RSS

Nuffnang

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Baju siap lebih mudah

Posted: 22 Aug 2011 10:34 PM PDT


KOLEKSI baju kurung dan baju Melayu siap dengan warna sedondon boleh dibuat pilihan pasangan sehati sejiwa.


SYAWAL semakin menghampiri, sekali gus umat Islam juga sudah mula sibuk untuk melakukan persiapan terakhir bagi menyambut hari bahagia itu dengan sempurna.

Bagi yang masih belum membeli baju kurung atau baju Melayu atau ingin menambah lagi koleksi untuk dipakai di pagi Syawal pastinya masih mencari-cari lokasi sesuai untuk membeli-belah.

Ada baiknya jika teruskan sahaja langkah ke mana-mana 18 gedung tekstil terkemuka Jakel di seluruh negara termasuk Sabah.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan/Pengarah Eksekutif Jakel, Mohamed Faroz Mohamed Jakel memberitahu, Jakel bukan sahaja menawarkan pilihan koleksi baju siap yang eksklusif untuk pelanggan malah harga berpatutan serta mampu dibeli oleh semua golongan.

''Koleksi baju siap seperti baju kurung dan baju Melayu ini disediakan untuk orang dewasa sehinggalah kepada kanak-kanak,'' katanya ketika ditemui di pejabatnya yang terletak di Wisma Jakel di No: 209-212, Jalan Bunus Off Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Jelas Mohamed Feroz, pihaknya juga begitu berhati-hati dalam memilih corak kain untuk baju siap supaya pelanggan puas hati kerana memiliki koleksi eksklusif.

''Atas dasar itu kita cuma mula menyediakan baju siap ini pada sekitar bulan Jun dan Julai supaya pelanggan meraikan Hari Raya Aidilfitri dengan kain dari corak terbaru,'' katanya.

Bagaimanapun katanya, Jakel masih memberi pilihan kepada pelanggan di mana boleh membeli baju siap dengan kadar harga murah untuk koleksi yang telah dikeluarkan lebih awal.

Tambahnya, pelanggan juga tidak perlu bimbang dengan saiz baju kerana gedung tersebut telah menyediakan dengan banyak untuk semua peringkat usia.

Selain itu, katanya, Jakel juga menyediakan baju berkonsepkan 'papa dan mama' di mana semua ahli dalam sebuah keluarga itu boleh memiliki kain baju yang siap dari warna dan corak yang sama.

''Kami menyediakan pilihan koleksi baju ini bagi memudahkan mana-mana keluarga yang suka mengamalkan trend sedondon bagi menyambut raya,'' katanya.

Malah katanya, pihaknya sekali lagi memperkenalkan koleksi baju siap 'ala Bollywood' bagi pelanggan yang inginkan kelainan dalam penampilan pada hari raya.

Katanya, kain itu memang dibawa khas dari India yang disesuaikan dengan potongan baju kurung di mana Jakel menawarkannya dalam harga yang berpatutan.

Selain itu, Mohamed Faroz memberitahu, Jakel juga turut menyediakan koleksi jubah untuk pelanggan yang suka memakai pakaian ala-arab ini di hari raya.

''Jakel juga tidak terlalu berkira dengan pelanggan di mana akan memberikan potongan harga yang cukup istimewa jika membeli dengan jumlah yang banyak,'' katanya.

Malah katanya, Jakel juga turut memberikan peluang kepada pelanggan bagi urusan tawar menawar berdasarkan belian barangan tertentu.

Selain itu, Mohamed Faroz memberitahu, Ariani yang terkenal sebagai gudang tudung dan selendang kepunyaan Jakel juga menyediakan koleksi eksklusif yang mula dijual sebelum dua minggu menjelangnya bulan Syawal.

''Tarikh penjualan itu memang sesuai memandangkan kami mahukan pelanggan hanya memiliki koleksi eksklusif ini hanya dari Ariani,'' katanya.

Mohamed Feroz memberitahu, secara tidak langsung ini dapat mengelak koleksi terbaru Ariani diciplak.

Bagaimanapun katanya, pelanggan masih boleh membuat mana-mana pilihan tudung dan selendang Ariani yang mempunyai lebih 200 koleksi ini di 18 cawangan Ariani di seluruh negara.

Jelasnya, Ariani menggunakan fabrik-fabrik berkualiti yang diimport khas dari Itali, Perancis, Jerman dan Turki.

''Antara jenama antarabangsa yang boleh di dapati di Ariani adalah Valentino, Aker, Armine, Akel, Bonasera, Isadora, Ungaro dan Pierre Cardin. Di samping itu terdapat juga Tiara Eksklusif & Tiara Diamond,'' katanya.

Katanya, di Ariani pelanggan akan mendapat potongan harga yang istimewa kerana kini sedang diadakan promosi hebat sehingga 30 Ogos ini.

Mohamed Feroz memberitahu, Ariani juga telah menambah dua cawangan baru iaitu di No: 6, Tingkat Bawah, Jalan Wangsa Delima 10, D'Wangsa di Wangsa Maju.

''Satu lagi cawangan baru Ariani di No. 23 & 25, Jalan Plumbum S7/S, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor,'' katanya.

Selain itu katanya, Jakel juga tidak ketinggalan untuk menyediakan perhiasan rumah kepada pelanggan termasuk permaidani yang turut menjadi barangan penting bagi menghias rumah sempena hari raya.

''Jakel Karpet kini sedang menawarkan potongan harga untuk kesemua pelanggan,'' katanya.

Antaranya Jakel turut memberikan harga istimewa untuk permaidani jenis 'shaggy' yang boleh didapati dalam pelbagai saiz dan warna menarik.

Tambahnya, Jakel juga turut menjual jenis pilihan permaidani dari jenis lain seperti bulu, sutera, alas kaki dan eksklusif buatan tangan dari Mesir, Iran dan Turki.

Mohamed Feroz menjelaskan yang pastinya syarikat 100 peratus bumiputera ini bukan sahaja menyediakan keperluan terbaik untuk pelanggan malah tidak lupa untuk berkongsi dengan anak-anak yatim dan ibu tunggal di seluruh negara.

Berikutan itu, katanya, buat pertama kali juga pada tahun ini Jakel meraikan kira-kira 4,000 golongan ini di seluruh negara.

Usia bukan halangan Surya

Posted: 22 Aug 2011 10:33 PM PDT


Surya Ardila Akhiroeddin


JIKA dilihat pada usianya, siapa sangka gadis semuda itu sudah mempunyai bukan satu bahkan dua premis perniagaan sendiri.

Surya Ardila Akhiroeddin, 25, sememangnya seorang gadis bertuah kerana selain mempunyai diploma dalam jurusan perniagaan, dia dilahirkan dalam keluarga yang suka berniaga.

Bermula daripada bapanya yang mengusahakan sebuah restoran dan merupakan seorang tukang jahit, diikuti oleh kakak serta abang-abangnya yang masing-masing bergelar usahawan

Sememangnya amat meminati bidang perniagaan, Surya atau lebih mesra dengan panggilan Su terlebih dahulu menimba pengalaman dengan bekerja bersama kakaknya.

Kakaknya yang menjual kain pasang, telekung, kain batik dan sebagainya juga dilihat sebagai seorang usahawan wanita berjaya apabila mempunyai lebih daripada dua premis perniagaan di sekitar Kuala Lumpur.

Anak keempat daripada lapan beradik itu sebenarnya mula didedahkan dengan dunia perniagaan sejak kecil lagi.

Ini memberi kelebihan kepada Su serta adik-beradiknya yang lain dan secara tidak langsung ia memudahkan cita-cita mereka untuk bergelar usahawan.

Turut memilih untuk berniaga kain, Su telah mengeluarkan modalnya sendiri tanpa meminjam dari mana-mana institusi kewangan.

"Dilahirkan dalam keluarga yang suka berniaga, secara tidak langsung ia memberi tempias kepada saya.

"Jika hendak bercakap sejak bila saya mula berniaga, sebenarnya dari kecil lagi saya telah didedahkan dengan berniaga dan kebetulan minat memang ada, jadi saya teruskan.

"Alhamdulillah, sebelum berniaga sendiri, saya banyak membantu kakak dan ini sedikit sebanyak memberi 'kredit' kepada saya untuk menerajui perniagaan sendiri," ujarnya ketika ditemui di premisnya di Lot No. 8, Crystal Arked, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Su lagi, kedainya beroperasi setiap hari bermula pukul 10 pagi hingga 8 malam kecuali hari Sabtu ia ditutup pada pukul 10 malam.

Hari ini, dengan bantuan dua orang pekerja, Su mampu mengendalikan perniagaannya tanpa sebarang masalah.

Banyak mengimport produk dari China, Jakarta dan Bukit Tinggi, Indonesia serta Vietnam, Su turut menjalankan perniagaan secara borong.

Bukan itu sahaja malah dia turut mempunyai pelanggan tetap dari seluruh negara yang terdiri daripada kakitangan kerajaan yang sering mengambil produknya untuk dijual di kalangan rakan-rakan sekerja.

Antara produk yang boleh didapati di kedai Su ialah kain ela (pelbagai jenis), telekung, kain batik dan kain pelikat.

Bagi Su, untuk berjaya dalam bidang perniagaan, sifat jujur dan ikhlas harus ada dalam diri setiap peniaga selain memberikan perkhidmatan terbaik buat pelanggan.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan kain yang dijual Su, bolehlah layari facebook dengan menaip namanya Surya Ardila.

Cawangan baru UiTM bernilai RM300j di Raub

Posted: 22 Aug 2011 10:31 PM PDT


Shahiruddin Ab. Moin (lima dari kanan) menyerahkan bonus hari raya kepada para peneroka Felda Krau 1 di Raub, semalam.


RAUB 22 Ogos - Kerajaan akan membina cawangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini dengan membabitkan peruntukan sebanyak RM300 juta tidak lama lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, lokasi pembinaan kampus cawangan itu telah dikenal pasti iaitu berhampiran bandar ini membabitkan kawasan seluas 100 hektar.

Menurutnya, kampus itu nanti dijangka boleh menempatkan 3,000 pelajar dari seluruh negara bagi pengajian kejuruteraan.

"Kewujudan kampus baru itu akan memberi manfaat kepada penduduk daerah ini kerana ia mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi serta memberi banyak peluang perniagaan bagi memenuhi keperluan 3,000 pelajar berkenaan," katanya pada majlis penyerahan bonus hari raya kepada para peneroka.

Mereka adalah dari Felda Krau, Sungai Klau dan Felda Gugusan Tersang di pekarangan masjid Felda Krau 1 dekat sini semalam.

Beliau berkata, cawangan baru itu di sini akan memberi keutamaan pelajar dari Pahang Barat, Kelantan dan Terengganu serta peluang pelajar asing bagi jurusan Kejuruteraan Mekanikal, Elektrikal, Awam dan sebagainya.

Dalam perkembangan lain, Shahiruddin yang juga Pengerusi GiatMara memberitahu, pelatih GiatMara dalam kemahiran kimpalan mempunyai peluang cerah untuk bekerja di 6,000 syarikat kimpalan di seluruh dunia.

Katanya, pada 1 Ogos lalu, GiatMara menandatangani perjanjian bersama (MoA) dengan Institut Teknikal Kimpalan (TWI) London, Universiti Cambridge, United Kingdom.

"Melalui perjanjian itu, TWI akan melatih tenaga pengajar GiatMara dalam bidang kimpalan menerusi kursus jangka pendek antara 30 hingga 90 hari,'' katanya.

Rahsia menghindari sel kanser

Posted: 22 Aug 2011 10:30 PM PDT


Serangan kanser memberi kesan besar kepada kehidupan pesakit. - Gambar hiasan


BERBICARA mengenai penyakit kanser atau barah, ia sudah cukup membuatkan sesiapa sahaja berasa gentar dan takut. Tiada manusia yang waras mahu penyakit ini menghampirinya.

Namun siapa mampu menolak jika ditakdirkan menghidapinya. Hanya tuhan yang mengetahui mengapa seseorang diuji dengan penyakit yang biasanya dikaitkan dengan kematian.

Perubatan moden merupakan pilihan utama rawatan bagi kebanyakan orang yang menghidap kanser walaupun ada sesetengah pesakit memilih untuk berubat secara tradisional.

Pembedahan, kemoterapi dan radioterapi merupakan antara rawatan yang diterima oleh pesakit kanser.

Walaupun ketiga-tiga jenis rawatan itu kedengaran menakutkan, namun kesemuanya perlu dilalui dengan harapan sel kanser yang berada di dalam tubuh akan mati.

Dr. R. Subramaniam dari Hospital Pavitra Nature and Yoga di Coimbatore, di Tamil Nadu, selatan India berkata, masalah utama dalam kehidupan manusia ialah apabila mereka menghidapi sesuatu penyakit yang sudah tentunya mencetuskan ketidakselesaan.

Namun beliau percaya, ia bukan sesuatu yang perlu sentiasa dibimbangi kerana setiap penyakit ada ubatnya.

''Sebenarnya alam semula jadi dapat memberikan kita apa sahaja yang kita kehendaki. Jika kita berbalik kepada alam, kita tidak memerlukan ubat kerana semuanya terdapat di sekeliling kita," katanya yang terkenal dengan kaedah rawatan penyakit kronik melalui pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran.

Berasal dari daerah Coimbatore, Dr. Subramanian telah 30 tahun mengamalkan kaedah rawatan tersebut bagi merawat pesakit-pesakit kanser di hospitalnya.

Beliau berada di Kuala Lumpur bagi menyampaikan ceramah untuk pesakit dan bekas pesakit kanser bertajuk Kesihatan Optimal Cara Semulajadi Dengan Buah-Buahan dan Sayur-Sayuran anjuran Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM).

Menurut beliau, setiap hari, sebanyak 0.8 peratus sel baru tumbuh dalam tubuh manusia.

Jumlah tersebut lebih tinggi bagi kanak-kanak kerana faktor usia yang muda dan akan berkurangan apabila usia semakin meningkat.

''Jika difikirkan, kehidupan kita sentiasa dalam keadaan tergesa-gesa sehinggakan apabila makan pun kita tidak mengunyah dengan betul.

"Makanan seharusnya dikunyah perlahan-lahan seperti kanak-kanak yang sedang makan dan nikmati rasa makanan yang kita makan.

"Makanan yang dikunyah dengan betul dan bercampur dengan air liur akan dicerna baik dan diproses menjadi darah yang elok dalam tubuh kita,'' ujarnya.

Beliau menyarankan agar makan apabila perlu dan apabila lapar.

"Jika tidak lapar, jangan makan. Ikut tabiat kanak-kanak. Mereka tidak akan makan jika tidak lapar walaupun ibu bapa memaksa. Itu adalah cara yang betul. Jika hendak makan, ambil sedikit sahaja," katanya.

Dr. Subramaniam menjelaskan, kanser merupakan sel mati yang tidak diperlukan oleh tubuh manusia.

Setiap hari tubuh kita mengeluarkan sel-sel mati melalui pembuangan air besar dan peluh.

Bagaimanapun jika tidak dibuang dengan cara yang betul, sel mati yang tidak diperlukan ini akan berkumpul dalam badan dan menjadi sel kanser.

Justeru di hospitalnya, setiap pesakit diajar melakukan enema kerana ia salah satu rawatan yang penting bagi mengatasi sembelit.

''Membersihkan kolon dengan betul adalah penting. Bersihkan dua kali sehari, Jika tidak boleh cara semula jadi, lakukan enema.

''Bernafas dengan betul dan bersenam akan membuatkan kita lebih bertenaga. Amalkan kehidupan yang gembira dan jangan lemah," katanya.

Awang Jaafar Ketua balai termuda

Posted: 22 Aug 2011 10:27 PM PDT


TEGAS... beliau sentiasa memantau tugas di balai bagi memastikan kelancaran operasi.


DIBERI tanggungjawab untuk mengemudi sebuah balai polis yang terletak di dalam pusat bandar di ibu kota bukan satu perkara yang mudah.

Ia menjadi lebih mencabar apabila masih belum berpengalaman dan tempoh perkhidmatan yang belum genap sedekad.

Namun perkara itu terpaksa dihadapi Ketua Balai Polis Tun H.S Lee, Inspektor Awang Jaafar Awang Salihin yang baru berusia 29 tahun.

Berbanding balai-balai lain, Balai Tun H.S Lee mempunyai tanggungjawab yang agak berat kerana mempunyai dua tempat tumpuan di dalam kawasan pentadbirannya.

Kawasan berkenaan adalah Jalan Petaling yang merupakan tumpuan pelancong dan keduanya, Hentian Puduraya.

Kedua-dua kawasan berkenaan tidak pernah terlepas daripada kejadian jenayah seperti samun, selup saku dan kecurian.

Berikutan itu, Awang Jaafar ketika mula diberikan tanggungjawab sebagai ketua di balai itu terpaksa memerah otak untuk memberikan keselamatan kepada orang ramai di dua kawasan berkenaan.

Sebagai seorang pegawai polis yang cekap dan komited dalam tugasan yang dipikul sejak lima tahun lalu, beliau mempunyai formula sendiri untuk menangani masalah berkenaan.

Awang Jaafar memberitahu, dalam usaha untuk mengawal keselamatan di kawasan Jalan Petaling dan Hentian Puduraya, beliau telah meletakkan pondok polis di kawasan tersebut.

"Ini bagi memudahkan pihak polis berjumpa dengan persatuan peniaga serta pemilik premis berdekatan.

"Saya juga meminta kerjasama daripada pengawal keselamatan yang bertugas di Hentian Puduraya untuk menyalurkan maklumat jika mengesyaki sesuatu.

"Melalui kerjasama itu, kadar jenayah dapat dikurangkan manakala orang awam dan pelancong berasa semakin selamat untuk berjalan-jalan dan membeli belah," katanya kepada Gaya Polis baru-baru ini.

Selain itu, sebagai bos muda, Awang Jaafar juga dipertanggungjawab untuk menjaga kebajikan warga balai yang terdapat di antara mereka yang lebih tua dan sebaya dengan bapanya.

Baginya, ramuan yang penting untuk mentadbir balai adalah keadilan bagi semua pihak kerana ia akan memberikan keberkatan kepada semua pihak termasuk dirinya.

Walaupun menggunakan konsep rakan, tetapi beliau tetap tegas jika terdapat anggota yang menimbulkan masalah dalam tugasan.

Kenaikkan pangkat

Berbanding dengan pegawai lain yang mungkin masih bertugas sebagai pegawai penyiasat, pastinya ada sebab Awang Jaafar telah diberi kepercayaan untuk menjadi ketua balai.

Rezeki kenaikan yang diterimanya berpunca daripada kejayaan beliau dinobat sebagai Pegawai Penyiasat Terbaik Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 2010.

Kejayaan tersebut diperolehi Awang Jaafar ketika usia perkhidmatan beliau baru mencecah empat tahun.

Walaupun agak terkejut dengan kemenangan itu, namun beliau bersyukur kerana segala hasil kerjanya dihargai oleh peringkat atasan polis.

Berkongsi semula ramuan kemenangan tersebut beliau berkata, ketika menjalankan tanggungjawab sebagai pegawai penyiasat, beliau sentiasa berusaha menyelesaikan setiap kes.

Menurutnya, perkara paling penting dalam siasatan ialah ketika merekodkan keterangan daripada tertuduh.

"Ketika merekodkan keterangan saya akan cuba mendapatkan maklumat selengkap mungkin untuk memastikan kertas siasatan dilengkapkan dengan sepenuhnya.

"Ini kerana kertas siasatan yang lengkap tidak akan dipulangkan oleh Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan akan mempercepatkan pertuduhan dilakukan," katanya.

Berikutan sikap Awang Jaafar yang komited dalam menjalankan tugas, belai sering menjadi rujukan pegawai penyiasat lain.

Jika ketiadaan pengawai penyiasat senior (SIO), beliau sering diberi kepercayaan memantau tugasan pegawai penyiasat lain.

Malah beliau juga dipanggil untuk membantu dalam menjalankan siasatan dalam kes berprofil tinggi.

"Walaupun saya tidak menjadi pengawai penyiasat dalam kes-kes berprofil tinggi yang pernah dilakukan namun ia memberi satu pengalaman yang cukup berharga.

"Setiap peluang yang diberikan, akan saya gunakan dengan baik sehingga kejayaan dapat diperoleh melaluinya," ujarnya.

Berikutan kecemerlangan ketika menjalankan siasatan sehingga meraih pegawai penyiasat terbaik, beliau telah dicadangkan untuk bertugas sebagai ketua balai oleh Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Wan Khalid.

Selesa jalani hidup sendiri

Posted: 22 Aug 2011 10:27 PM PDT


DALAM usianya yang sudah mencecah 40 tahun, Jee masih mampu mengekalkan kejelitaannya.


SUDAH menjadi resmi setiap umat Islam yang menyambut Aidilfitri apabila mahu meraikan bulan kemenangan itu dengan insan tersayang.

Bagaikan tidak lengkap sambutan itu seandainya tanpa mereka yang disayangi untuk meraikan bersama-sama bulan yang penuh kemakmuran itu.

Namun, tidak semua insan bertuah berpeluang menikmati detik-detik terindah terutama mereka yang kehilangan ayah dan ibu tercinta.

Pastinya, kerinduan akan menggamit perasaan di kala takbir dan tahmid berkumandang lalu dengan pantas akan mengimbas kembali segala memori indah yang pernah tercipta.

Ketika itulah, air mata yang mengalir deras tanpa dipaksa itu sudah cukup untuk menggambarkan betapa luluh dan pilu perasaan yang datang itu.

Hanya mereka yang berdepan dengan situasi sama sahaja mampu berkongsi dengan insan senasib yang pernah merasai kehilangan itu.

Bagi penyanyi jelita, Fauziah Latiff yang kehilangan arwah ayahnya, Allahyarham Sheikh Abdul Latiff Sheikh Omar Bajrai sekitar tujuh tahun lalu, kerinduan itu tetap dirasai.

Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata apabila setiap kali menjelangnya Syawal, hati wanita penyanyi jelita yang lebih mesra disapa Jee itu pasti akan terusik.

Masih segar dalam ingatannya apabila terkenangkan kekecohan arwah ayahnya itu dalam membuat persiapan menjelang hari raya.

"Semua kelengkapan dan persiapan dia yang akan sediakan. Malah, kalau dia ada di dapur, kesibukannya mengalahkan ibu sehinggakan ibu saya sering memarahinya kerana mengganggu kerja-kerjanya.

"Seperkara yang membuatkan saya tidak boleh melupakan arwah adalah air tangannya yang cukup istimewa terutama kuah lodeh. Itu sudah semestinya santapan wajib saya setiap kali pagi raya.

"Kerana itulah, Syawal meninggalkan kesan yang cukup mendalam buat saya. Selepas arwah pergi, semuanya sudah tidak sama lagi. Semangat untuk menyambut Hari Raya itu seolah-olah turut dibawa pergi oleh arwah," ujar Jee atau nama sebenarnya, Siti Fauziah Sheikh Abdul Latiff ini dalam nada perlahan.

Begitu juga dengan kemeriahan Syawal itu sendiri yang pada hematnya, seolah-olah tidak lagi dirasai kini jika hendak dibandingkan sewaktu zaman bujangnya ketika di kampung halamannya di Johor.

Bagi Jee, nostalgia Syawal pada ketika itu adalah antara yang terindah dan ia akan menjadi kenangan yang akan terus terpahat dalam kotak ingatannya.

Lalu, apabila sesekali bicaranya disulami tawa kecil kerana teringatkan nostalgia indah itu, sudah cukup untuk merumuskan bahawa ia telah meninggalkan kesan yang bukan sedikit untuk Jee.

"Saya memang seorang yang sangat tradisional apabila menyambut Aidilfitri dalam pelbagai aspek. Memang cukup seronok apabila kita dapat mengacau dodol dalam kawah yang besar. Begitu juga dengan penyediaan rendang di luar rumah yang mengundang kemeriahan luar biasa.

"Ibu saya, Ngaisah Ahmad bersama kaum ibu yang lain akan sibuk memasak dan kemudiannya membahagikan dengan jiran tetangga.

"Budak-budak pula akan bermain bunga api dan mercun dengan penuh keriangan di samping memasang pelita di keliling kampung.

"Disebabkan itu, kalau beraya di kampung ketika itu, saya akan menyambutnya dengan penuh semangat. Segala momen indah itu tidak dapat lagi dimiliki oleh generasi baru lebih-lebih lagi untuk mereka yang tinggal di bandar besar seperti Kuala Lumpur," ujar wanita berusia 40 tahun ini sambil mengukir senyuman manis mengimbau kenangan tersebut.

Bercerita lanjut tentang persiapan raya tahun ini pula, ibu kepada dua orang cahaya mata, Jeffri Joaquim Indot, 13, dan Jeremy Jay Indot, 11, itu lebih selesa untuk bersederhana.

Seperti mana tahun-tahun sebelum ini, dia akan menyediakan kelengkapan untuk ibu dan anak-anaknya terlebih dahulu sebelum menyiapkan untuk dirinya.

Apatah lagi, dia dan bekas suaminya, Johan Indot tidak mempunyai sebarang masalah dalam hak penjagaan anak-anak lalu membuatkan mereka senang untuk bertolak-ansur dalam penyediaan kelengkapan anak-anak.

"Kalau kuih raya, saya lebih selesa membelinya manakala juadah wajib seperti rendang, ketupat, lontong dan sayur lodeh, ibu saya akan menyediakannya.

"Buat masa ini, saya sendiri sukar untuk memberikan jawapan di manakah saya akan menyambut raya tahun ini. Sama ada saya akan pulang ke kampung atau ibu saya yang datang ke KL.

"Semuanya belum dapat dipastikan lagi. Selalunya keputusan akan saya lakukan dalam saat-saat akhir," kata penyanyi yang mula menempa kemasyhuran menerusi lagu Digamit Memori pada tahun 1988 ini lagi.

Sekadar mengusik Jee yang terkenal dengan kelembutannya ketika berbicara, tidakkah dia rindu untuk beraya dengan seorang lelaki bernama suami?

Sementelah sudah lebih empat tahun dia menjanda, pasti ramai yang mahu tahu apakah hati Jee sudah dimiliki oleh mana-mana lelaki.

Tidak melatah mahupun melenting, Jee yang sudah lebih 20 tahun menjadi penyanyi itu hanya mampu tersenyum sebelum memberikan jawapannya.

"Jujurnya, saya memang tidak mempunyai sebarang perhubungan dengan mana-mana lelaki buat masa ini.

"Saya selesa dengan kehidupan solo saya dan saya bahagia melaluinya dengan aktiviti harian. Lagipun dalam usia begini, soal jodoh bukan lagi satu keutamaan buat saya.

"Kebahagiaan saya kini adalah bersama dua orang anak lelaki saya yang semakin membesar. Untuk melihat perkembangan mereka di depan mata adalah proses yang cukup istimewa dan membanggakan saya sebagai seorang ibu," kata Jee yang pernah mendirikan rumah tangga sebanyak dua kali ini penuh terbuka.

Harus tebal jiwa Melayu

Posted: 22 Aug 2011 10:26 PM PDT


S. ATAN merupakan salah seorang komposer yang memiliki koleksi lagu-lagu raya popular.


BAGAIKAN tidak lengkap sambutan Aidilfitri tanpa lagu-lagu raya yang berkumandang dan melatari kesibukan menyambut Syawal.

Kuasa lagu raya memang cukup dahsyat. Ia mampu membangkitkan mood dan semangat dalam diri sebahagian besar umat Islam di negara ini yang teruja menghitung menjelangnya hari kebesaran itu.

Biar masa berlalu, ternyata lagu-lagu raya lama terus mendapat tempat walaupun ada karya baru yang dihasilkan setiap tahun.

Barangkali ada yang tidak bersetuju dengan pendapat ini. Bukan bermaksud hendak menidakkan keupayaan komposer baru tetapi sudah terbukti sentuhan komposer terdahulu lebih digemari.

Ada sesetengah lagu yang dihasilkan berusia lebih daripada empat dekad. Namun, ia terus relevan dan segar sehingga ke hari ini.

Malah, generasi baru juga lebih menggemari karya-karya klasik walaupun sebahagian besar daripadanya dicipta lama sebelum mereka dilahirkan.

"Mengapa lagu lama lebih diminati adalah kerana liriknya yang sudah cukup untuk menceritakan suasana raya itu sendiri.

"Kata kunci untuk setiap lagu mudah sahaja iaitu menggunakan perkataan Selamat Hari Raya. Contoh terbaik yang boleh kita lihat adalah menerusi tiga lagu Selamat Hari Raya yang berlainan melodi nyanyian Allahyarham Puan Sri Saloma, Datuk Ahmad Jais dan Allahyarham Fazidah Joned.

"Permainan kata-katanya begitu ringkas, jelas

dan mudah difahami lalu terus melekat dalam jiwa pendengar. Dalam erti kata lain, liriknya adalah straight forward tanpa perlu menggunakan laras bahasa yang berbunga-bunga.

"Pada hemat saya, itu adalah kekurangan yang saya dapat lihat dalam penghasilan lagu-lagu baru masa kini.

"Kerana itu, lagu lama tetap menjadi pilihan termasuk kepada generasi muda," ujar komposer terkenal, S. Atan panjang lebar kepada Mega dalam satu sesi fotografi khas di ibu pejabat Utusan Malaysia, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Apabila memperkatakan tentang S. Atan, siapa yang dapat lupa akan kehebatan lagu-lagu raya ciptaannya termasuklah Dari Jauh Ku Pohon Maaf nyanyian Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Cahaya Aidilfitri (Black Dog Bone), Menjelang Hari Raya (Datuk D.J. Dave), Joget Hari Raya (Herman Tino dan Zaleha Hamid), Inang di Aidilfitri (Sudirman dan Zaleha Hamid) serta Indahnya Beraya Di Desa (Azlina Aziz).

Sekadar menyingkap sejarah, S. Atan atau nama sebenarnya, Hashim Said menjelaskan penglibatannya dalam menghasilkan lagu-lagu raya bermula sewaktu berkhidmat dengan syarikat rakaman EMI sekitar tahun 70-an dan 80-an.

Menjadi seorang komposer, S. Atan memberitahu kreativiti perlu menjadi tunjang utama dalam penghasilan lagu-lagu raya.

Selain lirik, melodi juga memainkan peranan penting dalam memastikan jangka hayat sesebuah lagu itu berpanjangan.

Malah, S. Atan sendiri tidak pernah menyangka dan membayangkan kesemua lagu-lagunya terus kekal dan menjadi kegemaran biarpun berdekad-dekad sudah berlalu.

"Seperti mana yang saya katakan tadi, melodi dan lirik itu perlu seiring dalam membangkitkan mood raya agar ia dapat dirasai oleh pendengar.

"Saya kagum dan tertarik dengan beberapa komposer yang tidak banyak melahirkan lagu-lagu raya. Tetapi ia berjaya mendapat sambutan lalu kekal sehingga ke hari ini.

"Itu membuktikan gabungan melodi dan liriknya perlu ada keserasian untuk muncul sebagai sebuah karya malar segar," katanya sambil memberikan contoh terbaik lagu Satu Hari Di Hari Raya ciptaan dan nyanyian Datuk M. Nasir.

Bukan itu sahaja, S. Atan turut mengagumi karya ciptaan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Allahyarham Ahmad Jaafar, Datuk Dr. Ahmad Nawab, Syed Haron, Omar Taib dan Kassim Masdor yang semuanya sudah bertaraf klasik.

Dalam pertemuan itu, S. Atan tidak keseorangan sebaliknya fotografi itu turut disertai oleh komposer yang cukup sinonim dengan lagu-lagu tradisional iaitu Datuk Suhaimi Mohd. Zain.

Lebih mesra dan dikenali ramai sebagai Pak Ngah, komposer terkenal itu sudah mampu berdiri setanding dengan komposer terdahulu yang telah menghasilkan lagu-lagu raya.

Pak Ngah telah dianggap sebagai komposer alaf baru yang berjaya menghasilkan lagu raya bertaraf malar segar dalam tempoh yang singkat.

Bagaikan tidak wajib sambutan raya seandainya lagu-lagu ciptaannya seperti Sesuci Lebaran, Nazam Lebaran, Airmata Syawal dan Anugerah Aidilfitri yang mana kesemuanya dinyanyikan oleh penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza tidak diputarkan.

"Sama seperti S. Atan, saya sendiri tidak pernah menyangka lagu-lagu ciptaan saya berjaya mencapai taraf malar segar seperti yang diperkatakan itu.

"Resipi saya cukup mudah iaitu setiap karya itu perlu tebal dengan jiwa Melayu. Barulah ia boleh diterima dengan baik.

"Ini kerana sambutan Aidilfitri sudah cukup menggambarkan budaya Melayu itu sendiri dan bagaimana kita menyambutnya.

"Jadi, elemen-elemen itu perlu ada dalam setiap lagu sekali gus untuk membangkitkan semangat Syawal itu sendiri," kata Pak Ngah yang berusia 53 tahun itu lagi sambil dipersetujui S. Atan di sebelahnya.

Mungkin ramai yang menyangka lagu Sesuci Lebaran adalah lagu raya ciptaan pertamanya. Tetapi sebenarnya lagu Nostalgia Aidilfitri nyanyian Datuk Sharifah Aini adalah permulaan segala-galanya.

Ketika itu, S. Atan merupakan penerbit album Nostalgia Aidilfitri milik Biduanita Negara itu yang diterbitkan pada 1996.

Lalu, peluang itu dibuka untuk Pak Ngah mencuba nasibnya dalam menghasilkan lagu tersebut yang juga sudah mencapai taraf malar segar.

"Dari situ, saya mula mendapat peluang dan ketika itu pula, nama Siti Nurhaliza cukup popular.

"Jadi, apabila saya mencipta Sesuci Lebaran pada 1999, ia hadir tepat pada waktunya dan kebetulan pula lagu-lagu etnik juga sedang diminati ramai.

"Dalam menghasilkan lagu-lagu raya, saya perlu mengucapkan terima kasih kepada komposer terdahulu kerana mereka yang menjadi sumber inspirasi buat saya.

"Secara tidak langsung, saya telah meneruskan kelangsungan tradisi lagu raya itu dan Alhamdulillah, ia diterima dengan cukup baik," ujar anak kelahiran Kampung Baru, Kuala Lumpur itu lagi yang turut mendapat pujian S. Atan.

Sempat juga komposer lagu Cindai dan Nirmala itu memberikan buah fikirannya tentang lagu raya baru yang kurang menyengat dan meninggalkan kesan di kalangan pendengar.

Jelas Pak Ngah, semuanya perlu memakan masa yang agak lama untuk sesebuah lagu baru diterima dengan baik dan kekal menjadi sebuah lagu bertaraf klasik.

Mengambil contoh dirinya sendiri yang pernah menghasilkan lagu Gema Lebaran dan Sinar Lebaran yang masing-masing dinyanyikan oleh Erra Fazira dan Noryn Aziz, Pak Ngah memberitahu tidak mustahil lagu itu mampu mendapat tempat kelak.

"Setiap tahun lagu raya semakin banyak dihasilkan dan kalau ia mendapat tempat di corong radio serta kerap diputarkan, saya percaya ia dapat bertahan," jelasnya yang akan membuat persembahan di London selama 10 hari bermula 4 September ini.

Jozan ceriakan puasa anak yatim

Posted: 22 Aug 2011 10:25 PM PDT


JOHAN dan Zizan turut sama memilih pakaian untuk diberikan kepada anak-anak yatim.


KEHADIRAN Ramadan kali ini pastinya tidak akan dilupakan oleh 20 orang anak-anak yatim dari Rumah Bakti, Hulu Klang, Selangor apabila mereka diraikan oleh kumpulan Jozan dalam majlis berbuka puasa anjuran pusat membeli-belah The Curve, baru-baru ini.

Keriangan jelas terpancar di wajah anak-anak yatim berkenaan sebaik sahaja kelibat dua anggota kumpulan Jozan iaitu Johan dan Zizan Raja Lawak muncul di hadapan mereka.

Lantas, suasana di Centre Court, The Curve petang itu bertukar menjadi gamat apabila Johan dan Zizan mula menceriakan anak-anak yatim dengan lawak spontan mereka.

Ternyata aura naib juara program realiti televisyen (TV) Maharaja Lawak itu tetap utuh dalam menggeletek hati anak-anak yatim yang diraikan.

Kegembiraan bukan sahaja dirasai oleh anak-anak yatim berkenaan tetapi turut dikongsi oleh Johan dan Zizan.

Menurut, Johan atau nama sebenarnya Mohamad Yazid Lian Mohd. Aziz, 27, dia merasa amat gembira dan teruja apabila diberi peluang untuk bersama-sama meraikan anak-anak yatim pada hari itu.

Baginya, melihat kegembiraan yang terpancar di wajah anak-anak yatim berkenaan membuatkan dirinya turut disapa rasa berkenaan.

"Apabila tengok mereka tersenyum riang dan gembira, ia membuatkan saya turut merasa gembira dalam meraikan Ramadan ini.

"Lagipun dengan cara ini kita dapat mendekati dan menyerikan hari-hari yang mereka dilalui agar tidak terasa tersisih serta terpinggir.

"Bagi saya, ini adalah pendekatan terbaik untuk kita menunjukkan rasa prihatin terhadap mereka yang kurang bernasib baik supaya mereka ini juga dapat merasai kegembiraan berhari raya," jelas suami kepada aktres Ozlyn itu.

Selain itu, dalam sibuk melayan dan menghiburkan anak-anak yatim berkenaan, Johan sempat meluahkan harapannya untuk melihat mereka berjaya di masa hadapan.

"Saya berharap agar mereka berjaya dalam menempuhi ujian dan dugaan hidup serta berjaya menjadi manusia berguna di masa hadapan.

"Apa pun saya doakan yang terbaik untuk mereka dalam meneruskan perjalanan hidup yang masih pajang," ujar Johan yang akan tampil dalam filem Raya Tak Jadi yang akan ditayangkan pada Aidilfitri nanti.

Sementara itu, bagi aktor kelahiran Terengganu yang menjadi pasangan Johan dalam Jozan, Zizan pula menyatakan rasa berbesar hatinya apabila diundang oleh pihak The Curve untuk bersama meraikan kehadiran anak-anak yatim berkenaan.

Baginya, dia merasa bertuah kerana berpeluang untuk meraikan bulan yang mulia ini bersama dengan anak-anak yatim berkenaan.

"Bertuah rasanya apabila dapat menceriakan mereka agar kehadiran Ramadan dapat dikongsi bersama.

"Dengan cara ini kita dapat buat mereka rasa dihargai dan disayangi sama seperti kanak-kanak lain yang lebih bernasib baik," ujar jejaka yang pernah digosipkan dengan aktres jelita Juliana Evans itu.

Tambahnya, dia merasa bangga apabila dapat membuatkan anak-anak yatim berkenaan tersenyum riang dalam menanti gema azan Maghrib untuk berbuka puasa.

Dalam majlis itu, anak-anak yatim berkenaan bukan sahaja disajikan dengan juadah berbuka puasa oleh Restoran Bubba Gump Shrimp Co. , malah mereka turut diberikan persalinan bagi menyambut Aidilfitri nanti yang ditaja oleh Little Haven dan The Curve.

Selain itu, bagi melengkapkan diri untuk bergaya di pagi Syawal nanti, mereka turut diberikan perkhidmatan menggunting rambut oleh Kwikcut.

Sementara itu, Penolong Pengurus The Curve, Jazmi Kamarudin berkata, majlis berkenaan adalah kesinambungan yang dilakukan oleh The Curve dalam menyambut Ramadan dan ketibaan Syawal.

Jelasnya, acara meraikan anak-anak yatim dilakukan oleh The Curve saban tahun bermula daripada berdirinya kompleks membeli-belah itu pada tahun 2005.

"Setiap tahun di bulan Ramadan kita akan meraikan anak-anak yatim dari rumah-rumah kebajikan yang terpilih.

"Kita mahu mereka juga merasakan nikmat Ramadan dan kemeriahan Aidilfitri sama seperti insan lain dan sebab itu kita jadikan majlis ini sebagai rutin tahunan.

"Kita tidak mahu mereka yang kurang bernasib baik ini merasa terpinggir dan rendah diri apabila tibanya hari lebaran nanti," katanya.

Namun, tambah Jazmi, majlis itu juga adalah sempena pelancaran kempen promosi Hari Raya The Curve.

"Majlis ini kita lancarkan sekali dengan promosi Raya tahun ini yang bertemakan Le Souq iaitu sebuah bazar di negara Timur Tengah di mana bermula 5 Ogos lalu sehingga 4 September depan pelanggan yang berbelanja lebih daripada RM100 akan diberikan hadiah istimewa," ujarnya.

Ana Raffali bakal hibur tetangga

Posted: 22 Aug 2011 10:23 PM PDT


Ana Raffali tidak kekok melayan penghuni RACTAR pada majlis berbuka puasa di Subang, baru-baru ini.


ANA sudah beli bahan untuk buat biskut tapi tak ada masa nak buat lagi," itulah kata Ana Raffali apabila ditanya tentang persiapan raya.

Ana yang ditemui sempena majlis berbuka puasa Mamee Double Decker (M) Berhad bersama 55 orang anak-anak yatim Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah (RACTAR), Subang di sini berkata, tahun ini dia berazam untuk membuat biskut keju, candy dan coklat chip.

Ana atau nama sebenarnya Ana Nur Hidayah Mohd. Raffali, 26, berkata, biskut tersebut adalah kegemarannya yang dipelajari daripada arwah kakak, Wilma Halira yang meninggal dunia lapan tahun lalu.

"Dulu-dulu bila arwah kakak buat biskut, Ana suka tolong juga tapi banyak yang masuk mulut. Masa sekolah menengah, ada minat buat biskut tapi tidak pernah buat.

"Ana mula buat biskut sewaktu belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam. Mula-mula buat dulu ada yang terpenyek, terkeras dan macam-macam rasa. Tapi bila arwah kakak kata okay dengan biskut buatan Ana, hati kembang waktu itu," ceritanya.

Justeru itulah, kata Ana, dia akan cuba mencari masa untuk membuat biskut tersebut kerana ahli keluarga lain juga sudah mengidam untuk makan biskut buatannya.

Raya tahun ini juga Ana dan komuniti penduduk dari Jalan 8, 10 dan 11, Lembah Keramat akan mengadakan rumah terbuka pada 24 Ogos nanti.

"Tidak sabar rasanya nak tunggu tarikh itu, sebab sudah lama Ana merancang untuk menghibur jiran tetangga kerana mereka banyak memberi sokongan kepada Ana, tidak kira kecil atau besar," katanya ceria.

Ana yang hanya mempromosi lagu raya tahun lalu, Hari Hari Hari Raya pada tahun ini berkata, dia tidak perlu kecoh untuk membeli baju raya seperti orang lain.

Ini kerana penyanyi yang gemar memakai baju kurung itu berkata, kalau tidak sempat membeli pakaian baru untuk raya, dia akan memakai baju lama.

"Kalau tidak sempat membeli baju raya, Ana ulang tayang pakai baju show je. Lagipun baju show Ana pun baju kurung atau kebaya yang memang sesuai untuk raya," katanya tersenyum.

Penyanyi yang berlakon sebagai Rosnani atau Rose dalam teater muzikal Kenangan Mengusik Jiwa 60an (KMJ 60an) di Istana Budaya berkata, tiap kali raya mereka sekeluarga akan beraya di kampung sama ada di Kuantan, Pahang atau Jelebu, Negeri Sembilan.

"Raya di kampung seronok sebab suasananya berbeza dengan di sini. Kali ini seronok sebab adik yang belajar di Moscow, dah habis belajar. Dulu enam tahun dia di sana. Tiap kali raya kami akan hantar video raya untuk dia dan kakak yang berada di India," katanya.

Bercerita pengalaman raya terindah dalam hidupnya berlaku pada tahun 2006 ketika dia menyertai program pertukaran budaya di Jepun yang turut disertai oleh pelajar dari Amerika Syarikat.

"Waktu itu raya. Ana dengan seorang kawan terpilih ke sana selama empat bulan. Ada kekawan nak buat parti, jadi Ana telefon emak tanya cara nak buat ayam masak merah. Kiranya, Ana yang jadi chef dan kawan membantu," katanya ceria.

Dalam pada itu, Ana yang masih merahsia siapa teman lelakinya berkata, sempena hari raya ini sudah pasti dia akan berkunjung ke rumah tersayang.

Kata Ana, setakat ini mereka belum merancang untuk mendirikan rumah tangga kerana belum bersedia.

Adam, Syazwan, Talha dan Idzlan hantu mercun

Posted: 22 Aug 2011 10:22 PM PDT



Jika disebut nama Adam Shah, Syazwan Zulkifly, Talha Harith dan Idzham Ismail, mungkin ada yang berkerut dahi sambil membayangkan siapakah gerangan mereka berempat.

Namun, apabila sebut saja nama Ayam, Apek, Black dan Panjang, pasti ramai yang kembali mengingati wajah-wajah nakal yang membintangi drama Juvana di TV3 sedikit masa lalu.

Sejak tamatnya drama berkenaan, peminat mula memberikan perhatian terhadap bakat lakonan yang dimiliki empat pemuda terbabit.

Pertemuan semula Adam, Syazwan, Talha dan Idzham dalam program rakaman Melodi Raya, baru-baru ini, menjadikan suasana gamat dengan keletah mereka.

Masakan tidak, kesemuanya yang masih muda sangat akrab dan mempunyai 'kepala' yang sama sejak terbabit dalam drama yang berjaya mencatat 'rating' tertinggi iaitu 4.2 juta penonton.

Apabila berkongsi kisah mengenai Syawal yang bakal tidak lama lagi, masing-masing mempunyai satu persamaan iaitu suka bermain mercun sewaktu kecil.

Menurut Adam, dia masih tidak dapat melupakan kejadian baju Melayunya terbakar akibat dibaling dengan mercun oleh sepupunya.

"Oleh sebab takut ibu marah, saya pulang ke rumah tanpa memakai baju Melayu dan memberi alasan baju saya dicuri.

"Rupa-rupanya ibu saya tetap marah dan apa yang paling melucukan ialah sehingga sekarang ibu saya masih tidak mengetahui kejadian sebenar," katanya mengimbau kenangan ketika berada dalam darjah empat itu.

Sementara kisah Idzham yang memegang watak Panjang tidak kurang menariknya kerana dia hampir-hampir menjadi mangsa mercun ketika di tingkatan satu.

"Ketika itu, saya bermain mercun roket yang ditanam di dalam pasu dengan harapan ia akan terbang lebih tinggi.

"Namun, sebaliknya yang berlaku kerana mercun itu terbang ke arah saya dan hampir mengenai muka," katanya yang tidak serik untuk bermain mercun selepas kejadian itu.

Tidak ketinggalan adalah kisah nakal Talha dan sepupunya yang leka bermain mercun tanah pada malam raya sehingga tidak menyedari kehadiran polis.

"Mercun tersebut ditanam di dalam tanah dan menghasilkan gegaran kuat sehingga orang di dalam rumah pun dapat merasainya.

"Tak sangka pula ada anggota polis yang meronda, apa lagi lintang pukanglah kami berlari kerana ketakutan," katanya.

Jika rakan-rakan lain dengan beraninya bermain mercun, lain pula kisahnya dengan si pemegang watak Apek, iaitu Syazwan.

"Saya main mercun juga tetapi saya tidak berani mencuba mercun yang agak berbahaya seperti meriam buluh dan sebagainya.

"Apa pun, saya tetap seronok memerhatikan kawan-kawan bermain mercun kerana barulah terasa kemeriahannya berhari raya," katanya.


Konvoi raya budak Juvana

Jangan tidak tahu, keempat-empat pelakon Juvana ini sememangnya rapat di luar lokasi sehingga bercadang untuk berhari raya bersama-sama.

Menurut Talha, rakan-rakannya yang lain akan berkumpul di Melaka dahulu sebelum berkunjung ke rumahnya di Johor.

"Secara kebetulan mereka bertiga berasal dari Melaka, maka senanglah untuk berkumpul dan gerak bersama.

"Kemungkinan mereka akan beraya di rumah saya pada hari raya keempat atau kelima dan berada di sana selama beberapa hari," katanya.

Selain berhari raya di rumah kawan-kawan, Adam berkata, konvoi yang dilakukan juga dapat mengeratkan hubungan dengan peminat.

"Setakat ini, kami masih belum pernah berjumpa peminat di Melaka dan Johor, jadi inilah masanya yang sesuai untuk kami beraya bersama mereka.

"Jika ada rezeki lebih, saya akan mengadakan rumah terbuka khas untuk peminat pada hari raya ketiga yang turut dihadiri rakan-rakan Juvana," katanya.

Menurut Adam, peminat yang tidak mahu melepaskan peluang beraya bersama mereka boleh mengikuti perkembangan semasa di laman Twitter dan Facebook.

Monster.com lancar aplikasi cari kerja

Posted: 22 Aug 2011 10:22 PM PDT



Monster yang merupakan pembekal penyelesaian kerjaya dan pengambilan pekerja dalam talian melancarkan aplikasi Android untuk majikan dan pencari kerja mencari calon atau kerja yang bersesuaian terus di telefon bimbit.

Syarikat itu berkata, aplikasi mudah alih Monster adalah saluran terbaik, fleksibel dan memudahkan pengguna untuk mengikuti perkembangan terkini tentang peluang pekerjaan yang ada pada bila-bila masa dan semua maklumat boleh diperoleh hanya di hujung jari.

"Monster.com mengambil kesempatan sebagai pelopor dalam bidang ini dengan melancarkan aplikasi Android dan portal wap untuk majikan dan pencari kerja," katanya dalam satu kenyataan media.

Aplikasi Android Monster boleh dimuat turun secara percuma di Google Android marketplace.

Pengarah Urusannya, Sanjay Modi berkata, aplikasi Android menggabungkan pencarian dalam talian tradisional dengan teknologi mudah alih untuk memenuhi keperluan warga kerja yang sentiasa bergerak dan celik IT.

"Pada hari ini, pasaran telefon bimbit dan telefon pintar sedang berkembang pada kadar yang luar biasa dan Android diramal menjadi peneraju.

"Justeru, berasaskan potensi masa depan Android, aplikasi Monster baru ini memberi peluang kepada kami untuk mencapai lebih ramai pencari kerja, menerusi landasan yang semakin kerap mereka gunakan," katanya.

Menurutnya, Monster sentiasa berusaha mempelopori inovasi, memastikan pelanggan menjadi tumpuan setiap inisiatif yang dilaksanakan.

Aplikasi ini akan berfungsi sebagai tempat meninjau peluang pekerjaan bagi pencari kerja manakala membantu majikan mencari, menyenaraikan, menghubungi dan berinteraksi dengan bakal calon.

Optimis penggunaan data meningkat

Posted: 22 Aug 2011 10:21 PM PDT



Celcom Axiata Berhad (Celcom) optimis pertumbuhan penggunaan data ke atas pelanggan di kalangan telefon pintar akan mencecah 20 peratus sehingga hujung tahun ini.

Ketua pegawai pemasarannya, Zalman Aefendy Zainal Abidin berkata, ketika ini, 15 peratus daripada 900,000 pengguna jalur lebar Celcom menggunakan perkhidmatan data di telefon bimbit dan pengenalan Samsung Galaxt Tab 10.1 bakal meningkatkan lagi jumlah itu.

"Secara tidak langsung, penggunaan tablet semakin menjadi pilihan dan kemunculan :model Samsung Galaxy Tab 10.1 ini, menggalakkan penggunaan data di kalangan pengguna baru dan sedia ada," katanya selepas menjalinkan kerjasama sebagai telco pertama bagi Samsung Galaxy Tab 10.1 pasaran Malaysia, di Kuala Lumpur.

Menurutnya, gaya hidup pengguna yang semakin menunjukkan minat terhadap penggunaan tablet juga adalah salah satu faktor utama peningkatan ke atas jumlah penggunaan data.

"Sebelum ini, kami melancarkan tablet dan lebih 20,000 berjaya dijual dalam tempoh tiga bulan. Jadi untuk model ini kami menjangkakan ia mampu dijual lebih daripada itu," katanya penuh yakin.

Pengarah Urusan Samsung Elektronics Sdn Bhd, Kwon Jae Hoon berkata, pengenalan Samsung Galaxy Tab 10.1 akan terus mengukuhkan lagi penguasaan Samsung bagi pasaran tablet.

"Samsung Tablet 10.1 ini memberi lebih: nilai kepada pelanggan kerana model: paling nipis dan ringan dengan berat hanya 595gram, sekali gus menguasai pasaran tablet dunia," katanya.

Samsung Galaxy Tab 10.1 ditawarkan dengan harga serendah RM1,468 untuk pelanggan yang melanggan pakej jalur lebar Celcom manakala RM1,899 secara runcit.

Yakin capai sasaran

Posted: 22 Aug 2011 10:20 PM PDT



Hua Yang Berhad, syarikat pemaju hartanah optimis capai sasaran jualan sebanyak RM350 juta menjelang penghujung tahun kewangannya yang berakhir Mac 2012.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ho Wen Yan berkata, syarikat itu yakin dapat terus berkembang dalam segmen kediaman mampu milik dengan :mencapai jualan RM350 juta berdasarkan sumbangan daripada operasi perniagaannya di seluruh negara.

"Berdasarkan ramalan kami, projek di Johor dan Perak dijangka menyumbang sehingga RM150 juta, manakala :operasi di Lembah Klang akan menyumbang RM200 juta menjelang penghujung tahun kewangan ini," katanya.

Bagi suku pertama berakhir 30 Jun lalu, Hua Yang Berhad mencatatkan peningkatan hasil 66 peratus kepada RM61.751 juta dan untung sebelum cukai RM15.259 juta.

Jualan yang dicapai setakat penghujung suku pertama tahun :kewangan 2012 berjumlah RM163.8 juta, di mana 232 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama dalam tahun sebelumnya dan bersamaan :dengan 53 peratus daripada keseluruhan jualan yang dicapai dalam tahun kewangan sebelumnya.

Penyumbang utama kepada prestasi jualan adalah One South di Sungai Besi, yang merupakan :pembangunan: kemegahan Hua Yang di Lembah Klang.

Fasa 2 One South yang terdiri daripada dua blok pangsapuri servis dengan jumlah nilai pembangunan kasar, RM160 juta telah 100 peratus ditempah.

Pelanggan setia menangi BMW 532i

Posted: 22 Aug 2011 10:18 PM PDT


ARTHUR REYNOLDS menunjukkan tanda bagus setelah memenangi kereta BMW 523i di Kuala Lumpur baru-baru ini.


KUALA LUMPUR - Seorang ahli perniagaan yang juga pelanggan bank Standard Chartered, Arthur Reynolds, 65, berjaya membawa pulang sebuah kereta BMW 532i bernilai lebih RM380,000 melalui peraduan Deposit Rangkaian Mesin Teler Automatik (ATM) Yang Dikongsi MEPS (MEPS SAN).

Beliau yang merupakan bekas juruterbang adalah pelanggan setia bank Standard Chartered sejak tahun 1972 dan pernah memiliki pelbagai akaun simpanan dan akaun semasa bersama bank berkenaan.

Menurut Reynolds, sebagai pengguna tetap fasiliti perbankan online bank berkenaan, beliau mendapati bahawa ia adalah satu kemudahan yang selamat dan mesra pengguna.

"Saya sangat berterima kasih kepada Standard Chartered untuk peraduan ini yang sangat inovatif dan diharap pihak bank akan menganjurkan lebih banyak promosi menarik pada masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini baru-baru ini.

Peraduan tersebut dianjurkan bersempena rancangan penambahbaikan bank Standard Chartered dalam MEPS SAN yang menyaksikan pelanggannya kini mempunyai akses kepada lebih daripada 10,000 ATM di seluruh negara.

Ia terbuka kepada semua pelanggan yang membuka akaun simpanan atau akaun semasa dengan minimum baki sebanyak RM5,000 dan pelanggan sedia ada dengan setiap penambahan RM5,000 pada baki akaun mereka.

Pelanggan yang berdaftar untuk saluran perbankan online atau perkhidmatan eStatement Standard Chartered pula mempunyai dua kali ganda peluang untuk menang.

Sementara itu, Ketua Negara Perbankan Pengguna, Standard Chartered Bank Malaysia, Tiew Siew Chuen berkata, kempen yang dimulakan dari 1 Januari hingga 30 April itu telah menerima sebanyak 1.25 juta penyertaan daripada lebih 35,000 pelanggan.

"Kempen ini juga memupuk semangat cintakan alam sekitar dengan 30 peratus daripada peserta berubah kepada perbankan online dan eStatement.

"Matlamat kami adalah untuk terus mempromosikan penyelesaian perbankan online untuk kemudahan pelanggan di mana jua mereka berada," katanya.

Syarikat lari, duit melabur lesap

Posted: 22 Aug 2011 10:16 PM PDT


SHAIFUL AZMAN (tiga dari kiri) bersama lima lagi mangsa syarikat ternakan lembu menunjukkan laporan polis pada sidang media di Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA – Enam individu yang ingin menjadi usahawan ternakan lembu di bawah kendalian sebuah syarikat yang menawarkan skim tersebut kira-kira empat tahun lalu terpaksa berputih mata apabila syarikat terbabit menyepi tanpa sebarang berita.

Bukan itu saja, nasib malang mereka bertimpa apabila wang komitmen sebanyak RM85,000 yang telah diserahkan kepada sebuah syarikat yang menawarkan khidmat latihan usahawan perladangan turut hangus.

Menurut seorang mangsa, Shaiful Azman Ismail, 27, syarikat berkenaan enggan memulangkan wang komitmennya sebanyak RM15,000 yang dibayar pada 2007 untuk menyertai skim fid lot yang ditawarkan.

Jelasnya, skim berkenaan menawarkan kursus latihan dua bulan di samping menyediakan ternakan 100 ekor lembu, 10 ekar tanah yang memuatkan kandang dan rumah kepada peserta.

"Dua bulan selepas membayarnya, saya tidak dapat sebarang berita mengenai program itu serta langsung tidak dipanggil untuk mengikuti kursus," dakwanya ketika ditemui di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di sini semalam.

10,000 bomba bertugas

Posted: 22 Aug 2011 10:15 PM PDT


CHEE HEUNG (tengah) mencuba peralatan khas bagi membuka pintu kereta ketika waktu kecemasan di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Sebanyak 80 peratus atau 10,090 orang daripada 12,622 anggota bomba dan penyelamat telah diarahkan bertugas sepanjang musim perayaan menerusi Ops Raya 2011 selama dua minggu bermula semalam sehingga 6 September depan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung berkata, jumlah tersebut turut melibatkan seramai 117 anggota unit udara jabatan itu dengan tujuh buah helikopter serta 258 buah balai bomba bertindak sebagai pusat operasi di setiap negeri.

"Objektif utama operasi ini ialah memastikan semua lokasi kemalangan maut termasuk kawasan perumahan dipantau dengan rapi bagi membolehkan tindakan pantas diambil sekiranya berlaku kemalangan.

"Saya berharap dengan kehadiran jumlah anggota yang ramai dapat memberi keyakinan kepada orang ramai bahawa kita mampu memberikan masa respons dengan cepat," katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Ops Raya 2011 di Plaza Tol Sungai Besi di sini semalam.

Pada majlis itu, beliau turut menyaksikan demonstrasi menyelamat melibatkan pasukan bomba, polis, Jabatan Pertahanan Awam, Kementerian Kesihatan dan PLUS Expressways Berhad.

Program TAPS, STAR dilancar

Posted: 22 Aug 2011 10:12 PM PDT


NAJIB, Muhyiddin dan Mohd. Sidek bermesra dengan sebahagian pelajar tajaan JPA pada majlis pelancaran TAPS dan STAR di Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA - Datuk Seri Najib Tun Razak semalam melancarkan dua inisiatif utama untuk membolehkan pemegang biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memainkan peranan penting dalam menggerakkan transformasi negara.

Perdana Menteri berkata, program dikenali Talent Acceleration in Public Service (TAPS) dan Scholarship Talent Attraction and Retention (STAR) dirangka untuk menyediakan peluang-peluang menarik kepada pemegang biasiswa memajukan kerjaya masing-masing dalam bidang-bidang utama menerusi Program Transformasi Kerajaan (PTK) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) apabila mereka tamat pengajian.

Beliau berkata, TAPS adalah satu inisiatif JPA sebagai sebahagian daripada usaha mentransformasi perkhidmatan awam menjadi satu kerjaya pilihan. Menerusi program itu pemegang biasiswa JPA yang cemerlang akan dipilih untuk mengendalikan isu-isu dasar awam dan projek berkeutamaan tinggi.

"Saya pasti ramai daripada anda di sini mengagumi kedudukan dalam perkhidmatan awam dan ia adalah platform yang tepat," katanya ketika melancarkan kedua-dua program itu di sini semalam.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

TAPS adalah inisiatif bersama diketuai JPA bersama Razak School of Government (RSOG) dan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) bagi menarik dan membimbing pemegang-pemegang biasiswa JPA yang cemerlang menyertai perkhidmatan awam.

Najib berkata, menerusi TAPS, pelajar-pelajar pintar itu akan disandarkan kepada pegawai-pegawai kanan awam yang akan menjadi mentor mereka.

Kumpulan pertama program itu melibatkan 40 pelajar cemerlang dan ia akan dimulakan Oktober ini.

Seminggu beraya di Bangkok

Posted: 22 Aug 2011 10:10 PM PDT



AIDILFITRI berlainan makna bagi Intan Ladyana, 29, yang menyambutnya di luar negara. Berbeza bagi sesetengah daripada kita yang pulang ke Malaysia semata-mata untuk merayakan Aidilfitri bersama sanak-saudara tercinta di kampung halaman.

Namun begitu, bukan sengaja Intan atau empunya nama sebenar Intan Nurladyana Mohamad Yahaya memilih lokasi tersebut untuk menyambut lebaran yang muncul hanya sekali setahun.

Salasilah keturunan yang membuatkan Intan tertawan dengan negara jiran sebelah Malaysia iaitu Thailand. Benar! Keluarga sebelah ibunya memiliki darah daripada penduduk Thailand.

"Itupun sudah jauh daripada beberapa generasi terdahulu, mungkin kerana tempat itu sangat nostalgia bagi keluarga sebelah ibu maka setiap tahun mesti beraya di sana," katanya yang hampir setiap tahun beraya di Bangkok, Thailand.

Intan yang berdarah kacukan Thailand sebelah ibunya, Wan Zurina Wan Isa, 50-an, sempat berkongsi cerita keunikan beraya di sana.

"Pastinya akan ada sangat ramai saudara-mara yang akan berkumpul untuk meraikan hari raya seperti mana di kampung-kampung kalau di Malaysia.

"Lebih kurang 30 orang kalau tak salah sepupu dan saudara sebelah ibu dan biasanya setiap hari raya pertama kami akan berkongsi-kongsi hadiah," ujarya.

Hadiah yang dimaksudkan tidak semestinya hadiah mewah dan mahal-mahal, cukup sekadar tanda ingatan setelah hampir setahun berpisah dan sibuk dengan urusan masing-masing, kata Intan lagi.

"Konsepnya mudah saja, kami buat seolah-olah cabutan bertuah dan pastinya setiap orang akan mendapat hadiah. Sama juga sebenarnya jika hanya bertukar-tukar hadiah tapi cara ini lebih seronok dan meriah," cerita Intan bersungguh-sungguh.

Tempoh berada di tanah tumpah moyangnya itu bagaimanapun cuma mampu diluangkan kurang daripada seminggu berikutan kesibukan kariernya.

"Biasanya hanya empat atau lima hari Intan akan beraya di Thailand dengan saudara-mara sebelah ibu, dan selebihnya di Kuala Lumpur," tambah Intan.

Tiada ketupat


INTAN LADYANA hanya akan ke rumah keluarga Kamal Adli di hari raya nanti jika dia mempunyai masa terluang.


Raya pertama di Bangkok seolah-olah perayaan kecil-kecilan bagi masyarakat minoriti yang menganut agama Islam di sana.

Kata Intan, tidak terasa bahang dan kemeriahan raya di Thailand tambahan pada hari raya pertama bukanlah cuti umum.

"Maka, majoriti penduduk di sana memakai pakaian yang kebiasaan dipakai sehari-hari seperti orang di Malaysia begitu juga kami sekeluarga.

"Tak ada baju kurung, baju Melayu atau pakaian yang istimewa seperti yang kita pakai apabila Hari Raya Aidilfitri di Malaysia," keluhnya.

Bukan itu saja, juadah lazat yang hanya terhidang di kala pagi lebaran juga tiada yang menarik melainkan makanan ruji masyarakat di sana.

"Lainlah kalau ada antara kami yang sudi bawakan masakan khas hari raya seperti ketupat, rendang, lemang dan sebagainya.

"Jika tidak, raya pertama seolah-olah hari biasa cuma mungkin kami sekeluarga akan makan besar beramai-ramai," getus Intan.

Rutin pagi raya yang lazimnya mengamalkan amalan kunjung mengunjung antara jiran tetangga juga turut berubah di sana.

Oleh kerana seluruh keluarga Intan telah berkumpul bersama maka secara automatiknya tiada siapa yang boleh mereka lawati sepanjang sambutan Syawal.

"Tapi, aktiviti terluang kami diisi dengan program shopping besar-besaran, bukan kerana murah atau tawaran potongan harga sempena perayaan tapi itu sudah menjadi kewajipan bagi kami apabila berkumpul sekali," katanya yang gemarkan fesyen yang pelbagai dari Thailand.

Kamal Adli

Ditanya adakah Intan akan menyambut lebaran tahun ini bersama insan istimewa antaranya aktor kacak, Kamal Adli, lantas jawapan jika ada kelapangan diberi.

"Tengok dulu kalau ada masa, insya-Allah kami akan beraya bersama," ujarnya ringkas.

Hubungan antara Intan dan Kamal yang terjalin lebih dua tahun setengah itu masih utuh dan mementingkan persefahaman saban hari.

"Masing-masing faham dengan tugas, dia pun sibuk dan begitu juga Intan. Kadang-kadang kami langsung tidak sempat berjumpa dan hanya berhubung melalui SMS (khidmat pesanan ringkas) atau BBM (Black Berry Messenger) setiap hari," ujar Intan yang percaya akan kesetiaan kekasihnya itu.

Berbalik pada rutin harian Intan sepanjang bulan Ramadan, cerita gadis itu tiada apa yang membezakan bulan penuh keberkatan ini untuk melaksanakan tuntutan harian walau akan sedikit kepenatan.

"Maka apabila bersahur Intan hanya akan banyak meminum air suam berbanding air manis bagi menyediakan badan untuk kekal aktif sepanjang hari.

"Tapi, apabila saat berbuka pastinya Intan akan lupa diri dan ketika itulah semua makanan di depan mata kelihatan sangat sedap," kata Intan yang menggemari ayam percik, putu piring dan tepung pelita di kala bulan Ramadan.

Raya bersama rockers

Posted: 22 Aug 2011 10:10 PM PDT


MANTAP. Dari kiri: Mael, Mus dan Nash.


KEMERIAHAN raya semakin dirasai. Berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, tahun ini TV3 tampil dengan program raya muzikal istimewa 3 Gegaran yang menampilkan tiga kumpulan rock legenda seperti kumpulan May, Lefthanded dan XPDC.

Selepas 15 tahun, buat pertama kalinya tiga kumpulan rock legenda ini berkongsi pentas yang sama dalam program yang dirakamkan pada Julai lalu.

Meskipun tanpa baju Melayu dan songkok sebaliknya mereka tampil dengan imej rock dan rambut panjang mengurai, bukan satu halangan untuk mereka menghiburkan penonton pada hari raya.

Menurut vokalis kumpulan Lefthanded, Nash, pertemuannya di pentas bersama rakan-rakan Lefthanded, May dan XPDC merupakan yang pertama kali dalam masa 15 tahun.

"Saya rasa semua yang membuat persembahan untuk program ini teruja kerana sudah lama tidak jumpa. Saya ucapkan terima kasih kepada pihak TV3 kerana mewujudkan idea untuk kami semua tampil dalam satu pentas," ujarnya yang mengatakan mereka langsung tidak berkesempatan untuk berlatih bersama sebelum program itu dirakamkan.

Lefthanded yang mempersembahkan lagu hits mereka seperti Ku Di Halaman Rindu dan Tiada Lagi Kidungmu itu bakal mengadakan konsert jelajah dan mengeluarkan dua single terbaharu tidak lama lagi.


KANAN: Grup XPDC masih mempunyai sengat tersendiri.


"Kami merancang untuk mengadakan konsert jelajah pada tahun 2012, setakat ini semuanya masih dalam perbincangan, kalau tidak ada aral melintang mungkin Lefthanded, May dan XPDC akan bersatu sekali lagi tetapi di pentas konsert pula," balasnya.

Kumpulan May pula tidak kurang hebatnya. Mereka menghiburkan penonton dengan barisan lagu seperti Dari Kacamata, Pelayaran, Sinar dan lagu hit Cintamu Mekar Di Hati.

May yang diwakili vokalisnya, Mus menjelaskan mereka sememangnya tertunggu-tunggu peluang untuk beraksi bersama dalam sebuah program seperti ini.

"Kumpulan May memang masih aktif, setakat ini apa yang dirancangkan adalah konsert seperti yang diberitahu oleh Nash.

"Bagi saya rock kapak tidak pernah mati sebaliknya ia menjadi irama malar segar yang tidak pernah pupus. Buktinya sehingga ke hari ini orang ramai masih mencari lagu-lagu kami. Syukur, sepanjang May ditubuhkan tidak ada satu persembahan kami yang hambar, semuanya mendapat sambutan daripada penonton," katanya.

Sebuah lagi kumpulan yang pernah menggegarkan industri muzik tanah air, XPDC juga tidak ketinggalan menghiburkan penonton dengan seleksi lagu berhantu mereka seperti Semangat Yang Hilang, Apa Nak Dikata, Talam Dua Muka dan Hidup Bersama.


UNGGUL. Nash (tengah) diapit pemain gitar Lefthanded, Man Kidal (depan) dan pemain bass, Yan.


Walaupun lama sudah tidak menyaksikan kumpulan XPDC beraksi secara langsung bersama vokalisnya Mael, ternyata persembahan mereka tidak menghampakan malah, berjaya membawa penonton mengimbas kembali ke zaman kegemilangan mereka.

"Satu penghormatan buat saya dan juga ahli XPDC yang lain kerana rasanya sudah terlalu lama kami tidak membuat persembahan secara langsung di kaca televisyen.

"Alhamdulillah, peminat XPDC masih setia meskipun kami tidak muncul dengan lagu baharu sebaliknya mereka masih setia dengan lagu-lagu lama kami. Kalau tidak ada aral melintang kami akan muncul dengan lagu baharu," katanya.

Persembahan penutup, penonton dihiburkan dengan ketiga-tiga kumpulan membuat persembahan bersama dengan mendendangkan lagu daripada kumpulan Deep Purple, Smoke On The Water.

Penerbit program 3 Gegaran, Khalijah Mohamed memberitahu selepas dua tahun berturut-turut mereka menampilkan program muzikal raya yang sama, tahun ini mereka mencari kelainan.

"Rasanya ini pertama kali untuk program raya kami membina tiga pentas untuk tiga buah kumpulan. Mereka tidak berkongsi pentas yang sama.

"Program ini akan mengubat kerinduan peminat May, Lefthanded dan juga XPDC selain menyuntik elemen berbeza untuk program raya. Kami yakin program ini akan ditonton orang ramai kerana kami menampilkan kumpulan rock legenda yang jarang-jarang muncul di kaca televisyen," ujar Khalijah.

Program 3 Gegaran akan disiarkan pada 4 September bersamaan dengan hari raya keenam pada pukul 5 petang di TV3.

Ainul Aishah buka kedai ketika Hari Raya

Posted: 22 Aug 2011 10:09 PM PDT


AINUL AISHAH kini menumpukan perhatian kepada bisnes Tutti Frutti milik keluarganya.


DIKENALI sebagai seorang pelakon wanita yang cukup berbakat dan mempunyai potensi besar dalam bidang lakonan, namun semenjak kebelakangan ini penampilan Ainul Aishah kini dilihat semakin berkurangan sama ada di kaca televisyen atau di layar perak.

Selain mencipta nama sebagai dramatis yang sudah membintangi pelbagai drama, pelakon berkenaan juga sudah tampil dengan beberapa buah filem seperti Nana Tanjung, Nana Tanjung 2, Otai, Skrip 7707 dan Histeria.

Berkesempatan menemui pelakon berkenaan dalam satu majlis berbuka puasa baru-baru ini, Ainul memberitahu buat masa ini dia sememangnya tidak terlibat langsung dalam sebarang aktiviti seni.

"Saya akui yang sekarang ini saya langsung tidak berlakon sama ada drama ataupun filem. Namun, saya bukanlah mahu terus berhenti berlakon dan akan kembali semula apabila sudah bersedia.

"Kalau nak dikatakan saya merajuk dengan industri lakonan juga adalah tidak benar sama sekali. Sebaliknya, sekarang ini saya mahu memberikan lebih tumpuan kepada perniagaan yang dijalankan bersama ahli keluarga," jelasnya.

Menurut pelakon yang bernaung di bawah syarikat pengurusan Aquila Emas Sdn. Bhd. itu lagi, semenjak membuka rangkaian kedai makanan yogurt Tutti Frutti di Bandar Baru Bangi, Selangor pada Februari lalu, perniagaannya itu sekarang semakin berkembang.

Jelas Ainul, sambutan yang diterima daripada orang ramai ternyata sangat menggalakkan dan disebabkan itu buat masa ini dia lebih senang memberi tumpuan sepenuhnya kepada perniagaannya itu.

"Boleh dikatakan saya sangat berpuas hati dengan perniagaan yang diceburi ini. Malah, saya dan ahli keluarga yang lain juga merancang untuk membuka rangkaian kedai kami yang kedua di Nilai, Negeri Sembilan nanti," jelasnya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai sambutan Aidilfitri pada tahun ini, pelakon itu memberitahu dia akan menyambutnya di Kuala Lumpur memandangkan kedai makanan yogurt miliknya itu akan turut beroperasi pada hari raya pertama.

Bagaimanapun, jelas Ainul dia sendiri sebenarnya tidak kisah untuk menyambutnya di Kuala Lumpur memandangkan dia turut mempunyai saudara-mara yang agak ramai di sekitar Lembah Klang.

"Berkemungkinan besar kedai saya itu akan tetap terus dibuka pada hari raya. Namun begitu, ia juga bergantung kepada keputusan yang dibuat oleh Kumpulan Naza yang merupakan pemegang lesen utama bagi rangkaian Tutti Frutti di Malaysia," jelasnya.

Menurutnya lagi, meskipun pada tahun ini dia terpaksa beraya di Kuala Lumpur, tetapi dia sekeluarga masih akan pulang berhari raya di kampung halamannya di Sungai Lokan, Butterworth, Pulau Pinang.

Duit raya dicuri

Sama seperti kebanyakan artis lain yang mempunyai kenangan menarik ketika menyambut hari raya, Ainul juga mempunyai kisah yang menarik untuk dikongsi bersama pembaca.

Menurutnya, menyambut hari raya sewaktu zaman kanak-kanak adalah suatu saat yang paling menyeronokkan. Ketika itu, selepas solat sunat Aidilfitri, dia dan rakan-rakannya yang lain akan terus pergi beraya.

"Kalau diingatkan kembali memang rasa seronok sangat sambut hari raya masa zaman kanak-kanak. Semata-mata nak kumpul duit raya, saya dan rakan-rakan akan beraya satu kampung termasuk ke rumah-rumah yang tidak dikenali.

"Biasanya duit raya yang dikumpul itu saya gunakan untuk membeli makanan ringan. Malah, duit raya saya juga pernah dicuri oleh sepupu sewaktu saya sedang sibuk mengira duit raya yang diperoleh," ujarnya.

Bagaimanapun, pelakon berkenaan turut mempunyai kenangan pahit sewaktu sambutan Aidilfitri apabila neneknya meninggal dunia iaitu sehari sebelum umat Islam menyambut bulan Syawal pada tahun 2002.

"Itu adalah kenangan yang paling menyedihkan buat diri saya. Bayangkan ketika umat Islam yang lain sedang sibuk membuat persiapan raya, saya pula telah kehilangan ahli keluarga yang paling disayangi," ujarnya.

Katrina tunjuk jahat

Posted: 22 Aug 2011 10:07 PM PDT


KATRINA telah menyerlahkan sikap divanya.


KATRINA KAIF bukan sahaja menimbulkan perasaan tidak senang hati kepada Kareena Kapoor, namun dia juga telah menunjukkan lagak divanya dan menyerlahkan sikap jahatnya dan mangsanya kali ini ialah aktres muda, Anushka Sharma. Semuanya gara-gara kerana berebut khidmat jurusolek yang sama iaitu Subhash.

Malah, apa yang membuatkan keadaan lebih teruk adalah Anushka terpaksa terbang ke London tanpa Subhash angkara 'taktik kotor' yang telah dilakukan Katrina.

Menurut sumber, Anushka sudah membuat tempahan mendapatkan khidmat Subhash untuk terbang bersamanya ke London dan berada di sana selama dua hari untuk sebuah majlis di sana.

Katanya: "Anushka sudah menyiapkan segala-galanya termasuk visa dan tiket kapal terbang untuk membawa Subhash bersamanya ke London selama dua hari bagi sebuah majlis di sana. Subhash sememangnya diketahui merupakan jurusolek kesukaan Katrina dan mereka sudah lama saling mengenali antara satu sama lain.

"Namun, Subhash turut memberikan khidmat solekan terhadap pelanggan lain kerana dia bukan jurusolek sepenuh masa Katrina. Sebab itu, dia bersetuju apabila ditawarkan berkhidmat dengan Anushka."

Tambah sumber, Katrina membuat onar apabila dia yang baru diberitahu oleh Yash Raj Films, studio penerbitan filem terbaharunya, Mere Brother Ki Dulhann perlu terbabit dengan penggambaran tambahan filem itu tetap mahukan Subhash untuk menyoleknya.

"Katrina mahu memastikan dia kelihatan cantik untuk penggambaran filem itu, sebab itu dia tetap mahu menggunakan khidmat Subhash sebagai jurusoleknya kerana mereka sudah lama kenal.

"Namun, apa yang menyerlahkan sikap jahat Katrina adalah apabila Subhash memberitahu dia sudah ditempah oleh Anushka, Katrina lantas memberitahu pihak Yash Raj Films bahawa dia tidak akan datang ke penggambaran filem itu tanpa Subhash. Ia menyebabkan studio itu terpaksa masuk campur," jelas sumber itu.

Katanya lagi: "Kasihan Anushka yang terpaksa terbang ke London tanpa jurusolek. Dan penggambaran Mere Brother Ki Dulhann pula terpaksa ditunda kerana menunggu kedatangan Katrina bersama Subhash."

BSN penaja rasmi Maraton Malam Putrajaya 2011

Posted: 22 Aug 2011 10:06 PM PDT


HASSAN ketika mengumumkan peranan BSN sebagai penaja rasmi
Maraton Malam Putrajaya 2011.


SESUAI dengan slogannya 'Bank Komuniti Anda', Bank Simpanan Nasional (BSN) kini tampil seba- gai penaja rasmi Maraton Malam Putrajaya (MMP) 2011.

Menerusi penajaan tersebut, BSN yakin matlamat mereka untuk mendekatkan diri dengan masyarakat berbilang kaum dan latar belakang akan tercapai.

Penglibatan dalam acara sukan seperti itu khusunya Maraton Malam Putrajaya, dilihat sebagai kekuatan kepada mereka untuk mengukuhkan lagi jenama dalam kalangan masyarakat setempat.

MMP 2011 dijadualkan berlangsung pada 15 Oktober depan.

BSN sentiasa memainkan peranan untuk membantu rakyat tempatan meningkatkan gaya hidup mereka dengan mempromosikan budaya menabung serta berjimat cermat dalam kalangan mereka.

Selain itu, BSN juga menyedia- kan pelbagai kemudahan mesra rakyat yang kesemuanya terarah kepada gaya hidup berjimat cermat.

Penglibatan mereka dengan MMP 2011 merupakan langkah pertama terhadap perancangan mereka untuk lebih mendekati rakyat melalui agenda sukan.

MMP 2011 dianjurkan oleh Twenty First Century Sports dan didokong sepenuhnya oleh Perba- danan Putrajaya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta mendapat pengiktirafan daripada Persatuan Olahraga Amatur Wilayah Persekutuan (FTAAA) dan Kesa- tuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM).

"BSN berasa bangga untuk menjadi penaja rasmi MMP 2011. Ia menyediakan peluang kepada kami untuk mempromosikan produk-produk yang ditawarkan oleh BSN selain bertindak sebagai medan untuk mendekatkan diri dengan masyarakat setempat," kata Timbalan Ketua Eksekutif BSN, Hasan Mohamed dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada media semalam.

Menurutnya, pihak BSN bersama-sama Twenty First Century Sports menggalakkan semua orang daripada amatur sehingga kumpulan pelari profesional untuk sama-sama tampil memeriahkan MMP 2011.

"BSN sedar bahawa sukan merupakan saluran terbaik untuk mendekatkan diri dengan semua golongan masyarakat," tambahnya.

Penduduk Libya rai kejayaan tewaskan Gaddafi

Posted: 22 Aug 2011 10:05 PM PDT

SEJUMLAH penduduk berhimpun di Benghazi, Libya semalam untuk meraikan kejayaan para pemberontak memasuki bandar Tripoli.


TRIPOLI, Libya - Pemberontak dan penduduk Libya meraikan kejayaan mereka di Dataran Hijau di sini semalam selepas mereka menawan kebanyakan kawasan di ibu kota negara berkenaan.

Pertahanan Gaddafi hancur manakala pemerintahan kuku besinya selama 42 tahun juga berakhir, namun di mana pemimpin Libya itu kini bersembunyi masih tidak dapat dipastikan.

Pergolakan di Libya bermula pada Februari lalu apabila sejumlah penduduk berhimpun di Benghazi dan Al Baida pada Februari lalu bagi menuntut kebebasan hak asasi manusia sebelum bertukar menjadi peperangan di antara pemberontak dengan tentera Gaddafi.

Setakat ini, hanya terdapat beberapa penentangan kecil oleh saki baki tentera Gaddafi di sini.

Terdahulu, stesen televisyen Libya menyiarkan rayuan Gaddafi kepada rakyat negara itu supaya bangkit demi mempertahankan pemerintahannya.

Pejuang pemberontak kini menawan anak lelakinya yang juga pewaris Gaddafi, Seif al-Islam.

Seif dan bapanya sebelum ini dikehendaki Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di Belanda kerana jenayah kemanusiaan.

Seorang lagi anak lelaki pemimpin itu berada dalam tahanan rumah.

"Semuanya sudah berakhir si rambut kerinting (Gaddafi)," jerit beratus-ratus lelaki dan wanita yang berhimpun di Dataran Hijau lewat kelmarin.

Orang ramai yang gembira dengan kekalahan Gaddafi, melepaskan tembakan ke udara, bertepuk tangan dan melambaikan bendera tiga warna pemberontak.

Sebahagian mereka membakar bendera hijau rejim Gaddafi dan melubangi sebuah poster yang menampilkan imejnya.

Beberapa pemimpin pemberontak berkata, kemenangan mereka selepas kebuntuan dalam perang saudara di Libya sejak enam bulan lalu, dicapai menerusi kerjasama di antara pemberontak, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan penduduk Tripoli.

Pejuang-pejuang pemberontak dari barat Libya mara lebih 30 kilometer dalam masa cuma beberapa jam kelmarin dengan menawan beberapa buah bandar dan sebuah pangkalan tentera semasa menuju ke sini.


ORANG RAMAI yang menaiki sebuah trak mengibarkan bendera baharu Libya bagi meraikan ketibaan para pemberontak di Tripoli semalam.


Pada masa yang sama, penduduk di bandar raya ini yang dibekalkan senjata oleh pemberontak secara rahsia, bangkit menentang rejim Gaddafi.

Apabila pemberontak tiba di sini, satu batalion khas yang ditugaskan oleh Gaddafi untuk mengawal bandar raya ini bertindak menyerah diri kepada mereka.

Seorang pegawai kanan kepimpinan pemberontak, Fathi al-Baja berkata, komander batalion berkenaan berpaling tadah selepas saudara lelakinya dihukum bunuh oleh Gaddafi beberapa tahun lalu.

Menurutnya, pelan untuk menawan bandar raya ini dirancang sejak tiga bulan lalu dengan bantuan NATO dan pemberontak di sini.

Menjelang semalam, pemberontak telah menawan kebanyakan kawasan di bandar raya ini termasuk Dataran Hijau.

Rampasan Dataran Hijau merupakan kejayaan simbolik buat mereka.

Kawasan tersebut merupakan lokasi perhimpunan pro-Gaddafi yang diadakan hampir setiap malam dengan pemimpin Libya itu menyampaikan ucapannya di Kubu Merah di sebelah dataran berkenaan.

Gaddafi ialah pemimpin dunia Arab yang paling lama memerintah.

Beliau mentadbir negara Afrika Utara yang dihuni cuma enam juta penduduk dan kaya dengan minyak itu selama 42 tahun.

Sejak bertahun-tahun lamanya, pemimpin beliau dituduh mendalangi pengeboman pesawat 747 milik syarikat penerbangan Amerika Syarikat, Pan Am yang meletup di Lockerbie, Scotland dan membunuh 270 orang.

Gaddafi sembunyi dalam kubu bawah tanah

Posted: 22 Aug 2011 10:04 PM PDT




TRIPOLI - Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dipercayai berlindung di dalam sebuah kubu bawah tanah di luar bandar Tripoli, lapor akhbar Daily Mail semalam.

Beliau dilaporkan bersembunyi semasa pertempuran sengit berlaku di pekarangan rumahnya dan ketika penduduk meraikan kejayaan tentera pemberontak memasuki bandar ini. Sebuah stesen televisyen bebas Libya turut mendakwa bahawa Gaddafi telah melarikan diri sebagai seorang yang pengecut.

Beberapa pemimpin dunia sebelum ini meminta Gaddafi yang berkuasa sejak tahun 1969 menyerahkan diri selepas para pemberontak melancarkan serangan menentang kepimpinannya.

Namun, Gaddafi yang memerintah selepas melakukan rampasan kuasa aman semasa pemerintah Libya, Raja Idris berada di luar negara untuk mendapatkan rawatan perubatan kemungkinan ditawarkan hidup dalam buangan di Angola atau Zimbabwe oleh Kesatuan Afrika.

Majlis Peralihan Kebangsaan (TNC) yang diiktiraf Barat sebagai badan pentadbir Libya menyatakan anak Gaddafi, Seif Al-Islam dan Al-Saadi sudah ditangkap.

Menurut TNC, seorang lagi anak Gaddafi, Muhammad dilaporkan sudah menyerahkan diri.

Ketua TNC, Mustafa Abdel Jalil memberitahu stesen televisyen Al-Jazeera bahawa Seif dikawal rapi dan ditempatkan di sebuah tampat yang selamat.

Kemuncak pergolakan yang berlaku di Libya sejak Februari lalu adalah kemaraan para pemberontak di Tripoli dari bandar Misrata pada Ahad lalu menerusi laut.

Ekoran kejayaan para pemberontak menguasai Tripoli, Perdana Menteri Britain, David Cameron mengumumkan tidak lagi akan membekukan aset Libya yang berjumlah AS$20 bilion (RM59.31 bilion).

Jerman turut mengumumkan rancangan sama. Menteri Luar Jerman, Guido Westerwelle, berkata aset Libya yang dibekukan selama ini lebih AS$10.1 bilion (RM29.95 bilion).

Itali juga telah menghantar sebuah pasukan ke Benghazi untuk membantu membina semula pengeluaran minyak dan gas asli.

Lagi serangan roket Palestin di Israel

Posted: 22 Aug 2011 10:03 PM PDT


SEORANG anggota polis Israel mengheret seorang penunjuk perasaan Palestin yang menentang operasi ketenteraan rejim Zionis di Genting Gaza kelmarin.


BAITULMUQADDIS - Lima serangan roket dari Gaza mengenai selatan Israel dalam tempoh semalaman, beberapa jam selepas militan mengisytiharkan gencatan senjata tidak rasmi susulan pertempuran sengit dengan Israel, kata polis Yahudi semalam.

Sumber polis memberitahu, sebuah roket itu menyebabkan sebuah bangunan kosong di kawasan Eskol yang bersempadan dengan timur laut Gaza, rosak tetapi tiada kecederaan berlaku.

Tentera Israel pula menyatakan, sudah dua malam pihaknya tidak melancarkan serangan udara ke atas Genting Gaza.

Bedilan roket itu berlaku beberapa jam selepas seorang pegawai Hamas memberitahu agensi berita AFP bahawa ia mencapai persetujuan gencatan senjata tidak rasmi dengan Israel dalam rundingan yang ditaja oleh Mesir.

"Kami mencapai persetujuan tidak formal untuk mengadakan gencatan senjata dari malam ini (kelmarin) dengan syarat Israel menghentikan serangannya," kata pegawai itu.

Menurutnya, Hamas telah menggesa Jihad Islam supaya menghentikan serangannya selepas kumpulan itu membedil dua buah roket ke bandar Ashkelon di selatan Israel malam kelmarin.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

1 ulasan:

Aimandde berkata...

salam saya ingin mencari baju secara borong. sila email ke aimandde@gmail.com. terimakasih

Catat Ulasan