RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


‘Digelar gila kunyah kaca’

Posted: 15 Jul 2011 08:59 PM PDT

YAKIN...Johari menyuap serpihan kaca kepada isterinya, Halimatussadiah.
YAKIN...Johari menyuap serpihan kaca kepada isterinya, Halimatussadiah.
BATU teras gunung.
BATU teras gunung.

BUKIT BERUNTUNG: "Kami pernah digelar orang gila dan pengamal ilmu sesat kerana makan kaca," katanya pemandu treler, Johari Mohamad yang boleh mengunyah serpihan kaca tanpa mencederakan diri.

Selain Johari, 37, isterinya, Halimatussadiah Ghazali, 32, dan beberapa rakannya berkemampuan mengunyah serpihan kaca sama ada daripada lampu kalimantang atau cermin dihancurkan umpama menikmati kacang.

Johari berkata, dia boleh mengunyah kaca apabila memegang batu dipanggil 'teras gunung' yang didakwanya mempunyai pelbagai manfaat dalam bidang perubatan.

"Tapi perkara ini berlaku kerana kuasa Allah, bukan dari keyakinan terhadap batu itu, namun perkara begini menjadikan saya dan rakan yang mempunyai 'teras gunung' dipandang pelik segelintir orang.


"Batu ini ada keindahan dan manfaat tersendiri kepada orang yang mengetahuinya tetapi keyakinan mengenai itu tetap datang daripada Allah," katanya.

Nyanyi lagu dialek tempatan

Posted: 15 Jul 2011 08:55 PM PDT

pix_middle

DALAM usia muda, Muhammad Aizat Amdan atau Aizat, 22, sudah mengecapi pelbagai kejayaan besar. Lebih daripada itu, anugerah prestij sudah dimenangi, sekali gus meletakkan namanya sebaris penyanyi ternama sedia ada.

Sebelum ini ramai skeptikal apabila penyanyi berasal dari Ampang, Kuala Lumpur ini muncul dalam persada seni apabila menyertai rancangan realiti popular, Akademi Fantasia musim keempat (AF4). Ramai memperkatakan saiz badannya yang besar hingga mempersoalkan kemampuannya untuk menambat hati peminat.

Sedar dalam industri muzik tempatan imej turut memainkan peranan penting, Aizat berusaha keras menguruskan badan dan memastikan dia cukup pakej apabila tampil dengan album sulung, Percubaan Pertama. Lima tahun berlalu, penyanyi yang melonjak namanya menerusi lagu Kau Aku itu kini tidak lagi menoleh ke belakang.

Kemampuan diri juga sudah dibuktikan dengan Konsert Solo yang pertama, Urusan Aizat Amdan - Live In Damansara. Hampir 700 peminat setia memenuhi dewan Bentley Music, Damansara Utama.


Sewaktu perancangan mengadakan konsert terbabit, Aizat turut menjelaskan, dia mahu menjelajah ke seluruh tanah air terutama Sabah dan Sarawak. Katanya, dia mahu sejumlah peminat besarnya di sana turut merasai sendiri persembahan dilakukan.


Hampir empat bulan sepi tanpa perkhabaran, akhirnya Aizat berkata, konsert dirancang syarikat rakamannya, Kasi Gegar Entertainment Sdn Bhd (KGESB), bakal terlaksana.

Ia dimulakan dengan Konsert Borneo Tour - Urusan Aizat Amdan - Live In Kuching pada 16 Julai ini di Stadium Perpaduan Kuching, Sarawak. Selepas itu, persembahan sama akan diadakan di Dewan KDCA, Penampang, Kota Kinabalu, Sabah pada 22 Julai ini.

Dalam pertemuan itu, ternyata Aizat gembira dengan perkembangan itu dan dia berasa teruja untuk mengadakan persembahan. Bagaimanapun, kata Aizat, untuk merealisasikan konsert terbabit tidak mudah, segala usaha dijalankan dengan gerak kerja terperinci. Lebih penting, dia sendiri selaku penyanyi turut turun padang untuk mempromosikan konsert bakal diadakan.

"Hampir dua minggu juga saya bersama kakitangan (KGESB) mengadakan promosi jelajah di Sarawak dan Sabah. Setakat ini sambutan amat menggalakkan.

"Seronoknya apabila me�ngadakan promosi di sana, saya juga dapat berkenalan dengan pihak di sana, sekali gus membuka lagi ruang untuk saya menjalinkan kerjasama. Saya mengharap�kan apa yang diusahakan ini mendapat sambutan," katanya.

Bercerita lanjut, jelas Aizat, untuk merealisasikan impiannya itu agak mencabar. Seperti yang diperjelaskan sebelum ini, paling payah adalah untuk mendapatkan penaja.

"Kerana itu, kami tidak mahu menghebohkan terlebih dulu mengenai konsert diadakan selagi ia belum pasti. Bimbang kalau saya asyik bercerita tetapi kesudahannya ia gagal direalisasikan. Syukur apabila DiGi dan Firefly bertindak selaku penaja utama. Sekurang-kurangnya ia dapat menampung belanja besar diperlukan.

"Saya sendiri turut berusaha keras sebaik urusan penajaan berjaya diselesaikan dengan menguar-uarkan di seluruh laman sosial yang saya ada. Menerusi maklum balas diberikan, peminat di sana juga tidak sabar mahu hadir menyaksikan konsert bakal diadakan," katanya.

Menyentuh mengenai konsep persembahan, jelas Aizat, ia tidak akan sama dengan konsert yang diadakan di Damansara, terutama dari sudut pemilihan lagu dan pemuzik yang dibawa.

"Ia tidaklah sebesar konsert di Kuala Lumpur, tetapi ia tidak mengurangkan suasana konsep persembahan. Menariknya dalam persembahan ini nanti, saya turut menampilkan beberapa penyanyi tempatan di setiap negeri. Mengambil contoh di Sabah, saya turut mendendangkan satu lagu dalam dialek tempatan dan bergandingan dengan penyanyi Jimmy Palikat, pak cik kepada Nikki Palikat. Dia ada satu lagu yang sedang popular di sana," katanya.

Selain itu dalam konsert ini juga, Aizat akan menampilkan penyanyi pertama yang bernaung di bawah syarikat KGESB, iaitu bintang Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9), Mohamad Amirullah Jahari atau Amir berasal dari Sarawak.

"Saya memilih Amir untuk bernaung di bawah syarikat saya kerana yakin dengan kemampuannya. Bakat�nya juga besar. Bayangkan berbekalkan gitarnya saja, dia mampu menghiburkan orang ramai. Saya percaya kebolehan dimiliki diperoleh daripada kerja kerasnya selama ini yang sangat mencintai muzik. Dia juga seorang pemuzik jalanan jadi pengalamannya sangat luas. Single yang dihasilkan Amir sendiri sudah siap, dan ia akan diperdengarkan kepada peminat pada konsert itu nanti," katanya.

Dalam menjayakan konsert ini, jelas Aizat, sebagai persediaan dia banyak bermuhasabah diri, terutama melihat apa yang harus dilakukan. Baginya apa yang penting adalah memberi fokus dan tidak panik. Dia juga tidak mahu mengikut emosi kerana bimbang persembahan dilakukan dianggap syok sendiri.

"Persembahan diadakan itu nanti lebih kepada untuk menghiburkan peminat. Itu adalah tanggungjawab saya dan ia harus dilaksanakan dengan sempurna," katanya.

Jelas Aizat lagi, pihaknya turut menjalin kerjasama dengan Yayasan Harapan Kanak-Kanak Malaysia dan 10 pertubuhan kebajikan lain bagi mengutip dana kebajikan Tabung Taman Harapan. Ia digunakan untuk membina Taman Harapan yang berupa satu konsep pembangunan hartanah pertama di Malaysia dan menjadikan kebajikan �sebagai matlamat utama.

Setiap RM5 daripada hasil jualan tiket akan disalurkan ke Tabung Taman Harapan Malaysia. Bagi tujuan ini, pihak KGE dan YHKM sedang berusaha untuk mendapat�kan dan mengalu-alukan mana-mana badan berminat untuk membiayai pembelian tiket konsert bagi disalurkan ke tabung terbabit.

Lagi tua lagi cinta

Posted: 15 Jul 2011 08:52 PM PDT

BALIK PULAU: Demi cinta, seorang lelaki warga emas yang ditahan kerana tuduhan berkhalwat sanggup meringkuk di dalam lokap selama lebih dua bulan kerana anaknya tidak mahu membayar wang ikat jamin kekasihnya.

Dalam perbicaraan di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Barat Daya di sini, kira-kira jam 11 pagi kelmarin, lelaki itu 70-an yang bercucu dihadapkan ke mahkamah bersama teman wanitanya berusia 29 tahun atas tuduhan berkhalwat yang dilakukan mereka, Mei lalu.

Pendakwa Syarie, Mohd Saifullah Hamzah berkata, pertuduhan kes dibacakan di hadapan Hakim Zaini Abdul Rahim dan kedua-duanya faham serta mengaku bersalah atas kesalahandilakukan.

Menurutnya, lelaki itu memohon kepada mahkamah agar dilepaskan dengan jaminan selepas mengaku bersalah dan selepas menimbangkan rayuan tertuduh, mahkamah membenarkan kedua-duanya diikat jamin RM500 setiap seorang.


"Empat anak lelaki itu yang hadir sepanjang perbicaraan bersedia menjamin bapa mereka. Pada mulanya keadaan agak tenang, namun bertukar tegang apabila tertuduh meminta anaknya turut menjamin teman wanitanya.

Awan Nano Menang Lagu Terbaik APM2011

Posted: 15 Jul 2011 08:49 PM PDT

Lagu Awan Nano nyanyian Hafiz memenangi dua anugerah di APM2011.

PETALING JAYA: Lagu nyanyian Hafiz AF7, Awan Nano dinobatkan sebagai Lagu Terbaik dan Lagu Terbaik Malaysia di Anugerah Planet Muzik (APM) 2011 di Max Pavillion Singapore Expo, Singapura, malam Sabtu.

Selain itu, majlis tersebut turut menyaksikan kemenangan daripada artis Singapura iaitu Hady Mirza yang membolot tiga anugerah iaitu Artis Singapura Paling Popular, Lagu Singapura Paling Popular dan Lagu Serantau Paling Popular menerusi lagu Angkasa.

Artis tempatan lain yang turut mengungguli anugerah masing-masing adalah Faizal Tahir yang merangkul kategori Artis Lelaki Terbaik.

Sementara Dayang Nurfaizah dengan pasangan duetnya iaitu penyanyi dari Indonesia, Marcell memenangi kategori Kolaborasi Terbaik menerusi lagu Sayang.

Biarpun tewas menerusi kategori Kolaborasi Terbaik, Datuk Siti Nurhaliza masih mampu tersenyum lebar dengan kemenangannya buat kali ke-10 sebagai Artis Serantau Paling Popular.

Dalam pada itu, lagu yang sedang popular di corong radio iaitu Kalau Berpacaran nyanyian Ana Raffali, Sohaimi Meor Hassan dan Altimet merangkul kategori Vokal Terbaik (Duo/Kumpulan Baru).

Gabungan tiga suara hebat iaitu Jaclyn Victor, Ning Baizura dan Shila Amzah juga membawa tuah kepada mereka apabila dinobatkan sebagai Duo/Kumpulan Terbaik menerusi album 3 Suara.

Buat pertama kalinya, penyanyi baru meningkat naik iaitu Amanda Imani memenangi kategori Vokal Terbaik (Artis Baru Wanita) menerusi lagu Selamilah Cinta.

Anugerah yang memberi pengiktirafan kepada penggiat muzik dari tiga buah negara, Singapura, Malaysia dan Indonesia itu dianjurkan oleh Mediacorp dan Beyond Events dengan kerjasama Astro Ria, sebagai penyiar rasmi di Malaysia.

Majlis tersebut dihoskan oleh pelakon dan pengacara Didie Alias bergandingan dengan dua pengacara Singapura, Fizo O dan Adi Rahman.

Pemenang APM 2011

Album Terbaik

Energi (Kotak)

Artis Lelaki Terbaik

Faizal Tahir (Adrenalin)

Artis Wanita Terbaik

Rossa (Harmoni Jalinan Nada & Cerita)

Lagu Terbaik

Awan Nano (Hafiz)

Vokal Terbaik (Artis Baru Lelaki)

Sandhy Sondoro (Bunga Mimpi)

Vokal Terbaik (Artis Baru Wanita)

Amanda Imani (Selamilah Cinta)

Vokal Terbaik (Duo/Kumpulan Baru)

Ana Raffali, Sohaimi Meor Hassan & Altimet (Kalau Berpacaran)

Duo/Kumpulan Terbaik

Jaclyn Victor, Ning Baizura & Shila Amzah (3 Suara)

Lagu Serantau Paling Popular

Angkasa (Hady Mirza)

Artis Serantau Paling Popular (Selama Lebih Sedekad)

Datuk Siti Nurhaliza

Kolaborasi Terbaik

Dayang Nurfaizah & Marcell (Sayang)

Lagu Singapura Paling Popular

Angkasa (Hady Mirza)

Artis Singapura Paling Popular

Hady Mirza

Lagu Terbaik Singapura

Lagu Teman (The Lion Story feat Zahidah)

Lagu Terbaik Malaysia

Awan Nano (Hafiz)

Lagu Terbaik Indonesia

Cintailah Aku Sepenuh Hati (Ari Lasso)

Anugerah Khas Planet Muzik

Melly Goeslaw

‘Pegawai KDN’ rompak peniaga

Posted: 15 Jul 2011 08:46 PM PDT

KANTOI...rakaman CCTV  menunjukkan empat lelaki yang menyamar pegawai KDN merompak sebuah kedai runcit di Taman Cheras Utama.
KANTOI...rakaman CCTV menunjukkan empat lelaki yang menyamar pegawai KDN merompak sebuah kedai runcit di Taman Cheras Utama.

KUALA LUMPUR: Hanya dengan memberi alasan dia mengambil pekerja tanpa permit, seorang peniaga kedai runcit kerugian kira-kira RM2,400 selepas wang tunai, telefon bimbit, kad prabayar dan rokok dilarikan empat orang lelaki yang menyamar sebagai pegawai dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kejadian di Taman Cheras Utama, 16 Jun lalu.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Maslina, 33, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.25 tengah malam itu, dia bersama seorang pekerjanya sedang sibuk mengemas barang jualan sebelum didatangi empat lelaki.


katanya, lelaki terbabit mendakwa mereka pegawai dari KDN selain lengkap memakai jaket yang mempunyai logo KDN dan memberi alasan mahu melakukan pemeriksaan ke atas kedainya kerana dipercayai menggaji pekerja asing tanpa permit.

Dia yang terkejut dengan alasan diberikan pada mulanya enggan memberi kerjasama sebelum seorang daripada mereka mengeluarkan 'kad kuasa' bagi meyakinkannya.


"Saya sangsi dengan alasan lelaki itu yang mengatakan saya menggaji pekerja asing tanpa permit sedangkan permit pekerja saya masih di Jabatan Imigresen untuk proses pembaharuan.


"Lelaki itu juga mengugut untuk membawa saya ke balai dan bakal dikenakan hukuman berat jika enggan memberi kerjasama," katanya.

Menurut Maslina, ketika sedang berbincang dengan seorang daripada mereka, tiga lelaki lain mengambil kesempatan menyelongkar peti simpanan tunai dan merampas wang tunai kira-kira RM1,100 dan rokok bernilai RM400 serta kad prabayar bernilai RM600 yang disimpan di dalam rak berdekatan kaunter.


Maslina berkata, lelaki itu turut meminta dia menyerahkan kad pengenalan dan lesen memandu dengan alasan untuk diperiksa, tetapi enggan menyerahkan semula kad pengenalan dan lesen memandunya itu walaupun diminta berkali-kali.

"Saya yang ketakutan cuba menghubungi suami untuk meminta pertolongan sebelum perbuatan saya itu disedari lelaki berkenaan dan merampas semua tiga telefon bimbit milik saya.


"Pekerja saya turut dipukul kerana tidak mendengar arahan," katanya.


Beliau berkata, lelaki itu yang menyedari kedai runcitnya itu dipasang kamera litar tertutup (CCTV) melarikan diri menggunakan kereta Proton Gen 2 yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.


Katanya, dia dan suami membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras keesokan harinya selepas menyedari lelaki yang datang ke kedainya hanya individu yang menyamar sebagai pegawai KDN.


"Saya berharap orang ramai yang didatangi individu yang mengaku dari mana-mana agensi agar meneliti terlebih dulu kad kuasa atau dokumen berkaitan agar tidak lagi menjadi mangsa.


"Taktik yang digunakan sangat licik dan penyamaran yang dilakukan mereka sukar dikesan," katanya.

‘Sokonglah Malaysia’

Posted: 15 Jul 2011 08:44 PM PDT

GIGIH...Muhd Muslim Ahmad menjalani  latihan  di Stadium Nasional, semalam.
GIGIH...Muhd Muslim Ahmad menjalani latihan di Stadium Nasional, semalam.

KETUA jurulatih negara, Datuk K Rajagobal menggesa peminat tempatan mempamerkan semangat patriotik apabila hadir menyaksikan perlawanan persahabatan Harimau Malaya menentang Liverpool petang ini.

Pengendali yang menjulang Piala AFF 2010 dan pingat emas Sukan Sea 2009 itu jelas kurang senang dengan suasana 'Gelombang Merah' yang memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil ketika menentang Arsenal pada Rabu lalu.


"Saya mengharapkan mereka akan lebih patriotik kali ini. Saya menasihatkan mereka untuk memakai jersi biru (jersi kedua Malaysia) namun saya tidak melarang mereka untuk menyokong kelab luar.

"Saya tidak faham dalam keadaan genting seperti ini kenapa mereka tidak menyokong skuad negara. Mereka perlu berfikir dengan bijak untuk membandingkan pasukan mana yang lebih penting untuk disokong," katanya.


Tambahnya ia mungkin memberi impak positif untuk pemain negara bangkit memberikan tentangan kepada lawan, malah pemain luar (Arsenal) memuji aksi pemain negara yang menggambarkan permainan Malaysia bagus pada separuh masa pertama.


"Gol mudah dan sepakan penalti pada peringkat awal mengubah permainan. Peminat perlu faham Malaysia adalah negara mereka namun bukan semuanya bersikap seperti itu kerana ia membabitkan sebahagian peminat saja," katanya.

Rajagobal menggalas tugas berat petang ini untuk mengembalikan semula rentak sebenar permainan Harimau Malaya selepas aksi hambar menentang Arsenal sehingga diaib dengan kekalahan 4-0.


Beliau dijangka membuat beberapa perubahan dalam kesebelasan utama terutamanya bagi menggantikan pemain pertahanan, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak dan penyerang berbisanya, Norshahrul Idlan Talaha.

Antara yang mungkin mendapat kepercayaan untuk berada dalam kesebelasan utama adalah gandingkan penyerang Ahmad Fakri Saarani dan Abdul Hadi Yahaya selain memasukkan pemain sayap kanan, Baddrol Bakhtiar serta Mohd Muslim Ahmad menggantikan Mohd Aidil Zafuan.


Mohd Safee Sali pula berkemungkinan turun sebagai pemain gantian kerana Rajagobal pastinya tidak mahu kehilangan penyerang Pelita Jaya itu selepas kecederaan hamstring Norshahrul masih tidak menentu.


"Saya masih mempunyai Izzaq Faris Ramlan yang baru dipanggil bagi membantu jentera serangan selain Ismail Faruqi. Sekiranya diturunkan ini adalah peluang untuk kedua-duanya membuktikan sesuatu bagi diserap dalam skuad ke Singapura," katanya.

Prestasi positif

Posted: 15 Jul 2011 08:42 PM PDT

METERAI...Syed Faisal (kiri) bertukar dokumen dengan Kim pada majlis menandatangani SOC, semalam.
METERAI...Syed Faisal (kiri) bertukar dokumen dengan Kim pada majlis menandatangani SOC, semalam.

POS Malaysia Bhd mengunjurkan catatan prestasi kewangan lebih baik pada suku kewangan kedua tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu apabila inisiatif pelan transformasi yang dilaksanakan sejak tahun lalu menampakkan kesan positif.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Syed Faisal Albar berkata, inisiatif itu memecah rekod apabila pendapatan yang diperoleh pada tahun 2010 melebihi RM1 bilion.


"Pada suku kewangan pertama 2011, Pos Malaysia memperoleh keuntungan operasi RM51 juta dan kami jangka pada suku kedua juga baik berbanding tahun lalu.

"Kejayaan ini hasil keberkesanan program transformasi dengan memperkenalkan 39 inisiatif," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani Penyataan Kerjasama (SOC) antara Pos Malaysia Bhd dan Korea Post di Kuala Lumpur, semalam.


Turut hadir, Presiden Korea Post, Myong-ryong Kim.


Majlis tandatangan itu bagi meningkatkan kerjasama dua hala ke arah memantap tahap perkhidmatan pos antara kedua-dua negara dalam melaksanakan pembangunan, permodenan industri pos serta perkongsian maklumat.

Menurut Syed Faisal, Pos Malaysia melaksanakan enam daripada 39 inisiatif program transformasi dengan memberi tumpuan kepada bidang mengukuhkan perkhidmatan pos manakala 33 inisiatif yang lain sedang dilaksanakan.


Berhubung perjanjian yang ditandatangani, Syed Faisal berkata, kerjasama itu menumpukan kepada usaha pemodenan pos dan pembangunan postal IT. Pos Malaysia melabur untuk mendapatkan kepakaran Korea Post serta menyumbang kepada pembangunan pos di rantau Asia Pasifik.

Menerusi kerjasama itu, kedua-dua organisasi akan saling bertukar pandangan dan membantu dalam aspek pos untuk mencari peluang perniagaan baru, membangunkan rangkaian pos, meningkatkan perkhidmatan pelanggan serta bersama menjalankan peranan yang lebih aktif dalam menyumbang ke arah peningkatan perkhidmatan pos di rantau Asia Pasifik. Kerjasama itu juga termasuk dalam bidang promosi dan meningkatkan perkhidmatan EMS, membangunkan e-perniagaan antara kedua-dua organisasi dan permodenan infrastruktur.

Jawatan KP Finas, Ahmad Idham Selesa Tutup Mulut

Posted: 15 Jul 2011 08:41 PM PDT

Ahmad Idham

PETALING JAYA: Pengarah dan penerbit filem Ahmad Idham Ahmad Nadzri (Ahmad Idham) enggan mengulas mengenai desas-desus yang sekali lagi mengaitkan dirinya sebagai calon untuk jawatan Ketua Pengarah (KP) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang baru selepas kontrak Mohd Mahyidin Mustakim berakhir pada 30 Jun lalu.

Menurut Ahmad Idham, selepas kontroversi yang mencalarkan reputasinya kerana didakwa melobi untuk jawatan itu kecoh diperkatakan pada tahun lalu, dia lebih selesa untuk berdiam diri.

"Saya susah hendak komen atau cakap banyak tentang desas-desus yang mengaitkan nama saya sekali lagi untuk jawatan KP Finas itu.

"Selepas apa yang berlaku pada tahun lalu, saya lebih senang untuk berdiam diri selagi tiada pengesahan secara rasmi atau hitam putih mengenai pelantikan itu," katanya kepada mStar Online.

Tambah pengarah filem Senjakala ini, susulan kekecohan yang timbul di kalangan penggiat industri dan media mengenai jawatan tersebut, ia telah menampakkan imej yang negatif pada industri seni tanah air.

"Orang boleh cakap dan cerita apa saja tetapi bagi saya selagi kita tidak tahu siapa pun calon pilihan pihak kementerian, adalah lebih baik isu ini tidak digembar-gemburkan.

"Buat masa ini, memang saya tidak mendapat apa-apa pengesahan atau pertemuan secara rasmi dengan pihak kementerian. Sebaiknya kita berdiam diri dan menyerahkan kepada pihak berwajib untuk membuat keputusan mereka," katanya yang tidak keberatan untuk menggalas cabaran itu.

Selepas kontrak KP Finas yang dipimpin oleh Mohd Mahyidin Mustakim berakhir pada 30 Jun lalu, jawatan itu dipangku oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Finas, Fatimah Ahmad buat sementara waktu.

Mahyidin yang memegang jawatan itu selama empat tahun sepatutnya tamat kontrak pada 15 Ogos tahun lalu.

Namun, kontrak tersebut diperbaharui dan dilanjutkan beberapa kali atas kepercayaan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim susulan siri kontroversi perebutan jawatan itu di kalangan penggiat industri.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Idham kini sedang sibuk menghabiskan baki penggambaran filem romantik terbaru arahannya iaitu Gerimis Mengundang di Sabah.

Zakiah Anas Dedah Rahsia Jadi Langsing

Posted: 15 Jul 2011 08:40 PM PDT

Zakiah Anas keluarkan produk pelangsingan dan anti selulit, Anaz.

PETALING JAYA: Personaliti TV3, Zakiah Anas sedia berkongsi rahsia kecantikannya dengan kemunculan produk pelangsingan dan anti selulit, Anaz.

Produk yang didatangkan dalam bentuk krim beraroma terapi itu dijual pada harga RM49.90 di Semenanjung Malaysia manakala RM54.90 di Sabah dan Sarawak.

"Sebelum ini, ramai yang bertanyakan rahsia kelangsingan tubuh saya. Jadi, sekarang ini saya sudah ada jawapannya iaitu gunalah Anaz.

"Anaz mampu membantu mengurangkan lemak dan selulit, memberikan bau aromaterapi yang menenangkan, melancarkan perjalanan darah, mengurangkan toksin dan meningkatkan sistem pencernaan," katanya kepada mStar Online.

Tambah pengacara program 360 dan 999 ini: "Seperti wanita lain, saya juga pernah mengalami masalah bentuk badan tidak seimbang terutama selepas melahirkan anak kedua kira-kira 15 tahun lalu.

"Saya pernah mencuba pelbagai produk pelangsingan untuk mendapatkan kembali bentuk badan asal. Namun saya amat berhati-hati dengan lambakan produk pelangsingan di pasaran sehinggalah saya menemui sebuah produk yang menggunakan pati minyak yang menyelesaikan masalah perut buncit dan selulit."

Dia yang sedang melalui proses penceraian dengan suaminya, Mohamad Yusof @ Mohamed Yusof Taib mahu menjadikan bidang perniagaan sebagai rezeki tambahan untuk menyara kehidupannya pada masa akan datang.

Anaz merupakan produk tempatan yang dihasilkan oleh Anaz Concept dan dikilang di Melaka.

Untuk mendapatkan Anaz, hubungi 03-62750834 atau hantar e-mel ke anaz.concept@ymail.com.

Mas Muharni Kagumi Safura Bawa Watak Pelacur

Posted: 15 Jul 2011 08:39 PM PDT

KUALA LUMPUR: Sekian lama bergelar pelakon sejak lebih dua tahun lalu, baru sekarang Mas Normuharni Sheikhah Mohd. Sattar, 25, (Mas Muharni) berpeluang mendukung watak selain pelajar.

Menurutnya, dia akan memberikan kelainan dengan melakonkan watak seorang pelacur kelas atasan menerusi telefilem Sujud Di Sejadah terbitan RTM.

"Saya menjadikan pelakon Safura sebagai rujukan untuk menjiwai watak pelacur kelas atasan kerana sebelum ini dia pernah melakonkan watak tersebut dalam sebuah drama.

"Saya menonton semula drama lakonannya itu dari segi pergerakan dan cara bercakap di kalangan pelacur," ujarnya kepada mStar Online.

Biarpun beranggapan seorang pelacur kelas atasan tidak semestinya perlu bergaya seksi, Mas tetap bersedia apa sahaja kemungkinan yang akan berlaku bagi menjayakan watak tersebut.

"Saya tahu RTM mempunyai garis panduan pakaian yang ditetapkan. Walaupun saya cuba mengelak daripada berpakaian seksi, tetapi saya tidak kisah untuk melakukannya jika perlu dalam cerita ini," katanya yang sedang menjalani penggambaran drama Siti Maryam untuk TV AlHijrah.

Selepas selesai penggambaran Siti Maryam, Mas dijangka akan memasuki penggambaran Sujud Di Sejadah pula sebelum meneruskan penggambaran drama 13 episod Suara Banduan pada hujung bulan ini.

Dalam perkembangan lain, pelakon drama Sjundai ini akui berat badannya semakin menurun iaitu dari 50 kilogram (kg) kepada 46 kg selepas giat berkunjung ke gimnasium sejak dua bulan lalu tambahan pula dirinya kurang selera makan.

Sepanjang bulan Ramadan depan, Mas yang sedang menantikan kemunculan filem terbarunya, Senario The Movie Ops Pocot akan membantu rakannya menjual Roti John di Bazar Ramadhan sekitar Kinrara, Puchong.

Deejay Aanantha Kongsi Pengalaman Hidup

Posted: 15 Jul 2011 08:38 PM PDT

SHAH ALAM: Pelakon, penyanyi, dan penyampai radio THR Raaga, deejay Aanantha mengakui seronok berkongsi pengalaman dan kisah hidupnya bersama 20 orang kanak-kanak yang menyertai Bengkel Bakat – Persona pada pertengahan Jun lalu.

Jelas Aanantha, pengalaman dan kesukaran yang pernah dilalui untuk mencapai kejayaan dijadikan panduan kepada kanak-kanak yang mempunyai minat yang sama sepertinya.

"Perjalanan hidup sehingga saya sampai ke tahap hari ini bukanlah mudah. Sebahagian daripada kesukaran yang dihadapi datang daripada tiadanya tempat untuk saya meminta nasihat bagi membantu saya mengejar impian.

"Ditambah pula dengan harapan ibu bapa yang inginkan saya mencari kerja makan gaji yang pada anggapan mereka lebih sesuai.

"Namun begitu, segala kerja keras, keyakinan diri dan ketabahan akhirnya telah membuahkan hasil, kerana kini saya boleh mengatakan dengan bangga bahawa saya pada hari ini sedang menjalani kehidupan yang saya minati dan impikan," kata ketika ditemui di sini, Khamis.

Bengkel yang dianjurkan sempena pelantikannya sebagai duta kempen Persona Sememangnya Lebih Sempurna bertujuan mendedahkan tentang kelebihan daripada aktiviti sukan, kesenian dan muzik ke dalam kehidupan mereka.

Bengkel ini juga mendapat kerjasama dengan The Actors Studio Academy bagi melatih dan merealisasikan keyakinan menyuarakan pendapat di kalangan kanak-kanak melalui teater dan seni.

Selain Aanantha, kempen yang bermula April sehingga Ogos itu turut disertai oleh dua penyampai radio lain iaitu Dj Lin dari Suria FM dan Jack Lim (MY FM) sebagai simbolik kepada slogan 1Malaysia.

Menurut Aanantha, pelbagai acara dalam program tersebut adalah tertumpu kepada lakonan menerusi permainan teater, seni vokal melalui persembahan lagu dan tarian menerusi reka tari pop.

"Kanak-kanak tersebut didedahkan dengan lakonan, komunikasi dan penampilan peranan apabila mereka ditugaskan untuk melakonkan watak-watak dalam persekitaran lazim, dan dari situ, mereka akan berkongsi pengalaman dan perasaan apabila mereka memainkan sendiri watak orang lain.

"Pada hari kedua, kanak-kanak berpeluang untuk mendengar ceramah dari Datuk Faridah Merican yang bercerita tentang perjalanan kerjaya beliau di pentas dan di televisyen.

"Acara kemuncak pada hari tersebut adalah apabila kanak-kanak tersebut membuat persembahan muzikal berdasarkan apa yang telah mereka pelajari daripada bengkel," katanya.

Seterusnya, DJ Aanantha telah memilih tiga orang kanak-kanak daripada bengkel tersebut, di mana beliau akan menjadi mentor mereka secara peribadi sepanjang tempoh kempen 'Persona, Sememangnya Lebih Sempurna'.

Mereka akan diberi panduan dan dibimbing untuk mengembangkan lagi bakat dan keyakinan mereka dan akan ditampilkan di dalam video muzik DJ Aanantha yang baharu.

Maklumat Siapakah Koreografer Super Junior Bocor

Posted: 15 Jul 2011 08:37 PM PDT

BEKAS ahli kumpulan Black Beat dan juga pengarah persembahan SM Entertainment, Shim Jae Won menyebarkan sebuah gambar melalui Twitter miliknya yang dipercayai mengenai maklumat tentang koreografi untuk album kelima kumpulan Super Junior.

Shim Jae Won menulis "Junior kita selamanya, Super Junior! Saya sedang memikirkan koreografi Super Junior bersama Grogory Hwang," ujarnya seperti dipetik allkpop.com.

Grogory Hwang juga merupakan salah seorang koreografer kumpulan popular dari Korea itu.

Menerusi tulisan tersebut, dia juga melampirkan sebuah gambar bekas minuman dengan label nama-nama anggota Super Junior yang dikatakan posisi kedudukan mereka dalam lagu baru yang sedang dalam pembikinan.

Snape Watak Paling Digemari Dalam 'Harry Potter'

Posted: 15 Jul 2011 08:35 PM PDT

Severus Snape dalam filem Harry Potter

DARIPADA beberapa karakter dalam filem adaptasi novel Harry Potter, watak antagonis Severus Snape merupakan watak paling digemari penonton.

Watak guru yang dilakonkan oleh Alan Rickman itu mendapat tempat pertama dalam carta undian yang dibuat oleh majalah Empire.

Tempat kedua paling digemari ialah watak sahabat kepada Harry iaitu Ron Weastley yang dilakonkan oleh Rupert Grint.

Apa yang menghairankan ialah watak utama iaitu Harry Potter yang dilakonkan oleh Danial Radcliffe hanya berjaya menduduki tempat ketiga.

Menurut penulis majalah tersebut, watak Snape dipilih kerana karakter dan jalan cerita terhadap watak tersebut adalah di luar jangkaan penonton.

"Snape adalah karakter yang sangat hebat, ia rumit dan mengejutkan, tidak seperti apa yang kami sangka.

"Bagi saya Snape adalah watak yang paling sukar dan sangat penting dalam cerita ini berbanding hero," ujarnya.

Manakala watak Hermione Granger yang dimainkan oleh Emma Watson dan ayahnya Sirius Black melengkapi lima kedudukan carta watak kegemaran penonton.

Berikut adalah carta watak dalam filem Harry Potter yang menjadi kegemaran:

1. Severus Snape

2. Ron Weasley

3. Harry Potter

4. Hermione Granger

5. Sirius Black

6. Remus Lupin

7. Albus Dumbledore

8. Neville Longbottom

9. Dobby The Elf

10. Luna Lovegood

11. Fred Weasley

12. Lord Voldemort

13. Rubeus Hagrid

14. Bellatrix Lestrange

15. George Weasley

16. Draco Malfoy

17. Lucius Malfoy

18. Ginny Weasley

19. Professor Minerva McGonagall

20. Alastor "Mad-Eye" Moody

21. Molly Weasley

22. Nymphodora Tonks

23. Gilderoy Lockhart

24. Dolores Umbridge

25. Hedwig

Kacak, glamor bukan ukuran

Posted: 15 Jul 2011 08:34 PM PDT

pix_middle

RUPA yang kacak? Glamor? Kedua-dua ciri ini nampaknya tidak tersenarai langsung sebagai tarikan buat sekumpulan wanita yang juga antara peminat setia kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris, Liverpool FC.

Berkesempatan berbicara dengan keempat-empat wanita berkenaan yang juga kakitangan Bank Standard Chartered, Melissa Chong Mei Lan, 33, Ashira Fahra Ramli, 22, Faye Liew Pei Fei, 35, dan Sabrina Nisha Nathan, 29, mereka berasa tidak perlu 'disogok' dengan daya tarikan sedemikian untuk menjadi peminat bola sepak.

  • Foto

    ASHIRA FAHRA...yakin kelab mampu menunjukkan prestasi lebih baik musim depan.

  • Foto

    FAYE...namakan dua anak sempena pemain Liverpool.

  • Foto

    SABRINA NISHA...bukan lagi tarikan rupa paras.

  • Foto

    MELISSA...menabung untuk ke Anfield.

Saat suka mahupun apabila kelab itu dilanda detik mengecewakan, peminat sejati Liverpool FC tidak pernah beralih arah.

Begitu juga Melissa yang tidak pernah beralih minat ke kelab bola sepak lain biarpun kelab kesayangannya itu banyak menempuh saat mendukacitakan sejak beberapa tahun ini.


"Apa sekalipun yang berlaku, minat saya kepada kelab ini tidak pernah pudar. Apa yang saya lihat, semangat bersatu padu peminat kelab ini sendiri memang mengagumkan, malah peminatnya benar-benar setia pada kelab ini.


"Mungkin ada yang kata wanita meminati bola sepak kerana pemainnya yang tampan tetapi bagi saya, cinta pada kelab ini sudah berputik sejak kecil lagi, mungkin sejak saya dilahirkan kerana ayah peminat Liverpool. Ia semacam berada dalam DNA saya pula," katanya yang juga menyedari minatnya pada bola sepak hadir tanpa paksaan sesiapa.

Bertugas sebagai Pengurus Kad Kredit dan Pinjaman Peribadi Standard Chartered, anak kelahiran Kuala Lumpur ini mengakui kemenangan Liverpool menjuarai Liga Juara-Juara Eropah di Istanbul pada 2005 antara kenangan manis yang terus mekar di ingatannya.

Tidak hanya memiliki jersi bersulamkan namanya, Melissa jarang berenggang dengan rantai berloket Liverpool yang sentiasa dikalung pada lehernya.

Himpunan barangan cenderahati lain dimilikinya termasuk botol air, topi dan kafling malah dia turut menabung untuk menyempurnakan cita-citanya menjejakkan kaki ke stadium Anfield.

"Saya berhasrat untuk ke sana tahun hadapan bersama rakan dan hingga kini, tabungan yang saya kumpul daripada wang makan tengah hari saya itu sudah mencapai kira-kira 70 peratus daripada jumlah kos untuk ke sana," kata peminat Ian Rush ini.

Ashira Fahra, termuda antara kelompok peminat wanita ini namun sejurus tiba gilirannya untuk mengutarakan pendapat, peminat ketua pasukan, Steven Gerrard dan penyerang yang baru menyertai kelab berkenaan, Luis Suarez ini kelihatan banyak benar idea yang mahu dikongsi.

"Suarez penjaring gol yang sangat berpotensi untuk melonjakkan kembali pasukan ini. Malah dalam tempoh kemunculannya yang agak singkat, dia banyak menjaringkan gol.

"Jika sebelum ini ramai yang mengharapkan Torres (bekas penyerang, Fernando Torres) tetapi nampaknya keputusannya meninggalkan Liverpool untuk ke Chelsea tidak merugikan kelab ini," kata gadis yang berkhidmat sebagai eksekutif perancangan perniagaan di bank berkenaan.

Cintanya pada Liverpool sudah bersemi sejak kira-kira 11 tahun lalu kerana abangnya yang meminati kelab berkenaan. Anak bongsu daripada empat beradik yang berasal dari Johor Bahru, Johor ini juga tidak kurang pujiannya untuk pengurus kelab, Kenny Dalglish yang dianggapnya terbaik untuk mengendalikan kelab itu kini.

"Menerusi pengalamannya, dia mampu memanfaatkannya untuk kelab ini malah barisan pemain untuk musim ini juga agak bagus yang sangat diperlukan untuk menghadapi musim depan dengan lebih baik," katanya yang turut memanjangkan minatnya pada bola sepak dengan bermain futsal sejak kira-kira lima tahun lalu.

Bakal melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Sains Perniagaan Antarabangsa di Universiti Kent September ini, Ashira akui tidak akan melepaskan peluang untuk menonton perlawanan Liverpool semasa berada di United Kingdom kelak.

Faye juga peminat Gerrard malah dua anak lelakinya dinamakan sempena dua pemain kelab terbabit.

Cintanya pada Liverpool bermula sejak mengenali teman lelakinya (kini suaminya), malah mereka sering menonton perlawanan bersama setiap hujung minggu. Bagai pengulas sukan, selepas perlawanan, mereka berbincang pula mengenai prestasi permainan.

Sama-sama punya minat serupa justeru tidak sukar bagi pasangan ini membuat keputusan mengenai nama anak-anak. Lantas anak lelaki mereka dinamakan Gerrard, 4, dan seorang lagi Lucas, 2, manakala anak sulung pasangan ini pula anak perempuan yang kini berusia sembilan tahun.

"Gerrard memang kegemaran saya kerana cara dia bermain. Hantaran jauhnya antara yang saya gemari.

"Dia tidak hanya matang merancang permainan malah bagi saya, seseorang yang mampu mengawal pasukannya," kata wanita yang meminati kelab ini sejak 12 tahun lalu.

Malah sejak 12 tahun lalu juga, Faye mengumpul jersi yang digunakan Liverpool untuk bertanding di gelanggang sendiri (Anfield) dan gelanggang lawan, yang juga antara koleksinya paling berharga.

"Liverpool mungkin bukan pasukan paling baik di dunia tetapi ia sentiasa dan selama�nya terbaik di hati saya," katanya.

Terus terang, Sabrina Nisha akui minatnya pada Liverpool baru saja bermula malah lebih jujur, dia asalnya meminati bola sepak kerana tarikan rupa paras.

"Gerrard agak tampan juga tetapi lama kelamaan saya sedar dia mempunyai lebih daripada sekadar rupa.

"Menyaksikan permainannya, bagi saya dia mempunyai kualiti seorang ketua pasukan sejati. Dia menyokong pasukannya dan proaktif apabila berada di padang," katanya.

Teman lelaki gadis manis ini bukanlah peminat bola sepak tetapi itu tidak memadamkan minatnya. Malah untuk terus melebarkan minatnya, dia mula bermain futsal sejak lebih setahun lalu serta merancang untuk bermain untuk pasukan bank tempat dia bekerja.

Kesempatan berbicara mengenai minat sekumpulan wanita ini terhadap dunia bola sepak adalah sempena Jelajah Asia 2011 pasukan Liverpool FC yang julung kali hadir di negara ini untuk perlawanan bersama pasukan Malaysia pada hari ini mulai jam 5.45 petang di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Tanda tanya Mulan

Posted: 15 Jul 2011 08:29 PM PDT

  • Foto

  • Foto

Gosip lahir anak hasil hubungan dengan Ahmad Dhani

HINGGA saat ini, Mulan Jameela terus bungkam dan enggan memberi jawapan pasti mengenai gosip yang berhembus apabila diberitakan melahirkan anak hasil hubungan dengan Ahmad Dhani, Februari lalu. Penyanyi Makhluk Tuhan Paling Seksi itu tegar mempertahankan pendiriannya untuk tidak berkongsi hal peribadi.
Malah pemilik nama lengkap, Raden Terry Tantri Wulansari itu sering mempamerkan raut wajah kurang selesa apabila ditanya mengenai kelahiran anak ketiganya itu.
"Saya tidak perlu memberi pengesahan, sama ada iya atau sebaliknya. Saya faham bagaimana berita tersebar. Media mempunyai alasan kenapa ada berita seperti itu.

"Pemberitaan seperti itu adalah sebahagian daripada lumrah pekerjaan saya. Saya tidak perlu memberi pengesahan," kata wanita kelahiran Garut, Jawa Barat itu yang masih membiarkan hal yang terus diperkatakan menjadi tanda tanya.

Lantaran tindakan Mulan, 31, yang terus mengunci rapat mulutnya, bertiup pula cerita Mulan berpura-pura hamil untuk mempromosikan album terbarunya, 99.

Ini berikutan kemunculan pertama bekas duo Ratu itu pada Mei lalu selepas empat bulan menyepikan diri, tidak kelihatan seperti wanita yang baru selesai berpantang. Tidak kurang yang membuat kesimpulan, gosip itu sengaja dicetuskan oleh pengurusannya, Republik Cinta Management untuk menghangatkan semula kemunculannya.
"Saya jalani semuanya dengan ikhlas. Hidup itu sendiri tidak sentiasa bahagia, ada ketika saya juga harus berdepan pelbagai hal yang kurang enak. Saya telan saja setiap berita dan masalah tanpa membiarkannya menjadi beban kepada diri. Saya tidak perlu takut atau mengelak kerana lumrah pekerjaan ini yang menuntut saya sentiasa berdepan pihak media," katanya.

Mulan yang turut dilaporkan sudah bernikah secara rahsia dengan Ahmad Dhani, akur jika gosip itu terus menular kerana sebelum ini dia mengambil keputusan untuk menyepikan diri seketika daripada muncul di layar kaca.

Bagi Mulan, dia berbuat demikian bukan kerana ingin melarikan diri tetapi atas permintaan pengurusannya yang mahukannya memberi fokus penuh apabila album terbarunya dilancarkan.

"Label merancang untuk mengedarkan dua album serentak iaitu 99 Volume 1 dan 99 Volume 2. Ia bukan projek kecil, malah menuntut perhatian dan fokus tinggi.

"Atas sebab itu, saya cuma mengikut strategi label. Terpulang apa saja persepsi orang ramai, saya enggan mengambil pusing semua itu," katanya.

Meskipun kerap diterpa pelbagai isu kontroversi, Mulan terus menjalani kehidupannya sebagai seorang ibu kepada dua anak hasil perkahwinan pertamanya, Tyarani Savitri dan Muhammad Rafly Aziz. Pelbagai khabar yang bertiup dan memberikan citra negatif kepada dirinya, fokus Mulan tidak sesekali berubah untuk mendidik anaknya menjadi manusia berguna.

"Siapa pun saya, sama ada bergelar suri rumah atau mempunyai kerjaya tetap saya tidak akan sesekali membelakangi keperluan keluarga.

Bukan kerana menetap di Jakarta membentuk saya menjadi ibu yang lebih tegas kerana di mana-mana pun saya sama saja. Anak harus dididik dengan disiplin jika mahu selamat," katanya.

Mulan mengakui, dia menerapkan disiplin yang tinggi kepada dua anaknya yang sedang membesar. Biarpun begitu, hubungan Mulan dan anaknya tetap akrab dan tidak kaku.

"Hubungan saya dan anak seperti teman. Anak sulung saya sudah berusia 11 tahun, jadi banyak yang harus dititikberatkan. Zaman sudah berubah, mahu atau tidak saya harus menyesuaikan diri untuk berusaha menjadi ibu yang mendidik anak mengikut peredaran masa," katanya.

Di sebalik kesibukannya, Mulan sering akan mencuri masa ke dapur untuk memasak makanan kegemaran anaknya. Menyajikan air tangan sendiri kata Mulan, memberi kebahagiaan yang sukar diungkap dengan perkataan.

"Sejak dulu lagi saya sering memasak untuk anak. Mereka juga gemar menikmati makanan, jadi apa saja permintaan anak-anak akan saya cuba lunaskan," katanya.

Cerita itu rekaan: Ahmad Dhani

KENYATAAN bekas suami Mulan, Harry Nugraha mengenai kelahiran bayi perempuan seperti yang dilaporkan sebuah tabloid memaksa Dhani untuk bersuara.

Baginya, apa yang dilaporkan itu adalah satu pembohongan kerana Harry mengakui, laporan itu jauh tersasar daripada wawancara yang dilakukan.

"Ia tidak benar. Harry sendiri memberitahu saya dia tidak pernah diwawancara mengenai perkara itu. Semuanya adalah rekaan pengarang media berkenaan," kata Dhani mengulas laporan yang diputarbelitkan itu.

Harry yang kecewa dengan apa yang berlaku berhasrat untuk melaporkan perkara itu kepada Dewan Pers (Persatuan Wartawan), malah Dhani sendiri bersedia menjadi orang tengah dalam usaha mencari titik penyelesaian.

Dhani turut menjelaskan, dia bersimpati dengan Harry yang terpaksa menanggung beban gara-gara laporan tidak bertanggungjawab itu.

"Saya sudah biasa, cuma Harry sedikit terkilan kerana namanya dikaitkan dengan kenyataan yang tidak pernah keluar dari dirinya.

Saya tidak rugi apa-apa kerana bayi itu dikatakan cantik. Kalau bayi itu sebaliknya, mungkin saya berasa rugi," kata Dhani yang apabila ditanya mengenai kesahihan berita kelahiran itu pantas menjawab: "Oh! Itu rahsia".

Mesti Tonton: Kisah realiti remaja masa kini

Posted: 15 Jul 2011 08:24 PM PDT

pix_gal0
Take Me Home Tonight komedi buat penonton seronok

Filem: Take Me Home Tonight
Genre: Komedi Pengarah: Michael Dowse Pelakon: Topher Grace, Anna Faris, Dan Fogler, Teresa Palmer, Chris Pratt, Michael Biehn
Tayangan: Mulai 21 Julai 2011

SEBUAH persembahan komedi ringan serta santai, Take Me Home Tonight adalah cereka yang mendekati kehidupan dan perjuangan anak-anak muda untuk menentukan hala tuju serta masa depan mereka, secara tidak langsung menunjukkan perubahan dalam peringkat umur bukanlah semudah yang digambarkan.

Filem arahan Micheal Dowse, berlatar belakangkan lewat era 1980-an. Ia berkisar mengenai Matt Franklin, watak utama yang dibawakan Topher Grace, pelajar cemerlang di sekolahnya yang meletak jawatan sebagai petugas makmal bergaji tinggi dan memilih untuk meneruskan hidup dengan bekerja sambilan di sebuah kedai muzik, Suncoast Video.

Dari situ, wujudnya satu demi satu krisis, ditambah lagi tekanan daripada bapanya yang sentiasa mengharapkan yang terbaik daripadanya. Sebagai pelajar cemerlang yang begitu dikenali ramai, memang ramai beranggapan Matt mampu berjaya dalam kariernya. Namun, di sebaliknya, Matt terperangkap dengan pilihannya sendiri.
Kejayaan di sekolah tinggi bukanlah lesen memastikan seseorang itu akan mendapat kejayaan dalam alam kerjaya. Melihat kepada kejayaan diperoleh kawannya, sekali gus menambahkan lagi tekanan. Namun tidak semua bernasib baik. Kawan baiknya sejak Gred 5, Barry Nathan (Dan Fogler) dirunding malang apabila dipecat daripada pekerjaannya.

Manakala adik kembarnya, Wendy Franklin (Anna Faris) tersepit antara pilihan hidup, sama ada untuk meneruskan pengajian di England ataupun memilih untuk mendirikan rumah tangga bersama teman lelakinya, Kyle Masterson (Chris Pratt).

Di sebalik itu, munculnya Tori Frederking (Teresa Palmer), gadis cantik yang menjadi idaman Matt sejak sekolah lagi. Gadis itu tiba-tiba pulang ke Los Angeles, secara tidak langsung membuatkan Matt berasa teruja dan berusaha untuk merealisasikan impiannya yang sekian lama dinanti-nantikan, iaitu memikat hatinya.

Pelbagai adegan dan aksi melucukan dalam usaha Matt menarik perhatian Tori yang dipaparkan Dowse, pengarah yang juga merangkap penulis skrip untuk filem komedi romantik ini. Seperti katanya, filem ini kuat menyentuh dunia realiti yang dilalui remaja masa kini dan jalan ceritanya banyak mengambil inspirasi pengalaman yang pernah dihadapi pelakon utama merangkap penerbit, Grace serta penerbit bersama, Gordon Kaywin.

Take Me Home Tonight adalah filem menghiburkan dan menyegarkan bersama barisan karakter diwujudkan juga memberi nilai pengajaran menyenangkan. Malah, persahabatan antara Matt dan Bryan, kasih di antara hubungan kekeluargaan Franklin, serta gandingan Matt dan Tori turut memantapkan plot cerita.

Namun, filem ini hanya sesuai untuk tontonan mereka berusia 18 tahun ke atas saja dek kewujudan babak berbaur seksual, bahasa kasar yang digunakan serta elemen penggunaan najis dadah dalam pengisiannya. Filem berdurasi 97 minit ini akan ditayangkan di pawagam terdekat anda mulai 21 Julai ini.

Carta pecah panggung
1 - Transformers: Dark of the Moon
2 - Mr Popper's Penguins
3 - Sekali Lagi
4 - Tolong! Awek Aku Pontianak
5 - Monte Carlo
6 - Treasure Inn
7 - Green Lantern
8 - Venghai
9 - Rasuk
10 - X-Men: First Class

Farah AF kini bergelar isteri Johan

Posted: 15 Jul 2011 07:57 PM PDT

Dengan hanya sekali lafaz, pengacara popular program, Nasi Lemak Kopi O, yang juga merupakan bekas pelajar Akademi Fantasia musim kedua, Farah Diana Anuar atau Farah selamat diijab kabulkan dengan lelaki pilihannya, Johan Johari, di atas Kapal Cruise di Putrajaya pada jam 4.30 petang tadi.

Di nikahkan oleh mantan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad bin Datuk Sheikh Abdul Aziz, Farah juga diwalikan oleh bapanya sendiri dan disaksikan oleh lebih 200 orang yang turut berada di atas cruise ketika itu. Menerima wang hantaran sebanyak RM 25 185, Farah juga menerima enam lagi dulang barang hantaran antaranya, sebuah Ipad, beg tangan, minyak wangi, sirih junjung, cincin dan gelang, dan mas kahwin bernilai RM 2 500, manakala pihak pengantin lelaki pula menerima sembilan dulang hantaran yang berupa sebuah jam tangan, tali pinggang, senaskah Al Quran, sehelai kemeja, kek, cincin, coklat dan manisan.

Melahirkan rasa syukur kehadrat ilahi atas kelancaran majlis ini, menurut Farah, dia mula mengenali Johan sejak tahun 2005 lagi, dan melihat keprihatin yang ada dalam diri Johan terhadapnya, membuatkan dia yakin bahawa Johan adalah pilihan terbaik untuk dijadikan suaminya.

"Mama saya pernah pesan, carilah suami yang sayangkan diri kita lebih daripada segala-galanya, bila bersama Johan, saya yakin dengannya. Dia sering mengutamakan saya dari segala hal, dan yang paling penting sekali saya lihat dia ikhlas,"jelas Farah.

"Setiap kali melihat Farah bersama keluarganya dan kadang kala bila membawa Farah berjumpa keluarga saya, saya lihat dia boleh terima mereka. Kami sama kepala, dan senang bersama,"jelas Johan pula.

Bercerita tentang perancangan selepas berkahwin, jelas Farah dia masih terus mengacarakan program Nasi Lemak Kopi O, namun menurut Farah, dia kini akan mengikut suaminya menetap di Pulau Pinang.

"Tentang komitmen kerja, pada hari-hari biasa, saya akan berada di Pulau Pinang, bagaimanapun, saya akan pulang ke Kuala Lumpur setiap hujung minggu. Saya masih mengacarakan Nasi Lemak Kopi O, dan menyanyi tetapi tidak untuk berlakon, saya tidak akan berlakon lagi selepas ini,"luah Farah yang membuat kejutan untuk suaminya dengan merancang lokasi berbulan madunya di Maldives.

Restu keluarga tangga kejayaan

Posted: 15 Jul 2011 07:57 PM PDT


CHEF Eksekutif, Loh Chon Hor meluangkan masa bersama keluarga dengan masak bersama-sama ketika waktu terluang.


Kegagalan ibu bapa dalam memperlengkapkan diri dengan elemen-elemen yang sepatutnya ada padanya merupakan punca sebenar kegagalan membentuk generasi yang bukan sahaja berilmu bahkan berakhlak mulia.

Pendek kata, ibu bapa harus menjadi cermin ikutan dan contoh teladan yang baik kepada anak-anak mereka dalam apa jua situasi.

Demikianlah juga dengan kisah kehidupan, Chef Eksekutif Loh Chon Hor dari Hotel Intercontinental, Kuala Lumpur.

Berkongsi pengalaman beliau bersama pembaca S3, ibu bapanya banyak mengajar beliau mengenai erti sebuah kehidupan.

"Semasa mula bekerja di hotel, kedua-dua ibu bapa saya tidak suka dengan kerjaya saya dan saya selalu kena marah.

"Mana tidaknya, saya masuk kerja ketika matahari terbit dan pulang lewat malam," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Berasal dari Ipoh, Perak, Chon Hor berkata, bertugas pada musim perayaan merupakan perkara biasa bagi kakitangan di hotel lima bintang.

"Saya pernah bertugas ketika musim perayaan Tahun Baru Cina bukan sekali dua.

"Oleh kerana sering kali tidak berpeluang bersama keluarga ketika musim perayaan, bapa saya pernah mencari kerja baru untuk saya.

"Tapi sayangnya kerja tersebut telah ditawarkan kepada orang lain dan saya terpaksa pulang ke Kuala Lumpur untuk mencari kerja lain," jelasnya.

Ketika kembali semula ke Kuala Lumpur, bapanya semakin memahami minatnya dalam bidang masakan dan beliau memberi dorongan kepadanya.

Chon Hor mula serius dalam bidang ini sejak tahun 1985 dan tugasan pertama beliau ialah sebagai pembantu chef kepada seorang chef masakan Cina yang berasal dari Hong Kong.

"Zaman dahulu tidak ada sekolah yang menawarkan kursus kulinari jadi saya mula bekerja tanpa adanya sebarang sijil ataupun diploma.

"Malah saya tidak tahu apa-apa pun mengenai masakan dan kerja saya hanya untuk membantu chef tersebut menyimpan sayur serta bahan-bahan masakan yang digunakannya selain membasuh pinggan.

"Chef itupun tidak pernah mengajar saya dan dia amat lokek dengan ilmu dan kebolehan masakan yang ada padanya sehingga resipi masakan yang biasanya ditampal di bahagian dapur, disimpannya di dalam poket dan hanya boleh dilihat olehnya sendiri," ujarnya.

Menurutnya, untuk meningkatkan kebolehan beliau dalam bidang masakan, Chon Hor mempelajari cara-cara memasak secara meniru gaya masakan chef tersebut.

Malah Chon Hor juga sanggup mengutip kembali kertas resipi yang dibuang ke dalam tong sampah untuk dijadikan sebagai bahan rujukan.

Tambahnya, pada hujung minggu, Chon Hor akan meluahkan masa bersama keluarga.

"Saya selalu ke pasar untuk membeli barang masakan pada hujung minggu dan bila di rumah saya akan ajak isteri dan anak-anak untuk masak bersama.

"Kami sekeluarga akan melakukan beberapa uji kaji dalam masakan dan selalunya kami akan masak sesuatu berdasarkan buku resipi," katanya.

Rahsia usia panjang dan sihat

Posted: 15 Jul 2011 07:56 PM PDT


SAAD JASIN


PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjangkakan Malaysia akan mencapai status 'negara tua' menjelang 2030, di samping beberapa negara lain seperti Jepun dan rantau Eropah mencapai status sama lebih awal.

Dengan lebih 15 peratus jumlah penduduk sebuah negara terdiri daripada warga emas melangkaui umur 60 tahun, jangka hayat penduduk negara-negara ini juga dijangka terus meningkat melangkaui angka 80 atau 90 tahun.

Maka, bukanlah sesuatu yang pelik apabila semakin ramai warga emas dicatatkan berusia melebihi 100 atau 110 tahun di seluruh dunia, termasuklah di Malaysia.

Dalam pada itu, agak mengelirukan apabila ramai yang mendakwa diri manusia paling tua di dunia dengan senarai nama 10 individu tertua yang masih hidup dan disahkan sentiasa berubah-ubah.

Ini terbukti baru-baru ini apabila individu tertua dunia, Maria Gomes Valentim dari Brazil meninggal dunia pada 21 Jun lalu, seterusnya mengangkat Besse Berry Cooper dari Amerika Syarikat (AS) sebagai individu paling tua yang masih hidup kini.

Sehingga 11 Julai lalu, sembilan daripada 10 individu yang masih hidup dan disahkan paling tua di dunia adalah wanita termasuk Cooper yang berumur 114 tahun, 319 hari.

Lelaki paling tua kini, Jiroemon Kimura dari Jepun berusia 114 tahun, 83 hari berada di tangga keenam.

Secara keseluruhan, empat individu tertua dunia kini tinggal di AS, empat di Jepun, satu di Itali dan satu di Perancis.

Rekod usia manusia tertua yang disahkan masih dipegang wanita Perancis, Jeanne Calment yang berusia 122 tahun, 164 hari ketika meninggal dunia pada 1997 sementara rekod lelaki tertua milik Christian Mortensen dari Denmark yang berusia 115 tahun, 252 hari di akhir hayatnya pada 1998.

Dari sudut rahsia hayat panjang dan kesihatan di usia emas, kebanyakan individu berkenaan mengaitkan faktor pemakanan dan persekitaran yang bersih dan menyihatkan sebagai punca.

Rekod menunjukkan kebanyakan daripada mereka hidup dalam suasana hijau dengan udara dan air bersih, di samping amalan pemakanan tumbuhan hijau dan buah-buahan segar.

Bagi Kimura yang kini lelaki tertua dunia, kesihatan mental dan fizikalnya sehingga kini berkait rapat bukan sahaja dengan jenis makanan malahan jumlahnya.

Dia mengamalkan makan dalam jumlah kecil beberapa kali setiap hari sepanjang bekerja di pejabat pos selama 40 tahun dan kemudian menjadi petani sehingga umur 90 tahun.

Kimura juga mengamalkan bangun awal pagi, gemar bercakap dengan tetamu dan menonton paparan secara langsung debat Parlimen Jepun.

Hayatnya bukan sahaja melangkaui dua orang anak malahan seorang cucu dan dia kini tinggal bersama balu anak sulung serta balu cucunya di Kyoto.

Leila Alice Denmark yang berada di tangga kesembilan senarai tersebut merupakan doktor pediatrik tertua dunia selepas bersara di usia 103 tahun pada Mei 2001 dan merupakan penyelidik yang bersama-sama menghasilkan vaksin batuk kokol pada 1920-an.

Dia merupakan antara doktor terawal menentang amalan merokok berdekatan kanak-kanak, menjaga penggunaan ubat untuk wanita mengandung dan mendakwa berhenti mengambil gula sejak 1930-an lagi.

Denmark juga percaya susu lembu memberi kesan negatif terhadap badan dan mencadangkan kanak-kanak serta orang dewasa sepatutnya hanya meminum air kosong dan memakan buah segar, bukannya jus buah.

Di Malaysia, terdapat ura-ura beberapa individu yang mencapai usia 120 tahun atau lebih tetapi kebanyakannya tidak dapat dibuktikan kerana masalah dokumentasi di awal era kemerdekaan.

Saad Jasin dari Kampung Paya Guring, Pauh, Kangar, Perlis baru-baru ini menyambut ulang tahun ke-100 bersama lima generasi ahli keluarga yang terdiri daripada 76 orang anak, cucu, cicit, ciut dan piut.

Mendakwa dilahirkan pada 7 Julai 1911 tetapi didaftarkan pada 1918, Saad masih kuat bekerja dan mampu berjalan sejauh lima kilometer sehari.

Dia tidak mengamalkan minum kopi dan makanan berminyak, sebaliknya memilih teh dan air kosong bersama nasi berlauk di samping duduk perlahan-lahan ketika bangun tidur untuk mengelakkan ketegangan otot dan tulang.

Inspirasi kembara warisan asli

Posted: 15 Jul 2011 07:54 PM PDT


CAMEL Active kembali dengan koleksi barangan musim luruh dan sejuk terbaharu yang berkualiti tinggi.


DIINSPIRASIKAN oleh para pengembara ekspedisi awal kurun ke-20, Camel Active kembali lagi dengan koleksi barangan musim luruh dan sejuk terbaharu yang berkualiti tinggi.

Berkonsepkan elemen gaya pengembara yang vintaj serta pengaruh retro alpine, ia membawa peminat jenama tersebut ke destinasi pengembaraan merentasi kawasan pedalaman serta urban Rusia.

Kain bulu biri-biri serta kapas yang ringan digabungkan dengan fabrik moden berfungsi seperti karbon serta nilon yang melindungi pengguna yang lasak.

Bersesuaian dengan gaya vintaj serta retro itu, warna koleksi terbaharunya lebih kepada warna seperti asap, kotor, berfros dan berdebu.

Warna fros seperti kelabu dan hijau digandingkan dengan warna petrol dan plum. Warna berkarat, perang serta khakis dilihat menerusi penonjolan warna buah labu dan saffron, manakala warna biru pekerja dan hijau tentera digabungkan dengan warna merah Rusia.

Jaket ala tentera dengan pelindung kepala serta bulu binatang tiruan, disertakan dengan jaket berlengan pendek dan jaket kulit biri-biri memberi penampilan maskulin yang mencengkam badan.

Koleksi ini juga memiliki jaket kulit lengan pendek yang diperbuat daripada kulit anak lembu.

Sebagai tambahan, kot ramping dan blazer turut diberi penampilan baru iaitu disudahi dengan tenunan kasar berbutang tiga yang klasik dengan kolar bulat serta panjang.

Kain tenunan yang besar tetapi ringan dengan rasa lembut seperti tweed dan boucle menyerikan lagi gaya kelelakian.

Corak farisile serta norwegian memberikan rasa musim sejuk kepada koleksi ini sekali gus mewakili tema pengembaraan alpine. Ia turut didatangkan dengan warna corak di bahagian dalam hingga ke luar.

Selain itu, ciri-ciri polos dan kemeja T yang asas melengkapi lapisan pelindung dengan gaya keseluruhan yang diinspirasikan daripada pengembara vintaj.

Tema baru koleksi Camel Active kali ini adalah jaket berbutang. Dalam koleksi tersebut, pemakai akan kelihatan ramping dengan corak kekotak yang banyak poket ala tentera dengan pelapik di bahagian bahu.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan model terbaharu Camel Active, boleh kunjungi kedai berjenama tersebut di gedung membeli-belah berdekatan anda.

Pengembaraan zaman dahulu

Posted: 15 Jul 2011 07:52 PM PDT


HARIS menunjukkan hasil ilustrasi watak yang digunakan dalam siri kartun Upin dan Ipin.


Walaupun demikian, haiwan tersebut kini telah pupus dan hanya boleh dibuktikan secara saintifik berdasarkan kesan tapak kaki dan fosil-fosil tulang dinosaur.

Minggu ini, S3 bertemu dengan Ketua Pelukis Konsep Animasi, Mohd. Haris Amran, 27, di Les' Copaque Production Sdn. Bhd., Jalan Boling Padang, Seksyen 13, Shah Alam, Selangor.

Selepas kejayaan yang telah diraih oleh filem animasi Geng: Pengembaraan Bermula dan siri kartun Upin dan Ipin; Les' Copaque kembali lagi dengan siri terbaru, Pada Zaman Dahulu.

Siri kartun tersebut mengisahkan mengenai kehidupan pelbagai watak dinosaur yang dihidupkan kembali dalam bentuk animasi.

Bagaimanapun, siri tersebut masih lagi dalam proses pembikinan dan bakal ditayangkan tidak lama lagi.

Mohd. Haris berkata, kebanyakan idea untuk menghasilkan konsep rekaan animasi Pada Zaman Dahulu itu didapati ketika berada di Zoo Negara.

"Ketika berada di Zoo Negara, saya mendapat ilham untuk menghasilkan sebuah cerita berdasarkan latarbelakang zaman dahulu ketika meneliti pergerakan haiwan-haiwan yang terdapat di sana dan saya ambil gambar untuk dijadikan sebagai bahan rujukan ketika menghasilkan imej lakaran haiwan zaman batu," jelasnya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau berkata, setiap episod yang dihasilkan itu mengambil masa selama dua hingga tiga minggu untuk menyiapkan proses penghasilan animasi.

"Setakat ini, kami telah berjaya siapkan sehingga empat episod. Proses animasi ini tidak semudah melukis, sebab itu ia mengambil masa yang agak panjang untuk menghasilkannya.

"Biasanya proses tersebut mengambil beberapa langkah penghasilan yang penting seperti selepas saya mendapat skrip, saya akan lakukan kerja-kerja menghasilkan konsep watak-watak berdasarkan skrip tersebut," katanya.

Bercerita mengenai pembabitan beliau dalam industri animasi, Mohd. Haris mula menceburi bidang itu sejak tiga tahun lepas.

Katanya, sejak dari kecil beliau meminati siri kartun animasi dan secara tidak langsung beliau bercita-cita untuk bekerja di dalam bidang tersebut.

Selepas menamatkan pengajian dalam bidang Seni Lukis Grafik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), beliau diterima untuk berkhidmat di bawah Les' Copaque Production.

Dari situ, beliau semakin berminat untuk mendalami bidang animasi.

"Saya minat melukis sejak dari kecil. Bagi saya melukis dan rekaan visual animasi memberikan gambaran yang sama dalam menyampaikan perasaan ataupun emosi yang ditimbulkan.

"Lukisan boleh berdiri dengan sendiri dalam menyampaikan mesejnya sebaliknya visual animasi memerlukan kemahiran tertentu untuk menghasilkan sesebuah cerita," jelasnya.

Menurutnya, cara untuk menghasilkan konsep animasi terpulang kepada individu itu sendiri dan baginya beliau lebih gemar menggunakan perisian komputer untuk memudahkan kerja-kerja hariannya.

"Bantuan perisian komputer memudahkan kerja saya kerana ia lebih cepat dan bersih dan ia tidak hadkan asalkan ia mudah difahami dan diterima ramai," ujarnya.

Pertembungan benua di Istanbul

Posted: 15 Jul 2011 07:52 PM PDT


ISTANBUL yang dipenuhi keindahan seni bina dari zaman-berzaman.


Kehebatan tamadunnya bermula lebih awal berbanding kerajaan yang ada di dunia. Tanahnya menjadi saksi jatuh dan bangun empayar-empayar terhebat seperti Rom, Byzantine dan Uthmaniyyah.

Namun anda tidak akan sampai ke Turki jika terus membelek ketebalan sejarahnya. Cara terbaik untuk menyaksikan kehebatan itu adalah dengan terbang ke sana dan menyaksikannya sendiri.

Bagi yang mengagumi sejarah, Turki adalah destinasi terbaik untuk dilawati. Bahkan sehingga kini, khazanah yang tersimpan di perut buminya masih belum habis digali dengan purata 150 ekskavasi baru setiap tahun.

Turki yang mempunyai 10 bandar utama menawarkan seribu satu kepuasan khususnya keindahan seni bina lama, kehalusan budaya dan tarikan alam semula jadi.

Salah satu daripada kota yang paling dikunjungi di negara republik itu adalah Istanbul. Bandar di tepi Selat Bosphorus yang terletak di antara Laut Hitam dan Laut Marmara, bersempadan dengan Bulgaria dan Greece.

Istanbul yang dahulunya dikenali sebagai Konstantinopel dengan populasi 20 juta penduduk merupakan salah satu daripada bandar utama di Eropah. Bukan itu sahaja, ia juga satu daripada destinasi paling dikunjungi di dunia.

Tahun lalu, Kesatuan Eropah menobatkan 'jambatan' yang menghubungkan Eropah dan Asia Barat itu sebagai Pusat Kebudayaan Eropah sekali gus merancakkan lagi industri pelancongan Turki.

Namun melawat Istanbul bukan semata-mata kerana tinggalan sejarahnya. Selain keindahan seni bina, ia juga dikunjungi kerana kehalusan budaya dan beraneka sajian makanan.

Salah satu daripada tarikan paling dikunjungi di Istanbul adalah Masjid Biru atau namanya Masjid Sultan Ahmed yang pernah menjadi pusat pentadbiran Khalifah Uthmaniyyah.

Dibina antara tahun 1609 hingga 1619, kehebatan seni bina Islam yang masih utuh berdiri itu adalah ikon pelancongan yang menghiasi poskad dan barang-barang cenderahati. Ia boleh dibezakan melalui enam batang menara berbentuk pensil dan kubah gergasi berwarna kelabu kebiruan.

Selain struktur yang gah, melawat Masjid Biru juga memberi peluang kepada pelancong menyaksikan keindahan hiasan dalaman yang dipenuhi kaligrafi ayat-ayat suci al-Quran.

Masjid yang pernah menjadi simbol penyatuan rakyat itu merangkumi pelbagai kemudahan sosial termasuk hospital, kolej, perpustakaan, pasar, dapur dan makam keluarga.

Selain Masjid Biru, Istanbul juga dipenuhi dengan seni bina yang melambangkan kegemilangan Islam pada masa lampau. Antara tarikan lain di Istanbul termasuk Masjid Suleyman, Masjid Fethiye dan Muzium Aya Sofia yang pernah berfungsi sebagai masjid dan gereja.

Untuk melihat susunan kota Istanbul dan keindahan bandar yang melata disekelilingnya, pelancong boleh melawat Menara Galata yang terletak tidak jauh dari muka muara Golden Horn.

Menara setinggi 70 meter yang mempunyai bumbung berbentuk kon itu merupakan menara batu tertua di dunia yang juga antara tarikan utama di Istanbul.

Dibina menggunakan kayu pada ketinggian 35 meter dari paras laut pada zaman Byzantine, ia diperkukuh semula dengan binaan batu pada 1348. Selepas penaklukan kerajaan Uthmaniyyah, Menara Galata dijadikan penjara sebelum berfungsi sebagai menara peninjauan bandar.

Dari puncak menara itu, pelawat boleh menyaksikan sebahagian besar daripada kota Istanbul yang mengadap muara Golden Horn antaranya Istana Topkapi, Masjid Biru, Masjid Suleyman, Aya Sopia, Masjid Yeni, Jambatan Galata dan Menara Beyazit.

Menara Galata beroperasi dengan dua lif yang membawa pelawat dari pintu masuk ke puncak menara yang turut dilengkapi restoran dan ruang tinjau.

Istanbul sememangnya tidak dapat dipisahkan dengan keagungan zaman pemerintahan Uthamaniyyah dan seni binanya. Salah satu daripada kehebatan itu adalah Istana Topkapi yang terletak tidak jauh dari tebingan Sungai Bophorus, sempadan antara dua benua.

Selain menjadi bekas kediaman para pemerintah Khalifah Uthmaniyyah selama hampir 400 tahun (1465-1856), istana yang ditukar menjadi muzium oleh Presiden pertama Turki, Mustafa Kamal Attaturk itu turut menyimpan khazanah Islam yang tidak ternilai termasuk pedang dan kain mantel Nabi Muhammad.

Pada masa kini, tarikan utama di situ dimeriahkan dengan penganjuran majlis kerajaan, keraian dan hiburan.

Istana berkeluasan 700,000 meter persegi yang dilindungi oleh tembok sepanjang lima kilometer mempunyai empat laman dan bangunan-bangunan kecil. Pada zamannya, Istana Topkapi memuatkan kira-kira 4,000 penghuni pada satu-satu masa.

Satu lagi cara terbaik untuk kembali ke zaman kegemilangan kota itu adalah dengan menaiki bot persiaran di sepanjang Sungai Bosphorus.

Menyusuri perairan tersebut menyajikan keindahan bandar yang dipenuhi struktur bersejarah seperti Istana Dolmabahce, Kubu Rumeli, Besiktas, Sariyer dan Kanlica.

Persiaran yang bermula seawal pukul 10.30 pagi itu akan singgah di Kubu Anadolu untuk sesi kunjungan dan makan tengah hari sebelum ia berakhir di Eminonu.

Selain keindahan kota, Istanbul juga dikenali dengan produk dan barangan tempatan seperti karpet, perhiasan, barang kemas dan rempah-ratus. Bazar Utama Kapali Carsi merupakan satu lagi tarikan wajib di Istanbul.

Bazar yang menempatkan kira-kira 4,000 gerai di kawasan meliputi 50 lorong itu menerima kira-kira suku hingga setengah juta pelawat setiap hari, menjadikannya antara yang terbesar di dunia.

Bazar Kapali Carsi dibuka oleh Sultan Mehmed II pada 1461. Keluasan bazar berkenaan boleh dibayangkan melalui penyediaan dua buah masjid di dalam kawasan itu, barisan restoran dan air pancut yang disediakan untuk istirehat.

Bagi yang tidak kisah mengembara lebih jauh ke bahagian tengah Turki, keunikan kawasan pergunungan Cappadocia juga antara pilihan yang menyajikan pelancong seribu kejutan.

Cappadocia merupakan penempatan masyarakat Persia kuno di lereng bukit yang dibina dengan cara menebuk batu untuk dijadikan kediaman.

Penempatan sejak dari Zaman Gangsa yang dikelilingi formasi batu berbentuk kon itu merupakan tarikan pelancongan paling popular di Anatolia, bahagian tengah Turki.

Kayuh 'fixie' di tengah malam

Posted: 15 Jul 2011 07:51 PM PDT


PARA remaja ini memastikan lampu belakang menyala sebagai langkah keselamatan sepanjang melakukan aktiviti berbasikal malam di Kota Bharu, Kelantan.


KETIKA kebanyakan penghuni Kota Bharu, Kelantan sudah tidur dan berada di rumah masing-masing, suasana tengah malam di ibu negeri Kelantan itu mula diisi dengan kemunculan ramai anak muda yang kadangkala jumlahnya mencecah ratusan orang.

Di mana-mana sahaja tempat yang menjadi tumpuan orang ramai seperti Wakaf Che Yeh dan beberapa kedai makan di tepi Sungai Kelantan, mereka muncul dengan basikal fixie yang berwarna-warni.

Kemunculan anak-anak muda tidak kira lelaki atau perempuan bersiar-siar di sekitar bandar dengan menunggang basikal pada waktu malam kini menjadi satu senario yang baharu di Kelantan.

Tidak dapat dipastikan siapa yang memulakannya, namun memiliki sebuah basikal fixie kini seolah-olah menjadi satu kemestian kepada remaja di Kota Bharu.

Ketika ditemui S2 baru-baru ini, anak-anak muda ini memilih waktu malam untuk berbasikal di sekitar bandar sebagai salah satu aktiviti riadah terutama ketika jalan raya agak lengang.

Badrul Hisham, 19, dari Pantai Cahaya Bulan berkata, setiap malam bermula pukul 10 malam dia bersama rakan-rakannya akan berbasikal ke mana sahaja sekitar bandar ini.

"Memang bagus berbasikal pada waktu malam sebab ia menyihatkan badan, selain dapat menghirup udara sejuk pada waktu malam dan meluangkan masa bersama rakan-rakan.

"Setiap malam, kalau ada kelapangan, saya akan keluar berbasikal. Kadang kala pada cuti hujung minggu, saya hanya balik ke rumah sekitar pukul 2 pagi," katanya.

Ketika pertemuan kira-kira pukul 12 tengah malam itu, Badrul yang bekerja di sebuah pusat beli-belah di sini bersama lebih 10 rakannya yang masing-masing mempunyai basikal fixie sendiri, sedang berlegar-legar di hadapan Istana Balai Besar kerana kawasannya luas dan sesuai untuk aktiviti berbasikal secara berkumpulan.

Seorang rakannya, Epy Rozi, 17, berkata, ada kalanya mereka sanggup berbasikal dari Pengkalan Chepa sehingga ke Pantai Cahaya Bulan yang jaraknya hampir 20 kilometer semata-mata mahukan kepuasan.

"Memang seronok sebab dapat tengok keadaan sekitar pada waktu malam dan kereta juga tidak banyak. Saya sudah buat aktiviti ini sejak empat bulan lalu.

"Selalunya, kami akan pergi ke kawasan sekitar pusat beli-belah Tesco terlebih dahulu dan selepas itu, barulah kami akan berkumpul bersama kumpulan lain di belakang Hotel Grand Riverview," katanya.

Menurut Epy yang masih belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pintu Geng, dia sanggup mengumpul wang sendiri sehingga cukup untuk membeli sebuah basikal fixie yang berharga RM480.

Sementara itu, jika dilihat dari sudut positif, aktiviti mengayuh basikal fixie pada waktu malam sekurang-kurangnya dapat mengelak remaja-remaja ini daripada terjebak dengan gejala lumba haram yang semakin menjadi ketagihan segelintir golongan muda.

Beberapa remaja yang ditemui mengaku pernah terjebak dengan lumba haram sebelum ini sehinggalah mereka beralih kepada aktiviti berbasikal yang lebih santai dan menyihatkan.

Muhammad Aslam Che Muhammad Nasir, 17, berkata, selain menyihatkan badan, menunggang basikal melatih dirinya untuk lebih berhati-hati dan ia sangat berbeza dengan aktiviti bermotosikal yang pernah dilakukannya.

"Dahulu, saya memang suka berlumba. Kalau dapat bawa motor keluar waktu malam memang mahu berlumba dengan rakan-rakan sehingga membahayakan diri sendiri dan orang lain.

"Tetapi bila ada basikal, ia jadi lain. Saya kini sudah tak minat berlumba haram, sebaliknya setiap malam saya akan cari masa untuk keluar berbasikal dengan rakan-rakan kerana ia lebih kepada gaya hidup sihat," kata pelajar SMK Kota itu.

Enaknya itik golek MekQ

Posted: 15 Jul 2011 07:50 PM PDT


ITIK dan ayam golek yang telah diperap akan dimasukkan ke dalam alat ini untuk dipanggang sehingga masak.


ADA dalam kalangan kita yang gemar menikmati daging itik mengeluh kerana sukar mendapatkan hidangan yang halal. Ini kerana sajian berasaskan itik terutama itik golek banyak ditemui di kedai makan Cina, kecuali di restoran di hotel-hotel yang mengadakan promosi masakan berasaskan itik.

Namun 'kesusahan' itu berakhir kini apabila sebuah restoran berkonsepkan makanan segera, MekQ dibuka di pasar raya Giant, Kota Damansara, Selangor.

Set itik golek yang dihidangkan itu meliputi nasi berwarna-warni yang dinamakan Mountain Rice, jagung, coleslaw dan dua jenis sambal iaitu sambal hijau dan sambal merah.

Kenapa dinamakan nasi berwarna-warni itu Mountain Rice? Ia kerana pemiliknya, Muhamad Muqharabbin Mokthtaruddin atau lebih dikenali Qobin mahu mengabadikan segala kenangan mendaki gunung termasuk gunung tertinggi dunia, Gunung Everest pada restoran tersebut.

S2 yang meninjau hiasan dalaman restoran itu turut tertarik melihat dekorasi yang ringkas tetapi mempunyai cerita di sebalik aktiviti yang digemarinya itu.

Mengulas lanjut tentang sajian itik golek, katanya, ia dipilih bagi memberi peluang kepada penggemar itik Muslim menikmatinya tanpa was-was.

"Saya ingin mencuba sesuatu yang berbeza dan alhamdulillah, pertaruhan ini berjaya apabila semakin ramai yang datang ke MekQ meminta hidangan itik golek," katanya.

MekQ dibuka kerana tapak gerai asalnya di Pantai Dalam bakal diruntuhkan dalam masa dua bulan ini. Menurutnya, gerai di Pantai Dalam itu dimiliki ibu angkatnya dan gerai itu pernah mencatatkan rekod jualan sebanyak 1,600 ekor ayam sehari.

"Semasa saya belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM), saya membantu ibu angkat menjual ayam golek di Pantai Dalam. Saya melihat adunan rempah yang digunakan untuk memerap ayam, berapa lama tempoh perap dan lain-lain.

"Saya minta ibu angkat memberitahu rahsia ramuan tersebut. Syukur ibu angkat mahu berkongsi resipi walaupun tidak semua yang diberi," ujarnya.

Dengan pengetahuan itu, beliau mencuba beberapa kali dengan mengubah suai resipi yang diberi termasuk memasukkan ramuan yang dibawa khas dari Thailand.

Kini, dengan ramuan sendiri, Qobin berjaya menghasilkan itik dan ayam golek yang lazat. Antara bahan yang digunakan sebagai bahan perap adalah ketumbar, kicap soya, bawang merah, bawang putih, jintan dan lain-lain yang dikisar untuk dijadikan rempah perap.

Tanpa menggunakan minyak, ayam dan itik akan dilumur dengan bahan perap sehingga rata, sebelum diperap antara lima jam sehingga dua hari.

Menurutnya, ayam yang diperap itu akan dimasak menggunakan mesin khas iaitu ia dibiarkan berpusing sendiri sehingga masak.

"Kalau ayam atau itik yang diperap selepas dua hari tidak habis dijual, ia akan dibuang. Ini kerana saya mementingkan kualiti," ujarnya yang dibantu 16 pekerja.

Mengenai minuman istimewa, beliau mempertaruhkan Sjora iaitu jus mangga yang dicampur dengan buah pic.

"MekQ kini dalam perancangan untuk menyediakan set untuk kanak-kanak, selain minuman yang dinamakan Snow Blue Water iaitu minuman segera yang disediakan seperti snoppy," tambahnya penuh yakin.

Untuk mereka yang sekadar mahu menghirup minuman panas atau sejuk tanpa mahu 'makan besar' dan melepak bersama rakan-rakan, MekQ menyediakan biskut rangup dan mufin yang dibuat sendiri oleh ibu mertuanya.

"Kalau susah sangat nak mendapatkan itik golek yang halal, singgah sahaja di MekQ untuk menikmatinya," ujarnya.

Berbulan madu di 'rumah pokok'

Posted: 15 Jul 2011 07:47 PM PDT


RUMAH pokok setinggi enam meter yang dibina sepenuhnya menggunakan kayu berlian menjadi tarikan utama di Permai Rainforest Resort, Kuching, Sarawak.


SEBUT sahaja bulan madu, ramai pasangan pengantin baru pasti terbayangkan saat-saat manis yang bakal diharung sepanjang tempoh itu.

Malah, mana-mana pengantin baru pun akan tersenyum sendirian penuh makna memikirkan detik indah menyemai bibit-bibit cinta bersama pasangan.

Bagi pasangan mempelai yang inginkan pengalaman berbeza ketika berbulan madu, ruangan ini mencadangkan anda berkunjung ke Permai Rainforest Resort (Permai Rainforest) yang terletak di Santubong, kira-kira 25 kilometer dari bandar raya Kuching, Sarawak.

Persis syurga idaman, tarikan utama resort yang dimiliki sepenuhnya oleh Sarawak Economic Development Corporation (SEDC) ini adalah rumah pokok setinggi enam meter dari aras tanah yang diilhamkan daripada cara hidup masyarakat Iban.

Bayangkan, berdua-duaan bersama insan tercinta pada ketinggian enam meter tanpa sebarang gangguan pengunjung lain yang lalu lalang. Yang ada cuma desiran dedaun ditiup angin sepoi-sepoi bahasa dan bunyi-bunyian unggas yang cukup mendamaikan jiwa.

Tambah mengasyikkan adalah pemandangan yang menjadi latar belakang rumah pokok ini, iaitu gabungan hutan hujan tropika di kaki Gunung Santubong bersama Laut Cina Selatan yang luas terbentang di hadapan mata.

Jangan risau tentang keselesaan dan keselamatan kerana dua aspek penting itu tidak pernah diabaikan pihak pengurusan. Meskipun berkonsepkan belantara dan dibina menggunakan kayu sepenuhnya, rumah ini tetap dilengkapi perabot dan kemudahan bertaraf hotel, lengkap dengan ciri-ciri keselamatan di dalamnya.

Di samping tempat penginapan yang unik, resort ini turut menjanjikan pengalaman berbeza buat para pencinta alam. Melalui pakej aktiviti yang ditawarkan, para pengunjung berpeluang meneroka keindahan flora dan fauna di Taman Negara Bako, di samping 'mengintai' si hidung besar monyet Proboscis yang terdapat di situ serta menyaksikan kelibat ikan lumba-lumba dan penyu di Kepulauan Satang-Talang.

Selain itu, pengalaman mudik Sungai Salak dan kawasan paya pada waktu malam untuk melihat kelip-kelip berterbangan juga mampu membuat sesiapa pun teruja. Tambah mengujakan, pengunjung juga berpeluang menyaksikan Sang Bedal bersantai di sepanjang tebing sungai itu, betul-betul di hadapan mata!

Di tepi pantai pula, selain mandi-manda di laut, antara aktiviti lain yang boleh dilakukan adalah berkayak sambil menikmati keindahan alam. Bagi yang enggan bergelumang dengan pasir, mereka boleh berendam di sebuah kolam semula jadi yang terbentuk dari air sungai di kaki Gunung Santubong.

Alang-alang berada di sini, jangan lepaskan peluang untuk menyelami kesenian dan kebudayaan masyarakat Sarawak yang terdiri daripada pelbagai etnik di Kampung Budaya Santubong (SCV) yang terletak bersebelahan resort ini.

Menurut Pengurus Operasi Permai Rainforest, Andan Zamahari, bagi mempelai yang ingin berbulan madu, pihaknya menawarkan dua pakej penginapan di rumah pokok berserta santapan dan layanan istimewa serba romantis serendah RM350 seorang.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan