RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Anzalna Akui Sudah Ada Kekasih

Posted: 07 Nov 2011 09:22 PM PST

Anzalna Nasir

PETALING JAYA: Tidak seperti kebanyakan selebriti lain yang sering berdolak-dalik mengenai hubungan cinta mereka, pelakon baru Nur Anzalna Nasir, 23, (Anzalna) sebaliknya tidak keberatan untuk mengakui dirinya sudah mempunyai kekasih.

Anzalna berkata dia tidak kisah untuk berterus-terang tentang cerita peribadinya termasuk soal cinta kepada khalayak kerana tidak mahu dianggap memperdayakan peminat.

"Saya tidak kisah jika orang tahu saya sudah berpunya atau sedang menjalin hubungan cinta. Lebih baik berterus-terang daripada berdolak-dalik kerana lambat-laun orang akan tahu juga cerita yang sebenar.

"Tiada apa yang rugi pun jika saya bercakap benar selagi ia tidak menjejaskan kerjaya seni saya," katanya.

Anzalna berkata, lelaki bernama Hanif Zaki, 23, itu sudah dikenalinya sejak mereka berusia 17 tahun. Bagaimanapun, hubungan yang bermula sebagai sahabat itu hanya menjadi semakin serius, kira-kira empat bulan yang lalu.

"Kalau diikutkan sudah lama saya kenal dengan dia (kekasih). Sejak kami berusia 17 tahun lagi kami sudah mengenali antara satu sama lain tetapi hanya kebelakangan ini saja kami bersedia untuk menjalin hubungan yang lebih serius," katanya.

Sementara itu, Anzalna berkata dia kini sedang sibuk di lokasi penggambaran filem sulungnya, Sepah The Movie di Johor Bahru, Johor sejak pertengahan bulan lalu.

Berkongsi pengalamannya membintangi filem komedi aksi itu, Anzalna mengakui sangat teruja kerana berpeluang untuk bekerjasama dengan kumpulan Sepah yang sangat diminatinya.

"Saya terima tawaran berlakon dalam filem ini sebab saya sangat minat pada Sepah. Mereka (Sepah), pelakon lain seperti Jehan Miskin dan pengarahnya, MP Roslin banyak memberikan bimbingan dan tunjuk ajar.

"Bukan saja saya tidak tertekan malah dalam kebanyakan babak yang melibatkan saya dan Sepah, pasti ia perlu dirakam dua atau tiga kali kerana saya tergelak besar dengan aksi dan mimik muka mereka," katanya yang memegang watak Ayu Sofia.

Selain filem terbitan PTV Films Production itu, Tasha juga bakal memasuki set penggambaran drama Gemersik Kalbu untuk slot Akasia (TV3) di samping Aqasha dan Ayu Raudhah, bermula minggu ini.

Rozita Che Wan Buka Butik Tudung

Posted: 07 Nov 2011 09:21 PM PST

Ally Iskandar dan Rozita Che Wan

KUALA LUMPUR: Aktres jelita Rozita Che Wan bakal membuka butik tudung bersama dua adiknya, pelakon Ayu Raudhah dan Rubytah iaitu isteri kepada pelawak Lan Pet Pet.

Kata Rozita, idea tersebut datang daripada adiknya, Ruby yang merupakan bekas pelajar fesyen di sebuah koleh swasta.

"Saya kini dalam proses untuk membuka sebuah butik menjual tudung yang dikongsi bersama dua orang adik saya Ayu dan Ruby.

"Idea untuk membuka perniagaan ini sebenarnya sudah lama tetapi kami mencari produk yang paling sesuai," katanya ketika ditemui selepas majlis Anugerah Skrin 2011, di sini, Jumaat lalu.

Kata Rozita, biarpun belum memulakan perniagaan tersebut secara rasmi, dia kini sudah mendapat banyak tempahan.

Lebih istimewa, kata Rozita kesemua rekaan tudung tersebut dibuat sendiri olehnya.

"Saya suka mereka tudung dengan fesyen terbaru, namun dari segi jahitan kami ada tukang jahit sendiri.

"Setakat ini dah ramai yang tempah secara dalam talian," katanya yang masih mencari tapak lokasi butik tersebut.

Dalam pada itu harga yang ditawarkan sekitar RM79 ke atas untuk setiap helai tudung.

Sementara itu, bercerita mengenai pengalamannya mengacarakan Anugerah Skrin 2011, Rozita berkata, dia puas hati selepas mendapat pujian dari pihak produksi program tersebut.

"Ini pengalaman saya jadi pengacara, Alhamdulillah semua berjalan lancar dan ramai yang puji.

"Kalau diberi peluang lagi, Insya-Allah saya akan mencubanya," ujarnya.

Nadia Nissa Tidak Tahu Arah Tuju Selepas Terima Anugerah

Posted: 07 Nov 2011 09:20 PM PST

Nadia Nissa ketika menerima anugerah Pelakon Pembantu Terbaik (Filem) di ASK 2011 pada Jumaat lalu.

KUALA LUMPUR: Pelakon Nadia Nissa memberitahu tidak tahu mengenai arah tujuannya dalam dunia lakonan selepas diumumkan sebagai pemenang bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Filem) pada Anugerah Skrin 2011 (ASK 2011) pada Jumaat.

Nadia yang baru sahaja selesai menjalani tempoh berpantang selepas bersalin berkata, dia berasa begitu kerana sebelum memenangi anugerah tersebut dia kurang menonjol sebagai pelakon selain jarang muncul dalam media massa.

"Saya selalu merasakan ramai orang belum mengenali siapa saya dan kemenangan ini belum menentukan masa depan saya dalam dunia lakonan.

"Sebab itu saya tidak begitu pasti apakah arah tujuan saya dalam dunia lakonan selepas ini," ujarnya yang ditemui pada sidang media pada Anugerah Skrin 2011 di sini.

Dalam pada itu, ibu muda kepada Omar Saiful Razman ini berkata, cintanya terhadap lakonan tidak pernah lekang walaupun tidak mendapat banyak tawaran.

Katanya, sebagai orang yang masih baru dalam industri perfileman, masih banyak perkara yang perlu dipelajari dan berharap dapat diberi peluang untuk membuktikan bakatnya sebagai pelakon.

"Saya berharap selepas memenangi anugerah orang akan lebih mengenali saya dan mendapat tawaran berlakon dengan watak-watak lebih mencabar," ujarnya.

Pernah membintangi filem Dukun, Karaoke dan Cun, Nadia memberitahu dia sedang menunggu filem terbarunya berjudul Bara Jiwa arahan Osman Ali yang dijangka ditayangkan pada tahun hadapan.

Sementara itu, bercakap mengenai kemenangannya pada malam itu, Nadia berkata, dia terkejut saat diumumkan sebagai pemenang dan menganggap kemenangan itu adalah hasil usaha gigih untuk menjadi seorang pelakon berkebolehan.

"Saya bersyukur dengan kemenangan itu kerana ia adalah filem pertama saya yang membawa watak mencabar sebagai seorang gadis terencat akal.

"Semasa melakukan penggambaran, pengarah filem, Abang Osman berpuas hati dengan lakonan saya dan kemenangan ini adalah rezeki anak," katanya.

Masih berehat daripada dunia lakonan kerana ingin memberikan tumpuan kepada bayi yang baru lahir, Nadia bagaimanapun optimis untuk terus aktif sebagai pelakon kerana cintanya terhadap bidang itu.

Edry Hormati Keputusan Anuar Zain

Posted: 07 Nov 2011 09:19 PM PST

Edry

PUTRAJAYA: Komposer lagu Sedetik Lebih, Edry Abdul Halim menghormati keputusan penyanyi lagu tersebut, Anuar Zain untuk tidak menyertai mana-mana pertandingan nyanyian biarpun lagu itu berjaya ke separuh akhir Anugerah Juara Lagu 26.

Kata Edry, dia faham situasi Anuar Zain dan akan menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada artis lain untuk membawakan lagu tersebut.

"KRU pernah melalui saat-saat seperti itu bila kami tidak mahu menyertai lagi mana-mana pertandingan nyanyian dan saya sangat faham situasi Anuar Zain dan menghormati keputusannya.

"Saya faham bukan kerana dia takut kalah tetapi itu adalah prinsipnya, lagi pula pertandingan itu adalah untuk lagu bukan penyanyinya," ujarnya yang ditemui baru-baru ini.

Bagaimanapun, kata Edry, Anuar telah meletakan lagu Sedetik Lebih itu ke satu tahap yang tinggi sehingga menyukarnya untuk mencari pengganti yang dapat menyanyikan lagu tersebut dengan baik.

"Oleh itu saya sedang mencari pengganti yang boleh menyanyikan lagu tersebut setanding atau lebih baik dari Anuar Zain.

"Buat masa ada beberapa nama penyanyi lelaki dan perempuan masih dalam pemerhatian saya," katanya yang tidak menolak nama penyanyi wanita popular Jaclyn Victor sebagai salah seorang yang bakal membawa lagu tersebut.

Ketika ditanya tentang harapnya terhadap beberapa lagu yang layak ke pertandingan separuh akhir Anugerah Juara Lagu 26, Edry berkata, dia tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk menang.

"Tahun lepas memang saya aktif membuat lagu untuk artis disebabkan itu juga ada beberapa lagu yang tercalon.

"Namun saya tidak meletakkan harapan yang tinggi, jika menang ia adalah satu bonus," katanya.

Fauzi Nawawi Lepas Rindu Berlakon Drama Purba

Posted: 07 Nov 2011 09:18 PM PST

Fauzi Nawawi

KUALA LUMPUR: Pelakon Fauzi Nawawi menganggap tawaran berlakon watak Teruna dalam teater Se-Merah Padi sebagai pengubat kerinduannya untuk berlakon drama purba seperti di awal kemunculannya.

Kata Fauzi, dia akan menggunakan kelebihannya bersilat dan melakonkan babak aksi di atas pentas teater tersebut.

"Saya terima tawaran ini bukan kerana bayaran tetapi kerinduan saya terhadap drama-drama purba.

"Awal 90-an dahulu saya muncul dengan beberapa drama purba tentang kepahlawanan, namun sekarang sudah tiada lagi drama-drama seperti itu," katanya kepada mStar Online baru-baru ini.

Bagaimanapun, kata Fauzi, dia berbesar hati dipilih melakonkan watak yang pernah dibawa oleh seniman Nordin Ahmad yang juga merupakan idolanya.

"Saya akan memberi yang terbaik untuk melakonkan watak Teruna walaupun saya tahu saya tidak sehebat Nordin Ahmad.

"Nordin Ahmad merupakan salah seorang idola saya dan sentiasa menjadikannya contoh bagi sesuatu karakter," tuturnya yang pakar dalam seni silat gayong.

Dalam pada itu, Fauzi turut teruja untuk bergandingan dengan pelakon hebat Zul Huzaimy dan Jue Aziz.

"Saya belum pernah bergandingan dengan Zul Huzaimy biarpun kami pernah tinggal serumah satu ketika dahulu.

"Tapi saya tahu dia seorang pelakon yang hebat begitu juga Jue Aziz, Insya-Allah kami dapat membina keserasian bersama," tambahnya.

Teater adaptasi dari filem arahan Seniman Agong Tan Sri P.Ramlee, Se-Merah Padi akan dipentaskan pada 22 hingga 31 Disember depan.

Antara artis lain yang turut menjayakan teater ini adalah Datuk Baharuddin Omar, Azizah Mahzan, Fazlina Datuk Ahmad Daud dan Baby Erin.

Justin Bieber Bakal Jalani Ujian DNA Buktikan Diri Tidak Bersalah

Posted: 07 Nov 2011 09:17 PM PST

Justin Bieber.

PENYANYI pop terkenal, Justin Bieber bakal melakukan ujian DNA bagi membuktikan dirinya bukan bapa kepada anak yang dilahirkan oleh Mariah Yeater empat bulan lalu.

Menurut laporan portal TMZ, Bieber bakal mengambil ujian itu selepas pulang ke Amerika Syarikat daripada lawatan kerjanya di Eropah selama dua minggu.

Terdahulu, Mariah yang juga seorang peminat fanatik penyanyi itu mendakwa Justin adalah bapa kepada bayi lelaki yang diberi nama Tristyn Anthony Markhouse Yeater.

Justin bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu dan menganggapnya sebagai tidak berasas.

Kim Kardashian Bersemuka Dengan Kris Humphries

Posted: 07 Nov 2011 09:16 PM PST

Kim Kardashian

BINTANG realiti, Kim Kardashian akhirnya terbang ke Minnesota untuk berjumpa dengan suaminya, Kris Humpries selepas menfailkan penceraian terhadap pemain bola keranjang itu.

Portal E!Online melaporkan, kunjungan Kim ke Minnesota adalah bagi membincangkan mengenai masalah rumah tangga yang mereka dihadapi.

Kim yang dilihat sedang bercakap telefon di luar kediaman Kris baru sahaja pulang ke Los Angeles pada Jumaat selepas berkunjung ke Australia bagi mempromosikan rangkaian tas tangan Kardashian Kollection di situ.

Kim turut dilaporkan telah membatalkan kemunculan terakhirnya di Australia bagi membolehkan dia kembali ke Amerika untuk bersama keluarga.

Dalam pada itu, Kris dikatakan enggan bercakap kepada media mengenai rumah tanggannya yang berantakan dan banyak menghabiskan masa di rumah bersama keluarga dan latihan bola keranjang.

"Dia kesedihan dengan apa yang berlaku dan tidak mahu memburukkan lagi keadaan," kata sumber terdekat Kris.

Bagaimana Barang Rampasan Disita Dan Disimpan

Posted: 07 Nov 2011 09:15 PM PST

Video cakera padat (VCD) cetak rompak yang dirampas oleh Bahagian Penguatkuasa KPDNKK.

KEDUDUKAN kompleks ini agak terpencil di kawasan perindustrian. Sekilas pandang, ia kelihatan seperti gudang-gudang atau kilang berdekatan.

