permulaan enggan mengambil peduli apa diperkatakan teman-temannya, Bara akhirnya akur kecurangan Nikita hingga memaksa mereka memilih haluan masing-masing.

    "Itu urusan peribadi, jangan berterusan saya ditanya dengan soalan itu," kata Nikita yang rimas menjadi buruan media yang ingin mendapatkan kepastian mengenai punca perpisahan mereka.

    Nikita juga menjelaskan, ketika ini dia memilih untuk menumpukan perhatian kepada karier dan enggan masalah peribadinya terlalu digembar-gemburkan hingga mengalihkan tumpuan khalayak terhadap kerjaya lakonannya.

    "Saya tidak mahu bercakap mengenai perkara peribadi. Banyak soalan lain boleh diajukan. Apabila tiba masanya saya berbicara mengenai hal itu, tetapi bukan sekarang," katanya juga dilihat tenang tatkala cerita kecurangannya dengan Deigo diperbesarkan sebagai punca hubungan cintanya dan Bara yang terjalin selama setahun berakhir dengan perpisahan.

    "Terserah mahu bercakap apa saja kerana saya masih sendiri, yang lain itu sekadar teman biasa. Salahkah saya bergambar dan berbual dengannya? Kasihan Deigo yang bingung dengan berita yang diputar belit sebegitu. Kami tiada apa-apa hubungan mesra. Biarlah saya sendiri dulu," tanya Nikita yang enggan membiarkan dirinya larut dalam permasalahan itu.


    Info

    Nama Lengkap: Nikita Purnama Willy
    Tarikh Lahir: 29 Jun 1994
    Asal: Jakarta, Indonesia
    Filem: Bestfriend?, MBA (Married By Accident) dan Tertipu Laris Manis
    Sinetron: Doa Membawa Berkah, Tiga Orang Perempuan, Bidadari 2 & 3, Bulan dan Bintang, Senyuman Ananda, Pengantin Kecil, Setinggi Bintang, Indahnya Karunia-Mu, Roman Picisan, Cookies, Cinta Dan Anugerah, Nikita, Misteri Olga dan Putri Yang Terbuang
    Telemovie: Mak Comblang Jatuh Cinta, Ratu Cinta Kilat, Good Boy vs Good Girl, Pacar Yang Lupa Punya Pacar, Kalau Desi Kesandung Cinta, Cinta Rasa Ongol Ongol, Cantik-Cantik Juragan Ayam dan Namaku Katini Bukan Kartono
    Iklan Komersial: Permen Milton, Citra Body Lotion, Pigeon, Choki-Choki, Bank BNI, Bank BII, Sunsilk, Hers Protex, Kia Picanto, Bank Muamalat, Nokia dan Epson.

    Menanti jodoh

    Posted: 20 Jan 2012 05:19 PM PST

    Bams
    Bams
    MERAIH pencapaian selesa dalam bidang muzik dan perniagaan belum menggerakkan hati vokalis Samsons, Bams untuk segera melepaskan status solonya.

    Selama menggeluti industri hiburan, Bams jarang dihinggapi gosip keterlaluan.
    Pernah hangat dikaitkan dengan pemain sinetron, Nia Ramadhani sebelum menjalin cinta dengan Tyas Mirasih namun hubungan itu tidak menoktahkan kegembiraan seperti yang direncana Bams. Jejaka berusia 28 tahun itu ini berkata, dia tidak pernah meletakkan sasaran tertentu untuk menamatkan zaman bujangnya sebaliknya menyerahkan kepada Yang Maha Esa.

    Pemilik nama lengkap, Bambang Reguna Bukit ini percaya, Tuhan belum menemukannya dengan seorang wanita terbaik untuk menjadi suri hidupnya.

    "Belum ada perancangan untuk menamatkan zaman solo, malah saya tidak pernah meletakkan sasaran umur tertentu. Bukankah semua itu urusan Tuhan?

    "Saya cuma perlu percaya, jika sudah tertulis jodoh saya pasti akan bergelar suami nanti," kata pemuda yang mencipta populariti lewat album pertama Samsons, Naluri Lelaki pada 2005.
    Enggan mengulas panjang mengenai ciri wanita yang diimpikan, cukup kata Bams, jika bakal isterinya itu seorang yang memahami dan menerima dirinya seadanya.

    Seperti lelaki lain, Bams juga meletak harapan tinggi terhadap gadis yang bakal mendampinginya kelak namun dia akur kepada ketentuan Tuhan.

    "Tidak perlu saya menggariskan kriteria wanita bagaimana yang mahu saya dampingi kerana yang memutuskan semua urusan ini adalah Tuhan.

    "Cukup saya jalani kehidupan ini seadanya kerana saya percaya, Tuhan akan menghadirkan seorang yang terbaik untuk saya panggil isteri," katanya.

    Dilihat semakin selesa menyusun langkahnya sebagai ahli perniagaan, Bams yang baru melancarkan LIO Gallery (Bistro, Bar dan Lounge) di Jalan Kemang Timur Raya, Jakarta Selatan menafikan sudah mengundur diri daripada Samsons.

    Kumpulan itu kata Bams, masih wujud malah mereka sedang menyiapkan proses awal produksi album terbaru selepas kali terakhir menghadiahkan peminat dengan Penantian Hidup - Platinum Edition pada 2008.

    "Saya masih menyanyi, malah akan terus menghasilkan album baru. Cuma kami tidak mahu melakukannya separuh hati. Memang Samsons mampu menghasilkan album setiap tahun tetapi untuk apa jika hasilnya mengecewakan.

    "Saya sendiri sudah rindu untuk bekerja dengan anggota Samsons yang lain. Perancangan merakamkan album baru itu ada, cuma bila belum pasti kerana masih dalam tahap produksi," katanya.

    Bams tidak menafikan, tumpuannya dalam dunia perniagaan yang baru diceburi membuatkan fokusnya terbahagi hingga terpaksa memperlahankan sedikit aktiviti seni.

    Sebagai manusia yang mementingkan kesempurnaan, Bams selesa memberikan seluruh komitmen untuk memastikan segala urusan berjalan lancar.

    "Jika mahu maju, kita harus fokus dan memberikan komitmen padu dalam setiap keputusan yang diambil. Baik ketika bersama Samsons atau menguruskan perniagaan, saya akan memberikan komitmen jita.

    "Andai nanti kesibukan bersama Samsons membataskan tumpuan saya kepada LIO, saya tidak perlu gusar kerana adik akan mengambil alih tanggungjawab itu," katanya.

    Menolak tanggapan dia memperlahankan aktiviti seni kerana sudah bosan, Bams berkata, ruang itu dimanfaatkan untuk mencari semula kehidupan yang pernah diabaikan gara-gara kesibukan membina nama.

    "Setiap keputusan yang diambil pasti ada untung dan rugi. Mempertahankan kehadiran adalah pilihan dan kami memilih untuk memperlahankan aktiviti Samsons kerana mahu berehat serta mencari idea segar.

    "Saya tidak pernah bosan cuma ketika ini, saya ingin melakukan aktiviti yang tidak pernah berkesempatan dilakukan dulu," katanya.

    Mesti Tonton: Apabila isteri curang

    Posted: 20 Jan 2012 05:18 PM PST

    • Foto

    • Foto

    • Foto

    AMAT pahit untuknya apabila terpaksa menerima hakikat mengetahui isteri yang terlantar koma dan menanti masa untuk mati, rupa-rupanya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

    Matt King lakonan George Clooney dalam filem filem The Descendants mendedahkan keperitannya menghadapi dugaan itu dan pada masa sama bersimpati dengan nasib yang menimpa isterinya, Elizabeth (Patricia Hastie).
    Kisah hidup Matt, seorang peguam hartanah yang mempunyai aset di kepulauan Hawaii ini bermula selepas Elizabeth kemalangan bot dan terlantar koma.
    Bagaimanapun hubungan Matt dan dua anak perempuannya, Scottie (Amara Miller) dan Alexandra (Shailene Woodley) tidak begitu rapat kerana kesibukan tugasnya.

    Dek bengang dan marahkan si bapa, Alexandra meluahkan apa yang terbuku di hati sehingga terpacul cerita mengenai hubungan sulit ibunya dengan Brian Speer (Matthew Lillard), seorang ejen hartanah.

    Meskipun jalan ceritanya agak perlahan dan sedikit meleret, namun plot penceritaannya sangat menarik untuk tontonan. Begitupun filem ini tidak berapa sesuai untuk tontonan kanak-kanak kerana dialognya banyak menggunakan bahasa kesat.

    Apapun sinematografi filem yang menelan kos RM136 juta juta itu dilihat cukup menarik, dengan berlatarkan Honolulu dan Kaua'i, Hawaii, yang nyata menghidupkan lagi jalan cerita.
    Sentuhan tangan pengarah Alexander Payne menyuntik kelainan berbanding filemnya sebelum ini, Sideways, kerana banyak menimbulkan konflik kekeluargaan di dalam plot penceritaan.

    Filem bergenre drama komedi ini menyingkap perasaan Matt dalam menjejaki lelaki yang meruntuhkan kebahagiaan rumah tangganya.

    Hakikatnya, Brian yang sudah berkahwin dan memiliki dua anak lelaki itu terkejut dengan kehadiran Matt yang mahu mencari jawapan mengenai hubungan mereka.

    Di sebalik penceritaan itu, banyak mesej perhubungan antara keluarga dan orang sekeliling dipaparkan, namun filem terbabit dilihat tidak sampai tahap klimaksnya.

    Penamat cerita yang begitu ringkas dan bersahaja agak sukar diterima dibandingkan dengan kos pembikinan yang begitu tinggi. Rasanya, Payne mampu menghasilkan babak akhir dengan lebih baik dan dramatik lagi.

    Info

    Filem: The Descendants
    Arahan: Alexander Payne
    Pelakon: George Clooney, Judy Greer, Patricia Hastie, Shailene Woodley, Amara Miller dan Matthew Lillard
    Genre: Drama, komedi.

    Dari Dalam Diri: Semangat balik cuti

    Posted: 20 Jan 2012 05:14 PM PST

    • Foto

      SITI memanfaatkan peluang bercuti untuk berehat dari aktiviti seni.

    • Foto

    Teringat detik manis rai hari jadi di Burj Khalifa, Dubai serta terharu ingatan peminat

    ASSALAMUALAIKUM dan salam sejahtera buat semua pembaca Berita Harian. Semoga semuanya berada dalam keadaan sihat dan dapat menjalani hari-hari anda dengan penuh kebahagiaan.
    Nampaknya, mulai hari ini sudah ramai yang bercuti sempena Tahun Baru Cina. Siti pasti, macam-macam rancangan yang anda fikirkan termasuk bercuti bersama keluarga. Sekolah juga bercuti panjang iaitu selama seminggu, mungkin ada pelbagai program dan aktiviti bakal anda laksanakan.
    Siti mengharapkan supaya perjalanan anda semua pulang ke kampung atau ke mana-mana destinasi akan selamat. Kepada adik-adik, walaupun bercuti, jangan lupa mengulangkaji pelajaran. Penggal persekolahan baru saja bermula, jangan lengahkan waktu untuk belajar kerana persediaan harus dibuat lebih awal.

    Alhamdulillah, sudah hampir seminggu Siti pulang ke tanah air dari bercuti. Sejak awal minggu ini, Siti juga sudah memulakan rutin kerja seperti biasa. Percutian yang baru-baru ini memberikan keseronokan dan kegembiraan buat Siti, apatah lagi ia disertai kawan-kawan Siti dan suami. Banyak pengalaman indah selama Siti berada di Morocco, Marakech dan Dubai.

    Sekali sekala bercuti dapat juga Siti menenangkan fikiran dan melihat negara orang. Siti telah ke Morocco (Casablanca) selama tiga hari dua malam dan kemudian ke Marakech selama dua malam.

    Di Marakech, Siti sangat mengagumi hasil kraftangan dan hiasan dalam di hotel serta restoran yang sempat Siti kunjungi. Siti juga sempat ke puncak gunung dan bermain salji dan ia pengalaman yang sangat sukar dilupakan.
    Selepas itu, Siti ke Dubai pula selama empat hari. Bagi Siti, Dubai sebuah negara yang sangat menarik dan pesat dengan pembangunan. Kemajuan di Dubai amat mengagumkan Siti. Siti juga menyambut ulang tahun kelahiran Siti di Burj Khalifa (mercu tanda di Dubai). Tempat ini memang menjadi salah satu tempat wajib dikunjungi jika sesiapa ke Dubai dan tidak mudah untuk membuat tempahan makan malam di sana.

    Namun seorang teman di Dubai memudahkannya dan Siti, suami serta rakan-rakan dapat meraikan hari jadi Siti di situ.

    Sepanjang bercuti, Siti dapat juga sesekali muncul di laman Twitter Siti dan peminat boleh mengetahui perkembangan semasa Siti. Ucapan-ucapan hari lahir yang diberi peminat juga dapat Siti baca. Siti sangat menghargai mereka. Hadiah, bunga dan kek juga turut dihantar ke pejabat dan ke rumah Siti, tentunya ini adalah sesuatu yang sangat membuatkan Siti rasa terharu.

    Malam tadi, peminat meraikan hari lahir Siti dalam satu majlis santai `potluck' yang diadakan di Cheras. Majlis itu terbuka kepada semua peminat Siti yang mahu meraikan hari jadi Siti dan kami mengadakannya dalam suasana santai dan menikmati makanan yang dibawa masing-masing. Ia sesuatu yang sangat menyeronokkan apatah lagi Siti berkesempatan menyertai mereka dalam beberapa permainan termasuk acara memotong kek.

    Siti amat terharu dengan sokongan yang mereka berikan dan peminat adalah anugerah yang tidak ternilai untuk Siti. Siti juga berterima kasih di atas undian peminat yang memilih Siti untuk menjadi lima finalis Anugerah Seri Perak (Anugerah Bintang Popular).

    Walaupun sudah dua tahun tidak menyertai anugerah ini tetapi kali ini agak istimewa kerana diwujudkan Anugerah Seri Perak. Bagi Siti, dibariskan di antara lima finalis itu sudah cukup menggembirakan kerana ia adalah sokongan peminat.

    Selain itu, sempena sambutan Maulidurrasul, Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn.Bhd dan Rabbani Productions (M) Sdn.Bhd. akan bekerjasama mengadakan Sinar Maulidurrasul 1433H `Muhammad Al-Ameen'.

    Siti amat berharap usaha murni ini akan mendapat sokongan badan-badan korporat kerana ia adalah satu amanah dan tanggungjawab kita kepada Junjungan Rasulullah SAW. Siti berharap apa yang kami rencanakan akan dapat dihasilkan dan Siti akan bercerita lagi mengenai program ini pada keluaran akan datang.

    Sekian saja catatan Siti minggu ini. Selamat Tahun Baru Cina kepada mereka yang meraikannya. Salam mesra selalu.

    Bertemu semasa penggambaran TV

    Posted: 20 Jan 2012 05:13 PM PST


    Kelahiran Carissa Putri melengkapkan kebahagiaan Mohd. Azhar Mohd. Khalid dan Faizatul Hasanah.


    JARAK usia sebanyak sembilan tahun dan kematangan yang ada pada Mohd. Azhar Mohd. Khalid memikat Faizatul Hasanah Hussain untuk menerima lelaki itu sebagai suaminya.

    Mohd. Azhar, 40, menerima jodohnya dengan Faizatul Hasanah, 31, atau nama ringkasnya Hana pada usia yang agak lambat, namun dia tidak pernah menyesal malah begitu bahagia dengan kehidupan sekarang.

    Menurut pengarah drama yang pernah memenangi Anugerah Jurukamera Terbaik Anugerah Skrin 1994-1995 ini, perkenalan semasa penggambaran program majalah televisyen Travellog membuatkan hatinya berkata bahawa wanita inilah yang akan menjadi suri hidupnya. Ketika itu, Hana menjadi pengacara dalam program tersebut.

    Sikap Hana yang mempunyai pendirian, berdikari dan suka ketawa membuatkannya tertarik kepada Hana yang ketika itu memang tidak mempunyai teman istimewa.

    Salam perkenalan selama enam bulan sudah cukup membuatkan mereka sekata untuk mengikat tali pertunangan selama lebih setahun sebelum diijab kabul.

    Kini setelah dua tahun melayari bahtera rumah tangga, kehidupan mereka dirasakan bertambah lengkap setelah dikurniakan permata hati yang diberi nama, Carissa Putri berusia setahun empat bulan.

    Berkongsi kisah mereka, kata Hana pula, dia sukakan sikap Azhar yang matang, tidak pernah mengongkong dan sentiasa membuatkan Hana ketawa. Satu lagi ialah dia sukakan lelaki yang berambut panjang dan Azhar adalah orangnya. Kerana memiliki rambut yang panjang, Azhar lebih dikenali dengan nama Apache.

    ''Azhar ini memang nampak pendiam. Kalau orang yang tidak mengenalinya mungkin berasa takut sedikit. Tetapi bagi saya, dia kelakar dan ada sahaja yang dia buat menyebabkan saya ketawa. Kadang-kadang dia cakap sikit saja, saya sudah ketawa.

    ''Mungkin kerana usia Azhar yang matang ini juga membuatkan dia tidak suka bergaduh. Biasanya Hana yang selalu cari fasal dan punca gaduh tapi dia tenang saja dan sabar,'' ujar Hana yang merupakan bekas pengacara Fitrah Kasih yang disiarkan di TV1, bekas pengacara Wanita Hari Ini dan MyTV3 di TV3 serta penerbit drama untuk Astro Prima dan Astro Awana di bawah syarikat milik sendiri, Million Pictures Sdn. Bhd.

    Menurut Hana lagi, setelah berumah tangga, sikap bertanggungjawab Azhar lebih dapat dilihat apabila dia begitu mengambil berat akan diri Hana apabila Hana hamil. Setiap pagi Azhar yang akan bangun dulu dan menyiapkan susu untuk isterinya itu.

    Apabila Hana di dalam pantang pula, enam bulan Azhar tidak bekerja kerana ingin menjaga Hana dan melakukan kerja-kerja rumah. Dialah yang menguruskan rumah, mencuci pakaian, menjaga bayi dan sebagainya.

    Sebab itulah kata Hana lagi, Carissa Putri begitu rapat dengan daddynya begitu juga sebaliknya. Jika tidak ada penggambaran, Azharlah yang akan menguruskan Carissa dan dia tahu menguruskan bayi walaupun dia sendiri adalah anak tunggal.

    Malah semasa pertemuan ini juga dapat dilihat Carissa asyik merengek apabila daddynya hilang seketika. Apa yang menarik, mereka tidak mempunyai pembantu rumah untuk menjaga Carissa kerana Carissa memang dijaga sepenuhnya oleh Hana dan Azhar.

    ''Jika Azhar ada penggambaran, saya yang menjaga Carissa dan jika saya ada mesyuarat, Azhar pula yang akan menjaganya. Kalau kami berdua sibuk, Carissa kami hantar kepada ibu saya.

    ''Sejak ada anak, memang seronok. Kami jarang out station kerana tidak mahu berpisah dengan anak,'' ujar Hana yang dijangka melahirkan bayi kedua pada 23 Jun nanti.

    Mengakhiri pertemuan, Hana sempat berkongsi tip kebahagiaan rumahtangga yang dipraktikkannya. Katanya, setelah berkahwin, baik dia atau Azhar harus mempercayai satu sama lain. Apa sahaja cabaran yang datang, jangan mudah melatah dan berdoa supaya jodoh berkekalan hingga ke akhir hayat.

    Madu meroyan kepada isteri pertama

    Posted: 20 Jan 2012 05:12 PM PST

    SETIAP wanita tidak kira kaum, bangsa dan apa agama, tidak ada yang sanggup berkongsi kasih atau istilah mudahnya, bermadu atau menerima dengan tenang jika suami mempunyai hubungan gelap dengan wanita lain.

    Ia berkaitan dengan kisah yang ingin saya kongsi bersama pembaca minggu ini. Kisah yang dikirim oleh seorang pembaca setia ruangan ini bercerita tentang derita kakaknya yang dimadukan suami.

    Begini cerita Jee (bukan nama sebenar) mengenai rumah rumah tangga kakaknya.

    "Walaupun kisah ini tidak berlaku kepada saya (nau'zubillah minta dijauhkan), saya berkongsi perasaan dan sangat setuju dengan pandangan suami saya seorang warga asing yang secara logiknya memang masuk dek akal.

    "Namun ada juga yang saya tidak setuju terutama sikap suami yang menafikan hak dan perasaan isteri mereka sendiri.

    "Suami saya berasal dari Perancis dan secara terang dia sangat tidak menyenangi konsep poligami, kerana pada pandangannya ia sangat-sangat menjatuhkan maruah seorang isteri. "Apatah lagi katanya, jika isteri itulah yang bersusah payah sejak dari tahun pertama perkahwinan sehinggalah mempunyai anak ramai serta membantu menaikkan taraf ekonomi suami.

    "Begitulah yang berlaku kepada kakak saya. Selepas sedekad baru saya tahu kakak saya dimadukan oleh suaminya. Apabila dikhabarkan kepada suami, dia terkejut kerana memang selama kami tidak tahu sebab tinggal jauh di negara asing.

    "Walaupun dia memahami bahawa kakak saya itu menerima dengan ikhlas apa yang telah tertulis untuknya dan reda akan dirinya yang dimadukan oleh suaminya sejak beberapa tahun yang lepas, namun jelas sekali suami saya sangat tidak menyukai apa yang berlaku.

    "Daripada mereka saya tahu bahawa, bukan hanya kakak saja yang melalui pengalaman yang memeritkan dimadukan oleh suaminya, namun hati anak-anak juga tercalar oleh gelagat ayah mereka.

    "Maka banyaklah cerita sedih yang saya tidak tahu tetapi sejak saya menetap kembali di tanahair, saya mula mendapat cerita-cerita sedih yang selama ini saya tidak tahu.

    Di pihak keluarga saya, kami adik-beradik memang tidak berapa mengenali madu kepada kakak saya ini, namun kami juga memang tidak pernah mengambil jalan untuk mendekatinya.

    "Tetapi, jika seseorang wanita itu sendiri sanggup datang bersama keluarganya dan meminang suami kakak saya sendiri, cuba anda bayangkan, adakah ia boleh diterima akal?

    "Jika beliau datang dari keluarga yang baik-baik, mesti ada cara yang terbaik bagaimana untuk bermadu bukan? Dan bukannya mengusung diri dengan berpakaian seksi untuk menunjukkan bahawa gara-gara betis buntingnya itulah yang berjaya menawan hati si suami!

    "Di peringkat awal, suami kakak saya memang mula melupakan dan menafikan hak kakak saya sebagai isteri pertama, sedangkan hati isteri baru ditatang seperti menatang minyak yang penuh. Hati anak-anak disakiti tanpa disedari, anak-anak memberontak, sehingga terganggu pelajaran mereka, namun siapalah yang mendengar jeritan hati mereka ini.

    "Hanya keluarga kami dan teman-teman pada kakak dan abang ipar, yang memang simpati kepada nasib kakak yang merasainya. Ini juga termasuk jiran-jirannya yang sangat memahami dan mereka dengan senang hati membantu kakak dan anak-anak buah saya. "Walaupun saya jauh, saya dapat merasakan kesengsaraan yang dirasai oleh mereka. Menurut anak-anak buah saya lagi, makcik-makcik disebelah ayah mereka sendiri menunjukkan sikap suka mengagung-agungkan isteri muda ayah mereka dan suka menyakiti hati ibu dengan sengaja.

    "Saya juga diberitahu yang kehidupan mereka seolah-olah diatur oleh isteri muda dan secara terang-terangan cuba mengambil alih urusan perniagaan yang biasanya dilakukan bersama oleh kakak dan suaminya.

    "Setiap apa yang dilakukan oleh kakak saya tidak pernah yang kena, sehinggalah beliau sendiri jatuh sakit dan semakin ligatlah kata-kata keji dari pihak ipar duainya.

    "Namun begitu, apa yang membuatkan kami agak pelik ialah, dengan tenang hati kakak menerima madunya dan kelihatan seperti adik beradik, walaupun berkongsikan suami! Walaupun berasa janggal, setiap daripada kami cuba memahami dan menghormati cara mereka.

    "Tanpa keluhan, kakak saya membantu isteri muda dengan menjaganya ketika dalam pantang dan sehingga kini masih menjaga anak-anaknya seperti menjaga anaknya sendiri, sehingga adakalanya kami berasa pelik anak-anak kepada Mak Da (isteri muda) lebih rapat pada Mak Wa (isteri tua).

    Sebaik mana yang dilakukan oleh kakak saya terhadap madunya, namun tidak semua dibalas dengan baik. Ada kalanya sikap seolah-olah berlumba untuk melebihi kakak dari segala segi, dan sikapnya yang agak queen control boleh dilihat oleh kami dan masyarakat luar itu sendiri.

    "Dan sikap itu jugalah yang dilihat oleh suami saya sendiri sewaktu kami datang bertandang. Suami hanya mengelengkan kepala dengan saranan jenaka abang iparnya bahawa sebagai Muslim, dia juga boleh menambah cawangan dan menjawab dengan ringkas, No thanks, I have enough headache with two... (maksudnya, dia memang sudah pening kepala dengan saya dan anak perempuan kami yang sudah menginjak usia remaja). Kami pula jenis suka berdebat, lagilah dia pening!

    "Perdebatan antara saya dengan dia mengenai kehidupan bermadu bersambung selama beberapa minggu selepas itu, dimana suami sangat sukar untuk menerima dan menghormati biras sendiri, walaupun kakak saya ada memberitahunya yang dia sudah tidak kisah dengan apa yang berlaku.

    "Sikap sebenar kakak yang meredai apa yang berlaku, sangat-sangat meruntun hati setiap wanita yang mengenalinya dan mengetahui apa yang pernah berlaku dan yang telah dilalui olehnya sedekad yang lalu.

    "Memang saya bersetuju dengan pandangan suami, ada kalanya memang saya sendiri hilang hormat kepada abang ipar termasuklah isteri mudanya. Kakak saya selalu memohon sedikit ruang, jika kami tidak menghormati suaminya sekali pun, cukuplah supaya kami menghormati kehidupannya.

    "Namun apa yang menyedihkan ialah, tidak semua kebaikan yang diberikan atau ditunjukan oleh kakak kepada madunya dibalas secara baik. Kadang-kadang kakak bukan sahaja mendapat kata nista dari madunya, atau dari keluarga madunya, tetapi dia juga terpaksa menelan kata-kata kesat dan tajam daripada ipar-duainya sendiri.

    "Hampir kesemua ipar duainya juga boleh mengalihkan arah kasih sayang mereka juga kepada madunya atau mungkin kerana mereka berfikir si madu lebih seksi, pernah berjawatan tinggi dan banyak wang serta lebih sepadan untuk abang mereka. Tetapi itulah hakikatnya, Melayu memang mudah lupa!

    "Walaupun ada banyak perkara yang menyedihkan dan menyentap jantung hati setiap wanita yang mendengarnya kaka saya tetap bersabar.

    "Ikutkan hati, saya mahu sahaja ajar madunya supaya belajar menghormati kakak saya. Tapi kakak saya seorang wanita yang baik dan penyebar, saya telah berjanji tidak akan sekali-kali membuka mulut baik kepada ibu mahupun orang luar tentang apa yang telah dilakukan oleh madunya kepada kakak.

    "Kakak tidak pernah menangis di depan saya, malah dia sudah boleh berjenaka dalam setiap hal yang berkaitan dengan madunya atau suaminya.

    "Ada kalanya anak-anaknya sendiri bergelak jenaka tentang Mak Da nya di depan ayah mereka sendiri. Ini mungkin juga kerana doa-doa dari orang-orang yang tidak suka melihat kakak saya sengsara.

    "Lucu sekali, kerana jika dibandingkan dengan madunya, memanglah mereka berdua nampak seperti kakak dan adik, namun kakak saya lebih dilihat sebagai isteri muda oleh orang-orang yang baru mengenali mereka.

    "Mungkin, gara-gara kesabarannya yang tinggi tanpa meninggalkan sembahyang dan doa itulah yang membuatkan wajahnya sentiasa ceria, bersih daripada jerawat, awet muda dan disangka dialah isteri muda!

    "Kepada wanita-wanita muda di luar sana yang baru belajar mencari jalan untuk menjadi isteri muda, belajarlah bercermin setiap hari, sama ada yang cantik hanyalah luaran anda atau terserlah kecantikan dari kedua-dua sudut, luaran dan dalaman?

    "Kepada yang akan dan yang telah bermadu, hormatilah hati isteri pertama (atau kedua, ketiga jika ada) dan hormatilah perasaan ipar-duai dan keluarga di sebelah pihak madu (jika boleh)," Begitulah Jee menamatkan ceritanya.

    Terima kasih Jee kerana membela kakak anda dengan begitu sekali. Saya tahu anda memang sayangkan kakak anda dan anak-anak buah anda semua.

    Tindakan kakak anda juga saya puji. Demi kasih, demi keluarga dan maruahnya sebagai wanita, isteri dan ibu saya faham kenapa dia bertindak menerima fitrah hidup yang telah Allah tentukan.

    Semoga suaminya faham dan bertindak adil dalam perkongsian rumah tangga yang mencabar ini. Mudah-mudahan juga madunya akan mengubah sikap negatifnya kepada kakak anda demi kesejahteraan perkongsian hidup yang dilaluinya bersama kakak anda. Insya-Allah.

    Menutup kata pesanan saya, Jangan jatuhkan maruah anda sendiri sebagai seorang wanita, kerana, jika satu hari nanti anda ditinggalkan, tidaklah anda hilang semuanya!

    Salam

    Konsep butik pop-up

    Posted: 20 Jan 2012 05:08 PM PST


    SUASANA butik pop-up yang mesra pengunjung.


    BUKAN mudah mendapatkan sesuatu yang eksklusif namun jika tetap menginginkan pasti ada caranya. Bayangkan anda boleh memilih sendiri lencana yang anda berkenan pada baju T polo kegemaran anda.

    Tidak kira bentuk lelaki bermain kuda polo, atau lencana tertera jenama itu sendiri atau boleh jadi juga lencana berbentuk nombor, semuanya anda yang tentukan. Malah tempat dijahit lencana tersebut juga anda yang tentukan sendiri! Menarik bukan? Lebih menarik apabila anda tidak perlu menunggu lama dan baju T polo serta lencana pilihan anda boleh dibawa pulang dalam tempoh kira-kira 15 minit sahaja.

    Itu semua konsep yang dibawakan oleh jenama pelopor baju T polo terkemuka, Lacoste. Dengan pembukaan The Atelier L.12.12 Polo Pop-Up, ia memberikan satu pengalaman baru kepada penggemar baju T polo.

    Konsep butik pop-up ini dibina dengan tujuan untuk lebih dekat pada pengguna, lebih segar, interaktif dan lari daripada konsep butik yang biasanya terdapat dalam pusat beli-belah terkenal.

    Menurut pengurus The Atelier L.12.12 Polo Pop-Up Store, Ambert Khoo, konsep ini adalah yang pertama kali di Malaysia dan ia bukan sekadar tempat untuk membeli baju T polo, malah ia memberikan satu dimensi berbeza ketika membeli-belah.

    "Boleh dikatakan, ia satu konsep beli dan belajar, belajar apabila di butik ini, kami turut menyediakan maklumat tentang sejarah jenama Lacoste itu sendiri dalam penyampaian yang lebih ringkas dan santai.

    "Rasanya ramai yang tidak tahu bahawa Lacoste adalah pelopor pertama dalam penghasilan baju T polo, apabila pengasasnya Rene Lacoste yang juga seorang pemain tenis terkemuka dunia menghasilkan satu pakaian yang membolehkan dia memakainya dengan selesa ketika berhadapan satu perlawanan penting.

    "Baju T polo asal telah dicipta dengan anyaman penuh teliti, menggunakan fabrik campuran kapas dan jersi. Itu antara informasi yang ingin kami kongsi bersama peminat baju T polo," katanya yang ditemui S2 semasa majlis suai kenal bersama media di Highstreet, Pusat Beli-Belah One Utama, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

    Butik yang bersifat terbuka ini turut mempunyai seorang tukang jahit yang akan memenuhi di mana saja anda mahukan lencana tersebut dijahit.

    Menerangkan tentang nama butik L.12.12, Ambert berkata ia sebenarnya adalah kod khas bagi penghasilan baju T polo itu sendiri

    * L untuk LACOSTE

    * 1 merujuk kepada material pique yang digunakan

    * 2 adalah kod untuk tangan pendek

    * 12 merujuk kepada prototaip kilang Lacoste yang telah diluluskan.

    Selain sejarah dan baju T polo serta pelbagai pilihan lencana, Atelier L.12.12 Polo Pop-Up Store Concept ini juga memberikan pengalaman kepada pengunjung tentang bagaimana proses satu lakaran baju itu dibuat bermula daripada lukisan teknikal, diagram, material yang dikaji dan teknologi yang digunakan. Terdapat juga gambar-gambar yang menerangkan proses penghasilan produk Lacoste dan juga susun atur stor konsep yang sungguh ringkas tetapi menarik.

    Bagaimanapun menurut Ambert, stor konsep ini bukanlah kekal di situ kerana ia akan berakhir pada 25 Januari ini. Mereka juga sebenarnya dalam rangka mewujudkannya di pusat-pusat beli-belah utama yang lain dalam jangka masa terdekat sepanjang tahun 2012 ini.

    'Syurga' masakan Cina halal

    Posted: 20 Jan 2012 05:07 PM PST


    SEBAHAGIAN orang ramai menikmati juadah istimewa di Restoran Hj. Sharin Low Grand di Ipoh.


    APABILA bercakap mengenai hidangan masakan Cina, pasti ramai akan mengakui tentang keenakan masakan tersebut.

    Hidangan yang dimasak dengan menggunakan bahan-bahan segar dan kaedah yang ringkas itu menyebabkan masakan Cina menjadi antara pilihan yang digemari ramai.

    Bagi masyarakat Cina di negara ini mahu pun di Singapura, Ipoh terkenal sebagai 'syurga' masakan Cina.

    Justeru, tidak hairanlah, ramai pengunjung dari seluruh negara dan negara Kota Singa itu sanggup datang ke bandar raya ini semata-mata untuk merasai kepelbagaian masakan Cina yang terdapat di situi.

    Namun, status halal menjadi penghalang bagi masyarakat beragama Islam untuk menikmati hidangan tersebut kerana tidak banyak restoran Cina Muslim di negara ini, apatah lagi di negeri Perak Darul Ridzuan.

    Kini, masalah tersebut bukan lagi halangan bagi penggemar masakan Cina kerana pemilik rangkaian restoran masakan Cina Muslim, Sharin Low Abdullah telah membuka cawangan terbarunya di Persiaran Greenhill, Ipoh, Perak.

    Cawangan ketujuh Restoran Hj. Sharin Low Grand yang mula beroperasi sejak September tahun lalu itu menyajikan lebih 100 hidangan masakan asli Cina yang dimasak oleh chef berpengalaman bagi menjaga keaslian hidangan di restoran tersebut.

    Pengurus cawangannya, Wong Meng berkata, masakan yang terdapat di sini adalah 100 peratus masakan Cina Muslim.

    "Istimewanya masakan di sini kerana ia menggunakan perencah yang dihasilkan sendiri seperti kicap khas, perasa dan sebagainya.

    "Begitu juga dengan tauhu dan air soya, ia turut dihasilkan oleh pengusaha Cina Muslim," katanya kepada S2 baru-baru ini.

    Wong Meng memberitahu, antara hidangan yang menjadi kesukaan pengunjung adalah telur masin kwai tau meow, sotong masak asam, ayam kong po, hoi sin to fu kang, udang mentega, kerapu cheong ching dan ketam lak chi.

    Malah katanya, hidangan itik panggang merupakan antara pilihan yang digemari ramai pelanggan restoran tersebut.

    "Bagi penggemar itik panggang, mereka boleh dapatkan di sini tanpa was-was. Bukan mudah mendapatkan itik panggang halal kerana ia biasanya diusahakan oleh peniaga berbangsa Cina," katanya.

    Restoran Hj. Sharin Low Grand yang sesuai untuk seisi keluarga ini beroperasi bermula pada pukul 11 pagi hingga 11 malam, setiap hari.

    Bagi membuat tempahan, orang ramai boleh menghubungi talian 05-5242472.

    SIR tarikan utama selatan Semenanjung

    Posted: 20 Jan 2012 05:06 PM PST


    AKTIVITI air seperti menaiki banana boat ini turut disediakan di Sibu Island Resort, Pulau Sibu, Johor.


    SEPERTI mana yang kita sedia maklum, Johor kaya dengan pulau-pulau yang indah terutama di perairan Mersing, antaranya Pulau Tinggi, Pulau Aur, Pulau Besar, Pulau Mentigi dan Pulau Sibu.

    Namun apa yang menjadikan Pulau Sibu masyhur dan meniti di bibir pelancong tempatan dan asing adalah keindahan flora dan fauna yang belum tercemar kerana segala khazanah alamnya dipelihara dengan baik oleh pihak pengurusan Sibu Island Resort (SIR).

    Jika diamati, SIR cukup unik dan terletak dalam kelas tersendiri. Ini kerana anak syarikat Johor Corporation (JCorp) yang menjadi pengusaha pelancongan tunggal resort tersebut berjaya menjadikan Pulau Sibu yang berkeluasan 26 hektar itu seperti 'pulau persendirian'.

    Pengurus Wilayah SIR, Abd. Latiff Sahat menjelaskan, memandangkan Pulau Sibu terletak di timur perairan Johor dan menjadi tarikan utama di selatan Semenanjung Malaysia, maka pihaknya tekad melakukan pengubahsuaian secara besar-besaran sejak dua tahun lalu, melibatkan kos RM26 juta .

    Menurutnya, bagi mereka yang pernah berkunjung ke pulau ini pada masa lalu, kini mereka dapat melihat perubahan besar yang dilakukan melibatkan kerja-kerja ubahsuai di kesemua 121 bilik tetamu, ruang legar dan persekitaran resort.

    "Kami turut membaik pulih kawasan pesisiran pantai dan membina loji penyahgaram air laut, projek pertama di Malaysia untuk pembekalan air bersih dan segar setiap masa untuk keperluan pulau ini.

    "Dengan perubahan yang kami lakukan dan masa sesingkat 20 minit perjalanan dari jeti Tanjung Leman ke Pulau Sibu dan ditambah dengan pengubahsuaian yang dilakukan secara besar-besaran itu, SIR kini kelihatan lebih segar dan cukup mempesonakan sesiapa sahaja yang berkunjung ke situ, " katanya kepada S2 baru-baru ini.

    Abd. Latiff memberitahu, SIR merupakan destinasi percutian yang cukup eksklusif di negara ini dengan menawarkan kemudahan riadah di pesisiran pantai, pengalaman pengembaraan, aktiviti membina jati diri bagi golongan korporat dan kemudahan spa.

    Menurutnya, adalah tepat jika dikatakan bahawa daya tarikan utama di pulau itu adalah ia akan menjadi pusat pengembaraan dan sukan laut yang terunggul di Malaysia.

    Tambahnya, usaha ke arah itu sedang dijalankan dengan kerjasama Focus Adventure dari Singapura, sebuah syarikat pembekal tenaga pengajar pengembaraan yang memiliki pengalaman 12 tahun dalam bidang tersebut.

    "Hari ini kami berganding bahu bersama mereka untuk mencipta dan menempatkan pusat pembinaan jatidiri yang tiada tandingannya di pulau kami. Kami menyediakan kemudahan dan peralatan bertaraf dunia dan merupakan pusat yang pertama menawarkan program latihan layar termasuk dalam aspek rekreasi, pembelajaran dan pembangunan," ujarnya.

    Pada masa yang sama, kata Abd Latiff, usaha memaksimumkan produk pelancongan yang ada di pulau itu turut dikembangkan dengan membina tempat pemuliharaan penyu di Pantai 4.

    "Pantai 4 dikhaskan untuk penetasan penyu, di mana anak-anak penyu akan dipelihara sebelum dilepaskan ke laut," tambahnya.

    Katanya lagi, dengan imej baru ini, tumpuan SIR kini bukan sekadar mahu menjadi destinasi kegemaran percutian dan peranginan di selatan Semenanjung, malah ingin menjadi pusat utama untuk pembinaan jatidiri korporat di lautan.

    Beliau berkata, dari segi hidangan pula, ia menyajikan menu Asia dan antarabangsa khusus untuk peserta program jatidiri mahupun mereka yang datang sekadar untuk bersantai di resort tersebut.

    "Dikelilingi alam semula jadi dan tumbuh-tumbuhan hijau yang subur dan nyaman, selain memiliki pantai berpasir putih serta pemandangan Laut China Selatan, kami yakin resort bertaraf antarabangsa ini mampu memenuhi harapan dan impian para pelanggan kami.

    "Bagi pasangan yang ingin berbulan madu, kami menyediakan suite khas di puncak tertinggi di pulau ini. Percutian bulan madu ini menjanjikan suasana romantik dan paling ideal kepada pasangan pengantin baru, memandangkan Pulau Sibu ini merupakan 'gerbang pulau persendirian' yang dapat memberikan pengalaman percutian berharga," ujarnya lagi.

    Venice Biennial pemangkin industri pelancongan

    Posted: 20 Jan 2012 05:04 PM PST


    Penulis bergambar di hadapan Padiglione Centrale atau pavillion utama.


    VENICE Biennial boleh dikatakan sebagai seni Olimpik dalam mempertemukan negara di seluruh dunia berhimpun dalam satu tempat. Walau apa sahaja pandangan yang diberikan mengenai penganjurannya ini, ia adalah penganjuran seni yang berprestij dan ditunggu-tunggu bagi melihat siapakah artis yang mewakili pada pavillion-pavillion negara disana.

    Menyentuh serba sedikit sejarah Venice Biennial, ia bermula daripada resolusi City Council of Venice pada 19 April 1893 yang menyarankan penganjuran acara seni dwi-tahunan iaitu 'biennial national artistic exhibition' bersempena sambutan Jubli Perak Raja Umberto dan Ratu Margherita.

    Acara ini dianjurkan buat pertama kali pada 30 April 1895. Komitmen daripada Datuk Bandar Venice, Ricardo Selvatico di mana lebih daripada 200,000 pelawat dari seluruh dunia hadir dalam penganjuran kali pertama Venice Biennale walaupun dikenakan bayaran masuk. Acara ini bagaimanapun terhenti dari tahun 1914 hingga 1920 akibat Perang Dunia Pertama.

    Terdapat 30 negara yang mempunyai pavilion tetap di Giardini iaitu lokasi ia diadakan yang terletak di sebuah taman yang indah dikelilingi oleh rimbunan pokok-pokok.

    Pada 1999, disebabkan ruang Pavilion Sentral yang terhad, projek pengubahsuaian secara besar-besaran telah dilakukan pada bekas bangunan bersejarah yang sebelum ini menempatkan gudang kapal Arsenale in Venice kepada ruang pameran.

    Venice Biennial ke-54 berlangsung dari 4 Jun hingga 27 November 2011, iaitu selama hampir enam bulan.

    Dalam kenyataan Presiden Venice Biennial edisi ini, Paolo Baratta telah menjemput muzium dan organisasi seni di seluruh dunia ke acara ini sebagai jemputan termasuklah Balai Seni Lukis Negara (BSLN) melalui agensi perdagangan luar negara kita iaitu MATRADE.

    Pada edisi kali ini, saya selaku kurator dan Haned Masjak iaitu Timbalan Pengarah (Operasi) BSLN menggalas misi dalam melakukan kajian dan penyelidikan dengan lebih dekat penganjuran yang berusia lebih daripada 100 tahun ini.

    Pada hari perasmian, Pengarah Venice Biennail, Bice Curiger yang merupakan seorang pensejarahan seni, pengkritik dan kurator pameran antarabangsa yang berpusat di Kunsthaus Zurich mengumumkan pemenang anugerah Golden Lion. Ia adalah hadiah yang diwujudkan bagi memberi penghargaan pencapaian hayat sebagai artis dan diberikan kepada Frank West, pengarca veteran Austria dan Sturtevant, artis konseptual Amerika Syarikat.

    Penganjuran kali ini mencatatkan rekod peningkatan dari segi jumlah pavilion yang mengambil bahagian yang terdiri daripada 89 buah negara (terbanyak setakat ini) daripada 77 pavilion dua tahun sebelumnya. Antara negara yang pertama kali mengambil bahagian adalah Arab Saudi, Bangladesh dan Haiti.

    Setelah upacara perasmian, kami ke pavilion utama iaitu Padiglione Centrale atau Pavilion Sentral di mana pameran Illuminations diadakan dalam keluasan 3,500 meter persegi.

    Mengikut sejarahnya, Padiglione Centrale ini dibuka pada 1894 oleh Datuk Bandar Venice dengan melantik jurutera Majlis Perbandaran Venice untuk membina ruang pameran di Giardini di Castello sebagai hos pameran antarabangsa pertama yang dibuka selepas setahun pembinaannya.

    Selepas kejayaan pertama kali penganjuran Venice Biennial pada 1895, mereka telah meluaskan lagi kawasan dengan memberi peluang kepada penyertaan negara-negara lain dan negara luar pertama yang membina pavilion di sini adalah Belgium, manakala pavilion yang terakhir adalah dari Korea pada 1995. Selepas itu, tiada lagi pavllion dibina di sini.

    Dalam edisi kali ini, Padiglione Centrale telah menempatkan 24 artis dengan lebih kurang 31 ruang pameran di dalamnya.

    Apa yang menjadi tumpuan utama dalam pavilion ini adalah tiga karya bersaiz besar oleh artis Itali di zaman Renaisan yang banyak melakukan eksperimentasi dalam zamannya iaitu Jacopo Tintoretto (1518-1594). Koleksi oleh Gallerie dell'Accademia, Venice telah diletakkan di dalam ruang pameran utama, antaranya karya bertajuk The Last Supper (1592-1594), The Creation of the Animals (1550-1553), Removal of the body of Saint Mark (1562-1566), dan Miracle of the Slave (1548). Kesemua karya itu telah dibincangkan semula daripada perspektif kontemporari.

    Kami mengambil masa beberapa minit menghayati karya-karya Tintoretto ini kerana karya pinjaman khas untuk pameran Illumination yang menjadi fokus edisi kali ini di mana karya ini menitikberatkan elemen perspektif, pencahayaan dan komposisi.

    Illuminations edisi Venice Biennial kali ini diambil daripada tajuk buku penulisan pemikir seni dan budaya abad ke-20 iaitu Walter Benjamin yang merupakan seorang pengkritik sastera, ahli falsafah, ahli sosiologi, penterjemah dan penyiar radio. Antara buku himpunan eseinya yang terkenal adalah Work of Art in the Age of Mechanical Reproduction 1969.

    Pengarah merangkap kurator pameran mengeksplotasikan makna Illuminations kepada dua illumine (menerangi) dan nations (negara) dalam membawa isu yang lebih besar yang berlaku kini daripada edisi ke-52 oleh Robert Storr, Think with the Senses-Fell with the Mind Art in the Present Tense dan Daniel Birbaum Making Worlds pada Biennial ke-53.

    Sebagai pengarah, Bice telah membawa kita melihat isu-isu besar pergolakan yang berlaku di dunia termasuk negara yang mengambil bahagian untuk 'dipentaskan' dalam edisi kali ini.

    Tidak hairanlah jika setiap pavilion yang menghantar wakil sama ada pameran perseorangan atau berkumpulan membawa permasalahan dan pergolakan setempat untuk dikongsi bersama seperti sosial politik, peperangan, kuasa dan persempadanan kepada audien yang hadir.

    Illumination semacam melihat semula tindakan-tindakan pada abad sebelumnya yang membawa kesan ke abad seterusnya.

    Inilah idea-idea yang mencetuskan Bice dalam menempatkan hampir 83 artis pilihannya di dalam pavilion Giardianidan Arsenale, seperti yang saya kenali sebelumnya. Antaranya Maurizio Cattelan Turisti 1997, Cindy Sherman Untitled 2010, Pipilotti Rist Non voglio tornare indietro 2011, Sigmar Polke Strahlen Sehen (Seeing Ray) 2007, Christopher Wool Untitled 2010, Peter Fischli & David Weiss Space Number 13.

    Ada beberapa pavilion yang sangat menarik untuk dikongi bersama di sini, antaranya dari Switzerland. Pavillion ini yang dikomisioner oleh Urs Staub diwakili oleh artis, Thomas Hirshorn dalam karyanya 'Crystal of Resistance' di mana karya ini memerlukan penglibatan audien di dalamnya. Karya Hirshorn ini mengajak audien bersama-sama memasuki dunia ciptaan artis.

    Menurut Hirshorn, beliau membentuk dan mencipta suatu bentuk baru agar audien berfikir suatu yang baru iaitu bentuk yang membuat audien 'berfikir'.

    Selain itu, Pavillion Britain juga menjadi pilihan utama. Pada edisi kali ini, Andrea Rose dipilih sebagai komisioner yang dikurator oleh Richard Riley yang mempamerkan hasil kerja Mike Nelson, 'I Impostor' 2011.

    Pada kali ini, pavilion ini memasang semula hasil karya arca instalasi yang bersaiz besar yang pernah dipamerkan daripada Istanbul Biennial ke-8 pada 2003 yang bertajuk Magazin: Buyuk Valide Han di mana beliau membina semula ruang dalaman seni bina abad ke-17.

    Pembinaan semula karya ini di Venice untuk merakam semula imej dalam masa dan tempat yang berbeza di mana Nelson cuba bernostalgia di dua tempat di antara Venice dan Istanbul yang pernah menjadi pusat perdagangan antarabangsa Timur-Barat dan Barat-Timur pada ketika dahulu.

    Dalam karya ini, khalayak dibawa masuk ke dalam ruang dalaman yang agak kecil di dalamnya di mana khalayak perlu melalui laluan-laluan yang menuju ke suatu ruang di mana mereka dapat merasai pengalaman visual dan bau seperti mereka berada di dalam masa dan ruang sebenar.

    Keseluruhannya, Venice Biennial menjadi rujukan kepada berpuluh-puluh acara biennial lain yang terdapat di tempat lain di seluruh dunia.

    Di rantau Asia Tenggara, kita juga mempunyai acara yang mengambil model daripadanya seperti Singapore Biennial dan Jogja Biennial. Oleh itu, sudah tiba masanya Malaysia mampu menganjurkan acara sedemikian, namun dengan cara dan pendekatan yang sedikit berbeza untuk memberi kelainan dan identiti tempatan yang tersendiri seperti penganjuran Documenta di Kassel.

    Penganjuran Venice Biennial bukan sahaja hanya sebuah penganjuran seni kontemporari, namun ia melangkaui kepada pemangkin industri budaya dan pelancongan yang menjana ekonomi sesebuah negara dalam menjual dan mempromosi nama negara mereka di mata dunia.

    Redah hutan sambut tahun baru

    Posted: 20 Jan 2012 05:03 PM PST


    MENEMPUH laluan tebing cerun yang curam.


    BUA julung kalinya, penulis bersama 27 rakan pendaki daripada belia dan beliawanis Kembara Jejak Rimba meraikan sambutan tahun baru 2012 di puncak Gunung Batu Putih, Tapah, Perak.

    Gunung tersebut merupakan puncak kelapan tertinggi di Semenanjung Malaysia.

    Ekspedisi ini telah berlangsung selama tiga hari dua malam pada 31 Disember 2011 hingga 02 Januari 2012. Program pendakian ini diketuai oleh Khairul Nizam Mohd Aris, 33, manakala penunjuk arah ialah Faizul Azlil Azam, 38, atau lebih mesra disapa Alen. Berikut catatan pendakian kami.

    Hari pertama

    Dari Hutan Lipur Kuala Woh, Tapah, Perak dan tepat pukul 9.00 pagi, kami memulakan perjalanan dengan menaiki van menuju ke tempat permulaan mendaki di Kampung Orang Asli Kuala Woh. Usai membaca doa dan mendengar taklimat ringkas, kesemua pendaki termasuk penulis memulakan pendakian selama satu jam sebelum tiba di sebatang sungai.

    Bongkah-bongkah batu yang agak besar dan banyak terdapat di sekitar sungai ini menjadi halangan pertama kami untuk menyeberanginya. Setelah menyeberangi sungai ini, laluan kami sekali lagi terhalang dengan pepohon buluh yang tumbuh merendang dan terdapat beberapa batang yang tumbang sekali gus memaksa para pendaki merangkak untuk melepasinya.

    Setelah hampir tiga jam mendaki, kami tiba di Kem Bagan untuk berehat sambil menikmati juadah makan tengah hari sebelum meneruskan pendakian. Tepat pukul 7.00 malam, kami tiba di sebuah gua yang dikenali dengan nama Gua Azan. Kami bermalam di dalam gua tersebut.

    Gua Azan merupakan gua batu kapur yang terbentuk daripada hakisan angin dan luluhawa ini menjadi salah satu daya tarikan kepada sesiapa sahaja yang mendaki Gunung Batu Putih. Di belakang gua ini, terdapat air bawah tanah yang mengalir dingin dan menjadi sumber air bersih kepada para pendaki yang berehat dan bermalam di sini.

    Hari berlalu pantas dan setelah seharian penat mendaki, kami mula melelapkan mata tepat pukul 11 malam. Tidur kami didendangkan dengan bunyi-bunyian unggas rimba yang sesekali disapa deruan angin dari dalam gua ini. Tiupan angin malam membuatkan suasana keliling sungguh menyegarkan tubuh.

    Hari kedua

    Pada pukul 9.00 pagi, kami mula meninggalkan Gua Azan untuk meneruskan pendakian ke puncak Gunung Batu Putih. Cabaran pendakian menjadi agak ekstrem apabila kami perlu mendaki cerun batu yang agak curam. Dengan bantuan tali dan batang kayu yang disediakan, kami berjaya melepasinya dengan selamat. Penulis agak gementar seketika apabila mendaki di kawasan ini, namun berjaya ditenangkan oleh penunjuk arah kami.

    Selepas satu jam mendaki, kami tiba di sebuah puncak bukit yang dikenali dengan nama Bukit Lentang. Jika cuaca baik dan tidak berkabus, kami boleh melihat puncak Gunung Batu Putih yang sayup-sayup kelihatan di sebalik awan serta beberapa puncak gunung berhampiran seperti Gunung Kak dan Gunung Bar Gading.

    Dari puncak Bukit Lentang, kami berjalan satu jam lagi untuk sampai ke simpang menuju lokasi air terjun yang agak menarik iaitu Air Terjun Terbunuh. Aliran dari air terjun yang sejuk inilah yang menjadi sumber air terakhir kami untuk dibawa bekalan bermalam di puncak Gunung Batu Putih.

    Untuk sampai ke air terjun ini, pendaki perlu menuruni tebing bukit selama kira-kira 10 minit. Air terjun ini mengalir tenang dari ketinggian 80 meter, menjunam ke bawah menuruni cerun bukit berbatu sekali gus menghasilkan satu panorama alam yang berjaya menarik perhatian kunjungan setiap pendaki ke sini.

    Setelah mendaki hampir dua jam termasuk meredah selut dan lumpur serta melalui denai hutan 'mossy forest,' tepat pukul 6.00 petang, kesemua 28 pendaki berjaya menawan puncak Gunung Batu Putih terletak pada ketinggian 2,131 meter bersamaan 6,993 kaki dari paras laut.

    Terdapat penanda puncak gunung yang diperbuat daripada besi dipacak di puncak Gunung Batu Putih. Ia adalah antara lapan gunung yang paling mencabar pendakiannya di Semenanjung Malaysia.

    Kesejukan suhu di puncak begitu mencengkam tulang. Suhu menunjukkan sekitar 14 darjah celcius dan lebih terasa apabila malam menjelma. Pun begitu, aktiviti perkhemahan dan memasak juadah untuk makan malam tetap dijalankan seperti biasa. Percikan bunga api yang dihasilkan oleh beberapa pendaki mula menyinari dan mewarnai ruang angkasa puncak Gunung Batu Putih bagi menyemarakkan lagi semangat sambutan tahun baru di sini walaupun sambutannya lewat semalam.

    Bagi mengeratkan tali silaturahim antara pendaki, pihak penganjur telah mengadakan sesi beramah mesra dan suai kenal. Program ini berjaya mengisi ruang masa yang kosong sebelum kami melelapkan mata.

    Hari ketiga

    Tepat pukul 6.30 pagi pada tarikh 2 Januari 2012, sinaran matahari yang terbit dari ufuk timur mula menyinari kawasan sekitar puncak. Para pendaki tidak melepaskan peluang untuk bergambar dan menikmati pemandangan alam yang sungguh mendamaikan ini.

    Sebelum menuruni dan meninggalkan puncak Gunung Batu Putih, sesi foto berkumpulan diadakan bagi mengabadikan kenangan terindah yang sukar dilupakan. Tepat pukul 7.00 malam, kesemua pendaki selamat sampai ke tempat mula mendaki di Kampung Orang Asli Kuala Woh.

    Keriangan dan kepuasan jelas terpancar pada wajah setiap pendaki setelah berjaya menamatkan misi Melakar Tahun Baru di Puncak Gunung Batu Putih ini.

    Melaka Sprint Race jadi tumpuan

    Posted: 20 Jan 2012 05:00 PM PST


    SEBAHAGIAN daripada pelumba Melaka Sprint Race menggunakan bekas tapak Eye On Malaysia untuk menunjukkan kehebatan kekuatan jentera kereta masing-masing di Kota Laksamana, Melaka, baru-baru ini.


    JALAN raya di bekas tapak Eye On Malaysia berhampiran Kota Laksamana tidak hanya menjadi kegiatan riadah pada setiap petang dan tempat orang bersantai.

    Ini kerana pada malam Sabtu baru-baru ini, suasana tenang dan damai di sekitar kawasan yang menghadap Selat Melaka bertukar menjadi bising dengan deruman enjin pelbagai jenis kereta.

    Silih berganti kereta jenis Proton Saga, Satria, Gen 2 dan Honda dengan kekuatan enjin 1600cc hingga melebihi 3000cc bergerak secara berkonvoi memasuki jalan raya menuju ke bekas tapak Eye On Malaysia.

    Di samping itu, sebuah treler mengangkut kenderaan pula dilihat memasuki laluan tersebut membawa pelbagai kenderaan yang sudah diubah suai enjinnya.

    Pengunjung yang terdiri daripada anak-anak muda yang beratur sepanjang laluan tersebut teruja melihat kenderaan itu melintas dengan bunyi ekzos yang memekakkan telinga.

    Sejak pukul 11 malam, laluan tersebut mula dipenuhi orang ramai sama ada yang datang berkumpulan atau individu sehingga mencecah kira-kira 1,000 orang.

    Kedatangan mereka semata-mata ingin melihat kehebatan kereta paling laju menyertai pusingan akhir Melaka Sprint Race membabitkan 68 kereta pelbagai jenis bermula pada pukul 10 malam dan berakhir kira-kira pukul 3 pagi.

    Kebanyakan mereka berkumpul di tempat permulaan di kiri dan kanan jalan untuk melihat kehebatan kereta memecut dan meluncur sejauh 400 meter untuk menentukan pemenangnya.

    Kegembiraan jelas terpancar pada wajah pengunjung, malah ada yang bertepuk sorak apabila salah sebuah kereta melepasi garisan penamat.

    Perlumbaan itu merupakan salah satu sukan pemotoran paling popular di dunia dan kini hampir semua negara di dunia menganjurkannya.

    Ia tidak seperti perlumbaan Formula 1, sebaliknya ia merupakan acara pecut yang cukup ringkas dan mudah untuk dianjurkan kerana hanya memerlukan jalan raya lurus sepanjang 800 meter.

    Dua buah kereta yang menyertai kategori yang dipertandingkan akan berlumba untuk mencatat masa terpantas daripada peringkat amatur hingga kepada pelumba profesional.

    Melaka Sprint Race anjuran Twin Turbo Enterprise dengan kerjasama Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Negeri Melaka kini menjadi tarikan anak-anak muda berkumpul setiap hujung minggu.

    Sebanyak enam kategori yang dipertandingkan iaitu Terbuka Turbo (2wd), Terbuka Vtec, Terbuka NA, B18C/Type R, 1.5 Proton/1.6 Campro dan 1.6 Campro.

    Presiden Twin Turbo Enterprise, Razali Bachik berkata, pihaknya menganjurkan perlumbaan itu pada setiap malam minggu bertujuan mengajak anak-anak muda mengatakan 'tidak' pada perlumbaan haram.

    ''Inilah tujuan Melaka Sprint Race diadakan iaitu memberi peluang kepada anak-anak muda yang gemar berlumba haram berlumba secara sihat di jalan raya khusus untuk mereka," katanya.

    Katanya, sejak perlumbaan itu diperkenalkan menggunakan jalan raya di bekas tapak Eye On Malaysia, ia telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada mereka yang gemar berlumba haram.

    Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri berminat untuk mewartakan laluan tersebut sebagai aktiviti perlumbaan pecut untuk kereta dan akan datang motosikal yang dianjurkan pada setiap malam minggu.

    Umie lasak di Dreamworld

    Posted: 20 Jan 2012 04:59 PM PST


    BERSEDIA untuk menikmati keindahan pantai Tangalooma.


    "JOMLAH kita naik roller coaster tu, best tau. Kat atas tu..., kita boleh jerit sekuat hati," pujuk Datin Paduka Umie Aida pada penulis yang turut serta dalam rombongan Travelog AirAsia ke Gold Coast, Queensland, baru-baru ini.

    Melihat pada kerangka roller coaster Buzz Saw yang baru dibuka di kawasan taman tema Dreamworld, hati penulis terus jadi kecut.

    "Mak oi... tingginya. Lepas tu kepala ke bawah dan berhenti secara tiba-tiba. Boleh kena serangan jantung macam ni. Tak apa, Umie sajalah yang naik," demikian jawapan diberi, menyedapkan hati sendiri.

    Umie yang diundang sebagai tetamu jemputan untuk program kelolaan Edd Razhe itu tanpa rasa takut mengatur langkah untuk menaiki Buzz Saw dengan meninggalkan hos utama program tersebut.

    Sebaik sahaja Umie dan beberapa rakan lain turun, saya pun bertanya apa perasaannya ketika berada di atas sana dengan kelajuannya 105 kilometer sejam.

    "Tak rasa apa pun. Best tau, rugi tak naik tadi. Umie tidak rasa takut sebab sebelum ini dah pernah naik yang lebih ekstrem. Umie pernah naik roller coaster kat Los Angeles. Yang itu lagi tinggi dan menakutkan," katanya selamba.

    Selepas itu, Eksekutif Perhubungan Awam Dream World, Natasha McNamara yang bertanggungjawab melayan kami sepanjang berada di kawasan taman tema itu membawa kami menaiki Tower of Terror.

    Permainan ini juga mengerikan dan hanya sesuai dinaiki oleh mereka yang suka sukan ekstrem seperti Umie Aida. Tower of Terror mempunyai kelajuan 161 kilometer sejam dalam tempoh tujuh minit.

    "Seronoknya... dah lama Umie tidak main games begini. Kalau datang dengan suami, jangan harap dia bagi Umie naik roller coaster ni.

    "Mana-mana taman tema yang Umie pergi, pasti Umie tidak lepaskan peluang untuk naik roller coaster. Mula-mula dulu memang rasa sedikit takut tapi bila sudah biasa, rasa seronok pula. Umie suka bila berada di atas sana dapat menjerit sekuat hati," ceritanya.

    Sebaik sahaja selesai penggambaran di kawasan Tower of Terror, kami dibawa melihat kanggaru dan koala yang sinonim dengan Australia.

    Kalau roller coaster yang tinggi itu tidak menakutkan Umie Aida, apalah sangat untuk dia mendukung atau memegang binatang.

    "Ada tak kanggaru yang simpan anaknya dalam poket macam yang kita tengok kat TV tu. Lepas tengok kanggaru, kita pergi lihat koala pulakan?

    "Datang Australia kalau tidak bergambar dengan dua ekor binatang ini, tak sempurna percutian kita," katanya sambil memberi makanan pada kanggaru di situ.

    Melihat reaksinya, S3 dapat mengagak yang Umie adalah pencinta haiwan dan dia sedikit pun tidak kaku sewaktu mendukung koala.

    Pada hari kedua di sana, rombongan kami menuju ke Tangalooma Island Resort, Brisbane yang cukup indah.

    Di tempat percutian ini, kami dibawa ke kawasan gurun pasir untuk melakukan aktiviti luncur pasir (sand tobogganing).

    "Wah....cantiknya. Tak apalah tidak dapat luncur di laut, kita luncur di atas pasir pun okey juga," kata Umie mengatur langkah mendaki bukit pasir untuk meluncur.

    Katanya, keseronokan meluncur di padang pasir berbeza dengan menaiki roller coaster kerana meluncur memerlukan fokus.

    Menurut Umie, sewaktu meluncur turun dari bukit itu, tangan perlu diletak di atas papan sambil mengangkat agar peluncuran itu berjalan lancar.

    "Meluncur pasir ini nampak mudah tapi kalau tidak berhati-hati, boleh terguling. Semasa meluncur, perlu menjaga tangan agar tidak terkeluar daripada papan luncur kerana itu akan mengganggu.

    "Mata juga perlu dijaga, takut ketika meluncur, pasir masuk mata.

    Selalu meluncur kat air, kali ini di darat, lain rasa keseronokannya," akui Umie.

    Bola keranjang bantu Jamal kekal sihat

    Posted: 20 Jan 2012 04:57 PM PST


    Jamal dan bola keranjang tidak dapat dipisahkan.


    MELIHATKAN pergerakan pantas dan juga kelincahan penyampai radio stesen nombor satu tanah air, Sinar FM ini, siapa sangka, umur lelaki ini sebenarnya sudah menjengah 48 tahun.

    Namun bagi Jamal atau nama sebenarnya, Abdul Jamal Jamaluddin, umur bukanlah penghalang baginya untuk terus bermain bola keranjang.

    Mula terlibat dengan sukan berkenaan sejak di bangku sekolah lagi, Jamal mengakui sukan tersebut banyak memberi kebaikan kepada dirinya.

    "Kalau nak diikutkan, jika umur sudah sebaya dengan saya, mesti pelbagai penyakit akan mula datang.

    "Alhamdulillah, buat masa ini, saya masih lagi sihat dan juga mampu bermain bola keranjang seperti biasa.

    "Selain itu, saya tidak merokok dan kurang makan makanan berkarbohidrat. Nasi pun saya hanya makan dua kali sahaja dalam seminggu," jelasnya.

    Bukan sahaja menjaga pemakanan, Jamal juga gemar mengubah setiap aktiviti yang dilakukannya menjadi senaman.

    "Contohnya, ketika hendak menaiki tangga. Biasanya, saya akan melangkah dua anak tangga sekali gus.

    "Ini sebenarnya dapat membantu mengekalkan ketahanan lutut dan dalam masa yang sama, ia sebenarnya turut menjadikan gaya hidup kita lebih sihat," katanya lagi.

    Selain memberi manfaat daripada segi kesihatan, menurut Jamal, sukan bola keranjang juga membantu mengeratkan tali persahabatan antara kaum.

    "Biasanya, individu yang bermain bola keranjang bersama kami terdiri daripada pelbagai kaum.

    "Seronok jugalah apabila dapat mengenali antara satu sama lain. Barulah 1Malaysia," katanya sambil melakukan senaman memanaskan badan.

    Persamaan Eun Hye, Ryeo Won dan Jung Eum

    Posted: 20 Jan 2012 04:57 PM PST


    (DARI kiri) Jung Ryeo Won, Yoon Eun Hye dan Hwang Jung Eum.


    KALAU anda peminat tegar k-pop mesti dapat meneka persamaan antara Yoon Eun Hye, Jung Ryeo Won dan Hwang Jung Eum.

    Dahulu mereka ini tidak popular bersama kumpulan masing-masing tetapi setelah bergerak solo, nama mereka terus melonjak sebagai pelakon utama.

    Jung Ryeo Won yang merupakan bekas anggota kumpulan Chakra langsung tidak menonjol sewaktu bersama kumpulannya kerana dibayangi rakan-rakan lain.

    Setelah mengambil keputusan untuk bergerak solo, Eun Hye terpaksa bekerja keras untuk mencipta nama.

    Biarpun sudah berlakon dalam banyak drama antaranya Hello, Franceska, Ja Myoung Go, Two Faced Girlfriend dan Castaway on the Moon, namanya masih juga tidak dikenali.

    Namun nasibnya berubah setelah membintangi drama Salaryman Cho Han Ji dan Never Ending Story.

    Sementara Yoon Eun Hye yang merupakan bekas kumpulan Baby V.O.X tidak meraih populariti gara-gara badannya yang sedikit berisi.

    Selepas mengumumkan pengunduran dari kumpulan itu, Eun Hye mendapat tawaran sebagai pelakon utama dalam drama sulungnya, Goong dan namanya mula menjadi perhatian apabila membintangi drama The 1st Shop of Coffee Prince.

    Bagi bekas kumpulan Sugar, Hwang Jung Eum pula sering dibayangi oleh anggota kumpulan itu, Ayumi.

    Namun selepas memulakan karier sebagai pelakon menerusi drama Giant, High Kick Through the Roof dan Can You Hear My Heart, nama Jung Eum terus meledak.

    Sekarang ini, ketiga-tiga mereka adalah antara pelakon wanita yang bukan sahaja popular malah sering diberi peranan utama dan menjadi topik berita.

    Megat Sharizal tidak kisah populariti

    Posted: 20 Jan 2012 04:56 PM PST


    MEGAT Sharizal mahu mencuba pelbagai watak.


    MINAT yang mendalam di dalam bidang lakonan memberi peluang kepada anak jati Kuala Lumpur ini untuk berada di dalam dunia seni, bagaimanapun setelah tujuh tahun berjuang namanya masih lagi belum sebaris dengan nama-nama pelakon terkenal lain.

    Sedar akan hakikat itu, Megat Sharizal Mohamed Yusoff,33 ,tidak pernah merasakan populariti merupakan antara perkara yang harus dirunsingkan.

    Menurutnya, apa yang penting untuk dirinya kini adalah melunaskan impiannya menjadi seorang pelakon.

    "Saya mula berjinak-jinak di dalam dunia lakonan ketika sedang menuntut di kolej lagi.

    "Mungkin saya kurang berada di dada-dada akhbar atau majalah, namun perjalanan seni saya amat aktif sejak tujuh tahun lalu," katanya ketika ditemui di set penggambaran drama bersiri komedi Opera Sabun.

    Bagi Megat Sharizal sendiri, dia tidak pernah kecewa walaupun sampai kini dia tidak pernah menduduki takhta populariti.

    Malah sepanjang tujuh tahun berada di dalam dunia lakonan ini, dia diberi peluang untuk terus belajar untuk memantapkan bakat lakonannya.

    "Mungkin saya kurang pendedahan di media untuk dikenali.

    "Namun saya sangat bersyukur kerana terus diberi peluang untuk memantapkan bakat lakonan saya," katanya.

    Ternyata pentas teater merupakan cinta pertama Megat Sharizal, malah menurutnya melalui teater juga dia banyak mempelajari pelbagai teknik lakonan yang betul.

    "Selain aktif membintangi drama-drama tempatan, saya juga sering menerima tawaran untuk teater.

    "Malah saya juga diberi kepercayaan mengarahkan tiga buah teater iaitu kisah Gadis, Tat Nenas dan Serangan Zombi di Malaysia," katanya.

    Sering menyandang watak antagonis, bagi Megat Sharizal dia tidak kisah sekiranya watak ini menjadi watak yang sinonim dengan dirinya. Bagaimanapun dia lebih suka sekiranya watak antagonis yang dibawanya mempunyai kekuatan tersendiri.

    "Saya tidak mahu digelar pelakon stereotaip.

    "Untuk itu, saya sangat mementingkan watak yang dibawa agar tidak memberi kesan kepada kerjaya lakonan saya," jelasnya.

    Bakal muncul dengan pementasan sketsa pada bulan hadapan bersama Playground Productions, menurut Megat Sharizal, dia sebenarnya lebih cenderung untuk bergelar pelakon komedi.

    Malah dia juga berharap melalui pementasan sketsa yang akan dipersembahkan ini bakal mengangkat nilai komedi negara ke suatu tahap yang lebih membanggakan.

    "Saya sebenarnya lebih suka untuk membawa watak komedi kerana jelas ia lebih dekat dengan diri saya yang suka berjenaka.

    "Sketsa yang akan saya sertai pada bulan hadapan ini merupakan hasil usaha saya bersama rakan-rakan yang juga mempunyai minat yang mendalam di dalam bidang lakonan. Diharap melalui pementasan sketsa ini, kami diberi mandat untuk terus memperjuangkan komedi di dalam industri hiburan negara," katanya.

    Rahman mahu tubuhkan Muzium Pop Yeh Yeh

    Posted: 20 Jan 2012 04:55 PM PST


    ORKES Nirwana di bawah pimpinan A. Rahman Hassan telah ditubuhkan lebih 40 tahun yang lalu.


    IRAMA pop yeh yeh yang pernah meledak pada persada muzik tanah air pada tahun 1960-an boleh dikatakan suatu genre muzik yang tidak luput ditelan zaman sehinggalah ke saat ini.

    Selepas 50 tahun irama itu bertapak, ia bukan sahaja meninggalkan nostalgia buat para karyawan, malah terus dikenang serta diminati ramai termasuklah kalangan generasi muda.

    Menyedari hakikat itu, penyanyi kumpulan Orkes Nirwana, Datuk A. Rahman Hassan berharap agar lebih banyak maklumat tentang irama itu dapat diketengahkan kepada umum.

    Menurut penyanyi dan pemain gitar berusia 65 tahun ini, dia kini sedang berusaha untuk menubuhkan sebuah muzium tentang irama pop yeh yeh di Johor Bahru, Johor.

    "Saya telah memohon untuk menubuhkan Muzium Pop Yeh Yeh itu daripada Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan mengusulkannya kepada Yayasan Warisan Johor.

    "Saya menyuarakan hasrat itu sewaktu menganjurkan Himpunan 60-an pada Januari tahun lalu. Sebuah bangunan di Johor Bahru juga telah dikenal pasti untuk tujuan itu.

    "Saya berharap agar penubuhan muzium itu dapat direalisasikan dalam waktu yang terdekat ini. Buat masa ini, saya sedang mengumpul bahan-bahan yang berkaitan ," katanya kepada S3.

    Jelas penyanyi yang popular dengan lagu berjudul Tak Mengapa itu, dia kini sedang mencari maklumat-maklumat tentang penyanyi dan kugiran pop yeh yeh untuk dipamerkan di muzium tersebut.

    Antaranya mengumpulkan bahan-bahan seperti EP, LP, kostum, gambar dan alat-alat muzik yang pernah digunakan oleh artis-artis pop yeh yeh untuk dikongsi oleh peminat irama itu.

    Jelas bapa kepada tiga anak dan enam cucu itu, dia merasakan belum terlambat untuk merealisasikan hasrat tersebut memandangkan ramai penyanyi dan pemuzik pop yeh yeh yang masih hidup.

    "Perkara itu dapat dilihat berdasarkan rakaman rancangan Pop Yeh Yeh Bersama Orkes Nirwana yang dirakamkan sebanyak 13 episod di mana ia akan disiarkan di TV1 tidak lama lagi.

    "Melalui rancangan itu, kami telah menjemput 38 penyanyi pop yeh yeh di mana ramai di antara mereka yang sudah tidak aktif menyanyi seperti Zainal Omara dan Hussaini B.

    "Jadi, dari situlah kita akan mengumpulkan bahan-bahan yang berkaitan irama pop yeh yeh kerana mereka tentunya menyimpan bahan-bahan yang berkaitan irama tersebut," ujarnya.

    Selain sibuk mengusahakan penubuhan Muzium Pop Yeh Yeh, Rahman, pada masa sama beliau masih aktif menyanyi termasuklah menjayakan Konsert Kugiran 60-an Pop Yeh di Istana Budaya.

    Pada konsert anjuran Gombak Serumpun Sdn. Bhd. mulai 20 Januari lalu hingga 22 Januari ini, beliau mengadakan persembahan bersama isterinya Datin Azizah Mohamad dan Orkes Nirwana.

    "Di samping menyanyi, saya juga sibuk menguruskan Kelab Kebajikan Artis Pop Yeh Yeh di mana saya telah dilantik sebagai Pengerusinya sejak lima tahun yang lalu.

    "Aktiviti-aktiviti seperti ini banyak mengisi masa lapang saya termasuklah pada Konsert Kugiran 60-an Pop Yeh Yeh. Ini kerana, pada konsert itulah saya berpeluang berjumpa kawan-kawan lama.

    "Saya misalnya, dapat bertemu kawan-kawan daripada kumpulan seperti The Twilites dan The Siglap 5 dari Singapura yang saya tidak temui sejak lebih 40 tahun lalu," jelasnya.

    Rahman dan Orkes Nirwana akan menyanyikan lagu-lagu malar segar mereka antaranya berjudul Tak Mengapa dan Harapanku pada konsert yang mengenakan tiket daripada RM40 ke RM350.

    Wilma mahu tunai haji

    Posted: 20 Jan 2012 04:53 PM PST


    BERTUDUNG bukan ikut trend tetapi kerana kerelaan dan keikhlasan hati Wilma sendiri.


    BAGI mereka yang pernah mengikuti perkembangan aktres yang seorang ini, pastinya ramai yang sedar akan penampilannya sewaktu zaman kegemilangannya sekitar lewat tahun 90-an.

    Berbekalkan wajah yang cukup manis dipandang selain bakat lakonan tersendiri, Wilma Muhammad sememangnya dikenali sebagai salah seorang artis wanita yang terkenal dengan imej seksi.

    Namun itu semua cerita lama yang kini sudah menjadi lipatan sejarah buat Wilma. Sebaik sahaja mendirikan rumah tangga pada 18 November 2000, Wilma mengambil keputusan untuk meninggalkan dunia seni tatkala namanya di puncak populariti.

    Bukan itu sahaja, Wilma telah mengejutkan peminat dunia hiburan apabila mengubah imejnya dengan bertudung yang menyerlahkan lagi keanggunan Wilma sebagai seorang muslimah.

    Kata Wilma, keputusan yang dilakukannya ketika itu merupakan naluri yang hadir dengan sendirinya tanpa adanya paksaan daripada mana-mana pihak waima arwah suaminya, Allahyarham Mahir Effendi Mahmud.

    "Saya lakukannya dengan ikhlas. Jauh sekali untuk menjadikan imej bertudung sebagai fesyen. Semuanya lahir daripada hati ikhlas saya.

    "Bagi saya, kalau hendak bertudung, ia perlu dilakukan dengan penuh keikhlasan. Benar, arwah suami saya tidak pernah memaksa saya atau mengenakan syarat untuk saya bertudung ketika di awal perkahwinan kami.

    "Alhamdulillah, saya bersyukur dengan kehidupan saya hari ini di samping lima orang anak saya walaupun arwah suami saya sudah tiada lagi," cerita Wilma tenang ketika dihubungi S3, baru-baru ini.

    Tanggal 27 Januari ini, anak kelahiran Sabah yang mula dikenali menerusi filem Ghazal Untuk Rabiah di samping Jamal Abdillah pada tahun 1997 ini genap setahun bergelar balu.

    Hasil perkongsian hidupnya dengan suami tercinta telah dikurniakan dengan lima orang anak iaitu Raida Thaqifa, 9, Athira Inara, 7, Mahira Aqila, 5, Muhammad Yusof, 3, dan Umar Al Faruk, 2.

    Menyambung bicara, di awal pemergian suaminya, Wilma mengakui dia begitu sedih dan tidak mampu untuk mengharungi kehidupan seorang diri.

    Namun, berbekalkan semangat daripada keluarga tercinta, perlahan-lahan Wilma bangkit dan mengumpul kekuatan untuk meneruskan hidupnya bersama anak-anak.

    "Saya banyak mendekatkan diri saya dengan membaca al-Quran dan buku-buku berkaitan dengan agama. Sebenarnya, selepas berkahwin lagi, saya sudah mengubah cara hidup saya.

    "Maklumlah, dulu sewaktu menjadi artis, jadual kita tidak menentu dan sudah pasti amalan kita juga terganggu termasuk solat.

    "Jadi, apabila menjadi suri rumah sepenuh masa, saya banyak belajar tentang agama dan belajar mengaji serta berusrah dengan seorang ustazah yang sering datang ke rumah kami.

    "Tradisi itu diteruskan sehingga ke hari ini dengan anak-anak saya pula sekurang-kurangnya dalam tiga hari seminggu. Semuanya bergantung kepada kelapangan ustazah tersebut memandangkan kesihatannya juga tidak mengizinkan," jelas Wilma yang juga pernah membintangi filem Pasrah arahan Datuk Yusof Haslam pada tahun 2000.

    Terbayang suami

    Dalam rancak berbicara, wanita berusia 38 tahun ini sempat meluahkan hasrat untuk menunaikan haji bersama ibu dan adiknya tahun ini.

    Keinginannya terus meluap-luap untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci selepas menunaikan umrah untuk pertama kalinya pada penghujung Ramadan lalu.

    Ketika itu, Wilma ke sana bersama rakan-rakannya dan sebaik sahaja melihat Kaabah di depan mata, dia terkesima sehinggakan dia seperti tidak percaya melihat kebesaran Allah SWT di depan mata.

    "Hanya Dia sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu sehingga saya sendiri tidak mampu untuk menggambarkan dengan kata-kata.

    "Selama lebih seminggu di sana, saya begitu tenang dan gembira sekali. Selain fokus kepada ibadat, saya berkesempatan juga untuk menziarah tempat-tempat menarik.

    "Sepanjang di sana juga, dengan kuasa Allah SWT, saya terbayang-bayangkan arwah suami saya dan seperti ternampak kelibat dan terbau bau badannya selama dua kali.

    "Ketika itu, rindu saya padanya memang tidak dapat dibendung lagi. Sebaik sahaja ia berlaku, saya sedekah al-Fatihah untuk arwah," kata penyandang gelaran Pelakon Harapan Wanita Festival Filem Malaysia Ke-13 (1997) menerusi filem Ghazal Untuk Rabiah itu lagi.

    • Digg
    • Del.icio.us
    • StumbleUpon
    • Reddit
    • RSS

    0 ulasan:

    Catat Ulasan