RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Nafi Foto Bersama Wanita Kekasihnya, Remy Ishak Masih Solo

Posted: 14 Nov 2012 05:05 PM PST

Remy Ishak.
PETALING JAYA: Pelakon Remy Ishak menjelaskan dia masih lagi solo walaupun tersebar gambar dia dengan mana-mana wanita.
Remy, 30, berkata, sebuah foto yang menyaksikan seorang wanita bergambar dengannya secara rapat mungkin peminat fanatiknya dan ia bukanlah isu yang harus dikontroversikan.
"Saya harap, tidak ada pihak yang akan menimbulkan spekulasi menerusi sekeping gambar biasa.
"Wanita itu mungkin peminat atau rakan saya dan dia bukanlah kekasih sekiranya ada yang mengandaikannya begitu, kerana saya masih lagi solo," tegasnya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Rabu.
Pelakon itu diminta mengulas sekeping gambarnya yang dikirim menerusi e-mel kepada mStar Online bersama seorang wanita yang tidak diketahui identitinya.
Foto Remy dan seorang wanita yang tidak dikenali identitinya.
Remy yang sedang menjalani penggambaran drama Cinta Jangan Pergi di Port Dickson, Negeri Sembilan memberitahu, dia akan lebih berjaga-jaga dalam menceritakan hal-hal berkaitan peribadi pada masa akan datang.
Selain itu, tambah Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak, selepas hubungan cinta antaranya dengan aktres Tiz Zaqyah putus, dia lebih memberikan fokus terhadap kerjaya lakonan yang diceburinya itu.
"Sekarang ini memang saya tidak mahu bercerita mengenai hal peribadi dan lebih berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan.
"Ini kerana walaupun kita memberikan penjelasan yang jujur, terdapat pelbagai persepsi yang akan timbul daripada ungkapan yang dikatakan itu," katanya.
Sementara itu, bersempena dengan sambutan Maal Hijrah yang disambut pada Khamis, Remy berharap agar dapat menghayati pengajaran di sebalik erti sebenar sambutan itu dan menjadikan ia sebagai titik permulaan untuk meningkatkan diri kepada satu tahap yang lebih baik.
"Seperti yang semua faham, 1 Muharam bukan sekadar penghijrahan Nabi Muhammad namun ia lebih melambangkan simbolik pengorbanan yang ditempuh Rasulullah ketika menyebarkan agama Islam.
"Dan untuk saya pula, hijrah adalah langkah baru ke arah yang lebih bagus dalam kehidupan ini dan saya berdoa agar dapat menjadi insan yang lebih baik daripada sebelumnya selain dimurahkan rezeki dalam karier yang diceburi, Insya-Allah," tuturnya.

Gosip cemarkan maruah saya - Mamat

Posted: 14 Nov 2012 05:05 PM PST


MAMAT mengaku oleh kerana terlalu banyak cerita buruk tentang dirinya tersebar, rezekinya sebagai anak seni kini terjejas.


BEKAS anggota kumpulan lawak, Sepah ini nampaknya tidak habis-habis dengan kontroversi yang melanda dirinya. Mamat atau nama sebenarnya, Mohd. Noor Murad, 27, pada mulanya dikatakan penyebab perpecahan Sepah walaupun ketika itu populariti kumpulan itu sedang memuncak.
Ketika enak dibuai mimpi sepanjang bercinta dengan pelakon bertudung, Fida Ibrahim pula, hubungan mereka tiba-tiba putus di tengah jalan setelah Mamat didakwa telah memuat naik gambar bekas teman wanitanya itu ke dalam laman sosial yang menampakkan rambutnya.
Bengang dengan perbuatan itu, Fida memutuskan hubungan mereka, walaupun telah memaafkan perbuatan Mamat.
Tidak berhenti di situ sahaja, Mamat terus dihujani dengan kontroversi apabila memuat turun gambar pelakon dan juga Presiden Seniman, Zed Zaidi kemalangan yang dikatakan sedang nazak, sedangkan sebenarnya gambar itu hanyalah babak lakonan Zed dalam sebuah drama.
Terbaharu, portal dan blog hiburan tempatan telah mengaitkan nama Mamat dengan kontroversi yang mendakwa dia telah mencemarkan satu majlis kenduri perkahwinan dengan mencalitkan kek pada muka pengantin lelaki.
Selain itu, Mamat turut dikaitkan dengan isu dirinya yang nyaris dibelasah di sebuah pusat membeli-belah apabila menunggang motosikal berkuasa tinggi sportbike miliknya di kawasan orang berniaga di Johor Bahru (JB), Johor.
Kosmo! menghubungi Mamat untuk mendapatkan kepastian mengenai gosip terbaharunya itu.
Kosmo!: Bolehkah Mamat ceritakan mengenai gosip terbaharu yang melanda diri anda? Adakah ia benar-benar berlaku?
MAMAT: Saya tidak faham macam mana boleh timbul isu mengenai kenduri kahwin itu sedangkan, ia telah setahun berlaku. Majlis itu membabitkan kaum keluarga saya. Kami memang keluarga 'gila-gila', benda itu (mencalit kek) tidak menjadi isu pun dan tiada sesiapa yang marah pun.
Bagaimanakah dengan isu nyaris dipukul di Johor Bahru pula?
Demi Allah saya tidak pernah buat perkara itu. Gosip saya naik motosikal Sportbike (di kawasan perniagaan di Johor Bahru) dan ada orang nak pukul memang tidak berlaku. Ia memang mencemarkan maruah saya.
Adakah benar anda memiliki motosikal sportbike seperti yang didakwa?
Memang saya ada sportbike. Satu-satunya pelawak dari Johor Bahru yang ada motosikal itu hanya saya tetapi perkara (gosip) itu tidak pernah berlaku. Kalau saya balik Johor Bahru, saya selalu lepak di Singapura atau tinggal di rumah sahaja.
Anda rasa kenapakah gosip itu boleh timbul?
Saya rasa ada orang yang dengki. Susah saya hendak tutup mulut orang. Saya juga tidak faham kenapa tidak habis-habis orang dengki dengan saya.
Disebabkan banyak kontroversi yang melanda, adakah ia menjejaskan karier anda terutama dari segi tawaran berlakon?
Saya mengaku ia mengganggu periuk nasi saya. Ia memang ketara sangat tetapi nak buat macam mana kalau itu bukan rezeki saya, nasib baik filem Sepah The Movie akan ditayangkan tidak lama lagi.
Jadi, apakah yang anda lakukan sekarang untuk tampung perbelanjaan?
Saya ada bisnes kecil-kecilan di Johor Bahru untuk mengekalkan periuk nasi saya. Ini bermakna saya tiada langsung, ada juga tawaran lakonan dan majlis di Singapura.
Apakah tindakan anda sekarang untuk membersihkan nama?
Saya ingin membina kerjaya saya balik selepas banyak isu yang tercalit. Saya akan berusaha lebih keras selepas ini bagi memastikan kerjaya saya lebih menonjol berbanding kontroversi.

Berkorban demi kerjaya

Posted: 14 Nov 2012 05:03 PM PST

pix_middle
TAKWIM Tahun Baru Islam 1434 Hijrah mula dibuka hari ini. Ia sesungguhnya diharapkan mampu membawa sejuta rahmat kepada seluruh umat Nabi Muhammad SAW tidak kira di mana berada di muka bumi ini.
Tahun Baru Islam juga detik penting bagi mengenang penghijrahan Rasulullah SAW dari Kota Makkah ke Madinah pada 622 Masihi yang berlaku pada 1 Muharam.
   
  • Foto
  • Foto WAWA...kini selesa menetap di Kuala Lumpur sejak berhijrah dua tahun lalu.
  • Foto
  • Foto SHILA...terpaksa mengorbankan zaman kanak-kanak dan remaja demi cita-cita.
Bagaimanapun, masih ramai umat Islam hari ini kurang mengambil berat pengertian Awal Muharam atau disebut sebagai Maal Hijrah. Mereka lebih gemar meraikan detik 1 Januari setiap tahun dan menganggap 1 Muharam tidak lebih daripada cuti umum semata-mata.

Apa yang seharusnya difahami, Maal Hijrah sebenarnya menjadi suatu bibit penghijrahan yang besar kepada semua umat Islam menuju kebaikan.

Hijrah menurut pengertian umum adalah meninggalkan larangan Allah SWT dan melaksanakan segala perintah-Nya. Bagaimanapun, dalam pengertian yang lebih luas, ia juga membawa maksud keluar daripada medan perjuangan yang sempit ke gelanggang yang lebih luas.

Inilah yang cuba difahami dan diamalkan, termasuklah dua insan yang sedang mencipta nama dalam bidang seni tanah air.

Bagi mereka, perjuangan yang dilakukan dengan penuh ikhlas sambil mendapat restu orang tua adalah yang terbaik bagi membangunkan seni untuk masyarakat. Namun kejayaan yang mereka kecapi bukanlah datang dalam sekelip mata, tetapi menuntut banyak pengorbanan.

Apa yang jelas, selepas 12 tahun berjuang dalam industri, baru sekarang Nur Shahila Amir Amzah merasai nikmat kejayaan yang diimpikan selama ini manakala Wawa Zainal pula terpaksa berpisah jauh daripada keluarganya di Sabah, demi mengejar impiannya menjadi seorang pelakon.

Ketika ditemui dalam sesi foto di Balai Berita, NSTP, baru-baru ini, Shila akui terpaksa mengorbankan zaman kanak-kanak dan remaja demi cita-citanya untuk menjadi penyanyi yang berwawasan.

"Saya tidak sempat melalui zaman kanak-kanak seperti kawan-kawan sebaya lain. Begitu juga dengan zaman remaja saya kerana saya anak orang seni. Jiwa seni saya sangat menebal dan sejak kecil saya suka menyanyi dan bermain muzik.

"Namun apabila melihatkan apa yang saya kecapi sekarang, saya tidak menyesal kerana saya mendapat kejayaan pada usia yang masih muda berkat usaha dan tunjuk ajar orang tua saya yang tidak pernah jemu-jemu membantu. Kami pernah susah dan sekarang kami gembira dengan rezeki yang Tuhan limpahkan.

"Keluarga saya sangat tegas. Sejak kecil lagi Abah dan Mama mendidik kami adik-beradik dengan penuh disiplin. Sampai sekarang pun Mama masih menemani saya termasuklah kalau saya berjumpa dengan teman lelaki saya. Mama tidak pernah biarkan saya bersendirian dan keadaan itu membuatkan saya rasa lebih selamat.

"Apabila patuh dengan cakap ibu bapa kita, insya-Allah kita akan selamat di dunia dan akhirat. Saya tidak pernah rasa diri saya dikongkong malah saya lebih selesa kalau orang yang menguruskan saya adalah ibu saya sendiri.

"Jadi apa saja fitnah atau tohmahan yang datang tidak membuatkan saya jadi tertekan kerana Mama selalu ada dengan saya. Jadi saya tidak perlu menjelaskan apa-apa kepada keluarga kerana mereka lebih tahu siapa saya dan apa yang saya buat.

"Alhamdulillah juga, berkat restu abah dan mama, saya mula berjaya. Perjuangan saya selama 12 tahun mula menampakkan hasil positif," katanya.

Shila juga tidak menafikan kejayaan lebih banyak dikecapinya selepas dia mengenakan tudung pada Ramadan lalu.

"Berkat penghijrahan saya, Allah SWT kurniakan saya lebih rezeki dan nikmat. Saya yakin semua ini ada hikmahnya dan saya saya gembira dengan kehidupan saya sekarang.

Namun pada masa yang sama saya mestilah berhati-hati dalam perjuangan saya.
"Faham sajalah, apabila kita sudah berjaya, ada pula pihak yang cuba menjatuhkan kita. Bagaimanapun, saya pasrah dan bertawakal kepada Tuhan dan bekerja macam biasa," kata Shila yang menolak gaya hidup bebas dan liar.
Shila yang sedang melebarkan sayapnya ke China selepas memenangi Asian Wave 2012 di Shanghai, baru-baru ini, berkata dia tahu kejayaan tidak akan datang bergolek.

"Pada sambutan Maal Hijrah kali ini, saya berdoa agar kita semua rakyat Malaysia khususnya umat Islam diberikan petunjuk dan hidayah serta diselamatkan daripada sebarang bencana. Saya juga sangat berbangga menjadi rakyat Malaysia kerana kita dapat hidup dalam suasana aman dan damai. Saya sebenarnya sangat terharu kerana golongan bukan Melayu juga mula memberikan banyak sokongan kepada saya untuk berjaya sebagai artis," kata penyanyi Beribu Sesalan, Patah Seribu dan Memori Tercipta ini.

Bagi pelakon cantik ayu, Wawa Zainal atau Nur Hawa Zainal Abidin, penghijrahannya dari Lahad Datu adalah dengan satu tujuan iaitu menjadi anak seni yang berjaya dan paling penting membantu keluarganya.

Wawa yang juga pelakon filem Pe3 sedar dia perlu memberanikan diri untuk mencari rezeki di tempat orang dan melakukannya dengan ikhlas dan sabar. Selama dua tahun menjadi pelakon, namanya semakin dikenali ramai hingga ke segenap ceruk kampung. Bukan saja berlakon, namanya itu menjadi pelaris iklan dan duta produk.

"Saya semakin selesa menetap di Kuala Lumpur sejak berhijrah ke sini kira-kira dua tahun lalu. Alhamdulillah, berkat doa orang tua juga, usaha saya semakin berhasil.

"Bukan senang menjadi pelakon dan saya sendiri masih banyak belajar daripada mereka yang berpengalaman. Rezeki kini datang bertali arus dan terbaru saya dilantik jadi duta produk kecantikan dan penjagaan diri, Shahirah, selama dua tahun. Dulu duta produk itu adalah Farah AF dan sekarang mereka memberi peluang kepada saya pula.

"Di Kuala Lumpur saya berada di bawah pengawasan syarikat pengurusan, MIG. Bos saya, David Teo selalu menasihati saya dalam segenap segi dan saya hormat dengan tunjuk ajar serta kepercayaan yang diberikan kepada saya. Pegawai Perhubungan Awam (PRO) di MIG juga baik-baik dan kami macam sebuah keluarga yang besar.

"Keluarga di kampung selalu menghubungi saya dan kalau ada kelapangan ibu bapa sendiri saya akan datang ke Kuala Lumpur. Bagi saya walau duduk berjauhan daripada keluarga kandung, ia bukan lesen untuk kita membuat apa saja dengan sesuka hati. Kalau jadi apa-apa yang tidak elok nanti, nama keluarga saya juga akan terjejas. Memang saya sendiri tidak suka dengan cara hidup liar.

"Apabila ada kelapangan yakni tidak terbabit dengan penggambaran dan sesi foto, saya lebih suka duduk di rumah menonton pelbagai DVD dalam dan luar negara, sambil itu saya boleh belajar serba sedikit teknik lakonan. Sebagai artis, saya tak boleh berpeleseran di luar sana kerana ia boleh mengundang fitnah," jelasnya.

Wawa berkata, dia sebenarnya baru kembali dari Agra, India selepas menjalani penggambaran tiga drama menarik di sana, Cinta Kasih, Serindu Taj Mahal dan Nur Qaisha. Wawa berharap peminat akan menonton ketiga-tiga drama itu apabila ia ditayangkan di kaca TV kelak.

"Pada kesempatan ini, saya dan Shila ingin mengucapkan Salam Maal Hijrah kepada semua umat Islam dan pembaca Harian Metro," ujarnya sambil tersenyum.

Sharnaaz Sudah Terima Surat Saman, Yakin Tidak Bersalah

Posted: 14 Nov 2012 05:02 PM PST

PETALING JAYA: Pelakon Sharnaaz Ahmad (gambar) telah menerima notis saman daripada penerbit filem Darah Panas iaitu S. Baldev ekoran insiden dia dikatakan meninggalkan lokasi ketika penggambaran filem tersebut baru-baru ini.
Sharnaaz, 27, berkata, dia menerima surat itu pada Isnin lalu yang antara lain melarangnya berhubung dengan semua tenaga produksi filem berkenaan.
"Saya sudah menerima notis saman tersebut dan setakat ini tiada sebarang perkembangan lagi kerana saya ingin berbincang terlebih dahulu dengan pihak peguam yang bakal saya lantik untuk membalas notis tersebut," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Khamis.
Dalam satu kejadian Sharnaaz turut didakwa telah menolak dan mencekik leher penolong pengarah filem itu, Mohd Hafiz Mat Ishak kerana dikatakan marah apabila terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan pakaian bagi kegunaan penggambaran sehingga proses penggambaran bermula lewat.
Dalam pada itu, Sharnaaz enggan mendedahkan isi kandungan notis tersebut secara menyeluruh namun mengakui akan melakukan sesuatu bagi membersihkan namanya yang sudah tercalar.
Sharnaaz menunjukkan mutu lakonan yang luar biasa bersama Nabila Huda dalam drama Rebah Taubat yang akan disiarkan pada malam ini, pukul 10 malam di TV3.
Sharnaaz bagaimanapun tidak menafikan ada melakukan kesalahan namun menepis beberapa fitnah yang dilemparkan oleh pihak penerbit termasuk insiden dia menolak dan mencekik leher Mohd Hafiz pada hari kejadian.
"Saya akui ada berselisih faham dengan Hafiz dan saya sudah minta maaf kepadanya 10 minit selepas kejadian dan hubungan kami kembali mesra selepas itu.
"Malah kami sering berhubung dan menghantar mesej SMS (khidmat pesanan ringkas) dan semua bukti itu saya masih simpan. Malangnya dia (Baldev) melarang saya berhubung dengan krew produksinya melalui notis peguam itu," jelasnya.
Tambah Sharnaaz, dia sebolehnya enggan membawa kes itu ke mahkamah dan sanggup untuk mengemukakan permohonan maaf secara terbuka bagi menyelesaikan masalah tersebut.
Namun dia yakin pihak produksi filem itu tidak akan membuat apa-apa untuk membersihkan namanya yang sudah tercalar.
"Saya tiada masalah untuk meminta maaf tetapi apa mereka boleh lakukan untuk membersihkan pula nama saya? Saya tidak mahu melawan tetapi ingin menegakkan kebenaran," jelasnya.
Shuhaimi Lua (tengah) bersama pelakon Lan Zailan dan Aripah Damanhuri (kanan).
Sharnaaz beri komitmen dalam Rebah Taubat
Sementara itu, pengarah drama Rebah Taubat, Shuhaimi Lua berkata, sepanjang bekerjasama dengan kekasih kepada Shila Amzah itu, Sharnaaz seorang yang berdisiplin dan berjaya mematuhi jadual yang diberikan kepadanya.
Shuhaimi berkata, walaupun pada mulanya dia agak bimbang pelakon itu akan menimbulkan masalah seperti yang digembar-gemburkan namun dakwaan itu ternyata salah selepas dia bekerja sendiri dengan Sharnaaz.
"Sepanjang bekerjasama tidak pula dia menimbulkan sebarang masalah malah sangat mudah dibawa berbincang. Malah saya tidak teragak-agak untuk mengambil dia berlakon lagi selepas ini," jelasnya.
Tambah Shuhami, berdasarkan kepada pengalamannya sebagai seorang pengarah dan pengurus produksi sebelum ini, para artis tidak akan menimbulkan sebarang masalah sekiranya mereka diberikan jadual dan skrip lebih awal
Katanya, penggambaran juga haruslah berjalan dengan tepat agar masalah berkaitan pertembungan jadual kerja pelakon dan krew tidak berlaku.
Sharnaaz (kiri) bersama pelakon baru Faiz Fadzil dalam Rebah Taubat
"Berdasarkan kepada pengalaman saya mengarah Rebah Taubat, saya dapat menilai sikap Sharnaaz yang sebenarnya. Saya berpuas hati dengan mutu lakonan yang dia berikan terhadap drama arahan saya ini. Sungguh hebat dan luar biasa," katanya.
Rebah Taubat mengisahkan sepasang suami isteri, Halim lakonan Sharnaaz dan Wati (Nabila HUda) hidup bahagia walaupun mereka bukan di kalangan orang berada.
Perkahwinan atas dasar suka sama suka itu membolehkan mereka dikurniakan seorang anak yang diberi nama Aina (Adik Putri Syasya).
Namun pada satu hari, Wati terserampak dengan kawan lama yang mengajarnya untuk mencari kemewahan sehingga menyebabkan dia bergelumang dengan noda dan meninggalkan keluarga.
Telefilem ini akan disiarkan di TV3 sempena sambutan Maal Hijrah bermula pukul 10 malam pada Khamis (malam ini).
Selain Sharnaaz dan Nabila Huda, drama ini turut dijayakan oleh Putri Syasya, Engku Faridah, Nas Adila, Aripah Damanhuri, Lan Zailan dan Faiz Fadzil.

Pam bayi dalam tandas

Posted: 14 Nov 2012 05:01 PM PST

RAKAM...wanita  dipercayai mengepam bayi dalam mangkuk tandas.
RAKAM...wanita dipercayai mengepam bayi dalam mangkuk tandas.
SIASAT...anggota forensik melakukan siasatan.
SIASAT...anggota forensik melakukan siasatan.
GEORGETOWN: Seorang wanita bertindak di luar batasan apabila dipercayai mengepam bayi yang baru dilahirkannya ke dalam tandas di sebuah hotel di Jalan Macalister, di sini, kelmarin.
Bagaimanapun, wanita terbabit tidak menyedari imejnya ketika berlegar-legar di kawasan hotel itu sebelum masuk ke tandas berkenaan dirakam kamera litar tertutup (CCTV).
Melalui rakaman CCTV itu, wanita berusia 20-an terbabit dilihat menuju ke tandas hotel kira-kira jam 7 malam, tetapi kejadian berkenaan hanya disedari beberapa jam selepas itu ketika seorang pekerja pencuci membersihkan tandas.

Menurut sumber, pekerja itu yang takut selepas melihat titisan darah pada mangkuk tandas dan lantai terus memaklumkan kejadian itu kepada pengurusan hotel.

"Pihak pengurusan hotel terbabit kemudian melaporkan kejadian itu kepada polis dan susulan daripada itu, sepasukan anggota penyiasat dan juga unit forensik bergegas ke lokasi kejadian.

Dua korban treler 'terbang'

Posted: 14 Nov 2012 05:01 PM PST

pix_middle
pix_topright
BENTONG: Dua maut manakala dua lagi parah dalam kemalangan membabitkan treler dan sebuah Perodua Myvi di Kilometer 42.8 Lebuh Raya Karak menghala ke Kuala Lumpur berhampiran susur keluar Janda Baik, dekat sini, kira-kira 9.25 malam tadi.
Kemalangan berlaku apabila treler yang membawa muatan besi buruk dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kuantan itu terbabas, bergesel dengan pembahagi jalan sebelum terbang serta terhumban ke laluan bertentangan.

Menurut jurucakap Peronda Lebuh Raya Karak, pemandu treler dikenali Mohd Yusof Mansor, 38, dan kelindannya yang belum dikenal pasti identiti maut di tempat kejadian selepas tercampak ke dalam longkang berhampiran.
"Pemandu treler berkenaan maut akibat parah di kepala dan badan manakala kelindannya putus tangan kanan dan hancur di bahagian muka.

"Dua lagi mangsa yang menaiki Perodua Myvi pula parah dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut. Sehingga ini, identiti kedua-dua mangsa belum dikenal pasti," katanya.

Menurutnya, siasatan awal tidak menolak kemungkinan treler berkenaan dipandu laju menyebabkan ia hilang kawalan sebaik menuruni selekoh berkenaan.
Difahamkan, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bentong terpaksa mengambil kira-kira setengah jam untuk sampai ke lokasi kejadian berikutan kesesakan lalu-lintas.

Kemalangan itu juga menyebabkan laluan dari arah Kuantan ke Kuala Lumpur terpaksa ditutup kira-kira dua jam untuk kerja-kerja pembersihan sebelum dibuka semula kira-kira 11.30 malam.

Bakal Suami Anne Ngasri Anggap Kahwin Dapat Baiki Kesilapan Lalu

Posted: 14 Nov 2012 04:59 PM PST

Anne Ngasri selamat bertunang dengan Mohd Sumali Reduan pada 11 November lalu. 
PETALING JAYA: Bakal suami kepada pelakon Anne Ngasri iaitu Mohd Sumali Reduan menganggap perkahwinan kedua mereka yang bakal berlangsung pada Disember depan adalah satu titik kebahagiaan selepas kedua-duanya pernah mengalami kegagalan rumah tangga.
Sumali, 40, yang juga Setiausaha Kerja, Pergerakan Pemuda Umno berkata, menerusi perkahwinan itu nanti mereka dapat memperbaiki kesilapan yang pernah dilakukan pada perkahwinan pertama masing-masing supaya dapat membentuk sebuah keluarga yang harmoni dan bahagia.
"Kami berdua sangat serius dengan hubungan ini kerana ingin mencari kebahagiaan dan berharap dengan pengalaman lalu dapat mengajar kami untuk membentuk sebuah keluarga bahagia.
"Kami saling melengkapi dan pertemuan setahun lalu telah ditentukan dan saya yakin dia adalah pilihan terbaik," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Rabu.
Anne atau nama sebenarnya Nasriah Ngasri, 28, dan Sumali telah bertunang di kediaman keluarga Anne di Jalan Ipoh, dekat sini pada 11 November lalu.
Majlis tersebut dihadiri seramai 200 orang tetamu yang terdiri daripada keluarga kedua-dua belah pihak.
Pasangan itu menetapkan tarikh 22 Disember depan dan bersepakat untuk bernikah di rumah keluarga lelaki di Pontian, Johor.
Sumali yang telah bercerai pada tahun 2010 mempunyai seorang anak lelaki, Suffian Hakim yang berusia tujuh tahun.
Sumali memberitahu keserasian dan sikap tanggungjawab Anne telah membuatkan dia terpaut hati dengan wanita itu.
Dalam pada itu, ditanya mengenai keistimewaan Anne, Sumali berkata, persamaan dan keserasian mereka berdua telah membuatkan beliau berasa selesa dan yakin bakal isterinya itu dapat membahagiakannya.
Sumali memberitahu, ketabahan dan tanggungjawab wanita itu dalam membesarkan tiga anaknya iaitu Abdul Warits, 4, Abdul Wafri, 3 dan Nazharah Afrozah, 2, turut membuatkan dia yakin Anne adalah pilihan tepat sebagai calon isteri.
"Saya yakin Anne boleh menyayangi anak tunggal saya seperti mana dia menyayangi tiga anaknya dan saya sangat terharu melihat kesungguhan dan sikap tanggungjawabnya dalam membesarkan anak-anaknya," katanya.
Malah kata Sumali, dia sudah bersedia untuk bergelar suami kepada seorang pelakon terkenal dan menganggap permainan dunia hiburan itu dapat dilaluinya dengan baik selepas ini.
"Bukan orang politik dan artis sahaja akan ditimpa masalah malah orang biasa pun akan melaluinya. Bagi saya itu bukan persoalan besar kerana pernah melalui pelbagai rintangan dalam hidup dan apa yang penting masyarakat mendoakan yang baik-baik untuk Anne dan saya," ujarnya.
Sementara itu, Anne ketika dihubungi berkata, perkahwinan kali kedua ini bukan kerana terdesak namun percaya dengan ketentuan yang telah ditetapkan oleh Tuhan.
Malah kata Anne, dia tidak menyangka akan bertemu jodoh dengan Sumali dan mengharapkan semua pihak mendoakan kebahagiaan mereka berdua.
"Kalau saya terdesak sejak bercerai kali pertama dulu saya boleh kahwin tetapi ini soal jodoh dan saya menerima dengan hati terbuka.
"Saya mohon semua pihak akan mendoakan yang terbaik buat kami selepas ini," jelasnya.
Anne memberitahu, dia kini sedang sibuk dengan persiapan perkahwinannya yang akan dibuat secara sederhana tetapi meriah.
Anne disahkan bercerai dengan Abdul Wafi Hassan oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur dekat sini pada 25 Jun 2010. Mereka berkahwin pada 26 Mei 2006.

Pertandingan Zapin Percuma Pada 29 Disember Depan

Posted: 14 Nov 2012 04:57 PM PST


PETALING JAYA: Persatuan Belia Kota Gagasan akan menganjurkan sebuah pertandingan zapin secara pertarungan iaitu Akar Kita... Zapin 2012 bagi merebut Piala Pusingan "Gagasan Anak Merdeka" pada 29 Disember depan.
Ia dikendalikan oleh Akademi Tatihseni Malaysia, Noraniza Idris Production Ventures Sdn Bhd dan Sekretariat Masyhur 1Malaysia.
Menurut wakil Persatuan Belia Kota Gagasan, Yus Sulaiman, pertandingan itu akan berlangsung di Panggung Bandaraya dekat sini bermula pukul 8 pagi.
"Malam kemuncaknya akan diadakan pada pukul 8.30 malam (hari sama) dan akan dilancarkan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.
"Bagi yang ingin menyertainya, sebanyak 16 kumpulan terpilih akan mengambil bahagian di mana setiap kumpulan dibenarkan membawa seramai 10 peserta termasuklah seorang jurulatih," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Rabu.
Tambah beliau, antara syarat lain, peserta yang berusia 18 hingga 40 tahun daripada pelbagai kaum sahaja dibenarkan menyertai pertandingan tersebut selain berwarganegara Malaysia
Peserta juga perlu memiliki pelbagai asas tarian tradisional zapin dan setiap kumpulan mesti membawa dua buah lagu zapin pilihan sendiri untuk slot persembahan selama tiga minit.
Sementara itu, hadiah akan dibahagikan kepada lapan kategori iaitu Juara, Naib juara, Tempat Ketiga, Anugerah Khas Juri, Koreografer Terbaik, Individu Wanita Terbaik, individu Lelaki Terbaik dan Pakaian Terbaik.
Pemenang masing-masing akan membawa pulang piala iringan, wang tunai berserta sijil penghargaan.
Lebih menarik, kumpulan yang mendapat Juara dan Naib Juara layak mengikuti Jelajah Masyhur 1Malaysia 2013 anjuran Persatuan Belia Kota Gagasan.
Tarikh tutup penyertaan adalah pada 10 Disember depan dan pendaftaran adalah percuma.

‘Belilah bang...’

Posted: 14 Nov 2012 04:56 PM PST

JUAL MURAH...seorang lelaki tempatan menawarkan telefon kepada pelancong.
JUAL MURAH...seorang lelaki tempatan menawarkan telefon kepada pelancong.
PUJUK...anggota kumpulan terbabit (kanan) meyakinkan pengunjung Taman KLCC untuk membeli gajet.
PUJUK...anggota kumpulan terbabit (kanan) meyakinkan pengunjung Taman KLCC untuk membeli gajet.
KUALA LUMPUR: 'Abang, belilah (sambil menunjukkan iPhone 4s). Saya bagi abang harga RM800, siap kotak dan pengecas telefon sekali.'
Demikian tawaran seorang lelaki tempatan kepada wartawan Harian Metro ketika membuat tinjauan penjualan gajet secara haram di Taman KLCC, di sini, semalam.

Hasil perbualan bersama lelaki terbabit, gajet yang dijualnya tulen, tetapi tiada jaminan ganti rugi atau pertukaran sekiranya rosak seperti dijual di kedai telefon bimbit.
"Biasanya saya jual kepada pelancong asing sehingga RM1,800 sebuah telefon bimbit jenis ini dan mereka membelinya disebabkan harga murah.

"Kalau orang kita (tempatan) saya jual RM800. Tetapi, hari ini, saya boleh kurangkan harga, jika abang mahu," katanya.

Tinjauan di sini, semalam, mendapati lelaki terbabit bergerak secara berkumpulan dan berlagak seperti pengunjung di taman berkenaan.
Mereka akan mengenal pasti pengunjung sebelum menghampiri dan menawarkan gajet berkenaan yang disimpan dalam sebuah beg kecil.

Pelancong dari Iran yang mahu dikenali sebagai Ahmed, 39, mengakui didatangi dua lelaki tempatan dan menawarkan iPhone 4s dengan harga RM1,500.
"Ketika itu, saya duduk berehat di kawasan taman ini. Tiba-tiba dua lelaki menghampiri saya sebelum seorang daripadanya mengeluarkan telefon terbabit dan mahu menjualnya.

"Malah, mereka juga meyakinkan saya telefon itu tulen dengan menunjukkan perisian didalamnya. Bagaimanapun, saya menolak untuk membelinya kerana saya sudah memiliki telefon itu," katanya.

Selain Ahmed, warga tempatan Liza Osman, 35, turut mengakui didatangi kumpulan lelaki terbabit sebelum menawarkan telefon bimbit yang murah.

"Ketika itu, saya membawa rakan dari Indonesia untuk datang bersiar-siar di sini. Kemudian beberapa lelaki menghampiri kami dan menawarkan iPhone 4s dengan harga RM500.

"Harganya terlalu murah menyebabkan kami bimbang sekiranya ia tiruan ataupun dicuri," katanya.

Menurut Liza, kehadiran kumpulan lelaki terbabit yang menjual gajet secara haram di situ boleh mencemarkan Taman KLCC sebagai antara pusat pelancongan utama Malaysia.

Pendapat itu dipersetujui Zuraidi Razak, 28. Beliau yang berasal dari Marang, Terengganu dan bercuti di sini menyifatkan orang ramai boleh ditipu memandangkan urusan dilakukan tanpa resit dan jaminan kerosakan barang.

"Jika ia terus berleluasa dan ramai pelancong yang tertipu, sudah tentu ia menyebabkan tempat ini tercemar. Sudah tentu mereka berasa tidak selamat untuk berkunjung ke sini kerana bimbang dikenakan dengan sindiket penjualan gajet seperti ini.

"Saya berharap pihak berkuasa memantau kawasan ini bagi memastikan kegiatan ini tidak berleluasa kerana sedikit sebanyak ia boleh menjejaskan imej KLCC," katanya.

Tekankan teknik pembayang

Posted: 14 Nov 2012 04:53 PM PST

pix_middle
PEMAKAIAN mekap yang sempurna dipengaruhi pelbagai faktor. Bagi mereka yang memiliki raut wajah cantik, mudah saja menonjolkan kelebihan mekap digayakan.
Namun, bagi mereka yang berasakan diri kurang 'sempurna', penggunaan mekap mungkin juga dianggap sesuatu yang membazir.
Apapun, sesiapa saja boleh mengenakan mekap jika menggunakan teknik pemakaian mekap yang betul kerana ia boleh menyembunyikan segala kekurangan.

Justeru, antara teknik yang paling ditekankan ketika bermekap ialah pembayang (shading) kerana sekiranya ia disapukan dengan betul, bentuk wajah bulat kelihatan lebih tirus disebabkan ilusi penggunaan teknik terbabit.

Teknik pembayang ini juga digunakan untuk menonjolkan ilusi hidung lebih mancung. Secara umumnya, teknik ini biasanya digunakan untuk memperbaiki kekurangan bahagian sedia ada pada wajah.

Cara melakukan teknik ini cukup mudah, tetapi harus diingat, jika dilakukan dengan cara yang salah, ia mungkin memberi kesan kurang menyenangkan pada gaya mekap.

Perkara asas yang perlu dipertimbangkan ialah warna pembayang iaitu warnanya lebih gelap daripada warna kulit. Untuk membuatkan muka kelihatan tirus, ia perlu disapu di bahagian bawah tulang pipi.

Untuk menonjolkan bahagian hidung pula, pembayang perlu disapu pada tepi tulang pipi kiri menggunakan gerakan dari atas ke bawah di kiri dan kanan sebelum diratakan.

Tip asas teknik solekan:

  • Perlu memiliki beberapa bahan asas solekan seperti bedak asas, pembayang mata, maskara/ pensel liner/ penggaris cecair, pemerah pipi serta gincu.
  • Apabila ingin mengenakan mekap pastikan wajah bersih bebas daripada peluh dan minyak bagi mengekalkan mekap untuk tempoh lama.
  • Pilih bedak asas bersesuaian dengan kulit antaranya bedak dwi guna, bedak padat, bedak cair serta bedak jenis krim.
  • Elakkan sapuan dengan gerakan ke bawah. Sebaiknya gunakan gerakan sapuan menghala ke atas atau ke luar bagi memberikan kesan penggayaan mekap kelihatan lebih muda.
  • Elakkan gaya mata smokey bagi mereka yang memiliki bentuk mata besar kerana ia membuatkan wajah kelihatan lebih garang.
  • Telan 220 butir berlian

    Posted: 14 Nov 2012 04:52 PM PST

    BERLIAN yang cuba diseludup dikeluarkan selepas lelaki itu diberi makan julap.
    BERLIAN yang cuba diseludup dikeluarkan selepas lelaki itu diberi makan julap.
    JOHANNESBURG: Seorang penyeludup menelan 220 butir berlian bernilai RM7 juta sebelum cuba menaiki sebuah pesawat, semalam.
    Penyeludup warga Lubnan yang namanya tidak didedahkan dan berusia 25 tahun, ditahan ketika menaiki sebuah pesawat yang hendak berlepas dari Johannesburg ke Dubai.

    Pegawai di Lapangan Terbang Antarabangsa OR Tambo memberinya makan julap untuk memaksa berlian berkenaan keluar dari sistem penghadamannya.
    Polis mengesahkan menahan suspek di pintu masuk selepas menerima maklumat.

    "Lelaki itu sudah bersiap sedia untuk menaiki kapal terbang dengan berlian di dalam perutnya.

    "Pegawai kami menerima maklumat mengenai kegiatannya dan menahannya di lapangan terbang. "Dia kemudian dibawa untuk pemeriksaan dan kami menemui 220 berlian di dalam perutnya yang bernilai 20 juta rand (RM7 juta)," kata jurucakap polis, Paul Ramaloko.
    Beliau bagaimanapun berkata, setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada lelaki berkenaan menelan berlian itu sebelum tiba di lapangan terbang atau menelannya kerana cemas selepas nampak polis di pintu masuk ke pesawat.

    "Tidak wajar bagi kami untuk meramalkan mengenai apa yang sebenarnya berlaku," katanya.
    Lelaki itu diperiksa secara menyeluruh sebelum berlian itu ditemui.

    "Kami tidak pasti sama ada dia menelannya sebelum tiba di lapangan terbang atau ,ketika ditahan," kata Ramaloko.

    Suspek ditahan oleh pasukan unit elit polis Afrika Selatan, 'Hawks,' dan dijadual dihadapkan ke mahkamah esok.

    Menurut Ramaloko, penahanan semalam adalah yang kedua selepas seorang lagi lelaki Lubnan berusia 27 tahun ditangkap di lapangan terbang sama Mac lalu.

    Memupuk sifat tawaduk

    Posted: 14 Nov 2012 04:51 PM PST

    SESEORANG individu yang beriman pastinya akan memahami tentang tugasnya sebagai khalifah Allah di atas muka bumi. Setiap rezeki yang dikurniakan Allah SWT kepadanya, akan dianggap sebagai amanah yang perlu digunakan untuk kepentingan menjaga agama dan mentadbir dunia dengan agama.
    Anugerah Allah SWT tersebut hanyalah sementara dan tidak akan kekal selama-lamanya. Harta yang banyak, pangkat yang tinggi dan rupa paras yang cantik hanyalah diberikan Allah SWT sebagai ujian kepada manusia.
    Semua kenikmatan ini tidak akan dapat menjadi bekal untuk 'membeli' syurga Allah melainkan sekiranya ia digunakan dengan mengikut landasan yang betul berdasarkan pertimbangan agama.
    Orang yang beriman akan menyedari bahawa harta yang ada padanya adalah jauh lebih sedikit berbanding dengan harta yang dimiliki oleh Allah yang menguasai alam semesta ini.
    Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang. (al-Isra': 37)
    Oleh itu, manusia yang beriman pastinya tidak akan merasa sombong dan bongkak di atas segala kurniaan Allah tersebut. Dia tidak akan membangga diri, mendabik dada dengan menyatakan bahawa dia mempunyai kelebihan berbanding orang lain. Dia tidak akan memandang rendah terhadap orang miskin dan tidak memandang sepi terhadap orang yang lemah.
    Bahkan, manusia yang beriman akan sentiasa bersyukur dan memohon ampun kerana bimbang pangkat dan harta yang diperoleh olehnya itu akan menjadi fitnah kepadanya dan akan menyusahkannya di akhirat kelak.
    Masyarakat jahiliah sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW adalah antara golongan yang terlalu ego dan sombong. Mereka sanggup menolak ajaran Rasulullah SAW walaupun mengetahui kebenaran yang dibawa oleh Baginda SAW.
    Sifat sombong dan ego ini diperangi oleh Nabi SAW sepanjang hayatnya. Namun, setelah kewafatan Baginda Rasulullah SAW dan masa telah berlalu, manusia akhirnya kembali balik kepada perangai jahiliah tersebut.
    Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: Allah Azzawajalla berfirman, Kemuliaan adalah sarungku dan kesombongan itu adalah selendangku, sesiapa yang mencabut daripadaku salah satu daripada keduanya nescaya Aku akan menyeksanya. (riwayat Muslim).
    Segala kepujian dan sifat kebesaran hanya menjadi milik Allah SWT. Oleh itu, Allah memberi peringatan bahawa tiada sesiapapun daripada kalangan makhluk-Nya yang layak memakai mana-mana sifat itu melainkan Dia.
    Setiap Muslim hendaklah sentiasa tawaduk (merendah diri), dan bersikap sederhana. Tawaduk bukannya bermaksud berjalan dalam keadaan terbongkok-bongkok seolah-olah orang sakit seperti yang banyak dilakukan oleh orang yang mengaku soleh dan bertakwa.
    Ini adalah kerana Nabi SAW tidak mendidik kita berbuat sedemikian. Bahkan diriwayatkan oleh Ali bahawa Nabi SAW berjalan seolah-olah seperti meniti jalan menurun. Ini adalah cara berjalan orang yang penuh dengan semangat dan keberanian.
    Sombong pula maksudnya menolak kebenaran dan menganggap remeh segala yang lain. Orang yang sombong akan berasa dirinya lebih baik, pintar, kaya dan hebat seperti Firaun, Qarun dan Abu Jahal yang bersikap angkuh, tidak mahu menerima kebenaran.
    Orang yang sombong sebenarnya adalah mereka yang terpedaya dengan nikmat sementara yang dikurniakan Allah SWT sehingga lupa kepada nikmat hakiki di akhirat kelak.
    Dalam surah Luqman, ayat 18 Allah melarang kita bersikap sombong sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Dan janganlah engkau memalingkan muka daripada manusia (kerana sombong) dan janganlah engkau berjalan di muka bumi ini dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong lagi membanggakan diri.

    Sekolah integrasi pertama Kemboja

    Posted: 14 Nov 2012 04:50 PM PST

    Masjid lama terpaksa digunakan untuk menjadi kelas bagi murid lelaki disebabkan permohonan pelajar yang semakin meningkat setiap tahun.
    JIKA di Malaysia, sekolah berstatus integrasi bukan suatu yang baru untuk diperkenalkan. Malah rata-rata pelajar semestinya mempunyai keinginan untuk bersekolah di sekolah tersebut.
    Namun, berbeza dengan sistem pendidikan yang diamalkan di negara Kemboja. Walaupun pusat pengajian dan sekolah semakin giat dibina seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan, tetapi semuanya hanya memfokuskan kepada satu aliran sahaja dalam setiap sekolah tersebut.
    Dalam erti kata lain, pendidikan aliran akademik dan agama perlu diasingkan. Mengikut peruntukan pendidikan di negara itu, percampuran itu dikhuatiri boleh mengakibatkan kekeliruan dalam fikiran pelajar terhadap pelajaran yang didedahkan.
    Mengambil risiko demi kelangsungan intelek pelajar masyarakat Kemboja, Koperasi Muslim Kemboja (CMC) yang dinaungi EQurban Resources Sdn. Bhd. menubuhkan Sekolah Integrasi Nurul Iman.
    Sekolah yang terletak di Kompong Chroymentry Wilayah Kandal itu merupakan sekolah berstatus integrasi yang pertama ditubuhkan di negara itu.
    Pengetua Sekolah, Yusof Abdullah berkata, mencetuskan suatu pembaharuan dalam sektor pendidikan di negara itu, pihaknya berusaha untuk mempertahankan dan mengembangkan sekolah itu agar lebih membangun.
    Beliau berkata, percampuran aliran itu diwujudkan bertujuan untuk memaksimumkan kebolehan pelajar dalam menguasai ilmu dunia dan akhirat.
    "Bagi memaksimumkan kemahiran pelajar, Sekolah Nurul Iman menyediakan peluang kepada pelajar untuk mempelajari kedua-dua aliran iaitu akademik dan agama. Pelajar bukan sahaja dapat menguasai salah satu, malah kedua-dua sekali.
    "Ini adalah bertepatan dengan doa yang sering kita baca untuk mengecapi kebaikan di dunia dan akhirat. Untuk memperoleh kejayaan di dunia kita memerlukan ilmu duniawi, begitu juga untuk berjaya di akhirat memerlukan ilmu.
    "Oleh itu, di sekolah ini kita mendidik pelajar supaya menjadi insan cemerlang di dunia dan di akhirat," katanya ketika di temui baru-baru ini.
    Setelah tiga tahun terbina, antara kemudahan yang terdapat di sekolah tersebut ialah kelas, pejabat guru, makmal komputer, masjid dan perpustakaan.
    Sekolah Integrasi Nurul Iman kini menempatkan seramai 257 murid peringkat menengah dan 150 murid peringkat rendah.
    Yusof berkata, bagi membahagikan aliran persekolahan, sekolah ini akan beroperasi pada dua sesi iaitu pagi dan petang.
    "Aliran agama akan diadakan pada kelas sesi pagi, manakala akademik pula pada sebelah petang. Ia bertujuan mengelakkan kekeliruan dan percampuran sukatan pelajaran yang diajar dalam kalangan murid.
    "Antara subjek diajar dalam pengajian agama termasuk Tauhid, Hadis, Feqah, al-Quran, Bahasa Arab, Tafsir, Nahu dan Sirah Nabi, manakala mata pelajaran bagi akademik pula seperti Bahasa Kemboja, Kimia, Riadah, Fizik, Biologi dan sastera," katanya.
    Sekolah tumpuan
    Walaupun penubuhan Sekolah Integrasi Nurul Iman mendapat tentangan pada awalnya daripada sesetengah pihak, kejayaan yang dibuktikan daripada para pelajar dan kesungguhan pengasas sekolah membuatkan ia semakin menjadi pilihan masyarakat.
    Pegawai Ketua Operasi EQurban Resources Sdn. Bhd., Masrukhin Marzoki berkata, pihaknya kini terpaksa membuat tapisan kepada pelajar yang didapati layak bersekolah di sekolah tersebut.
    "Untuk mencetuskan sesuatu yang baru bukannya suatu yang mudah. Dan pastinya ia akan mendapat tentangan daripada banyak pihak. Namun, konsisten terhadap objektif asal penubuhan sekolah, kita meneruskan juga.
    "Hasilnya, setelah tiga tahun beroperasi, Sekolah Integrasi Nurul Iman mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk setempat. Bilangan murid semakin bertambah setiap tahun.
    "Sekolah ini bukan dibina untuk mengkhususkan pelajar pintar atau bermotifkan keuntungan, tetapi bertujuan untuk memberikan pelajaran kepada kanak-kanak yang kurang berkemampuan dan ditimpa nasib malang dalam kalangan penduduk Kemboja," katanya.
    Tambahnya, sekolah itu juga mempunyai talian dengan beberapa universiti tempatan yang membolehkan pelajar menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
    "Kita lebih menggalakkan pelajar sekolah supaya menyambungkan pelajaran ke universiti tempatan. Ini kerana bagi menggalakkan rakyat Kemboja dapat menyumbang kepada negara sendiri selepas tamat pengajian.
    "Hakikatnya apa yang berlaku adalah, segelintir pelajar yang melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi di luar negara tidak pulang untuk berbakti di tanah air kerana selesa berada di negara tersebut," jelasnya.
    Pihak sekolah kini sedang dalam usaha meluaskan sekolah tersebut berikutan permintaan pelajar dan keperluan pendidikan yang mendesak di kawasan itu.
    Mereka yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank Combodian Muslim Cooperatives bernombor, 000010100874801 atau mendapatkan maklumat lanjut dengan melayari www.cmc.org.kh.

    Nafkah isteri

    Posted: 14 Nov 2012 04:49 PM PST

    Nafkah itu wajib ke atas suami walaupun isterinya bekerja. - Gambar hiasan
    DUA minggu lalu saya menulis mengenai nafkah isteri dan kewajipan suami membiayai isteri dan anak-anak. Isu ini penting dibincangkan kerana hari ini kebanyakan wanita bekerja dan membantu meringankan beban kewangan rumah tangga. Dahulu, bapa atau suamilah ketua keluarga yang menjadi orang utama yang membawa rezeki ke rumah.
    Ketika itu. banyak juga ibu-ibu kita bekerja di sawah, menoreh getah, menjaga anak orang, menjual kuih, mencuci baju di rumah orang dan sebagainya.
    Mungkin kerana semua kerja itu dibuat dalam keadaan yang tidak formal dan tidak memerlukan sijil, maka ramai menganggap ia bukan suatu pekerjaan.
    Hari ini wanita berkelulusan tinggi dan menjawat jawatan tinggi serta bergaji besar. Kebanyakan anak perempuan juga menyara keluarga. Tanggungjawab yang dahulunya hanya diserahkan kepada anak lelaki. Malahan banyak juga suami yang memilih untuk menjadi 'suri rumah'.
    Dalam situasi yang telah banyak berubah ini, siapakah yang wajib menanggung dan kenapa?
    Seperti yang telah saya tulis dalam artikel lalu, tugas dan tanggungjawab menyara isteri jatuh ke bahu suami seperti yang telah disebut dalam al-Quran. (rujuk al-Talaq: 7, al-Baqarah: 233 dan al-Talaq: 6)
    Oleh kerana pada zaman dahulu wanita tidak bekerja (dalam bentuk kerja formal), maka isu nafkah isteri bekerja tidak timbul.
    Mazhab-mazhab lain selain Hanafi tidak menyebut secara jelas tentang hak nafkah seorang isteri yang bekerja. Hukum nafkah isteri yang bekerja boleh dirumuskan berdasarkan, sama ada isteri taat atau nusyuz kerana seorang isteri perlu meminta izin daripada suami terlebih dahulu dalam segala urusan.
    Ulama Maliki dalam sharh al-Sawi menyebut, antara syarat nafkah adalah isteri tidak nusyuz. Sekiranya isteri menahan diri dan suami tidak boleh berseronok dengan isteri, hak nafkah digugurkan.
    Ulama Shafi'i pula menyebut, nafkah wajib bagi isteri dengan akad perkahwinan yang sah dan kemungkinan untuk berseronok pada bila-bila masa.
    Disebut dalam al-Muhadhdhab, isteri merdeka yang menyerahkan diri untuk suaminya pada waktu malam sahaja tidak berhak ke atas nafkah, kerana penyerahan itu tidak sempurna. Ulama Hanbali menyebut dalam al-Mughni, sekiranya isteri keluar rumah tanpa izin suami, maka gugur haknya ke atas nafkah.
    Berdasarkan pendapat-pendapat fuqaha di atas, 'Abd Fatah Amru, seorang ulama kontemporari merumuskan, isteri yang bekerja tidak berhak ke atas nafkah sekiranya suami menghalangnya daripada bekerja.
    Ketika mereka berkahwin dan isteri adalah seorang yang bekerja, maka suami berhak menyuruhnya berhenti kerja. Jika si isteri tidak berhenti, maka dianggap nusyuz dan gugur nafkahnya.
    Bermakna juga, seseorang isteri yang bekerja pada waktu siang hari dan suami meredainya dan tidak menghalang isterinya bekerja, maka hak nafkah tidak gugur dan wajib ke atas suami untuk memberi nafkah kepada isterinya.
    Walau bagaimanapun, sekiranya suami tidak meredai pekerjaan tersebut dan menegah isteri daripada keluar bekerja dari awal perkahwinan mereka, maka suami tidak wajib menyara isterinya jika isteri tetap keluar bekerja.
    Sekiranya suami membenarkan isterinya bekerja pada permulaan perkahwinan, kemudian menyuruhnya berhenti kerja, maka isteri wajib berhenti kerja. Kalau isteri tidak berhenti, maka suami tidak wajib membayar nafkah kerana isteri nusyuz.
    Muhammad Mustafa Shalabi dalam bukunya Zakiy al-Din Sha'ban menambah, sekiranya isteri bekerja di rumah seperti menjahit, mengarang buku dan sebagainya yang tidak mengganggu menunaikan tanggungjawab perkahwinan, maka haknya terhadap nafkah tidak gugur.
    Pendapatan
    Jika dilihat daripada pandangan ini, jelas, tiada hujah yang bertepatan dengan zaman ini kerana situasi yang berbeza.
    Hari ini jarang sekali seorang wanita itu tidak bekerja sebelum dia berkahwin. Kebanyakan suami, sebelum dia mengahwini isterinya, mengetahui bahawa isterinya bekerja dan menyara keluarga.
    Bukan itu sahaja, banyak isteri mempunyai pendapatan lebih tinggi dan isterilah yang menjadi penyara dalam rumah tangga.
    Dalam keadaan seperti ini, apakah hukumnya? Di Mesir, sekiranya pada masa perkahwinan mereka, isteri adalah seorang yang bekerja dan suami tidak menghalangnya daripada bekerja, nafkah tidak gugur kerana beliau juga tetap melangsungkan perkahwinan walaupun tahu bahawa isteri adalah seorang yang bekerja dan suami tidak pula mensyaratkan isteri supaya berhenti kerja ketika berkahwin.
    Jika situasi di Mesir ini diguna pakai di Malaysia, maka wanita yang bekerjaya dan menjana pendapatan keluarga perlu jelas tentang kedudukannya apabila dia berkahwin.
    Oleh kerana hukum nafkah itu wajib ke atas suami dan bersyarat, maka isteri yang bekerja perlu jelas tentang kedudukan itu. Tambahan pula nafkah bergantung kepada kemampuan suami.
    Seorang lelaki yang berkahwin dengan wanita yang bekerja, perlu tahu bahawa dia tetap wajib memberi isterinya 'makan, minum, tempat tinggal dan kemudahan asas' yang biasa diberikan kepada seorang isteri mengikut kemampuannya.
    Mazhab Shafi'i dan satu pandangan dalam mazhab Hanafi mengatakan bahawa kadar nafkah adalah berdasarkan kepada keadaan suami. Sekiranya suami seorang yang miskin, maka nafkah adalah mengikut kemampuannya walaupun isteri adalah seorang yang kaya. Ini berdasarkan surah al-Talaq ayat tujuh.
    Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda: "Berbelanjalah makanan (para isteri) daripada apa yang kamu makan dan berilah pakaian mereka daripada jenis yang kamu pakai. Jangan kamu pukul mereka dan jangan kamu memburuk-burukkan mereka."
    Oleh itu, suami walau apa kedudukan kewangannya, wajib membayar nafkah kepada isterinya mengikut kemampuan walaupun isteri bekerja dan berpendapatan lebih tinggi.
    Bagi pasangan yang ingin berkahwin, isu nafkah dan kewangan keluarga perlu dibincangkan semasa hendak melangsungkan perkahwinan. Saya dapati daripada kajian, ini adalah antara sebab perceraian kerana suami tidak tahu tanggungjawab dan isteri tidak tahu haknya.
    Bakal suami, semasa hendak berkahwin, kira pendapatan anda. Mampukah anda memiliki seorang wanita, menyara isteri dan anak-anak hasil perkahwinan tersebut dengan gaji anda.
    Isteri pula, semasa hendak berkahwin, demi cinta sanggup berkorban apa saja. Anak-anak gadis berpendapatan tinggi sanggup mendahulukan wang hantaran dan belanja kahwin asalkan perkahwinan dapat dilangsungkan dengan lelaki pilihan hati.
    Jika masa hendak berkahwin sudah sedia berkorban, maka anda akan terkorban dalam sebuah perkahwinan yang tidak seimbang atau sekufu.

    Terapi alam semula jadi

    Posted: 14 Nov 2012 04:47 PM PST

    Terapi tenaga bagi mengembalikan kesejahteraan tubuh melibatkan empat unsur atau elemen iaitu tanah, api, air dan angin. - Gambar hiasan
    BUKAN mengenepikan rawatan perubatan moden tetapi menambah pilihan cara mendapatkan kesejahteraan optimum dengan menggunakan alam semula jadi sebagai inspirasi.
    Mungkin ramai yang tidak perasan bahawa untuk mengecapi kemodenan banyak yang perlu dikorbankan sekali gus menjejaskan sistem ekologi kitaran alam dan manusia.
    Bagi yang berada di kota khususnya lebih terdedah kepada pencemaran radikal bebas yang dalam senyap telah membinasakan sel dalam badan.
    Kesihatan merosot secara perlahan-lahan dan lebih membahayakan ia tidak memberikan apa-apa simptom untuk yang mengalaminya mendapatkan rawatan awal.
    Konotasi pencegahan lebih baik daripada merawat memang telah dilaungkan sejak berzaman lagi.
    Bagi mewujudkan kesedaran tersebut ia perlu diingatkan secara terus menerus.
    Terbaharu Annabella House of Therapy bergabung bersama pengasas terapi tenaga empat elemen, Zainal Abidin Ali telah mengadakan seminar terapi minda dan tenaga empat elemen.
    Teknik ini merupakan olahan metodologi silam berlandaskan daripada gabungan hukum al-Quran dan hukum tarikan yang dirumuskan dalam apa yang dipanggil sebagai terapi tenaga empat elemen.
    Zainal Abidin menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan terapi tenaga ini ialah ia melibatkan empat unsur atau elemen iaitu tanah, api, air dan angin.
    "Konsep empat elemen adalah satu konsep 'tautan' atau 'ikatan' menyeluruh sistem badan manusia dengan alam semulajadi.
    "Ia merangkumi aspek mental dan fizikal dan rohani manusia sekali gus mengaitkan pertalian erat kejadian diri manusia dengan alam semulajadi," katanya.
    Zainal Abidin menambah, terapi tenaga empat elemen ini memberi pengkhususan kepada kaedah peningkatan dan memperkasakan tenaga 'getaran elektrik' dalam sistem tubuh badan yang sudah sedia ada pada setiap individu.
    Ia menjurus kepada peningkatan 'tenaga elektrik' dalam bentuk atom-atom yang diterbitkan dari minda yang mengalir terus melalui darah ke dua buah pinggang yang diibaratkan sebagai atau 'stesen janakuasa' untuk memperkasakan atom-atom tadi, lalu di ambil oleh jantung untuk dihantar ke seluruh tubuh.
    "Ia lantas menjadikan tubuh sebagai 'medan magnet' untuk menarik apa jua yang positif kepada tubuh," ujarnya ketika memberikan ceramah tentang terapi tersebut baru-baru ini.
    Menurut Zainal Abidin lagi, 'tenaga elektrik' yang kuat dalam badan memberikan tenaga untuk bergerak melakukan sebarang aktiviti, merangsang otak yang cergas, membantu ke arah merawat penyakit, memberikan motivasi dan sebagainya.
    Bermakna dengan memahami dan mengikuti terapi ini juga, ia dapat membantu seseorang individu merawat pelbagai jenis penyakit dengan tenaga 'getaran elektrik' di dalam tubuh sendiri secara semulajadi.
    "Terapi empat elemen ini dijamin selamat, tidak menggunakan sebarang ubat, tiada pembedahan dan penggunaan mesin getaran elektrik yang boleh merosakkan ribuan sel dan saraf anda.
    "Selain itu ia juga murah, jimat, berkesan dan untuk kegunaan seumur hidup anda. Lebih penting ia membantu untuk pelbagai tujuan seperti untuk merehatkan minda, memberi tenaga, memberikan terapi kepada aura dan juga terapi untuk rawatan penyakit.
    "Dengan meningkatkan dan memperkasakan tenaga elektrik inilah , maka otak dan minda anda menjadi lebih ceria dan sihat. Membantu menguatkan daya ingatan dan daya tumpu.
    "Mendorong tubuh merawat masalah berkaitan minda secara alamiah seperti rasa malas, tiada semangat dan tiada 'mood', tiada tumpuan, rasa mengantuk dan lebih berdisiplin dan bermotivasi dalam hidup," jelas Zainal Abidin.

    Daniel Adie, pensyarah bertangan seni

    Posted: 14 Nov 2012 04:45 PM PST

    CITA-CITA sebagai seorang pereka dalaman terpaksa di lupakan demi memenuhi hasrat ibu bapa yang ingin melihatnya menjadi seorang guru.
    LOGGER pilihan .com pada minggu ini diperkenalkan oleh pemilik blog Budak Lelaki Sebelah Pintu, Hizami Li yang juga merupakan rakan karibnya sejak bangku sekolah.
    Dia yang dimaksudkan ialah Muhamad Hamdi Razalli, 24, atau lebih dikenali sebagai Daniel Adie menerusi blog yang dibinanya sejak tiga tahun lalu. Seperti rakan karibnya itu, dia juga merupakan seorang pendidik di Politeknik Merlimau, Melaka.
    Dalam banyak-banyak entri yang ditulis pemuda dari Melaka ini, penulis tertarik membaca post 'murid yang derhaka' mengenai seorang jurutera yang mempersoalkan kerjaya seorang guru.
    Bagi kamu yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai entri tersebut ataupun mahu mengenali pemilik blog Daniel Adie ini, bolehlah melayari http://www.danieladie.com. 
    KETIKA di semester keempat barulah saya dapat menyesuaikan diri dengan jurusan TESL yang sebenarnya adalah pilihan ibu bapa saya. Kalau ikutkan hati, selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya bercadang untuk mengambil jurusan hiasan dalaman tetapi kurang dipersetujui ibu bapa saya.
    Alasannya, sukar untuk mendapat pekerjaan kelak. Oleh itu, mereka cadangkan saya menjadi seorang pendidik kerana peluang pekerjaan yang lebih terjamin. Sebagai anak, saya akur dengan pilihan orang tua saya kerana mereka pasti mahukan yang terbaik untuk saya. Setelah menjadi tenaga pengajar di Politeknik Merlimau Melaka, barulah saya sedar banyak kelebihan menjadi pensyarah, walaupun suatu ketika dahulu, saya pernah beranggapan kerjaya sebagai pendidikl ini hanya remeh sahaja.
    SEJAK menjadi seorang pendidik, saya mula mengubah gaya penulisan dalam blog Daniel Adie. Bukan bererti saya mahu menjadi orang lain, tetapi mengubah agar penulisan tersebut bersesuaian dengan kerjaya saya pada masa ini. Jika dahulu, mungkin pensyarah saya yang membaca blog saya tetapi hari ini telah menjadi sebaliknya, yang mana terdapat pelajar saya menjadi pengikut blog Daniel Adie. Pastinya, saya tidak mahu menjadi contoh tidak baik kepada mereka. Diharapkan blog ini mampu memberi inspirasi kepada mereka.
    PERCAYA atau tidak, saya lebih rapat dengan satu-satunya adik perempuan saya iaitu Nur Hamizah atau mesra dengan panggilan Jaja berbanding adik-beradik lain sehinggakan ada antara kenalan yang tersalah sangka bahawa kami adalah pasangan kekasih. Apa tidaknya, jika mahu bersiar-siar bersama teman pun, saya tidak kisah untuk membawanya sekali dan adakalanya, dia juga begitu.
    Malah, setiap kali mendapat gaji, pasti saya akan membawa dia membeli-belah dan menghulurkan duit belanja kepada dia. Setiap kemahuan dia, saya cuba memenuhinya. Ada kalanya ibu menegur sikap saya yang terlalu memanjakan Jaja.
    Mungkin disebabkan dia satu-satunya perempuan tunggal dalam adik-beradik kami, menyebabkan saya sentiasa mahu melindunginya. Selain itu, saya kerap bercerita mengenai adik kesayangan saya ini dalam blog saya.
    PADA abad ke-21 ini, bukan sesuatu yang pelik sekiranya seorang lelaki ringan tangan untuk membuat kerja di dapur. Jika mempunyai masa lapang, saya tidak segan membantu ibu. Malah, saya juga gemar berkongsi resipi ringkas dengan pengikut-pengikut blog Daniel Adie. Saya juga dikurniakan bakat membuat gubahan hantaran untuk majlis pertunangan mahupun perkahwinan. Selain mengisi masa lapang, dapat juga saya mencari duit lebih. Walaupun saya seorang lelaki, saya juga tahu menjahit dan membuat dekorasi bilik. Kalau nak tahu, saya juga boleh dikatakan perunding imej tidak berbayar untuk Jaja. Ini kerana saya gemar menyuruh dia mencuba menggayakan pelbagai fesyen. Hehehe...
    PEJAM celik, pejam celik blog Daniel Adie kini telah berusia tiga tahun. Ketika membina blog Daniel Adie, saya masih lagi penuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM). Jadi, masa untuk menulis lebih banyak berbanding pada masa kini. Seperti kebanyakan blogger lain, saya membina blog ini untuk berkongsi cerita tentang kehidupan seharian dan meluahkan pendapat, selain menjadikan blog ini seperti diari. Bagi pengikut setia blog Daniel Adie, saya sangat menghargainya. Bagi pembaca .com yang baru mengetahui tentang kewujudan blog http://www.danieladie.com, jemputlah singgah ke blog ini.

    Kalau sudah jodoh, tidak ke mana...

    Posted: 14 Nov 2012 04:43 PM PST

    Setiap umat Islam yang menunaikan ibadat haji atau umrah pasti akan berdoa di dalam Masjidil Haram dan menadah tangan di hadapan Kaabah bagi memohon hajat yang terpendam.
    Bagi orang bujang, tentulah mereka akan berdoa agar bertemu jodoh yang sesuai.
    Begitulah juga pensyarah kanan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr. Nawi @ Mohd Nawi Ismail, 44, seorang insan istimewa yang tidak pernah membiarkan kekurangan diri sebagai penghalang beliau mencapai cita-cita.
    Beliau yang rabun mata kronik akibat masalah selaput mata sejak kecil, selain cacat jari tangan dan mempunyai kaki kiri yang hanya sampai ke paras lutut, amat berharap dikurniakan seorang wanita solehah yang sempurna fizikal sebagai pasangan hidup.
    Sebagai hamba Allah yang taat, beliau sedar bahawa doa adalah senjata ampuh orang mukmin. Justeru, tidak hairanlah apabila beliau tekad menunaikan haji pada April 1996 dan kemudian umrah pada Disember tahun yang sama untuk meraih peluang berdoa di hadapan Kaabah.
    "Ketika itu, saya sedang mengikuti program pengajian ijazah pertama di Universiti Al-Azhar, Mesir dalam bidang Usuluddin, Akidah dan Falsafah.
    "Saya berdoa kepada Allah beberapa perkara, antaranya dipermudahkan semua urusan belajar di Mesir, yang kedua agar saya dapat sambung pelajaran di peringkat ijazah sarjana dan doktor falsafah (PhD) di universiti tempatan dan ketiga, mendapat jodoh dengan wanita berpendidikan serta normal fizikalnya.
    "Syukur kerana ketiga-ketiga perkara yang saya impikan itu menjadi kenyataan. Kesemuanya saya peroleh satu persatu dalam tempoh 15 tahun selepas bermunajat di hadapan Kaabah," katanya kepada S2.
    Anak jati kelahiran Kampung Bukit Tanah, Selising, Pasir Putih ini tamat pengajian ijazah sarjana muda di Mesir pada 1998 serta memperoleh ijazah sarjana dan PhD dalam bidang Usuluddin, Akidah dan Pemikiran Islam di Universiti Malaya pada 2004 dan 2011.
    Sebagaimana yang diimpikan Nawi, beliau juga telah menemui belahan jiwa yang melengkapi hidupnya iaitu Azimah Muhamad, 35, wanita lemah lembut berasal dari Kampung Manan, Tendong, Pasir Mas yang sah disunting pada 15 Mac 2002.
    Menggemari sup daging dan ayam masakan isterinya, beliau sangat bersyukur kerana Azimah sanggup menerima diri beliau seadanya. Mereka kini dikurniakan enam orang anak iaitu Uthman, 9; Siti Nur Amalin, 8; Siti Nur Amani, 7; Siti Nur Alia, 5; Muawiyah, 3, dan Siti Nur Atikah, satu tahun.
    "Saya mula serius mahu mencari pasangan hidup pada 2000 apabila menyedari usia semakin meningkat. Beberapa sahabat yang rapat dengan saya turut membantu seperti mentor saya, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.
    "Dalam tempoh setahun, saya telah dipertemukan dengan tujuh calon isteri, tetapi kesemuanya tidak menjadi kerana sama ada saya ditolak atau saya menolak.
    "Akhirnya calon nombor lapan yang menjadi jodoh saya. Cinta saya dan Azimah adalah cinta selepas kahwin," katanya.
    Namun, ada cerita tersendiri di sebalik penyatuan dua jiwa ini. Azimah yang berpendidikan diploma dalam bidang teknologi maklumat (IT) pernah bertugas sebagai guru komputer di sebuah pusat IT di Pasir Mas sekitar penghujung 1990-an.
    Wanita berhati mulia ini berpeluang melihat suaminya dari jauh apabila kebetulan bertandang ke tempat kerja Nawi yang ketika itu berkhidmat sebagai penyelidik di sebuah syarikat perisian di Kubang Kerian.
    "Saya kagum kerana dia mampu bekerja seperti insan yang sempurna fizikalnya.
    "Jadi, apabila seorang pelajar kelas komputer saya, Norhayati yang merupakan isteri kawan baik suami, Lokman Yusuf, memberitahu bahawa 'Ustaz Nawi' mahu berkenalan, saya terus menerima pelawaan itu," katanya.
    Nawi pula berkata, biarpun tidak pernah melihat Azimah tetapi beliau yakin dengan 'pilihan' rakannya, Lokman yang memberitahunya bahawa Azimah merupakan seorang wanita beragama yang sesuai dijadikan isteri.
    Jelasnya lagi, hubungan mereka bukan seperti pasangan lain kerana mereka tidak pernah keluar dating dan hanya berbual melalui telefon.
    "Saya beritahu Azimah, saya serius mahu mengenalinya lebih rapat dan bukan mahu main-main, jadi selepas tiga bulan berhubung melalui telefon, saya nyatakan hasrat mahu merisik dan meminang.
    "Namun Azimah pula meminta agar diberikan masa kerana ada ahli keluarganya tidak bersedia menerima saya kerana kecacatan saya.
    "Setelah beberapa ketika dan keadaan masih sama, saya beritahu Azimah jika hubungan ini tidak ke mana, lebih baik putuskan saja hubungan dan itulah yang berlaku," katanya.
    Namun, kalau sudah jodoh tidak akan ke mana. Selepas 'putus' selama enam bulan, Azimah menelefon semula Nawi pada penghujung Disember 2001.
    "Hati saya amat berat mengatakan Ustaz Nawi adalah jodoh saya, jadi saya memberanikan diri menelefonnya. Ketika itu beliau beritahu, beliau juga berfikiran serupa tetapi dalam masa sama meminta saya menunaikan solat hajat sebanyak 41 kali memohon Allah menunjukkan jalan.
    "Suami juga melakukan solat hajat 41 kali dan selepas kami benar-benar yakin, beliau datang menemui ayah saya, Muhamad Abd. Rahman, 63, dan keluarga pada akhir Januari 2002," katanya yang kini sarat mengandung cahaya mata ketujuh.
    Menurut Nawi, ibunya, Wan Som Wan Ahmad, 73, menyuruh beliau pergi berjumpa keluarga isterinya secara sendirian bagi mendapat kepastian bahawa mereka sudah boleh menerima keadaan dirinya.
    Jelasnya, pada hari yang amat bersejarah itu, beliau membawa sekotak susu 1.5 liter sebagai buah tangan dan berpeluang melihat wajah bakal isteri secara dekat buat kali pertama.
    "Saya masih ingat lagi pada hari berkenaan, hampir kesemua adik-beradik isteri saya ada di rumah, selain ibu bapanya.
    "Pertemuan sekitar setengah jam itu berakhir dengan baik apabila ayah Azimah menyatakan dia tidak ada masalah menerima saya dan tidak sampai dua bulan kemudian, Azimah sah menjadi ratu hidup saya," katanya sambil memberitahu isterinya menjadi suri rumah sepenuh masa sejak awal perkahwinan mereka.
    Nawi dan isterinya sentiasa berdoa agar kehidupan mereka sekeluarga diberkati Allah.

    Kesal seorang anak yang pernah melupakan ibu!

    Posted: 14 Nov 2012 04:41 PM PST

    KASIH sayang adalah perasaan yang lahir daripada cantuman rasa rindu dan saling memerlukan. Ia anugerah Ilahi dan fitrah makhluk yang bernyawa.
    Tanpa kasih dan sayang, hubungan akan menjadi hambar dan tidak bermaya, malah akan memutuskan silaturahim jika tidak kena caranya.
    Dunia fana ini sememangnya harus diwarnai oleh kasih sayang sesama insan terutama ibu bapa yang melahirkan dan membesarkan kita menjadi manusia.
    Bermacam cara dilakukan untuk meraih kasih sayang. Orang muda, mahupun warga emas tidak boleh lari daripada menikmati kasih sayang.
    Pendek kata, jangan ambil mudah soal kasih sayang kerana ia boleh membawa bahagia dan derita seperti mana yang berlaku kepada pengirim cerita minggu ini, Alif (bukan nama sebenar), seorang penjawat kerajaan.
    Ingin tahu lebih lanjut, ikuti kisah Alif untuk iktibar kita semua. Begini kisah Alif.
    "Saya berusia awal 30-an, anak bongsu daripada tiga beradik, seorang abang dan seorang kakak yang masing-masing telah berumah tangga. Kami mempunyai ibu yang tinggal nun jauh di utara.
    "Abang sulung saya seorang pegawai kanan di sebuah bank ternama, kakak pula seorang pensyarah. Kami tiga beradik diberi pendidikan sempurna oleh ibu dan ayah. Tapi ayah tidak sempat melihat kejayaan kami.
    "Setelah berkahwin, kami tinggal di bandar dan sibuk dengan kerja masing-masing. Ibu enggan ikut sebab lebih selesa tinggal di kampung. Puas saya pujuk, tapi ibu enggan juga.
    "Akhirnya ibu tinggal seorang diri di kampung. Dek kerana terlalu mengejar duniawi, kami lupa kepada ibu. Walaupun setiap bulan ibu mendapat habuan lumayan daripada kami, tetapi itu tidak menggembirakan ibu.
    "Jelas sekali ibu perlukan kasih sayang dan perhatian anak-anak yang semakin hari tidak mempedulikan dirinya.
    "Kami lupa pada ibu yang keseorangan di kampung. Kami lupa ibu perlukan belaian dan kasih sayang kami. Setiap kali telefon, dia akan menangis. Katanya rindu kepada kami tiga beradik. Tapi kami tidak menghargai kasih sayang ibu.
    "Saya mengharapkan kurniaan Ilahi tetapi saya tidak pernah mensyukuri anugerah-Nya dan membiarkan ibu dalam kesunyian. Saya menyesal kerana membiarkan ibu seorang diri selama ini.
    "Saya leka membaca kisah-kisah sensasi duniawi yang melalaikan sehingga saya menjadi alpa dan hilang arah tuju. Saya sedih sebab ibu menyampaikan pengajaran dalam bentuk cerita kepada kanak-kanak di kampung untuk mengisi masanya yang terluang bagi menghilangkan kesunyian sejak ayah meninggal dunia.
    "Tapi kami anak-anak ibu tidak memberi perhatian yang sewajarnya kepada ibu. Ibu kami biarkan menanggung rindu dan sunyi kerana sikap kami yang tidak mengenang budi.
    "Suatu hari, seorang teman saya telah kematian ibunya. Saya lihat dia menangis dan meraung setelah mendapat berita tersebut. Setelah saya tanya, katanya sejak kahwin dan mempunyai tiga orang anak, dia langsung tidak pernah pulang ke kampung sebab perkahwinannya tidak direstui oleh ibunya.
    "Dia marah ibunya kerana tidak menerima isterinya. Pada hal, dia kini hidup menderita kerana dikongkong isterinya yang mata duitan. Dia menyesal kerana tak sempat meminta ampun daripada ibunya.
    "Melihat dia berkeadaan begitu menjadikan saya insaf dan malu dengan diri sendiri. Betapa saya anak yang kejam dan zalim terhadap ibu sendiri. Saya bertaubat dan mengambil keputusan mahu menjaga ibu sampai ke akhir hayat saya.
    "Saya khabarkan kepada kakak dan abang tapi mereka buat selamba sahaja, macam tidak ingat akan pengorbanan ibu. Saya tidak memaksa mereka tetapi sekadar ingatkan sahaja sementara ibu masih ada.
    "Saya ambil keputusan pulang ke kampung dan tinggal bersama ibu. Saya berhenti kerja dan mencari kerja di tempat kelahiran saya. Alhamdulillah, apabila niat kita baik, insya-Allah, Allah akan bagi jalan yang mudah.
    "Semuanya saya lakukan demi ibu. Syukur saya dapat kerja yang lebih kurang baik dengan jawatan yang saya tinggalkan. Saya tidak mahu berpisah lagi dengan ibu.
    "Saya akan menjaga hati ibu dan menatangnya bagaikan minyak yang penuh. Saya tidak akan biarkan ibu menangis dan kesepian lagi. Abang dan kakak, terpulang kepada mereka, saya dah nasihat.
    "Saya percaya seorang ibu mampu menyelami hati anak-anak walaupun mereka tidak menzahirkan dengan kata-kata, tetapi anak tidak. Saya berharap keputusan saya akan menggembirakan hati ibu.
    "Kini saya gembira bersama ibu. Saya bangga dapat membantu ibu membuat kerja-kerja ringan di rumah sambil menemaninya menanam pokok-pokok bunga yang pelbagai jenis dan warna di sekitar kawasan rumah setiap kali ada masa terluang.
    "Saya dapat bersama ibu ke masjid dan menghadiri majlis serta kenduri-kendara yang ada di kampung. Saya nampak kegembiraan ibu selepas saya pulang dan tinggal bersamanya.
    "Di wajahnya senyum selalu terukir, dia bangga bercerita pada orang kampung yang saya pulang untuk menjaganya. Aduhai, sayunya hati saya Allah sahaja yang tahu.
    "Pada masa yang sama, saya harap abang dan kakak sedar kesilapan mereka yang melupakan ibu dan kembali memohon maaf. Saya selalu berdoa agar apa yang telah kami adik-beradik lakukan kepada ibu akan mendapat keampunan Allah.
    "Apa yang saya ceritakan ini adalah untuk teladan kepada masyarakat di luar sana yang mungkin terlupa tanggungjawab mereka terhadap ibu bapa di kampung.
    "Saya juga berharap apa yang berlaku ini tidak akan berlaku kepada orang lain. Nasihat saya jika masih ada ibu, berilah perhatian penuh kepada mereka dan curahkan kasih sayang kepada mereka. Jangan biarkan mereka menangis,'' demikian Alif menutup cerita.
    Salam

    Tidak sarapan jejas pembelajaran

    Posted: 14 Nov 2012 04:32 PM PST

    Pengurus Pemasaran Sukan Milo, Ng Ping Loong (kanan) melayan murid SK Sungai Bumbun (A) bersarapan sempena program Gerakan Nutrisi anjuran jenama minuman itu di Pulau Indah, Selangor baru-baru ini.
    Akibat tiada pengambilan diet makanan seimbang pada waktu pagi, murid sekolah terdedah kepada masalah kekurangan nutrien yang penting dalam badan sekali gus menjejaskan tumpuan serta pembelajaran mereka di sekolah.
    Malah lebih buruk lagi, kata Pengetua Penyiasat Kaji Selidik Pemakanan Asia Tenggara (Seanuts) Malaysia, Prof. Poh Bee Koon, kekurangan nutrisi dalam badan boleh menyebabkan masalah kesihatan yang dipanggil kebuluran tersembunyi atau hidden hunger.
    ''Kebuluran tersembunyi merupakan masalah kekurangan nutrisi atau zat yang tidak dapat dilihat seperti kekurangan vitamin D dan kalsium yang diperlukan tubuh manusia.
    ''Kanak-kanak yang menghidapi masalah ini kelihatannya nampak sihat dari segi fizikal namun sebenarnya tidak menerima komponen nutrien secukupnya yang diperlukan untuk tumbesaran mereka'', katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar Pemakanan dan Pembangunan Kanak-kanak di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
    Kaji selidik Seanuts baru-baru ini mendapati 3,542 kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun tahun di negara kita mengalami kekurangan nutrisi dalam badan.
    Hal ini mungkin disebabkan 32.1 peratus murid berumur tujuh hingga 12 tahun terlepas sarapan atau langsung tidak bersarapan.
    Mengikut kajian Jabatan Nutrisi dan Diebetik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2007 di 47 buah sekolah rendah bandar dan 41 sekolah luar bandar mendapati 32.1 peratus murid terlepas sarapan termasuk 7.5 peratus murid yang langsung tidak bersarapan.
    Kelompok ini tidak bersarapan dengan alasan tidak mempunyai masa, mereka tidak lapar dan tidak mempunyai selera makan.
    Bagi murid yang mengambil sarapan pula memberi sebab untuk sihat dengan mengambil menu kegemaran mereka seperti roti, nasi goreng dan mee goreng.
    Kajian tersebut turut mendedahkan sarapan merupakan waktu yang paling diabaikan dalam kehidupan harian kanak-kanak ini berbanding waktu makan tengah hari dan makan malam.
    Oleh sebab itu, tegas Bee Koon, ibu bapa seharusnya mengambil perhatian serius terhadap pemakanan anak-anak bagi membantu tumbesaran mereka seiring dengan usianya.
    Sesuai dengan perkembangan tersebut, pengeluar makanan dan pakar nutrisi, Nestle Products Sdn. Bhd. menyumbang 10,000 sarapan pagi berupa air minuman Milo malt yang bernutrisi di tujuh sekolah rendah luar bandar dengan sasaran kepada murid kurang berkemampuan melalui Fasa Kedua Gerakan Nutrisi Milo.
    Makanan tersebut diedarkan secara berperingkat selama dua minggu dengan kerjasama pihak pengurusan kantin sekolah terlibat bagi membekalkan murid dengan minuman Milo panas yang turut dihidang dengan makanan nutrisi sarapan lain.
    Program berlangsung selama lima hari di setiap sekolah dengan kakitangan syarikat terbabit berperanan menyemai tabiat mengambil sarapan di kalangan murid di sekolah yang terlibat.
    Selain dibekalkan menu sarapan, murid turut melakukan ikrar sarapan dengan meletakkan tanda tapak tangan di atas sebuah platform putih bagi menyemai amalan bersarapan di kalangan mereka pada masa depan.
    Pihak Nestle turut menyampaikan ceramah pendek selama 20 minit kepada murid mengenai kepentingan sarapan bagi menjana tenaga sebelum memulakan pembelajaran dalam bilik darjah.

    Papan kekunci nyalaan elektro

    Posted: 14 Nov 2012 04:30 PM PST

    Ciri-ciri resolusi definisi tinggi serta papan kekunci berlatar nyalaan elektro antara ciri menarik Acer Aspire 7.
    SEIRING perkembangan dunia pengkomputeran moden, banyak syarikat teknologi memberi tumpuan terhadap pembangunan produk komputer riba ultra (ultrabook).
    Sehubungan itu Acer Malaysia juga melengkapkan rangkaian produk Ultrabook keluaran mereka menerusi pengenalan Acer Aspire S7.
    Direka dengan ciri-ciri dinamik dan nipis iaitu 11.9 milimeter (mm) dan berat 1.3 kilogram (kg), peranti ini menawarkan alat sentuh yang komprehensif khusus untuk pelaksanaan tugasan harian secara mudah alih.
    Menurut Pengurus Besar Acer & Services Sdn. Bhd., Ricky Tan, selain mempunyai reka bentuk yang nipis dan elegan, model berkenaan turut dilengkapi teknologi sempurna.
    "Kami sentiasa bekerjasama dengan rakan kongsi kami iaitu Microsoft dan Intel untuk mencipta produk yang boleh menguasai dunia pengkomputeran sekali gus memberikan pengalaman yang optimum kepada pengguna.
    "Melalui kerjasama ini, kami mendahului pesaing lain dalam penciptaan reka bentuk produk terkini yang turut dilancarkan bersama Windows 8," katanya pada majlis pelancaran Acer Aspire 7 di ibu negara baru-baru ini.
    Ultrabook Acer Aspire S7 didatangkan dengan kelebihan permukaan tahan calar menerusi teknologi Gorilla Glass 2 putih setebal 11.9 mm yang mempunya kekuatan kukuh untuk kesan pengendalian dalam penggunaan harian.
    Selain itu ia mempunyai dwi-engsel pada penutup bagi mewujudkan jumlah rintangan ideal untuk kawalan sentuhan.
    Dikuasakan oleh pemproses Intel Core Generasi ke-3, Acer Aspire S7 mampu menyimpan memori sehingga empat giga bait (GB) serta 128 GB pada SSD.
    Lebih mengujakan apabila skrin paparannya mempunyai ciri-ciri resolusi definisi tinggi (Full HD 1920 x 1080) serta papan kekunci berlatar nyalaan elektro yang memberikan penataan cahaya lebih telus dan lembut.
    Kelebihan inovasi terkini udara dwi-penyejuk yang dimiliki juga berkebolehan untuk memanjangkan kuasa penyimpanan bateri sehingga enam jam pengunaan.
    Daripada segi binaan, model utama dalam rangkaian Aspire ini hadir dengan reka bentuk ergonomik dan kemasan metaliknya dilihat mampu memberi gaya elegan kepada pengguna.
    Untuk segala kecemerlangan itu, Ultrabook Acer Aspire S7 kini boleh diperolehi dengan tawaran harga pasaran RM3,799.

    Mengurus sampah

    Posted: 14 Nov 2012 04:28 PM PST

    Kita tidak boleh bergantung sepanjang masa kepada tapak pelupusan sampah kerana kawasan lapang semakin terhad selain menjejaskan pemandangan.
    Kaedah tapak pelupusan hanya dapat bertahan dalam jangka masa tertentu, yakni bergantung kepada kadar penjanaan sisa pepejal setiap tahun.
    Kalau banyak penjanaannya, maka cepatlah tarikh hayatnya.
    Melihat kebimbangan itu, kerajaan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengorak langkah dengan menubuhkan Lab Pengurusan Sisa Pepejal dalam mencari kaedah terbaik.
    Setelah meneliti pelbagai kaedah yang dijalankan oleh pihak lain, makmal berkenaan menjuruskan pemilihan kepada sistem loji insinerator bercirikan teknoloji hijau.
    Namun begitu, pemilihan teknologi ini sebagai kaedah alternatif pengurusan sisa pepejal turut tidak terkecuali daripada menerima bantahan.
    Hanya membabitkan komuniti kecil beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berpaksikan kepada kepentingan alam sekitar, mereka mempertikaikan keselamatan masyarakat apabila insinerator diaplikasikan.
    Berdasarkan laporan Lab itu, tapak pelupusan merupakan penyumbang utama pelepasan gas rumah hijau serta penyebab kepada perubahan iklim dan pemanasan global.
    Malah, dianggarkan peratusan pembebasan gas rumah hijau akan meningkat kepada 50 peratus menjelang tahun 2020 dan oleh itu kaedah tapak pelupusan bukanlah satu pilihan.
    Walaupun kaedah tapak pelupusan berstatus sanitari dianggap lebih mesra alam, jumlahnya adalah terhad berikutan penglibatan kos yang tinggi untuk mengada dan menguruskannya.
    Dikenalpasti sebagai antara kaedah mesra alam, tapak pelupusan berstatus sanitari dilengkapi loji rawatan air larut resap (leachate) yang akan memastikan pelepasan leachate menepati standard Jabatan Alam Sekitar (JAS).
    Ia juga mempunyai sistem saluran paip untuk menyerap gas metana yang dihasilkan daripada proses pereputan sampah serta sistem penutupan sampah yang dilupuskan bagi menangani masalah pemanasan global dan kejadian kebakaran.
    "Tapak ini juga dilengkapi lapisan (liner) bagi menangani masalah bau serta menghalang air hujan memasuki tapak pelupusan yang boleh menambah kepada penghasilan leachate," kata Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara Datuk Nadzri Yahaya.
    Namun, untuk menaiktarafnya kepada status sanitari, yakni tapak pelupusan lestari alam sekitar tentunya ia melibatkan kos yang tinggi.
    Jadi insinerator berasaskan kepada teknologi hijau mungkin jawapan kepada pengurusan sisa pepejal pada masa akan datang.
    Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung dipetik berkata, tender bagi insinerator teknologi hijau itu akan dibuka pada Mac 2013 selepas kertas kerja mengenainya siap.
    Untuk tujuan ini, KPKT bersama Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Unit Kerjasama Awam Swasta (Ukas), Jabatan Perdana Menteri (JPM) sedang menyiapkan kertas kerja pembinaan tiga insinerator berkenaan.
    Menteri itu berkata, teknologi insinerator yang bercirikan teknologi hijau dirancang pembinaannya di Taman Beringin (Kuala Lumpur), Bukit Payung (Johor) manakala satu lagi sama ada di Selangor atau Melaka.
    Dipetik dalam satu laporan akhbar, kebimbangan beberapa kumpulan dan NGO berkenaan adalah tertumpu kepada penularan bahan kimia seperti dioksin, furan dan merkuri hasil daripada pembakaran sisa menggunakan teknologi insinerator.
    Dikatakan, penularan bahan kimia itu boleh menjejaskan alam sekitar, kesihatan dan bekalan makanan.
    Ini disusuli pula dengan kajian impak kesihatan Greenpeace, menunjukkan risiko kematian akibat kanser paru-paru meningkat dalam kalangan penduduk di sekitar tapak pembakar sebuah perbandaran di Itali.
    Bagaimanapun, kajian teliti yang dijalankan oleh Lab dan jabatan yang berkenaan mendapati bahawa insinerator teknologi hijau adalah selamat dan faedahnya adalah lebih banyak daripada yang sebaliknya
    Apa pun, seseorang itu akan bertanya sama ada terdapat pilihan lain bagi Malaysia termasuk dengan mengaktifkan program kitar semula.
    Walhal, kajian sebelum ini menunjukkan tahap pengasingan sisa di punca menerusi program kitar semula hanyalah sekadar lima peratus!
    Satu peratusan sangat kecil berbanding kebergantungan kita terhadap tapak pelupusan, iaitu 95 peratus.
    "Kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada konsep 3R, Reduce (mengurang), Reuse (guna semula) dan Recycle (mengitar semula) dalam pengurusan sisa pepejal.
    "Malah, tidak ada mana-mana negara sekali pun di dunia ini yang bergantung 100 peratus menerusi kaedah kitar semula," kata Nadzri.
    Biarpun dilihat ada 'sinar harapan' pengaktifan program kitar semula menerusi penguatkuasaan sistem pengasingan bermula 1 September lepas ekoran pelaksanaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672), namun ia tidak boleh disandarkan harapan sepenuhnya.
    Hakikatnya, sistem pengasingan dipunca ataupun kitar semula, bukanlah satu-satunya jalan penyelesaian ke arah pengurangan kadar penjanaan sisa pepejal ke tapak pelupusan.
    Semuanya berbalik kepada minda masyarakat.
    Kata Nadzri, masih ada segelintir masyarakat yang acapkali mengambil mudah akan perihal berkaitan dengan kebersihan serta pengurusan sisa pepejal.
    "Bukan senang untuk mengubah minda masyarakat terutama yang berkaitan dengan kebersihan, kitar semula dan penggunaan teknologi terkini.
    "Ia (ubah minda) antara cabaran terbesar dan paling susah. Contohnya, mereka kata kita tidak sediakan tong sampah kitar semula, walhal yang sebenarnya kita sudah sedia. Tetapi masyarakat (bukan semua) masih lagi mencampurkan sisa," katanya.
    Begitu jugalah dalam hal mengaplikasi teknologi insinerator bagi pengurusan sisa. Negara lain seperti Denmark turut menerima bantahan pada peringkat awal.
    Namun, selepas penerangan demi penerangan diberikan akhirnya insinerator bukan sahaja diterima penduduk negara itu malah ada dibina kurang satu kilometer dari kawasan perumahan.
    Justeru, dalam perlaksanaan pengurusan sisa pepejal pada masa hadapan adalah perlu dilakukan secara integrasi merangkumi perubahan gaya hidup, 3R dan teknologi pelupusan terkini seperti insinerator.

    Menghargai inovasi

    Posted: 14 Nov 2012 04:27 PM PST

    Sebanyak 25 pereka cipta yang memenangi anugerah mengikut kategori masing-masing tersenyum menunjukkan hadiah kemenangan sempena Forum Inovasi Dunia - Kuala Lumpur (WIF-KL) 2012 baru-baru ini.
    Forum Inovasi Sedunia Kuala Lumpur (WIF-KL) mencatat sejarah tersendiri apabila seramai 25 inovator telah dianugerahkan dengan pelbagai anugerah inovasi utama semasa Malam Anugerah Inovasi WIF-KL 2012 yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini.
    Majlis penyampaian tersebut adalah bagi memberi pengiktirafan atas kecemerlangan masing-masing sempena WIF-KL 2012 anjuran bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) yang diadakan pada 3 hingga 7 November lalu.
    Menterinya nya, Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili, berkata, majlis tersebut julung kali diadakan melibatkan pelbagai anugerah yang diperkenalkan.
    ''Majlis ini adalah yang pertama seumpamanya diadakan dengan gabungan 12 Anugerah Inovasi bertujuan memberikan pengiktirafan kepada para pencipta tempatan kita.
    "Pengiktirafan kerajaan, bersama-sama dengan pelbagai insentif untuk para pereka cipta , bertujuan menggalakkan dan meningkatkan keyakinan mereka agar terus menghasilkan produk inovatif dan seterusnya, menyumbang kepada kekayaan negara kita," kata Ongkili.
    Beliau menyatakan demikian pada majlis penyampaian anugerah tersebut kepada pemenang pada majlis yang turut dihadiri oleh kira-kira 1,800 peserta forum dari 50 negara.
    Yang turut hadir Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Dr. Madinah Mohamad dan timbalannya, Datuk Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad.
    Anugerah Inovasi WIF-KL adalah satu majlis penyampaian anugerah utama untuk mengiktiraf usaha inovatif dan kreatif pengusaha, akar umbi, sekolah, universiti, belia, juru teknologi dan saintis.
    Anugerah tersebut juga sebagai pengiktirafan untuk penjanaan idea, inovasi, dan produk baru dengan memanfaatkan sains dan teknologi yang memberikan kesan kepada pembangunan ekonomi negara dan kesejahteraan masyarakat.
    Pemenang Anugerah Inovasi Kebangsaan masing-masing menerima RM50,000, trofi dan sijil (kategori produk dan perkhidmatan), RM20,000, trofi dan sijil (kategori akar umbi) dan RM10,000, trofi dan sijil (kategori sekolah ).
    Untuk Anugerah Saintis Muda Kebangsaan, pemenang menerima RM20,000, trofi dan sijil, manakala pemenang Anugerah Juru Teknologi Kebangsaan menerima RM10,000, trofi dan sijil.
    Inovator Inovasi akar umbi terbaik yang ditemui oleh YIM dan MOSTI semasa ekspedisi Jejak Inovasi di seluruh negara baru-baru ini menerima RM10,000 bagi setiap kategori terbuka, belia dan wanita.
    Tiga pemenang telah dipilih untuk kategori keluarga dengan setiap daripada mereka menerima RM1,000.
    Sementara itu, para pemenang Inovasi Bio menerima RM4,000 dengan plak dan sijil (Inovasi Bioteknologi Tahunan), RM3,000 dengan plak dan sijil (Anugerah Paling Inovatif dan Anugerah Inovasi Harapan) dan RM2,000 dengan plak dan sijil untuk Anugerah Inovator Bio Wanita Tahunan.

    Bantu balu pahlawan

    Posted: 14 Nov 2012 04:22 PM PST

    Zulkiflee Mazlan memberi sumbangan kepada Halimah Jonit sambil diperhati anak Halimah, Shahawarudin Ismail di Petaling Jaya baru-baru ini.
    PENGORBANAN Allahyarham Sarjan Ismail Awal, seorang veteran tentera British yang mati dibunuh komunis ketika berjuang mempertahankan negara pada 1945 tidak pernah dilupakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
    Ini terbukti menerusi pemberian bantuan kepada balunya, Halimah Jonit, 90, oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM secara berterusan sebelum ini.
    Malah baru-baru ini, Yayasan Veteran ATM (YVA) menerusi Dana Rayuan Hari Pahlawan telah menyampaikan bantuan RM10,000 kepada Halimah dalam satu majlis ringkas di kediaman anak perempuannya di Kelana Jaya.
    Bantuan tersebut disampaikan oleh Ketua Pengarah JHEV, Mejar Jeneral Datuk Zulkiflee Mazlan.
    Menurut Zulkiflee, sumbangan itu mengambil kira pengorbanan yang dicurahkan oleh pahlawan negara tersebut dan kesukaran hidup Halimah terutama dalam membesarkan anak-anak sebagai ibu tunggal selepas kematian Ismail.
    Jelasnya, Halimah tidak layak mendapat pencen suaminya mengikut undang-undang 'The Malay Regiment (Pensions to Dependents) Regulation 1950'.
    ''Bagaimanapun JHEV telah memberikan bantuan sara hidup sebanyak RM200 sebulan kepada Halimah sejak 2003 bagi meringankan bebannya," katanya.
    Tambahnya, sumbangan itu bertujuan membantu Halimah serta keluarga terutama dari segi kos perubatan dan bantuan-bantuan lain.
    Ismail yang mempunyai nombor tentera 382 terkorban ketika menjalankan operasi di Mentakab, Pahang pada 3 September 1945.
    Beliau memulakan perkhidmatan pada 12 Februari 1935 dan telah dianugerahkan empat pingat selama berkhidmat iaitu pingat 1939-45 Star, pingat Pacific Star, pingat War Medal dan Defence Medal.
    Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, sebanyak RM1.8 juta telah dibelanjakan YVA untuk 3,671 penerima di seluruh negara pada musim perayaan lalu khususnya veteran ATM berusia 70 tahun ke atas dan balu mereka.
    Kata Zulkiflee, JHEV dan YVA berharap sumbangan yang diberikan itu dapat membantu meringankan beban mereka yang terlibat.
    Pusat dialisis
    Dalam pada itu Zulkiflee yang juga Pengarah Eksekutif Pusat Dialisis Yayasan Veteran ATM berkata, JHEV bercadang menambah lebih banyak pusat dialisis veteran ATM di seluruh negara memandangkan ketika ini terdapat hampir 3,000 pesakit buah pinggang dalam kalangan bekas anggota tentera dan keluarga mereka.
    Menurutnya, cadangan itu akan diteliti dengan melihat pada faktor kewangan memandangkan kos sebuah pusat rawatan tersebut berjumlah antara RM400,000 hingga RM600,000.
    ''Setiap tahun, sebanyak RM24 juta dibelanjakan untuk membiayai kos rawatan pesakit dialisis kalangan veteran ATM dan warisnya dan kita berusaha menambah kualiti perkhidmatan kesihatan tersebut.
    ''Kos rawatan dialisis itu adalah sebahagian daripada peruntukan rawatan kesihatan seluruh anggota veteran yang berjumlah RM35 juta," katanya.
    Tambah beliau, veteran ATM dan waris mereka yang menetap di luar Kuala Lumpur dan Selangor boleh menjalani rawatan di dua buah pusat dialisis YVA di Seri Kembangan dan Batu Caves.

    Berlian 'Archduke Joseph' Catat Rekod Lelongan Tertinggi Dunia Di Geneva

    Posted: 14 Nov 2012 04:19 PM PST


    Seorang model memegang berlian "Archduke Joseph" yang bersejarah dalam satu lelongan yang dibuat oleh firma lelongan Christie di Geneva.
    GENEVA: Berlian dengan ciri halus dan sempurna 'Archduke Joseph' dari lombong Golconda yang terkenal di India, memecahkan beberapa rekod dunia apabila ia telah dijual dalam satu lelongan dengan nilai $21.47 juta (16.9 juta Euro), pada Selasa di Geneva.
    Harga untuk permata 76 karat pada lelongan yang dibuat firma lelongan, Christie, mencatat rekod lelongan tertinggi untuk berlian jenis jelas, jernih dan tidak berwarna.
    Ia juga merupakan harga lelongan tertinggi bagi setiap karat untuk permata jenis itu dan rekod untuk Golconda, lombong yang sama yang menghasilkan berlian Koh-i-Noor yang menghiasi mahkota Ratu British.
    "Ia adalah sejenis berlian berbentuk kusyen, seberat 76.02 karat, dengan warna paling asli dan tulin yang jarang-jarang dan khusus ditemui di lombong purba Golconda di India," kata pakar barang kemas untuk firma lelongan Christie, Jean-Marc Lunel.
    'Archduke Joseph' yang telah dibeli oleh pembida tanpa nama,dahulunya dimiliki Habsburg, bekas raja empayar Austria.
    Ia mengambil nama daripada Archduke Joseph (1872-1962) Putera Hungary untuk tempoh yang singkat.
    Berlian kemudiannya telah dijual pada tahun 1936 kepada pembeli tanpa nama dan disembunyikan di tempat yang selamat bagi mengelakkan menjadi perhatian Nazi semasa Perang Dunia Kedua.
    Ia muncul semula di arena antarabangsa ketika jualan di London pada tahun 1961.
    Dalam tahun 1990-an ia telah sekali lagi dijual di Geneva, untuk nilai $6.5 juta.

    Majlis Khatan Beramai-Ramai Imarahkan Masjid

    Posted: 14 Nov 2012 04:18 PM PST


    Majlis Khatan beramai-ramai anjuran Malaysian Relief Agency (MRA) dan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) berlangsung meriah. 
    SUNGAI PETANI: Kesedaran bahawa masjid tidak hanya berfungsi sebagai tempat umat Islam melakukan ibadat solat mendorong penduduk di Kampung Sungai Pasir di sini menganjurkan majlis khatan beramai-ramai di masjid.
    Pengerusi Jawatankuasa Masjid Muhibbuddin di kampung itu, Ali Ahmad berkata program julung kali tersebut mendapat kerjasama Malaysian Relief Agency (MRA) dan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).
    "Masjid ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuklah dewan khas untuk penganjuran aktiviti kemasyarakatan, justeru fungsinya perlu diperluas, tidak hanya memfokus kepada ibadat solat semata-mata.
    "Dengan adanya program seperti ini, ia bukan sahaja dapat memberikan manfaat kepada masyarakat setempat sebaliknya mengimarahkan lagi masjid ini," katanya kepada Bernama.
    Wakil MRA, Dr Mohd Saifullah Alhany Abdul Halim pula berkata program itu adalah yang kedua bagi MRA tahun ini dengan tujuan menjalinkan hubungan baik dengan masyarakat setempat.
    "Untuk program hari ini, lebih 20 kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 12 tahun selamat dikhatankan dengan bantuan tujuh doktor serta dibantu lebih 15 sukarelawan dan anggota MRA," katanya.

    • Digg
    • Del.icio.us
    • StumbleUpon
    • Reddit
    • RSS

    0 ulasan:

    Catat Ulasan