Begitulah pandangan penulis sewaktu mengunjungi Kompleks Penyimpanan Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di satu lokasi yang dirahsiakan.

Kompleks yang mula beroperasi pada tahun 2004 itu bukan sesuatu yang baru kerana ia pernah diadakan tempat untuk sidang media berhubung barang rampasan oleh Bahagian Penguatkuasa KPDNKK.

Bagaimanapun menurut penyelia kompleks berkenaan, Mingguan mStar merupakan media pertama yang dibenarkan masuk ke dalam stor bersaiz gudang yang menyimpan pelbagai jenis barang rampasan itu.

Beliau yang tidak mahu identitinya didedahkan mempunyai pengalaman dalam bidang penguatkuasaan selama 30 tahun di pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.

Kompleks yang berkeluasan empat hektar ini mempunyai empat bahagian yang terdiri daripada tiga stor dan pejabat pentadbiran.

Kapasiti setiap stor bergantung pada saiz dan jenis barangan yang dirampas. Jika diamati, stor bersaiz gudang ini menyamai saiz sebuah pasar raya besar.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDNKK, Mohd Roslan Mahayudin berkata, kompleks tersebut merupakan tempat penyimpanan terbesar bagi barang yang dirampas oleh bahagian penguatkuasa di kementerian itu.

"Terdapat pelbagai jenis barang rampasan namun sebahagian besar adalah barangan tiruan dan cetak rompak iaitu antara 75 peratus sehingga 80 peratus.

"Ini termasuk beberapa mesin mencetak video cakera padat (VCD) dan cakera video digital (DVD) serta mesin menghasilkan toner bagi katrij pencetak, masing-masing untuk penghasilan produk cetak rompak dan tiruan.

"Bagaimanapun, kita turut mempunyai stor penyimpanan barang rampasan lain di cawangan KPDNKK seluruh negara," katanya kepada Mingguan mStar, baru-baru ini.

Salah satu stor mempunyai 17 rak gergasi setinggi lima aras yang memerlukan trak forklift untuk mengangkat muatan berat ke aras lebih tinggi.

Di satu sudut pula terdapat kawasan lapang yang menghimpunkan sebahagian besar barang rampasan diasingkan sementara untuk tujuan penyusunan.

Walaupun sekadar barang rampasan namun pengurusan penyimpanan dilakukan secara sistematik berikutan kesemuanya merupakan bahan bukti sesuatu kes.

Lebih muatan

Kompleks Penyimpanan Bahagian Penguatkuasa KPDNKK.

Setiap penyimpanan di dalam kotak akan dilengkapi dengan keterangan terperinci meliputi nombor siri kes, nombor siri laporan polis, tarikh dan masa rampasan, nama pegawai penyiasat, nama pegawai serbuan serta alamat tempat rampasan.

Setiap rak pula mempunyai papan tanda yang menyenaraikan nombor siri kes sebagai rujukan kepada pegawai bertugas berhubung kedudukan barang itu disimpan.

Penyimpanan secara sistematik itu bertujuan untuk memudahkan proses penyiasatan dan pendakwaan selain tidak mahu menjejaskan keadaan barang rampasan.

Bukan semua disimpan di dalam gudang kerana terdapat ruang lain yang menempatkan rampasan bersaiz besar seperti lori, treler dan mesin cetak rompak.

Tong-tong petrol dan diesel yang dirampas turut disimpan kompleks ini secara berasingan sebagai jaminan keselamatan kerana mengandungi bahan api.

Selain itu, kompleks ini dilengkapi sebuah bilik kebal dengan kawalan keselamatan begitu tinggi bagi menyimpan barang rampasan berharga termasuk wang tunai.

Difahamkan, kompleks ini pernah berhadapan dengan isu lebih muatan awal tahun ini berikutan rampasan besar-besaran oleh Bahagian Penguatkuasa KPDNKK.

Namun isunya bukan disebabkan oleh lebih muatan tetapi sebenarnya adalah lambakan barang rampasan terutama barangan tiruan dan cetak rompak.

Ini tidak termasuk lagi barangan berkenaan yang terus berleluasa dijual di pasaran berikutan masih ada permintaan di kalangan pengguna.

Bahagian Penguatkuasa KPDNKK pula tidak boleh melupuskan barang rampasan sewenang-wenangnya kerana masih dalam proses penyiasatan dan pendakwaan.

Terdapat kes yang memakan masa dan ada kes yang terbengkalai, semuanya berpunca daripada sikap segelintir pemilik jenama yang enggan memberi kerjasama.

Ironinya, Kompleks Penyimpanan Bahagian Penguatkuasa KPDNKK terus dilambakkan dengan barang rampasan yang menjadi persoalan mengenai bila isu barangan cetak rompak dan tiruan akan berakhir atau setidak-tidaknya berkurangan.

Basket of Brands Bantu Percepat Penguatkuasaan KPDNKK

Posted: 07 Nov 2011 09:14 PM PST

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDNKK Mohd Roslan Mahayudin (kanan) memeriksa kepingan video cakera padat (VCD) cetak rompak yang dirampas dalam satu operasi.

ANTARA kesukaran yang dihadapi oleh Bahagian Penguatkuasa di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) adalah meneruskan kes-kes rampasan barangan cetak rompak dan barangan tiruan.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana segelintir pemilik jenama atau pemilik cap dagangan enggan memberi kerjasama bagi membuat pengecaman dan pengesahan terhadap barangan yang dirampas.

"Jadi bagaimana kita hendak pastikan sama ada barangan tersebut adalah tiruan atau cetak rompak. Kita tidak boleh mendakwa begitu sahaja tanpa pengesahan mereka.

"Apa gunanya kita tangkap, kita rampas tetapi kes-kes itu 'terlepas'. Jika situasi ini berterusan maka isu barangan tiruan dan cetak rompak tidak akan selesai," katanya kepada Mingguan mStar, baru-baru ini.

Sebanyak 1,728 kes cetak rompak dicatatkan dengan rampasan bernilai RM30.42 juta dan 1,353 kes barangan tiruan dengan sitaan kira-kira RM14 juta pada tahun lalu.

Bagi tempoh dari Januari sehingga September tahun ini pula terdapat 457 kes cetak rompak dikesan melibatkan penyitaan barangan bernilai RM9.62 juta.

KPDNKK turut mencatatkan 1,015 kes barangan tiruan dengan nilai rampasan RM10.98 juta.

Beri keutamaan

Ismail Sabri berkata, satu mekanisme baru diperkenalkan iaitu Penyenaraian Pemilik Cap Dagangan Berdaftar atau lebih dikenali sebagai Basket of Brand (BOB).

"KPDNKK akan mendapat kerjasama daripada pemilik jenama dalam tempoh tujuh hari selepas rampasan dibuat oleh bahagian penguatkuasa.

"Jenama yang disenaraikan dalam BOB akan diberikan keutamaan dari segi penguatkuasaan secara proaktif.

"Setakat ini, kira-kira 74 jenama yang disenaraikan," katanya.

Beliau berkata, bukan bermakna jenama-jenama yang tidak tersenarai dalam BOB bebas ditiru atau dijual.

"KPDNKK masih melakukan penguatkuasaan namun terpulang kepada pemilik jenama yang tidak tersenarai untuk melakukan tindakan sivil.

"Saya percaya BOB membantu menyelesaikan kes-kes berkaitan dengan barangan rampasan agar dapat diselesaikan di mahkamah dengan segera.

"Selain itu, ia turut dapat melancarkan proses penguatkuasaan sekali gus mengurangkan lambakan barangan rampasan di stor penyimpanan," katanya.

Difahamkan, pemilik jenama di Hong Kong atau wakil mereka datang membuat pengecaman dalam tempoh dua jam selepas rampasan.

Beliau yang mengulas mengenai perkara itu berkata, KPDNKK bersikap fleksibel dan memadai dengan tempoh tujuh hari.

"Kita mahu komitmen yang lebih baik daripada mereka," katanya.

Kesedaran pengguna

Bagaimanapun, isu kerjasama daripada pemilik jenama bukan masalah tunggal kerana ia turut melibatkan kesedaran pengguna.

Ini kerana pengguna merupakan penyumbang terbesar kepada perniagaan barangan tiruan dan cetak rompak di negara ini.

"Bila ada peniaga yang menjualnya, sudah tentu terdapat permintaan di kalangan pengguna yang hanya mementingkan diri sendiri (kerana membelinya).

"Pengguna seharusnya menyedari hal ini dan sepatutnya bertindak memboikot barangan berkenaan dan hanya membeli barangan yang asli sahaja," katanya.

KPDNKK pada tahun lalu berjaya mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi 2010 iaitu pengurangan sebanyak 30 peratus bilangan premis yang menjual barangan tiruan dan cetak rompak.

Ismail Sabri berkata, pengurangan 35.4 peratus dicatatkan bagi bilangan premis yang menjual barangan itu daripada 460 premis kepada 297 premis berbanding tahun sebelumnya.

"Saya yakin pelaksanaan BOB turut membantu mencapai KPI tahun ini iaitu pengurangan sebanyak 50 peratus bagi bilangan premis yang menjual barangan tiruan dan cetak rompak," katanya.

Rampasan Hanya Satu Per Sepuluh Tugas Penguatkuasa

Posted: 07 Nov 2011 09:13 PM PST

Ribuan keping video cakera padat (VCD) yang dilonggokkan bagi tujuan pelupusan.

TUGAS Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bukan sekadar merampas barangan semata-mata.

Ketua Pengarahnya, Mohd Roslan Mahayuddin berkata, langkah seterusnya adalah membuka kes terhadap rampasan untuk proses penyiasatan dan pendakwaan.

"Ini kerana melakukan rampasan barangan (dalam operasi) diibaratkan sebagai hanya satu per sepuluh daripada tugas kita (Bahagian Penguatkuasa).

"Seperti kes cetak rompak dan tiruan, kita memerlukan kerjasama daripada pemilik jenama bagi membantu siasatan," katanya kepada Mingguan mStar, baru-baru ini.

Mohd Roslan bagaimanapun berkata, banyak kes terbengkalai berikutan pemilik jenama sebenar tidak dikenal pasti bagi barangan yang dirampas itu.

"Terdapat juga situasi di mana pemilik tidak mahu tampil memberi kerjasama apabila menyifatkannya tidak berbaloi kerana nilai rampasan yang kecil.

"Sikap tersebut membuatkan kita pula terpaksa menanggung (kesannya) kerana apa yang hendak dibuat dengan barangan rampasan," katanya.

Beliau menambah, secara logiknya, jika sesuatu kes itu tidak dibawa ke mahkamah maka barangan rampasan perlu dipulangkan kepada pemilik atau peniaga.

"Bagaimanapun, kita tidak akan bertindak sedemikian kerana langkah tersebut hanya menggalakkan lagi perniagaan barangan tiruan dan cetak rompak," katanya.

Sebelum ini kitaran proses penguatkuasaan akan terhenti sehingga menyebabkan terlalu banyak barang rampasan yang disimpan di stor.

Mekanisme adil

MOHD ROSLAN MAHAYUDIN

Mohd Roslan berkata, dianggarkan antara 30 sehingga 40 peratus daripada jumlah kes ditolak oleh mahkamah kerana tidak mempunyai bukti kukuh untuk pendakwaan.

"Bagi saya, kadar (peratusan) itu membimbangkan kerana perlu diingatkan bahawa kita merampas barangan daripada orang ramai seperti peniaga," katanya.

Peniaga pasti akan berkata: "Jika saya bersalah, dakwalah saya dengan segera." Dan perkara tersebut merupakan cabaran bagi Bahagian Penguatkuasa KPDNKK.

"Kebiasaannya, apabila kita selesai menyiasat satu-satu kes, laporan penuh akan diberikan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk proses pendakwaan," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, TPR yang menilai akan menolak untuk tindakan seterusnya sekiranya tiada pengesahan dan pengecaman daripada pemilik jenama.

"Kita diminta siasat, siasat dan siasat lagi. Ini menyebabkan tempoh kes berpanjangan dan barang rampasan terus disimpan di stor," katanya.

Sehubungan itu, pelaksanaan Penyenaraian Pemilik Cap Dagangan Berdaftar atau Basket of Brands (BOB) merupakan satu kaedah bagi melancarkan penguatkuasaan.

Mohd Roslan berkata, setakat ini KPDNKK mempunyai seramai 2,174 pegawai penguatkuasa di seluruh negara.

"Kita akan melihat kelancaran jentera penguatkuasaan di mana para pegawai tidak akan menghabiskan masa yang lama untuk menyelesaikan sesuatu kes.

"Pelaksanaan BOB dilihat sebagai satu mekanisme yang adil antara pemilik jenama dan Bahagian Penguatkuasa KPDNKK untuk membanteras aktiviti barangan cetak rompak dan tiruan tersebut daripada terus berleluasa di negara ini," katanya.

Aidiladha: Pembekal Lembu, Kambing Paling Sibuk

Posted: 07 Nov 2011 09:10 PM PST

Azzuddin bersama lembu-lembu di kandangnya yang terletak di Gombak.

MENJELANG Aidiladha, Azzuddin Abd Aziz, 44, menjadi orang paling sibuk di kandang lembu dan kambingnya.

Sebagai pembekal dua haiwan untuk ibadah korban dan aqiqah ini, persediaan dilakukan tiga hingga empat bulan lebih awal.

"Biasanya permintaan untuk lembu cuma 30 hingga 40 ekor sebulan, tapi musim raya meningkat ke 400 hingga 500 ekor.

"Menempah stok awal penting kerana harga lembu akan meningkat menjelang raya," kata Azzuddin kepada Mingguan mStar.

Azzuddin berkata, kebanyakan lembunya dibawa masuk dari Thailand menggunakan treler, manakala kambing diimport dari Australia menggunakan kapal terbang.

Sebaik tiba di kandang yang terletak di Gombak, haiwan-haiwan ini akan diberi ubat anti-stres sebelum diperiksa tahap kesihatan, diberi makan sehingga gemuk dan diasingkan mengikut saiz untuk dijual.

Berpengalaman membekal lembu dan kambing kepada individu, agensi kerajaan dan swasta selama kira-kira 10 tahun, lembu menjadi pilihan utama masyarakat Melayu untuk dijadikan haiwan korban.

"Orang India, Bangladesh dan Pakistan banyak pilih kambing dan orang Arab pilih biri-biri," katanya.

Jelasnya, keadaan di kandangnya akan sibuk dua-tiga hari menjelang Aidiladha dengan proses penghantaran lembu ke masjid-masjid dan lokasi tertentu.

Terdapat juga pelanggan yang datang untuk membeli lembu atau kambing untuk dikorbankan pada saat akhir.

Warga asing yang menetap di negara ini lebih gemar memilih kambing sebagai haiwan korban

Kemuncak kemeriahan Aidiladha di sini adalah pada pagi Aidiladha.

"Meriah sebab kami juga sediakan perkhidmatan menyembelih. Kebanyakan yang guna khidmat ini adalah warga asing kerana mereka tak ada tempat nak sembelih.

"Tahun ini dijangka 300 ekor kambing dan 30 ekor lembu akan disembelih di sini. Dagingnya sama ada diagihkan sendiri oleh pelanggan atau mereka minta kami agihkan kepada penduduk," katanya.

Jika hari biasa hanya lima pekerja tetap diperlukan, untuk Aidiladha pula dia terpaksa mengupah 40 pekerja tambahan.

Sebahagian daripada pekerja yang akan berkorban tenaga dan masa dengan melakukan kerja penyembelihan dan pengagihan daging korban

"Operasi ketika hari raya perlu pantas dan lancar. Selain sembelih, kerja-kerja seperti melapah, meracik dan membersihkan daging juga memerlukan tenaga kerja yang ramai," katanya.

Harga lembu bermula dari RM2,300 sehingga RM4,000 bergantung kepada berat.

Aidiladha peluang masyarakat Champa makan daging

MUHAMAD ABDULLAH

KESUSAHAN hidup masyarakat Champa di Kemboja menyebabkan ramai rakyat Malaysia beragama Islam terpanggil melakukan ibadah korban di sana.

Hal ini turut diakui Timbalan Pengerusi II Yayasan Al Ijabah, Muhamad Abdullah yang membuka peluang kepada masyarakat di sini berbuat demikian dengan bertindak sebagai wakil dan perantara sejak enam tahun lalu.

Faktor utama Kemboja menjadi pilihan berbanding negara miskin lain kerana masyarakat di sana, khususnya di Champa mempunyai budaya dan bahasa yang hampir sama dengan masyarakat Melayu negara ini.

"Menakjubkan di sana kita dapat merasakan hubungan persaudaraan yang erat dengan mereka (penduduk) walau tak pernah kenal antara satu sama lain.

"Ibadah korban telah menemukan kami dan ia sesuatu yang sangat indah," kata Muhamad kepada Mingguan mStar.

Muhamad berkata, majoriti masyarakat di sana hidup susah dan mencari rezeki dengan melakukan kerja-kerja kampung.

"Hari raya haji adalah satu-satunya peluang untuk mereka makan daging. Pada hari biasa mereka hanya makan ikan sungai yang ditangkap di Sungai Mekong," katanya.

Selepas lembu dikorbankan, penduduk kampung akan masak beramai-ramai untuk majlis kenduri

Menceritakan pengalaman menunaikan ibadah korban bersama saudara Islam di sana, selepas solat sunat Aidiladha lembu-lembu akan disembelih sebelum penduduk kampung bergotong-royong memasak untuk kenduri yang melibatkan seluruh penduduk kampung.

Kebiasaannya, daging korban akan dimasak gulai dan terdapat juga bahagian daging mentah yang diagih-agihkan.

Jika tahun lepas sebanyak 125 ekor lembu dikorbankan, tahun ini jumlahnya meningkat kepada 150 ekor. Setiap ekor lembu korban boleh dibahagikan sehingga tujuh bahagian.

"Sebanyak 60 kampung akan mendapat lembu korban dengan purata dua atau tiga ekor lembu untuk satu kampung.

"Dengan ini kita bukan sahaja membantu penduduk kampung, tapi dalam masa yang sama membantu penternak lembu di sana," katanya.

Penderitaan bangsa Melayu Champa berlaku sejak Regim Khmer Rough memerintah Kemboja di antara tahun 1975-1979.

Kejatuhan kerajaan Champa mengakibatkan kawasan yang terletak kira-kira 8 jam dari bandar Phnom Penh ini lumpuh dari segi ekonomi dan sosial.

Justeru, ibadah korban adalah peluang untuk umat Islam yang berkemampuan berkorban wang, tenaga dan masa untuk membantu golongan susah.

Nadi sanggup tinggalkan balerina

Posted: 07 Nov 2011 09:09 PM PST

JELITA...disunting KRU Studios membintangi Vikingdom.
JELITA...disunting KRU Studios membintangi Vikingdom.

MELANGKAH saja ke dewan sidang media bagi filem terbarunya, Vikingdom yang dijolok sebagai filem termahal arahan pengarah Malaysia, Yusry Abdul Halim, kelihatan senyuman terpancar pada wajahnya.

Bintang Hollywood itu, Linn Natassia Malthe atau senang dengan panggilan Nadi, memang manis orangnya, bersahaja dan senang didekati. Dia hadir di situ bersama beberapa pelakon lain yang turut diundang bertemu media tempatan.

  • Foto

    CEMAS...antara babak menarik filem Vikingdom yang menjalani penggambaran di Perak dan Selangor.

  • Foto

    CEMAS...antara babak menarik filem Vikingdom yang menjalani penggambaran di Perak dan Selangor.

  • Foto

  • Foto

    GANDINGAN...Nadi diapit (dari kiri) Foo, Dominic dan Craig.

  • Foto

    SOALAN DEMI SOALAN...Natassia (kiri) ketika bertemu pihak media tempatan di Putrajaya, baru-baru ini.

Nadi, 37, sebelum ini pernah mencipta nama di arena antarabangsa apabila membintangi filem seperti Disturbing Behavior, Lake Placid, Me, Myself & Irene, 40 Days and 40 Nights, Halloween, Elektra dan Dead or Alive.

Sewaktu diperkenalkan pihak produksi Vikingdom, ramai wakil media tempatan terkejut apabila diberitahu Nadi sebenarnya berdarah kacukan Sabah di sebelah ibu manakala ayahnya pula berasal dari Norway.


Sewaktu ditemu bual, Nadi bagaimanapun menjelaskan dia jarang dapat mengikut ibunya pulang ke Kota Kinabalu kerana kesibukan tugas.


"Sudah lama saya tidak ke Malaysia. Kali terakhir saya di sini, pada 2005. Waktu itu saya terikat dengan kontrak untuk menghasilkan iklan Pantene. Ibu saya pula, tahun lalu pulang ke Sabah. Kami ada ramai ahli keluarga di Malaysia," katanya.

Bercerita serba sedikit susur galur keluarganya, Nadi berkata ayahnya bertemu dengan ibunya di Sabah pada zaman muda mereka. Demi cinta, ibunya sanggup meninggalkan keluarga mereka di Sabah dengan mengahwini ayahnya dan seterusnya menetap di Norway.

Bagaimanapun, ibarat kata pepatah tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain. Sesekali jika ada peluang, keluarganya pasti akan pulang ke Sabah bertemu sanak saudara yang masih ada.

Walaupun berjaya mencipta nama di peringkat antarabangsa terutama menerusi filem box-office seperti aitu Elektra dan Dead Or Alive, Nadi tidak pernah meletakkan dirinya pada kelas yang tinggi.

Memulakan kerjaya seni sejak 1996, wanita setinggi 5 kaki 5 inci ini menjelaskan semuanya bermula selepas dia tidak sanggup lagi menjalani rutin hidup yang terlalu ketat sebagai penari balet atau balerina.

Nadi mula menari balet sejak usia lima tahun dan pernah menyertai beberapa kumpulan balet termasuk Royal Winnipeg Ballet, The Norwegian Opera House, Beijing Ballet selain di New York.

"Sewaktu menari di New York saya rasa tertekan untuk mengekalkan kemampuan sama dari dari sudut fizikal dan mental. Saya tak sanggup lagi memuntahkan makanan yang dimakan semata-mata bagi memastikan keadaan susuk tubuh saya sebanding dengan rakan penari lain. Bayangkan tubuh saya dulu pernah tinggal rangka dan nampak jelas urat pada kulit," katanya.

Walaupun tidak menggemarinya, perkara itu terpaksa juga dilakukan atas sokongan keluarga. Apatah lagi dalam produksi balet, semua penarinya mesti nampak cantik dan sempurna di pentas. Tiada seorang pun penari boleh nampak berbeza. Berat badan mesti dikekalkan seringan yang boleh supaya mudah diangkat apabila beraksi.

"Perkara itu bagi saya sebenarnya tidak sihat dan tidak bagus tapi sebagai penari balet, kami tidak ada pilihan lain dan perlu juga melakukan rutin terbabit. Disebabkan itu juga saya mengambil keputusan meninggalkan dunia tarian dan meneruskan niat asal menjadi seorang berlakon," katanya.

"Selepas meninggalkan dunia tarian barulah saya menyertai dunia lakonan secara aktif. Sejak dulu saya juga berminat terbabit dalam teater muzikal dan mendalami ilmu lakonan sewaktu di London," ujarnya.

Bercerita mengenai pembabitannya dalam filem arahan Yusry itu, kata Nadi dia sangat tertarik dengan skrip yang juga dihasilkan Yusry menyebabkan dia terus menerima tawaran membintangi Vikingdom.

"Selain itu saya sangat teruja apabila digabungkan dengan pelakon hebat seperti Dominic Purcell dan Jon Foo. Dalam filem ini saya memegang watak Brynna, pahlawan wanita yang cuba menyelamatkan rakan yang diperangkap penjahat. Menariknya dalam filem ini saya satu-satunya pelakon wanita," katanya yang berambut cantik.

Dalam Vikingdom, Nadi akan banyak bergandingan dengan Jon. Katanya, dia bertuah kerana dapat bergandingan dengan pelakon berdarah campuran British dan Singapura itu. Sebelum ini dia pernah berlakon dengan beberapa aktor yang handal dalam seni mempertahankan diri seperti Jackie Chan dan Jet Li.

"Dalam filem ini kami memang perlu beraksi lasak dan setiap pertarungan kami lakukan sendiri dan tidak menggunakan pelakon lagak ngeri (stunts).

Jadi saya perlu bersedia secara mental dan fizikal," katanya.

Berkongsi pengalamannya bekerja dengan produksi tempatan Nadi berkata, selain cuaca, dia tidak nampak sebarang perbezaannya bekerja dengan KRU Studios kerana setiap orang sangat komited dan bekerja bersungguh-sungguh.

"Saya suka menjalani penggambaran di Malaysia kerana cuacanya sangat sesuai dengan penampilan watak kami. Bayangkan dulu saya terpaksa berlakon dengan memakai bengkung dalam cuaca musim sejuk. Sudah tentu kesannya sangat dirasai. Berbeza dengan di Malaysia, cuaca di sini sekadar hujan dan panas, jadi apabila memakai bengkung, ia tidak memberikan masalah," katanya.


Sinopsis Vikingdom

KISAH filem bermula dengan kemunculan kapal Viking di Lindisfarne yang diketuai Thor untuk menawan tentera purba sebagai hamba mereka. Thor mesti dihapuskan dan hanya seorang wira yang memiliki kuasa kebal yang boleh menentangnya iaitu Eirick dari Jomberg.

Eirick seorang pemburu yang biasa dengan hidupan lasak. Berita serangan Thor disampaikan Frey kepada Eirick untuk menghalang Thor daripada berjumpa
dengan Horns of Odin dari Gate of Souls.

Frey juga meminta Eirick mengetuai angkatan tentera Jomsberg Viking untuk menentang Thor yang bersekutu dengan Trondelag Kings.

Eirick kemudian diiringi sahabat baiknya, Sven dan Yang iaitu hamba Cina berikrar sanggup mati demi Eirick. Pengembaraan mereka bermula dengan pencarian Horn of Odin dan kemudian menentang angkatan tentera Thor.

Filem ini dibintangi Dominic Purcell (Prison Break), Natassia Malthe (Dead Or Alive), Jon Foo (Tekken), Craig Fairbrass (Cliffhanger) & Conan Stevens (Game of Thrones).

Filem ini sudah menjalani penggambaran sejak 15 Oktober lalu di sekitar Lembah Klang dan Perak.

Antara lokasi menarik itu adalah Puncak Alam, Serdang, Bukit Jalil, Studio Filem Negara Malaysia, Gua Tempurung, Kellie's Castle.


PROFIL

Nama penuh: Linn Natassia Malthe
Panggilan: Nadi
Tarikh lahir: 19 Januari 1974
Usia: 37 Tahun
Asal: Oslo, Norway
Keturunan: Sabah (sebelah ibu) dan Norway (sebelah ayah)
Drama: Viper Trixie, Millennium New Leslie, First Wave Maid, Dark Angel, Seven Days, Trapped Marisa, Wedding Dress, Chris Isaak Show, Dirty Dancer, Call Me: The Rise and Fall of Heidi Fleiss Charisse, Bound By Lies, Dead & Deader, Dr Boyce, BloodRayne II: Deliverance Rayne, Alone in the Dark II, Turner
Filem: Disturbing Behavior, Lake Placid, Me, Myself & Irene, 40 Days and 40 Nights, Stark Raving Mad Stacie, Halloween, Elektra, Wish You Were Here Awake, Dead or Alive, In the Name of the King 2, Avarice, Vikingdom (terbaru)

Kenneth Yeang Bapa Hijau Negara

Posted: 07 Nov 2011 09:08 PM PST

KENNETH YEANG

MEMASUKI pejabat TR Hamzah dan Yeang, perkara pertama yang terlihat adalah satu bingkai gambar di dinding berukuran lima kaki menunjukkan beberapa gambar bangunan dengan ciri tersendiri hasil rekaan syarikat tersebut.

Salah satu bangunan di dalam gambar itu adalah Menara Mesiniaga yang dikenali dengan keunikannya malah rekaan tersebut turut memenangi beberapa anugerah seni bina tempatan dan antarabangsa.

Timbul rasa risau jika personaliti yang hendak ditemuramah adalah seorang yang tinggi diri dan sukar bekerjasama kerana pencapaiannya bukanlah sedikit malah beliau nampak serius dalam hampir setiap gambarnya.

Namun sebaik melangkah ke bilik pejabat dan mula berkomunikasi dengannya, ternyata arkitek dan penulis, Datuk Dr Kenneth Yeang bukanlah seperti yang digambarkan penulis sebelum itu.

Sememangnya dia seorang yang serius dalam menjalankan tanggungjawab sebagai arkitek kerana itu adalah kunci utama untuk berjaya dalam karier namun dari air muka dan percakapan, jauh sekali bezanya dengan tanggapan penulis.

Disuruh jadi doktor

Menerima pendidikan awal di Penang Free School, Pulau Pinang dan Cheltenham Boys College in Gloucestershire, United Kingdom, bapa Yeang mahukan beliau menjadi seorang doktor perubatan.

Bagaimanapun, Yeang yang sebenarnya suka kepada seni lukisan dan seni bina memberanikan diri memberitahu perkara tersebut kepada orang tuanya dan selepas mendapat restu dia meneruskan minat itu dengan mendapat kelayakan menjadi arkitek dari Architectural Association School di London.

Dari situ, Yeang terus mendaki tangga pencapaian dalam kerjaya sebagai seorang jurubina di atas nama cintanya terhadap seni rekaan dan seni binaan.

Malah beliau pernah menjadi pensyarah di beberapa institusi pengajian tinggi berprestij termasuklah Universiti Malaya dan University of Southern California selain 28 institusi lain sekaligus meluaskan pengalaman dan visinya dalam bidang seni bina.

Sejarah kejayaan Yeang di Malaysia pula bermula apabila beliau menerima pelawaan seorang lagi tokoh bidang binaan dan rakannya iaitu Tengku Datuk Robert Hamzah untuk menyertai firma binaan yang kini dikenali sebagai TR Hamzah dan Yeang.

Salah satu rekaan Yeang yang mendapat perhatian dan menjadi rujukan teknologi 'hijau' di Malaysia.

Bapa rekaan hijau

Sebelum fenomena hijau iaitu usaha yang dijalankan pelbagai pihak untuk mengekalkan ekosistem semulajadi bumi meletus di negara ini beberapa tahun lepas, Yeang, 63, sebenarnya merupakan individu yang terlebih dahulu menapakkan kakinya dalam usaha murni tersebut.

Agenda Yeang dalam menerapkan kepentingan alam sekitar yang kondusif bermula apabila menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang rekaan dan perancangan ekologi pada awal tahun 1970an.

Beliau merupakan perintis dalam rekaan dan perancangan ekologi dengan beberapa hasil penyelidikan dan kerja rekaan dan kini dianggap sebagai 'guru' dalam rekaan berteraskan teknologi hijau oleh kebanyakan jurubina yang lain.

"Teknologi hijau sememangnya begitu popular pada masa ini dan ia dilihat akan kekal dan akan menjadi salah satu perkara yang terpenting dalam bidang seni bina," kata Yeang.

Salah satu rekaan terbaru syarikatnya merupakan contoh terbaik menunjukkan perjuangannya dalam kepentingan kehijauan alam sekitar adalah banggunan Pejabat Teknikal DiGi di Kuala Lumpur yang dibina pada tahun 2010.

Kemuncaknya, beliau berjaya merangkul Anugerah Merdeka 2011 dalam Kategori Alam Sekitar di atas sumbangan dalam pembangunan reka bentuk kaedah bagi rekaan dan perancangan ekologi baru-baru ini.

Prinsip dan misi

Ditanya mengenai bidang seni bina yang kini dilihat sebagai bidang elit popular dan dikatakan memberi pulangan lumayan, Yeang tidak menafikan bahawa sememangnya terdapat persepsi sebegitu di kalangan masyarakat terutamanya orang muda.

"Namun masyarakat terutamanya mereka yang ingin menceburi bidang seni bina seharusnya tahu bahawa bidang ini adalah bidang penuh cabaran dan memerlukan minat mendalam.

"Saya suka menggembirakan orang dan cara saya membuat begitu adalah dengan membina bangunan mahupun rumah yang menyenangkan penghuninya.

"Misi saya ketika ini adalah menyahut cabaran untuk menjadikan bumi lebih hijau dan selesa melalui rekaan mesra alam dari kami," katanya mengakhiri temuramah pada petang itu.

Tagih nyawa

Posted: 07 Nov 2011 09:02 PM PST

LARANGAN...papan tanda amaran diletakkan di kawasan Pantai Kuala Muda.
LARANGAN...papan tanda amaran diletakkan di kawasan Pantai Kuala Muda.

KEPALA BATAS: Pantai Kuala Muda, Penaga, di sini, kini diberi gelaran Pantai Puaka kerana sentiasa dahagakan nyawa, sekurang-kurangnya seorang setiap tahun pasti menjadi korban di kawasan itu.

Penduduk mengesahkan kejadian korban nyawa itu berlaku setiap tahun dan ada mendakwa ia berpunca daripada kesilapan nenek moyang yang membuat perjanjian kerana mempercayai perkara karut.


Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Bakau Tua, Ramli Mahat, 60, berkata, kejadian korban di laut itu saban tahun berlaku di kampung itu.

"Setiap tahun ada saja kejadian lemas di sini dan terbaru, Oktober lalu apabila dua pelajar lemas," katanya.


Menurutnya, kawasan laut di situ bagaikan sentiasa dahagakan nyawa sekurang-kurangnya seorang setiap tahun.


"Bukan percaya perkara mengarut, tetapi hakikatnya memang ia berlaku," katanya ketika ditemui, semalam.

Ramli berkata, papan tanda amaran mandi sudah dipasang, tetapi kawasan pantai di situ umpama kolam renang kepada penduduk terutama kanak-kanak.


"Budak-budak, jika dilarang bukan mahu mendengar kata, takutnya hanya sekejap," katanya.

Kampung nelayan berusia ratusan tahun itu dihuni kira-kira 5,000 penduduk yang menempatkan hampir 1,000 rumah.


Penduduk, Halimah Ismail, 65, yang menetap di kampung itu sepanjang hayatnya percaya dengan dakwaan sesetengah pihak mengatakan laut Kuala Muda berpuaka kerana sejak kecil, setiap tahun dia mendengar berita kematian di laut.


"Kes mati lemas sudah puluhan kali saya dengar, belum lagi kes nelayan hilang di laut atau mati mengejut di dalam bot ketika keluar menangkap ikan," katanya.


Menurutnya, dia bimbang memikirkan nyawa siapa pula selepas ini yang akan menjadi korban laut itu.


"Kebanyakan mangsa korban laut ialah penduduk setempat tidak kira usia," katanya.


Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, kejadian di kawasan perkampungan nelayan itu ada kaitan dengan perkara tahyul dipercayai berpunca daripada nenek moyang mereka.


Katanya, pada zaman 30-an dulu, dia ada menyaksikan satu upacara seperti memberi makan kepada 'penunggu' laut.


"Orang kampung menyembelih kerbau dan kepala haiwan itu diletakkan di atas sebuah rakit berserta pulut kuning dan bertih jagung sebelum rakit dihanyutkan ke tengah laut," katanya.


Namun, dakwanya, amalan itu sudah dihentikan kerana perbuatan itu syirik dan sejak itu ramai percaya laut yang dahagakan korban, memilih nyawa manusia sebagai gantinya.


"Ada segelintir penduduk kampung cuba mengembalikan kepercayaan itu namun ditentang banyak pihak," katanya.


Sementara itu, Penolong Pengarah (Bahagian Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Mohd Razam Taja Rahim berkata, berdasarkan rekod Balai Bomba Kuala Muda, setiap tahun dari 2005 hingga 2010, ada satu kes lemas berlaku di Pantai Kuala Muda.


"Tahun ini, dua kes lemas dicatatkan membabitkan tiga kematian iaitu seorang mangsa pada Januari dan dua lagi bulan lalu.


"Setiap tahun kami menerima aduan kes lemas dan orang hilang di laut itu," katanya.

Gaya gila-gila Sarah

Posted: 07 Nov 2011 09:01 PM PST

SENI CAKERA...topi dipakai Sarah ciptaan Philip Treacy begitu menonjol ketika dia menghadiri majlis makan tengah hari di Melbourne.
SENI CAKERA...topi dipakai Sarah ciptaan Philip Treacy begitu menonjol ketika dia menghadiri majlis makan tengah hari di Melbourne.

DIA memang dikenali ramai kerana gemar memilih fesyen aneh ketika muncul dalam siri popular, Sex And The City, tetapi tidak ramai menyangka bahawa Sarah Jessica Parker benar-benar menggemari gaya seperti itu.

Ketika aktres itu tiba di majlis makan tengah hari Kelab Crown Oaks di Crown Palladium, Melbourne baru-baru ini, barangkali tiada sesiapa pun gagal menoleh melihat kemunculannya.

  • Foto

  • Foto

    BUKAN KALI PERTAMA... Sarah memang dikenali gemar memakai topi rekaan Treacy, seperti dibuktikan di London pada 2008 dan tahun lalu.

Mengenakan topi rekaan Philip Treacy, Sarah kelihatan sangat berbeza dan mudah dikenali berbanding tetamu lain.

Sarah, 46, memang penggemar fesyen rekaan pereka Ireland itu.


Memakai pakaian ketat rekaan Chanel, ibu kepada tiga anak itu kelihatan menawan dengan pemilihannya - sehinggalah apabila topi di kepalanya dilihat.


Topi hitam berputar itu lebih kelihatan seperti cakera satelit berbanding penghias kepala dan ia jelas me-nyukarkan Sarah melihat kepada penonton ketika dia berada di atas pentas.

Pada satu ketika, bintang Failure To Launch itu mengangkat tangannya agak tinggi - barangkali untuk melegakan penonton yang bimbang dengan kedudukan topi itu.

Bagaimanapun, pemerhati berkata, Sarah ternyata tidak menghampakan kira-kira 1,500 hadirin - majoritinya wanita - yang teruja menanti kemunculannya.

Selain menanti ucapan Sarah, mereka juga tidak sabar-sabar mahu melihat bagaimana penampilan aktres itu di majlis berkenaan.

Sarah berada di Australia untuk mempromosi filem terbarunya, I Don't Know How She Does It, selain menjadi tetamu istimewa Oaks Day - hari ketika karnival lumba kuda di Melbourne.

Menurut Sarah, dia berharap tidak menghampakan peminat yang selama ini memberikan sokongan dan layanan baik kepadanya.

Sementara itu, pereka topi terkemuka - Treacy - berkata, dia menghabiskan masa lebih 200 jam untuk mengadun sutera dan gentian bagi menyiapkan topi berkenaan.
"Fesyen bukan sekadar penampilan, tetapi ia juga mempunyai unsur suspens dan kejutan.

"Justeru, jangan berasa aneh jika Sarah akan mengejutkan orang ramai, terutama apabila dia sendiri adalah ikon fesyen yang hebat," katanya.

Pada Mei tahun lalu, Sarah memakai topi hitam berjaring ketika muncul untuk tayangan perdana filem Sex And The City 2.

Pada 2008 pula, dia memakai rekaan berwarna hijau untuk ketika menyertai peminat menyaksikan tayangan perdana filem pertama siri komedi berkenaan.
Berbeza pada tahun ini.

Ketika menghadiri tayangan perdana Sex And The City tebaru di Melbourne, Sarah memilih untuk meninggalkan topinya di bilik hotel dan membiarkan peminat melihat bagaimana keadaan rambutnya.

Disesuaikan dengan baju pelbagai warna dan kasut tumit tinggi putih serta rantai manik, kemunculan Sarah mudah mempesona orang ramai.

Kata Sarah, kehidupannya di luar layar lebih kurang sama seperti yang dapat dilihat pada watak Kate Reddy dalam filem berkenaan.

"Saya selalu meninggalkan rumah dengan kasut bilik tidur atau comot makanan pada badan tanpa disedari.

"Pada hari tertentu, rumah saya seperti lokasi kejadian jenayah," katanya.

Sistem As-Sidq diiktiraf syariah

Posted: 07 Nov 2011 09:00 PM PST

DIIKTIRAF...Halim (kanan) bersama Azahari menunjukkan anugerah dirangkul produk As-Sidq.
DIIKTIRAF...Halim (kanan) bersama Azahari menunjukkan anugerah dirangkul produk As-Sidq.

IDOTTV Sdn Bhd, anak syarikat Kumpulan Sedania yang menjadi penyedia aplikasi dan rumusan kandungan yakin semua institusi kewangan Islam di seluruh negara akan menggunakan sistem As-Sidq menjelang 2014, sekali gus menjadi yang pertama mengetengahkan 'airtime' atau masa berbual rangkaian telekomunikasi sebagai komoditi.

Biasanya, perjanjian kewangan disokong komoditi yang sudah didagangkan sebagai jaminan keselamatan termasuk hartanah dan nilai mata wang.


Pengarah Produknya, Halim M Dzin berkata, As-Sidq adalah sistem perdagangan diiktiraf syariah yang menjadi platform pemudah pelbagai pihak untuk menjalankan pembiayaan peribadi dilengkapi dengan sistem yang dibangunkan IDOTTV.

Katanya, setakat ini bank yang menggunakan produk As-Sidq adalah RHB Islamic serta Affin Islamic dan pihaknya akan meluaskannya ke semua bank Islamik di seluruh Malaysia.


"Menjelang akhir tahun kami akan menjalin kerjasama dengan Malaysia Building Society Bhd (MBSB) dan mereka akan menawarkan produk As-Sidq kepada orang ramai yang ingin mendapatkan pembiayaan peribadi. Manakala tahun depan pula, Al-Rajhi Bank, Maybank Islamic, Public Islamic dan CIMB Islamic akan mempunyai produk As-Sidq berikutan perbincangan yang sudah kami adakan.


"As-Sidq adalah produk unik bagi segmen perbankan Islam dan paling penting ia berlandaskan syariah serta diiktiraf Majlis Syariah Antarabangsa Isra, AAOFA Standard No 30 dan Bank Negara Malaysia. Malah dengan cogan kata kami 'Pinjam Tanpa Was-Was', kami mahu masyarakat Islam mendapatkan pembiayaan yang betul-betul mengikut syariah," katanya kepada Bisnes Metro.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasinya, El Hadj Azahari berkata, menerusi produk As-Sidq orang ramai boleh mendapatkan pembiayaan dengan lebih mudah, cepat dan tiada kos tersembunyi kepada peminjam selain sistem operasi yang lebih sistematik.


Beliau berkata, As-Sidq akan diperluaskan di seluruh Malaysia terlebih dulu sebelum memberi tumpuan untuk menembusi pasaran antarabangsa memandangkan sudah mendapat permintaan.

IDOTTV juga akan memperkenalkan segmen baru di bawah produk As-Sidq pada 2012 selain pembiayaan peribadi iaitu kad kredit As-Sidq dan simpanan tetap As-Sidq.

Kedua-dua pihak perlu saling mengingati

Posted: 07 Nov 2011 08:58 PM PST

KASIH...kasih sayang tidak mengenal perbezaan agama. Keluarga Muhammad Farhan merestui dan hadir ke majlis perkahwinannya.
KASIH...kasih sayang tidak mengenal perbezaan agama. Keluarga Muhammad Farhan merestui dan hadir ke majlis perkahwinannya.
JODOH...perkenalan sejak zaman persekolahan membawa Muhammad Farhan dan Siti Nurashikin ke alam perkahwinan.
JODOH...perkenalan sejak zaman persekolahan membawa Muhammad Farhan dan Siti Nurashikin ke alam perkahwinan.

SESUNGGUHNYA Islam itu mudah, sederhana dan tiada paksaan kerana ajarannya mengandungi hikmah yang sangat besar untuk dinikmati oleh umatnya.

Islam memiliki sifat dasar iaitu kesempurnaan, penuh nikmat, diredai dan sesuai dengan fitrah. Ia mampu menjadikan pengikut dan penganutnya berasa tenang, selamat dan bahagia dalam menjalani kehidupan ini walau apa jua cabaran yang mendatang.

Keindahan Islam itu juga dilihat tiada tolok bandingnya terutama bagi saudara baru atau mualaf yang baru merasai perbezaan sebelum dan selepas bergelar seorang Muslim.

Kepuasan dan ketenangan jiwa yang diakui diperoleh selepas menganut agama Islam memberi seribu satu pengalaman berbeza buat mereka.


Terdapat banyak faktor penghijrahan seseorang itu antaranya secara suka-suka, atas kesedaran diri sendiri atau semata-mata kerana cinta dan mahu mendirikan rumah tangga.


Namun, sebagai manusia biasa, ada antara saudara baru ini yang kadang-kadang tewas apabila terpesong daripada akidah dan kembali ke jalan lama selepas tidak dapat menerima cabaran antaranya halangan keluarga.

Bagaimanapun, tidak dinafikan ada juga antara mereka yang berjaya melaluinya sehingga menjadi Muslim hebat.

Kita biasa mendengar seorang lelaki Muslim mengahwini wanita mualaf dan jika difikirkan, tanggungjawab memimpin keluarga menjadi lebih mudah, tetapi bagaimana jika sebaliknya serta perkahwinan pula dilanda badai?

Menyentuh hal ini, cuba anda, sebagai seorang wanita membayangkan mengahwini seorang saudara baru atas dasar suka sama suka dan saling mencintai.

Bagaimanapun, mahligai yang dibina itu secara perlahan-lahan mula menunjukkan tanda berantakan akibat sikap suami yang semakin hari semakin lalai menjalani perintah Allah. Beban yang harus digalas tentunya payah diungkapkan dengan kata-kata.

Umum tahu lelaki atau bapa adalah ketua setiap keluarga. Berdasarkan firman Allah dalam surah an-Nisa ayat 34 bermaksud: "Lelaki adalah pemimpin kepada wanita. Oleh kerana itu Allah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (perempuan)."

Selaku pemimpin, pentadbir, penguasa dan pelindung rumah tangga, suami wajib memastikan hal ehwal rumah tangga berjalan lancar.

Cabaran seorang isteri yang bersuamikan saudara baru amat besar kerana dia perlu memastikan dan membimbing suaminya mendalami ilmu agama dengan lebih terperinci serta sempurna supaya menjadi hamba Allah yang sejati.

Ketua Unit Kebajikan dan Hal Ehwal Sosial, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Suariza Hidayah Muhammad, berkata isteri sebegini sering berada dalam keadaan tertekan dan serba salah kerana menghormati peranan suami sebagai ketua keluarga.

"Insan bernama lelaki adalah ketua dan mesti melindungi seorang wanita. Apabila dia bergelar suami, tugasnya menjadi lebih berat kerana perlu menjadi ketua keluarga.

"Sekiranya suami itu saudara baru, tanggungjawab yang dipikul dirinya bertambah berat sebab perlu mengetuai dan mendidik sebuah keluarga.

"Justeru, dia perlu benar-benar mengetahui dan mendalami agama Islam sebaik-baiknya, tetapi jika dirinya terpesong sehingga satu tahap memilih kembali ke agama asal, satu masalah serius pasti berlaku dan insan yang berada dalam dilema adalah si isteri.

"Lelaki terkenal dengan keegoannya dan sukar menerima teguran isteri yang mahu dirinya menuju ke arah kebaikan. Bagi sesetengah mereka, kuasa yang dimiliki tidak melayakkan isteri itu untuk menegurnya.

"Isteri pula serba salah dan takut jika dianggap menderhaka kepada suami jika berbuat demikian. Namun, mahu atau tidak mahu, dia perlu berbincang dan memberi nasihat kepada suami agar cepat kembali ke pangkal jalan dan bertaubat.

"Hal ini bukan saja terjadi kepada wanita yang bersuamikan mualaf, tetapi juga sebaliknya. Lantaran kes seperti ini, sebuah perkahwinan itu mungkin diakhiri dengan perceraian. Lebih buruk lagi apabila jika mereka mempunyai anak yang di kemudian hari menjadi mangsa kepada permasalahan ini," katanya.

Katanya, masalah ini dilihat kerap berlaku kepada sebuah perkahwinan apabila seorang daripada mereka memeluk Islam atas faktor cinta dan semata-mata mahu berkahwin.

Perlu diketahui penghijrahan seorang saudara baru daripada agama asal kepada Islam yang hanya berpaksikan cinta terhadap pasangannya tidak cukup untuk menjadikannya Muslim sejati kerana ia perlu disusuli dengan proses pembelajaran dan mendalami Islam secara berterusan.

Dalami Islam dengan secukupnya untuk bergelar seorang mukmin dan hamba Allah yang dikasihi serta disayangi. Bagi lelaki, hanya selepas itu barulah mereka boleh menjadi ketua yang baik dengan adanya asas kukuh.

Menurut Pegawai Dakwah dan Penyelidikan Perkim, Muhammad Farhan Tee Abdullah, perkara sedemikian tidak dinafikan memang berlaku dan kini masih berada di tahap membimbangkan.

"Ada suami yang bagus dan ada juga yang bermasalah sehingga mahu murtad.
Kebanyakan kes seperti ini terjadi kepada saudara baru yang memeluk Islam atas dasar cinta dan mendirikan rumah tangga.

"Secara jujurnya, seseorang yang memeluk Islam kerana perasaan cinta ini niatnya sudah lain dan sukar menerima perubahan jika dia tidak dididik dan mendapatkan pendidikan ilmu agama Islam secara terus-menerus.

"Sebagai seorang lelaki dan suami, dia mesti faham tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga yang wajib membimbing isteri dan anak. Namun, apabila timbul masalah sebegini, dengan hak dan kuasa yang ada di tangannya, amat sulit untuk dia menerima teguran atau mengambil berat kata-kata isteri. Malah, mungkin hal lain seperti penderaan pula yang akan berlaku.

"Selain itu, antara faktor suami mudah terpesong adalah kerana tidak mengikuti kelas agama dengan kerap. Sekiranya suami lupa atau terleka sekejap, isteri sepatutnya mengi�ngatkan dan mengajak suami ke kelas. Jika hal sebaliknya yang berlaku, pincanglah institusi kekeluargaan itu.

"Kesimpulannya, kedua-dua pihak mesti bekerjasama, memahami dan saling mengingati antara satu sama lain," katanya yang juga seorang mualaf selepas memeluk Islam kira-kira enam tahun lalu ketika usianya baru menjangkau 20 tahun.

Berkongsi cerita mengenai pengalaman bergelar isteri kepada seorang mualaf, Siti Nurashikin Ramli, 26, iaitu isteri kepada Muhammad Farhan, bersyukur masalah sedemikian tidak berlaku dalam rumah tangganya.

Dia berharap, perkahwinannya akan kekal buat selama-lamanya dan sentiasa memanjatkan doa untuk tujuan itu.

Siti Nurashikin juga rasa bertuah kerana mempunyai seorang suami yang memeluk Islam atas faktor kesedaran dan cintanya terhadap agama Allah bukannya semata-mata kerana mahu mendirikan rumah tangga.

"Saya mengenalinya sejak zaman persekolahan dan ketika itu dia belum memeluk Islam, tetapi saya tahu dia memang berminat. Setakat ini, tiada masalah membabitkan masalah seperti itu dalam perkahwinan kami.

"Malah, saya menjadi semakin rendah diri kerana berasakan ilmu agama yang dimiliki suami lebih tinggi.

"Bagaimanapun, jika saya berada di tempat isteri yang mengalami masalah sebegini, saya akan berusaha sedaya mungkin membantu suami dengan alternatif sedia ada seperti menasihati dan pergi ke kelas agama bersama-sama selain sentiasa bersabar dan yakin dengan kuasa Allah," katanya yang bernikah pada 8 Oktober lalu.

Muhammad Farhan mencelah, dia memeluk Islam atas dasar kesedaran diri sendiri dan konsep ketuhanan. Dia mengakui pelbagai persoalan timbul mengenai agama asalnya dan selepas mendalami Islam, ia membuatkan dia yakin Islamlah agama yang benar.


Kelab jodoh bantu saudara baru

Mengahwini Siti Nurashikin berlandaskan perasaan cinta amat dihargai dan cerita cinta mereka cukup menarik kerana sesungguhnya hati Siti Nurashikin sukar ditawan gara-gara pernah dikecewakan lelaki sebelum ini.

Sementara itu, Suariza menambah, di Perkim, mereka sentiasa menyediakan perkhidmatan, bantuan kaunseling dan kelas agama untuk dihadiri setiap orang termasuk golongan mualaf selama tujuh hari seminggu.

Selain itu, sejajar dengan matlamatnya sebagai sebuah pertubuhan yang memberi bantuan dan menjalankan dakwah Islamiah kepada orang Islam dan bukan Islam dengan cara positif serta berkesan, Perkim turut bertindak mewujudkan sebuah kelab jodoh dan melaksanakan satu program dikenali sebagai program Tautan Kasih Saudara Muslim.

Kelab jodoh Perkim ini ditubuhkan bagi menolong saudara baru dan Muslim lain yang berhasrat mendirikan rumah tangga dengan calon yang sesuai dan layak, sekufu dan sefikrah. Antara ciri-ciri yang menjadi impian mereka adalah agama, kecantikan, harta dan kekayaan.

"Bagi saya, tidak ada salahnya membantu mereka untuk bertemu jodoh dengan yang baik-baik dan diharapkan perkenalan mereka akan berterusan sehingga ke tahap perkahwinan. Setakat ini, sambutan yang diterima menggalakkan dan ramai juga mualaf yang berminat dan mendaftar.

"Program Tautan Kasih itu pula adalah satu kaedah menghimpunkan ahli kelab mencari jodoh Perkim untuk beramah mesra di samping merapatkan silaturahim, sekali gus mengenali dengan lebih rapat sesama mereka.

"Ia juga sedikit sebanyak memberi kesan positif kepada mereka dalam aktiviti taaruf berkumpulan, mengenali pasangan serta cara hidup pasangan," katanya.

Katanya, melangsungkan ijab dan kabul atau perkahwinan adalah sunnah Rasulullah. Setiap pasangan yang mahu dan sudah bernikah mesti faham tujuan sebenar pernikahannya itu demi mendapat keredaan Ilahi.

Selepas itu, hasil daripada perkahwinan adalah untuk mewujudkan keluarga yang sakinah dan meneruskan keturunan dengan memperoleh anak soleh dan solehah.

Harus disedari sebuah keluarga yang dibentuk adalah wadah atau tempat untuk melakukan proses perubahan, baik untuk diri sendiri, keluarga mahupun masyarakat.

Cinta dan kasih sayang pula adalah penghias utama dalam sesebuah perkahwinan mithali. Jaminan kebahagiaan dalam sebuah keluarga sebenarnya berputik daripada cinta yang mendalam antara suami isteri yang berpaksikan Islam.

Cinta yang murni ini seterusnya melahirkan anak yang soleh dan solehah yang boleh mendoakan kesejahteraan ibu bapa mereka apabila sudah tiada di dunia nanti.

Justeru, hubungan kasih sayang antara ibu bapa dan anak perlu dijaga dan dipupuk agar setiap Baitul Muslim atau keluarga Islam dihiasi dengan kesyahduan cinta yang segar dan kasih yang mengasyikkan.

Kasih sayang juga perlu sentiasa dicari dan dibina bukannya ditunggu atau dibiarkan kerana fitrah manusia sentiasa dahagakan kasih sayang.

Ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah ar-Rum ayat-30 yang bermaksud: "Fitrah Tuhan yang diciptakan manusia ke atasnya, tiada pertukaran lagi bagi ciptaan Tuhan itu. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahui."

Kaki ‘gajah’ dipotong tumbuh semula

Posted: 07 Nov 2011 08:53 PM PST

PENYAKIT LUAR BIASA...jangkitan kuman menyebabkan kaki Mandy membesar melampau.
PENYAKIT LUAR BIASA...jangkitan kuman menyebabkan kaki Mandy membesar melampau.
SERBA SUKAR...Mandy  menggunakan kerusi roda.
SERBA SUKAR...Mandy menggunakan kerusi roda.

LONDON: Seorang wanita yang dipotong satu daripada kakinya kerana membesar sehingga mencapai berat lebih 31.5 kilogram kini cemas apabila organ itu kembali tumbuh dengan pantas.

Mandy Sellars dari Accrington, Lancashire, menghidap penyakit yang jarang berlaku menyebabkan kedua-dua kakinya membesar melampau, manakala tubuhnya kekal seperti biasa.


Pemeriksaan doktor sebelum itu mendapati, kaki kiri Mandy, 36, dijangkiti kuman dan boleh mengancam nyawanya jika tidak dibuang.

Bagaimanapun, 22 bulan selepas menjalani pembedahan itu, baki kaki kirinya mula tumbuh dan membengkak.


Kata Mandy, dia memang berharap pembedahan membuang sebahagian daripada kaki kiri itu akan membolehkan keadaannya stabil.


"Tetapi hati saya berkata, ia akan kembali semula," katanya.

Mandy berkata, dia mula menghadapi masalah sama "hampir serta-merta" dan ia menyukarkannya memakai kaki palsu.


Tidak lama kemudian, kata Mandy, kakinya menjadi terlalu besar dan berat sehingga ia hampir-hampir menyebabkan kaki palsunya pecah.

Kini kaki Mandy terus membesar dengan berat hampir 32 kilogram dan ukur lilit satu meter.


Bekas sukarelawan pertubuhan kebajikan haiwan itu berharap masalah itu dapat diatasi segera.


Sementara menunggu keadaannya pulih, Mandy berjuang untuk sentiasa berfikiran positif dan meneruskan hidupnya seperti biasa.


Penyakit dialami Mandy agak sama dengan sindrom Proteus yang menjangkiti Man Joseph Merrick sehingga dia digelar Lelaki Gajah.


Kuman Proteus boleh menyebabkan anggota badan manusia membesar.


Dianggarkan hanya ada kira-kira 120 orang di seluruh dunia mengalami masalah dihadapi Mandy.

Siswazah berkemahiran jadi pilihan

Posted: 07 Nov 2011 08:46 PM PST

MAHUKAN HAK...meskipun pelabur berhak menentukan siapa pilihan mereka namun, tetap tidak berhak membuat penilaian berdasarkan pemerhatian semata-mata hingga menyebabkan ada golongan teraniaya.
MAHUKAN HAK...meskipun pelabur berhak menentukan siapa pilihan mereka namun, tetap tidak berhak membuat penilaian berdasarkan pemerhatian semata-mata hingga menyebabkan ada golongan teraniaya.

INSTITUSI pengajian tinggi di Amerika Syarikat (AS) bagaikan menerima tamparan hebat apabila segelintir pihak industri menganggap siswazah peringkat tinggi yang dilahirkan hanya akan menyumbang kepada pembaziran dan pengangguran.

Biarpun kebiasaannya, graduan dianggap sebagai aset, bagi pelabur mereka hanya bernilai apabila mampu menyumbang sesuatu untuk negara atau mendatangkan impak kepada masyarakat terutama soal ekonomi.

  • Foto

    ILMU...diperakui siswazah berpendidikan tinggi lebih peka dengan budaya ilmu berbanding mereka yang hanya berpendidikan sederhana yang mungkin hanya mementingkan pendapatan semata-mata.

  • Foto

    BINCANG...perlu ada perbincangan dua hala untuk memastikan penyelesaian yang adil bagi semua pihak.

  • Foto

    ADA PILIHAN...majikan mempunyai banyak pilihan, justeru tidak hairanlah mereka bersifat selektif dan cerewet.

  • Foto

    TERANG...untuk mengelakkan terjadinya konflik, sesi penerangan boleh dilakukan antara industri, majikan dan pelajar supaya tidak timbul masalah lebih besar kemudian hari.

Tanggapan itu tidak boleh dianggap sebagai 'lawak jenaka' kerana dikeluarkan berdasarkan senario peningkatan pengangguran dalam kalangan graduan sekali gus mencetuskan polemik sistem pendidikan tinggi di negara itu boleh dipertikaikan.

Meskipun ada universiti ternama dan dikenali dalam kalangan masyarakat dunia, bukan semua mampu mengekalkan standard tinggi seperti disasarkan malah sebahagian besarnya hanya berpaksikan kepada keupayaan universiti 'biasa' sama di tempat lain.


Pelabur yang juga penaung kepada Yayasan Thiel dan Stevans, Peter Thiel, berkata kebanjiran siswazah peringkat tinggi yang hanya mempunyai pencapaian sederhana bukan saja menyebabkan kebanjiran pencari kerja di pasaran kerjaya malah menjadikan mereka bukan pilihan majikan.


Menurutnya, meskipun ada pihak menganggap mereka berkelayakan, hakikatnya, majikan mahu mencari graduan yang 'berbeza' serta mempunyai kemahiran luar biasa.
"Status yang disandang sebagai warga universiti menjadikan masyarakat 'buta' dalam memberi penilaian sedangkan sebahagian besar mereka tidak mempunyai standard dikehendaki industri. Namun, kerana salah penafsiran, mereka dianggap warga istimewa dan golongan terpilih.

"Hakikatnya, apa dikehendaki masyarakat sebenarnya sangat berbeza seperti dikehendaki pelabur dan industri. Kami bukan mahu mencari siswazah semata-mata, namun mereka yang mampu menyumbang ke arah pembangunan ekonomi.

"Ketidakfahaman mengenai fungsi mahupun aspek sasaran akhirnya mencetuskan konflik antara satu sama lain. Kami pelabur menyasarkan keuntungan tapi pada masa sama tidak juga menafikan hak siswazah.

"Cuma bagi mendapat perhatian, mereka perlu mengikut rentak dan kehendak kami selaras apa yang sudah ditetapkan. Siswazah perlu melihat pelbagai kemungkinan dari kaca mata pelabur, barulah mereka memahaminya," katanya.

Kenyataan Thiel itu umpama amaran kepada universiti juga siswazah supaya mereka bersedia memperlengkapkan diri dengan segala kemahiran juga aspek yang dirasakan relevan bagi membantu mereka mendapatkan tempat di hati industri.

Biarpun mungkin mempunyai senarai pencapaian akademik yang baik, itu bukan jaminan mereka berjaya kerana industri sudah tentu mempunyai banyak pilihan mahupun sudut pandangan berbeza mengenai kemampuan graduan.

Sejarah turut membuktikan mereka yang tercicir dalam pengajian peringkat tinggi mampu mencipta nama besar dan menjadi ikon dalam industri global.

Membuktikan kebenarannya, syarikat Thiel hanya menawarkan biasiswa kepada 24 siswzah yang benar- benar diperakui berpotensi dalam tempoh 15 tahun sekali gus menunjukkan dia benar- benar selektif dan cerewet.

"Ini menunjukkan kami sebagai pelabur benar-benar mahukan calon yang terbaik yang mampu memberikan komitmen melebihi seratus peratus dalam semua aspek. Jika siswazah tidak melihatnya sebagai satu masalah kronik, mereka pasti selamanya berada di takuk lama.

"Kami tidak kisah kerana masih banyak pilihan yang ada dan bebas memilih sesiapa dikehendaki. Perlu diingat, jika semua yang terbaik sudah menjadi pilihan dan mempunyai jaminan, nasib mereka yang tertinggal pasti buruk," katanya.

Bagaimanapun kenyataan Thiel meskipun ada kebenarannya menimbulkan reaksi kurang senang di kalangan pentadbir mahupun ahli akademik yang membidasnya sebagai berat sebelah.

Presiden Northeastern University di Boston, AS, Joseph E Aoun menyatakan bukan senang untuk memastikan mahasiswa peringkat tinggi mempunyai nilai kualiti tanpa cacat cela kerana ia bersifat subjektif.

Malah katanya, tidak ada alasan munasabah untuk menyimpulkan tanggapan Thiel bahawa siswazah itu gagal memberikan sumbangan atau inovasi kepada industri jika dibandingkan dengan siswazah peringkat sederhana atau kolej.

"Menilai potensi manusia adalah sesuatu yang mustahil untuk diterjemahkan melalui pemerhatian. Ia bukanlah bahagian yang boleh diperbetulkan sekelip mata atau berubah mengikut kehendak sesuatu.

"Setiap potensi, bakat atau apa jua sekalipun bersifat subjektif dan tidak boleh dipertikaikan sewenang-wenangnya kerana menyalahi konsep kemanusiaan. Kita perlu mengakui dunia hari ini sedang bergelut dengan pelbagai krisis.

"Namun, menyalahkan siswazah ini sebagai antara penyumbang merudumnya ekonomi atau pembawa masalah, cukup tidak adil kerana ia bertentangan dengan kehendak kehidupan sejagat.

"Tiada sesiapapun berhak untuk mengkritik atau melabelkan seseorang itu dengan hanya berpandukan pencapaian pada sehelai kertas mahupun fizikal. Setiap manusia ada kuasa dan peluang," katanya.

Dia juga berkeyakinan siswazah peringkat tinggi masih mempunyai nilai tersendiri dan mereka boleh menyumbang secara intelek dan menjadikan golongan terbabit lebih ke depan biarpun pada masa sama mengakui, negara berkenaan sedang berdepan isu yang sangat kompleks mengenai institusi pengajian tingginya
"Masalah ini serius, namun pendidikan tinggi masih berkepentingan untuk melahirkan masyarakat berilmu, bertamadun dan berpengetahuan. Sudah tentu masih ada cara untuk mengatasinya sekali gus menjadikannya pelaburan sepanjang hayat.

"Bukan mahu bersikap biadab, namun graduan peringkat tinggi seringkali ditakrifkan dengan kemampuan berfikiran matang dan wajar menjadi pilihan majikan.

"Ini realiti yang perlu diterima semua pihak kerana antara pengajian peringkat sederhana dan tinggi, masing - masing ada kelebihan mahupun kekurangannya.

"Ia bukan alasan untuk menafikan hak malah sesiapa juga yang mempunyai kemampuan boleh menjadi penyumbang ekonomi yang baik biarpun tidak mempunyai latar belakang akademik baik," katanya mengakui kombinasi kedua kelompok terbabit boleh membantu memajukan ekonomi semasa.

"Negara bergantung secara kolektif bukan individu untuk meningkatkan pencapaian ekonomi dan mempromosikan kemampuan sosial. Itu makna perjuangan sebenar dan seharusnya menjadi paksi yang dipegang untuk membantu antara satu sama lain.

"Bukankah lebih baik andai kata dua kelompok ini diberi peluang menjadi antara penyumbang dan penerus kesinambu–ngan golongan pendidikan tinggi berbanding terus dilagakan antara satu sama lain.

"Dunia sedang berubah dan menafikan hak universiti melahirkan golongan berpendidikan tinggi sangat kejam serta di luar dugaan. Seperti tidak percaya ada golongan yang berfikiran skeptikal lebih-lebih lagi di kalangan industri.

"Biarpun perspektif berbeza, alasan menidakkan tanggungjawab pihak lain sangat tidak berasas. Masing- masing perlu melaksanakan tanggungjawab," tegasnya.

Ular tedung jatuh dari siling kedai

Posted: 07 Nov 2011 08:44 PM PST

BERTUNGKUS-LUMUS...Eddie menangkap ular tedung selar di celah dinding kedai, kelmarin.
BERTUNGKUS-LUMUS...Eddie menangkap ular tedung selar di celah dinding kedai, kelmarin.

MELAKA: Seorang pemilik kedai gambar di Tanjung Kling, di sini, terperanjat besar apabila seekor ular tedung selar sepanjang hampir dua meter terjatuh dari siling sebuah bilik di kedainya, kelmarin.

Peniaga terbabit, Lu Chee Yang, 46, berkata ketika kejadian dia menuju tandas apabila suatu objek jatuh dari siling pada jam 2 petang di bilik khas mencuci gambar.


Dia terkejut apabila mendapati ia ular lalu berlari ke hadapan kedai.

"Saya rasa ular berkenaan datang dari kawasan semak tebal di belakang rumah kerana pernah terserempak haiwan berbisa itu.


"Saya berharap pemilik tanah berkenaan membersihkan semak-samun di situ bagi mengelak sarang ular.


"Saya bernasib baik kerana ular berkenaan jatuh ke lantai, bukan atas saya atau jatuh pada waktu lain dan saya tidak menyedari kehadirannya dalam kedai," katanya.

Ular berkenaan ditangkap bekas anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Eddie Rizal Amiruddin, 32, yang berpengalaman lebih tujuh tahun dalam tugas itu sepanjang berkhidmat dengan JPAM.

Kejutan budaya

Posted: 07 Nov 2011 08:42 PM PST

  • Foto

  • Foto

Tiga bakat besar bergabung tenaga dalam Songlap Disember ini

MEREKA dianggap antara pelakon berbakat yang perlu diberikan perhatian pada ketika ini. Shaheizy Sam dan Syafie Naswip sudah membuktikan, bakat masing-masing bukan kecil apabila pernah menggenggam trofi pada majlis anugerah. Sara Ali pula semakin mencuri perhatian peminat apabila watak gadis bermasalah dalam filem Nur Kasih cukup meninggalkan kesan.
Ketiga-tiganya digabungkan oleh dua pengarah yang sebelum ini bertanggungjawab menghasilkan Kami the Movie, Effendee Mazlan dan Fariza Azlina. Lalu, bagaimana hasilnya nanti apabila tiga bakat besar ini menunjangi filem terbitan Primeworks Studios Sdn Bhd dan Red Films Sdn. Bhd ini?
Ketika berkunjung ke Balai Berita baru-baru ini, masing-masing memuji dua pengarah muda itu, yang dianggap mampu menjelmakan sebuah kisah yang lari daripada kebiasaan filem Melayu. Ketika yang sama, mereka juga berasakan seperti ada kejutan budaya apabila bekerja dengan sutradara yang mementingkan ketelitian dan ketepatan dalam karya mereka.

Filem jujur papar kehidupan

BINTANG Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010, Shaheizy Sam, berasakan dirinya cukup bertuah apabila diundang menjayakan watak Am dalam Songlap. Baginya, bukan saja dia berpeluang bekerja dengan dua pengarah yang berbakat besar, malah wataknya juga begitu subjektif - tiada hitam ataupun putih mengenainya.

Dia sendiri belum pernah melakonkan watak sedemikian, yang dianggap cukup berlainan dari segi perjalanan karakter.
"Songlap bukan filem biasa yang selalu kita tonton. Ia tidak menunjukkan mana yang baik atau mana yang buruk. Watak saya umpamanya, boleh dilihat dalam dua perspektif berbeza. Mungkin sebahagian penonton melihatnya sebagai watak baik, manakala yang lain pula menganggapnya watak hitam.

"Bagi menjiwai watak terbabit pula, saya banyak berfikir, serta membuat pilihan yang tepat. Dengan menggunakan pendekatan 'apa berlaku sekiranya', saya mencari karakter Am.

"Ketika sesi latihan bacaan skrip pun, kami menggali bersama-sama, untuk menentukan corak watak berkenaan. Kita cuba fahami apa yang terjadi dalam cerita terbabit, supaya masing-masing mengenali dengan lebih tepat watak dimainkan. Kami bertuah kerana mendapat pengarah yang mengetahui karakter bagaimana mereka inginkan. Ia sebuah filem yang cukup terperinci pada pandangan saya," kata Sam yang berehat selama tiga bulan daripada lakonan sebelum kembali aktif Disember nanti.

Mengenai gandingannya bersama Syafie, Sam mengaku dia agak bernasib baik kerana sudah lama mengenali aktor muda berkenaan. Remaja itu, baginya umpama adiknya sendiri.

"Menarik mengenai Syafie, apabila dia membolehkan saya masuk ke dalam dirinya. Tidak semua pelakon boleh melakukan begitu, yang tentunya memudahkan lagi kita menghayati watak.

"Apabila pelakon gandingan kita bagus, kita sendiri boleh menampilkan lakonan lebih meyakinkan lagi. Ia membolehkan kita mempersembahkan lakonan yang jujur. Syafie dan Sara ialah dua pelakon yang tulus. Mereka membenarkan saya rasa apa yang dilakonkan," puji Sam, yang menganggap Songlap tidak membawa penonton ke alam fantasi seperti kebanyakan filem tempatan.

Secara ringkas, kata jejaka berusia 29 tahun yang sudah pun membintangi lebih sedozen filem ini, Songlap kisah yang jujur memaparkan kehidupan sebahagian masyarakat kita di dunia sebenar.

Berbaloi ditegur

KETIKA menjayakan filem ini, Sara Ali mengaku dia agak tertekan. Bukan kerana ia pengalaman kali pertama berlakon, sebaliknya di antara ketiga-tiga pelakon utamanya, dia paling banyak ditegur oleh pengarah.

Songlap muncul filem kelima yang dilakonkan selepas Sesuatu Yang Tertinggal (tayangan Januari 2012), Penunggu Istana, Klip 3GP dan Nur Kasih. Dia juga turut membintangi filem Jangan Pandang-Pandang dan Azazil.

"Siapa yang tidak akan berasa tertekan apabila kerap ditegur pengarah. Lebih-lebih lagi apabila saya digandingkan pula dengan Sam dan Syafie, yang sememangnya sudah diketahui ramai bakat mereka. Pada mulanya, saya sendiri terkejut apabila dipilih memegang watak utama bersama mereka, sedangkan ramai lagi pelakon popular lain sama-sama menghadiri uji bakat. Saya pula, belum pun dikenali orang.

"Namun begitu, saya rasa teguran itu memang berbaloi diterima kerana secara peribadi, saya berpuas hati dengan apa yang dipersembahkan. Ia sememangnya sebuah kisah yang bagus dan cukup berbeza," kata Sara.

Dalam filem ini, dia memegang watak gadis remaja bernama Hawa yang dilahirkan dalam keluarga yang bermasalah. Sebahagian besar kemunculannya dalam filem terbabit tidak memerlukan dirinya menuturkan dialog. Watak Hawa dipaparkan sebagai gadis pendiam.

"Hakikat itulah yang membuatkan karakter ini menjadi lebih sukar. Biarpun tanpa banyak dialog, saya perlu menonjolkan segala tindak balas kepada setiap apa yang berlaku menerusi emosi semata-mata. Dan, setiap babak itu pula mempunyai maknanya tersendiri," cerita Sara, 21, yang mengaku, kini dia tahu berlakon bukanlah kerja yang mudah jika tidak dilakukan dengan ikhlas.

Demi menghayati wataknya yang tidak banyak bercakap itu juga, selama kira-kira sebulan penggambaran berlangsung, Sara lebih suka diam menyendiri.

"Saya menyendiri buka kerana sombong, sebaliknya untuk berada dalam karakter. Saya bertuah kerana kru filem itu pun memahami keadaan saya. Apatah lagi kebanyakan daripada mereka juga perlu membaca skripnya. Jadi mereka tahu kesukaran yang saya hadapi untuk menjayakan watak berkenaan," jelasnya.
Akui wanita muda ini, ada ketika sikap pendiam itu terbawa-bawa hingga ke rumah, menyebabkan ibu bapanya juga memberikan teguran.

"Ketika itu, saya sendiri pun agak risau apabila mungkin juga terbawa-bawa karakter berkenaan hingga ke luar lokasi," katanya sambil menghadiahkan senyuman.

Gabra berlakon di sisi Sam, Normah

WALAUPUN dia dianggap antara bakat muda yang punya bakat semula jadi dalam lakonan, namun Syafie Naswip tidak pernah meninggi diri. Malah, dia mengaku gabra dan risau apabila diamanahkan beraksi di sisi pelakon yang cukup dihormatinya, Sam dan Normah Damanhuri.

Memang dia pernah berlakon bersama lelaki itu dalam telefilem Alahai Cicit Atuk, namun ketika itu tidak banyak babak membabitkan mereka berdua. Kali ini senario cukup berbeza apabila mereka diberikan watak adik-beradik, kedua-duanya pula tunjang cerita.

"Mungkin bersama Sara, perasaan itu tidak timbul kerana kami baru saja berlakon bersama dalam Nur Kasih. Namun bersama Sam, saya gabra kerana dia pelakon yang cukup bagus dan saya amat menghormatinya.

"Lebih-lebih lagi, watak Ad yang saya lakonkan ialah peranan yang amat mencabar. Watak ini banyak bermain dengan emosi dalaman. Justeru, ada masanya, saya tergelincir juga ketika melakonkannya. Bagi mengatasi masalah itu, saya rajin bertanya kepada pengarah, pelakon, malah mana-mana kru yang ada. Saya memerlukan pandangan mereka bagaimana untuk saya menjayakan karakter berkenaan.

"Malah, saya juga ada menonton filem lain, sekadar untuk mendapatkan mood bagi watak yang saya jayakan, termasuk filem The Reader. Saya turut membuat tinjauan di sekitar Chow Kit, untuk melihat sendiri persekitaran yang mempunyai kaitan dengan perkembangan watak saya," katanya yang pernah muncul dalam Mukhsin, Talentime dan Nur Kasih.

Dedah remaja yang akan menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia tidak lama lagi ini, berlakon dalam Songlap tidak ubah kejutan budaya buat dirinya.

Bersama arwah Yasmin Ahmad, kata Syafie, dia dikehendaki melahirkan lakonan yang semula jadi, lebih kepada apa yang dirasai pelakon itu sendiri. Kamera pula sering kali dipegunkan di sesuatu sudut.

"Namun dalam filem ini, pengarahnya memang mahukan segala-galanya nampak terperinci. Mereka sangat pentingkan kesempurnaan. Kerana itu saya perlu banyak bertanya. Banyak kali juga saya menerima teguran, namun itulah yang dikatakan proses pembelajaran," katanya yang lebih gemar muncul dalam filem mahupun drama yang membuatkan orang ramai mengingati lakonannya.

Sinopsis:

BERLATARKAN bandar Kuala Lumpur, Songlap mengikuti kisah adik-beradik – Am dan Ad yang membabitkan diri dalam sindiket penjualan bayi yang diuruskan seorang wanita bergelar Mama. Kehidupan dua beradik ini jauh berbeza. Si abang mengambil kesempatan dengan menggunakan perniagaan Mama sebagai jalan pintas mendapatkan wang untuk kegiatan judinya, manakala adiknya mengimpikan kehidupan lebih baik dengan menyertai pertandingan tarian B-Boy.

Ad mula sedar impiannya mungkin tidak tercapai setelah kehilangan kawan karibnya, Razak, akibat dadah dan melihat dengan matanya sendiri nasib gadis muda yang dijual kepada sindiket pemerdagangan manusia.

Apabila adik Razak, Hawa, yang sedang hamil terjebak dengan sindiket ini, Ad tidak boleh menutup mata lagi dan terpaksa berlumba dengan masa untuk menyelamatkan gadis itu tanpa menyedari bapa Hawa, Pak Din juga sedang mencari anaknya yang hilang. Tetapi, niat baik Ad untuk menolong menggoyahkan hubungannya dengan Am, dan pergelutan mereka akhirnya mencecah tebing maut.

Tidur dua jam sehari

Posted: 07 Nov 2011 08:40 PM PST

  • Foto

  • Foto

    Aaron bersama gandingannya dalam Kekasih Awal Dan Akhir, Siti Saleha serta Fouziah Gous.

Aaron akui sukar jadi pelakon, pengarah serentak

BERMULA sebagai model dan pelakon drama, kini nama Aaron Aziz semakin gah di persada seni apabila dia mula berjinak-jinak dalam bidang pengarahan pula.
Dengan pengalaman kira-kira sedekad beraksi di depan kamera, lelaki berusia 35 tahun ini, menerusi syarikatnya sendiri, Aaron Aziz Productions, bukan sekadar memberanikan diri menghasilkan telefilem pertama, malah bergelar pengarah.
Jika peminat sedia maklum bakat lakonannya hasil kemunculan lelaki ini di skrin kecil mahupun lebar, seperti Nora Elena, Jiwa & Lara, Akinabalu, Evolusi KL Drift 1 & 2, KL Gangster dan Pisau Cukur, bagaimana pula kemampuannya sebagai sutradara?

Semuanya itu akan hanya terjawab apabila hasil tangan pertamanya, Kekasih Awal Dan Akhir, ditayangkan kepada penonton TV9 pada 9 November ini, jam 8.30 malam.

Aaron yang turut berlakon dalam teater Badai Semalam bersama Erra Fazira dan Datin Paduka Umie Aida, yang dipentaskan di Istana Budaya bermula 11 hingga November ini berkata, bidang pengarahan sememangnya jauh lebih mencabar.

"Ini adalah karya penuh saya yang pertama kerana sebelum ini Aaron Aziz Productions lebih tertumpu di Singapura dan banyak terbabit dengan pembikinan iklan di sana.
"Memang ia memenatkan dan banyak memberikan tekanan kepada saya. Bukan sekadar sibuk dengan lakonan dan pengarahan, malah saya juga menjalani latihan teater, menyebabkan saya tidak mempunyai waktu yang cukup untuk tidur. Namun saya berpuas hati dengan hasilnya," katanya ketika ditemui di Mutiara Damansara baru-baru ini.

Meskipun masa tidurnya hanya dua hingga ke tiga jam sehari, namun komitmen terhadap kerja lebih diutamakan dan sokongan daripada isterinya, Dayana Halik banyak membantu jadual kerjanya. Menguruskan produksi dengan Dayana juga memudahkan Aaron untuk meluangkan masa bersama isterinya.

"Isteri saya banyak membantu dari segi pengurusan dan juga pemilihan pelakon, malah cerita asal telefilem ini adalah hasil kerja keras dirinya. Manakala pemilihan pelakon untuk telefilem ini pula adalah atas dasar perbincangan bersama TV9. Kami mahukan gandingan yang mantap serta selesa dengan watak," jelasnya.

Aaron turut menjelaskan, pembabitannya dalam bidang pengarahan bukan dengan niat untuk menunjukkan kebolehan yang ada, sebaliknya menguji diri sendiri selain mencari kepuasan.

"Sebagai pelakon, kita ikut saja apa yang pengarah cakap. Tetapi apabila mengarah, banyak perkara yang kita kena fikirkan, untuk menjadikan karya kita menarik.

"Paling saya takut adalah jika perlu melakukan penggambaran semula. Tetapi alhamdulillah, selama tujuh hari penggambaran, tiada masalah besar yang berlaku," katanya yang memberitahu, skrip Kekasih Awal Dan Akhir memang menarik minatnya untuk turut menguji keupayaan sebagai pengarah.

Telefilem yang penuh dengan emosi dan dramatik ini mengisahkan Awal, lakonan Aaron, yang menjadi kegilaan ramai gadis di kampus. Dia mempunyai sahabat karib, Julia (Fouziah Gous). Mereka berdua sangat aktif melakukan pelbagai aktiviti kampus dan dari situ, Awal mengambil bahagian sebagai sukarelawan dalam sebuah kempen. Ketika kempen itulah dia tertarik dengan Akhirah (Siti Saleha).

Menyedari hubungan rapat Awal dengan Akhirah, Julia yang menyimpan perasaan terhadap jejaka itu meluahkan perasaannya. Namun cintanya ditolak, membuatkan Julia bertindak membawa diri.

Awal nekad untuk mengahwini Akhirah, namun malangnya ketika Akhirah mengandung tiga bulan, dia terbabit dalam kemalangan menyebabkan dirinya lumpuh seluruh badan. Demi kebahagiaan suami dan mengenangkan keadaannya yang lumpuh, Akhirah meminta awal mengahwini Julia. tetapi selepas berkahwin, Julia amat cemburu dengan Akhirah yang sering menjadi perhatian Awal dan bermulalah detik hitam buat Akhirah dan anaknya.

"Pemilihan tajuk Kekasih Awal Dan Akhir ini dilakukan kerana ia mempunyai elemen poligami dan rumah tangga. Daripada kasih sayang kepada cemburu, dan banyak bermain dengan emosi," katanya.

Watak lumpuh cabar Siti Saleha

BEKERJASAMA dengan Aaron bukan perkara asing bagi Siti Saleha, malahan telefilem terbabit ialah gandingan ketiga mereka selepas Nora Elena dan Habil dan Qabil.
Namun kali pertama berlakon di bawah arahan Aaron menjadi pengalaman baru buatnya, apatah lagi diberikan watak yang begitu mencabar. Sebagai Akhirah, dia perlu banyak bermain dengan emosi serta air mata.

"Aaron tahu apa yang dia nak, dan dia juga tahu cukup atau tidak apa yang kita bagi padanya. Dia cukup teliti dan pada masa sama menerima pendapat orang lain, sehinggakan ada kalanya idea yang saya bagi diterima pakai.

"Dia juga banyak mengajar serta bersabar. Ini watak wanita lumpuh pertama saya lakonkan, dan saya akui ia memang sukar kerana banyak menggunakan pergerakan tubuh untuk melahirkan perasaan dan berbicara," katanya.

Meskipun sukar, Siti Saleha banyak membuat kajian dan belajar melalui filem Talk To Her dan The Bone Collector, seperti yang disarankan Aaron.

Selain lakonan, Siti Saleha turut sibuk dengan pengajiannya, di samping tugas sebagai pengacara Gerbang Anugerah Industri Muzik (AIM).

Sementara itu, Sepanjang November ini, empat telefilem akan disajikan kepada penonton TV9 di dalam slot Skrin Di 9. Selain telefilem Kekasih Awal Dan Akhir, turut disenaraikan ialah Si Tudung Tweet (16 November), Tongkah Arus Dosa (23 November) dan Bedah Tong Gas (30 November).

Medan cetusan idea

Posted: 07 Nov 2011 08:38 PM PST

Martias (tengah) bersama Jurey Latiff (empat dari kanan) dan Shariff (kiri) pada majlis taklimat MCPitch FFM24 di FINAS.
Martias (tengah) bersama Jurey Latiff (empat dari kanan) dan Shariff (kiri) pada majlis taklimat MCPitch FFM24 di FINAS.
Orang awam dipelawa kemuka idea menarik untuk program TV, filem

MASALAH ketandusan idea di dalam industri penerbitan bukan isu terpinggir. Hari ini penerbit, pengarah dan stesen televisyen semakin buntu untuk mendapatkan idea bagi tontonan masyarakat.
Kesudahannya, hari ini kita banyak disajikan dengan pelbagai program yang sering dikatakan kurang memberi manfaat kepada penonton sekali gus mengekang minda masyarakat untuk berfikiran jauh. Berbeza dengan negara barat yang jauh maju, idea yang dihasilkan di dalam penerbitan kadang-kadang melangkaui akal fikiran manusia normal, namun masih boleh diterima di seluruh dunia sebagai hiburan.
Penonton lebih memahami dengan apa yang ingin mereka mahukan berbanding penerbit, pengarah mahupun stesen televisyen. Di Barat, mereka menjalinkan kerjasama dengan orang awam khususnya penonton untuk berkongsi idea bagi melahirkan program yang lebih kreatif.

Kebanyakan idea yang lahir untuk penerbitan TV mahupun filem bukan lahir daripada orang dalam industri kreatif, tetapi mereka yang memiliki bidang berbeza. Sebagai contoh filem Harry Potter adalah cetusan idea daripada seorang doktor, begitu juga dengan produk lain yang lahir daripada individu seperti petani, guru, pemandu teksi, nelayan malah penganggur.

Individu seperti ini lebih memahami kerjaya mereka dan pengalaman itulah yang mampu dicetuskan sebagai idea. Tidak hairanlah kenapa penerbitan drama di negara ini sekiranya menceritakan mengenai doktor, wartawan dan pasukan beruniform dan sebagainya tetapi tidak kelihatan realiti dengan dunia nyata.

Menyedari situasi industri penerbitan yang semakin ketandusan idea, Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM) dengan kerjasama Persatuan Penulis Skrin Malaysia (SWAM) akan menganjur acara cetusan idea atau 'pitching' secara besar-besaran membabitkan semua masyarakat di negara ini di dalam Malaysia Creative Pitch (MCPitch).
Acara yang pertama kali dianjurkan ini diadakan sebagai pengisian sempena penganjuran Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24).

Pengarah MCPitch, Martias Mohd Ali berkata, penganjuran itu bagi membuka peluang kepada seluruh rakyat negara ini untuk berkongsi idea melahirkan karya yang lebih kualiti dan mengikuti kehendak penonton masa kini.

"Idea ini adalah inspirasi daripada pengalaman saya ketika berkunjung ke Hollywoodpada 2005 untuk merasai acara 'pitching' yang di sana. Lebih 6,000 orang berkumpul dalam acara itu menyumbang idea.

"Sesiapa saja boleh menyumbang idea dan sekiranya diterima penerbit, mereka dibayar dengan jumlah yang agak besar. Inilah yang akan berlaku pada MCPitch pada 17 November ini di FINAS nanti," katanya pada sidang media, Selasa lalu.

Hadir sama Pengerusi Komitee Pitching FFM24, Datuk Shariff Ahmad dan Presiden GAFIM, Jurey Latiff Rosli.

Acara ini akan disertai seramai 80 penerbit tv/filem/buku, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), Filem Negara Malaysia (FNM), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Bank Simpanan Nasional (BSN) serta empat stesen televisyen dari Media Prima, Astro, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan TV Al-Hijrah.

Penganjur akan menyediakan 80 meja yang akan diisi oleh syarikat penerbit untuk menerima siapa saja yang ingin memberi idea. Sekiranya idea itu diterima oleh penerbit, idea itu akan terus dikemukakan kepada wakil empat stesen televisyen untuk menimbangkan kualitinya.

Menurut Martias, orang ramai tidak perlu risau dengan idea yang dikemukakan diciplak oleh penerbit kerana pihaknya sudah mengatur langkah keselamatan menjaga hak cipta mereka.

"Sebagai contoh, idea yang sudah dikemukakan kepada penerbit A, sama ada diterima atau tidak, penerbit itu harus memberi cop bukti menandakan dia sudah mendengar idea itu, dan idea itu juga boleh diperdengarkan kepada penerbit lain," katanya.

Pada acara itu juga, penganjur turut menganjurkan Pertandingan Pitch Terbuka yang menawarkan hadiah RM2,000 untuk orang awam.

"Bertempat di Mini Pawagam P.Ramlee, sesiapa saja yang mempunyai idea kreatif boleh membuat pitching secara terbuka kepada orang ramai yang akan diadili oleh juri profesional. Mereka akan diberi masa selama lima minit untuk mengemukakan apa saja idea," katanya.

16 masjid utama guna E-Nikah

Posted: 07 Nov 2011 08:35 PM PST

TENGKU Muhammad Faiz Petra (dua dari kanan) melawat Makmal Siber Masjid Al-Sultan Ismail Petra,   Kubang Kerian sambil  diperhatikan  Che Mohd Rahim  (kanan) selepas majlis perasmian di Kota Bharu.
TENGKU Muhammad Faiz Petra (dua dari kanan) melawat Makmal Siber Masjid Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian sambil diperhatikan Che Mohd Rahim (kanan) selepas majlis perasmian di Kota Bharu.
Urusan pendaftaran perkahwinan dipermudah, pantas menerusi talian

KOTA BHARU: Urusan pendaftaran perkahwinan di negeri ini kini dipermudahkan apabila 16 masjid utama di semua jajahan sudah dibekalkan dengan perkhidmatan daftar nikah secara dalam talian menggunakan E-Nikah.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam negeri (JHEAIK), Datuk Che Mohd Rahim Jusoh, berkata dengan kemudahan teknologi terkini, semua maklumat daftar nikah boleh dilakukan dengan pantas dan mudah.
Ini adalah projek perintis dan JHEAIK merancang mengembangkannya kesemua masjid besar lain di negeri ini bagi memastikan urusan pendaftaran perkahwinan berjalan lancar. - Che Mohd Rahim Jusoh, Pengarah JHEAIK
Katanya, melalui sistem itu, JHEAIK juga berharap kaedah ini mampu mengatasi kegiatan pernikahan palsu yang dilakukan oleh sindiket kerana hanya pihak bertauliah saja dapat menggunakan sistem E-Nikah.

"JHEAIK berharap melalui pe-ngenalan sistem E-Nikah di semua masjid utama di negeri ini, segala urusan pendaftaran nikah dapat dilakukan dengan segera sekali gus maklumat dapat dicapai dengan segera di jabatan ini.

"Sesuai dengan perkembangan teknologi terkini, JHEAIK akan memanfaatkan penggunaan komputer riba untuk mengembangkan pengenalan E-Nikah sekali gus mengatasi sistem manual, menggunakan kaedah mengisi borang kertas yang sudah tentu membabitkan kos tinggi.

"Ini adalah projek perintis dan JHEAIK merancang mengembangkannya kesemua masjid besar lain di negeri ini bagi memastikan urusan pendaftaran perkahwinan berjalan lancar," katanya.
Beliau memberitahu pemberita pada majlis pengurniaan komputer riba bersama kata laluan E-Nikah yang disempurnakan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra di Masjid Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian di sini, semalam.

Selain Masjid Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, masjid lain yang menerima kemudahan itu ialah Masjid Muhammadi, Masjid Kampung Sireh dan Masjid Telipot, masing-masing di Kota Bharu; Masjid Tengku Muhammad Faris Petra, Kuala Krai dan Masjid Mahmudi, Bachok.

Pada majlis sama, Tengku Muhammad Faiz Petra juga turut mencemar duli merasmikan Makmal Siber Masjid Al-Sultan Ismail Petra, yang bermatlamat memberikan kemudahan kepada belia di sekitar masjid menggunakan kemudahan komputer disediakan di makmal berkenaan.

Che Mohd Rahim berkata, sebanyak 20 unit komputer disediakan di makmal berkenaan dan pengguna terutama pelajar dan belia boleh menggunakan kemudahan itu yang disediakan secara percuma.

503 dapat notis penyerahan 5A

Posted: 07 Nov 2011 08:21 PM PST

 Abdul Ghani   bersalaman dengan penduduk yang menerima borang 5A di Kampung Sentosa, Pasir Gudang.
Abdul Ghani bersalaman dengan penduduk yang menerima borang 5A di Kampung Sentosa, Pasir Gudang.
Penduduk Sentosa, Sentosa Barat, Sentosa Damai terima hak milik tanah

PASIR GUDANG: Impian 503 penduduk generasi kedua di tiga kampung rangkaian bagi mendapatkan geran tanah sejak 20 tahun lalu di sini, menjadi kenyataan apabila mereka menerima notis penyerahan 5A daripada Kerajaan Johor.
Melihat ia hadiah bermakna sempena Aidiladha tahun ini, penduduk membabitkan Kampung Sentosa, Kampung Sentosa Barat dan Kampung Sentosa Damai itu, merasakan kurniaan hak milik tanah berkenaan sesuai masanya dan bukti keprihatinan kerajaan negeri terhadap keperluan penduduk.
Ketua UMNO Cawangan Kampung Sentosa Damai, Mohd Samad, berkata beliau bersyukur penantian selama hampir 20 tahun itu kini berakhir apabila tanah yang diusahakan dari generasi ke generasi itu diberikan geran hak milik.

"Saya membuat permohonan hak milik pada 1997. Walaupun menunggu untuk tempoh lama, saya bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri yang prihatin mengurniakan geran hak milik ini.

"Saya mewakili 39 penerima di kampung ini menghargai keprihatinan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman yang mendengar rintihan dan suara rakyat," katanya ketika ditemui pada majlis pemimpin bersama rakyat dan penyerahan hak milik Notis 5A disampaikan Abdul Ghani di padang bola dekat Kampung Sentosa di sini, kelmarin.

Seorang penerima dari Kampung Sentosa, Supardan Maliki, 47, berkata kurniaan hak milik itu adalah pemberian bermakna kepada beliau sekeluarga, lebih-lebih lagi ketika menyambut perayaan Aidiladha.
"Kami sekeluarga berterima kasih kepada kerajaan negeri dan pemimpin Barisan Nasional (BN) yang selama ini memperjuangkan nasib penduduk di sini, sehingga dikurniakan geran hak milik," katanya.

Sementara itu, Abdul Ghani, turut mengumumkan kerajaan negeri akan memberi potongan harga pada bayaran premium yang dikenakan, dan akan melanjutkan pembayaran ansuran penduduk daripada setahun kepada empat tahun bagi meringankan beban mereka terutama yang berpendapatan rendah.

"Kurniaan Notis 5A di Kampung Sentosa setakat ini adalah yang paling banyak, iaitu 724 kurniaan membabitkan tanah seluas 93 hektar. Difahamkan ada 265 penduduk lagi yang masih menunggu kelulusan permohonan mereka.

"Permohonan baki penduduk ini akan sampai pada Jawatankuasa Hal Ehwal Tanah dalam masa terdekat, dan akan diluluskan dalam dua atau tiga bulan lagi," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan