RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Saling hormat, hargai masa

Posted: 14 Jul 2011 08:13 PM PDT

pix_gal0
Aaron Aziz berasakan kelebihan yang dimiliki adalah bonus kepada dirinya

TIDAK dinafikan antara tarikan Aaron Aziz ialah memilik rupa tampan selain susuk tubuh yang menarik seperti kebanyakan pelakon lelaki dalam filem Hollywood.
Menerusi susuk tubuh seperti itu, memang dilihat secocok untuk melakonkan watak aksi atau lasak, terutama membabitkan adegan pertarungan seperti dilihat dalam filem KL Gangster.
Aaron mengaku apa yang dimiliki itu adalah aset pada dirinya. Namun, pelakon berusia 35 tahun tetap berasakan bukan mudah untuk mengukuhkan nama dalam dunia hiburan kalau tidak memberikan hasil yang baik dan berkesan kepada penonton, baik filem atau drama.

Tidak meletakkan statusnya yang sudah berkeluarga sebagai halangan untuk kekal berjaya, bapa kepada tiga cahaya mata ini menganggap apa saja tawaran yang diterima adalah rezeki untuk anak-anaknya juga.

"Tiada rahsia tetapi saya terima apa saja tawaran yang datang janji bersesuaian dengan saya cuma kita jangan terlampau berasa selesa jika berada di satu tahap yang dianggap baik.

"Walaupun orang menganggap saya semakin laris tetapi bagi saya itu belum cukup untuk meletakkan nama saya di tahap memuaskan kerana banyak lagi yang perlu saya terokai," jelasnya.
Selepas filem KL Gangster, wajah Aaron sering dilihat menghiasi drama di TV3 tetapi dia tidak pernah menganggap dirinya ikon drama di stesen TV terbabit.

Drama terbaru lakonannya, Stanza Cinta adalah cabaran baru buat dirinya yang dianggap satu penceritaan yang dramatik dan menyentuh perasaan.

"Jalan ceritanya tidaklah seromantik drama Nora Elena sebab ada pelbagai situasi dramatik dan menarik yang menyentuh perasaan. Malah dalam drama ini saya kena menangis dan kena tunjukkan satu karektor yang boleh menyentuh perasaan penonton," jelasnya.

Naskhah yang di adaptasi daripada sebuah novel itu mempunyai plot penceritaan yang mendalam tentang hubungan percintaan sesama insan dan Ilahi sehingga mampu mengubah sikap serta karektor seorang lelaki.

Sementara itu, Aaron turut meminta bakat baru dalam lakonan supaya menghormati orang lama dengan mematuhi disiplin masa yang ditetapkan ketika penggambaran sesuatu produksi.

Dia turut menegur segelintir muka baru dalam dunia hiburan supaya tidak menggunakan laman sosial seperti twitter dan facebook sebagai ruang untuk mengutuk atau mencaci orang lain dengan menggambarkan dirinya (golongan artis baru) seperti lebih bagus daripada orang ain.

Katanya, Twitter dan Facebook sepatutnya digunakan sebagai medium kepada artis untuk berkongsi dengan peminat mengenai sesuatu pengalaman yang dilalui seperti cerita di sebalik tabir sesebuah penggambaran drama atau filem.

"Twitter adalah ruang bebas untuk kita luahkan perasaan kerana dengan cara ini kita akan berasa tenang dan dalam masa yang sama berharap dapat menyedarkannya.

"Perkara ini tidak berlaku pada saya tetapi pada pelakon yang lebih senior dari saya jadi sebagai pelakon senior saya terasa juga sebab pelakon baru berperangai macam ini dan tidak menghormati masa orang lain," katanya.

Meskipun cara terbabit dianggap kurang berkesan bagi menyedarkan artis terbabit, namun ia dianggap medium terbaik agar tidak mengguris perasaan antara satu sama lain.

Biarpun sukar untuk memberikan kesedaran, Aaron menganggap dengan cara terbabit dapat membuka mata artis lain yang akan bekerjasama dengan pelakon terbabit.

Walaupun sudah lama dalam industri ini serta banyak membintangi drama dan filem, Aaron amat mementingkan masa dan menghargai pelakon lain serta kru produksi.

Baginya, ketepatan masa amat penting dalam tugas sehariannya kerana dapat mendisiplinkan diri serta menghormati masa orang lain agar tidak terbuang.

Di mana cantiknya wanita Solehah?

Posted: 14 Jul 2011 07:36 PM PDT

Syed Shahridzan (kanan) dan Pensyarah Universiti Malaya, Seripah Zain Syed Ali sebagai juri pada sesi uji bakat program Solehah.
Syed Shahridzan (kanan) dan Pensyarah Universiti Malaya, Seripah Zain Syed Ali sebagai juri pada sesi uji bakat program Solehah.
TIDAK semua wanita mempunyai keberanian untuk melontarkan permasalahan mereka kepada pendakwa lelaki.

Ini mungkin sifat malu yang memang sudah sebati dengan diri, membuatkan kebanyakan wanita memilih untuk menyembunyikan apa yang sepatutnya dilontarkan.
Eksekutif Penyelidikan Editorial TV Alhijrah, Syed Shahridzan Syed Mohamed menjelaskan, adalah lebih baik kalau setiap permasalahan seperti kedudukan wanita, penyusuan ibu, isu pembuangan bayi dan masalah berkahwin lewat dibicarakan dari hati ke hati bersama pendakwah wanita.
Menurutnya, alangkah indah dengan berbekal segala kecantikan yang dimiliki, golongan Muslimah ini berada di barisan hadapan untuk sama-sama menggerakkan mida masyarakat ke arah cahaya Illahi tanpa membelakangkan ketetapan syarak.

"Kecantikan wanita Solehah itu terlihat apabila ilmu menjadi benteng jiwanya, auratnya sentiasa dipelihara, pergaulannya dibatasi, pertuturannya penuh hormat dan rendah diri, sifat malunya menjadi pengikat nurani dan kepetahannya menjadi saluran untuk memartabatkan agama tercinta," katanya ketika sesi uji bakat program Solehah terbitan TV Alhijrah di Kelantan dan Terengganu.

Syed Shahridzan adalah antara barisan juri yang dilantik untuk memilih 10 calon terbaik yang akan bergelar peserta Solehah.

Memiliki Ijazah Sarjana Bahasa dan Linguistik Arab dan pengalaman berdakwah melebihi 10 tahun, beliau berpendapat, wanita cantik juga diperlukan dalam urusan dakwah.
"Dakwah adalah wajib. Oleh itu setiap insan harus melaksanakannya dalam apa juga lapangan, menggunakan pendekatan sesuai dengan zaman sekarang. Tidak timbul isu suri rumah tidak boleh berdakwah di luar dari kerangka halaman rumah mereka kerana ia adalah satu keperluan sosial.

"Bukankah merugikan kalau bakat dan ilmu yang ada tidak diguna pakai. Apa yang penting, masa harus dibahagi sebaiknya. Harus bijak menggunakan dan memanfaatkan sumber yang ada," katanya lagi.

Syed Shahridzan berkata, menjadi pendakwah di kalangan wanita bukanlah taboo atau dianggap pantang dan ia juga bukan perkara baru.

Katanya, dalam sejarah Islam, akan dapat lihat bagaimana Sayyidah Aisyah, isteri Nabi Muhamad s.a.w, terkenal dengan peranannya menyampaikan Hadith Baginda SAW, ilmu dan mengeluarkan fatwa pada umat ketika itu sama ada dari kalangan lelaki dan wanita.

"Dalam masa yang sama beliau adalah isteri Solehah yang bijak menguruskan rumah tangga," katanya.

Selain Kelantan dan Terengganu, sesi uji bakat program Solehah ini sudah dilakukan di Pahang pada 9 dan 10 Julai, Johor (16 & 17 Julai) sebelum ke Sabak dan Sarawak pada 23 dan 24 Julai.

"Saya mengharapkan kehadiran lebih ramai wanita yang memiliki semangat dakwah agar kebolehan itu akan menjadi manfaat kepada negara. Kami ikhlas ingin mencari, mendidik dan membentuk pendakwah wanita agar menjadi inspirasi kepada masyarakat masa kini.

"Jadikan Solehah sebagai platform permulaan mengorak langkah lebih jauh. Siapa tahu anda adalah pendakwah yang kami cari," katanya.

Layari laman sesawang TV AlHijrah di www.tvalhijrah.com/solehah untuk maklumat lanjut atau hubungi talian 03-22601677 sambungan 206/245/247.

Hazama rasa bersalah dengan MUH!

Posted: 14 Jul 2011 07:34 PM PDT

Hazama merindui MUH

Pernah sama-sama beraksi diatas pentas, nama Hazama sememangnya begitu sinonim dengan band indie popular Meet Uncle Hussien (MUH). Bahkan pertama kali dia beraksi diatas pentas bersama band itu, ramai yang bersetuju sekiranya dia menjadi pengganti kepada vokalis MUH yang sebelum ini dipegang oleh Azlan berikutan suara mereka yang hampir sama.

Malah tidak terketerlaluan jika dikatakan nama Hazama mula dikenali ramai setelah lelaki ini dikaitkan dengan MUH berbanding penglibatannya dalam Akademi Fantasia (AF) musim keempat yang lalu.

Mengambil keputusan untuk turut serta dalam AF yang terakhir beberapa bulan yang lalu, Hazama akur apabila dia terpaksa melepaskan MUH biarpun pada ketika itu dia baru sahaja selesai merakamkan single terbaru bersama MUH yang berjudul Pokok.

"Saya bukan ahli MUH, selama ini saya hanya bekerjasama dengan mereka, namun saya tidak menolak pandangan yang mengatakan nama saya mula dikenali disebabkan mereka.

"Saya rindukan MUH, malah semenjak keluar daripada AF, saya masih belum berpeluang bertemu mereka lagi. Untuk bekerjasama dengan mereka, Insya-Allah saya langsung tidak keberatan, cuma sekarang ini jadual saya terikat dengan AESB.

"Sebenarnya, saya rasa bersalah dengan MUH. Dari segi persahabatan, jujur saya rasa bersalah dengan mereka, namun dari segi kerjaya, saya harus memilih jalan yang betul dan tepat.

"Sebelum mencuba nasib semula dalam AF, saya ada beritahu MUH bahawa ada tawaran dari Astro untuk saya kembali semula ke AF, dan mereka ajak saya duduk berbincang. Tapi sehari sebelum saya terima tawaran Astro, saya hanya memberitahu pada mereka melalui sms, bahawa keputusan saya adalah menerima semula AF. Dan selepas itu, tiada jawapan dari pihak MUH, saya berharap sangat mereka tidak berkecil hati.

"Saya suka lagu-lagu MUH, mereka memang berbakat dalam penulisan lirik dan lagu. Saya sangat berterima kasih kepada mereka kerana sudi bekerjasama dengan saya sebelum ini,"jelas Hazama.

Bertanya tentang perkembangan terbarunya selepas sebulan bergelar juara AF9 ini, luah Hazama dia kini mengikut sahaja perancangan daripada syarikat AESB.

Hazama masi berminat untuk bekerjasama dengan MUH

"Saya ada plan nak buat lagu-lagu sendiri, dan sekarang ni juga saya sudah ada beberapa lagu milik saya sendiri, namun masih belum dibincangkan dengan pihak Astro.

"Selepas habis program Hey Hazama, saya sibuk dengan persiapan konsert antara juara-juara AF, dan untuk perancangan lain, masih belum diberitahu.

"Memang banyak beza antara sebelum ini dan sekarang, kini hidup saya lebih sibuk. Walaupun tidak dengan rakaman lagu ataupun program, saya sibuk dengan fotoshot-fotoshot khas yang diatur oleh Astro, lebih-lebih lagi menjelang raya ini.

"Saya masih mentah dalam dunia ini, banyak perkara yang masih belum saya fahami dan yang paling saya takut adalah bab komunikasi. Dulu saya memang gagal dalam berkomunikasi dengan baik, dan selepas menyertai AF, saya cara saya sudah jauh lebih baik,"luahnya.

Biarpun sibuk, Hazama masih lagi berminat untuk meneruskan pelajarannya. Mengambil ijazah dalam bidang Komunikasi di Universiti Utara Malaysia, jelas Hazama dia seronok menyambung pelajaran secara jarak jauh itu.

"Saya gembira belajar, lebih-lebih lagi dalam kelas saya, semua pelajar adalah dalam golongan artis. Walaupun mengambil masa yang lama, kerana saya mengambil pengajian jarak jauh, tapi saya rasa setakat ini itu sahaja yang mampu saya lakukan. Untuk belajar sepenuh masa itu tak mungkin kerana jadual saya sentiasa sibuk lebih-lebih lagi sekarang ini.

"Saya terlepas beberapa kelas sekarang ini sebab terpaksa tumpukan dahulu pada kerjaya, mungkin selepas ini saya perlu ulang semula subjek itu apabila masa sudah boleh diatur dengan baik,"jelasnya yang masih belum ke kelas selepas tamatnya AF.

Promosi besar-besaran FFM24

Posted: 14 Jul 2011 07:33 PM PDT

Festival Filem Malaysia sudah masuk edisi ke-24 tahun ini. Namun penganjuran festival utama bagi penggiat perfileman itu sering dipandang sepi. Jauh beza berbanding penganjuran aneka festival lain di negara ini yang dipandang tinggi serta jadi tumpuan. Lebih-lebih lagi acara yang menghimpunkan penyanyi popular.

Bukan sahaja kehadiran nama besar dalam acarra-acara berkaitan festival filem sebelum ini yang sendu, malah peminat juga tidak ghairah bercakap pasalnya. Malah ada yang tak sedar adanya sesebuah festival. Sedar-sedar ia sudah selesai.

Perkara itu disedari oleh jawatankuasa penganjuran Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24) yang diterajui oleh Gabungan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) sebagai penganjur. Sebelum ini Gafim diberi tugas membantu penganjurnya, Lembaga Kemajuan Filem Nasional (Finas).

"Kami mahu menjalankan promosi besar-besaran agar FFM24 akan lebih disedari oleh masyarakat. Kami sudah memulakan promosi dan ia akan berterusan sehingga malam kemuncak 19 November ini," kata Pengarah Media dan Acara FFM24, Wani Webdy Wong.

Sebab itu pelbagai acara diadakan menjelang malam kemuncak, termasuk pra pelancaran pada 25 Julai ini di Kompleks Kraf Malaysia, majlis berbuka puasa FFM24, Rumah Terbuka Aidilfitri FFM24, Jejalah FFM24, Karnival Walkaton FFM24, pertandingan golf amal, makam malam publisiti dan banyak lagi acara sepanjang hampir empat bulan ini.

"Kami mendapat kerjasama syarikat pengiklan Asia Media yang akan mengiklankan FFM24 di dalam 1,500 bas terpilih di Kuala Lumpur dan luar Kuala Lumpur. Ia meragkumi Rapid KL, Plusliner, Causewaylink dan Nice. Promosi dalam bas akan bermula Ogos ini," kata Wani dalam sidang akhbar pertama di Hotel Ancasa, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Penyertaan sehingga 15 Ogos

FIlem-filem yang ditayangkan mulai 24 Oktober 2010 sehingga filem yang dapat kelulusan tayangan pada atau sebelum 1 Oktober 2011 layak menyertai FFM24. Nampaknya banyak judul filem yang layak bertanding kali ini kerana sejak tahun ini semakin banyak penerbit menghasilkan filem.

Pihak penganjur membuka penyertaan sehingga 15 Ogos ini. Mereka juga berharap pihak penerbit menghantar borang penyertaan segera untuk mengelak masalah yang mungkin berlaku.

"Saya harap penerbit segera menghantar penyertaan sebelum kami menutup penyertaan. Kami anggarkan sebanyak 29 buah filem layak bertanding berdasarkan jadual tayangan masing-masing. Mana-mana produser yang gagal menghantar penyertaan membuatkan filem mereka tidak boleh bertanding," kata Wani.

Selain itu pihak penganjur juga mengalu-alukan penyertaan filem-filem bukan berbahasa Melayu untuk sama-sama memeriahkan FFM24. Pihak penganjur turut membuka penyertaan filem bukan berbahasa Melayu dalam kategori khas. Sekiranya penganjur menerima kurang lima pencalonan, kategori itu tidak akan dipertandingkan.

Sensasi itu asam garam

Kita pernah mendengar macam-macam rungutan dan kritikan setiap kali sesebuah festival filem selesai dan pemenang menerima anugerah masing-masing. Ada yang lantang mempertikai keputusan juri apabila calon yang diramal ramai tidak menang kategori yang dijangka.

Tahun lalu juga penganjur dapat kritikan hebat apabila pengarah muda Syamsul Yusof menang anugerah Pengarah Terbaik. Ada yang kata dia tidak layak sebaliknya ada nama senior lain yang lebih layak terima. Lama kelamaan isu itu senyap dan karyawan kembali rancak menghasilkan produk baru.

Pengarah yang meluahkan rasa kecewa juga sudah kembali mengarah filem baru. Malah Syamsul juga sudah membuktikan kewibawaan sebagai pengarah terbaik apabila mencipta sejarah kutipan filem barunya KL Gangster yang mencecah kutipan melebihi RM12 juta.

Walaupun tidak dinilai oleh barisan juri, filem yang mampu menarik jutaan penonton ke pawagam itu pasti ada mutu yang digemari penonton. Namun nasib KL Gangster dalam FFM24 belum boleh ditentukan berdasarkan kutipan yang tinggi.

"Kami dari Gafim tak rasa tertekan dengan kritikan dan rungutan selepas sesebuah festival selesai. Bagi kami, sensasi itu bagai satu lumrah dan asam garam dalam FFM. Kalau tak ada sensasi, rasanya macam kurang seri festival ini," kata Pengerusi Publisiti dan Promsi FFM24, Ahmad Ibrahim.

Dia juga menafikan penyerahan hak penganjuran kepada Gafim kerana pihak Finas kecewa dengan kritikan yang mereka terima, sebaliknya kerana kerajaan mahu orang seni sendiri menganjurkan festival untuk mereka.

"Sebelum ini Gafim membantu Finas dalam penganjuran FFM. Sebenarnya di mana-mana negara pun tak ada pihak kerajaan yang menganjurkan festival filem mereka, sebaliknya ia dianjurkan oleh penggiat sendiri. Sekarang kerajaan memberi peluang kepada orang seni sendiri menganjurkan FFM, jadi kami akan cuba membuat yang terbaik," kata Ahmad lagi.

Henry Golding Terokai Pulau-Pulau Malaysia

Posted: 14 Jul 2011 07:32 PM PDT

Menyebut nama Henry Golding, pasti ramai yang masih belum mengenali siapa dia sepenuhnya, mungkin ada yang beranggapan lelaki kelahiran Sarawak ini bukan orang Malaysia. Namun bagi pengacara 8tv Quickie ini, biarpun dia masih belum lancar bertutur bahasa Malaysia, namun dirinya masih kuat dengan jati diri negara.

Lahir di Sarawak, Henry kemudiannya dibawa keluarga menetap di Survey sebuah lokasi di selatan London semenjak usianya 2 hingga 4 tahun. Selepas itu, Henry pulang ke Malaysia dan menetap di Dungun, Terengganu selama enam tahun sebelum kembali semula ke Survey.

Sekembalinya dia ke tanah air kira-kira,tiga tahun yang lalu, Henry memulakan kerjayanya dibidang pengacaraan selepas terbabit dengan program 8tv Quickle. Dan kini, dia diberi tanggungjawab besar untuk mengacarakan sebuah program travelog, Without Boundaries yang akan disiarkan di 8TV setiap Rabu, mulai 13 Julai yang lalu.

Mengakui masih belum berkesempatan menjelajah bumi Malaysia sepenuhnya, Henry sangat bersyukur apabila program ini membawanya ke tempat yang belum pernah dilawati sebelum ini.

"Penggambaran sudah tamat dijalankan dan ia mengambil masa selama tiga bulan. Setiap minggu kami dibawa melancong di pulau-pulau yang menarik dan diberi pengalaman baru.Saya gembira menjadi pengacara untuk rancangan ini, lebih-lebih lagi saya diberi peluang pulang ke Terengganu setelah 15 tahun saya tidak pulang ke sana,"jelas Henry.

Memuatkan 10 episod yang padat dengan info dan aktiviti-aktiviti yang menarik sepanjang berada di pulau dan pantai, episod ini akan singgah ke destinasi-destinasi seperti Pulau Perhentian, Pulau Redang, Tenggol, Lang Tengah,Pulau Tioman, Pulau Rawa, Cherating, Langkawi, Pangkor Laut, Sipadan dan Mabul.

Tidak hanya berseronok, Henry juga terlibat dalam kerja-kerja amal sepanjang produksi berlangsung antaranya membantu menyelamatkan penyu-penyu, batu karang, dan menjaga kebersihan pantai.

Memiliki wajah yang kacak, jelas Henry, dia masih bujang dan masih menumpukan soal kerjaya berbanding soal peribadi.

"Usia saya baru 24 tahun dan masih membujang. Saya lebih suka tumpukan kepada satu perkara dalam satu masa, jadi untuk saat ini, saya sedang memberi tumpuan sepenuhnya terhadap kerjaya saya.

"Saya berminat dengan lakonan, dan masih dalam percubaan untuk ke bidang itu, tetapi untuk nyanyian, saya rasa ia mungkin hanya boelh dilakukan didalam bilik air sahaja,"jelasnya berseloroh.

Natasha Hudson bosan bawa watak sama

Posted: 14 Jul 2011 07:04 PM PDT

Natasha masih mahu menyanyi

Natasha Liana Mohd. Redzuan Hudson atau popular dengan gelaran, Natasha Hudson bukanlah seorang yang begitu asing dalam dunia lakonan, biarpun namanya tidaklah begitu gah dipersada ini, dan biarpun belum berjaya menggenggam sebarang trofi kemenangan daripada mana-mana anugerah-anugerah besar, namun rezeki yang ada dalam dirinya begitu besar sekali.

Tidak hanya berjaya menempatkan dirinya di negara Malaysia ini, Natasha juga dikenali di Indonesia melalui bidang peragaan dan lakonan. Namun, pelakon filem Tipu Kanan Tipu Kiri ini bagaimanapun mengakui dia mula berasa bosan dengan watak-watak yang selalu diberikan kepadanya.

"Sekarang ini saya baru sahaja selesai dua buah projek komedi yang berjudul, Perang Celup bersama Man Raja Lawak, dan Riezman dan Keju dan Belacan bersama Shuib Sepah. Dua drama ini memang berbeza dengan watak kebiasaan yang saya lakonkan.

"Saya bosan dengan watak yang sama, menjadi wanita baik, wanita bandar, itu semua sudah sinonim dengan lakonan saya, jadi mahu watak yang lebih daripada itu.

"Kalau ada tawaran untuk watak ini, buat masa sekarang saya akan cuba untuk mengelak sebab saya tidak mahu membawa watak yang sama berulang kali.

"Percubaan untuk watak komedi, memang saya berpuas hati. Sebenarnya saya memang seorang yang sedikit gila-gila bukan jenis orang yang serius, jadi bila saya membaca skrip itu, saya sudah tertarik dengan watak yang diberikan,"jelas Natasha Hudson yang menjadikan Jennifer Aniston sebagai idolanya dalam lakonan.

Pernah cuba membawa dirinya ke Indonesia untuk cuba menembusi pasaran seni disana, jelas Natasha, selama 10 bulan dia di Indonesia, dia sempat menjalani tiga penggambaran sinetron dan merakamkan sebuah lagu bersama sebuah band di sana.

"Pengurus saya ada panggil saya untuk pulang semula ke sana, tapi setakat ini masih belum berkesempatan. Untuk dua bulan ini saya memang terlalu sibuk dengan pelbagai aktiviti disini, jadi saya tangguhkan dulu kerja di Indonesia.

"Disana, ruang untuk saya berlakon memang besar, hari-hari ada saja audition. Tambahan pula, saya dahulu memulakan bidang modeling disana, jadi saya sudah ada pengurus yang menguruskan jadual. Namun, untuk terus berada disana agak sukar kerana saya terpaksa membayar taq yang mahal.

"Saya sempat berlakon tiga sinetron sewaktu di Indonesia iaitu Antara benua, Cinta & Cita dan Melodi Hati. dan merakamkan sebuah lagu bersama band Macho iaitu, Benci Kamu.,"jelas Natasha.

Masih meneruskan minatnya dalam bidang nyanyian, Natasha kini sudah merakamkan tiga buah single terbarunya dan sebuah lagu khas untuk hari raya ini.

"Untuk hari raya ini, saya ada hasilkan sebuah lagu berduet bersama kawan baik saya, Juliana Evans, namun setakat ini masih belum ada tajuk yang sesuai. Saya masih meneruskan minat dalam bidang nyanyian, dan setakat ini saya sudah merakamkan tiga buah lagu untuk dimuatkan dalam mini album saya iaitu, Jika Kau Ubah Dunia, Selama, dan Destani Bersiri.""luah Natasha.

‘Pondok’ buruk jadi kediaman

Posted: 14 Jul 2011 07:04 PM PDT




BAYANGKAN rumah yang disewa keluarga ini dengan RM100 sebulan sebenarnya tidak layak dipanggil sebuah rumah pun. Tanpa kemudahan asas seperti air dan elektrik dan tandas yang bersih ia sekadar pondok buruk yang tidak menjanjikan apa-apa keselesaan.

Bagi Kamaruzzaman Abu Hassan, 37, jika ada pilihan dia sudah tentu mahukan kediaman yang selesa.

Tetapi apakan daya, disebabkan kesempitan hidup dia dan isterinya, Che Rokiah Hassam, 27, bersama lima anak mereka berusia lima hingga 10 tahun terpaksa menjadikan pondok buruk itu sebagai tempat berteduh.

Rumah serba daif berukuran 100 kaki persegi itu ada satu ruang untuk dapur dan satu lagi sebagai ruang tamu. Hanya tikar getah yang basah dan kusam serta rasa melekit apabila kaki memijak membaluti lantai simen yang sudah pecah.

Ditambah dengan bau hapak akibat keadaan lembap dan basah ekoran bumbung yang bocor menambahkan lagi ketidakselesaan kediaman keluarga itu. Ia sudah semestinya tidak sesuai langsung dihuni oleh sesiapa sahaja terutamanya anak-anak kecil.

Bumbung yang bocor menyebabkan ruang itu basah apabila hujan dan berpanas apabila atap zinknya di timpa cahaya terik matahari.

Ruang kecil itu hanya diletakkan sebuah katil dua tingkat untuk mengalas anak-anak waktu mereka tidur. Terdapat sebuah televisyen di penjuru katil hasil pemberian insan yang simpati. Lubang-lubang yang terdapat di dinding batu disumbat dengan kain-kain buruk untuk menghalang cahaya matahari atau hujan.

Kamaruzzaman yang berasal dari Kajang, Selangor, merupakan operator biasa di sebuah kilang di Bandar Baru Bangi, Selangor, dengan pendapatan sekitar RM700 sebulan manakala Che Rokiah dari Kelantan merupakan suri rumah sepenuh masa.

Ditanya kenapa sanggup mendiami rumah seperti itu, Kamaruzzaman berkata, hanya itu sahaja yang dia mampu sediakan untuk keluarganya.

''Saya bukannya orang senang. Masa saya dan isteri masuk ke rumah ini, tuan rumah tidak menyediakan kami air dan elektrik.

''Bagi bekalan air kami terpaksa mengambil dari rumah sebelah. Cukup bulan kami bayar RM30 atau RM40.

''Bekalan elektrik baru sahaja saya masukkan seminggu lalu. Itupun kena bayar RM250. Saya masukkan kerana saya takut anak-anak saya terpijak lipan atau ular dalam rumah.

"Sebelum ini kami gunakan lilin pada waktu malam," jelasnya.

Kenyataan Kamaruzzaman memang benar. Di luar rumahnya berderet-deret baldi lama yang digunakan untuk menampung air bagi kegunaan keluarganya seperti memasak dan mandi secara terbuka.

Di bahagian belakang rumah pula ada sebuah tandas yang uzur.

Tambah Kamaruzzaman, hidupnya lebih tesepit apabila kilang tempatnya bekerja tidak lagi membenarkan kerja lebih masa.

''Susah nak dapat kerja kilang sekarang. Mereka lebih suka ambil orang asing. Gaji lebih murah," jelas anak sulung daripada tiga adik-beradik ini.

Ditanya kenapa tidak melakukan kerja sampingan bagi menambah pendapatan, katanya, perkara itu sukar kerana dia tiada kebolehan dan tidak berpelajaran.

Adat manusia yang hidup di dunia, pastinya yang sedikit berada akan melupakan mereka yang kekurangan, itu yang berlaku terhadap Kamaruzzaman apabila tidak diendahkan oleh saudara-mara sendiri.

''Tapi itu semua tidak mengapa. Lebih baik begini, saya tidak kacau orang. Selagi ada kudrat, saya akan lakukan pekerjaan yang halal, saya tidak mahu meminta sedekah.

''Pusat zakat ada beri tetapi masih tidak mencukupi. Mana nak tanggung anak-anak, belanja sekolah, makan dan baju mereka, sakit pening mereka lagi," katanya.

Kamaruzzaman berkata, kalau ada pilihan, dia berharap sangat untuk mendapatkan sebuah rumah yang lebih selesa dan sesuai untuk keluarganya berteduh di sekitar Kajang khususnya di Sungai Ramal Dalam bagi memudahkan dia pergi kerja dan menghantar anak-anak ke sekolah.

Nasib Kamruzzaman dan keluarga bagaimanapun mendapat simpati daripada Skuad Sayang Wanita UMNO Bahagian Serdang, Selangor.

Walaupun tidak mampu mengatasi kesusahan yang dihadapi keluarga itu, ia sekurang-kurang memberi harapan bahawa ada pihak yang prihatin dengan nasib mereka.

Komandan Skuad Sayang Wanita UMNO Bahagian Serdang, Norlaila Mohd. Jani berharap orang ramai prihatin dengan nasib Kamaruzzaman dan keluarganya.

Ini termasuk menawarkannya kerja yang difikirkan sesuai kepadanya dengan pendapatan yang berpatutan.

''Tambahan pula dengan anak-anaknya yang bersekolah, apatah lagi bulan Ramadan yang sudah semakin hampir, inilah masanya kita menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan," jelasnya yang ditemui selepas menghulurkan sumbangan kepada keluarga Kamaruzzaman baru-baru ini.

Memandangkan Kamaruzzaman tidak mempunyai telefon untuk dihubungi maka segala bentuk bantuan yang ingin disalurkan boleh menghubungi talian 013-3291523 (Zainon), 017-3675791 atau 013-6723762 (Norlaila). Keluarga ini boleh dilawati di Lot 4065, Jalan Kg. Dusun, Kampung Sungai Ramal Dalam, Kajang, Selangor.

Gembira kejayaan Baitul Fiqh

Posted: 14 Jul 2011 07:01 PM PDT


Dr. Mashitah Ibrahim (baju merah) beramah mesra dengan penghuni Baitul Fiqh ketika melawat rumah perlindungan remaja bermasalah itu di Subang Jaya, baru-baru ini.


SYAIR Taubat di atas adalah antara bait-bait yang dilagukan dengan penuh makna oleh para penghuni Rumah Pertubuhan Kebajikan Baitul Fiqh, Subang Jaya ketika menyambut lawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim, baru-baru ini.

Para penghuninya begitu terkesan dengan syair yang mereka lagukan sehingga ada yang menangis penuh penyesalan menyebabkan suasana majlis bertukar menjadi sebak dan pilu.

Baitul Fiqh adalah rumah perlindungan yang dikira 'paling dicari' pada hari ini.

Sehubungan itu menurut Yang Dipertuanya, Juhaidi Yean Abdullah, mereka tidak pernah keputusan remaja luar nikah yang ingin berlindung di Baitul Fiqh.

"Kadang kala tengah-tengah malam, tiba-tiba ada remaja seorang diri yang entah datang dari mana mengetuk pintu rumah Baitul Fiqh.

"Hendak tak hendak, kita kena benarkan remaja tersebut bermalam. Esoknya barulah kita tanya apa masalah. Rupa-rupanya remaja tersebut tersilap langkah, sedang mengandung dan meminta untuk berlindung di rumah ini," katanya.

Ini tidak termasuk remaja yang dibawa oleh para penjaga dan ibu bapa yang tidak kira latar belakang ekonomi dan status. Termasuk anak kerabat, ibu bapa yang berstatus VIP sehinggalah remaja yang menjadi mangsa jenayah rogol dan sumbang makram datang untuk membawa diri ke Baitul Fiqh.

"Tidak menang tangan kami menangani gejala remaja hamil ini sejak dari tahun 2006 bagi menyelamatkan hampir 700 bayi daripada menjadi kes pengguguran haram dan buang bayi," katanya.

Ini kerana daripada kajian rambang mereka, hampir setiap remaja yang hamil itu mengalami trauma teruk sehingga mereka bercadang dan terfikir untuk menggugurkan kandungan.

Sebagai aktivis masyarakat, Juhaidi Yean melihat gejala remaja hamil luar nikah dan cabang-cabang maksiat yang bersangkutan dengan gejala itu sebagai sangat tenat. Kos sosial bagi menanganinya sekarang adalah semakin tinggi.

"Bayangkan jika ada kes yang kami terima, seorang remaja perempuan yang dirogol beramai-ramai lebih daripada 20 lelaki tanpa henti dari pukul 4 petang hari ini sehingga 4 petang esoknya.

"Tuhan sahaja yang tahu betapa teruknya trauma yang terpaksa ditanggung oleh si mangsa itu.

"Namun ada juga mangsa diperkosa tetapi menjadi ketagihan kepada seks pula. Datang ke sekolah tapi rupa-rupanya dia boleh melayan lelaki sehingga lima hingga tujuh lelaki setiap hari.

"Jadi inilah yang saya katakan sudah tenat kerana kes-kes seperti ini begitu membarah dalam masyarakat atau kita boleh katakan sudah tidak terkawal di negara ini.

"Namun di Baitul Fiqh ini kita akan terus berjuang bagi membantu remaja-remaja perempuan yang hamil, yang tidak sahaja sebagai rumah transit sementara mereka mengandung dan bersalin di sini.

"Untuk mengembalikan semula mereka sebagai orang baru yang serba serbi baru, terutamanya semangat baru untuk mereka berani keluar dan membina kehidupan baru," katanya.

Lalu pelbagai pengisian diri perlu dijalani sepanjang mereka di Baitul Fiqh. Dari seawal pukul 4.30 pagi mereka akan bangun untuk melakukan solat hajat, solat tasbih, solat taubat dan lain-lain ibadat termasuk solat dhuha, mengikuti terapi psikologi, aktiviti keusahawanan dan kemahiran.

Iaitu sesuai dengan tagline Baitul Fiqh, iaitu Remaja Iman, Negara Aman.

"Akhirnya alhamdulillah ada kalangan penghuni, yang tidak sahaja menjadi usahawan berjaya, malah ada menyambung pelajaran sehingga ke luar negeri. Yang lebih membanggakan ramai yang keluar berjaya khatam al-Quran berkali-kali di sini," ujar Juhaidi.

Sementara itu Dr. Mashitah gembira dengan kejayaan Baitul Fiqh yang beroleh status rumah kebajikan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Febuari lalu.

"Namun kejayaan rumah ini tidak bergantung kepada bantuan daripada pihak kerajaan semata-mata tetapi seluruh anggota masyarakat yang tidak lagi boleh hanya menunjukkan simpati tetapi juga empati agar gejala ini dapat dibanteras sehingga ke akar umbi," katanya.

Beliau yang melawat sambil menghulurkan sumbangan peribadi kepada Baitul Fiqh setuju jika remaja yang hamil luar nikah ini mengambil tindakan undang-undang terhadap pasangan lelaki mereka yang menyebabkan mereka ini hamil.

"Mungkin usaha ini tidak mudah untuk mengheret lelaki-lelaki yang tidak bertanggungjawab ini kemuka pengadilan, tetapi andai mereka mempunyai kes dan bukti yang kukuh, maruah dan keadilan harus dikembalikan juga kepada si mangsa," katanya.

Portal bantu mangsa buli

Posted: 14 Jul 2011 07:00 PM PDT


AMINAH Ayob (kiri) memberi penerangan kepada Mohd. Puad Zarkashi tentang portal e-Buli pada majlis pelancaran portal itu di UPSI, Tanjung Malim, semalam.


TANJUNG MALIM 14 Julai - Mangsa buli di sekolah kini boleh meluahkan perasaan serta mendapatkan panduan sewajarnya bagi menangani masalah itu dengan mengunjungi pusat sehenti di http://ebuli.upsi.edu.my yang dibangunkan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Aminah Ayob berkata, selain itu, ibu bapa dan guru juga boleh memanfaatkan laman web pelbagai fungsi berkaitan fenomena buli itu yang merupakan satu transformasi UPSI untuk membantu masyarakat melalui kaedah santai atau tidak formal.

"Bagi pelajar, laman web ini adalah tempat bagi meluahkan masalah yang mereka hadapi. UPSI mempunyai pakar-pakar dalam khidmat nasihat, bimbingan dan kaunseling yang akan membantu mangsa buli secara interaktif.

"Bagi ibu bapa, mereka boleh memanfaatkan web e-Buli UPSI untuk berkongsi pengalaman dan mengendalikan isu buli anak-anak," katanya ketika berucap pada pelancaran portal itu di sini hari ini.

Pelancaran portal itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi.

Seramai enam pakar kaunseling dari UPSI bertanggungjawab mengendalikan portal itu terutama bagi tugas memberi khidmat nasihat kepada para pengunjung laman berkenaan.

Selain khidmat dalam talian, UPSI juga kini menyediakan 23 pakar kaunseling lain untuk melaksanakan modul melatih para guru dan memberi kesedaran kepada murid-murid mangsa buli di sekitar negeri ini mengenai tindakan yang harus diambil apabila menghadapi situasi itu.

Aminah menambah, mangsa buli perlu diberi perhatian sewajarnya kerana kebanyakan mereka didapati menghadapi masalah seperti trauma dan hilang keyakinan diri sehingga enggan ke sekolah bagi mengelakkan diri daripada terus dibuli.

Sementara itu, Mohd. Puad memberitahu, statistik kementerian menunjukkan kes buli melibatkan para pelajar sekolah di seluruh negara semakin berkurangan sejak tiga tahun lalu.

Katanya, pada 2008, statistik menunjukkan seramai 3,107 kes buli dilaporkan di seluruh negara dan ia menurun kepada 2,889 kes pada 2009 dan hanya 2,617 kes, tahun lalu.

"Penurunan itu melibatkan semua aspek seperti kemampuan sekolah mengendalikan masalah buli, tindakan keras yang kita (kementerian) ambil seperti buang sekolah dan lebih penting, peranan ibu bapa dalam mendidik anak mereka," katanya.

STAR Ipoh juara bahas Piala PM SBP

Posted: 14 Jul 2011 06:59 PM PDT


Nur Qusyairi Mohamed Fauzi dan Nur Natashya Abdul Rahman bergambar bersama piala dan replika cek yang dimenangi pada Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri Ke-38 SBP di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 14 Julai - Sekolah Tuanku Abdul Rahman (Ipoh, Perak) diumumkan sebagai johan Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri Ke-38 Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dalam kategori Bahasa Malayu di sini hari ini.

Bagi kategori Bahasa Inggeris pula dimenangi oleh Kolej Tunku Kurshiah, Seremban, Negeri Sembilan).

Selaku juara, kedua-dua sekolah itu membawa pulang wang tunai RM4,000 bersama piala iringan berserta sijil penyertaan.

Pembahas Bahasa Melayu terbaik pula dimenangi oleh Nur Qusyairi Mohamed Fauzi dari Sekolah Tuanku Abdul Rahman dan Nur Natashya Abdul Rahman dari Kolej Tunku Kurshiah bagi Bahasa Inggeris.

Kedua-duanya membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 bersama piala iringan.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Dr. Khair Mohamad Yusof yang mewakili Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud menyampaikan hadiah kepada para pemenangnya.

Turut hadir Pengurus Besar Kewangan merangkap Setiausaha Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat), Mustafa Abdul Razak.

Bank Rakyat menjadi penaja utama pertandingan bahas kali ini dengan memperuntukan sebanyak RM100,000.

Terdahulu dalam ucapan perasmian, Abd. Ghafar yang teks ucapannya dibacakan oleh Dr. Khair berkata, pertandingan itu sangat penting kerana ia dapat melahirkan pemimpin yang berkeyakinan, berketerampilan, berdaya saing dan bijak berkomunikasi.

"Ia juga dapat membentuk pemimpin yang berwibawa, berfikiran kreatif dan terbuka.

"Diharapkan pertandingan bahas ini dapat mencungkil dan mengasah bakat pelajar dengan seni berpidato ala parlimen secara cerdas dan bijaksana," katanya.

Sehingga Jun lalu, bilangan pelajar SBP berjumlah 37,543 orang.

Abd. Ghafar berkata, sehingga kini terdapat 60 buah SBP yang telah beroperasi dan dijangka tiga buah SBP akan dibuka sehingga hujung tahun ini.

"SBP baru itu adalah Sekolah Menengah (SM) Sains Setiu, SM Sains Sembrong dan SM Sains Banting," katanya.

Sementara itu, Nur Qusyairi menyifatkan kemenangan sekolahnya itu disebabkan hasil kerjasama yang dipamerkan oleh rakan sepasukan.

"Saya juga tidak menyangka menerima anugerah pembahas terbaik, ini semua disebabkan hasil tunjuk ajar yang diberikan oleh guru-guru selama ini," katanya.

Bagi Nur Natashya pula, dia bersyukur kerana latihan yang dijalani bersama rakan pasukan debatnya selama ini akhirnya membuahkan hasil.

"Terima kasih kepada rakan-rakan dan guru-guru yang membimbing kami berjaya merangkul kemenangan pada hari ini," katanya.

15 sekolah disenarai pendek terima anugerah

Posted: 14 Jul 2011 06:57 PM PDT


NORDIN Abdul Malek dan Pengerusi Institut Skill Tech, Sharimah Hussain bersama piala-piala pertandingan Anugerah Agro Remaja@Sekolah 2010 di Melaka, semalam.


MELAKA 14 Julai – Sebanyak 15 buah sekolah menengah dari seluruh negara disenarai pendek untuk menerima Anugerah Agro Remaja@Sekolah 2010 yang menawarkan hadiah wang tunai RM10,000.

Pengerusi Eksekutif Institut Skill-Tech, Nordin Abdul Malek berkata, selain hadiah utama untuk juara keseluruhan, empat kategori lain yang turut dipertandingkan adalah tanaman landskap hiasan, seni landskap, penternakan dan pemerosesan makanan.

''Juara bagi setiap kategori akan menerima hadiah wang tunai RM2,000, naib juara, RM1,500 dan ketiga, RM1,000.

''Sebanyak 15 daripada 100 sekolah menengah yang menghantar pencalonan berbentuk kertas kerja projek telah disenarai pendek untuk memenangi anugerah yang disediakan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Majlis Anugerah Agro Remaja@Sekolah dianjurkan Institut Skill-Tech (Skill-Tech) dengan kerjasama akhbar Utusan Malaysia.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi dijadual menyampaikan hadiah kepada pemenang di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, Isnin ini.

Nordin berkata, penghakiman di peringkat sekolah dijalankan sepanjang Mac lalu.

Beliau berkata, penghakiman tertumpu kepada aspek pembelajaran dan pengajaran (P&P), penglibatan pelajar dalam setiap sudut seperti penyediaan dan pembentangan kertas kerja.

''Soal jawab dan penerangan semasa lawatan ke tapak oleh panel hakim menjadi antara kriteria bagi menentukan sekolah terbaik bakal dinobatkan untuk menerima Anugerah Agro Remaja@Sekolah," katanya.

Antara sekolah yang telah disenarai pendek adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Long, Kajang dan SMK Kampung Jawa, Klang (Selangor), SMK Raja Abdullah (Kuala Lumpur), SMK Dato Abdul Rahman Yaakob, Bota (Perak), SMK Sri Muda, Seberang Prai Utara (P.Pinang) dan SMK Kuala Ketil (Kedah).

Turut tersenarai SMK Syed Hussain, Arau (Perlis), SMK Dato Mahmud Paduka Raja (2) Tanah Merah (Kelantan), SMK PPP Tun Razak, Jerantut (Pahang), SMK Sri Kukup, Pontian (Johor) dan SMK Jasin (Melaka).

Beberapa sekolah lain terdiri daripada SMK Jelai (F) Gemas dan SMK Yam Tuan Radin, Port Dickson (N.Sembilan), SM St. Michael, Penampang (Sabah) dan SMK Lundu, Kuching (Sarawak).

Gelanggang Tok Wali cabar Aeril

Posted: 14 Jul 2011 06:56 PM PDT


Syazwan Hashim memegang watak Ripin manakala Faizatul Akmal membawakan watak Mariam dalam teater Gelanggang Tok Wali.


MEDIUM drama dan filem yang diceburi oleh aktor Aeril Zafrel, 23, masih belum mencukupi untuk dimasukkan dalam profil lakonan Aeril.

Bagi diri anak muda ini, langkahnya untuk memahat nama sebagai aktor disegani ramai seolah-olah tidak lengkap sekiranya dia tidak berada di pentas teater.

Sekalipun orang baru dalam dunia pementasan, pemilik nama sebenar, Suhairil Sunari, merasakan adalah suatu penghargaan apabila dia turut diundang untuk menjayakan teater Gelanggang Tok Wali.

Teater Gelanggang Tok Wali akan dipentaskan selama tiga hari berturut-turut, mulai 28 sehingga 30 Julai ini di Lambang Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur.

Sebagai teater sulung lakonannya, Aeril bangga kerana dapat menjayakan pementasan tersebut demi memantapkan mutu lakonannya.

"Ini satu pengalaman dan pendedahan yang baru bagi diri saya kerana sebelum ini, saya memulakan langkah dalam bidang seni lakon menerusi drama dan filem.

"Bagi saya, peluang muncul di pentas teater amat bermakna kerana ia bukan suatu perkara yang mudah," kata Aeril yang pernah membintangi drama Durja Ningsun terbitan Excellent Pictures dan juga filem Aku Tak Bodoh terbitan Primeworks Studio.

Menurut Aeril, teater menuntut dirinya agar lebih bijak mengawal ekspresi atau mimik muka dan mempertingkatkan keyakinan kerana itulah antara faktor yang menentukan sama ada lakonannya 'sampai' atau tidak kepada penonton.

"Terus terang saya nyatakan berlakon drama atau filem agak lebih mudah jika dibandingkan dengan teater.

"Mengapa saya kata begini kerana jika saya melakukan kesilapan ketika penggambaran drama atau filem, pengarah boleh cut dan saya boleh mengulang semula babak berkenaan.

"Tetapi, apabila beraksi di pentas teater, jika saya melakukan kesilapan, tidak ada istilah cut dan penonton akan tahu kesilapan yang saya lakukan.

"Jadi, saya perlu perfect dan pandai menutup kesilapan. Tidak boleh gugup dan yang paling penting lakonan saya mesti konsisten sepanjang pementasan itu.

"Itulah sebenarnya cabaran yang saya inginkan kerana dalam meniti perjalanan sebagai aktor, saya perlu belajar dan terus belajar," katanya secara jujur.

Indo Pek buat peminat sinetron

Posted: 14 Jul 2011 06:55 PM PDT


SELEBRITI-selebriti popular Indonesia, Alvin Adam (kiri), Acha Septriasa (kanan) dan Leny Marlina (duduk) hadir memeriahkan majlis.


BAGI memenuhi selera penonton yang menggemari drama Indonesia, Astro tampil dengan pakej Indo Pek mulai Sabtu ini.

Dengan harga langganan sebanyak RM12 sebulan, Astro baru-baru ini melancarkan pek tersebut yang membawakan saluran Bintang (Saluran 141, Astro) dan Pelangi (Saluran 142, Astro) khusus untuk pengikut setia drama Indonesia.

Bagaimanapun sebagai saluran pengenalan, Astro yang bekerjasama dengan Broadway Media Sdn. Bhd., sebagai pembekal, memberikannya secara percuma selama sebulan sehingga 14 Ogos dan hanya akan mengenakan bayaran mulai 15 Ogos ini.

Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh berkata, Indo Pek diwujudkan atas dasar prihatin terhadap cita rasa pelanggan Astro yang menggemari sajian program dari negara jiran itu.

Bagaimanapun, Khairul menambah, Indo Pek bukan sahaja menyajikan drama (sinetron) popular negara jiran, bahkan menawarkan program-program TV terbaik dari Indonesia seperti filem serta pelbagai genre hiburan dan informasi.

"Bermacam-macam program yang berlainan konsep akan disiarkan di kedua-dua saluran tersebut bagi memenuhi cita rasa penonton tempatan," katanya pada majlis pelancaran saluran tersebut di Hotel Legend baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengerusi Broadway Media, Datuk Syed Ahmad Khalid Syed Mohammed, Pengurus Saluran Bintang dan Saluran Pelangi, Namanzee Harris dan artis popular Indonesia, Acha Septriasa, Lenny Marlina serta Alvin Adam.

Pada sidang akhbar selepas majlis itu, selaku pembekal program, Syed Ahmad yang ditanya relevannya drama-drama negara jiran di tayangkan di sini berkata;

"Melalui tinjauan dan kajian yang dilakukan, pihak kami mendapati permintaan daripada penonton golongan tertentu terhadap drama dari negara jiran amat tinggi.

"Selaku orang bisnes, saya membuat kajian terlebih dahulu supaya segala tindak-tanduk tidak mendatangkan kerugian kepada syarikat.

"Justeru, apabila ada permintaan yang dijangka mampu membuat keuntungan, apa salahnya saya mencuba. Berjaya atau tidak, itu risiko yang perlu ditanggung," jelasnya.

Bagaimanpun kata Khairul, siaran sinetron yang disiarkan di Astro Ria (Saluran 104, Astro) masih dikekalkan.

"Relevannya, kami mahu memberi pilihan kepada penonton. Jika mereka mahukan siaran 24 jam tanpa henti, mereka boleh melanggan Indo Pek," jelas Khairul.

Menyentuh mengenai kewujudan semula saluran khas drama Indonesia memandangkan suatu ketika dahulu Astro Aruna pernah menyiarkan produk yang sama, Khairul berkata;

"Astro Aruna hanya menyiarkan drama sahaja tanpa adanya program lain. Justeru, dua saluran baru ini mengandungi pelbagai program selain drama.

"Selain drama, Astro Bintang turut menyajikan program realiti, bual bicara hiburan dan gameshow. Manakala, Astro Pelangi menayangkan filem-filem Indonesia," jelas Khairul.

Khairul yakin kedua-dua saluran itu akan mendapat sambutan kerana pengisian rancangan yang memenuhi kehendak setiap lapisan umur.

"Perhubungan rangkaian yang kukuh dan kolaborasi dengan Broadway Media selaku pembekal telah menguatkan lagi aspirasi Astro dalam memberikan nilai pulangan yang berbaloi kepada para pelanggan," kata Khairul dengan penuh yakin.

Pilihan Ain AF8

Posted: 14 Jul 2011 06:54 PM PDT


Ezad Lazim akan menemani Ain mengadakan persembahan ketika Fiesta Agro Malaysia 2011 berlangsung bermula hari ini di perkarangan Stadium Shah Alam.


KELUNAKAN vokal yang dimiliki Nadiawati Ainul Basir, 25 atau Ain melayakkannya menyertai program realiti popular terbitan Astro Ria, Akademi Fantasia musim kelapan (AF8).

Namun, nasib tidak menyebelahinya apabila Ain disingkirkan pada minggu terakhir menjelangnya konsert final yang menobatkan Shahir sebagi juara musim tersebut.

Lantas, selaku pihak yang bertanggungjawab dalam mengembangkan karier seni artis kelahiran Astro, Ain diletakkan di bawah naungan Astro Entertainment Sdn. Bhd. (AESB) seperti mana yang telah dipersetujui kedua-dua belah pihak.

Bak kata pepatah, indah khabar dari rupa. Sinar mentari yang diharapnya sehingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari.

Begitulah nasib yang dilalui Ain apabila bernaung di bawah AESB. Di awal pembabitannya dengan syarikat pengurusan berkenaan, Ain akui, rezekinya murah dengan undangan nyanyian di sana-sini.

Katanya, walaupun rezekinya tidak 'semeriah' jika hendak dibandingkan dengan finalis AF8, Ain tetap bersyukur dengan rezeki yang diperolehi.

"Tetapi, setelah setahun dengan AESB, undangan yang diterima semakin berkurangan. Kadang-kadang, dalam seminggu tiada langsung tawaran yang masuk.

"Apabila jadi begitu, terbit perasaan kurang senang antara saya dan AESB. Justeru, selepas mengadakan perbincangan, pihak pengurusan bersetuju melepaskan saya daripada ikatan kontrak tiga tahun bersama mereka.

"Sejak itu, saya memilih jalan sendiri untuk berkarya dan mula berdikari demi mencari sesuap nasi," cerita Ain meluahkan isi hatinya yang terpendam selama ini.

Kini, selepas dua bulan keluar dari kepompong yang membelenggu dirinya sebelum ini, Ain sedikit pun tidak berasa kesal dengan tindakannya meninggalkan AESB.

Kata Ain, dia bersyukur kerana rezekinya tetap ada dan cukup sekadar menampung perbelanjaan untuk membeli keperluan hariannya.

"Walaupun tidak mewah seperti artis lain, alhamdulillah, duit yang diperoleh mampu untuk menyara hidup saya dan sekiranya ada rezeki lebih, saya akan hulurkan kepada keluarga saya di Sandakan, Sabah.

"Lebih setahun bergelar anak seni, ia mengajar saya supaya tidak mudah berputus asa.

"Saya benar-benar ingin menjadi penyanyi yang berjaya. Jadi, saya cekal dan tabah hadapi semua dugaan. Syukur, sehingga hari ini, saya belum lagi menempuhi ujian besar yang menduga kesabaran saya," ceritanya dengan rancak.

Mengulas perkembangan terbarunya, Ain memberitahu, dia bakal memeriahkan Fiesta Agro Malaysia 2011 yang bakal berlangsung di perkarangan Stadium Shah Alam, Selangor bermula hari ini sehingga Ahad, 17 Julai ini.

"Saya akan tampil dengan membuat persembahan dengan mendendangkan dua buah single iaitu Penanggung Sepi dan Nafas Sempurna.

"Bagaimanapun, saya hanya akan terlibat pada konsert mini yang diadakan pada malam akhir karnival iaitu pada hari Ahad," kata Ain sambil memberitahu bekas vokalis kumpulan Exist, Ezad Lazim turut memeriahkan konsert mini berkenaan.

Tambah Ain, fiesta tiga hari berturut-turut itu adalah anjuran Siswalink (M) Sdn. Bhd., dan disokong oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

"Pelbagai pameran mengenai pertanian diadakan di situ serta acara lelongan buah-buahan tempatan oleh Mr. Os turut berlangsung," kata Ain.

Laris tanpa publisiti

Posted: 14 Jul 2011 06:51 PM PDT


ONE Nation Emcees percaya, setiap usaha yang diiringi dengan doa dan kerja keras akan memberikan hasil yang memuaskan.


MENYUSURI perjalanan seni One Nation Emcees (ONE) yang dianggotai Mimi, Jojoe dan Zydee, mereka kurang mendapat publisiti; sama ada di media cetak mahupun media elektronik berbanding dengan rakan-rakan artis yang lain.

Keadaan itu banyak menimbulkan tanda tanya di kalangan peminat mereka kerana secara tidak langsung, ketiadaan publisiti memberi gambaran seolah-olah trio ini tidak aktif dan hanya menunggu masa untuk berkubur.

Cetusan daripada senario itu, timbul kata-kata sinis yang mengklasifikasikan juara program realiti televisyen (TV) Gangstarz musim kedua itu sebagai artis sendu.

Sekalipun lagu-lagu ONE seperti Raja Gelek, Apa Ku Kisah dan Syukur (Kau Yang Satu) sering berkumandang di corong-corong radio, namun mereka dianggap tidak popular berbanding lagu-lagu dendangan mereka.

Pada hakikatnya, mereka tetap aktif dan banyak menerima undangan pentas.

Terbaru, ONE sudah mula berjinak-jinak dengan dunia lakonan dengan membintangi filem Klip 3GP, terbitan Primeworks Studio, yang akan masuk panggung pada 13 Oktober nanti." ucap Mimi.

Anak penoreh getah buktikan kejayaan

Posted: 14 Jul 2011 06:50 PM PDT

Siapa sangka, berkat mengambil nama sempena tokoh agama tersohor pada tahun 50-an, Mohd Hassan Adli, dari Bagan Datoh, Perak, membawa tuah kepada juara Imam Muda musim kedua, Mohd Hassan Adli Yahaya,26, atau kini lebih dikenali sebagai Imam Muda Hassan.

Tidak menyangka akan bergelar juara, Hassan, menganggap kemenangan itu adalah hadiah cukup berharga untuk ibunya yang sekian lama membanting tulang empat kerat membesarkannya, setelah kematian bapanya pada tahun 1992.

Menurut Hassan, ketika itu dia bersama lapan lagi adik-beradik bergantung harap kepada hasil kebun getah dan pencen arwah bapanya. Walaupun zaman kanak-kanaknya tidak semewah mana, namun dia sudah diajar hidup serba sederhana.

"Seawal usia enam tahun, saya dilatih untuk berdikari dengan menaiki bas sendiri untuk ke sekolah tadika di Seri Manjung. Saya kerap tertidur dalam bas kerana kepenatan dan dikejutkan oleh pemandu apabila sampai di rumah.

"Setiap malam ibu akan menemani kami adik-beradik untuk menyiapkan tugasan rumah dan nasihat ibu tidak pernah lekang dari mulut. Walaupun ibu tidak mempunyai pendidikan tinggi, tetapi saya akui, ilmu didikan ibu adalah tahap 'profesor'," katanya yang kini sedang menyambung pengajian Sarjana dalam bidang Usuluddin, Quran dan Hadis, dii Universiti Utara Malaysia.

Hassan memberitahu, sejak kecil, ibunya sangat menitikberatkan pendidikan agama terhadap semua adik-beradiknya. Selain sembahyang lima waktu, ibunya akan memastikan mereka mendalami ilmu al-Quran.

"Hasil didikan ibulah, saya semakin cenderung dengan ilmu keagamaan dan sejak kecil saya dah dimasukkan ke sekolah agama.

"Tetapi semasa menuntut di UIA (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia), saya pernah tersalah kursus dan untuk semester kedua saya berjaya menukar ke bidang Ilmu Wahyu," katanya yang pernah melakukan pelbagai kerja sambilan untuk meringankan beban ibunya.

Anak jati Perak ini juga turut melengkapi dirinya dengan kemahiran berbahasa Arab dan Talaqqi al-Quran, di Maahad Al-Idrisi, Damsyik. Malah kelayakannya itu turut memberinya ruang menjadi imam di masjid Al-Iman, Kemensah Height.

Selain itu, Hassan turut menjadi tenaga pengajar di sebuah institut pengajian tinggi.


Pernah tersingkir dari Akademi al-Quran

Di sebalik kejayaannya hari ini, Hassan, pernah kecundang dalam program realiti Akademi al-Quran, musim keempat, terbitan TV9. Namun dia tidak pernah putus asa dan mencuba nasib pula dalam program realiti Imam Muda.

"Saya sebenarnya mahu menyertai lagi program Akademi al-Quran, tapi tak ada rezeki saya. Kebetulan, Imam Muda juga sedang mencari calon untuk musim kedua. Atas dorongan ibu dan rakan-rakan, saya ingin mencuba nasib.

"Ketika itu, saya berminat dengan pendekatan dakwah yang ditampilkan dalam Imam Muda dan saya tidak pernah fikir untuk menang. Namun, syukurlah, rezeki berpihak kepada saya. Inilah rezeki Allah," katanya yang tidak putus-putus memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi.

Mengimbau kembali detik-detiknya bersama program realiti terbitan Astro Oasis itu, Hassan berkata, saat berentap dengan empat finalis untuk mara ke peringkat akhir yang paling mencabar.

"Setiap finalis mempunyai kelebihan masing-masing dan untuk bersaing di antara mereka memerlukan kesungguhan yang berganda. Malah semua dah tahu hanya dua finalis sahaja yang terpilih untuk mara ke final.

"Apa yang saya tahu, ketika itu saya hanya mahu buat yang terbaik tanpa memikirkan kemenangan. Bila saya diumumkan mara ke peringkat akhir, saya nekad untuk melakukan yang lebih baik," katanya yang akan mengadakan kenduri kesyukuran sempena kemenangannya itu di kampung halamannya, pada 30 Julai ini.


Kahwin tahun hadapan?

Diusik mengenai teman hidup, Hassan mengakui, dia masih belum bertemu jodoh yang sesuai. Namun tidak menolak ketentuan Tuhan untuknya. Menurut Hassan, kalau diizinkan Allah, dia mahu menamatkan zaman bujangnya pada usia 27 tahun.

"Soal kahwin ni memang tak boleh lambat-lambat, kalau dah ada jodoh saya terima. Selain empat kriteria yang ditetapkan dalam Islam, bakal isteri saya haruslah menghormati ibu bapa. Sebelum itu juga, saya akan selidik latar belakangnya dulu, kerana ia adalah pengukur siapa dirinya," katanya.

Ditanya mengenai perancangan masa depannya, Hassan, mempunyai impian untuk memiliki syarikat sendiri. Namun, ia masih awal untuk diperkatakan dan lebih berserah kepada Allah.

Terbaik dari Harry Potter

Posted: 14 Jul 2011 06:40 PM PDT

Filem terakhir Harry Potter yang mula menyerang pawagam-pawagam di seluruh dunia semalam, menutup tirai francais yang membawa penonton kepada dunia khayalan melalui tujuh buah filem penuh aksi suspens, rasa cinta dan pilu.

Bagaimanapun, andai dibandingkan dengan tujuh siri sebelum ini, filem kali ini boleh dianggap edisi terbaik dalam francais Harry Potter yang pernah menemui penonton.

Bukan saja dilihat lebih kemas dari segi penceritaan, skrip mahupun perkembangan watak lebih dirasai. Bahkan kesan khasnya terutama dari segi persembahan visual nyata cukup hebat.

Teknik imej janaan komputer (CGI) boleh dianggap paling kemas pernah ditonjolkan menerusi filem kali ini. Malah menerusi bantuan CGI juga penonton akan kagum melihat babak-babak pertarungan.

Meskipun ada perbezaan di antara buku dan filem, pengarah, David Yates bijak memperbaiki kekurangan itu dan membuatkan filem kali ini lebih menyentuh rasa.

Potter lakonan Daniel Radcliffe, misalnya, walaupun diukur dari segi usia, wataknya sebagai hero begitu dirasai.

Lakonan Rupert Grint dan Emma Watson juga wajar diberi pujian kerana kematangan lakonan mereka yang amat baik.

Begitu juga penonton akan terpukau menyaksikan babak membabitkan Profesor Snape, lakonan Alan Rickman ketika dia berdialog dengan Potter. Adegan itu sesuatu yang pasti lama akan dikenang peminat.

Menerusi memori Snape, Potter bertemu dengan ibunya, Lil dan juga bapanya. Dalam perbualan itulah, segala rahsia yang selama ini mempunyai kaitannya dengan Potter akhirnya terbongkar.

Selepas menayangkan bahagian pertama penghujung tahun lalu, ramai yang membuat spekulasi mengenai watak Potter. Ada yang mengandaikan dia bakal menemui ajal berdasarkan poster yang disebarkan.

Bagaimanapun penulis filem ini, Steve Kloves, begitu bijak mengatur 'ending' cerita dan sememangnya tidak disangka-sangka.

Untuk mengetahui sejauh manakah kehebatan siri fantasi popular ini, jangan lepaskan peluang untuk saksikannya sendiri di pawagam!

"Setiap mayatada kisahnya" Khurafat sarat dengan mesej

Posted: 14 Jul 2011 06:36 PM PDT

Kejayaan hebat filem Khurafat arahan Syamsul Yusof mencatat kutipan box-office sebanyak RM8.08 juta awal tahun ini, memberi ilham untuknya mengangkat filem itu ke drama bersiri pula.

Drama yang berdurasi 60 minit dan mempunyai 13 episod mula disiarkan setiap Selasa, jam 10 malam menerusi saluran Astro Ria (Saluran 104), sejak 12 Julai lalu.

Menerima sentuhan pengarah berpengalaman iaitu Ismail Yaacob, drama terbitan Skop Productions Sdn Bhd ini telah dibintangi barisan pelakon yang berbeza daripada filem asalnya.

Zahiril Adzim memikul watak utama sebagai Johan bersama Nora Danish (Mastura) dan beberapa watak lain seperti Amar Baharin, Dynaz Mokhtar dan Zack Taipan.

Penerbit, Datuk Yusof Haslam berkata, jalan cerita drama bersiri Khurafat tidak sama dengan filem arahan Syamsul sebelum ini, sebaliknya mengambil sedikit nafas serta aura dengan jalan cerita berlainan.

"Ini bukan kali pertama Skop Productions mengadaptasi filem menjadi drama. Contohnya sebelum ini kami pernah mengadaptasi filem Janji Diana menjadi drama bersiri. Semuanya berbeza termasuklah pelakon dan jalan ceritanya.

"Jika dinilai, memang terdapat perbezaan antara penghasilan filem dan drama bersiri. Jika filem selama 90 minit, sekarang ia dipanjangkan menjadi 13 episod dengan memaparkan mesej berguna untuk masyarakat.

"Drama ini cuma mengambil aura atau permulaan jalan cerita yang kemudiannya dikembangkan menjadi sebuah cerita yang baru. Saya memperuntukkan bajet sekitar RM35, 000 untuk setiap episod," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran Khurafat The Series, di Bijan Bar, baru-baru ini.

Sementara itu, Ismail yang berpengalaman mengarah filem Lenjan, melonjak nama Rosyam Nor sebagai Pelakon Pembantu Filem Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik ke-51 berkata, dia berasa lega kerana drama yang diarahkan itu tidak perlu sama atau mengikut jalan cerita asal filem Khurafat sebelum ini.

"Drama ini menarik kerana kami cuba mengambil semangat saja seperti berhubung dengan mayat. Jadi di situlah timbul khufarat.

"Saya bertuah kerana Datuk dan Syamsul memberi kebebasan untuk saya berkarya kerana stail serta cara pengarahan saya sudah tentu berbeza daripada Syamsul. Saya cuba ilhamkannya mengikut sudut pandangan saya sahaja.

"Menariknya, penonton akan mengikuti banyak kisah Khurafat dalam setiap episod yang mana kami akan menampilkan kisah mayat iaitu daripada roh yang berbeza yang cuba diselesaikan oleh pelakon utamanya Zahiril Adzim dan Nora Danish," katanya.

Drama Khurafat berkisar tentang Johan dan Mastura yang mengikat perjanjian sehidup semati dengan melakukan satu upacara menjamu darah mereka pada satu busut. Sebagai balasan, hati mereka akan tertutup untuk jatuh cinta dengan orang lain.

Malangnya, belum sempat Johan melamarnya, Mastura terbabit dalam satu kemalangan dan menyebabkannya koma. Kemudian, Johan mula merasakan perubahan pada dirinya apabila perlahan-lahan dia mula dapat lihat makhluk-makhluk dari alam lain seperti jin dan roh.

Saksikan pelbagai konflik yang berlaku terhadap diri Johan dalam menyelesaikan masalah banyak Jin dan roh dengan menonton Khurafat The Series yang telah pun mula bersiaran di Astro Ria jam 10 malam, sejak 12 Julai 2011.

Guna anjing untuk kesan mayat di Ladang Gadong

Posted: 14 Jul 2011 06:35 PM PDT


PATHMANABHAN (empat dari kiri) bersama tiga pekerjanya diiring untuk ke Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Polis telah menggunakan khidmat dua ekor anjing terlatih (K9) untuk mengesan mayat semasa menjalankan siasatan di Ladang Gadong, Banting iaitu tempat yang menjadi lokasi pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu semalam.

Saksi pendakwaan ke-27, Supritendan Denis Leong Sung Kuai, 49, dari Cawangan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor berkata, haiwan itu digunakan selepas pasukannya gagal menemui kesemua mangsa di ladang itu pada 9 September 2010.

"Selepas kami gagal temui mangsa-mangsa, kami gunakan khidmat cadaver dogs iaitu anjing yang dilatih untuk mengesan bau mayat di kawasan ladang itu.

"Apabila pengendali anjing melihat reaksi anjing seperti menghidu sesuatu, kami mula menggali. Bagaimanapun kami tidak menemui mayat atau tulang manusia pada masa itu," katanya semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff.

Sung Kuai dipanggil bagi memberi keterangan pada hari kesembilan perbicaraan bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42, dan tiga pekerja ladangnya, T. Thailayangan, 20, R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31.

Keempat-empat mereka didakwa membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohamad di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting pada 30 Ogos 2010.

Jamuan sempena tamat tempoh Agong di istana baharu

Posted: 14 Jul 2011 06:34 PM PDT


RAIS (tengah) bersama rombongan ketika melawat Istana Negara yang baharu di Jalan Duta, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Jamuan negara sempena tamatnya tempoh perkhidmatan Tuanku Mizan Zainal Abidin (gambar kecil) sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 pada Disember ini dicadangkan diadakan di Kompleks Istana Negara baharu, yang terletak di atas bukit berhampiran Jalan Duta di sini.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, jika kompleks itu siap sepenuhnya bulan depan, beliau akan memohon kepada Kabinet agar jamuan negara diadakan di situ.

"Kami melihat daripada sudut persiapan sama ada boleh diadakan jamuan negara untuk majlis besar tersebut, jadi peralatan yang kami lihat menunjukkan bahawa Istana Negara baharu itu boleh disiapkan menjelang Ogos," katanya selepas menghadiri Majlis Santai Makan Tengah Hari Bersama Menteri di sini semalam.

Kek Flora Daisy Cassava taruhan pembantu doktor

Posted: 14 Jul 2011 06:31 PM PDT


Faisal menunjukkan kek Flora Daisy Cassava sejurus muncul juara Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 peringkat Zon Utara di Alor Setar, Kedah baru-baru ini.


KUALA LUMPUR – Menjelang pertandingan akhir Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 di Plaza Shah Alam pada Ahad ini, persiapan juara Zon Utara kategori kek, Faisal Baharom kini hampir 70 peratus siap.

Menurut Faisal, 36, dia akan mempertaruhkan kek bertuahnya, Flora Daisy Cassava yang kini dalam proses terakhir bagi mencari idea terbaharu hiasan kek bagi menepati tema yang ditetapkan pihak penganjur.

"Pada cabaran peringkat akhir nanti, saya akan membawa kelainan dalam resipi kek melalui penerapan unsur-unsur moden dan klasik dari segi hiasannya," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Faisal turut menyatakan resipi keknya sangat istimewa dan lain daripda yang lain kerana ia perlu dikukus bukannya dibakar seperti kek lain.

Dia yang bertugas sebagai pembantu doktor di sebuah pusat perubatan di Pulau Pinang melahirkan rasa syukur kerana layak ke peringkat akhir dan akan melakukan yang terbaik untuk mencapai kejayaan.

Kak Yah ada di Thailand

Posted: 14 Jul 2011 06:07 PM PDT


BOMOH wanita dikenali sebagai Kak Yah kini dipercayai bersembunyi di selatan Thailand.


KUALA TERENGGANU - Bomoh wanita dikenali sebagai Kak Yah atau Kak Mah yang dicari bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang pemuda pada 17 Jun lalu dikesan berada di selatan Thailand.

Polis turut yakin wanita tersebut akan dapat ditahan dalam tempoh terdekat berdasarkan maklumat yang diperoleh selain kerjasama yang diterima daripada pihak berkuasa Thailand.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan memberitahu, siasatan lanjut mendapati, suami suspek berusia 33 tahun yang ditahan di Rantau Panjang, Kelantan pada 5 Julai lalu tidak terlibat dengan pembunuhan tersebut.

Sehubungan itu katanya, polis telah membebaskan lelaki tersebut Selasa lalu selepas pihaknya berpuas hati dengan keterangan yang diberi.

"Wanita itu menjadi suspek tunggal dalam kes tersebut. Berdasarkan maklumat yang diberikan suaminya, kita dapati Kak Yah sedang bersembunyi di selatan Thailand dekat sempadan.

"Suami suspek juga bersetuju untuk menjadi saksi terhadap kes itu," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Azab didera

Posted: 14 Jul 2011 06:06 PM PDT


Kesan tikaman di belakang badan Sew Lan yang ditunjukkan pada sidang akhbar di Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU – Seorang wanita menghela nafas lega apabila diselamatkan daripada terus dikurung dan didera teman lelakinya di Amman, Jordan sejak enam bulan lalu.

Ngooi Sew Lan, 41, diselamatkan selepas dia dapat menghubungi kakaknya, Bong Yeng Phong, 42, pada pukul 12.35 tengah hari 12 Jun lalu yang ketika itu berada di sini untuk menceritakan mengenai azab yang ditanggungnya.

Yeng Phong yang terkejut kemudian membuat laporan di Balai Polis Central di sini sebelum menghubungi Ahli Dewan Undangan Negeri Stulang, Mok Chek Hou untuk meminta bantuan Kementerian Luar dan Kedutaan Malaysia di Jordan.

Mengimbau semula kejadian itu, Sew Lan mendakwa dia berkenalan dengan lelaki Jordan dikenali sebagai Hamada, 25, melalui satu laman sosial ketika dia menetap di London.

Pengurus restoran itu mendakwa, dia terpikat kerana ahli perniagaan di China itu bermulut manis selain fasih berbahasa Inggeris dan Mandarin.

"Saya kemudian mengikutnya pulang ke Jordan pada Januari lalu untuk melancong selepas dia berjanji akan membayar semula wang 10,000 pound sterling (RM48,000) yang dipinjam.

"Namun segalanya menjadi mimpi ngeri apabila Hamada berubah menjadi kurang siuman sehingga dia sanggup menikam belakang badan saya dengan pisau," dakwanya pada sidang akhbar semalam.

Sekolah Dalam Hospital bermula hari ini

Posted: 14 Jul 2011 06:03 PM PDT


NOORAINEE (duduk, kiri) beramah mesra bersama pesakit leukimia, Nadia Nurshazlina Baharom, 14, (duduk, tengah) dan pesakit saraf, Noor Esawani Nidayu Muhammad, 15, (duduk, kanan) pada majlis perasmian penutup latihan guru SDH di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Sekolah Dalam Hospital (SDH) di Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Ampang dan Hospital Serdang akan memulakan sesi pembelajaran untuk pelajar yang dirawat di hospital berkenaan mulai hari ini.

Isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman yang juga penaung SDH berkata, seramai 16 guru telah dipilih berdasarkan beberapa kriteria untuk bertugas di bilik darjah hospital berkenaan.

Menurutnya, lapan daripada guru itu akan mengajar di HKL manakala di Hospital Serdang dan Hospital Ampang akan menyediakan khidmat empat guru.

"Guru-guru itu menjalani latihan sebulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan Institut Pediatrik HKL bagi menyediakan mereka dengan pengetahuan dan kemahiran asas untuk menangani kelompok pelajar yang mempunyai masalah kesihatan," katanya selepas merasmikan majlis penutupan kursus guru SDH di Institut Pediatrik HKL di sini semalam.

Kios daftar masuk sendiri banyak kelebihan, jimat masa

Posted: 14 Jul 2011 05:40 PM PDT


PRAMUGARI MAS, Noor Hanizah Abdul Hamid (dua dari kiri) membantu pelanggan menggunakan kios daftar masuk sendiri di KLIA semalam.


SEPANG - Malaysia Airlines (MAS) menyasarkan peningkatan signifikan dalam pendaftaran masuk perjalanan dan bagasi kepada hampir 100 peratus melalui pelaksanaan kios daftar masuk sendiri yang akan berkuat kuasa pada 1 Ogos ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pengarah Operasi MAS, Kapten Mohamed Azharuddin Osman berkata, sejak ia diperkenalkan pada bulan Disember 2007 sebanyak 15 kios daftar masuk sendiri telah disediakan namun penggunaan sistem itu hanya sekitar 20 sehingga 25 peratus.

"Kaunter proses daftar masuk sedia ada ini akan dimansuhkan dan ia akan digantikan dengan kios daftar masuk sendiri.

"Sehubungan itu, Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) akan menempatkan kesemua 22 kios daftar masuk sendiri di bahagian depan kaunter daftar masuk konvensional di Aras 5, Terminal Utama KLIA," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Mohamed Azharuddin menjelaskan, perkhidmatan yang menggunakan skrin sentuh itu akan memberi pilihan kepada penumpang dalam dua bahasa iaitu Bahasa Malaysia dan Inggeris.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan