Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Wakil Rakyat PKR Mohon Maaf Daripada Wardina
- Nikah Di Thailand, Nurul (AF2) Tidak Belakangkan Keluarga
- Fazura tak kenal Neelofa
- Tembak mati penyerang
- Resah kereta sering dipecah
- Tawar pulangan lebih tinggi
- Cheryl kemuka pelbagai syarat
- Guna bahan semula jadi
- Farhan tak kisah
- Diana Danielle Mahu Produser Utamakan Hak Pelakon
- Kepuasan Main Dalam Stor
- Perlu jadi gedik
- Ziana Zain Tegur Syarikat Korporat Enggan Taja Konsert
- Majalah Tak Laku Kerana Justin Bieber
- Membangunkan diri anak yatim
- Persoalan mati bawa Katlin pada Islam
- Sabar menempuh ujian hidup
- Fahami tuntutan demokrasi
- Melahirkan filem maaruf
- Rempit untuk mencari kepuasan
- Boling satukan minda, fizikal
- Kajian pola pemakanan kanak-kanak Malaysia
- Julie's kongsi kasih sayang di Harvest Centre
- Graffiti dengan mesej positif
- SK Jalan Bahagia, 99 sekolah menengah terima Utusan Malaysia tajaan IMDB
| Wakil Rakyat PKR Mohon Maaf Daripada Wardina Posted: 06 Jul 2011 09:41 PM PDT WardinaPETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad memohon maaf kepada pengacara Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot,32, kerana kontroversi yang dilemparkan terhadap selebriti itu selepas menghadiri Karnival Mesra Rakyat di Desa Mentari di sini pada 26 Jun lalu. Nik Nazmi berkata, dia mengundang Wardina bagi menyampaikan motivasi keibubapaan selain selebriti itu merupakan sahabatnya yang juga dilihat sebagai ikon muslimah muda. "Saya ingin meminta maaf kepada Wardina memandangkan kehadirannya di Karnival Mesra Rakyat ini telah menimbulkan pelbagai fitnah dan tohmahan. Saya ingin menegaskan saya tiada niat mengundang spekulasi pihak-pihak tertentu yang tidak menghormati aktiviti kerajaan bukan BN (Barisan Nasional) ketika menjemput beliau hadir ke karnival ini," katanya dalam satu kenyataan media menerusi blognya, niknazmi.com, Rabu. Pada 29 Jun lalu Wardina membuat sidang media bagi menjelaskan tuduhan kononnya dikatakan terlibat dengan pertubuhan politik pembangkang termasuklah menyokong perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih). Nik Nazmi Nik AhmadWardina dikatakan tidak mengetahui agenda majlis berkenaan sehinggalah ketika dia tiba di lokasi tersebut apabila ia melibatkan majlis kemasyarakatan yang turut dihadiri oleh pemimpin PKR lain termasuklah Timbalan Presidennya, Mohamed Azmin Ali. Nik Nazmi berkata, acara mesra rakyat tersebut dianjurkan dengan kerjasama Majlis Perwakilan Penduduk Zon 24, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Persatuan-Persatuan Penduduk Desa Mentari. Selain Wardina katanya, ia turut dihadiri oleh selebriti sukan tanah air antaranya ikon bola sepak negara, Safee Sali dan beberapa pemain bola sepak Selangor yang memenangi Piala Suzuki AFF iaitu Amri Yahyah, Razman Roslan, Asraruddin Putera Omar, Safiq Rahim, Amirulhadi Zainal dan penulis terkenal, Uthaya Sankar SB. Dalam kenyataan media itu juga Nik Nazmi turut meminta semua penulis bloq agar menghentikan tindakan menyerang Wardina selain menghormati keputusan mana-mana artis yang hadir dalam apa juga program kemasyarakatan tanpa memikirkan siapakah penganjurnya. "Saya mengeluarkan kenyataan ini kerana mahu mempertahankan Wardina demi kepentingan masyarakat tanpa niat lain," katanya. Sementara itu Wardina yang sebelum ini tidak mendedahkan siapakah individu yang menjemputnya untuk ke majlis itu mengakui sememangnya mendapat jemputan peribadi daripada Nik Nazmi. Katanya, dia akan terus memberi ceramah jika dijemput oleh sesiapa sahaja tidak kiralah di kalangan pemimpin pembangkang ataupun sebaliknya asalkan ceramah itu tiada kaitan dengan politik. "Saya akan terus bagi ceramah yang ada kaitan dengan masyarakat tetapi saya akan tolak jika ia adalah ceramah politik. Selain itu saya akan lebih berhati-hati lagi selepas ini," ujarnya. Wardina berkata, dia mempunyai peminat di kalangan mereka yang mempunyai fahaman politik berbeza dan wajar memberi kerjasama kepada kedua-dua kelompok berkenaan. Selain itu Wardina yang mengambil cuti dua bulan sebagai pengacara Malaysia Hari Ini kerana mahu menenangkan fikiran akan kembali menyambung semula tugasnya pada bulan Ramadan ini. | ||
| Nikah Di Thailand, Nurul (AF2) Tidak Belakangkan Keluarga Posted: 06 Jul 2011 08:51 PM PDT Nurul bersama suaminya Mohd Munzil Muhamad.KUALA LUMPUR: Penyanyi Nurul (AF2) atau nama sebenar Nurullah Zawawi,29, yang baru sahaja melangsungkan pernikahannya dengan seorang pensyarah, Mohd Munzil Muhamad tidak pernah membelakangi keluarga sehingga mengambil keputusan bernikah di Narathiwat, Thailand. Jelas Nurul, dia dan suami sebelum ini sudah berusaha untuk berjumpa keluarga kandungnya beberapa kali namun gagal atas sebab-sebab tertentu. "Kami sudah mencuba berbagai cara termasuk meminta bantuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk menghubungi keluarga kandung saya namun tidak mendapat kerjasama. "Kami sekeluarga telah ke Kuching dan pergi ke rumah penghulu kampung tersebut tetapi usaha itu tidak mendatangkan hasil," ujarnya pada sidang media yang diadakan di sini, Rabu. Nurul dan suaminya memberi penjelasan mengenai isu yang dikeluarkan oleh sebuah program hiburan popular yang mendakwa mereka telah membelakangkan keluarga kandung dan bernikah tanpa diwalikan bapa Nurul. Bagaimanapun, Nurul berjanji akan menyelesaikan masalah keluarganya dan bertemu mereka selepas ini. "Kini saya lebih berani untuk berhadapan dengan mereka kerana sudah mempunyai suami dan mahu menjernihkan keadaan. "Secara jujur memang selama ini saya tidak pernah berjumpa dengan mereka dan hanya mengenali wajah kedua ibu bapa kandung ketika disiarkan di rancangan tersebut. "Ini masalah keluarga dan bapa angkat yang banyak mengetahui cerita sebenar pula sudah meninggal dunia," ujarnya kesal. Sementara itu, Nurul juga menafikan telah menukar nama sebenarnya Nurullah Zawawi kepada Nurullah Abdul Hamid dalam setiap urusan rasminya. "Saya tidak pernah tukar nama sebenar saya dan menggunakan nama bapa kandung dalam segala urusan. "Saya hanya gunakan nama tersebut untuk tujuan komersial sahaja selepas ini saya mahu dikenali dengan nama Nurullah Abdul Hamid @ Zawawi," ujarnya yang kesal dakwaan segelintir pihak yang mempertikaikan namanya. Sementara itu, Munzil menjelaskan pernikahannya berlangsung pada 23 April lalu dan bukan 23 Mei seperti dilaporkan media. "Ada media yang tersilap lapor bahawa kami bernikah pada 23 Mei tetapi sebenarnya 23 April. Disebabkan perkara itu, kami menerima pandangan negatif daripada masyarakat yang menganggap kami bersekedudukan. "Saya harap penjelasan ini dapat menjernihkan keadaan dan situasi kami sebagai suami isteri yang sah," katanya. Ketika ditanya mengapa perlu melakukan pernikahannya tersebut di negara jiran sedangkan masih boleh mendapatkan wali hakim dan bernikah di negara ini, jika perkara itu di laksana, ia bakal mengambil masa yang panjang. "Ya, memang boleh untuk mendapatkan wali hakim dan melangsungkan pernikahan di Malaysia tetapi prosedur tersebut terlalu lama. "Jika kami ingin menunggu prosedur itu, ia akan menyebabkan majlis persandingan yang sudah ditetapkan terpaksa ditangguhkan," katanya. | ||
| Posted: 06 Jul 2011 08:47 PM PDT JADI TARUHAN...Erma (tiga dari kanan) bersama barisan pelakon Tahajjud Cinta, (dari kiri) Dira, Fazura, Neelofa, Melissa dan Fouziah. SESUDAH Nur Kasih, drama Tahajjud Cinta arahan Erma Fatima disebut-sebut akan mencetuskan fenomena luar biasa. Namun belum lagi ia ditayangkan kepada penonton, sudah terbit cerita panas mengaitkan dua pelakon jelita drama itu. Siapa lagi kalau bukan aktres filem Pisau Cukur, Nur Fazura Sharifuddin, 27, yang didakwa sedang berperang dingin dengan bintang baru, Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa, 22. Perang dingin itu dikatakan berpunca daripada perebutan kekasih antara mereka berdua.
| ||
| Posted: 06 Jul 2011 08:42 PM PDT SIASAT...anggota polis menyiasat di tempat kejadian. Gambar kecil, Kamal Affendi Hashim. CEDERA...Rosita cedera terkena peluru sesat. SHAH ALAM: Penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim, 43, cedera di lutut dan tangan kanan akibat ditetak seorang lelaki yang mengamuk sehingga memaksanya melepaskan tembakan menyebabkan penyerangnya terbunuh. Kejadian berlaku pada jam 9.53 malam kelmarin di Flat Valencia, Taman Seri Muda, di sini dan lelaki yang mengamuk itu berusia 42 tahun berasal dari Sabah, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, polis terlebih dulu menerima laporan mengenai pergaduhan menggunakan parang membabitkan dua lelaki serumah berasal dari Sabah, seorang berusia 21 tahun dan bekerja sebagai buruh kontrak serta operator pengeluaran berusia 42 tahun iaitu si mati yang menyerang Kamal Affendi.
Katanya, selepas menerima laporan, tiga anggota polis menemani pengadu pulang ke rumah berkenaan untuk mengambil pakaiannya.
| ||
| Posted: 06 Jul 2011 08:39 PM PDT TERANCAM...kenderaan yang diparkir di kawasan Mentari Court sering dijadikan sasaran pencuri. PETALING JAYA: Penghuni di kawasan Mentari Court, di sini, resah dan bimbang apabila kenderaan yang diparkir sering menjadi sasaran pecah masuk dan kecurian sejak setahun lalu. Penduduk mendakwa hampir setiap minggu kejadian itu berlaku menyebabkan mereka menanggung kerugian akibat kerosakan kenderaan.
"Sasaran mereka mencari kereta yang diletakkan di kawasan yang agak jauh dari apartmen. Mereka membuka kenderaan tanpa kedengaran bunyi penggera, namun ada juga cermin kereta dipecah kerana mereka mahu mengambil barangan berharga.
Pekerja swasta, Amir Hamzah, 35, berharap pihak berkuasa lebih kerap menjalankan rondaan dan pemantauan di kawasan berkenaan kerana sejak kawasan itu dihuni warga asing dari Indonesia dan Afrika, kejadian kes pecah masuk dan kecurian kenderaan kerap berlaku.
| ||
| Posted: 06 Jul 2011 08:24 PM PDT LANCAR...(dari kiri) Ahmad Sarji, Mustapa dan Hamad Kama Piah pada majlis pelancaran AMB Dana Nabeel di Kuala Lumpur, semalam. AMANAH Mutual Berhad (AMB), anak syarikat milik penuh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) melancarkan dana pasaran wang Islam yang dilindungi modal dikenali AMB Dana Nabeel dengan saiz dana 400 juta unit menjadikan dana yang diuruskan AMB berjumlah 17 dengan jumlah aset bernilai RM3.56 bilion. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, AMB berada di tangga ke tujuh daripada sejumlah 38 syarikat pengurusan unit amanah di Malaysia daripada segi nilai aset bersih.
Pelancarannya disempurnakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed. Hadir sama pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.
"Kita mengharapkan orang ramai boleh membeli unit ini yang ditawarkan selama 21 hari bagi langganan kepada individu dan institusi tempatan dari dalam dan luar negara. Dana Nabeel boleh didapati di ibu pejabat AMB di Bangunan PNB Jalan Tun Razak dan semua cawangan ASNB serta Maybank seluruh negara," katanya. | ||
| Posted: 06 Jul 2011 08:17 PM PDT LONDON: Ashley Cole dilapor bersetuju terhadap senarai permintaan daripada bekas isteri, Cheryl, yang akan menyaksikan dia berbelanja sehingga �10 juta (RM50 juta) untuk membolehkan dia mengahwininya semula. Bekas juri X Factor itu yang kini sudah kembali kepada bintang bola sepak berkenaan mendesak dia mengeluarkan wang untuk:
Akhbar The Sun semalam melaporkan, Cheryl juga meminta Cole membelikannya cincin yang harganya mesti lebih mahal daripada dua cincin yang tidak lagi dipakainya berikutan kecurangan bintang bola sepak itu. Kedua-dua cincin berkenaan berharga RM750,000 dan RM800,000. Cole, 30, pemain pertahanan Chelsea dan England, juga mesti membenarkan ibu mentuanya tinggal bersama mereka. Menurut The Sun, seorang rakan Cole berkata, Cheryl tidak mahu bertolak-ansur atau berunding mengenai tuntutan itu. Rakan bintang bola sepak itu berkata: "Jika Cheryl sudah bersedia untuk berdepan dengan orang ramai kerana menerima Cole kembali, dia ingin tahu sama ada bekas suaminya itu sudah bersedia untuk bertindak daripada hanya bercakap. "Cole tidak mempunyai pilihan. Dia mungkin akan dapat Cheryl kembali tetapi dengan harga yang mahal." Cole dilapor sudah mula mencari rumah di Los Angeles. Dia juga dikatakan mencari rumah di Dubai untuk mereka kongsi bersama sebaik dia dan Cheryl, 28, berkahwin semula. Gambar pertama pasangan itu sejak mereka bercerai dirakam pada majlis hari jadi Cheryl hujung minggu lalu. Satu sumber berkata: "Keputusan muktamad mengenai mereka berkahwin semula belum dicapai. Mereka tidak tidur bersama. Cole perlu melakukan lebih banyak untuk menambat semula hati Cheryl." | ||
| Posted: 06 Jul 2011 08:15 PM PDT BUANG KOTORAN...akar beluru digunakan untuk rawatan mandi herba. AMALAN berurut untuk memberi kesegaran pada badan dan melancarkan peredaran darah kini dikatakan sudah menjadi satu kebiasaan bagi masyarakat di negara ini. Tidak perlu mencari bidan kampung, sebaliknya kunjungi saja ke mana-mana spa yang menjadi pilihan, pasti ada rawatan urutan seluruh badan yang ditawarkan. Berurut sememangnya dapat memberikan kelegaan pada segenap otot, urat mahupun anggota badan yang keletihan selepas seharian bekerja.
| ||
| Posted: 06 Jul 2011 07:29 PM PDT TIADA langsung sesalan yang terbit di jiwa wanita muda ini sekalipun perjalanan seninya tidak begitu lancar. "Jika mengukur dari produk, memang Farhan akui tiada produk untuk dibanggakan. Bagaimanapun alhamdulillah sumber pendapatan Farhan sejak lima tahun datangnya dari majlis makan malam dan persembahan korporat. "Hendak mengharapkan kemunculan album, Farhan sendiri tidak pasti bila dapat memiliki album itu melihatkan kepada keadaan industri muzik sekarang. Apatah lagi kebanyakan penyanyi lebih selesa menghasilkan single. Jadi Farhan rasa lebih elok jika mengikut jejak langkah mereka," katanya. Rancangan untuk menghasilkan single memang ada, tetapi penyanyi ini merancang ingin berjumpa dengan komposer baru selepas Hari Raya nanti bagi berbincang konsep sesuai untuk dibawakan. Namun, Farhan berhasrat kekal dengan konsep yang pernah dibawakan sebelum ini. "Farhan tak kisah jika peminat berpendapat lagu Farhan terlalu urban, sebab sudah tiba masanya untuk kita mendidik peminat. Kalau Farhan menghasilkan lagu bergenre sama dengan penyanyi lain, bagaimana pendengar hendak mencari kelainan yang ada pada Farhan?" katanya yang enggan menggubah konsep lagunya semata-mata untuk menuruti arah pasaran sekarang. Timbul pertanyaan di hati penyanyi yang pernah memiliki album kompilasi Best Of Farhan ini, kenapa ketika dia memperkenalkan lagu yang mempunyai elemen bossa nova, jazz dan broadway, peminat seakan tidak terbuka untuk menerimanya? Bagaimanapun kemunculan penyanyi indie dapat diterima baik peminat. Bagi gadis berusia 27 tahun yang berjiwa cekal ini, dia tidak kisah mencuba sesuatu yang baru walaupun mungkin penerimaannya di kalangan peminat agak perlahan. Asalkan dia masih memiliki kualiti yang jarang dimiliki penyanyi sekarang. "Sekarang memang diakui industri kita melahirkan ramai produk baru tetapi kualitinya kurang. Alhamdulillah penyanyi macam Farhan masih lagi menegakkan kualiti. Biarlah industri beredar macam mana sekali pun, tapi jika kita mementingkan kualiti walau tiada produk sekalipun orang tetap mengundang Farhan menjayakan sesuatu persembahan. "Farhan tidak mahu terikut-ikut penyanyi lain, Farhan percaya pada diri sendiri. Jika kita ada kualiti, boleh menyanyi dengan baik, insya Allah permintaan tidak akan putus," jelasnya lagi. Dia percaya memang ada sesetengah peminat tidak boleh menerima lagu nyanyiannya kerana kononnya lagu itu terlalu urban atau moden kontemporari, sehingga ada stesen radio juga tidak mahu putarkan. "Tak apalah. Farhan tidak kisah kerana yakin lagu-lagu Farhan pasti ada tempat untuk golongan yang meminatinya. Cuma Farhan berharap agar masyarakat kita dididik secukupnya dengan ilmu muzik, supaya mereka tahu muzik mempunyai pelbagai genre," katanya yang pernah popular dengan single Kelmarin. Katanya single Kelmarin adalah lagu terbaik yang pernah dihasilkan. Lagu berkenaan dihasilkan oleh Sham Kamikaze bagaimanapun idea asalnya daripada Shaarani. Selain nyanyian menjadi sumber pendapatan utamanya, anak sulung dari empat beradik ini turut gigih menceburi bidang perniagaan. Sejak tiga tahun lalu, setiap kali menjelangnya Ramadan, dia akan sibuk menguruskan perniagaan kuih muih. Daripada tidak melakukan sebarang aktiviti sepanjang bulan Ramadan, pemenang tempat ketiga AF4 ini berasakan lebih baik dia memikirkan cara untuk menambahkan pendapatannya. Pada waktu sama juga, dia dapat membela nasib golongan ibu tunggal. "Kalau hendak buat semua kuih sendiri, memang Farhan tidak mampu. Kebanyakan kuih yang Farhan jual, Farhan ambil dari orang tetapi ada juga sikit-sikit yang Farhan buat sendiri. "Kebanyakannya Farhan ambil dari golongan ibu tunggal. Mereka ini kadang kala tidak tahu di mana kuih itu boleh dipasarkan, jadi Farhan ambil dari mereka dan Farhan jual. "Sekurang-kurangnya dapat juga Farhan bantu ringankan beban mereka. Alhamdulillah sejak tiga tahun terbabit dalam perniagaan ini, sambutan yang Farhan terima amat menggalakkan," katanya yang ditemui di Festival Fesyen Kuala Lumpur (FMKL) anjuran Unit Ratu/Wanita Berita Harian di Actors Studio, Lot 10 di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, Isnin lalu. Farhan adalah antara penyanyi yang diundang untuk membuat persembahan istimewa sempena pembukaan rasmi FMKL yang disempurnakan oleh pereka kasut terkemuka, Datuk Jimmy Choo dan turut disaksikan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid dan Pengarang Unit Ratu/Wanita, Salina Abdullah. | ||
| Diana Danielle Mahu Produser Utamakan Hak Pelakon Posted: 06 Jul 2011 07:28 PM PDT Diana DanielleKUALA LUMPUR: Pelakon Diana Danielle menyarankan supaya penerbit filem atau drama agar mengutamakan hak para pelakon tentang penjagaan masa kerja, insurans dan hak persaraan. Menurut Diana, kebanyakan penerbit suka mengambil mudah dengan mengabaikan tiga perkara berkenaan lebih-lebih lagi soal persaraan yang bermaksud memberi royalti terhadap lakonan mereka yang diulang siar. "Sebenarnya, hak berkenaan boleh diamalkan berdasarkan kepada persetujuan di antara pelakon dan pihak penerbit. Apabila ramai pelakon tidak tahu tentang hal ini, maka pihak penerbit akan berdiam diri. "Begitu juga dengan masa. Bayangkan, setelah saya menandatangani kontrak, masa kerja akan bercelaru dan kadangkala ia 48 jam tanpa henti," kata Diana yang ditemui sempena Simposium Hari Himpunan Bintang Kosmo!/MyIPO 2011 di Double Tree by Hilton Hotel, di sini Selasa lalu. Tambah Diana, sepatutnya para pelakon dihadkan waktu bekerja iaitu selama 12 jam sehari dan jika pihak penerbit memerlukan masa yang lebih untuk khidmat mereka, para pelakon seharusnya diberi ganjaran bayaran lebih masa. Selain itu, tegas Diana, adalah wajib bagi semua pelakon memastikan bahawa mereka diberi perlindungan insurans sebelum memulakan penggambaran agar mereka mendapat jaminan sekiranya perkara yang tidak diingini berlaku. "Kita tidak tahu apa yang akan berlaku di set penggambaran ataupun ketika sedang berlakon. Jadi perlindungan amatlah perlu untuk golongan seperti kami," katanya. Bagaimanapun, sebagai pelapis baru, pelakon Hanyut ini mengandaikan masih ramai lagi pelakon yang tidak tahu mengenai hak-hak yang harus mereka peroleh. "Saya harap, mereka (pelakon baru) sedar dan peka tentang perkara tersebut supaya mereka tidak mudah dipergunakan oleh sesetengah penerbit yang tidak bertanggungjawab "Dan kalau boleh, biarlah para pelakon diberi panduan kadar bayaran asas minimum yang ditetapkan kerajaan supaya mereka tidak menerima harga yang rendah dan tidak berpatutan dengan kerja yang dilakukan," tegasnya. Sementara itu, Diana yang mengambil kursus jangka pendek ke Sekolah Filem & Lakonan Akademi Filem New York di Los Angeles (NYFA) akan menyambung pengajiannya pada tahun depan. | ||
| Posted: 06 Jul 2011 07:26 PM PDT Amir bersama Redza Minhat. JUDULNYA, Main Dalam Stor sudah cukup unik untuk menarik khalayak memenuhi ruang persembahan Stor Teater Dewan Bahasa & Pustaka (DBP), minggu lalu. Mengangkat kisah aneka ragam manusia sebagai subjek utama bagi teater yang dipersembahkan secara santai tetapi penuh makna tersirat, masing-masing bijak bermain dengan isu semasa, keadaan kehidupan dan hakikat duniawi tanpa perlu berlebih-lebih, cukup digambarkan menerusi dialog serta ekspresi bersahaja dengan disulami elemen jenaka. Secara keseluruhan Main Dalam Stor dihasil dan dilakonkan bakat tempatan. Mereka berani mencuba dengan semua perkara termasuk subjek cinta tanpa syarat apabila isteri berubah fizikal menjadi lelaki selepas diculik makhluk asing hingga perdebatan mengenai kebenaran tanpa sebarang agenda terselindung, semuanya hanya teater semata-mata. Lebih dengan masyarakat apabila menggunakan Manglish - campuran bahasa Melayu dan Inggeris sebagai bahasa perantara membuatkan teater ini nyata dihasilkan bukan sekadar penyendal atau mengisi portfolio Playground Productions yang juga penerbitnya, kerana ia benar-benar memberi kepuasan kepada penonton. Biar ceritanya ringkas, tetap pengisiannya padat dengan tiket menonton berharga RM25 sebagai berpatutan. Paling mendapat perhatian serta sorakan sebaik tirai berlabuh tentu saja karektor anak muda yang mengharapkan keajaiban di hadapan mesti pengeluaran wang automatik (ATM) lakonan personaliti TV, Razif Hashim menerusi Money. Gara-gara kurang RM3 untuk membolehkan mesin itu mengeluarkan semua baki dalam akaun selain cek yang seharusnya diterima masih belum dilunaskan, jejaka ini terpaksa menjadi penunggu mesin ATM kerana tiada langsung wang untuk mengisi perut, manakala bekalan air di rumah pula dipotong. Money yang diadaptasi daripada koleksi cerita pendek Amir Muhammad sememangnya lumrah yang biasa dihadapi hampir setiap insan, malahan Razif mampu menzahirkan bagaimana perasaan, keadaan, emosi serta tekanan memantikan jumlah angka di skrin mesin ATM itu menerusi monolognya iaitu cakap seorang diri. Secara sinis turut mendedahkan kudis masyarakat apabila sanggup menggadai maruah diri untuk menjalani kehidupan lebih sempurna bukan sekadar cukup makan, kerana setiap dorongan sama ada baik mahupun buruk bermula daripada kehendak hati. Pujian wajar diberikan kepada Razif yang menonjol dengan watak itu. Tawa penonton bergema di ruang yang menjadi medan pencinta serta penggiat teater berhimpun. Biarpun tampak kurang selesa, ia sudah cukup melambangkan kecintaan untuk berkarya yang boleh dipertontonkan di mana-mana, tidak semestinya di panggung besar. Walaupun pernah dipentaskan sebelum ini, Energia dan Post-Modernism serta Faith masih dapat memancing khalayak penggemar baru yang dahagakan pementasan langsung seumpama itu. Sebagai pelengkap, mereka terbabit dalam pementasan Projek Disko Baldi yang sebelum ini dipersembahkan di PJ Laugh Fest 2011 diberi tanggungjawab menghangatkan dewan. Barangkali tempoh tiga malam tidak cukup untuk membolehkan lebih ramai pencinta teater berkongsi kepuasan mengikut produk yang dirasakan cukup dekat di hati penonton. Bahkan pengalaman trio yang memayungi Playground Production iaitu Redza, Megat Sharizal dan tuan Faisal Azmy digunakan sepenuhnya bagi menghidupkan pementasan ini. | ||
| Posted: 06 Jul 2011 07:24 PM PDT PERNAH ditawarkan beraksi di pentas teater namun ketika itu pengacara dan penyampai radio popular, Fara Fauzana, belum bersedia kerana jadual harian dipenuhi aneka tugasan yang memerlukan komitmen penuh. "Segala-galanya seakan sudah disuratkan untuk saya. Tawaran membawakan watak isteri kepada Tuan yang ditonjolkan kepoh itu datang tepat pada waktunya. Walaupun ketika dihubungi saya berada di luar negara, tanpa berfikir panjang saya terus menerimanya. "Kalau ikutkan, saya memang sudah lama menunggu tawaran seperti itu apatah lagi bekerja dengan mereka yang begitu berpengalaman. Ia sesuatu yang begitu mengujakan," katanya yang pernah mengambil teater sebagai subjek pilihan ketika pengajian di universiti. Teater di bawah kerjasama Matic dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu mengisahkan perjalanan dan kesengsaraan hidup pengasas Jamu Mak Dara, Ibu Halimah, serta kisah seorang nyonya dari Indonesia. Selain Fara, tunjang utama lain bagi pementasan yang menggabungkan kisah Mak Dara dan Nyonya itu ialah Misha Omar, Sarimah Ibrahim, Norzizi Zulkifli dan Sherry Syed Abdullah, manakala Juhara Ayob mengalas tanggungjawab sebagai Mak Dara. Melihat senarai pelakon, tidakkah Fara gentar berkongsi pentas dengan mereka yang lebih dulu menimba pengalaman beraksi di pentas teater? Akui gadis berusia 31 tahun itu, segala perasaan negatif dilontar jauh bagi memastikan tumpuannya tidak terjejas apatah lagi orang baru sepertinya mengharapkan bimbingan daripada mereka yang sudah merasa asam garam dunia pementasan langsung. "Jika diikutkan saya masih setahun jagung dalam bidang lakonan namun mereka yang lebih senior ini membuka tangan seluas-luasnya malah tidak kedekut ilmu apabila sanggup memberikan tunjuk ajar. "Teater mempunyai disiplin tersendiri, begitu juga lenggok serta penyampaian dialognya tambah-tambah menerusi Mak Dara Nyonya yang menjurus kepada senario di Indonesia manakala watak saya juga perlu tampak gedik," katanya yang mengagumi Juhara. Menumpukan sepenuh perhatian terhadap sesi latihan yang mengambil masa lebih sebulan, tanpa berselindung saat melangkahkan kaki ke latihan pertama, hatinya dipaut resah melihatkan pelakon lain sudah bersedia. Awalnya Fara kurang yakin terhadap kemampuan membawakan watak terbabit tetapi selepas melalui sesi latihan bersama teman seperjuangan lain, dia kini sudah mampu membawa jiwa wanita berkenaan. "Teater berbeza daripada penggambaran drama atau filem, tetapi saya puas dapat menimba pelbagai pelajaran baru. Kami berpeluang melontarkan idea untuk mencantikkan lagi situasi mahu pun dialog asalkan tidak berlebih-lebih. "Kini harinya sudah tiba. Sebagai pendukung watak, sudah pasti saya mahu menonjolkan yang terbaik malah saya yakin komitmen, kerjasama dan semangat kerja berpasukan mampu menjadikan misi kami realiti," katanya lagi. Makan angin sambil kerja di LA DALAM keghairahan mencuba bidang baru, Fara tidak mengenepikan dunia penyiaran apabila baru-baru ini 'terbang' ke Los Angeles, California, Amerika Syarikat, bersama pasukan produksi untuk sebuah program televisyen. Masih enggan berkongsi rahsia, katanya penerbitan yang masih pada peringkat pembikinan itu hanya akan dihebahkan apabila hasilnya siap, kemungkinan dalam tempoh terdekat ini. "Kami pergi bukan sekadar makan angin namun mencari bahan untuk program terbabit, cuma belum masanya untuk saya mendedahkan konsep mahu pun judul rancangan itu kerana masih banyak yang perlu diperhalusi. "Boleh dikatakan ia sebuah rancangan yang segar manakala penerbitannya pula di bawah tanggungjawab syarikat produksi saya sendiri. Tunggu saja nanti," katanya yang menerbitkan sendiri program itu sambil tersenyum penuh bermakna. Sementara itu, tiket menyaksikan Mak Dara Nyonya boleh didapati pada harga RM32, RM52 dan RM82. Keterangan lanjut hubungi 03-41478600, 012-2977220 dan 013-6293825. PROFIL: Fara Fauzana | ||
| Ziana Zain Tegur Syarikat Korporat Enggan Taja Konsert Posted: 06 Jul 2011 07:18 PM PDT Zianan ZainKUALA LUMPUR:Penyanyi Ziana Zain menegur syarikat-syarikat korporat di negara ini yang enggan menaja konsert penyanyi-penyanyi tempatan berbanding penyanyi antarabangsa. Kata Ziana, walaupun dia tahu hal tersebut sudah lama berlaku, dia ingin menegaskan kembali kepada pihak penaja bahawa penyanyi tempatan mempunyai kualiti dan aura untuk menarik penonton membeli tiket konsert. "Saya masih tak faham kenapa penyanyi-penyanyi tempatan sering dianaktirikan. Saya harap pemikiran skeptikal pihak penaja terhadap kami akan berubah. "Kali terakhir saya membuat konsert pada tahun 1996 dan selepas itu, sampailah sekarang saya masih lagi menanti. Memang ada penganjur yang ingin menganjurkan konsert untuk saya tapi, penaja pula yang tidak ada.," katanya. Bagaimanapun, duta produk Antabax itu gembira kerana masih lagi ada yang ingin menganjurkan beberapa persembahan konsert mini untuknya di Singapura "Sejak penglibatan saya dalam industri, Alhamdulillah, sekurang-kurangnya, sekali dalam setahun mesti ada tawaran buat persembahan. "Bagaimanapun saya sangat rindu membuat konsert di negara sendiri. Malah saya juga rindu untuk melihat peminat-peminat menyanyi bersama-sama sambil mengukir senyuman, ia memberi satu kepuasan buat saya," ujarnya. Bagaimanapun, jika benarlah ada yang ingin menganjur serta menaja konsertnya, dia enggan membuat persembahan itu secara ala kadar sahaja sebaliknya mahu t para penonton rasa berbaloi dengan harga tiket yang dibeli. Sementara itu, Ziana mengakui, walaupun tidak lagi aktif dalam dunia lakonan, dia masih menerima pelbagai tawaran berlakon sehingga kini. "Kalau nak ikutkan hati, memanglah saya nak berlakon. Tetapi apabila memikirkan anak-anak, hasrat itu terpaksa saya lupakan," katanya. | ||
| Majalah Tak Laku Kerana Justin Bieber Posted: 06 Jul 2011 07:09 PM PDT ![]() PENJUALAN majalah Vanity Fair jatuh mendadak selepas syarikat penerbitan itu menggunakan penyanyi popular Justin Bieber sebagai penghias muka depannya. Majalah edisi Februari itu mencatat jualan sebanyak 246,000 naskhah dan memecahkan rekod penjualan terburuk sepanjang 12 tahun majalah tersebut di pasaran. Kali terakhir majalah ini mendapat jualan terendah ketika menggunakan pelakon Will Smith sebagai muka depan pada tahun 1999. Sebelum ini, sebuah majalah remaja Teen Vogue juga menanggung kerugian apabila menggunakan gambar Bieber untuk edisi Oktober 2010 yang hanya terjual sebanyak 121,054 naskhah sahaja. | ||
| Posted: 06 Jul 2011 07:07 PM PDT ![]() Peserta bergambar dengan fasilitator Program Pembangunan Jati Diri kepada Anak-Anak Yatim/Miskin Negeri Selangor 2011 di Hulu Langat, Selangor, baru-baru ini. DARIPADA Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda: "Orang-orang yang bertanggungjawab mengurus anak yatim, baik dari keluarga sendiri atau tidak, maka aku dan dia seperti dua jari ini di syurga kelak." Dan baginda memberi isyarat dengan merapatkan jari telunjuk dan jari tengah (ertinya berdekatan)". Menyedari tanggungjawab besar itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Negara dan Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menganjurkan Program Pembangunan Jati Diri kepada Anak-Anak Yatim/Miskin Negeri Selangor 2011. Program selama tiga hari bermula 24 Jun hingga 26 Jun lalu di Lembah Azwen Resort, Hulu Langat, Selangor. Ia dihadiri oleh 100 orang terdiri daripada anak-anak yatim dan anak-anak miskin seluruh Negeri Selangor yang berdaftar di bawah program e-kasih Jabatan Kebajikan Masyarakat. Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Dakwah, Jakim, Jamali Mohd. Adnan berkata, matlamat program adalah memberi semangat kepada para peserta untuk bersama-sama dengan masyarakat Malaysia yang lain meneruskan kehidupan dan menyumbang kepada negara. Katanya, golongan miskin dan anak yatim ini perlu diberi perhatian yang serius bagi menjamin mereka memperolehi kehidupan dan peluang pendidikan yang sempurna. "Ini bagi memastikan wawasan 2020 dapat dicapai selari dengan saranan Islam untuk mengasihi golongan ini atas dasar tanggungjawab sesama Muslim, sesuai dengan konsep masyarakat penyayang," katanya. Pendekatan program yang berkonsepkan indoor dan outdoor memberi pendedahan kepada para peserta tentang elemen pengukuhan jati diri. Antara pengisian program adalah mengenal potensi diri, praktikal kesempurnaan solat, tanggungjawab sebagai anak, kepimpinan, cabaran remaja masa kini, qiamullail dan banyak lagi. Slot-slot tersebut digarap untuk membangunkan jati diri remaja yang kuat di samping memberi nilai tambah kemahiran insaniah kepada para peserta. Seorang peserta, Nabilah Anis Muhamad Yusof daripada Pertubuhan Rumah Anak Yatim/Miskin daerah Kuala Langat berkata, program itu memberi motivasi untuk cemerlang dalam kehidupan. "Tambahan pula pada tahun ini saya akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia," katanya. Selain program itu, pihak kementerian bersama Yayasan Kebajikan Negara dan Jakim turut bekerjasama dalam program pembangunan jati diri secara berkala dan memberi fokus kepada kumpulan sasaran seperti golongan orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, warga emas dan keluarga miskin tegar. | ||
| Persoalan mati bawa Katlin pada Islam Posted: 06 Jul 2011 07:06 PM PDT
SEAWAL usia tiga tahun, beliau membuatkan orang lain bingung untuk menjawab persoalan yang ditimbulkan. Orang pertama yang menjadi mangsa, adalah bapanya sendiri. "Saya bertanya kepada bapa saya, apa yang perlu kita lakukan setelah kita mati," katanya. Soalan itu menyebabkan bapa Katlin Hommik bingung dan kemudiannya hanya mampu memberitahu kepada anak perempuannya itu: "Katlin, ketika mati nanti kamu cuma hanya tidur di dalam tanah". Katlin berasal dari Estonia, negara yang terletak di wilayah Baltik iaitu paling utara di Eropah Tengah. - sebuah negara yang rakyatnya dilarang bercakap soal agama, kepercayaan dan keyakinan terhadap tuhan di hadapan umum ketika di bawah pemerintahan komunis Kesatuan Soviet. Malah para penduduknya juga dipaksa mempercayai bahawa hanya orang gila sahaja yang percaya bahawa tuhan itu wujud. Dalil singkat yang mereka gunakan ialah bagaimana mungkin untuk percaya pada sesuatu yang tidak dapat dilihat dek mata? Apabila ada angkasawan Rusia yang berjaya berada di angkasa lepas dan mereka tidak melihat tuhan yang kononnya sepatutnya 'duduk' di atas gumpalan awan, ia dijadikan bukti bahawa tuhan itu sememangnya tidak ada. "Begitulah komunis menyerapkan fahaman antiagama. Tidak seorang pun diizinkan berbicara mengenai agama jika mereka tidak mahu menempah nahas dan seksaan jika cuba berbuat demikian," kata Katlin. Katlin yang tidak berpuas hati dengan jawapan bapanya tidak pernah putus asa mencari jawapan mengenai pelbagai persoalan hidup. Iaitu hidup untuk apa dan mati akan ke mana. Bertahun-tahun lamanya beliau bersendirian mencari jawapan. Dalam pada itu, Katlin tetap merasakan segala tindak tanduknya seolah-olah sedang 'diperhatikan' oleh Tuhan. Namun, beliau semakin merimaskan bapanya dengan pelbagai pertanyaan sehingga menyebabkan Katlin dihantar untuk tinggal bersama neneknya yang sempat merasakan kehidupan gereja semasa usianya masih muda. "Neneklah yang pertama kali memperkenalkan kepada saya cara memanggil tuhan iaitu dengan mengajar cara berdoa mengikut ajaran Kristian. "Namun yang uniknya, nenek melarang saya mengucapkan semua itu di hadapan orang ramai supaya bapa saya tidak mendapat masalah di kemudian hari. "Tetapi saya berazam untuk terus belajar ajaran Kristian daripada nenek secara sembunyi-sembunyi," katanya. Sesuatu yang agak melucukan berlaku ketika Katlin berusia 11 tahun dan pertama kali dia menghadiri kelas hari minggu di gereja yang ketika itu umpama menyambut kemerdekaan dari Soviet Union. Pada hari pertama dia telah dibuang kelas. Ia hanya kerana Katlin bertanya terlalu banyak sehingga beliau dituduh iman telah rosak. Pada hal yang soalan yang ditanyakan itu baginya tidak salah. Namun semua persoalan yang dibangkitkan menyebabkan paderi sebagai pengajar menjadi bingung. Namun Katlin tetap mempelajari ajaran Kristian selain sanggup melakukan apa sahaja asalkan dia mempunyai agama untuk dipegang. "Waktu itu saya masih menganggap saya penganut Kristian. Tetapi akhirnya saya sendiri tak mampu bertahan. Ini kerana saya tidak mampu menerima perkara-perkara yang tidak rasional dalam ajaran agama itu yang akhirnya saya memutuskan untuk mencari sesuatu yang lain. "Yang lain itu adalah Islam itu sendiri," katanya. Melalui pengenalan terhadap Islam, Katlin mengambil masa sehingga tiga tahun untuk mengenal siapa dirinya yang sebenar. "Saya selalu bertanya pada diri adakah saya sudah benar-benar yakin untuk menjadi seorang muslim. Apakah saya benar-benar telah bersedia," katanya. | ||
| Posted: 06 Jul 2011 07:05 PM PDT
HIDUP ini merupakan ujian. Semua ketentuan sama ada kesenangan mahupun kesusahan telah disusun rapi oleh Allah SWT yang bersifat al-Qadir dan al-'Alim. Sebagai seorang manusia, kehidupan kita akan sentiasa diwarnai dengan ujian yang kadangkala datang dalam bentuk kesusahan mahupun kesenangan. Hidup yang hanya diwarnai dengan kesusahan, pasti akan mengecewakan, manakala kehidupan yang hanya diuliti dengan kesenangan pasti akan membosankan. Kehidupan akan ada turun naik dan pusingannya. Orang yang berada di bawah suatu ketika pasti akan berada di puncak kejayaan dan begitulah sebaliknya. Itu adalah sunnatullah, Dia yang menciptakan manusia dan amat mengetahui keperluan kita sebagai makhluk dan hamba-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud: Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (al-Baqarah: 155) Penciptaan manusia di muka bumi ini adalah sebagai hamba yang berperanan untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT di dalam ruang lingkup ibadah yang luas. Dia meletakkan perintah dan larangan untuk dipatuhi oleh manusia dalam mereka menjalani kehidupan. Ia juga merupakan ujian untuk Dia melihat sejauh manakah manusia dapat mengawal diri dan nafsunya untuk melakukan ketaatan kepada-Nya di kala insan lain bergelumang dengan dosa dan kedurhakaan lantaran tewas dengan ajakan nafsu dan dunia yang mempersonakan. Sememangnya kehidupan ini adalah medan ujian untuk Allah SWT menilai siapakah manusia yang menggunakan hidupnya dengan beramal kebaikan, sebelum mereka dipanggil pulang kehadrat-Nya untuk diberi ganjaran yang sewajarnya di dalam kehidupan akhirat yang abadi. Firman Allah SWT yang bermaksud: Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk Dia menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat). (al-Mulk: 2) Kebanyakan manusia keliru dengan bentuk ujian yang menimpa mereka. Bentuk ujian dalam kehidupan ini sebenarnya tidak hanya berupa kesusahan, kecelakaan, kesakitan, kehilangan harta dan jiwa, sebagaimana yang dianggap oleh kebanyakan manusia. Malah ujian juga datang dalam bentuk kesenangan dan kemewahan. Ramai yang lupa akan ujian kesenangan yang datang dalam pelbagai bentuk kekayaan, kekuasaan, kesihatan dan bermacam-macam lagi. Kebanyakan manusia akan banyak mengingati dan berdoa kepada Allah ketika ditimpa musibah, agar kesusahan itu segera hilang, tetapi tidak ramai manusia yang bersyukur dan berserah diri kepada-Nya di kala kesenangan dan kemewahan. Manusia yang ditimpa kesakitan akan menadah tangan kehadrat Allah, agar memberi kesembuhan kepada mereka kerana mengetahui hanya Allah SWT sahajalah yang boleh menyembuhkan. Manusia yang dikurniakan nikmat kesenangan dan kemewahan, ramai antara mereka yang terleka dan terlalai dan merasakan kesenangan dan kemewahan itu datang dari usaha dan ikhtiar mereka semata-mata. Kebanyakan mereka terus lalai dibuai keindahan dunia, sehingga ajal menjelma dan mereka mati dalam keadaan melupakan Allah dan Allah akan menjauhkan mereka dari rahmat-Nya. Na'uzubillahi min zalik. Firman Allah SWT yang bermaksud: Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan. (al-Anbiya': 35) Cabaran serta ujian dalam kehidupan merupakan satu mekanisma untuk mematangkan diri kita, meningkatkan cara kita berfikir, cara kita berhadapan dengan masalah, mendidik kita untuk sabar, mengajar kita untuk menjadi lebih baik dan yang lebih manis lagi. Cabaran serta ujian dalam kehidupan ini telah mendekatkan diri hamba-Nya kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa. Inilah satu proses pembelajaran selama mana kita berada dalam universiti kehidupan. Kebiasaannya apabila manusia ditimpa musibah, pastinya mereka akan berada dalam keadaan sedih, dukacita dan resah dan gelisah. Bagaimanapun, manusia yang beriman akan menghadapi ujian dengan penuh kesabaran dan lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT. Allah SWT mengajar golongan Mukmin yang ditimpa musibah menyebut Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un yang bermaksud apa sahaja yang kita miliki, baik harta, kuasa, bahkan nyawa kita dan orang-orang yang kita sayangi kesemuanya adalah hak milik Allah. Maka pastinya Allah berkuasa melakukan apa sahaja yang dikehendaki-Nya ke atas segala yang dimiliki-Nya, dan akan tiba masa dan ketika di mana kesemuanya akan dikembalikan kepada-Nya. Orang yang menerima ujian dengan penuh kesabaran dan reda dengan ketentuan-Nya dijanjikan dengan berita gembira yang berupa keampunan, keredaan dan mendapat rahmat Allah. Dalam satu riwayat, dikatakan Sa'id ibn Jubayr, seorang tabien mengatakan bahawa rahmat itu adalah pelindung daripada siksa azab neraka. Firman Allah SWT yang bermaksud: Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar : (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk hidayah-Nya. (al-Baqarah: 155 - 157) Sehubungan dengan itu sifat sabar hendaklah dijadikan perhiasan diri ketika bencana melanda agar umat Islam tidak terjebak kepada amalan sia-sia seperti kekecewaan melampaui yang mengakibat bunuh diri dan lain-lain. Saling pesan memesan kepada sifat sabar ini juga satu amalan mulia yang menjadi syarat kepada orang-orang yang beruntung. Ia sebagaimana maksud Firman Allah SWT: Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran. (al-Asr: 1-3) Kesimpulannya, setiap manusia tidak akan terlepas melalui ujian yang ditetapkan di dalam kondisi yang berbeza di antara satu sama lain. Itu adalah lumrah alam dan takdir yang ditentukan bagi setiap insan. Justeru keistimewaan akal yang dikurniakan kepada manusia hendaklah digunakan sewarasnya agar ujian itu dapat dilalui dan diatasi dengan jayanya. Bersikap positiflah dalam menghadapi kehidupan yang penuh pancaroba kerana kita tidak mampu merubah takdir yang tertulis, tetapi kita mampu merubah perspektif dalam diri kita ketika menghadapi qada Allah SWT. Terutamanya dengan bersabar, saling memaafkan kesilapan orang lain dan belajar melupakan demi untuk ketenangan jiwa dan kebahagiaan hakiki yang menjadi dambaan insan seluruhnya. | ||
| Posted: 06 Jul 2011 07:04 PM PDT
DEMOKRASI memberi makna kebebasan bersuara, jaminan hak dan penyertaan yang seimbang. Demokrasi adalah aspirasi kebebasan dari rakyat kepada rakyat. Dalam tradisi Islam, proses syura memberi asas demokratik tetapi dukungan proses syura merujuk kepada al-Quran. Al-Quran dan sunnah dijadikan sebagai sumber rujukan dalam membuat sesuatu keputusan yang sifatnya musyawarah. Hari ini demokrasi diertikan sebagai satu suara, satu undi. Undi yang majoriti bakal membentuk kerajaan. Kerajaan itu terbentuk daripada rakyat dan berkhidmat untuk rakyat atas nama kebebasan hak dan tanggungjawab. Dalam Islam, kebebasan diberi pedoman oleh wahyu. Hak merujuk hak Allah dan hak hamba. Kewajipan kepada Allah menjadi keutamaan dan ihsan kepada Allah menjadi pedoman sesama manusia. Remaja perlu memahami demokrasi dalam konteksnya dan proses syura dalam sejarahnya. Integrasi kedua-duanya berasaskan prinsip-prinsip asasi dalam Islam boleh dijadikan pedoman bagaimana mekanisme demokrasi cara Barat didukung oleh maqasid syariah dalam Islam. Ia akan menghasilkan satu corak siasah yang tidak sahaja memiliki mekanisme tetapi memiliki roh dan isi. Proses demokrasi yang sedang berlaku sekarang banyak menjadikan politik beroperasi dalam skop yang terbatas. Demokrasi Barat dijadikan model dalam memahami erti kebebasan, hak asasi dan tanggungjawab. Dalam Islam kebebasan mempunyai batasan. Faktor syarak dijadikan batasan sama ada kebebasan itu melampau atau sebaliknya. Hak itu menyebabkan penafian hak majoriti atau sebaliknya. Tanggungjawab itu lebih bersifat peribadi atau kelompok atau sebaliknya. Amat penting bagi remaja mempelajari maksud hak asasi mengikut jendela Barat yang tidak di pedoman oleh agama dengan hak asasi yang didukung oleh Islam. Hak asasi Barat tidak sahaja merujuk kepada kebebasan gender, kebebasan bergaul tanpa batas, malah kebebasan seksual. Dalam tradisi Islam, kebebasan yang sifatnya interaktif mestilah dalam batas syarak. Ia tidak boleh melampaui kerana ia boleh mendatangkan kerosakan terhadap diri dan masyarakat. Begitu juga dengan kebebasan. Ia tidak membenarkan seseorang melakukan kebebasan tanpa mengambil pertimbangan salah dan benar, dosa dan pahala, makruf dan mungkar. Hal yang sama juga merujuk kepada tanggungjawab dalam proses demokrasi Barat. Tanggungjawab hanya merujuk kepada pemerintah kepada rakyat atau rakyat kepada pemerintah tetapi tidak merujuk kepada pemerintah, rakyat dan Allah. Lalu proses demokrasi berjalan dalam bentuk horizontal (merentas) tetapi tidak bersifat vertical (menegak). Akibatnya maksud demokrasi antara negara dengan negara mempunyai perbezaan dari sudut iklim politik, budaya berfikir dan tradisi intelektual di kalangan warganya. Ia menyebabkan proses demokrasi berjalan secara mekanistik melingkari hal-hal duniawi. Dalam tradisi Islam proses musyawarah dan syura sentiasa menjadi landasan perbincangan, muzakarah dan membina rasa tolak ansur yang tinggi. Isu-isu yang berbangkit di Malaysia kini tidak memahami maksud demokrasi yang sifatnya kontekstual. Kontekstual bermaksud masyarakat kurang memahami sensitiviti antara kaum, kelainan budaya dan cara berfikir, antara kelompok yang menguasai sumber ekonomi dan yang tidak, serta masalah sosio-ekonomi yang tidak merata. Hasilnya pemahaman terhadap demokrasi berlaku dengan dangkal dan tidak mencapai tahap matang. Perbincangan tidak lagi menjadi landasan, dialog semacam terpinggir dan muzakarah kian dinafikan. Ia melahirkan suasana yang ekstrem dan radikal. Yang dipentingkan ialah cita-cita politik kelompok tanpa menghiraukan kepentingan negara. Isu yang ditampilkan adalah isu kalah dan menang, bukan isu benar dan salah. Lalu bahasa demokrasi tidak lagi bergema dengan sihat di parlimen tetapi demonstrasi jalanan dijadikan wadah baru dan menyebabkan kebebasan orang lain menyatakan pandangan terancam. Dalam situasi masyarakat berbilang, pendekatan ini boleh mencetuskan konflik. Remaja Islam harus memikirkan akibat konflik sesama sendiri boleh memecahkan asas demokrasi dan kekuatan politik matang yang perlu ada di kalangan pimpinan pelbagai parti. Selalunya kelompok-kelompok politik suka menidakkan suara-suara orang yang tidak disukainya lalu lahir label-label yang negatif dengan menimbulkan dendam kesumat dan rasa kebencian yang mendalam. Malaysia umpamanya adalah sebuah negara yang mencari wajah diri dan rupa pembangunan yang seimbang. Islam dalam banyak hal dibenarkan berkembang secara institusi dan juga dalam sistem. Dalam masa yang sama unsur-unsur luar yang berorientasikan Barat masih berkembang pesat. Para demokrat iaitu orang-orang yang percaya kepada suatu sistem yang bebas tidak harus melihat pengukuhan nilai-nilai agama yang bersifat ketamadunan sebagai ekstrem dan ia suatu ancaman. | ||
| Posted: 06 Jul 2011 06:29 PM PDT
SEJAK tersiarnya klip video Gambit Saifullah Marilah Menari yang memaparkan aksi artis baru Prima Yin dan Shahz Jazlan, banyak kritikan dan komen diutarakan di media cetak oleh mereka yang prihatin terhadap nilai agama dan budaya. Video selama empat minit 18 saat itu sesungguhnya tidak dapat diterima oleh mereka yang berpegang teguh kepada nilai agama, budaya dan jati diri ketimuran. Bukan sahaja isi dan konsepnya, malah kepada aspek pakaian, gerak aksi pelakon, semiotik, paparan sesetengah shot visualnya dan aura yang dilahirkan daripada menonton video tersebut. Namun pandangan ini amat berbeza dengan 'komen kaki' dalam youtube video tersebut. Daripada 182 komen yang dapat dibaca ketika itu sebahagian besarnya menganggap video tersebut 'ok' dan tidak nampak lucahnya. Sebahagian besar mengatakan isu video tersebut sengaja diperbesarkan oleh pihak media. Antara komen yang diberikan: * x de lucah mana pun...gersang sikit jer...wartawan media ja yang kecoh sangat; lucah? mengarut betul...; media cetak yg buat berita ni jadi sensasi...kesian ngan pengarah ni...memang tertekan dia org nak hadapi akibat ketidakmatangan media; ok ja ako tgk; x de lucah mana pun...biase2 je...kecoh gila media...; * Gambit, honey...u did a great job on this video...just ignore what people said, coz they dont noe what they talking about...if this people aroun u make noise about this again, u just said to them AAK (ada aku kisah)...great job honey, luv d video...; Best lyrik ni...video pun best. Kebanyakan komen adalah menggunakan bahasa khidmat pesanan ringkas (SMS) yang di akhir-akhir ini menjadi perbincangan hangat di kalangan pencinta dan pejuang bahasa. Daripada bahasa dan saluran media yang digunakan, andaian dapat dibuat siapakah mereka ini. Inilah segolongan wajah generasi kita yang lahir daripada acuan sistem pendidikan yang mementingkan kecemerlangan lahiriah ala Barat. Sebahagian mereka sudah tidak memiliki kemahiran membaca dan menulis jawi. Buta sejarah dan buta geografi. Pengetahuan dan ilmu tentang bahasa, sastera dan budaya tidak perlu kerana ilmu-ilmu tersebut tidak memiliki nilai komersial dan tidak menyerlahkan penampilan diri sebagai 'individu moden'. Pemahaman dan penghayatan kepada jati diri, sivik dan kenegaraan semakin terhakis. Inilah harga yang perlu dibayar. Maka tidak hairan kalau elemen 'seni mungkar' menyelinap masuk ke dalam beberapa buah filem dan video yang dihasilkan oleh segelintir pembikin filem kita. Walau pun perkara-perkara yang berkaitan dengan 'seni mungkar' ini telah diperkatakan oleh banyak pihak, namun ia masih tidak surut-surut. Namun apakah langkah konkrit yang boleh dicadangkan untuk mengatasi masalah 'kebanjiran seni mungkar' yang dihasilkan oleh segelintir pembikin filem kita agar bentuk seni tersebut sedikit demi sedikit berubah wajah menjadi 'seni maaruf'? Seni yang memiliki pematuhan syariah. Seni biasanya dirujuk sebagai sesuatu yang cantik, indah, bersih, halus, benar, lembut dan segala macam sifat yang mengarah kepada kebaikan. Pada hakikatnya segala sifat yang baik ini memang sudah ada dalam diri manusia kerana sesungguhnya Kami telah mencipta manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (at-Tin: 4). Daripada sudut jasmani manusia dicipta dalam bentuk paling indah daripada unsur yang terlalu seni dan teramat halus sifatnya. Daripada sudut rohani pula, manusia telah dicipta di atas fitrah yang hanif iaitu sifat semula jadi yang sukakan kepada kebaikan, keindahan, kebersihan, kehalusan, kesucian dan kepada perkara-perkara yang lurus iaitu yang benar. Maka dengan sifat-sifat yang telah tersedia ada itu manusia seharusnya dapat melahirkan segala macam bentuk seni yang membawa kepada yang maaruf bukan kepada yang batil. Sebagai sebuah seni, filem seharusnya dapat mengangkat martabat manusia untuk menjadi insan kamil selaras dengan fitrah ia dicipta untuk menjadi khalifah di muka bumi. Tujuannya untuk mengabadikan diri kepada Allah bagi memakmurkan dan mensejahterakan seluruh makhluk di alam jagat raya ini. | ||
| Posted: 06 Jul 2011 06:28 PM PDT
MAT rempit, gelaran cukup sinonim dengan gejala sosial yang meruntuhkan akhlak anak-anak muda termasuk seks bebas, jenayah ragut, samseng jalanan dan sebagainya. Biarpun sudah banyak dilakukan bagi membendung kegiatan golongan ini namun sehingga sekarang ia bagai tiada kesudahan dan terus menjadi duri dalam daging. Apakah punca kegagalan itu disebabkan pendekatan yang kurang sesuai atau mungkin kerana masyarakat tidak memahami 'siapa' sebenarnya mereka ini. Baru-baru ini, penulis berpeluang 'melepak' bersama beberapa orang mat rempit dalam usaha menyelami hati dan memahami apa sebenarnya yang dicari di sebalik kegiatan tersebut. Ternyata personaliti mereka jauh berbeza apabila tiada helmet di kepala dan tangan tidak memulas 'minyak'. Tidak keterlaluan sekiranya dikatakan bahawa mereka ini menjadi 'liar' tatkala beradu kehandalan masing-masing di atas jalan raya. "Sekarang susah untuk kami melepak di satu-satu kawasan kerana pihak berkuasa bukan sahaja mengacau malah mereka juga tidak pernah memberi peluang kepada kami untuk membela diri. "Kami sememangnya begitu 'hina' di mata mereka (pihak berkuasa). Disebabkan itu sekarang ini kami lebih gemar mengisi minyak penuh dan membuang masa di atas jalan raya," ujar Joe (bukan nama sebenar), salah seorang mat rempit yang ditemui. Dia yang berusia awal 20-an mengakui dirinya seolah-olah 'ketagih' sekiranya tidak merempit satu hari. Bercerita lanjut penglibatannya di dalam dunia rempit, jelas Joe, ia akibat daripada pengaruh rakan-rakan sebaya. Walaupun pada mulanya dia tidak mempunyai motosikal, tetapi rakan-rakan sanggup meminjamkan dan bermula daripada situ Joe mula serius dan akhirnya hari ini dia merupakan salah seorang mat rempit yang disegani. Banyak menghabiskan masa pada malam minggu, Joe juga tidak pernah terkecuali dengan perlumbaan haram bersama rakan-rakan rempit yang lain. Bukan itu sahaja malah Joe juga sanggup berhabis wang ringgit untuk menjadikan motosikalnya yang terhebat di kawasan 'jajahannya'. Yang menjadi persoalannya, daripada manakah Joe memperoleh duit untuk membaiki dan 'menyolek' motosikalnya? Setelah dirisik, rupa-rupanya Joe bekerja di siang hari malah kerja yang dilakukannya merupakan pekerjaan tetap di sebuah syarikat swasta. Apabila ditanya bagaimana pula dengan penerimaan ahli keluarga terutama ibu bapa dengan 'hobinya' itu, Joe memberitahu mak bapa mana yang tidak risau apabila melihat anak mereka sering merayap setiap malam. "Saya memang tinggal dengan keluarga dan sudah pasti emak yang paling kuat membebel. "Tapi apa boleh buat, saya memang suka merempit, ia memberi kepuasan yang tidak terhingga apabila dapat memulas minyak hingga habis meter. "Biarlah apa orang nak kata, lagipun yang merempit saya bukannya mereka dan yang tanggung akibatnya pun saya, mereka tiada kaitan langsung," katanya lagi. Sementara itu, menurut seorang lagi rakannya, Black (bukan nama sebenar), dunia rempit hanya berkisar tentang kehebatan masing-masing di jalan raya dan bukannya raja lepak. Untuk itu, sesiapa sahaja yang bergelar mat rempit pastinya berkebolehan menunggang dan mampu melakukan pelbagai skil berani mati seperti wheelie (mengangkat tayar hadapan) dan juga wikang (wheelie menggunakan tayar belakang). Jelas Black lagi, dirinya tergolong dalam kategori mat rempit yang mementingkan kepuasan apabila dapat menarik minyak dengan kelajuan maksimum. "Memang puas sangat kalau saya berjaya memecut laju dan sememangnya kami gemar memecut. "Untuk itu, motosikal akan diubahsuai berkali-kali bagi mencapai kelajuan yang benar-benar maksimum," tambahnya. Katanya lagi, jika Joe merupakan mat rempit yang puas apabila dapat memecut, dirinya pula merupakan mat rempit yang lebih mementingkan hadiah wang kemenangan. Bagi Black, lumba haram sudah sebati dalam dirinya dan dia tidak teragak-agak menyahut cabaran jika ada yang mencabar kemampuannya. Sekiranya menang, kepuasan memang tidak dapat digambarkan kerana dalam masa yang sama diri turut diberi penghormatan. Black juga tidak menyembunyikan fakta bahawa dirinya pernah ditahan polis gara-gara melanggar sekatan jalan raya. Begitupun, selama menjadi mat rempit, kedua-dua remaja ini belum pernah lagi terbabit dengan kemalangan yang teruk cuma sekadar cedera ringan. Yang pasti, mereka hanya melepaskan 'gian' masing-masing untuk membuktikan kemampuan diri dalam mengendalikan motosikal di jalan raya. Mereka juga merupakan anak-anak muda yang ingin kehendak mereka difahami dan didengari. | ||
| Posted: 06 Jul 2011 06:26 PM PDT
APA kepuasan yang diperoleh daripada bermain boling? Adakah berdasarkan jatuhan pin ataupun ada kepuasan lain yang boleh diraih? Sudah jatuhan pin bukan segala-galanya. Boling membuatkan si pemain menjadi lebih fokus, yakin dan jitu pada matlamat yang ingin dicapai. Simbolik pencapaian tersebut mungkin boleh dilihat daripada jumlah jatuhan pin itu sendiri. Maka boling antara sukan terbaik yang boleh menjadi pilihan para pelajar untuk memberikan mereka kekuatan fizikal dan minda bagi menjalankan tanggung jawab secara keseluruhan. Hakikat itu juga dipersetujui Penyelaras Program Pembangunan Boling Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Empat (SMKJE), Bandar Baru Bangi, Selangor, Datin Wan Nor Ashikin Abu Kassim. Ujarnya, SMKJE merupakan satu antara 27 buah sekolah yang telah mendapat pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Ia telah melahirkan 20 wakil boling yang terdiri daripada pelajar tingkatan satu hingga lima yang telah dipilih secara teliti menerusi beberapa perlawanan peringkat sekolah. Baru-baru ini, Mega berpeluang melihat sendiri latihan tiga daripada 20 wakil pemain boling yang dibangunkan di bawah Program Pembangunan Boling atau nama rasmi kumpulan mereka JESS (Jalan Empat Secondary School). Afiq Iskandar Aziz, 14, dan pasangan adik beradik, Amir Din Imran Aminuddin, 17, serta adiknya, Ayra Nur Jehan, 13, merupakan antara pemain yang berjaya digilap dari program tersebut. Menurut Wan Nor Ashikin, boling dipilih sebagai sukan untuk SBT kerana ia merupakan satu sukan yang mementingkan ketelitian, fokus, teknik dan kemahiran yang baik. "Pelajar di SMKJE merupakan pelajar yang terpilih, mereka yang masuk ke sekolah ini adalah yang mendapat keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan 5A. "Jadi pelajar ini mudah diajar dan senang memahami apa yang diperturunkan oleh jurulatih. Boleh saya katakan bahawa sukan ini lebih menggunakan minda. "Jadual latihan mereka langsung tidak mengganggu waktu belajar. Sebanyak 10 sesi dirancang dan kami pihak sekolah juga amat beruntung kerana mendapat kerjasama yang baik dari ibu bapa pelajar-pelajar tersebut. "Malahan ibu bapa juga sanggup mengeluarkan modal membiayai bola boling anak dan lain-lain perbelanjaan, itu komitmen yang sangat-sangat kami hargai," ujarnya. Wan Nor Ashikin menambah, syarat untuk mereka kekal sebagai SBT ialah menyertai kejohanan terbesar peringkat antarabangsa sebagai wakil Malaysia sebanyak tiga kali. Dua beradik cemerlang boling dan pelajaran Bagi Ayra Nur Jehan yang merupakan pelajar tingkatan satu di SMKJE, penglibatan dia dan abangnya dalam sukan boling setelah salah seorang saudara mereka meraih pingat emas dalam sukan itu. "Apabila saudara saya mengajak kami adik beradik berlatih bersama-samanya secara tidak langsung minat tersebut bercambah dalam diri kami," jelasnya yang merupakan anak kedua daripada empat beradik. Lebih menggembirakan apabila minat tersebut dikongsi seluruh ahli keluarga. Lalu ia dijadikan riadah hujung minggu di samping mengasah teknik dan skil untuk menjadi baik dan lebih baik lagi. Ayra Nur Jehan yang turut bercita-cita menjadi pemain boling professional negara mengakui, sukan tersebut menjadikan dia lebih fokus dalam urusan lain. Malah ia membantu dari segi kecerdasan dalam pelajaran. Antara pencapaian yang diraih Ayra baru-baru ini ialah memenangi Malaysian Open kategori Girl's Graded di tempat kedua. Tempah bola boling sendiri Bagi Afiq Iskandar Aziz, 14, penyertaannya dalam program pembangunan boling sekolah adalah berdasarkan minat juga galakan ibu bapa dan rakan-rakan. "Bagi saya ia satu sukan untuk mengisi masa lapang sekali gus menambah daya fokus. "Sesi latihan yang telah dirangka iaitu dua kali seminggu tidak langsung mengganggu pelajaran," katanya yang merupakan anak sulung dari tiga beradik. Afiq juga beruntung kerana minatnya tersebut mendapat sokongan ibu bapa sepenuhnya. Demi memberikan permainan yang terbaik pada setiap kejohanan, Afiq menempah bola boling yang mengikut sukatan jarinya sendiri. "Pemilihan bola boling yang bersesuaian amat penting kerana ia mempengaruhi prestasi balingan, jadi tiada salahnya membuat pelaburan ke arah tersebut," katanya yang merupakan pelajar tingkatan dua di SMKJE. Afiq juga tidak menafikan yang dirinya bercita-cita untuk mencapai peringkat tertinggi dalam sukan boling. | ||
| Kajian pola pemakanan kanak-kanak Malaysia Posted: 06 Jul 2011 06:25 PM PDT
ANAK-ANAK kecil bakal pewaris negara masa depan. Sebagai persediaannya, mereka perlu diasuh mengikuti pola pemakanan yang lengkap supaya setanding dengan pembangunan ke arah negara maju. Setakat ini di Malaysia masih belum ada kajian yang menyeluruh mengenai tahap pemakanan kanak-kanak yang melibatkan pelbagai kaum. Berikutan itu, peneraju produk tenusu di Malaysia, Dutch Lady Milk Industries Berhad (Dutch Lady) memperuntukkan RM2 juta bagi menjalankan kajian pemakanan terbesar dan mendalam mengenai kanak-kanak di negara ini. Dutch Lady telah menjalankan kajian itu dengan kerjasama Jabatan Pemakanan dan Dietetik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Ia bermatlamat mengenal pasti keperluan pemakanan harian yang penting bagi kanak-kanak dan juga mempertingkatkan kandungan maklumat sedia ada dalam bank data pemakanan semasa bagi negara ini. Kajian melibatkan 4,000 kanak-kanak seawal usia tiga bulan hingga 12 tahun yang tinggal di negeri-negeri di sebelah Utara, Tengah, Selatan, Pantai Timur, Sabah dan Sarawak. Bagaimanapun kajian itu telah dilakukan sejak Mei 2009 dan dijangka akan siap pada tahun depan. Pakar Pemakanan Kanan Dutch Lady Malaysia, Loo Mei Fong berkata, usaha itu dilakukan memandangkan setakat ini tiada maklumat terkini dan mendalam mengenai tahap 'misi' pemakanan kanak-kanak di Malaysia. ''Misi korporat kami adalah untuk membantu rakyat Malaysia terus maju dalam kehidupan dengan tenusu yang dipercayai serta mempunyai nilai pemakanan yang luar biasa dan membentuk bahagian yang penting dalam diet yang sihat,'' katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Sementara itu, Ketua Jabatan Pemakanan dan Dietetik UKM, Prof. Madya, Dr. Poh Bee Koon berkata, kajian itu akan menjadi panduan kerana Malaysia yang akan mencapai status negara maju sedang mengalami perubahan cara hidup yang mana akan turut memberi kesan kepada pemakanan penduduknya. Kajian tersebut akan dijalankan secara terperinci dan meliputi beberapa kategori iaitu berhubung dengan profil diet dan pengambilan khasiat ini termasuk soal selidik pengambilan makanan dan tabiat pemakanan. Selain itu, katanya, kanak-kanak tersebut juga akan dipantau dari segi aktiviti fizikal. ''Ini dilakukan dengan meletakkan pedometer ke tali pinggang khas kepada kanak-kanak tersebut di mana alat ini akan merekodkan maklumat seperti berapa langkah yang diambil dalam sehari,'' katanya. Katanya, kemampatan tulang mereka juga akan turut diuji. Ini membolehkan kanak-kanak yang mempunyai kemampatan tulang yang kurang dari rakan sebaya akan dapat dikesan. Ujian IQ atau kepintaran juga akan dijalankan dan fakta tersebut akan dikaitkan dengan pemakanan. Kanak-kanak ini juga menjalani ujian darah bagi mengesan jumlah kandungan zat besi, vitamin dan profil lipid dan juga tekanan darah. Bagaimanapun, katanya, ia cuma akan dilaksanakan apabila mendapat persetujuan daripada penjaga kanak-kanak tersebut. Kajian ini adalah langkah pertama untuk mengisi jurang maklumat dalam bidang pemakanan penduduk Malaysia yang terdiri dari berbilang kaum dan kepelbagaian dalam pengambilan makanan. Menurut Dr. Bee Koon, setakat ini kajian di Semenanjung sudah berakhir dan pihaknya akan meneruskannya di Sabah dan Sarawak. ''Kita akan berusaha untuk menyiapkan kajian ini selewat-lewatnya penghujung tahun ini sebelum cuti penggal persekolahan bermula,'' katanya. Bagaimanapun, katanya, semua keputusan ini akan disiapkan sepenuhnya pertengahan tahun depan. | ||
| Julie's kongsi kasih sayang di Harvest Centre Posted: 06 Jul 2011 06:25 PM PDT ![]() Kakitangan Julie's bersama-sama mendendang lagu tentang kasih sayang bersama kanak-kanak di Harvest Centre. SETIAP orang mempunyai definisi yang berbeza tentang kasih sayang. Kasih sayang tidak hanya bermakna cinta kepada seseorang malah ia lebih daripada itu. Dengan hanya memberi makanan kepada seseorang yang memerlukan juga sebagai cara menunjukkan rasa prihatin dan sayang. Apa yang sangat mengharukan tentang berkasih sayang ialah, lebih banyak anda memberinya, lebih banyak anda akan dapat merasainya. Bak kata penceramah motivasi terkenal negara, Datuk Dr. Mohd Fadzillah Kamsah: "Untuk mendapatkan kasih sayang harus dimulakan dengan memberinya." Sebagai menggalakkan masyarakat memupuk kasih sayang antara sesama insan, Julie's baru-baru ini melancarkan kempen yang dipanggil Kongsi Kasih Sayang. Medium utama kempen ini tentulah penghasilan lima buah lagu bertemakan Kongsi Kasih Sayang. Ia telah direkodkan secara istimewa dan diberikan bersama biskut Julie's kepada mereka yang bergelar hero tidak didendang. Memang tidak berunsurkan keuntungan, orang ramai boleh mendapatkan lagu-lagu yang menghiburkan tersebut dengan memuat turun menerusi laman web www.sharethelove.my. Pengarah urusan Julie's, Su Chin Hock berkata, kempen itu sebagai satu tanda mereka membantu dan memberikan kasih sayang dengan cara yang tersendiri. "Di Julie's kami percaya kasih sayang dan sikap ambil berat antara majikan dan pekerja adalah sama seperti kasih sayang yang diberikan buat ahli keluarga kami sendiri. "Malah kasih sayang kami sebenarnya dizahirkan menerusi biskut yang kami hasilkan. "Ini juga bersesuaian dengan tagline kami iaitu bake with love, di mana tentunya kami memilih hanya ramuan terbaik dan berkhasiat untuk menghasilkan biskut yang akan dinikmati oleh setiap manusia yang berkasih sayang," ujarnya pada majlis pelancaran kempen di pusat perlindungan kanak-kanak Harvest Centre, baru-baru ini. Pusat perlindungan yang terletak di tengah-tengah bandar Sentul, Kuala Lumpur, itu dipilih kerana merupakan satu pertubuhan bagi membantu kanak-kanak yang tercicir sekolah untuk meneruskan pelajaran mereka. Bermakna kanak-kanak yang tidak mempunyai surat beranak, tiada kad pengenalan diri dan tiada sokongan ditempatkan di sini dan berpeluang mendapat hak pendidikan seperti kanak-kanak lain. Pada majlis tersebut, hadirin diperdengarkan dengan lagu ciptaan lima pemuzik tempatan yang dicipta atas dasar kasih sayang dan keikhlasan. Pemuzik tempatan yang dimaksudkan ialah Lab The Rat, Prema Yin, Asmidar, Bihzhu dan Jasemaine Gan. Dalam masa yang sama, kempen itu diharap dapat menyampaikan mesej daripada 700 kanak-kanak yang kurang bernasib baik yang dahagakan kasih sayang daripada ahli masyarakat. Sebelum itu, kempen berkenaan telah berlangsung di sekitar 17 lokasi di Lembah Klang dengan mengadakan lawatan ke tempat kerja hero yang tidak didendang seperti bomba, jururawat, para wartawan yang bekerja shif malam, penghantar surat khabar dan pengumpul sampah. Mereka dikejutkan dengan dendangan nyanyian, pemberian biskut dan air. | ||
| Posted: 06 Jul 2011 06:23 PM PDT
DI bawah terik mentari, kelihatan seorang pelukis graffiti sibuk menyiapkan karyanya pada dinding papan lapis ketika Pesta Youthnity di Taman Tasik Titiwangsa di sini, baru-baru ini. Ardy Shafiq Arshad, 24, yang lebih dikenali sebagai Damis di arena graffiti berpengalaman enam tahun dalam seni itu. Minat beliau mula berputik ketika zaman persekolahan lagi, di mana seni graffiti banyak dipertontonkan dalam video muzik hip-hop, genre muzik kegemarannya. "Dalam hip-hop ada empat elemen utama - emcee, deejay, b-boy dan graffiti," kata Ardy yang berasal dari Parit Buntar, Perak. Katanya, ramai lebih cenderung menceburi bidang emcee, deejay atau b-boy. Hanya segelintir mempunyai minat mendalam terhadap graffiti. Tamat persekolahan, Ardy berpindah ke Kuala Lumpur untuk merealisasikan impian menjadi pelukis graffiti. Katanya hanya di ibu negara beliau dapat bertemu pelukis graffiti terbaik di Malaysia yang boleh membantunya berjaya dalam bidang itu. Senario seni graffiti di Malaysia bermula sekitar 1998 di Batu Pahat, Johor. Ia dimulakan oleh satu kumpulan (dalam senario graffiti dipanggil crew) dikenali PhobiaKlik. Setelah minat terhadap seni ini kian bercambah, popularitinya mula tersebar ke negeri lain. Di Kuala Lumpur satu crew yang menamakan diri mereka SWS (Sembur With Style) turut mempopularkan seni ini, sekaligus menjadikan ibu negara sebagai hab pelukis graffiti di Malaysia. Seperti Ardy, ramai yang berpindah ke Kuala Lumpur dari kampung halaman demi minat menceburi seni graffiti. Selain daripada PhobiaKlik dan SWS kini terdapat ramai lagi crew terkenal di negara ini, yang antaranya Super Sunday, Medium Touch, TLG dan Phiberwryte. Menurut Ardy, komuniti graffiti terutama di ibu negara dilihat berjaya memperkasakan taraf seni itu daripada sebagai melakukan kemusnahan terhadap harta benda awam kepada seni yang kini diterima umum. Ini dilakukan menerusi pelbagai program dengan kerjasama beberapa pihak termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Belia dan Sukan. "DBKL adalah rakan baik kami. Buktinya boleh dilihat di tebing Sungai Klang dan berdekatan stesen LRT Pasar Seni di mana mereka bukan sahaja membenarkan kami melukis graffiti di situ, malah menggalakkannya," kata Ardy merujuk kepada barisan lukisan graffiti yang 'menghidupkan' tebing sungai itu. Katanya, hasil jalinan baik dengan DBKL adalah Festival KUL Sign yang diadakan Disember tahun lepas, di mana antara tarikan utamanya adalah pertandingan graffiti yang memaparkan pelukis graffiti dalam dan luar negara. Selain itu, Kementerian Belia dan Sukan turut menganjurkan khemah graffiti pada tahun lepas di beberapa Kompleks Belia dan Sukan seluruh negara, sekaligus menyediakan platform bagi pelukis graffiti tempatan mendidik generasi baru seni itu. "Kami menghargai jalinan kerjasama dan kepercayaan yang diberikan dan akan terus bekerjasama untuk manfaat ramai," katanya. Ardy adalah ahli Phiberwryte (PW), crew graffiti terkenal di negara ini. Menariknya, ahli mereka turut terdiri daripada warga Singapura dan Brunei Darussalam. Selain berkarya, PW juga berusaha membimbing generasi baru pelukis graffiti. Untuk ini mereka menyediakan program Style2Burn dengan menggunakan Facebook sebagai wadah utama. Style2Burn mengenakan tema berlainan setiap bulan dan peserta seharusnya menyediakan karya menurut tema itu. Kemudian karya mereka akan dimuat naik ke laman Facebook untuk dinilai. Ahli senior akan memberi penilaian, komen dan tip untuk memperbaiki bakat. Ini membolehkan pelukis muda belajar dengan lebih pantas dan bagi yang senior, mereka dapat merapatkan hubungan di samping saling belajar dari mereka. | ||
| SK Jalan Bahagia, 99 sekolah menengah terima Utusan Malaysia tajaan IMDB Posted: 06 Jul 2011 06:17 PM PDT ![]() Hizwani Hassan (baris ketiga, enam dari kanan), Mohd. Nasir Ali dan Mohd. Ali Mohd. Yusof (baris ketiga, empat dari kanan) bersama murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Jalan Bahagia, Temerloh, semalam. TEMERLOH 6 Julai – Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Bahagia di sini merupakan satu-satunya sekolah rendah daripada 100 sekolah yang terpilih menerima akhbar Utusan Malaysia tajaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di seluruh negara sepanjang tahun ini. Sebanyak 99 sekolah lagi yang menerima tajaan bernilai RM147,000 bagi memanfaatkan sisipan Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP) adalah sekolah menengah. Pengarah Eksekutif Tanggungjawab Sosial Korporat 1MDB, Hizwani Hassan berkata, penajaan ADaP pada setiap Khamis bagi sekolah menengah dan Rabu bagi sekolah rendah itu merupakan tanggungjawab sosial syarikat tersebut. ''Penajaan akhbar Utusan Malaysia bertujuan meningkatkan kecemerlangan pelajar dan memperkasakan institusi pendidikan terutama di luar bandar. "Syarikat mengagihkan akhbar tajaan ini dengan memilih antara lapan hingga 10 sekolah di setiap negeri dan setiap sekolah akan menerima 50 naskhah Utusan Malaysia bersama-sama sisipan ADaP," katanya. Beliau berkata demikian selepas majlis menyerahkan sisipan ADaP dan akhbar Utusan Malaysia kepada Guru Besar SK Jalan Bahagia, Mohd. Ali Mohd. Yusof di sini, hari ini. Turut hadir Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Nasir Ali. 1MDB merupakan sebuah syarikat pembangunan strategik milik penuh kerajaan yang memberi fokus kepada pembangunan dalam sektor hartanah strategi, tenaga, pelancongan dan agrobisnes. Menurut Hizwani, agihan akhbar Utusan Malaysia bersama sisipan ADaP kepada sekolah-sekolah terpilih di seluruh negara itu telah bermula sejak Mac lalu. Sementara itu, Mohd. Ali berharap ADaP dapat membantu lebih ramai murid tahun enam sekolah berkenaan mendapat keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini. Pada tahun lalu, katanya, seramai 22 murid sekolah itu mendapat keputusan 5A dalam UPSR. ''Saya yakin dengan adanya ADaP dan Utusan Malaysia, ia dapat memberikan pendedahan kepada murid tahun enam mengenai teknik pembelajaran yang lebih ceria," katanya. |
| You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |























0 ulasan:
Catat Ulasan