RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Jadilah apa pun

Posted: 16 Jun 2011 08:56 PM PDT

  • Foto

  • Foto

  • Foto

Penghijrahan bukan alasan untuk tinggalkan kerjaya dalam bidang seni

JANGAN terkejut jika anda terserempak dengan anggota Ruffedge, VE dan Innuendo yang tampil berketayap dan berjubah serba putih kerana Pot, Azan, Zaff, Ameer dan Lah kini memang sudah melangkah ke satu fasa baru dalam hidup mereka.
Tidak ketinggalan dua lagi teman mereka yang tidak hadir pada malam itu iaitu Mode dan Taj.
Pada mulanya penulis menyangka mereka bergaya begitu kerana memenuhi undangan stesen televisyen TV AlHijrah. Membuak-buak rasa ingin tahu adakah mereka benar-benar sudah berhijrah dan tidak mahu lagi bergaya seperti dulu.

Bagaimanapun jelas Azan mewakili teman-temannya yang lain, mereka masih seperti dulu. Cuma mereka akan bergaya sebegitu jika bergerak dalam kumpulan yang diberi nama Al Mawlid.

Dari jauh anak muda ini bersama rakan-rakannya melontarkan senyuman ikhlas. Tanpa banyak bicara masing-masing memperkenalkan diri kerana mungkin menyedari penampilan mereka kali ini dilihat agak ketara sehingga menimbulkan kekeliruan.

Al Mawlid disifatkan mereka sebagai satu pertemuan yang cukup hebat. Menariknya, perubahan ke semua mereka berlaku tanpa dirancang. Pertemuan di majlis ilmu secara tidak sengaja mencetuskan penyatuan mereka dalam sebuah kumpulan yang digerakkan dengan nama Al Mawlid.
Mengakui semakin tenang dengan jalan yang dipilih sekarang, namun perjuangan mereka pada muzik tidak pernah padam. Pesanan guru yang tidak menghalang mereka daripada meneruskan kerjaya dalam bidang muzik sedikit sebanyak melegakan lima sahabat ini.

"Guru kami berpesan, jadilah apa pun, asalkan kami menjadi umat yang mencintai Rasulullah. Sebenarnya sudah lama kami menantikan cahaya hidayah seperti ini yang mana, kami dipertemukan semula dalam majlis ilmu. Sebagai manusia, kami hanya menanti tiupan hidayah. Tetapi bila masa dan ketikanya hidayah akan tiba bukanlah kuasa kami, kerana Allah lebih tahu segala-galanya," katanya.

Daripada perbualan dengan Azan ini, ternyata dia tidak sedikit pun mengungkit perjalanan hidupnya sebagai anak seni dan menganggap semuanya itu sebagai satu pengalaman hidup, bukan sahaja pada dirinya tetapi juga pada setiap manusia.

"Kami sedar, kami banyak dosa malah pernah hanyut satu ketika dulu. Semua orang tidak kiralah dalam apa industri sekalipun pasti pernah hanyut, bukan industri hiburan saja. Setiap kesalahan kita, Allah sudah susun tetapi pesan Rasulullah, kesalahan tidak boleh ada kali kedua.

"Perubahan ini sebenarnya kami anggap sebagai ujian. Adakah kami mampu untuk memikulnya dan mampukah kami terus kekal begini? Bagi memastikan pendirian kami kekal, banyak perkara yang kami lakukan bersama.

"Contohnya menghadiri kelas ilmu, menganjurkan majlis bersama-sama, buat lagu juga kami lakukan bersama," kata Azan mewakili sahabatnya yang lain.

Jangan takut imej kami

Azan juga berkata, biarpun semakin tenang dengan Al Mawlid, hubungan dengan Ruffedge masih baik. Malah dia tidak pernah terfikir untuk membubarkan kumpulannya itu kerana tiada sebab untuk perjuangan kumpulan itu dihentikan.

Disebabkan ketiga-tiga kumpulan asal mereka membawakan muzik bergenre R&B, genre yang dibawakan Al Mawlid juga banyak dipengaruhi genre itu. Bagi mereka, apabila sudah berubah, tidak bermakna muzik mereka juga perlu berubah.

"Kami masih selesa dengan genre R&B dan bagi kami tidak salah jika kekal dengan genre itu walaupun kami memilih untuk berubah. Kami tidak mahu apabila sudah berhijrah, lagu-lagu kami turut mengalami perubahan.

"Kalau boleh kami mahu terus kekal dengan genre yang dulu kerana kami mahu menarik peminat Ruffedge, VE dan Innuendo untuk mendengar lagu-lagu yang memuji kebesaran Allah dan Rasulullah yang disampaikan dengan konsep R&B.

"Al Mawlid bukanlah kumpulan nasyid. Kami sebenarnya adalah sebuah komuniti. Kami tidak hanya menyanyi saja tetapi kami juga mempunyai program majlis ilmu yang diadakan setiap Jumaat di Surau Al Hidayah, AU3 Keramat. Manakala sebulan sekali, pada Jumaat pertama setiap bulan pula, kami akan menganjurkan majlis Maulud Nabi.

"Kami anggap usaha kami kecil ini untuk menghidupkan kembali konsep selawat dengan gaya R&B dan acapela. Kami cuba melaksanakan apa yang termampu secara perlahan-lahan. Tetapi jangan pula takut melihat imej kami. Imej ini sebenarnya tidak ada apa-apa, sebenarnya kami bergaya begini untuk mengenali dengan lebih dekat kekasih Allah," kata Al Mawlid.

Isteri derita

Posted: 16 Jun 2011 08:53 PM PDT

CUAI...Kamaruddin menunjukkan laporan polis dan kain pencuci yang dikeluarkan dari kemaluan isterinya.
CUAI...Kamaruddin menunjukkan laporan polis dan kain pencuci yang dikeluarkan dari kemaluan isterinya.

KUALA LUMPUR: Seorang wanita terpaksa menderita berikutan kemaluannya dijangkiti kuman, didakwa akibat kecuaian pihak hospital tertinggal kain pencuci di dalam anggota sulitnya selepas bersalin anak sulung pada 19 Mei lalu.

Wanita itu yang melahirkan anak sulung lelaki di sebuah hospital di Selangor pada mulanya tidak berasa apa-apa perubahan malah turut dibenarkan keluar selepas dua hari berada di wad.

Bagaimanapun, selepas pulang dia berasa sakit di kemaluan malah air kencingnya turut berbau busuk menyebabkan mangsa mengesyaki sesuatu.

Suaminya, Kamaruddin Mohamad Ali, 29, berkata, isterinya mengadu sakit di bahagian itu, namun pada mulanya dia menyangka perkara itu normal kerana baru bersalin.


Menurutnya, dia menghantar isterinya pulang ke kampung di Pulau Pinang pada 24 Mei lalu supaya dijaga keluarganya.

Cabul gadis ‘suci dosa’

Posted: 16 Jun 2011 08:49 PM PDT

DIHARAMKAN...Mohd Yusop menunjukkan senarai kumpulan yang difatwakan sebagai ajaran sesat di Perak.
DIHARAMKAN...Mohd Yusop menunjukkan senarai kumpulan yang difatwakan sebagai ajaran sesat di Perak.

IPOH: Seorang guru agama berusia 50-an yang mengajar tarekat memilih gadis muda bagi proses menyucikan dosa selain menentukan darjat di sisi Tuhan sebelum mencabul mangsa dengan kejadian terbaru membabitkan gadis 20-an yang mengikuti ajaran sesat lelaki terbabit bersama bapanya.

Namun, melucukan apabila lelaki dan wanita tua tidak perlu melalui proses itu kerana guru terbabit mendakwa pengikut terbabit sudah suci secara semula jadi, tetapi setakat ini gadis 20-an itu dipercayai menjadi mangsa.

Guru tarekat yang beroperasi di satu daerah di utara Perak itu dipercayai menggunakan alasan penentuan darjat seseorang yang paling hampir dengan Allah SWT atau 'maqam' untuk mencabul gadis yang menjadi muridnya.

Menurut sumber, kejadian terbaru membabitkan gadis berusia 20-an itu ketika dia bersama bapanya mengikuti aktiviti tarekat terbabit, baru-baru ini.


"Berdasarkan maklumat, sebelum kejadian gadis itu melakukan proses bersuluk (bersendirian dalam tempoh masa tertentu) dan selepas bersuluk, mangsa diarah berjumpa guru terbabit untuk menentukan maqam dan ketika itu mangsa dicabul," katanya di sini, semalam.

Yuna Teruja Dilantik Duta Canon

Posted: 16 Jun 2011 08:48 PM PDT

Yuna memegang kamera digital terbaru Canon 1100D berwarna merah yang direka khusus untuk wanita.

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan penulis lagu Yunalis Zarai (Yuna) menyifatkan pelantikannya sebagai duta produk Canon akan lebih menyuntik semangatnya terhadap bidang fotografi.

Kata Yuna, sebelum pelantikan tersebut pun dia sememangnya menggunakan kamera digital Canon sejak usia remaja lagi untuk merakamkan gambar-gambar menarik di dalam kehidupannya.

"Saya sangat teruja dengan pelantikan sebagai duta produk Canon. Sebelum ini, sejak di bangku sekolah dan universiti saya memang merupakan pengguna jenama tersebut terutamanya kamera digital.

"Ciri-ciri kamera digitalnya yang mesra pengguna dan mudah untuk dikendalikan itu adalah faktor utama saya setia dengan Canon sejak dulu

"Tak sangka pula daripada pengguna setia, kini saya dilantik sebagai duta produk pula," katanya yang ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta Canon di Malaysia.

Bercerita lanjut, Yuna berkata, pemilihan itu berlaku atas dasar persefahaman yang terjalin di antara pihaknya dan pengeluar produk kamera berkenaan.

"Semuanya bermula pada awal tahun ini apabila Canon menjadi salah satu penaja utama untuk program kembara saya iaitu Yuna Inspired.

"Pihak Canon memberikan sebuah kamera 5D Mark II untuk tujuan merakamkan gambar-gambar dan aktiviti saya sepanjang kembara ke Amerika Syarikat.

Yuna dan Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Canon Marketing Malaysia, Melvyn Ho pada majlis pelantikannya sebagai duta Canon di Hotel Istana, Kuala Lumpur, Khamis.

"Saya bukan saja merakamkan gambar malah turut membuat rakaman video pengembaraan dengan kamera itu. Mungkin daripada situlah, mereka berminat untuk melantik saya sebagai duta bermula awal bulan ini," katanya yang dilantik sebagai duta untuk tempoh setahun.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Canon Marketing Malaysia, Melvyn Ho berkata, pelantikan Yuna sebagai duta produk adalah seiring dengan prinsip Canon yang menekankan aspek kualiti dan inovasi dalam teknologi produk tersebut.

"Kami berbangga dengan pemilihan Yuna sebagai duta Canon kerana dia adalah contoh terbaik bagi menggambarkan nilai jenama kami yang inovasi, kreatif, berkualiti dan sentiasa mahu memberikan yang terbaik untuk para pengguna.

"Jalinan ini adalah gabungan yang ideal kerana Yuna kreatif dalam muzik manakala Canon pula menekankan aspek inovatif dalam teknologi produk-produk yang kami hasilkan," katanya.

Selain mempromosikan produk keluaran terbaru jenama itu, Yuna juga bakal menghasilkan sebuah lagu tema untuk Canon tidak lama lagi.

Untuk perkembangan terkini tentang Yuna dan Canon, layari laman sosial http://facebook.com/canoncameramsia.

Mahu jejantas

Posted: 16 Jun 2011 08:47 PM PDT

TUNTUT...sebahagian pelajar dan guru sekolah terbabit memegang kain rentang menuntut pembinaan jejantas.
TUNTUT...sebahagian pelajar dan guru sekolah terbabit memegang kain rentang menuntut pembinaan jejantas.

KLANG: Lebih 100 orang termasuk ibu bapa, guru dan pelajar daripada tiga sekolah di Jalan Kapar, di sini, berkumpul secara aman menuntut pembinaan jejantas di kawasan berkenaan berikutan banyak kes kemalangan kecil membabitkan pelajar sekolah di kawasan itu, sejak tiga tahun lalu, kelmarin.

Tiga sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kapar, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Idris Shah dan Sekolah Menengah Perempuan Kapar bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Kumpulan Tindakan Alternatif diketuai pengerusinya, B Kalai Vanar mendesak pihak bertanggungjawab membina jejantas bagi mengelak kejadian sama berlaku.


Semua peserta demonstrasi aman berkenaan berkumpul lebih dua jam di kawasan itu bermula jam 6 petang.

Menurut Kalai, demonstrasi itu dilakukan bertujuan menyelamatkan nyawa pelajar berikutan risiko tinggi terpaksa ditanggung apabila terpaksa menyeberangi jalan yang sibuk setiap hari.


"Malah, kajian kami mendapati lebih 10 kemalangan kecil berlaku di kawasan ini sejak sebulan lalu membabitkan pelajar.


"Insiden ini perlu dijadikan pedoman pihak terbabit bagi mengelakkan kejadian lebih serius berlaku," katanya ketika ditemui di sini.

Kalai berkata, pihak terbabit tidak boleh memandang ringan perkara ini kerana pelajar bakal pemimpin negara masa depan.


"Jangan sampai berlaku kemalangan maut baru hendak membuka mata. Oleh itu, pihak terbabit perlu memandang serius perkara ini," katanya.

Pelajar yang mahu dikenali sebagai Asmah, 15, berkata dia dan rakan memberanikan diri melintas jalan setiap hari walaupun tahu risiko kemalangan kerana ketiadaan jejantas.


"Malah, saya dan rakan nyaris dilanggar kereta awal bulan lalu ketika melintas. Saya berharap pihak terbabit menyediakan jejantas kerana takut untuk melintas.


"Jika tidak memikirkan mengenai pelajaran, saya dan rakan tidak mungkin datang ke sekolah selepas insiden itu kerana takut," katanya.

Album dipasarkan musim panas

Posted: 16 Jun 2011 08:43 PM PDT

CIPTA NAMA...album Inggeris dihasilkan di AS akan dipasarkan pada musim panas nanti.
CIPTA NAMA...album Inggeris dihasilkan di AS akan dipasarkan pada musim panas nanti.
BIJAK...Yuna turut melakukan penyelidikan sebelum menghasilkan lagu.
BIJAK...Yuna turut melakukan penyelidikan sebelum menghasilkan lagu.

SEORANG penyanyi mesti bijak. Itulah yang sering ditegaskan Meastro industri muzik tempatan, Datuk Ramli MS, setiap kali dijemput menjadi pengkritik mahupun juri rancangan realiti TV pencarian bakat dalam bidang nyanyian.

Bagi Ramli, perkara itu akan memberi kelebihan untuk mereka mencipta nama dan pergi jauh. Contoh terbaik diberikan Ramli ada pada bintang muda bakal mencipta nama di Amerika Syarikat (AS), Yunalis Zarai atau Yuna.

Ramli memuji penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Dan Sebenarnya itu mampu menghasilkan melodi yang mudah, tetapi dengan susunan instrumen sangat bagus.

Karya dihasilkan jauh ke depan, namun pada waktu sama, ia mudah diterima telinga dan sesuai pelbagai peringkat umur. Kebijaksanaan itu jarang ada pada seorang penyanyi.


Perkara itu turut diakui ramai penggiat industri muzik tempatan, media mahupun peminat. Buktinya, sebaik muncul dengan album pertama, Demo, pelbagai pengiktirafan diterima penyanyi yang dilahirkan di Alor Setar, Kedah itu. Bagaimana seorang penyanyi dan pemuzik semuda Yuna boleh menghasilkan karya begitu baik?


Peluang bertemu Yuna sewaktu sesi fotografi khas sempena pelantikannya selaku duta Canon, membuka ruang untuk mendapatkan 'buah fikiran' bagaimana seorang penyanyi muda sepertinya memperoleh kebijaksanaan yang diperkatakan itu.

Kata Yuna, setiap karya yang dihasilkan itu harus datang dengan sendiri dan proses menghasilkan lagu tidak ubah seperti proses seorang ibu mengandung dan melahirkan anak.

"Idea itu ibarat anak dan sudah tentu kita mahukan yang terbaik untuk anak dikandung dan bakal dilahirkan. Lebih penting pada saya adalah keikhlasan dan jujur dengan hasil kerja dilakukan.

"Pada pandangan saya, perkara itu tidak lagi wujud apabila kebanyakan pengkarya lebih memikirkan soal keuntungan. Apabila pencipta lagu atau penyanyi terlalu memikirkan duit, keseronokan dalam berkarya tidak lagi ada. Malah ia akan membuatkan kita berasa tertekan apabila setiap kali menghasilkan lagu. Apabila perkara ini berlaku, apa yang kita dapat hanyalah mutu lagu yang lebih kurang saja," katanya.

Yuna kini berada di tanah air selama dua minggu sebelum kembali ke Amerika untuk menyambung kerja pembikinan album barunya. Katanya, keseronokan dalam berkarya dan percaya dengan apa yang dilakukan menjadi kunci utama yang membolehkan seorang pemuzik atau penyanyi itu melangkah jauh.

"Selebihnya tawakal, percaya setiap daripada usaha secara jujur juga ikhlas akan diberkati Allah dan didatangkan rezeki lebih besar.

"Selain itu, setiap kali menghasilkan lagu, proses diambil agak panjang bermula dengan melakukan penyelidikan dengan meneliti apa yang bagus dan digemari pendengar selain menilai tahap penerimaan peminat.

"Saya mendengar semua jenis muzik, bermula dengan rock kapak sehinggalah kepada balada nyanyian Datuk Siti Nurhaliza. Selain itu, saya juga mendengar muzik dari luar antaranya Iron Maiden, Nirvana dan Aerosmith.

"Saya juga dengar Britney Spears, Christina Aguilera dan Lady Gaga. Rujukan besar membolehkan saya cuba mencipta melodi yang dirasakan sesuai dengan cita rasa saya dan peminat tempatan," katanya.

Mengenai usahanya menawan pasaran Amerika, jelas Yuna yang bernaung di bawah syarikat rakaman bertapak di Los Angelas, Fader Label, kini albumnya sudah 80 peratus siap dan dijangka akan mula dipasarkan pada musim panas nanti.

"Tidak dinafikan pada waktu sama timbul juga kegusaran, kerana tidak tahu bagaimana penerimaannya nanti. Menerusi kontrak ditandatangani, album itu nanti hanya akan dipasarkan di AS.

"Setakat ini, syarikat rakaman sudah mula mempromosikan album bakal dipasarkan dengan mengadakan temu bual bersama media di sana. Setakat ini Alhamdulillah, perkembangannya positif. Mereka lebih menumpukan soal lagu dihasilkan berbanding latar peribadi," katanya.

Setakat ini jelas Yuna, pengurusan Fader Label gembira dengan perkembangannya. Apatah lagi dengan sikapnya yang bersahaja dalam menangani sebarang situasi.

"Hendak diikutkan, industri di Amerika dan Malaysia sama saja, cuba mereka besar lima kali ganda. Takut memanglah ada bagaimanapun saya lebih teruja kerana banyak pengalaman yang diperoleh.

"Apatah lagi menerusi album dihasilkan saya menjalinkan kerjasama dengan Farell. Peluang ini jarang diperoleh. Pada saya tidak salah kalau kita ambil peluang yang datang. Jika tidak berjaya, kita boleh menggunakan pengalaman berharga itu untuk melakukan perkara lain," katanya.

Sebaik menerima lamaran Fader Label, Yuna kini lebih banyak menghabiskan masanya di Los Angeles berbanding Malaysia. Perkara ini sudah tentu menimbulkan kerisauan di hati peminat, bimbang mereka akan dilupakan.

Bagaimanapun kata Yuna, perkara itu tidak mungkin berlaku apatah lagi dia sudah menganggap peminat seperti rakan baiknya.

"Setiap perkembangan saya akan ceritakan dalam laman sosial twitter mahupun blog yang saya wujudkan. Jadi, mereka tidak akan ketinggalan. Malah sewaktu pertama kali bertemu Farell, saya kongsi kegembiraan itu dengan mereka.

"Memang hendak diikutkan memang mencabar kerana harus menumpukan perhatian kerjaya di sini mahupun di Amerika namun saya sudah biasa. Waktu belajar dulu pun keadaan saya sama apabila menjalani rakaman album sulung dan promosi dalam waktu sama menghadapi peperiksaan akhir.

"Setiap kali pulang ke tanah air saya akan melakukan semua kerja yang harus dilaksanakan, terutama dalam memastikan peminat di sini tidak rasa terpinggir. Malah saya juga sudah menyiapkan single untuk mereka. Saya tidak akan berubah sama sekali. Saya dan peminat sebenarnya sama, mengembangkan kerjaya ke luar tidak bermakna saya akan berubah dan menjadi orang lain," katanya.

Kata Yuna, dia seperti juga gadis Melayu yang lain, mempunyai angan dan cita-cita jadi tidak salah jika dia berusaha mencapai apa yang diimpikan itu. Baginya dia mahu membuktikan kepada peminat impian itu boleh digapai andai disusuli dengan usaha dan kerja keras. Tiada perkara yang mustahil jika Allah mengizinkan apa yang dilakukan.

Yuna kini dilantik menjadi duta jenama kamera terkenal Canon dan kontrak ditandatangani selama setahun. Gadis yang terkenal dengan imej turban ini sangat gembira dengan perkembangan itu apatah lagi mengambil gambar sudah menjadi minatnya sejak dulu.

Selaku duta, Yuna turut diberikan kamera khas iaitu Canon Mark 2 dan nyata ia memudahkan Yuna berinteraksi dengan peminat kerana boleh meletakkan setiap gambar yang diambil dalam blog. Menerusinya, secara tidak langsung peminat akan tahu perkembangan Yuna.

"Saya memang menggunakan Canon sejak zaman belajar di kolej lagi. Segalanya bermula apabila mereka menaja rancangan Yuna Inspired diterbitkan Hitz.TV. Mereka suka dengan perkembangan itu dan melamar saya menjadi duta mereka.

"Saya pernah menggunakan Canon 5D Mark dan gambar diambil memang mengagumkan. Bukan itu saja, saya pernah menghasilkan klip video sendiri menggunakan kamera sama. Sewaktu menggunakan Canon 5D Mark, banyak perkara mengenai proses mengambil gambar yang saya belajar," katanya.

Pagi cikgu, petang urus spa

Posted: 16 Jun 2011 08:41 PM PDT

GIGIH...siapa sangka modal RM500 yang dikeluarkan 20 tahun lalu membuahkan hasil lumayan.
GIGIH...siapa sangka modal RM500 yang dikeluarkan 20 tahun lalu membuahkan hasil lumayan.

"YANG bulat tidak akan datang bergolek dan yang pipih tidak akan datang melayang.

"Saya percaya, Tuhan tidak akan menzalimi orang yang berusaha dan jika ada kemahuan, pasti di situ akan ada jalannya," demikian kata usahawan wanita berjaya yang juga pengetua serta pengasas Akademi Nu'della dan Malaysian Holistik Spa (MHS), Norulnaha Abdul Razak.

  • Foto

    JADI IDOLA...kemiskinan keluarga menjadi pembakar semangat kepada Norulnaha untuk berjaya dalam perniagaan kecantikan.

  • Foto

    BAHAGIA...keluarga yang selama ini menjadi pemangkin semangat kepadanya.

  • Foto

    AJAR...Norulnaha turut menganjurkan kursus merancang dan memulakan perniagaan spa, kecantikan serta kesihatan secara percuma kepada golongan berminat.

Biarpun sudah berjaya memiliki rangkaian perniagaan kecantikan sendiri yang dikenali ramai, wanita berusia 52 tahun itu tetap merendah diri.

Ibu kepada empat anak berusia antara 22 hingga 16 tahun itu berkata, dia bukan berasal daripada keluarga berada kerana ayahnya hanya anggota polis dan ibunya pula suri rumah sepenuh masa.


Meskipun sudah memiliki kerjaya stabil ketika itu (guru sekolah rendah), wanita ini mengakui hatinya lebih kepada bidang kecantikan terutama berkaitan rawatan spa.


Anak keempat daripada 11 beradik itu sejak remaja lagi suka berniaga dan pernah menjalankan pelbagai jenis perniagaan termasuk menjual barangan jualan langsung.

Norulnaha berkata, dia seorang yang bercita-cita tinggi dan tidak mudah mengalah untuk mencapai sesuatu yang diidamkan. Selepas tamat kursus perguruan, dia turut menyertai kursus kecantikan di sebuah akademi di Taman Tun Dr Ismail kerana ketika itu sudah memiliki perancangan membuka perniagaan kecantikan sendiri.

Tidak hairanlah jika dengan hanya berbekalkan modal RM500, Norulnaha memberanikan diri memulakan perniagaan berkenaan meskipun ketika itu dia baru saja mendirikan rumah tangga dan sedang menunggu cahaya mata pertama mereka.

"Dengan modal yang tidak seberapa itu serta sebuah beg peralatan dan troli, saya memulakan bisnes secara kecil-kecilan dengan sasaran utama golongan suri rumah serta pekerja kilang kawasan flat perumahan di sekitar Bangi kerana mereka kebanyakan tidak mempunyai masa dan kenderaan untuk keluar mendapatkan rawatan kecantikan di luar.

"Memang penat kerana pada sebelah pagi saya mengajar di sekolah dan petangnya menarik beg dan troli itu turun naik flat untuk berkunjung ke rumah pelanggan.
"Soal malu atau penat saya tolak tepi kerana apa yang penting dapat mencari rezeki yang halal dalam bidang yang digemari," katanya.

Keperitan yang dilaluinya itu sememangnya banyak mengajar Norulnaha erti kesabaran dalam memajukan lagi perniagaannya.

Anak jati Kuala Lumpur ini mengakui, untuk memulakan sesuatu perniagaan, bukan modal yang perlu diutamakan sebaliknya kekuatan dalaman serta motivasi diri individu itu sendiri.

Menjadikan dirinya sebagai contoh, Norulnaha berkata, meskipun suami, Borhan Ahmad, 52, mempunyai pendapatan yang stabil, dia tidak mahu bergantung sepenuhnya kepada suaminya itu.

Sebagai wanita, katanya, kita perlu mempunyai pendapatan sendiri dan satu bonus jika punca pendapatan berkenaan dapat diwariskan kepada anak-anak.

"Wanita perlu berfikiran terbuka dan tidak malu untuk melangkah setapak ke hadapan. Kita tidak boleh selamanya berada di zon selesa atau tahap tertentu saja, sebaliknya perlu berani meneroka bidang baru seperti perniagaan kecantikan ini.

"Saya percaya, rakyat Malaysia tidak akan hidup susah kerana banyak peluang di depan mata dan apa yang perlu hanya usaha gigih dan keazaman yang tinggi saja," katanya.

Bercerita mengenai perniagaannya, Norulnaha berkata, Butik Kecantikan Ainaa-Ailaa Sdn Bhd (BKAA) adalah syarikat induk yang membantu melahirkan ramai usahawan baru dalam bidang spa dan kecantikan.

Menerusi BKAA, Akademi Nu'della turut diwujudkan bagi melatih individu yang berminat untuk mendalami bidang kecantikan yang ditauliahkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) bagi pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap satu, dua dan tiga (bidang kecantikan ) serta tahap satu dan dua, bidang gaya rambut.

BKAA juga mengorak langkah lebih jauh dengan mewujudkan sistem francais dengan jenama Nu'della Malaysia Holistik Spa dengan matlamat untuk memartabatkan rawatan tradisional masyarakat Malaysia di mata dunia.

Norulnaha berkata, BKAA turut menjadi penasihat kepada beberapa badan kerajaan seperti Mara, Kemas, Risda dan Insken dalam usaha untuk membangunkan usahawan yang berketerampilan, berdaya maju dan dinamik.

Sejajar dengan hasrat berkenaan, pihaknya menjalankan pelbagai kursus kemahiran serta keusahawanan dengan kerjasama agensi kerajaan mahupun swasta seperti program pembasmian kemiskinan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) untuk melatih golongan ibu tunggal di negeri utara Semenanjung selain mempunyai inkubator sendiri di Kulim, Kedah untuk tujuan latihan.

Lebih istimewa, dia turut mengadakan kursus merancang dan memulakan perniagaan spa, kecantikan serta kesihatan secara percuma kepada golongan yang berminat di ibu pejabatnya, di Seksyen 4, Bangi.

Norulnaha turut memiliki perancangan untuk membawa konsep spa syarikatnya ke peringkat yang lebih tinggi. Berbeza dengan pusat kecantikan lain, MHS mengamalkan konsep amalan spa Islamik (ISP) yang modulnya dijalankan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta tenaga pensyarah daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Katanya, konsep itu tidak didapati di spa biasa melainkan rangkaian MHS saja.
"Menerusi konsep ISP, spa kami hanya menggunakan produk yang halal selain melaksanakan konsep Islam sepenuhnya.

"Ini kerana, kami mahu pelanggan berasa selesa dan yakin terutama berkaitan aspek aurat yang selama ini dipinggirkan oleh sesetengah pusat kecantikan," katanya.

Wanita gigih itu juga menegaskan dia tidak mempunyai orang kanan kerana serik dengan pengalaman ditipu sebelum ini. Pengalaman pahit itu bagaimanapun menjadi pengajaran berguna kepada dirinya supaya lebih berhati-hati di masa akan datang.

Dalam pada itu, Norulnaha berkata, apa yang dimiliki hari ini tidak bermakna tanpa sokongan keluarga terutama suami dan ibu yang tidak pernah jemu memberi semangat kepadanya.

Norulnaha mengakui dia sememangnya tidak mengejar kejayaan dunia saja kerana apa yang dimahukan sebenarnya adalah keseimbangan kehidupan hari ini dan akhirat kelak.

Baginya, jika memiliki jutaan ringgit sekali pun, ia tidak akan bermakna sekiranya keluarga berpecah-belah dan hidup dalam keadaan kurang harmoni.

"Tidak kira setinggi mana pangkat atau sebanyak mana harta kekayaan yang dimiliki, tugas seorang wanita tetap kepada suami dan keluarga.

"Jadi, walau sesibuk mana pun kerja seharian, kita perlu memastikan ada masa untuk keluarga dan pada masa sama, jangan terlalu mengejar kemewahan dunia hingga melupakan Dia yang Esa.

"Paling penting, hargailah masa yang ada ini sepenuhnya kerana jika kita kehilangan waktu yang berharga itu, ia tidak mungkin akan dapat kembali lagi," katanya sebelum mengakhiri perbualan.



PROFIL

NAMA: Norulnaha Abdul Razak
UMUR: 52 tahun
STATUS: Berkahwin dan mempunyai empat cahaya mata
ASAL: Kampung Pandan, Kuala Lumpur
JAWATAN: Pengasas, pengetua dan tenaga pengajar Akademi Nu'della serta Malaysia Holistik Spa

'Usop Wilca' Jadi Deejay Mahu Rapat Dengan Peminat

Posted: 16 Jun 2011 08:40 PM PDT

Usop Wilcha

PETALING JAYA: Pelakon yang terkenal sebagai Usop Wilcha dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah mengakui menerima tawaran sebagai penyampai stesen radio Hot FM adalah untuk merapatkan hubungannya dengan peminat.

Syed Mohamad Asri atau nama komersialnya Shy8 berkata ini merupakan strategi untuk menjaga nilai eksklusif watak tersebut di samping mengekalkan kehangatan fenomena Usop Wilcha.

"Saya sentiasa berfikir bagaimana untuk mendekati dan terus berhubung dengan peminat Usop Wilcha. Jika hanya pada filem atau drama sudah tentu mengambil tempoh yang agak lama untuk keluar.

"Lagi pula saya ingin menjaga nilai eksklusif jenama Usop Wilcha itu sendiri dengan hanya tampil dalam filem-filem tertentu sahaja untuk membawa watak tersebut.

"Tawaran yang datang ini memang sesuatu yang sangat tepat pada masanya kerana saya boleh berinteraksi dengan peminat-peminat saya setiap hari," katanya pada sidang media pengumuman penyampai baru Hot FM di sini, Khamis.

Bermula Khamis, segmen pagi AM Krew yang ke udara bermula pukul 6 pagi sehingga pukul 11 pagi akan disertai oleh Usof Wilcha bergandingan dengan tiga deejay sedia ada iaitu Farah Fauzana, Faizal Ismail dan AG.

Sementara itu, Shy8 mengakui agak gementar pertama kali mengendalikan segmen pagi tersebut dan berhadapan dengan tiga deejay yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang berkenaan.

"Hari pertama memberi pengalaman yang sangat baru, maklumlah saya tiada sebarang pengalaman sebagai deejay sebelum ini.

"Tapi Alhamdulillahlah mereka banyak membantu saya ketika ke udara. Saya yakin dapat mencari keserasian dalam masa terdekat ini," ujarnya.

Barisan deejay AM Krew bersama Shy8

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Radio Media Prima, Seelan Paul berkata pemilihan Shy8 sebagai barisan baru stesen radio tersebut adalah bagi mengukuhkan lagi barisan penyampai sedia ada.

"Kami melihat Shy8 mempunyai kelebihan dan karakter tersendiri, malah dia mempunyai peminat yang ramai dari golongan kanak-kanak hingga golongan berusia.

"Ketika pertama kali menjemput dia sebagai tetamu undangan Hot FM bulan lalu, kami nampak keserasian antara mereka," jelasnya.

Katanya, setiap stesen radio mempunyai strategi tersendiri bagi menarik pendengar, begitu juga Hot FM.

Malah percubaan Hot FM sebagai stesen radio pertama menampilkan empat deejay pada segmen pagi merupakan sesuatu yang dianggap berani.

"Saya sangat yakin gandingan ini bakal memantapkan lagi AM Krew, saya tidak rasa ia terlalu ramai kerana di luar negara sudah banyak radio yang menampilkan empat deejay dalam sesebuah segmen.

"Kita tengok dahulu bagaimana reaksi pendengar dan jika ramai yang tidak bersetuju kami mungkin akan membuat rombakan semula," katanya.

Seelan Paul dan Farah Fauzana

Ketika diminta mengulas tentang maklum balas negatif pendengar terhadap kemunculan pertama Usop Wilcha, kononnya tidak memberi sebarang impak terhadap segmen tersebut, Seelan berkata setiap perubahan perlu mengambil sedikit masa.

"Ini baru hari pertama sudah tentu semuanya masih baru, tapi saya sangat yakin pendengar akan menerima dan menyukainya sedikit masa lagi," tuturnya.

Dalam pada itu, Seelan juga memberitahu bekas penyampai XFM, Nana Mahzan bakal menyertai stesen tersebut pada Julai depan.

"Nana akan menyertai kami pada bulan depan namun dia hanya ke udara pada hari minggu sahaja. Kami faham situasi dia untuk memberi tumpuan kepada keluarga dan perniagaannya," katan Seelan.

Sarimah Ahmad Azam Pulih Maruah Karyawan

Posted: 16 Jun 2011 08:39 PM PDT

Sarimah Ahmad ketika berucap di majlis pelantikannya sebagai Pengerusi Kehormat Karyawan.

PETALING JAYA: Pelakon veteran Datuk Sarimah Ahmad berjanji untuk memulihkan semula maruah Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) setelah beliau dilantik sebagai Pengerusi Kehormat persatuan itu.

Selain itu, dia turut mempunyai misi untuk membela nasib 27 artis veteran yang menyertai Karyawan memandangkan mereka tidak lagi menerima wang skim pencen sebanyak RM500 setiap bulan akibat kekangan kewangan persatuan itu.

"Saya bersyukur kepada Allah dengan pelantikan ini. Saya mahu membela nasib artis veteran yang sudah tujuh bulan tidak mendapat apa-apa bantuan.

"Seperti yang kita tahu sebelum ini Karyawan dilanda kekecohan. Jadi, saya akan perjuangkan semula misi Karyawan ini dan cuba melakukan perubahan," katanya kepada mStar Online.

Biarpun begitu, Sarimah menganggap kerja yang dilakukan selepas ini lebih bersifat berkumpulan dan dia akan cuba menyumbangkan dari segi idea dan nasihat kepada setiap ahli.

Selepas ini, mereka merancang untuk melakukan sebuah pementasan The Return of Pi Mai Pi Mai Tang Tu pada 26 Jun depani di Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay, Kuala Lumpur untuk mengumpul dana skim berkenan.

Skim Pencen mula ditubuhkan Karyawan enam tahun dahulu untuk ahli-ahlinya yang terdiri daripada artis-artis veteran yang kurang berkemampuan.

Bagaimanapun, apabila persengketaan mula timbul di antara Karyawan dan Badan Hak Pelaku dan Persembahan Artis Sdn Bhd (Prism), tentang isu penyelewengan wang royalti artis yang telah disalahgunakan, skim tersebut gagal dilaksanakan kerana tiada projek yang diperoleh persatuan itu.

e-Lesen Untuk Kemudahan Penerbit Filem

Posted: 16 Jun 2011 08:38 PM PDT

Mohd Mahyidin Mustakim

PETALING JAYA: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bakal memperkenalkan perkhidmatan e-Lesen kepada para penerbit filem yang ingin membuat permohonan lesen filem tidak lama lagi.

Menurut ketua pengarahnya, Mohd Mahyidin Mustakim, perkhidmatan e-Lesen merupakan sebuah sistem yang memudahkan pihak penerbit melakukan permohonan dengan lebih mudah iaitu secara dalam talian.

"Apabila e-Lesen diperkenalkan, pihak penerbit tidak perlulah bersusah payah datang ke Finas untuk mengisi borang permohonan lesen filem. Dan semua permohonan itu boleh dibuat menerusi Internet sahaja.

"Malah dengan perkhidmatan tersebut, ia boleh mempercepatkan proses pengeluaran lesen penerbitan dan pengedaran yang hanya mengambil masa selama empat hingga lima hari berbanding sebelum ini yang mengambil tempoh panjang iaitu dua minggu," katanya pada Malam Penghargaan Industri Filem 2011 di sini, Rabu.

Tambah Mahyidin, dengan melakukan penambahbaikan di Unit Perlesenan tersebut, ia dapat membantu proses penerbitan perfileman berjalan dengan lancar.

Para penggiat seni yang hadir pada Malam Penghargaan Industri Filem 2011.

Malah, pihaknya juga sedang berusaha untuk mempercepatkan proses pengeluaran lesen dalam tempoh sehari memandangkan lebih daripada 600 pemohon lesen diterima dalam jangka masa enam bulan pertama tahun ini.

Selain itu, Finas turut mengemaskinikan sistem e-Gafim yang merupakan sebuah perkhidmatan proses pendaftaran, kemas kini dan penyeragaman maklumat individu yang berdaftar dengan mana-mana persatuan yang berdaftar dengan Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim).

"Pihak kami juga sedang mengkaji sistem kutipan tiket di mana setiap jualan tiket di kaunter panggung wayang akan di rekod terus ke sistem e-Gafim, ujarnya.

Sementara itu, mengenai malam Penghargaan Industri Filem 2011, ia bertujuan untuk menghargai penggiat-penggiat seni serta bakat baru yang cuba menceburi bidang berkenaan.

"Memang ini bukanlah sebuah majlis yang besar seperti Festival Filem Malaysia (FFM) tetapi ini lebih kepada pihak penerbit yang memperoleh pengiktirafan di luar negara.

"Dalam pada itu, majlis ini juga khas buat orang luar yang mencuba bakat dalam penulisan skrip. Apa yang membanggakan, mereka mempunyai bakat yang besar dalam bidang ini dan boleh menjadi pelapis penulis skrip yang berjaya pada masa akan datang," kata Mahyidin.

Antara penggiat seni yang menerima Anugerah pencapaian Karyawan Filem Tempatan Di Peringkat Antarabangsa ialah Allahyarham Yasmin Ahmad (Pengarah terbaik Festival Filem Asia Pasifik Ke-54 di Taiwan – filem Mualaf), Les Copaque Productions Sdn Bhd (menayangkan filem di 50 pawagam termasuk Indonesia, Singapura, Brunei dan India) dan KRU Studios Sdn Bhd (Tayangan filem Hikayat Merong Mahawansga di 69 buah negara).

Pihak Finas turut memberikan sumbangan berjumlah RM4.7 juta kepada 12 penerbit filem di bawah skim Bantuan Khas Produksi Penerbitan.

Berikut adalah senarai pemenang Anugerah Trofi Samad Idris untuk kategori Media sempena Malam Penghargaan Industri Filem 2011:

Pemenang pertama memenangi hadiah wang tunai RM3,000, kedua RM2,000 dan ketiga RM1,000, masing-masing bersama trofi dan sijil.

KATEGORI BAHASA MALAYSIA:

Tempat Pertama: Ratnawati Rasidi (Berita Harian)

Tajuk Artikel: Usah Hukum Filem, Drama Punca Gegala Sosial

Tempat Kedua: Siti Ruqaiyah Hashim (Utusan Malaysia)

Tajuk Artikel: Khazanah Bernama P.Ramlee

Tempat Ketiga: Ku Seman Ku Hussain (Utusan Malaysia)

Tajuk Artikel: Filem Tidak Manfaatkan Sastera

KATEGORI BAHASA INGGERIS:

Tempat Pertama: Zainal Alam Kadir (The Malay Mail)

Tajuk Artikel: Ordinarily Extraordinary

Tempat Kedua: Faridul Anwar (New Straits Times)

Tajuk Artikel: Not All Nostlagic Gems Get Second Run

Tempat Ketiga: Chok Suat Ling (New Straits Times)

Tajuk Artikel: New Censorship Snips Away The Fun Too

Organisasi Media yang memenangi Piala Pusingan Trofi Samad Idris:

1. Kategori Bahasa Malaysia: Berita Harian

2. Kategori Bahasa Inggeris: The Malay Mail

Anang Sedih Terpaksa Jual Rumah

Posted: 16 Jun 2011 08:37 PM PDT

KOMPOSER Anang Hermansyah sedih apabila rumah yang pernah dia tinggal bersama bekas isterinya Krisdayanti telah pun dijual.

"Sudah tentu dia sedih, rumah itu banyak menyimpan kenangan mereka berdua ketika menjadi suami isteri.

"Dia pernah menukar fikiran untuk tidak menjualnya tetapi keputusan diambil apabila kedua-dua mereka telah bersetuju untuk menjual harta tersebut," kata pengurus Anang, Yuni seperti dipetik Inilah.com.

Anang dan Krisdayanti memutuskan untuk membahagikan hasil penjualan rumah dan harta sepencarian mereka selepas bercerai pada Ogos 2009 lalu.

Bagaimanapun, Yuni tidak memberitahu harga sebenar rumah tersebut.

"Tentang harga, hanya Anang sahaja yang tahu kerana segala urusan penjualan dibuat oleh dia," katanya.

Rumah najis

Posted: 16 Jun 2011 08:36 PM PDT

KOTOR...Aripin menunjukkan lantai pangsapuri yang dicemari air sisa kumbahan.
KOTOR...Aripin menunjukkan lantai pangsapuri yang dicemari air sisa kumbahan.
BERTAKUNG...air sisa kumbahan yang bertakung di PPR  Hicom di Seksyen 26, Shah Alam.
BERTAKUNG...air sisa kumbahan yang bertakung di PPR Hicom di Seksyen 26, Shah Alam.

SHAH ALAM: 'Rumahku Syurgaku' bukan lagi slogan sesuai digunakan penduduk pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hicom di Seksyen 26, Jalan Bukit Belimbing, di sini, berikutan kawasan letak basikal di perumahan itu ditakungi air najis dan sisa makanan daripada saluran paip sisa kumbahan yang tersumbat.

Keadaan itu diburukkan dengan sikap segelintir penduduk yang membuang sampah dari tingkat atas rumah mereka.


Menurut penduduk, Aripin Abu Bakar, 60, selain itu keadaan sekeliling kawasan pangsapuri itu juga tidak diselenggara dengan baik oleh pihak berkenaan.

Aripin mendakwa, selama enam tahun menetap di situ, jarang sekali pihak berkuasa atau pihak bertanggungjawab lain menjalankan rondaan di kawasan itu.


"Selama ini, masalah takungan air diuruskan dengan inisiatif kami sendiri. Namun, lama-kelamaan keadaan menjadi buruk dan pelbagai cara dilakukan untuk menyelesaikan masalah ini," katanya.


Menurut Aripin, pernah berlaku beberapa bahagian terutama dinding surau di bawah pangsapuri itu dicemari bau busuk dari air najis yang bertakung dan sisa makanan sehingga mereka terpaksa menukar tikar dan karpet dalam surau itu.

Tinjauan Metroplus mendapati, pengurusan kutipan sampah di kawasan itu tidak sistematik. Sampah-sarap bersepah di tepi tong sampah.


Aripin berkata, hanya kadangkala pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) datang mengutip sampah-sarap itu.

"Lebih membimbangkan ialah pembiakan aedes di takungan air Blok A," katanya.


Tinjauan juga mendapati keadaan pangsapuri berkenaan tidak diselenggara dengan baik termasuk keadaan lif usang, ditambah pula bau busuk dan hanyir disebabkan takungan itu.


Malah, Aripin turut mendakwa terdapat ramai warga asing yang menetap di PPR berkenaan.


Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad, ketika dihubungi berkata pihaknya akan memantau kawasan berkenaan berikutan aduan itu.

Poster James Bond Dilelong Lebih RM300 Ribu

Posted: 16 Jun 2011 08:34 PM PDT

Aktor Sean Connery ketika melakonkan watak James Bond.

LONDON: Poster asal filem James Bond, "Diamonds Are Forever" telah dilelong dengan kadar yang amat mengejutkan iaitu bernilai $79,250 poud (RM388,325)

Karya lukisan tangan oleh Robert McGinnis merupakan prototaip bagi imej filem termasuklah reka bentuk yang lain yang dipasarkan iaitu filem blockbuster Sean Connery yang disiarkan pada tahun 1971.

Ia dijual di Christie melebihi tiga kali harga jangkaan iaitu $79,250 pound (RM117,600), lapor Scotman.

Poster tersebut menonjolkan pelakon 007 itun dikelilingi dua gadis Bond dalam satu adegan aksi.

Gaun 'Daging Merah' Lady Gaga Dipamerkan

Posted: 16 Jun 2011 08:33 PM PDT

LOS ANGELES: Gaun "daging merah", Lady Gaga dipamerkan buat pertama kalinya di pemeran Women Who Rock : Vision, Passion, Power mulai Khamis ini.

Seperti dipetik femalefirst, Gaga memamerkan gaun "daging merah" yang digayakan pada MTV Video Music Awards September lalu di Muzium Rock Roll dan Hall of Fame , Cleveland, Ohio, Amerika Syarikat.

Busana yang direka oleh pereka fesyen Franc Fernandez dan Nichola Formichetti dengan jahitan tangan itu akan dipamerkan bersama lebih 70 karya artis lain.

Filem mampu pungut RM100 juta tahun ini

Posted: 16 Jun 2011 08:30 PM PDT

Rais bersama isteri, Datin Seri Utama Maznah Rais serta ahmad Nawab pada pelancaran Buku Legasi Datuk Dr Ahmad Nawab Khan pada Malam Penghargaan Industri Perfileman. Turut kelihatan Mahyidin (kanan). - Foto Mohd Fadli Hamzah
Rais bersama isteri, Datin Seri Utama Maznah Rais serta ahmad Nawab pada pelancaran Buku Legasi Datuk Dr Ahmad Nawab Khan pada Malam Penghargaan Industri Perfileman. Turut kelihatan Mahyidin (kanan).
Kerajaan agihkan wang ehsan RM4.7 juta galakkan karya lebih bermutu

SERAMAI 11 pembikin filem menerima wang ehsan kerajaan berjumlah lebih RM4.7 juta sempena Malam Penghargaan Industri Perfileman yang berlangsung kelmarin. Wang berkenaan disampaikan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim.
Bantuan Khas Produksi Perfileman itu diberikan kepada kesemua 29 filem yang diterbitkan tahun lalu bagi memberi galakan kepada produser berkuat kuasa Julai ini.
Kesemua 11 produksi yang menerima wang ehsan berkenaan ialah Zoss Film Sdn Bhd (Crayon), Big Production Sdn Bhd (Andartu Terlampau), Julian Cheah Pictures (M) Sdn Bhd (Killer Clown), Galaksi Seni Sdn Bhd (Momok The Movie), De Baron Sdn Bhd (Jalang), Tayangan Unggul Sdn Bhd (Appalam), Skop Production (Evolusi KL Drift, Evolusi KL Drift 2, Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam) dan Primeworks Studios Sdn Bhd (4 Madu, Janin, Skrip 7707, 2 Hati 1 Jiwa, Hooperz, Gong, Sepi, Otai, Talentime).

Turut menerimanya ialah SDAF Pictures (M) Sdn Bhd (Lu Pikir Sendiri de Movie), Asia Tropical Films Sdn Bhd (Ice Kacang Puppy Love), KRU Studios Sdn Bhd (Magika, Jin Notti, My Spy, Cicakman 2: Planet Hitam, Duyung) dan Metrowealth Pictures Sdn Bhd (Ngangkung, Damping Malam, Aku Masih Dara).

Rais dalam ucapannya berkata, industri tidak boleh bergantung kepada cara lama lagi. Oleh sebab itu wang ehsan dicadangkan bagi membantu penerbit filem berikutan pemberhentian pembayaran balik duti hiburan.

Pemberian wang ehsan itu adalah bagi menggalakkan lagi pembikin filem untuk terus menghasilkan karya yang baik. Apatah lagi apabila melihat industri perfileman kian berkembang. Sehingga Jun ini saja, industri perfileman sudah memungut sebanyak RM48 juta dan angka itu dijangka meningkat sehingga RM100 juta sehingga penghujung tahun ini.
Garis panduan pemberian wang ehsan adalah, bagi kutipan tiket dari RM2 juta hingga RM4 juta, insentif yang akan diberikan ialah sebanyak 10 peratus. Bagi kutipan RM2 juta ke bawah, setiap penerbit bakal menerima 10 peratus daripada kutipan atau jumlah kos 40 salinan maksimum.

Manakala bagi kutipan filem yang mencecah RM4 hingga RM 6 juta, pembikin bakal menerima insentif sebanyak 5 peratus. Sementara setiap filem yang berjaya mencatat kutipan melebihi RM 6juta, produser akan diberi insentif sebanyak RM500 ribu.

"Apa yang harus kerajaan bantu, kita akan cuba bantu. Dana Pinjaman bernilai RM50 juta sudah berakhir. Dana sebanyak RM200 juta juga sudah hampir habis. Penerbitan filem pula, kian lama kian meningkat. Pada 2008 sebanyak RM 44 juta kutipan diperolehi, tahun 2009 meningkat kepada RM 50 juta, tahun lalu melonjak lagi sehingga RM 86 juta.

"Produser kita juga semakin bijak menghasilkan filem yang bagus dan menarik perhatian generasi yang ditumpukan, seperti KL Gangster yang sudah pun memungut RM 8 juta (selepas seminggu tayangan). Oleh itu, apabila wang duti hiburan diberhentikan, ia tentunya menyukarkan produser. Jadi wang ehsan ini diwujudkan supaya mereka boleh menghasilkan lebih banyak karya terbaik," kata Rais.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalannya, Datuk Joseph Salang; Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf; Seniman Negara, Tan Sri Dr Jins Shamsudin dan Datuk Dr Ahmad Nawab; serta Ketua Pengarah Finas, Mohd Mahyidin Mustakim.

Rais juga berkata, pihaknya kini sedang mengkaji penggubalan Seksyen 6 yang terkandung di dalam Akta Finas di mana sebelum ini Finas tidak dibenarkan menghasilkan filem mahupun dokumentari, seperti yang sudah pun dilakukan bersama saluran National Geographic, History Channel dan Discovery Channel. Katanya, pihaknya akan mencari jalan bagaimana untuk menggubal akta berkenaan supaya pembikin filem dapat bernaung di bawah Finas kelak.

Penggubalan akta itu sebenarnya ada pada klausa 34 (A) yang mana menteri boleh mengecualikan mana-mana akta untuk semua arca bergerak tidak kira dokumentari, animasi, drama, filem pendek dan sebagainya. Jika akta seksyen 6 dipinda, pembikin filem dapat melangkah lebih jauh dengan menghasilkan filem dan dokumentari yang lebih berkualiti setaraf filem antarabangsa.

Perkenal sistem elak tipu pungutan

SEMENTARA itu, Mahyidin berkata, beberapa pindaan lagi akan dilakukan seperti pemberian tiga lesen serentak iaitu lesen produksi, pengedaran dan tayangan. Sebelum ini, hanya dua daripada tiga lesen berkenaan diberikan Finas, tetapi mereka bercadang membenarkan individu yang berminat untuk memiliki ketiga-tiga lesen berkenaan. Bagaimanapun kajian masih lagi sedang dilakukan untuk memastikan penggubalan itu relevan.

"Kita menggubal syarat yang sebelum ini ditetapkan kerana ingin menghasilkan satu persekitaran yang dapat menggalakkan lagi pembangunan industri perfileman tanah air. Sebelum ini sesiapa yang sudah memiliki dua lesen itu tidak dibenarkan mengambil lesen ketiga. Bagaimana kita sedang mengkaji untuk memberikan ketiga-tiga lesen dalam satu masa kepada mereka yang berminat.

"Kita juga berkemungkinan mewujudkan e-Lesen supaya mereka yang ingin memohon dan memperbaharui lesen mereka tidak perlu bersusah payah datang ke Finas untuk membuat pembaharuan. Dengan kewujudan e-Lesen, semuanya boleh diselesaikan dalam masa sehari melalui online.

"Selain itu Finas juga sedang mengkaji untuk mewujudkan e-online, di mana setiap tiket yang dibeli akan masuk ke data Finas secara automatik. Melalui sistem itu, kita dapat memantau jumlah kutipan tiket bagi mengelakkan penipuan berhubung jumlah kutipan tiket," katanya.

Pada majlis Malam Penghargaan Industri Perfileman itu, Rais turut melancarkan buku Legasi Datuk Dr Ahmad Nawab Khan. Buku yang akan dijual pada harga RM200 itu memuatkan pelbagai kisah suka duka perjalanan pemuzik dan pencipta lagu tersohor itu.

Turut disampaikan pada malam itu ialah Anugerah Pencapaian Karyawan Filem Tempatan di Peringkat Antarabangsa yang diberikan kepada Allahyarham Yasmin Ahmad yang memenangi Pengarah Terbaik Festival Asia Pasifik ke-54 di Taiwan; Les Copaque Production Sdn Bhd kerana kejayaan menayangkan filem Geng: Pengembaraan Bermula di 50 pawagam di Indonesia pada 2009 dan Singapura, Brunei dan India pada 2010; serta KRU Studios Sdn Bhd di atas usaha menghasilkan filem epik pertama Hikayat Merong Mahawangsa.

Sementara itu media cetak turut diraikan pada malam itu apabila Anugerah Trofi Samad Idris diberikan kepada wartawan akhbar bahasa Melayu dan Inggeris. Bagi akhbar berbahasa Melayu, tempat pertama dimenangi Ratinawati Rasidi dari Berita Harian untuk artikel Usah Hukum Filem, Drama Punca Gejala Sosial. Ratina membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 berserta trofi dan sijil. Tempat kedua menjadi milik Siti Ruqaiyah Hashim (Utusan Malaysia) yang menerima RM2,000 menerusi artikel Khazanah Bernama P Ramlee, manakala Ku Seman Ku Hussain di tempat ketiga, membawa pulang RM1,000 hasil artikel berjudul Filem Tidak Manfaatkan Sastera.

Berita Harian turut membawa pulang Piala Pusingan Trofi Samad Idris, manakala Malay Mail pula membawa pulang trofi berkenaan bagi akhbar bahasa Inggeris.

Gementar hadapi masyarakat

Posted: 16 Jun 2011 08:27 PM PDT

Bersama dua anggota Outlet, Muhammad Kami (kiri) dan Hafzi.
Bersama dua anggota Outlet, Muhammad Kami (kiri) dan Hafzi.
Radhi kuatkan semangat adakan persembahan di luar PENGASIH

JIKA diamati raut wajahnya, jelas terpancar kekesalan akibat perbuatan dulu. Kini vokalis kumpulan OAG, Radhi, mahu meneruskan kehidupan lebih baik setelah empat bulan berada di Rumah PENGASIH.
Wajahnya yang sayu juga jelas menggambarkan kegusaran untuk berdepan dengan masyarakat pada 25 Jun ini, bagi mengadakan persembahan sulung bersama kumpulan yang baru ditubuhkan, Outlet. Kumpulan itu dianggotainya bersama dua penghuni rumah terbabit.
Meskipun sudah berasa tenang di situ, Radhi belum bersedia untuk melangkah keluar dari tempat yang banyak mengajarnya erti kehidupan dan sahsiah diri.
Baginya, masih banyak yang perlu dipelajari dan diperbaiki sebelum menempuh cabaran dunia luar, agar tidak kembali terjebak seperti dulu.

"Saya sebenarnya gementar untuk berdepan dengan orang luar kerana perasaan malu dan kesal itu masih menebal, tetapi saya diberi keyakinan oleh PENGASIH untuk berbuat demikian, menerusi persembahan itu nanti," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar mengumumkan persembahan terbabit.

Selaku vokalis dan pemain gitar bes, Radhi bersama dua rakan, Muhammad Kamil Mohd Muazzam (gitar) dan Hafizi Harun (dram) menubuhkan kumpulan itu.
"Kumpulan yang baru dua bulan ditubuhkan ini bukan bagi menggantikan OAG, tetapi sekadar untuk memberikan hiburan dan pengajaran kepada orang luar terhadap apa yang kami lalui," katanya.

Tampil dengan persembahan sulung di Downtown Bukit Dukung, Kajang, menjadi permulaan bagi mereka menyesuaikan diri dengan masyarakat selain memberikan pendedahan kepada golongan muda. Bakal mempersembahkan lagu OAG yang diberikan nafas baru, Outlet turut tampil dengan lagu baru ciptaan Radhi sendiri.

Lagu Aku Perokok Bodoh dan Tears Spark Street diharap dapat menghiburkan peminatnya nanti di samping memberi kesedaran kepada masyarakat.

"Ini adalah tanggungjawab sosial kami kepada masyarakat. Masa saya agak terhad untuk menghasilkan lagu baru memandangkan banyak aktiviti yang dijalankan di sini. Bagaimanapun dengan kelengkapan studio jamming di sini, ia memberi kemudahan kepada saya untuk menghasilkan lagu," katanya.

Melihat kepada nama Outlet itu sendiri yang membawa maksud jalan keluar kepada mereka membuka lembaran baru dalam kehidupan bukan saja mereka bahkan penghuni Rumah PENGASIH sendiri dalam membentuk jati diri yang sempurna.

Menyedari masih ramai yang terjebak dengan dadah, Radhi mengharapkan persembahan mereka nanti sedikit sebanyak dapat memberikan kesedaran kepada penonton.

Bagi Pengarah Urusan KL Downtown Night Market Sdn Bhd, Mohd Rustam Roshandin, program itu dianjurkan bagi memberi peluang kepada Radhi dan kumpulannya mendekatkan diri dengan masyarakat, di samping memberi keyakinan semula kepada mereka.

"Kami nak tengok keadaan dia setelah empat bulan berada di sini, sama ada boleh berdepan dengan masyarakat di luar. Mereka akan mengadakan persembahan sebulan sekali, setiap hujung bulan.

"Dari situ masyarakat dapat menyelami perasaan dan menerima mereka, bukan sekadar menuding jari atas apa yang mereka sudah lakukan. Lagipun persembahan ini percuma dan diadakan di tempat terbuka," katanya.

Tiru gaya K-Pop

Posted: 16 Jun 2011 08:24 PM PDT

HOS K-Pop Hitz Talent Show, Jehan Miskin.
HOS K-Pop Hitz Talent Show, Jehan Miskin.
Program realiti terbaru untuk pengikut muzik pop Korea

SESUAI dengan kegilaan peminat terhadap muzik K-Pop ketika ini, Astro Hitz dengan kerjasama Organisasi Pelancongan Korea bagi menerbitkan program baru dikenali K-Pop Hitz Talent Show.
Menurut Pengurus Saluran Astro Hitz, Cheong Cheng-Vei, siaran muzik K-Pop mendapat rating tinggi, secara tidak langsung membuktikan penerimaan dan permintaan yang menggalakkan daripada pendengar.
"Kami mengambil kesempatan mengadakan K-Pop Hitz Talent Show melihat kepada sambutan dan kegilaan orang ramai terhadap muzik K-Pop akhir-akhir ini. Kepada mereka yang ingin menjadi bintang K-Pop, ini peluang seumur hidup di mana pemenang akan dapat beraksi di atas pentas terkenal di Korea," ujarnya.

Pengarah Urusan Organisasi Pelancongan Korea Pejabat Kuala Lumpur, Yun Jae-Jin pula berkata, semakin ramai penonton memilih filem Korea, mendengar muzik K-Pop, mengikuti drama negara terbabit, seterusnya melancong ke tempat kegemaran seperti di dalam drama mereka.

"Saya amat yakin K-Pop Hitz Talent Show akan menjadi momentum yang hebat untuk menjadikan budaya K-pop di Malaysia sebagai gaya hidup dan mengeratkan hubungan persaudaraan antara Malaysia dan Korea," katanya.

Sebelum ini peminat setia K-Pop hanya boleh menonton di kaca TV. Kini khalayak boleh menonjolkan bakat yang selama ini terpendam menerusi uji bakat yang akan diadakan mulai 18 Jun ini.
Program sebanyak tujuh episod ini menampilkan Jehan Miskin sebagai hos, seterusnya membawa pengikut setia K-Pop menyaksikan persembahan barisan peserta yang akan menyanyikan lagu bintang terkenal Korea seperti Rain, Super Junior dan 2PM.

Bagi menyuntik kelainan, pada sesi uji bakat, Jehan akan mencari aksi tarian K-Pop terbaik di sekitar Lembah Klang, dengan menaiki van dihiasi logo K-Pop.
Setiap calon akan diberikan lima minit untuk menunjukkan gaya K-Pop dan persembahan mereka diadili juri profesional dari sudut kekuatan vokal, gaya persembahan, kreativiti dan penyampaian.

Hanya lapan peserta dengan persembahan terbaik, tidak kira dari segi tarian atau nyanyian, akan mara ke peringkat akhir secara tidak langsung merebut hadiah utama iaitu percutian selama empat hari tiga malam serta peluang mengadakan persembahan secara langsung di pentas hiburan, Lotte World Theme Park, Korea.

Mereka yang berumur 18 tahun dan ke atas dan berminat menghadiri uji bakat, boleh mendaftarkan diri di www.facebook.com/astrohitz, secara tidak langsung dapat menjimatkan masa daripada menunggu giliran untuk sesi uji bakat yang akan berlangsung pada setiap Sabtu, mulai 18 Jun hingga 9 Julai ini.

Peserta solo mahupun berkumpulan tidak lebih daripada lima orang juga boleh mendaftar secara terus di sesi uji bakat seawal jam 9 pagi pada tarikh dan tempat ditetapkan. Uji bakat pertama akan diadakan pada 18 Jun ini di Wangsa Walk, disusuli di Berjaya Times Square pada 25 Jun, The Curve (2 Julai) dan diakhiri di SACC Mall, Shah Alam (9 Julai).

K-Pop Hitz Talent Show akan temui penonton jam 3.30 petang mulai 23 Jun ini sehingga 4 Ogos di saluran Astro Hitz.

Sekat, bukan menganiaya

Posted: 16 Jun 2011 08:23 PM PDT

pix_gal0
Pengguna seharusnya menghormati harta intelek, industri kreatif

IA bukannya bersangkut paut dengan hak asasi manusia, menyekat kebebasan bersuara mahupun berhubung kait dengan penapisan maklumat, sebaliknya penyekatan ke atas laman sesawang tidak berlesen adalah demi melindungi harta intelek seseorang ataupun sesebuah syarikat daripada dirompak, diperdagangkan dan dikongsi secara haram.
Bahkan, sekatan ke atas laman sebegitu bukanlah perkara asing dalam dunia serba canggih yang semakin dikuasai alam maya ini. Tindakan serupa sudah pun dilaksanakan di beberapa negara luar seperti Australia, Bulgaria, Chile, Colombia, Denmark, India, Korea Selatan, Taiwan, Amerika Syarikat dan banyak lagi.
Malaysia pula muncul negara pertama yang mengambil tindakan serupa di Asia tenggara - menyekat akses ke laman sesawang yang mengamalkan perkongsian harta intelek secara haram daripada terus berleluasa, seterusnya menunjukkan bahawa pemikiran rakyat negara ini semakin maju dan matang, terutama dalam mempertahankan hak mereka.

Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) pula secara terang-terangan menyokong usaha berkenaan, yang dianggap mereka sebagai langkah berani kerajaan dalam memastikan penggunaan Internet di kalangan rakyat dilakukan dengan cara lebih bertanggungjawab lagi.

Mereka menyatakan sokongan itu bersama beberapa lagi organisasi lain seperti Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Perlindungan Hak Cipta Karya Muzik Malaysia (MACP) dan The Malaysia Federation Against Copyright Theft (MFact) dalam sidang akhbar yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di ibu kota, Selasa lalu.

Menurut Pengerusi RIM, Norman Abdul Halim, apabila Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengeluarkan arahan kepada penyedia perkhidmatan untuk menyekat akses ke 10 laman sesawang haram, isu ini diperbesarkan sesetengah pihak yang tidak faham. Sedangkan, ia sebenarnya bertujuan menghalang sesawang terbabit daripada terus memperdagangkan harta intelek orang lain sesuka hati.
"Sejak 2005 lagi kami sebenarnya sudah menyuarakan perkara ini. Jadi, apabila kerajaan mula bertindak dengan menyekat beberapa laman sesawang terbabit, ia satu tindakan yang harus disambut baik. Ia sewajarnya disokong kerana tindakan itu dilihat cukup tepat dalam mendidik rakyat menggunakan Internet secara lebih berhemah lagi.

"Sayangnya, ada beberapa kelompok yang menentang tindakan ini. Pendirian mereka memang mendukacitakan kita. Bahkan ada yang mengugut untuk menggodam laman sesawang kerajaan. Mereka ini berpegang kepada kepercayaan, mereka boleh menggunakan Internet sesuka hati. Malah, lebih 12,000 orang sudah pun menyatakan sokongan mereka terhadap kempen menentang tindakan SKMM di Facebook.

"Namun begitu saya percaya, lebih ramai orang akan menyokong tindakan kerajaan ini. Saya percaya mereka faham, ia bukanlah bentuk penganiayaan kepada pengguna, jauh sekali pengharaman ke atas penggunaan Internet. Tindakan itu dilakukan semata-mata untuk memaklumkan, mereka berada di laman web yang tidak sepatutnya," ujar Norman yang memberitahu, selain daripada 10 laman sesawang yang sudah dikenal pasti untuk disekat SKMM, pihaknya mendapati kira-kira lebih 80 laman lagi turut beroperasi tanpa lesen.

Permulaan cukup baik

TEGAS Norman lagi, mereka amat menyokong tindakan suruhanjaya terbabit kerana mahukan perlindungan sewajarnya ke atas produk yang dihasilkan daripada diperdagangkan tanpa izin.

"Jika kita mahu melihat negara kita menjana pendapatan lebih tinggi daripada industri kreatif, inilah tindakan yang sewajarnya. Dengan segala bentuk cetak rompak yang berleluasa ketika ini, pendapatan dalam industri rakaman menyusut ratusan juta ringgit," katanya yang menggesa semua pihak termasuk artis sendiri, untuk tampil memberikan sokongan kepada usaha terbabit.

Katanya, antara laman web paling aktif memperdagangkan secara haram khazanah muzik dan filem Melayu ialah jiwang.org. Laman berkenaan setakat ini belum disekat SKMM, bagaimanapun aduan mengenai aktiviti laman sesawang terbabit sudah pun dibuat kepada pihak terbabit.

"Kami sedar, jumlah yang disekat ketika ini mungkin nampak kecil. Tetapi, ia sebuah permulaan yang cukup baik. Saya sendiri berkeyakinan, jumlahnya akan bertambah sedikit masa lagi. Hanya SKMM mempunyai peruntukan untuk melakukan sekatan ini. Justeru, kita harus sama-sama menyatakan sokongan ke atas usaha terbabit," katanya.

Mengaku pendiriannya itu mungkin akan dikecam oleh mereka yang tidak sependapat dengannya, namun Norman menjelaskan, seperti mana kebebasan bersuara di Internet tidak pernah disekat, dia sememangnya sedia berdepan segala kata nista berkenaan, kerana menyedari perjuangannya adalah demi kebaikan keseluruhan industri kreatif.

Pesannya, jika orang ramai menyayangi artis, muzik dan filem tempatan, mereka akan lebih menghormati harta intelek milik individu atau syarikat yang mengeluarkan produk golongan seni terbabit, dengan membenci aktiviti cetak dan laman sesawang tidak berlesen.

Pengunjung pantai bantah

Posted: 16 Jun 2011 08:20 PM PDT

  • Foto

    PANTAI Batu Feringgi sentiasa menjadi tumpuan pelancong pada musim cuti sekolah.

  • Foto

Aktiviti tunggang kuda antara tarikan utama di Batu Feringgi

GEORGETOWN: Pengunjung pusat peranginan popular di Batu Feringgi, di sini termasuk pelancong asing tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan negeri mengharamkan aktiviti menunggang kuda di pantai.
Mereka berpendapat, pengharaman aktiviti berkenaan tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya peraturan khusus perlu digubal bagi memastikan keselamatan awam, pengusaha serta kemajuan industri pelancongan negeri.
Pengunjung dari Perak, Sharadatul Nurul Shima Zulkiffli, 20, berkata aktiviti berkuda adalah kegiatan pelancongan yang popular di pantai itu, selain jet-ski dan menaiki belon udara.

Dia yang sering berkunjung ke negeri ini, berkata mewujudkan kawasan khas bagi aktiviti terbabit adalah perlu, selain kawalan yang lebih ketat terhadap haiwan itu.

"Haiwan lain juga boleh mendatangkan kecederaan kepada orang ramai jika tidak dikawal. Jika ada kawalan yang baik oleh penunggang atau pemilik, perkara buruk dapat dielak.

"Ibu bapa sepatutnya mengawasi anak mereka ketika berada di tempat yang menyediakan aktiviti itu kerana pelbagai kejadian yang tidak diingini boleh berlaku," katanya ketika ditemui di sini.
Baru-baru ini, percutian Arina Kirana Azrin, 5, bersama keluarganya bertukar tragedi apabila patah bahu kiri dan cedera paha kanan akibat dirempuh kuda yang dinaiki seorang lelaki ketika bermain dengan kakaknya di pantai Batu Feringgi.

Lelaki terbabit yang bekerja sebagai budak pantai, ditahan polis tidak lama selepas kejadian dan disahkan positif dadah. Berikutan kejadian, kerajaan Pulau Pinang mengharamkan aktiviti menunggang kuda di kawasan pantai itu.

Tindakan kerajaan negeri itu turut dibantah oleh pemilik kuda dan menganggap keputusan berkenaan mahu 'menutup periuk nasi' mereka yang sudah beroperasi sejak beberapa tahun lalu.

Kementerian Pelancongan juga mencadangkan kerajaan negeri mewujudkan garis panduan bagi memastikan ciri keselamatan dan cara pengendalian sukan berkuda di tepi pantai supaya produk pelancongan tempatan di negeri itu tidak terjejas.

Antara lain, garis panduan berkenaan ialah mewujudkan zon khas, penggunaan kuda bersesuaian, lesen pengusaha, pengendali kuda mendapat latihan serta berperwatakan menarik.

Pelancong dari Belgium, Mark Dewarchter, 43, berkata kerajaan negeri tidak perlu mengharamkan aktiviti menunggang kuda di pantai itu kerana ia boleh menjejaskan pengusaha yang turut memberi sumbangan terhadap industri pelancongan.

"Tidak perlu haramkan aktiviti berkuda dan cara terbaik ialah beroperasi mengikut waktu supaya prosedur keselamatan dapat dikawal.

"Saya cadangkan pengusaha menggunakan kuda bersaiz kecil seperti kuda padi kerana lebih jinak dan senang dikawal," katanya.

Jururawat hadapi dakwaan jual bayi

Posted: 16 Jun 2011 08:17 PM PDT

GULAB Jan keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam selepas mengaku tidak bersalah di  atas tuduhan memperdagangkan bayi perempuan berusia lapan bulan tahun lalu. - Foto Effendy Rashid
GULAB Jan keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam selepas mengaku tidak bersalah di atas tuduhan memperdagangkan bayi perempuan berusia lapan bulan tahun lalu.
KUALA LUMPUR: "Kenapa tangkap saya, kenapa tak tangkap Datuk," kata bekas jururawat Gulab Jan Abdul Jabir sambil menangis teresak-esak selepas dia didakwa memperdagangkan seorang bayi perempuan berusia lapan bulan di sebuah hospital swasta di Jalan Ipoh di sini, tahun lalu.

Gulab Jan, 49, yang memakai blaus ungu meluru keluar daripada kandang tertuduh selepas prosiding selesai, berulang kali menyatakan dia tidak bersalah dan tiada wang untuk membayar jaminan RM10,000 yang ditetapkan Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain, kepada anggota polis mahkamah.
Tertuduh yang mengaku tidak bersalah atas dakwaan berkenaan dan mohon dibicarakan didakwa memperdagangkan bayi itu bagi tujuan eksploitasi di Hospital Taj, Nombor 492, Batu 3, Jalan Ipoh di sini, jam 2.10 petang, pada 1 November 2010.
Dia yang diwakili peguam Gerard Lazarus menghadapi tuduhan mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor 'Amalina Ismail memohon mahkamah mengenakan jaminan RM50,000 dengan dua penjamin terhadap Gulab Jan dengan alasan kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius kerana membabitkan kes penjualan bayi dengan harga yang sangat tinggi.

Bagaimanapun Lazarus memohon mahkamah mengurangkan jaminan terhadap anak guamnya dengan alasan tertuduh yang masih bujang tidak lagi bekerja dan ditanggung ahli keluarganya selain memberi kerjasama penuh ketika proses siasatan polis sehingga didakwa semalam.

"Tujuan jaminan hanya untuk memastikan kehadirannya ke mahkamah, walaupun tuduhan ke atas anak guam saya serius tetapi itu semua tidak boleh digambarkan kerana ini hanya peringkat pendakwaan bukan hukuman," katanya.
Ahmad Zamzani turut mengarahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan 18 Julai depan untuk sebutan kes.

Wang jaminan RM10,000 dibayar dua ahli keluarganya di Kaunter Bayaran Jaminan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini, kira-kira jam 2.45 petang, semalam.

Aizat Amdan Jelajah Borneo Julai Ini!

Posted: 16 Jun 2011 08:16 PM PDT

Pernah mengimpikan untuk mengadakan sebuah konsert untuk dirinya sendiri, Aizat Amdan ternyata puas apabila dia berjaya merealisasikan konsert Aizat Amdan Live In Damansara pada 29 Januari lalu.

Berpuas hati dengan apa yang berjaya dilakukan atas usaha dirinya dan abangnya, Anas, Aizat tidak mahu cita-citanya itu sekadar boleh di tonton oleh peminatnya yang berada di sekitar semenanjung.

Lantas, usai konsert lalu, dia berjanji untuk turun mengadakan konsert buat peminat-peminat di Sabah dan Sarawak, dan kini Aizat membuktikan dia bukan sekadar berjanji kosong.

Buktinya, Aizat kini mengatur langkah membuat persiapan untuk beraksi dihadapan ribuan peminat di dua kota iaitu Kuching pada 16 Julai dan di Kota Kinabalu pada 22 Julai akan datang.

"Mungkin saya terlewat sedikit daripada apa yang pernah dijanjikan, namun masanya masih lagi sesuai dan saya tetap akan kotakan apa yang pernah saya janjikan.

"Di Kuching, konsert akan diadakan di Stadium Tertutup Perpaduan, Petra Jaya pada 16 Julai dan di Kota Kinabalu pula, akan diadakan di Kadazan Dusun Cultural Association, Penampang pada 22 Julai.

"Banyak persembahan istimewa sudah dirancang untuk konsert disana nanti, dan saya akan membawa beberapa artis jemputan seperti DJ Fuzz dan Altimet untuk turut bersama saya meriahkan suasana konsert itu nanti,"jelas Aizat.

Tiket-tiket sudah mula dijual dengan harga RM35 (biasa) dan RM55 (VIP). Sebarang pertanyaan lanjut boleh lawati laman www.aizatamdan.com

Belajar

Walaupun sibuk dengan pelbagai program dan siri jelajah, Aizat masih lagi mahu meneruskan niat untuk menyambung pelajarannya.

"Perancangan untuk sambung belajar itu tetap akan berjalan, tetapi institut muzik yang bakal saya masuki itu tidaklah mempunyai peraturan yang kuat, dan saya boleh berulang alik dari tempat pengajian ke Malaysia untuk meneruskan kerjaya saya di sini.

"Lagipun, masa belajar saya begitu fleksibel dan saya harus bijak memberi komitmen antara pelajaran dan kerjaya,"jelasnya.

GIG TV9 Pikat Peminat Remaja

Posted: 16 Jun 2011 08:13 PM PDT

Sinonim dengan program-program ilmiah dan kemasyarakatan, TV9 kini tampil lebih segar dengan turut sama meraikan sekaligus mengangkat muzik Malaysia kehadapan dengan menghasilkan satu acara yang pasti menggegarkan pesada seni tempatan iaitu kanival dan konsert rock GIG pada 9 dan 10 Julai ini, bertempat di I-City Shah Alam.

Kelihatan sedikit lari dari landasan konsep yang diketengahkan oleh stesen tv ini sejak awal diperkenalkan pada tahun 2006 yang lalu, ia bagaimanapun dinafikan oleh Pengurus Besar TV9, Sherina Mohamed Nordin yang ditemui di majlis pelancaran Konsert GIG TV9 bersama Digi di Hard Rock Cafe semalam.

"Sebenarnya TV9 bukan sahaja menghidangkan program-program bercorak ilmiah dan keislaman semata-mata, malah kami juga ada menghidangkan beberapa hiburan seperti rancangan kartun setiap jam 5 petang hingga 7 malam.

"Dan pada ulang tahun tv9 yang kelima tahun ini, kami mensasarkan tarikan belia dan remaja untuk lebih mendekati mereka. Sebelum ini juga kami sudah muncul dengan program Ekspresi Remaja dan Jam With Us TV9, dan pada 9 dan 10 Julai ini kami akan mengadakan sebuah konsert rock GIG di I-City Shah Alam.

"Konsert diadakan pada dua hari berturut-turut dengan tujan memberi peluang pada mereka yang tidak berkesempatan untuk hadir pada salah satu tarikh tersebut.

"Kami menjanjikan yang terbaik dan akan membuat beberapa kelainan dalam konsert ini berbanding kebanyakkan konsert Gig yang diadakan sebelum-sebelum ini,"jelasnya.

Konsert yang berlangsung dua hari itu akan dimeriahkan oleh kumpulan Indie Rock tempatan seperti AwanBand, The Azenders, Pesawat, Azlan &The Typewriter, Drama Band dan Projek Pistol pada 9 Julai dan dihoskan oleh penyampai radio popular, Ikhwan dari jam 5 petang hingga 7 malam.

Pada 10 Julai pula, peminat akan dihiburkan oleh Wings, Hujan, Aizat, Bunkface, dan 6ixth Sense serta dikemudikan acara oleh Faizal Hot Fm pada jam 8.30 malam hingga 10.30 malam. Mereka yang tidak berkesempatan juga boleh merasai kemeriahan konsert ini dengan melayari www.tv9.com.my/gig untuk live streaming.

Untuk memeriahkan lagi acara ini, DiGi akan menganjurkan peraduan Konsert GIG - VIP Treatment untuk khas buat pengguna perkhidmatan prabayar DiGi yang berumur 18 tahun ke atas.

Dengan hanya melanggan pakej CallerTunes DJ GIG dengan hanya RM1 seminggu dan mengaktifkan Super Reload Social RM15 di antara 13 hingga 30 Jun ini, dua peserta yang membuat isian semula tertinggi dalam tempoh tersebut akan dipilih sebagai pemenang dan mereka dijanjikan hadiah yang cukup istimewa.

Battle of the Indie Band akan diadakan pada 9 Julai dengan menampilkan lapan buah kumpulan Indie yang bakal bertanding bagi merebut tempat untuk meneruskan persembahan mereka pada keesokkan hari, dan juara pertandingan ini akan memenangi wang tunai RM 8,000.

Untuk memulakan kehangatan acara GIG ini, TV9 akan mengadakan showcase GIG TV9 di Klang Parade pada 18 Jun 2011 bersama Aizat dan pada 25 Julai di Plaza Alam Sentral, Shah Alam bersama kumpulan Hujan dari jam 3 petang hingga 5 petang.

Hidup saya boring: Dayang Nurfaizah

Posted: 16 Jun 2011 08:11 PM PDT

"Kehidupan saya sangat boring." Demikian kata penyanyi Dayang Nurfaizah bila ditebak pasal kehidupan di luar pentas seni. Sementelah pada usia lewat 20-an itu dia masih belum bertemu lelaki yang serasi untuk berkasih sayang.

Bukan tidak mahu, tetapi cinta belum datang dalam hidupnya lantaran memberi perhatian sepenuhnya kepada kerjaya seni yang masih banyak mahu digapainya pada masa akan datang.

"Saya datang dari Sarawak semasa remaja untuk menjadi penyanyi di Kuala Lumpur, kehidupan saya daripada dulu sehingga sekarang hanyalah bekerja. Macam mana nak cari teman lelaki?"

"Saya percaya suatu hari nanti akan ada lelaki yang benar-benar membuat hati saya terbuka menerimanya. Saya bukannya serik kerana pernah gagal bercinta, sebaliknya saya memang tak ada masa untuk memikirkan pasalnya.

"Saya tinggal dengan keluarga. Kalau keluar ke mana-mana semasa tak bekerja saya akan ditemani oleh keluarga," kata Dayang yang baru melancarkan album penuh terbaru berjudul Sayang & Cahaya di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Keluarganya juga tidak pernah mendesak dia segera berkahwin, apatah lagi apabila mengetahui dia tidah mempunyai teman istimewa untuk membawa ke alam rumah tangga. Bukannya terlalu cerewet memilih, sebaliknya Dayang mahu memastikan dapat menyelesaikan banyak perkara sebelum melangkah ke alam kehidupan.

Ditanya konsep pemilihan pasangan oleh keluarga, Dayang dengan pantas menolaknya. Dia tak mahu jodoh yang ditentukan oleh keluarga dan masih menunggu kata hatinya untuk menerima mana-mana lelaki.

"Saya tak reti nak menilai kalau ada lelaki yang mahu mendekati saya, ajarlah saya bagaimana mahu mempelajarinya," kata Dayang berseloroh apabila ditanya pasalnya.

Saya kenal diri saya

Ada yang menanyakan soalan nakal kalau-kalau ada yang melabelkan dia sebagai peminat kaum sejenis sehingga payah terbuka menerima kehadiran seseorang lelaki.

"Saya kenal siapa diri saya. Dan saya tahu saya tidak seperti itu. Terserahkan kalau ada yang cuba memikirkan hal demikian bila saya mengatakan belum ada teman lelaki," kata Dayang.

Album ikut citarasa sendiri

Sekarang tak ramai penyanyi yang menerbitkan album penuh. Kalau ada yang dapat peluang pun mereka lebih suka menghasilkan album mini. Dayang pula menghadiahkan album penuh dengan 12 buah lagu khusus untuk peminat yang sudah lama merindui bingkisan terbarunya.

"Saya memulakan pembikinan album ini sudah lama. Memang asalnya mahu menerbitkan album mini, tapi untuk mencari kepuasan menyanyikan lagu yang saya suka, ia bertambah sehingga 12 lagu dirakam.

"Saya bukan jenis yang mengumpul banyak lagu sebelum memilih lagu-lagu yang mahu dirakam. Saya berbincang dengan komposer dan penilis lirik untuk menentukan lagu yang saya mahukan. Daripada situlah ia bertambah.

"Album ini ada kelewatan sedikit daripada perancangan awal kerana proses mendapatkan kod lagu bagi tujuan ringtones yang mengambil sedikit masa. Sekarang zaman jualan secara digital, jadi saya mahu album ini siap sepenuhnya sebelum dipasarkan," kata Dayang lagi.

Dia mahu memuatkan lagu-lagu yang kena dengan jiwanya dan berharap peminat akan menerima apa yang dilhasilkannya. Album baru ini memuatkan lagu-lagu Sayang (duet dengan Marcell), Rahsia Cinta, Sabarlah, Hingga Ke Akhirnya, Perlukan Cinta (bersama Tompi). Dayang juga merakan semula lagu Mulanya Di Sini yang pernah dipopularkan oleh Freedom.

Lagu Kutemu Cahaya pula dipilih sebagai lagu tema Majlis Aids Malaysia. Sementara itu Dayang akan mengadakan persembahan di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur pada 2 Julai ini. Ia kerjasama Maybank dengan sokongan Majlis Aids Malaysia. Tiket masuk RM50 dikenakan dengan satu minuman percuma. Untuk mahlumat lanjut pasal tempahannya boleh hubungi talian 03-2715 5555.

Jubah pakaian masyarakat Islam Asia Tengah

Posted: 16 Jun 2011 08:10 PM PDT


Jubah Munisak, abad ke 19 Masihi / abad ke 13 Hijrah, Asia Tengah.


JUBAH sering dikaitkan dengan masyarakat Arab yang tinggal di Timur Tengah. Mengikut Kamus Dewan, jubah ialah pakaian baju panjang cara Arab (yang dipakai oleh haji dan hakim).

Sebenarnya terdapat pelbagai bentuk jubah dalam dunia Islam. Salah satu daripadanya jubah yang dipakai oleh masyarakat Islam di Asia Tengah.

Keunikan jubah di Asia Tengah adalah ia diperbuat daripada kain yang mempunyai warna-warna yang terang tidak seperti di Asia Barat yang kebanyakannya berwarna putih dan hitam.

Ia juga merupakan pakaian yang mempunyai gaya potongan dan jahitan yang berlainan berbanding dengan potongan jubah di Asia Barat.

Jubah Asia Tengah dikenali dengan pelbagai nama, antaranya ialah chapan atau khalat. Ia dipakai oleh golongan lelaki dan wanita Islam di sana. Selalunya ia diperbuat daripada sutera atau broked yang dilapis.

Jubah ini merupakan baju luar yang disarungkan ketika keluar rumah. Ia mempunyai bukaan atau belahan di bahagian hadapan bagi memudahkan pemakaian.

Ia tidak mempunyai sebarang butang atau cangkuk baju. Tetapi pemakai akan menggunakan tali pinggang yang diperbuat daripada kain atau logam untuk mengikat dan menutup belahan jubah. Ia juga sering dibiarkan terbuka.

Bagi golongan lelaki, mereka sering menggayakan jubah ini bersama serban berwarna terang yang sedondon. Kadangkala ia turut digayakan dengan sisipan pisau belati dan juga gantungan pedang di bahagian pinggang.

Daripada segi bahan, jubah ini diperbuat daripada pelbagai jenis kain seperti kain kapas, kain broked dan yang paling mahal ialah kain sutera. Kain-kain ini selalunya mempunyai corak yang besar dan berwarna terang seperti warna merah, kuning dan hijau. Ia seakan-akan menjadi identiti bagi pakaian ini.

Salah satu teknik hiasan kain sutera yang sering digunakan bagi pakaian ini dikenali sebagai teknik ikat. Ia merupakan teknik yang sama seperti yang digunakan di Tanah Melayu dalam penghasilan kain limar.

Teknik ikat merujuk kepada proses pewarnaan benang sutera yang akan digunakan untuk menenun kain. Setelah benang-benang sutera selesai diwarnakan ia akan ditenun menjadi sehelai kain dengan corak tertentu.

Bahan pewarna yang digunakan terdiri daripada bahan semulajadi seperti tumbuh-tumbuhan yang terdapat di persekitaran mereka seperti akar pokok madder dan pokok cendana digunakan bagi warna merah, bunga pokok pagoda boleh menghasilkan warna hijau, bunga pokok mallow hitam menghasilkan warna hitam dan tumbuhan liar seperti delphinium kuning menghasilkan warna kuning.

Antara corak atau motif kain sutera ikat yang dihasilkan melalui tenunan ialah seperti anor (buah delima), bodomcha (kacang badam), chaen (kala jengking), chro (lampu), Ilon izi (jejak ular), oy (bulan), shokila (loket), kapalak (rama-rama), daraht (pokok) dan kosa gul (gubahan bunga di dalam pasu).

Selain kain sutera, kain kapas juga digunakan dalam pembuatan jubah ini. Kain kapas kadangkala turut digunakan sebagai lapik sebelah dalam jubah yang diperbuat daripada kain sutera. Kain kapas yang digunakan turut mempunyai warna terang yang kebanyakannya merah.

Corak atau motif yang sering menjadi pilihan si pemakai ialah corak bunga-bungaan yang bersaiz agak besar. Kain kapas yang digunakan ada kalanya hanya mempunyai dua warna sahaja iaitu warna latar dan warna corak yang berlawanan.

Kain kapas mudah didapati di Asia Tengah pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 Masihi kerana lambakan kain kapas buatan mesin yang murah di dalam pasaran akibat daripada pendudukan Russia ke atas wilayah Islam Asia Tengah ketika itu.

Ini mengakibatkan penenun kain kapas tempatan di Asia Tengah mengalami kerugian yang teruk dan penurunan permintaan kain kapas tenunan tangan akibat daripada krisis ini.

Jubah ini mempunyai beberapa jenis potongan khas, seperti potongan untuk jubah lelaki sahaja, perempuan sahaja ataupun potongan yang boleh dipakai oleh kaum lelaki dan wanita.

Bagi potongan yang boleh dipakai oleh lelaki dan wanita secara amnya, ia mempunyai pesak di bahagian tepi dan kekek di bawah ketiak yang hampir menyerupai potongan baju kurung atau baju melayu yang berpesak.

Untuk maklumat lanjut, sila dapatkan buku terbitan Muzium Kesenian Islam bertajuk Abrbandi' di kedai cenderamata Muzium Kesenian Islam Malaysia.

Kedudukan asnaf amil zakat

Posted: 16 Jun 2011 08:10 PM PDT

Dalam pembahagian zakat, berapakah peruntukan yang boleh diambil oleh pihak amil? Adakah pihak amil boleh mendapat lebih daripada asnaf zakat yang lain? Ini kerana, saya mendengar ada dakwaan bahawa pihak amil telah melebihkan penggunaan wang zakat untuk kepentingan mereka sahaja. Harap dapat penjelasan ustaz.

JAWAPAN:

Terima kasih kerana mahu bertanya. Mudah-mudahan dengan pertanyaan ini akan membuka horizon pemikiran kepada jawapan yang memberikan kelegaan kepada ramai orang dan dapat mengelakkan salah faham yang tidak mendatangkan apa-apa kebaikan.

Hakikatnya, kalimah amil jelas disebut di dalam al-Quran dan al-hadis. Misalnya di dalam ayat 60, surah at-Taubah: Sesungguhnya sedekah (zakat) itu adalah untuk para fakir, miskin, amil yang menguruskan zakat...

Begitu juga dengan sabda Nabi Muhammad SAW: Amil yang memungut zakat dengan cara yang benar samalah (pahalanya) seperti orang yang berjihad pada jalan Allah sehinggalah dia kembali ke rumahnya. (hadis hassan riwayat Imam Tarmizi)

Sudah jelas di sisi Islam, amil adalah salah satu daripada asnaf zakat yang lapan, bahkan amil tergolong ke dalam kumpulan empat asnaf utama atau disebutkan sebagai asnaf yang muqaddam. Ia bermaksud, asnaf-asnaf fakir, miskin, amil dan muallaf mesti diberikan keutamaan dalam agihan zakat berbanding empat asnaf yang terkemudian, iaitu riqab, gharimin, ibn sabil dan fisabilillah.

Keutamaan ini mempunyai rasionalnya, iaitu kaum fakir, miskin dan muallaf memang mendapat tempat yang istimewa dan utama di dalam Islam demi menjaga keimanan mereka.

Amil pula perlu diberikan haknya agar dengan kecukupan yang mereka perolehi, maka mereka dapat menjalankan kerja-kerja menguruskan zakat dengan amanah, cekap dan berkesan.

Seandainya para amil sendiri tidak mempunyai kecukupan, maka akan terbukalah ruang-ruang fitnah, kerana sesungguhnya urusan zakat memang bermain dengan harta dan wang yang selalu menggoda manusia.

Bahkan tidak mustahil pula para amil akan melakukan kerja-kerja sampingan yang lain untuk mencukupkan keperluannya, sehingga boleh menjejaskan tumpuannya kepada kerja-kerja membangunkan zakat dan juga asnaf-asnaf zakat.

Maka, pihak amil memang berhak memperolehi sebanyak 1/8 daripada kutipan zakat keseluruhan. Jika dikutip lapan juta, maka satu juta adalah bahagian amil.

Semakin besar kutipan zakat, maka semakin besarlah bahagian amil. Misalnya kutipan zakat RM240 juta, maka bahagian amil adalah RM30 juta.

Dengan jumlah RM30 juta itulah, ia dijadikan belanja pengurusan misalnya bayaran upah atau gaji, belanja kelengkapan pejabat, membeli kenderaan dan selenggara bangunan, belanja utiliti, belanja membuat penyelidikan dan persidangan zakat serta sebagainya lagi.

Ia juga bermakna, segala perbelanjaan bagi keperluan pihak amil, tidak sama sekali mengambil peruntukan daripada asnaf zakat yang lain.

Maka, tidak benarlah tuduhan bahawa amil zakat menggunakan wang zakat sewenang-wenangnya. Bahkan amil zakat memanfaatkan peruntukan 1/8 bahagian amil tersebut demi kelangsungan pengurusan zakat yang menjamin tujuh asnaf zakat yang lain.

Misalnya, dengan kecanggihan sistem berkomputer yang ada, maka urusan permohonan bantuan zakat bagi setiap asnaf menjadi lebih mudah dan cepat.

Dengan prasarana yang baik, tempoh siasatan menjadi singkat dan bantuan dapat segera dihulurkan. Maknanya, asnaf-asnaf zakat yang lain telah mendapat manfaat yang besar apabila amil diperkasakan dengan hanya peruntukan 1/8 mereka.

Walau bagaimanapun, dalam perbahasan fikah zakat sebenarnya ada juga pandangan yang menyatakan pihak amil masih boleh mengambil lebih daripada 1/8 jika keadaan memerlukan.

Bahkan dalam kalangan fuqaha juga ada menyatakan, jika ada keperluan lain, pemerintah juga boleh mengambil tanggung jawab menanggung gaji dan keperluan para amil dengan wang daripada dana atau perbendaharaan kerajaan.

Namun begitu, apa yang diamalkan di Selangor, amil hanya mengambil 1/8 sebagai upahnya daripada kutipan zakat.

Kesimpulannya, amil adalah satu pekerjaan yang menanggung amanah yang cukup besar di sisi Islam. Seandainya para amil tidak diberikan hak mereka dengan sepatutnya, maka pasti ia akan memberikan kesan negatif kepada perjalanan keseluruhan institusi zakat.

Maka, atas dasar itulah Islam memuliakan institusi amil dan memberikan para amil hak yang sewajarnya, sebagaimana yang diperuntukkan oleh syarak. Wallahu a'lam.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

This page certainly has all the information I wanted concerning
this subject and didn't know who to ask.

my webpage kids nursery furniture

Tanpa Nama berkata...

That is really attention-grabbing, You are an
overly skilled blogger. I have joined your rss feed and
look forward to looking for extra of your excellent post.
Additionally, I've shared your website in my social networks

my website: choose a swiss ball

Tanpa Nama berkata...

Great information. Lucky me I found your blog
by accident (stumbleupon). I've bookmarked it for later!

Here is my web site: heart rate monitor

Tanpa Nama berkata...

Fantastic website. Lots of useful information here.
I am sending it to some buddies ans also sharing in delicious.
And naturally, thank you in your sweat!

my web page; mazda rx7 veilside for sale

Catat Ulasan